Bahan bacaan perihal Palestin merupakan antara bahan bacaan yang sangat menarik minat saya. Seperti yang disebut oleh B. Croce bahawa semua sejarah adalah sejarah kontemporari, sejarah dan isu Palestin sememangnya menepati definisi sejarah Croce.[1] Ia adalah sejarah yang masih hidup. Sementara projek-projek kolonial lain di bumi sudah berakhir, projek kolonial zionis yang mengamalkan dasar rasis dan apartheid masih berterusan hingga ke tahun 2024.[2] Walaupun banyak penulisan yang sudah saya dalami perihal isu ini, penulisan perihal sejarah Palestin oleh Nur Masalha saya kira paling lengkap dan mendalam setakat ini.[3] Ia merupakan satu projek penulisan yang bercita-cita tinggi serta sangat menarik untuk dibaca. Masalha mengkaji bagaimana toponym Palestin dapat dijejaki sejak Zaman Gangsa (Bronze Age) di mana hal ini dapat dilihat melalui inskripsi-inskripsi bahasa purba. Beliau juga menjelaskan bagaimana Palestin dalam sejarahnya selama beribu tahun pernah menjadi entiti politik, administratif, ekonomi, dan keagamaan yang bebas, tersendiri dan merdeka dalam latar jatuh bangun kuasa dan empayar di sekitarnya.
Sorotan Kajian
Saya mula membaca, mengkaji dan menganalisa permasalahan kolonialisma di Palestin bermula dengan buku tulisan Norman G. Finkelstein yang mengkaji bagaimana Persatuan Yahudi di Amerika Syarikat mengeksploitasi peristiwa Holocaust, kemudian menggunakan taktik yang sama seperti Nazi Jerman dalam melakukan pembunuhan dan pembersihan etnik terhadap penduduk Palestin.[1] Selepas itu saya meneruskan pembacaan saya dengan meniliti buku Finkelstein yang mendedahkan bagaimana golongan Zionis menggunakan terma “anti-Semitism” untuk mendiamkan sebarang kritikan terhadap pembunuhan dan jenayah perang yang dilakukan oleh Israel kepada penduduk peribumi Palestin. Beliau juga mendedahkan bagaimana apologis Israel, Alan Dershowitz melakukan penipuan akademik demi mempertahankan jenayah-jenayah kemanusiaan zionis.[2]
Jenayah perang yang dilakukan oleh para kolonialis zionis ini bukanlah satu perkara yang tersembunyi. Ia didokumentasikan dengan terperinci, malah saksi-saksi jenayah perang ini masih hidup hingga ke hari ini. Antaranya adalah Dr. Ang Swee Chai, beliau menjadi saksi bagaimana anak-anak kecil dibunuh dengan kejam di Kem Pelarian Sabra-Shatila apabila Israel menjajah Lubnan pada tahun 1982. Saya membaca buku yang ditulis oleh Dr. Ang perihal kekejaman yang dilakukan dengan linangan air mata.[3] Penghapusan etnik besar-besaran yang dilakukan oleh militia zionis pada tahun 1948 ke atas penduduk peribumi Palestin didokumentasikan oleh ahli sejarah Israel sendiri. Peristiwa ini merupakan permulaan kepada penjajahan zionis di palestin. Buku yang sangat baik dalam subjek ini adalah karangan Ilan Pappe. Bagi Pappe, apa yang berlaku pada tahun 1948 adalah jenayah perang terancang, satu pembersihan etnik yang lahir dari ideologi zionis.[4] Sebagai ahli sejarah beliau telah membentuk semula historiografi jenayah perang ini dan menamakan penjenayah-penjenayah yang terlibat. Bagi Pappe, mereka semua harus dihadapkan ke tribunal untuk mendapatkan keadilan.
