The Independent Insight

Giving truth a voice

  • Email
  • Facebook
  • Flickr
  • Instagram
  • Phone
  • Twitter
  • Vimeo
  • YouTube
  • Berita
  • Politik
  • Ekonomi
  • Teknologi
  • Reviu
    • Reviu Buku
    • Reviu Filem
    • Reviu Muzik
  • Rencana
  • Podcast
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami

Nasionalisme: Dari Kebangsaan Melayu Kepada Kebangsaan Malaysia

April 7, 2024 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Persoalan nasionalisme sering dikaitkan dengan pembentukan idea di Eropah. Bagi saya secara peribadi, penulisan yang mengetengahkan perspektif ini adalah terlalu tipikal, cliché, dan membosankan. Contohnya Kissinger yang menyatakan bahawa batu asas kepada konsep menghormati sempadan negara, menghormati kedaulatan negara dan tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara lain adalah hasil dari triti-triti Peace of Westphalia.[1] Seolah-olah hanya orang-orang Barat sahaja yang memonopoli idea-idea moden. Manakala bangsa lain hanya menjadi pak turut yang mengikuti jejak mereka. Pemikiran seperti ini menafikan peranan dan agensi bangsa-bangsa lain. Pemikiran seperti ini juga bersifat Eurosentrik di mana perbahasan sering dilihat dari kaca mata Barat.

Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, terdapat seruan agar sejarah ditulis dari kaca mata peribumi, bukan lagi dari perspektif dek-dek kapal penjajah Eropah. Antara suara yang mengetengahkan seruan ini adala Tregonning pada tahun 1958 yang menyatakan bahawa sejarah Asia perlu bertemakan Asia.[2] Manakala perspektif Eropah sebenarnya adalah perspektif luaran yang bukan utama dan tidak perlu diutamakan. Saya kira seruan seperti ini merupakan satu perkembangan yang positif. Dengan mengangkat dan mengembangkan perspektif tempatan, kita dapat melihat sebenarnya bahawa sesuatu idea itu boleh wujud tanpa perlu bergantung kepada kuasa dan pengaruh kolonial Barat.

Idea-idea nasionalisme sebenarnya boleh ditinjau dari sumber selain dari sumber Barat. Misalnya, tulisan oleh Nur Masalha yang menulis perihal sejarah Palestin, beliau membahagikan konsep kebangsaan kepada dua lapisan. Lapisan pertama adalah qawmiyyah, iaitu nasionalisme yang berdasarkan bangsa, etnik, atau kaum. Lapisan yang ke dua adalah wataniyyah, iaitu nasionalisme berdasarkan sempadan geografi sesebuah negara.[3] Jika dilihat dalam konteks Tanah Melayu dan Malaysia, kita melihat bahawa kedua-dua lapisan ini wujud. Nasionalisme bersifat qawmiyyah itu boleh dikatakan wujud tanpa banyak perubahan sejak dari Kesultanan Melayu Melaka lagi. Manakala sifat wataniyyah itu berubah-ubah, dari konsep Melayu Raya, Nusantara, Mafilindo, dan akhirnya dalam bentuk negara Malaysia.

Penulisan kali ini ingin membahaskan persoalan nasionalisme Melayu dan juga perkembangannya ke arah penubuhan idea kebangsaan Malaysia dari penulisan pemikir tempatan iaitu Rustam A. Sani dalam bukunya yang bertajuk Ke Mana Nasionalisme Melayu?.[4]

Definisi Nasionalisme Melayu

Rustam Sani telah memberikan satu definisi spesifik berkenaan dengan apa yang beliau maksudkan berkenaan dengan nasionalisme Melayu. Secara ringkas, definisi yang beliau ketengahkan adalah satu ideologi yang diperjuangkan untuk membina sebuah negara-bangsa, dalam konteks ini adalah penubuhan sebuah negara Melayu. Terma ‘negara-bangsa’ menurut Rustam adalah satu terma abstrak yang cuba membina idea kerakyatan berdasarkan sebuah identiti. Asas identiti ini penting bagi mewujudkan satu perasaan kebersamaan dan kesetiaan, ia boleh dibina berdasarkan pelbagai sumber identiti seperti etnik, bangsa, bahasa, agama, keturunan, atau perkongsian sejarah.[5] Namun saya merasakan definisi nasionalisme Melayu itu boleh dikembangkan lagi, tidak semestinya ia perlu akan sebuah visi untuk menubuhkan satu negara Melayu. Semangat nasionalisme boleh wujud tanpa adanya usaha untuk mewujudkan negara. Boleh jadi, nasionalisme itu wujud dalam satu bangsa untuk mempertahankan kewujudan mereka dari dikuasai oleh satu bangsa asing. Atau keinginan untuk menjaga kelangsungan bangsa dan budaya mereka. Semua ini boleh dikatakan sebagai nasionalisme tanpa perlunya perjuangan untuk menubuhkan satu negara-bangsa.

1930-an Tahun Permulaan Nasionalisme Melayu

Menurut Rustam, persoalan, idea, dan konsep nasionalisme Melayu ini tidak dikaji dengan mendalam. Oleh itu, biasanya, nasionalisme Melayu ditulis sebagai satu konsep yang umum dan mencakupi setiap aspek pergerakan orang Melayu. Segala bentuk kegiatan anti-penjajah sebelum merdeka dan kegiatan mempertahankan watan, akan diklasifikasikan sebagai aktiviti nasionalisme Melayu. Rustam meletakkan permulaan gerakan nasionalisme Melayu di tahun 1930-an, apabila pentadbiran kolonial mula stabil dan juga imigran luar mula menetap di Tanah Melayu secara kekal. Pada masa ini wujud dua bentuk inteligensia dalam kalangan orang Melayu, pertama mereka yang bekerja dalam pentadbiran kolonial British. Kedua adalah mereka di luar pentadbiran kolonial yang membawa impian pembentukan Melayu Raya. Dua aliran ini sering disebut sebagai aliran kanan dan aliran kiri, namun bagi Rustam, perbahasan dualistik seperti ini tidak mencukupi dalam memberi makna sebenar terhadap gerakan yang ada pada tahun 1930-an itu.[6] Tahun tiga puluhan juga menyaksikan masyarakat majmuk telah terbentuk sepenuhnya di Tanah Malayu.[7]

Perkembangan awal nasionalisme Melayu menurut Rustam berkait rapat dengan sejarah kolonial yang dihadapi oleh orang Melayu. Di mana mereka dibiarkan mundur berbanding etnik-etnik pendatang lain yang dibawa masuk ke tanah air mereka. Walaubagaimanapun, pada peringkat awal, sifat nasionalisme orang Melayu tidak ketara sifat anti-kolonialnya. Terutamanya dalam penentangan menentangan pentadbiran pada ketika itu. Hal ini kerana, mereka melihat kuasa yang memerintah masih dipegang oleh para sultan Melayu, sementara British hanya berperanan sebagai penasihat. Oleh itu, penentangan terbuka akan dilihat sebagai satu penderhakaan. Orang Melayu pada tahun 1930-an juga masih belum melihat Malaya sebagai sebuah negara, malah istilah Malaya sering dikaitkan dengan kelompok imigran. Sudut pandang politik orang Melayu pada ketika itu masih bersifat kenegerian. Di mana, kesetiaan mereka masih berpusat kepada sultan di setiap negeri.[8]

Pada tahun 1930-an juga, pemerintahan para sultan Melayu dan pentadbir kolonial dilihat masih bersifat pro-Melayu, oleh itu ia tidak menerima penentangan yang jelas. Selain itu, walaupun pentadbiran bersifat kolonial pada ketika itu, British telah mengambil ramai orang-orang Melayu untuk berkhidmat dalam pentadbiran di peringkat pertengahan dan di peringkat bawahan. Semua ini membuatkan pentadbiran British tidak kelihatan sebagai satu cabaran buat politik orang Melayu, malah seperti yang sudah dikatakan, melawan pentadbiran dilihat sebagai satu aksi penderhakaan.[9]

Apabila pemerintahan British mula menghilangkan aspek kenegerian dan sistem pemerintahan dipusatkan di Kuala Lumpur, ini menyebabkan raja-raja Melayu mula menyatakan rasa tidak senang mereka. Pemusatan kuasa ini dilihat sebagai satu penghakisan terhadap kuasa politik orang Melayu serta kewibawaan sultan di negeri mereka. Maka British melalui Sir Lawrence Guillemard dan Sir Cecil Clementi telah melaksanakan dasar desentralisasi dari tahun 1927 hingga tahun 1934 untuk memulangkan kuasa kepada setiap negeri dan mengelakkan pemberontakan dan penentangan.

Penerusan pentadbiran kolonial di Tanah Melayu juga telah mengubah demografi setempat dengan begitu ketara. Laporan banci pada tahun 1921-1931 menunjukkan orang Melayu sudah menjadi golongan minoriti di negeri mereka sendiri, hal ini menjadi satu kebimbangan buat masyarakat peribumi dan juga pemerintah kolonial British.[10] Kemasukan imigran sebagai buruh dilihat sebagai faktor yang lebih dominan dalam membangkitkan unsur nasionalisme Melayu pada tahun 1930-an berbanding perasaan tidak berpuas hati kepada pemerintahan sedia ada. Maka boleh dikatakan bahawa nasionalisme Melayu pada tahap ini adalah sebuah reaksi kepada kemasukan buruh imigran ke Tanah Melayu. Tahun-tahun ini juga memperlihatkan bahawa buruh-buruh yang masuk ke Tanah Melayu dari China mula menganggap diri mereka sebagai penduduk tetap. Kebanyakan dari mereka yang berpendidikan Inggeris mula membuat tuntutan untuk mendapatkan hak istimewa yang sama seperti orang Melayu, perkara ini merupakan satu perkara yang sangat sensitif buat orang Melayu. Reaksi orang Melayu terhadap perkara ini sangat hebat dan dapat dilihat dalam penulisan mereka dalam akhbar-akhbar milik mereka.[11] Pada peringkat awal juga boleh dikatakan nasionalisme Melayu itu muncul dari perasaan mereka yang merasakan bahawa kelangsungan kewujudan mereka terancam.[12] Inilah faktor awal yang membangkitkan semangat nasionalisme dalam kalangan orang Melayu, semangat ini dapat dilihat melalui penulisan-penulisan mereka pada ketika itu.

Penulisan akhbar dan persuratan merupakan satu elemen yang menarik untuk diperhatikan dalam menganalisa kemunculan nasionalisme Melayu. Walaupun tidak kelihatan penentangan yang kuat pada pihak pentadbiran, nasionalisme Melayu ini terjelma dalam aktiviti persuratan. Menurut Rustam, antara tahun 1876 hingga 1941, tidak kurang dari 147 surat khabar diterbitkan di Tanah Melayu.[13] Sebahagiannya digerakkan oleh golongan intelektual yang dididik di Asia Barat dan terdedah dengan idea pembaharuan Islam. Golongan ini menggunakan akhbar bagi menyebarkan kefahaman sosial bagi menghadapi cabaran ekonomi dan sosial hasil dari polisi-polisi kolonial.

Dengan berkembangnya akhbar-akhbar Melayu, orang Melayu juga pada ketika itu terpengaruh dengan berita-berita perihal kemunculan negara-negara baharu. Pembentukan banyak negara-negara baharu di Asia dan Afrika pada ketika itu telah menimbulkan satu kesedaran politik baharu dalam kalangan orang Melayu.[14] Orang Melayu melihat bagaimana bangsa lain akhirnya berjaya melepaskan diri dari cengkaman kolonialisme, dan mereka sedar akan keperluan untuk mereka turut bersama memerdekakan diri.

Penelitian Kepada Struktur Awal Politik Orang Melayu

Menurut Rustam, dalam kita menganalisa perubahan politik di Malaysia, kita terlebih dahulu perlu memahami akar sejarah yang membentuk perubahan ini. Memahami proses sejarah ini penting dalam kita memahami politik orang Melayu. Antara proses yang perlu dilihat adalah pertembungan antara sistem politik tradisional dan sistem politik kolonial. Selain itu, reaksi kaum peribumi terhadap pemerintahan kolonial turut wajar diperhatikan kerana ia mempunyai kesan yang boleh dilihat hingga ke hari ini.[15]

Sistem politik tradisional orang Melayu boleh dibahagikan kepada dua strata menurut Rustam, iaitu strata pemerintah dan strata golongan rakyat. Strata ini boleh dilihat di kawasan kampung di mana kebiasaannya ia didirikan di pinggir sungai. Dari segi agihan kuasa politik, kuasa tertumpu pada pihak pemerintah dan dilihat sebagai hak penuh mereka. Sistem tradisional ini dilihat berbentuk homogeneous, namun apabila ia bertembung dengan sistem kolonial, kesan ketara yang boleh dilihat adalah terbentuknya satu masyarakat majmuk. Rustam memerhatikan perubahan masyarakat Melayu dari masyarakat petani kepada masyarakat moden tidak sama dengan perubahan di negara-negara lain. Perubahan di negara lain kebiasaannya akan melahirkan satu kelas peribumi baharu yang terlibat dalam aktiviti perniagaan dan bersifat kapitalis. Kelas peribumi baharu ini akan menjadi kelas elit yang kemudiannya menjadi sumber kepada bentuk politik baharu di negara tersebut. Namun situasi ini tidak terbentuk di kalangan orang Melayu pada peringkat awal.[16]

Perubahan sistem politik orang Melayu dapat difahami dengan menganalisa perubahan kelas pemerintahan dalam kalangan orang Melayu. Selepas kemasukan kuasa kolonial bermula 1874, mula muncul golongan yang dipanggil sebagai administokrat dalam kalangan orang Melayu, mereka ini terlibat dalam pentadbiran yang disusun oleh kaum kolonial. Selepas merdeka pada tahun 1957, kita melihat kelas pemerintahan Melayu mula kelihatan bersifat birokrat, manakala selepas pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) selepas 1969, birokrat ini dilihat cenderung menjadi birokrat beraliran kapitalis.[17]

Kesatuan Melayu Muda Merintis Nasionalisme

Dalam bentuk gerakan yang tersusun, organisasi awal yang memperlihatkan tumbuhnya idea nasionalisme Melayu adalah Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang membawa gagasan Melayu Raya iaitu satu konsep kesatuan politik yang menggabungkan Semenanjung Tanah Melayu dan juga Kepulauan Indonesia. Gagasan ini ingin memecahkan kesetiaan kenegerian yang dilihat merugikan orang Melayu. Idea ini dapat dilihat pada pengasasnya iaitu Ibrahim Yaacob. Beliau pernah menyertai persatuan negeri namun merasakan persatuan seperti itu bersifat feudal dan mendiskriminasikan mereka yang berketurunan Jawa, Sumatera, Sulawesi, dan juga mereka yang berasal dari kepulauan Indonesia lain. Mereka ini dipanggil ‘anak dagang’ berbeza dengan orang Melayu yang lahir di negeri Melayu yang disebut sebagai ‘anak negeri’. Oleh itu, Ibrahim Yaacob telah menubuhkan KMM yang membawa gagasan penyatuan bangsa Melayu yang lebih luas meliputi kepulauan Indonesia.[18] Walaubagaimanapun, KMM bukanlah persatuan politik Melayu yang pertama. Sebelumnya, pada tahun 1926, Muhamad Eunos Abdullah telah membentuk Kesatuan Melayu Singapura (KMS).[19] Namun KMS tidak begitu menonjol peranannya dalam sejarah politik orang Melayu berbanding KMM.

KMM sering dinisbahkan sebagai satu gerakan kiri, namun menurut Rustam Sani gerakan ini tidak mempunyai idea-idea yang boleh dikatakan sebagai sosialis pada peringkat awal, ciri-ciri sosialis tidak jelas pada KMM.[20] Perkara yang sama dapat dilihat pada organisasi yang mewarisi ideologi KMM iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Menurut sarjana seperti Ahmat Adam yang membahaskan pengaruh komunis dalam PKMM, tidak semua yang dikatakan komunis itu sebenarnya berideologi komunis, ramai yang sebenarnya berfahaman nasionalis, malah sebahagian mereka adalah golongan fanatik kepada agama Islam.[21] Mereka hanya menggunakan gerakan mereka sebagai wadah untuk menjaya aspirasi kemerdekaan mereka.

Rustam menolak hujah ahli sejarah seperti Soenarno dan Roff yang berpandangan bahawa ideologi KMM berakar dari agen komunis dari Comintern dan pemimpin Indonesia yang lari ke Tanah Melayu selepas kegagalan kudeta pada tahun 1926. Bagi Rustam, tiada hubungan yang meyakinkan dari dakwaan ini. Sebaliknya Rustam berpandangan pembentukan KMM adalah hasil modernisasi politik orang Melayu yang memperlihatkan kemunculan elit baharu yang lahir dari jalur yang tidak tradisional. Hal ini terjadi hasil meluasnya pendidikan kepada golongan rakyat. Golongan elit baharu ini lahir di luar dari strata sosial kepimpinan politik Melayu kebiasaan. Rustam berpandangan, proses modernisasi ini adalah satu proses defeudalisation.[22] Idea kebangsaan Melayu pada tahun 1930-an ini akhirnya gagal mencapai cita-citanya dalam menyatukan seluruh alam Melayu, hal ini jelas apabila Indonesia telah mengambil langkah untuk merdeka tanpa Tanah Melayu, ia juga mendapat penindasan sistematik dari pihak kolonial sehinggalah ke zaman darurat pada tahun 1948.[23]

KMM merupakan satu kesatuan yang memainkan peranan yang sangat penting dalam sejarah kesedaran kebangsaan orang Melayu. Peranan mereka paling jelas boleh dilihat dalam kerjasamanya dengan Jepun bagi mengusir penjajahan British. Namun janji Jepun dalam memberi kemerdekaan kepada orang Melayu semasa pemerintahan mereka tidak ditunaikan. Pada zaman Jepun, persatuan-persatuan negeri menghadapi zaman kegelapan, namun bagi orang Melayu, ia menandakan zaman kesedaran politik yang baharu. KMM mendapat suntikan gerakan radikalnya hasil dari ahli-ahlinya yang berpendidikan, terutamanya dari lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim dan juga pengaruh tokoh politik dari Indonesia.[24]

Persuratan Sebagai Wadah Nasionalisme Melayu

Selain dari akhbar-akhbar Melayu yang dapat dilihat menampakkan unsur nasionalisme Melayu, kemunculan nasionalisme Melayu juga boleh ditelusuri dari berkembangnya aktiviti persuratan dalam badan-badan bahasa dan sastera. Badan-badan ini menurut Rustam, bukan sahaja bersifat persuratan, tetapi ia mempunyai peranan dalam proses kebangkitan dan perkembangan sosial orang Melayu. Malah boleh dikatakan, badan-badan ini mempunyai peranan politik secara langsung.[25] Antara badan yang menonjol dalam hal ini adalah Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).

Badan persuratan dan sastera ini tidak dapat lari dari aspek pendidikan dalam kalangan orang Melayu. Pihak Inggeris menurut Rustam menjalankan dua jenis pendidikan. Pertama adalah pendidikan sekular Inggeris bagi membentuk satu lapisan bangsawan yang akan diangkat menjadi pentadbir. Kedua adalah pendidikan vernakular, iaitu didikan sekular dalam bahasa Melayu bagi membentuk masyarakat petani di desa yang boleh membaca.[26] Sistem pendidikan ini telah melahirkan sastera Melayu moden. Antara kesannya yang jelas adalah munculnya golongan intelektual yang menjadi guru di sekolah-sekolah Melayu. Mereka bukan sahaja menjadi guru di desa, tetapi memainkan peranan penting dalam perkembangan bahasa, sastera, dan politik orang Melayu.[27]

Nasionalisme Melayu Yang Gagal

Menurut Rustam, projek nasionalisme Melayu ini akhirnya merupakan satu projek yang gagal. Beliau mengukur kegagalan ini dengan gerakan-gerakan nasionalisme di kawasan geografi lain yang berjaya menubuhkan sebuah negara berasaskan satu bangsa. Nasionalisme Melayu, jika diukur dari ukuran ini, dikatakan gagal kerana akhirnya ia tidak berjaya menubuhkan sebuah negara Melayu.[28] Hari ini kita melihat dunia semakin menjadi lebih global, penglobalan dunia ini telah membuka banyak padang-padang persaingan antara bangsa-bangsa. Malah bangsa-bangsa dunia kini bercampur aduk, bersaing antara satu sama lain dalam padang yang rata, yang tidak lagi dikongkong oleh sempadan-sempadan tradisional sebelum ini.[29] Namun dalam latar dunia global seperti ini, Rustam menjangkakan bahawa nasionalisme sebagai sebuah ideologi tidak akan melemah sebaliknya ia semakin mengukuh.[30] Saya kira telahan Rustam ini ada benarnya, kerana jika kita meninjau lanskap politik sedia ada, kebanyakannya masih memperkatakan tentang persoalan identity politics.

Apabila sudah terbentuk negara-negara baharu pada zaman pasca-kolonial, impian asal golongan nasionalis Melayu bagi membentuk sebuah negara Melayu menjadi sudah tidak lagi realistik.[31] Apa yang ada di masa hadapan adalah kebersamaan orang Melayu dalam masyarakat global di bawah payung nasionalisme Malaysia. Realiti ini perlu diterima, oleh itu pembentukan nasionalisme orang Melayu kini harus berubah kepada pembentukan nasionalisme yang lebih besar iaitu nasionalisme Malaysia.

Dari Kebangsaan Melayu Kepada Kebangsaan Malaysia

Ada pandangan dari sarjana yang mengatakan bahawa semangat kebangsaan atau nasionalisme menjadi tidak relevan pasca keruntuhan Kesatuan Soviet. Bagi mereka nasionalisme sudah tidak lagi relevan di era moden yang sudah global. Namun pandangan seperti ini tidak kukuh. Menurut Rustam, selepas berpecahnya blok Soviet, pembentukan negara-negara masih berdasarkan ikatan negara-bangsa, yakni berasaskan semangat nasionalisme. Walaupun mungkin asas ideologi, wilayah, dan sejarah ditanggap dengan cara yang berlainan.[32] Walaupun teknologi dan juga kemudahan bertambah canggih, Rustam berhujah bahawa manusia yang akan membentuk satu kesatuan sosial itu tetap manusia yang sama. Mereka mempunyai sikap rasional yang sama.

Menurut Rustam lagi, perasaan yang dipunyai manusia seperti kesetiaan, kebanggaan kepada komuniti, perasaan ingin melibatkan diri dalam organisasi masyarakat, ini semua merupakan perasaan yang menjadi fitrah manusia yang tidak dapat dibuang. Ia akan terus menjadi asas kepada pembentukan perkumpulan politik. Walaupun sesebuah negara itu dikatakan maju dan moden, rakyatnya tetap merupakan manusia, bukannya robot. Disebabkan itu, beliau berpandangan, seiring dengan kemajuan teknologi dan industri, nasionalisme akan terus mencorak sistem politik dunia.[33]

Rustam mengkritik persoalan pembangunan bangsa yang menjadi fokus di Malaysia kerana ia lebih tertumpu kepada pembangunan ekonomi. Ini dapat dilihat dari keghairahan masyarakat dalam mengetengahkan aspek pengagihan ekonomi yang berasaskan angka, kuantum dan peratus. Sebaliknya apa yang perlu diperhalusi adalah bagaimana mahu mengubah ‘kepelbagaian yang memisahkan’ yang merupakan warisan dari sejarah kolonial untuk membentuk satu kesatuan bangsa yang dapat mengharungi cabaran dunia moden.[34] Selain keghairahan untuk merebut kek ekonomi, pelbagai isu kebangsaan dibiarkan tidak diselesaikan, hal ini temasuklah isu-isu seperti bahasa kebangsaan, budaya kebangsaan, dan juga pendidikan kebangsaan.[35] Persoalan-persoalan ini dianggap sensitif dan tidak disentuh dengan berani, hasilnya adalah penerusan sistem kolonial yang memecahkan masyarakat dalam sistem-sistem yang berbeza. Hal ini paling ketara dalam isu pendidikan kebangsaan dan pendidikan vernakular.

Pemerkasaan bahasa Melayu menurut Rustam hendaklah dibuat dengan bersungguh-sungguh. Bukan sekadar menjadi satu simbolik atau alat administratif. Tetapi seharusnya martabatnya diangkat hingga menjadi satu bahasa yang moden dan digunakan secara meluas sebagai satu bahasa ilmu. Budaya kebangsaan pula menurut Rustam harus menjadi satu budaya yang boleh memberi satu keperibadian yang unik dan tersendiri, satu budaya yang moden dan boleh dilihat sebagai satu budaya yang tersendiri dalam komuniti masyarakat global yang moden.[36] Dalam mendirikan identiti bangsa, Rustam mengajak masyarakat untuk melakukan tiga perkara. Pertama adalah perenungan yang mendalam, kedua adalah dengan memulakan polimik yang sihat, dan yang terakhir adalah melalui diskusi.[37] Cadangan ini saya kira amat berguna dalam mencambahkan idea. Aspek perenungan misalnya, sememangnya penting dalam kita memahami sesuatu secara mendalam, aspek ini semakin terhakis hari ini dengan wujudnya pelbagai media sosial yang menyajikan kandungan-kandungan singkat dan separuh masak.[38] Aspek polemik dan diskusi juga saya kira satu aspek yang penting dalam penghasilan makna, aspek ini pada pandangan saya merupakan aspek yang sangat kuno dan boleh ditelusuri dari metodologi dialog dan argumentasi yang dipelopori oleh ahli falsafah seperti Socrates.[39]

Dasar Ekonomi Baru (DEB): Sentimen Abstrak Atau Ekonomi Material?

Bagi Rustam, dalam membina nasionalisme Malaysia, apa yang perlu dibangunkan adalah “sentimen”. Iaitu penanaman sentimen dalam setiap rakyat yang ada bahawa mereka adalah anggota yang setia kepada negara bangsanya. Negara bangsa ini bagi Rustam mestilah mempunyai bangsa yang satu dan negara yang satu mirip seperti nasionalisme negara bangsa lain di dunia. Jika ini tidak berjaya, bagi Rustam, Malaysia akan terus menjadi “a nation without nationalism”.[40] Namun saya kira pemikiran seperti ini akan membentuk dua masalah lain.

Pertama, jika visi nasionalisme kita adalah untuk membentuk nasionalisme yang bersifat monolitik seperti nasionalisme lain di dunia, tidakkah ini menghilangkan keunikan yang ada dalam sejarah dan jati diri kita? Adakah kita perlu mewajibkan diri mengikut model-model nasionalisme orang lain? Yang jika tidak kita patuhi dengan penuh taat akan menjadikan nasionalisme kita satu bentuk nasionalisme yang gagal? Saya merasakan dengan menafikan sejarah kita yang sudah terbentuk sebagai satu masyarakat yang multi-kultural, ini merupakan satu projek yang menghilangkan kekayaan budaya dan legasi yang kita ada. Betul perbezaan boleh dimanipulasikan untuk menimbulkan perpecahan, namun perbezaan juga berpeluang untuk diraikan bagi membentuk satu keunikan dan kekayaan.

Kedua, saya merasakan bahawa jika segala tumpuan hanya diberikan untuk membangunkan satu sentimen yang abstrak, negara kita mungkin akan ketinggalan dari pelbagai sudut pembangunan. Rustam A. Sani seolah-olah menganjurkan kita mengutamakan pembangunan sentimen melebihi pembangunan ekonomi yang bersifat material. Saya kira penulisan Melayu moden kini ada juga yang menolak anjuran seperti ini. Contohnya penulisan Hadri Shah yang mengkritik perjuangan simbol-simbol dan juga slogan-slogan kemelayuan tetapi mengabaikan sudut kemiskinan masyarakat.[41] Walaubagaimanapun, saya turut mengkritik pandangan Hadri ini. Kerana saya merasakan seolah-olah semua isu lain langsung tidak penting dan tidak wajar dibahaskan melainkan isu kemiskinan dan ekonomi.[42] Saya merasakan perlunya kita berjalan di titik tengah, bukan memilih jalan ekstrim kiri atau kanan. Kita memerlukan kemajuan ekonomi dan pembanterasan kemiskinan dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Dalam masa yang sama kita perlu membangunkan kesedaran kebangsaan dan nasionalisme bagi memastikan sistem politik di negara ini kekal stabil dan dapat memayungi sektor ekonomi. Tetapi dalam masa yang sama kita juga harus memelihara aspek kepelbagaian kita yang menjadi jati diri dan keunikan kita sebagai sebuah bangsa yang berbeza dari nasionalisme bangsa lain yang bersifat mono-kultural.

Menurut pandangan Rustam lagi, walaupun DEB berjaya melahirkan satu golongan Melayu baru yang berpendidikan dan profesional, bidang-bidang ini tidak dikembangkan bagi mengukuhkan idea kebangsaan. Malah, ahli-ahli politik yang ada juga tidak mempunyai cita-cita kebangsaan yang jelas.[43] Memburukkan lagi keadaan, wujud golongan yang aktif menentang pemantapan elemen peribumi sebagai simbol negara, Rustam memberi contoh idea seperti ‘Malaysian Malaysia’ yang diperjuangkan oleh Lee Kuan Yew yang beliau sifatkan sebagai satu ‘kekacauan visi dan sikap politik’. Dari satu sudut, golongan ini dilihat sebagai penerus kepada sistem sosial kolonial. Golongan ini disifatkan oleh Rustam sebagai satu golongan yang mempunyai krisis identiti, keliru untuk memilih antara budaya asalnya yang sudah tidak dikenali, budaya kolonial yang sudah berlalu sejarahnya, dan budaya peribumi yang dianggapnya bertaraf rendah.

Dalam mengkritik DEB, Rustam juga mengkritik kelakuan ahli politik Melayu yang telah merendahkan langkah ini dari satu usaha untuk membentuk semangat kebangsaan kepada satu konsep ‘bumiputraisme’. Kekeliruan visi juga menampakkan negara dipacu untuk menjadi negara industri tanpa ada usaha gigih dan tersusun untuk membentuk satu negara bangsa.[44]

Cabaran Wawasan 2020 & Isu Nasionalisme Malaysia

Bermula dari tahun 1991, perdana menteri Malaysia pada ketika itu iaitu Mahathir Mohamad mula menggagaskan idea Wawasan 2020. Cita-cita wawasan ini adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai negara industri maju menjelang tahun 2020.[45] Antara cabaran yang digariskan adalah bagaimana untuk membentuk masyarakat Malaysia yang bersatu padu dalam menjadi sebuah negara maju. Di sini kita melihat, nasionalisme di Malaysia mula keluar dari kerangka anti-kolonial kerana situasi sejarah yang sudah berubah. Cabaran seterusnya adalah pembentukan satu semangat kebangsaan dalam konteks negara maju. Perasaan kesatuan ini menurut Rustam boleh diasaskan dari sebuah ‘mitos’ iaitu perasaan abstrak, misalnya, perasaan kebersamaan dalam berkongsi satu masa depan yang sama.[46]

Antara cabaran yang dihadapi dalam membentuk satu kesatuan kebangsaan Malaysia adalah penolakan dari sebahagian segmen bukan bumiputera. Golongan ini menurut Rustam akan segera menolak integrasi nasional yang dianggap sebagai usaha dominasi ke atas budaya mereka. Sikap ini seolah satu kerinduan untuk kembali kepada struktur masyarakat zaman kolonial dan terjelma dalam ideologi ‘Malaysian Malaysia’. Isu pemartabatan bahasa Melayu misalnya, kini menjadi isu orang Melayu sahaja, ia tidak diperjuangkan oleh segmen lain dalam masyarakat Malaysia, malah dalam kalangan orang Melayu sendiri, sokongan terhadap memartabatkan bahasa Melayu juga semakin merosot.[47] Politik Malaysia bagi Rustam masih berbentuk perkauman, dan nasionalisme Melayu masih belum dapat dilihat untuk berubah menjadi semangat yang lebih besar iaitu nasionalisme Malaysia.[48]

Selain Wawasan 2020, antara konsep baharu yang muncul dalam wacana nasionalisme Malaysia adalah kemunculan gagasan ‘Melayu Baru’. Gagasan ini membawa satu transformasi menyeluruh dalam kalangan orang Melayu dalam segenap bidang termasuk ekonomi, politik, dan budaya. Transformasi ini diperlukan dalam menyediakan orang Melayu bagi menghadapi cabaran pada abad ke-21.[49] Idea bahawa orang Melayu perlu berubah bukanlah satu idea yang baharu, menurut Rustam, idea perubahan ini pernah digagaskan oleh individu seperti Abdullah Munsyi yang mengagumi model masyarakat penjajah British. Berbeza dengan idea Abdullah Munsyi, konsep ‘Melayu Baru’ kemudiannya tidak lagi berorientasikan kekaguman terhadap kolonial British, tetapi berdasarkan kerisauan orang Melayu terhadap nasib mereka dalam bidang politik dan ekonomi.[50] Keperluan untuk melahirkan orang Melayu baru turut dapat ditinjau dari penulisan sarjana lain. Syed Hussein Alatas misalnya menulis bahawa perlunya ada ‘manusia Islam baharu’ ketika beliau menganalisa perkembangan orang Melayu dan interaksi mereka dengan agama Islam. Manusia baharu ini menurut Alatas mestilah sanggup menerima kemajuan dan pemikiran zaman moden.[51]

Kesan dari DEB, orang Melayu kini sudah meneroka pelbagai bidang yang sebelum ini tidak melibatkan mereka, hasilnya terdapat satu keyakinan baharu dalam diri mereka yang menggantikan kerisauan lama. Melayu Baru menurut Rustam mempunyai budaya yang sesuai dengan zamannya, dapat bersaing tanpa bantuan, juga menjadi masyarakat yang berilmu dan mempunyai intelektual yang tinggi.[52] Dari semangat yang baharu inilah sewajarnya orang Melayu mencorakkan politik baru mereka. Mereka sewajarnya mula berfikir dan menggerakkan idea masyarakat yang bukan lagi berasaskan ketakutan, tetapi kesatuan dalam rumah yang lebih besar dan inklusif iaitu negara Malaysia.

