The Independent Insight

Giving truth a voice

  • Email
  • Facebook
  • Flickr
  • Instagram
  • Phone
  • Twitter
  • Vimeo
  • YouTube
  • Berita
  • Politik
  • Ekonomi
  • Teknologi
  • Reviu
    • Reviu Buku
    • Reviu Filem
    • Reviu Muzik
  • Rencana
  • Podcast
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami

Analisis Permulaan Perang Amerika Syarikat-Israel Ke Atas Iran Pada Bulan Jun 2025

June 14, 2025 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Pendahuluan

Perang Amerika Syarikat dan Israel ke atas negara-negara Arab bukan merupakan perkara yang baru. Ia mempunyai sejarah yang panjang. Peperangan-peperangan ini dilancarkan bagi memastikan negara-negara di sekeliling Israel kekal lemah, terpecah dan tidak boleh menggugat projek kolonial dan genosida Israel di Palestin. Negara-negara Arab termasuk Libya, Iraq, Syria, Lubnan, Mesir, Jordan, dan Iran perlu dipastikan duduk di bawah telunjuk hegemoni Amerika Syarikat dan tidak mempunyai kekuatan ketenteraan. Disebabkan itulah, Israel dan Amerika Syarikat telah memulakan kempen perang ke atas Iran setelah mereka berjaya memusnahkan negara-negara lain di sekelilingnya.

Pada hari Jumaat, 13 Jun 2025 Israel telah mengebom Iran menggunakan jet pejuangnya. Agen-agen Mossad dilaporkan melakukan sabotaj dari dalam bagi memastikan sistem pertahanan udara Iran tidak berfungsi semasa serangan dilakukan. Serangan ini telah membunuh komander penting Iran termasuk Komander Kor Pengawal Revolusi Iran, Hossein Salami. Komander Kanan Iran, Gholam Ali Rashid turut terbunuh. Selain itu, dua orang saintis nuklear Iran, Fereydoun Abbasi-Davani dan Mohammad Mehdi Tehranchi turut terkorban.[1] Kematian ini disahkan sendiri oleh pemimpin tertinggi Iran, Sayyed Ali Khamenei.[2] Ketua Angkatan Tentera Iran, Mohammad Bagheri turut terkorban.[3] Strategi membunuh kepimpinan utama musuh ini sering digunakan Israel dan dinamakan “decapitation”.

Helah Diplomasi Amerika Syarikat

Peperangan ini mustahil dimulakan tanpa pengetahuan dan bantuan dari Amerika Syarikat. Oleh itu, adalah sangat penting untuk kita menganalisis perkembangan 24 jam sebelum perang ini bermula untuk mempelajari kelicikan Amerika Syarikat menipu Iran dengan “element of surprise”. Dengan menggunakan helah diplomasi, Iran berjaya ditipu oleh Amerika Syarikat dan Israel menyebabkan mereka tidak bersedia dengan serangan yang dilakukan. Walaupun Amerika Syarikat menghantar delegasi untuk berdiplomasi, namun di belakang tabir mereka berkomplot untuk menyerang Iran.

Pertama, Amerika-Syarikat dan Israel telah membuat satu wayang dua hari sebelum serangan dilakukan di mana bahawa Amerika Syarikat telah berlakon melarang Israel menyerang Iran. Wayang ini ditayangkan melalui laporan perbualan telefon antara dua penjenayah perang iaitu Donald Trump dan Benjamin Netanyahu di mana kononnya Trump memberitahu Netanyahu untuk menamatkan perang di Gaza dan tidak menyerang Iran. Trump menyatakan Amerika Syarikat masih ingin melakukan rundingan diplomatik untuk menyelesaikan pertikaian nuklear bersama Iran.[4] Menurut sumber tentera Yaman, mengakuan Iran bahawa komander dan saintis mereka terbunuh menunjukkan mereka tidak bersedia untuk serangan pada skala dan masa ini.[5] Iran merasakan bahawa serangan tidak akan dilakukan semasa proses diplomatik masih berlangsung. Ini merupakan helah Amerika Syarikat yang selalu digunakan sebagai strategi mereka menghancurkan negara-negara Arab sejak tahun 1967.

