The Independent Insight

Giving truth a voice

  • Email
  • Facebook
  • Flickr
  • Instagram
  • Phone
  • Twitter
  • Vimeo
  • YouTube
  • Berita
  • Politik
  • Ekonomi
  • Teknologi
  • Reviu
    • Reviu Buku
    • Reviu Filem
    • Reviu Muzik
  • Rencana
  • Podcast
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami

Negara Madani Pasca Delusi

September 29, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Saya membaca tulisan ramai rakan-rakan aktivis perihal apa yang berlaku dalam negara hari ini. Namun, cuma sekadar menjadi pembaca pasif. Tidak banyak yang saya tambah mungkin kerana kesibukan-kesibukan peribadi. Namun di kesempatan kali ini ingin saya coretkan sedikit pandangan perihal apa yang berlaku dalam negara kita hari ini.


Ramai rakan-rakan yang menulis perihal bagaimana negara Madani yang mereka bersama dukung selama ini tidak menjadi refleksi kepada teori dan idea reformasi yang sebelum ini mereka junjung dan jaja ke seluruh negara. Terutamanya dalam hal akta yang menyekat kebebasan bersuara dan berekspresi, juga dalam soal memberikan keadilan kepada semua tanpa mengira kasta sosial dan politik. Pembebasan aktor yang selama ini dimusuhi dan disebut sebagai penyamun, insiden rampasan buku, dan mungkin yang terbaharu adalah pemenjaraan rakan aktivis mereka sendiri.


Siapa yang mengenali saya pasti tahu bahawa saya sejak dahulu tidaklah terlalu tergiur dengan idea reformasi yang dibawa, atas sebab-sebab yang tidak mahu saya bahaskan di sini. Jadi saya tidak mempunyai sebarang delusi bahawa apa yang terjadi sekarang boleh terjadi. Tujuan penulisan ini bukan untuk memberi justifikasi kepada regim yang ada, kerana saya tidak punya apa-apa kepentingan di dalamnya. Tetapi cuma mahu melihat sudut rasionalnya. Sama ada saya berjaya atau tidak, terpulanglah kepada budi bicara pembaca yang budiman.


Untuk melakukan perubahan atau revolusi, kita memerlukan kuasa. Untuk mendapat kuasa kita perlu mengesan potensinya. Potensi ini mungkin wujud dalam bentuk kemarahan rakyat, atau apa yang ditulis oleh Slavoj Žižek sebagai “rage capital”. Jika rakyat tidak marah, maka kemarahan ini perlu dibentuk, dipupuk, dan dipropagandakan. Seperti kata Milton Friedman, krisis akan melahirkan perubahan, tetapi krisis tidak semestinya bersifat semulajadi, krisis juga boleh dicipta.


Bagi saya pakatan sebelum ini berjaya menggunakan kemarahan ini untuk mengambil alih kuasa. Namun mengambil alih kuasa tidak cukup. Kerana selepas surutnya euphoria dan delusi perubahan, pemegang takhta perlu mempertahankan kuasanya. Žižek menulis bagaimana pasca perubahan, apparatus represif perlu digunakan bagi menutup semua peluang pihak lawan bagi mengambil alih kuasa. Agar apabila masyarakat sudah mula sedar, dan debu revolusi sudah tidak lagi mengaburi udara, tiada apa yang dapat mereka lakukan kerana kaki penguasa baharu sudah kukuh tertanam.


Jadi saya kira inilah yang sedang dilakukan oleh regim hari ini. Mungkin mereka akan kedengaran hipokrit kerana menggunakan akta-akta “draconian” yang selama ini mereka kecam. Tetapi itulah adat resam sebuah hirarki, setiap hirarki memerlukan tirani untuk mengekalkan dominasi. Untuk menjadi stabil, undang-undang mestilah berpihak kepada mereka dan kekerasan perlulah dimonopoli. Jika tidak, kuasa dan takhta akan menjadi longgar dan mudah dirampas semula.


Hakikatnya para idealis yang sebelum ini berwacana perihal syurga reformasi, mereka sebenarnya baru tersedar dari delusi yang panjang. Atau mungkin lebih tepat, mereka buat-buat tersedar dan terkejut. Kerana apabila elaun dan gaji sudah masuk, cerita reformasi ini adalah sejarah lama untuk kita tonton di layar pawagam sahaja.


“Tak usahlah diungkit-ungkit” kata mereka.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Politik Tagged With: malaysia madani, Slavoj Žižek

Perbahasan Perihal Penentuan Ruang Lingkup Sejarah

September 27, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Setiap bidang kajian memerlukan skop untuk menjadikannya sebuah bidang yang tersendiri. Oleh itu, sejarah sebagai sebuah bidang kajian perlulah mempunyai skop kajian atau ruang lingkupnya yang tersendiri. Skop kajian ini perlulah spesifik dan berfokus, kerana mustahil kita dapat membahaskan semua perkara. Dan jika kita membahaskan semua perkara, perbahasan kita akan menjadi perbahasan umum dan bukan lagi berdiri sebagai satu bidang yang tersendiri. Untuk menentukan skop dan ruang lingkup sejarah, ahli sejarah telah berusaha untuk memahami falsafah sejarah dan memberikan satu definisi kepadanya. Kerana tanpa sebuah definisi, kita tidak dapat menentukan sempadan dan ruang kajian kita.

Namun setiap ahli sejarah mempunyai kefahaman dan definisi yang berbeza berkenaan dengan apa itu sejarah dan apa yang patut disejarahkan seperti yang dibahaskan oleh Abdul Rahman Haji Abdullah. Menurut beliau, nilai kesejarahan ini bukan sahaja akan berbeza dari pandangan individu, malah akan berbeza seiring berubahnya ruang dan waktu.[1] Jadi, boleh jadi sesuatu peristiwa itu dianggap bersejarah dahulu tetapi tidak lagi pada masa kini. Juga, boleh jadi sesuatu itu dianggap termasuk dalam bidang sejarah oleh seorang sarjana, tetapi ia ditolak oleh sarjana yang lain.

Perkara sama turut diutarakan oleh E. H. Carr dalam membahaskan apa itu sejarah, beliau berpendapat bahawa sejarah itu ditentukan oleh ahli sejarah. Ahli sejarahlah yang memilih fakta-fakta dan menentukan mana yang hendak diketengahkan dan mana yang hendak disisihkan.[2] Oleh kerana sejarah tidak dapat dipisahkan dengan ahli sejarah yang menulis sejarah, lingkungannya juga pastilah bergantung kepada pendapat ahli sejarah yang menulisnya.

Idea Ruang Lingkup Sejarah F. J. Teggart

Pada peringkat awal, sejarah ditulis hanya perihal golongan tertentu yang menatijahkan peristiwa-peristiwa penting seperti perang. Bentuk sejarah seperti ini dapat dilihat dalam penulisan Bapa Sejarah iaitu Herodotus dalam karyanya Histories dan kemudian dalam tulisan Thucydides yang menulis sejarah melalui karyanya The Peloponnesian War. Golongan yang dapat mempengaruhi perubahan dan pergerakan masyarakat biasanya adalah golongan bangsawan, elit, ahli politik, paglima perang, raja dan pemerintah. Oleh itu sejarah tradisionalis banyak mensejarahkan mereka dalam penulisan-penulisan sejarah. Bentuk sejarah elit ini mencapai kemuncaknya dengan kemunculan Leopold von Ranke yang dianggap bapa sejarah moden. Sejarah versi Ranke melahirkan alirannya yang tersendiri, aliran yang mementingkan dokumen dan membataskan penulisan sejarah perihal pentadbiran, pemerintahan, dan peperangan. Bagi Ranke sejarah perlu ditulis untuk memaparkan apa yang berlaku seperti mana ia berlaku pada masa lalu, wie es eigentlich gewesen.

Idea sejarah tradisionalis seperti inilah yang melahirkan pemikiran bahawa skop sejarah perlu hanya merangkumi perbuatan manusia yang memberi kesan dan perubahan besar kepada masyarakat dan negara. Idea ini digagaskan dengan lebih tersusun oleh F. J. Teggart yang menyatakan bahawa apa yang dikira sebagai sejarah perlulah mempunyai dua kriteria. Pertama, adanya tindakan sosial manusia. Contohnya manusia-manusia yang menggerakkan dan mencetuskan revolusi. Kedua, tindakan tersebut mestilah memberi kesan kepada bangsa, masyarakat atau negara. Contohnya, revolusi yang digerakkan itu kemudiannya melahirkan bentuk pemerintahan baharu. Formulasi cakupan sejarah Teggart ini sesuai dengan penulisan sejarah tradisional seperti yang ditulis Herodotus dan Thucydides, juga aliran sejarah moden yang diasaskan Ranke.

Corak sejarah seperti yang difahami Teggart ini boleh kita lihat melalui beberapa contoh dan peristiwa spesifik. Dalam suasana politik tempatan di Malaysia, antara peristiwa sejarah yang masih mempunyai kesan sehingga ke hari ini adalah rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969. Menurut Leon Comber peristiwa ini berlaku kerana pertikaian yang tidak dapat dielakkan disebabkan oleh penghinaan kaum yang dilakukan secara meluas dan terang-terangan oleh parti pembangkan dan Parti Perikatan ketika itu.[3]

Jika kita melihat peristiwa ini melalui ruang lingkup Teggart, tindakan penghinaan kaum ini merupakan satu tindakan sosial. Oleh itu ia memenuhi kriteria pertama Teggart. Rusuhan ini juga memberi kesan yang besar kepada masyarakat dan negara terutamanya dengan kelahiran pelbagai formulasi polisi baharu yang diperkenalkan kerajaan antaranya pengenalan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah, pengenalan Rukun Negara sebagai ideologi kebangsaan dan perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk menyusun semula ekonomi.[4] Perubahan-perubahan besar kepada masyarakat dan negara hasil pengenalan-polisi-polisi ini menepati kriteria kedua Teggart. Oleh itu dapatlah dikatakan bahawa peristiwa 13 Mei 1969 ini adalah peristiwa yang bersejarah dan termasuk dalam ruang lingkup sejarah.

Kita juga dapat melihat ruang lingkup Teggart ini melalui contoh antarabangsa. Pada 28 Jun 1914, seorang nasionalis Serbia telah membunuh Archduke Franz Ferdinand yang merupakan pewaris kepada takhta Empayar Austria-Hungary. Tindakan sosial yang melibatkan golongan elit ini mempunyai kesan yang sangat besar. Austria telah mengumumkan perang ke atas Serbia pada 28 Julai dan mula mengebom Belgrade pada 29 Julai. German yang merupakan sekutu Austria telah memberi ultimatum kepada Rusia pada 31 Julai untuk menghentikan mobilisasi tentera dalam masa 12 jam namun ia tidak diendahkan oleh Rusia. Hal ini telah menyebabkan tercetusnya Perang Dunia Pertama.[5] Dari peristiwa global ini sekali lagi kita melihat ia menepati kriteria ruang lingkup sejarah Teggart dengan adanya tindakan sosial manusia dengan berlakunya pembunuhan pewaris takhta sebuah empayar yang akhirnya menatijahkan kesan yang sangat besar kepada dunia dengan tercetusnya Perang Dunia Pertama.

Jika kita membaca tulisan Teggart secara langsung, kita akan mendapati bahawa Tegart sendiri sedar bahawa ruang lingkup sejarah tradisional ini adalah sempit. Kebanyakannya terbatas pada kajian dokumen. Beliau mengakui bahawa skop sejarah sebenarnya dapat diperluaskan dengan berkembangnya ilmu-ilmu bantu yang lain terutamanya kajian arkeologi dan kajian dalam bidang Oriental. Kemajuan yang dicapai dari ilmu-ilmu bantu ini akan membantu ahli sejarah membuat analisis yang lebih terperinci.[6]

Pandangan Yang Bertentangan Dengan Idea Teggart

Seperti yang sudah kita bahaskan, idea ruang lingkup Teggart ini ada benarnya dan dapat kita lihat dalam contoh-contoh penulisan sejarah. Walaubagaimanapun, fahaman lingkungan sejarah Teggart ini terlalu sempit dan tidak dapat dipertahankan. Jika kita hanya menerima apa yang difahami Teggart, maka banyak kajian dalam bidang sejarah dalam aliran-aliran lain akan menjadi tidak bersejarah. Walhal ia ditulis oleh ahli-ahli sejarah yang berwibawa dan kajian mereka mempunyai sumbangan yang signifikan.

Lingkungan sejarah yang sempit seperti yang difahami Teggart ini ada dibahaskan oleh R. Suntharalingam dalam buku beliau Pensejarahan Barat. Bagi Suntharalingam, kelemahan besar dalam cakupan sejarah versi Teggart adalah penyempitan ruang sejarah hanya kepada golongan elit. Kerana hanya golongan elit sahaja yang tindakannya akan memberi kesan dan perubahan besar dalam masyarakat.[7]

Menurut R. Suntharalingam lagi, penulisan sejarah di luar skop yang digagaskan oleh Teggart boleh dilihat dalam penulisan sejarah sejak awal lagi. Contohnya Herodotus yang menulis tentang gambaran sejarah dan etnografi orang Mesir dari pelbagai lapisan masyarakat. Penulisannya merangkumi adat resam, pakaian, makanan, pertanian, dan agama. Begitu juga ahli sejarah Rom seperti Livy yang menulis perihal penderitaan rakyat biasa melalui wabak penyakit, pertempuran, dan krisis. Malah Tacitus, yang juga merupakan ahli sejarah Rom menulis perihal nasib orang kebanyakan, penyiksaan hamba abdi, dan juga keberanian hamba wanita.[8] Oleh itu sejak awal lagi, kita dapat melihat bahawa ahli sejarah menulis dalam skop yang lebih besar dalam usaha mereka merakamkan keadaan masyarakat melalui pensejarahan mereka. Mereka menulis perihal rakyat bawahan yang tentulah tidak dapat mempengaruhi perubahan besar atau mengubah nasib bangsa, jadi penulisan ini tidak termasuk dalam skop jika kita membataskan sejarah sekitar apa yang digagaskan Teggart. Bagi Suntharalingam, tidak dinafikan banyak sejarah awal ditulis mirip diskripsi Teggart yang berfokus pada golongan elit, namun dalam masa yang sama mereka juga menulis hal-hal di luar batas yang digariskan Teggart.

Sejarah Keseluruhan Mengikut Aliran Annales

Aliran yang telah meluaskan lagi ruang lingkup sejarah adalah aliran Annales yang muncul sejak tahun 1920-an di Perancis. Aliran ini tidak berpuas hati dengan penyempitan sejarah hanya kepada rakaman tindakan golongan elit dan menganjurkan sejarah yang lebih menyeluruh ditulis atau apa yang disebut sebagai total history. Aliran ini dipelopori oleh tokoh-tokoh seperti Lucien Febvre, Marc Bloch, Fernand Braudel, dan Emanuel Le Roy Ladurie. Mereka telah mengkaji sejarah manusia dalam konteks alam dan institusi sosial.

Fernand Braudel misalnya telah mengkaji sejarah dengan lebih meluas dan mengambil kira aspek-aspek seperti geografi, struktur sosial dan politik, perdagangan dan pengangkutan, harga barang, galian, pertanian serta kebudayaan. Braudel juga mengkaji hal seperti pemakanan, pakaian, kesihatan, penyakit, dan perancangan keluarga dalam penulisan sejarahnya.[9] Di sini kita lihat bagaimana aliran Annales ini memperluaskan skop cakupan sejarah kepada semua aspek kehidupan manusia dan tidak lagi terikat dengan fahaman tradisional juga idea skop sejarah seperti yang difahami oleh Teggart dan Ranke.

Perluasan skop sejarah ini sangat penting kerana mustahil kita dapat memahami sejarah silam hanya melalui tindakan sosial manusia. Terdapat pelbagai perkara yang mengubah situasi kehidupan manusia di luar tindakan sosial mereka. Perkara ini pastilah perlu dikaji dengan teliti agar kita dapat memahami dengan lebih tepat proses sejarah yang berlaku.

Sebagai contoh, peristiwa bencana alam seperti tsunami yang melanda Fukushima, Jepun pada tahun 2011. Peristiwa ini sangat signifikan dan memberi kesan yang besar kepada masyarakat dan negara Jepun. Selain trauma dari kehancuran harta benda dan korban nyawa, situasi politik di Jepun juga berubah selepas peristiwa ini dengan perletakan jawatan perdana menteri Jepun, Naoto Kan pada ketika itu. Peristiwa yang signifikan ini pastilah bersejarah jika kita ukur melalui skop aliran sejarah Annales namun tidak bersejarah jika diamati dari lensa skop sejarah Teggart kerana ia bukan hasil tindakan sosial manusia.

Contoh penulisan sejarah bercorak Annales pada masa kini dapat kita lihat dalam penulisan sejarah seperti yang ditulis oleh Yuval Noah Harari. Beliau cuba menulis sejarah manusia secara keseluruhan. Beliau memulakannya dari kejadian alam hasil proses fizik, kemunculan organisma hasil proses biologi, seterusnya kelahiran manusia yang menghasilkan kebudayaan dan sejarah. Harari tidak hanya menulis sejarah melalui hasil kajian dokumen dan artifak, tetapi beliau turut memuatkan hasil dari kajian lapangan lain seperti biologi dalam membentuk naratif sejarahnya. Beliau turut meneliti persoalan kelahiran pemikiran, pertanian, penulisan, agama, dan juga sains dan teknologi.[10] Pendekatan sejarah seperti ini pastinya mengayakan lagi perspektif dan bidang sejarah. Namun ia tidak dapat dilakukan jika ruang lingkup sejarah terbatas seputar fahaman Teggart. Dengan cakupan sejarah yang lebih luas seperti yang digagaskan oleh aliran Annales, perkara ini dapat dilaksanakan.

Selain dari penulisan Harari, kita juga dapat membaca pelbagai lagi bentuk penulisan yang sejajar dengan aliran Annales. Contohnya Tim Marshall yang mengkaji sejarah konflik dan peperangan yang berlaku di dalam dunia. Namun Marshall tidak melihat tindakan sosial sebagai punca pergerakan konflik dan perang ini sebaliknya kajian beliau memfokuskan pengaruh yang dimainkan geografi. Marshall mengkaji bagaimana masyarakat dahulu dipisahkan oleh geografi dalam pembentukan kerajaan. Kerajaan-kerajaan yang wujud sebelum zaman moden dipisahkan oleh struktur geografi seperti sungai, gunung-ganang, hutan, lautan dan lembah. Keadaan geografi ini mempengaruhi konflik antara mereka. Idea negara bangsa merupakan idea zaman moden yang berasal dari Eropah, dari idea ini barulah lahir sempadan negara yang berbentuk tetap. Banyak sempadan-sempadan negara bangsa baharu ini tidak lagi berdasarkan elemen alam semulajadi tetapi hasil lukisan tangan kuasa-kuasa kolonial terkemudian yang membahagikan kawasan-kawasan jajahan mereka.[11]

Selain dari aspek geografi, ada juga penulisan yang mengkaji bagaimana polisi dan undang-undang mempengaruhi sejarah kehidupan masyarakat. Contohnya Mei Fong yang menulis bagaimana polisi satu anak di negara China membentuk sejarah baharu dalam kehidupan masyarakat. Beliau menelusuri sejarah yang bermula sejak tahun 1980 di mana polisi ini dimulakan. Beliau membahaskan bagaimana polisi ini menatijahkan kesan-kesan sosial seperti kekurangan tenaga kerja, populasi tua, ketidaksamaan gender dalam populasi dan lain-lain.[12] Kajian Mei Fong ini memperlihatkan bagaimana sesuatu polisi dan keadaan demografi boleh mempengaruhi sejarah sesebuah negara. Kajian-kajian seperti ini menggunakan pendekatan Annales dalam mengkaji perubahan masyarakat dan tidak terkongkong hanya pada tindakan sosial golongan elit.

Sejarah Tabii: Kajian Alam dan Kehidupan

Penulisan sejarah yang lebih ketara berbeza dari fahaman Teggart adalah sejarah tabii ataupun natural history yang mengkaji asal usul alam dan kehidupan. Sejarah seperti ini bukan sahaja tidak mengkaji tindakan sosial manusia, malah peranan manusia hampir tidak dikaji dan tidak ditekankan. Antara penulis awal yang menulis sejarah berbentuk sejarah alam ini adalah Francis Bacon melalui karyanya The History of the Winds yang terbit pada tahun 1622. Walaupun penulisan seperti ini ada unsur-unsur sejarah, seperti kajian pada masa lampau, perubahan-perubahan yang berlaku seiring bergeraknya masa, ada pandangan yang melihat ia lebih dekat dengan bidang sains tabii dan sains semulajadi dan bukannya sejarah.[13]

Bentuk penulisan sejarah seperti ini menjadi lebih popular dalam kalangan masyarakat dengan terbitnya tulisan Charles Darwin pada tahun 1859 yang bertajuk The Origin of Species. Tulisan Darwin ini sangat berpengaruh bukan sahaja dalam bidang natural history, namun ideologi dan teorinya merebak masuk ke dalam bidang-bidang lain seperti antropologi, sosiologi, psikologi dan lain-lain. Bagi Darwin, dengan mengkaji sejarah dan asal usul hidupan, kita akan melihat kehidupan organik itu dengan lebih menarik.[14] Walaupun teori evolusi sering dikaitkan dengan Darwin, namun beliau tidaklah membangunkan teori ini bersendirian. Ia dibangunkan bersama dengan seorang pengkaji lain yang bernama Alfred Russel Wallace yang mengkaji hidupan di nusantara. Antara tulisan Wallace yang terkenal adalah The Malay Archipelago yang terbit pada tahun 1869.

Sejarah Sebagai Kajian Pemikiran

Jika pengkaji seperti Bacon, Darwin dan Wallace mengkaji sejarah hidupan dan alam semulajadi, menurut R. G. Collingwood perbezaan antara sejarah dan sains semulajadi ialah unsur pemikiran.[15] Hanya manusia yang berfikir, oleh itu cakupan sejarah bagi Collingwood terbatas hanya kepada manusia. Haiwan, tumbuhan, dan unsur-unsur alam tidak mempunyai pemikiran mereka sendiri, oleh itu ia tidak boleh termasuk dalam ruang lingkup sejarah menurut Collingwood.

Jika bagi Teggart yang penting adalah tindakan sosial manusia, Collingwood merasakan apa yang penting adalah pemikiran yang melahirkan sebuah tindakan. Menurut beliau tugas utama ahli sejarah adalah meninjau aspek pemikiran dari tindak tanduk manusia. Collingwood mengecilkan lagi skop sejarahnya dengan hanya menumpukan fikiran berbentuk reflektif iaitu pemikiran yang sengaja, terancang, dan bertujuan. Dalam hal ini, pemikiran-pemikiran yang lahir dari perasaan, emosi atau naluri semulajadi tidak diambil kira. Contohnya fikiran manusia yang mahu makan kerana berasa lapar atau mahu tidur kerana penat, ini semua adalah hasil naluri semulajadi dan bukanlah pemikiran reflektif. Oleh itu ia tidak bersejarah menurut Collingwood.

Melalui definisi ini, cakupan sejarah menjadi lebih luas dari idea cakupan sejarah yang digagaskan oleh Teggart, selain politik, peperangan dan ekonomi, bagi Collingwood sejarah turut mencakupi hal-hal akhlak, agama, seni, dan falsafah kerana ia semua mempunyai unsur pemikiran dibelakangnya. Dari definisi Collingwood, sesuatu itu bersejarah jika ia terhasil dari pemikiran reflektif walaupun mungkin peristiwa yang terhasil itu tidak memberi kesan besar pada masyarakat seperti yang difahami Teggart.

Walaupun idea Collingwood ini membesarkan sedikit ruang lingkup sejarah berbanding formulasi Teggart, ia tetap mempunyai masalah. Terdapat ahli sejarah yang tidak bersetuju dengan idea Collingwood kerana ahli sejarah tidak dapat menghayati dengan tepat pemikiran orang pada masa lalu kerana pengalaman yang berbeza dan faktor-faktor lain yang tidak mungkin diketahui kesemuanya oleh ahli sejarah yang hidup pada zaman yang berbeza.

Menurut Collingwood, ahli sejarah perlu membentuk semula pemikiran yang telah berlaku dalam sebuah peristiwa. Atau dalam kata lain, tugas ahli sejarah adalah re-enactment of thought.[16] Namun mampukah ahli sejarah membentuk semula pemikiran lampau dengan tepat? Bagaimana ahli sejarah mahu menentukan sama ada sesuatu tindakan itu hasil dari pemikiran reflektif dan bukan emosi? Menurut Suntharalingam, tidak wujud sempadan mutlak antara pemikiran reflektif dengan pemikiran yang lahir hasil dari emosi dan perasaan.[17] Peperangan misalnya, pasti membangkitkan emosi seperti marah, takut, dan sedih. Jadi ia tidak dapat dipisahkan dari sejarah.

Menurut Muhd Yusof Ibrahim, selain Collingwood, sarjana seperti B. Croce dan A. O. Lovejoy juga melihat sejarah intelektual dalam alam fikiran sahaja sedangkan konteks sosialnya tidak dibentangkan.[18] Idea-idea seperti ini menunjukkan bahawa ruang lingkup sejarah bukan terbatas pada peristiwa-peristiwa objektif seperti tindakan sosial yang kesannya dapat dilihat. Tetapi termasuk juga dalam ruang lingkup sejarah kajian yang lebih abstrak, lebih subjektif, yang menjadi asas kepada perlakuan objektif yang terjadi dalam sesebuah peristiwa. Kajian dalam lapangan subjektif ini tentulah amat penting kerana ia dapat menerangkan sebab-sebab dan motif dalam sejarah. Jika ia diabaikan, sejarah akan menjadi kaku. Ia hanya akan menjadi kompilasi peristiwa tanpa sebarang makna.

Aliran Marxis dan Sejarah Rakyat

Selain aliran sejarah Annales, sejarah alam, dan sejarah pemikiran, terdapat satu lagi aliran sejarah yang sangat berpengaruh namun tidak cocok dengan formulasi ruang lingkup Teggart. Aliran sejarah ini dikenali dengan pelbagai terma dan nama seperti sejarah alternatif, sejarah dari bawah, sejarah rakyat, sejarah inklusif, dan juga sejarah Marxis.

Aliran Marxis ini mendapat namanya dari idea-idea dan penulisan Karl Marx yang mengkaji revolusi dan perubahan masyarakat. Antara idea Marx yang terkenal perihal perubahan masyarakat adalah idea dialektik materialisme. Idea ini tidaklah asli dari Marx, ia berasal dari idea dialektik Hegel yang kemudian dikembangkan oleh Marx. Penulisan Marx banyak memberikan perhatian kepada kaum buruh dan proletariat. Bagi Marx, penghasilan produksi material yang banyak hasil dari kapitalisme bakal menatijahkan perubahan sosial. Perubahan sosial ini akan berlaku apabila golongan buruh bawahan melancarkan revolusi untuk mengambil alih peranan untuk mengagihkan hasil kekayaan yang terhasil dari produksi kapitalisme. Pengagihan kekayaan ini akan melahirkan masyarakat baharu yang lebih egalitarian dan menghapuskan perbezaan kelas dalam masyarakat. Masyarakat tanpa kelas inilah yang dikatakan sebagai susunan sosial baharu iaitu masyarakat komunis.[19]

Idea-idea Marx perihal kaitan ekonomi dalam melahirkan perubahan masyarakat, juga fokus beliau kepada golongan yang secara tradisionalnya tidak mendapat tempat dalam penulisan sejarah telah mengembangkan lagi skop dan kajian sejarah.

Muncul pelbagai kajian dan tulisan yang mengaitkan ekonomi dan sejarah. Sivert Langholm sebagai contoh menulis bagaimana Charles Beard telah mengkaji bagaimana kepentingan peribadi ekonomi Bapa-Bapa Pengasas Amerika Syarikat mempengaruhi dan menjadi asas kepada pembentukan perlembagaan negara.[20] Howard Zinn turut menulis perkara yang sama. Menurut beliau Bapa-Bapa Pengasas Amerika Syarikat merupakan golongan kaya bangsawan yang mempunyai kepentingan peribadi tersendiri. Kepentingan mereka ini tidak sama dengan kepentingan rakyat bawahan.[21] Penulisan dan tafsiran sejarah dari perspektif ini melihat perubahan dari sudut pandang kepentingan ekonomi kelas, bukan sekadar tindakan sosial seperti yang difahami Teggart.