Mengkritik Kecenderungan Politik Rustam

Buku Rustam A. Sani yang kita bahaskan ini saya kira sangat bagus dalam mengupas dengan ringkas sejarah nasionalisme Melayu. Cuma di hujung buku ini, saya merasakan ia hilang keobjektifannya. Ini boleh dilihat apabila Rustam mula memasukkan kecenderungan politiknya ke dalam perbahasannya. Sebagai contoh, beliau menyifatkan politik UMNO pada tahun 1960-an sebagai ‘masih tebal unsur feudal dan patronagenya’.[53] Di sini kita melihat parti yang tidak sehaluan dengan ideologi beliau diasosiasikan dengan terma-terma yang buruk. Parti yang sehaluan dengannya pula, telah dijulang sebagai parti yang baik. Misalnya, dalam membahaskan perihal Parti Keadilan Rakyat, beliau menyifatkan parti tersebut sebagai pewaris sah perjuangan rakyat dalam mencapai ‘keadilan sosial dan demokrasi’ di Malaysia.[54]

Saya merasakan bahawa di sini perlu kepada satu pencerahan tentang adakah buku ini boleh dikatakan sebagai satu buku sejarah atau tidak. Kritikan terhadap buku berunsur sejarah namun ditulis oleh orang politik dengan memasukkan unsur politik telah dikritik oleh pelbagai sarjana. Contohnya Azmi Arifin yang mengkritik buku Sejarah Rakyat tulisan Syed Husin Ali.[55] Pada pandangan saya, buku Rustam Sani ini boleh dikatakan sebagai buku sains sosial yang mempunyai unsur sejarah. Ia bukanlah buku yang boleh dikatakan sebagai satu buku sejarah tulen. Hal ini kerana bukunya bukan memberi fokus untuk memaparkan sejarah yang telah berlaku. Sebaliknya menganalisa satu fenomena sosial iaitu nasionalisme Melayu dengan menggunakan teori-teori dari bidang sains sosial. Dalam analisanya, unsur kecenderungan politik beliau jelas kelihatan terutamanya pada bab-bab akhir.

Kesimpulan

Nasionalisme orang Melayu sudah berubah dengan begitu ketara sejak tahun 1930-an. Permulaannya adalah dari perasaan terancam dengan kehadiran kaum imigran baharu yang mula menjadi penduduk tetap di tanah mereka. Namun selepas berlakunya proses sejarah, terutamanya selepas pengenalan DEB, orang Melayu dilihat mempunyai satu keyakinan baharu.[56] Politik kebangsaan mereka semakin meninggalkan ‘politik terancam’ sebelum ini. Usaha baharu yang perlu digerakkan adalah bagaimana untuk mentransformasikan nasionalisme Melayu kepada payung yang lebih besar iaitu nasionalisme Malaysia.

Dalam membentuk nasionalisme Malaysia ini, antara aspek yang perlu ditekankan adalah pendidikan dan bahasa. Pemisahan pendidikan mengikut jurang bahasa ditakuti akan mewujudkan perbezaan kelas dalam masyarakat dan berisiko merendahkan pendidikan dan bahasa kebangsaan.[57] Malah menurut Rustam, jiwa nasionalisme baharu orang Melayu adalah bahasa.[58] Tanpa adanya usaha untuk memartabatkan bahasa, maka bangsa Malaysia baharu yang hendak kita bina akan kucar-kacir keperibadiannya. Untuk itu, wajarlah orang Melayu dalam suasana politik baharu ini mula mencatur langkah mereka, memartabatkan bahasa dan budaya kebangsaan, dan berusaha mewujudkan semangat kebangsaan Malaysia yang lestari.

Bibliografi

Ahmat Adam. 2001. “Partai Kebangsaan Melayu Malaya: Sebuah Mimpi Nusantara.” Jebat 28.

Cheah Boon Kheng. n.d. “The Japanese Occupation of Malaya, 1941-45: Ibrahim Yaacob and the Struggle for Indonesia Raya.” Indonesia, no. 28 1979.

Friedman, Thomas L. 2007. The World Is Flat: A Brief History of the Twenty-First Century. Picador USA.

Gottlieb, Anthony. 2002. Socrates. Phoenix.

Hadri Shah. 2023. Melayu Maha Mulia. Buku Liar.

Izzuddin Khalis, Wildan Ghazali, and Hamzah Handzalah. 2023. renung. dialetika jalanan Edisi 1.

Kissinger, Henry. 2015. World Order: Reflections on the Character of Nations and the Course of History. Penguin Books.

Masalha, Nur. 2020. Palestine: A Four Thousand Year History. Zed Books.

Qasim Ahmad. 2000. “Kontroversi Pendekatan Europe-Centric-Malaysia-Centric: Suatu Tinjauan Semula.” In Sorotan Terpilih Dalam Sejarah Malaysia: Esei Sumbangsih Kepada Dr. Cheah Boon Kheng, by Mahani Musa and Tan Liok Ee, 23-40. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.

Rustam A. Sani. 2004. Ke Mana Nasionalisme Melayu? Kuala Lumpur: R Publishing Services.

Syed Ahmad Fathi. 2023. “Falsafah Dan Metodologi Argumentasi Socrates.” Jejak Tarbiah.

Syed Ahmad Fathi. 2021. “Hubungan Orang Melayu Dengan Agama Islam Menurut Syed Hussein Alatas.” Academia Book Review.

Syed Ahmad Fathi. 2022. “Kritikan Azmi Arifin Terhadap Buku “Sejarah Rakyat” Tulisan Syed Husin Ali.” The Independent Insight.

Syed Ahmad Fathi. 2023. “Renung: Metodologi Fikir Dalam Pencarian Makna.” The Independent Insight.

Syed Hussein Alatas. 2015. Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah. Dewan Bahasa dan Pustaka.


[1] Henry Kissinger. World Order: Reflections on the Character of Nations and the Course of History. Penguin Publishing Group, 2015.

[2] Qasim Ahmad, ‘Kontroversi Pendekatan Europe-Centric-Malaysia-Centric: Suatu Tinjauan Semula’, dalam Sorotan Terpilih Dalam Sejarah Malaysia: Esei Sumbangsih Kepada Dr. Cheah Boon Kheng, disunting oleh Mahani Musa dan Tan Liok Ee (Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2000), hlm. 23-40.

[3] Nur Masalha. Palestine: A Four Thousand Year History. Zed Books, 2020, hlm. 212-213.

[4] Rustam A. Sani. Ke Mana Nasionalisme Melayu? (Kuala Lumpur: R Publishing Services, 2004).

[5] Ibid., hlm. 1.

[6] Ibid., hlm vii-ix.

[7] Ibid., hlm 15.

[8] Ibid., hlm 3.

[9] Ibid., hlm 20-21.

[10] Ibid., hlm 18-19.

[11] Ibid., hlm 22-23.

[12] Ibid., hlm 131.

[13] Ibid., hlm 33.

[14] Ibid., hlm 51.

[15] Ibid., hlm 29.

[16] Ibid., hlm 30-31.

[17] Ibid., hlm 81.

[18] Cheah Boon Kheng. “The Japanese Occupation of Malaya, 1941-45: Ibrahim Yaacob and the Struggle for Indonesia Raya.” Indonesia, no. 28 (1979), hlm. 88.

[19] Rustam A. Sani. Ke Mana Nasionalisme Melayu?, hlm 34.

[20] Ibid., hlm 5.

[21] Ahmat Adam. “Partai Kebangsaan Melayu Malaya: Sebuah Mimpi Nusantara.” Jebat 28 (2001)., hlm. 66.

[22] Rustam A. Sani. Ke Mana Nasionalisme Melayu?, hlm 38-40.

[23] Ibid., hlm 65.

[24] Ibid., hlm 36-37.

[25] Ibid., hlm 41.

[26] Ibid., hlm 43-44.

[27] Ibid., hlm 46.

[28] Ibid., hlm x.

[29] Rujuk tulisan Thomas L. Friedman bagaimana penglobalan dunia membuka persaingan besar-besaran antara bangsa di dunia. Beliau menyatakan fenomena ini sebagai keadaan dunia yang sudah rata di mana sempadan-sempadan negara tidak lagi dapat membendung persaingan di peringkat global. Rujuk tulisan Thomas Friedman. The World Is Flat: A Brief History of the Twenty-First Century (USA: Picador, 2007).

[30] Rustam A. Sani. Ke Mana Nasionalisme Melayu?, hlm xi.

[31] Ibid., hlm 130.

[32] Ibid., hlm 59.

[33] Ibid., hlm 60.

[34] Ibid., hlm 62.

[35] Ibid., hlm 66.

[36] Ibid., hlm 72-73.

[37] Ibid., hlm 74.

[38] Aspek perenungan ini ada saya bincangkan dengan lebih lanjut dalam penulisan saya perihal zine renung. dialetika jalanan. Perbincangan ini boleh dirujuk dalam kertas penulisan yang bertajuk “Renung: Metodologi Fikir Dalam Pencarian Makna”, The Independent Insight, 2023.

[39] Socrates mempunyai metodologi tersendiri dalam dialog dan berhujah. Beliau biasanya memulakan hujahnya dengan bertanya tentang soalan-soalan bagi mencari makna dan definisi sesuatu perkara yang diperdebatkan. Dalam hal nasionalisme ini, dialog dan diskusi amat penting kerana untuk membentuk kesatuan kebangsaan, ia perlu melibatkan seramai mungkin kumpulan masyarakat. Bagi memahami lebih lanjut metodologi argumentasi Socrates, rujuk buku tulisan Anthony Gottlieb dan juga artikel saya yang bertajuk “Falsafah Dan Metodologi Argumentasi Socrates”. Jejak Tarbiah, 2023.

[40] Rustam A. Sani. Ke Mana Nasionalisme Melayu?, hlm 70-71.

[41] Hadri Shah. Melayu Maha Mulia. Buku Liar, 2023.

[42] Kritikan saya terhadap tulisan Hadri Shah boleh dirujuk di laman web Goodreads yang bertarikh 21 Oktober 2023. Rujuk pautan:

https://www.goodreads.com/review/show/5905791016

[43] Rustam A. Sani. Ke Mana Nasionalisme Melayu?, hlm 67.

[44] Ibid., hlm 68-69.

[45] Ibid., hlm 104.

[46] Ibid., hlm 92-93.

[47] Ibid., hlm 96-97.

[48] Ibid., hlm 128.

[49] Ibid., hlm 101.

[50] Ibid., hlm 102-103.

[51] Rujuk buku tulisan Syed Hussein Alatas. Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur, 2015. Rujuk juga ulasan buku ini dalam tulisan Syed Ahmad Fathi. “Hubungan Orang Melayu Dengan Agama Islam Menurut Syed Hussein Alatas.” Academia Book Review, 2021.

[52] Rustam A. Sani. Ke Mana Nasionalisme Melayu?, hlm 104-105.

[53] Ibid., hlm 117.

[54] Ibid., hlm 128.

[55] Syed Ahmad Fathi. “Kritikan Azmi Arifin Terhadap Buku “Sejarah Rakyat” Tulisan Syed Husin Ali.” The Independent Insight, 2022.

[56] Rustam A. Sani. Ke Mana Nasionalisme Melayu?, hlm 134.

[57] Ibid., hlm 137.

[58] Ibid., hlm 139.

Nasionalisme-Dari-Kebangsaan-Melayu-Kepada-Kebangsaan-MalaysiaDownload
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Reviu Buku Tagged With: History, malay nationalism, Malaysia, sejarah

4,000 Tahun: Sejarah Palestin Dari Lewat Zaman Gangsa Hingga Ke Penjajahan Kolonial Moden

January 14, 2024 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Mosaic map Photo at Greek Orthodox Church of St. George, Madaba, Jordan

Bahan bacaan perihal Palestin merupakan antara bahan bacaan yang sangat menarik minat saya. Seperti yang disebut oleh B. Croce bahawa semua sejarah adalah sejarah kontemporari, sejarah dan isu Palestin sememangnya menepati definisi sejarah Croce.[1] Ia adalah sejarah yang masih hidup. Sementara projek-projek kolonial lain di bumi sudah berakhir, projek kolonial zionis yang mengamalkan dasar rasis dan apartheid masih berterusan hingga ke tahun 2024.[2] Walaupun banyak penulisan yang sudah saya dalami perihal isu ini, penulisan perihal sejarah Palestin oleh Nur Masalha saya kira paling lengkap dan mendalam setakat ini.[3] Ia merupakan satu projek penulisan yang bercita-cita tinggi serta sangat menarik untuk dibaca. Masalha mengkaji bagaimana toponym Palestin dapat dijejaki sejak Zaman Gangsa (Bronze Age) di mana hal ini dapat dilihat melalui inskripsi-inskripsi bahasa purba. Beliau juga menjelaskan bagaimana Palestin dalam sejarahnya selama beribu tahun pernah menjadi entiti politik, administratif, ekonomi, dan keagamaan yang bebas, tersendiri dan merdeka dalam latar jatuh bangun kuasa dan empayar di sekitarnya.

Sorotan Kajian

Saya mula membaca, mengkaji dan menganalisa permasalahan kolonialisma di Palestin bermula dengan buku tulisan Norman G. Finkelstein yang mengkaji bagaimana Persatuan Yahudi di Amerika Syarikat mengeksploitasi peristiwa Holocaust, kemudian menggunakan taktik yang sama seperti Nazi Jerman dalam melakukan pembunuhan dan pembersihan etnik terhadap penduduk Palestin.[1] Selepas itu saya meneruskan pembacaan saya dengan meniliti buku Finkelstein yang mendedahkan bagaimana golongan Zionis menggunakan terma “anti-Semitism” untuk mendiamkan sebarang kritikan terhadap pembunuhan dan jenayah perang yang dilakukan oleh Israel kepada penduduk peribumi Palestin. Beliau juga mendedahkan bagaimana apologis Israel, Alan Dershowitz melakukan penipuan akademik demi mempertahankan jenayah-jenayah kemanusiaan zionis.[2]

Jenayah perang yang dilakukan oleh para kolonialis zionis ini bukanlah satu perkara yang tersembunyi. Ia didokumentasikan dengan terperinci, malah saksi-saksi jenayah perang ini masih hidup hingga ke hari ini. Antaranya adalah Dr. Ang Swee Chai, beliau menjadi saksi bagaimana anak-anak kecil dibunuh dengan kejam di Kem Pelarian Sabra-Shatila apabila Israel menjajah Lubnan pada tahun 1982. Saya membaca buku yang ditulis oleh Dr. Ang perihal kekejaman yang dilakukan dengan linangan air mata.[3] Penghapusan etnik besar-besaran yang dilakukan oleh militia zionis pada tahun 1948 ke atas penduduk peribumi Palestin didokumentasikan oleh ahli sejarah Israel sendiri. Peristiwa ini merupakan permulaan kepada penjajahan zionis di palestin. Buku yang sangat baik dalam subjek ini adalah karangan Ilan Pappe. Bagi Pappe, apa yang berlaku pada tahun 1948 adalah jenayah perang terancang, satu pembersihan etnik yang lahir dari ideologi zionis.[4] Sebagai ahli sejarah beliau telah membentuk semula historiografi jenayah perang ini dan menamakan penjenayah-penjenayah yang terlibat. Bagi Pappe, mereka semua harus dihadapkan ke tribunal untuk mendapatkan keadilan.

Namun jenayah-jenayah Israel ini terus dibiarkan tanpa diberi keadilan kerana ia dilindungi kuasa dunia iaitu Amerika Syarikat. Menurut Noam Chomsky, Israel dilindungi kerana Amerika Syarikat menjadikannya sebagai pengkalan tenteranya di Timur Tengah. Bagi Chomsky, Israel adalah samseng (thug) yang berkhidmat kepada ketua mafia (mafia don) iaitu Amerika Syarikat. Antara jasa Israel kepada Amerika Syarikat adalah menghancurkan gerakan-gerakan nasionalisma Arab agar dominasi Amerika di Timur Tengah terus terpelihara.[5] Israel sering mencanangkan bahawa mereka berjaya membangunkan kawasan padang pasir dan berjaya mewujudkan kuasa ekonomi yang menakjubkan (economic miracle). Walhal, apa yang tidak disebut adalah berbillion-billion dollar bantuan Amerika Syarikat kepada mereka setiap tahun.[6]

Ideologi zionis yang menjadi asas penjajahan Palestin telah dikaji secara terperinci oleh seorang sarjana dari Perancis iaitu Roger Garaudy. Beliau telah menyimpulkan bahawa musuh bagi kemanusiaan bukanlah bangsa Yahudi, agama Judaism, atau zionis yang bersifat spiritual. Tetapi adalah ideologi zionis yang spesifik yang bersifat politik, kolonial, dan rasis. Idea politik zionis yang bersifat kolonial dan rasis ini bukan lahir dari Judaism tetapi adalah produk nasionalisma moden persis apa yang berlaku di Jerman pada tahun 1930-an. Garaudy mewacanakan bagaimana melalui penipuan, perang, dan keganasan, gerakan politik zionis melahirkan sebuah negara apartheid dan juga negara teroris.[7]

Saya merasakan bahawa perjuangan Palestin ini tidak terhad kepada umat Islam sahaja. Kerana sepanjang sejarah Palestin, banyak kerja-kerja perjuangan ini dilakukan juga oleh golongan bukan Islam, terutamanya golongan-golongan beraliran kiri. Perjuangan golongan kiri dalam membebaskan Palestin ini telah saya tulis sebelum ini.[8] Perjuangan membela Palestin dan kaum peribuminya yang sekian lama dibunuh dan dijajah oleh kolonial zionis yang rasis tidak terhad kepada perjuangan yang bersifat fizikal. Hal ini kerana, penjajah zionis bukan sahaja menjajah, tetapi mereka cuba memadam dan memalsukan sejarah dalam usaha memberi legitimasi kepada projek kolonial apartheid mereka. Oleh itu, penulisan sejarah Palestin yang berakar sejak 4,000 tahun dahulu oleh Nur Masalha ini sangat penting untuk kita tekuni. Buku beliau inilah yang akan menjadi kupasan dalam penulisan kali ini.

Pengenalan Kepada Skop Kajian: Perspektif Dari Luar Biblical Orientalism

Setiap bidang kajian memerlukan skop yang spesifik agar ia dapat menjadi kajian yang tersendiri dan bermakna.[9] Masalha dalam analisa sejarahnya menekankan bahawa sejarah yang ditulis perihal Palestin sering dicampur adukkan dengan politik identiti dan juga perspektif nasionalisma dan modernisma. Walhal, sejarah Palestin telah wujud ribuan tahun sebelum datangnya idea nasionalisma moden. Hal ini persis seperti apa yang ditulis Carr perihal perspektif dan bias ahli sejarah. Disebabkan itu, Carr menganjurkan bahawa sebelum kita membaca sesuatu teks sejarah, kita perlulah mengenali siapa penulisnya dan apakah latar zaman penulisan mereka.[10] Oleh itu, bagi Masalha, sejarah Palestin tidak boleh hanya menjadi nota kaki bagi sejarah negara-bangsa Palestin moden atau sejarah konflik Israel-Palestin.[11] Kerana ini semua merupakan latar moden, sementara sejarah Palestin jauh lebih kuno dan purba. Oleh itu skop kajian Masalha perihal sejarah Palestin menggali lebih dalam ke belakang sehingga ke Zaman Gangsa. Namun Masalha tidaklah mengatakan bahawa penulisannya tiada perspektif, perspektif beliau dapat difahami dari kritikan yang dilemparkan kepada ahli sejarah Israel yang sering memperkecilkan kaitan Palestin dengan sejarah kunonya.[12]

Terdapat 3 jenis penulisan sejarah yang dipengaruhi oleh tradisi yang berbeza perihal Palestin pada hari ini:

  1. Penulisan yang mengambil inspirasi geografi dari kitab-kitab suci dan juga penulisan kolonialis dari Israel.
  2. Penulisan “Sejarah Baharu Israel” yang mengabaikan sejarah Palestin sepanjang millenia hanya sebagai tambahan kepada sejarah Israel moden.
  3. Sejarah peribumi dan sarjana yang menulis dengan pengaruh dekolonialisasi. Sejarah rakyat di mana kaum peribumi dapat menyuarakan sendiri sejarah perihal diri mereka.[13]

Menurut Masalha, perkataan “Palestin” berusia lebih dari 3,000 tahun, ia digunakan oleh masyarakat Mesir Purba, Assyria, Yunani Klasik, orang Rom, Kristian Byzantin, dan juga orang Arab di Zaman Pertengahan.[14] Bukti-bukti arkeologi ini menjawab tuduhan bahawa “Palestin” merupakan satu konsep negara bangsa moden seperti yang sering dilemparkan oleh golongan zionis. Malah, ada sebahagian umat Islam sendiri yang mendakwa bahawa terma Palestin ini merupakan sesuatu yang direka oleh British ketika mereka menguasai Palestin. Semua dakwaan ini tidak benar kerana kajian arkeologi dan kajian bahasa-bahasa kuno telah menemui perkataan Palestin yang mempunyai pelbagai variasi.

Pemadaman sejarah Palestin dalam historiografi Barat merupakan produk penulisan orientalis yang menggunakan Bible sebagai asas penulisan mereka. Produksi ilmu dan penulisan dari lapangan orientalisma ini telah dikritik oleh Edward Said yang merupakan tokoh pelopor kajian pasca-kolonial.[15] Bagi Said, orientalisma merupakan cara bagaimana Eropah menguasai Timur dengan menjadi jurucakap kepada golongan yang dikuasai mereka. Orientalisma merupakan alat penguasaan yang digunaka oleh kolonialisma dan imperialisma. Saya sendiri telah menghabiskan masa selama 3 tahun untuk membaca buku Orientalism tulisan Edward Said, di mana saya telah menganalisa dan menotakannya secara terperinci.[16] Untuk memahami keseluruhan pemikiran Edward Said, Masalha mencadangkan pembacaan trilogi kepada tiga buku utama Edward Said termasuklah Covering Islam, Orientalism, dan Question of Palestine.[17] Masalha telah memetik tulisan Keith Whitelam yang menyambung kajian Said. Bagi Whitelam, penulisan orientalis yang memadam sejarah Palestin merupakan sambungan usaha hegemoni mereka. Kesarjanaan Barat mencipta sejarah Israel dalam masa yang sama memadam sejarah kuno Palestin. Maka, jika kita benar-benar mahu memahami sejarah Palestin, kita hendaklah keluar dari kerangka Biblical Orientalism yang telah dibina oleh Barat sejak sekian lama.[18]

Apabila kita keluar dari kerangka Biblical Orientalism, kita akan melihat sejarah yang lebih objektif. Palestin seperti kawasan-kawasan lain pada era kuno merupakan kawasan yang menempatkan masyarakat yang mempercayai banyak tuhan (polytheist). Masalha berpendapat bahawa naratif-naratif yang ada di dalam kitab-kitab suci orang Yahudi tidak semestinya merupakan kisah yang berasal dari sejarah yang sebenar. Sejarah-sejarah kuno sememangnya tidak sama dengan historiografi moden, kebanyakannya bercampur dengan usur tuhan dan dewa-dewi.[19] Ini dapat dilihat dalam pensejarahan orang Sumeria, Yunani Kuno, China Purba, dan Palestin tidak terkecuali. Kisah-kisah mitos ini tidak dibuang oleh generasi seterusnya. Contohnya masyarakat Islam medieval yang datang kemudian mengkagumi kisah dan sastera dari kitab-kitab lama golongan ahli kitab. Mereka kemudian mengadaptasi tradisi klasik ini dan mewujudkan budaya bibliofilia mereka sendiri yang merangkumi usaha menulis semula buku, menterjemah buku, membangun kaligrafi, dan juga mewujudkan perpustakaan.[20] Masalha memetik tulisan-tulisan ahli arkeologi seperti Zeev Herzog yang berpandangan kisah-kisah mitos dalam kitab lama Yahudi tidak berlaku dalam sejarah. Baginya kisah kerajaan David dan Solomon, kisah penghijrahan orang Yahudi dari Mesir, dan juga penaklukan Joshua ke atas Cana’an, semuanya merupakan lagenda dan tidak bersejarah.[21] Walaupun tidak bersejarah, kisah Joshua ini diberi tempat yang istimewa dalam kurikulum persekolahan dan program akademik di Israel, kerana pengasas Israel beranggapan ia merupakan contoh asal dari teks kuno perihal pernah tertegaknya negara Israel. Dalam hal ini, Masalha memetik tulisan Gary M. Burge, tulisan Burge ini akan turut kita perhalusi kerana ia merupakan pandangan Kristian yang wajar difahami perihal isu Palestin ini terutamanya dalam menafsirkan teks Bible.[22]

Menggunakan mitos kuno sebagai sejarah adalah kaedah yang salah, sejarah tidak boleh ditegakkan di atas mitos, namun inilah yang dilakukan oleh penjajah zionis bagi membangunkan ideologi zionis sekular mereka. Masalha memetik pandangan Shlomo Sand tentang bagaimana Bible yang merupakan kitab agama dijadikan sebagai buku perihal sejarah kebangsaan. Idea kebangsaan dan kenegaraan berdasarkan Bible ini juga digunakan dalam membentuk ideologi ketenteraan bagi menyokong penjajahan. Sejarah kuno sebenarnya melibatkan banyak bangsa, oleh sebab itu gerakan zionis terpaksa memilih secara selektif dan membina memori biblical untuk memberikan ideologinya satu akar kebangsaan.[23]

Tradisi biblical scholarship sememangnya bersifat zionis dan bersekongkol dalam usaha memadamkan identiti Palestin, seolah-olah kewujudan 1,400 tahun sejarah orang-orang Islam di bumi Palestin tidak membawa apa-apa makna. Sebaliknya orang-orang Eropah menggunakan arkeologi “saintifik” untuk membuktikan bahawa Yahudi Eropah sebenarnya berasal dari Palestin. Para rabbi dan penyelidik universiti diberikan tugas suci untuk menggunakan biblical archeology bagi memberikan ideologi zionis nasionalis hujah-hujah sejarah. Hakikatnya, orang-orang Palestin merupakan keturunan pelbagai bangsa, termasuklah Canaanites, Philistines, Hebrews, Samaritans, Hellenic Greek, Roman, Arab Nabatean, orang Eropah dari perang Salib, orang Turki, dan bangsa-bangsa lain. Penguasaan orang Islam pada abad ke-7 menjadikan bangsa-bangsa yang bercampur ini menjadi orang-orang Arab, dan secara bersama, mereka telah mencorak kebudayaan Arab-Islam selama 1,400 tahun.[24]

Sejarah, seperti cabang sains yang lain, memerlukan bukti dan fakta untuk berdiri. Masalha menerangkan dalam pengenalannya bahawa beliau ingin mengubah pandangan umum yang tidak berasaskan fakta kononnya Palestin dalam sejarahnya tidak pernah memerintah dengan merdeka, tidak mempunyai struktur politik dan ekonomi, bahkan dikatakan tidak pernah menjadi negara yang berdaulat. Ini semua bagi Masalha hanyalah pandangan yang tidak berasas. Kajian Masalha menunjukkan bahawa lebih dari 3 millenia, sejak Zaman Gangsa hinggalah berlaku projek kolonialisma Zionis pada tahun 1948, Palestin menyaksikan jatuh bangun autonomi sosial, politik, dan ekonomi. Malah ia juga dalam sejarahnya pernah menjadi sebuah negara.[25]

Antara aspek penting kajian Masalha adalah permasalahan toponym.[26] Hal ini penting bagi menghubungkan konsep Palestin yang moden dengan akar kunonya. Selain itu, nama tempat bukanlah berfungsi hanya sebagai rujukan lokasi, ia juga menggambarkan hubungan kekuasaan, perebutan tanah dan sumber, juga identiti masyarakat setempat. Malah, toponym digunakan pada zaman moden untuk sesebuah negara menuntut sesebuah kawasan. Toponym Palestin bukanlah berasal dari satu bahasa sahaja, ia diambil dari pelbagai bahasa termasuklah Phoenician, Philistine, Aramaic, Yunani, Ibrani, dan bahasa Arab. Walaupun asal kata nama Palestin itu bermula dari Zaman Gangsa, menurut Masalha, konsep Palestin itu datang kemudian. Konsep ini meliputi kartografi, nama tempat, dan juga memori sosial. Menurutnya konsep ini dapat dilihat melalui Herodotus di dalam tulisannya Histories. Herodotus merupakan ahli sejarah pertama yang menandakan sebuah batasan geografi sebagai Palaistinê. Walaupun historiografi Barat menggunakan hasil kerja Herodotus sebagai asas, ironinya, apabila sampai kepada permasalahan toponym Palestin, sarjana Barat tidak menggunakan bahan sejarah seperti tulisan Herodotus yang mereka gelar sebagai “Bapa Sejarah” itu, tetapi mereka bergantung kepada mitos-mitos di dalam Bible. Berbeza dengan kelakuan Barat ini, menurut Masalha, orang-orang Arab memelihara warisan toponym dari Yunani dan mengadaptasikannya ke dalam penulisan mereka.[27] Namun sebenarnya ironi dan sifat selektif historiografi Barat ini tidaklah begitu pelik, kerana dalam kajian saya sendiri, saya mendapati pensejarahan tamadun Barat itu memang bersifat paradoksikal.[28]

Kajian Masalha menunjukkan bagaimana memori-memori yang berasaskan naratif Bible digunakan sebagai asas untuk projek toponym zionis bagi memadamkan sejarah Palestin.[29] Projek ini menjadi senjata zionis bagi memisahkan Palestin dari sejarah negaranya. Oleh itu, melalui penulisannya, Masalha ingin membawakan paradigma sejarah yang tidak terikat dengan Bible. Walaupun beliau sedar bahawa sejarah boleh dijadikan sebagai alat untuk memberi legitimasi politik, namun untuk menggunakan konsep moden negara-bangsa ke atas jalur sejarah yang panjang dan kuno, ia tidak dapat memberikan sesuatu yang bermakna. Bagi beliau, sejarah Palestin hanya bermakna apabila ia dipisahkan dari cerita-cerita yang terkandung di dalam Bible, bagi beliau, sejarah yang bebas ini adalah sejarah yang lebih bermakna.[30]

Sejarah Palestin Purba Dari Tinggalan Arkeologi: Toponym dan Philisto-Arabian Coins

Jika ditelusuri tinggalan-tinggalan arkeologi, nama purba bagi Palestin bukanlah Cana’an seperti yang tertulis dalam kitab Perjanjian Lama orang Yahudi, tetapi Retenu dan Djahi. Hal ini dapat dilihat dari kisah Sinuhe Mesir Purba yang berusia 14 kurun Sebelum Masehi (SM).[31] Toponym Palestin dapat ditelusuri dari 5 inskripsi semasa zaman pemerintahan Ramesses II dan Ramesses III, ia berasal dari nama “Peleset” yang merujuk kepada penempatan pelayar di selatan Palestin pada kurun ke-12 SM. Sumber-sumber dari inskripsi Assyria pula merujuk kepada kawasan selatan ini sebagai “Palashtu” atau “Pilistu”.[32]

Bagi mengelakkan kekeliruan, Masalha telah membawakan pendapat Niels Peter Lamche yang menyatakan bahawa terma “Israelites” dan “Canaanites” mestilah difahami sebagai terma ideologikal bagi memisahkan orang Yahudi dan bukan-Yahudi. Ia bukanlah satu terma sejarah yang merujuk kepada satu etnik tertentu. Malah orang yang disebut sebagai “Canaanites” sendiri tidak tahu bahawa mereka adalah Canaanites.[33] Pada lewat Zaman Gangsa, ketika pemerintahan Ramesses II dan Ramesses III yang cuba untuk mengawal Philistines, ketika inilah toponym Palestin pertama kalinya muncul, ia diambil dari kata asal “Peleset”. Apabila masyarakat Philistines mula berintegrasi dengan populasi lain, kita melihat bagaimana Peleset mengambil alih terma Djahi dan menjadi toponym yang dominan bagi merujuk kepada batasan geografi Palestin. Selepas Zaman Gangsa, nama-nama lain seperti Djahi, Retenu, dan Cana’an semuanya diambil alih oleh nama Palestin. Perkara ini dapat dilihat dari sumber Assyria yang dirakamkan pada tablet tanah liat dalam tulisan Cuneiform, ia ditulis dalam pelbagai variasi seperti Palashtu, Piliste, dan Philistia yang membawa maksud tanah orang-orang Peleset.[34]

Dalam rekod purba Assyria, Palestin ditulis dengan pelbagai variasi nama termasuklah pi-lis-te, pilistu, palashtu, pa-la-as-ta-a-a, pilishti, dan pilistin. Mereka merupakan bangsa sebagai mana bangsa yang lain. Namun dalam Kitab Perjanjian Lama (Old Testament), mereka digambarkan sebagai satu bangsa yang jahat. Gambaran ini berkekalan ke zaman moden dan menjadi memori kolektif buat pengganas zionis yang menyamakan bangsa Philistines kuno dengan bangsa Arab Palestin moden. Dari gambaran mitos Kitab Perjanjian Lama ini, pengganas zionis moden telah melakukan pembunuhan dan pembersihan etnik di Palestin pada tahun 1948.[35]

Walaupun direkod sebagai bangsa yang jahat dalam kitab mitos orang Yahudi, Philistia terus membangun maju pada Zaman Besi (1,200-600 SM). Mereka mula menerbitkan matawang sendiri sekitar kurun ke-6 dan ke-5 SM. Hasil eskavasi juga membuktikan bahawa masyarakan mereka sudah mempunyai tamadun yang tinggi. Aktiviti perdagangan antarabangsa telah melahirkan matawang Philistia yang dikenali sebagai “Philisto-Arabian coin” sekitar 528-332 SM.[36]

