The Independent Insight

Giving truth a voice

  • Email
  • Facebook
  • Flickr
  • Instagram
  • Phone
  • Twitter
  • Vimeo
  • YouTube
  • Home
  • News
  • Politics
  • Economy
  • Technology
  • Review
    • Book Review
    • Movie Review
  • Blog
  • Podcast
  • About Us
  • Contact Us

Bagaimana Cara Untuk Menggunakan Facebook?

December 19, 2021 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Facebook semakin lama semakin sebati dalam kehidupan kita. Hingga kita kadangkala terfikir bagaimana kita mampu hidup tanpanya, dan bagaimana orang pada masa dahulu hidup tanpa Facebook. Facebook boleh digunakan untuk pelbagai cara dan tujuan, boleh digunakan untuk bersosial, mengikuti perkembangan kawan dan saudara mara, bergaduh, aktivisme, scam orang, berniaga, mencari maklumat, dan pelbagai lagi. Mungkin tujuan dan bentuk kegunaannya seluas imaginasi manusia.

Pada saya, Facebook muncul menggantikan laman berhubung dengan rakan-rakan selepas berakhirnya era Frienster, MySpace, dan Yahoo Messenger. Generasi baharu mungkin tidak pernah mendengar pun laman-laman sosial yang lama ini. Tetapi itulah laman untuk berhubung bagi saya semasa zaman sekolah dan selepas keluar sekolah sebelum munculnya Facebook. Selepas tamat sekolah laman tersebut menjadi medium perhubungan dengan kawan-kawan. Selain chatting, dulu juga ada ruangan forum, yang mungkin sekarang sudah pupus. Juga antara medium lain adalah dalam bentuk blog, hampir ke semua kawan-kawan saya dahulu mempunyai blog. Di blog mereka saya dapat membaca kisah terkini mereka.

Apabila masuk ke universiti, Facebook menjadi tempat yang lebih dari sekadar berhubung dengan kawan-kawan. Facebook group memudahkan pelajar bertukar bahan-bahan kuliah, memaklumkan jadual kelas, dan sebagainya. Ia juga sebagai platform untuk berbincang menyelesaikan masalah dan menganjurkan apa-apa aktiviti. Facebook group merupakan platform sentral dalam mengatur kehidupan kampus semasa saya di luar negara, bukan sekadar hal-hal kuliah dirancang disana, malah aktiviti persatuan pelajar juga banyak dibincangkan menggunakan medium ini.

Kehadiran Facebook juga menukar bagaimana informasi dihantar dan tersebar. Sehingga ada pemikir yang menyatakan bahawa “social media is the new mass media”. Banyak bahan-bahan yang sebelum ini taboo, subversif, ditekan, dan diharamkan oleh kerajaan untuk diterbitkan di media arus perdana dengan mudah disebarkan di media sosial. Kerajaan-kerajaan dunia juga ketika itu bingung bagaimana untuk mengawal media baharu ini. Ada sebahagiannya tidak dapat lagi mengekalkan legitimasi dengan kewujudan media baharu. Ada kerajaan yang jatuh, ada negara yang terjatuh dalam kancah perang saudara, malah ada juga negara yang akhirnya berhenti berfungsi sebagai negara dek kerana tiada kerajaan yang mampu mengawal sempadan negara lama. Mungkin media sosial bukan faktor utama kepada perubahan politik dunia, namun tiada siapa yang dapat menolaknya sebagai salah satu faktor perubahan ini.

Politik nasional kita sendiri banyak berubah. Perang pilihanraya bukan lagi perang siapa lagi banyak memacak bendera, tetapi siapa yang berjaya mengawal dan mengetengahkan isu di media sosial. Mereka yang berjaya menjuarai isu di media sosial akan kedepan. Maka munculah pelbagai page dan akaun politik untuk mengetengahkan isu mengikut naratif mereka. Kempen-kempen dalam talian ini begitu penting hingga parti-parti politik menyalurkan dana beribu-ribu ringgit untuk memastikan imej mereka di dalam media sosial dapat dipertahankan.

Menggunakan Facebook sebagai pentas perbahasan politik bagi individu sememangnya menarik. Namun tidak semua orang selesa dengan idea dan pandangan politik kita. Tidak sedikit ketidakselesaan itu berubah menjadi bermasam muka di alam nyata, juga menjadikan hubungan persahabatan menjadi dingin. Walhal ia hanya pandangan politik. Tidak semua orang dapat menerima perdebatan politik dilakukan dengan terbuka, mereka mungkin sudah selesa isu-isu sensitif ini dibincangkan dengan orang-orang yang sekepala dan dipercayai di kedai-kedai kopi. Generasi-generasi lama juga kadangkala kelihatan berbalah dengan generasi baharu apabila isu-isu politik ini dibincangkan dengan terbuka di media sosial. Mereka dapat melihat pandangan mereka yang selama ini dirasakan dominan menjadi lekeh apabila ia dibuka di pentas umum.

Bagi saya, selain kegunaan-kegunaan ini semua, Facebook juga boleh dimanfaatkan oleh penulis sebagai satu alat yang berguna. Facebook dapat digunakan sebagai tempat melempar dan menyimpan draf penulisan. Kerana sifatnya yang mobile, kita boleh sahaja mencatat idea dan fikiran kita bila-bila ia muncul. Penulisan di Facebook tidak perlu lengkap, ia boleh sahaja menjadi sebahagian idea yang belum dikembangkan. Idea-idea yang tergantung atau separa matang. Pembaca lain juga boleh membincangkannya, dan ini akan menambahkan lagi pemahaman terhadap idea yang dilontarkan. Kita dapat melihat idea itu diulas dari sudut-sudut orang lain. Pengalaman interaktif ini dapat mempercepatkan ketajaman dan kematangan sesuatu idea.

Penulisan-penulisan ini kemudian boleh dikumpulkan, digilap, disunting, dan dikembangkan kepada penulisan yang lebih serius. Bukan setiap masa kita boleh duduk dan menulis, jadi Facebook boleh dijadikan medium untuk menangkap idea-idea awal kita. Apabila kita punya masa untuk duduk dan fikir dengan lebih dalam, kita boleh kembali semula pada draf kita dan menggilapnya semula. Saya secara peribadi sering juga melemparkan idea-idea ke Facebook. Selepas beberapa lama, saya akan salin semula dan tambah baik untuk dimasukkan pula ke dalam blog. Jadi Facebook merupakan tempat meletakkan draf pertama, ia kemudian dikumpulkan ke dalam bank draf penulisan saya iaitu blog. Setelah itu saya akan salin semula untuk penulisan yang lebih serius seperti dicetak ke dalam bentuk buku atau artikel majalah atau zine.

Penulisan yang baik adalah penulisan yang tidak tergesa-gesa tulis Syed Hussein Alatas dalam bukunya Kita Dengan Islam Tumbuh Tiada Berbuah. Saya bersetuju akan hal ini. Ada kalanya penulisan perlu diperam sedikit, seperti jeruk, lama diperam barulah sedap. Kita mungkin ada satu idea, kita tulis dan peram, di satu masa nanti apabila pengalaman dan idea kita bertambah kita boleh kembali padanya dan nilai semula idea itu. Jadi masa merupakan kandungan yang penting dalam penulisan, lebih banyak masa yang dilabur, lebih ranum buah penulisan. Seperti sebuah puisi yang ditulis oleh Ta-Nehisi Coates yang dikongsikan oleh Angela Duckworth di bahagian kesimpulan bukunya, GRIT. Bagi Coates penulisan kita pada awalnya sememangnya buruk, kemudian kita tidur, kita bangun dan memperindahkannya, kemudian kembali tidur, kemudian bangun dan memperindahkannya lagi. Begitulah kita ulang-ulang sehingga ia menjadi satu penulisan yang indah dan ranum.

Bagi Coates, proses penulisan merupakan proses kegagalan yang berulang-ulang kali. Kita harus kembali kepada kegagalan itu, melihatnya semula, membaikinya semula, hinggalah kita berjaya mengubahnya menjadi kejayaan. Jadi dalam proses draf ini, Facebook dapat membantu kita menjadi medium merekod draf awal. Yang kemudian boleh kita kembali padanya berkali-kali hinggalah ia menjadi satu penulisan yang enak dan ranum. Selain itu ia juga boleh menjadi medan yang interaktif dalam kita menimbang sesuatu idea sebelum kita menerbitkannya dalam penulisan yang berbentuk lebih serius.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran. Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read and sleep.

fathi137.wixsite.com/syedahmadfathi

Filed Under: Blog

Hubungan Orang Melayu Dengan Agama Islam Menurut Syed Hussein Alatas

November 15, 2021 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Penulisan ini membincangkan naskah bertajuk Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah tulisan Syed Hussein Alatas. Selain dari naskah yang kita bincangkan ini, Syed Hussein Alatas juga merupakan penulis karya terkenal yang bertajuk The Myth of the Lazy Native (Mitos Peribumi Malas), karya yang dirujuk oleh sarjana seperti Edward Said sebagai satu contoh revisionary history dalam kalangan sarjana Asia. Dalam pendahuluannya, Alatas memperingatkan kepada sidang pengarang dan penulis perihal pentingnya sikap tidak terburu-buru dalam menerbitkan penulisan kerana masa merupakan salah satu bahan yang penting dalam penghasilan satu penulisan yang matang.

Tujuan buku ini ditulis adalah untuk melahirkan manusia Islam yang baharu, kerana menurut beliau manusia Islam lama yang masih ada pada hari ini tidak dapat membawa umat kearah kemajuan. Apakah definisi manusia Islam yang baharu ini? Menurut beliau manusia Islam yang baharu ini adalah manusia yang sanggup menerima kemajuan dan pemikiran zaman moden, bagi mereka pintu ijtihad perlu dibuka, mereka dapat berdiskusi dan berwacana dengan tenang dan aman serta mempunyai keberanian untuk melepaskan diri dari kongkongan pemikiran kuno. Manusia Islam yang baharu bukan sekadar berteriak akan perlunya kembali kepada Al-Qur’an – kerana hal itu sudah tiada keraguan dan menjadi kewajipan bagi setiap muslim, tetapi mereka dapat menghuraikan bagaimana ia dapat dilakukan sesuai dengan peredaran zaman dan tidak terperangkap pada pendapat-pendapat lampau yang sudah tidak sesuai dengan zaman ini.

Antara manusia Islam lama yang dikritik oleh Syed Hussein Alatas adalah Maulana Abul Ala Al-Maududi dari Pakistan. Slogan kembali pada Al-Qur’an Maududi itu beliau setujui, namun penafsirannya tidak beliau persetujui. Beliau mengkritik penafsiran dan pandangan-pandangan Maududi, antaranya yang melarang wanita dilantik menjadi wakil dalam badan perundangan dan parlimen. Juga pandangan Maududi perihal larangan menghiasi rumah dengan gambar. Bagi Alatas, Maududi mewakili aliran pemikiran yang kolot dan tulisan-tulisannya bersifat propaganda.

Dari aspek ini, ada bahagian yang saya tidak berapa setuju dengan pandangan keras Alatas. Dari satu sudut, saya bersetuju bahawa pandangan yang lapuk perlu ditinggalkan. Tetapi saya kira ada tulisan mereka yang baik untuk diambil pelajaran. Alatas tidak menolak penuh tulisan Maududi, namun menurutnya ia hanya sesuai untuk mereka yang sederhana pengetahuan tentang Islam kerana karangannya tidak memperdalam ilmu pengetahuan.

Yang kedua, Alatas menggolongkan bersama Maududi tokoh-tokoh lain seperti Muhammad Qutb, Nadvi, dan Muhammad Asad. Pada Alatas mereka semua ini adalah propagandis. Ini juga tidak saya persetujui. Jika Nadvi yang dimaksudkan adalah Abul Hassan Ali Nadwi, maka pandangan Alatas ini tidak dapat saya terima. Buku Nadwi, Saviours of Islamic Spirit sangat baik dibaca oleh umat Islam, baik tua atau muda, dimana beliau menulis dengan teliti sejarah mujaddid umat, juga kritikan terhadap mereka pada zamannya. Jika Nadwi merupakan propagandis, beliau tidak akan memasukkan kritikan terhadap mujaddid umat dalam bukunya.

Bagi Syed Hussein Alatas apa yang diperlukan oleh masyarakat Islam sekarang adalah menyaring pengaruh-pengaruh Barat dengan teliti dan saksama, bukan menolaknya seratus peratus. Terutamanya dalam bidang ilmu, teknologi, dan pendapat yang berguna untuk masyarakat Islam. Proses saringan ini juga perlu membuang pemikiran-pemikiran Barat yang songsang, antara yang beliau perincikan termasuklah fahaman relativisme, nihilisme dan fahaman material Marxisme. Untuk melakukan proses saringan ini, menurut beliau cendiakawan Islam harus membaca buku-buku pemikiran Barat dan membangun kapasiti untuk menjawab penyelewengan mereka. Sikap mengambil jalan pintas dengan mengharamkan buku tanpa menjawab persoalan-persoalannya tidak akan menguatkan umat. Beliau memetik bagaimana Tan Malaka yang lahir dari keluarga Islam yang kuat agama boleh menjadi pendiri komunis di Indonesia. Bagi beliau, jika cendiakawan Islam tidak mampu menjawab persoalan Barat, Tan Malaka bukanlah orang Islam terakhir yang akan memeluk Komunisme.