Perkara ini juga disahkan oleh Tentera Penjajahan Israel (TPI) melalui akhbar The Times of Israel yang menyatakan bahawa mereka bekerjasama dengan Amerika Syarikat bagi memerangkap Iran untuk memastikan mereka tidak bersedia dan tidak mengagak bahawa serangan akan dilakukan.[6] Sejurus selepas Israel melancarkan serangan, Amerika Syarikat membuat kenyataan bagi menutup helah mereka bahawa serangan Israel tersebut adalah bersifat “unilateral” bagi memberi bayangan bahawa Amerika Syarikat tidak terlibat dalam masa yang sama memberi amaran supaya Iran tidak menyerang posisi tentera Amerika Syarikat di Timur Tengah.[7] Seperti biasa, Amerika Syarikat menyatakan jika Iran menyerang balas, Amerika Syarikat akan membantu Israel mempertahankan diri.[8] Helah diplomasi ini berjaya menipu Iran menyebabkan mereka menghadapi serangan mengejut dengan impak yang maksimum. Pemilihan masa yang tepat ini sangat penting bagi memastikan target-target yang dikenal pasti tidak bersedia dan memudahkan serangan dilakukan dengan kemusnahan yang maksimum.

Walaupun Amerika Syarikat menyatakan bahawa Israel membuat serangan secara “unilateral”. Tindak tanduknya sebelum serangan bermula menunjukkan bahawa Amerika Syarikat mempunyai maklumat awal bahawa serangan akan dilancarkan. Ini dapat dilihat dari tindakan mereka mengarahkan pegawai kedutaan mereka di Iraq dan Timur Tengah untuk berundur.[9] Beberapa jam sebelum serangan, Donald Trump juga memaklumkan bahawa serangan “mungkin berlaku” menunjukkan bahawa mereka telah mendapat signal dan berkoordinasi.

Dalam masa yang sama, serangan ini dilakukan bagi melindungi Benjamin Netanyahu yang mengalami krisis dalaman bagi mempertahankan kerajaannya. Hari di mana serangan itu dilakukan merupakan hari di mana parlimen Israel, Knesset, akan menganjurkan undian untuk membubarkan kerajaan.[10] Undian ini disokong oleh Parti ortodoks Yahudi, Shas, yang kecewa kerana kerajaan Netanyahu tidak memasukkan di dalam undang-undang pengecualian komuniti Haredim dari penglibatan di dalam tentera. Golongan Haredim adalah golongan ortodoks yang mempercayai bahawa orang Yahudi yang menjadi pelajar kitab Torah tidak boleh menjadi tentera. Selain Shas, Parti United Torah Judaism turut mahukan kerajaan dibubarkan.[11] Maka serangan ke atas Iran ini juga boleh dilihat sebagai usaha untuk mengelakkan kerajaan Netanyahu runtuh. Dengan memulakan perang, kritikan terhadap kerajaan dapat dialihkan di mana rakyat difokuskan untuk melawan musuh atas semangat nasionalisma.

Iran juga dilihat mempercayai bahawa fasa yang sedang mereka lalui adalah fasa perang saraf bukan fasa perang kinetik. Disebabkan itulah sebelum serangan, Iran dilihat sibuk menerbitkan dokumen-dokumen sulit yang berjaya mereka perolehi hasil perisikan mereka. Dari dokumen sulit yang diperolehi, Iran telah mendedahkan bahawa ketua kepada International Atomic Energy Agency (IAEA), Rafael Grossi bekerjasama dengan agensi perisikan Israel, ini dilihat dari surat menyuratnya dengan agen Israel iaitu Meirav Zafary-Odiz.[12]

Naratif Serangan Israel

Israel dalam strategi perangnya terus mengekalkan propagandanya bagi memastikan naratif mereka dapat diketengahkan. Serangan ke atas Iran ini dipanggil sebagai “Operation Rising Lion”.[13] TPI dalam siaran medianya menyatakan bahawa serangan mereka merupakan serangan “pre-emptive” dan “offensive” ke atas fasiliti nuklear, kilang peluru berpandu dan asset ketenteraan Iran. Serangan ini dilakukan di pelbagai lokasi di Iran.[14]

Menurut penjenayah perang yang dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Benjamin Netanyahu, serangan dilakukan ke atas fasiliti nuklear Iran di Natanz dan juga fasiliti peluru berpandu Iran.[15] Netanyahu menyatakan falsafah jenayahnya bahawa serangan perlu dilakukan sebelum musuh berjaya mengumpulkan kekuatan mereka. Di sini kita perlu akui bahawa kelebihan Israel adalah mereka tidak teragak-agak untuk mengambil inisiatif. Pejuang Palestin telah mempelajari hakikat ini, disebabkan itu mereka tidak teragak-agak dalam memulakan inisiatif pada Oktober 2023.