Aliran sejarah ini menawarkan sejarah  yang lebih luas dan meremehkan hal-hal politik dan penguasa elit. Aliran ini memberi fokus kepada golongan bawahan, rakyat biasa, petani, hamba, wanita dan golongan buruh. Zinn dalam penulisannya menolak penulisan sejarah yang bersifat patriotik dan kenegaraan. Bagi beliau rakyat dan penguasa mempunyai kepentingan yang berbeza, menulis sejarah seperti mereka adalah sebuah keluarga adalah melihat sejarah dari perspektif yang salah.[22] Beliau memulakan bukunya dengan menceritakan pembersihan etnik Arawak (kaum peribumi) dibawah Columbus, kemudian menceritakan bagaimana golongan miskin dipaksa berperang, penindasan orang kulit hitam, juga penipuan-penipuan yang dilakukan kerajaan Amerika Syarikat sepanjang sejarah kepada rakyatnya.

Sejarah yang bersifat pro-rakyat ini juga dapat kita lihat dalam penulisan sejarah-sejarah tempatan. Contohnya Syed Husin Ali yang menulis Sejarah Rakyat Malaysia. Menurut Syed Husin Ali, sejarah rakyat boleh didefinisikan sebagai:

‘Sejarah Rakyat umumnya lebih merupakan jenis yang berpendekatan menumpu atau menekan kepada golongan rakyat daripada lapisan bawahan. Selain fokusnya kepada politik serta ekonomi dan sosial, ia harus juga menekankan tentang bagaimana rakyat hidup bersama dalam keluarga, komuniti dan juga berhubung migrasi.’[23]

Dari definisi ini dapat kita lihat bahawa apa yang didefinisikan sebagai sejarah rakyat itu bukan sahaja perlu mementingkan golongan bawahan, ia juga harus bersifat inklusif. Selain itu sejarah dalam definisi ini mempunyai utiliti, ia bukan ditulis untuk memaparkan sejarah seperti mana ia berlaku seperti yang digagaskan oleh Ranke, sebaliknya menurut Syed Husin Ali fungsi sejarah seperti ini adalah untuk mengajar masyarakat untuk hidup bersama. Dari satu sudut, sejarah itu ditulis dengan niat yang baik, iaitu untuk menggalakkan masyarakat hidup bersama secara harmoni, namun di satu sudut lain, adakah ia dapat mengekalkan sejarah yang objektif? Jika ada peristiwa sejarah yang tidak harmoni pernah terjadi, adakah ia akan dikeluarkan? Sekiranya ini berlaku, maka penulisan seperti ini akan menjadi propaganda, digunakan sebagai alat, dan bukan lagi kajian objektif yang meninjau keseluruhan sejarah.

Disebabkan perkara ini, tulisan Syed Husin Ali ini mendapat kritikan dari ahli sejarah. Menurut Azmi Arifin, tulisan Syed Husin Ali ini tidak mewakili suara ahli sejarah dari sudut kewibawaan akademik, mempunyai kelemahan pada tafsiran, mengulang semula sejarah rasmi, bersifat prejudis, berat sebelah, dan bertujuan politik.[24]

Disini kita dapat lihat bahawa aliran sejarah rakyat atau aliran Marxis ini memberi alternatif kepada cakupan sejarah tradisional. Ia mengembangkan skop kajian sejarah dari hanya berpusat kepada bangsawan dan golongan elit kepada skop yang lebih luas mewakili rakyat bawahan. Ia turut memandang bagaimana ekonomi memberi kesan dan perubahan dalam sejarah, sebab berlakunya perubahan tidak hanya terbatas kepada tindakan sosial manusia. Namun penulisan sejarah seperti ini harus juga dinilai secara kritis, agar niat mengembangkan sejarah dan bersifat inklusif itu tidak menghilangkan objektiviti. Penulisan sejarah tidak boleh terlalu mementingkan utiliti hingga bersifat seperti propaganda.

Kesimpulan

Dari perbahasan ruang lingkup sejarah ini, dapatlah kita fahami bahawa sejarah itu bersifat bebas dan tidak hanya terbatas kepada tindakan sosial manusia yang memberi kesan pada masyarakat dan negara seperti yang digagaskan Teggart. Gagasan Teggart tidaklah salah sepenuhnya, namun, ia hanya menceritakan sebahagian dari sejarah. Wujud aliran sejarah lain yang cakupannya lebih luas seperti aliran Annales yang membawa gagasan sejarah keseluruhan. Wujud aliran sejarah yang mengkaji alam tanpa mengambil kira tindak tanduk manusia. Ada aliran yang menumpukan sejarah dalam bentuk pemikiran, idea dan intelek. Terdapat juga aliran yang mengkaji golongan yang tidak dikaji oleh aliran tradisionalis seperti sejarah rakyat dan aliran sejarah Marxis. Semua aliran ini mempunyai sumbangannya yang tersendiri yang dapat membantu kita memahami peristiwa lampau dengan lebih sempurna. Oleh itu dapatlah kita fahami bahawa cakupan sejarah itu sememangnya luas, tidak hanya terbatas  kepada apa yang digagaskan Teggart dan terpulang pada ahli sejarah untuk memilih skop kajian mereka.

Bibliografi

Abdul Rahman Haji Abdullah. 1994. Pengantar Ilmu Sejarah. Pulau Pinang: Pusat Pendidikan Jarak Jauh USM.

Azmi Arifin. 2019. “Sejarah Rakyat Malaysia (khususnya perkembangan nasionalisme) (Book review).” Kajian Malaysia 149–156 .

Carr, E. H. 1964. What is history? Penguin Books.

Comber, Leon. 2013. Peristiwa 13 Mei: Sejarah Perhubungan Melayu-Cina. IBS Buku Sdn. Bhd.

D’Amato, Paul. 2014. The Meaning of Marxism. Haymarket Books.

Darwin, Charles. 2003. The Origin of Species. Singlet Classics.

Fong, Mei. 2016. One Child: The Story of China’s Most Radical Experiment. Mariner Book.

Harari, Yuval Noah. 2014. Sapiens: A Brief History of Humankind. London: Vintage Books.

Langholm, Sivert. 1976. “On the scope of micro‐history.” Scandinavian Journal of History 3-24.

Marshall, Tim. 2015. Prisoners of Geography: Ten Maps That Tell You Everything You Need to Know About Global Politics. Elliott & Thompson.

Muhd Yusof Ibrahim. 2010. Sejarah Intelektual: Konsep dan Skop. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Suntharalingam, R. n.d. Persejarahan Barat. 1987: Fajar Bakti.

Syed Husin Ali. 2017. Sejarah Rakyat Malaysia: Khususnya Perkembangan Nasionalisme. SIRD.

Teggart, Frederick John. 1962. Theory and Processes of History. University of California Press.

Tuchman, Barbara W. 2004. The Guns of August. Presidio Press.

Zinn, Howard. 2010. A People’s History of the United States. Harper Collins.


[1] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah (Pulau Pinang: Pusat Pendidikan Jarak Jauh USM, 1994), hlm. 33.

[2] E. H. Carr, What is history? (Penguin Books, 1964), hlm. 7-30.

[3] Leon Comber, Peristiwa 13 Mei: Sejarah Perhubungan Melayu-Cina (IBS Buku Sdn. Bhd, 2013), hlm. 123.

[4] Ibid., hlm. 146-158.

[5] Barbara W. Tuchman, The Guns of August (Presidio Press, 2004), hlm. 85-87.

[6] Frederick John Teggart, Theory and Processes of History (University of California Press, 1962), hlm. 244.

[7] R. Suntharalingam, Persejarahan Barat (Fajar Bakti, 1987)

[8] Ibid., hlm. 11-12.

[9] Ibid., hlm. 12-13.

[10] Yuval Noah Harari, Sapiens: A Brief History of Humankind (London: Vintage Books, 2014)

[11] Tim Marshall, Prisoners of Geography: Ten Maps That Tell You Everything You Need to Know About Global Politics (Elliott & Thompson, 2015)

[12] Mei Fong, One Child: The Story of China’s Most Radical Experiment (Mariner Books, 2016)

[13] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah, hlm. 33.

[14] Charles Darwin, The Origin of Species (Singlet Classics, 2003), hlm. 504.

[15] R. Suntharalingam, Persejarahan Barat, hlm. 15.

[16] E. H. Carr, What is history?, hlm. 22.

[17] R. Suntharalingam, Persejarahan Barat, hlm. 19.

[18] Muhd Yusof Ibrahim, Sejarah Intelektual: Konsep dan Skop (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2010) hlm. 23.

[19] Paul D’Amato, The Meaning of Marxism (Haymarket Books, 2014)

[20] Sivert Langholm, ‘On the scope of micro‐history’, Scandinavian Journal of History, 1:4 (1976), 3-24

[21] Howard Zinn, A People’s History of the United States (HarperCollins, 2010)

[22] Ibid., hlm. 10.

[23] Syed Husin Ali, Sejarah Rakyat Malaysia: Khususnya Perkembangan Nasionalisme (SIRD, 2017), hlm. 15.

[24] Azmi  Arifin, ‘Sejarah Rakyat Malaysia (khususnya perkembangan nasionalisme) (Book review)’, Kajian Malaysia, 37:1 (2019), 149–156 

Perbahasan-Perihal-Penentuan-Ruang-Lingkup-SejarahDownload
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana Tagged With: kajian sejarah, maksud sejarah, pemikiran sejarah, pengantar sejarah, ruang lingkup sejarah, sejarah, skop sejarah

Memahami Ciri dan Corak Kepimpinan Nabi Muhammad salla-Allah alaihi wasallam

September 27, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Menurut Dr. Tareq Al-Suwaidan, pemimpin paling hebat di dunia adalah Nabi Muhammad salla-Allah alaihi wasallam.[1] Melihat kepada keadaan umat yang lemah pada hari ini, pembentukan pemimpin merupakan satu elemen yang sangat kritikal dalam membangunkan semula umat Islam. Membentuk pemimpin adalah terlambat jika dimulakan di universiti, ia patut dimulakan lebih awal, menurut Dr. Tareq Al-Suwaidan, umur yang terbaik untuk membentuk pemimpin adalah sekitar 2-6 tahun. Kerana personaliti manusia muncul pada fasa ini, seorang manusia itu mula mengenal nilai dan tertanam keimanannya pada fasa ini. Umur ini juga adalah umur yang paling mudah untuk memperbaiki apa-apa masalah. Oleh itu, dalam pembentangan kali ini, kita akan mengkaji ciri dan corak kepimpinan baginda nabi dalam usaha kita untuk membangunkan pemimpin-pemimpin baharu bagi membangunkan umat Islam.

Maksud dan Definisi Kepimpinan

Kepimpinan boleh didefinisikan sebagai kemampuan menggerakkan manusia untuk menjayakan matlamat. Jadi perkara pertama yang pemimpin perlu ada adalah kemampuan. Bila kita sebut kemampuan, ia berbeza dengan sekadar ilmu atau pengetahuan, seseorang itu tidak menjadi pemimpin hanya dengan membaca 1,000 buah buku. Ada orang dilahirkan dengan kemampuan ini, tetapi jumlah mereka adalah kecil, sebahagian besar manusia tidak dilahirkan dengan kemampuan memimpin tetapi boleh diasuh dan dilatih untuk menjadi pemimpin. Oleh itu, kita perlu mewujudkan medah latihan untuk membentuk kemampuan ini.

Kedua, pemimpin mestilah mempunyai matlamat. Sebab itu Imam Hasan Al-Banna menulis risalah “Ke arah mana kita menyeru manusia”.[2] Namun pengikut mungkin tidak tahu akan matlamat ini, maka pemimpinlah yang perlu menggerakkan mereka ke arah matlamat, sama ada secara disedari atau tidak oleh para pengikutnya. Bagaimana kita mahu menggerakkan manusia? Ada 5 cara, pertama dengan kita memikat mereka, contohnya memberi mereka hadiah atau harta. Kedua adalah  dengan mengugut mereka. Ketiga adalah dengan ucapan umum, seseorang yang mempunyai kemampuan oratori dan pandai bercakap mampu menggerakkan manusia. Keempat adalah melalui pujukan, pujukan mempunyai kesan yang berpanjangan, meski pun pemimpin itu telah tiada. Kelima, untuk menggerakkan manusia adalah dengan menunjukkan contoh dan menjadi model kepada para pengikut. Dari sini, akan kita bahaskan cara yang digunakan Rasulullah untuk menggerakkan manusia.

Ketiga, pemimpin mestilah mempunyai pengikut. Seseorang itu mungkin mempunyai ciri kepimpinan, tetapi dia tidak dapat mengaplikasikannya jika dia tidak mempunyai pengikut yang boleh digerakkan.

Ciri dan Contoh Kepimpinan Nabi Muhammad salla-Allah alaihi wasallam

Ciri yang paling penting dalam kepimpinan adalah kredibiliti. Dengan kredibiliti, manusia akan mengikuti pemimpin itu tanpa paksaan. Kredibiliti boleh dimaksudkan sebagai pemimpin yang berintegriti, berkata benar, dan dipercayai. Dalam Bahasa Arab kita boleh katakan pemimpin yang mempunyai kredibiliti adalah as-Sodiqul Ameen. Karakter yang berintegriti dan mempunyai akhlak yang baik ini disebut oleh Abul A’la Maududi sebagai unblemished character, dengannya seseorang itu mampu menjadi pemimpin dan juga berkerja sama dalam menggerakkan usaha memperjuangkan Islam.[3] Ciri ini dapat kita lihat pada Nabi Muhammad salla-Allah alaihi wasallam di mana sebelum baginda diberi risalah, Bani Quraisy menggelar baginda dengan gelaran as-Sodiqul Ameen. Di sini dapat kita fahami bahawa baginda nabi sejak awal lagi merupakan pemimpin yang mempunyai kredibiliti.

Pemimpin yang mempunyai kredibiliti perlulah menjadi penunjuk jalan kepada pengikutnya. Dia mestilah dapat menerangkan nilai-nilai yang dikehendakinya kepada para pengikutnya. Kita dapat melihat perkara ini dalam sirah nabi di mana keseluruhan hidupnya merupakan penerapan nilai-nilai mulia ke dalam diri manusia. Misalnya kita melihat bagaimana Nabi Muhammad salla-Allah alaihi wasallam menunjukkan nilai tentang bagaimana kita tidak seharusnya berdendam. Perjuangan nabi tidak pernah sepi dari penindasan, bahkan begitu banyak pengikutnya yang dibunuh. Ketika baginda disakiti di Taif, baginda menolak peluang untuk membalas dendam kerana baginda merasakan generasi Taif pada masa itu menolaknya, tetapi kemungkinan anak cucu orang Taif akan menjadi orang-orang yang beriman.

Kita sering mendengar kisah-kisah peperangan nabi, tetapi sebenarnya, menurut kajian, selama 23 tahun kerasulan, baginda hanya menghabiskan 7 peratus dari hidupnya di medan perang. Oleh itu kita perlu sebenarnya lebih mengkaji dan mengetengahkan nilai insan dalam kehidupan baginda. Contohnya kajian yang dibuat oleh Dr. Hesham Al-Awadi yang mengkaji bagaimana Nabi Muhammad salla-Allah alaihi wasallam berinteraksi dengan anak-anak kecil dan mendidik mereka.[4] Beliau menerangkan bagaimana Nabi Muhammad salla-Allah alaihi wasallam mendidik anak-anak dengan membina hubungan berasaskan keyakinan, cinta, dan kasih sayang antara ibubapa dan anak. Baginda tidak segan dalam menzahirkan kasih sayangnya kepada anak-anak.[5] Jadi nilai insan ini perlu kita pelajari, untuk menjadi pemimpin yang berkesan dan mampu menonjolkan kredibiliti.

Dalam sirah nabi, kita melihat hampir keseluruhannya adalah keadaan di mana perjuangan pada peringkat awal itu begitu sukar, dan keadaan hidup pada masa itu sangat miskin. Hanya 2 tahun terakhir dalam kehidupan Nabi Muhammad salla-Allah alaihi wasallam, mereka berada dalam keadaan kemenangan. Dalam satu peperangan, Saidina Umar dan Saidina Abu Bakar berasa sangat lapar, mereka tidak mempunyai makanan dan mengikat perut mereka dengan batu. Mereka kemudian berjumpa dengan nabi untuk mengadu. Kemudian Nabi Muhammad salla-Allah alaihi wasallam mengangkat bajunya dan memperlihatkan 2 batu yang diikat di perut baginda. Di sini kita melihat bagaimana pemimpin yang baik itu adalah pemimpin yang menunjukkan contoh, dia tidak hanya menyuruh pengikutnya mengharungi kesusahan tetapi dia sendiri bersama melaluinya. Pemimpin bukan sekadar bercakap perihal nilai tetapi melaksanakannya.

Ciri lain pemimpin adalah menginspirasikan. Apabila berdepan dengan masalah, dia tidak hanya merungut, tetapi memberi harapan tentang bagaimana masalah boleh diselesaikan. Dia menceritakan bagaimana masa depan yang baik boleh dikecapi dan membuatkan pengikutnya mempercayai bahawa hal ini boleh dicapai. Jika ini dapat dilakukan, pengikut tidak perlu ditekan atau diberi arahan, mereka akan bergerak dengan sendirinya. Mereka akan mengikuti pemimpin jika mereka mempercayai masa depan ini.

Pemimpin yang membawa manusia kepada sesuatu yang hebat tidak takut kepada cabaran, malah mereka mencari cabaran. Mereka tidak melarikan diri tetapi sentiasa mencari jalan dan menggunakan kretiviti dalam menyelesaikan cabaran. Organisasi yang dibina juga sentiasa berubah dan diperbaiki untuk mengharungi cabaran-cabaran ini. Untuk itu pemimpin akan sentiasa mencari peluang, melakukan eksperimen dan belajar dari pengalaman. Sebelum peristiwa Hijrah, selama 13 tahun dakwah, hanya 150 orang yang memeluk Islam. Sekitar 12 orang setahun. Setelah Abu Talib meninggal dunia, Bani Quraisy mula menyerang baginda. Baginda telah keluar mencari peluang lain dan melakukan eksperimen. Baginda cuba untuk menyebarkan dakwah baginda di Taif 3 tahun sebelum Hijrah. Walaupun peluang ini tidak membuahkan hasil, kita dapati baginda nabi sentiasa mencari peluang dan bersedia berdepan dengan risiko. Baginda kemudian mencuba lagi dengan peluang di Madinah selepas itu yang membuahkan hasil.

Kepimpinan juga adalah usaha bersama, bukan usaha seorang diri tanpa adanya sumbangan dan pandangan dari orang lain. Pemimpin hendaklah menggalakkan kolaborasi dan saling memperkuatkan ahli-ahlinya. Dalam sirah nabi kita melihat adanya sosok kepimpinan seperti Saidina Abu Bakar yang bersifat lembut, juga Saidina Umar yang bersifat keras. Dan mereka berdua saling berbeza pendapat. Mereka mempunyai personaliti yang bertentangan tetapi Nabi Muhammad salla-Allah alaihi wasallam berjaya menyatukan mereka agar berkolaborasi untuk bekerja untuk Islam. Rasulullah juga tidak menghukum orang yang melakukan kesilapan, kerana jika kita menghukum orang yang mencuba, mereka akhirnya akan berhenti mencuba. Contohnya ketika Khalid Al-Walid melakukan kesilapan dalam peperangan dengan Bani Judaimah. Rasulullah mengakui kesilapan Khalid dan berlepas diri darinya, membayar ganti rugi kepada Bani Judaimah, namun baginda tidak menghukum Khalid atas kesilapannya itu. Di sini kita belajar bahawa kita harus menghukum mereka yang mengulangi kesilapan yang sama.

Ciri seterusnya bagi pemimpin adalah kemampuan untuk membangun dan memotivasikan jiwa manusia. Mengejar matlamat dan berjuang merupakan jalan yang panjang, ramai manusia akan berputus asa, oleh itu pemimpin yang baik hendaklah berupaya membangunkan jiwa manusia agar istiqamah dan cekal berusaha. Ini dapat dilakukan dengan menghargai sumbangan yang dilakukan oleh ahli dan juga meraikan kemenangan-kemenangan yang dikecapi. Selepas satu peperangan, Rasulullah memberi penghargaan dengan memberikan ghanimah kepada seorang sahabat yang berjaya mengalahkan banyak musuh. Tetapi ada orang lain yang mengatakan kepadanya bahawa jika dia telah menerima ganjaran di dunia, dia tidak akan diganjari di akhirat. Sahabat tersebut memulangkan ghanimah itu kepada nabi. Maka nabi bersabda “orang itu telah berdusta, tiada masalah untuk kamu menerima ganjaran di dunia dan akhirat”.

Ciri akhir pemimpin adalah kebolehannya untuk memimpin diri sendiri. La yuhsinul ikhtiyarul li ghairih man la yuhsinul ikhtiyarul linafsih, jika kamu tidak boleh menentukan satu perkara untuk diri mu sendiri, maka kamu tidak boleh menentukan perkara untuk orang lain.

Pelajaran dari Sirah Perang Hunain

Antara kisah sirah yang sangat mengesani diri saya adalah kisah pembahagian rampasan perang ketika Perang Hunain.[6] Kisah ini ada dinukilkan dengan sangat baik dan berkesan oleh Ustaz Salim A. Fillah dalam bukunya.[7] Dari kisah sirah ini kita dapat pelajari banyak corak kepimpinan Nabi Muhammad salla-Allah alaihi wasallam.

Perang Hunain berlaku pada tahun ke-8 Hijrah. Pembukaan kota Mekah telah menimbulkan kegusaran pada kabilah Hawazin dan Thaqif yang tinggal berdekatan dengan Mekah dan tidak menerima Islam. Mereka telah mengumpulkan sekitar 20,000 tentera dan berkumpul berdekatan lembah Hunain. Tentera Islam ketika itu disertai muslimin Mekah yang baru memeluk Islam dan dipimpin oleh Khalid Al-Walid. Pada peringkat awal, tentera Islam dihujani panah, kucar kacir, berpecah dan ada yang melarikan diri. Hingga turun wahyu di dalam Al-Qur’an yang mengabdikan kisah ini pada ayat ke-25 dalam Surah At-Taubah.

Rasulullah telah mengarahkan Abbas bin Abdul Mutalib berteriak dan memanggil semula kaum muslimin. Mereka kemudian berjaya berkumpul semula, dan akhirnya menang melawan musuh. Di sini kita melihat sifat kepimpinan nabi. Walaupun pasukannya kucar-kacir, beliau berjaya menstabilkan keadaan dan membentuk semula kumpulan. Kaum Muslimin telah mendapat harta rampasan perang yang banyak, namun Rasulullah memberikannya kepada muslimin Mekah yang baru memeluk Islam dan ini menyebabkan kaum Ansar berasa tidak puas hati. Rasulullah telah memanggil kaum Ansar dan berkata kepada mereka:

“Bukankah aku datang kepada kamu ketika kamu dalam kesesatan dan Allah memberi petunjuk kepada kamu. Bukankan aku datang kepada kamu ketika kamu miskin kemudian Allah mengkayakan kamu. Bukankah aku datang kepada kamu dalam keadaan kamu berpecah belah sehingga Allah satukan kamu. Bukankah aku datang kepada kamu ketika kamu dikalahkan sehingga Allah memenangkan kamu?”

Setiap pertanyaan Rasulullah dijawab oleh kaum Ansar  “Daripada Allah dan Rasulnyalah segala jasa dan pemberian”.

 Kemudian Rasulullah berkata lagi:

“Kalau kamu mau berkata kepadaku , kamu juga dapat berkata, dan kamu benar dalam perkataan kamu ini. Kamu telah datang kepada kami saat miskin, kami kayakan kamu. Kamu datang diburu kamilah yang mempertahankan kamu.”

Air mata mula berlinang di mata kaum Ansar, mereka mula terisak-isak dan tersedu sedan menangis.

Baginda menyambung:

“Apakah di dalam hati kalian masih ada hasrat terhadap sampah dunia, yang dengan sampah ini, aku ingin mengambil hati segolongan orang yang baru masuk Islam , sedangkan keislaman kalian tidak mungkin aku ragukan? Wahai kaum Ansar, adakah kalian tidak redha jika orang lain pulang dengan kambing dan unta sedangkan kalian pulang membawa Allah dan Rasulnya ke tempat kalian?”

“Demi Dzat yang jiwa Muhammad dalam genggamannya, kalau bukan kerana Hijrah, tentu aku termasuk dalam golongan Ansar. Jika manusia menempuh satu jalan di celah gunung, dan orang Ansar memilih celah gunung yang lain, tentulah aku akan memilih celah yang dilalui oleh orang Ansar. Ya Allah, sayangilah orang Ansar, anak-anak orang Ansar , dan cucu-cucu orang Ansar.”

Tangisan mereka semakin deras hingga membasahi janggut. Kaum Ansar berkata “Kami redha Allah dan Rasulnya menjadi bahagian kami dalam pembahagian ini.”

Dari sirah ini kita mempelajari beberapa perkara. Pertama, pemimpin itu mestilah mempunyai strategi dalam menguruskan pasukannya. Rasulullah tahu bahawa setiap ahlinya tidak sama. Ada ahlinya yang perlu digerakkan dengan memberi mereka hadiah dan pemberian. Inilah yang dilakukan kepada golongan yang baru memeluk Islam yang mana imannya belum benar-benar mantap. Ada juga ahli yang hanya memerlukan pujukan dan diberikan keyakinan kerana iman mereka telah mantap, seperti kaum Ansar.

Kedua, kita melihat bagaimana Rasulullah menghargai dan mengiktiraf sahabat-sahabat Ansar. Rasulullah faham bahawa iman mereka telah teguh, dengan mengiktiraf sumbangan mereka, hati mereka menjadi lebih teguh untuk berjuang. Ketiga, kita melihat bagaimana Rasulullah mempunyai kredibiliti. Baginda bukan hanya menyuruh orang berjuang tetapi turut sama berjuang, kredibiliti ini membolehkan para sahabat meyakini kata-katanya tanpa perlu diberikan harta atau kekayaan. Di sini kita juga melihat bagaimana Rasulullah bukan sahaja memimpin tetapi membina manusia dengan tarbiyah sehingga mereka mampu berkorban melebihi orang lain.

Penutup

Selepas kewafatan Rasulullah, kita melihat sejarah umat Islam berkembang. Ada ketikanya umat ini mendapat pemimpin yang baik, ada juga ketikanya umat ini mendapat pemimpin yang buruk. Naik turun sejarah umat ini akhirnya menyampaikan kita pada zaman kini di mana tanah-tanah umat Islam telah dipecahkan dan dibahagikan dalam sempadan negara bangsa yang dilukis oleh tangan-tangan kaum kolonialis. Firas Alkhateeb menulis bahawa kita sekarang berada di persimpangan jalan, di mana umat Islam berpecah di hujung sejarah ini dan mencari-cari kaedah bagaimana mereka mahu meneruskan sejarah ini.[8]

Maka di sinilah lahirnya keperluan kita untuk mengkaji semula sirah Rasulullah agar kita dapat belajar dari pemimpin yang paling hebat di dunia. Seperti di Hunain, kita hari ini memerlukan pemimpin yang mempunyai kredibiliti, yang mampu menyatukan semula umat yang berpecah dan berada dalam keadaan yang kucar-kacir. Harapannya, dengan memahami ciri dan corak kepimpinan Rasulullah salla-Allah alaihi wasallam kita mampu melahirkan pemimpin-pemimpin yang berkualiti untuk membawa umat ini kepada masa depan yang lebih gemilang.

Bibliografi

Al-Banna, Hasan. n.d. Majmu’ah Rasail.

Alkhateeb, Firas. 2014. Lost Islamic History: Reclaiming Muslim Civilisation from the Past. Hurst.

Awadi, Hesham. 2018. Children Around the Prophet: How Muhammad Raised the Young Companions. CreateSpace Independent Publishing Platform.

Fillah, Salim A. 2010. Dalam Dekapan Ukhuwah. Pro-U Media.

Sayyid Abul A’la Maududi. 1978. Islamic Movement Pre-Requisites for Success. Aligarh, India: Cresent Publishing Co.

Suwaidan, Tareq. 2014. “Leadership From An Islamic Perspective.” Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Malaysia. October 16. Accessed September 23, 2023. https://www.youtube.com/watch?v=5Y9-Qe5WN_4.

Syed Ahmad Fathi. 2022. “Catatan Baitul Muslim 56: Anak-Anak di Sekeliling Nabi.” Meniti Jambatan Masa. July 24. Accessed September 23, 2023. https://bersamakepuncak.blogspot.com/2022/07/catatan-baitul-muslim-56-anak-anak-di.html .