Sejarah Toponym Jerusalem

Semasa pemerintahan Emperor Hadrian (117-138 Masehi), nama kota Jerusalem telah diubah kepada Aelia Capitolina. “Aelia” diambil sempena nama Hadrian sendiri, iaitu dari nama kedua beliau di mana nama penuhnya adalah Publius Aelius Hadrianus Augustus. Manakala “Capitolinus” merujuk kepada tuhan orang Roman, Jupiter Capitolinus. Apabila orang Arab menawan kota ini sekitar tahun 638 Masehi, bahagian pertama nama ini dipelihara dan kota ini disebut sebagai “Iliya” dan toponym “Jerusalem” mula pupus. Sekitar seratus tahun selepas itu, ketika zaman pemerintahan dinasti Fatimid, kota ini disebut sebagai “al-Bayt al-Muqaddas” yang bermaksud kota suci. Ia juga disebut dengan nama yang lebih pendek iaitu “al-Quds”.[37]

Penaklukan Jerusalem oleh orang Arab pada kurun ke-7 menyaksikan mereka terus menggunakan nama Iliya yang berasal dari nama yang lebih panjang iaitu Aelia Capitolina. Malah orang-orang Arab telah menerbitkan matawang syiling menggunakan stail Byzantine tetapi menggunakan nama Iliya Filastin. Maqdisi yang menulis perihal sejarah pada kurun ke-10 juga masih menggunakan nama Ilya dalam penulisannya. Toponym “Al-Quds” hanya digunakan dengan lebih meluas selepas kurun ke-11, dan nama baru ini kemudian menggantikan nama-nama lama sebelumnya.[38]

Palestin Dalam Sejarah Dunia Klasik

Zaman klasik merupakan zaman yang kaya dengan penghasilan ilmu, kebudayaan, falsafah, dan seni. Tinggalan-tinggalan yang berharga ini tidak semuanya terpelihara hingga ke zaman moden. Sebahagiannya hancur dimamah zaman, manakala sebahagian yang lain dimusnahkan dengan sengaja.[39] Contoh pemusnahan dan penghancuran tinggalan zaman klasik ini dapat dilihat ketika muncul dan bertapaknya agama Kristian. Agama Kristian yang tidak dapat bertoleransi dengan idea-idea pagan menyaksikan banyak penulisan dan hasil seni dimusnahkan dan hilang selama-lamanya.[40]

Namun masih ada rekod perihal Palestin dari Zaman Klasik yang sampai ke zaman moden. Menurut Masalha, Zaman Klasik yang mendapat pengaruh kuat dari kebudayaan Yunani dari 500-135 SM menyaksikan rekod-rekod perihal Palestin terpelihara. Malah tokoh-tokoh besar pada zaman ini seperti Herodotus, Ptolemy dan Aristotle telah menulis perihal Palestin. Herodotus misalnya dianggap sebagai Bapa Sejarah. Beliau hidup pada kurun ke-5 SM dan sezaman dengan Socrates. Dari penulisan Herodotus kita melihat toponym Palestin ditulis dalam versi Yunani sebagai “Palaistinê” dan “Phalastin” yang merujuk kepada batasan geografi di Levant antara Phoenicia (kini Lubnan) dan Mesir. Malah Herodotus telah mengembara dan menziarahi Palestin sendiri bagi mendapatkan maklumat secara primer. Penulisan sejarah Herodotos berbeza dengan penulisan Old Testament, beliau tidak memasukkan unsur-unsur mitos, sebaliknya mengutamakan hujah logik berasaskan bukti. Beliau juga mencatatkan perihal orang Arab yang menduduki pelabuhan di selatan Palestin. Sarjana berpandangan, orang Palestin yang ditulis oleh Herodotus ini bukanlah terdiri dari satu etnik, tetapi merangkumi pelbagai etnik seperti Phoenicia, Philistines, Arab, dan orang Mesir.[41]

Herodotus dalam penulisannya tidak menyebut apa-apa berkenaan Judea, orang Yahudi, Cana’an atau orang-orang Israel dalam perjalanannya di Palestin. Jika kita meneliti tulisan Aristotle pula, beliau juga menulis perihal Palestin tanpa menyebut Can’an. Hal ini kerana mereka menulis perihal sejarah yang benar-benar berlaku ketika itu dan mereka tidak terdedah dengan naratif mitos dalam Old Testament. Dalam tulisan Aristotle bertajuk Meteorology, beliau menerangkan dengan terperinci perihal Laut Mati dan bagaimana manusia terapung apabila berada di laut ini.[42] Palestin juga digambarkan sebagai negara yang tersendiri dalam peta dunia yang terkenal di dunia Yunani ketika itu yang boleh didapati dalam karya Geography tulisan Ptolemy, beliau membezakan Palestin dengan Syria-Coele dan Phenecia sebagai 3 negara berbeza.[43]

Philistia Menjadi Sebahagian Daerah Administratif Rom

Antara 135-390 Masehi, ketika pemerintahan Rom, Palestin menjadi sebahagian daerah di dalam Empayar Rom. Toponym “Palestine” pada ketika ini mula popular dalam bahasa dan penulisan Latin dan Yunani.[44] Nama Daerah “Syria Palaestina” diberikan pada tahun 139 Masehi, ini dibuktikan dengan penemuan tablet gangsa di Nazareth yang dibuat oleh tentera Rom. Daerah baharu ini berbeza dengan daerah Rom Syria, ia juga adalah daerah yang berbeza dari Syria-Coele dan Phoenicia Rom. Penguasa Rom pada ketika itu, Raja Hadrian mewujudkan daerah ini atas faktor-faktor politik dan ketenteraan dan tiada kena mengena dengan naratif mitos Bible. Hadrian juga telah menggabungkan Palestin dengan kawasan selatan Syria.

Perubahan Philistia kepada Palaestina tidaklah menghairankan kerana ia telah wujud dalam sastera Rom sejak tahun pertama Masehi. Ini dapat dilihat dari puisi tulisan Ovid yang banyak membangkitkan Palaestina dan Palaestino di dalam puisi-puisi epiknya. Selain Ovid, Palaestina juga dapat dijumpai dalam penulisan penulis Rom lain seperti Dio Chrysostom dan Publius Papinius.[45] Penggunaan nama daerah baharu ini bukan sahaja terkenal dalam kalangan penulis-penulis elit Rom sahaja, penggunaannya juga merebak kepada apologis Kristian di palestin pada ketika itu yang lebih radikal dan subversif. Contohnya adalah Justine the Martyr dan Origen.[46] Bermula dari pemerintahan Emperor Vespasian nama daerah “Syria Palaestina” mula diambil alih oleh terma yang lebih ringkas iaitu “Palaestina”. Perubahan terminologi ini dapat dilihat dalam penulisan-penulisan orang Rom seperti Strabo, Pliny (the Elder), dan Pomponius Mela. Juga dalam penulisan penulis Yahudi klasik seperti Josephus dan Philo.[47] Mela sebagai contoh menulis bahawa Judaea merupakan wilayah kecil dalam negara Palaestina, beliau juga menulis tentang orang-orang Arab Palestin pada tahun 43 Masehi.[48]

Konsep Palestin sebagai sebuah daerah dan batas geografi juga dapat ditelusuri dari penulisan orang Yahudi pada Zaman Klasik seperti Josephus dan Philo of Alexandria. Josephus dan Philo menggunakan terma Palestin bagi merujuk kepada kawasan Palestin yang lebih luas, dari kawasan Lubnan moden hinggalah ke Mesir. Hendaklah difahami bahawa Daerah Administratif Rom iaitu “Provencia Palaestina” tidak menggantikan Judea, sebaliknya Judea adalah kawasan yang termasuk dalam Provencia Palaestina. Josephus dalam penulisannya menganggap Herodotus sebagai pengasas kepada historiografi, beliau mengiktiraf penulisan Herodotus perihal Palestin pada abad ke-5 sebelum Masehi dan membezakan Palestin dan Syria. Malah Josephus menggunakan bahan-bahan sejarah dari penulisan Herodotus untuk membetulkan Bible.[49]

Palaestina Sebagai Daerah Administratif Byzantine

Kemunculan kerajaan Kristian Byzantine menyaksikan banyak perubahan berlaku di Palestin, ia dibangunkan dan menjadi kawasan urban. Perubahan ini dapat dilihat dari aspek sosial, agama, ekonomi, dan arkitektural terutamanya dari abad ke-4 hingga awal abad ke-7 Masehi.[50] Kerajaan Kristian Byzantine dalam menyusun semula daerah administratifnya telah memecahkan daerah Syria Palaestina Rom, ia dipecahkan kepada 3 bahagian iaitu Palaestina Prima, Palaestina Secunda, dan Palaestina Salutaris.[51] Ibu negeri bagi Palestin semasa pemerintahan Byzantine adalah kota metropolitan yang terletak di pesisir pantai iaitu Caesarea-Palaestina. Ia diduduki oleh pelbagai bangsa termasuklah bangsa yang bertutur dalam bahasa Yunani dan Aramaic, minoriti Samaritans, Arab Kristian, kaum Ghassanids, orang Yahudi, dan Arab Nabataean.[52]

Konsep Palestin sebagai sebuah negara pada era Byzantine misalnya dapat dilihat dalam tulisan De Martyribus Palaestina oleh Eusebius of Caesarea.[53] Selain dari tulisan ini Eusebius juga terkenal sebagai seorang penulis yang produktif di zamannya, antara sumbangan penulisan beliau yang terbesar adalah sejarah awal Kristian dalam bukunya Historia Ecclesiastica.[54]

Pada tahun 1884, Madaba Mosaic Map telah ditemui. Peta ini menunjukkan kehebatan Palestin sebagai sebuah kawasan urban dengan Aelia Capitolina sebagai pusat pemerintahan. Penemuan ini sangat signifikan dalam mengkaji sejarah Byzantine di Palestin. Di dalam peta ini juga tidak dinyatakan tempat yang dinamakan sebagai Cana’an atau tanah Israel.[55]

Palestin di Bawah Arab Kristian

Menurut Masalha, sangat jarang sejarah awal Kristian ditulis dari sudut pandang penduduk Kristian Arab tempatan yang bertutur dalam bahasa Aramaic. Atau dari sudut pandang Kristian Arab Ghassanid yang berhafaman monophysite dan anti-chalcedon yang menduduki Palestin. Sekitar kurun ke-4 hingga ke-6 Masehi, Palestin mengalami proses Arabisasi. Proses ini bermula perlahan-lahan dengan penyebaran agama Kristian di sekitarnya. Kumpulan Arab Ghassanid merupakan kumpulan Arab terbesar di Palestin pada ketika itu. Pada kurun ke-7, ramai kaum Ghassanid yang memeluk Islam, tetapi majoriti mereka kekal beragama Kristian.[56]

Semasa zaman pemerintahan Byzantine di Palestin, kaum Kristian Arab Ghassanid mengekalkan kekuasaan mereka sebagai supreme phylarchs (raja) sehinggalah kerajaan Byzantine runtuh apabila dikalahkan oleh tentera Arab Muslim pada Peperangan Yarmuk pada tahun 636 Masehi.[57]

Budaya Sastera Arab

Masyarakat Arab pagan kebanyakannya buta huruf. Namun mereka mempunyai budaya sastera yang kaya melalui tradisi oral termasuklah penceritaan, puisi dan epik. Mereka mempunyai budaya di mana pertandingan puisi akan diadakan di kawasan pasar yang bermusim. Di sini pemuisi akan memainkan peranan sebagai pensejarah oral, tukang cerita, pengkritik sosial, intelektual awam, penilik nasib, dan juga propagandis politik.

Budaya sastera oral ini kemudian berubah kepada sastera penulisan apabila ia dipengaruhi oleh pengaruh Kristian Yunani. Ia juga dipengaruhi oleh penyebaran Islam di mana Islam sangat menghargai mereka yang mempunyai buku (ahli kitab). Antara ahli sastera Arab penting yang dianggap sebagai genius adalah Al-Nabighah Adh-Dhubyani. Beliau sangat terkenal sebelum kedatangan Islam dan banyak menghabiskan masanya di dalam lingkungan raja-raja Ghassanid di Palestin.[58]

Penerusan Sejarah Palestin di Bawah Islam

Kita telah meninjau bagaimana Palestin menerima pelbagai pengaruh dan budaya. Bermula dari Zaman Gangsa hinggalah kepada kemasukan pengaruh-pengaruh seperti Yunani, Byzantine, dan juga Rom. Semua pengaruh ini mempunyai peranan dalam mencorak sejarah Palestin. Dari pengaruh-pengaruh ini, dapat kita fahami bahawa sejak dari awal, sejarah Palestin itu tidaklah bersifat mono-kultural, sebaliknya ia mempunyai pelbagai lapisan yang diwarnai oleh pelbagai pengaruh sepanjang sejarahnya. Bermula pada tahun 638, Palestin mendapat lapisan sejarah yang baharu apabila ia menjadi Filastin di bawah pemerintahan Islam.[59] Penguasaan orang Arab Islam di Palestin bermula selepas Perang Yarmuk pada tahun 636 Masehi dan kesannya berterusan selama 1,400 tahun hinggalah ke hari ini.[60]

Semasa pemerintahan Umayyah, bahasa Arab telah dijadikan bahasa rasmi. Revolusi penggunaan bahasa Arab sebagai lingua franca dari Sepanyol hingga ke Asia Tengah juga merupakan perkara yang penting dalam perluasan perdagangan global orang Islam. Peng-Arab-an Palestin menyaksikan satu lagi lapisan baru wujud dalam identiti Palestin yang sudah sedia kompleks. Ia juga dapat diterima dan disebarkan dengan mudah kerana kaum Kristian Palestin bertutur dalam bahasa Aramaic yang juga merupakan bangsa semitik yang dekat dengan bahasa Arab. Perubahan ini berlaku secara gradual, dari satu agama monotheis kepada agama monotheis yang lain, dari satu bahasa semitik ke bahasa semitik yang lain, perubahannya tidak traumatik seperti perubahan masyarakat dari budaya pagan kepada satu agama monotheis baharu.[61]

Dalam penguasaan Islam, Palestin menjadi sebuah daerah yang dipanggil “Jund Filastin”. Dari sudut geografi, daerah ini bermula dari dataran subur Marj Ibn ‘Amer di utara hinggalah ke al-‘Arish di Sinai dan bandar Aylah-Filastin di Laut Merah. Pemerintahan Umayyah telah menyambung proses urbanisasi yang sebelum ini dilakukan oleh Byzantine dan Rom, mereka menghormati budaya, warisan dan juga kepelbagaian agama. Malah tradisi pentadbiran dan arkitektural Byzantine turut dikekalkan. Di Jerusalem, pemerintahan Umayyah meneruskan pelbagai pembinaan seperti Kubah al-Sakhrah (tahun 691) dan Masjid Al-Aqsa (tahun 705) yang mana binaan ini masih wujud hingga ke hari ini. Namun terdapat juga pembaharuan yang dilakukan oleh pemerintahan Umayyah yang berbeza dengan Byzantine, contohnya penubuhan ibu negeri baharu iaitu al-Ramla. Walaubagaimanapun, al-Ramla tidak dapat menandingi Jerusalem yang mempunyai sejarah yang lebih kaya.[62]

Salah satu petanda bahawa sebuah kawasan itu telah mencapai pembangunan ekonomi dan juga mempunyai autonomi di bawah sebuah empayar adalah kebolehannya mengeluarkan matawang sendiri. Kita sudah melihat bagaimana sejak sebelum zaman klasik, kawasan di Palestin sudah menggunakan matawang Philistia atau apa yang disebut sebagai Philisto-Arabian Coins. Pada abad pertama Masehi, pemerintahan Rom hanya membenarkan bandar-bandar di Palestin mengeluarkan matawang gangsa dan tembaga. Contohnya, nama Raja Rom Antoninus dilihat pada matawang gangsa yang dikeluarkan di Gaza. Hal ini berterusan di zaman Byzantine. Pada masa pemerintahan Islam, matawang yang dikeluarkan mengalami perubahan dari segi material, perkataan, rekaan, dan juga simbol. Perubahan ini dapat dilihat dari revolusi matawang yang diperkenalkan oleh Khalifah Abdul Malik ibn Marwan.[63]

Bagi Masalha, kajian perihal sejarah Palestin perlu mengambil kira perkembangan seperti ini. Iaitu penekanan terhadap pembangunan setempat. Menelusuri pembangunan ekonomi yang berlaku seperti pengenalan bentuk matawang dan juga perkembangan sistem timbangan dan pengiraan setempat. Sejarah seperti ini lebih bermakna dari melihat semuanya dari sudut kronologi khalifah dan para sultan.[64]

Palestin Dalam Peta Dunia

Pada tahun 1154, Palestin telah dimasukkan ke dalam peta oleh kartografer Arab yang terkenal di Andalusia iaitu Muhammad al-Idrisi dalam bukunya Nuzhat al-Mushtaq fi’khtiraq al-Afaq.[65] Al-Idrisi hidup di zaman kegemilangan di Sepanyol yang disebut sebagai convivencia.[66] Zaman ini merupakan zaman di mana keilmuan berkembang hasil toleransi kaum Muslim, Kristian, dan Yahudi, ia berakhir dengan jatuhnya Dinasti Nasrid terakhir di Sepanyol di bawah Boabdil.[67] Selepas peta yang dihasilkan Al-Idrisi, Palestin juga dapat dilihat dalam peta yang dihasilkan oleh Marino Sanudo. Peta Al-Idrisi dianggap peta yang paling lengkap dan unggul di zamannya, ia hanya digantikan dengan peta yang lebih lengkap oleh Fra Mauro pada pertengahan abad ke-15. Mauro meletakkan Palestin di dalam petanya atas sebab-sebab agama dan politik, ia dihasilkan untuk Raja Alfonso V bagi keperluan Empayar Portugis.[68] Pada tahun 1480, peta Palestina Moderna et Terra Sancta diterbitkan di Florence. Peta ini diterbitkan berdasarkan peta Palestin yang dihasilkan oleh Pietro Vesconte dan Marino Sanudo.[69]

Palestin Menuju Nasionalisme Moden

Masalha mengkritik perspektif sejarah kolonial dan imperial yang sering menekankan penguasaan penjajahan luar seperti Assyria, Parsi, Yunani, Rom, Uthmaniah, dan British. Perspektif dan penekanan ini sering mengabaikan perspektif dan pandangan masyarakat peribumi di Palestin.[70] Masalha membahaskan bagaimana nasionalisme itu mempunyai dua lapisan. Satu berbentuk qawmiyyah, iaitu nasionalisme yang berdasarkan bangsa, etnik, atau kaum. Lapisan yang kedua adalah wataniyyah, iaitu nasionalisme berdasarkan sempadan geografi sesebuah negara. Menurut beliau, dua lapisan inilah yang membentuk dawlah-qutriyyah (nation-state). Dua lapisan ini menurut Masalha sudah wujud di Palestin pada abad ke-18 dalam Kerajaan Emiriah yang diasaskan oleh Dhaher al-‘Umar.[71]

Terdapat dakwaan yang mengatakan nasionalime di Palestin merupakan ciptaan baharu, orang Arab sudah tidak lagi melihat Palestin sebagai sebuah negara. Idea negara itu hanya muncul semula selepas berlakunya pertembungan dengan Eropah moden. Masalha menolak hujah ini kerana menurutnya terma “Filastin” yang merujuk kepada sebuah negara (biladuna) dapat ditelusuri dalam pelbagai bentuk penulisan dari abad ke-15 hinggalah abad ke-17 Masehi. Contohnya melalui penulisan Khair al-Din al-Ramli, Mujir al-Din al-‘Ulaymi dan lain-lain.[72]

Revolusi percetakan di Eropah telah memastikan terma Palaestina dalam bahasa Latin dan juga Palestine dalam bahasa Inggeris tersebar ke seluruh Eropah semasa zaman pencerahan. Penyebaran ini memastikan terma ini menjadi terma yang sering digunakan sejak dari permulaan zaman moden. Contohnya, Palestine ada disebut dalam karya William Shakespeare.[73] Pembentukan awal negara bangsa oleh Dhaher al-‘Umar al-Zaydani merupakan hasil dari memori sosial perihal Kerajaan Safad yang pernah terbentuk di bawah pemerintahan Mamluk, Dhaher al-‘Umar berjaya mengumpulkan tentera moden dan mengalahkan kerajaan Uthmaniyah seterusnya membentuk satu kerajaan yang berdaulat yang merangkumi hampir keseluruhan Palestin moden.[74]

Menurut Masalha, dengan menggunakan pendekatan sejarah dari dalam, kita dapat memahami kebangkitan Dhaher al-‘Umar sebagai satu perkembangan moden. Bagi beliau, Dhaher al-‘Umar boleh dikatakan sebagai bapa pengasas (founding father) kepada permulaan Palestin moden dan juga pembaharuan sosial. Beliau juga boleh dianggap sebagai figura penting Palestin di awal zaman moden yang membawa Palestin menjadi sebuah kerajaan yang signifikan di Mediterranean.[75] Bagi Masalha, kerajaan Palestin di bawah Dhaher al-‘Umar merupakan model terdekat Palestin yang pernah wujud sebagai sebuah negara merdeka yang moden.[76]

Menuju tahun 1948, dengan penyebaran pendidikan dan juga literasi, masyarakat Palestin mula kelihatan seperti masyarakat moden yang lain. Kesedaran terhadap budaya dan juga pendidikan melahirkan satu bentuk proto-nasionalisme pada akhir pemerintahan Uthmaniyah di Palestin.[77] Dari sini kita melihat kesedaran nasionalisme bangsa Palestin tidak muncul secara tiba-tiba, tetapi ia mengalami proses yang panjang hinggalah ia membentuk kesedaran moden seperti yang dilihat pada hari ini.[78]

Nasionalisme Arab moden terbahagi kepada dua lapisan yang berkait rapat antara satu sama lain. Pertama adalah nasionalisme wataniyyah yang berbentuk nasionalisme berdasarkan batas-batas wilayah geografi. Manakala lapisan kedua adalah nasionalisme qawmiyyah yang berdasarkan kaum atau bangsa. Kedua-dua lapisan ini mengesani bentuk nasionalisme Palestin, lapisan wataniyyah membawa kepada pemikiran pembentukan negara dalam batas geografi tradisi Palestin manakala nasionalisme qawmiyyah membawa idea Pan-Arabisme.[79] Masalha bagaimana pun mengkritik konsep Surriyah al-Janubiyyah (Syria Selatan) yang lahir dari jalur nasionalisme Syria kerana ia menafikan kewujudan bangsa Palestin.[80]

Palestin Moden & Penjajahan Kolonial Zionis

Bermula pada tahun 1948, Palestin telah dijajah oleh kuasa baharu iaitu pengganas zionis yang bergerak menggunakan beberapa kumpulan militia seperti Irgun dan Haganah. Pengganas ini telah melakukan jenayah besar-besaran dengan pembunuhan, pembersihan etnik, dan juga menghalau penduduk peribumi Palestin dari bumi mereka dalam peristiwa yang digelar sebagai “Nakbah”. Di atas jenayah ini, negara Israel ditubuhkan.

Antara usaha yang dilakukan Israel untuk mengukuhkan penjajahannya adalah dengan melakukan proses nyah-Arab (de-Arabisation) dengan menukar nama-nama tempat di Palestin. Dalam usaha ini, mereka menggunakan penulisan yang dihasilkan oleh Palestine Exploration Fund (PEF) yang menjejaki nama tempat berdasarkan kitab Bible. PEF diasaskan pada tahun 1865 oleh cendiakawan-cendiakawan yang mengkaji Bible, golongan tentera, dan juga golongan inteligensia. Usaha-usaha untuk melakukan pemetaan pada zaman pemerintahan British juga dilakukan oleh British Royal Engineering Corp yang membantu kepada perkembangan gerakan zionis yahudi.[81]

Pada Disember 1917, British telah menduduki Jerusalem, Liga Bangsa-Bangsa Bersatu secara formal telah memberi mandat kepada British pada 1922 untuk mentadbir Palestin.[82] Penentangan masyarakat kebangsaan Palestin kepada zionisme mula berputik apabila meningkatnya aktiviti pendatang zionis di Palestin pada tahun-tahun sebelum Perang Dunia Pertama.[83] Antara tanda yang dapat dilihat adalah kemunculan akhbar Falastin yang bermula sejak 1911, akhbar ini merupakan akhbar yang sangat berpengaruh dan tersebar luas apabila British menduduki Palestin. Akhbar Falastin menjadi suara keras yang mencabar dua penjajahan asing iaitu imperialisme British dan juga kolonialisme zionis.[84]

Semasa pemerintahan Uthmaniyah, gerakan nasionalisme Palestin berjuang untuk autonomi dan juga hak sama rata sebagai warga dalam kerajaan Uthmaniyah, namun fokus nasionalisme Palestin berubah dengan kedatangan zionis, ia menjadi perjuangan kebangsaan menentang pendudukan kolonial zionis. Penjajahan zionis ini telah bermula sejak dari kedatangan British pada tahun 1917-1918, perjuangan kebangsaan Palestin pada peringkat ini juga mengalami dilema perihal bentuk negara yang ingin dicapai, sama ada membentuk Palestin di atas garisan geografi asal atau bergabung dalam gerakan Pan-Arab.[85] Dilema seperti ini sebenarnya bukan unik di Palestin, orang Melayu juga pernah menghadapi dilema yang sama, sama ada ingin merdeka sendiri sebagai Tanah Melayu, atau bersama dalam rumpun yang lebih besar yang digelar sebagai projek Melayu Raya. Antara gerakan politik Pan-Arab di Palestin pada  awal 1930-an adalah Parti Istiqlal yang mahukan Palestin merdeka melalui penyatuan orang-orang Arab dalam kerangka Pan-Arabism. Gerakan ini menentang dua perkara, iaitu tuntutan zionis ke atas Palestin dan juga pentadbiran kolonial British di Palestin.[86]

Selepas Nakbah pada tahun 1948, antara gerakan kebangsaan Palestin yang muncul bagi menentang penjajahan zionis adalan Palestine Liberation Organization (PLO). Menurut Masalha, gerakan ini bersifat revolusionari, namun sifat ini perlahan-lahan terhakis terutamanya selepas pengunduran mereka dari Lubnan pada tahun 1982. PLO juga semakin dilihat tidak efektif dalam memperjuangkan kemerdekaan Palestin apabila ia menandatangani Perjanjian Oslo 1993 dan menubuhkan Palestinian National Authority pada tahun 1994. Walaupun gerakannya sudah berhenti dari menjadi gerakan revolusionari, namun legasi politik revolusionari mereka masih dipandang hebat dalam kalangan masyarakat dunia sehingga hari ini.[87]

Penjajahan Palestin oleh zionis menurut Masalha tidak dapat dipisahkan dari akarnya iaitu kolonialisme Eropah. Zionisma merupakan bentuk kolonial dengan akar yang sama, yang mengabaikan kewujudan masyarakat peribumi dan menindas mereka. Bagi golongan kolonial Eropah seperti Britain, kawasan-kawasan dunia adalah terra nullius, kawasan kosong yang tidak dimiliki oleh sesiapa. Oleh itu ia layak dijajah dan diduduki.[88] Chaim Weizmann, presiden pertama Israel menyatakan bahawa British menyatakan kepada kaum zionis terdapat beberapa ratus ribu niggers (kushim dalam bahasa Hebrew) di Palestin yang tidak mempunyai apa-apa nilai.[89] Ini bermakna, British dan zionis, kedua-duanya memandang populasi peribumi sebagai sesuatu yang tidak penting dan boleh dibuat apa sahaja kepada mereka.

Penjajahan zionis di Palestin berkait rapat dengan penjajahan British di Palestin. Ini dapat dilihat dari deklarasi Balfour yang menjanjikan Palestin kepada golongan zionis tanpa persetujuan masyarakat peribumi Palestin. Balfour memberikan Palestin kepada zionis kerana sifat judeophobia dalam dirinya, beliau tidak mahu orang Yahudi dari Eropah Timur masuk ke Britain, sebelum itu beliau telah meluluskan Alien Act 1905 yang menyekat kemasukan orang Yahudi ke Britain. Sikap Balfour yang tidak mahu orang Yahudi Eropah yang ditindas untuk masuk ke Britain, sebaliknya mengarahkan mereka ke Palestin adalah hasil dari sifat anti-semitic beliau menurut Brian Klug.[90] Balfour tidak keseorangan, F. Laurence Oliphant sebagai contoh, menulis bahawa masyarakat peribumi di Palestin perlu diasingkan dan dipindahkan ke dalam tanah reservasi seperti yang dilakukan di Utara Amerika.[91] Di sini kita melihat bagaimana sebenarnya penjajahan di Palestin adalah hasil dari polisi dan sikap rasis orang-orang Eropah.

Persekongkolan British terhadap projek zionis di Palestin juga berpunca dari gerakan kristian yang kononnya mahu mewujudkan semula negara Yahudi di Palestin berdasarkan kitab Bible. Menurut Edward Said, gerakan zionis sebelum 1948 hanya sebahagian kecil sahaja di Palestin, manakala bahagian besarnya adalah gerakan yang berpusat di kota-kota Eropah. Oleh kerana ianya tidak wujud secara keseluruhan di Palestin, maka golongan peribumi dan penduduk asal tidak dapat mempertahankan hak mereka. Kaum peribumi tidak mempunyai representasi di Eropah bagi melawan gerakan zionis di sana.[92] Ini mengakibatkan keputusan-keputusan dari ideologi rasis yang bersarang di Eropah akhirnya dipaksakan kepada mereka tanpa mereka dapat mempertahankan diri.

Golongan zionis, baik dari jalur kristian mahu pun yahudi, sejak awal lagi maklum bahawa palestin sememangnya sudah mempunyai penduduk. Ia bukanlah tanah yang kosong. Malah mereka sedar bahawa populasi peribumi ini besar. Ini boleh dilihat contohnya dari ucapan pemimpin zionis seperti Israel Zangwill di Manchester. Menurut Masalha, kajian terkini juga membuktikan bahawa perkara ini disedari oleh pemimpin zionis yang menyebutnya sebagai habe’ayah ha’arvit (the Arab problem). Ahad Ha’am, yang merupakan seorang penulis yahudi menulis bahawa kewujudan populasi lain di Palestin akan menimbulkan masalah kepada projek politik ethno-sentrik zionis. Malah pendatang zionis awal seperti Yitzhak Epstein mengakui bahawa dengan merampas tanah-tanah petani Arab, konfrontasi politik akan berlaku di masa hadapan.[93] Prediksi Epstein ini tidak jauh dari realiti di mana kita melihat sehingga ke hari ini konfrontasi ini terus berlangsung.

Pembinaan Pendudukan di Atas Pemadaman Palestin

Di sebalik kehancuran yang dilakukan di Palestin adalah usaha untuk memadamkan satu bangsa dari tanah yang menjadi tempat tinggal mereka. Menurut Moshe Dayan, bekas menteri pertahanan Israel, “tiada satu pun tempat di Israel yang sebelum ini tidak mempunyai populasi Arab di atasnya”.[94] Bermaksud, populasi asal Palestin, iaitu orang-orang Arab, telah dipadam kewujudannya. Dan di atas kemusnahan merekalah dibina pendudukan-pendudukan Israel.

Untuk mengisi pendudukan baharu ini pihak zionis telah berusaha untuk mencipta identiti baharu yang digelar Masalha sebagai New Hebrew Sabra Man. Identiti ini penting kerana mereka bercita-cita untuk mencipta negara bangsa baharu. Usaha-usaha berterusan dilakukan dengan menciplak terma dari bahasa Arab dan juga dari toponym Arab Palestin bagi mencipta naratif bahawa pendatang zionis yang kebanyakannya datang dari Eropah ini adalah sebenarnya bangsa peribumi. Usaha ini menurut Masalha adalah satu proses memperibumikan golongan pendatang yang disebut sebagai self-re-indigenisation. Hasilnya lahir identiti baharu, bukan sebagai Yahudi tetapi New Hebrew. Usaha ini dapat dilihat apabila mereka menukar nama-nama Eropah mereka dari bahasa seperti Yiddish, Russia, Polish, dan Jerman kepada nama yang berbunyi Hebrew agar kedengaran lebih biblical. Contohnya David Grün dari Poland yang kemudian menukar namanya kepada David Green, dan akhirnya menukar lagi namanya menjadi David Ben-Gurion.[95] Benjamin Netanyahu juga sebenarnya berasal dari Poland, nama asal ayahnya adalah Benzion Mileikowsky sebelum beliau menukar namanya kepada Benzion Netanyahu.