Mayat seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa serangan Israel ke atas iran.

Kesilapan dan Kelemahan Iran

Antara kesilapan Iran adalah tidak mengambil inisiatif awal sebelum musuh bertindak, Operasi True Promise 3 yang dirancang sebelum ini tidak dilaksanakan. Operasi ini dikatakan ditangguhkan dan tidak dibatalkan.[16] Ini menunjukkan bahawa Iran mengambil langkah tunggu dan lihat. Ini menyebabkan mereka tidak mempunyai kelebihan strategik dan terpaksa menjadi reaktif dan tidak mempunyai kelebihan inisiatif. Situasi yang sama turut berlaku kepada Hizbullah sebelum ini di mana kepimpinan mereka berjaya dimusnahkan sebelum mereka dapat melakukan serangan yang signifikan.

Selain itu, kejayaan serangan Israel juga menunjukkan kelemahan serius dalam pertahanan udara Iran. Pertahanan udara Iran kelihatan tidak berfungsi apabila jet Israel dapat masuk ke dalam ruang udaranya dan melancarkan serangan. Ini membuktikan bahawa kenyataan Israel bahawa mereka berjaya memusnahkan pertahanan udara Iran pada bulan Oktober 2024 bukan merupakan satu retorik tetapi adalah kenyataan yang benar. Israel mendakwa mereka berjaya memusnahkan empat sistem pertahanan udara S-300 yang dibekalkan Rusia kepada Iran pada bulan April dan Oktober 2024.[17]

Kesimpulan

Kesimpulannya, kita dapat melihat bagaimana Amerika Syarikat telah menggunakan helah diplomasi mereka bagi mengelakkan Iran mengetahui bahawa mereka akan diserang. Amerika Syarikat menghantar delegasi berunding dalam masa yang sama berkomplot dengan Israel dan melancarkan serangan. Iran dilihat berjaya ditipu oleh helah Amerika Syarikat ini. Kesilapan Iran adalah mereka mempercayai helah diplomasi Amerika Syarikat. Selain itu, dengan tidak mengambil inisiatif dan membuat serangan awal telah menyebabkan mereka terdedah kepada “element of surprise”. Selain dari kelemahan-kelemahan taktikal ini, Iran juga dilihat melakukan kesilapan dengan tidak memperbaiki keupayaan pertahanan udara mereka. Mereka juga gagal menghidu operasi Mossad yang dilakukan di dalam kawasan Iran yang telah memastikan sistem pertahanan udara Iran tidak berfungsi ketika serangan Israel dilakukan. Perang ini kemungkinan besar akan berlangsung dalam jangka masa yang panjang.


[1] “Komander Kor Pengawal Revolusi Iran maut dalam serangan Israel”. Berita Harian, 13 Jun 2025. Pautan: https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2025/06/1407527/komander-kor-pengawal-revolusi-iran-maut-dalam-serangan-israel?source=widget

[2] Lihat kenyataan Sayyed Ali Khamenei “In the enemy’s attack, a number of commanders and scientists were martyred. Their successors and colleagues will immediately carry out their duties, God willing.” Pautan: https://x.com/TheCradleMedia/status/1933361055935144327

[3] Emanuel Fabian. “Report: Iran’s military chief Bagheri killed in Israeli strike”. The Times of Israel, 13 June 2025. Pautan: https://www.timesofisrael.com/liveblog_entry/report-irans-military-chief-bagheri-killed-in-israeli-strike/

[4] Eugenia Yosef dan Oren Liebermann. “Trump tells Netanyahu to end Gaza war and stop Iran threats, source says, as US ramps up pressure on Israel”. CNN, 11 Jun 2025. Pautan: https://edition.cnn.com/2025/06/11/middleeast/us-ramps-up-pressure-as-trump-tells-netanyahu-to-end-gaza-war-and-stop-threatening-iran-intl

[5] Analisis tentera Yaman perihal bagaimana Iran ditipu oleh diplomasi Amerika Syarikat, lihat pautan: https://x.com/Yemenimilitary/status/1933345912438374839

[6] Lihat laporan pengakuan ini di pautan: https://x.com/infolibnews/status/1933330997912949018/photo/1

[7] Kenyataan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio. Lihat pautan: https://x.com/RapidResponse47/status/1933324586214395966/photo/1

[8] Temu bual Bret Baier dengan Donald Trump, lihat pautan: https://www.aljazeera.com/news/liveblog/2025/6/13/live-explosions-reported-in-iran-amid-israel-tensions?update=3771312

