Buku bertajuk Harapan Sang Pesimis: Catatan Tentang Rebut Kuasa, Dendam dan Fitnah Politik tulisan Wan Hamidi Hamid dengan ilustrasi oleh Amin Landak merupakan buku satira ringan perihal dinamika politik di Malaysia yang terbit pada tahun 2024. Buku ini merakamkan situasi politik negara bermula dari tahun 2021 hingga tahun 2023, satu tempoh yang penuh ribut dalam lanskap politik negara oleh kerana wabak Covid-19 dan juga suasana politik negara yang tidak stabil yang menyaksikan pertukaran perdana menteri sebanyak empat kali dalam satu penggal. Walaupun buku ini merupakan catatan satira ringan dari perspektif seorang wartawan yang merupakan ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP), terdapat beberapa perkara dalam anekdot yang dikongsikan yang dirasakan menarik untuk diperhalusi dan diulas. Tulisan ini akan memilih beberapa bahagian yang dirasakan menarik untuk diperbahaskan.
Saya bertemu Wan Hamidi buat kali pertama di dalam sebuah forum di Tokosue, Wisma Central, Kuala Lumpur pada bulan April 2023. Sebelum pertemuan tersebut, saya mengenali Wan Hamidi dari jauh sahaja sebagai penulis biografi pemimpin DAP, Lim Kit Siang. Di forum tersebut, ada satu soalan dari Wan Hamidi yang saya masih ingat hingga ke hari ini.[1] Oleh kerana saya membaca banyak buku-buku agama Islam, beliau bertanya mengapa saya tidak menjadi Taliban? Bagi saya Taliban bukanlah satu kumpulan yang menggambarkan mereka banyak membaca buku-buku agama Islam. Membaca banyak buku tidak seharusnya menjadikan kita Taliban, tetapi menjadikan kita seorang yang lebih berwarna-warni pemikirannya. Soalan tersebut bukanlah ditanya dengan tona antagonistik, tetapi lebih berbentuk jenaka, namun, ia tetap menjadi soalan yang melekat dalam fikiran saya.
Membaca buku Harapan Sang Pesimis, saya merasakan seolah-olah ada satu paradoks dan adengan tarik tali dalam pemikiran Wan Hamidi. Dari satu sudut, beliau sering mengulang-ulang kenyataan bahawa ahli politik ini sama sahaja perangainya, tidak boleh dipercayai dan tidak mengotakan janji pilihanraya mereka. Di sudut yang lain, beliau menyarankan para pengundi terus mengundi calon-calon pilihan mereka, dan di beberapa ketika, beliau menyarankan undi diberikan kepada blok pakatan politik parti beliau iaitu Pakatan Harapan (PH). Mungkin ini sesuai dengan tajuk buku ini, iaitu adanya perasaan curiga dan pesimis terhadap ahli politik sedia ada, tetapi dalam masa yang sama masih menyimpan harapan dengan mengundi mereka.
Saya pula berpandangan bahawa drama politik yang melanda Malaysia ini tidak lagi dapat diselamatkan. Disebabkan itu pada tahun 2018, saya merupakan sebahagian dari rakyat Malaysia yang bersama dalam gerakan undi rosak, kerana saya melihat lanskap politik yang ada tidak memberikan apa-apa pilihan yang bermakna.[2] Mungkin pandangan saya itu bersifat idealis, kerana akhirnya kita tetap akan diperintah oleh orang yang tidak kita undi, namun pada ketika itu, perasaan saya lebih kuat untuk membuang undi protes dari memilih mana-mana calon. Ada kalanya, saya berfikiran lebih nihilis, dan pandangan politik saya mendekati falsafah politik George Carlin.[3] Bagi Carlin, drama politik yang ada ini ibarat sebuah sarkas, beliau tidak mahu mengambil bahagian dalam sarkas ini. Sebaliknya mengambil kerusi dan duduk menontonnya dari jauh, melihat bagaimana sarkas ini akhirnya akan musnah dan terbakar. Begitulah sedikit latar penulis dan latar masa yang menggambarkan situasi politik ketika buku ini ditulis. Saya kira ia adalah aspek yang penting untuk diketengahkan dalam kita memahami buku ini, seperti yang dikatakan oleh Carr, untuk memahami satu penulisan, kita perlu mengenali penulis dan zaman di mana beliau menulis.[4]
Peranan Satira Dalam Memahami Sejarah Politik
Saya kira buku terakhir yang saya baca yang berbentuk anekdot ringan dan satira perihal politik Malaysia adalah buku tulisan Hadri Shah.[5] Buku tersebut mengkritik orang Melayu terutamanya golongan politikus dan agamawan, dan mengetengahkan bahawa apa yang lebih penting untuk diutamakan adalah kesejahteraan ekonomi. Buku Wan Hamidi dan Amin Landak ini pula lebih memberi fokus pada dinamika politik negara, ia lebih tebal dan juga diselitkan dengan ilustrasi yang cantik. Bukunya juga kemas dan selesa untuk dibaca.