Kritikan Terhadap Fahaman Relativisme

Dalam bab yang pertama, Alatas mengkritik fahaman relativisme, fahaman relativisme yang dikritik beliau adalah dalam lapangan etika dan sifat asasi manusia. Bukan lapangan relativisme lain seperti dalam bidang Fizik yang dipelopori Einstein. Antara contoh yang beliau petik adalah kebuasan dan kekejaman Nazi dan Stalin, yang mana menurut beliau adalah hasil dari pengaruh relativisme dalam ehwal politik. Menurut fahaman relativisme, tidak ada apa yang dikatakan sebagai kebenaran yang benar seluruhnya (absolute truth), yang ada adalah kebenaran menurut pandangan masing-masing. Beliau juga meninjau fahaman ini dari sudut pandang fahaman kelas seperti yang difikirkan oleh Marx (class society) – sehingga demokrasi juga didefinisikan dengan terma kelas. Dari pemikiran ini, demokrasi didefinisikan sebagai “golongan kelas penguasa yang membuka pintu kelasnya agar orang dari bawah dapat masuk menjadi sebahagian anggotanya”.

Bagi Alatas, fahaman relativisme bercanggah dengan logika, mereka melihat ayam sebagai ayam pada satu zaman, dan melihatnya sebagai kucing pada zaman yang lain. Perbahasan fahaman ini menurut beliau adalah penting untuk mengetahui apa yang perlu diubah dan apa yang perlu dikekalkan. Perubahan atau revolusi dalam masyarakat perlu mempunyai garisan yang jelas perihal hal ini, jika segalanya relatif dan hendak diubah, maka sesuatu perubahan atau revolusi boleh bertukar kepada kesengsaraan sebagaimana terjadinya pada Revolusi Perancis pada 1789. Garis jelas perlu ada supaya adanya tujuan, bukannya revolusi berterusan tak berkesudahan. Perlu ada matlamat dalam melakukan perubahan, bukan meletakkan perubahan sebagai matlamat. Contohnya jika revolusi untuk menolak kezaliman dan penindasan, jika telah tercapai kemerdekaan dan keadilan, perubahan perlu berhenti, sebaliknya usaha perlu tertumpu tentang bagaimana untuk memelihara kemerdekaan dan keadilan itu.

Perbahasan Perihal Persoalan Kemajuan Masyarakat

Pada bab yang kedua, Alatas meninjau persoalan kemajuan masyarakat. Kemajuan masyarakat mempunyai definisi yang pelbagai bergantung kepada falsafah dan kepercayaan yang mendasarinya. Pada pandangan beliau, masyarakat yang maju itu pertamanya mestilah setiap ahlinya cukup keperluan hidup harian mereka.

Antara unsur-unsur penting yang perlu ada dalam sebuah masyarakat yang maju menurut Alatas adalah adanya kesenangan dan jaminan keselamatan kepada anggotanya. Jaminan ini merangkumi nyawa, harta, dan kehormatan individu yang tidak diganggu. Perlu ada keadilan antara golongan yang hidup dalam masyarakat, saling menghormati, dan saling mengambil berat antara satu sama lain. Juga perlu adanya semangat dan usaha untuk menimbulkan nilai-nilai berharga dalam kehidupan manusia. Masyarakat yang maju juga perlu mempunyai penulis, ahli seni, ahli fikir, ahli agama, ahli siasah dan sebagainya yang tinggi mutunya. Bagi Alatas, akhlak juga merupakan komponen bagi masyarakat maju, masyarakat maju perlu tinggi akhlaknya, boleh dipercayai dan berpengetahuan.

Perjuangan untuk mencapai kemajuan masyarakat menurut Alatas tidak dapat dipisahkan dengan ideologi. Kerana setiap ideologi memahami “kemajuan” dengan erti yang berbeda-beda. Jadi kita harus duduk dan bersepakat, apa yang terangkum dalam definisi “kemajuan” menurut ideologi kita. Apabila perkara ini jelas, barulah masing-masing ahli masyarakat dapat berkerja untuk menegakkannya.

Hubungan Islam dan Kebudayaan Melayu

Menurut Syed Hussein Alatas, hubungan Kebudayaan Melayu dan agama Islam terdapat 3 jenis:

  1. Perpaduan antara Kebudayaan Melayu dan agama Islam
  2. Hubungan yang neutral dan tidak bertentangan
  3. Pertentangan antara Kebudayaan Melayu dan agama Islam

Dalam fasal ini, Alatas memilih untuk memfokuskan perbahasan beliau pada hubungan yang ketiga iaitu pertentangan. Islam merupakan sistem hidup yang luas, syumul dan menyeluruh mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia. Disebabkan sifat syumuliyah Islam ini, agama Islam akan bercampur dengan kebudayaan tempatan ke mana sahaja ia tersebar. Campuran ini mensintesiskan campuran yang bulat dan tidak dapat dipecahkan.

Objek kritikan Alatas dalam fasal ini adalah kisah dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Sikap taat kepada raja yang zalim, tidak adil, membunuh rakyat sesuka hati, tidak menghormati agama dan gila perempuan yang ditonjolkan dalam kisah-kisah orang Melayu ini menurut Alatas adalah satu penderhakaan pada Tuhan, bertentangan dengan Islam, serta tidak sesuai dengan demokrasi zaman sekarang. Ia patut dikecam sekeras-kerasnya.

Anjuran Untuk Berfikir Demi Kemajuan

Tanpa mengurangkan kepentingan faktor objektif yang menghalang kemajuan, menurut Alatas, faktor objektif ini boleh kita atasi jika kita maju dalam hal subjektif. Contohnya, jika negeri kita kurang modal untuk pembangunan (objektif), ini dapat diatasi jika pemimpinnya bijak dan rajin mencari modal (bijak dan rajin itu subjektif).

Syed Hussein Alatas berpandangan bahawa umat Islam perlu belajar dari Barat untuk maju, hubungan kita dengan ilmu dari Barat bukan perlu seratus bersifat penentangan dan penolakan. Sebaliknya ilmuan kita perlu berperanan untuk memilih dan menyaring ilmu ini untuk manfaat bangsa. Antara tokoh pemikir Islam yang selalu beliau ulang-ulang yang mengetengahkan idea perlunya sinergi antara Islam dan ilmu pengetahuan Barat adalah Syed Jamaluddin al-Afghani dan Amir Syakib Arsalan.

Rintangan Kemajuan Berfikir Dalam Masyarakat Islam

Menurut Alatas, antara kekurangan yang ada dalam “pemberi panduan agama” masa kini (ustaz, ulamak dan orang agama) adalah mereka hanya mendalami ilmu-ilmu agama dan membaca kitab-kitab lama. Mereka tidak menjadi ahli dalam ilmu zaman sekarang, tidak berkecimpung dalam urusan masyarakat atau bergiat dalam perdagangan, pentadbiran, atau lapangan perofessional. Oleh itu pandangan-pandangan mereka sempit dan berdasarkan zaman lampau yang telah berlalu.

Beliau juga mengkritik falsafah ilmu yang berlegar dalam kalangan umat Islam, terutamanya pandangan yang mendefinisikan ilmu sebagai ilmu agama sahaja. Walhal, bersenjatakan dalil-dalil Al-Qur’an, beliau menjelaskan bahawa Islam amat menitik beratkan pengetahuan tentang alam dan ilmu-ilmu kemanusiaan. Jadi tidak mungkin definisi ilmu dalam Islam hanya ilmu-ilmu agama, kerana Al-Qur’an banyak sekali menyuruh manusia melihat dan mengkaji alam. Malah menurut Alatas, ayat-ayat tentang kejadian alam ini lebih banyak di dalam Al-Qur’an berbanding ayat perihal urusan ibadah amaliyah seperti solat dan puasa. Oleh itu pandangan yang mengatakan ilmu agama lebih tinggi dari ilmu sains itu tidak tepat, kerana semua ilmu itu adalah ilmu Allah, semuanya sama tinggi dan sama penting. Dari sudut pandang ini, bagi Alatas, kitab Ihya ‘Ulumuddin tulisan Imam Ghazali tidak lebih darjatnya dari al-Muqaddimah tulisan Ibn Khaldun. Begitu juga dalam kalangan ilmuan, Profesor Abdus Salam yang menguasai fizik tidak kurang darjatnya dari Iqbal yang menguasai syair-syair tasawuf.

Kejahilan tentang ilmu pengetahuan dan teknologi juga digemari oleh pemimpin-pemimpin Islam yang rosak yang hanya mementingkan kepentingan kelas elit mereka sahaja. Apabila masyarakat menganggap bahawa dunia ini kecil nilainya dan fikiran masyarakat hanya menumpu pada akhirat, mereka akan melupakan kezaliman yang dilakukan pemimpin Islam yang rosak ini. Mereka dapat terus memerintah dengan tidak adil tanpa gugatan masyarakat yang sudah dilarikan fokus mereka untuk hanya beribadat dan memikirkan alam akhirat.

Tumbuh Tiada Berbuah: Penutupan Pintu Ijtihad

Selepas empat imam mazhab ahli Sunnah meninggal dunia, iaitu Imam Malik ibn Anas, Imam Ahmad ibn Hanbal, Imam Abu Hanifah, dan Imam Shafie, mereka mewariskan pemikiran mereka, timbul sikap dalam golongan orang alim untuk menutup pintu ijtihad. Kesannya, segala persoalan baru dirumuskan berdasarkan tetapan imam-imam yang terdahulu ini, sedang ijtihad yang bebas dari mazhab terdahulu ini tidak digalakkan. Akibatnya, ilmu hukum masyarakat Sunni tetap stagnant tidak berubah sejak 1100 tahun yang lalu. Terdapat juga faktor dan sebab lain pintu ijtihad ini ditutup, antaranya adalah sifat protektif cendiakawan Islam dalam menjaga umat dari khalifah-khalifah rosak yang mencampuri dan merosakkan keilmuan Islam. Namun bagi Alatas, walaupun ia sesuatu yang wajar dilakukan pada situasi itu dahulu, kini ia tidak lagi wajar diteruskan, ia perlu dibuka bagi menjana kemajuan umat.

Alatas kemudian membahaskan konsep tingkatan kewibawaan (hierarchy of authority). Dalam fikah contohnya, yang paling utama adalah Nabi Muhammad, kemudian sahabat yang empat, sahabat-sahabat lain, seterusnya imam-imam besar pengumpul hadis dan pendiri mazhab. Dalam konsep ini, yang terdahulu lebih besar wibawanya. Dari pemikiran ini, umat Islam kurang menghargai ilmuan yang dekat dengan zamannya. Tetapi menurut Alatas, seiring perkembangan Islam merentasi zaman dan geografi, perlu ada pemikiran baharu dalam tingkatan wibawa ini. Contohnya jika kita ingin mendalami Tauhid dan memahami kelemahan falsafah Yunani Purba dengan alasan yang logik, yang paling berwibawa dalam hal ini adalah Imam Ghazali bukan sahabat nabi Abu Hurairah. Ini tidak bermakna kita tidak menghargai Abu Hurairah. Pencapaian seseorang perlu diukur dengan bidang ilmunya, bukan jumlah tahun Hijrah semasa cendiakawan itu hidup. Di hujung bab ke-6 ini Syed Hussein Alatas akhirnya memberi makna kepada frasa “tumbuh tiada berbuah” itu. Bahawa pintu ijtihad perlu dibuka, dan umat Islam boleh memberi sumbangan kepada zamannya (buah), bukan sekadar menukil pandangan-pandangan lama.

Pesanan Alatas Buat Penulis-Penulis Islam

Dalam naskah ini, Alatas tidak mensia-siakan peluang untuk memberi nasihat buat para penulis Islam. Menurut beliau, penulis Islam perlu mengetahui dasar agama Islam dalam masa yang sama mengetahui ilmu zaman. Pandai memilih tema-tema yang penting, juga tema yang belum diberi perhatian. Mereka juga perlu ada kebolehan untuk mengolah unsur-unsur Islam dengan ilmu pengetahuan, tema, jalan cerita dan keadaan masyarakat zaman sekarang. Hal ini penting supaya kehidupan beragama itu mempunyai erti kepada manusia yang sedang hidup. Tugas penulis Islam adalah untuk menyuburkan pokok Islam dalam jiwa umat. Jika ini tidak dilakukan, generasi Islam akan menjadi pokok yang tumbuh dengan daun yang lebat tetapi buahnya tidak ada.

Hubungan Antara Islam dengan Seni dan Sastera

Dalam bab ini, Alatas memulakan perbahasan dengan persoalan falsafah atau tujuan bagi seni dan sastera. Bagi beliau tujuan sastera bukanlah sastera itu sendiri, beliau tidak bersetuju dengan falsafah “seni untuk seni”. Beliau menulis:

“Pandangan ini sebenarnya karut kerana dari segi hakikat wujud sesuatu, tujuan sesuatu itu luar dari wujudnya sendiri.”

Beliau memberikan contoh dari perkara lain. Memasak misalnya, tujuan kita memasak bukan untuk memasak, tetapi untuk menyediakan makanan. Jika pun seseorang itu ingin memaknakan apa yang dikatakan “seni untuk seni” itu sebagai tidak mempunyai apa-apa tujuan, sekadar untuk kepuasan diri. Sebenarnya “kepuasan diri” itulah yang menjadi tujuan seninya dan memandu seninya. Jadi menurut Syed Hussein Alatas, seni untuk seni itu adalah mustahil.