[9] Laporan Al Jazeera, lihat pautan: https://www.aljazeera.com/news/liveblog/2025/6/13/live-explosions-reported-in-iran-amid-israel-tensions?update=3771264

[10] Lihat kenyataan Muhammad Shehada di pautan: https://x.com/muhammadshehad2/status/1933322737574965450

[11] Sam kokol. “Shas to back preliminary vote to dissolve Knesset, citing stalled draft exemption law”. The Times of Israel, 09 Jun 2025. Pautan: https://www.timesofisrael.com/shas-to-vote-in-favor-of-dissolving-knesset-citing-stalled-draft-exemption-law/

[12] Lihat dokumen sulit yang didedahkan oleh Tasnim News Agency di pautan: https://x.com/Tasnimnews_EN/status/1933119110667456713?ref_src=twsrc%5Etfw%7Ctwcamp%5Etweetembed%7Ctwterm%5E1933119110667456713%7Ctwgr%5E562c1c2c97d5aac1f17ade1dfb20c136f68bdfef%7Ctwcon%5Es1_&ref_url=https%3A%2F%2Fwww.iranintl.com%2Fen%2F202506127234

[13] Laporan Al Mayadeen English, lihat pautan: https://x.com/MayadeenEnglish/status/1933329843976057246

[14] Kenyataan media TPI, lihat pautan: https://x.com/IDF/status/1933324595471454495

[15] Siaran rakaman sidang media Benjamin Netanyahu, lihat rakaman: https://www.youtube.com/watch?v=b3nXp0Ua1OU

[16] “Iran to stage Operation True Promise III against Israel”. MEHR News Agency, 29 March 2025. Pautan: https://en.mehrnews.com/news/230027/Iran-to-stage-Operation-True-Promise-III-against-Israel

[17] “Israel took out primary Iranian air defenses, left it ‘essentially naked’ – report”. The Times of Israel, 30 Oktober 2024. Pautan: https://www.timesofisrael.com/israel-strike-on-iran-took-out-radar-sets-to-guide-ballistic-missiles-report/

Analisis-Permulaan-Perang-Amerika-Syarikat-Israel-Ke-Atas-Iran-Pada-Bulan-Jun-2025
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Berita Tagged With: amerika syarikat, Iran, israel

Adakah Serangan Iran Ke Atas Israel Hanya Wayang?

April 16, 2024 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Selepas 6 bulan rakyat Gaza dibantai dan dibunuh, tiada negara-negara Arab atau negara Islam termasuklah yang kuat bersuara seperti Turki dan Malaysia yang menghantar bantuan ketenteraan, tentera pengaman/pelindung kepada rakyat Gaza. Bukan itu sahaja, malah menghantar tepung dan bantuan asas makanan pun mereka tidak mampu dan terpaksa meminta belas ihsan dari Israel dan sekutunya Amerika Syarikat untuk membantu membuka sempadan. Sebelum kita mula membahaskan subjek ini, saya mahu letak konteks itu terlebih dahulu.

Selepas Israel mengebom konsulat Iran di Damsyik, Syria pada 01 April 2024 dan membunuh 7 warganya termasuklah 2 orang jeneralnya. Akhirnya pada 14 April 2024, Iran melakukan serangan langsung ke Israel menggunakan dron dan peluru berpandu dalam operasi yang disebut sebagai Operation True Promise. Israel dan konco-konconya menyatakan bahawa 99 peratus dari projectile dari Iran ini berjaya dimusnahkan dengan bantuan dari UK, USA, Perancis dan juga negara Islam Jordan.[1] Ya, Jordan telah membantu untuk menghalang peluru berpandu dari sampai ke Israel.

Persoalan yang timbul, adakah serangan ini hanya wayang?

Jika kita melihat serangan ini dari lensa agamawan yang bermain isu sunni-syiah, ya, ia adalah satu wayang sahaja. Saya dahulu juga melihat konflik ini dari kaca mata sunni-syiah ini. Tapi saya telah lama meninggalkan paradigma ini, termasuk apabila Qasem Soleimani dibunuh dahulu, ramai yang bersorak kerana beliau adalah syiah.[2] Tapi apa yang tidak mereka sebut adalah antara yang hadir memberi penghormatan kepada Jeneral Soleimani adalah Ismail Haniyeh sendiri, di mana beliau menyatakan bahawa Soleimani adalah seorang “syahid”.