Namun jenayah-jenayah Israel ini terus dibiarkan tanpa diberi keadilan kerana ia dilindungi kuasa dunia iaitu Amerika Syarikat. Menurut Noam Chomsky, Israel dilindungi kerana Amerika Syarikat menjadikannya sebagai pengkalan tenteranya di Timur Tengah. Bagi Chomsky, Israel adalah samseng (thug) yang berkhidmat kepada ketua mafia (mafia don) iaitu Amerika Syarikat. Antara jasa Israel kepada Amerika Syarikat adalah menghancurkan gerakan-gerakan nasionalisma Arab agar dominasi Amerika di Timur Tengah terus terpelihara.[5] Israel sering mencanangkan bahawa mereka berjaya membangunkan kawasan padang pasir dan berjaya mewujudkan kuasa ekonomi yang menakjubkan (economic miracle). Walhal, apa yang tidak disebut adalah berbillion-billion dollar bantuan Amerika Syarikat kepada mereka setiap tahun.[6]
Ideologi zionis yang menjadi asas penjajahan Palestin telah dikaji secara terperinci oleh seorang sarjana dari Perancis iaitu Roger Garaudy. Beliau telah menyimpulkan bahawa musuh bagi kemanusiaan bukanlah bangsa Yahudi, agama Judaism, atau zionis yang bersifat spiritual. Tetapi adalah ideologi zionis yang spesifik yang bersifat politik, kolonial, dan rasis. Idea politik zionis yang bersifat kolonial dan rasis ini bukan lahir dari Judaism tetapi adalah produk nasionalisma moden persis apa yang berlaku di Jerman pada tahun 1930-an. Garaudy mewacanakan bagaimana melalui penipuan, perang, dan keganasan, gerakan politik zionis melahirkan sebuah negara apartheid dan juga negara teroris.[7]
Saya merasakan bahawa perjuangan Palestin ini tidak terhad kepada umat Islam sahaja. Kerana sepanjang sejarah Palestin, banyak kerja-kerja perjuangan ini dilakukan juga oleh golongan bukan Islam, terutamanya golongan-golongan beraliran kiri. Perjuangan golongan kiri dalam membebaskan Palestin ini telah saya tulis sebelum ini.[8] Perjuangan membela Palestin dan kaum peribuminya yang sekian lama dibunuh dan dijajah oleh kolonial zionis yang rasis tidak terhad kepada perjuangan yang bersifat fizikal. Hal ini kerana, penjajah zionis bukan sahaja menjajah, tetapi mereka cuba memadam dan memalsukan sejarah dalam usaha memberi legitimasi kepada projek kolonial apartheid mereka. Oleh itu, penulisan sejarah Palestin yang berakar sejak 4,000 tahun dahulu oleh Nur Masalha ini sangat penting untuk kita tekuni. Buku beliau inilah yang akan menjadi kupasan dalam penulisan kali ini.
Pengenalan Kepada Skop Kajian: Perspektif Dari Luar Biblical Orientalism
Setiap bidang kajian memerlukan skop yang spesifik agar ia dapat menjadi kajian yang tersendiri dan bermakna.[9] Masalha dalam analisa sejarahnya menekankan bahawa sejarah yang ditulis perihal Palestin sering dicampur adukkan dengan politik identiti dan juga perspektif nasionalisma dan modernisma. Walhal, sejarah Palestin telah wujud ribuan tahun sebelum datangnya idea nasionalisma moden. Hal ini persis seperti apa yang ditulis Carr perihal perspektif dan bias ahli sejarah. Disebabkan itu, Carr menganjurkan bahawa sebelum kita membaca sesuatu teks sejarah, kita perlulah mengenali siapa penulisnya dan apakah latar zaman penulisan mereka.[10] Oleh itu, bagi Masalha, sejarah Palestin tidak boleh hanya menjadi nota kaki bagi sejarah negara-bangsa Palestin moden atau sejarah konflik Israel-Palestin.[11] Kerana ini semua merupakan latar moden, sementara sejarah Palestin jauh lebih kuno dan purba. Oleh itu skop kajian Masalha perihal sejarah Palestin menggali lebih dalam ke belakang sehingga ke Zaman Gangsa. Namun Masalha tidaklah mengatakan bahawa penulisannya tiada perspektif, perspektif beliau dapat difahami dari kritikan yang dilemparkan kepada ahli sejarah Israel yang sering memperkecilkan kaitan Palestin dengan sejarah kunonya.[12]
Terdapat 3 jenis penulisan sejarah yang dipengaruhi oleh tradisi yang berbeza perihal Palestin pada hari ini:
- Penulisan yang mengambil inspirasi geografi dari kitab-kitab suci dan juga penulisan kolonialis dari Israel.