Bab ini mengandungi perbahasan yang sangat menarik minat saya, iaitu bagaimana untuk kita mengkategorikan sesuatu hasil kerja itu sebagai Sastera Islam? Untuk menjawab persoalan ini, Alatas mencerakinkan dua pemikiran. Beliau membahagikan dua kategori:

  1. Agama Islam – agama yang hanya diikuti oleh orang Islam
  2. Nilai-nilai Islam – bersifat universal, orang bukan Islam boleh menghidupkan nilai-nilai Islam, contohnya menjaga kebersihan dan mentaati ibubapa.

Definisi sastera Islam Alatas adalah sastera yang menguatkan ajaran Islam khusus buat umat Islam dan umum buat umat manusia. Terangkum dalam sastera Islam adalah peristiwa alam dan kejadiannya yang dihubungkan dengan Tuhan. Sastera yang menyeleweng dan melanggar ajaran Islam seperti Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu tidak boleh dianggap sebagai sastera Islam. Jika sesuatu karya dikarang oleh orang bukan Islam tetapi didalamnya membesarkan nilai-nilai Islam, maka karya itu dianggap sebagai sastera Islam. Contohnya karya yang menguatkan pendapat akan keperluan berbuat baik pada ibubapa, ini adalah nilai Islam meskipun jika ia ditulis oleh orang bukan Islam.

Tujuan sastera menurut Alatas adalah untuk memperjuangkan taraf kesedaran yang tinggi tentang persoalan hidup manusia. Bagi Alatas, sastera mempunyai musuh, musuhnya adalah yang menghalang tujuan ini tercapai. Ini termasuklah pemikiran feudalisme, pemikiran perkauman, pemikiran yang memadamkan semangat usaha orang Melayu, serta pemikiran agama yang sempit.

Manusia Baharu Dalam Masyarakat Islam

Perubahan zaman masa kini melahirkan empat jenis Muslim yang berfikiran baharu yang digelar Alatas sebagai “Manusia Islam Baharu”, dari awal beliau telah mengeluarkan orang-orang yang berfikiran seperti Maulana Abul Ala Maududi sebagai orang yang kolot dan tidak termasuk dalam manusia baharu Islam. Beliau menggunakan tokoh-tokoh politik Indonesia dalam menerangkan empat jenis manusia ini.

  1. Presiden Ahmad Sukarno (1901-1970)

Menurut Alatas, Sukarno bersungguh-sungguh mempelajari Islam semasa dalam buangan di Endeh, Flores. Beliau berusaha mendapatkan buku tulisan Syed Ameer Ali, The Spirit of Islam. Beliau adalah Manusia Baharu Islam yang sedar tentang Islam, sangat menghargainya namun tidak bergabung dengan gerakan Islam, dan tidak memusatkan usaha pemikirannya dalam lingkungan keislaman. Sukarno memilih aliran nasionalisme namun dalam soal agama berpegang teguh dengan ajaran Islam.

  • Sutan Syahrir (1909-1966)

Syahrir adalah Perdana Menteri Indonesia yang pertama. Bagi Alatas, Syahrir adalah “pokok yang terlepas dari akarnya”. Beliau boleh dikatakan Islam pada nama namun jiwanya sudah ditawan humanisme Barat dan tidak lagi memerhatikan soal-soal keislaman seperti Sukarno. Walaupun mengkritik pemikiran Syahrir, Alatas tetap bersimpati pada perjuangan beliau, dan memuji sebahagian dasar-dasar beliau yang sesuai dengan dasar Islam.

  • Ibrahim Datuk Tan Malaka (1897-1949)

Jenis manusia baharu Islam ketiga ini mendapat kritikan yang keras dan panjang oleh Syed Hussein Alatas, beliau bukan sahaja menulis kritikan beliau pada Tan Malaka, malah Hamka yang menulis pujian pada Tan Malaka dalam naskah Madilog turut dikritik dengan begitu panjang dan penuh sarkastik oleh Syed Hussein Alatas.

Hamka menulis kata pengantar bagi Madilog pada cetakan ke-5 pada tahun 1951. Di dalam kata pengantar itu Hamka memuji pemikiran Tan Malaka yang menurutnya berijtihad. Bagi Alatas ini sangat membingungkan. Bagaimana seorang komunis boleh dikatakan berijtihad? Ijtihad perlu didasari Al-Qur’an sedangkan Tan Malaka menganut fahaman dialektik materialisme Marx yang menolak Tuhan. Alatas menduga sama ada Hamka tidak membaca Madilog, kalau pun dibaca mungkin beliau tidak faham apa yang dikatakan Tan Malaka.

Tan Malaka memuji buku Karl Kautsky yang ingin mengguling kepercayaan agama, ini lebih memeningkan Alatas bila Hamka menyatakan Tan Malaka mencintai Islam. Bagi Alatas, Hamka telah mencium bunga beracun dari taman Tan Malaka.

Di manakah kedudukan Tan Malaka menurut Alatas?

Beliau menganalisa dan memetik tulisan dan ucapan Tan Malaka, dan membuat kesimpulan bahawa Tan Malaka telah meninggalkan Islam namun dia tidak membenci Islam dan masih memberikan perhatian pada Islam. Tan Malaka menganut fahaman Komunis yang berasaskan falsafah dialektik materialisme. Perhatian yang diberikan Tan Malaka terhadap Islam menurut Alatas adalah atas dasar politikal, bagi mendapatkan sokongan masyarakat kerana fahaman Komunis yang belum kukuh di nusantara. Bagi Alatas, pendapat baik Tan Malaka terhadap Islam dan Nabi Muhammad adalah muslihat halus, matlamat akhir Tan Malaka adalah menggulingkan Islam.

Tan Malaka juga melihat manusia sebagai sumber nilai baik dan buruk, bukan Tuhan, kefahaman ini berakar dari humanisme, juga faham relativisme yang dikritik Alatas pada babnya yang pertama. Strategi Tan Malaka dalam merobohkan Islam menurut Alatas bersumberkan tulisan Plekhanov, di mana strategi ini mengambil kira keadaan setempat. Namun Tan Malaka tidak boleh mengistiharkannya secara terbuka seperti Plekhanov kerana beliau menulis untuk masyarakatnya yang belum Komunis.

Walaupun mengkritik hebat fahaman dialektik materialisme Marx perihal ketuhanan, Alatas masih adil dan rasional dalam menimbang Marxisme. Bagi beliau seorang Muslim tidak boleh menjadi Marxis sejati kerana ada fahaman penolakan Tuhan dan fahaman relativisme. Namun ini tidak bererti kita tidak boleh mengambil perkara-perkara baik yang lain yang dimajukan oleh Marxisme seperti kritiknya terhadap kapitalisme dan idea-idea ekonomi. Contohnya idea membanteras kemiskinan ekonomi, ini selari dengan Islam dimana kemiskinan itu dianggap mendekatkan seseorang kepada kekafiran.

  • Syafruddin Prawiranegara (1911-1989)

Manusia Islam Baharu terakhir yang diketengahkan oleh Alatas adalah insan seperti Syafruddin – seorang yang menjadi ahli dalam satu bidang ilmu masyarakat serta berusaha mengaitkannya dengan dasar-dasar Islam. Syafruddin adalah ahli ekonomi, dan beliau membawa pemikiran Islam masuk ke dalam bidang ilmunya. Walaupun ekonomi boleh dijalankan oleh manusia, namun ekonomi tidak memberi tujuan bagi manusia berekonomi, di sini hadir peranan agama dalam memberi panduan perihal tujuan kita berekonomi. Begitu juga cara kita berekonomi, tanpa agama, ekonomi menjadi alat yang menindas, dengan agama manusia diajar takut pada Tuhan dan menghindari sikap tamak. Bagi Alatas, jenis manusia Islam baharu yang ke-4 inilah yang diperlukan masyarakat Islam untuk maju. Manusia yang mahir dengan ilmu zaman sekarang, tetapi tidak melepaskan panduan agama, ilmu dan agama itu dihubungkan.

Pencerahan Dari Cahaya Rasionalisme

Rasionalisme yang menggunakan kekuatan akal sangat diperlukan untuk membina sistem hidup agama menurut Alatas. Ia adalah alat, yang jika digunakan dengan betul dapat membawa kebaikan. Tujuan tertinggi Islam bagi manusia adalah untuk melahirkan manusia yang mempunyai karakter al-Insan al-Kamil.

Menurut Alatas, sains tidak dapat berdiri sendiri. Sebagai contoh, sains tidak dapat memberi manusia tujuan hidup, sedangkan tujuan hidup sangat penting untuk manusia. Kemajuan sains juga bagi Alatas, tidak bermakna manusia telah berjaya dari sudut moral. Saya kira apa yang diutarakan oleh Alatas ini mirip apa yang diutarakan Francis Fukuyama dalam bukunya The End of History and the Last Man. Fukuyama menyatakan bagaimana masyarakat Jerman yang begitu hebat di sudut teknologi, budaya dan falsafah pada era Nazi, merosot menjadi bangsa pembunuh yang sangat dahsyat. Bagi Fukuyama, kemajuan moral sangat penting seiring kemajuan teknologi.

Walaupun akal itu penting, akal juga mempunyai beberapa kelemahan menurut Alatas. Antaranya:

  1. Akal adalah sebahagian dari fakulti manusia. Ada fakulti lain yang kuat pengaruhnya pada manusia yang tidak dapat dipuaskan hanya dengan akal.
  2. Akal manusia mempunyai daerah yang terbatas, ia hanya boleh digunakan dalam daerah zahir.
  3. Seluruh jiwa manusia tidak bergerak hanya dengan akal. Agama bukan hanya merangkumi intelek, ia lebih dari itu, ia dapat menguatkan perasaan hidup manusia melebihi falsafah dan ilmu pengetahuan. Malah menurut Arnold Toynbee, ilmu dan falsafah itu lahir dari agama.

Pesanan Syed Hussein Alatas Buat Pemuda

Pemuda Islam tidak boleh hanya membaca buku karangan orang Islam. Sikap membaca buku dalam sudut pandang satu agama dan aliran sahaja sangat merugikan umat Islam dan tidak mengembangkan ilmu. Dalam sejarah, umat Islam tidak mempunyai ilmu falsafah pada mulanya, namun apabila Islam tersebar, mereka mempelajarinya dari sumber-sumber luar dan berjaya mengembangkannya sehingga maju. Bagi Alatas, ada golongan berfikiran kolot tidak mahu pemuda menuntut keilmuan Barat, kerana mereka takut kehilangan pengaruh dan tidak lagi dapat mengawal orang-orang muda. Bagi Alatas, untuk selamat, kita perlu belajar kedua-dua jenis ilmu, ilmu ubat-ubatan dan ilmu racun, supaya nanti dapat kita bezakan dan mengelak diri dari terkena racun.

Antara anjuran lain Alatas adalah perlunya kerjasama antara orang Islam dan Nasrani, kerana mereka mempunyai common ground dengan umat Islam terutamanya dalam soal pengiktirafan tentang wujudnya Tuhan. Anjuran beliau ini saya kira ada juga diutarakan oleh cendiakawan moden seperti Dr. Ali Ataie. Kerjasama ini bukanlah perkara baharu, ia terkandung dalam sirah. Contohnya bagaimana Nabi Muhammad SAW menyertai perjanjian Hilf al-Fudhul, dan tetap menghargainya selepas lahirnya Islam. Begitu juga peristiwa 14 rombongan bangsawan Nasrani dari Najran yang dibenarkan oleh Nabi untuk bersembahyang di Masjid Nabi walaupun berlainan agama.

Kritikan Terhadap Manifesto Pilihanraya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) 1978

Kritikan ini adalah bahagian akhir dalam naskah ini. Secara kasarnya, Alatas mengkritik manifesto PAS yang baginya terlalu umum dan tidak mendalam penerangannya perihal solusi bagi masalah yang diketengahkan. PAS cuba membawa penyelesaian masalah pengemis, namun ini menurut Alatas satu prioriti yang silap, yang harus diselesaikan adalah punca manusia mengemis iaitu pengangguran. Beliau juga mengkritik cadangan PAS untuk menghapuskan bunga dalam pinjaman. Pada pandangan beliau ini akan menjejaskan pulangan bagi Kumpulan Wang Simpanan. Namun menurut saya cadangan PAS ini merupakan cadangan yang viable, cuma mungkin tiada perincian. Contohnya hari ini, pencarum KWSP boleh memilih akaun patuh syariah.

Ada juga pernyataan Alatas yang saya kira ganjil jika ditinjau secara umum. Beliau menulis:

“Memang Islam melarang riba. Riba yang dilarang adalah riba dalam hubungan yang menindas, yang melampaui batas, yang menghisap darah perseorangan.”

Persoalan yang bermain di fikiran saya, adakah wujud jenis riba yang tidak menindas?

Kesimpulan

Pada pandangan saya, banyak pendapat-pendapat Alatas dalam buku ini bersifat serdehana. Antara perbahasan yang saya kira sangat bernas adalah perihal falsafah sains – tentang bagaimana sains dapat menerangkan bagaimana alam berfungsi namun tidak dapat menjelaskan tujuannya. Klasifikasi yang dibuat oleh Alatas perihal agama Islam dan nilai-nilai Islam dalam memberikan definisi pada Sastera Islam juga menurut saya sangat mencerahkan, ia adalah satu konsep yang dicerakinkan dengan baik dan mudah difahami. Alatas merupakan pemikir yang menyambung aliran fikir Syed Jamaluddin al-Afghani dan Amir Syakib Arsalan, perihal perlunya umat Islam mengharmonikan ilmu pengetahuan Barat dengan asas-asas agama Islam untuk maju ke hadapan. Pandangan ini mengetengahkan idea bahawa umat Islam perlu menjadi moden tapi tidak perlu menjadi Barat. Kritikan yang dibuat ke atas Tan Malaka dan Hamka bagi saya adalah yang paling mencuit hati terutamanya pilihan bahasa sarkastik yang digunakan. Namun kritikan beliau bukanlah kritikan kosong, beliau dengan teliti membedah pemikiran Tan Malaka juga sumber-sumber yang digunakannya. Satu persatu dipersembahkan dan diterangkan di mana masalahnya. Secara dasarnya saya bersetuju akan anjuran Alatas bahawa perlunya kita melahirkan “manusia Islam baharu” yang berani berfikir, menguasai ilmu zaman dan menghubungkannya dengan agama Islam.