Bagi saya buku-buku berbentuk satira ini merupakan satu genre yang penting dalam kita memahami sejarah politik Malaysia. Daripada satira, kita dapat memahami bahawa terdapat segmen masyarakat yang memahami politik sebagai satu bentuk komikal yang tidak mendatangkan sesuatu yang serius. Satira juga dapat membantu kita melihat sisi-sisi politik yang lebih jujur, terbuka, dan membumi. Analisa jujur ini biasanya tidak akan dijumpai dalam penulisan-penulisan akademik yang lebih skema dan disaluti euphemism. Analisa politik yang akademikal biasanya lebih sopan dan terlindung kerana ia ditulis dibawah bayang-bayang kekuasaan pemerintah, penulisnya juga merupakan ahli akademik yang perlu menjaga kerusi akademiknya dari ditarik oleh penguasa. Di sinilah datangnya peranan penulisan satira, yang menulis sesuai dengan analisa dari mulut-mulut rakyat bawahan yang bersembang di kedai kopi. Penulisannya tidak berselindung, jujur, dan dipenuhi jenaka dan perlian.
Peranan lain yang dibawa oleh penulisan satira dalam memahami sejarah Malaysia selain dari penulisannya yang jujur adalah ia menambah kekayaan pemaparan sejarah di Malaysia. Paparan sejarah boleh ditinjau dari pelbagai sisi. Ada kalanya ia ditinjau dari lensa akademika, ada kalanya ia ditinjau dari rekod lisan rakyat. Malah, ada kajian yang meninjau sejarah daripada lukisan-lukisan.[6] Oleh itu penulisan satira datang dengan memberi sudut baharu kepada pemaparan sejarah Malaysia, ia membawa lensa yang lebih komikal, pesimis, dan ada kalanya nihilis. Saya bersetuju dengan pandangan Zaidi Musa dari Kedai Hitam Putih dalam kata pengantarnya bahawa karya yang berbentuk satira ini tidak banyak di Malaysia.[7] Satu ketika dahulu mungkin ia pernah banyak, ketika zaman kegemilangan buku indie Malaysia bermula tahun 2006 hingga tahun 2013. Pada ketika itu memang subur buku-buku bergenre anekdot, travelog, dan noir.[8] Buku-buku indie memang sifatnya melawan arus, oleh itu genre satira juga antara yang subur semasa suburnya gerakan buku indie di Malaysia.
Menyimpan Harapan Tetapi Pesimis
Dalam catatan pengarangnya, Wan Hamidi menukilkan bahawa walaupun politik Malaysia ada kalanya hangat, bangsa Malaysia dalam menghadapi drama politik selepas tahun 2020 hanya bengis dari sudut kata-kata sahaja.[9] Setakat ini tiada aksi-aksi keganasan fizikal yang meragut nyawa hasil dari gaduh-gaduh politik orang Malaysia ini. Saya bersetuju, harapannya kekal gaduh-gaduh politik ini di perbatasan bahasa sahaja sama ada di dalam dewan parlimen atau pun dewan media sosial. Janganlah pergaduhan ini merebak kepada keganasan fizikal. Sebaliknya, dalam hubungan sosial fizikal kita seharian, seharusnya dikekalkan santun dan tatasusila walaupun berbeza fahaman dan baju politik kita.