Perbahasan sunni-syiah, dalam pertarungan geo-politik melawan hegemoni Amerika Syarikat dan Israel sudah tidak menarik minat saya. Bagi saya secara peribadi, permusuhan sunni-syiah ini sudah lama berlalu, tiada keuntungan untuk umat bermusuh dan membunuh sesama sendiri. Jika kita boleh bersahabat dengan rakan-rakan Buddha, Hindhu, Kristian dan lain-lain, saya tidak nampak masalah untuk kita berkawan dengan Syiah. Kita boleh tidak setuju dari sudut akidah dan teologi, tetapi kita tidak perlu bermusuh.

Berbalik kepada persoalan “wayang Iran”. Saya telah mendengar dan membaca pelbagai analisis. Namun yang saya kira paling menarik adalah dari Dr. Mohammad Marandi dari Tehran.[3] Kebanyakan analisis yang cuba untuk merendahkan operasi serangan Iran ini adalah dari media Barat dan sumber Israel sendiri. Dari 6 bulan pembunuhan di Gaza, semua orang sedia maklum bahawa media ini kerap berbohong.[4] Jadi tidak mengejutkan jika angka “99%” itu juga adalah propaganda sahaja. Jika benar pengkalan tentera yang dibedil Iran itu tidak mengalami kemusnahan teruk, Israel boleh membenarkan wartawan melawat pengkalan ini untuk membuat pengesahan. Namun mereka tidak berani, mereka hanya mengeluarkan kenyataan, dan media Barat hanya mengulang cetak kenyataan mereka.

Bagi saya, serangan ini bukan wayang. Tetapi adalah peluang Iran untuk menguji keberkesanan pertahanan udara Israel. Iran dalam operasi ini mengumumkan sejak awal bahawa mereka akan bertindak balas, dan memberikan garis masa (time frame) untuk Israel bersedia. Iran tidak menggunakan peluru berpandu hipersonik mereka, sebaliknya menggunakan peluru berpandu generasi lama dan juga dron kos rendah “Shahed” sebagai decoy.

Di sini kita dapat memahami beberapa perkara.

Pertama, dari operasi ini, Iran dapat memahami bagaimana Israel bertindak balas. Ternyata Israel tidak mampu mempertahankan dirinya sendiri dan terpaksa bergantung kepada kuasa asing untuk membantunya termasuk dari USA, UK, Perancis dan Jordan.

Kedua, walaupun Israel diberi amaran awal dan mempunyai masa untuk bersedia, termasuklah melakukan jamming ke atas sistem GPS di negara mereka, ternyata sistem peluru berpandu Iran masih dapat menembusi pertahanan mereka. Israel sendiri kemudiannya mengakui bahawa peluru berpandu Iran berjaya membedil dua markas tentera mereka termasuk lapangan terbang tentera Nevatim.[5] Kebanyakan dron dan peluru berpandu yang berjaya dipintas adalah decoy. Ini menunjukkan, jika serangan dibuat secara mengejut, tidak diumumkan dan tidak diberi sebarang garis masa, kemusnahan yang lebih besar dapat dilakukan.

Ketiga, dari operasi ini, Iran memberi signal bahawa percaturan defensif mereka telah tamat, kini adalah fasa baharu di mana Iran boleh melakukan serangan ofensif. Amerika Syarikat juga tidak berani melakukan serangan balas terhadap Iran, malah mendesak Israel untuk tidak bertindak balas. Amerika Syarikat menyatakan jika Israel bertindak balas, mereka tidak akan bersama membantu Israel.[6] Ini kerana Amerika Syarikat sedar bahawa banyak pengkalan tentera mereka di Timur Tengah dengan mudah dapat dimusnahkan oleh Iran. Semua ini ini menunjukkan kepada saya bahawa serangan Iran bukanlah satu wayang. Tetapi mereka menggunakan peluang yang ada untuk menguji sistem pertahanan Israel. Dari operasi ini mereka dapat memahami dinamik jika serangan sebenar perlu dilakukan. Seperti yang saya tulis dalam buku saya Resistance Sudah Berbunga, perjuangan melawan Israel kini sudah memasuki fasa baharu.[7] Ia akan mengambil masa untuk memastikan Israel semakin lama semakin lemah. Di sini kita melihat bagaimana Iran melakukan long-game dan tidak tergopoh gapah. Iran sedar, Israel akan kalah juga akhirnya. Oleh itu, lebih baik ia dikalahkan dengan lebih strategik tanpa perlu perang yang lebih besar.