Buku ini ada dibincangkan bersama Kelab Jurnalisma Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, boleh ditonton disini. Untuk mendownload artikel ini, klik disini.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran. Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read and sleep.

fathi137.wixsite.com/syedahmadfathi

Filed Under: Book Review

Pemuda & Islam Hari Ini

November 15, 2021 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Apa khabar umat Islam hari ini? Sering kali kita mendengar bahawa Islam hari ini berada dalam keadaan yang menyedihkan dan tertindas. Jadi mari kita perhalusi persoalan ini.

Pertama, mari kita tinjau soalan ini dari perspektif kekuasaan politik. Hari ini sistem politik dunia (world order) adalah berdasarkan negara bangsa (nation state). Dalam sistem ini, ada negara-negara yang mengakui bahawa mereka merupakan negara Islam, contohnya Iran, Pakistan, dan yang terbaru Afghanistan. Malah negara kita sendiri, Malaysia, mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi. Jadi kita boleh katakan bahawa ada sesetengah tempat di mana Islam mempunyai kekuasaan politik.

Bagaimana pula dengan keadaan ekonomi? Ada sesetengah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam yang sangat miskin dari sudut ekonomi, sehingga kerajaan mereka tidak mampu membantu rakyat, malah ada sesetengah kawasan yang tidak berkerajaan (failed state), contohnya Libya. Negara-negara ini bergantung kepada bantuan-bantuan masyarakat antarabangsa bagi membantu rakyat mereka meneruskan hidup. Situasi ini dapat kita lihat contohnya di Somalia dan Yaman. Tetapi ada juga negara yang secara relatifnya dari negara-negara yang kita sebutkan tadi, merupakan negara yang mapan dari sudut ekonominya, seperti Turki, Qatar, dan sedikit sebanyak, negara kita, Malaysia.

Bagaimana pula dari sudut keamanan? Ada di sebahagian geografi, umat Islam tinggal dalam keadaan yang represif, sentiasa diancam oleh serangan dan penindasan. Kita boleh melihat perkara ini berlaku di Syria, Palestin, dan Turkistan Timur (Xinjiang). Manakala di sebahagian besar dunia Islam yang lain, umat Islam dapat hidup dengan bebas dan aman, dapat bekerja mencari kehidupan, dapat belajar untuk meningkatkan diri, dan dapat mengamalkan agama mereka.

Jadi, kembali pada persoalan awal kita tadi, apa khabar umat Islam hari ini? Jawapannya bergantung kepada bahagian geografi mana kita ajukan soalan tersebut. Namun, secara umumnya, kita boleh katakan bahawa terdapat banyak masalah yang berlaku dalam umat Islam pada hari ini. Termasuklah kemiskinan, kemunduran, peperangan, dan juga penindasan. Namun menurut Muhammad Ahmad Ar-Rashid dalam kitabnya Al-Muntalaq, segala masalah ini bukanlah bermakna sinar Islam bakal berakhir di muka bumi ini. Pada pandangan beliau apa yang berlaku hanyalah gerhana bukan tenggelamnya matahari.

Ciri Pemuda yang Diperlukan Menurut Hassan Al-Banna

Jadi sebagai pemuda dan pemudi Islam pada hari ini, apakah peranan kita dalam memperbaiki keadaan umat pada hari ini?

Peranan kita sebagai pemuda adalah untuk menjayakan semula Islam di ke semua batas-batas geografi ini. Untuk kitu kita perlu mempunyai satu kefahaman yang jelas perihal semangat persaudaraan antara umat Islam di mana segala penindasan dan kesengsaraan saudara kita di tempat yang lain dirasai sebagai kesengsaraan yang menimpa diri kita sendiri. Untuk menjayakan kefahaman ini, menurut Imam Hassan Al-Banna dalam risalahnya Wahai Pemuda, perlu ada golongan yang boleh menjadi teras bagi pembangunan umat (core group).

Kata Imam Hassan Al-Banna “Sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang yakin penuh dengan ajarannya, yang benar-benar ikhlas dalam usaha menegakkannya, yang mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan disamping itu ada kesediaan yang mendorong mereka ke arah berkorban serta terus bertindak menjayakannya. Keempat-empat rukun tersebut; keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan adalah merupakan ciri-ciri utama pemuda”.

Jadi inilah empat ciri yang perlu ada pada diri kita, para pemuda untuk menjayakan semula Islam. Yang pertama adalah keyakinan pada kebenaran Islam, yakin bahawa Islam dapat memberikan penyelesain terhadap masalah-masalah manusia. Jika umat Islam sendiri tidak yakin akan kebenaran Islam, tidak yakin akan kemampuan Islam, siapakah lagi yang boleh kita harap untuk membangunkan umat yang sedang dilanda kelemahan dan perpecahan pada hari ini? Oleh itu pemudalah yang harus mempersiapkan diri dalam menjadi barisan hadapan memperbaiki umat.

Ciri yang kedua adalah kejujuran dan keikhlasan. Hal ini yang membezakan pemuda Islam dengan pemuda-pemuda gerakan lain. Pemuda Islam seharusnya ikhlas berjuang tanpa dipesongkan matlamat perjuangan untuk meraih perkara-perkara lain. Gerakan lain mungkin matlamatnya terbatas kepada objektif material dan dunia, sedangkan gerakan Islam perlu mempunyai matlamat yang lebih besar dan suci. Sekiranya ini tidak ada, sekiranya masing-masing mempunyai niat-niat peribadi dalam perjuangan, barisan perjuangan akan mudah rapuh, mudah dipecahkan musuh dan tidak bernafas panjang.

Selepas adanya niat yang ikhlas, pemuda harus mempunyai semangat yang tinggi. Semangat dan ketekalan ini merupakan bahan penting untuk mencapai kejayaan. Angela Duckworth, seorang ahli psikologi moden dalam kajiannya mendapati, ketekalan dan semangat itu lebih penting dari bakat dalam melahirkan sebuah kejayaan. Oleh itu, pemuda Islam perlu mempunyai semangat, kecekalan, dan ketekalan dalam memperjuangkan Islam. Perlu bersifat tahan lasak dan tidak mudah berputus asa. Perlu berani bangun semula setiap kali jatuh dari kegagalan. Semangat dan sifat tidak berputus asa ini akan membantu umat untuk bangkit semula dari keadaannya hari ini.

Tiada perjuangan tanpa pengorbanan. Maka ini adalah ciri pemuda yang keempat yang digariskan oleh Imam Hassan Al-Banna. Perjuangan menuntut dari kita masa, tenaga, dan harta. Jika pemuda-pemuda Islam tidak mampu mengorbankan semua ini, tinggallah perjuangan itu sebagai retorik-retorik kosong, hanya slogan yang tidak mempunyai apa-apa nilai. Apa yang kita yakini perlu diperjuangkan dengan amal dan tindakan. Seorang pemuda itu tidak boleh berdiam diri saat bangsanya dan umatnya berada dalam kelemahan. Sebaliknya dia akan mengetengahkan dirinya, dia akan memberikan dirinya untuk bekerja, bukan menunggu-nunggu orang lain untuk bekerja untuknya. Jika semua pemuda-pemuda Islam mempunyai sifat proaktif ini, sentiasa mahu ke hadapan mengisi kekosongan barisan Islam, kita akan melihat umat ini dapat bangkit semula dari kelemahan-kelemahannya.

Kepentingan Ilmu Dalam Membawa Cahaya Perubahan

Sesuatu perjuangan itu juga tidak dapat tertegak tanpa adanya ilmu. Perjuangan menegakkan Islam juga tidak terkecuali. Oleh itu pemuda Islam perlu menguasai bidang-bidang ilmu, di mana pun ilmu itu berada, mereka perlu bersedia untuk berangkat dan menguasainya. Prof. Syed Hussein Alatas pernah membincangkan akan falsafah ilmu dalam makalah beliau yang bertajuk Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah. Di dalamnya beliau menjernihkan kefahaman perihal falsafah ilmu. Beliau membetulkan fahaman salah di kalangan umat Islam bahawa ilmu itu terpisah kepada ilmu dunia dan akhirat. Sebaliknya menurut beliau semua ilmu itu adalah ilmu Allah, tiada pemisahan. Di dalam Al-Qur’an sendiri ayat-ayat perihal alam lebih banyak dari ayat-ayat perihal ibadah khusus. Islam mementingkan umatnya menguasai ilmu alam dan ilmu manusia, dan ilmu-ilmu ini tidak kurang pentingnya, bahkan ia adalah ilmu-ilmu agama menurut Islam, tiada pemisahan. Hari ini kita melihat orang-orang lain yang menguasai keilmuan. Malah nilai-nilai Islam juga dilihat lebih banyak berada di luar dari negara yang majoritinya adalah umat Islam.

Syeikh Muhammad Abduh sebagai contoh. Selama tinggal di Perancis, beliau melihat negara itu begitu rapi, berdisiplin, dan bersih. Jauh berbeza dengan pemandangan di tanah kelahirannya, Mesir. Di Mesir, yang majoriti penduduknya adalah orang Islam, ternyata jauh tertinggal dibandingkan dengan Perancis, yang jumlah muslimnya sangat sedikit. Dari hal ini, ia mengatakan suatu perkataan yang cukup terkenal hingga hari ini. Ia berkata:

“Dzahabtu ilaa bilaad al-ghorbi, roaitu al-Islam wa lam aro al-muslimiin. Wa dzahabtu ilaa bilaad al-‘arobi, roaitu al-muslimiin, wa lam aro al-Islam”.

Bermaksud: “Aku pergi ke negara Barat, aku melihat Islam namun tidak melihat orang muslim. Dan aku pergi ke negara Arab, aku melihat orang muslim namun tidak melihat Islam”.

Oleh itu, pemuda-pemuda Islam perlu mencari ilmu serta memasyarakatkan ilmu tersebut di latar geografinya. Islam itu tidak boleh hanya tertinggal dalam nota-nota pelajaran mahasiswa Islam, tetapi hendaklah dibumikan di negara mereka. Pemuda-pemuda yang menuntut ilmu atau sering digelar sebagai mahasiswa Islam juga perlu mempelajari sejarah supaya kerja-kerja melakukan perubahan dapat dilakukan dengan berkesan, sejarah juga membantu kita mengenali diri agar kita mampu berfungsi dengan peranan yang sewajarnya.

Kesimpulan

Maka inilah tugas pemuda Islam hari ini. Pertama ia perlu memahami ehwal dan permasaalahan umat bukan sekadar dalam batas geografi negerinya, tetapi dalam skala global. Pemuda Islam kemudian perlu berjuang membaiki keadaan umat dengan sifat-sifat yang digariskan oleh Imam Hassan Al-Banna. Mereka perlu beriman dan yakin dengan Islam, ikhlas dalam perjuangan, bersemangat dan tidak mudah putus asa, dan bersedia untuk berkorban tenaga, masa, dan harta mereka. Pemuda Islam juga perlulah melengkapkan dirinya dengan ilmu ke tahap yang paling tinggi, kerana tanpa ilmu tiada perjuangan yang bermakna boleh dicapai.

Klik di sini untuk mendownload artikel ini.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran. Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read and sleep.

fathi137.wixsite.com/syedahmadfathi

Filed Under: Blog

Sejarah Penulisan dan Periwayatan Kitab Perjanjian Baru

October 18, 2021 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Saya sebenarnya sudah lama mengenali Bart D. Ehrman melalui video-video beliau di Youtube. Hampir semua syarahan, temubual, dan perdebatan beliau telah saya tontoni tanpa jemu. Malah hampir setiap hari saya mendengarnya. Mungkin syarahan beliau adalah syarahan kegemaran saya selepas Chomsky dan Zinn. Atas minat saya perihal syarahan-syarahan beliau, akhirnya saya membeli buku beliau yang bertajuk Misquoting Jesus: The Story Behind Who Changed the Bible and Why. Saya dapati gaya penulisan beliau sangat mirip dengan cara syarahan beliau, energetic, persuasive, passionate dan convincing. Saya hanya mengambil masa 10 hari untuk menghabiskan buku beliau, walhal ada buku yang saya masih baca sejak tahun lalu pun belum dihabiskan!

Beliau memulakan penulisannya dengan autobiografi, perjalanan peribadi beliau, bagaimana beliau masuk ke dalam bidang kajian manuskrip perjanjian baru (New Testament studies) dengan fokus pada kritik tekstual (textual criticism). Perkara ini bermula ketika remaja, apabila beliau merasa kekosongan hidup dan berjumpa seorang brother bernama Bruce. Bruce meyakinkan beliau kekosongan hidup yang dirasainya adalah kerana ketiadaan Jesus dalam dirinya. Bart kemudian mengikuti Bruce dan menjadi born again Christian, mengikuti aliran Evangelikal pekat yang percaya bahawa Bible adalah perkataan dari Tuhan tanpa sebarang kesilapan (inerrant word of God).