Demokrasi di Malaysia bersifat multi-parti, walau pun ada kalanya parti-parti ini bergabung dalam blok besar membentuk perlawanan mirip sistem dual-parti, namun biasanya selepas tamat pilihanraya, mereka akan kembali berpolitik mengikut arus parti masing-masing. Menurut Wan Hamidi, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang pada satu ketika dahulu mengidamkan wujudnya sistem dual-parti di Malaysia, namun selepas Pilihanraya Umum (PRU) 2018, sistem dual-parti ini sudah berkecai dan Malaysia terus mengukuh sistem multi-partinya.[10] Saya berpandangan, sistem multi-parti lebih subur demokrasinya kerana pilihannya yang lebih banyak. Apabila kita melihat sistem dual-parti seperti yang diamalkan secara praktik di Britain dan Amerika Syarikat, sistem ini sangat korup dengan kedua-dua parti utama dengan mudah dikawal oleh pelobi dari syarikat-syarikat besar dan pelobi yang melobi untuk kepentingan negara lain.[11] Misalnya, antara lobi yang kuat di Amerika Syarikat adalah American Israel Public Affairs Committee (AIPAC) yang melobi kedua-dua parti utama di Amerika Syarikat untuk menyokong projek jenayah kolonial zionis di Palestin. Di Britain kita melihat perkara yang sama, walaupun dua parti ini saling berubah-ubah, polisinya tetap sama dan tidak menyebelahi rakyat.[12] Seperti di Amerika Syarikat, di Britain juga dua parti dominan ini dengan mudah dikuasai oleh pelobi-pelobi zionis.
Wan Hamidi dalam buku satiranya juga menerangkan mengapa beliau memilih DAP sebagai rumah politiknya. Walaupun DAP secara teorinya merupakan parti yang menerima keahlian dari semua kaum, namun dari sudut praktik, ia merupakan parti yang didominasi oleh kaum Cina. Ini menyebabkan ia sentiasa dilihat dengan kaca mata skeptik oleh orang-orang Melayu. Oleh itu, kewujudan orang Melayu seperti Wan Hamidi di dalam DAP menjadi satu kejadian yang unik. Bagi Wan Hamidi, ada tiga sebab orang Melayu bernaung dalam DAP. Pertama kerana mereka inginkan kuasa dan jawatan, seperti mana ahli politik dalam parti lain, mereka adalah majoriti Melayu dalam DAP. Kedua, ada yang menyertainya kerana tidak selesa dengan politik ketuanan Melayu, ideologi politik mereka tidak selari dengan parti-parti lain yang ada. Ketiga, Wan Hamidi memberi sebab yang satirikal, iaitu kerana ramai orang Cina dalam DAP, orang Melayu memasukinya untuk makan ayam goreng KFC semasa mesyuarat.[13] Oleh kerana sebab ketiga ini bersifat satira, boleh kita simpulkan bahawa orang Melayu menyertai DAP kerana dua sebab utama, majoritinya menyertai DAP untuk mendapatkan jawatan, manakala sebahagian kecil menyertainya kerana ideologinya yang lebih inklusif.
Politik adalah persoalan kepimpinan, tentang bagaimana kita menyusun pemimpin dalam masyarakat. Namun, keberadaan pemimpin tidak seharusnya membuatkan kita berhenti berfikir dan sekadar mengekori dari belakang segala keputusan pemimpin kita. Ini ditangkap dalam satu rangkap pantun oleh Wan Hamidi dengan begitu menarik sekali simpulannya.