—. 2014. “Dalam Dekapan Ukhuwwah.” Meniti Jambatan Masa. January 31. Accessed September 24, 2023. https://bersamakepuncak.blogspot.com/2014/01/dalam-dekapan-ukhuwwah.html.


[1] Tareq Al-Suwaidan. Leadership From An Islamic Perspective. Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Malaysia, 16 Oktober 2014. Recording link: https://www.youtube.com/watch?v=5Y9-Qe5WN_4

[2] Hassan Al-Banna. Majmu’ah Rasail.

[3] Sayyid Abul A’la Maududi. Islamic Movement Pre-Requisites for Succes. Cresent Publishing Co, Aligarh, India, 1978. Hlm 17-18.

[4] Hesham Al-Awadi. Children Around the Prophet: How Muhammad Raised the Young Companions. CreateSpace Independent Publishing Platform, 2018.

[5] Syed Ahmad Fathi. Catatan Baitul Muslim 56: Anak-Anak di Sekeliling Nabi. Meniti Jambatan Masa, 24 Julai 2022. Pautan: https://bersamakepuncak.blogspot.com/2022/07/catatan-baitul-muslim-56-anak-anak-di.html

[6] Syed Ahmad Fathi. Dalam Dekapan Ukhuwwah. Meniti Jambatan Masa, 31 Januari 2014. Pautan: https://bersamakepuncak.blogspot.com/2014/01/dalam-dekapan-ukhuwwah.html

[7] Salim A. Fillah. Dalam Dekapan Ukhuwah. Pro-U Media, 2010.

[8] Firas Alkhateeb. Lost Islamic History: Reclaiming Muslim Civilisation from the Past. Hurst, 2014.

Memahami-Ciri-dan-Corak-Kepimpinan-Nabi-Muhammad-salla-Allah-alaihi-wasallamDownload
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana Tagged With: Kepimpinan, Rasulullah, Sirah

Mahasiswa & Universiti: Mengkritik Idealisme Mahasiswa

September 13, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Penulisan ini merupakan kupasan, penelitian, hadaman, dan kritikan terhadap naskah buku yang bertajuk Mahasiswa & Universiti suntingan Usaid Asmadi, Ilham Nordin, Nazurah Mansor, dan Nurfathihah Hafiz Chan terbitan The Garaj Buku pada tahun 2023. Buku ini diberikan kata pengantar oleh Prof Madya Dr Zulkifli Hasan. Penulisan ini cuba memperhalusi idea dan gagasan yang dibawa dalam buku ini melalui lensa yang lebih kritikal disamping cuba mengkritik gaya penulisan yang diketengahkan di dalam setiap artikel yang dihimpunkan dalam buku ini. Pengajaran dan dapatan yang baik dari naskah ini turut dibahaskan dalam rangka untuk melihat permasalahan yang dibawa dengan lebih mendalam. Akhir sekali, penulis menggariskan pandangannya di bahagian penutup perihal idealisme mahasiswa dan apa yang diperlukan selepasnya.

Pendahuluan

Oleh kerana tajuk penulisan ini kedengaran agak pesimis atau boleh ditafsir sebagai antogonistik, maka saya ingin memulakannya dengan sebuah pendahuluan yang lebih optimistik dan positif. Mahasiswa sering dikaitkan dengan sebuah idealisme, dan sering kali mereka dikatakan sebagai naif dan melihat dunia dalam lensa utopia. Mereka merasakan bahawa mereka mempunyai idea yang besar untuk mengubah dunia sedangkan mereka langsung tidak pernah mempunyai pengalaman langsung bergelumang dalam dunia praxis. Eric Hobsbawm, seorang sarjana sejarah terkenal pernah ditanya tentang peranan golongan fanatik dalam menganjurkan perubahan dalam dunia.

Hobsbawm tidak mencela mereka yang fanatik terhadap sesebuah idea, beliau menerangkan bahawa hanya mereka yang percaya dengan jitu dengan sepenuh perasaan terhadap sesuatu idea dapat membawa perubahan, tanpa mereka ini, tiada perubahan dapat berlaku. Dan beliau kemudian memberikan contoh yang spesifik bagi mahasiswa yang mana saya mahu petik secara verbatim.

“There is enormous things you can say against students, but they are people who believe that things can be done in the world, the world can be change, if people don’t believe it when they are young, then there’s not much hope”.[1]

Dari kata-kata Hobsbawm ini dapatlah kita fahami bahawa mahasiswa itu sememangnya mempunyai kuasa perubah dalam masyarakat andai mereka benar-benar percaya dan fanatik terhadap idealisme mereka. Namun, ini tidaklah bermakna idea-idea itu seharusnya dibiar bersifat utopia dan tidak praktikal, ia mestilah dikritik, diperhalusi, dan cuba dibumikan. Mengambil semangat ini, penulisan ini cuba untuk memperhalusi makalah Mahasiswa & Universiti ini.

Kematian universiti bukanlah kematian ilmu

Dalam kata pengantarnya, Zulkifli Hasan ada memetik penulisan Peter Fleming yang mengatakan kemungkinan universiti tidak akan relevan lagi di masa hadapan.[2] Saya kira perkara ini sedang berlaku, atau dalam kata lain, kita sudah berada di masa hadapan. Kita melihat hari ini perubahan teknologi menjadikan pengajian dan pembelajaran itu didemokrasikan sehingga kemahiran-kemahiran tinggi dapat dikuasai oleh manusia tanpa perlu dia memasuki gerbang universiti. Jika seseorang itu hanya mahu mengejar kekayaan, teknologi yang ada pada hari ini, dengan bentuk-bentuk ekonomi baharu, membolehkan setiap orang masuk ke pasaran kerja dan pasaran perniagaan tanpa perlu mereka mendapatkan sehelai sijil dari universiti. Universiti juga sering dilihat sebagai tempat manusia membuat hutang pertama, di mana pelajar terikat dengan hutang untuk membayar yuran pengajian. Ini menyebabkan mereka telah dibebani hutang sebelum mereka masuk ke pasaran kerja. Namun, bagi mereka yang tidak masuk ke universiti, mereka dapat terus bekerja tanpa terikat dengan hutang.

Namun saya kira ada satu perkara yang lebih penting dari petikan Fleming oleh Zulkifli Hasan. Iaitu seolah-olah kematian universiti bermakna ia juga membawa kepada kematian ilmu, walaupun kenyataan ini tidaklah disebut secara eksplisit. Saya berpandangan, jika pun universiti itu mati dan menjadi tidak relevan, ia tidak menjejaskan ilmu. Keilmuan boleh terus tumbuh segar tanpa memerlukan universiti. Ilmu bukanlah kata sinonim bagi universiti, dan ilmu tidak memerlukan universiti, ia boleh tumbuh dengan sendiri dan merdeka. Kita lihat dalam sejarah peradaban manusia, ilmu itu telah berkembang sekian lama, universiti adalah institusi yang datang kemudian. Malah saya berpandangan, dalam sesetengah bidang ilmu, universiti menjadi institusi yang mengongkong perkembangan ilmu. Seperti yang diperkatakan oleh Rupert Sheldrake tentang bagaimana institusi formal seperti universiti membelenggu sains dengan dogma.[3] Bukan agama sahaja yang boleh menjadi dogmatik. Menurut Sheldrake yang merupakan seorang saintis yang tidak kurang hebatnya, sains juga boleh menjadi dogmatik, memberikan kita aksiom-aksiom yang diterima secara buta tanpa pertanyaan dan persoalan.[4]

Apakah yang dimaksudkan dengan ruang ketiga?

Saya pada asalnya tidak mengetahui apa itu ruang ketiga. Tidak begitu jelas ia dinisbahkan terhadap apa. Sehinggalah saya membaca tulisan Sofiya Tamizi yang menerangkan akan hal ini. Menurut Sofiya, ruang pertama adalah ruang politik dan pembuat dasar juga polisi. Ruang kedua adalah ruang perniagaan dan industri yang mengutamakan keuntungan. Ruang ketiga adalah ruang awam yang bebas dari pengaruh kekuasaan dari sudut politik atau pun ekonomi.[5] Dalam kata lain, ia adalah ruang wacana umum yang bebas.

Selain pendefinisian ruang ketiga, penulisan Sofiya dalam naskhah ini juga ada beberapa perkara yang menarik. Seperti nukilan beliau dari buku tulisan Jaroslav Pelikan, The Idea of the University.[6] Ia membuatkan saya teringat akan buku Pelikan yang saya baca pada satu ketika dahulu yang bertajuk Whose Bible Is It?[7] Apabila kita terjumpa penulisan yang membicarakan penulis yang sama yang pernah kita baca, walaupun buku yang berbeza, membuatkan kita mempunyai satu rasa keterikatan. Juga timbul perasaan bahawa sebenarnya dunia ini kecil dan kita punya banyak persamaan. Sofiya juga menekankan bahawa tugas universiti bukan sekadar menghasilkan ilmu. Tetapi juga yang penting adalah memastikan ilmu yang dihasilkan itu bermanfaat untuk masyarakat.[8]

Pengalaman pertama membaca tulisan Azhar Ibrahim Alwee

Sebelum membaca buku Mahasiswa & Universiti ini, saya pernah mendengar nama Azhar Ibrahim melalui wacana-wacananya dan juga pernah melihat buku-buku yang dikarangnya. Namun saya belum pernah membaca karangannya sendiri secara teliti. Artikel dalam buku ini merupakan karangan pertamanya yang saya baca. Saya merasakan tulisan beliau sangat tidak menarik dalam buku ini. Terutamanya dari segi struktur, kerana setiap gagasannya tidak diolah dengan baik dan mendalam, sebaliknya disenaraikan dalam bentuk poin-poin yang sangat membosankan dan mengecewakan. Ia umpama kumpulan isi-isi, fakta-fakta buku teks yang tidak berjiwa dan benyawa. Selain Azhar, saya mendapati, esei tulisan Ahalla Tsauro juga sangat susah dibaca disebabkan gaya penulisan bahasa beliau.[9] Namun mungkin yang lebih penting untuk kita bahas dan perhatikan adalah isi penulisannya.

Ada isi yang dibawakan oleh Azhar Ibrahim yang saya kira merupakan satu perenungan yang wajar diberi perhatian oleh pihak universiti. Seperti permasalahan perkaitan industri dan akademik, yang seolah-olah menyempitkan ruang ilmu.[10] Ilmu yang tidak dapat digunakan untuk menggandakan keuntungan industri tidak diberi keutamaan, lebih malang, ia kadang dianggap sebagai ilmu yang tidak berguna. Menurut Azhar Ibrahim, kita tidak seharusnya pasrah akan hal ini. Kita tidak wajar menerimanya tanpa soal, ia bukanlah satu ketetapan, tetapi merupakan sesuatu yang boleh kita ubah.

Azhar juga ada memetik kata-kata sarjana kegemaran saya iaitu Howard Zinn. Buku Zinn merupakan buku yang paling awal yang saya baca yang memasukkan tema perjuangan kelas bawahan dalam penulisan sejarah. Zinn mengubah pandangan saya perihal sejarah, sejarah bukan hanya patut berlegar dalam kelompok elit, tetapi membawa suara-suara golongan yang tertindas.[11] Azhar memetik kata-kata Zinn:

“A truly free university would not celebrate obedience, for obedience is what has enabled governments to send young men by millions to die in war. It would celebrate resistance and disobedience..” [12]

Ya, kata-kata Zinn ini ada benarnya. Namun saya kira Zinn memberi contoh yang spesifik, iaitu kerajaan yang bertindak kejam dan menghantar anak-anak muda untuk mati di medan perang. Oleh itu “ketaatan” yang patut ditinggalkan oleh universiti adalah pada polisi-polisi yang destruktif. Namun pada hal-hal kebaikan, ketaatan bukanlah satu masalah. Kerana bagi saya, ketaatan adalah perkara asas kepada kerjasama manusia dalam membina organisasi dan hiraki yang kompleks. Universiti sendiri sebagai contoh, tidak mampu wujud jika semua warganya tidak taat dan masing-masing bergaduh untuk memenangkan idea-idea mereka sendiri. Ia perlu kepada toleransi, persefahaman dan ketaatan dalam menggerakkan satu idea secara bersama. Dalam hal ini, menjadi taat bukanlah sinonim menjadi “tidak kritis”, tetapi adalah satu cara untuk kita menggerakkan apa yang kita rasa baik dalam masyarakat.

Saya juga meminati idea Azhar Ibrahim bahawa gerakan aktivis mahasiswa patut menjadi gerakan budaya (gerakan kultural), bukan cenderung menjadi gerakan politik yang mencari kuasa.[13] Kerana saya melihat banyak aktivis-aktivis gerakan mahasiswa yang memasuki arena politik terus membuang idealisme yang sebelum ini mereka perjuangkan. Ia dijustifikasikan dengan pelbagai istilah seperti realpolitik, seni siasah, dan lain-lain. Contohnya selepas Pilihanraya Negeri 2023, ada ahli politik bekas aktivis mahasiswa menyatakan bahawa peruntukan perlu diberikan secara selektif hanya kepada kawasan-kawasan yang memberi undi sokongan pada mereka dan mengabaikan wakil rakyat lawan yang memenangi undi.[14] Perkara ini jelas berlawanan dengan idealisme dan kita melihat bagaimana gerakan yang mempunyai motif politik akhirnya mereput menjadi apparatus kepada politik bobrok. Namun tidaklah kita beranggapan bahawa politik itu kotor, politik itu sebenarnya neutral, yang kotor adalah bekas aktivis yang membakulsampahkan idealisme mereka sendiri.

Namun ada juga seruan-seruan yang dibawakan Azhar kedengaran terlalu umum. Contohnya untuk menghasilkan budaya dan pemikiran baharu yang lebih sesuai dengan pergerakan zaman dan cabarannya. Saya merasakan seruan seperti ini terlalu umum hingga kadangkala ia dirasakan seperti tidak bermakna. Kata orang putih “the devil is in the details”, tanpa perincian perihal bentuk budaya dan pemikiran yang bagaimana yang hendak dibawa, poin-poin yang disenaraikan ini seperti sekadar mahu menambah bilangan huruf dalam karangan yang akhirnya menjadi slogan kosong.

Azhar Ibrahim turut mengkritik aktivis yang baginya “menderu semboyan Islam” sedang diagnosis tentang masalah masyarakat tidak pernah dirungkai.[15] Tulisan seperti ini juga terlalu umum dan tidak dibuktikan, sekadar pernyataan sahaja. Hakikatnya jika kita melihat masyarakat Malaysia, banyak perubahan yang telah lahir yang semuanya bermula dengan seruan untuk kembali kepada Islam. Hal ini dilihat dalam segenap segi masyarakat, perubahan digerakkan oleh gerakan Islam yang pelbagai. Ada yang melakukan islah dalam pendidikan, ekonomi, sosial, politik dan lain-lain. Semua ini mudah diketepikan jika kita mengambil penulisan yang simplistik dan umum. Kita ambil contoh paling ringkas sahaja iaitu institusi zakat, hari ini kita melihat institusi zakat banyak membantu golongan yang terkebelakang dalam bidang ekonomi melalui bantuan biasiswa pendidikan, bantuan makanan asas, juga modal bagi memulakan perniagaan.[16] Ini baru satu contoh yang kita bicarakan, belum lagi beratus-ratus sekolah yang didirikan oleh gerakan Islam bagi menaik taraf pendidikan masyarakat. Jadi apa sebenarnya diagnosis yang Azhar Ibrahim tawarkan? Apakah pula sumbangan material dan praktis yang pernah gerakannya berikan pada masyarakat? Adakah ia hanya terhenti pada wacana dan penulisan?

Selain itu, bagi Azhar Ibrahim, epistemologi Islam dan sistem Islam adalah pemikiran yang rancu dan menggagalkan kejernihan fikir.[17] Hal ini agak ironik, kerana dalam naskah yang sama, banyak penulis-penulis lain membawakan gagasan fikir epistemologi Islam. Contohnya Sofiya Tamizi yang memetik epistemologi Islam dari pemikiran Siddiq Fadzil yang mengatakan bahawa maksud ilmu adalah al-haqaiq, di mana bagi ilmuan tulen, menemui kebenaran adalah kepuasan paling berharga.[18] Tetapi untuk berlaku adil, saya merasakan setiap penulis itu perlu difahami dengan tulisannya yang tersendiri, dan tidak boleh dicampurkan dengan penulisan penulis lain walaupun penulisan mereka dikumpul dalam naskah yang sama. Persis apa yang sering dikatakan oleh Bart Ehrman perihal Kitab Perjanjian Baru yang merupakan antologi penulisan oleh banyak penulis.[19] Bagi saya, sekali lagi, kenyataan Azhar ini hanya kenyataan kosong, tidak diberikan bukti atau diterangkan bagaimana kajian perihal epistemologi Islam itu membuatkan pemikiran menjadi rancu dalam membaiki masalah masyarakat.

Mungkin antara solusi dan cadangan yang dapat saya tangkap melalui esei Azhar Ibrahim adalah dengan membangunkan masyarakat dan manusia yang demokratik, beliau menyentuh bagaimana demokrasi seharusnya dikembangkan melalui bidang pendidikan.[20] Perkaitan antara demokrasi dan pendidikan ini bukanlah sesuatu yang baharu. Dalam makalah ini misalnya, Sofiya Tamizi juga ada memetik bahawa dalam memasyarakatkan universiti, budaya pendemokrasian ilmu perlu dibudayakan.[21] Saya sendiri ada menulis perihal bagaimana intelektual itu sendiri perlu didemokrasikan, atau dalam kata lain, masyarakat dibenarkan berfikir sendiri dan bukan hanya menerima dan menyerap apa yang diperturunkan kepada mereka dari pakar-pakar dan intelektual yang ada.[22] Tetapi saya berpandangan, ada masalah-masalah dalam masyarakat yang tidak dapat diselesaikan oleh sistem demokrasi, demokrasi bukan the cure for all. Sesetengah orang, saya fikir, mereka malas berfikir, bagi setiap masalah, bagi mereka penyelesaiannya adalah lebih banyak demokrasi. Hal ini ada diperbahaskan oleh Fareed Zakaria, malah beliau menyatakan bahawa perlunya pengurangan demokrasi dalam menyelesaikan masalah demokrasi.[23] Contoh yang paling mudah adalah institusi mahkamah, ia bukan institusi yang demokratik. tetapi dalam masyarakat ia berfungsi dengan lebih baik, malah ia lebih dihormati berbanding institusi demokratik seperti parlimen. Pembukaan sesuatu masalah kepada solusi demokratik harus dilakukan dengan berhati-hati kerana tidak semua suara majoriti adalah suara yang rasional. Sistem demokratik juga terdedah dengan pelbagai masalah seperti populisma yang boleh membawa kepada pereputan sistem politik.[24]

Wajarkah masalah keilmuan dibebankan pada pensyarah sahaja?

Benar, semuanya benar. Saya kira memang benar dan wajar kita mengkritik pensyarah yang sekadar mengejar key performance indicator (KPI) tanpa mereka membangunkan keilmuan sebenar dalam pelajar dan masyarakatnya. Seperti yang ditulis oleh Hanapi Jamaludin.[25] Contohnya kegilaan mengejar penerbitan kertas untuk naik pangkat tanpa ada sumbangan yang benar. Namun, saya merasakan kritikan seperti ini sudah terlalu banyak sampai saya merasakan ia sebenarnya menjadi seolah satu escapism bagi orang lain. Adakah semua masalah keilmuan dikalangan mahasiswa dan masyarakat harus dipikul oleh pensyarah? Tidakkah orang-orang dalam industri juga harus ada tanggungjawabnya? Mereka juga saban hari bekerja mengejar KPI, kenapa hanya pensyarah yang sering menjadi punching bag?

Saya juga mempunyai pensyarah dan kadang kala saya kasihan melihat mereka. Sudahlah mereka mengajar mahasiswa-mahasiswa yang kebanyakannya sukar diajar kerana tiada sikap mandiri, kemudian mereka perlu menyelesaikan tugas hakiki, kemudian jika mahasiswanya tiada kerja dia pula perlu bekerja “memasarkan graduan”, kemudian jika masyarakat tidak berfikiran kritis mereka juga dipersalahkan kerana kononnya ilmu yang mereka ajar tidak “membebaskan” dan “berfikiran tinggi”. Namun dalam masa yang sama saya kasihan melihat mereka perlu menanda beratus-ratus kertas pelajar dalam satu semester, kadang tidak tidur dan tidak bercuti.

Benar, semuanya benar. Saya kira mereka wajar dikritik, namun saya kira kelompongan dalam banyak penulisan yang mengkritik masalah ini adalah penawaran solusi yang praktikal. Banyaknya kritikan yang disulami terma awang-awangan namun tidak dapat di bawa ke medan praxis. Bagi saya, pertama, jika kita mahu pensyarah-pensyarah ini membebaskan orang lain, mereka dahulu perlu dibebaskan. Jika mereka digari dengan tugas yang melebihi tenaga mereka, kita fikir mereka mampu menggalas tugas-tugas lain? Kedua, bagi saya, bukan pensyarah sahaja bertanggungjawab mengkritiskan masyarakat. Kritik harus juga dinyalakan kepada pekerja-pekerja industri, jumlah mereka jauh lebih banyak dari jumlah dua tiga kerat pensyarah. Tenaga dan keupayaan mereka masih terpendam, dan seharusnya kritik harus dihalakan untuk mereka juga menyumbang.

Hanapi juga menyarankan agar “universiti harus dipisahkan daripada dibayangi komoditi industri”. Sekali lagi saya bersetuju. Kerana universiti bukan kilang, tetapi ladang ilmu yang subur. Jadi bagaimana perkara ini dapat diterjemah kepada praktis? Adakah dengan “mengulang-fikir” atau memperbetulkan falsafah pendidikan negara? Bagi saya tidak. Bagi saya, jika kita benar-benar ikhlas mahu perkara ini berlaku, kritiklah pihak media. Apabila ada suara-suara yang mengatakan bahawa universiti tidak melahirkan pekerja industri yang kompeten, jangan dikritik universiti, kerana bukan itu tugas mereka. Tugas mereka adalah menanam ilmu, menjadikan manusia kompeten dalam industri adalah tugas industri. Jangan dipersalahkan universiti jika banyak graduan yang menganggur, kerana mahasiswa tidak harus dibayangi komoditi industri. Sebaliknya salahkanlah industri yang tidak dapat menyediakan pekerjaan yang cukup buat para pekerja baharu (mahasiswa). Sebab jika kita masih sibuk menyalahkan universiti apabila sampai pada bab-bab industri, sebenarnya kitalah yang masih dibayangi komoditi industri, bukan universiti. Hal-hal pengangguran dan pekerjaan ini patut difikirkan oleh industri, manakala universiti perlu fokus menanam ilmu dalam diri pelajar.

Penyahbaratan tetapi masih memeluk sumber kolonial?

Terdapat juga artikel dalam buku ini yang bagi saya terlalu tipikal, tiada banyak penambahan atau perkembangan dari lautan wacana sedia ada, seolah ia mengulang kaji apa yang kita pernah pelajari dari buku teks sekolah. Misalnya artikel tulisan Arif Hakimi Maludin. Walaupun tulisannya banyak menyentuh aspek sejarah Islam, ia tidak disertakan dengan apa-apa rujukan. Menambahkan lagi kesangsian saya bahawa ia adalah gubahan semula bahan dari buku teks sekolah. Contohnya apabila beliau menulis bahawa orang Eropah masuk ke Tanah Melayu kerana keadaan politik tempatan yang tidak menentu.[26] Di peringkat universiti, tulisan seperti ini akan dipersoalkan kesahihannya dan juga diminta bukti rujukannya. Kerana pengkajian sejarah di universiti kini sudah memasuki fasa pasca-kolonial di mana ahli sejarah tempatan tidak mahu lagi melihat sejarah dari sudut pandang penjajah. Naratif bahawa penjajahan masuk ke tanah air kita kerana keadaan politik yang tidak stabil ini ditentang kuat oleh ahli sejarah tempatan. Contohnya Azmi Arifin yang mengatakan bahawa alasan seperti perang saudara, perebutan kuasa, dan anarki di Perak pada tahun 1871-1875 hanyalah alasan imaginatif British untuk menjustifikasikan campur tangan mereka di Perak pada abad ke-19.[27] Oleh itu saya sedikit janggal membaca buku ini yang banyak membawa slogan penyahbaratan tapi di dalamnya terdapat artikel yang masih melihat sejarah dari perspektif penjajah Barat.

Kerancuan pemikiran Ahmad Ubaidillah terutamanya dalam hal feudalisme

Kepeningan dalam proses fikir ini diteruskan dalam artikel tulisan Ahmad Ubaidillah yang mencadangkan beberapa bacaan dari tokoh-tokoh yang dibuat secara selektif, antara tokoh yang dicadangkan beliau adalah Nurcholish Madjid, Shaharuddin Maaruf, dan Syed Hussein Alatas. Dari perspektif sejarah, tulisan ini lebih pincang, kerana ia mengajak kita untuk membebaskan fikir tetapi dalam masa yang sama masih memeluk perspektif kolonial terutamanya dalam menyambung lidah para kolonialis dalam menuduh masyarakat peribumi nusantara sebagai penganut ideologi feudalisme. Walaupun ahli sejarah tempatan telah mengkaji hal ini dan terbukti bahawa feudalisme tidak wujud di nusantara, ia tidak mempunyai asas sejarah. Yang mendakwa bangsa nusantara bersifat feudal ini adalah British, kemudian dakwaan ini diperkokokkan seperti burung kakak tua oleh ahli sosiologi yang tidak mengkaji sejarah dan menerimanya secara bulat-bulat dari penulisan kolonial. Sangat janggal jika kita disuruh bersifat kritis oleh ahli-ahli sosiologi seperti ini tetapi dalam masa yang sama mereka juga mencedok idea-idea busuk kolonial dengan tidak kritikal bagi memburukkan masyarakat peribumi.

Antara ahli sejarah yang pernah mengkaji kewujudan feudalisme di nusantara adalah Cheah Boon Kheng pada tahun 1995. Cheah cuba menelusuri teks sejarah untuk mencari adakah boleh dikatakan wujud feudalisme Melayu dalam sejarah seperti yang didakwa oleh ahli-ahli sosiologi.[28] Dan jika kita membaca tulisan Cheah ini, kita akan dapati yang mencemuh, mengejek, dan mendakwa masyarakat peribumi bersifat feudal ini semuanya datang dari sumber-sumber British seperti Clifford, T.J. Newbold, John Cameron, J.F. McNair, William Maxwell, Isabella Bird, Harry Lake, Winstedt, dan Wilkinson. Dalam kata lain feudalisme Melayu itu timbul apabila orang Eropah terutamanya Inggeris mengaitkan ciri-ciri umum yang ada dalam masyarakat nusantara dengan keadaan feudal dalam masyarakat mereka dahulu. Jika Inggeris tidak datang, dan kaitan ini tidak ditulis, maka ia sama sekali tidak akan wujud. Penyambungan lidah penjajah ini turut dilakukan oleh Fauzi Fadzil apabila beliau mengulang apa yang ditulis oleh Gullick bahawa Malaysia mengamalkan sistem feudal sebelum kedatangan demokrasi.[29] Semuanya mengulang cetak lidah penjajah dari lensa yang tidak kritis.

Feudalisme tidak boleh dikaitkan dengan perkara-perkara umum dalam masyarakat kerana ia adalah satu sistem yang tersendiri. Seperti yang telah dikaji dan ditulis panjang oleh Azmi Arifin. Ia mempunyai takrifan yang spesifik, ciri-ciri, dan garis sempadannya yang tersendiri.[30] Feudalisme itu wujud dengan 4 ciri utama iaitu militerisme, hubungan vassalage, pemberian fief, dan pembahagian kuasa antara pembesar feudal. Ciri-ciri ini tidak wujud di nusantara dalam sejarahnya. Jadi, persoalan yang perlu kita tanya kepada Ahmad Ubaidillah dan penyambung lidah kolonialis bahawa orang Melayu itu bersifat feudal adalah “bagaimana satu bangsa itu boleh dituduh sebagai berfikiran feudal padahal dalam sejarahnya feudalisme itu tidak pernah wujud?”.