Bibliografi

“Breaking news and analysis on day 191 of Gaza’s Al-Aqsa Flood.” The Electronic Intifada Podcast. April 15, 2024. Accessed April 16, 2024. https://www.youtube.com/watch?v=PSEIoHJmSok&t=1s.

Fabian, Emanuel. 2024. “Visiting targeted air base, IDF chief promises response to Iranian attack.” The Times of Israel, April 15.

Hamza Ali Shah. 2024. “‘Beheaded Babies’ – How Uk Media Reported Israel’s Fake News As Fact.” Declassified UK, January 04.

Marandi, Mohammad, interview by Ali Abunimah. 2024. Why Iran supports Palestine (April 8).

Syed Ahmad Fathi. 2020. “Qasem Soleimani: Dimana letaknya pendirian kita?” Meniti Jambatan Masa, January 08.

—. 2024. Resistance Sudah Berbunga. Tochka Press.

Vasilyeva, Nataliya. 2024. “Israel admits Iranian ballistic missiles struck two military bases.” The Telegraph, April 15.


[1] Emanuel Fabian. “Visiting targeted air base, IDF chief promises response to Iranian attack”. The Times of Israel, 15 April 2024. Pautan: https://www.timesofisrael.com/idf-chief-visits-airbase-hit-in-iranian-attack-says-it-will-be-met-with-a-response/

[2] Qasem Soleimani telah dibunuh oleh Amerika Syarikat pada tahun 2020. Pada Ketika itu, saya juga telah mengkritik pendekatan yang melihat kejadian itu dalam konteks sunni-syiah. Seharusnya semua umat Islam bersatu melawan hegemoni Amerika Syarikat dan juga penjajahan Israel. Rujuk Syed Ahmad Fathi. “Qasem Soleimani: Dimana letaknya pendirian kita?”. Meniti Jambatan Masa, 08 Januari 2020. Pautan: https://bersamakepuncak.blogspot.com/2020/01/qasem-soleimani-dimana-letaknya.html

[3] Terdapat beberapa analisis dari Dr. Marandi yang saya tekuni. Pertama adalah sesi podcast beliau bersama Ali Abunimah di Electronic Intifada di mana beliau menerangkan sejarah hubungan luar Iran dengan dunia sebelum serangan Iran ke atas Israel. Siaran ini bertajuk “Why Iran supports Palestine, with Ali Abunimah and Mohammad Marandi” dan boleh dilihat di pautan: https://www.youtube.com/watch?v=n2WNlRwoyUg&t=1202s . Analisis kedua beliau selepas serangan Iran ke atas Israel boleh dilihat melalui pautan: https://www.youtube.com/watch?v=PSEIoHJmSok

[4] Contoh paling jelas adalah propaganda bahawa 40 bayi telah dipenggal oleh Hamas semasa Operasi Taufan Al-Aqsa. Rujuk artikel oleh Hamza Ali Shah. “‘Beheaded Babies’ – How Uk Media Reported Israel’s Fake News As Fact”. Declassified UK, 04 Januari 2024. Pautan: https://www.declassifieduk.org/beheaded-babies-how-uk-media-reported-israels-fake-news-as-fact/ Ini hanyalah satu sahaja contoh dari pelbagai contoh lain di mana media Barat menjadi mulut propaganda bagi jenayah genocide Israel.

[5] Nataliya Vasilyeva. “Israel admits Iranian ballistic missiles struck two military bases”. The Telegraph, 15 April 2024.

[6] “U.S. will not join any retaliatory action by Israel on Iran: White House”. Nikkei Asia, 15 April 2024. Pautan: https://asia.nikkei.com/Spotlight/Iran-tensions/U.S.-will-not-join-any-retaliatory-action-by-Israel-on-Iran-White-House

[7] Syed Ahmad Fathi. Resistance Sudah Berbunga. Tochka Press, 2024.

Adakah-Serangan-Iran-Ke-Atas-Israel-Hanya-WayangDownload
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Berita Tagged With: Iran, israel, War

Recent Posts

  • Pasca Membaca Buku Pascabaca
  • Analisis Permulaan Perang Amerika Syarikat-Israel Ke Atas Iran Pada Bulan Jun 2025
  • Retelling the Story of the Great Majapahit Empire
  • Nota PBAKL: Prosa Klise Yang Benar, Kehidupan Adalah Satu Perjalanan
  • Koleksi Refleksi di IABF: Merayakan Seni dan Sastera

Archives

Copyright © 2025 The Independent Insight