Perkembangan kajian sejarah telah melahirkan cabang-cabang aliran baru dalam mengkaji sejarah. Antara aliran yang tumbuh adalah aliran sejarah Annales yang membawa pendekatan sejarah keseluruhan. Aliran sejarah ini telah keluar dari perspektif sejarah tradisional yang hanya mengkaji tindak tanduk manusia terutamanya dalam persoalan politik, pemerintahan, perang, dan kekuasaan. Antara idea yang lahir dari aliran Annales adalah idea longue durée yang dipelopori oleh Fernand Braudel. Idea ini membawa perspektif analisis yang lebih luas dengan jangka masa yang lebih lama. Ia menganalisa faktor-faktor di luar agensi manusia dari lapangan seperti kosmologi, kimia, fizik, biologi, geologi, biologi, cuaca, geografi, dan sebagainya dalam mencorak hidup manusia. Penulisan ini akan melihat idea Braudel ini dengan lebih dekat dan menganalisa masalah, applikasi, serta sumbangannya.
Aliran Sejarah Annales
Aliran sejarah Annales merupakan aliran yang muncul pada tahun 1920-an di Perancis. Ia menganjurkan penulisan sejarah yang berbentuk menyeluruh “total history”. Antara pelopor aliran sejarah ini termasuklah Lucien Febvre, Marc Bloch, Fernand Braudel, dan Emanuel Le Roy Ladurie.[1] Ahli-ahli sejarah asal yang menggagaskan aliran sejarah Annales di Perancis ini tidak begitu mementingkan sejarah intelektual, kerana mereka mengkaji faktor-faktor di luar agensi manusia yang mempengaruhi sejarah.
Bagi aliran ini, pengaruh agensi manusia seperti sejarah intelektual misalnya, termasuk dalam kajian sejarah mentaliti.[2] Oleh itu, dalam idea longue durée tradisi Annales, sejarah dianalisa dalam jangka masa panjang, manakala sejarah intelektual tidak begitu mendapat tempat.[3] Sebaliknya fokusnya adalah pengaruh-pengaruh luaran lain terutamanya dari alam semula jadi seperti keadaan geografi, cuaca, yang akhirnya memberikan kesan kepada cara manusia menyusun hidup mereka. Di sini kita melihat pengaruh yang dimainkan oleh faktor luaran dalam pembentukan sejarah. Kajiannya lebih luas dan tidak terbatas pada kelakuan-kelakuan manusia. Walaupun begitu, kajian mereka tetap boleh dikatakan sebagai sejarah kerana akhirnya, kesan-kesan luar ini dikaitkan dengan kehidupan manusia. Oleh itu, aliran Annales bolehlah dikatakan sebagai satu aliran sejarah. Pendekatan berbeza yang diambil juga menyumbang kepada pelbagai sudut pandang baru yang sebelum ini diabaikan oleh perspektif sejarah tradisional.
Idea Sejarah Longue Durée
Pada tahun 1956, Fernand Braudel telah menggantikan Lucien Febre sebagai ketua direktor bagi jurnal Annales.[4] Pada tahun 1958, Braudel telah menulis perihal idea longue durée ketika beliau menulis perihal sejarah dan sains sosial.[5] Braudel merupakan generasi kedua yang lahir dari sekolah sejarah aliran Annales di Perancis. Beliau membawakan perspektif sejarah yang melihat kepada kondisi semulajadi dalam alam yang telah membentuk tingkah laku manusia dalam jangka masa yang sangat panjang. Braudel menulis bagaimana keadaan geografi di Mediterranean dengan kawasan pergunungan dan lautnya telah mempengaruhi kewujudan perdagangan dan hubungan politik setempat.[6] Kajian aplikasi kesan geografi kepada situasi politik masih dapat dilihat dalam penulisan kontemporari, contohnya tulisan Tim Marshall yang mengkaji bagaimana batas geografi menentukan konflik geo-politik dunia.[7]
Longue durée adalah idea sejarah berjangka masa panjang, dalam hal ini, sesuatu peristiwa itu tidak dilihat pengaruhnya terhad pada zaman tertentu atau tempoh masa tertentu, tetapi berterusan hingga beberapa abad bahkan millenia. Penulisan dengan idea berbentuk longue durée ini sebenarnya memang sudah bertapak dalam beberapa bidang, terutamanya sejarah arkeologi, perbandingan sosiologi, dan teori sistem dunia, namun dalam bidang lain ia tidak diperluaskan, hinggalah ia muncul semula dalam penulisan sejarah yang bersifat universal contohnya melalui penulisan Oswald Spengler dan Arnold Toynbee.[8]