- Penulisan “Sejarah Baharu Israel” yang mengabaikan sejarah Palestin sepanjang millenia hanya sebagai tambahan kepada sejarah Israel moden.
- Sejarah peribumi dan sarjana yang menulis dengan pengaruh dekolonialisasi. Sejarah rakyat di mana kaum peribumi dapat menyuarakan sendiri sejarah perihal diri mereka.[13]
Menurut Masalha, perkataan “Palestin” berusia lebih dari 3,000 tahun, ia digunakan oleh masyarakat Mesir Purba, Assyria, Yunani Klasik, orang Rom, Kristian Byzantin, dan juga orang Arab di Zaman Pertengahan.[14] Bukti-bukti arkeologi ini menjawab tuduhan bahawa “Palestin” merupakan satu konsep negara bangsa moden seperti yang sering dilemparkan oleh golongan zionis. Malah, ada sebahagian umat Islam sendiri yang mendakwa bahawa terma Palestin ini merupakan sesuatu yang direka oleh British ketika mereka menguasai Palestin. Semua dakwaan ini tidak benar kerana kajian arkeologi dan kajian bahasa-bahasa kuno telah menemui perkataan Palestin yang mempunyai pelbagai variasi.
Pemadaman sejarah Palestin dalam historiografi Barat merupakan produk penulisan orientalis yang menggunakan Bible sebagai asas penulisan mereka. Produksi ilmu dan penulisan dari lapangan orientalisma ini telah dikritik oleh Edward Said yang merupakan tokoh pelopor kajian pasca-kolonial.[15] Bagi Said, orientalisma merupakan cara bagaimana Eropah menguasai Timur dengan menjadi jurucakap kepada golongan yang dikuasai mereka. Orientalisma merupakan alat penguasaan yang digunaka oleh kolonialisma dan imperialisma. Saya sendiri telah menghabiskan masa selama 3 tahun untuk membaca buku Orientalism tulisan Edward Said, di mana saya telah menganalisa dan menotakannya secara terperinci.[16] Untuk memahami keseluruhan pemikiran Edward Said, Masalha mencadangkan pembacaan trilogi kepada tiga buku utama Edward Said termasuklah Covering Islam, Orientalism, dan Question of Palestine.[17] Masalha telah memetik tulisan Keith Whitelam yang menyambung kajian Said. Bagi Whitelam, penulisan orientalis yang memadam sejarah Palestin merupakan sambungan usaha hegemoni mereka. Kesarjanaan Barat mencipta sejarah Israel dalam masa yang sama memadam sejarah kuno Palestin. Maka, jika kita benar-benar mahu memahami sejarah Palestin, kita hendaklah keluar dari kerangka Biblical Orientalism yang telah dibina oleh Barat sejak sekian lama.[18]
Apabila kita keluar dari kerangka Biblical Orientalism, kita akan melihat sejarah yang lebih objektif. Palestin seperti kawasan-kawasan lain pada era kuno merupakan kawasan yang menempatkan masyarakat yang mempercayai banyak tuhan (polytheist). Masalha berpendapat bahawa naratif-naratif yang ada di dalam kitab-kitab suci orang Yahudi tidak semestinya merupakan kisah yang berasal dari sejarah yang sebenar. Sejarah-sejarah kuno sememangnya tidak sama dengan historiografi moden, kebanyakannya bercampur dengan usur tuhan dan dewa-dewi.[19] Ini dapat dilihat dalam pensejarahan orang Sumeria, Yunani Kuno, China Purba, dan Palestin tidak terkecuali. Kisah-kisah mitos ini tidak dibuang oleh generasi seterusnya. Contohnya masyarakat Islam medieval yang datang kemudian mengkagumi kisah dan sastera dari kitab-kitab lama golongan ahli kitab. Mereka kemudian mengadaptasi tradisi klasik ini dan mewujudkan budaya bibliofilia mereka sendiri yang merangkumi usaha menulis semula buku, menterjemah buku, membangun kaligrafi, dan juga mewujudkan perpustakaan.