Jika rumah dibina pesat,
Tentunya cantik bila didiri,
Jika pemimpin membawa sesat,
Tibalah masa berfikir sendiri.[14]
Politik: Antara Ideologi dan Realiti
Pada zaman muda saya, saya juga cenderung kepada ideologi kiri (Wan Hamidi tidak suka saya membahasakan diri saya sebagai seorang tua kerana baginya dia lebih tua dari saya). Bahan bacaan yang paling menarik minat saya adalah bacaan berunsur kiri baik dari jalur komunis, sosialis, marxis, atau anarkis. Sehingga kini penulis yang saya gemari masih lagi Noam Chomsky dan Howard Zinn, saya belum menjumpai buku yang dapat menandingi kekuatan dua sosok penulis ini. Chomsky dengan Manufacturing Consent-nya dan Zinn dengan People’s History-nya.[15] Namun seperti juga orang lain, walaupun semangat ideologi kiri dalam diri saya masih menebal, saya merasakan semakin lama saya semakin cenderung kepada pemikiran yang lebih bebas dari ideologi, itulah sebabnya saya menulis buku Lalang di Lautan Ideologi.[16] Terutamanya sekarang, apabila golongan kiri cenderung kepada wacana-wacana wokism yang tiada kena mengena dengan perjuangan kiri asal (atau kiri tradisional). Kiri asal cenderung memperjuangkan hak pekerja, petani, dan masyarakat bawahan. Menurut Wan Hamidi, kiri sekarang sudah caca-marba dengan kemasukan politik environment, politik identiti, politik bilik tidur, intersectionality, dan lain-lain. Malah kiri hari ini menentang komunisme dan sosialisme lama.[17] Saya setuju dengan pandangan Wan Hamidi ini, kadang kala, saya juga pening melihat kiri hari ini yang semakin pelik arus perjuangannya.
Dalam kita melihat politik realiti hari ini, yang hampir kesemuanya tidak setia kepada mana-mana ideologi, kita sering menilai calon pemimpin itu dari segi luarannya sahaja. Akan hal ini saya bersetuju dengan Wan Hamidi, bahawa rakyat sebenarnya tidak mengenal seseorang calon itu secara peribadi, tetapi hanya melihat imej yang ditonjolkan melalui media.[18] Itulah sebabnya kadang-kala mereka kecewa dengan pilihan pemimpin yang dibuat oleh parti. Orang-orang parti mengenali sosok-sosok ahlinya secara peribadi, oleh itu pilihannya pastilah berbeza dengan rakyat awam yang hanya bermain di media sosial. Saya juga tertarik dengan quote dari Lenin yang dimuatkan dalam buku ini oleh Wan Hamidi.[19] Sebagai seorang yang pernah menuntut ilmu di Leningrad selama empat tahun, saya merasakan quote itu mempunyai kesilapan dari sudut ejaan cyrillic-nya, ejaan yang betul adalah “Что делать?”, pertanyaan yang bermaksud “apa yang perlu diperbuat?”.
Wan Hamidi juga dilihat pro dengan orang muda, walaupun banyak juga ketikanya beliau agak sinis dengan Parti MUDA. Terutamanya apabila Parti MUDA kalah pilihanraya dan hilang deposit. Wan Hamidi juga mengakui bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sudah meninggalkan isu-isu progresif apabila mereka menjadi kerajaan pada tahun 2022. Beliau mengharapkan Parti MUDA dapat menyambung perjuangan idea dan isu progresif ini, namun sejauh mana mereka mampu, itu masih belum dapat dilihat dengan jelas.[20] Ada juga anekdot beliau yang menyatakan kekecewaan terhadap DAP yang semakin meninggalkan idea progresif atas alasan realpolitik.[21]
Dalam membela orang-orang muda, Wan Hamidi mengkritik orang-orang tua yang sering mengungkit “hang tau dak zaman aku dulu..” yang baginya merupakan kalam defensif orang tua yang sudah tidak relevan tapi masih mahu bergayut dengan masa di zaman sekarang.[22] Saya kira ini merupakan perkembangan yang bagus, sebelum ini ada juga ditulis perihal perlunya orang muda mengemudi negara seperti yang dikarang oleh budayawan, Raja Ahmad Aminullah yang lebih mesra dengan nama Pak Engku. Dalam bukunya Genta Telah Berbunyi, Pak Engku merasakan zaman sekarang memperlihatkan zaman politik yang digelar “zaman edan” di mana orang sudah mula mual dan muak dengan politik gaya lama.[23] Walaupun saya merasakan fitrah perubahan zaman bahawa yang muda akan menggantikan yang tua, saya kekal skeptik dengan orang politik, sama ada tua mahupun muda. Seperti yang dikatakan oleh Iltizam Iman, kepercayaan bukan tanggungjawab rakyat terhadap pemerintah.[24] Maka, apa pun usia ahli politik yang memerintah, saya kekal skeptik.