Komitmen beliau terhadap Bible ini kemudian diteruskan dengan pengajian beliau di sebuah institusi fundamentalis bernama Moody Bible Institute. Masih tidak berasa puas, beliau menyambung pengajian ke institusi lebih tinggi di Wheaton dan kemudian di Princeton untuk menguasai bahasa kuno Yunani bagi membolehkannya membaca Kitab Perjanjian Baru dalam bahasa asal mereka ditulis. Pengajian tinggi ini akhirnya membuka mata Bart bahawa terdapat pelbagai kesilapan dan berbezaan antara manuskrip-manuskrip Kitab Perjanjian Baru. Beliau akhirnya menukar fikiran dan tidak lagi berpegang dengan fahaman fundamentalis evangelikal.

“The Bible began to appear to me as a very human book. Just as human scribes had copied, and changed, the text of scripture, so too had human authors originally written the texts of scripture. This was a human book from beginning to end”

Bart D. Ehrman. Misquoting Jesus. (Pg. 11)

Dalam menelusuri sejarah awal Kristian, Bart Ehrman mengemukakan bagaimana agama Kristian berbeza dari agama polytheist dan agama pagan pada zamannya dari sudut sifatnya yang bookish – menutamakan kitab (ahli kitab). Agama polytheist dan agama pagan tidak mempunyai doktrin moral dan etika seperti agama berpandukan kitab, bukan bermaksud mereka tidak bermoral atau tidak beretika tetapi moral dan etika bukan sebahagian dari agama tetapi dianggap sebahagian dari falsafah peribadi. Berbeza dengan Kristian, mereka tidak mempunyai “kod etika” atau “doktrin yang benar” tetapi agama pagan lebih memfokuskan tentang bagaimana untuk menyembah tuhan dengan berkorban dan acara ritual.

Selain Gospels (tulisan perihal kisah hidup Jesus), kebanyakan kandungan Kitab Perjanjian Baru adalah surat-surat yang ditulis Paul dan pemimpin awal Kristian kepada komuniti dan sesetengahnya kepada individu. Contohnya Galatians dan Corinthians (tempat), juga pada Philemon (individu). Masalah utama dengan Kitab Perjanjian Baru adalah ketiadaan manuskrip asal (autograf), sebaliknya apa yang ada adalah manuskrip-manuskrip terkemudian yang merupakan salinan beratus-ratus tahun selepas salinan asal ditulis. Dan salinan kepada salinan kepada salinan kepada salinan ini dipenuhi dengan kesilapan dan perbezaan. Untuk menyelesaikan masalah ini, scholar (cendiakawan) membuat penilaian kritis terhadap teks (textual criticism) sebagai cubaan untuk menentukan tulisan asal (original). Walau bagaimanapun perbezaan ini terlalu banyak sehingga sesetengah cendiakawan merasakan usaha untuk menentukan tulisan yang original ini tidak mungkin dicapai. Dalam kata lain tulisan asal ini telah hilang dan tidak lagi wujud.

Antara sejarah penulisan Kitab Perjanjian Baru yang diketengahkan oleh Ehrman adalah bagaimana Desiderius Erasmus menerbitkan edisi pertama Kitab ini dalam bahasa Yunani. Namun edisi Erasmus ini menimbulkan kontroversi kerana ia tidak mempunyai ayat penting dari 1 John (5:7-8) atau ayat yang lebih dikenali sebagai Johannine Comma. Ayat ini sangat penting kerana ia merupakan ayat penting untuk menjadi dalil kepada tiga tuhan (triune God) atau lebih dikenali sebagai doktrin triniti. Ayat ini tiada dalam kebanyakan manuskrip Yunani yang dirujuk oleh Erasmus oleh itu Erasmus tidak memasukkannya, tetapi ayat tersebut ada dalam manuskrip Vulgate dalam bahasa Latin. Erasmus berjanji akan memasukkan ayat tersebut pada edisi seterusnya dengan syarat pengkritiknya dapat memberikan manuskrip Yunani yang mempunyai Johannine Comma. Lalu pengkritiknya menterjemahkan ayat tersebut dari Latin, dan mencipta sebuah manuskrip Yunani baharu dan diserahkan pada Erasmus. Dari manuskrip yang dicipta ini, Erasmus memasukkan semula ayat tersebut pada edisi beliau yang baharu.

Kebanyakan kesilapan dari manuskrip-manuskrip yang ada adalah kesilapan kecil yang tidak disengajakan, hal ini disebabkan oleh scribes yang tidak fokus, tidak attentif, mengantuk, atau tersilap. Namun terdapat banyak perbezaan-perbezaan yang disengajakan. Dan para cendiakawan dan pengkaji secara majoritinya bersetuju bahawa teks asal telah diubah. Yang menjadi pertikaian cendiakawan adalah bacaan mana yang merupakan bacaan asal apabila membandingkan perbezaan bacaan dalam kalangan manuskrip ini.

Perubahan bacaan ini juga menjadi perdebatan sentral dalam perpecahan Katolik dan Protestan. Oleh kerana manuskrip-manuskrip ini terdapat banyak masalah, scripture (kitab) tidak dapat dijadikan satu-satunya sumber agama tetapi ia perlu kepada panduan apostolic tradition (autoriti Pope) hujah kelompok Katolik. Ini bertentangan dengan pandangan golongan Protestan yang bergantung penuh pada kitab melalui konsep sola scriptura. Richard Simon menkritik fahaman Protestan menulis:

“The great changes that have taken place in the manuscripts of the Bible…since the first originals were lost, completely destroy the principle of the Protestants…, who only consult these same manuscripts of the Bible in the form they are today. If the truth of religion had not lived on in the Church, it would not be safe to look for it now in books that have been subjected to so many changes and that in so many matters dependent on the will of the copyists”.

Richard Simon. MIsquoting Jesus. (Pg. 104)

Salah satu metodologi yang digunakan oleh cendiakawan dalam menentukan bacaan original adalah mengutamakan bacaan yang sukar. Logik dari metodologi ini adalah tendensi scribes untuk memudahkan bacaan apabila mereka menjumpai ayat yang sukar. Formulasi ini diasaskan oleh Johann Albrecht Bengel yang berbunyi “the more difficult reading is preferable to the easier one”. Antara doktrin utama Kristian adalah ketuhanan Jesus. Bart Ehrman membawakan kisah pengkajian cendiakawan bernama Johann J. Wettstein yang diberi akses untuk mengkaji antara manuskrip tertua iaitu Codex Alexandrinus di England. Kajian Wettstein mendapati ayat-ayat yang digunakan untuk dijadikan dalil ketuhanan Jesus secara tipikal mempunyai masalah teks (dalam kata lain, ayat-ayat ini telah diubahsuai). Apabila masalah ini diselesaikan menggunakan metodologi kritik teks, dalam kebanyakan kes bacaan sebenar tidak mengakui ketuhanan Jesus.

Pada pandangan Ehrman, kebanyakan naskah terjemahan Kitab Perjanjian Baru dalam bahasa Inggeris yang ada pada hari ini adalah berdasarkan teks yang salah. Teks yang salah ini menatijahkan tafsiran yang salah pula dibuat ke atasnya. Dalam kata lain, tafsiran yang dibuat tidak dapat menyampaikan maksud penulis asal. Antara motif perubahan teks ini adalah kerana terdapat perdebatan perihal teologi pada fasa permulaan agama Kristian dan scribes yang menyalin semula manuskrip ingin memastikan bahawa teks yang disalin menyokong teologi mereka. Perkara ini berlaku pada peringkat awal sebelum kemunculan scribes yang dilatih secara professional. Peringkat awal ini, iaitu pada abad ke-2 dan ke-3 permulaan agama Kristian, persoalan teologi masih belum konklusif (aliran yang boleh dianggap orthodoks belum wujud). Ada Kristian yang mengakui ke-Esa-an tuhan (hanya ada satu tuhan), ada yang mengakui adanya dua tuhan (tuhan perjanjian lama dan tuhan perjanjian baru), ada juga yang mengatakan tuhan itu ada 12 malah ada yang mengatakan ada 365 tuhan!

Bart Ehrman kemudian membawa pembaca menganalisa perubahan-perubahan yang dibuat bermotifkan teologi ini. Yang pertama adalah perubahan “anti-adoptionist”. Ada kelompok adoptionist yang mengatakan bahawa Jesus bukanlah tuhan tetapi manusia biasa yang diangkat (adopted) menjadi anak tuhan. Scribes menukar ayat-ayat yang menyokong fahaman adoptionist ini – oleh itu perubahan yang dilakukan ini ditermakan sebagai “anti-adoptionist”. Motif teologi perubahan teks seterusnya adalah perubahan “antidocetic”. Pengikut docetist berfahaman bahawa Jesus adalah keseluruhannya tuhan tapi dia kelihatan seolah-olah seperti manusia. Antara tokoh yang memegang pada fahaman ini adalah Marcion. (162-165) Motif perubahan disebabkan teologi yang terakhir adalah perubahan “anti-separationist”. Golongan separationist ini berfahaman bahawa Jesus terpecah kepada dua bentuk, satu, keseluruhannya adalah tuhan manakala bentuk yang kedua, keseluruhannya adalah manusia. Fahaman separationist ini dipegang oleh aliran Gnostic. Scribes membuat perubahan ke atas teks bagi melawan semua pandangan-pandangan teologi yang dirasakan tidak betul.

Selain motif teologi, ada juga perubahan-perubahan keatas teks yang dibuat berdasarkan faktor sosial. Motif sosial ini termasuklah fahaman untuk melimitasikan peranan wanita dalam gereja, penentangan ke atas kaum Yahudi yang dianggap “pembunuh tuhan” (Yahudi dipersalahkan kerana dikatakan berkonspirasi membunuh Jesus), dan penentangan terhadap musuh-musuh pagan.

Menurut pandangan Ehrman, Bible versi Raja James (King James Version) banyak bergantung kepada edisi Erasmus dimana Erasmus mengambil sumber dari satu manuskrip abad ke-12 yang merupakan manuskrip paling teruk berbanding manuskrip-manuskrip lain yang ada. Oleh sebab itu kebanyakan terjemahan moden berbeza dengan versi Raja James. Ehrman mengkritik golongan Kristian yang berpura-pura seolah-olah tiada masalah pada edisi Bible mereka, seolah-olah tuhan menurunkan kitab dalam bahasa Inggeris versi Raja James dan bukannya dalam bahasa asalnya iaitu Yunani. Bagi Ehrman, semua edisi mempunyai perkataan yang telah ditukar, malah ada tempat-tempat yang tidak dapat dipastikan apakah bacaaan asalnya.

Dalam kesimpulannya, Ehrman menyatakan perubahan pemikiran beliau terhadap scribes yang menukar perkataan-perkataan dalam Kitab Perjanjian Lama, beliau semakin kurang judgemental terhadap mereka apabila mengkaji dan memikir dengan lebih dalam permasaalahan. Bagi Ehrman, apabila kita membaca sesuatu teks, kita tidak dapat lari dari menafsirkan teks tersebut. Teks tidak dapat bercakap untuk dirinya, atau dalam bahasa lain, manusialah yang memberi makna kepada sesuatu teks. Hal ini dapat kita lihat dari penafsiran teks-teks yang ada. Contohnya teks agama. Teks yang sama ditafsirkan dengan berbeza bagi setiap pentafsir. Teks yang sama juga boleh melahirkan pelbagai pemikiran, mazhab dan ideologi yang berbeza.

Buku ini sememangnya ditulis dengan gaya yang mudah dan seronok dibaca walaupun pada asasnya ia membahaskan topik yang akademik dan ilmiah. Mungkin inilah kelebihan Bart Ehrman berbanding cendiakawan-cendiakawan lain dalam bidang kajian yang mengkaji Kitab Perjanjian Baru. Walaupun dari sudut isi, apa yang diceritakan beliau bukanlah satu fakta yang baru tetapi fakta yang telah lama diketahui oleh pengkaji dan cendiakawan. Gaya penulisan dan persembahan yang membuatkan karya beliau berbeza dan mendapat sambutan yang luar biasa. Buku ini sudah pasti akan menukar pandangan anda pada Kitab Perjanjian Baru dan membuatkan anda untuk mencari lebih banyak buku-buku tulisan beliau.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran. Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read and sleep.

fathi137.wixsite.com/syedahmadfathi

Filed Under: Book Review

Runtuhnya Kesultanan Taosug

September 17, 2021 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Kebanyakan sejarah yang ditulis dan dipelajari oleh kita sejak sekolah merupakan sejarah yang berkontekskan negara. Ianya ditulis kebanyakannya untuk membangkitkan semangat patriotik dan cintakan negara. Namun sebenarnya konsep negara moden atau negara bangsa yang kita fahami ini merupakan konsep yang sangat baharu jika dibandingkan dengan tempoh sejarah yang direkodkan. Malah sejarah itu sebenarnya lebih jauh ke belakang, kebanyakannya tidak direkod, memorinya hilang ditelan zaman.

Oleh itu menulis sejarah dalam perspektif negara bangsa moden kadangkala merupakan perspektif yang silap, kerana dalam kebanyakan sejarah yang panjang negara bangsa moden itu tidak wujud (atau belum wujud), jadi konteks tersebut juga tidak wujud. Terdapat satu artikel yang menarik perihal hal ini yang ditulis oleh Mohammad Raduan bin Mohd Ariff dalam Jurnal Jabatan Pengajian Asia Tenggara (Jati) Bilangan Ke-2 yang diterbitkan pada Disember 1996 oleh Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.