Bahasa Hebrew moden menurut Masalha adalah bahasa hibrid Semito-European yang meminjam banyak perkataan dari bahasa Arab dan Aramaic. Selain itu, bahasa ini juga banyak meminjam perkataan dari Yiddish, Ladino, Latin, Greek, Polish, Russia, English dan bahasa-bahasa Eropah lain. Bahasa baharu ini dicipta oleh Lazar Perelman yang lahir di Luzhky, Lithuania. Perelman kemudian menukar namanya kepada Eliezer Ben-Yehuda. Beliau merupakan individu penting yang menghidupkan semula bahasa Hebrew untuk mencipta budaya baharu bagi projek nasionalis zionis.[96] Ben-Yehuda mendakwa bahawa kebanyakan kata dasar dalam vokabulari Arab sebenarnya berasal dari lexikon Hebrew, kata dasar Arab ini bukan milik Arab tetapi adalah milik Hebrew, bagi Ben-Yehuda ia adalah satu penemuan semula. Menurut Ben-Yehuda, bahasa Arab sangat penting dalam menghidupkan semula bahasa Hebrew yang telah mati dan membina bahasa Hebrew moden. Dengan penciptaan budaya Hebrew baharu ini, bagi Ben-Gurion, Hebrew Bible bukan lagi menjadi kitab suci keagamaan, tetapi ia dicipta semula menjadi teks suci yang bersifat nasionalis dan perkauman untuk dijadikan mitos asasi bagi ideologi zionis sekular.[97]

Untuk tujuan meng-Hebrew-kan Palestin, Israel telah menubuhkan Va’adat Hashemot Hamimshaltit, satu jawatankuasa kerajaan untuk memberikan kawasan-kawasan Palestin nama-nama dalam Hebrew, ia diasaskan oleh Ben-Gurion pada 1949. Ben-Gurion telah melawat Naqab dan Eilat dan mendapati langsung tiada nama-nama Hebrew di tempat tersebut. Beliau telah mengarahkan agar nama-nama Hebrew diberikan, jika tiada rujukan kepada nama-nama kuno, maka nama Hebrew baharu perlu diberikan. Namun nama-nama Hebrew menurut Bible didapati tidak mencukupi untuk diberikan kepada nama-nama tempat yang banyak, akhirnya proses menamakan tempat dibuat secara rambang. Proses ini juga dilakukan dengan meng-Hebrew-kan nama Arab dan juga menterjemahkan nama Arab kepada bahasa Hebrew.[98]

Kajian Lanjutan: Sudut Pandang Kristian Terhadap Penjajahan Israel Ke Atas Palestin

Penjajahan Israel dan pembersihan etnik yang dilakukannya di Palestin mendapat pelbagai reaksi dan pendapat dalam masyarakat dunia. Pendapat golongan kristian adalah satu pendapat yang wajar kita fahami, kerana mereka merupakan golongan yang signifikan dari segi populasi dan kuasa di dunia hari ini. Oleh sebab itu, kajian lanjutan yang akan saya laksanakan adalah untuk meneliti pandangan kristian perihal isu Palestin. Kita perlu jelas bahawa Kristian merupakan agama yang mempunyai banyak pecahan, memilih satu pandangan tidak akan mewakili keseluruhan pandangan agama Kristian. Seperti agama-agama lain, Kristian juga mempunyai pelbagai mazhab, tafsiran, dan juga pecahan. Setiap ragam ini melihat permasalahan ini dari pelbagai sudut yang berbeza dan mempunyai tanggapan yang tidak monolitik.

Pandangan yang ingin saya kaji adalah pandangan yang ditulis oleh Gary M. Burge yang merupakan professor di Wheaton College & Graduate School, Amerika Syarikat.[99] Bagi Burge, di dunia Barat (termasuk Amerika Syarikat), hanya satu naratif yang biasanya diketengahkan, naratif ini adalah naratif tipikal yang sering diulang di gereja. Namun menurut beliau, terdapat naratif alternatif dalam melihat penjajahan Israel ke atas Palestin bagi orang Kristian. Naratif ini tidak kurang pentingnya, ia adalah perihal sekelompok manusia yang sejak sekian lama dikhianati dan dibungkam perjuangan mereka iaitu gereja-gereja Kristian yang menggunakan bahasa Arab di Palestin yang turut terkesan dari penjajahan Israel.[100]

Sokongan Kristian terhadap penjajahan Israel kepada Palestin berpunca dari komitmen mereka terhadap satu sudut pandang eskatologi (iaitu pandangan perihal hari kiamat dan bagaimana dunia berakhir). Namun Burge mempersoalkan adakah komitmen terhadap sudut pandang eskatologi ini membuatkan kita boleh menutup mata terhadap kesengsaraan hasil dari peperangan? Tentulah orang-orang yang tertindas ini juga disayangi Tuhan menurut Burge. Ini membuatkan beliau berada dalam keadaan dilema, bagaimana beliau mahu memenuhi komitmen eskatologi di dalam Bible dan dalam masa yang sama tidak mendiskriminasikan orang-orang Arab dan memandang mereka dengan pelbagai stereotaip.[101]

Burge dalam penulisannya ingin memberi kesedaran kepada golongan Kristian Zionis bahawa dengan mencampur-adukkan politik dan semangat keagamaan, mereka telah menghasilkan pandangan yang rosak. Burge ingin membawakan tafsiran bahawa sekalipun ahli teologi Kristian menolak idea bahawa negara Moden Israel bukanlah pewaris kepada tanah yang dijanjikan kepada Nabi Ibrahim, ini tidaklah bermaksud Kristian tidak menghormati pegangan Judaisma dan hak orang Yahudi untuk hidup di Palestin.[102] Pandangan Burge ini saya kira lebih sederhana dan juga menarik untuk dikaji dan diteliti dengan lebih mendalam.

Kesimpulan

Penulisan ini telah meninjau dengan teliti sejarah bumi Palestin berdasarkan kajian yang dibuat oleh Nur Masalha di dalam bukunya Palestine: A Four Thousand Year History. Isi-isi perbahasan utamanya telah diutarakan dan dibincangkan. Daripada penulisan ini, dapat kita fahami bahawa sejarah Palestin sejak dari era kunonya di Zaman Gangsa, merupakan sejarah pelbagai bangsa yang membentuk pelbagai lapisan budaya. Ia tidak bersifat mono-kultural atau mono-etnik. Ia juga tidak mempunyai unsur supremasi bangsa seperti yang didakwa oleh penjajah zionis moden. Menafikan sejarah asal ini, dengan menyadurkannya bersama mitos-mitos teologi bukan sahaja tidak saitifik, malah tidak boleh dikatakan sebagai benar atau objektif. Dengan bersikap selektif dan menafikan sejarah peribumi Palestin yang sudah berakar lebih dari 4,000 tahun, ia sebenarnya adalah satu jenayah sejarah. Hanya dengan melihat sejarah secara keseluruhan seperti ini, kita dapat mencorak masa depan yang lebih menyeluruh tanpa adanya penjajahan, penindasan, dan juga diskriminasi.

Bibliografi

Ang Swee Chai. 2011. From Beirut to Jerusalem. The Other Press.

Burge, Gary M. 2013. Whose Land? Whose Promise? What Christians Are Not Being Told About Israel And The Palestinians. Cleveland: The Pilgrim Press.

Carr, E.H. 1964. What is History. Penguin Books.

Chomsky, Noam. 2003. Power and Terror: Post-9/11 Talks and Interviews. Seven Stories Press.

Clay, Andrew William. 2012. “A Commentary on Eusebius of Caesarea Ecclesiastical History Book VIII.” Classics Graduate Theses & Dissertations. Paper 2.

Finkelstein, Norman G. 2008. Beyond Chutzpah: On the Misuse of Anti-Semitism and the Abuse of History. University of California Press.

—. 2003. The Holocaust Industry: Reflections on the Exploitation of Jewish Suffering. . Verso.

Garaudy, Roger. 1983. The Case of Israel: A Study of Political Zionism. Shorouk International.

Masalha, Nur. 2020. Palestine: A Four Thousand Year History. Zed Books.

Nixey, Catherine. 2018. The Darkening Age: The Christian Destruction of the Classical World. Pan Books.

Pappe, Ilan. 2006. The Ethnic Cleansing of Palestine. Oneworld Publications.

Said, Edward W. 1991. Orientalism: Western Conceptions of the Orient. Penguin.

Senor, Dan, and Saul Singer. 2009. Start-up Nation: The Story of Israel’s Economic Miracle. Twelve.

Shakir, Omar. 2021. A threshold crossed: Israeli authorities and the crimes of apartheid and persecution. Human Rights Watch.

Syed Ahmad Fathi. 2023. “Historiografi Astronomi: Paradoks Dalam Pensejarahan Tamadun Barat.” Academia Book Review.

Syed Ahmad Fathi. 2023. “Kehancuran Dunia Klasik Romawi & Yunani.” Academia Book Review.

—. 2022. “Meninjau Pemikiran Edward Wadie Said Dalam Orientalism: Perihal Konstruksi Barat Terhadap Timur.” Sesi Mengopi Bersama JC IIUM.

Syed Ahmad Fathi. 2023. “Pemikiran Sejarah Edward Carr.” Nota Pemikir Sejarah.

Syed Ahmad Fathi. 2022. “Perbahasan Perihal Penentuan Ruang Lingkup Sejarah.” Pengantar Sejarah.

Syed Ahmad Fathi. 2021. “Perjuangan Palestin Daripada Sisi Golongan Kiri.” Neo-Melayu.

Syed Ahmad Fathi. 2023. “Persejarahan Melayu Tradisional.” Nota Pengajian Sejarah.


[1] Norman G. Finkelstein. The Holocaust Industry: Reflections on the Exploitation of Jewish Suffering. Verso, 2003.

[2] Norman G. Finkelstein. Beyond Chutzpah: On the Misuse of Anti-Semitism and the Abuse of History. University of California Press, 2008.

[3] Ang Swee Chai. From Beirut to Jerusalem. The Other Press, 2011.

[4] Ilan Pappe. The Ethnic Cleansing of Palestine. Oneworld Publications, 2007.

[5] Noam Chomsky. Power and Terror: Post-9/11 Talks and Interviews. Seven Stories Press, 2003.

[6] Dan Senor, Saul Singer. Start-up Nation: The Story of Israel’s Economic Miracle. Twelve, 2009.

[7] Roger Garaudy. The Case Of Israel: A Study Of Political Zionism. Shorouk International, 1983.

[8] Syed Ahmad. “Perjuangan Palestin Daripada Sisi Golongan Kiri.” Neo-Melayu, 2021.

[9] Syed Ahmad Fathi. “Perbahasan Perihal Penentuan Ruang Lingkup Sejarah.” Pengantar Sejarah, 2022.

[10] E.H. Carr. What is History. Penguin Books, 1964.

[11] Masalha. Palestine: A Four Thousand Year History, hlm. 14.

[12] Ibid, 15.

[13] Ibid, 19.

[14] Ibid, 16-17.

[15] Edward Said. Orientalism: Western Conceptions of the Orient. Penguin, 1991.

[16] Syed Ahmad Fathi. “Meninjau Pemikiran Edward Wadie Said Dalam Orientalism: Perihal Konstruksi Barat Terhadap Timur.” Sesi Mengopi Bersama JC IIUM, 2022.

[17] Masalha. Palestine: A Four Thousand Year History, hlm. 318.

[18] Ibid., hlm. 21.

[19] Syed Ahmad Fathi. “Persejarahan Melayu Tradisional.” Nota Pengajian Sejarah, 2023.

[20] Masalha. Palestine: A Four Thousand Year History, hlm. 27.

[21] Ibid, 29.

[22] Ibid, 355.

[23] Ibid, 370-371.

[24] Ibid, 373, 384.

[25] Ibid, 34.

[26] Terma toponym berasal dari perkataan Yunani topos yang bermaksud tempat, dan onoma yang bermaksud nama, oleh itu toponym bermaksud nama tempat.

[27] Palestine: A Four Thousand Year History, 42-45.

[28] Syed Ahmad Fathi. “Historiografi Astronomi: Paradoks Dalam Pensejarahan Tamadun Barat.” Academia Book Review, 2023.

[29] Palestine: A Four Thousand Year History, 50.

[30] Ibid, 52-54.

[31] Ibid, 55.

[32] Ibid, 56.

[33] Ibid, 57.

[34] Ibid, 59-60.

[35] Ibid, 62-64.

[36] Ibid, 64-67.

[37] Ibid, 86.

[38] Ibid, 112.

[39] Syed Ahmad Fathi. “Kehancuran Dunia Klasik Romawi & Yunani.” Academia Book Review, 2023.

[40] Catherine Nixey. The Darkening Age: The Christian Destruction of The Classical World. Pan Books, 2018.

[41] Palestine: A Four Thousand Year History, 72-75.

[42] Ibid, 76-77.

[43] Ibid, 78-79.

[44] Ibid, 81.

[45] Ibid, 82-83.

[46] Ibid, 84-85.

[47] Ibid, 87.

[48] Ibid, 89.

[49] Ibid, 90-91.

[50] Ibid, 95.

[51] Ibid, 96.

[52] Ibid, 99.

[53] Ibid, 103.

[54] Andrew William Clay, “A Commentary on Eusebius of Caesarea Ecclesiastical History Book VIII” (2012). Classics Graduate Theses & Dissertations. Paper 2.

[55] Palestine: A Four Thousand Year History, 118-119.

[56] Ibid, 136-137.

[57] Ibid, 141.

[58] Ibid, 144-145.

[59] Ibid, 151.

[60] Ibid, 157.

[61] Ibid, 156-157.

[62] Ibid, 160-165.

[63] Ibid, 178-179.

[64] Ibid, 182.

[65] Ibid, 189.

[66] Ibid, 190.

[67] Sejarah berakhirnya Dinasti Nasrid terakhir boleh dirujuk dari buku tulisan Elizabeth Drayson. The Moor’s Last Stand: How Seven Centuries of Muslim Rule in Spain Came to an End. Profile Books, 2018. Untuk bacaan yang lebih ringkas, lihat Syed Ahmad Fathi. “Boabdil & Kerajaan Islam Dinasti Nasrid Terakhir Di Sepanyol.” Academia Book Review, 2023.

[68] Palestine: A Four Thousand Year History, hlm. 190-191.

[69] Ibid, 192.

[70] Ibid, 211.

[71] Ibid, 212-213.

[72] Ibid, 215.

[73] Ibid, 217.

[74] Ibid, 220.

[75] Ibid, 221.

[76] Ibid, 225.

[77] Ibid, 269.

[78] Ibid, 290.

[79] Ibid, 294.

[80] Ibid, 295.

[81] Ibid, 256.

[82] Ibid, 287.

[83] Ibid, 279.

[84] Ibid, 282.

[85] Ibid, 291.

[86] Ibid, 297.

[87] Ibid, 303.

[88] Ibid, 307.

[89] Ibid, 308.

[90] Ibid, 310.

[91] Ibid, 312.

[92] Ibid, 315.

[93] Ibid, 316-317.

[94] Ibid, 329.

[95] Ibid, 338-339.

[96] Ibid, 340-341.

[97] Ibid, 342-343.

[98] Ibid, 356-357

[99] Gary M. Burge. Whose Land? Whose Promise? What Christians Are Not Being Told About Israel And The Palestinians. The Pilgrim Press, 2013.

[100] Ibid, vii.

[101] Ibid, xii.

[102] Ibid, xix.


[1] Syed Ahmad Fathi. “Pemikiran Sejarah Edward Carr.” Nota Pemikir Sejarah, 2023.

[2] Omar Shakir. A threshold crossed: Israeli authorities and the crimes of apartheid and persecution. Human Rights Watch, 2021.

[3] Nur Masalha. Palestine: A Four Thousand Year History. Zed Books, 2020.

4000-Tahun-Sejarah-Palestin-Dari-Lewat-Zaman-Gangsa-Hingga-Ke-Penjajahan-Kolonial-ModenDownload
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Reviu Buku Tagged With: History, nur masalaha, palestine

Bibit-Bibit Kekalahan Israel Dalam Perang Taufan Al-Aqsa

December 24, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Israel Genocide Forces cried after they were defeated in Gaza.

Artikel ini merupakan siri artikel yang bertujuan untuk merekodkan situasi perang antara Israel dan pejuang kemerdekaan Palestin yang bermula pada 07 Oktober 2023. Perang yang bermula pada bulan Oktober 2023 ini digelar sebagai “Taufan Al-Aqsa” oleh pejuang kemerdekaan Palestin manakala pasukan penjajah zionis Israel memanggil operasi mereka sebagai “Operation Iron Swords”. Antara tulisan pertama saya dalam siri ini adalah sebuah transkrip perihal pandangan John Mearsheimer, yang merupakan seorang professor sains politik berfahaman realis, bahawa Israel tidak mungkin akan berjaya menghapuskan Hamas.[1] Kedua adalah transkrip kepada apa yang dibicarakan oleh Josh Paul yang merupakan bekas pengarah dalam kerajaan Amerika Syarikat bagi bantuan persenjataan untuk negara luar. Josh Paul meletak jawatan kerana tidak bersetuju dengan polisi Amerika Syarikat membekalkan senjata kepada Israel.[2]

Kedua-dua artikel transkrip ini dihasilkan pada permulaan perang pada bulan Oktober 2023. Apabila perang berkembang, saya telah melakukan kajian lanjutan dengan mengkaji kesan perang ini bagi Israel pada hubungan diplomatiknya dengan negara-negara lain. Kajian pada bulan November 2023 ini memperincikan negara-negara yang telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel sebagai tanda protes terhadap kekejaman perang yang dilakukan.[3] Akhir sekali, satu kajian tinjauan telah dilakukan pada awal Disember 2023 untuk melihat bagaimana perang ini mengubah dinamik politik domestik di Amerika Syarikat. Analisis ini penting kerana tanpa bantuan Amerika Syarikat, Israel tidak mampu melancarkan jenayah perangnya.[4]

Bukti-Bukti Kekalahan Israel

Menuju akhir Disember 2023, satu artikel penting telah diterbitkan oleh akhbar The Guardian hasil tulisan Paul Rogers yang merupakan profesor emeritus dalam kajian keamanan di Universiti Bradford.[5] Rogers berpandangan bahawa Israel sedang menghadapi kekalahan teruk walaupun kerajaan Netanyahu tidak mahu mengakuinya. Apakah buktinya?

Israel telah membunuh 20,000 warga awam Palestin kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dalam siri pengeboman udaranya, manakala 50,000 warga awam dilaporkan cedera. Namun ini bukanlah boleh dikatakan sebagai kejayaan ketenteraan kerana yang dibunuh adalah warga awam. Dari sudut ketenteraan, hal ini tidak memberikan kelebihan. Pejuang kemerdekaan Palestin yang diketuai Hamas mempunyai sistem terowong moden berteknologi tinggi. Sistem ini jauh dibina di bawah tanah dan tidak terkesan dari siri pengeboman udara. Tentera Penjajah Israel (TPI) beberapa kali mengumumkan bahawa mereka telah berjaya menguasai Utara Gaza. Contohnya pada 08 November 2023, jurucakap TPI, Daniel Hagari berkata Hamas telah hilang kawalan terhadap bahagian Utara Gaza.[6]

Namun menurut Paul Rogers, pada 12 Disember 2023, Hamas berjaya melakukan serang hendap terhadap TPI di kawasan yang kononnya sudah dikuasai. Malah pasukan TPI yang datang untuk menyelamatkan pasukan yang diserang hendap juga telah diserang hendap. Bagi Rogers, serangan seperti ini sangat signifikan kerana ia berjaya membunuh tentera penjajah yang berpangkat tinggi seperti Kolonel dan Mejar. Jika Hamas sudah hilang kawalan, mustahil serangan seperti ini dapat dilakukan menurut Paul Rogers.

Jika kita meneliti sumber yang dikeluarkan oleh Hamas sendiri, kita akan mendapati bahawa hampir setiap hari mereka mengeluarkan laporan operasi ketenteraan mereka beserta dengan bukti video. Contohnya pada 23 Disember 2023, jam 09.35 malam waktu Malaysia, Hamas mengeluarkan laporan berikut melalui saluran Telegram:

“Mujahidin Al-Qassam dapat memerangkap 4 jip komando musuh ke dalam serangan hendap di kawasan Juhr al-Dik di tengah Semenanjung Gaza, di mana mereka meletupkan kawasan tersebut menggunakan alat anti-personal dan anti-perisai, yang membawa kepada kehancuran pasukan musuh dan membunuh semua anggotanya. Sebuah kereta kebal zionis yang bergegas ke kawasan tersebut juga dimusnahkan dengan peluru “Yassin 105″. Pasukan penyelamat musuh di kawasan operasi juga telah diserang dengan sistem peluru berpandu “Rajum” dan peluru mortar berkaliber berat. Pesawat dan ambulans zionis kemudian dilihat mengangkut orang mati dari tempat kejadian.”[7]

Peta 1: Peta kawasan tengah Gaza di mana lokasi Juhr al-Dik dapat dilihat berada di pinggir Gaza.

Jika kita meneliti peta Gaza, kawasan Juhr al-Dik yang berada ditengah Gaza ini merupakan kawasan sempadan dengan Israel. Bermaksud ia adalah kawasan pinggiran Gaza. Di sini kita melihat, selepas 78 hari bertempur, TPI masih belum berjaya menguasai pinggir Gaza, iaitu kawasan yang berdekatan dengan sempadan Israel.

Menurut Rogers lagi, TPI tidak mengeluarkan statistik sebenar askarnya yang terbunuh dan cedera. Contohnya angka rasmi mengatakan hanya 1,900 tentera yang tercedera sementara 460 terbunuh. Namun sumber dari pusat kesihatan di Israel memaklumkan bahawa 2,000 tentera TPI cedera dan dikatakan sebagai cacat kekal. Jika kita meneliti sumber Israel sendiri, kita akan mendapati, mereka juga tidak mempercayai penipuan yang sering diungkapkan oleh jurucakap TPI seperti Hagari. Chaim Levinson menerusi akhbar Haaretz mengatakan bahawa jurucakap tentera berbohong kononnya Israel sedang memenangi perang bagi memastikan ia mendapat sokongan domestik. Levinson mengungkapkan bahawa apa yang dikatakan oleh jurucakap TPI sebagai “lipstick on nonsense”.[8]

Pengunduran Golani “Tiktok” Brigade

Kenyataan Chaim Levinson bahawa penipuan jurucakap seperti Hagari sebagai lipstick on nonsense sebenarnya tidaklah jauh dari realiti. Kerana pada hari yang sama, keluar laporan bahawa TPI mengumumkan pengunduran brigade elit Israel yang dipanggil sebagai Golani Brigade. Pengunduran ini adalah kerana brigade ini telah mengalami kehancuran yang teruk setelah bertarung di medan selama 60 hari. Brigade yang sama berjaya dikalahkan di Shejaiya, Gaza pada tahun 2014.[9]

Antara kehilangan signifikan brigade ini adalah kematian komandernya iaitu Tomer Grinberg pada 12 Disember 2023. Beberapa hari sebelum beliau terbunuh, beliau dengan angkuhnya direkodkan dalam sebuah video menjanjikan kemenangan buat Israel. Beliau terbunuh dalam satu operasi serang hendap hebat oleh pejuang kebebasan Palestin di Shejaiya. Dalam operasi tersebut 10 tentera penjajah dalam Golani Brigade berjaya dihapuskan oleh pejuang pembebasan Palestin termasuklah Tomer Grinberg dan juga Kolonel Itzhak Ben Basat. Menurut Jeneral Moshe Kaplinsky, Golani sudah kehilangan 88 anggotanya, 72 terbunuh pada hari pertama, bermaksud pada hari pertama, Golani sudah kehilangan satu perempat dari kekuatannya.[10]

Pada pandangan saya, jika pada hari pertama sudah hilang satu perempat kekuatan, brigade ini bukanlah sebuah brigade elit seperti yang digembar-gemburkan. TPI sering memuat naik video askarnya menari di applikasi Tiktok. Kekalahan yang memalukan hanya selepas 60 hari bertempur ini bagi saya membuktikan bahawa brigade ini perlu diberi nama baharu iaitu “Golani Tiktok Brigade”, mereka seharusnya fokus kepada medan perjuangan mereka yang sebenar iaitu menari di dalam applikasi Tiktok berbanding bertempur di medan perang. Kerana mereka langsung tidak efektif dalam modern urban warfare.

Operasi Genocide Guardian

Apabila Israel memulakan perang pembersihan etnik di Gaza pada Oktober 2023. Situasi ini telah menimbulkan ketidakstabilan serantau. Hezbollah di Lubnan telah melancarkan siri serangan di utara Israel bagi membantu meringankan serangan di Gaza. Selain itu, tentera Houtis di Yaman juga telah bertindak menyerang kapal-kapal komersial yang mempunyai kaitan dengan Israel. Serangan oleh Houtis di Yaman ini telah mengakibatkan Israel rugi besar, pelabuhan Eilat di Israel mengalami penurunan aktiviti sebanyak 85 peratus.[11]

Amerika Syarikat yang berlagak seperti polis dunia telah mengumumkan bahawa mereka akan membantu rakan jenayah mereka iaitu Israel. Setiausaha pertahanan Amerika Syarikat, Lloyd J. Austin telah mengumumkan pada 18 Disember 2023 operasi yang dipanggil sebagai Operation Prosperity Guardian untuk mengawal situasi di Laut Merah dan mempertahankan kapal-kapal Israel dari serangan Houtis. Antara negara yang dikatakan akan menyertai pasukan ini adalah Britain, Bahrain, Kanada, Perancis, Itali, Belanda, Norway, Seychelles dan Sepanyol.[12]

Operasi Amerika Syarikat ini sebenarnya mahu melindungi jenayah perang Israel, oleh itu nama yang lebih sesuai adalah Operation Genocide Guardian. Walaubagaimanapun, operasi ini masih belum kelihatan mampu melakukan apa-apa. Malah Sepanyol, Itali, dan Perancis menyatakan kemudiannya bahawa mereka tidak akan menyertai Operation Genocide Guardian yang dipimpin oleh Amerika Syarikat ini.[13] Selain tidak ada pasukan yang betul-betul mampu bergerak mengawal Laut Merah. Rancangan Amerika Syarikat ini juga dilihat tidak akan pergi ke mana-mana. Terbaru, sebuah kapal yang mempunyai hubungan dengan Israel iaitu Chem Pluto telah diserang oleh dron di Laut Arab meyebabkan berlaku letupan dan kebakaran.[14] Ini menunjukkan bahawa serangan boleh berlaku bukan sahaja di Laut Merah, tetapi kawasan yang lebih luas. Untuk mengawal semua laut-laut ini adalah satu kemustahilan dan Israel dijangka akan mengalami kerugian ekonomi berterusan.

Kesimpulan

Selepas 78 hari berperang, ternyata Tentera Penjajah Israel tidak berjaya mencapai 2 objektif utamanya iaitu menghapuskan Hamas dan juga membebaskan tawanan perang mereka. Kemampuan mereka adalah setakat membunuh orang awam melalui pengeboman udara. Dari analisa Paul Rogers, dapatlah kita ketahui bahawa Israel sedang mengalami kekalahan bukannya kemenangan. Hal ini diakui sendiri oleh tulisan-tulisan dari Israel seperti tulisan Chaim Levinson yang telah kita bahaskan. Pengunduran awal Golani Tiktok Brigade juga merupakan indikasi kuat untuk meyakinkan kita bahawa kempen jenayah Netanyahu ini akan menemui kegagalan. Tekanan dari Hezbollah dan juga Houtis juga menambah mimpi ngeri buat Israel. Dengan latar tekanan antarabangsa, juga merosotnya sokongan domestik Amerika Syarikat, kesimpulan yang boleh dibuat adalah kempen ini tidak akan bergerak seperti yang dijangkakan oleh penjajah Israel.  Walaupun mereka tidak mengakuinya secara rasmi, bukti-bukti kekalahan mereka sudah terpampang untuk dilihat oleh dunia. Benarlah analisa Paul Rogers setakat ini bahawa Israel sebenarnya menuju kekalahan.

Nota: Artikel ini diterbitkan pada 24 Disember 2023, statistik kematian awam dan juga kematian tentera mengambarkan situasi semasa ia ditulis. Oleh kerana perang ini masih berterusan, angka-angka ini dijangka akan terus meningkat dari masa ke semasa.

Bibliografi

2023. ” Golani Units Pulling out from Gaza – What It Means.” The Palestine Chronicle. December 21. https://www.palestinechronicle.com/golani-units-pulling-out-from-gaza-what-it-means/ .

Austin, Lloyd J. 2023. “Statement from Secretary of Defense Lloyd J. Austin III on Ensuring Freedom of Navigation in the Red Sea.” U.S. Department of Defense. December 18. https://www.defense.gov/News/Releases/Release/Article/3621110/statement-from-secretary-of-defense-lloyd-j-austin-iii-on-ensuring-freedom-of-n/.

Dutta, Amrita Nayak. 2023. “Drone strikes ship with 21 Indians on board in Arabian Sea; Navy sends aircraft, warship.” The Indian Express. December 23. https://indianexpress.com/article/world/israel-merchant-vessel-hit-aerial-vehicle-india-uk-9080225/.

2023. “Israel’s Elite Golani Brigade Withdrawn After Severe Setback in Gaza.” Defence Security Asia. Disember 23. https://defencesecurityasia.com/en/golani-israel-setback-withdraw/ .

Levinson, Chaim. 2023. “Israelis Need the Army Spokesman’s Lies to Keep Believing We’re Winning.” Haaretz. December 21. https://www.haaretz.com/israel-news/2023-12-21/ty-article/.premium/israelis-need-the-army-spokesmans-lies-to-keep-believing-were-winning/0000018c-8cdb-da31-adff-8edb0f430000 .

Rabinovitch, Ari. 2023. “Israel’s Eilat Port sees 85% drop in activity amid Red Sea Houthi attacks.” Reuters. Disember 21. https://www.reuters.com/world/middle-east/israels-eilat-port-sees-85-drop-activity-amid-red-sea-houthi-attacks-2023-12-21/.

Rogers, Paul. 2023. “Israel is losing the war against Hamas – but Netanyahu and his government will never admit it.” The Guardian. December 21. https://www.theguardian.com/commentisfree/2023/dec/21/israel-losing-war-against-hamas-netanyahu-idf.

Sinmaz, Emine. 2023. “Northern Gaza exodus accelerating, says Israel, as WHO warns of disease risk.” The Guardian. November 9. https://www.theguardian.com/world/2023/nov/09/israel-hamas-war-tens-thousands-palestinians-flee-gaza-military-who-disease-risk .

Syed Ahmad Fathi. 2023. “Israel Tidak Mungkin Akan Berjaya Menghapuskan Hamas Melalui Perang Darat Menurut John Mearsheimer.” Isu Semasa.

Syed Ahmad Fathi. 2023. “Josh Paul Meletakkan Jawatan Kerana Tidak Mahu Amerika Syarikat Menghantar Senjata Ke Israel Bagi Membunuh Rakyat Gaza.” Isu Semasa.

Syed Ahmad Fathi. 2023. “Kesan Jenayah Yang Dilakukan Oleh Israel Pada Perang Oktober 2023 Di Gaza Terhadap Hubungan Diplomatiknya Dengan Negara-Negara Lain.” Kajian Hubungan Antarabangsa.

Syed Ahmad Fathi. 2023. “Kesan Perang Pembersihan Etnik Di Gaza Pada Oktober 2023 Terhadap Sokongan Kepada Israel Dalam Politik Domestik Di Amerika Syarikat.” Kajian Hubungan Antarabangsa.

Zhdannikov, Dmitry. 2023. “Spain, Italy, France Decline US Command Of Red Sea Operation Prosperity Guardian.” Gcaptain. Disember 22. https://gcaptain.com/spain-italy-france-decline-us-command-of-red-sea-operation-prosperity-guardian/ .


[1] Syed Ahmad Fathi. “Israel Tidak Mungkin Akan Berjaya Menghapuskan Hamas Melalui Perang Darat Menurut John Mearsheimer.” Isu Semasa, 2023.

[2] Syed Ahmad Fathi. “Josh Paul Meletakkan Jawatan Kerana Tidak Mahu Amerika Syarikat Menghantar Senjata Ke Israel Bagi Membunuh Rakyat Gaza.” Isu Semasa, 2023.

[3] Syed Ahmad Fathi. “Kesan Jenayah Yang Dilakukan Oleh Israel Pada Perang Oktober 2023 Di Gaza Terhadap Hubungan Diplomatiknya Dengan Negara-Negara Lain.” Kajian Hubungan Antarabangsa, 2023.

[4] Syed Ahmad Fathi. “Kesan Perang Pembersihan Etnik Di Gaza Pada Oktober 2023 Terhadap Sokongan Kepada Israel Dalam Politik Domestik Di Amerika Syarikat.” Kajian Hubungan Antarabangsa, 2023.

[5] Paul Rogers. “Israel is losing the war against Hamas – but Netanyahu and his government will never admit it”. The Guardian, 21 Disember 2023. Pautan: https://www.theguardian.com/commentisfree/2023/dec/21/israel-losing-war-against-hamas-netanyahu-idf

[6] Emine Sinmaz. “Northern Gaza exodus accelerating, says Israel, as WHO warns of disease risk”. The Guardian, 09 November 2023. Pautan: https://www.theguardian.com/world/2023/nov/09/israel-hamas-war-tens-thousands-palestinians-flee-gaza-military-who-disease-risk

[7] Sumber rasmi Hamas dari applikasi Telegram pada 23 Disember 2023.

[8] Chaim Levinson. Israelis Need the Army Spokesman’s Lies to Keep Believing We’re Winning. Haaretz, 21 Disember 2023. Pautan: https://www.haaretz.com/israel-news/2023-12-21/ty-article/.premium/israelis-need-the-army-spokesmans-lies-to-keep-believing-were-winning/0000018c-8cdb-da31-adff-8edb0f430000

[9] Golani Units Pulling out from Gaza – What It Means. The Palestine Chronicle, 21 Disember 2023. Pautan: https://www.palestinechronicle.com/golani-units-pulling-out-from-gaza-what-it-means/

[10] Israel’s Elite Golani Brigade Withdrawn After Severe Setback in Gaza. Defence Security Asia, 23 Disember 2023. Pautan: https://defencesecurityasia.com/en/golani-israel-setback-withdraw/

[11] Ari Rabinovitch. Israel’s Eilat Port sees 85% drop in activity amid Red Sea Houthi attacks. Reuters, 21 Disember 2023. Pautan: https://www.reuters.com/world/middle-east/israels-eilat-port-sees-85-drop-activity-amid-red-sea-houthi-attacks-2023-12-21/

[12] Statement from Secretary of Defense Lloyd J. Austin III on Ensuring Freedom of Navigation in the Red Sea. U.S. Department of Defense, 18 Disember 2023. Pautan: https://www.defense.gov/News/Releases/Release/Article/3621110/statement-from-secretary-of-defense-lloyd-j-austin-iii-on-ensuring-freedom-of-n/

[13] Dmitry Zhdannikov. Spain, Italy, France Decline US Command Of Red Sea Operation Prosperity Guardian. Gcaptain, 22 Disember 2023. Pautan: https://gcaptain.com/spain-italy-france-decline-us-command-of-red-sea-operation-prosperity-guardian/

[14] Amrita Nayak Dutta. Drone strikes ship with 21 Indians on board in Arabian Sea; Navy sends aircraft, warship. The Indian Express, 23 Disember 2023. Pautan: https://indianexpress.com/article/world/israel-merchant-vessel-hit-aerial-vehicle-india-uk-9080225/

Bibit-Bibit-Kekalahan-Israel-Dalam-Perang-Taufan-Al-AqsaDownload
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana Tagged With: golani defeated, hamas won, israel defeated

Pesta Buku Tidak Antarabangsa KL (PBTAKL)

December 22, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Kelihatan pempamer mempromosikan buku “Dua Sayap Ilmu” dan “Lalang di Lautan Ideologi” di reruai Toko Buku Pujangga Baru semasa PBAKL 2023.