Saya merasa sangat janggal apabila Ubaidillah mengatakan dalam sejarah Melayu, ideologi yang memainkan peranan penting adalah feudalisme dan kapitalisme.[31] Dimanakah bukti sejarahnya? Adakah kerana Shaharuddin Maaruf menulisnya, maka tidak perlu lagi kita cari bukti sejarahnya? Jika begitu, tidak perlulah dicanangkan keperluan untuk membentuk pemikiran kritis kerana artikel yang ditulis juga hanya mencedok tanpa sifat kritikal dan tiada usaha dilakukan untuk mengkritik sumber. Contoh yang dipetik juga dalam menjustifikasikan adanya feudalisme juga sangat pelik dan langsung tidak bersejarah. Misalnya dikatakan bahawa feudalisme itu mempengaruhi masyarakat kerana golongan elit yang memilih tokoh-tokoh untuk disanjungi.[32] Apa kena mengena hal ini dengan feudalisme yang mempunyai ciri-ciri spesifik seperti militerisme, fief, vassalage, dan pembahagian kuasa pembesar? Jika kita menyamakan apa sahaja yang kita tidak suka dengan feudalisme. Maka ia tidak lebih dari sekadar istilah pejoratif yang kosong maknanya. Umpama terma “wahabi” yang dilemparkan ke sana sini dikalangan agamawan apabila mereka bertelagah. Terma “wahabi” bagi golongan sosiologi adalah “feudalisme”.

Feudalisme imaginasi kolonial ini kemudian dikatakan telah mempengaruhi agama.[33] Apakah bukti ini berlaku dalam sejarah? Tiada dinyatakan. Yang dikatakan adalah hari ini fahaman agama hanya mengutamakan adat resam dan ritual. Benarkah ini penulisan mahasiswa yang kritis dan objektif? Tidakkah dia melihat tadika dan sekolah Islam yang dibangunkan dalam mendidik anak bangsa? Bank Islam yang diwujudkan dalam memberi alternatif bagi umat? Bantuan-bantuan zakat kepada orang miskin dan asnaf yang memerlukan. Adakah ini semua bukan elemen kemasyarakatan? Atau ini juga merupakan kesan feudalisme?

Ahmad Ubaidillah kemudian memetik ciri-ciri feudalisme yang terkeliru yang digariskan oleh Shaharuddin Maaruf. Antara cirinya adalah taat setia kepada raja. Bagi saya ini bukan feudalisme tetapi monarki. Feudalisme adalah keadaan di mana kuasa mutlak raja telah hilang dan kuasa dibahagikan kepada pembesar.[34] Ciri yang kedua disebut sebagai “masyarakat yang berhierarki”, ciri ini lebih pelik kerana semua masyarakat mempunyai hierarki sama ada formal atau tidak. Masyarakat mana yang tiada hierarki? Kalau kita menggunakan ciri ini, bermaksud semua masyarakat yang wujud adalah feudal kerana semuanya mempunyai hierarki, malah jika kelas tahun 1 di sekolah melantik seorang ketua kelas, mereka juga menjadi feudal kerana mereka mempunyai hierarki. Ketiga, dikatakan feudal apabila keutamaan kepada kisah mukjizat, magis dan khayalan. Maka kalau kita mengikut logik ini, semua masyarakat purba adalah feudal walaupun mereka tidak mempunyai raja dan pembesar, sekali lagi, ciri ini terlalu umum dan membuatkan “feudalisme” itu kosong maknanya. Ciri yang keempat dan kelima yang disebut juga terlalu umum, dan mengarut untuk dikaitkan dengan feudalisme, maka tidak perlulah saya panjangkan. Jika kita memahami feudalisme dalam konteks yang cacamerba seperti ini, maka saya kira feudalisme itu tiada makna spesifik, ia hanya cacian yang dilemparkan pada benda yang tidak kita sukai.

Walaupun Ahmad Ubaidillah mengatakan bahawa beliau menulis dengan “lensa yang kritikal”, saya mendapati bahawa tidak ada apa yang kritikal yang dibawa.[35] Beliau hanya mencedok penulisan oleh Shaharuddin Maaruf dan mengambilnya tanpa rujukan silang atau kritikan sumber. Tiada usaha dilakukan untuk membuktikan dakwaan kosong yang dibuat dengan merujuk sumber-sumber sejarah. Ia sekadar menyambung lidah kolonialis dalam mencerca kaum peribumi sebagai mundur, kolot, dan feudal.

Memperhalusi kritikan terhadap dakwah kampus

Antara artikel yang ditulis dengan kemas dan mudah difahami dalam makalah ini saya kira merupakan penulisan W.N Khuzairey. Saya kira ia satu penulisan yang baik, tersusun, dan mudah difahami. Namun ada beberapa titik kritikannya yang saya tidak persetujui dan ingin saya bahaskan. Khuzairey di bahagian permulaan mengkritik bahan bacaan kelompok dakwah kampus yang berpusatkan tokoh pembaharu Islam yang baginya menolak ilmu Barat dan menolak tulisan Islam klasik.[36] Pertamanya saya merasakan mengelaskan ilmu Barat dan Islam itu sendiri mempunyai paradoksnya. Apa yang didefinisikan sebagai Barat? Konsep Barat yang terpisah dari Timur ini sebenarnya merupakan imaginasi orang Eropah.[37] Sebagai contoh, Roy Casagranda ada menyebut bahawa jika dilihat dalam pensejarahan Barat yang memulakan kisah tamadunnya di Mesir Purba dan Mesopotamia, kedua-dua lokasi ini dari sudut geografinya adalah di Timur.[38] Jadi mungkin apa yang lebih tepat adalah penolakan itu bukanlah terhadap Barat, tetapi fahaman-fahaman yang bertentangan dengan Islam terutamanya yang datang dari Eropah.

Kedua, apabila melihat contoh-contoh yang dibawakan Khuzairey perihal naskah-naskah yang perlu dibaca, beliau mencadangkan misalnya dibaca tulisan Shakib Arsalan, Ashgar Ali, Syed Hussein Alatas, yang kesemuanya bagi saya bukanlah merupakan penulis Islam klasik. Mereka adalah penulis yang saya kira kontemporari. Tapi saya kira poin kedua ini tidaklah terlalu kritikal untuk dibahaskan, kerana mungkin apa yang ditermakan sebagai “klasik” itu relatif.

Khuzairey dalam penulisannya cuba menyamakan dakwah kampus dengan sifat anti-intelektualisme, walaupun mungkin tidak secara eksplisit yang ketara, namun secara implisitnya ia membawa kepada persamaan tersebut. Juga secara implisitnya membawakan pemikiran seperti golongan yang berdakwah di kampus ini tidak berfikir. Beliau membawakan tulisan Hussein Alatas yang menyatakan bahawa semangat berfikir merupakan syarat utama bagi masyarakat mendepani cabaran kini dan masa depan.[39] Saya merasakan adalah menjadi masalah jika kita merasakan bahawa hanya orang-orang di kem ideologi kita sahaja yang berfikir. Bagi saya pemikiran seperti ini sempit dan simplistik. Ia merupakan generalisasi besar yang terlalu umum. Walhal, jika kita melihat kepada tokoh-tokoh yang lahir sepanjang zaman di negara kita, baik dalam bidang pendidikan, sosial, akademik, dan politik, ramai yang merupakan keluaran produk dakwah kampus pada satu ketika dahulu.

Terdapat juga beberapa falasi yang digunakan dalam tulisan Khuzairey. Contohnya ketika beliau memetik tulisan Chandra Muzaffar yang mengatakan bahawa para alim lebih menumpukan persoalan hijab wanita berbanding keperluan pemimpin untuk berlaku amanah.[40] Ini merupakan falasi red herring, menyamakan dua benda yang tidak ada kena mengena antara satu sama lain. Mungkin Chandra tidak suka kepada persoalan hijab, jadi beliau bertanya kenapa tidak bercakap perihal soal amanah? Jika kita mengikut cara ini, kita tidak dapat bercakap perihal apa-apa isu. Contohnya jika kita bercakap tentang isu pendidikan bagi sesuatu kaum yang terpinggir, seseorang boleh datang dan berkata “kenapa kamu berdiam diri tentang isu kelaparan kanak-kanak di Afrika?”. Dengan itu kita tidak dapat berkata apa-apa kerana pasti ada isu lain yang dibangkitkan, hal ini kerana tidak mungkin kita mampu memperjuangkan semua isu. Hakikatnya masa dan tenaga setiap manusia terbatas dan finite. Jika kita mahu memperjuangkan isu sifat amanah pemimpin, maka kita harus memperjuangkannya tanpa perlu menyuruh orang lain diam akan isu lain yang menjadi perhatian mereka.

Selain Khuzairey, Ahalla Tsauro juga ada menulis perihal aktivisme Islam yang saya kira tersasar dari realiti sebenar. Tsauro cuba membawakan naratif bahawa kelahiran gerakan Islam adalah kerana “kegagalan projek modenisasi neoliberal”.[41] Saya kira naratif ini bersifat reduktif dan tidak mengambil kira perkembangan zaman dan sejarah. Ia cuba menyesuaikan satu realiti yang kompleks ke dalam sebuah kotak sempit pemikiran Marxis. Hakikatnya gerakan dan aktivisme Islam adalah produk sejarah, mungkin projek modenisasi neoliberal adalah sebahagian dari faktornya, namun saya merasakan ia bukanlah faktor utama yang melahirkan gerakan ini. Faktor yang lebih besar adalah keruntuhan sistem politik Islam, penjajahan kuasa kolonial dan imperial terhadap tanah-tanah masyarakat Islam serta kemunduran yang datang dengannya.

Isu dan permasalahan kepimpinan pelajar di universiti tempatan

Jika naskah Mahasiswa & Universiti ini mempunyai sumbangan dalam penghasilan analisa tentang isu-isu yang baru dan segar, saya kira ia adalah hasil penulisan Fauzi Fadzil dan Khairunnisa’ Jamal. Bagi saya penulisan yang paling menarik dalam naskah ini adalah penulisan Khairunnisa’, ianya lebih bermutu jika dibandingkan dengan tulisan Azhar Ibrahim. Walaupun rujukan Khairunnisa’ tidak begitu meluas, namun beliau berjaya menghidupkan isu yang hendak dibawa dalam penulisannya, olahan dan hujahnya masuk akal dan diterangkan dengan bahasa yang dapat difahami. Khairunnisa’ juga tidak sibuk menyumbat penulisannya dengan jargonisme untuk kelihatan seperti intelektualisme.

Saya tertarik dengan perbincangan Fauzi Fadzil perihal punca kuasa dan peranan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Ketidakwujudan pengiktirafan terhadap MPP dan pilihanraya kampus (PRK) dalam akta yang digubal kerajaan bagi Fauzi merendahkan status MPP setaraf kelab kompang.[42] PRK juga boleh tidak diadakan jika dikehendaki oleh pentadbiran universiti kerana ia tidak dijamin di dalam akta. Fauzi juga memberikan beberapa cadangan bagi memperkasakan MPP seperti pemanjangan tempoh perkhidmatan dari setahun ke dua tahun juga perlepasan pengajian dan pengurangan jam kredit bagi mereka yang berkhidmat dalam MPP.[43]

Ada juga penulisan Fauzi yang saya kira bercanggah dengan penulisannya sendiri. Contohnya pada satu perenggan beliau mengatakan bahawa idea politik baru tidak pernah dicirikan oleh Saifuddin Abdullah.[44] Namun di perenggan seterusnya beliau menulis bagaimana Saifuddin mengupas idea politik baru.[45] Apabila Fauzi menulis bahawa suara rakyat dinafikan apabila Pakatan Rakyat gagal menubuhkan kerajaan apabila mendapat undi popular, saya merasakan beliau keliru perihal hak dan tidak memahami sistem pilihanraya di Malaysia dengan baik.[46] Sistem kita tidak menggunakan asas undi popular bagi mendirikan kerajaan, tetapi menggunakan kaedah di mana sesuatu blok yang mempunyai sokongan ahli parlimen yang paling ramaindapat membentuk kerajaan. Kesilapan pada perkara asas seperti ini membuatkan penulisannya kelihatan bercelaru.

Khairunnisa’ Jamal pula membawakan persoalan pengaruh parti politik dalam gerakan mahasiswa. Perkara ini membawa kepada krisis identiti, adakah mahasiswa ini menjadi wakil parti untuk berkhidmat bagi mahasiswa atau wakil mahasiswa yang berkhidmat untuk parti? Kekeliruan ini amat bahaya menurut beliau, kerana ia boleh menggagalkan matlamat pergerakan mahasiswa.[47] Kegagalan ini dapat kita lihat apabila mahasiswa ini bergraduasi, kebanyakannya gagal menjadi ejen perubah dalam masyarakat. Khairunnisa’ mempersoalkan kemungkinan ini merupakan kesan dari pengenalan akta seperti AUKU, namun saya merasakan AUKU bukanlah faktor yang dominan dan utama.[48]

Beliau turut mempersoalkan pemilihan ideologi politik dalam kalangan aktivis yang sesetengahnya menurutnya tidak sesuai di bawa di peringkat mahasiswa.[49] Saya sangat bersetuju akan hal ini, inilah yang saya sebutkan dalam Lalang di Lautan Ideologi, bahawa kita patutnya memilih kebenaran melebihi kecenderungan ideologi.[50] Hal ini menjadi lebih penting bagi mahasiswa yang sepatutnya bersifat objektif kerana mereka adalah pencari ilmu, ilmu perlu dinilai dengan merit kebenaran, bukan merit ideologi. Saya juga bersetuju dengan pandangan Khairunnisa’ bahawa meletakkan identiti parti sebagai identiti gerakan mahasiswa adalah mengarut.[51]

Penutup

Dalam tulisan ini, saya telah mengkritik dan membahaskan dengan panjang tulisan-tulisan di dalam buku Mahasiswa & Universiti. Maka di bahagian penutup ini, saya ingin mengutarakan pandangan saya sendiri perihal persoalan mahasiswa dan universiti. Pertamanya perihal pengasingan mahasiswa sebagai kelas tersendiri seperti yang ditulis oleh Khairunnisa’ Jamal. Mahasiswa berada dalam kelas tersendiri menurut beliau kerana mereka lebih mudah mendapat akses kepada ilmu juga mempunyai bimbingan dari cendiakawan akademik.[52] Saya merasakan pengasingan mahasiswa sebagai kelas tersendiri dari masyarakat adalah perbuatan syok sendiri. Pertama, kerana akses pada ilmu dan ahli akademik di zaman teknologi ini sudah tidak dapat dipagari hanya di dalam kampus. Sesiapa sahaja boleh belajar tentang apa sahaja yang dia mahukan. Kedua, saya merasakan universiti itu sendiri adalah produk masyarakat, ia dibangunkan oleh masyarakat dan dibiyai oleh masyarakat. Berada di dalam universiti tidak bermaksud seseorang itu terpisah dari masyarakat, hakikatnya universiti itu sendiri adalah satu komponen dalam masyarakat.

Kemudian, saya ingin memberikan pandangan saya perihal idealisme mahasiswa. Saya merasakan idealisme tidak mampu mengubah apa-apa. Idealisme mirip dengan apa yang dikatakan oleh Marx perihal sejarah. Ia tidak mempunyai pemilikan, tidak boleh melawan apa-apa, tetapi manusia, manusia sebenar yang hidup, merekalah yang memiliki dan mampu melawan.[53] Dan idealisme seorang manusia sahaja tidak dapat mengubah keadaan, ia memerlukan gerakan yang tersusun. Sebab itu saya tidak merasakan bahawa solusi untuk menyelesaikan masalah masyarakat adalah hanya dengan mengadakan lebih banyak wacana kritis, tetapi jika seseorang itu serius perihal perubahan yang hendak dia laksanakan, maka dia harus berorganisasi. Sebuah organisasi tidak dapat dijayakan tanpa kesatuan. Ibnu Khaldun pernah menulis perihal apa yang menyatukan manusia. Bukan. Yang menyatukan manusia bukan idealisme. Tetapi yang menyatukan manusia adalah perkongsian pengalaman sosial, persahabatan yang bertaut sekian lama, membesar dan mendewasa bersama, juga perkongsian keadaan kehidupan dan kematian bersama.[54] Dalam kata lain, yang lebih penting dari idealisme dalam mengubah masyarakat adalah teman-teman seperjuangan yang berkongsi hidup dan pengalaman dengan kita. Organisasi yang didirikan mestilah bernafas panjang, bukan terhenti dalam suasana kampus yang singkat. Jika ini tidak dilakukan, wacana-wacana ini, yang hanya melahirkan wacana-wacana juga selepasnya, hanyalah pengumpulan idea-idea yang disalin di dalam kertas. Dan kertas-kertas yang tidak mengubah masyarakat sebenarnya adalah hasil daripada satu idealisme yang sia-sia.

Bibliografi

Ayman Rashdan Wong. 2021. Politik Untuk Pemula. Patriots Publishing.

Azmi Arifin. 2006. ” Konsep feudalisme: Takrif, Ciri-ciri dan garis sempadan.” Jebat 33, 45-72.

Azmi Arifin. 2012. “Perak Disturbances 1871-75: British Colonialism, The Chinese Secret Societies And The Malay Rulers.” Jebat 39, no. 1 51.

Cheah Boon Kheng. 1995. “Feudalisme Melayu: Ciri-Ciri Dan Pensejarahannya.” In Isu-Isu Pensejarahan (Esei Penghargaan Kepada Dr R. Suntharalingam), by Cheah Boon Kheng and Abu Talib Ahmad, 1-24. Pulau Pinang: Penerbit USM.

Ehrman, Bart D. 2007. Misquoting Jesus: The Story Behind Who Changed the Bible and Why. HarperOne.

Hobsbawm, Eric, interview by Christopher Hitchens. 2003. Eric Hobsbawm talks to Christopher Hitchens at Hay Festival 2003 (May 25).

Ibn Khaldun, Franz Rosenthal (Translator), N. J. Dawood (Editor), and Bruce B. Lawrence (Introduction). 2015. The Muqaddimah: An Introduction to History, The Classic Islamic History of the World. Princeton Classics.

Lembaga Zakat Selangor (MAIS). 2020. “Laporan Pengurusan Zakat Selangor .”

Pelikan, Jaroslav. 2006. Whose Bible Is It? A Short History of the Scriptures. Penguin Books.

Sheldrake, Rupert. 1993. “The Most Heretical Scientist of Our Time.” BBC. https://www.youtube.com/watch?v=KonRvVqLdfs.

—. 2013. The Science Delusion. London: Coronet.

Syed Ahmad Fathi. 2018. “A review on Howard Zinn’s People’s History of The United States.” The Independent Insight.

—. 2023. “Catatan Pra & Pasca Pilihanraya Negeri 2023.” Independent Insight. August 19. Accessed September 3, 2023. https://theindependentinsight.com/2023/08/19/catatan-pra-pasca-pilihanraya-negeri-2023/.

—. 2023. “Historiografi Astronomi: Paradoks Dalam Pensejarahan Tamadun Barat.” Academia Book Review.

—. 2022. Lalang di Lautan Ideologi. Cukong Press.

Syed Ahmad Fathi. 2023. “Pemikiran Sejarah Edward Carr.” Nota Pemikir Sejarah.

Usaid Asmadi, Ilham Nordin, Nazurah Mansor, and Nurfathihah Hafiz Chan. 2023. Mahasiswa & Universiti. Nilai, Negeri Sembilan: Garaj Buku.

Zakaria, Fareed. 2004. The Future of Freedom: Illiberal Democracy at Home and Abroad. W. W. Norton & Company.


[1] Eric Hobsbawm talks to Christopher Hitchens. Hay Festival, 2003. Pautan rakaman temuramah: https://www.youtube.com/watch?v=PFTq9pz_hFM&t=1s

[2] Usaid Asmadi, Ilham Nordin, Nazurah Mansor, and Nurfathihah Hafiz Chan. Mahasiswa & Universiti. The Garaj Buku, 2023. Hlm. 17.

[3] “A new era, in which science could be liberated from the restrictions imposed by institutional conformity” Rupert Sheldrake in the documentary titled Rupert Sheldrake: The Most Heretical Scientist of Our Time. BBC, 1993.

[4] Rupert Sheldrake. The Science Delusion. Coronet, 2013.

[5] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 54.

[6] Ibid., Hlm. 57.

[7] Jaroslav Pelikan. Whose Bible Is It? A Short History of the Scriptures. Penguin Books, 2006.

[8] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 61.

[9] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 181.

[10] Ibid., Hlm. 25.

[11] Syed Ahmad Fathi. “A Review on Howard Zinn’s People’s History of The United States.” The Independent Insight, 2018.

[12] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 34.

[13] Ibid., Hlm. 38.

[14] Syed Ahmad Fathi. Catatan Pra & Pasca Pilihanraya Negeri 2023. Independent Insight, 19 Ogos 2023. Pautan: https://theindependentinsight.com/2023/08/19/catatan-pra-pasca-pilihanraya-negeri-2023/

[15] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 32.

[16] Laporan Pengurusan Zakat Selangor 2020. Pautan: https://www.zakatselangor.com.my/wp-content/uploads/2022/07/LZS-Report-2020-FINAL.pdf

[17] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 37.

[18] Ibid., Hlm. 64.

[19] Bart D. Ehrman. Misquoting Jesus: TheStory Behind Who Changed the Bible and Why. Harper One, 2007.

[20] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 42.

[21] Ibid., Hlm. 66.

[22] Syed Ahmad Fathi. Lalang di Lautan Ideologi. Cukong Press, 2022.

[23] Fareed Zakaria. The Future of Freedom: Illiberal Democracy at Home and Abroad. W. W. Norton & Company, 2004.

[24] Ayman Rashdan Wong. Politik Untuk Pemula. Patriots Publishing, 2021.

[25] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 83.

[26] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 98.

[27] Arifin, Azmi. “Perak Disturbances 1871-75: British Colonialism, The Chinese Secret Societies And The Malay Rulers.” Jebat 39, no. 1 (2012): 51.

[28] Cheah Boon Kheng. (1995). Feudalisme Melayu: Ciri-Ciri Dan Pensejarahannya. In Cheah Boon Kheng, & Abu Talib Ahmad, Isu-Isu Pensejarahan (Esei Penghargaan Kepada Dr R. Suntharalingam) (pp. 1-24). Pulau Pinang: Penerbit USM.

[29] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 202.

[30] Azmi Arifin. “Konsep feudalisme: Takrif, Ciri-ciri dan garis sempadan.” Jebat 33 (2006): 45-72.

[31] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 118.

[32] Ibid., Hlm. 119.

[33] Ibid., Hlm. 123.

[34] Azmi Arifin. “Konsep feudalisme: Takrif, Ciri-ciri dan garis sempadan.”

[35] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 126.

[36] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 158.

[37] Syed Ahmad Fathi. “Historiografi Astronomi: Paradoks Dalam Pensejarahan Tamadun Barat.” Academia Book Review, 2023.

[38] Ibid.

[39] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 162.

[40] Ibid., Hlm. 168.

[41] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 181.

[42] Ibid., Hlm. 204.

[43] Ibid., Hlm. 211.

[44] Ibid., Hlm. 244.

[45] Ibid., Hlm. 246.

[46] Ibid., Hlm. 247.

[47] Ibid., Hlm. 234.

[48] Ibid., Hlm. 222.

[49] Ibid., Hlm. 224.

[50] Syed Ahmad Fathi. Lalang di Lautan Ideologi. Cukong Press, 2022.

[51] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 225.

[52] Ibid., Hlm. 236.

[53] Syed Ahmad Fathi. “Pemikiran Sejarah Edward Carr.” Nota Pemikir Sejarah, 2023.

[54] Ibnu Khaldun. The Muqaddimah: An Induction to History. Princeton, 2015. Hlm. 148.

Mahasiswa-dan-Universiti-Mengkritik-Idealisme-MahasiswaDownload
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Reviu Buku Tagged With: Gerakan Mahasiswa Malaysia, Gerakan Pelajar Malaysia, Idealisme Mahasiswa, MPP, PRK

Catatan Pra & Pasca Pilihanraya Negeri 2023

August 19, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Saya pengundi di N28, Kedah pada pilihanraya yang lalu. Sebelum pilihanraya, saya merasakan pilihanraya kali ini tidak begitu menarik dan malas mahu turun mengundi. Saya juga merasakan Pakatan Harapan (PH) di Kedah tidak berapa relevan. Antara kesilapan terbesar PH adalah apabila Anwar mengumumkan untuk membatalkan projek-projek negeri. Mungkin nampak hebat dan gah dapat batal projek negeri pembangkang, tapi dalam masa yang sama tindakan itu mewujudkan semangat nasionalis negeri. Jadi apabila datang pilihanraya negeri, dan mereka datang untuk meraih undi, orang pun tidak berapa berkenan. Tidak dinafikan banyak perkara baik yang Anwar lakukan dan harus dipuji. Tapi budaya bermusuh dengan negeri pembangkang ini politik lama, dan Anwar sebagai orang lama mengulangi benda yang sama. Ternyata telahan saya ini mengena, PH hilang banyak kerusi di Kedah, dari 36 kerusi, PH hanya berjaya memenangi 3 kerusi. Ternyata mereka sememangnya tidak relevan dan ditolak di Kedah.

Siapakah yang paling bodoh dalam PRN kali ini?

Menurut telitian saya, orang yang paling bodoh pada PRN kali ini adalah apabila partinya tewas dia mula memperlekeh pengundi. Kononnya orang yang tak mengundi partinya mundur, bodoh, jumud, miskin, tak mahu perubahan, lekeh dan seribu satu kata sinis yang lain. Dia tidak sedar sebenarnya dia lah yang paling bodoh sekali. Orang yang bijak, jika dia tewas, dia tak akan menyalahkan orang lain, apatah lagi memperlekeh pengundi. Dia akan muhasabah, berfikir, bekerja, dan merangka strategi untuk menang pada pusingan lain.

Suara-suara mahu menghukum rakyat.

Pasca PRN kita mendengar banyak suara agar negeri-negeri yang menyokong pembangkang tidak diberikan peruntukan dan dibiarkan mundur. Saya kira inilah politik kuno yang bobrok. Lebih kelakar, ada suara jenis ini datang dari pemimpin yang dahulunya mahasiswa beridealisma. Mana pergi idealisma mereka? Lepas berparti terus buta hati?

Kononnya rakyat bebas memilih, suara rakyat suara keramat, yada yada. Apabila kalah mahu menafikan hak rakyat? Sebab itu sebelum PRN lagi saya mengkritik perbuatan membatalkan projek negeri, kerana politik seperti ini terkebelakang, ia hanya akan membuahkan nasionalis negeri yang akan menyebabkan mereka ditolak lagi. Malah jika ia dilakukan terlalu lama, ia mungkin akan melahirkan semangat kenegerian yang lebih kuat hingga tiada lagi rasa patriotik negara.

Kononnya masuk politik mahu berkhidmat untuk rakyat, tapi dari seruan seperti ini jelas, politiknya hanya mahu mengekalkan kuasa. Bantuan mahu diberi hanya di tempat yang boleh mengekalkan kuasa, jadi tiada bezanya dengan “dedak” yang dikritiknya dahulu.

Barang perlu diingat, peruntukan di pusat itu bukan harta pusaka mak bapak ahli politik, ia adalah hasil kutipan dari rakyat. Ia perlu disalurkan dengan adil. Bukan diguna sekadar mahu memastikan kelangsungan politik sempit. Harta di pusat juga dikutip dari cukai dan hasil negeri. Jika mahu menyekat bantuan negeri, elok tutup juga pejabat LHDN di negeri pembangkang. Tidak adil projek dan bantuan negeri disekat, tapi cukai tetap mahu dikutip.

Analisa Komprehensif PRN 2023 di Kultura Podcast

Untuk analisa yang lebih komprehensif perihal siri PRN kali ini, dengarkan Kultura Podcast Episod Ke-48 di mana Muzamel Zainal dan Syed Ahmad Fathi mengupas perkembangan ini dengan lebih dekat termasuk perihal trend pengundian, analisa negeri-negeri, juga relevensi parti seperti UMNO dan MUDA pada masa hadapan.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Politik Tagged With: gelombang perikatan nasional, kultura podcast, muda sebagai third force, pemulihan umno, pilihan raya negeri 2023

Analisa Žižek Terhadap Persoalan Adakah Komunisma Masih Relevan di Abad Ke-21

July 31, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Sebenarnya sudah agak lama saya tidak membaca penulisan dan analisa pergerakan politik dan geo-politik dunia dari lensa yang ideologikal. Terutamanya selepas saya menerbitkan buku Lalang di Lautan Ideologi.[1] Kerana saya merasakan zaman ideologi mampu membakar semangat saya sudah tamat, kini saya lebih mengutamakan apa yang saya rasakan benar, apa yang praktikal, dan juga apa yang dapat memberikan kesan yang sebenar. Bukan lagi sekadar idea-idea abstrak yang sepertinya mempunyai moral yang lebih tinggi tetapi tidak mempunyai bukti praktikal di alam nyata.