[20] Masalha memetik tulisan-tulisan ahli arkeologi seperti Zeev Herzog yang berpandangan kisah-kisah mitos dalam kitab lama Yahudi tidak berlaku dalam sejarah. Baginya kisah kerajaan David dan Solomon, kisah penghijrahan orang Yahudi dari Mesir, dan juga penaklukan Joshua ke atas Cana’an, semuanya merupakan lagenda dan tidak bersejarah.[21] Walaupun tidak bersejarah, kisah Joshua ini diberi tempat yang istimewa dalam kurikulum persekolahan dan program akademik di Israel, kerana pengasas Israel beranggapan ia merupakan contoh asal dari teks kuno perihal pernah tertegaknya negara Israel. Dalam hal ini, Masalha memetik tulisan Gary M. Burge, tulisan Burge ini akan turut kita perhalusi kerana ia merupakan pandangan Kristian yang wajar difahami perihal isu Palestin ini terutamanya dalam menafsirkan teks Bible.[22]
Menggunakan mitos kuno sebagai sejarah adalah kaedah yang salah, sejarah tidak boleh ditegakkan di atas mitos, namun inilah yang dilakukan oleh penjajah zionis bagi membangunkan ideologi zionis sekular mereka. Masalha memetik pandangan Shlomo Sand tentang bagaimana Bible yang merupakan kitab agama dijadikan sebagai buku perihal sejarah kebangsaan. Idea kebangsaan dan kenegaraan berdasarkan Bible ini juga digunakan dalam membentuk ideologi ketenteraan bagi menyokong penjajahan. Sejarah kuno sebenarnya melibatkan banyak bangsa, oleh sebab itu gerakan zionis terpaksa memilih secara selektif dan membina memori biblical untuk memberikan ideologinya satu akar kebangsaan.[23]
Tradisi biblical scholarship sememangnya bersifat zionis dan bersekongkol dalam usaha memadamkan identiti Palestin, seolah-olah kewujudan 1,400 tahun sejarah orang-orang Islam di bumi Palestin tidak membawa apa-apa makna. Sebaliknya orang-orang Eropah menggunakan arkeologi “saintifik” untuk membuktikan bahawa Yahudi Eropah sebenarnya berasal dari Palestin. Para rabbi dan penyelidik universiti diberikan tugas suci untuk menggunakan biblical archeology bagi memberikan ideologi zionis nasionalis hujah-hujah sejarah. Hakikatnya, orang-orang Palestin merupakan keturunan pelbagai bangsa, termasuklah Canaanites, Philistines, Hebrews, Samaritans, Hellenic Greek, Roman, Arab Nabatean, orang Eropah dari perang Salib, orang Turki, dan bangsa-bangsa lain. Penguasaan orang Islam pada abad ke-7 menjadikan bangsa-bangsa yang bercampur ini menjadi orang-orang Arab, dan secara bersama, mereka telah mencorak kebudayaan Arab-Islam selama 1,400 tahun.[24]
Sejarah, seperti cabang sains yang lain, memerlukan bukti dan fakta untuk berdiri. Masalha menerangkan dalam pengenalannya bahawa beliau ingin mengubah pandangan umum yang tidak berasaskan fakta kononnya Palestin dalam sejarahnya tidak pernah memerintah dengan merdeka, tidak mempunyai struktur politik dan ekonomi, bahkan dikatakan tidak pernah menjadi negara yang berdaulat. Ini semua bagi Masalha hanyalah pandangan yang tidak berasas. Kajian Masalha menunjukkan bahawa lebih dari 3 millenia, sejak Zaman Gangsa hinggalah berlaku projek kolonialisma Zionis pada tahun 1948, Palestin menyaksikan jatuh bangun autonomi sosial, politik, dan ekonomi. Malah ia juga dalam sejarahnya pernah menjadi sebuah negara.[25]