Pesta buku tahunan KL sememangnya merupakan acara tahunan yang selalu saya sertai. Kata ibu saya, masa saya umur 2 tahun pun ibu pernah bawa saya ke pesta buku KL. Awalnya memang pergi sebagai pembeli sahaja. Saya mula ada keinginan membaca buku-buku antarabangsa selepas membaca sebuah buku oleh Thomas Friedman yang bertajuk The World is Flat. Saya tidaklah mengagumi Friedman, malah banyak pandangannya yang saya tidak persetujui. Namun buku tersebut tidak dapat saya buang dari sejarah pembacaan saya. Ia adalah buku yang sangat mengasyikkan. Yang membuatkan saya dahaga untuk membaca lebih banyak idea-idea, pemikiran, dan juga sejarah dunia yang luas ini.

Maka, secara semula jadinya, saya berkunjung ke pesta buku KL untuk mencari buku-buku yang berlainan, yang antarabangsa, yang tiada di jual di kedai buku konvensional. Namun akhirnya saya menyedari, bahawa pesta buku ini bukanlah pesta antarabangsa seperti namanya. Saya sedar akan hal ini sejak tahun 2016, tujuh tahun yang lalu, kritikan saya pada tahun tersebut saya coretkan di blog, dan masih ada hingga ke hari ini.

Namun sejak tahun 2019, saya tidak lagi datang ke pesta buku KL sebagai pembaca. 2019 adalah tahun di mana saya menjual sendiri buku-buku saya yang diterbitkan sendiri secara swaterbit, pada tahun tersebut ada diberi ruang khas untuk penerbit mandiri. Selepas tahun 2019, pesta buku tersebut sudah berubah, ia telah menjadi medan untuk bertemu rakan-rakan buku, bukan lagi sebagai tempat saya datang sekadar mencari buku.

Ada yang mengkritik pesta buku KL sebagai pasar menjual buku-buku agama. Genrenya sangat sempit kepada buku-buku yang membosankan dan bersifat konspirasi. Namun saya ada juga menulis sanggahan saya terhadap kritikan ini. Kerana bagi saya, ada penerbit-penerbit kecil yang bukunya bagus, cuma pengunjung kena rajin meneroka di sudut-sudut kecil, di reruai belakang, dan kawasan tidak strategik. reruai besar biasanya hanya mengulang cetak buku-buku sama dengan genre yang serupa sahaja. Bagi saya, reruai-reruai kecil inilah yang menarik saya untuk turun ke pesta buku KL. Kerana mereka menjamu pengunjung dengan buku-buku yang mencabar pemikiran dan memberi topik segar yang berbeza.

Dua tiga hari kebelakangan ini, saya membaca keluhan dan tulisan banyak rakan-rakan penerbit kecil bahawa kebanyakan reruai sudah dibolot penerbit besar sebelum penyertaan dibuka lagi. Ramai yang menyatakan bahawa mereka tidak akan menyertai pesta buku kali ini. Bagi saya, tanpa mereka, sudah tidak ada sebab saya perlu ke pesta buku KL lagi, sudahlah tidak antarabangsa, penerbit yang memberi tarikan juga akhirnya ditolak keluar oleh penerbit besar yang membosankan.

Maka saya kira, akhirnya pesta buku ini bukan lagi akan menjadi satu majlis para pencinta ilmu berkumpul dan berbincang perihal idea dan pemikiran. Ia akan menjadi sekadar tempat untuk membawa anak-anak berjalan-jalan. Juga menjadi tempat lawatan pelajar sekolah yang dipaksa menaiki bas beramai-ramai. Sama seperti kedai buku yang makin tidak relevan dan menjual alat tulis, pesta buku tahunan KL juga nampaknya menuju kepada samudera kebosanan yang sama.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Berita Tagged With: pbakl2024, pesta buku kl 2024

Kesan Perang Pembersihan Etnik di Gaza Pada Oktober 2023 Terhadap Sokongan Kepada Israel Dalam Politik Domestik di Amerika Syarikat

December 6, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Perang Israel ke atas Palestin telah bermula sejak tahun 1948 di mana pembersihan etnik telah berlaku secara besar besaran, kampung-kampung dibakar, dan kebanyakan populasi peribumi Palestin telah dihalau ke luar menjadi pelarian.[1] Sejak dari itu, Israel tidak pernah berhenti dari percubaannya untuk membersihkan Palestin dari kaum Arab, membunuh mereka, dan juga merampas tanah-tanah mereka. Israel merupakan kuasa ketenteraan ke-18 terkuat di dunia.[2] Israel juga mendapat bantuan berbillion dollar setiap tahun dari segi ketenteraan dari kuasa ketenteraan nombor satu di dunia iaitu Amerika Syarikat.

Israel begitu yakin dengan kekuatan ketenteraannya dan merasakan mereka telah berjaya mengalahkan kaum peribumi Palestin. Walaupun setelah sekian lama ditindas, bangsa Palestin tidak pernah menyerah kalah. Pada 07 Oktober 2023, pejuang pembebasan Palestin dari pergerakan Hamas telah berjaya menembusi tembok-tembok kolonial Israel dan melakukan operasi ketenteraan yang dipanggil “Al-Aqsa Flood”. Serangan pembebasan ini telah menunjukkan kepada dunia bahawa Israel bukanlah kuasa yang hebat seperti yang disangka. Israel telah mendapat kemaluan yang besar dari serangan ini kerana ramai anggota tenteranya yang terbunuh, malah ramai yang berjaya ditangkap dan menjadi tawanan perang oleh Hamas.

Untuk menutup kemaluan besar hasil kegagalan perisikan dan ketenteraan mereka, Israel telah memulakan serangan ganas pengeboman dari utara sebagai usaha pembersihan etnik besar-besaran terhadap penduduk awam di Gaza. Ketika artikel ini ditulis, Israel telah membunuh dengan kejam sejumlah 15,200 rakyat awam di Gaza di mana 70% darinya adalah wanita dan kanak-kanak.[3] Pembunuhan besar-besaran ini telah memburukkan nama Israel di mata antarabangsa dengan banyak negara memutuskan hubungan diplomatik mereka dengan Israel dan menarik semula duta mereka.[4] Dalam penulisan kali ini, saya ingin mengkaji kesan perang pembersihan etnik yang dilakukan Israel di Gaza ini terhadap sokongannya dalam politik domestik di Amerika Syarikat. Saya akan meninjau bagaimana reaksi awal pemimpin Amerika Syarikat terhadap perang ini berubah apabila tekanan-tekanan domestik mula dirasai. Penulisan ini turut akan meninjau perubahan dan reaksi yang berlaku dalam kalangan rakyat di Amerika Syarikat. Bagaimana desakan, tekanan, dan kempen anti-perang mereka membawa kepada perubahan retorik pemimpin di Amerika Syarikat.

Perubahan Reaksi dan Retorik Amerika Syarikat

Pada peringkat permulaan, reaksi Amerika Syarikat adalah reaksi tipikal sebagai sekutu kuat Israel. Para pemimpinnya semuanya menjadi burung kakak tua dan mengulangi ayat “Israel has the right to defend itself”. Ayat yang sama juga diulang-ulang secara distopia oleh pemimpin-pemimpin Eropah termasuklah di Britain, Perancis, Jerman, dan lain-lain. Hampir semua pemimpin hipokrit Eropah ini menolak bulat-bulat sebarang cadangan genjatan senjata pada peringkat awal Perang Oktober 2023.

Namun reaksi dan retorik pemimpin-pemimpin hipokrit ini akhirnya berubah. Sebagai contoh, Lloyd Austin yang merupakan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat pada 2 Disember 2023 mengancam Israel bakal menghadapi “kekalahan strategik” jika mereka berterusan membunuh dengan kejam kanak-kanak, wanita, dan masyarakat awam di Gaza.[5] Namun ucapan Austin ini mestilah difahami sebagai reaksi daripada tekanan domestik yang dihadapi oleh Amerika Syarikat dan bukanlah sebagai satu kenyataan ikhlas yang bersimpati dengan nasib masyarakat awam di Palestin. Ia hanya merupakan kenyataan untuk meredakan tekanan yang dihadapi oleh mereka dari masyarakat domestik.

Jika Amerika Syarikat benar-benar mahu menyelamatkan nyawa masyarakat awam Palestin, mereka tidak akan membekalkan senjata moden bagi membolehkan Israel melakukan kekejaman itu sejak awal lagi. Perang ke atas Palestin sebenarnya bukanlah perang Israel ke atas Palestin sahaja, ia juga adalah perang Amerika Syarikat ke atas Palestin. Bom dan peluru yang membunuh rakyat Palestin adalah bom dan peluru yang dihasilkan oleh Amerika Syarikat dan dibekalkan setiap hari kepada Israel semasa perang berlangsung. Menurut laporan Wall Street Journal, sejak 07 Oktober 2023, Amerika Syarikat membekalkan 57,000 artillery shells dan 15,000 bom termasuk lebih 5,000 warheads seberat 2,000-pound kepada Israel.[6] Untuk memahami perubahan reaksi dan retorik ini, kita perlu meninjau tekanan domestik yang ada di Amerika Syarikat.

Dari Genocide Joe Kepada #AbandonBiden

Pada peringkat awal Perang Oktober 2023, Amerika Syarikat melihat protes besar-besaran di seluruh negara mereka. Lebih 10,000 rakyat Amerika Syarikat berdemonstrasi menentang perang di Washington, manakala di New York, demonstrasi telah dikoordinasikan oleh kumpulan Jewish Voice for Peace.[7] Ini adalah sebahagian contoh dari pelbagai protes lain yang telah meletus di bandar-bandar utama di Amerika Syarikat. Malah di peringkat awal, ahli pentadbiran Amerika Syarikat sendiri telah menentang sokongan ketenteraan Amerika Syarikat terhadap Israel yang bersifat genocidal (pembersihan etnik). Ini dapat dilihat dari perletakan jawatan Josh Paul di mana beliau mengkritik polisi bantuan persenjataan Amerika Syarikat kepada Israel.[8]

Apabila Presiden Joe Biden berulang kali menolak cadangan genjatan senjata, demonstran telah memberikan beliau nama baharu iaitu Genocide Joe.[9] Hal ini kerana, Biden bukan sahaja bersubahat dalam pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin, beliau dan juga Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Anthony Blinken, terlibat secara langsung dalam pembunuhan beramai-ramai ini. Dalam kata lain, Biden dan Blinken boleh dikatakan sebagai penjenayah perang yang telah secara aktif membunuh lebih 15,000 rakyat Palestin yang kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak.

Blinken sendiri lahir dalam keluarga zionis yang merupakan penyokong kuat Israel. Atuknya Maurice Blinken merupakan seorang yahudi dari Hungary yang telah menubuhkan American Palestine Institute selepas perang dunia ke-2, atuknya telah meyakinkan kerajaan Amerika Syarikat untuk menubuhkan negara buat orang yahudi. Dalam ucapannya di dalam majlis yang dianjurkan oleh American Israel Public Affairs Committee (AIPAC), iaitu sebuah badan lobi utama Israel di Amerika Syarikat, Anthony Blinken dengan bangganya memuji sumbangan Amerika Syarikat terhadap Israel. Ini termasuklah 3.3 billion bantuan kewangan tahunan, 500 juta dollar bantuan untuk roket perang, dan juga 1 billion dollar bagi memastikan bekalan sistem Iron Dome Israel mencukupi.[10] Oleh itu tidak hairanlah mengapa Blinken tidak begitu kisah dengan ribuan kanak-kanak yang dibunuh oleh tentera zalim Israel. Mereka yang berharap Blinken akan membantu perjuangan Palestin adalah naif.

Polisi genocide yang diamalkan Biden dan Blinken ini telah menyebabkan rakyat Amerika Syarikat semakin marah. Daripada demonstrasi-demonstrasi yang melaungkan slogan “Genocide Joe has got to go” yang dianjurkan secara berasingan di bandar-bandar utama, kini rakyat Amerika Syarikat telah bergerak dengan lebih tersusun dan teratur dengan kempen yang lebih spesifik.

Antara kempen peringkat kebangsaan yang telah dilancarkan adalah kempen #AbandonBiden yang dilancarkan di Dearbon, Michigan oleh pemimpin-pemimpin Muslim di Amerika Syarikat pada 12 Disember 2023. Kempen ini dilaksanakan bagi memastikan Presiden “Genocide” Joe Biden kalah pada pilihanraya semula yang bakal berlangsung pada tahun 2024. Kempen ini dianjurkan di beberapa negeri yang dipanggil “swing-state” di mana undi dari masyarakat Arab dan Muslim akan menentukan calon mana yang dapat memenangi pilihanraya. Negeri-negeri ini adalah Michigan, Minnesota, Arizona, Wisconsin, Florida, Georgia, Nevada dan Pennsylvania. Jika kempen ini berjaya, Genocide Joe hanya dapat menjadi presiden bagi satu penggal sahaja.

Kempen yang telah diadakan oleh masyarakat Arab dan Muslim ini akan mencabar kebolehan Genocide Joe dalam pilihanraya pada tahun 2024, negeri-negeri swing-state ini mempunyai banyak blok yang dikuasai pengundi Arab dan Muslim. Populasi Arab Muslim di Amerika Syarikat kini mencecah 3.45 juta orang, menurut Arab American Institute, pada pilihanraya 2020, 59% pengundi Arab Muslim telah memilih Biden sebagai presiden.[11] Menurut Hassan Abdel Salam yang merupakan Professor di Universiti Minnesota dan ahli Pakatan Kebangsaan Abandon Biden, masa telah tamat untuk Biden, walaupun dia mengumumkan genjatan senjata pada masa akan datang, ia sudah terlambat, dan kempen #AbandonBiden untuk memastikan kekalahannya tetap akan terus berlangsung.[12]

Daripada hal ini, kita melihat bagaimana politik domestik Amerika Syarikat berubah apabila Israel meneruskan kempen pembersihan etniknya di Gaza. Jika selama ini politik di Amerika Syarikat dikuasai kumpulan lobi zionis seperti AIPAC, kini kita melihat kesan dari perang yang dilancarkan Israel, suara-suara masyarakat Muslim di Amerika Syarikat mula melancarkan jentera yang tersusun bagi memecahkan dominasi zionis. Tekanan dari kempen #AbandonBiden ini akan memberi kesan langsung terhadap Parti Demokrat yang sedang memerintah Amerika Syarikat. Tekanan domestik seperti inilah sebenarnya yang mengubah reaksi dan retorik golongan penguasa di Amerika Syarikat. Dan perubahan-perubahan ini sebenarnya merupakan riak-riak kecil, yang menandakan bahawa ombak besar bakal tiba. Ombak ini bakal mengubah lanskap politik Amerika Syarikat seterusnya mengubah corak hubungan luarnya dengan Israel. Semakin hari, sebenarnya, peluang Israel untuk mengekalkan penjajahan dan dasar rasis apartheid mereka semakin mengecil. Hal ini akhirnya akan membawa kepada pembukaan jalan ke arah pembebasan Palestin.

Canary Mission dan Kempen Anti Zionist Hate

Selain kempen #AbandonBiden yang bersifat politikal dan kebangsaan, terhadap kempen-kempen kecil lain yang tumbuh secara organik untuk melawan organ-organ zionis yang menekan aktivis Palestin. Sebahagiannya merupakan reaksi balas terhadap intimidasi golongan zionis. Antara teknik yang dilakukan oleh Israel bagi mengekang sebarang kritikan yang dilemparkan kepada jenayah perang dan apartheid yang dilakukannya adalah dengan menyerang dan memfitnah sesiapa sahaja yang berani mengkritiknya. Teknik yang digunakan adalah dengan menubuhkan satu laman web anonymous yang mendokumentasikan aktivis Palestin dengan tuduhan-tuduhan palsu seperti rasisme dan anti-semitisme. Laman web ini diberi nama Canary Mission.[13] Tujuan utama dokumentasi ini dilakukan adalah sebagai satu bentuk intimidasi kepada aktivis Palestin untuk merosakkan nama mereka agar mereka tidak mendapat tempat dalam masyarakat, dibuang dari institusi pengajian atau pekerjaan. Target mereka adalah pelajar, professor, dan juga individu berkerjaya yang mengkritik polisi jenayah Israel.

Canary Mission dimiliki oleh Howard Davis Sterling yang merupakan seorang peguam yang menyokong Israel. Menurut Al Jazeera, ia mendapat dana dari Adam Milstein dan juga persatuan pro-Israel seperti Helen Diller Family Foundation dan Jewish Community Foundation of Los Angeles.[14] Canary Mission sangat berhati-hati dalam memadam segala jejak digital mereka untuk memastikan penderma dan staf mereka tidak berjaya dijejaki. Menurut Josh Nathan-Kazis, Canary Mission dioperasikan oleh badan yang dipanggil sebagai Megamot Shalom, yang merupakan badan yang membantu menyalurkan duit cukai rakyat Amerika Syarikat kepada organisasi ekstrimis di Israel. Antara individu yang terlibat di belakang Megamot Shalom termasuklah Jonathan Bash dan Zahava Raymond, Zahava dikenal pasti pernah bekerja dengan organisasi pro-Israel.[15] Walaupun ia cuba bergerak secara rahsia, berdasarkan siasatan sedia ada, Canary Mission dapat dikatakan sebagai organisasi yang dibiyai oleh organisasi yahudi yang mempunyai kaitan dengan Israel.

Respon kepada Canary Mission kebanyakannya bersifat defensif. Erwin Chemerinsky yang merupakan dekan Sekolah Undang-Undang, Universiti Berkeley menyifatkan Canary Mission sebagai laman web ekstrimis dan tidak patut digunakan dalam proses pemilihan individu dalam sektor pekerjaan.[16] Namun selepas perang pembersihan etnik yang dilakukan oleh Israel pada Oktober 2023, respon terhadap kumpulan seperti Canary Mission telah berubah kepada ofensif.

Pada November 2023, sebuah akaun di laman Twitter (yang kini dikenali sebagai X) muncul dengan menggunakan taktik yang sama seperti Canary Mission, ia adalah respon kepada sebuah akaun lain yang kerap menyerang aktivis Palestin dengan memusnahkan kareer mereka. Akaun ini bernama Stop Zionist Hate, ia merupakan akaun untuk melawan akaun Stop Antisemites di Twitter. Namun cubaan mencari akaun Stop Antisemites tidak berjaya pada 06 Disember 2023, besar kemungkinan ia sudah dipadamkan. Stop Zionist Hate menurut kenyataannya pada 13 November 2023 telah berjaya menyerang beberapa orang zionis dan menyebabkan mereka dibuang kerja.[17] Di sini kita melihat perang yang berlaku di Gaza bukan sekadar mengubah dinamik di peringkat nasional. Selain kempen-kempen yang berbentuk politik, rakyat Amerika Syarikat kini turut menubuhkan kumpulan perjuangan yang lebih kecil, yang bersifat organik, untuk melawan organ-organ zionis terutamanya di dalam talian. Ini semua merupakan bentuk tekanan yang apabila dikumpulkan, akan memberi satu tekanan yang signifikan terhadap penyokong Israel yang duduk di kerusi politik serta lobi utama mereka iaitu AIPAC.

Kesimpulan

Melalui analisa ini, dapatlah kita perhatikan bagaimana perang pembersihan etnik oleh Israel terhadap penduduk Gaza di Palestin pada Oktober 2023 sedang mengubah corak politik domestik Amerika Syarikat. Kita melihat kempen-kempen yang bersifat nasional sudah tumbuh dan menjadi penggerak suasana politik dalaman yang akan lebih memihak kepada Palestin. Selain itu tumbuh juga kumpulan-kumpulan kecil organik yang bangun menentang organ-organ zionis. Perubahan ini, walaupun dilihat masih kecil, sebenarnya sangat signifikan dan mampu menjadi kuasa politik yang lebih besar. Ia akan membuka ruang untuk memecahkan dominasi lobi zionis di Amerika Syarikat yang dipelopori oleh AIPAC. Kehilangan sokongan Amerika Syarikat akan menatijahkan berakhirnya kolonialisme terakhir yang masih wujud di dunia, iaitu penguasaan kolonial zionis di Palestin. Jenayah-jenayah yang dilakukan oleh zionis Israel sebenarnya tidak akan bertahan lama, malah dari perkaitan yang telah kita lihat, ia sebenarnya perlahan-lahan menyatukan komuniti dunia, melahirkan gerakan penentangan yang semakin lama semakin meningkat maju dan tersusun. Semua ini akhirnya akan menyumbang kepada pembebasan sepenuhnya Palestin dari penjajahan, kolonialisme, dan apartheid.

Bibliografi

2023. “2023 Military Strength Ranking.” Global Fire Power Index. https://www.globalfirepower.com/countries-listing.php.

2023. “Anthony Blinken 3rd most influential Jew in the World, Zelensky dropped from the list.” Helsinki Times. Oktober 26 . https://www.helsinkitimes.fi/world-int/24380-anthony-blinken-3rd-most-influential-jew-in-the-world-zelensky-dropped-from-the-list.html.

Anzalone, Kyle. 2023. “US Sent Israel 15,000 Bombs Since October 7.” Anti War. Disember 1. https://news.antiwar.com/2023/12/01/us-sent-israel-15000-bombs-since-october-7/ .

n.d. Canary Mission. Accessed Disember 6, 2023. https://canarymission.org/about.

Chemerinsky, Erwin. 2023. “Dean’s Statement: Condemning Canary Mission.” Bekeley Law. Jun 1. https://www.law.berkeley.edu/article/deans-statement-canary-mission/ .

Irwin, Lauren. 2023. “Israel risks ‘strategic defeat’ if civilians aren’t protected, Pentagon chief says.” The Hill. Disember 2. https://thehill.com/policy/defense/4339335-lloyd-austin-israel-risks-defeat-if-civilians-not-protected/ .

Kiczma, Łukasz , and Sułek Mirosław. 2020. “National power rankings of countries 2020.” Oficyna Wydawnicza ASPRA-JR.

Nathan-Kazis, Josh. 2018. “REVEALED: Canary Mission Blacklist Is Secretly Bankrolled By Major Jewish Federation.” Forward. Oktober 3. https://forward.com/news/411355/revealed-canary-mission-blacklist-is-secretly-bankrolled-by-major-jewish/ .

O’Donoghue, Saskia. 2023. “Israel-Hamas war: Death toll surpasses 15,000 and new truce deemed ‘unlikely’ as talks break down.” Euro News. Disember 2. https://www.euronews.com/2023/12/02/israel-hamas-war-israeli-bombing-of-gaza-intensifies-as-truce-comes-to-an-end .

Pappe, Ilan. 2006. The Ethnic Cleansing of Palestine. Oneworld Publications.

Rothchild, Alice. 2019. “Cyber Bullies at Canary Mission Muzzle Free Speech.” Washington Report on Middle East Affairs. Disember 06. https://www.wrmea.org/2020-january-february/cyber-bullies-at-canary-mission-muzzle-free-speech.html .

n.d. “Stop Zionist Hate.” Twitter. Accessed Disember 6, 2023. https://twitter.com/StopZionistHate.

Syed Ahmad Fathi. 2023. “Josh Paul Meletakkan Jawatan Kerana Tidak Mahu Amerika Syarikat Menghantar Senjata Ke Israel Bagi Membunuh Rakyat Gaza.” Isu Semasa.

Syed Ahmad Fathi. 2023. “Kesan Jenayah Yang Dilakukan Oleh Israel Pada Perang Oktober 2023 Di Gaza Terhadap Hubungan Diplomatiknya Dengan Negara-Negara Lain.” Kajian Hubungan Antarabangsa.

Umar A Farooq. 2023. “Muslim leaders in key US swing states launch ‘Abandon Biden’ campaign for 2024 election.” Middle East Eye. Disember 4. https://www.middleeasteye.net/news/muslim-leaders-key-us-swing-states-launch-abandon-biden-campaign-2024-election .

Ward, Myah. 2023. “Swing-state Muslim leaders launch campaign to ‘abandon’ Biden in 2024.” Politico. Disember 02 . https://www.politico.com/news/2023/12/02/swing-state-muslim-leaders-biden-00129758 .


[1] Pembersihan etnik ini telah didokumentasikan oleh ahli sejarah Israel dengan begitu teliti dan terperinci. Militia Yahudi pada tahun 1948 yang diketuai oleh Ben Gurion mempunyai perancangan teliti untuk membersihkan Palestin dalam rangcangan yang dipanggil Rancangan Dalet (Plan D). Mereka telah mengumpul data setiap kampung untuk dibersihkan dalam data yang dipanggil “Village Files”. Rujuk tulisan Ilan Pappe, The Ethnic Cleansing of Palestine. Oneworld Publications, 2006.

[2] Israel menduduki tempat ke-18 dalam ranking yang dikeluarkan oleh Global Fire Power Annual Ranking 2023 dengan PowerIndex sebanyak 0.2757. Tempat pertama adalah Amerika Syarikat (0.0712), Rusia di tangga ke-2 (0.0714), dan China di tangga ke-3 (0.0722). Rujuk laman web Global Fire Power Index, 2023 Military Strength Ranking, pautan: https://www.globalfirepower.com/countries-listing.php Kajian yang dibuat oleh Universiti Warsaw pada tahun 2020 meletakkan Israel di tempat yang ke-29, rujuk Łukasz Kiczma dan Sułek Mirosław. “National power rankings of countries 2020.” Oficyna Wydawnicza ASPRA-JR, Warszawa (2020).

[3] Saskia O’Donoghue. Israel-Hamas war: Death toll surpasses 15,000 and new truce deemed ‘unlikely’ as talks break down. Euro News, 02 Disember 2023. Pautan: https://www.euronews.com/2023/12/02/israel-hamas-war-israeli-bombing-of-gaza-intensifies-as-truce-comes-to-an-end

[4] Hubungan antarabangsa Israel terjejas teruk hasil dari pembersihan etnik kejam yang dilakukan mereka pada bulan Oktober 2023. Antara negara awal yang memutuskan hubungan dengan Israel adalah Bolivia, manakala negara-negara yang menarik semula duta mereka termasuklah Chile, Colombia, Jordan, Turki, Chad, dan Afrika Selatan. Rujuk tulisan Syed Ahmad Fathi. “Kesan Jenayah Yang Dilakukan Oleh Israel Pada Perang Oktober 2023 Di Gaza Terhadap Hubungan Diplomatiknya Dengan Negara-Negara Lain.”. Kajian Hubungan Antarabangsa, 2023.

[5] Ucapan Lloyd Austin ini adalah semasa Reagan National Defense Forum di Simi Valley, California. Rujuk Lauren Irwin. “Israel risks ‘strategic defeat’ if civilians aren’t protected, Pentagon chief says”. The Hill, 02 Disember 2023. Pautan: https://thehill.com/policy/defense/4339335-lloyd-austin-israel-risks-defeat-if-civilians-not-protected/

[6] Antara jenis senjata yang dibekalkan adalah 5,000 MK82, 5,400 MK84 2,000-pound warhead, 1,000 GBU-39, dan 3,000 JDAM. Laporan penuh perihal senjata yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada Israel boleh dirujuk dalam tulisan Kyle Anzalone, “US Sent Israel 15,000 Bombs Since October 7”, Anti War, 01 Disember 2023. Pautan: https://news.antiwar.com/2023/12/01/us-sent-israel-15000-bombs-since-october-7/

[7] Untuk memahami reaksi awal rakyat Amerika Syarikat terhadap perang pembersihan etnik yang dilakukan regim zionis yang rasis ke atas rakyat awam di Gaza, rujuk Syed Ahmad Fathi, “Kesan Jenayah Yang Dilakukan Oleh Israel Pada Perang Oktober 2023 Di Gaza Terhadap Hubungan Diplomatiknya Dengan Negara-Negara Lain.”. Kajian Hubungan Antarabangsa, 2023.

[8] Syed Ahmad Fathi. “Josh Paul Meletakkan Jawatan Kerana Tidak Mahu Amerika Syarikat Menghantar Senjata Ke Israel Bagi Membunuh Rakyat Gaza.” Isu Semasa, 2023.

[9] Ibid.

[10] Antara individu lain yang disenaraikan dalam senarai yahudi paling berpengaruh oleh The Jerusalem Post termasuklah Janet Yellen, Setiausaha Pembendaharaan Amerika Syarikat, dan Mark Zuckerberg, CEO Meta yang memiliki Facebook, rujuk artikel “Anthony Blinken 3rd most influential Jew in the World, Zelensky dropped from the list”, Helsinki Times, 26 Oktober 2023. Pautan: https://www.helsinkitimes.fi/world-int/24380-anthony-blinken-3rd-most-influential-jew-in-the-world-zelensky-dropped-from-the-list.html

[11] Myah Ward. “Swing-state Muslim leaders launch campaign to ‘abandon’ Biden in 2024”. Politico, 02 Disember 2023. Pautan: https://www.politico.com/news/2023/12/02/swing-state-muslim-leaders-biden-00129758

[12] Umar A Farooq. “Muslim leaders in key US swing states launch ‘Abandon Biden’ campaign for 2024 election”. Middle East Eye, 04 Disember 2023. Pautan: https://www.middleeasteye.net/news/muslim-leaders-key-us-swing-states-launch-abandon-biden-campaign-2024-election

[13] Menurut laman web Canary Mission mereka mahu mendokumentasikan kebencian yang dilakukan oleh aktivis anti-Israel. Mereka juga mengatakan bahawa kempen Boycott, Divestment, and Sanction yang ditujukan kepada Israel sebagai anti-semitik. Rujuk web mereka di pautan: https://canarymission.org/about

[14] Untuk mengelakkan tindak balas, Canary Mission melakukan kerja fitnahnya secara anonymous, ia bergerak di belakang tabir dengan menyerang dan membuli aktivis-aktivis Palestin. Rujuk Alice Rothchild. “Cyber Bullies at Canary Mission Muzzle Free Speech”. Washington Report on Middle East Affairs, 06 Disember 2019. Pautan: https://www.wrmea.org/2020-january-february/cyber-bullies-at-canary-mission-muzzle-free-speech.html

[15] Walaupun Canary Mission cuba untuk merahsiakan organisasinya di belakang tabir. Terdapat usaha-usaha untuk menjejaki identiti mereka. Rujuk siasatan yang dibuat oleh Josh Nathan-Kazis. “REVEALED: Canary Mission Blacklist Is Secretly Bankrolled By Major Jewish Federation”. Forward, 03 Oktober 2018. Pautan: https://forward.com/news/411355/revealed-canary-mission-blacklist-is-secretly-bankrolled-by-major-jewish/

[16] Surat yang ditulis oleh Erwin Chemerinsky kepada komuniti undang-undang. Rujuk “Dean’s Statement: Condemning Canary Mission”. Bekeley Law, 01 Jun 2023. Pautan: https://www.law.berkeley.edu/article/deans-statement-canary-mission/

[17] Akaun Twitter Stop Zionist Hate boleh dirujuk di pautan https://twitter.com/StopZionistHate . Manakala kenyataan mereka berjaya menyerang zionis dan melawan akaun Stop Antisemites boleh dirujuk di pautan https://twitter.com/StopZionistHate/status/1723847691363377455

Kesan-Perang-Pembersihan-Etnik-di-Gaza-Pada-Oktober-2023Download
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Politik Tagged With: amerika syarikat, gaza, genocide joe, israel, palestin

Kesan Jenayah Yang Dilakukan Oleh Israel Pada Perang Oktober 2023 di Gaza Terhadap Hubungan Diplomatiknya Dengan Negara-Negara Lain

November 11, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Kekejaman ke atas bangsa Palestin bermula pada tahun 1947-1948 apabila militia-militia Zionis mula membakar kampung-kampung dan mengusir penduduk Palestin. Sebanyak 418 kampung Palestin telah dibakar dan dihancurkan oleh militia Zionis.[1] Di atas kemusnahan kampung-kampung inilah Israel ditubuhkan. Sejak dari itu, perang Israel ke atas bangsa Palestin tidak pernah berhenti. Kekejaman, pembunuhan beramai-ramai, peperangan, pengusiran, kolonialisasi, dan pelbagai jenayah lain terus dilaksanakan oleh Israel ke atas penduduk Palestin sehinggalah ke tahun 2023. Dari kekejaman Israel ini lahirlah pelbagai bentuk gerakan perjuangan pembebasan dalam kalangan rakyat Palestin. Hari ini, mungkin gerakan Islam Hamas lebih dikenali sebagai gerakan perjuangan pembebasan Palestin, namun sebenarnya terdapat gerakan-gerakan lain termasuklah dari gerakan kiri yang memperjuangkan pembebasan Palestin.[2] Pada 07 Oktober 2023, Hamas yang merupakan salah satu gerakan pembebasan Palestin telah melancarkan serangan ke atas Israel melalui laut, darat, dan udara.[3] Oleh kerana tidak mampu mengalahkan Hamas, tentera Zionis Israel telah mengebom penduduk awam di Gaza. Pengeboman Israel ke atas penduduk awam yang kebanyakannya adalah kanak-kanak ini telah mendapat kecaman dunia. Penulisan ini akan melihat bagaimana jenayah Israel ke atas Palestin terutamanya pada Perang Oktober 2023 mempengaruhi hubungan diplomatik Israel dengan negara-negara lain.