Namun membaca tulisan Slavoj Žižek di dalam naskhah First As Tragedy, Then As Farce sedikit sebanyak menghidupkan semula perhatian saya yang kian pudar terhadap sudut pandang yang ideologikal seperti ini.[2] Bagi Žižek, kebenaran itu sentiasa ideologikal sifatnya, sentiasa berpihak dan tidak neutral. Dalam analisanya, Žižek memilih sudut pandang komunisma dalam menganalisa krisis yang berlaku di dunia dan juga solusi yang harus diketengahkan.[3] Beliau menolak pandangan yang mengatakan bahawa kita berada di era pasca-ideologi, baginya sebaliknya adalah apa yang berlaku, hari ini kita sebenarnya makin terikat dengan ideologi.[4] Penulisan ini merupakan analisa dan ulasan kepada buku Žižek ini di mana idea-ideanya diteroka dan dibahaskan.

Maksud Tajuk: Perihal Perkembangan & Progres Sejarah

Žižek memulakan perbahasannya dengan menerangkan maksud dari kata-kata yang menjadi tajuk bukunya. Kata-kata ini dipinjam dari Karl Marx dalam bukunya The Eighteenth Brumaire of Louis Bonaparte, di mana Marx membuat penambahan kepada idea Hegel. Bagi Hegel, sejarah sifatnya berulang, peristiwa besar dan signifikan akan berulang dua kali. Marx bersetuju dengan Hegel akan hal ini, namun beliau menambah bahawa peristiwa pertama adalah sebuah tragedi, manakala ulangannya adalah sebuah sandiwara yang tidak munasabah dan bersifat komikal (farce).[5]

Idea-idea Hegel sememangnya tidak asing bagi Marx, malah Marx sememangnya merupakan pengikut tegar idea Hegel dan semasa muda beliau merupakan sebahagian dari gerakan Young Hegelian. Idea dialektik materialisma Marx sebagai contoh, juga merupakan pengembangan daripada idea asal dialektik Hegel.[6] Sejarah seperti yang difahami oleh Marx dan Hegel adalah bersifat deterministik, menurut E.H. Carr idea sejarah seperti ini ditentang oleh sarjana seperti Karl Popper yang mengatakan bahawa ia adalah idea yang membuatkan sains sosial terkebelakang.[7] Idea Marx ini juga disebut sebagai historicism di mana sejarah berlaku dalam keadaan yang telah ditentukan oleh hukum-hukum saintifik.[8]

Apa yang dimaksudkan dengan “sejarah berulang, pertama sebagai satu tragedi, yang kedua sebagai satu sandiwara komikal”? Dalam menghuraikan frasa ini, Žižek menggunakan kritikan beliau terhadap Francis Fukuyama sebagai penerangan. Fukuyama menulis satu buku yang terkenal, yang juga mengambil idea dari falsafah sejarah Hegel perihal berakhirnya sejarah. Bagi Hegel, sejarah mempunyai tujuan, ia mempunyai arah tuju, dan Fukuyama menoktahkan arah tuju sejarah itu kepada sistem politik-ekonomi berasaskan idea demokrasi liberal dan idea ekonomi kapitalis. Bagi Fukuyama, inilah model terakhir politik dan ekonomi manusia, satu sistem yang sudah sempurna.[9]

Bagi Žižek, idea utopia Fukuyama ini telah mati sebanyak dua kali. Pertama apabila berlakunya peristiwa 11 September 2001 di mana kebebasan individu yang dijamin oleh demokrasi liberal tiba-tiba tidak lagi bersifat universal.[10] Amerika Syarikat yang kononnya memperjuangkan kebebasan dan hak individu telah menghadkan banyak kebebasan ini selepas peristiwa 11 September, peristiwa ini digunakan dalam menjustifikasikan peperangan yang dilancarkannya di luar negara untuk melawan “terrorism”. Menurut laporan dari Kesatuan Hak Sivil Amerika (ACLU) antara pelanggaran hak-hak kebebasan yang berlaku adalah penahanan demonstran, penarikan kebenaran kepada pihak media untuk membuat laporan, dan juga sekatan kepada individu yang berani menentang perang yang dilancarkan terhadap Iraq.[11]

Kematian kedua bagi utopia Fukuyama adalah apabila berlakunya krisis kewangan pada tahun 2008-2009 di mana institusi kewangan yang membuat spekulasi ke atas pinjaman perumahan akhirnya menyebabkan sistem kewangan mengalami krisis. Krisis ini ada diceritakan dengan terperinci oleh Michael Lewis dalam bukunya, diceritakan bagaimana sifat tamak bank pada ketika itu mendedahkan peminjam kepada risiko yang besar. Akhirnya beberapa bank besar gulung tikar, juga sebahagian bank mendapat bantuan (bail-out) dari kerajaan menggunakan duit cukai.[12] Di sini kita melihat satu paradoks dalam ideologi kapitalis dan pasaran bebas. Ideologi ini sangat menentang campur tangan kerajaan dalam ekonomi, jika rakyat miskin, dia tidak seharusnya dibantu dengan duit cukai oleh kerajaan kerana dikatakan sebagai campurtangan dalam hukum ekonomi. Namun apabila bank-bank menjadi miskin dan bankrap atas sifat tamak mereka, tiba-tiba kerajaan perlu campur tangan dalam hal ehwal ekonomi dan menyelamatkan mereka. Di sini kita melihat utopia Fukuyama tidak berlaku, kononnya kapitalis dan pasaran bebas adalah sistem terakhir yang terbaik, namun ia terpaksa menipu dirinya sendiri dan memerlukan campur tangan kerajaan (tidak bebas) apabila berlakunya krisis.

Saya kira, walaupun ramai yang tak bersetuju dengan Fukuyama berkenaan dengan idea “sejarah telah berakhir”, namun semua analisa perihal sejarah dan demokrasi terutamanya selepas tahun 1992 pasti akan menyentuhnya. Dalam kata lain, Fukuyama telah memahat namanya dalam perbahasan idea sejarah. Malah dalam podcast Keluar Sekejap, idea Fukuyama ini pernah disentuh oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.[13] Ini menunjukkan ideanya meresap hingga ke politik tempatan di Malaysia dan masih diperkatakan hingga ke hari ini. Menurut Žižek, walaupun ramai orang memperlekehkan idea Fukuyama, hakikatnya ramai orang pada hari ini adalah Fukuyamean, dalam kata walaupun mereka tidak mempercayai sistem liberal-demokrasi adalah sistem ekonomi-politik yang terakhir, mereka tetap melibatkan diri dalam sistem ini, dan menerimanya sebagai sistem yang paling baik setakat ini yang ada bagi menguruskan masyarakat.[14]

Idea bahawa sejarah mempunyai hala tuju, dan mempunyai titik akhir ini membawa erti sejarah mempunyai progres. Halatuju progres ini berbeza antara pemikir, bagi Marx, titik akhirnya adalah masyarakat komunis, bagi Fukuyama, titik akhirnya adalah sistem kapitalis dan demokrasi liberal. Namun Žižek mempunyai idea lain tentang progres sejarah ini dan apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Dalam progres sejarah ini, masa depan sejarah bagi Žižek adalah milik negara, negara-bangsa yang merupakan konsep Eropah menunjukkan trend yang makin menguat. Oleh itu, horizon di depan kita adalah di mana kebebasan individu akan wujud dan dikawal oleh negara.[15]

Perihal Demokrasi & Masalahnya

Demokrasi merupakan satu sistem yang perlahan, di mana pihak-pihak yang ada bernegosiasi dan berkompromi antara satu sama lain. Namun dalam proses ini, apa yang hilang adalah posisi kaum proletariat yang diwakili segmen yang terpinggir (miskin dan mempunyai taraf sosial yang rendah). Tentulah golongan bawahan ini mempunyai pengaruh yang kecil untuk bernegosiasi. Di sini Žižek membawakan kepentingan dictatorship of proletariat seperti yang dibawakan Marx untuk mengangkat suara mereka, aspek ini adalah aspek yang sering hilang dalam demokrasi borjuis Beliau memberi contoh perihal apa yang dilakukan oleh Chaves di Venezuela, berbanding memasukkan golongan terpinggir ke dalam rangka demokrasi yang ada, Chaves membangunkan orang-orang miskin dan terpinggir kemudian merombak sistem yang ada bagi memastikan mereka terlibat dan mempunyai ruang untuk terlibat dalam proses politik.[16]

Žižek juga memetik pemikiran Kant dalam persoalan pergerakan sejarah. Persoalan yang sama yang ditanyakan oleh banyak ahli-ahli sejarah sendiri, iaitu adakah sejarah mempunyai progres? Kita sudah sentuh pemikiran Marx dan Fukuyama dalam hal ini. Namun, progres ini juga merangkumi perkembangan etika dan tidak sekadar perkembangan dalam hal material. Bagi Kant persoalan ini sememangnya mengelirukan dan tidak dapat dibuktikan, abad ke-20 misalnya membawa banyak perkembangan positif dari sudut perkembangan demokrasi dan pembasmian kemiskinan, namun dalam masa yang sama menyaksikan kekejaman yang dahsyat seperti kezaliman yang berlaku semasa pemerintahan Nazi dan juga Komunis Soviet. Walaupun Kant mengaku ia tidak dapat dibuktikan, bagi beliau perkembangan itu dapat berlaku dan kita boleh melihat tanda-tandanya. Sebagai contoh Revolusi Perancis yang membuka lebih banyak ruang kebebasan, demokrasi dan kesaksamaan.[17]

Namun kita harus sedar bahawa demokrasi bukanlah penyelesaian kepada semua masalah. Perkara ini bukan sahaja disedari oleh golongan kiri, tetapi juga golongan kanan. Jika suara popular memihak kepada kanan, kiri tidak akan cenderung pada demokrasi, begitu juga sebaliknya. Žižek memetik kata-kata Noam Chomsky di mana beliau menyebut “hanya apabila ancaman partisipasi popular dapat diselesaikan baharulah persoalan demokrasi dapat difikirkan sebagai selamat”.[18] Dalam kata lain, kuasa sedia akan memberi lebih ruang pada demokrasi sekiranya ia dapat mengekalkan dominasi mereka.

Žižek juga memetik pemikiran Walter Lippmann yang mengatakan bahawa dalam demokrasi kita mempunyai lautan pandangan, oleh itu bagi menstrukturkan lautan pandangan yang chaotic ini, ia memerlukan kelas pemerintah yang mempunyai kapasiti keilmuan, kelas elit yang mempunyai ilmu ini dapat menjangkaui kelemahan utama dalam sistem demokrasi iaitu tidak wujudnya warga yang sempurna. Kita semua mengetahui akan hal ini, akan kelemahan yang ada dalam demokrasi, apa yang menjadi misteri menurut Žižek adalah kita tetap terus bermain dalam permainannya.

Dalam demokrasi, setiap warga seolah-olah menjadi raja, tetapi bukan raja berkuasa mutlak. Ia lebih mirip kepada raja dalam sistem demokrasi berpelembagaan di mana pihak eksekutif membuat keputusan, tetapi raja menandatanganinya seolah-olah ia adalah keputusan baginda. Begitu juga dalam demokrasi, selalunya ia mahu menampakkan bahawa rajanya (rakyat) seolah-olah dihormati. Setiap keputusan perlu digambarkan sebagai keputusan rakyat, disebut sebagai “suara rakyat” dan “mandat rakyat”. Walhal kita sedar bahawa bukan rakyat yang membuat keputusan. Pilihanraya sebenarnya adalah satu kepura-puraan di mana golongan berkuasa dengan penuh beradab sopan berpura-pura seolah-olah mereka tidak berkuasa, dan mereka bertanya kepada rakyat adakah rakyat mahu memberikan kuasa kepada mereka dengan sukarela.[19]

Demokrasi juga menurut Žižek boleh menjadi korup secara dalaman dalam bentuk yang sistemik, terutamanya apabila suara dan keputusan yang terhasil tidak mewakili rakyat tetapi mewakili ekonomi dan pasaran. Pemikiran pengundi juga dapat dimanipulasi dengan pelbagai cara hingga membuatkan apa yang mereka fikirkan tidak sama dengan apa yang mereka lakukan di peti undi. Terutamanya jika tiada pilihan yang mewakili suara mereka yang sebenar. Dalam situasi seperti ini sebenarnya pilihan yang ada bukanlah pilihan, keadaan ini sering disebut dengan pelbagai terma seperti “mudarat lebih kecil” atau “lesser evil”. Kita tidak perlu membenci demokrasi, tetapi kita harus sedar bahawa pilihanraya tidak dapat memberi kita kebenaran yang sebenar.[20] Sebenarnya masalah dalam sistem demokrasi ini perbahasannya telah lama dan sangat banyak, antara yang sangat menarik bagi saya adalah tulisan Fareed Zakaria.[21] Bagi beliau, bukan semua perkara dapat diselesaikan dengan demokrasi, ada situasi yang memerlukan institusi yang tidak demokratik. Contohnya mahkamah, dalam banyak negara, ia adalah institusi yang lebih dihormati berbanding parlimen walaupun secara strukturnya ia tidak demokratik.

Kebenaran Yang Berpihak dan Tidak Neutral

Seperti yang sudah di tintakan di awal penulisan ini, bagi Žižek kebenaran sentiasa berpihak dan ideologikal, tidak pernah neutral.[22] Apabila kita mengatakan sesuatu itu adalah kebenaran, ini bermaksud kita telah memilih apa yang kita rasakan benar. Pastilah ada pemikiran di sebalik pemilihan kita itu. Pemikiran ini adalah ideologi, oleh sebab itu Žižek mengatakan bahawa kebenaran itu bersifat ideologikal.

Saya tiada masalah dengan proses ini yang bagi saya merupakan mekanisma asas dalam kita berfikir dan menentukan sesuatu perkara sebagai benar. Cuma saya merasakan, apabila kita menganalisa sesuatu perkara, kita mesti membiarkan rasional kita berfikir dengan bebas dalam memilih kebenaran, tidak boleh kerana ideologi tertentu yang kita anuti menyebabkan pemilihan kita menjadi bias. Sebagai contoh, kita merupakan orang yang cenderung kepada ideologi pasaran bebas. Ketika pasaran bebas menatijahkan kebuluran dan kemiskinan, kita perlu terima hakikat ini dan cuba membaikinya, bukan mencari hujah merasionalkan kebuluran dan menyucikan ideologi kita. Tetapi tentulah pemilihan bahawa kebuluran itu adalah sesuatu yang tidak baik dan perlu dibaiki itu ada ideologi di belakangnya. Iaitu pemikiran bahawa kesengsaraan orang lain wajar dibantu, ia adalah pemikiran kemasyarakatan dan mengutamakan amalan tolong menolong. Jadi saya kira, idea Žižek bahawa “kebenaran itu sentiasa bersifat ideologikal” tidaklah bertentangan dengan tesis yang saya bentangkan dalam buku Lalang di Lautan Ideologi.

Setelah ditentukan bahawa kebenaran bersifat ideologikal, maka ideologi apakah yang dipilih Žižek dalam analisanya? Dalam hal ini beliau berterus terang dan memilih komunisma. Beliau mahu meninjau keadaan dunia hari ini dari perspektif komunisma. Menurut Žižek, komunisma adalah idea politik pertama yang membawa idea keserataan bangsa, tidak seperti Gereja Katolik yang hanya menerima demokrasi dihujung abad ke-19, itu pun penerimaannya adalah kerana terpaksa.[23] Ideologi sememangnya akan membuatkan seseorang itu memilih fakta-fakta yang menyokongnya sahaja. Perkara ini saya lihat sangat bermasalah dalam segmen gerakan kiri yang mengamalkan cancel culture, kerana ia akan membuatkan mereka sangat tidak konsisten. Mereka akan menolak seseorang andai mereka melakukan satu kesilapan, tetapi tokoh kiri yang mereka agungkan sendiri melakukan banyak kesilapan tetapi tidak pula mereka tolak dan cancel mereka. Žižek menyebut hal ini sebagai historical censorship. Beliau memberi contoh bagaimana banyak pandangan-pandangan Martin Luther King dalam hal-hal yang kontroversi tidak diperkatakan, agar beliau kelihatan bersih dan sesuai dijadikan idola bagi nilai-nilai moden pada hari ini.[24]

Namun saya kira, Žižek juga melakukan perkara yang sama apabila dia cuba mempertahankan Marx di atas tulisan-tulisan rasis beliau dalam Surveys From Exile di mana Marx menulis dua artikel yang bertajuk The British Rule in India dan The Future Results of British Rule in India.[25] Tulisan Marx ini pernah dikritik oleh Edward Said, terutamanya bahagian di mana Marx berpendapat bahawa dengan memusnahkan Asia, British dapat melaksanakan revolusi sosial yang sebenar. Ia adalah percanggahan besar dari idea-idea egalitarian, progresif dan humanis Marx. Malah kita sepatutnya mempersoalkan di mana moral Marx dalam hal ini, di mana simpati beliau terhadap manusia hilang? Bagi Said, ada dua sebab terhadap penulisan Eurocentric Marx ini, pertama kerana beliau mahu membuktikan teori sosio-ekonominya, kedua kerana Marx mempunyai korpus penulisan besar perihal masyarakat Timur hasil produksi kaum orientalis.[26] Saya berpandangan kritikan Said kepada Marx ini merupakan tulisan intelektual yang jujur dan berani, saya bersetuju dengan analisa Edward Said perihal penulisan Marx yang merendahkan orang Asia ini, ia wajar dikritik dan dipersoalkan.[27]

Žižek walaubagaimanapun seolah-olah mahu membela Marx dalam hal ini. Di sini saya tidak bersetuju dengan Žižek di mana saya merasakan ideologi kirinya menyebabkan dia mahu membersihkan Marx dari tulisan yang kotor ini. Marx menulis: “Persoalannya, bolehkah manusia menyempurnakan takdirnya tanpa revolusi yang fundamental dalam keadaan sosial di Asia? Jika tidak, apa juga jenayah yang dilakukan England, England sebenarnya merupakan ‘alat yang tidak sedar’ bagi sejarah untuk menghasilkan revolusi ini”.[28] Dalam kata lain, segala kekejaman dan kezaliman yang dilakukan England dalam memperhamba dan merompak bangsa lain adalah keperluan bagi melahirkan revolusi sosial. Bangsa Asia seolah tidak mampu mengubah diri mereka tanpa adanya “bantuan” dalam bentuk kolonial England. Žižek mengatakan bahawa kolonial England sebenarnya merupakan pembebas. Ia membebaskan India dari tradisi lamanya yang mencengkamnya dari maju. Kolonial juga membawa idea pembebasan, di mana akhirnya India dapat bebas dari kuasa kolonial. Dalam kata lain, bagi Žižek, kolonial membantu India membebaskan dirinya dari kolonial. Logik seperti ini kedengaran kelakar bagi saya, baiklah kiranya kuasa kolonial tidak datang sejak dari mula, oleh itu India tidak perlu menghabiskan tenaganya untuk membebaskan diri dan dapat memfokuskan tenaga mereka bagi memajukan diri mereka.[29] Bagi Žižek, kolonial mempunyai “kesan positif”, namun bagi saya, tanpa kolonial pun sebenarnya negara Asia dan bangsanya dapat memajukan diri mereka sendiri.[30]

Kegagalan Gerakan Politik Kiri Hari Ini

Žižek juga berterus terang perihal keadaan gerakan kiri yang ada pada hari ini, yang tidak berada di puncak kuasa dan tidak dominan. Kewujudan gerakan kiri hari ini menurut Žižek hanya sebagai pengkritik yang tidak mampu memberi solusi dan tandingan kepada sistem politik sedia ada. Mereka hanya mampu mengkritik dan berkata kepada pihak lawan bahawa “kamu mungkin menang tetapi kamu tidak dapat meyakinkan”. Maka bagi Žižek, gerakan kiri baharu perlu belajar dari kegagalan gerakan kiri abad ke-20.[31] Mereka perlu belajar dan mula bekerja untuk meyakinkan masyarakat akan solusi dan idea-idea kiri baharu yang lebih segar dan sesuai dengan zaman kini.

Žižek juga mengkritik bagaimana, golongan kiri baharu kini berundur ke dalam persoalan seksual dan spiritual dan meninggalkan organisasi politik radikal. Beliau juga mengkritik pemikiran populis yang mengamalkan cancel culture. Logik kepada pemikiran populis ini lahir dari perasaan emosional yang tidak memahami apa yang terjadi, kemudian dia tidak berusaha memahaminya, dia hanya membenci dan mahukan perkara itu dihentikan. Dalam hal ini, pemikiran simplistik ini tidak mahu memahami dan berwacana perihal hal-hal yang kompleks dalam sesuatu situasi, dari cuba memahami hal yang kompleks, mereka memilih jalan mudah untuk mencari orang untuk dipersalahkan.[32] Dengan menggunakan ugutan dan ancaman, mereka mengalihkan perhatian dari perdebatan sebenar. Dalam kata lain, mereka sebenarnya tidak mempunyai keupayaan intelektual bagi menjawab sesuatu isu.

Golongan liberal, termasuk gerakan kiri, sering mengkritik gerakan lain. Contohnya Taliban dikritik apabila berjaya menggunakan penindasan terhadap golongan petani untuk menggugat sistem feudal di Pakistan. Golongan liberal mengkritik strategi Taliban ini dengan mengejek mereka sebagai fundamentalis Islam. Tetapi apakah maksudnya ini? Bagi Žižek, ini sebenarnya bermaksud dalam masyarakat, dalam contoh ini adalah petani di Pakistan, mereka mempunyai potensi untuk melakukan perubahan dan revolusi. Tetapi ia gagal dimanfaatkan oleh golongan liberal dan kiri, apa yang mereka mampu lakukan hanyalah mengejek mereka yang berjaya memanfaatkan potensi ini, iaitu Taliban. Begitu juga dalam kebangkitan-kebangkitan rakyat di tempat lain, baik kebangkitan populisme atau nasionalisme. Ia menunjukkan bahawa potensi untuk mobilisasi itu wujud, tetapi ia tidak berjaya dimanfaatkan oleh gerakan kiri.[33] Oleh itu mereka harus bermuhasabah, dari asyik sibuk mengejek dan mengata orang lain, lebih baik mereka berfikir tentang bagaimana untuk memanfaatkan potensi revolusi dalam masyarakat.

Antara pemikiran falsafah yang selalu diperlekehkan oleh golongan kiri adalah Ayn Rand, walaupun begitu, Žižek yang mengetengahkan idea komunis pun mengambil idea dari Rand. Beliau memetik Atlas Shrugged tentang bagaimana Rand menyatakan bahawa duit adalah punca kebaikan. Kerana dengannya kita dapat menyuruh orang lain bekerja, jika tiada duit, bagi Rand, pilihan yang ada adalah paksaan. Contohnya kita memaksa orang bekerja dengan mengugutnya menggunakan pistol atau senapang. Žižek bersetuju dengan analisa Rand tentang bagaimana duit digunakan untuk menjadi alat bagi kita mengeksploitasi orang lain. Cuma Žižek tidak bersetuju bahawa kita hanya punya dua pilihan, sama ada eksploitasi menggunakan duit dan wang atau paksaan, bagi Žižek kita punya pilihan ketiga iaitu kebebasan.[34]

Gerakan kiri tradisional juga sangat mengagumi idea demokrasi langsung, di mana rakyat terlibat secara langsung tanpa pengantara representasi. Contohnya melalui perkumpulan yang dipanggil soviet. Namun bagi Žižek hal ini sering tidak berjaya apabila ia berkembang kepada fasa institusi, yang lebih penting adalah menjayakan perubahan apabila euphoria perubahan menyusut dan urusan harian kembali kepada keadaan sedia kala.[35]

Anatomi Sebuah Revolusi

Masalah terbesar bagi gerakan Marxis Eropah yang merupakan gerakan kiri hari ini adalah ketiadaan agen dan subjek revolusi.[36] Dalam kata lain, idea dan teorinya sudah banyak dan bercambah. Apa yang kurang adalah pekerja kepada idea, mereka yang bukan sahaja yakin terhadap sesuatu idea, tetapi mereka yang yakin dan bekerja untuk memenangkan idea tersebut. Saya kira perkara ini memang penting, malah saya sendiri pernah menyebutnya. Jika tiada “pekerja kepada idea”, teori, wacana, dan ideologi akan menjadi sesuatu yang sia-sia.[37] Namun sebenarnya kegagalan kaum pekerja bagi menjadi subjek kepada perubahan bukan perkara baharu, ia sudah wujud ketika Revolusi Bolshevik lagi. Di sini kita melihat kebijaksanaan Lenin, beliau berjaya menggunakan “potensi kemarahan” yang wujud dalam petani miskin yang timbul dalam jangka masa yang singkat. Potensi ini segera ditangkap oleh Lenin dengan menggunakan slogan “tanah dan kebebasan” bagi melancarkan Revolusi Oktober.[38]

Semua revolusi-revolusi yang berjaya seperti di Cuba dan Yugoslavia, adalah revolusi dimana potensi kemarahan (rage capital) berjaya digunakan. Kemarahan ini wujud pada jangka masa yang singkat, ekstrem, dan kritikal. Ia mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor seperti kemarahan yang wujud kerana mahukan kemerdekaan bagi sesebuah bangsa.[39] Jika potensi kemarahan ini gagal ditangkap oleh gerakan kiri hari ini, mereka tidak akan berjaya.

Sesuatu revolusi perlu menunggu dengan penuh sabar akan tibanya saat ini, saat-saat yang sebentar di mana sistem sedia ada gagal berfungsi dan rage capital dapat digunakan. Apabila potensi ini muncul, ia perlu segera ditangkap dan kuasa perlu dirampas. Pekerja revolusi perlu sensitif untuk menghidu di mana rage capital ini muncul, jika di jalanan, ia perlu segera digunakan dan diperkuat. Apparatus represif perlu segera dibangunkan pada saat itu bagi mematahkan serangan lawan. Dan apabila demam dan euphoria revolusi sudah surut dan masyarakat mula kembali kepada kesedaran mereka, suasana sudah terlambat dan revolusi sudah kukuh tertanam.[40] Menurut Žižek, inilah cara bagaimana revolusi perlu dikendalikan, inilah anatomi sebuah revolusi. Dari menghidu kemarahan, menggunakannya dan memperkuatkannya dengan segera, serta pantas mematahkan usaha counter revolusi bagi memastikan ia dapat bertahan.

Kritikan Pasca Krisis Kewangan 2008

Krisis kewangan merupakan tanda kegagalan sistem kapitalisma, Žižek dalam bukunya menghuraikan perkara ini. Pasaran ekonomi hari ini adalah berdasarkan kepercayaan (beliefs), malah Žižek menambah bahawa ia adalah berdasarkan kepercayaan kepada “kepercayaan orang lain”.[41] Oleh sebab itu kita melihat dalam banyak hal dan perubahan polisi, penganalisa akan bercakap perihal bagaimana “reaksi” pasaran terhadap sesuatu perubahan. Namun saya merasakan, dengan meletakkan fundamental dan asas kepada ekonomi di atas sesuatu yang berbentuk spekulatif seperti “kepercayaan” dan “reaksi”, ini sangat bahaya. Ia tidak stabil. Apabila ia tidak dapat dibendung dan dikawal, ia akan mengalami kegagalan. Asas ekonomi bagi saya perlu diletakkan pada sesuatu yang lebih berbentuk kuantitatif dan dapat disukat dengan objektif.

Apabila sistem kewangan gagal di Amerika Syarikat pada tahun 2008, solusi yang digunakan bukanlah solusi pasaran bebas seperti yang dicanangkan oleh penganut ideologi ekonomi liberal seperti Fukuyama. Tetapi dengan menggunakan duit rakyat untuk membayar kerugian spekulasi bank. Hal ini merupakan solusi sosialisma, namun bezanya, ia bukan untuk manfaat rakyat jelata, tetapi sosialisma untuk bank-bank besar. Hal ini berbeza sekali dengan ideologi ekonomi Amerika Syarikat yang menggalakkan pasaran bebas dan menghalang campurtangan kerajaan dalam ekonomi.[42]

Walaupun ia adalah penyelesaian mirip apa yang dibawa oleh sosialisma, Žižek mempersoalkan adakah langkah ini benar-benar boleh dipanggil sosialisma ataupun sosialisma bagi negara? Di mana ia dilakukan bukan untuk membantu yang miskin tetapi untuk membantu orang kaya. Memberi wang kepada pemberi pinjaman bukan kepada peminjam. Dalam hal ini kita melihat, pemegang ideologi kapitalis tiada masalah untuk mensosialkan sistem perbankan untuk menyelamatkan kapitalisma. Dalam kata lain, sosialisma hanya diterima apabila ia digunakan untuk menyelamatkan bank dan orang kaya, bukan orang miskin.[43] Di sini kita melihat apa itu ideologi ekonomi. Ideologi ekonomi adalah pertarungan perihal bagaimana kekayaan itu dibahagikan dalam masyarakat. Ia adalah asas bagi pembentukan sistem distribusi.