Kemunculan semula sejarah berjangka masa panjang ini juga dapat dilihat dengan keluarnya penulisan-penulisan seperti “sejarah dunia” dan juga “sejarah besar”. Hal ini menampakkan tumbuhnya minat untuk melihat sejarah melalui panorama penyelidikan yang lebih panjang dan luas, namun sejarah-sejarah berbentuk mikro masih lagi dapat dilihat penghasilannya melalui penulisan biografi.[9] Penulisan sejarah besar dapat dilihat melalui ambisinya yang menulis sejarah sejak dari peristiwa letupan pertama (Big Bang) yang dikatakan sebagai titik awal kewujudan alam semesta. Tulisan sebegini mengambil maklumat dan data dari pelbagai bidang termasuk kosmologi, astronomi, geologi, evolusi biologi, arkeologi, dan juga sejarah sosiologi.[10]
Sejarah yang memfokuskan kepada manusia secara relatifnya lebih sempit berbanding sejarah besar. Kerana sejarah besar bukan bermula dari permulaan manusia, sebaliknya bermula dengan permulaan alam. Namun sejarah manusia mengkaji dengan lebih dalam berbanding sejarah tradisional, ia turut mengkaji aspek pra-sejarah di mana manusia belum mempunyai kesedaran sejarah dan belum mula menulis sejarah. Skop jangka masanya juga berbeza, jika sejarah besar mengkaji skop masa berbillion tahun ke belakang, sejarah manusia biasanya mengkaji skop masa ratus ribu tahun lampau. Cubaan menulis sejarah manusia dapat dilihat melalui penulisan Yuval Noah Harari yang cuba menjejaki evolusi dan perubahan spesis Homo Sapiens. Beliau membahagikan sejarahnya kepada beberapa zaman seperti zaman revolusi kognitif, zaman revolusi agrikultur, dan zaman revolusi saintifik.[11]
Masalah Pada Idea Sejarah Longue Durée
Walaupun sejarah besar nampak seperti gah dengan permandangan yang lebih luas, namun ia tidak dapat menempatkan persoalan makna, nilai, dan sebab musabab. Ini kerana dalam lapangan kosmologi dan geologi misalnya, agensi manusia tidak wujud dan tidak mempunyai sebarang pengaruh.[12] Atas kelompongan ini, persoalan yang timbul adalah adakah ruang kajian ini boleh dikategorikan sebagai bidang sejarah kerana ada sarjana yang berpandangan bahawa sejarah adalah bidang yang mengkaji sebab dan musabab.[13] Edward Carr sebagai contoh, mengatakan bahawa tugas ahli sejarah adalah memberikan sebab-sebab yang rasional apabila berlakunya sesuatu peristiwa. Sebab ini penting kerana ia mempunyai nilai praktikal kepada manusia untuk diambil pelajaran dan digunakan pada masa hadapan.[14] Tanpa agensi manusia dalam lapangan kosmologi dan geologi, kita tidak dapat merumuskan satu sebab rasional yang praktikal untuk kegunaan pelajar sejarah.
Selain dari ketiadaan agensi manusia dalam sejarah besar. Paradigma materialisma juga menjadikan bidang ini tidak begitu mendalam apabila dilihat dari perspektif kebolehan manusia mempengaruhi sesuatu peristiwa. Paradigma materialisma akan menerangkan pemikiran dan budaya sebagai produk kepada reaksi kimia di dalam otak manusia dan juga refleks biologi mereka. Manakala budaya dan agama pula adalah produk kepada keperluan ekonomi pada sesuatu zaman.[15] Disebabkan hal ini, idea menjadi cerita kehidupan yang tidak substantif, ia menjadi sesuatu yang abstrak dan tidak mempunyai akar sejarah yang bergantung kepada sesuatu konteks yang spesifik.[16]
Walaupun idea sejarah aliran Annales mempunyai masalah. Tidak dinafikan bahawa mereka mempunyai sumbangan terutamanya dalam melihat sejarah dalam bentuk longue durée. Perspektif ini bagi saya mengayakan sejarah kerana ia melihat aspek yang selama ini diabaikan sejarah tradisional. Juga, kerana akhirnya kesan-kesan luaran yang dikaji dikaitkan semula pengaruhnya kepada manusia, maka saya merasakan batas kajiannya masih termasuk dalam skop sejarah.