Menurut Raduan, kerajaan-kerajaan di Asia Tenggara pada suatu ketika dahulu merangkumi banyak pulau-pulau, ia tidak pernah didirikan secara eksklusif dalam satu pulau sahaja. Pada zaman itu, bukan manusia sahaja yang berhijrah antara pulau-pulau yang ada, malah kerajaan juga berhijrah dalam dunia kepulauan. Kerajaan Srivijaya contohnya berpindah ke Melaka dari Sumatra sebelum kemudiannya berundur ke Johor Lama. Konsep negara bangsa moden menurut beliau adalah ciptaan kuasa kolonial Eropah yang datang kemudian.

Artikel Raduan menganalisa Laut Sulu yang didiami oleh pelbagai bangsa seperti Taosug, Bajau, Samal, Magindanao, Maranao, Sangil, Yakan, Palawani, Jama Mapun, Melebuganon dan Melayu Brunei. Hasil laut dan hasil hutan dalam kepulauan ini merupakan sumber utama ekonomi bagi kerajaan Sulu yang diperintah oleh Kesultanan Taosug yang mendominasi bangsa-bangsa lain di Kepulauan Sulu. Bangsa-bangsa lain mempunyai kesultanan kecil namun mereka dikuasai oleh “Sultan of Sultans” iaitu orang Taosug yang berpengkalan di Jolo (hari ini dalam Filipina). Sultan pada ketika itu merupakan khalifah, imam, ketua angkatan perang, ketua undang-undang dan pengutip zakat. Sektor ekonomi ditadbir dari Rumah Bichara di Jolo. Mereka mempunyai kekuasaan penuh ke atas kawasan Timur Laut Borneo.

Sumber ekonomi mereka pada ketika itu merupakan mutiara, cengkerang penyu, tripang, sarang burung, sirip ikan yu, dan rotan. Sumber-sumber dikumpulkan dari pulau-pulau oleh penduduk setempat sebelum dieksport ke China. Bangsa Taosug menguasai proses pengumpulan ini. Jolo merupakan pusat pedagangan penting, pedagang Eropah yang tidak dapat menembusi pasaran China pada ketika itu akan ke Jolo untuk mendapatkan produk dari China. Dominasi Taosug ini akhirnya dipecahkan oleh gabungan kuasa kolonial Sepanyol, British dan Belanda. Ia dilakukan melalui beberapa fasa.

Fasa pertama adalah dengan membina pelabuhan-pelabuhan baru untuk mengumpul hasil laut dan bumi untuk eksport ke China. Kemudian kuasa kolonial mula menyerang pelabuhan tentera Kesultanan Taosug. Pada tahun 1848, Sepanyol menyerang tentera laut Samal di Balangingi. Fasa seterusnya adalah sekatan yang dilakukan ke atas pelabuhan Jolo pada tahun 1872. Kebanyakan tentera laut Taosug dikejar di lautan dan dikalahkan. Jolo ditawan Sepanyol pada tahun 1876. Kejatuhan Kesultanan Taosug mengakhiri penguasaan mereka ke atas Laut Sulu dan Celebes yang mana tidak dapat dicapai semula oleh mereka sehingga ke hari ini.

Selepas kejatuhan ini, maka tanah jajahan dibahagikan antara kuasa-kuasa kolonial. Kepulauan Filipina dikuasai Sepanyol, Kepulauan Indonesia dikuasai Belanda, manakala Brunei dan Borneo Utara dikuasai British. Kuasa-kuasa kolonial bukan sahaja merubah lanskap politik Kepulauan Sulu, mereka juga mengubah struktur ekonomi. Jika hari ini Eropah mensyarahkan kepentingan memelihara ekosistem bumi kepada semua negara di dunia, merekalah yang mengubah sistem ekonomi di Kepulauan Sulu dari pengumpulan hasil laut dan bumi kepada pembalakan dan tanaman monokultur bagi menampung keperluan industri Eropah. Hutan-hutan di kepulauan ini bukan lagi dikumpulkan hasilnya tetapi diteroka untuk pembalakan.

Di Utara Borneo, sistem pemerintahan sultan digantikan dengan pemerintahan Syarikat Borneo Utara. Hutan Borneo memberikan keuntungan yang lumayan kepada ekonomi kolonial. Pada tahun 1940 eksport balak dari Borneo Utara merupakan yang ketiga terbesar di seluruh empayar British dengan Sandakan sebagai pelabuhan utama. Kemusnahan yang dilakukan kuasa kolonial bukan sahaja pada alam sekitar dan penduduk setempat tetapi juga kepada kehidupan komuniti yang ada. Bandar-bandar baharu dibuka di kawasan pedalaman dan dibangunkan oleh imigran yang dibawa dari luar. Penduduk setempat tidak dilibatkan dalam perusahan ekonomi baharu, pada 1941 satu per tiga penduduk Borneo Utara adalah imigran.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran. Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read and sleep.

fathi137.wixsite.com/syedahmadfathi

Filed Under: Blog

Kenapa Amerika Syarikat Gagal di Afghanistan?

September 9, 2021 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

U.S. Army Sgt. Jose Gonzalez, with Charlie Company, 4th Battalion, 23rd Infantry Regiment, gives snacks to Afghan children in Dagyan village, Helmand Province, Afghanistan, Feb. 21, 2010. (U.S. Air Force photo by Staff Sgt. Christine Jones/Released)

Saya membaca buku Imperial Hubris: Why the West is Losing the War on Terror tulisan Michael Scheuer sekitar tahun 2018, kira-kira tiga tahun yang lalu. Namun saya merasakan buku ini masih signifikan sehingga ke hari ini. Buku ini sebahagian besarnya membahaskan polisi luar Amerika Syarikat terutamanya perang terhadap keganasan “war on terror”, walaupun hari ini kita sudah mencapai satu era dimana Amerika sudah mengakhiri kebanyakan kempennya, Amerika telah berundur dari Iraq pada 2011, dan akhirnya Amerika telah berundur dari Afghanistan pada tahun ini. Pengunduran dari Afghanistan lebih teruk berbanding Iraq dan dianggap sebagai satu episod yang memalukan bagi Amerika di mana dunia melihatnya sebagai kekalahan. Di Iraq Amerika masih mengekalkan banyak tentera-tentera mereka yang mengawal lokasi strategik.

Tulisan kali ini akan dibahagikan kepada 3 bahagian utama. Pertama kita akan berkenalan sedikit dengan penulis buku ini. Kedua, kita akan berbincang sedikit perihal latar belakang buku ini. Akhir sekali kita akan membahaskan isi-isi utama buku ini tentang sebab kegagalan Amerika Syarikat.

Michael F. Scheuer

Scheuer dilahirkan di Buffalo, New York, dan menamatkan pengajian dalam bidang sejarah dari Canisius College pada 1974. Beliau mempunyai dua Masters dalam bidang sejarah dan hubungan antarabangsa dari Niagara University (1976) dan Carleton University (1982). Beliau menerima Ph.D dari University of Manitoba (1986). Beliau berkhidmat bersama CIA selama 22 tahun dan pernah menjadi ketua kepada unit Osama bin Laden. Selepas meletakkan jawatan dari CIA pada 2004, beliau menjadi penganalisis dan pengulas politik. Beliau juga bersetuju dengan posisi Mearsheimer perihal bagaimana lobi Israel terhadap Amerika memberikan kesan yang buruk terhadap Amerika sendiri.

Latar Belakang Buku

Buku ini pada asalnya diterbitkan secara anonymous pada tahun 2004, namun kemudian beliau dikaitkan oleh masyarakat sebagai penulis. Setelah terdedah identiti beliau sebagai penulis, beliau meletakkan jawatan dari CIA. Buku ini juga pernah disebut oleh Osama bin Laden sendiri pada tahun 2007, dimana beliau berkata “if you would like to get to know some of the reasons for your losing of your war against us, then read the book of Michael Scheuer in this regard.”

Kerana Scheuer merupakan golongan inteligensia. Buku ini menganalisis kelemahan strategi Amerika Syarikat dari perspektif perisikan walaupun beliau berhati-hati dan hanya menggunakan sumber-sumber yang bukan rahsia.

Apakah maksud tajuk buku ini dari sudut bahasa? Perkataan imperial, merupakan perkataan yang menggambarkan sifat berkenaan tentang sesuatu empayar. Dalam konteks buku ini empayar yang dimaksudkan adalah Empayar Amerika Syarikat. Perkataan hubris pula bermaksud perasaan terlebih bangga atau sifat terlebih yakin terhadap diri sendiri.

Perbahasan-Perbahasan Sentral

Howard Zinn, seorang sejarawan ulung ada menyebut bahawa “you cannot be neutral on a moving train”. Oleh itu, buku ini sebenarnya ditulis bukanlah dari perspektif yang neutral, tetapi dari perspektif kepentingan Amerika Syarikat perihal mengapa mereka gagal di Iraq dan Afghanistan. Sebelum kita menghuraikan jawapan yang panjang, jawapan singkat terhadap persoalan ini adalah Amerika Syarikat tidak mempunyai objektif jelas yang boleh dicapai. Ia juga dilihat pada peringkat awal sebagai satu tindak balas bagi kepentingan politik dalaman Amerika Syarikat. Sekarang, mari kita terokai pula jawapan yang lebih panjang yang dihuraikan Michael Scheuer dalam buku beliau.

Scheuer merupakan sebahagian dari ahli komuniti inteligensia Amerika Syarikat dalam CIA dan beliau specialize dalam unit, beliau menggunakan ilmu dan kepakaran beliau dalam bidang ini untuk membahaskan sebab-sebab kegagalan Amerika Syarikat dan apakah pilihan yang ada buat Amerika untuk masa depan. Central thesis buku beliau adalah kebencian umat Islam terhadap Amerika dan sekutu Barat mereka bukanlah kerana nilai-nilai yang ada pada mereka seperti demokrasi, kerajaan pilihan rakyat, feminism, hak-hak wanita, atau campur aduk lelaki perempuan. Perkara-perkara ini mungkin ada pertentangan dengan nilai-nilai Islam, tetapi ia bukanlah sebab utama mengapa mereka meletupkan diri mereka untuk mencederakan Amerika dan Barat. Sebaliknya sebab sebenar adalah polisi-polisi yang spesifik seperti serangan dan penjajahan terhadap saudara se-Islam mereka, juga bantuan yang Barat berikan kepada tirani-tirani yang korup, juga sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kekejaman Israel keatas Palestin.

Beliau juga mengkritik sikap Barat yang suka menyibuk dan mencampuri urusan umat Islam. Beliau menulis pada mukasurat 166:

“To make this so, we send forth U.S. diplomats, politicians, officials, and preachers to coercively persuade Muslims to Westernize the Koran and the Prophet’s traditions and sayings, especially the parts of the Islamic canon dealing with education, charitable giving, the non-separation of church and state, and manage an Islamic Reformation that makes Muslims secular like us, all this unfortunate, nonsensical talk about religious war will end and Muslim will be eager to keep God in the same kind of narrow locker in which the West is slowly asphyxiating Him”.

Sejak kemusnahan Khilafah Uthmaniyah pada tahun 1924 di tangan British, tidak ada suatu kuasa pusat di dalam dunia Islam untuk mengishtiharkan Jihad. Jihad menjadi tanggungjawab individu yang tidak memerlukan kebenaran dari satu kuasa pusat, apabila agama diserang ia menjadi tanggungjawab Muslim untuk mempertahankan agama menggunakan apa sahaja cara yang dia mampu lakukan.

Dalam perbahasan beliau tentang Afghanistan, Scheuer mengaitkan kesilapan Amerika dari kegagalannya untuk belajar dari sejarah. Sejarah-sejarah ini adalah apa yang beliau sebut sebagai “the checkable” yang mana ia perlu lakukan sebelum mereka menjajah Afghanistan. Bahan-bahan sejarah ini sangat banyak tetapi tidak dimanfaatkan. Amerika gagal belajar dari sejarah walaupun Amerika mempunyai 13-tahun pengalaman membantu Mujahideen Afghanistan mengalahkan Soviet Union. Kesilapan terbesar Amerika Syarikat adalah usahanya untuk membina sistem demokrasi sekular di Afghanistan, satu idea yang sangat asing dalam budaya masyarakat setempat di Afghanistan. Afghanistan mempunyai budaya perlawanan yang kuat terhadap kuasa-kuasa yang cuba menjajahnya, baik British, Soviet Union, mahupun Amerika, apabila kuasa asing ini telah pergi mereka akan berperang sesama sendiri. Bagi Scheuer, Amerika adalah naif kerana mereka berfikir mereka boleh menggunakan proksi mereka untuk melakukan kegiatan kotor mereka.

Tetapi ada juga analisa beliau yang pada pandangan saya merupakan satu generalisasi yang salah. Sebagai contoh beliau ada menyenaraikan kompilasi kemenangan-kemenangan Al-Qaeda yang bagi saya merupakan satu oversimplification. Kerana setiap perjuangan itu mempunyai konteks yang berbeza. Kaum Uighur melawan China untuk kebebasan budaya mereka dari cengkaman hegemoni komunis. Kaum Chechen menentang Rusia bagi kemerdekaan. Bangsa Palestin melawan Israel yang menjajah dan membersihkan etnik mereka. Walaupun mereka semua Muslim, mereka ada konteks perjuangan yang berbeza. Mereka berkongsi keimanan yang sama namun mereka punya matlamat perjuangan yang berbeza. Mengumpulkan mereka semua sebagai kemenangan Al-Qaeda adalah satu kekhilafan.