Walaupun negara-negara besar seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah mempromosikan pasaran bebas dan menolak campur tangan kerajaan dalam hal ekonomi kepada negara lain, negara mereka sendiri mengamalkan pasaran yang tidak bebas dalam ekonomi. Kesatuan Eropah misalnya, memberi subsidi 500 Euro kepada setiap ekor lembu yang diternak di Eropah.[44] Menurut Paul D’Amato, subsidi Eropah kepada setiap ekor lembu, lebih tinggi dari pendapatan per kapita di Sahara Afrika.[45] Di sini kita melihat satu ketidakseimbangan yang ketara. Bagaimana negara-negara kaya dunia sendiri “cakap tidak serupa bikin”, dan hanya mengamalkan polisi pasaran bebas apabila ia menguntungkan mereka. Oleh itu bagi Žižek, tidak ada pasaran yang bebas dan neutral, setiap struktur pasaran adalah berdasarkan keputusan politik.[46] Atau dalam kata lain, ideologikal. Perkara ini saya kira bukan diperkatakan oleh Žižek sahaja, ahli ekonomi seperti Ha-Joon Chang turut menyatakan perkara yang sama. Bagi Chang, pasaran bebas tidak wujud, setiap pasaran mempunyai sempadan dan limitasi, ia dikawal oleh peraturan, dan peraturan ini digubal dari polisi-polisi politik.[47]

Krisis Sebagai Ejen Perubahan?

Ahli ekonomi, Milton Friedman ada menulis satu ungkapan yang terkenal “Only a crisis, actual or perceived, produces real change”.[48] Dalam kata lain, untuk sesuatu masyarakat menerima sesuatu perubahan, mereka memerlukan satu krisis, sama ada krisis tersebut adalah krisis yang benar-benar berlaku, atau dipropagandakan agar ia dirasai seperti sedang berlaku. Jadi, apabila berlakunya krisis kewangan pada tahun 2008, adakah kita dapat melihat berlakunya satu perubahan terhadap sistem kapitalis yang mengawal ekonomi? Adakah masyarakat akan mula hilang kepercayaan akan sistem ekonomi pasaran bebas seperti yang dipromosikan oleh ideologi ekonomi liberal?

Jawapannya, tidak semestinya, menurut Žižek. Sebaliknya ia bergantung kepada bagaimana akhirnya krisis itu disimbolkan. Ideologi mana yang berjaya menggunakan krisis tersebut bagi memaksakan tafsiran mereka kepada masyarakat. Ideologi yang berjaya menggunakan krisis tersebut dalam penceritaan dan tafsiran mereka, dapat memastikan persepsi masyarakat berada di pihak mereka. Oleh itu golongan kiri yang merasakan krisis ekonomi pada tahun 2008 akan membuka ruang bagi mereka adalah naif menurut Žižek. Malah ia sebenarnya dapat digunakan oleh ideologi dominan sedia ada untuk mengukuhkan lagi politik yang bersifat populisma, polisi pro-peperangan, peningkatan kemiskinan di negara-negara ketiga, dan juga peningkatan jurang antara yang kaya dan miskin.[49]

Kebolehan ideologi untuk menguatkan lagi pemikirannya apabila berdepan dengan kegagalan bukanlah hanya terpakai kepada sistem kapitalis dan idea neo-liberal. Tetapi bagi Žižek, ia turut terpakai kepada kelompok sosialis. Contohnya apabila sistem sosialis gagal, yang dipersalahkan bukan idea sosialisme dan sistemnya, tetapi perlaksanaan idea sosialis tersebut yang dianggap tidak mengikut idea asal dengan sebenar-benarnya. Solusi yang diberikan kemudian, bukanlah penghapusan sistem, tetapi reformasi radikal terhadap sistem sedia ada. Jadi dalam kes krisis kewangan 2008, yang dipersalahkan bukan sistem kapitalis, tetapi sistem kapitalis yang telah diselewengkan dari ideanya yang asal.[50] Sistem kapitalis juga digambarkan sebagai satu sistem yang teknikal bukan ideologikal. Ia harus diterima kerana ia berfungsi, ia tidak memerlukan justifikasi lain. Žižek menolak pemikiran seperti ini, baginya pemikiran yang mengatakan bahawa kapitalisma sebagai satu mekanisma sosial yang neutral, pemikiran seperti itu sendiri sebenarnya adalah sebuah ideologi. Pemilihan perihal produk apa yang perlu dihasilkan, produk apa yang perlu digunakan, bentuk tenaga apa yang harus diguna pakai, semua ini adalah pilihan yang berbentuk ideologikal dan politikal bagi Žižek.[51]

Sistem kewangan sebenarnya berdiri di atas sebuah realiti yang dicipta (bersifat imaginari tetapi dipercayai ramai manusia, contohnya kepercayaan bahawa wang mempunyai nilai). Siapa yang mencipta sistem ini adalah mereka yang mengetahui kenapa dan bagaimana ia berfungsi. “Siapa” ini adalah pihak-pihak yang memegang kekuasaan. Namun pihak yang sepatutnya mengetahui bagaimana sistem kewangan ini berfungsi sebenarnya tidak mengetahui akibat yang akan berlaku hasil dari polisi mereka. Krisis kewangan 2008 memperlihatkan bagaimana kadar faedah dibiarkan rendah dalam tempoh yang begitu lama hingga menyebabkan meluasnya pinjaman yang berisiko. Polisi ini sebenarnya tidak neutral dari pandangan Žižek, ia lahir dari ideologi ekonomi yang tidak mahu pasaran dikawal, pasaran bebas yang kompetetif dipercayai adalah yang terbaik. Namun, hasil dari ideologi ini adalah krisis kewangan 2008.[52]

Dalam analisa Žižek, kita dapati bahawa beliau sering menunjukkan adanya ironi dan paradoks. Contohnya ideologi untuk menghadkan campur tangan kerajaan dalam hal ekonomi, perkara ini sendiri sebenarnya berdiri di atas sebuah paradoks. Ideologi ini mahu mengurangkan polisi kerajaan dan regulasi, namun sebenarnya untuk mencapai matlamat ini, ia sendiri memerlukan regulasi. Dalam kata lain, regulasi diperlukan untuk mengurangkan regulasi kerajaan dalam ekonomi. Di sini, kita melihat satu paradoks bagi  Žižek, di mana ideologi ini memerlukan sesuatu yang ditentang oleh dirinya.[53] Namun sebenarnya, dengan pengurangan campur tangan kerajaan, kita menyaksikan bahawa syarikat besar mendapat lebih kebebasan untuk memusnahkan bisnes-bisnes kecil, pekebun kecil, dan juga usahawan-usahawan yang tidak mempunyai modal yang besar.[54]

Dalam sistem politik juga terdapat paradoks perihal siapa yang dapat melakukan perubahan. Dalam spektrum ideologi, hanya mereka berideologi lawan dapat mengubah sesuatu yang diperjuangkan oleh lawannya. Žižek memberi contoh tentang bagaimana perubahan progresif hanya boleh dilakukan oleh pemimpin yang konservatif, sebagai contoh hanya Nixon yang dapat menyambung semula hubungan dengan negara komunis China.[55] Dalam politik Malaysia sebagai contoh, jika pemimpin PAS menziarahi gereja atau kuil, ini akan dilihat sebagai toleransi agama, jika pimpinan PKR membuat perkara yang sama, mereka mungkin akan dituduh sebagai mempromosikan pluralisme agama. Jika pimpinan DAP sebagai contoh, memberi wang rakyat kepada sekolah cina, dia akan dituduh sebagai tidak menghormati falsafah pendidikan nasional yang mengutamakan Bahasa Melayu. Namun, jika pimpinan UMNO sebagai contoh, melakukan perkara yang sama, dia dikatakan sebagai menghargai kepelbagaian budaya. Di sini kita lihat, mereka yang mempunyai ideologi lawan, lebih mudah melakukan perubahan untuk lawannya. Dalam kata lain, golongan progresif perlu bergantung kepada golongan konservatif, begitu juga vice versa.

Dalam memahami keadaan sedia ada sekarang, dan bagaimana kita dapat mengubahnya. Kita hendaklah faham bahawa keadaan sedia ada mempunyai kesan langsung terhadap persoalan adalah perubahan dapat dilakukan. Contohnya mengapa sesorang itu miskin, ia dipengaruhi oleh keputusan politik tentang bagaimana ekonomi diurus. Namun kita sering dibayangkan bahawa ia boleh diubah hanya dengan menukar perangai atau attitude kita. Sebab itu kedai-kedai buku dipenuhi buku self-help, cara berfikir positif, dan bagaimana perubahan sikap dapat menjadikan kita kaya.[56] Namun, jika peluang itu dari awal tiada, perubahan sikap sebenarnya tidak dapat melahirkan perubahan. Ini adalah asas pemikiran materialisma yang menganjurkan bahawa masalah seperti ekonomi memerlukan penyelesaian berbentuk material, bukan perkara abstrak dan psikologi. Contoh yang paling mudah dalam hal ini, bayangkan jika seseorang itu terdampar di sebuah pulau yang kosong, berfikiran positif untuk kenyang tidak akan membantunya keluar dari kelaparan. Dia memerlukan benda material seperti makanan untuk membolehkannya kenyang.

Sistem Kapitalis Baharu

Saya teringat sembang santai saya dengan Francis Wolf di tepi Sungai Gombak satu ketika dahulu. Antara topik perbualan kami adalah bagaimana sistem kapitalis berubah dengan cepat untuk menyesuaikan diri dengan peredaran zaman. Manakala blok sosialis di Malaysia masih membawakan idea-idea dan pendekatan lama, menjadikan mereka tidak lagi relevan di zaman kini.[57] Žižek dalam analisanya mengungkapkan perkara yang sama. Sistem kapitalis hari ini cuba untuk menjadi lebih peka pada tanggungjawab sosialnya. Mereka berkolaborasi dengan pekerja, berdialog dengan pengguna, menghormati alam sekitar, melakukan bisnes dengan lebih transparen, dalam hal ini kita melihat bagaimana kapitalis bukan lagi menjadi enjin untuk sekadar menjana keuntungan, tetapi ia mempunyai makna kewujudan yang lebih dalam. Walaupun begitu, bagi Žižek, mimpi bahawa kapitalis kini lebih spiritual, lebih bertanggungjawab di sudut sosial dan menjaga alam sekitar, musnah apabila berlakunya krisis kewangan pada tahun 2008.[58] Krisis ini menampakkan sisi-sisi buruk dalam kapitalisma yang bernanah di dalam, meski pun di luar segalanya kelihatan indah.

Kapitalis baru juga datang dengan semangat baharu, iaitu “kapitalis kebudayaan”, di mana kita membeli barangan dan produk bukan lagi kerana barang itu mempunyai kegunaan (utility) atau dapat menjadi simbol kepada status sosial kita dalam masyarakat, tetapi kerana ia memberi kita pengalaman (experience) yang membuatkan kita merasakan hidup kita lebih bermakna dan menyeronokkan. Perkara ini dapat dilihat melalui trend pergi bercuti dalam virtual reality, kerana yang penting adalah pengalaman, jadi virtual reality membolehkan kita mendapat pengalaman tanpa perlu melalui perkara-perkara yang menyusahkan seperti beratur membeli tiket, duduk lama dalam kenderaan, dan sebagainya.[59]

Menurut Žižek, kapitalisma bukan sahaja berjaya berubah menjadi kapitalisma baharu, kapitalisma juga berjaya mencipta semula (re-invent) sosialisma, ia dilakukan bagi menyelamatkan dirinya. Dalam keadaan ini, sosialisma bukan lagi menjadi versi bawahan kepada komunisma, tetapi menjadi pencabar dan ancaman utama buat komunisma.[60] Perubahan kapitalisma klasik kepada kapitalisma baharu yang menganjurkan bidang pekerjaan dalam bentuk kognitif, dengan struktur tanpa hiraki dan tidak berpusat menurut Žižek tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman sepenuhnya, kerana boleh jadi, ciri-ciri ini dapat membantu penyemaian benih-benih komunisma di mana struktur sistem yang ada adalah lebih terbuka dan egalitarian.[61]

Sistem kapitalis hari ini sering kali berevolusi, ia akan sentiasa memusnahkan keadaan sedia ada dan mencipta keadaan yang baharu yang lebih efisien. Proses ini sering disebut dalam industri dan dunia korporat sebagai creative destruction di mana ia adalah satu mekanisma inovasi di mana produksi baharu menggantikan produksi yang sudah lapuk. Proses ini merupakan proses yang membantu kapitalisma berkembang, sebahagian kajian menyatakan ia menyumbang sebanyak 50 peratus kepada pertumbuhan produktiviti.[62] Proses ini bukan sahaja mencipta semula kapitalisma setiap kali ia berevolusi, tetapi mengubah koordinat perjuangan komunis. Oleh itu bagi Žižek, musuh komunisma bukan lagi negara, tetapi proses revolusi berterusan kapitalisma ini.[63] Namun perkara ini membuatkan saya bingung, seolah-olah ada satu paradoks di sini, di satu sudut komunisma mahukan revolusi dan perubahan, namun jika revolusi dan perubahan ini dilakukan oleh orang lain ia wajar dimusuhi? Adakah kita perlu menjadi statik? Atau perubahan yang baik hanyalah perubahan anjuran komunis? Bagi saya, keupayaan kapitalisma berubah adalah satu perkara yang baik, ia menunjukkan bahawa ia mampu berubah menjadi lebih mesra manusia juga lebih bertanggungjawab kepada sosial dan alam sekitar. Namun tentulah kita mahukan ia sentiasa ditambah baik, oleh itu sisi kritis perlu sentiasa dibuka.

Mengenali Musuh dan Propagandanya

Terdapat kata-kata yang menyatakan bahawa “seorang musuh itu adalah seorang yang kisahnya belum kamu dengari”. Kata-kata ini berpandangan bahawa setiap orang itu pasti punyai kisah tersendiri yang menatijahkan sebuah tindakan yang kita rasakan tidak wajar. Kita melihat dalam banyak kisah-kisah filem bagaimana karakter antagonis diberikan kisah latarnya sendiri, membuatkan penonton bersimpati dengannya walaupun tindakannya kejam. Žižek menolak hal ini. Beliau bertanya, adakah sekiranya kita mengetahui kisah hidup tentera Nazi dapat menjustifikasikan tindakan kejamnya? Adakah dengan mengetahui kisah hidupnya, mereka menjadi lebih manusia dan dapat dimaafkan?[64]

Bagi Žižek kisah-kisah yang kita ceritakan pada diri sendiri adalah sebuah penipuan, yang penting bukanlah apa yang kita rasa di dalam diri, tetapi apa yang kita lakukan di luar. Apa yang kita lakukanlah yang menentukan siapa kita.[65] Contoh lain yang diberikan oleh Žižek adalah kekejaman tentera kolonial Israel (IDF). Media Israel sering menggambarkan tentera kolonial mereka sebagai manusia biasa yang tidak sempurna, tidak lari dari kesilapan, tersepit dalam sejarah dan peperangan. Mereka digambarkan sebagai manusia yang juga merasakan trauma peperangan.[66] Namun, ini semua tidak seharusnya membuatkan kita bersimpati dengan projek kolonial Israel yang kejam dan sadistik. Pembunuhan kejam yang dilakukan oleh IDF di Gaza dan Lubnan adalah jenayah perang.[67] Jenayah ini bukan satu jenayah yang tersembunyi, ia direkodkan dengan begitu teliti oleh saksi pertama yang ada di medan. Contoh yang baik adalah tulisan Ang Swee Chai yang menyaksikan kekejaman terhadap rakyat Palestin di kem Shabra dan Shatila di Lubnan.[68]

Dalam memahami siapakah sebenarnya pihak musuh, Žižek menolak aksiom “musuh kepada musuh saya adalah sahabat saya”. Bagi beliau, golongan progresif melakukan kesilapan jika mereka menyangka mereka boleh bersekutu dengan golongan di dalam kem fundamentalis Islam hanya kerana mereka berkongsi pandangan yang sama dalam persoalan anti-imperialisma.[69] Walaupun saya faham maksud yang cuba disampaikan oleh Žižek, saya juga merasakan bahawa pandangan beliau ini bersifat reduksionis. Ia melahirkan pemikiran binari yang akhirnya menyebabkan kita melihat dunia dalam kanta yang sempit dan gagal memahami kompleksiti yang wujud di dalam dunia.

Walau bagaimana pun, dalam mengkritik golongan fundamentalis Islam, Žižek tidak bersetuju dengan terma pejoratif “Islamo-Fasis” yang sering diberikan kepada golongan ini. Bagi beliau, terma “Fasis” itu sudah cukup, ia tidak memerlukan dimensi agama. Jika kita menerima terma “Islamo-Fasis”, maka kita perlu mengakui bahawa gerakan paling ganas yang telah membunuh ribuan manusia di Eropah terutamanya kaum Yahudi adalah gerakan “Kristo-Fasis” kerana golongan Nazi pada ketika itu adalah beragama Kristian.[70]

Krisis Imigran & Hipokrasi Eropah

Eropah sering mendabik dada bahawa mereka merupakan juara bagi hak individu, kebebasan, dan juga bantuan kemanusiaan. Namun krisis imigran yang berlaku di Eropah, terutamanya di Lautan Mediterranean menunjukkan hipokrasi yang nyata. Menurut Žižek, imigran yang datang ini dilihat bukan sebagai manusia, tetapi homo sacer seperti yang ditulis oleh Agamben. Homo sacer adalah golongan yang dikecualikan dari undang-undang sivil, mereka boleh dibunuh tanpa apa-apa balasan atau hukuman.[71]

Krisis imigran ini sebenarnya menampakkan sisi rasis pemikiran orang Eropah. Žižek turut memberi contoh dalam sejarah tentang bagaimana perbahasan tentang perhambaan berlangsung. Ahli falsafah Eropah mengkritik sistem perhambaan apabila ia sudah tidak wujud, namun di tempat-tempat yang masih mengamalkannya, sistem perhambaan itu tidak dikritik. Beliau membawakan kata-kata Louis Sala-Molins yang mengatakan bahawa “ahli falsafah pencerahan Eropah mengkritik dengan keras sistem perhambaan, kecuali di tempat-tempat yang wujud perhambaan secara literal”.[72] Dalam kata lain, mereka hanya mengkritiknya apabila ia telah selamat dikritik dan sesuai dengan arus pemikiran masyarakat yang ada.

Eropah dan kuasa Barat dalam sejarahnya bukan sahaja terkenal dengan kezaliman dalam bentuk perhambaan, tetapi juga dalam bentuk kolonialisma di mana mereka merampas hak-hak kebebasan peribumi. Namun dalam proses kolonialisasi ini, mereka telah berjaya menanam nilai dan konsep mereka. Žižek memberi contoh bagaimana negara-negara yang dijajah mahu menjadi negara bangsa yang merdeka, namun sebenarnya konsep negara bangsa yang ingin mereka dapatkan itu merupakan konsep Barat. Dalam kata lain, walaupun Eropah kelihatan tewas apabila berlakunya proses dekolonialisasi, mereka masih menang kerana berjaya menanam struktur sosialnya kepada masyarakat peribumi.[73]

Membedah Sebuah “Kepercayaan” & Persoalan Ruang Awam

Apakah yang dimaksudkan dengan percaya? Apabila kita mempercayai sesuatu, bagaimana sebenarnya kita mengukur kepercayaan itu? Dalam membicarakan hal berkaitan ideologi, Žižek menghuraikan bagaimana ideologi berkait rapat dengan kepercayaan. Apabila kita berpegang dengan sebuah ideologi, kita membina sebuah kepercayaan. Contohnya ideologi perihal demokrasi dan kebebasan, kita semua maklum akan limitasinya, bagaimana ia dimanipulasi oleh ahli politik yang korup dan tidak berfungsi dengan efisien. Tetapi kita masih mengambil bahagian di dalamnya, kita beranggapan bahawa ia tetap akan terus berfungsi walaupun kita tidak mempercayainya.[74]

Dalam membedah persoalan kepercayaan ini, manusia juga mempunyai kecenderungan untuk mempercayai sesuatu itu boleh berlaku, tapi dalam masa yang sama, kita tidak dapat menerima bahawa ia boleh berlaku. Dalam bahasa Perancis disebut “je sais bien, mais quand meme”. Kepercayaan seperti ini yang menjadikan manusia terkejut dengan sesuatu perubahan, walau pun dia sedar bahawa perkara itu memang akan berlaku.[75]

Selain membedah dan membahaskan persoalan kepercayaan, Žižek juga membedah bagaimana kita memahami ruang awam dan juga ruang peribadi, bagaimana interaksi kita bersama orang lain dalam dua sfera ini, apakah hak dan limitasi yang ada. Dalam hal ini beliau membawa pandangan Rorty yang berpegang dengan ideologi liberal di mana beliau berpendapat bahawa ruang peribadi adalah ruang di mana kreativiti dan imaginasi dibiarkan bebas manakala persoalan moral digantung. Manakala di ruang awam kita perlu dikawal oleh peraturan agar kita tidak mencederakan orang lain.[76] Beliau juga mengetengahkan pemikiran Kant yang membawakan konsep the poblic use of reason di mana Kant berpendapat bahawa pemikiran awam hendaklah sentiasa bebas agar ia dapat memberi pencerahan kepada manusia, manakala pemikiran peribadi boleh jadi sempit asalkan ia tidak menganggu gugat proses pencerahan. Kant menerangkan bahawa pemikiran awam yang dimaksudkan adalah pemikiran sarjana di khalayak yang terdidik, manakala pemikiran peribadi mewakili golongan yang diberikan kuasa pemerintahan. Namun Žižek mengkritik pandangan Kant ini, baginya pemikiran ini membangunkan sebuah paradoks di mana Kant menyuruh manusia berfikir bebas tetapi dalam masa yang sama perlu taat kepada pemerintahan.[77]

Kembali Kepada Komunisma

Walaupun komunisma hari ini dilihat sudah tewas, terutamanya dengan jatuhnya Kesatuan Soviet dan juga penerimaan kerajaan Komunis China terhadap sistem kapitalis (capitalism with Asean values), bagi Žižek, penyelesaian kepada masalah sistem ekonomi dan politik dunia tetap adalah komunisma. Beliau memetik sikap optimis Lenin bahawa “komunis tidak akan sekali-kali tewas jika mereka tidak berputus asa dan berani untuk bermula semula di permulaan baharu”. Hipotesis komunis bagi Žižek tetap sebuah hipotesis yang benar.[78] Namun sekadar mempercayai kepada hipotesis ini tidak mencukupi.

Kepercayaan semata-mata tidak cukup. Bagi Žižek, apa yang diperlukan untuk berlaku perubahan adalah mencari dalam realiti sedia ada, antagonisma ataupun rage capital, agar hipotesis ini boleh direalisasikan dengan segera. Pada hari ini, dalam sistem kapitalis baharu yang mendominasi dunia, terdapat empat antagonisma yang wujud.

  1. Ancaman bencana ekologi
  2. Percanggahan konsep harta peribadi bagi harta intelek
  3. Masalah etika dalam kemajuan saintifik terutamanya dalam bidang bio-genetik
  4. Aparteid baru dalam bentuk tembok dan setinggan (perbezaan kaya-miskin)[79]

Antagonisma-antagonisma baharu ini bagi Žižek menyatukan manusia dalam kelas yang sama, bukan lagi perlawanan antara kelas proletariat melawan bojuis seperti yang difahami dalam pemikiran klasik Marx. Bencana iklim sebagai contoh, yang merupakan hasil dari perubahan iklim, akan menghancurkan semua manusia tanpa mengira kelas sosial mereka.[80]

Terdapat perbezaan antara sosialis dan komunis menurut Žižek. Sosialis cuba mewujudkan sistem kolektif yang egalitarian, manakala komunis bagi Žižek ingin mewujudkan komuniti yang organik. Dalam hal ini, beliau memberi contoh Nazism, yang merupakan sosialis nasional, bukan komunis nasional. Sifat rasis bagi beliau boleh wujud dalam bentuk sosialis, tetapi bukan komunis. Dalam kata lain, komunisma berbeza dengan sosialisma di mana komunisma membawa kepada satu kesatuan yang universal, menjangkaui determinasi seperti kaum dan ras.[81] Bagi beliau, sikap rasis yang ditunjukkan Stalin tidak menggambarkan komunisma, tetapi kegagalan Stalin untuk setia dengan idea-idea komunisma. Beliau memetik penulisan sejarawan Eric Hobsbawm yang mengatakan bahawa “sosialisma telah gagal, dan kapitalisma telah bankrap, masa depan akan menjadi komunisma”. Untuk menyelesaikan antagonisma-antagonisma yang telah disebut, bagi komunisma ia perlu diselesaikan semuanya bersama, manakala sosialisma berpandangan kita boleh menyelesaikan 3 antagonisma pertama dan membiarkan antagonisma ke-4. Jika kapitalisma membawa konsep harta milik peribadi, dan sosialisma mendakwa harta milik negara, komunisma pula membawakan konsep bahawa harta itu milik semua, tiada pemilikan peribadi mahupun negara.[82]

Antagonisma ke-4, iaitu perbezaan kaya-miskin (Included vs Excluded) adalah antagonisma yang dapat menjustifikasikan penggunaan terma komunisma menurut Žižek. Dalam hal ini kita melihat bagaimana institusi negara melihat golongan yang tersisih ini sebagai ancaman, dan harus dijauhkan dari masyarakat.[83] Antagonisma ke-4 ini juga mempunyai perbezaan utama berbanding 3 antagonisma sebelumnya. Tiga antagonisma pertama merupakan hal survival manusia dari sudut ekonomi, antropologi, dan fizikal, tetapi antagonisma ke-4 bukan perihal survival manusia, ia adalah perihal keadilan.[84]

Komunis dikatakan gagal kerana gerakan-gerakan yang dahulunya menggerak dan mengubah dunia dilihat menjadi regresif, contohnya Revolusi Budaya Mao kemudian bertukar kepada Kapitalisma Deng Xiaoping. Tetapi bagi Žižek, walaupun ia gagal direalisasikan, ideanya tetap teguh dan berulang kali datang semula. Idea komunis ibarat arus yang datang berulang kali tanpa henti. Ia menyuruh manusia mencuba lagi, jika gagal, berusaha lagi agar gagal dengan lebih baik. Idea yang berulang kali datang ini, adalah idea yang eternal, ia merangkumi empat perkara yang senantiasa perlu difikir dan ditambah baik, ia adalah keadilan yang egalitarian, disiplin yang tinggi, sukarelawan politik, dan kepercayaan kepada manusia.[85] Komunisma bagi Žižek bukan idea utopia perihal masyarakat yang sempurna, tetapi adalah gerakan untuk menggugat sistem sedia ada, kerana jika sistem sedia ada tidak digugat, progres sejarah akan menuju kehancuran.[86]

Kesimpulan

Banyak perkara yang saya belajar dari buku ini. Banyak juga idea-ideanya yang tidak saya setujui. Paling banyak adalah perbahasan-perbahasan yang langsung tidak saya fahami. Ini kerana Žižek banyak mencedok idea dan terma dari hasil tulisan orang lain (terutamanya Badiou dan Negri), dan saya yang tidak membaca tulisan mereka, jadi saya tidak dapat menangkap maksud lengkap perbahasannya. Di dalam kalam penutupnya, Žižek menekankan bahawa untuk perubahan berlaku, kita sendiri perlu menjadi ejen perubahan. Beliau meminjam kata-kata orang Hopi “we are the ones we have been waiting for”, dalam kata lain, jika kita mahukan perubahan, kitalah yang perlu melakukannya.[87] Kita tidak boleh bergantung pada orang lain. Perubahan di zaman baharu akan lahir dari mereka yang kecewa dengan komunis abad ke-20 dan bersedia untuk bermula semula di titik yang baharu, bermula dari awal dan mencipta semula perjuangan. Walaupun dikutuk sebagai utopian sebenarnya merekalah yang baru bangun dan sedar dari mimpi utopia. Mereka tidak bernostalgia dengan gerakan kiri lalu. Bagi Žižek, mereka seperti inilah harapan masa depan dan mereka wujud di banyak negara.[88] Akan tiba satu masa, mereka akan berpadu dan membentuk arus perubahan.