Applikasi Idea Longue Durée Dalam Kajian Sejarah
Daripada penulisan asal Braudel dapat kita fahami bahawa idea longue durée ini dapat digunakan dalam kajian yang mengkaji kesan zaman lampau kepada masa kini yang tidak mempunyai campur tangan dan agensi manusia. Tetapi apabila kita mengatakan bahawa idea longue durée ini adalah sejarah jangka masa panjang, apakah batasan “jangka masa panjang” itu? Menurut Mathias Grote, dalam menjawab persoalan ini kita mesti melihat bagaimana keberlangsungan (continuity) mempengaruhi sesebuah kajian.[17]
Jika Braudel mengkaji bagaimana faktor seperti geografi dan juga cuaca mempengaruhi kehidupan manusia, di sini kita melihat ada faktor keberlangsungan. Contohnya, musim-musim yang ada dalam kitaran alam. Bagi Grote, keberlangsungan yang sama dapat dilihat dalam kehidupan manusia, manusia juga mempunyai kitaran kehidupan seperti kelahiran, pendewasaan, penuaan, dan kematian. Oleh sebab itu, idea longue durée ini boleh juga diaplikasikan dalam kajian sejarah sains, kitaran kehidupan manusia mempunyai keberlangsungan. Selain itu, sains juga merupakan satu bentuk aktiviti sosial dan budaya yang mempunyai sejarah untuk dikaji. Dalam kata lain, kitaran kehidupan manusia dapat menjadi sandaran untuk mengaplikasikan idea longue durée dalam kajian sains terutamanya sains hayat. Dalam kajian seperti ini, kita dapat melihat kesan sesuatu faktor dari sudut berlalunya latar masa di belakangnya. Kesan ini mungkin tidak nampak begitu ketara dalam pemerhatian biasa dan memerlukan panorama masa yang lebih panjang untuk dikesan.[18] Applikasi idea longue durée dalam sains hayat misalnya dapat dilihat dalam mengkaji sejarah penyakit.[19]
Selain dari mengkaji sejarah sains, idea sejarah longue durée juga dapat membantu kita memahami kesejarahan sesuatu teknik dan metodologi sejarah. Contohnya, sesetengah sarjana berpandangan bahawa sejarah oral itu sama tuanya dengan sejarah itu sendiri, malah ada yang berpandangan bahawa sejarah oral adalah jenis sejarah yang pertama. Tetapi dengan menggunakan idea longue durée, kita dapat melihat bahawa sejarah oral itu terletak dalam konteks budaya dan sosial yang lebih besar. Dengan permandangan yang lebih jauh, kita dapat melihat akar sejarah bagaimana manusia menggunakan sejarah oral untuk mengetahui perihal hidup dan kehidupan orang lain. Dalam kata lain, kita dapat memahami bahawa sejarah oral itu sendiri mempunyai akar sejarah, dan ia bukanlah bersifat nir-masa (timeless).[20]
Longue Durée Dalam Sosiologi Sejarah
Apabila sesuatu gerakan sosial atau politik itu dilihat dari perspektif lokal dan jangka masa yang singkat, kita akan gagal melihat perkaitannya dengan pertumbuhan gerakan tersebut dengan manifestasi sebelumnya dalam sejarah. Perspektif singkat juga akan mengaburi mata kita dari melihat aspek proses permatangan sesuatu gerakan. Di sini lahirnya kepentingan melihat fenomena sosial melalui idea longue durée yang membawakan perspektif sejarah berjangka masa panjang, dengan ini kita dapat menganalisa stuktur ideologi politik yang muncul dengan lebih menyeluruh.
Idea asal longue durée yang keluar dari sekolah sejarah aliran Annales adalah bersifat deterministik, dan tidak melihat pengaruh agensi manusia dalam penyebaban sesuatu peristiwa. Tetapi idea longue durée juga boleh membawa maksud perspektif metodologi yang melihat perubahan sosial sebagai satu produk dari keadaan politik dan sosial yang spesifik dalam satu struktur dan proses yang berkait rapat dengan sesebuah penyusunan sosial.[21] Sebagai contoh, jika kita mengkaji kelahiran sesuatu gerakan politik, ia tidak boleh dilihat dari lensa setempat dan juga tempoh semasa sahaja. Pasti ada keadaan sosial dan politik sebelumnya yang menjadi faktor kepada kelahirannya, dengan melihat dari jangka masa yang lebih panjang, kita akan dapat memahami bagaimana evolusi dan perubahan sosial itu berlaku. Tidak hanya mengambil kira isu-isu yang bersifat spesifik dan semasa, tetapi mengkaji asal usul dan sebab musabab yang lebih lama sifatnya.