Bagi Scheuer kemarahan umat Islam pada Barat bukanlah disebabkan kemerosotan Tamadun Islam, tetapi polisi-polisi spesifik Barat terhadap dunia Islam. Dari kolonialisma hinggalah kepada peranan mereka post-colonialism di mana mereka menyokong pemimpin-pemimpin yang korup dalam dunia Islam dan menyekat kuasa rakyat dan keadaan kehidupan mereka.

Dari sudut strategi dan taktikal, menurut Scheuer, kelemahan Amerika adalah perspektif mereka dalam menangani terorisma. Mereka menangani terorisma menggunakan undang-undang dan penguatkuasaan. Mereka perlu berperang dengan pematuhan pada undang-undang dan dibawah liputan media, sedangkan musuh mereka melancarkan serangan tanpa batas dan mereka tidak pernah pun membaca Konvensyen Geneva. Beliau juga membincangkan perbezaan FBI dan CIA. FBI mengutip maklumat menurut peruntukan undang-undang manakala CIA melakukan sebaliknya. CIA menggumpulkan maklumat menggunakan seksaan, mencuri, juga menghasut agen luar untuk membelot dari negara mereka. Jika dua fungsi agensi ini dicampur aduk, ia akan menyukarkan keadaan. Sebab lain mengapa Amerika tidak efektif adalah kerana obsesinya untuk membentuk kerjasama pada pemulaan perang. Obsesi ini melambatkan operasi dan merencatkan perancangan. Malah koalasi ketenteraan mempunyai impak yang kecil terhadap keseluruhan operasi.  

Akhir sekali, Scheuer menyimpulkan bahawa Amerika Syarikat hanya mempunyai dua pilihan. Pertama, Amerika menukar polisi-polisinya terhadap dunia Islam, berundur dari tanah-tanah yang dijajah (apa yang dilakukan Amerika pada hari ini), berhenti menyokong pemimpin tirani dan rejim kejam di dunia Islam, juga memberi keadilan kepada bangsa Palestin. Kedua, mengekalkan status quo dan bersedia untuk mengorbankan lebih banyak nyawa serta menghabiskan khazanah dan wang negara.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran. Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read and sleep.

fathi137.wixsite.com/syedahmadfathi

Filed Under: Book Review

Cabaran-Cabaran Graduan Dalam Memasuki Alam Pekerjayaan

August 22, 2021 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Dunia pekerjaan kini sudah berubah, kecanggihan teknologi hari ini membolehkan kita mencari pekerjaan dengan lebih mudah. Dengan adanya platform-platform dalam talian, vacancy yang ada dalam pasaran kerja hari ini semakin mudah dilihat. Namun visibility ini datang dengan cabarannya yang tersendiri iaitu sesuatu kekosongan itu akan dimohon oleh lebih banyak calon menjadikan proses merebut sesuatu pekerjaan lebih sukar. Oleh itu anda perlu sentiasa mempunyai skil untuk meletakkan diri anda berbeza dengan calon-calon lain agar anda juga visible.

Bagi graduan yang baru mula mencari pekerjaan. Mereka biasanya tidak mempunyai pengalaman untuk meletakkan tangga gaji yang mereka inginkan juga tiada kemahiran untuk negotiate tangga gaji dengan bakal majikan. Oleh itu anda perlu sentiasa membuat kajian perihal position yang anda mohon agar tangga gaji yang anda minta realistic dengan keadaan pasaran. Anda juga perlu bersedia dengan bidang tugas yang anda perlu jalankan.

Apabila anda diterima bekerja, anda mungkin akan menyedari bahawa apa yang anda bayangkan tidak sama dengan pekerjaan yang akhirnya anda perlu lakukan. Banyak perkara-perkara yang perlu dilakukan namun tidak glamour seperti mengisi boring, menyiapkan laporan, menghadiri mesyuarat, juga menghadapi politik pejabat. Anda mungkin juga akan diarah untuk re-assignment dan melakukan kerja yang tidak sesuai dengan skill utama yang anda ada. Ini mungkin mengurangkan motivasi anda untuk bekerja.

Semasa di universiti kita mungkin mempunyai pilihan dengan siapa kita mahu bersosial dan berkawan. Tetapi alam pekerjaan mempunyai keadaan sosial yang berbeza. Kita tidak boleh memilih siapa rakan-rakan sekerja kita. Dan kita perlu menjaga hubungan dengan mereka 8 jam sehari untuk memastikan kita boleh membina karier yang baik. Disinilah masanya dimana etika profesionalisma kita akan teruji, kita perlu sentiasa mengawal diri agar tidak bersifat emosional dan sentiasa mengurus situasi dengan professional.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran. Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read and sleep.

fathi137.wixsite.com/syedahmadfathi

Filed Under: Blog

Apa yang Majikan Mahukan dari Graduan

August 22, 2021 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Apa yang majikan mahukan? Pertama adalah kemahiran komunikasi, kemahiran komunikasi adalah skil yang sangat penting bagi alam pekerjaan hari ini. Ini termasuk komunikasi verbal, tulisan dan juga body-language yang menunjukkan kita selesa berkomunikasi. Jika anda menulis emel, pastikan anda menyemak apa yang ditulis, baca semula beberapa kali, cuba baca dari sudut pembaca, pastikan mesejnya mudah difahami. Kemahiran komunikasi bukan sekadar kemahiran bertutur, anda juga perlu ada kemahiran mendengar, berinteraksi, dan memberikan pendapat bernas (feedback), komunikasi adalah two-street process.

Majikan juga mahukan pekerja yang jujur, bukan percintaan sahaja yang mendambakan kejujuran. Jangan kita menokok tambah (exaggerate) pengalaman yang kita ada untuk menunjuk-nunjuk. Mungkin anda berjaya dalam proses pemilihan namun lambat laun ia akan terbongkar dan kepercayaan yang telah tercalar sukar diperolehi semula. Pastikan pengalaman dalam resume adalah pengalaman yang jujur. Penemuramah yang berpengalaman boleh melihat sama ada anda jujur atau tidak, pastikan anda original dan genuine. Tidak mengapa untuk mengaku salah dan memperbaiki kesilapan, ia adalah satu karakter yang berguna dan dihargai.

Sesetengah majikan juga mencari pekerja yang setia. Syarikat seperti ini biasanya akan membayar gaji pekerja lebih sedikit dari tangga gaji pasaran untuk retention, bermaksud mereka mahukan pekerja yang setia yang bertahan lama. Ada juga syarikat yang mengamalkan polisi hire and fire untuk membolehkan mereka mengeksploitasi pekerja, terutamanya pekerja muda dengan membayar gaji yang rendah. Nasihat saya kesetiaan itu perlu kita berikan sekiranya kita merasakan kita diberi gaji dan manfaat yang setimpal, juga suasana kerja yang baik. Sekiranya gaji tidak setimpal dan suasana kerja yang toxic, anda perlu keluar segera apabila ada peluang baru yang muncul.

Majikan juga tentunya mencari pekerja yang boleh diharap, yang boleh deliver dengan pengawasan yang minimum dalam kata lain tidak memerlukan micro-management. Proaktif dalam mencari penyelesaian masalah dan sentiasa menyiapkan sebarang tugasan yang diberikan dalam tempoh yang ditetapkan. Semasa temuduga tanyakan soalan perihal pekerjaan yang diminta, tanya spesifikasi tugas supaya anda kelihatan proaktif dan berfikiran kehadapan untuk menerima tugas yang bakal diberikan. Walaupun tidak semua jenis pekerjaan memerlukan kemahiran kolaborasi, kemampuan untuk bekerja dalam satu pasukan (teamwork) sangat penting dalam dunia korporat. Malah sesetengah temuduga mempunyai modul dimana calon diminta untuk bekerja dalam kumpulan. Pengalaman-pengalaman menjawat jawatan dalam organisasi, kelab, dan persatuan juga merupakan antara perkara penting yang membuktikan bahawa kita boleh bekerja dalam kumpulan.

Kebolehan pekerja untuk memberi fleksibiliti merupakan antara nilai penting pada permulaan kerjaya. Fleksibiti turut bermaksud cepat menyesuaikan diri dalam suasana baru. Elakkan berkira dengan kerja di awal karier, tumpukan niat untuk belajar dan mencari kemahiran agar anda boleh menjadi competent secepat mungkin. Namun apabila anda sudah semakin stabil dalam dunia pekerjaan, anda mungkin mahu untuk mencari pekerjaan yang memberikan anda work-life-balance, di mana syarikat menghormati masa percutian anda juga masa anda Bersama keluarga.

Antara sikap yang paling penting yang perlu ada pada pekerja baru adalah rendah diri dan sentiasa mahu belajar. Pekerja yang bodoh tetapi mahu belajar lebih berguna dari pekerja yang pandai tetapi belagak dan tak mahu belajar. Sentiasa rendahkan diri dan belajar dari semua orang, baik senior mahupun junior. Apabila ada kursus atau kelas yang ditawarkan oleh majikan semasa bekerja, sentiasalah menyertainya. Kita mesti mempunyai mindset untuk sentiasa up-skill diri kita. Apabila ada tugas baru, jangan menolak dan mengatakan “saya tidak tahu”, terima tugasan itu dan belajarlah untuk menyelesaikannya. Tunjukkan bahawa anda merupakan pekerja yang mencintai ilmu. Semasa temuduga terangkan bagaimana anda merupakan seorang yang minat membaca dan bercita-cita untuk menyambung pengajian pada tingkat yang lebih tinggi.

Untuk kelihatan meyakinkan semasa proses temuduga, anda juga perlu kelihatan konfiden dalam masa yang sama sentiasa genuine. Orang yang konfiden merupakan orang yang tahu apa yang dirinya mahukan. Dalam masa yang sama mereka mampu berkomunikasi dengan jelas perihal idea-idea yang mereka ada. Pastikan anda punyai matlamat yang besar, bukan sekadar mahukan kerja untuk mencari makan. Pastikan anda menerangkan bagaimana pekerjaan yang anda mahukan itu dapat membantu anda merealisasikan cita-cita besar anda. Jika anda sudah bekerja dalam sesuatu bidang dalam tempoh yang lama, anda perlu konfiden untuk menjadi subject-matter-specialist dan mengambil ownership dalam tugas dan bidang anda.

Akhir sekali, pekerja yang baik adalah pekerja yang mempunyai etika kerja dan professionalisma yang tinggi. Pamerkan bahawa anda merupakan pekerja yang berprinsip dan berintegriti. Sentiasa menjaga masa dan menyiapkan semua kerja dalam masa yang ditetapkan. Berkerja dengan penuh bangga, bangga dalam erti kata anda merasakan bahawa kerja anda bermakna untuk masyarakat. Dengan ini orang lain dapat melihat kualiti kerja anda.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran. Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read and sleep.

fathi137.wixsite.com/syedahmadfathi

Filed Under: Blog

Persediaan Graduan Dalam Mencari Pekerjaan

August 22, 2021 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Sebelum anda bergraduasi lagi sebenarnya anda sudah perlu bersedia untuk mencari pekerjaan. Antara perkara asas dalam mencari pekerjaan adalah rangkaian hubungan (networking) dan juga temuduga. Apabila anda membuat latihan semasa belajar, internship, practical training, pastikan anda mewujudkan hubungan baik dengan para pekerja yang ada juga pihak pengurusan. Simpan maklumat hubungan mereka kerana ini boleh digunakan di masa hadapan sebagai referal dan rekomendasi. Sebelum bergraduasi juga anda digalakkan untuk mencari pengalaman-pengalaman temuduga dari mereka yang sudah bekerja (senior), anda juga boleh berlatih bertemuramah sesama sendiri (mock-interview) untuk lebih bersedia.

Untuk bersedia ke alam pekerjaan, anda juga perlu mengenali diri sendiri. Apa yang anda mahukan dari pekerjaan? Adakah duit? Pengalaman? Ilmu? Kepuasan? Anda boleh dapatkan nasihat dari kaunselor di universiti. Juga berbincang dengan kawan-kawan, pensyarah, dan keluarga. Jika masih tidak pasti, jangan khuatir, anda boleh gunakan kaedah cuba jaya. Cuba sesuatu kerjaya, jika tidak cocok anda boleh mengubah kerjaya. Tetapi jika anda ingin menjimatkan masa, elok kenali diri dan masuk kedalam pekerjaan yang kena dengan diri anda sejak dari awal.

Anda juga perlu belajar untuk menentukan sempadan peribadi anda. Ada pekerjaan yang memerlukan anda bekerja di waktu malam, jika anda dalam masa yang sama ingin memulakan keluarga dengan anak kecil mungkin pekerjaan yang memerlukan anda untuk sentiasa travel tidak begitu sesuai. Tetapi jika anda masih muda dan solo, dengan keghairahan muda yang masih membara, saya sarankan anda untuk melebarkan sempadan, terima dahulu cabaran-cabaran pekerjaan. Apabila tiba masa dan peluang yang sesuai anda boleh mengubah sempadan peribadi anda, mahu dibesarkan atau dikecilkan. Namun di usia muda, pada saya elok dibuang dahulu sempadan, kerana masa muda adalah zaman penerokaan, belum lagi zaman spesialis.