Saya kira Žižek banyak mengkritik paradoks dalam pemikiran-pemikiran orang lain, namun jika kita membaca tulisannya dengan perlahan dan berhati-hati, kita akan dapati penulisannya juga dipenuhi dengan paradoks. Begitu juga tentang persoalan perihal materialisma yang merupakan pemikiran kuat yang mempengaruhi pemikiran Marxis, jika kita meneliti tulisan Žižek dalam banyak hal, beliau juga banyak berwacana perihal konsep yang abstrak terutamanya dalam mengatakan bahawa komunisma adalah lebih kepada idea yang akan berulang kali datang, juga komunisma sebagai satu semangat untuk tidak berputus asa dan sentiasa berani untuk bermula semula dari bawah. Semua idea-idea ini bagi saya berpijak di bumi yang abstrak bukan material.

Bahagian yang paling saya tidak persetujui adalah bahagian di mana Žižek cuba untuk membersihkan Marx dari penulisannya yang menjustifikasikan kolonialisma terhadap India. Cubaan Žižek ini bagi saya adalah cubaan yang gagal, sekurang-kurangnya ia gagal bagi saya untuk melihat bahawa ada sisi positif dalam kolonialisma. Manakala bahagian yang paling saya gemari adalah kritik-kritik beliau dalam persoalan demokrasi, bagaimana ia sebenarnya merupakan satu kepura-puraan yang kononnya memberikan kita pilihan untuk memilih siapa yang seharusnya menguasai kita. Analisa beliau dalam membedah persoalan keperluan krisis sebagai ejen perubahan juga sangat relevan bagi saya. Beliau mengembangkan lagi idea ini, bagi beliau krisis tidak semestinya melahirkan perubahan, malah ia boleh sahaja menjadi alat untuk menguatkan lagi status quo. Apa yang penting adalah naratif mana yang lebih kuat dalam mengetengahkan tafsiran mereka ke atas sesebuah krisis. Selepas membaca tulisan Žižek ini, saya kekal skeptik bahawa masa depan akan menjadi milik komunis, namun dalam masa yang sama, saya merasakan cubaan Žižek dalam membahaskannya mempunyai sumbangan kepada percambahan pemikiran.

Bibliografi

Caballero, Ricardo J. . 2010. “Creative destruction.” In Economic growth, 24-29. London: Palgrave Macmillan UK.

Chang, Ha-Joon. 2011. 23 Things They Don’t Tell You About Capitalism. Penguin.

D’Amato, Paul. 2014. The Meaning of Marxism. Haymarket Books.

2003. Freedom under fire: Dissent in post‐9/11 America. New York: American Civil Liberties Union.

Friedman, Milton. 2002. Capitalism and Freedom (40th Anniversary). University of Chicago Press.

Fukuyama, Francis. 2006. The End of History and The Last Man. Free Press.

Khairy Jamaluddin, and Shahril Hamdan. 2023. “Podcast Keluar Sekejap Episod Ke-32.” Tiong King Sing di KLIA, Kecerdasan Buatan (AI) – What’s next?, Rusuhan di Perancis. July 04. Accessed July 08, 2023. https://www.youtube.com/watch?v=5yyB-Wk5M-k.

Khan, Ali. July 29 (2006). “The War Crime Machine: Defeating the IDF.” Counterpunch 30.

Krause, Paul. 2019. “Karl Marx’s Dialectical Historicism.” Discourses on Minerva. October 28. Accessed July 19, 2023. https://minervawisdom.com/2019/10/28/karl-marxs-dialectical-historicism/.

Said, Edward W. 1991. Orientalism: Western Conceptions of the Orient. Penguin.

Swee Chai Ang. 2019. From Beirut to Jerusalem. Islamic Book Trust.

Syed Ahmad Fathi. 2022. Lalang di Lautan Ideologi. Cukong Press.

—. 2020. Life Full of Reading: A Collection of Book Reviews. Independent Insight.

—. 2022. “Meninjau Pemikiran Edward Wadie Said Dalam Orientalism: Perihal Konstruksi Barat Terhadap Timur.” Sesi Mengopi Bersama JC IIUM.

—. 2019. “Nota-nota peribadi di PBAKL 2019.” Meniti Jambatan Masa. April 08. Accessed June 26, 2023. https://bersamakepuncak.blogspot.com/2019/04/nota-nota-peribadi-di-pbakl-2019.html.

Syed Ahmad Fathi. 2023. “Pemikiran Sejarah Edward Carr.” Nota Pemikir Sejarah.

—. 2023. “Perbahasan & Wacana Yang Sia-Sia.” Independent Insight. June 12. Accessed July 08, 2023. https://theindependentinsight.com/2023/06/12/perbahasan-wacana-yang-sia-sia/.

—. 2016. “The Big Short.” Meniti Jambatan Masa. July 16. Accessed June 3, 2023. https://bersamakepuncak.blogspot.com/2016/07/the-big-short.html.

Zakaria, Fareed. 2004. The Future of Freedom: Illiberal Democracy at Home and Abroad. W. W. Norton & Company.

Žižek, Slavoj. 2009. First As Tragedy, Then As Farce. London: Verso.


[1] Syed Ahmad Fathi. Lalang di Lautan Ideologi. Cukong Press, 2022.

[2] Slavoj Žižek. First As Tragedy, Then As Farce. Verso, London, 2009.

[3] Ibid., hlm. 6.

[4] Ibid., hlm. 37.

[5] Ibid., hlm. 2.

[6] Syed Ahmad Fathi. Life Full of Reading: A Collection of Book Reviews. Independent Insight, 2020. Hlm. 4-10.

[7] Syed Ahmad Fathi. “Pemikiran Sejarah Edward H. Carr.” Nota Pemikir Sejarah (2023).

[8] Paul Krause. Karl Marx’s Dialectical Historicism. Discourses on Minerva, 28 October 2019. Pautan: https://minervawisdom.com/2019/10/28/karl-marxs-dialectical-historicism/

[9] Francis Fukuyama. The End of History and The Last Man. Free Press, 2006.

[10] First As Tragedy, Then As Farce, hlm. 5.

[11] American Civil Liberties Union. “Freedom under fire: Dissent in post‐9/11 America.” (2003).

[12] Syed Ahmad Fathi. “The Big Short”. Meniti Jambatan Masa, 16 Julai 2016. Pautan: https://bersamakepuncak.blogspot.com/2016/07/the-big-short.html

[13] Khairy Jamaluddin, Shahril Hamdan. Podcast Keluar Sekejap Episod Ke-32. “Tiong King Sing di KLIA, Kecerdasan Buatan (AI) – What’s next?, Rusuhan di Perancis”. 04 Julai 2023. Pautan: https://www.youtube.com/watch?v=5yyB-Wk5M-k

[14] First As Tragedy, Then As Farce, hlm. 88.

[15] Ibid., hlm. 145.

[16] Ibid., hlm. 102.

[17] Ibid., hlm. 106.

[18] Ibid., hlm. 133.

[19] Ibid., hlm. 135.

[20] Ibid., hlm. 136-7.

[21] Fareed Zakaria. The Future of Freedom: Illiberal Democracy at Home and Abroad. W W Norton, 2004.

[22] First As Tragedy, Then As Farce., hlm 6.

[23] Ibid., hlm. 39.

[24] Ibid., hlm. 108.

[25] Ibid., hlm. 115.

[26] Edward W. Said. Orientalism: Western Conceptions of the Orient. Penguin, 1991. Lihat halaman 153-155.

[27] Syed Ahmad Fathi. “Meninjau Pemikiran Edward Wadie Said Dalam Orientalism: Perihal Konstruksi Barat Terhadap Timur.” Sesi Mengopi Bersama JC IIUM, 2022.

[28] First As Tragedy, Then As Farce. hlm. 116.

[29] Ibid., hlm. 116.

[30] Ibid., hlm. 117.

[31] Ibid., hlm. 7.

[32] Ibid., hlm. 60-61.

[33] Ibid., hlm. 72-73.

[34] Ibid., hlm. 142-3.

[35] Ibid., hlm. 153.

[36] Ibid., hlm. 88.

[37] Syed Ahmad Fathi. Perbahasan & Wacana Yang Sia-Sia. Independent Insight, 12 Jun 2023. Pautan:

Perbahasan & Wacana Yang Sia-Sia

[38] First As Tragedy, Then As Farce, hlm. 89.

[39] Ibid., hlm. 89.

[40] Ibid., hlm. 90.

[41] Ibid., hlm. 10.

[42] Ibid., hlm. 12.

[43] Ibid., hlm. 13.

[44] Ibid., hlm. 16.

[45] Paul D’Amato. The Meaning of Marxism. Haymarket Books, 2014.

[46] First As Tragedy, Then As Farce, hlm. 16.

[47] Ha-Joon Chang. 23 things they don’t tell you about capitalism. Penguin Books, 2010.

[48] Milton Friedman. Capitalism and freedom. University of Chicago press, 2002.

[49] First As Tragedy, Then As Farce, hlm. 17.

[50] Ibid., hlm. 19.

[51] Ibid., hlm. 25.

[52] Ibid., hlm. 28-29.

[53] Ibid., hlm. 32.

[54] Ibid., hlm. 33.

[55] Ibid., hlm. 110.

[56] Ibid., hlm. 142.

[57] Syed Ahmad Fathi. “Nota-nota peribadi di PBAKL 2019”. Meniti Jambatan Masa, 8 April 2019.

[58] First As Tragedy, Then As Farce, hlm. 34-35.

[59] Ibid., hlm. 52-53.

[60] Ibid., hlm. 96.

[61] Ibid., hlm. 103.

[62] Ricardo J. Caballero “Creative destruction.” In Economic growth, pp. 24-29. London: Palgrave Macmillan UK, 2010.

[63] First As Tragedy, Then As Farce,  hlm. 130.

[64] Ibid.,  hlm. 39.

[65] Ibid., hlm. 40.

[66] Ibid., hlm. 41.

[67] Ali Khan. “The War Crime Machine: Defeating the IDF.” Counterpunch, July 29 (2006): 30.

[68] Swee Chai Ang. From Beirut to Jerusalem. Islamic Book Trust, 2019.

[69] First As Tragedy, Then As Farce, hlm. 70.

[70] Ibid., hlm. 74.

[71] Ibid., hlm. 47.

[72] Ibid., hlm. 111.

[73] Ibid., hlm. 115.

[74] Ibid., hlm. 51.

[75] Ibid., hlm. 108.

[76] Ibid., hlm. 104.

[77] Ibid., hlm. 105.

[78] Ibid., hlm. 86-87.

[79] Ibid., hlm. 91.

[80] Ibid., hlm. 92.

[81] Ibid., hlm. 104.

[82] Ibid., hlm. 95.

[83] Ibid., hlm. 97.

[84] Ibid., hlm. 99.

[85] Ibid., hlm. 125.

[86] Ibid., hlm. 149.

[87] Ibid., hlm. 154.

[88] Ibid., hlm. 156.

Analisa-Zizek-Terhadap-Persoalan-Adakah-Komunisma-Masih-Relevan-di-Abad-Ke-21Download
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Reviu Buku Tagged With: First As Tragedy, Lalang di Lautan Ideologi, Slavoj Žižek, Then As Farce

Apakah Makna Pesta Buku Buat Seorang Penulis?

June 23, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Pesta buku yang terbesar di Malaysia adalah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Dalam ingatan saya, pertama kali saya menghadirinya adalah ketika usia saya 15 tahun, sewaktu itu ia diadakan di Putra World Trade Centre (PWTC). Pada saya berusia 16 tahun, tempatnya ditukar ke MAEPS, Serdang. Ini adalah memori awal saya perihal pesta buku. Namun menurut ibu saya, sebenarnya saya pernah ke pesta buku lebih awal. Kata ibu saya pernah ke PBAKL bersamanya semasa berumur 2 tahun dan hilang dari pantauan beliau, namun selepas itu ibu berjaya menjumpai saya yang hilang apabila urusetia membuat pengumuman ada anak hilang di kaunter. Namun memori ini terlalu awal, hanya ibu saya yang mengingatinya, saya sendiri tidak dapat menemukan memori ini dalam ingatan.

Semasa saya menghadiri PBAKL pada usia belasan tahun itu, antara yang saya perhatikan dan ia kemudian menjadi titik kritikan saya adalah perkataan “antarabangsa” dalam PBAKL yang tidak diterjemahkan dalam senarai pempamer. Kerana pada ketika itu, minat membaca saya adalah pada buku-buku dari luar negara terutamanya buku berbahasa Inggeris. Pada masa ini, saya ke pesta buku sebagai pembaca, pembaca kepada buku-buku berbahasa Inggeris. Juga mungkin saya boleh tambah, pembaca yang naif.

Pandangan saya tentang pesta buku berubah pada tahun 2019. Kerana pada tahun tersebut, saya tidak lagi hadir ke pesta buku sebagai pembaca, tetapi sebagai seorang pembaca dan juga penulis. Pada tahun 2018, saya menerbitkan buku Berfikir Tentang Pemikiran secara swaterbit, dan teman saya, Izzat Ibrahim mengajak saya menjual buku bersamanya di reruai mandiri semasa PBAKL 2019. Pada ketika itu saya mula belajar perihal industri buku, bukan lagi sebagai pembaca yang naif, tetapi sebagai pembaca, penulis, dan juga penjual buku. Saya bertemu ramai orang pada ketika itu dan jaringan saya bersama “orang-orang buku” bermula. Saya tiba-tiba disedut masuk ke dalam dunia buku, di dalamnya ada penjual buku, aktivis buku, kolektor buku, penganjur wacana buku, pengkritik buku, pengossip buku, penerbit buku, editor buku, penulis buku, penganjur acara buku, pencetak buku, dan lain-lain. Baru saya sedar bahawa buku itu ada dunianya yang tersendiri, dan pesta buku merupakan sarang mereka bertemu.

Sejak dari itu saya mula melihat pesta buku ini dari kacamata tempatan, kacamata ekosistem buku, kacamata penulis, bukan lagi sebagai seorang pembaca buku-buku Inggeris. Saya masih kekal membaca buku-buku Inggeris, tetapi saya kini sedar bahawa PBAKL bukanlah tempatnya. Buku-buku Inggeris saya biasanya akan datang dari kedai buku internasional dalam talian seperti Book Depository (sudah di tutup), Abe Books dan Bookfinder. Juga kedai buku dan acara buku di luar talian seperti Kinokuniya dan Big Bad Wolf. Ada kalanya saya mencari buku terpakai di Chowrasta Market, Pulau Pinang, juga dari dalam talian di portal seperti Books n Bobs dan Bookaholics Anonymous. Saya tidak lagi mempunyai jangkaan naif bahawa banyak buku-buku Inggeris boleh didapatkan di pesta buku di Kuala Lumpur.

Selepas 2019, saya mula ke PBAKL sebagai penulis. Dari sudut penerbit dan kedai buku yang menjadi pempamer, persoalan utama pastilah tentang pemasaran dan jualan buku. Mereka masuk dengan modal yang besar, jadi untung dan rugi menjadi kriteria utama. Analisis perihal trend pembaca, trafik pengunjung, dan juga statistik perbelanjaan pengunjung, merupakan perkara-perkara yang akan diperhalusi pasca-PBAKL. Namun, saya ingin membawakan sudut yang lain, iaitu sudut penulis. Apa yang diharapkan oleh penulis dari sebuah pesta buku?

Bagi saya, yang pertama adalah penulis mahu berjumpa dengan pembacanya secara bersemuka. Dengan ini penulis dapat mengambil maklum balas secara primer dari pembaca. Tidak semua pembaca selesa menyuarakan pandangan mereka tentang sesuatu buku secara terbuka. Jadi pesta buku merupakan tempat yang sesuai bagi mereka bertemu dengan penulis dan menyuarakan pendapat mereka. Mereka tidak semestinya bersetuju dengan semua yang ditulis oleh penulis. Mereka juga boleh memberi kritikan, pandangan balas, juga cadangan tentang bagaimana untuk menambah baik lagi mutu dan juga kandungan penulisan.

Apabila penulis dapat bertemu dengan pembaca, mereka dapat memahami bagaimana selera dan juga bentuk khalayak yang membaca buku mereka. Oleh itu, mereka dapat memahami bentuk penulisan yang sesuai untuk diketengahkan dalam penulisan seterusnya. Bagi saya, penulis yang baik bukan sahaja menulis berdasarkan pengalaman, pemikiran, dan kefahamannya, tetapi dia mestilah mengenali latar pembacanya dan dapat memberikan sesuatu yang sesuai buat mereka. Tentulah dia tidak dapat memahami satu bentuk pola pembaca sahaja apabila bertemu dengan pembaca, tetapi, semakin ramai pembaca yang ditemuinya, dia akan mendapat gambaran yang lebih jelas perihal pola dan latar pembaca. Dari pembaca yang datang bertemu dengannya, dia dapat menjangka demografi pembacanya, juga menyesuaikan laras penulisannya.

Kedua, selain menemui pembaca, pesta buku merupakan laman yang mekar bagi penulis untuk bertemu dengan para penerbit. Para penerbit sedia ada, dan juga penerbit-penerbit lain yang bakal menjadi penerbitnya. Setiap penerbit mempunyai niche dan kecenderungan masing-masing. Oleh itu, penulis hendaklah mempunyai pengetahuan perihal syarikat penerbitan. Pemahaman perihal syarikat penerbitan ini bukan sahaja perihal niche penerbitan mereka, malah perihal tatakelola dan juga bagaimana mereka beroperasi. Tidak semua penerbit yang ada adalah penerbit yang baik, ada juga penerbit yang bersifat pemangsa, yang mempergunakan penulis bagi membuat keuntungan tanpa memberi mereka pampasan yang sewajarnya. Oleh itu, dengan menghadiri pesta buku, penulis bukan sahaja perlu memahami penerbit secara luaran, tetapi dia juga harus peka dengan nadi dan denyut dunia penerbitan, memasang telinga dan mendengar suara-suara yang berbisik-bisik di celah-celah reruai pempamer.

Seorang penulis bagi saya tidak perlu setia kepada hanya satu penerbit. Jika dia menulis karya dalam pelbagai genre, dia wajar mempunyai lebih dari satu penerbit. Setiap penerbit mempunyai tribe dan pengikut yang berbeza, dengan menerbitkan karya dengan penerbit yang memfokuskan penerbitan dalam genre yang bersesuaian, sesuatu karya itu akan mudah mendapat liputan yang meluas dalam kalangan pembaca. Penulis akan menikmati readership yang lebih luas, berpatutan dengan genre penulisannya.

Saya teringat perbualan saya di atas talian bersama Zahiruddin Zabidi, seorang penulis yang banyak menulis buku keagamaan. Beliau berpandangan bahawa sebagai penulis “kita mahu karya kita malar hijau. Menjadi rujukan bidang dan ada sumbangan signifikan dalam dunia intelektual”. Beliau juga berpandangan bahawa karya berbentuk himpunan rencana dan artikel pendek akan deras ditelan zaman sekali pun penulisnya mapan. Beliau mencadangkan agar saya menulis buku berbentuk monograf yang mempunyai satu tema dan berstruktur. Buku berbentuk tematik ini bagi beliau lebih berdaya tahan apabila berlalunya edaran masa. Saya bersetuju dengan pandangannya, dan ada juga menyimpan niat untuk menulis penulisan berbentuk seperti ini. Namun masalah terbesar saya adalah kekangan masa, saya bukan penulis sepenuh masa, saya punya kerja hakiki yang lain. Jadi untuk duduk dalam masa yang lama menulis perihal hanya satu tema merupakan satu cabaran yang sukar. Mungkin nanti jika saya berpeluang mengambil sabatikal, saya akan berusaha ke arah ini.

Saya juga teringat akan perbincangan saya bersama seorang penerbit di Taman Kosas, Ampang tidak lama dahulu. Beliau berpandangan bahawa penerbit yang baik bukan merupakan penerbit yang paling banyak menerbitkan judul. Tetapi penerbit yang berjaya membangunkan penulis. Karya yang dihasilkan penulis diulang cetak, dikemaskini, diperbaiki dengan susun atur dan reka sampul baharu, diberi kata aluan baharu, dalam kata lain, penerbit itu memastikan judul yang diterbitkannya sentiasa ada di pasaran, terus diperbaiki dari satu edisi ke edisi baharu. Hal ini ada kaitannya dengan isu “malar hijau” sesuatu karya. Dalam erti kata lain, penerbit yang baik akan sentiasa memperbaiki dan memastikan karya terbitannya sentiasa malar dan hijau dalam pasaran. Mengembangkannya kepada pembaca-pembaca baharu.

Hal ini menyampaikan kepada poin saya yang ketiga perihal makna pesta buku kepada seorang penulis. Iaitu memastikan karya-karyanya bersifat malar hijau dan terus berada di pasaran. Menulis buku bukan satu perkara yang mudah dan singkat. Oleh itu, penulis bukan perlu berkejar-kejar melahirkan buku baharu setiap tahun. Tetapi dia harus membantu mempromosikan buku-bukunya yang sedia ada ke pasaran yang lebih luas. Agar mencapai readership yang lebih luas. Hal ini dapat dicapai dengan menghadirkan diri ke pesta buku. Kerana pesta buku bukan sahaja dikunjungi oleh pembaca lama, ia juga dikunjungi oleh pembaca baharu. Oleh itu, dengan menghadiri pesta buku, penulis dapat memperkenalkan tulisannya kepada pembaca-pembaca baharu dalam masa yang sama mengembangkan lagi lingkungan pembacanya.

Malar hijau juga membawa erti bahawa karya seorang penulis itu terus dicetak apabila stok habis terjual. Dari sudut pandang penerbit, mungkin menghabiskan stok merupakan satu keutamaan kerana mereka memerlukan semula modal yang sudah dilabur. Namun sudut pandang penerbit dan penulis mungkin tidak sama, penulis bukan sahaja mahukan stok bukunya habis dijual, dia juga mahukan stok bukunya kekal ada selepas ianya habis. Kerana karya yang baik bukanlah karya yang meletup sekali sahaja, tetapi harus meletup berkali-kali. Inilah sebenarnya definisi malar hijau, ia tidak hanya diketahui oleh satu generasi, tetapi mengalir ke generasi yang lain. Isi sesebuah karya mungkin sama, tetapi penafsiran terhadap teks yang sama akan berubah mengikut generasi. Setiap generasi akan menafsirkan teks mengikut latar dan semangat zaman mereka.

Keempat, menghadirkan diri ke pesta buku, selain dapat bertemu pembaca dan penerbit, penulis dapat membina jaringan komuniti. Seperti yang saya sebutkan dalam pendahuluan saya, buku ini mempunyai dunianya yang tersendiri. Jika seorang penulis itu rajin ke pesta buku, rajin berbudi dan berbahasa, sedikit demi sedikit, dia akan diserap ke alam lain, iaitu “alam buku”. Alam buku bukan sahaja terdiri dari pembaca dan penerbit, tetapi lebih luas dengan keberadaan aktor lain seperti penyunting, kolektor, pengkritik, aktivis, dan lain-lain. Dengan bersama dalam sebuah jaringan, penulis akan lebih cakna akan perkembangan dunia buku dan dapat mencari posisi yang paling sesuai bagi menempatkan dirinya.

Seperti yang saya tulis berulang kali dalam buku Dua Sayap Ilmu bahawa “dengan membaca kita berbicara dengan generasi lalu, dengan menulis kita berbicara dengan generasi akan datang”, saya berpandangan bahawa seorang penulis itu tidak boleh memisahkan dirinya dengan membaca. Sarjana seperti E.H. Carr berpandangan bahawa membaca dan menulis itu satu proses yang sama dan perlu berjalan seiring. Sebab itu, pada pandangan saya, yang merupakan poin yang kelima dan terakhir, tentang makna pesta buku bagi seorang penulis adalah pesta buku itu berfungsi sebagai sebuah ladang. Ladang kepada seorang penulis itu untuk menambah bahan bacaannya sendiri. Seorang penulis tidak akan menjadi penulis yang baik sekiranya dia sendiri bukan seorang pembaca.

Dengan membaca, seorang penulis sebenarnya sedang menajamkan mata penanya. Dengan membaca, seorang penulis itu sedang melebarkan lagi lembaran kefahamannya. Dia dapat meneroka alam fikir baharu dan mampu masuk ke gelanggang permainan yang baharu. Jika penulis itu sekadar seronok dengan karya-karya lamanya, dia akan segera ditelan zaman, pemikirannya menjadi kaku, dakwatnya tidak lagi dapat merangsang fikir. Aksaranya tidak lagi akan membumi dan buah fikirnya tidak lagi terasa manis untuk dinikmati usai peredaran masa. Penulis yang membaca dapat merawat rawan pembacanya, dia mampu memahami degup nadi semasa bangsanya. Lantas penanya dapat digunakan untuk membangunkan penyelesaian, bicaranya sesuai dengan masalah semasa dalam masyarakat. Dalam kata lain, untai-untai kata-katanya dapat mengarah kepada perubahan yang baik dalam masyarakat. Kerana pada perkiraan saya, itulah fungsi penulis, dia bukan hadir untuk mengkhayalkan pembaca dengan bait-bait yang enak tetapi tidak bermakna, tetapi dia haruslah mampu menjadi ejen pembaikan sosial dengan menggerakkan pembacanya untuk bekerja dan berusaha. Maka dengan untaian kesimpulan itu, bagi saya, inilah makna-makna sebuah pesta buku buat penulis.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana

Perbahasan & Wacana Yang Sia-Sia

June 12, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Pierre-Antoine Demachy (1723-1807).

Saya kira menjadi satu fesyen golongan yang merasakan diri mereka progresif, liberal, tercerah, dan lain-lain mengkritik golongan yang berfahaman konservatif. Saya bukanlah mahu menggunakan terma seperti progresif, liberal, dan tercerah ini sebagai satu terma pejoratif, tetapi bagi menggambarkan satu bentuk gaya fikir. Untuk memudahkan tulisan ini, saya akan gabungkan kesemuanya sebagai “golongan tercerah”, walaupun saya faham, setiap aliran fikir yang disebut mempunyai nuansa masing-masing.


Fesyen ini menjadi lebih hangat, apabila medan pemikiran ini tidak wujud secara isolasi, tetapi bergabung dengan medan politik dan kuasa. Di Malaysia misalnya, kritikan ini sering dihalakan kepada parti yang menggunakan jenama Islam, mereka dicemuh sebagai konservatif, terkebelakang, fanatik, jumud, dan lain-lain. Saya lama juga memerhatikan hal ini, dan termenung berfikir tentangnya. Sekarang, gerakan Islam ini digelar pula sebagai arus baharu yang menakutkan seperti “the green wave”.


Cuma dalam pemerhatian dan renungan saya, wacana, perbahasan, dan kritikan golongan tercerah ini mempunyai satu ketempangan. Mungkin laras bahasanya hebat, lenggok bahasanya bersastera seni, jargonnya setinggi menara gading, dan intelektual dan logiknya bertaraf scopus, namun adakah ia berakar dalam masyarakat dan menghasilkan gerakan massa? Atau ia hanya menjadi acara wacana yang memberikan kenikmatan pada intelektual, namun usai bicara, masing-masing pulang tidur. Adakah jurnal berimpak tinggi itu dapat dibaca dan difahami oleh masyarakat di perkampungan orang asli di Air Banun misalnya? Dalam kata lain cukupkah wacana tanpa ada kader yang menggerakkannya?


Karl Marx pernah menulis bahawa sejarah tidak mampu berbuat apa-apa, ia tidak mempunyai harta, tidak mampu berjuang dalam perang, tetapi manusialah, manusia yang hidup yang mempunyai harta dan mampu berjuang. Saya kira begitu juga dengan wacana-wacana tercerah ini, secerah mana pun idea yang dibawa, jika tiada manusia yang menggerakkannya, idea itu tiada fungsi yang praktikal. Ia akan duduk dalam helaian manuskrip, disusun pada rak almari paling tinggi dalam perpustakaan berhawa dingin tetapi tidak disentuh oleh sesiapa.


Sebab itu sejarawan Eric Hobsbawm pernah ditanya semasa temu bualnya bersama Christopher Hitchens. Penanya soalan itu bertanya perihal apa yang ditulis oleh Bertrand Russell bahawa masalah dunia adalah apabila orang-orang bodoh dan fanatik menjadi begitu yakin dan orang-orang bijak penuh dengan keraguan. Hobsbawm menolak pemikiran Russell ini, katanya dalam hal ini Russell tidak boleh dipakai. Hobsbawm yang telah melihat, memerhati, merekod, dan menulis sejarah sejak sekian lama menyatakan bahawa orang-orang fanatik yang mempunyai keyakinan yang jitu, orang-orang yang yakin dengan idea mereka, tanpa mereka, perubahan tidak akan berlaku. Dalam kata lain, perubahan hanya akan berlaku apabila ada manusia yang benar-benar yakin dengan ideanya dan bergerak menjayakannya. Mereka yakin bahawa dunia ini mampu diubah, tidak duduk diam atau sekadar berwacana, tetapi melakukan kerja-kerja sukar dalam menjayakannya. Dalam kata lain, mereka tidak hanya beridea, tetapi mereka mengotorkan tangan mereka dengan usaha yang gigih.