Sejarah Islamisasi Politik Malaysia
Fenomena “Gelombang Hijau” yang bermula pada 19 November 2022, apabila Perikatan Nasional yang terdiri dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menambah kerusi parlimen mereka dari 30 kepada 74 kerusi telah menjadi satu wacana yang hangat di Malaysia.[25] Ia memperlihatkan bagaimana parti-parti yang menggunakan asas agama Islam dalam kempen mereka semakin diterima rakyat. Gelombang hijau ini dinisbahkan kepada warna logo PAS yang berwarna hijau. Menurut Wan Hamidi, gelombang hijau ini bukan wujud secara tiba-tiba, rangkanya sudah terbina sejak 40 tahun lalu oleh Hadi Awang, Mahathir Mohamad, dan Anwar Ibrahim.[26] Sebagaimana fenomena-fenomena lain dalam sejarah, ia mempunyai asal-muassal. Fenomena ini mempunyai penyebaban dan merupakan produk kepada satu proses sejarah. Usaha memberikan sebab kepada peristiwa sejarah memang merupakan tugas penulis sejarah. Mereka berminat untuk mengetahui sebab berlakunya sesuatu peristiwa.[27]
Penyebaban kepada berlakunya gelombang hijau pada 2022 bermula dari kebangkitan Revolusi Iran dan juga kebangkitan Ikhwanul Muslimin di Mesir pada tahun 1970-an. Dari dua peristiwa ini, menurut Wan Hamidi, berlakunya kebangkitan PAS di Malaysia. Mahathir pada tahun 1981 telah membawa masuk Anwar Ibrahim ke dalam UMNO bagi memberikannya wajah Islam kepada kerajaan pimpinan UMNO. Maka bermulalah penerapan nilai-nilai Islam dalam kerajaan Malaysia bagi memastikan UMNO dapat menandingi PAS dari sudut keislamannya.[28] Proses ini telah melahirkan proses islamisasi politik di Malaysia. Proses ini berterusan hingga ke hari ini dan gelombang hijau merupakan tanda kematangan politik Islam di Malaysia di mana para pengundi mula selesa memberikan undi kepada calon-calon yang dilihat lebih Islamik.
Pilihanraya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
Salah satu isu yang sering diulang-ulang oleh Wan Hamidi dalam buku satira politiknya adalah isu pilihanraya PBT.[29] Isu ini ada juga lensa politik kaumnya, ia ditolak oleh orang Melayu kerana kebanyakan kawasan bandar ini mempunyai majoriti orang Cina, oleh itu, jika dilakukan pilihanraya, mereka akan kehilangan kuasa. Terdapat penulis yang pada masa kini membawakan idea kejatuhan kuasa politik orang Melayu.[30] Tentulah keputusan yang merugikan orang Melayu seperti ini akan menambah lagi kegusaran mereka, oleh itu mereka menolak pilihanraya PBT.