Kesimpulan
Penulisan ini telah membahaskan idea longue durée yang lahir dari sekolah sejarah aliran Annales. Ia telah cuba mengupas secara ringkas idea ini dari sudut definisi, skop, masalah, dan juga applikasinya. Walaupun idea longue durée ini mempunyai masalah, terutamanya dalam versi asalnya yang bersifat deterministik, namun ia sebenarnya boleh diaplikasikan dengan lebih luas serta mengambil kira tafsiran dan pendekatan baharu. Tidak dapat dinafikan bahawa ia mempunyai sumbangan terutamanya dalam usaha memahami sejarah yang lebih menyeluruh dan tidak hanya tertakluk pada batas tindak tanduk manusia. Kesedaran kepada sejarah yang lebih menyeluruh ini akan membantu manusia mencorakkan masa depannya. Seperti yang dikatakan oleh Carr bahawa masa depan sejarah adalah perubahan.[22] Pada pandangan saya, dengan memahami sejarah yang lebih menyeluruh, maka kita dapat melakukan perubahan yang lebih menyeluruh.
Bibliografi
Armitage, D. (2012). What’s the Big Idea? Intellectual History and the longue durée. History of European Ideas 38, no. 4, 493-507.
Arrizabalaga, J. (2005). History of disease and the longue durée. History and philosophy of the life sciences, 41-56.
Braudel, F. (1958). Histoire et sciences sociales: la longue durée. Annales. Histoire, Sciences Sociales, vol. 13, no. 4 Cambridge University Press, 725-753.
Carr, E. (1964). What is History. Penguin Books.
Freund, A. (2019). “Confessing animals”: Toward a longue durée history of the oral history interview. The Oral History Review.
Grote, M. (2015). What could the’longue durée’mean for the history of modern sciences? FMSH-WP-2015-98.
Harari, Y. N. (2015). Sapiens: A Brief History of Humankind. Vintage.
Marshall, T. (2015). Prisoners of Geography: Ten Maps That Tell You Everything You Need to Know About Global Politics. Elliott & Thompson.
Saull, R., Anievas, A., Davidson, N., & Fabry, A. (2014). The longue durée of the far-right: an introduction. In The Longue Durée of the Far-Right (pp. 1-20). Routledge.
Syed Ahmad Fathi. (2022). Perbahasan Perihal Penentuan Ruang Lingkup Sejarah. Pengantar Sejarah.
Syed Ahmad Fathi. (2023). Pemikiran Sejarah Edward Carr. Nota Pemikir Sejarah.
Syed Ahmad Fathi. (2023). Perihal Penyebaban Dalam Sejarah. Nota Pengajian Sejarah.
[1] Syed Ahmad Fathi. “Perbahasan Perihal Penentuan Ruang Lingkup Sejarah.” Pengantar Sejarah, 2022.
[2] David Armitage. “What’s the Big Idea? Intellectual History and the longue durée.” History of European Ideas 38, no. 4 (2012): 493-507.
[3] Ibid.
[4] Jon Arrizabalaga. “History of disease and the longue durée.” History and philosophy of the life sciences (2005): 41-56.
[5] Fernand Braudel. “Histoire et sciences sociales: la longue durée.” In Annales. Histoire, Sciences Sociales, vol. 13, no. 4, pp. 725-753. Cambridge University Press, 1958.
[6] Mathias Grote. What could the’longue durée’mean for the history of modern sciences? FMSH-WP-2015-98, June 2015.
[7] Tim Marshall. Prisoners of Geography: Ten Maps That Tell You Everything You Need to Know About Global Politics. Elliott & Thompson, 2015.
[8] David Armitage. “What’s the Big Idea? Intellectual History and the longue durée.”
[9] Ibid.
[10] Ibid.
[11] Yuval Noah Harari. Sapiens: A Brief History of Humankind. Vintage, 2015.
[12] David Armitage. “What’s the Big Idea? Intellectual History and the longue durée.”
[13] Syed Ahmad Fathi. “Perihal Penyebaban Dalam Sejarah.” Nota Pengajian Sejarah, 2023.
[14] E.H. Carr. What is History. Penguin Books, 1964.
[15] David Armitage. “What’s the Big Idea? Intellectual History and the longue durée.”
[16] Ibid.
[17] Mathias Grote. What could the’longue durée’mean for the history of modern sciences?
[18] Ibid.
[19] Jon Arrizabalaga. “History of disease and the longue durée.”
[20] Alexander Freund. ““Confessing animals”: Toward a longue durée history of the oral history interview.” The Oral History Review (2019).
[21] Richard Saull, Alexander Anievas, Neil Davidson, and Adam Fabry. “The longue durée of the far-right: an introduction.” In The Longue Durée of the Far-Right, pp. 1-20. Routledge, 2014.
[22] Syed Ahmad Fathi. “Pemikiran Sejarah Edward Carr.” Nota Pemikir Sejarah, 2023.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di lautan Ideologi (2022) and Dua Sayap Ilmu (2023). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.