Pemutusan Hubungan Diplomatik Dan Penarikan Duta Negara

Negara pertama yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel disebabkan keganasan yang dilakukan di Gaza pada Oktober 2023 adalah Bolivia. Pada 31 Oktober 2023, Timbalan Menteri Luar Bolivia, Freddy Mamani berkata tindakan tersebut dilakukan sebagai penolakan dan kecaman terhadap tindakan agresif dan keterlaluan oleh tentera Israel di Gaza.

Tekanan diplomatik ke atas Israel ini diikuti oleh negara Chile apabila presidennya, Gabriel Boric telah memanggil semula dutanya dari Tel Aviv pada 31 Oktober 2023. Menurut Boric apa yang dilakukan oleh Israel di Gaza adalah pelanggaran kepada Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa yang tidak boleh diterima. Boric mengecam tindakan tentera Israel yang telah melakukan serangan dan hukuman kolektif terhadap penduduk Gaza.

Selepas Chile, negara lain yang memanggil semula duta mereka adalah Colombia. Presiden Gustavo Petro mengumumkan penarikan semula duta Colombia. Menurut beliau, Colombia tidak boleh terus bersama Israel jika mereka tidak menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan di Palestin.[4]

Negara Arab pertama yang memanggil semula duta mereka dari Israel adalah Jordan. Sejak tahun 1994, Jordan telah mengikat perjanjian damai dengan Israel. Pada 01 November 2023, Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi telah memanggil semula dutanya sebagai kecaman kepada pembunuhan penduduk awam di Gaza.[5] Selepas Jordan, Bahrain menjadi negara Arab kedua yang mengambil tindakan diplomatik. Pada 02 November 2023, Parlimen Bahrain dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa mereka telah memanggil pulang duta mereka dan memutuskan semua hubungan ekonomi dengan Israel. Duta Israel di Bahrain juga telah dihalau keluar. Bahrain menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel bermula pada tahun 2020 dalam siri perjanjian yang dikenali sebagai Abrahamic Accords.[6]

Negara Amerika Latin selepas Bolivia, Chile, dan Colombia yang mengenakan tindakan diplomatik ke atas Israel adalah Honduras. Pada 03 November 2023, Honduras telah memanggil semula dutanya, Roberto Martinez untuk mengadakan konsultasi dengan Presiden Xiomara Castro di Tegucigalpa perihal situasi kemanusiaan yang merungsingkan di Gaza yang berlaku pada penduduk Palestin.[7]

Pada 04 November 2023, Turki telah menarik semula dutanya dari Israel kerana keengganan Israel untuk menghentikan keganasannya di Gaza. Menurut kenyataan Menteri Luar Turki, dutanya Sakir Ozkan Torunlar telah dipanggil pulang atas tragedi kemanusiaan yang dilakukan oleh Israel di Gaza. Walaubagaimanapun, menurut Presiden Erdogan, pemutusan hubungan diplomatik sepenuhnya tidak dapat dilakukan.[8] Pada tarikh yang sama, Chad juga telah memanggil semula diplomatnya dari Israel. Dalam kenyataan Menteri Luar Chad, pegawai chargé d’affaires mereka di Israel telah dipanggil pulang. Chad dalam kenyataannya mengutuk pembunuhan orang awam yang tidak bersalah oleh Israel.[9]

Negara seterusnya yang memanggil semula duta dan misi diplomatik di Israel adalah Afrika Selatan. Kerajaan Afrika Selatan mengecam keras pengeboman Israel terhadap penduduk awam di Gaza sebagai satu jenayah “genocide”, iaitu satu usaha pembersihan etnik. Presidennya Khumbudzo Ntshavheni telah mengambil keputusan untuk memanggil semula semua diplomatnya dari Israel, beliau juga memberi amaran kepada duta Israel di Afrika Selatan atas tindak tanduknya. Sementara itu, rakyat Afrika Selatan telah berdemonstrasi di kedutaan Amerika Syarikat dan Israel di Pretoria dan Cape Town dan mendesak duta Israel diusir keluar dari Afrika Selatan.[10]

Gusar dengan keadaan ini, di mana Israel semakin hari semakin dipulau oleh negara-negara di seluruh dunia, perdana menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah mengumpulkan dan memanggil semua duta-duta negara luar di Israel pada 06 November 2023 di Tel Aviv. Netanyahu merayu agar negara-negara lain bersama-sama dengannya menyokong Israel.[11] Semasa ucapan Netanyahu mengajak dunia bersama Israel, mereka telah berjaya membunuh penduduk Palestin secara beramai-ramai. Menurut data dari Menteri Kesihatan di Gaza, pada 07 November 2023, Israel telah berjaya membunuh 10,022 orang manusia, dari angka ini 4,100 adalah kanak-kanak yang tidak berdosa.[12]

Pudarnya Sokongan Terhadap Israel di Amerika Syarikat

Perang yang dilancarkan kepada Gaza tidak boleh difahami sebagai hanya perang oleh Israel terhadap penduduk Palestin. Perang ini sebenarnya merupakan perang oleh Amerika Syarikat terhadap Palestin. Apabila perang Oktober 2023 bermula, Amerika Syarikat menghantar bom dan senjata setiap hari ke Israel. Menurut jurucakap Amerika Syarikat di Pentagon, Sabrina Singh, Amerika Syarikat tidak meletakkan apa-apa syarat ke atas senjata ini dan terpulang kepada tentera penjajahan Israel untuk menggunakannya sesuka hati mereka.[13] Sokongan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya terutamanya Eropah tidaklah menghairankan. Kerana Israel merupakan satu projek kolonial Eropah, oleh itu orang-orang Eropah merasakan Israel itu sebahagian dari mereka dan perlu dipertahankan. Namun pemikiran sempit kolonial ini sudah ketinggalan zaman, ia ditolak oleh keseluruhan dunia, bahkan rakyat di negara-negara Eropah sendiri menolaknya.

Di Amerika Syarikat sendiri, rakyat Amerika Syarikat telah berdemonstrasi secara luar biasa menolak sokongan Presiden Joe Biden kepada Israel. Pada 04 November 2023, seramai lebih 10,000 rakyat Amerika Syarikat telah berdemonstrasi di Freedom Plaza, Washington mendesak Presiden Joe Biden segera melakukan genjatan senjata dan menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan ke atas kanak-kanak Palestin di Gaza. Presiden Joe Biden telah digelar dengan nama barunya iaitu “Genocide Joe”, yang membawa maksud Joe si pembunuh beramai-ramai. Demonstran telah bersorak:

“Biden, Biden, you can’t hide! We charge you with genocide!”

“Hey hey! Ho ho! Genocide Joe has got to go!”[14]

Selain Washington, demonstrasi turut meletus di pelbagai ceruk di Amerika Syarikat. Di New York, ratusan demonstran dari gerakan Jewish Voice for Peace telah mengadakan demonstrasi di kawasan ikonik Statue of Liberty pada 06 November 2023 bagi menuntut genjatan senjata serta merta.[15] Mereka juga telah berdemonstrasi di Grand Central, New York pada 27 Oktober 2023 di mana peristiwa ini menyaksikan 350 orang aktivis mereka ditahan. Para aktivis membawa sepanduk “ceasefire now” dan “let Gaza live”.[16]

Pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel ke atas Gaza yang bermula pada Oktober 2023 juga menyaksikan pertembungan sengit antara solidariti Palestin melawan simpatisan apartheid Israel di kampus-kampus pengajian tinggi di Amerika Syarikat. Ratusan pelajar berdemonstrasi di Universiti Columbia, New York bagi menyatakan solidariti kepada Palestin dan mendesak agar penjajahan Israel ditamatkan.[17] Di Universiti Havard, 34 persatuan pelajar telah mengeluarkan kenyataan menyokong Palestin dan mengecam polisi rasisme apartheid yang diamalkan oleh Israel.[18]

Kerajaan Amerika Syarikat yang diperintah oleh Parti Demokrat yang diketuai “Genocide Joe” juga menghadapi masalah dari sudut politik. Ini kerana pakatan mereka bergantung kepada undi yang signifikan dari masyarakat Amerika berketurunan Arab. Sokongan masyarakat Arab Amerika terhadap “Genocide Joe” turun kepada hanya 29% pada tahun 2023 berbanding dari 74% pada tahun 2020 menurut Institut Arab Amerika. Penurunan ini disebabkan kekecewaan mereka terhadap polisi Joe Biden yang menyokong pembunuhan beramai-ramai Israel ke atas Gaza. Populasi Arab di Amerika Syarikat berjumlah 3.7 juta orang, dan undi mereka akan mempengaruhi kawasan-kawasan yang dipanggil “swing states” seperti Michigan, Ohio, dan Pennsylvania. Jika dikira bersama populasi Muslim di Amerika Syarikat, jumlah mereka adalah sekitar 7 juta orang. Jika situasi ini berterusan, “Genocide Joe” dijangka akan kalah teruk dalam Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat yang akan berlangsung pada 05 November 2024.[19]

Sokongan terhadap “Genocide Joe” bukan hanya menurun dikalangan bakal pengundinya. Malah terdapat pegawai-pegawai dalam pentadbirannya sendiri yang juga tidak menyokong polisi ketenteraan Amerika Syarikat kepada Israel. Pada peringkat awal perang, apabila Amerika Syarikat bersetuju menghantar senjata kepada Israel, Josh Paul yang merupakan direktor di Biro Hal Politik-Ketenteraan di Jabatan Negara Amerika Syarikat telah meletakkan jawatan sebagai protes. Menurut beliau tiada perbincangan yang menyeluruh dilakukan sebelum kerajaan memutuskan untuk menghantar senjata ke Israel. Hal ini berbeza dengan kes-kes lain di mana ada perbincangan menyeluruh sebelum senjata dibekalkan kepada negara luar.[20] Sebanyak lebih 1,000 pegawai yang bertugas di dalam Agensi Bantuan Kemanusiaan Amerika Syarikat (USAID) menandatangan gesaan agar genjatan senjata segera dilaksanakan. Mereka menuntut Israel diheret ke muka pengadilan dan penjajahan Israel ditamatkan.[21]

Dalam satu memo yang dibocorkan, diplomat Amerika Syarikat sendiri telah mengkritik pentadbiran “Genocide Joe” atas sokongan tidak berasas yang diberikan kepada Israel. Mereka mengutuk serangan kejam Israel ke atas Palestin.[22] Ini menunjukkan bahawa kepudaran sokongan terhadap Israel di Amerika Syarikat sebenarnya lebih besar dari apa yang disangkakan. Ini dapat dilihat dalam kalangan sentimen rakyat, pengundi, dan juga bibit-bibit kritikan yang mula keluar dari pegawai pentadbiran Amerika Syarikat sendiri. Suara rakyat Palestin juga kini sudah memasuki dewan-dewan kuasa di Amerika Syarikat. Walaupun suara mereka masih kecil jika dibandingkan dengan suara pro-Israel yang lebih kuat hasil dari lobi gerakan seperti AIPAC, ini merupakan satu perkembangan positif yang melihatkan sudah ada sedikit perubahan dalam dewan-dewan kuasa. Suara Palestin di US House of Representatives dibawa oleh Rashida Tlaib yang mewakili Michigan. Suara beliau sangat ditakuti sehingga dewan di Amerika Syarikat pada 07 November 2023 meluluskan usul agar beliau dikecam (censure).[23] Kecaman ini hanya membuktikan bahawa lobi pro-Israel di Amerika Syarikat mula kehilangan pengaruh, suara-suara Palestin yang tumbuh terpaksa dihalang dengan kuasa. Namun ini hanya akan menyebabkan orang mula bersimpati dengan Palestin, mereka akan melihat bagaimana kuasa digunakan untuk menutup jenayah perang. Situasi ini hanya akan menyebabkan suara Palestin semakin kuat dan berkembang. Lebih kuat kuasa yang menindasnya, maka lebih kuat reaksi penentangan akan berlangsung.

Reaksi Negara-Negara Lain Ke Atas Israel

Selain tindakan diplomatik yang jelas seperti pemutusan hubungan dan penarikan duta. Jenayah pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel kepada Gaza turut mendapat reaksi dari negara-negara dunia. Tindakan ketenteraan Israel ke atas penduduk Palestin di Gaza mendapat sokongan yang kuat dari Amerika Syarikat. Amerika bukan sahaja membekalkan senjata kepada Israel, tetapi memberikan perlindungan diplomatik kepada Israel dalam forum antarabangsa. Amerika Syarikat menolak sebarang usaha genjatan senjata bagi membenarkan Israel terus membunuh kanak-kanak di Gaza.[24] “Genocide Joe” malah meminta tambahan 14.3 billion Dollar dari duit cukai rakyat Amerika Syarikat untuk membantu Israel membunuh rakyat Gaza.[25] 

Namun sokongan Amerika Syarikat ini mula menampakkan tentangan dari beberapa negara Barat yang secara tradisinya menyokong dan bersekutu dengan Amerika Syarikat. Parlimen Wales sebagai contoh telah mengutuk serangan di Gaza dan mendesak agar genjatan senjata segera dibuat.[26] Desakan ini bertentangan dengan posisi Amerika Syarikat yang mahukan Israel terus membunuh rakyat Palestin.

Menteri Hak Sosial Sepanyol, Ione Belarra menggesa Israel dikenakan sekatan (sanction) atas jenayah pembunuhan beramai-ramai terancang (planned genocide) yang dilaksanakannya.[27] Gesaan Belarra ini diikuti dengan gesaan yang sama oleh Timbalan Perdana Menteri Belanda, Petra De Sutter. Beliau menggesa sekatan dikenakan ke atas Israel dan siasatan hendaklah dijalankan atas tindakan Israel mengebom hospital dan kem pelarian. Menurut De Sutter pengeboman Israel ini tidak berperikemanusiaan dan jelas Israel tidak peduli gesaan masyarakat antarabangsa yang mahukan genjatan senjata segera dilaksanakan.[28] Malah sokongan Israel semakin merosot hingga Belgium dan beberapa negara Eropah lain sedang mempertimbangkan dasar untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.[29]

Walaupun pada mulanya, sekutu-sekutu Amerika Syarikat di Barat, sama-sama berkokok bahawa “Israel has the right to defend itself”, konsensus ini semakin lama semakin goyah. Imej kematian kanak-kanak yang keluar telah memuncakkan perasaan penduduk dunia. Protes besar-besaran berlangsung di bandar-bandar besar Eropah. Konsensus ini akhirnya pecah apabila Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada 11 November 2023 berkata dalam satu temu ramah bahawa “Israel perlu berhenti membunuh bayi dan perempuan”. Macron menyatakan bahawa pembunuhan yang dilakukan Israel tidak dapat dijustifikasikan dan beliau menggesa segera dilakukan genjatan senjata. Seruan ini bertentangan dengan posisi “Genocide Joe” yang mahukan Israel meneruskan kekejaman penjajahannya. Di sini kita melihat, sekutu Amerika Syarikat sendiri sudah tidak dapat bertahan dengan tekanan domestik dan antarabangsa. Ini akan membawa kepada isolasi Israel dan Amerika Syarikat secara keseluruhan di arena antarabangsa.[30]

Israel Merasai Tekanan Antarabangsa

Semua tekanan antarabangsa ini dirasai oleh Israel, dalam satu analisis yang ditulis oleh Amos Harel dalam Haaretz pada 09 November 2023, beliau menyatakan bahawa penjajahan Israel ke atas Gaza pada Perang Oktober 2023 perlu berlumba dengan tekanan masyarakat antarabangsa. Hamas menurut beliau, melihat kepada mobilisasi Israel secara besar-besaran memilih strategi menunggu di dalam terowong mereka.[31] Strategi Hamas ini ada logiknya kerana mereka akan mempunyai kelebihan dalam perang jangka masa panjang. Selain tekanan antarabangsa yang kian memuncak semakin lama Israel meneruskan penjajahan, Israel juga mengalami tekanan ekonomi. Anggaran yang dibuat oleh Kementerian Kewangan Israel, kos peperangan dijangka berjumlah 200 billion Shekels bersamaan dengan 51 billion Dollar. Anggaran ini dibuat dengan anggapan perang tidak melebihi 1 tahun dan perang tidak merebak ke kawasan-kawasan lain.[32]

Selain dari tekanan antarabangsa dan ekonomi, Israel juga berhadapan dengan tekanan domestik. Angka kematian yang ramai akan menyebabkan perang yang dilancarkan oleh Israel semakin tidak popular dikalangan rakyatnya sendiri. Berbanding dengan peperangan pada tahun 2014, perang yang bermula pada Oktober 2023 menyaksikan korban tentera Israel naik mendadak sebanyak dua kali ganda. 67 tentera Israel mati semasa perang 2014 yang berlangsung selama 7 minggu. Manakala pada Perang Oktober 2023, Israel merekodkan kematian 26 tentera hanya dalam masa satu minggu.[33] Angka ini bagaimanapun tidak tepat sepenuhnya kerana Israel tidak mengesahkan banyak kematian, angka sebenar kemungkinan jauh lebih tinggi. Pada 10 November 2023, angka kematian tentera penjajahan Israel yang diumumkan meningkat kepada 38 orang.[34] Peningkatan angka kematian tentera setiap hari akan memberi tekanan domestik kepada Israel untuk menghentikan penjajahan di Gaza.

Rumusan

Menurut John Mearsheimer, Israel tidak mungkin akan dapat mengalahkan Hamas.[35] Perang gerila menggunakan terowong akan memberikan banyak kelebihan pada Hamas, dan menatijahkan korban yang sangat banyak kepada tentera Israel. Sekali pun Israel berjaya memusnahkan kebolehan ketenteraan Hamas, mereka tidak akan dapat menghapuskan Hamas kerana Hamas adalah idea pembebasan. Penghapusan Hamas hanya akan melahirkan Hamas 2.0 dan seterusnya. Ia tidak akan berhenti sehingga penjajahan terhenti dan hak mereka dikembalikan. Penulisan ini telah meninjau bagaimana pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Gaza memberikan implikasi buruk pada Israel di dalam arena diplomasi antarabangsa. Sokongan terhadap Israel oleh sekutu tradisi mereka iaitu Amerika Syarikat juga semakin hari semakin terhakis. Tanpa Amerika Syarikat, Israel akan jatuh dengan cepat seperti mana runtuhnya kerajaan boneka di Afghanistan dalam hanya beberapa jam selepas Amerika Syarikat meninggalkannya. Israel akan semakin terisolasi dan hilang sekutu-sekutu tradisi mereka. Dari analisa ini, dapatlah kita fahami bahawa kejatuhan Israel itu pasti. Cuma yang belum pasti adalah garis masa tentang bila ia akan berakhir.

Nota: Tulisan ini diterbitkan pada 11 November 2023. Pada ketika ini perang antara Hamas dan Israel masih berterusan dan memasuki hari yang ke-35. Setakat artikel ini ditulis, perang ini masih berlangsung dan pastilah banyak lagi perkara yang akan terjadi dan tidak dimuatkan dalam penulisan kali ini. Data-data harian seperti jumlah rakyat Palestin yang dibunuh Israel dan juga jumlah askar Israel yang terbunuh dalam pertempuran pasti akan meningkat setiap hari.


[1] Walid Khalidi. All That Remains: The Palestinian Villages Occupied and Depopulated by Israel in 1948. Berkeley: University of California Press, 1991. Senarai 418 kampung yang dimusnahkan oleh militia Zionis boleh dilihat di laman web Palestine-Israel Journal. Pautan: https://pij.org/articles/224/the-418-destroyed-villages-of-palestine

[2] Syed Ahmad Fathi. “Perjuangan Palestin Daripada Sisi Golongan Kiri.” Neo-Melayu, 2021.

[3] Muhammad Fauzi Asmuni. “Taufan Al-Aqsa: Perubahan Kedudukan Kuasa Palestin-Israel”. ISMA, 09 Oktober 2023. Pautan: https://isma.org.my/taufan-al-aqsa-perubahan-kedudukan-kuasa-palestin-israel/

[4] Antoinette Radford. “Bolivia severs diplomatic ties with Israel over Gaza war”. BBC, 01 November 2023. Pautan: https://www.bbc.com/news/world-latin-america-67281584

[5] “Jordan recalls ambassador to Israel to protest Gaza ‘catastrophe’.” Aljazeera, 01 November 2023. Pautan: https://www.aljazeera.com/news/2023/11/1/jordan-recalls-ambassador-to-israel-to-protest-gaza-catastrophe

[6] Sneha Swaminathan. “After Jordan, Bahrain recalls ambassador to Israel, cuts economic ties”. WION, 02 November 2023. Pautan: https://www.wionews.com/world/after-jordan-bahrain-recalls-ambassador-to-israel-cuts-economic-ties-654405

[7] “Honduras recalls ambassador to Israel, following Chile and Colombia’s lead” Buenos Aires Herald, 03 November 2023. Pautan: https://buenosairesherald.com/world/international-relations/honduras-recalls-ambassador-to-israel-following-chile-and-colombias-lead

[8] Brian Bushard. “Turkey Latest Pulling Ambassador From Israel — Joining These 6 Other Countries”. Forbes, 04 November 2023. Pautan: https://www.forbes.com/sites/brianbushard/2023/11/04/turkey-latest-pulling-ambassador-from-israel—joining-these-6-other-countries/?sh=69e4848411b1

[9] David McKenzie, Sarah Dean, Joseph Ataman and Maya Szaniecki. “South Africa and Chad recall diplomats from Israel”. CNN, 06 November 2023.

[10] Mogomotsi Magome. “South Africa recalls ambassador and diplomatic mission to Israel and accuses it of genocide in Gaza”. AP News, 06 November 2023. Pautan: https://apnews.com/article/south-africa-israel-palestine-diplomats-withdraw-7a1a0ab8524a8d35fa05c1215766853c

[11] “WATCH: Netanyahu to foreign ambassadors: ‘There is no substitute for victory. We will defeat Hamas. We will dismantle Hamas.’” All Israel News, 06 November 2023. Pautan: https://allisrael.com/netanyahu-to-foreign-ambassadors-there-is-no-substitute-for-victory-we-will-defeat-hamas-we-will-dismantle-hamas

[12] Najib Jobain, Jack Jeffery and Lee Keath. “Israeli forces cut off north Gaza to isolate Hamas as an advance on the urban center looms”. AP News, 06 November 2023. Pautan: https://apnews.com/article/israel-hamas-war-news-11-6-2023-51286d15dddd77ae0dd7ea76ee52bc71

[13] “Pentagon says US sending almost daily weapons shipments to Israel” The Times of Israel, 30 Oktober 2023. Pautan: https://www.timesofisrael.com/liveblog_entry/pentagon-says-us-sending-almost-daily-weapons-shipments-to-israel/?fbclid=IwAR27FZwLNCj3y82nIQzgIv5iNbGzfAWZsT15wW79Ik9sN2K-tK9XOda3Sjg

[14] Jack Crosbie. “‘Genocide Joe’: Massive D.C. Cease-Fire Protest Directs Its Rage at Biden”. Rolling Stone, 05 November 2023. Pautan: https://www.rollingstone.com/politics/politics-features/palestine-protest-dc-directs-rage-joe-biden-1234870593/

[15] “JVP took over the Statue of Liberty to demand a ceasefire”. Jewish Voice for Peace, 07 November 2023. Pautan: https://www.jewishvoiceforpeace.org/2023/11/07/wire-statue-of-liberty/

[16] “Shut it down: JVP’s Grand Central action demanding ceasefire generated wall-to-wall coverage”. Jewish Voice for Peace, 30 Oktober 2023. Pautan: https://www.jewishvoiceforpeace.org/2023/10/30/shut-it-down-grand-central-coverage/

[17] Kayla Epstein. “Israel and Gaza on campus: Tumult at US colleges as two sides dig in”. BBC, 16 Oktober 2023. Pautan: https://www.bbc.com/news/world-us-canada-67114291

[18] “Harvard students blame ‘apartheid regime’ for Israel-Gaza war, alumni react”. Aljazeera, 10 Oktober 2023. Pautan: https://www.aljazeera.com/news/2023/10/10/harvard-students-blame-apartheid-regime-for-israel-gaza-war-alumni-react

[19] Darren Lyn. “Crisis for US Democrats as Arab American voters ditch Gaza ‘genocide accomplice’ Biden”. Anadolu Agency, 06 November 2023. Pautan: https://www.aa.com.tr/en/americas/crisis-for-us-democrats-as-arab-american-voters-ditch-gaza-genocide-accomplice-biden/3045299#

[20] Syed Ahmad Fathi. “Josh Paul Meletakkan Jawatan Kerana Tidak Mahu Amerika Syarikat Menghantar Senjata Ke Israel Bagi Membunuh Rakyat Gaza.” Isu Semasa, 2023.

[21] Ali Harb. More than 1,000 USAID employees sign letter backing Israel-Gaza ceasefire. Aljazeera, 08 November 2023. Pautan: https://www.aljazeera.com/news/2023/11/8/more-than-1000-usaid-employees-sign-letter-backing-gaza-ceasefire

[22] “New leaked memo sees US diplomats call for ceasefire in Gaza and public criticism of Israel”. The New Arab, 07 November 2023. Pautan: https://www.newarab.com/news/us-diplomats-call-gaza-ceasefire-criticism-israel

[23] Clare Foran, Melanie Zanona, Annie Grayer and Morgan Rimmer. “House passes resolution to censure Tlaib over Israel comments”. CNN, 08 November 2023. Pautan: https://edition.cnn.com/2023/11/07/politics/rashida-tlaib-censure-vote/index.html

[24] “Blinken rejects push by Arab states for immediate Gaza ceasefire”. Aljazeera, 05 November 2023. Pautan: https://www.aljazeera.com/program/newsfeed/2023/11/5/blinken-rejects-push-by-arab-states-for-immediate-gaza-ceasefire

[25] Farrah Hassen. “Americans Want A Ceasefire. It’s Our Politicians Who Are Out Of Touch”. Foreign Policy in Focus. 08 November 2023. Pautan: https://fpif.org/americans-want-a-ceasefire-its-our-politicians-who-are-out-of-touch/

[26] David Deans. “Gaza: Welsh Parliament calls for ceasefire”. BBC, 09 November 2023. Pautan: https://www.bbc.com/news/uk-wales-politics-67357824

[27] Graham Keeley. “Spain’s Ione Belarra: Israel must end ‘genocide’ of Palestinians in Gaza”. Aljazeera, 08 November 2023. Pautan: https://www.aljazeera.com/news/2023/11/8/deafening-silence-spanish-minister-calls-on-europe-to-sanction-israel

[28] “Belgium wants sanctions against Israel for Gaza bombings – deputy PM”. Middle East Monitor, 08 November 2023. Pautan: https://www.middleeastmonitor.com/20231108-belgium-wants-sanctions-against-israel-for-gaza-bombings-deputy-pm/

[29] Safaa Kasraoui. “Belgium Considers Recognizing State of Palestine, Vows Sanctions Against Israel”. Morocco World News, 09 November 2023. Pautan: https://www.moroccoworldnews.com/2023/11/358862/belgium-considers-recognizing-state-of-palestine-vows-sanctions-against-israel

[30] “Macron calls on Israel to stop killing Gaza’s women and babies”. BBC, 11 November 2023. Pautan: https://www.bbc.com/news/world-europe-67356581

[31] Amos Harel. “As Israeli Troops Push Into Gaza City, the International Clock Is Ticking”. Haaretz, 09 November 2023. Pautan: https://www.haaretz.com/israel-news/2023-11-09/ty-article/.premium/as-israeli-troops-push-into-gaza-city-the-international-clock-is-ticking/0000018b-b089-df42-a78f-bdcb20530000

[32] Abdel Ra’ouf Arnaot. Initial cost of Gaza war for Israel amounts to $51B: Report. Anadolu Agency. 05 November 2023. Pautan: https://www.aa.com.tr/en/middle-east/initial-cost-of-gaza-war-for-israel-amounts-to-51b-report/3044401

[33] Hamas Has Deadlier Weapons Than the Last Time Israel Invaded Gaza. The Wall Street Journal, 06 November 2023. Pautan: https://www.wsj.com/livecoverage/israel-hamas-war-gaza-strip-2023-11-04/card/hamas-has-deadlier-weapons-than-the-last-time-israel-invaded-gaza-Ee1MMVvCFa4SCEQIMOK0?fbclid=IwAR1SlWdMhAMYUehls5N_g5MoWbCjQDNl5qZneOJ-wKDqSQlJg4pxRj8qiqc

[34] Abdelraouf Arna’out. Another Israeli soldier killed in Gaza brings death toll since start of ground operation to 38. Anadolu Ajansi, 10 November 2023. Pautan: https://www.aa.com.tr/en/middle-east/another-israeli-soldier-killed-in-gaza-brings-death-toll-since-start-of-ground-operation-to-38/3049461

[35] Syed Ahmad Fathi. “Israel Tidak Mungkin Akan Berjaya Menghapuskan Hamas Melalui Perang Darat Menurut John Mearsheimer.” Isu Semasa, 2023.

Kesan-Jenayah-Perang-Yang-Dilakukan-Oleh-Isarel-di-Gaza-Terhadap-Hubungan-Diplomatiknya-Dengan-Negara-Download
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Berita Tagged With: amerikasyarikat, gaza, hamas, hubungan antarabangsa, hubungan diplomatik, idf, israel, palestin

Josh Paul Meletakkan Jawatan Kerana Tidak Mahu Amerika Syarikat Menghantar Senjata Ke Israel Bagi Membunuh Rakyat Gaza

November 1, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

“I am leaving today because I believe that in our current course with regards to the continued-indeed, expanded and expedited-provision of lethal arms to Israel – I have reached the end of that bargain..”

– Josh Paul

agi Josh Paul, beliau menceburi bidang sekuriti antarabangsa apabila berlakunya peristiwa 11-September seperti kebanyakan warga Amerika lain, terutamanya selepas penjajahan Amerika ke atas Iraq di mana pada ketika itu beliau merupakan anak muda yang bekerja di Washington. Beliau ketika itu mahu menceburi bidang yang baharu dan yang lebih menyeronokkan. Beliau akhirnya berjaya mendapat kerja di Coalition Provisional Authority di Baghdad. Beliau tidak ke sana sebagai seorang idolog tetapi ia adalah pengalaman pembelajaran yang sangat mendasar. Beliau berkhidmat bersama Tentera Sekuriti Iraq dan melihat sendiri bagaimana polisi luar Amerika Syarikat dilaksanakan di lapangan. Beliau melihat keduanya, perkara yang baik, juga perkara yang sangat buruk. Selepas pengalaman itu, beliau sangat fokus dalam mengintegrasikan hak asasi manusia ke dalam kerja-kerjanya di dalam dan di luar kerajaan Amerika Syarikat.

Beliau meletakkan jawatan atas beberapa sebab, pertamanya adalah dari sebab yang bersifat kuantitatif. Keganasan yang sedang meletus di Gaza antara Israel dan Hamas kali ini adalah dalam skala yang secara fundamentalnya tidak pernah kita lihat sebelum ini. Untuk berlaku jelas, Hamas bertanggungjawab atas serangannya kepada penduduk awam Israel menurut Josh Paul. Tetapi serangan Israel juga kita lihat skalanya sangat berbeza dari serangan sebelum ini. Terdapat juga sebab yang bersifat kualitatif. Josh berkata beliau pernah terlibat dalam banyak kes yang sangat mencabar dan kompleks secara moral yang melibatkan penghantaran senjata kepada entiti asing. Perbezaannya, sebelum ini terdapat ruang untuk berhujah, berdiskusi, perlengahan, mitigasi, dan jika didapati bahawa ia tidak akan membawa kepada natijah yang dimahukan, kita sekurang-kurangnya boleh untuk menyerahkan kes tersebut ke kongres menurut Josh Paul, kerana penjualan senjata besar-besaran perlu dilakukan dengan notifikasi kepada kongres, di mana akan berlaku hujah dan diskusi yang lebih panjang, juga usaha untuk membatalkan jualan tersebut. Pada kes kali ini, perdebatan seperti ini tidak wujud, yang ada hanyalah usaha tergopoh-gapah untuk menghantar senjata ke tempat konflik di mana orang awam dibunuh beramai-ramai. Perkara ini tidak difahami oleh Josh, dan beliau tidak dapat menghentikannya. Disebabkan tidak ada ruang untuk perdebatan dalam pentadbiran dan di kongres, Josh merasakan perkara ini perlu diketengahkan ke mata rakyat awam.

Terdapat undang-undang asas akan perkara ini iaitu Arms Export Control Act of 1976 dan juga Foreign Assistance Act of 1968, undang-undang ini memberikan asas bagaimana dan bila senjata boleh dihantar ke luar. Didalamnya terkandung peraturan di mana senjata hanya boleh dihantar untuk tujuan tertentu seperti pertahanan dan operasi bersama. Pertahanan ini hendaklah mempunyai legitimasi, dan senjata yang dibekalkan hendaklah hanya digunakan untuk tujuan yang telah dipersetujui. Menurut Josh Paul, semua orang bersetuju bahawa pencabulan hak asasi manusia dan pembunuhan orang awam beramai-ramai bukanlah sebab yang membolehkan senjata Amerika Syarikat dibekalkan.

Di samping undang-undang, setiap pentadbiran sejak dari pentadbiran Reagan telah mengeluarkan satu polisi yang dinamakan sebagai Conventional Arms Transfer Policy, polisi ini telah membentuk pemikiran dan analisis bagi setiap kes, ia dibincangkan case-by-case basis. Polisi Biden harus dipuji kerana ia mengangkat lagi polisi ini dengan memasukkan frasa “more likely than not”, ini merupakan satu standard di mana pembekalan senjata tidak akan diluluskan jika senjata yang dibekalkan kemungkinan besar akan digunakan dalam mencabul hak asasi manusia. Bagi Josh, apa yang dilakukan Israel sangat jelas, terutamanya senjata yang dibekalkan seperti precision guided munitions akan digunakan di Gaza untuk mencabul hak asasi manusia. Malah, Josh Paul yakin inilah yang sedang dilakukan oleh Israel yang menyebabkan pembunuhan ramai rakyat awam.