Masalah pada wacana-wacana tercerah ini kebanyakannya menganjur kepada fahaman yang berbentuk individualistik. Pada mereka, apa yang betul adalah apa yang dirasakan betul oleh perasaan peribadi, manusia hidup secara atom dan terpisah, dan tiada gerakan massa. Semuanya terpecah pada kelompok tercerah masing-masing. Hal ini bagus untuk kebebasan berfikir, tetapi ia tidak mampu melahirkan perubahan massa. Perubahan bukan berlaku kerana kecerahan sesuatu idea, tetapi apabila sesuatu idea dapat menggerakkan masyarakat massa. Bak kata Lenin “Politics begin where the masses are, not where there are thousands, but where there are millions, that is where serious politics begin”.


Oleh itu wacana, simposium, konferens, atau sesi diskusi paling kritis dalam seluruh cakrawala pun, jika ia tidak mampu membentuk gerakan massa, ia hanya akan tinggal sebagai satu idea. Idea tidak mempunyai darah dan air mata yang merupakan harga kepada sebuah perjuangan. Ia memerlukan manusia-manusia yang hidup yang mampu beramal.
Ini berbeza dengan pihak yang mereka gelar sebagai konservatif, mereka bukan sahaja mempunyai idea, tetapi mereka mempunyai pekerja. Mereka mempunyai sistem pendidikan yang berakar dalam masyarakat, dari tadika hingga ke universiti. Mereka bekerja dan melibatkan keluarga mereka bersama, kerana mereka tidak memisahkan agama dengan kehidupan. Natijah dari gerakan mereka bukanlah kelahiran individu tercerah dengan idea yang kritis, tetapi keluarga-keluarga yang iltizam dan istiqamah dengan perjuangan mereka. Mereka berada dalam masyarakat, hidup bersama masyarakat dalam susah dan senang, menggerakkan masyarakat, malah masyarakat menganggap mereka sebahagian dari mereka. Mereka tidak dilihat sebagai orang luar yang hanya mampu menyindir.


Saya melihat, warga-warga yang tercerah ini, jika mereka serius dengan idea mereka. Mereka perlu keluar menjadi pekerja kepada idea mereka. Bukan melepak dan tidur selepas habis wacana. Paling mereka boleh lakukan adalah menyindir di media sosial namun tiada gerakan massa. Jika mereka benar dengan idea mereka, maka mereka perlu bekerja. Jika tidak, golongan tercerah ini saya kira akan menjadi seperti apa yang ditulis oleh Slavoj Zizek dalam kritiknya terhadap kegagalan gerakan kiri pada masa kini. Mereka hanya mampu mengejek orang lain “vencereis, pero no convencereis”, tetapi akhirnya mereka tetap akan kekal kalah.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana Tagged With: green wave, Malaysia, pemikiran, politik

Membebaskan Sains Dari Dogma

May 21, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Saya membaca buku Richard Dawkins pada tahun 2016, kira-kira sudah 7 tahun lalu. Bukunya bertajuk The God Delusion yang mana beliau menyerang pandangan hidup beragama yang baginya merupakan delusi manusia. Dawkins memang masyhur sebagai seorang ateis yang militan. Buku ini begitu terkenal dan tersebar luas, malah buku Dawkins ini turut dibaca oleh mufti Perlis, dan ada disebutkan dalam bukunya Aku Ingin Kembara Lagi.

Bagi Dawkins, agama adalah musuh pemikiran logik akal, kata beliau “the enemy of reason”. Namun buku tersebut tidaklah begitu memukul saya, walaupun ia merupakan serangan kepada pandangan hidup beragama, contoh-contoh dan serangan beliau lebih memfokuskan serangan terhadap agama Kristian. Sebagai seorang Islam, saya tidak merasa begitu terpukul, walaupun secara umumnya beliau menyerang semua agama.

Kini, setelah 7 tahun, barulah saya jumpa lawan kepada buku The God Delusion yang mengambil tajuk yang provokatif dan bersifat perlian, iaitu The Science Delusion. Buku tulisan Rupert Sheldrake ini memang rare, saya mencarinya di Kinokuniya pun tiada, di Kinokuniya yang bersepah adalah buku-buku Dawkins. Bagi saya Sheldrake adalah lawan yang lethal bagi Dawkins, Dawkins pernah menjemputnya dalam dokumentari “The Enemy of Reason” tetapi menolak untuk membincangkan data-data dari kajian Sheldrake. Dawkins hanya mahu memaparkan sisi fahaman ekstrem sainsnya sahaja, ia tidak lebih dari dogma.

Kenapa saya kira Sheldrake merupakan lawan Dawkins yang sebenar? Kerana Sheldrake merupakan saintis yang solid, dia lahir dari akademi sains yang mainstream walaupun pandangannya tidak mainstream. Bagi Sheldrake, paradigma sains yang hanya berasaskan materialisme merupakan paradigma yang dogmatik yang dipaksakan pada masyarakat dan tidak dapat menerangkan keseluruhan fenomena alam. Dan Sheldrake tidak hanya membawa kata-kata, tetapi bukti dan kajian eksperimen.

Berbeza dengan hujah orang lain yang menolak dogma Dawkins yang biasanya menggunakan hujah metafizik, teleologikal, kosmologi kalam, falsafah dan sebagainya. Sheldrake yang merupakan ahli biologi yang sama seperti Dawkins, beliau membawa hujah sainsnya melawan hujah sains Dawkins. Kajian sains beliau tidak hanya ditulis dalam tulisan popular, tetapi kajian eksperimen Sheldrake diterbitkan dalam jurnal sains yang mempunyai peer review.

Eksperimen beliau melangkaui batasan sains yang digariskan saintis yang berfahaman materialis. Contohnya telepathy, gelombang minda, dan lain-lain. Bagi Sheldrake matter (jisim) mempunyai consciousness (kesedaran), ini sangat ditentang oleh saintis yang berfahaman materialis. Menurut Sheldrake, perasaan perlu diterima sebagai daerah sains kerana perasaan adalah pengalaman yang dirasai manusia. Sains adalah berdasarkan pengalaman, jadi ini tidak dapat ditolak. Pastilah beliau tidak terlepas dari gelaran “pseudo-science” dan gelaran-gelaran lain. Tetapi semua gelaran ini tidak mematahkan semangatnya. Malah dia terus melakukan eksperimen terhadap bidang-bidang kajian yang dianggap tidak dapat dikaji oleh sains materialis.

Bagi yang pernah membaca The God Delusion, saya sarankan anda menyambungnya dengan The Science Delusion.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana Tagged With: richard dawkins, rupert sheldrake, science delusion

Menikmati Cebisan Dari Lapangan Emas al-Mas’udi Sang Herodotus Arab

May 17, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Saya pertama kali mengenali tulisan al-Mas’udi dari kritikan yang dilemparkan kepadanya oleh Ibnu Khaldun. Bagi Ibnu Khaldun, walaupun hasil tulisan al-Mas’udi merupakan tulisan sejarah yang terkemuka, beliau berpendapat banyak fakta di dalamnya tidak tepat dan disalin semula dengan tidak kritikal. Bagi Ibnu Khaldun, al-Mas’udi tidak mengkritik sumbernya dan tidak menggunakan logik akal dalam menyaring penulisan sejarahnya.[1] Bermula dari kritikan Ibnu Khaldun ini saya mula berkenalan dengan penulisan-penulisan al-Mas’udi dan juga komentar sarjana perihal hasil kerja beliau.

Al-Mas’udi merupakan ahli sejarah yang memberi sumbangan besar kepada perkembangan historiografi Islam pada zaman klasik. Buku sejarahnya yang terkenal bertajuk Muruj al-Zahab wa Ma’adin al-Jauhar, terjemahan ke dalam bahasa Inggeris bertajuk Meadows of Gold and Mines of Gems dan sering dirujuk dengan tajuk yang lebih pendek iaitu Meadows of Gold. Al-Mas’udi menulis sejarah yang komprehensif, beliau juga menguasai subjek seperti geografi, geologi, dan zoologi. Oleh kerana sumbangan luas beliau dalam historiografi pada zaman klasik, beliau dikira setanding dengan Herodotus, dan digelar sebagai Herodotus bagi orang Arab.[2] Antara orang terawal yang memberi gelaran Herodotus Arab kepada al-Mas’udi adalah sarjana orientalis bernama Alfred von Kremer.[3]

Oleh kerana berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut pemikiran al-Mas’udi dan penulisan sejarah beliau, saya telah mendapatkan bukunya. Tetapi apabila buku itu sampai, rupa-rupanya ia bukanlah keseluruhan karya al-Mas’udi, tetapi adalah cebisan dari tulisan beliau yang telah dipilih, naskhah ini merupakan hasil terjemahan Paul Lunde dan Caroline Stone.[4]

Tujuan dan Metodologi Historiografi al-Mas’udi

Bagi al-Mas’udi, usaha penulisan sejarah beliau adalah sebuah usaha untuk menyelamatkan apa yang dijumpainya dalam lombong keilmuan, dari lombong keilmuan ini beliau ingin menyelamatkan cebisan-cebisan ilmu pada zamannya dari dimusnahkan masa. Bagi beliau, penulisan sejarah adalah usaha menyelamatkan masa lalu dari kemusnahan.[5] Al-Mas’udi juga menekankan bahawa tujuan penulisan beliau adalah sejarah, oleh itu beliau tidak mahu membahaskan teori-teori atau pandangan-pandangan.[6] Membahaskan pandangan mungkin menyebabkan kita cenderung untuk memilih pandangan yang bias pada kecenderungan kita. Ini akan menjadikan penulisan sejarah kurang objektif. Oleh itu al-Mas’udi hanya mahu memfokuskan penulisannya pada fakta sejarah. Walaupun al-Mas’udi menyatakan tujuan sebegini, saya kira ia tidaklah begitu berjaya, kerana ada ketikanya beliau membahaskan sesuatu diluar bidang pengetahuannya dan terpaksa bergantung kepada pandangan dan pendapat mereka yang lebih pakar.

Melalui penulisan beliau, kita dapat melihat bagaimana al-Mas’udi menggunakan pelbagai metodologi pengkajian sejarah. Antaranya adalah dengan merujuk sumber-sumber terdahulu. Beliau juga mengembara ke pelbagai negara dan negeri untuk melihat sendiri keadaan di sana sebelum merekodkannya. Sepanjang pengembaraannya, beliau akan menemuramah sarjana, pedagang, juga orang-orang awam yang ditemuinya. Metodologi temuramah ini saya kira mirip dengan metodologi Socrates yang menggunakan dialog dan argumentasi dalam usaha penghasilan ilmu dan kefahaman.[7] Beliau juga bergantung kepada pengembaraan orang lain untuk menulis perihal tempat-tempat yang tidak dilawatinya. Al-Mas’udi juga menyatakan bahawa pengembaraannya untuk mengumpulkan sejarah ini merupakan pengembaraan yang menyiksakan, dia mengutip mutiara-mutiara sepanjang perjalanannya untuk menghasilkan satu penulisan yang berharga.[8]

Al-Mas’udi juga mengakui sendiri bahawa dalam penulisannya, beliau tidak berpihak, beliau tidak menulis untuk mempertahankan mana-mana mazhab atau doktrin. Tujuan penulisan beliau hanyalah sejarah manusia dan bukan perkara lain.[9] Dari naskhah yang saya baca, saya merasakan al-Mas’udi benar dalam pengakuannya ini, penulisan beliau bersifat objektif, tidak merendahkan mana-mana kumpulan secara berlebihan dan tidak juga mengagungkan yang lain secara berlebihan. Kita boleh katakan bahawa beliau menangguhkan pengadilan, dan menulis sejarah sekadar apa yang dilihatnya berlaku tanpa bias ideologikal. Objektiviti sebenarnya bersifat futuristik, seperti yang diungkapkan Carr, dan kita hari ini dapat melihat dengan lebih objektif apa yang ditulis oleh al-Mas’udi kerana horizon sejarah kita kini yang sudah menjadi lebih luas.[10]

Walaupun Ibnu Khaldun mengkritik al-Mas’udi sebagai tidak kritikal dalam menulis sejarah dan mengambil sumber, jika dibaca penulisan al-Mas’udi, beliau ada berusaha membuat verifikasi terhadap faktanya. Sebagai contoh, Jahiz, seorang penulis terkenal di zamannya ada menulis tentang bagaimana badak sumbu mengandungkan anaknya selama 7 tahun, anak badak tersebut akan mengeluarkan kepala untuk meragut rumput dan masuk semula ke dalam perut ibunya. Al-Mas’udi telah bertanya kepada penduduk setempat yang arif perihal badak sumbu, mereka mengatakan proses mengandung dan melahirkan anak badak sumbu adalah sama seperti lembu dan kerbau. Oleh itu bagi al-Mas’udi, fakta yang dibawa Jahiz ini meragukan.[11]

Skop & Kandungan Penulisan al-Mas’udi

Jika dilihat corak historiografi al-Mas’udi, beliau tidak hanya menulis perihal sejarah pemerintahan dan politik di kawasan-kawasan yang diketahuinya. Tetapi beliau membentangkan batas-batas geografi, nama-nama laut, haiwan-haiwan yang ada di tanah yang berbeza, juga adat dan budaya setiap kaum pada lokaliti yang berbeza. Beliau membahaskan sejarah bangsa-bangsa, struktur sosial, raja, dan hiraki politik mereka. Dalam hal ini kita melihat, historiografinya lebih bercorak sejarah seperti aliran pensejarahan Annales. Namun skop batasan geografi al-Mas’udi tidaklah menyeluruh seperti batasan geografi moden, ia terbatas kepada pengetahuan yang ada di zamannya. Lautan Atlantik misalnya, pada zaman itu masih tidak diteroka, ia dianggap laut yang tidak diketahui apa yang ada di hujungnya.[12]

Al-Mas’udi juga menulis perihal sejarah agama-agama lain. Misalnya beliau ada menulis perihal bagaimana Kitab Injil diterjemahkan dari bahasa Hebrew ke dalam bahasa Yunani oleh 72 sarjana di Alexandria, Mesir. Kemudian ia diterjemahkan oleh sarjana-sarjana lain ke dalam bahasa Arab, contohnya terjemahan yang dibuat oleh Hunayn Ibn Ishaq seorang sarjana Kristian aliran Nestorian, menurut al-Mas’udi terjemahan Hunayn adalah terjemahan yang paling tepat.[13] Sarjana lain berpandangan, penterjemahan dari Hebrew ke Yunani ini berlaku pada abad ke-3 Masehi di Alexandria. Ia dilakukan kerana kaum Yahudi di Alexandria pada ketika itu sudah tidak lagi bertutur dalam bahasa Hebrew, naskah terjemahan ini kemudian diberi nama Septuagint.[14]

Seperti yang dikritik oleh Ibnu Khaldun, dalam penulisan al-Mas’udi memang terdapat fakta yang tidak tepat. Pada naskhah From The Meadows of Gold, yang merupakan terjemahan moden dan seleksi terpilih dari naskhah asal, apabila terdapat kesalahan fakta, perkara ini dinotakan oleh sarjana seterusnya. Contohnya al-Mas’udi menyatakan bahawa Raja Cyrus memerintah Parsi semasa kelahiran Nabi Isa, fakta ini tidak tepat dan ia telah dinotakan.[15]

Al-Mas’udi juga menulis tentang pemerhatiannya tentang bagaimana keilmuan Yunani mengalami keruntuhan. Ilmu-ilmu sains pada awalnya dikembangkan oleh orang-orang Yunani, kemudian ia disambut oleh bangsa Rom. Menurut al-Mas’udi, keilmuan yang dibangunkan itu umpama bangunan yang tinggi, dengan asas yang kukuh. Namun keilmuan ini musnah apabila agama Kristian muncul di Byzantine, api ilmu terpadam dan penemuan-penemuan orang Yunani pupus. Catatan al-Mas’udi berkenaan dengan kemusnahan keilmuan yang berlaku apabila Kristian mula tersebar ini turut mendapat perhatian penulis kontemporari. Sebagai contoh, Catherine Nixey yang menulis tentang bagaimana Kristian menghancurkan dunia Romawi dan Yunani mengambil catatan al-Mas’udi ini dan dimasukkan di hujung bukunya.[16] Nixey dalam bukunya sangat agresif menyerang agama Kristian yang baginya merosakkan bukan sahaja keilmuan, malah budaya, falsafah dan juga seni masyarakat Rom dan Yunani pada zaman klasik.[17]

Menulis perihal Mesir, al-Mas’udi menghuraikan penemuan-penemuan kuil pada zaman dahulu dengan inskripsi yang tidak dapat difahami. Pada zaman tersebut, sarjana masih belum berjaya menafsirkan tulisan hieroglyph yang menjadi inskripsi di kuil-kuil ini. Hari ini perkara ini sudah dapat dilakukan hasil usaha yang dilakukan oleh sarjana seperti Thomas Young dan Jean-Francois Champollion dari tahun 1814 hingga 1823.[18] Namun menurut al-Mas’udi, pada zaman tersebut, ada cubaan untuk memahami hieroglyph, contohnya oleh Dhu al-Nun al-Misri yang menulis bahawa dia dapat memahami beberapa inskripsi, satu inskripsi yang diterjemahkan beliau berbunyi:

“Nasib telah dikunci dan takdir ketawa”.[19]

Nusantara, China dan Negeri Kedah dalam Penulisan al-Mas’udi

Sebagai warganegara Malaysia, tentulah saya berminat apabila al-Mas’udi menyentuh sejarah dan kawasan di Nusantara. Al-Mas’udi tamat menulis bukunya Meadows of Gold pada tahun 947 Masehi di Fustat, Mesir.[20] Menurut kajian kontemporari, jika dibuat perbandingan garis masa, zaman ketika al-Mas’udi mengarang kitabnya, iaitu sekitar abad ke-10 Masehi, di Nusantara pada ketika itu berdirinya Kerajaan Srivijaya di mana ibu kota kerajaan ini terletak di Sungai Merbok, Kedah. Manakala di Lembah Bujang, Kedah, ada dijumpai wang syiling dirham zaman Khalifah al-Mutawalul yang bertarikh 848 Masehi menandakan wujudnya hubungan dagang antara Nusantara dengan dunia Arab.[21] Hubungan Kedah dengan Arab sebenarnya menurut sarjana, telah terjalin sebelum lahirnya Islam lagi.[22] Menurut al-Mas’udi, Kedah merupakan tempat pertemuan kapal-kapal pedagang dari Siraf dan Oman dan juga kapal-kapal pedagang dari China.[23]

Menurut al-Mas’udi, negeri Kalah (Kedah) terletak di lautan yang bernama Kalahbar. Di laut ini terdapat pelbagai pulau yang disebut sebagai surr, yang bermaksud tempat di mana dua teluk bertemu. Al-Mas’udi menyebut kerajaan Srivijaya sebagai Sribuza yang diperintah oleh seorang Maharaja. Maharaja ini menurut al-Mas’udi pernah mengalahkan raja Qimar (Cambodia). Namun Maharaja tersebut tidak memerintah Qimar, beliau hanya mahu membunuh dan mengalahkan raja Qimar yang angkuh, setelah berjaya, dia berundur dan membiarkan negeri Qimar itu dalam keadaan baik tanpa apa-apa kerosakan.[24]

Al-Mas’udi ada menyentuh perihal kepulauan di Nusantara, antaranya al-Ramni iaitu Sumatera yang dikatakan diperintah oleh raja yang kaya dengan lombong emas. Juga Fansur iaitu kota Barus di mana di situ dikatakan kawasan yang kaya dengan kapur barus yang digelar sebagai fansuri.[25] Penulisan beliau tidak hanya berhenti di Nusantara, al-Mas’udi juga ada mengisahkan bagaimana negeri China mempunyai pemerintah yang adil. Beliau mengisahkan bagaimana seorang pedagang telah dilayan dengan tidak adil oleh pegawai istana, dia telah dibawa untuk dibicarakan oleh raja China. Setelah baginda mendapati berlakunya ketidakadilan, baginda telah menghukum pegawainya dan melayan dengan baik pedagang dari Samarkand yang dizalimi itu.

Baginda bertitah “kamu telah menzalimi pedagang yang telah datang dari jauh, merentasi lautan dan pelbagai kerajaan untuk sampai kepadaku tanpa masalah kerana dia percaya akan keadilanku. Kita beruntung kerana pedagang ini tidak pulang untuk memberitahu kepada dunia akan kezaliman yang berlaku, akan kesalahan kerajaanku, juga akan kerendahan darjat negeri ini…” [26]

Di sini kita melihat bagaimana raja China pada ketika itu bukan sekadar berlaku adil, tetapi beliau sangat menjaga maruah dan juga darjat negerinya. Baginda mahu bukan sahaja keadilan tertegak, tetapi dunia mengetahui bahawa dia telah memerintah dengan adil tanpa menzalimi pedagang yang datang ke negerinya.

Kesimpulan

Dari penulisan ringkas ini dapatlah kita membuat beberapa kesimpulan. Pertamanya, memang terdapat kesalahan-kesalahan fakta dalam tulisan al-Mas’udi, kita melihat bahawa kritikan Ibnu Khaldun terhadapnya mempunyai merit. Namun tidaklah al-Mas’udi menulis semuanya secara sewenang-wenang, dalam kes Jahiz contohnya, kita melihat beliau melakukan verifikasi dan kritikal terhadap sumbernya. Kita juga dapati bahawa al-Mas’udi telah berusaha sedaya upaya untuk menulis dengan objektif dan cuba mengelak dari membahaskan sesuatu yang bersifat teori, spekulasi dan pandangan peribadi. Kita juga melihat bahawa cakupan historiografi beliau bersifat luas, tidak hanya terkongkong di Semenanjung Arab, Eropah, dan kawasan di sekitar Mediterranean. Tetapi beliau cuba memuatkan semua lokaliti yang diketahui pada zamannya termasuklah India, Kepulauan Nusantara, Rusia, Korea, dan juga China. Saya merasakan perluasan historiografi terutamanya pada zaman klasik ini sangat penting, kerana sejarawan moden dapat membuat perbandingan. Pensejarahan Melayu tradisional misalnya, banyak dipengaruhi mitos dan legenda.[27] Dengan adanya catatan dan sumber luar, perbandingan dan tapisan dapat dilakukan kepada sejarah tradisional di Tanah Melayu dan Nusantara. Historiografi beliau yang tidak berpusat hanya kepada politik, golongan elit, dan pemerintahan juga menjadikan pensejarahan beliau dekat dengan aliran pensejarahan Annales.

Bibliografi

Ahmad Jelani Halimi. 2008. Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu. Utusan Publications & Distributions Sdn Bhd.

al-Mas’udi, Paul Lunde (Translator), and Caroline Stone (Translator). 2007. From The Meadows of Gold. Penguin Books.

Bennaji, Yousef. 2020. “A critical appraisal of al-Masudi’s perception of northern India: A special study on Multan.” European Journal of Language and Literature 6, no. 1 50-58.

Greenspoon, Leonard. 2003. “Hebrew into Greek: Interpretation in, by, and of the Septuagint.” A History of Biblical Interpretation 1 80-113.

Ibn Khaldun, Franz Rosenthal (Translator), N. J. Dawood (Editor), and Bruce B. Lawrence (Introduction). 2015. The Muqaddimah: An Introduction to History, The Classic Islamic History of the World. Princeton Classics.

Lestari, Rani, Nurul Hak, and M. Nasihudin Ali. 2023. “Al-Mas’udi’s Contribution in the Development of Classic Islamic Historiography.” JUSPI (Jurnal Sejarah Peradaban Islam) 6, no. 2 91-99.

Nixey, Catherine. 2018. The Darkening Age: The Cristian Destruction of the Classical World. Pan Books.

Robinson, Andrew. 2011. “Styles of decipherment: Thomas Young, Jean-François Champollion and the decipherment of the Egyptian hieroglyphs.” SCRIPTA: International Journal of Writing Systems (The Hunminjeongeum Society) 3 123-132.

Syed Ahmad Fathi. 2023. “Falsafah Dan Metodologi Argumentasi Socrates.” Jejak Tarbiah.

Syed Ahmad Fathi. 2023. “Kehancuran Dunia Klasik Romawi & Yunani.” Academia Book Review.

Syed Ahmad Fathi. 2023. “Pemikiran Sejarah Edward Carr.” Nota Pemikir Sejarah.

Syed Ahmad Fathi. 2023. “Persejarahan Melayu Tradisional.” Nota Pengajian Sejarah.


[1] Ibn Khaldun, Franz Rosenthal (Translator), N. J. Dawood (Editor), and Bruce B. Lawrence (Introduction). The Muqaddimah: An Introduction to History, The Classic Islamic History of the World. Princeton Classics, 2015.

[2] Lestari, Rani, Nurul Hak, and M. Nasihudin Ali. “Al-Mas’ udi’s Contribution in the Development of Classic Islamic Historiography.” JUSPI (Jurnal Sejarah Peradaban Islam) 6, no. 2 (2023): 91-99.

[3] Bennaji, Yousef. “A critical appraisal of al-Masudi’s perception of northern India: A special study on Multan.” European Journal of Language and Literature 6, no. 1 (2020): 50-58.

[4] Mas’udi, Paul Lunde (Translator), and Caroline Stone (Translator).From The Meadows of Gold. Penguin Books, 2007.

[5] Ibid. Halaman 4.

[6] Ibid. Halaman 69.

[7] Syed Ahmad Fathi. “Falsafah Dan Metodologi Argumentasi Socrates.” Jejak Tarbiah, 2023.

[8] Mas’udi. From The Meadows of Gold. Halaman 120.

[9] Ibid. Halaman 4.

[10] Syed Ahmad Fathi. “Pemikiran Sejarah Edward Carr.” Nota Pemikir Sejarah, 2023.

[11] Mas’udi. From The Meadows of Gold. Halaman 75.

[12] Ibid. Halaman 6.

[13] Ibid. Halaman 33.

[14] Greenspoon, Leonard. “Hebrew into Greek: Interpretation in, by, and of the Septuagint.” A History of Biblical Interpretation 1 (2003): 80-113.

[15] Mas’udi. From The Meadows of Gold. Halaman 34.

[16] Syed Ahmad Fathi. “Kehancuran Dunia Klasik Romawi & Yunani.” Academia Book Review, 2023.

[17] Catherine Nixey. The Darkening Age: The Christian Destruction of The Classical World. Pan Books, 2018.

[18] Robinson, Andrew. “Styles of decipherment: Thomas Young, Jean-François Champollion and the decipherment of the Egyptian hieroglyphs.” SCRIPTA: International Journal of Writing Systems (The Hunminjeongeum Society) 3 (2011): 123-132.

[19] Mas’udi. From The Meadows of Gold. Halaman 51.

[20] Ibid. Halaman 118.

[21] Ahmad Jelani Halimi. Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu. Utusan Publications & Distributions Sdn Bhd, 2008. Lihat halaman 102.

[22] Ibid. Halaman 192.

[23] Mas’udi. From The Meadows of Gold. Halaman 104.

[24] Ibid. Halaman 96-103.

[25] Ibid. Halaman 92.

[26] Ibid. Halaman 106.

[27] Syed Ahmad Fathi. “Persejarahan Melayu Tradisional.” Nota Pengajian Sejarah, 2023.

Menikmati-Cebisan-Dari-Lapangan-Emas-al-Masudi-Sang-Herodotus-ArabDownload
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Reviu Buku Tagged With: Al-Mas'udi, Ibnu Khaldun, Islamic Historiography

  • « Previous Page
  • 1
  • 2
  • 3
  • 4
  • 5
  • 6
  • …
  • 18
  • Next Page »

Recent Posts

  • Pasca Membaca Buku Pascabaca
  • Analisis Permulaan Perang Amerika Syarikat-Israel Ke Atas Iran Pada Bulan Jun 2025
  • Retelling the Story of the Great Majapahit Empire
  • Nota PBAKL: Prosa Klise Yang Benar, Kehidupan Adalah Satu Perjalanan
  • Koleksi Refleksi di IABF: Merayakan Seni dan Sastera

Archives

Copyright © 2025 The Independent Insight