Namun saya merasakan hujah Wan Hamidi mempunyai rasional yang kuat. Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan menumpukan kerja-kerja mereka merangka undang-undang dan polisi negara dan negeri. Jadi adalah tidak realistik untuk mengharapkan mereka juga mampu menjaga longkang-longkang tersumbat dan menyelenggara gerai peniaga di tepi jalan. Mereka hanya dapat berlakon membersihkan longkang ketika kempen pilihanraya sahaja. Maka lebih elok, isu-isu penduduk tempatan ini diurus oleh wakil PBT yang diundi, mereka dapat memberi fokus kepada isu tempatan dalam masa yang sama mempunyai kepertanggungjawaban kepada pengundi.
Kesimpulan
Dari karya tulisan Wan Hamidi ini dapatlah saya simpulkan bahawa penulisan yang berbentuk satira itu memang mepunyai peranan dalam kita memahami sejarah politik negara. Selain peranannya sebagai paparan yang lebih jujur dan terbuka yang telah kita tinjau, dan peranannya untuk memberi gambaran sejarah politik yang lebih menyeluruh, satira juga saya kira memudahkan masyarakat awam memahami isu-isu politik. Tidak semua orang mampu atau mahu membaca buku-buku akademik yang tebal dan dipenuhi jargon dari semesta yang berbeza. Satira lahir dengan bahasa yang lebih mudah, perenggan yang lebih pendek, dan jenaka yang lebih hambar, menjadikannya satu medium yang lebih segar untuk didekati oleh masyarakat. Selain itu, satira politik juga sebenarnya mempunyai isu-isu serius yang boleh kita bincang dan bahaskan, sebahagiannya telah pun saya petik dan ulas dalam penulisan ringkas ini.
Bibliografi
Carr, E. (1964). What is History. Penguin Books.
Devaraj, J. (2023, Oktober 05). Gelombang hijau dan 3 naratif utama orang Melayu. Malaysiakini.
Firdaus Zainal. (2024). Kejatuhan Kuasa Politik Melayu: Bagaimana Orang Melayu Hilang Kuasa. Kuala Lumpur: Ilham Books.
Hadri Shah. (2023). Melayu Maha Mulia. Buku Liar.
Herman, E. S., & Chomsky, N. (2002). Manufacturing Consent: The Political Economy of the Mass Media. Pantheon.
Iltizam Iman. (2020). Menolak Perintah. Penerbitan Ikan Kekek.
Jones, O. (2015). The Establishment And How They Get Away With It. Penguin Books.
Raja Ahmad Aminullah. (2022). Genta Telah Berbunyi: Masa untuk Generasi Baru. Gerak Budaya.
Saiful Akram Che Cob. (2018). Propaganda Visual Pada Era Penaklukan Jepun (1942-1945): Manifestasi Simbolik, Retorik dan Satira Radikal. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan & Buku Malaysia.
Syed Ahmad Fathi. (2018, Januari 19). Undi Rosak Suburkan Demokrasi. The Independent Insight.
Syed Ahmad Fathi. (2021). Falsafah George Carlin. Zine Dari Johor 2, 18-21.
Syed Ahmad Fathi. (2022). Lalang di Lautan Ideologi. Cukong Press.
Wan Hamidi Hamid, & Amin Landak (Ilustrator). (2024). Harapan Sang Pesimis: Catatan Tentang Rebut Kuasa, Dendam dan Fitnah Politik. Kuala Lumpur: Rocky Press.
Zainal Rashid Ahmad. (2019, Februari 20). Industri buku indie menuju mati? The Malaysian Insight.
Zinn, H. (2015). A People’s History of the United States. Harper Perennial Modern Classics.
[1] Forum tersebut bertajuk “Sua Bicara di Tokosue: Sembang Buku Dua Sayap Ilmu” yang berlangsung pada 01 April 2023 di Tokosue, Wisma Central, Kuala Lumpur. Rakaman audio forum tersebut oleh Kumandang Zine boleh didengari di pautan https://www.youtube.com/watch?v=Be7PiTZ_1cw&t=1030s
[2] Syed Ahmad Fathi. “Undi Rosak Suburkan Demokrasi” The Independent Insight, 19 Januari 2018. Pautan: https://theindependentinsight.com/2018/01/19/undi-rosak-suburkan-demokrasi/
[3] Untuk memahami falsafah politik nihilis George Carlin, rujuk tulisan saya bertajuk “Falsafah George Carlin” dalam Zine Dari Johor 2, 2021., hlm. 18-21.