Setiap negara di mana Amerika Syarikat memberikan bantuan kepada sesebuah unit, unit tersebut akan dikaji sebelum diberikan bantuan ketenteraan. Dalam kes Israel, Amerika Syarikat memberi bantuan dahulu, kemudian barulah meneliti laporan pencabulan hak asasi manusia. Jika laporan itu ada, ia akan dibawa ke dalam proses polisi State Department dan konsultasi akan dilakukan dengan Israel, di mana mereka memberikan laporan versi mereka, kemudian ditentukan sama ada pencabulan hak asasi manusia telah dilakukan atau tidak. Sehingga hari ini, melalui proses yang dinamakan sebagai Israel Leahy Vetting Process, tidak ada satu keputusan pun yang dibuat bahawa Israel telah melanggar hak asasi manusia. Ini sangat bermasalah apabila kita melihat kepada, bukan sahaja Gaza, tetapi di Tebing Barat di mana terdapat begitu banyak laporan pembunuhan tanpa pengadilan, dan pelbagai jenis pencabulan yang dilakukan oleh tentera Israel.

Bagi Josh Paul, pendatang haram Yahudi yang menyerang orang Palestin dan menggunakan keganasan bagi kepentingan politik mereka, mereka adalah teroris menurut definisi teroris itu sendiri. Apa yang berlaku sekarang adalah keengganan mengkritik Israel, ini adalah kes yang unik dan istimewa, terdapat banyak sebab dalam hal ini, ada diantaranya yang mempunyai legitimasi. Tetapi akhirnya, jika tiada satu standard internasional, maka sebenarnya Amerika Syarikat tidak mempunyai standard.

Kebanyakan undang-undang ini memerlukan State Department untuk membuat keputusan sebelum sebarang sekatan atau penarikan bantuan dilakukan. Jika mereka tidak pernah membuat keputusan, maka secara teknikalnya, mereka tidak pernah mengingkari undang-undang. Josh Paul merasakan standard undang-undang dalam hal ini sangat lemah, sepatutnya standard yang lebih tinggi diperlukan. Dalam permasalahan ini, ia juga melibatkan tafsiran kepada undang-undang.

Polisi tentang Israel pada masa ini dibuat melalui pihak atasan, ini bukanlah sesuatu yang tipikal kerana kebanyakan senjata yang dijual biasanya bermula dari bawah, bermula dengan satu permohonan dari syarikat, tetapi dalam kes Israel, keputusan sudah dibuat dari awal, jadi tiada proses di bawah yang dapat dilakukan. Keputusan ini terletak di tangan presiden dan dia bertanggungjawab. Bagi Josh Paul, bantuan kewangan berbillion dollar kepada Ukraine, Israel, dan Taiwan memerlukan diskusi terutamanya ketika isu ini sedang mendapat perhatian. Ia perlu dibincangkan sebelum perhatian umum itu berubah.

Josh Paul merasakan bahawa setelah berlangsung beberapa minggu, ada perubahan yang telah berlaku dalam pentadbiran Amerika Syarikat, mereka mula memperkatakan perihal rakyat Palestin yang dibunuh, namun dari segi tindakan kita masih melihat berbillion diperuntukkan bagi membekalkan senjata dan hanya beberapa ratus juta untuk bantuan bagi rakyat yang menjadi magsa perang, Josh sangat skeptikal perubahan akan berlaku dalam masa terdekat. Perubahan kelihatan hanaya akan berlaku dalam jangka masa panjang.

Perang sememangnya mempunyai peraturan walaupun ia kadang kala tidak dapat dikuatkuasakan. Amerika Syarikat sejak sekian lama telah menghalang warga Palestin untuk mendapatkan keadilan dari Mahkamah Antarabangsa. Akhirnya, kita bukan membicarakan soal sama ada Israel adalah benar atau salah, apa yang hendak kita ketengahkan adalah hak manusia biasa sama ada dia adalah seorang warga Palestin atau Israel. Untuk mereka hidup dalam keadaan aman, mempunyai tempat tinggal yang selamat, mereka harus selamat dari serangan roket dan juga dari serangan jet F-16. Josh Paul berharap agar pentadbiran Amerika Syarikat akan melihat pada sejarah polisi negara, sama ada yang positif atau tidak, dan mendesak Israel dan semua pihak kepada solusi yang lebih adil agar semua orang dapat hidup dengan aman. Semua manusia mahu hidup dengan selamat bersama keluarga mereka.

Bagi Josh Paul, solusi kepada masalah ini dapat dilihat dari dua sudut. Pertama dalam soal pemberian senjata, standard yang sama perlulah dikuatkuasakan dalam proses meluluskan penghantaran, perlu ada ruang diskusi dan perdebatan. Kedua, untuk menyelesaikan masalah ini kita memerlukan pendekatan baru yang radikal tentang bagaimana untuk mencapai keamanan di Timur Tengah, hari ini kita melihat polisi sedia ada telah gagal. Solusi dua negara (two states solution) tidak lagi dapat dilakukan. Dengan peningkatan penempatan haram oleh Israel dan juga pembinaan jaringan pengangkutan untuk menyokongnya, solusi seperti Perjanjian Oslo tidak lagi dapat dilaksanakan. Untuk meruntuhkan semua penempatan ini adalah tidak praktikal melihat kepada jenis kerajaan Israel pada hari ini. Jadi, apakah solusi yang tinggal? Jika kita belajar dari sejarah beberapa dekad yang lalu, polisi yang dilaksanakan adalah “dengan sekuriti keamanan dapat dicapai”. Tetapi kita melihat, semakin Israel selesa dengan sekuriti yang mereka ada, mereka meluaskan lagi penempatan haram mereka, mereka juga terus mencabul hak sivil orang Palestin di Tebing Barat, dan meneruskan sekatan di Gaza. Oleh itu perlu ada perubahan fikir, mungkin solusinya adalah “keamanan untuk sekuriti” bukan sebaliknya.

Setiap orang mahukan keamanan, termasuk mereka yang duduk di hujung bahagian yang ekstrem di kedua-dua belah pihak. Untuk berunding kita memerlukan kepercayaan dan kepimpinan. Kedua-dua pihak tidak mempunyai perkara ini pada masa kini. Amerika sekarang sedang menghadapi cabaran untuk menguasai dunia, terdapat kuasa lain yang mencabarnya dari Amerika Latin hingga ke Timur Tengah, senjata paling kuat yang dipunyai Amerika Syarikat adalah nilainya, inilah yang membezakannya dari kuasa authoritarian lain di dunia termasuklah kuasa-kuasa yang sedang mencabarnya sekarang.

Namun Amerika Syarikat tidak mengaplikasikan nilainya dengan saksama, sebaliknya bersikap hipokrit. Amerika Syarikat menentang penjajahan di Ukraine tetapi menyokong penjajahan Israel di Palestin. Amerika kononnya mahu melindungi penduduk awam, tetapi membutakan matanya malah membantu pembunuhan rakyat awam di tempat lain. Ini sebenarnya merosakkan nilai Amerika Syarikat dan ia tidak dapat dibaiki lagi. Nilai ini sepatutnya dikongsi dengan dunia bagi membantu membina dunia yang lebih baik.

Josh Paul menceritakan pengalaman beliau hidup bersama komuniti di Iraq dan Ramallah di mana beliau mula mendengar perspektif yang berbeza. Beliau terdedah dengan budaya lain, apabila beliau melihat bagaimana kehidupan warga Palestin diperlakukan dengan begitu buruk sekali, ini membuatkan beliau faham akan perspektif lain yang berbeza. Amerika Syarikat mempunyai kuasa yang besar di dalam dunia, mereka mempunyai pengaruh dan kedudukan, ini sebenarnya datang dengan tanggungjawab. Apabila bekerja dengan kerajaan Amerika Syarikat, kita akan menyelesaikan masalah yang tidak diselesaikan oleh kerajaan lain, kerana kita terlibat dalam banyak persoalan yang kompleks ini.

Untuk melihat dunia yang lebih aman, setiap rakyat boleh melakukan sesuatu. Mereka boleh menghubungi ahli kongres dan senat, panggilan-panggilan ini akan mempengaruhi mereka, kerana ahli politik sentiasa ingin mengetahui perihal siapa pengundi mereka. Kedua, mereka boleh menghubungi media-media lokal, pastikan mereka mendapat cerita dari perspektif yang ingin kita sampaikan. Ketiga adalah keperluan untuk merancang dan bekerja dalam organisasi untuk memperjuangkan isu ini. Bagi Josh, inilah yang dia sarankan untuk rakyat Amerika Syarikat yang perihatin. Mereka yang bekerja dalam kerajaan mestilah menggunakan peluang yang ada untuk melakukan perkara yang baik.


Transliterasi ini merupakan terjemahan tidak literal kepada temu ramah bersama Josh Paul dalam program The Laura Flanders Show yang diterbitkan pada 29 Oktober 2023. Rakaman temu bual ini boleh diakses di pautan ini.

Josh Paul merupakan seorang direktor di State Department yang telah berkhidmat selama 11 tahun di Bureau of Political-Military Affairs yang merupakan entiti kerajaan Amerika Syarikat yang menghantar bantuan persenjataan kepada rakan dan sekutunya.

Josh-Paul-Meletakkan-Jawatan-Kerana-Tidak-Mahu-Amerika-Syarikat-Menghantar-Senjata-Ke-Israel-Bagi-Membunuh-Rakyat-GazaDownload
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Berita

Israel Tidak Mungkin Akan Berjaya Menghapuskan Hamas Melalui Perang Darat Menurut John Mearsheimer

October 31, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Menurut John Mearsheimer, penjajahan darat Israel ke atas Gaza akan menjadi malapetaka besar buat Israel jika ia berlaku. Israel tidak mungkin akan berjaya menghapuskan Hamas. Dalam proses ini, Israel akan menghadapi kematian askar yang sangat banyak dan posisi Israel di mata dunia akan terhakis dengan begitu signifikan. Posisi Israel di mata dunia sebenarnya sudah pun terhakis dengan kadar yang sangat pantas sekarang, ini akan berterusan dan akan menjadi lebih buruk. Kemasukan tentera darat juga akan mengundang kepada merebaknya perang ini, Hezbollah dan Iran kemungkinan akan menyertai perang ini jika Israel masuk ke Gaza melalui darat. Perkara ini bukan sahaja akan menjadi buruk kepada Israel, ia juga adalah sesuatu yang buruk buat Amerika Syarikat.

Terdapat 3 isu utama dalam kita menganalisa Perang Israel-Palestin yang kembali memuncak pada 7 Oktober 2023. Imej Israel pada permulaan 07 Oktober 2023 berada dalam keadaan yang baik, semua kerajaan Barat termasuk banyak kerajaan di seluruh dunia mengecam tindakan Hamas yang membunuh rakyat awam Israel, tetapi isunya bukan sahaja serangan Hamas, tetapi apakah punca serangan ini. Kedua adalah bagaimana tindak balas Israel terhadap serangan ini. Apabila dua isu ini diketengahkan, imej Israel kelihatan begitu buruk. Setiap manusia faham bahawa apa yang menyebabkan serangan 07 Oktober 2023 adalah layanan buruk yang diberikan kepada rakyat Palestin terutamanya di Gaza sejak sekian lama. Israel sering mengulangi ayat bahawa mereka berhak mempertahankan diri, tiada siapa mempersoalkan hak itu, persoalannya bagaimana Israel mempertahankan diri. Faktanya adalah Israel membunuh begitu ramai rakyat Palestin, mengebom tanpa henti, dalam proses ini reputasi Israel kelihatan buruk. Inilah apa yang sedang terjadi.

Sebelum peristiwa 07 Oktober 2023, orang-orang Arab di jalanan sudah mula hilang minat perihal persoalan Palestin. Malah kerajaan-kerajaan Arab termasuk kerajaan Islam seperti Iran telah hilang minat perihal perjuangan Palestin. Tetapi selepas 07 Oktober, situasi ini tidak lagi menjadi kes pada hari ini, orang-orang Arab di jalanan dan juga kerajaan mereka kini begitu bimbang dengan situasi di Palestin. Kerajaan Israel memang sejak sekian lama tidak berminat untuk membentuk dua negara (two states solution), ambisi mereka adalah untuk mendirikan Israel Raya (The Greater Israel). Namun solusi dua negara ini sudah kembali diperkatakan, sekurang-kurangnya dalam bentuk retorik. Di masa hadapan Israel akan menghadapi masalah kerana ia akan didesak untuk menerima solusi dua negara termasuklah dari Presiden Amerika Syarikat. Kerana masyarakat mahu keluar dari kemelut ini, dan solusi dua negara adalah solusi terbaik yang mereka fikirkan.

Presiden Jimmy Carter merupakan presiden yang cuba dengan bersungguh-sungguh menjayakan solusi dua negara, tiada presiden selepas Carter yang lebih sedikit usahanya untuk cuba melaksanakan fasilitasi untuk solusi ini kecuali Joe Biden. Pentadbiran Biden memperuntukkan perhatian yang sangat rendah kepada solusi dua negara, kerana mereka dan kerajaan Netanyahu merasakan mereka sudah berjaya mengawal orang-orang Palestin, jadi tidak perlu untuk mengetengahkan solusi dua negara. Jika Presiden Joe Biden mengusahakan pelan untuk mewujudkan dua negara, dia bakal membayar harga politik kerana lobi Israel di Amerika Syarikat sangat komited mempertahankan kerajaan Netanyahu. Kerajaan Netanyahu pula langsung tidak berminat dengan solusi dua negara. Oleh itu, memang secara politik kita dapat fahami kenapa Biden tidak mahu mengutarakan solusi ini, dan juga Netanyahu merasakan dia dapat bertahan tanpa perlu memberikan hak kepada orang Palestin, namun semua ini tidak berjaya apabila situasi meletup pada 07 Oktober 2023. Peristiwa ini memberi masalah kepada Israel dan Amerika Syarikat.

Israel pada pandangan Mearsheimer berhak bertindak balas atas peristiwa 07 Oktober 2023, tetapi persoalannya bagaimana mereka bertindak balas. Jika kita melihat apa yang dilakukan di Gaza, ia membuatkan kita semua berasa sakit. Israel telah membunuh 7,000 warga Palestin, dari jumlah itu 3,000 adalah kanak-kanak. Israel sendiri mengakui bahawa mereka tidak berniat untuk melakukan serangan dengan tepat, sebaliknya mereka mahu melakukan kemusnahan yang besar. Mereka telah melaksanakan kemusnahan yang sangat besar, ini telah mencalarkan imej mereka dan memberi masalah kepada Israel dan Amerika Syarikat.

Menurut Mearsheimer, dua general dalam kabinet perang Israel mahu perang darat bermula, namun Netanyahu masih teragak-agak. Maksudnya di sini adalah posisi Netanyahu sendiri dalam kerajaan campurannya menghadapi masalah. Jika pun dia memulakan penjajahan ke atas Gaza, kesannya adalah malapetaka yang sangat buruk, Israel tidak boleh masuk ke dalam Gaza dan dengan mudah mengalahkan Hamas, ia tidak akan berlaku.

Tentera Amerika Syarikat yang dikerahkan ke bahagian konflik ini menurut Mearsheimer hanya bertujuan untuk mengelakkan pihak lain untuk masuk campur dalam peperangan ini. Amerika Syarikat bimbang akan penglibatan Hezbollah, Iran dan juga militia-militia lain yang telah mula menyerang posisi Amerika di Syria dan Iraq. Amerika menurut Mearsheimer tidak akan bersama secara langsung dalam operasi Israel untuk menjajah Gaza. Presiden Biden adalah seorang yang gila menurut Mearsheimer jika dia melibatkan tentera Amerika secara langsung. Biden akan membiarkan Israel menguruskan masalah ini, malah melibatkan tentera Amerika tidak akan membantu situasi yang sedang berlaku. Amerika tidak mempunyai formula istimewa untuk mengalahkan Hamas, tentera Israel yang telah berlatih untuk operasi ini, Amerika Syarikat telah belajar dari Perang Iraq, jika tentera memasuki bandar seperti Falujah atau Mosul, tentera tersebut tidak akan menang dengan mudah, begitu juga di Gaza. Ini akan menjadi masalah besar buat Israel termasuklah dalam soal politik domestik, di mana mereka akan mendapat lebih banyak tekanan dalaman, juga imej mereka di mata masyarakat antarabangsa akan semakin buruk.

Antara pemimpin yang telah berucap dengan panas mengkritik Israel adalah Presiden Recep Tayyip Erdogan dari Turkiye, walaupun retoriknya panas, pandangan Erdogan ini, menurut Mearsheimer dikongsi oleh masyarakat di luar Amerika Syarikat, Britain, dan Israel, ia masuk akal. Masyarakat dalam dunia Islam, masyarakat dalam sfera global south, termasuklah Rusia dan China mahukan keganasan segera dihentikan, dan mereka melihat sikap hipokrit Barat dalam membezakan Israel dan Palestin, sukar untuk kita menafikan hal ini. Menurut Mearsheimer pandangan bahawa Hamas bukan teroris sebaliknya pejuang pembebasan adalah hujah yang mempunyai legitimasi, Mearsheimer menambah bahawa ia adalah pejuang pembebasan yang menggunakan taktik teroris. Hamas adalah pejuang pembebasan yang melawan polisi-polisi Israel, dan kadang kala mereka menggunakan kaedah teroris.

Menurut Mearsheimer, selepas perang ini berakhir, Netanyahu akan diturunkan dari kuasa. Apa yang berlaku hari ini mirip dengan peristiwa pada tahun 1973, ketika itu Golda Meir adalah perdana menteri Israel dan Moshe Dayan merupakan menteri pertahanan Israel. Ketika itu Israel diserang tanpa dijangka, ia merupakan serangan yang tidak dijangka seperti 07 Oktober 2023. Rakyat Israel ketika itu bersatu padu di belakang Golda Meir dan Moshe Dayan dan mereka mendapat kemenangan yang hebat. Mereka berjaya menawan Golan dari Syria dan menguasai Sinai daripada Mesir, tetapi selepas itu Meir dan Dayan diturunkan dari kuasa dan kerjaya politik mereka berakhir. Jika kita menilai persepsi rakyat Israel ketika ini, Netanyahu tidak mendapat sokongan dan bakal menghadapi situasi yang sama.

Peperangan kali ini juga telah membuka ruang diplomatik yang lebih besar bagi Rusia dan China. Presiden Putin telah mengeluarkan kenyataan bahawa Amerika Syarikat gagal menyelesaikan masalah Palestin, dan ini sememangnya tepat perihal pentadbiran Presiden Joe Biden. Sebab utama berlakunya perang di Timur Tengah adalah kerana kegagalan polisi Amerika Syarikat. Putin menggesa agar dilakukan penyelesaian dengan pembentukan dua negara dengan menghormati hak rakyat Palestin dan Israel.


Transliterasi ini adalah berdasarkan diskusi Prof. John Mearsheimer dalam stream bersama Judge Napolitano-Judging Freedom bertajuk How the Israeli invasion of Gaza is hurting Israel?  yang berlangsung di atas talian pada 28 Oktober 2023. Rakaman diskusi ini boleh diakses di pautan ini.

Professor John J. Mearsheimer adalah R. Wendell Harrison Distinguished Service Professor di Jabatan Sains Politik, Universiti Chicago, di mana beliau mengajar sejak tahun 1982. Beliau adalah adalah ahli teori dalam bidang hubungan antarabangsa dan berfahaman realis. Fahaman ini berpegang bahawa kuasa besar mendominasi sistem internasional dan mereka saling bersaing dalam hal keselamatan sesama mereka, yang kadangkala menatijahkan peperangan. Beliau juga antara intelektual yang menentang Perang Iraq pada tahun 2003 sebelum ia berlangsung.

Israel-Tidak-Mungkin-Akan-Berjaya-Menghapuskan-Hamas-Melalui-Perang-Darat-Menurut-John-MearsheimerDownload
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Uncategorized

Idea Longue Durée Dalam Aliran Sejarah Annales

October 22, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Perkembangan kajian sejarah telah melahirkan cabang-cabang aliran baru dalam mengkaji sejarah. Antara aliran yang tumbuh adalah aliran sejarah Annales yang membawa pendekatan sejarah keseluruhan. Aliran sejarah ini telah keluar dari perspektif sejarah tradisional yang hanya mengkaji tindak tanduk manusia terutamanya dalam persoalan politik, pemerintahan, perang, dan kekuasaan. Antara idea yang lahir dari aliran Annales adalah idea longue durée yang dipelopori oleh Fernand Braudel. Idea ini membawa perspektif analisis yang lebih luas dengan jangka masa yang lebih lama. Ia menganalisa faktor-faktor di luar agensi manusia dari lapangan seperti kosmologi, kimia, fizik, biologi, geologi, biologi, cuaca, geografi, dan sebagainya dalam mencorak hidup manusia. Penulisan ini akan melihat idea Braudel ini dengan lebih dekat dan menganalisa masalah, applikasi, serta sumbangannya.

Aliran Sejarah Annales

Aliran sejarah Annales merupakan aliran yang muncul pada tahun 1920-an di Perancis. Ia menganjurkan penulisan sejarah yang berbentuk menyeluruh “total history”. Antara pelopor aliran sejarah ini termasuklah Lucien Febvre, Marc Bloch, Fernand Braudel, dan Emanuel Le Roy Ladurie.[1] Ahli-ahli sejarah asal yang menggagaskan aliran sejarah Annales di Perancis ini tidak begitu mementingkan sejarah intelektual, kerana mereka mengkaji faktor-faktor di luar agensi manusia yang mempengaruhi sejarah.

Bagi aliran ini, pengaruh agensi manusia seperti sejarah intelektual misalnya, termasuk dalam kajian sejarah mentaliti.[2] Oleh itu, dalam idea longue durée tradisi Annales, sejarah dianalisa dalam jangka masa panjang, manakala sejarah intelektual tidak begitu mendapat tempat.[3] Sebaliknya fokusnya adalah pengaruh-pengaruh luaran lain terutamanya dari alam semula jadi seperti keadaan geografi, cuaca, yang akhirnya memberikan kesan kepada cara manusia menyusun hidup mereka. Di sini kita melihat pengaruh yang dimainkan oleh faktor luaran dalam pembentukan sejarah. Kajiannya lebih luas dan tidak terbatas pada kelakuan-kelakuan manusia. Walaupun begitu, kajian mereka tetap boleh dikatakan sebagai sejarah kerana akhirnya, kesan-kesan luar ini dikaitkan dengan kehidupan manusia. Oleh itu, aliran Annales bolehlah dikatakan sebagai satu aliran sejarah. Pendekatan berbeza yang diambil juga menyumbang kepada pelbagai sudut pandang baru yang sebelum ini diabaikan oleh perspektif sejarah tradisional.

Idea Sejarah Longue Durée

Pada tahun 1956, Fernand Braudel telah menggantikan Lucien Febre sebagai ketua direktor bagi jurnal Annales.[4] Pada tahun 1958, Braudel telah menulis perihal idea longue durée ketika beliau menulis perihal sejarah dan sains sosial.[5] Braudel merupakan generasi kedua yang lahir dari sekolah sejarah aliran Annales di Perancis. Beliau membawakan perspektif sejarah yang melihat kepada kondisi semulajadi dalam alam yang telah membentuk tingkah laku manusia dalam jangka masa yang sangat panjang. Braudel menulis bagaimana keadaan geografi di Mediterranean dengan kawasan pergunungan dan lautnya telah mempengaruhi kewujudan perdagangan  dan hubungan politik setempat.[6] Kajian aplikasi kesan geografi kepada situasi politik masih dapat dilihat dalam penulisan kontemporari, contohnya tulisan Tim Marshall yang mengkaji bagaimana batas geografi menentukan konflik geo-politik dunia.[7]

Longue durée adalah idea sejarah berjangka masa panjang, dalam hal ini, sesuatu peristiwa itu tidak dilihat pengaruhnya terhad pada zaman tertentu atau tempoh masa tertentu, tetapi berterusan hingga beberapa abad bahkan millenia. Penulisan dengan idea berbentuk longue durée ini sebenarnya memang sudah bertapak dalam beberapa bidang, terutamanya sejarah arkeologi, perbandingan sosiologi, dan teori sistem dunia, namun dalam bidang lain ia tidak diperluaskan, hinggalah ia muncul semula dalam penulisan sejarah yang bersifat universal contohnya melalui penulisan Oswald Spengler dan Arnold Toynbee.[8]

Kemunculan semula sejarah berjangka masa panjang ini juga dapat dilihat dengan keluarnya penulisan-penulisan seperti “sejarah dunia” dan juga “sejarah besar”. Hal ini menampakkan tumbuhnya minat untuk melihat sejarah melalui panorama penyelidikan yang lebih panjang dan luas, namun sejarah-sejarah berbentuk mikro masih lagi dapat dilihat penghasilannya melalui penulisan biografi.[9] Penulisan sejarah besar dapat dilihat melalui ambisinya yang menulis sejarah sejak dari peristiwa letupan pertama (Big Bang) yang dikatakan sebagai titik awal kewujudan alam semesta. Tulisan sebegini mengambil maklumat dan data dari pelbagai bidang termasuk kosmologi, astronomi, geologi, evolusi biologi, arkeologi, dan juga sejarah sosiologi.[10]

Sejarah yang memfokuskan kepada manusia secara relatifnya lebih sempit berbanding sejarah besar. Kerana sejarah besar bukan bermula dari permulaan manusia, sebaliknya bermula dengan permulaan alam. Namun sejarah manusia mengkaji dengan lebih dalam berbanding sejarah tradisional, ia turut mengkaji aspek pra-sejarah di mana manusia belum mempunyai kesedaran sejarah dan belum mula menulis sejarah. Skop jangka masanya juga berbeza, jika sejarah besar mengkaji skop masa berbillion tahun ke belakang, sejarah manusia biasanya mengkaji skop masa ratus ribu tahun lampau. Cubaan menulis sejarah manusia dapat dilihat melalui penulisan Yuval Noah Harari yang cuba menjejaki evolusi dan perubahan spesis Homo Sapiens. Beliau membahagikan sejarahnya kepada beberapa zaman seperti zaman revolusi kognitif, zaman revolusi agrikultur, dan zaman revolusi saintifik.[11]

Masalah Pada Idea Sejarah Longue Durée

Walaupun sejarah besar nampak seperti gah dengan permandangan yang lebih luas, namun ia tidak dapat menempatkan persoalan makna, nilai, dan sebab musabab. Ini kerana dalam lapangan kosmologi dan geologi misalnya, agensi manusia tidak wujud dan tidak mempunyai sebarang pengaruh.[12] Atas kelompongan ini, persoalan yang timbul adalah adakah ruang kajian ini boleh dikategorikan sebagai bidang sejarah kerana ada sarjana yang berpandangan bahawa sejarah adalah bidang yang mengkaji sebab dan musabab.[13] Edward Carr sebagai contoh, mengatakan bahawa tugas ahli sejarah adalah memberikan sebab-sebab yang rasional apabila berlakunya sesuatu peristiwa. Sebab ini penting kerana ia mempunyai nilai praktikal kepada manusia untuk diambil pelajaran dan digunakan pada masa hadapan.[14] Tanpa agensi manusia dalam lapangan kosmologi dan geologi, kita tidak dapat merumuskan satu sebab rasional yang praktikal untuk kegunaan pelajar sejarah.

Selain dari ketiadaan agensi manusia dalam sejarah besar. Paradigma materialisma juga menjadikan bidang ini tidak begitu mendalam apabila dilihat dari perspektif kebolehan manusia mempengaruhi sesuatu peristiwa. Paradigma materialisma akan menerangkan pemikiran dan budaya sebagai produk kepada reaksi kimia di dalam otak manusia dan juga refleks biologi mereka. Manakala budaya dan agama pula adalah produk kepada keperluan ekonomi pada sesuatu zaman.[15] Disebabkan hal ini, idea menjadi cerita kehidupan yang tidak substantif, ia menjadi sesuatu yang abstrak dan tidak mempunyai akar sejarah yang bergantung kepada sesuatu konteks yang spesifik.[16]

Walaupun idea sejarah aliran Annales mempunyai masalah. Tidak dinafikan bahawa mereka mempunyai sumbangan terutamanya dalam melihat sejarah dalam bentuk longue durée. Perspektif ini bagi saya mengayakan sejarah kerana ia melihat aspek yang selama ini diabaikan sejarah tradisional. Juga, kerana akhirnya kesan-kesan luaran yang dikaji dikaitkan semula pengaruhnya kepada manusia, maka saya merasakan batas kajiannya masih termasuk dalam skop sejarah.

Applikasi Idea Longue Durée Dalam Kajian Sejarah

Daripada penulisan asal Braudel dapat kita fahami bahawa idea longue durée ini dapat digunakan dalam kajian yang mengkaji kesan zaman lampau kepada masa kini yang tidak mempunyai campur tangan dan agensi manusia. Tetapi apabila kita mengatakan bahawa idea longue durée ini adalah sejarah jangka masa panjang, apakah batasan “jangka masa panjang” itu? Menurut Mathias Grote, dalam menjawab persoalan ini kita mesti melihat bagaimana keberlangsungan (continuity) mempengaruhi sesebuah kajian.[17]

Jika Braudel mengkaji bagaimana faktor seperti geografi dan juga cuaca mempengaruhi kehidupan manusia, di sini kita melihat ada faktor keberlangsungan. Contohnya, musim-musim yang ada dalam kitaran alam. Bagi Grote, keberlangsungan yang sama dapat dilihat dalam kehidupan manusia, manusia juga mempunyai kitaran kehidupan seperti kelahiran, pendewasaan, penuaan, dan kematian. Oleh sebab itu, idea longue durée ini boleh juga diaplikasikan dalam kajian sejarah sains, kitaran kehidupan manusia mempunyai keberlangsungan. Selain itu, sains juga merupakan satu bentuk aktiviti sosial dan budaya yang mempunyai sejarah untuk dikaji. Dalam kata lain, kitaran kehidupan manusia dapat menjadi sandaran untuk mengaplikasikan idea longue durée dalam kajian sains terutamanya sains hayat. Dalam kajian seperti ini, kita dapat melihat kesan sesuatu faktor dari sudut berlalunya latar masa di belakangnya. Kesan ini mungkin tidak nampak begitu ketara dalam pemerhatian biasa dan memerlukan panorama masa yang lebih panjang untuk dikesan.[18] Applikasi idea longue durée dalam sains hayat misalnya dapat dilihat dalam mengkaji sejarah penyakit.[19]

Selain dari mengkaji sejarah sains, idea sejarah longue durée juga dapat membantu kita memahami kesejarahan sesuatu teknik dan metodologi sejarah. Contohnya, sesetengah sarjana berpandangan bahawa sejarah oral itu sama tuanya dengan sejarah itu sendiri, malah ada yang berpandangan bahawa sejarah oral adalah jenis sejarah yang pertama. Tetapi dengan menggunakan idea longue durée, kita dapat melihat bahawa sejarah oral itu terletak dalam konteks budaya dan sosial yang lebih besar. Dengan permandangan yang lebih jauh, kita dapat melihat akar sejarah bagaimana manusia menggunakan sejarah oral untuk mengetahui perihal hidup dan kehidupan orang lain. Dalam kata lain, kita dapat memahami bahawa sejarah oral itu sendiri mempunyai akar sejarah, dan ia bukanlah bersifat nir-masa (timeless).[20]

Longue Durée Dalam Sosiologi Sejarah

Apabila sesuatu gerakan sosial atau politik itu dilihat dari perspektif lokal dan jangka masa yang singkat, kita akan gagal melihat perkaitannya dengan pertumbuhan gerakan tersebut dengan manifestasi sebelumnya dalam sejarah. Perspektif singkat juga akan mengaburi mata kita dari melihat aspek proses permatangan sesuatu gerakan. Di sini lahirnya kepentingan melihat fenomena sosial melalui idea longue durée yang membawakan perspektif sejarah berjangka masa panjang, dengan ini kita dapat menganalisa stuktur ideologi politik yang muncul dengan lebih menyeluruh.

Idea asal longue durée yang keluar dari sekolah sejarah aliran Annales adalah bersifat deterministik, dan tidak melihat pengaruh agensi manusia dalam penyebaban sesuatu peristiwa. Tetapi idea longue durée juga boleh membawa maksud perspektif metodologi yang melihat perubahan sosial sebagai satu produk dari keadaan politik dan sosial yang spesifik dalam satu struktur dan proses yang berkait rapat dengan sesebuah penyusunan sosial.[21] Sebagai contoh, jika kita mengkaji kelahiran sesuatu gerakan politik, ia tidak boleh dilihat dari lensa setempat dan juga tempoh semasa sahaja. Pasti ada keadaan sosial dan politik sebelumnya yang menjadi faktor kepada kelahirannya, dengan melihat dari jangka masa yang lebih panjang, kita akan dapat memahami bagaimana evolusi dan perubahan sosial itu berlaku. Tidak hanya mengambil kira isu-isu yang bersifat spesifik dan semasa, tetapi mengkaji asal usul dan sebab musabab yang lebih lama sifatnya.

Kesimpulan

Penulisan ini telah membahaskan idea longue durée yang lahir dari sekolah sejarah aliran Annales. Ia telah cuba mengupas secara ringkas idea ini dari sudut definisi, skop, masalah, dan juga applikasinya. Walaupun idea longue durée ini mempunyai masalah, terutamanya dalam versi asalnya yang bersifat deterministik, namun ia sebenarnya boleh diaplikasikan dengan lebih luas serta mengambil kira tafsiran dan pendekatan baharu. Tidak dapat dinafikan bahawa ia mempunyai sumbangan terutamanya dalam usaha memahami sejarah yang lebih menyeluruh dan tidak hanya tertakluk pada batas tindak tanduk manusia. Kesedaran kepada sejarah yang lebih menyeluruh ini akan membantu manusia mencorakkan masa depannya. Seperti yang dikatakan oleh Carr bahawa masa depan sejarah adalah perubahan.[22] Pada pandangan saya, dengan memahami sejarah yang lebih menyeluruh, maka kita dapat melakukan perubahan yang lebih menyeluruh.