Anda juga boleh bersedia lebih awal dari orang lain dengan membuat kajian berkenaan dengan syarikat yang anda minati. Hubungi pegawai sumber manusia mereka (HR) dan cuba dapatkan peluang-peluang untuk internship sama ada berbayar atau tidak dalam bidang yang anda minati. Jika tidak berbayar, anda mungkin perlu berkorban dengan melakukan dua kerja, tetapi pengorbanan ini akan membantu anda di masa hadapan. Majikan biasanya akan merasa kagum dengan calon-calon yang proaktif dan menunjukkan minat yang mendalam. Pengalaman-pengalaman awal ini sangat penting bagi anda untuk membina personal branding dan juga resume yang menarik apabila tiba masanya untuk anda mencari pekerjaan nanti.

Untuk mengelakkan anda sentiasa perlu melompat-lompat kerja, jika anda mahu syarikat yang stabil untuk diri anda. Pastikan anda membuat kajian berkenaan dengan syarikat-syarikat yang mempunyai nilai-nilai yang sama seperti anda. Senaraikan syarikat-syarikat ini, mungkin anda boleh shortlisted 10 syarikat dan mulakan kerjaya anda dari senarai itu. Falsafah sesebuah syarikat berbeza-beza, pakej manfaat yang ditawarkan berbeza-beza, budaya syarikat juga berbeza, cuba cari syarikat yang sesuai dengan kehendak anda. Namun jika pasaran kerja berada dalam keadaan depresi, mungkin pilihan yang ada terhad. Anda perlu mengambil sahaja peluang yang ada dan bertukar apabila keadaan berubah kepada lebih baik.

Walaupun kita sudah membuat kajian, namun kebiasaannya kajian kita akan bersifat surface level, terutamanya dalam era limpahan informasi juga perubahan maklumat yang bergerak pantas. Ada kemungkinan kajian yang kita lakukan mempunyai kesilapan, atau maklumat yang kita ada adalah maklumat lama. Jadi penting untuk kita mempunyai sumber dalaman, mereka yang aktif dan berkhidmat di dalam industri kerana mereka mempunyai real-time knowledge. Kita boleh mencari mentor. Saya punya pengalaman dihubungi oleh seorang yang tidak saya kenali melalui LinkedIn, seorang yang muda yang mahu mendapatkan nasihat kerjaya. Saya berikan beliau nombor talifon dan menjawab soalan-soalan beliau. Jangan malu untuk bertanya atau meminta bantuan, tapi mestilah sopan dan professional.

Baru-baru ini saya ada menghadiri webinar bersama seorang jurulatih kerjaya dari Australia bernama Rebecca Allen. Antara nasihat kerjaya beliau adalah untuk belajar positioning. Cari sudut dimana anda kelihatan lain dari yang lain, cipta sesuatu yang membuatkan anda stand-out from the crowd. Masukkan pengalaman sedikit pengalaman yang unik yang anda ada yang tiada pada orang lain. Contohnya pernah mendaki Gunung Everest atau pernah sampai ke Planet Marikh. Masukkan kursus atau kejayaan-kejayaan yang anda ada orang lain tiada. Ini akan menjadikan anda calon yang unik. Tetapi janganlah pula terlalu unik dan berlebih-lebihan.

Zaman kini adalah zaman sosial-media. Jangan fikir bahawa sosial media tidak punyai impak kepada kerjaya anda. Banyak syarikat melakukan audit keatas laman media sosial pekerja mereka sebelum diterima bekerja. Jadi pastikan anda mengaudit dahulu laman media sosial anda. Buang hantaran-hantaran yang boleh merosakkan reputasi professional anda atau tukar kepada mode private. Pastikan anda mempunyai rekod professional yang bersih di alam maya, ini sangat penting buat professional brand. Branding juga termasuk cara kita berkomunikasi, berpakaian, juga cara bersosial.

Dunia sekarang adalah dunia global tanpa sempadan. Untuk masuk ke alam pekerjaan pastikan anda berminda global walaupun anda tinggal di kampung. Saya sendiri tinggal dikampung walaupun bekerja dalam syarikat multi-national yang berpengkalan di United Kingdom. Jika anda mempunyai peluang mengadakan lawatan belajar ke luar negara semasa belajar pastikan anda menyertainya. Tingkatkan kemampuan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Banyakkan pembacaan buku-buku internasional. Ini semua akan membantu anda di masa hadapan.

Gunakan masa cuti belajar dan cuti semester untuk volunteering dan mencari pengalaman bekerja. Ini akan membantu anda dengan skil-skil penting dalam organisasi, cara berkomunikasi dan berhubung, juga cara mengurus. Pastikan anda mencari pengalaman-pengalaman yang relevan dengan bidang dan kerja yang anda minati, bukanlah bermakna bekerja di gerai makan atau stesen minyak itu langsung tidak berharga, tetapi cuba lengkapi dengan pengalaman kerja yang relevan.

Akhir sekali, tingkatkan kualiti komunikasi anda, baik komunikasi verbal atau tulisan. Kerana hampir 80% apa yang kita lakukan di alam pekerjaan adalah berkomunikasi antara satu sama lain. Cari peluang untuk bercakap di khalayak umum, membuat presentation, pidato atau debat. Skil komunikasi ini amat penting, ia hanya boleh dipelajari melalui latihan dan praktikal. Cari peluang-peluang yang ada untuk bercakap di khalayak umum.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran. Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read and sleep.

fathi137.wixsite.com/syedahmadfathi

Filed Under: Blog

Solidariti Hartal Doktor Kontrak 26 Julai 2021

July 26, 2021 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Setiap sistem mempunyai penjaganya. Tiada sistem dan polisi yang mampu bergerak dan bertahan tanpa dijaga oleh segolongan manusia yang percaya bahawa sistem dan polisi tersebut merupakan sesuatu sistem dan polisi yang baik. Dalam masyarakat totalitarian, penjaganya mungkin polis, askar, para-militari, polis perisik, atau aparatus kerajaan yang lain yang menjaga sistem tersebut dengan kekerasan dan paksaan. Dalam masyarakat demokratik, sistem dijaga oleh pekerjanya sendiri, tidak perlu kekerasan kerana masing-masing percaya dan mendokong sistem dan polisi yang mereka rasakan baik.

Namun jika penjaga dan pekerja ini mula merasakan sesuatu sistem itu tidak baik, menindas, merosakkan, tidak adil, dan mereka mula meninggalkan penjagaan dan pekerjaan mereka, sistem dan polisi tersebut akan jatuh. Ini memberikan kemungkinan untuk dibangunkan sistem yang lebih baik dan adil di atas runtuhan sistem lama. Tidak ada satu pun kerajaan atau kekuasaan, sekejam mana, sehebat mana apparatusnya, setinggi mana tamadunnya, yang boleh bertahan apabila penjaganya berhenti menjaganya. Ia akan runtuh seperti selalunya, begitulah hukumnya sepanjang zaman.

Sejarawan Howard Zinn, dalam kitabnya A People’s History of The United States ada menulis satu bab yang bagi saya sangat berbahaya. Sangat berpengaruh dalam memercikkan api perubahan. Tajuk bab itu adalah The Coming Revolt of The Guards. Setelah membahaskan sejarah penindasan sepanjang zaman, bermula dari pembunuhan Kaum Arawak hinggalah penindasan pekerja di zaman moden, Zinn menulis bab ini untuk memberikan harapan buat manusia, ia bukanlah jaminan bahawa situasi akan bertukar lebih baik, tetapi ia adalah harapan bahawa situasi boleh bertukar kepada lebih baik.

Saya nukilkan satu petikan yang paling membakar dari tajuk ini buat pedoman kita semua.

The Establishment cannot survive without the obedience and loyalty of millions of people who are given small rewards to keep the system going: the soldiers and police, teachers and ministers, administrators and social workers, technicians and production workers, doctors, lawyers, nurses, transport and communication workers, garbagemen and firemen. These people – the employed, the somewhat privileged – are drawn into alliance with the elite. They become the guards of the system, buffers between the upper and lower classes. If they stop obeying, the system falls.

Howad Zinn. A People’s History of The United States. Harper Perennial Modern Classics, 2015. Pg. 635.

Ada yang menyatakan bahawa jika kita ber-hartal kita akan menyebabkan kesusahan pada masyarakat. Jika doktor berhartal ia adalah tidak bermoral kerana ia akan membahayakan pesakit. Pendapat peribadi saya, masa-masa genting adalah masa yang paling sesuai. Tidak ada masa yang lebih sesuai dari sekarang. Penguasa yang duduk di kerusi empuk dalam bilik berhawa dingin tidak akan mengubah polisi kerana moral. Namun, apabila keadaan sudah tidak terkawal, kuasa dan kedudukan mereka terancam, mereka akan menggelabah dan mengubah sistem dan polisi. Bukan kerana moral tetapi untuk menyelamatkan kerusi mereka. Perubahan menurut Zinn sentiasa perlu “dipaksa”, ia tidak akan berlaku dengan perbincangan mesra sambil minum secawan kopi.

Adakah terus menindas pekerja yang bekerja siang malam menjaga masyarakat itu bermoral? Soal moral ini perlu dihadapkan pada penguasa bukan pekerja. Pekerja yang ber-hartal bukan pengkhianat atau perosak, mereka adalah perubah. Mereka adalah manusia yang mahu hak-hak diberi secara adil dan manusiawi. Orang yang tidak bermoral adalah orang yang mempertahankan sistem yang menindas mereka.

Mari kita hayati sebuah kisah di Bairro da Boavista semasa Revolusi Portugis pada tahun 1975.

Dikisahkan oleh Paul D’Amato dalam kitabnya berkenaan keluarga-keluarga miskin di sebuah pekan kecil Bairro da Boavista yang terletak di pinggir Lisbon, mereka berpindah masuk ke satu kawasan perumahan yang dibiarkan kosong selama tiga tahun. Sebuah pasukan tentera diarahkan untuk mengosongkan semula perumahan tersebut dan menghalau penduduk miskin kembali ke pondok-pondok usang mereka.
Seorang pegawai tentera yang mengetuai pasukan tersebut memulakan langkah pengusiran dengan memilih sebuah keluarga yang paling lemah, baginya ini merupakan permulaan yang paling mudah bagi proses pengusiran. Keluarga itu adalah keluarga seorang janda tua bersama enam orang anak, mereka baru sahaja berpindah masuk ke rumah berbilik dua yang mempunyai bekalan elektrik.

Janda tersebut berkata “Lebih baik engkau tembak dan bunuh saja diriku di sini. Seumur hidupku, aku hanya hidup berlantaikan tanah, sekurang-kurangnya sekarang aku akan mati di atas lantai yang baik”.

Pegawai tersebut terkesima dan berfikir. Di luar rumah tersebut, orang-orang miskin mula berkumpul, lelaki, wanita, kanak-kanak, mereka semua berkumpul bagi melawan pengusiran paksa dan untuk berbincang dengan pihak tentera.

Mereka berkata “Pekan ini boleh jadi merupakan tempat tinggal kamu! Ingatlah wahai tentera, bahawa kamu juga sebahagian dari rakyat jelata! Halakan senapangmu kepada mereka yang menindas rakyat, golongan spekulator bukan kepada saudara-saudaramu sendiri!”. Pegawai tersebut faham bahawa dia adalah sebahagian dari rakyat, dia kemudian meninggalkan penduduk itu di situ, dan beredar bersama pasukannya.

During the 1975 Portuguese Revolution, the families living in the shantytown of Bairro da Boavista in the outskirts of Lisbon took over a housing estate that had stood empty for three years…An army company…was deployed to force the families back to the corrugated lean-tos of the shantytown. The officer in charge…went straight to what he thought was the weakest link, an old widow who had just moved with her six sons to a two-bedroom flat with electricity. She replied: “You better shoot me right here. All my life I have had the earth for a floor. At least I will die on a proper floor.” The officer stood there for a moment. Outside, the men, women, children who had assembled to resist any eviction were speaking to the soldiers: “This could be your shantytown! Remember that you, too, are the people! Turn the guns on speculators and not your brothers and sisters!” The officer understood, and, taking the company with him, left the estate.

Paul D’Amato. The Meaning of Marxism . Haymarket Books, 2014. (Chapter Democracy, Reform, and Revolution. Pg. 128)

Kita sentiasa perlu bersama golongan yang tertindas. Memanjangkan suara mereka dan memperbaiki keadaan mereka. Kebaikan dan keadilan buat mereka adalah kebaikan dan keadilan buat kita semua. Mana-mana sistem dan polisi yang tidak adil perlu diubah, jika ia tidak diubah, maka tanggungjawab kita untuk “memaksanya” untuk diubah.

Terima kasih buat para doktor-doktor muda yang berkhidmat buat negara. Doktor-doktor kontrak yang tekun bekerja siang dan malam dengan gaji yang rendah dan sistem penggajian yang tidak setara. Doktor-doktor muda yang berpanas dan berpeluh di wad meninggalkan keluarga dan bayi kecil mereka di rumah. Solidariti buat para doktor kontrak. Ayuh. Hartal.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran. Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read and sleep.

fathi137.wixsite.com/syedahmadfathi

Filed Under: Politics

  • « Previous Page
  • 1
  • 2
  • 3
  • 4
  • 5
  • …
  • 13
  • Next Page »

Recent Posts

  • Historiografi Astronomi: Paradoks Dalam Pensejarahan Tamadun Barat
  • Menganalisa Teori Graham Hancock: Benarkah Wujud Tamadun Maju Semasa Ice Age?
  • Boabdil & Kerajaan Islam Dinasti Nasrid Terakhir di Sepanyol
  • Perbahasan Falsafah dan Perspektif Nusantara Dalam Anime Attack on Titan
  • Falsafah Bahasa Za’ba

Archives

Copyright © 2023 The Independent Insight