[4] E.H. Carr. What is History? UK: Penguin Books, 1964.
[5] Hadri Shah. Malayu Maha Mulia. Buku Liar, 2023.
[6] Lihat misalnya kajian yang dibuat oleh Saiful Akram Che Cob bertajuk Propaganda Visual Pada Era Penaklukan Jepun (1942-1945): Manifestasi Simbolik, Retorik dan Satira Radikal. Institut Terjemahan & Buku Malaysia, 2018.
[7] Wan Hamidi Hamid dan Amin Landak (Ilustrator). Harapan Sang Pesimis: Catatan Tentang Rebut Kuasa, Dendam dan Fitnah Politik. Rocky Press, 2024., hlm. 7.
[8] Zainal Rashid Ahmad. “Industri buku indie menuju mati?”. The Malaysian Insight, 20 Februari 2019. Pautan: https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/134643#google_vignette
[9] Wan Hamidi. Harapan Sang Pesimis., hlm. 4.
[10] Ibid., hlm. 16.
[11] Walaupun secara teori sistem di Britain dan Amerika Syarikat mempunyai parti yang pelbagai, namun dari sudut praktik hanya dua parti yang dominan. Di Amerika Syarikat, dua parti yang dominan adalah Republikan dan Demokrat, manakala di Britain, dua parti yang dominan adalah Konservatif dan Parti Buruh.
[12] Antara tulisan yang menarik yang mengkaji tentang struktur kuasa di Britain adalah buku yang ditulis oleh Owen Jones bertajuk The Establishment: And How They Get Away with It. Penguin, 2015.
[13] Wan Hamidi. Harapan Sang Pesimis., hlm. 18-19.
[15] Rujuk Edward S. Herman dan Noam Chomsky. Manufacturing Consent: The Political Economy of the Mass Media. Pantheon, 2002 dan Howard Zinn. A People’s History of the United States. Harper Perennial Modern Classics, 2015. Dua buku ini merupakan antara dua buku awal yang menangkap imaginasi politik saya semasa zaman muda dahulu.
[16] Syed Ahmad Fathi. Lalang di Lautan Ideologi. Cukong Press, 2022. (Edisi Kemaskini 2023).
[17] Wan Hamidi. Harapan Sang Pesimis., hlm. 146.
[18] Ibid., hlm. 41.
[19] Ibid., hlm. 94.
[20] Ibid., hlm. 158-159.
[21] Ibid., hlm. 166.
[22] Ibid., hlm. 136.
[23] Raja Ahmad Aminullah. Genta Telah Berbunyi: Masa Untuk Generasi Baru. Petaling Jaya: Strategic Information and Research Development Centre (SIRD), 2022.
[24] Iltizam Iman. Menolak Perintah: Catatan dan Esei Mencari Nafas Pembebasan. Penerbitan Ikan Kekek dan Pustaka Karyasama, 2020., hlm. 170.
[25] Jeyakumar Devaraj. “Gelombang hijau dan 3 naratif utama orang Melayu”. Malaysiakini, 05 Oktober 2023. Pautan: https://www.malaysiakini.com/news/681654
[26] Wan Hamidi. Harapan Sang Pesimis., hlm. 170-173.
[27] Syed Ahmad Fathi. “Perihal Penyebaban Dalam Sejarah.” Nota Pengajian Sejarah (2023).
[28] Wan Hamidi. Harapan Sang Pesimis., hlm. 171.
[29] Ibid., hlm. 177-178.
[30] Lihat misalnya buku yang ditulis oleh Firdaus Zainal. Kejatuhan Kuasa Politik Melayu: Bagaimana Orang Melayu Hilang Kuasa. Kuala Lumpur: Ilham Books, 2024.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.