Bibliografi

Armitage, D. (2012). What’s the Big Idea? Intellectual History and the longue durée. History of European Ideas 38, no. 4, 493-507.

Arrizabalaga, J. (2005). History of disease and the longue durée. History and philosophy of the life sciences, 41-56.

Braudel, F. (1958). Histoire et sciences sociales: la longue durée. Annales. Histoire, Sciences Sociales, vol. 13, no. 4 Cambridge University Press, 725-753.

Carr, E. (1964). What is History. Penguin Books.

Freund, A. (2019). “Confessing animals”: Toward a longue durée history of the oral history interview. The Oral History Review.

Grote, M. (2015). What could the’longue durée’mean for the history of modern sciences? FMSH-WP-2015-98.

Harari, Y. N. (2015). Sapiens: A Brief History of Humankind. Vintage.

Marshall, T. (2015). Prisoners of Geography: Ten Maps That Tell You Everything You Need to Know About Global Politics. Elliott & Thompson.

Saull, R., Anievas, A., Davidson, N., & Fabry, A. (2014). The longue durée of the far-right: an introduction. In The Longue Durée of the Far-Right (pp. 1-20). Routledge.

Syed Ahmad Fathi. (2022). Perbahasan Perihal Penentuan Ruang Lingkup Sejarah. Pengantar Sejarah.

Syed Ahmad Fathi. (2023). Pemikiran Sejarah Edward Carr. Nota Pemikir Sejarah.

Syed Ahmad Fathi. (2023). Perihal Penyebaban Dalam Sejarah. Nota Pengajian Sejarah.


[1] Syed Ahmad Fathi. “Perbahasan Perihal Penentuan Ruang Lingkup Sejarah.” Pengantar Sejarah, 2022.

[2] David Armitage. “What’s the Big Idea? Intellectual History and the longue durée.” History of European Ideas 38, no. 4 (2012): 493-507.

[3] Ibid.

[4] Jon Arrizabalaga. “History of disease and the longue durée.” History and philosophy of the life sciences (2005): 41-56.

[5] Fernand Braudel. “Histoire et sciences sociales: la longue durée.” In Annales. Histoire, Sciences Sociales, vol. 13, no. 4, pp. 725-753. Cambridge University Press, 1958.

[6] Mathias Grote. What could the’longue durée’mean for the history of modern sciences? FMSH-WP-2015-98, June 2015.

[7] Tim Marshall. Prisoners of Geography: Ten Maps That Tell You Everything You Need to Know About Global Politics. Elliott & Thompson, 2015.

[8] David Armitage. “What’s the Big Idea? Intellectual History and the longue durée.”

[9] Ibid.

[10] Ibid.

[11] Yuval Noah Harari. Sapiens: A Brief History of Humankind. Vintage, 2015.

[12] David Armitage. “What’s the Big Idea? Intellectual History and the longue durée.”

[13] Syed Ahmad Fathi. “Perihal Penyebaban Dalam Sejarah.” Nota Pengajian Sejarah, 2023.

[14] E.H. Carr. What is History. Penguin Books, 1964.

[15] David Armitage. “What’s the Big Idea? Intellectual History and the longue durée.”

[16] Ibid.

[17] Mathias Grote. What could the’longue durée’mean for the history of modern sciences?

[18] Ibid.

[19] Jon Arrizabalaga. “History of disease and the longue durée.”

[20] Alexander Freund. ““Confessing animals”: Toward a longue durée history of the oral history interview.” The Oral History Review (2019).

[21] Richard Saull, Alexander Anievas, Neil Davidson, and Adam Fabry. “The longue durée of the far-right: an introduction.” In The Longue Durée of the Far-Right, pp. 1-20. Routledge, 2014.

[22] Syed Ahmad Fathi. “Pemikiran Sejarah Edward Carr.” Nota Pemikir Sejarah, 2023.

Idea-Longue-Duree-Dalam-Aliran-Sejarah-AnnalesDownload
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana Tagged With: annales, Longue Durée, sejarah

Kelemahan Hujah Cheah Boon Kheng Perihal Konsep Feudalisme Melayu

October 10, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Pendahuluan

Menurut Ibnu Khaldun seorang ahli sejarah perlulah mempunyai ilmu yang komprehensif perihal zamannya. Ini termasuklah kefahaman dan asas-asas dalam politik, cara hidup, amalan, adat, dan perbezaan yang terdapat pada bangsa-bangsa. Kemudian, seharusnya dia dapat membandingkan persamaan antara masa lalu dan masa kini. (Ibn Khaldun, 1969) Tanpa adanya kefahaman-kefahaman perihal latar belakang zaman dan perbezaan suasana politik, seseorang penulis mudah melakukan kesilapan dengan mengadakan perbandingan yang silap. Dia mungkin mentafsir cara hidup sesuatu kawasan melalui lensa penilaian yang salah.

Hal ini menjadi lebih kritikal dengan adanya unsur kolonial dalam pensejarahan. Sejarah yang ditulis oleh pihak penjajah, kolonial, dan imperialis perihal bangsa yang dijajahnya perlu digunakan dengan berhati-hati dan kritikal agar kefahaman perihal sejarah tidak menjadi berat sebelah dan hanya mengambil sudut pandang satu pihak sahaja.

Inilah yang telah diperingatkan oleh Edward Said dalam karya monumental beliau, Orientalism yang menilai penulisan-penulisan orang Eropah perihal bangsa Timur. Antara metodologi yang digunakan Said adalah apa yang beliau ungkapkan sebagai strategic location. Iaitu penilaian perihal kedudukan penulis dengan subjek yang ditulisnya. (Said, 1991) Dalam sejarah Tanah Melayu yang sangat pekat dengan pengaruh kolonial ini, kedudukan seorang penulis itu sangatlah kritikal untuk dipertimbangkan dalam penggunaan sumber. Kerana tanpa penilaian kepada kedudukan penulis, kita mungkin akan mengambil pandangan-pandangan yang tidak adil dan tidak menggambarkan keadaan sebenar. Hal ini kerana, penulis-penulis kolonial tidak boleh dianggap objektif kerana mereka mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu terhadap bangsa yang dijajahnya. Oleh itu ulasan buku ini akan mendalami hujah-hujah Cheah Boon Kheng perihal feudalisme Melayu dengan mengambil kira latar belakang zaman, keadaan dan juga kedudukan penulis-penulisnya yang digunakan sebagai sumber sesuai dengan saranan yang dibawakan oleh Ibnu Khaldun dan Edward Said.

Kelemahan Pada Definisi

Tulisan Cheah Boon Kheng bertajuk Feudalisme Melayu: Ciri-Ciri Dan Pensejarahannya dimulakan dengan petikan ucapan Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamed pada tahun 1990 perihal adanya sistem feudal di Negeri-Negeri Melayu sebelum kedatangan penjajah. (Cheah Boon Kheng, 1995) Mahathir antara lain dipetik mendakwa bahawa hanya keluarga diraja dan pembesar terlibat dalam politik, manakala rakyat tidak berperanan, keadaan politik dikatakan jarang stabil, dan suasana negeri sering berada dalam keadaan lemah dengan rusuhan kerap berlaku. Walaubagaimanapun, dakwaan Mahathir ini tidak diulas dengan terperinci dan tidak dihuraikan dengan contoh-contoh spesifik oleh Cheah.

Feudalisme boleh didefinisikan dengan pelbagai maksud. Menurut pandangan sarjana Marxis, ia adalah berkait dengan sistem ekonomi yang menggunakan feudal mode of production. Ada juga yang mengertikannya sebagai satu bentuk sosial masyarakat dalam sejarah. Juga ada pandangan yang mengertikan feudalisme dari sudut undang-undang dengan adanya perjanjian berasaskan fief. (Roach, 2015) Namun perbahasan ini akan memfokus pada definisi Cheah sendiri.

Cheah mengakui bahawa istilah feudalisme itu merupakan pinjaman dari Eropah, dalam kata lain ia tidak asli di Tanah Melayu dan merupakan konsep yang asing. Faktor penting munculnya feudalisme di Eropah adalah kerana kerajaan yang berpusat dan kuat telah runtuh, ini telah menyebabkan kawasan-kawasan dalam kerajaan tersebut terpecah dan diketuai oleh seorang ketua yang mempunyai kuasa ketenteraannya sendiri (militarisme) untuk melindungi rakyat. Ketua ini dikenali dengan pelbagai nama seperti lord, duke, count, dan baron.

Dalam usahanya untuk cuba mencipta konsep feudalisme Melayu, Cheah telah membawakan dua definisi. Definisi pertama merupakan definisi yang umum dimana feudalisme difahami sebagai bentuk politik dan sosial dimana terdapat satu kelas pemerintah hulubalang yang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Kelas ini diberikan hak-hak istimewa seperti kuasa politik, jawatan, juga harta benda. Namun definisi ini terlalu umum hingga menjadikan ia seolah tidak bermakna. Kerana hampir semua masyarakat mempunyai kelas hulubalang dengan hak yang istemewa berbanding rakyat biasa. Tidak ada raja, presiden atau diktator yang mampu memerintah bersendirian menurut Bueno de Mesquita, maka pastilah setiap kerajaan mempunyai bentuk pembesarnya. (Mesquita & Smith, 2011) Adakah ini bermaksud semua masyarakat itu bersifat feudal? Jika begitu, istilah ini tidak bererti kerana ia tidak dapat membezakan masyarakat feudal dengan sistem lain.

Takrifan yang kedua saya kira lebih spesifik dan bermakna dimana feudalisme dimaksudkan dengan wujudnya perjanjian antara vassal dan lord yang disahkan melalui perjanjian vassalage yang dinamakan charter. Dimana vassal memberikan kesetiaan dan khidmat ketenteraan dalam masa yang sama mengerjakan tanah lord. Sebagai balasan, lord akan memberikan vassal satu fief atau feud dalam bentuk tanah, manor, ladang dan perlindungan. Bagi saya takrifan kedua ini sahaja yang bermakna dan dapat digunakan untuk mengukur sama ada masyarakat Melayu ada mengamalkan sistem feudal, jika Cheah dapat membuktikan adanya perjanjian vassalage antara rakyat dan kelas hulubalang, kita boleh katakan di Tanah Melayu wujud sistem feudal yang tersendiri dan mirip kepada sistem feudal Eropah.

Kebergantungan Pada Sumber Kolonial Inggeris

Sesuatu fakta sejarah itu boleh kita katakan kuat dan dapat dipertahankan jika ia dapat dibuktikan oleh pelbagai sumber, dan sumber-sumber ini bersifat independent dan tersendiri. Contohnya perang yang berlaku antara kaum Yunani dan Parsi, jika ia dicatatkan oleh sumber Yunani dalam masa yang sama ada dicatatkan dalam sumber Parsi, kita boleh katakan perang ini memang terjadi dalam sejarah, ia adalah fakta yang kuat kerana ia disokong oleh lebih dari satu sumber yang masing-masing terpisah dan tersendiri.

Meneliti aspek sumber yang digunakan Cheah, beliau sendiri mengakui bahawa pencatat awal yang menggunakan istilah feudal adalah Inggeris dan kebanyakan penulisan ini hanya muncul apabila Inggeris mula campur tangan di negeri-negeri Melayu hinggalah mereka menjajah keseluruhan Tanah Melayu. Kita juga akan berasa pelik dengan tulisan Cheah yang mengagungkan penulis kolonial, contohnya Clifford dikatakan sebagai pengarang unggul dan pemikir yang matang manakala Maxwell dikatakan berpandangan bijak.

Sebelum kita membahaskan isinya, mari kita telusuri sumber-sumber yang digunakan oleh Cheah bagi membuktikan adanya feudalisme Melayu. Sumber yang digunakan Cheah adalah T.J. Newbold seorang pegawai tentera British, John Cameron pengarang akhbar Inggeris, J.F. McNair pegawai tentera Inggeris, William Maxwell pegawai Inggeris, Isabella Bird pengembara Inggeris, Hugh Clifford gabenor Inggeris, Harry Lake penulis Inggeris, Winstedt dan Wilkinson pegawai Inggeris. Dalam kata lain, feudalisme wujud di Tanah Melayu kerana orang-orang Inggeris yang menjadi sumber Cheah mengatakan ia wujud. Ini merupakan masalah terbesar dalam hujah Cheah, sumbernya untuk mencipta adanya feudalisme Melayu semunya sumber Inggeris dan ia tidak disahkan oleh sumber lain yang independent.

Kritikan Terhadap Isi Sumber Inggeris

Kita telah ketahui dan lihat dengan jelas bahawa semua sumber-sumber ini tidak dapat digunakan tanpa pengesahan dari sumber lain kerana pastilah orang-orang Inggeris ini mempunyai kedudukan strategik (strategic location) seperti yang dikatakan oleh Edward Said. Mereka ingin menguasai dan menjajah, oleh itu masyarakat yang dijajah perlu direndahkan dan diletakkan label yang buruk. Jika tidak, Inggeris akan kehilangan sebab untuk datang menjajah. Mari pula kita perhalusi apa yang ditulis oleh Inggeris ini, dan adakah ia bersesuaian dengan takrifan kedua yang telah dikemukakan oleh Cheah sendiri.

Pemerhatian orang Inggeris ke atas masyarakat Melayu pada masa itu sangat berkait rapat dengan keadaan zaman tersebut di Eropah. Di sini kita perlu memahami latar belakang zaman. Zaman tersebut merupakan zaman dimana orang Eropah mula mempercayai teori evolusi Darwin. Walaupun Darwin mengasaskan teorinya kepada spesis hidupan, teori ini telah dikembangkan kepada perubahan masyarakat seperti yang dibawa oleh Karl Marx. Bagi Marx semua masyarakat berevolusi dari purbakala, dan masyarakat feudal merupakan salah satu tahap evolusi masyarakat. Evolusi masyarakat ini disebut sebagai the law of social evolution. Cheah dalam hal ini memetik ucapan Clifford yang mengatakan masyarakat Melayu telah berevolusi secara tersendiri namun proses evolusi ini terhenti pada tahap feudal.

Walaubagaimanapun, ahli antropologi moden telah menolak teori evolusi sosial ini sebagai tidak saintifik. Lucy Mair sebagai contoh telah membahaskan hal ini, menurut beliau apa yang dipanggil the law of social evolution telah terbukti salah apabila kajian lanjutan dilakukan, dan sejak awal lagi, metodologi yang digunakan untuk membangunkan hukum ini tidak saintifik. (Mair, 1972)

Kita melihat pelbagai pemerhatian Inggeris yang tidak konsisten dengan definisi yang dibawakan Cheah. Sebagai contoh, Newbold yang mengatakan Temenggong sebagai vassal kepada Sultan Johor. Ini kontradik sekali dengan definisi feudal yang dibawakan yang mengatakan bahawa sistem feudal itu wujud apabila kerajaan pusat telah melemah dan hulubalang-hulubalang mempunyai kuasa ketenteraan yang lebih kuat dari raja. Jika Temenggong menjadi vassal kepada Sultan, maka Sultanlah yang mempunyai kuasa ketenteraan bukan hulubalang. Dan jika Sultan mempunyai kuasa ketenteraan, tentulah ini bermakna kerajaan pusat masih kuat dan utuh.

Kemudian Cheah memetik pula tulisan Cameron yang mengatakan bahawa orang Melayu itu suka kepada keadaan yang aman dan kerajaan yang stabil. Ini sekali lagi kontradik dengan definisi yang dibawa, jika keadaan aman dan kerajaan stabil, apa perlu pemecahan kawasan kepada para hulubalang? Cheah mengakui, Cameron hanya menyebut sistem hierarki orang Melayu mirip sistem feudal Inggeris tetapi tidak menghuraikan sifat-sifat feudalnya. Lebih lemah adalah petikan tulisan McNair yang mengatakan orang Melayu itu sukar dikuasai kerana mereka mempunyai “kebanggaan diri yang bersifat feudal”. Adakah kerana mereka mengikut pemimpin mereka dan enggan mengikuti Inggeris mereka menjadi feudal? Ini sama sekali tidak masuk akal.

Cheah memetik pemerhatian seorang pengembara wanita Inggeris yang bernama Isabella Bird. Bird menyatakan antara lain, Sultan tidak dapat mengawal pembesarnya, dan pembesar ini telah menindas kaum tani dengan mengenakan cukai, memaksa mereka bekerja, dan memaksa mereka menjadi askar ketika perang. Jika pemerhatian Bird ini benar, ia tetap tidak membuktikan kewujudan feudalisme Melayu, ia hanya membuktikan berlakunya penindasan pembesar ke atas rakyat. Penindasan pembesar ini tidak unik kepada pemerintahan berbentuk feudal. Bird juga tidak menyatakan adanya charter antara rakyat yang ditindas ini kepada pembesar dalam sistem vassalage. Juga tiada dinyatakan apa bentuk fief atau feud yang diberikan oleh pembesar kepada rakyat. Jika sekadar mengutip cukai, maka itu hanya sistem administrasi biasa. Majlis bandaraya juga mengukip cukai pintu hari ini, dan kita tidak menyatakan majlis bandaraya menindas atau bersifat feudal. Cheah kemudian memetik tulisan Maxwell yang menyatakan pembesar Melayu itu menindas dengan berkadaran dan tidak melebihi kesabaran petani. Bagaimana Maxwell mengukur perkara ini tidak dinyatakan, tetapi bagi Cheah pandangan Maxwell ini bijak dan menarik.

Saya kira contoh-contoh petikan Inggeris yang lain juga begitu, seperti Clifford yang banyak meminjam istilah Eropah seperti fief, vassal, baron dan fealty namun dalam makna dan konteks yang sangat berbeza dengan Eropah. Jika di Eropah vassalage ini merupakan hubungan antara rakyat dan pembesar, Clifford menyamakannya antara pembesar dan Sultan, satu perbandingan yang jauh berbeza dan menunjukkan bahawa di Tanah Melayu kerajaan pusat di bawah Sultan masih kukuh. Malah Clifford sendiri mengakui bahawa Sultan secara teorinya berkuasa penuh. Disini kita harus bertanya, apa gunanya sistem feudal jika Sultan berkuasa penuh? Cheah juga mengatakan sistem pembahagian kuasa yang membentuk desentralisasi sebagai satu ciri menarik feudal. Ini langsung tidak bertepatan dengan takrif beliau sendiri, jika desentralisasi adalah ciri feudal yang menarik, semua negara hari ini masih feudal kerana masing-masing ada bentuk desentralisasi dalam pentadbiran negara. Perkara yang sama diulang R.J. Wilkinson yang mengatakan kesultanan Melaka memberi fief kepada pembesar, ini bermaksud Sultan dan kerajaan pusat bersifat kuat bukan feudal.

Apabila dibaca tulisan Cheah berkali-kali, kita akan lebih keliru dari mendapat fahaman yang jelas. Semua aspek kehidupan Melayu itu dikatakan feudal walaupun ia langsung tiada kena mengena dengan takrif feudal yang Cheah sendiri berikan. Perlanunan dikatakan separa feudal. Apa pula takrif separa feudal? Tidak diterangkan. Penentangan terhadap J.W.W. Birch yang ingin merampas hak cukai pembesar dikatakan feudal? Adakah cukai Inggeris sahaja tidak feudal? Dalam takrif tidak dinyatakan pengutipan cukai sebagai ciri feudal. Namun bagi Cheah, semua penulisan kolonial Inggeris yang prejudis ini memadai untuk mengatakan adanya sistem feudalisme Melayu.

Dihujung bahagian tulisan Cheah perihal pensejarahan kolonial, Cheah bersetuju bahawa terdapat hanya beberapa ciri feudal sahaja di Tanah Melayu iaitu hubungan antara tuan dan anak buah. Saya berpendapat hal ini sama sekali tidak dapat diterima kerana ia terlalu umum dan tidak bertepatan langsung dengan takrifan yang dikemukakan. Tidak terdapat perjanjian vassalage antara rakyat dan hulubalang, malah pembesar-pembesar ini semua dikatakan memberi ketaatan kepada Sultan, menunjukkan tidak berlakunya perpecahan kerana kerajaan pusat masih kuat. Ini diakui sendiri oleh Cheah dihujung penelitiannya. Malah Cheah turut mengakui pembesar  tidak memiliki ladang besar dan manor, malah ekonomi penduduk tidak bergantung kepada pemilikan tanah seperti di Eropah. Oleh itu, dapatlah kita simpulkan dengan yakin bahawa tidak wujud apa yang disebut sebagai feudalisme Melayu dalam sejarah, melainkan ia hanya ciptaan dan imaginasi penjajah kolonial Inggeris yang cuba menciptanya bagi mengabsahkan penjajahan mereka.

Sistem Kerah Sebagai Hujah Feudalisme Melayu

Dalam tulisan Cheah, selain kekeliruan takrif dan juga kepincangan ciri-ciri feudalisme Melayu dalam catatan kolonial yang telah kita bahaskan, antara hujah penting dan diulang-ulang dalam tulisan Cheah adalah wujudnya sistem kerah yang menindas rakyat. Ia seolah-olah menjadi tesis utama penulisan kolonial dalam menunjukkan wujudnya feudalisme Melayu. Inilah yang diulang-ulang oleh Isabella Bird, Maxwell, dan Clifford.

Namun sistem ini telah dikupas oleh sarjana tempatan. Azmi Arifin misalnya telah menerangkan bahawa sistem ini tidak boleh disamakan dengan perhambaan atau serfdom di Eropah. Ia tidak didasari sebarang bentuk penindasan atau kezaliman. Jika ditelusuri sumber-sumber sejarah tempatan, rakyat sering diajak untuk ‘berkerah’ untuk membina masjid dan istana. Ajakan ini telah disambut dengan senang hati oleh masyarakat tempatan. Hal ini tidaklah pelik kerana amalan gotong-royong memang terdapat secara meluas dalam kampung-kampung Melayu. Malah ia sering diadakan dengah meriah seperti sebuah sambutan atau pesta. (Azmi Arifin, 2012)

Oleh itu tidak adil Cheah hanya memetik sumber-sumber pensejarahan kolonial yang memaparkan sistem kerah sebagai sistem yang menindas dalam masa yang sama meninggalkan sumber-sumber tempatan. Sekurang-kurangnya kedua-duanya perlulah dipaparkan agar gambaran yang lebih seimbang dapat dilihat.

Masalah Sumber Dalam Pensejarahan Prapenjajahan

Kita telah bincangkan bahawa masalah terbesar dalam penulisan Cheah perihal pembangunan konsep feudalisme Melayu adalah kebergantungan yang terlalu besar kepada sumber kolonial Inggeris. Namun persoalannya, adakah kita mampu memahami bentuk kerajaan Melayu sebelum penjajahan tanpa merujuk kepada sumber-sumber Inggeris?

Sebenarnya terdapat kajian perihal bentuk kerajaan dan pemerintahan di Tanah Melayu sebelum zaman kolonial yang menggunakan sumber-sumber selain dari catatan Inggeris. Contohnya tulisan Anthony Milner. Beliau merasakan sumber-sumber kolonial Inggeris tidak memberi gambaran yang benar, bahkan ia sering melihat keadaan tempatan dalam kacamata Eropah. Oleh itu Milner telah menulis sejarah kerajaan Melayu sebelum penjajahan Inggeris menggunakan sumber-sumber tulisan dari hikayat. Antara hikayat yang digunakan termasuklah Hikayat Deli, Hikayat Iskandar, dan Hikayat Pahang.

Malah Milner mengkritik penulisan sejarah oleh pihak kolonial seperti Gullick yang baginya memesongkan realiti politik sebenar orang Melayu. Menurut Milner lagi, pengalaman politik orang Melayu tidak dapat diberikan kategori yang betul jika ia dinilai dari perspektif Eropah. (Milner, 2016) Hal ini menurut pandangan saya telah cukup untuk membuktikan bahawa penulisan Cheah yang hanya bergantung pada pandangan kolonial tidak memadai dalam membuktikan wujudnya feudalisme Melayu jika dilihat dari kekuatan sumber.

Perbincangan Feudalisme

Di hujung penelitian Cheah, beliau telah membawakan perbincangan-perbincangan kontemporari dari golongan sarjana dan penulis sekitar tajuk ini. Namun semua yang dibawakan oleh Cheah adalah tulisan-tulisan berbentuk petikan dan bukan kajian yang mendalam yang dapat membuktikan kewujudan feudalisme Melayu. Setakat ini, jika kita tinjau pensejarahan kolonial yang dibawa Cheah, kebanyakannya tidak menepati takrif asal feudalisme, yang ada hanya ciri-ciri umum yang dikaitkan. Namun bagi Cheah ciri-ciri umum ini sukar dinafikan bahawa ia punya persamaan dengan feudalisme Eropah, baginya ia perlu diterima dan diiktiraf.

Dalam perbincangan, Cheah memetik penulisan Kassim Ahmad yang mengatakan penentangan Hang Jebat terhadap Sultan Mansur sebagai melawan susunan feudal. Pertama, ini langsung tidak bertepatan dengan takrif. Kedua, melawan sultan patutnya disebut sebagai anti-monarki, pro-kebebasan, atau perjuangan kiri dan anarki. Mengapa perlu disebut sebagai melawan susunan feudal?

Kassim juga menyebut wujudnya ketaatan mutlak pada Sultan, jika ini berlaku, bukankah ia bertentangan dengan takrif yang mengatakan wujudnya kelas hulubalang yang lebih berkuasa dari Sultan? Huraian Kassim terhadap konsep feudal seperti sultan yang disembah, kesetiaan tidak berbelah bahagi, bantuan pegawai kepada Sultan untuk menjaga kampung, ini semua bukanlah dsfinisi feudal tetapi bentuk pemerintahan monarki. Maka lebih tepat bagi Kassim untuk menggunakan istilah monarki berbanding feudal, kerana yang berkuasa adalah Sultan bukan kelas hulubalang.

Kemudian Cheah membawa tulisan Syed Hussein Alatas yang membawa konsep psikologi feudal. Kita perlu bertanya satu soalan yang penting. Bagaimana psikologi feudal itu boleh wujud tanpa adanya asas sejarah? Dari mana ia datang? Amat pelik jika ketaatan dikatakan feudal seperti yang dikatakan oleh Chandra Muzaffar, murid kepada Syed Hussein, ini merupakan satu konsep yang sangat terkeliru. Adakah jika kita taat kepada ibubapa, kita juga menjadi feudal?

Syed Hussein dalam usahanya untuk mewujudkan konsep feudalisme Melayu mengatakan wujudnya sistem ekonomi manor. (Syed Hussein Alatas, 1968) Namun menurut Cheah sendiri, pembesar Melayu tidak memiliki ladang besar atau manor. Disini kita dihidangkan dengan kontradiksi. Syed Hussein Alatas seorang ahli sosiologi mengatakan wujud sistem manor, manakala Cheah seorang ahli sejarah mengatakan pembesar Melayu tidak memiliki manor. Syed Hussein cuba menyamakan sistem manor dengan kawasan kampung, namun dua perkara ini sangat berbeza sekali. Syed Hussein menurut pandangan saya menggunakan pandangan yang terlalu umum untuk mendakwa adanya feudalisme Melayu. Keumuman ini terlalu longgar sehingga ia tidak bermakna. Mungkin itulah sebabnya ia hanya disebut sebagai psikologi Feudal, sesuatu pemikiran yang abstrak sahaja, kerana tiada bukti sejarah yang objektif bagi mengabsahkan kewujudannya.

Walaupun feudalisme dalam sejarah itu tidak wujud. Melainkan sifat-sifat yang terlalu umum dan hal-hal abstrak seberti psikologi feudal yang telah kita bahaskan. Naratif bahawa orang Melayu itu bersifat feudal terus menjadi tema penulisan hingga ke hari ini. Malah ada penulis yang menggambarkan masyarakat Melayu hari ini bersifat neo-feudal dan pertisipan neo-feudal. (Mohd Mahadee Ismail, 2018) Sekali lagi kita harus bertanya, bagaimana sesuatu masyarakat boleh menjadi neo-feudal tanpa adanya feudalisme dalam sejarahnya? Penulisan-penulisan seperti ini pada hemat saya merupakan penulisan yang tidak kritis dalam menilai sumber. Ia sekadar menjadi penyambung lidah kolonial dalam memburukkan masyarakat peribumi.

Penutup

Sebagai kesimpulannya, dapatlah kita katakan tidak wujud apa yang dikatakan sebagai feudalisme Melayu dalam sejarah. Apa yang ada hanyalah ciri-ciri umum sahaja, ciri-ciri umum ini tidak berjaya mewujudkan sebuah sistem feudalisme yang sama seperti di Eropah. Apa yang disebut sebagai feudalisme Melayu itu timbul apabila orang Eropah terutamanya Inggeris mengaitkan ciri-ciri umum ini dengan keadaan feudal mereka dahulu. Jika Inggeris tidak datang, dan kaitan ini tidak ditulis, maka ia sama sekali tidak akan wujud.

Seperti yang dikatakan oleh Ibnu Khaldun, kita perlulah memahami dengan terperinci struktur politik yang ada pada zaman tertentu. Dari sudut ini, kerajaan Melayu dahulu kebanyakannya bersifat monarki bukan feudal, mereka tidak berpecah kepada daerah yang akhirnya mewujudkan satu kelas hulubalang. Dan tidak ada perjanjian ketenteraan antara rakyat di Tanah Melayu dengan para pembesar dan hulubalang dalam bentuk vassalage. Cheah menulis bahawa feudalime itu adalah konsep yang dipinjam dari Eropah, oleh itu ia perlu dihormati dan digunakan dengan takrifnya yang tulen. Dan jika kita setia pada takrifan yang tulen, maka kita akan dapati feudalisme Melayu itu langsung tidak wujud.

Ada empat ciri utama dalam takrifan feudalisme Eropah, iaitu militarisme, hubungan timbal balas vassalage, fief, dan pembahagian kuasa antara hulubalang dan pembesar. (Azmi Arifin, 2006) Jika konsep feudalisme Melayu itu ingin digagaskan, maka ia hendaklah memenuhi kesemua ciri-ciri ini. Barulah boleh kita katakan ia wujud secara tulen. Jika ia hanya menggunakan ciri-ciri umum sahaja, bersifat abstrak secara psikologi sahaja, maka ini bukanlah hujah yang kukuh untuk mengatakan ia wujud secara benar dalam sejarah kerajaan di Tanah Melayu. Apatah lagi jika sumber-sumbernya sangat diragui, seperti Inggeris yang mempunyai kepentingan strategik sebagai penjajah. Inggeris sebagai penjajah mempunyai pemikiran Eurosentrik yang sering memaparkan masyarakat peribumi sebagai asiatik, despotik, dan feudal. (Siti Mahani binti Majid, 2016) Pemilihan sumber kolonial Inggeris sahaja, tanpa ada sumber lain yang bersifat bebas dan tersendiri, menjadikan hujah kewujudan feudalisme Melayu itu sangat-sangat lemah dari sudut sejarah.

Bibliografi

Azmi Arifin. (2006). Konsep feudalisme: Takrif, Ciri-ciri dan garis sempadan. Jebat, 33, 45-72.

Azmi Arifin. (2012). Syed Hussein Alatas: Pemikiran Kolonial dan Gagasan ‘Feudalisme Melayu’. Akademika, 82(1), 21-30.

Cheah Boon Kheng. (1995). Feudalisme Melayu: Ciri-Ciri Dan Pensejarahannya. In Cheah Boon Kheng, & Abu Talib Ahmad, Isu-Isu Pensejarahan (Esei Penghargaan Kepada Dr R. Suntharalingam) (pp. 1-24). Pulau Pinang: Penerbit USM.

Ibn Khaldun. (1969). The Muqaddimah: An Introduction to History. Princeton University Press.

Mair, L. (1972). An Introduction to Social Anthropology (Second Edition). Oxford University Press.

Mesquita, B. B., & Smith, A. (2011). The Dictator’s Handbook: Why Bad Behavior is Almost Always Good Politics. Public Affairs.

Milner, A. (2016). Kerajaan: Malay political Culture on the Eve of Colonial Rule (Second Edition). Petaling Jaya: Strategic Information and Research Development Centre.

Mohd Mahadee Ismail. (2018). Budaya Politik Kontemporari Masyarakat Melayu di Semenanjung Malaysia: Satu Penilaian Kritis. Contemporary Malays Political Culture In Peninsular Malaysia: A Critical Evaluation. Jurnal Sultan Alauddin Sulaiman Shah (Special Issue), 470-482.

Roach, L. (2015). Feudalism. International Encyclopedia of the Social & Behavioral Sciences (Second Edition), 111-116.

Said, E. W. (n.d.). Orientalism: Western Conception of the Orient. 1991: Penguin Books.

Siti Mahani binti Majid. (2016). Eurosentrisme dan Pemaparan Imej Orang Melayu Zaman Kolonial British Sehingga 1900 (Tesis Ijazah Sarjana Sastera). Universiti Sains Malaysia.

Syed Hussein Alatas. (1968). Feudalism in Malaysian society: A study in historical continuity/Feodalite Dans La Societe Malaise: Etude De Sa Persistance Historique. Civilisations, 579-592.

Kelemahan-Hujah-Cheah-Boon-Kheng-Perihal-Konsep-Feudalisme-MelayuDownload
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Politik Tagged With: feudalisme melayu

  • « Previous Page
  • 1
  • 2
  • 3
  • 4
  • 5
  • …
  • 18
  • Next Page »

Recent Posts

  • Pasca Membaca Buku Pascabaca
  • Analisis Permulaan Perang Amerika Syarikat-Israel Ke Atas Iran Pada Bulan Jun 2025
  • Retelling the Story of the Great Majapahit Empire
  • Nota PBAKL: Prosa Klise Yang Benar, Kehidupan Adalah Satu Perjalanan
  • Koleksi Refleksi di IABF: Merayakan Seni dan Sastera

Archives

Copyright © 2025 The Independent Insight