Antara aspek penting kajian Masalha adalah permasalahan toponym.[26] Hal ini penting bagi menghubungkan konsep Palestin yang moden dengan akar kunonya. Selain itu, nama tempat bukanlah berfungsi hanya sebagai rujukan lokasi, ia juga menggambarkan hubungan kekuasaan, perebutan tanah dan sumber, juga identiti masyarakat setempat. Malah, toponym digunakan pada zaman moden untuk sesebuah negara menuntut sesebuah kawasan. Toponym Palestin bukanlah berasal dari satu bahasa sahaja, ia diambil dari pelbagai bahasa termasuklah Phoenician, Philistine, Aramaic, Yunani, Ibrani, dan bahasa Arab. Walaupun asal kata nama Palestin itu bermula dari Zaman Gangsa, menurut Masalha, konsep Palestin itu datang kemudian. Konsep ini meliputi kartografi, nama tempat, dan juga memori sosial. Menurutnya konsep ini dapat dilihat melalui Herodotus di dalam tulisannya Histories. Herodotus merupakan ahli sejarah pertama yang menandakan sebuah batasan geografi sebagai Palaistinê. Walaupun historiografi Barat menggunakan hasil kerja Herodotus sebagai asas, ironinya, apabila sampai kepada permasalahan toponym Palestin, sarjana Barat tidak menggunakan bahan sejarah seperti tulisan Herodotus yang mereka gelar sebagai “Bapa Sejarah” itu, tetapi mereka bergantung kepada mitos-mitos di dalam Bible. Berbeza dengan kelakuan Barat ini, menurut Masalha, orang-orang Arab memelihara warisan toponym dari Yunani dan mengadaptasikannya ke dalam penulisan mereka.[27] Namun sebenarnya ironi dan sifat selektif historiografi Barat ini tidaklah begitu pelik, kerana dalam kajian saya sendiri, saya mendapati pensejarahan tamadun Barat itu memang bersifat paradoksikal.[28]
Kajian Masalha menunjukkan bagaimana memori-memori yang berasaskan naratif Bible digunakan sebagai asas untuk projek toponym zionis bagi memadamkan sejarah Palestin.[29] Projek ini menjadi senjata zionis bagi memisahkan Palestin dari sejarah negaranya. Oleh itu, melalui penulisannya, Masalha ingin membawakan paradigma sejarah yang tidak terikat dengan Bible. Walaupun beliau sedar bahawa sejarah boleh dijadikan sebagai alat untuk memberi legitimasi politik, namun untuk menggunakan konsep moden negara-bangsa ke atas jalur sejarah yang panjang dan kuno, ia tidak dapat memberikan sesuatu yang bermakna. Bagi beliau, sejarah Palestin hanya bermakna apabila ia dipisahkan dari cerita-cerita yang terkandung di dalam Bible, bagi beliau, sejarah yang bebas ini adalah sejarah yang lebih bermakna.[30]
Sejarah Palestin Purba Dari Tinggalan Arkeologi: Toponym dan Philisto-Arabian Coins
Jika ditelusuri tinggalan-tinggalan arkeologi, nama purba bagi Palestin bukanlah Cana’an seperti yang tertulis dalam kitab Perjanjian Lama orang Yahudi, tetapi Retenu dan Djahi. Hal ini dapat dilihat dari kisah Sinuhe Mesir Purba yang berusia 14 kurun Sebelum Masehi (SM).[31] Toponym Palestin dapat ditelusuri dari 5 inskripsi semasa zaman pemerintahan Ramesses II dan Ramesses III, ia berasal dari nama “Peleset” yang merujuk kepada penempatan pelayar di selatan Palestin pada kurun ke-12 SM. Sumber-sumber dari inskripsi Assyria pula merujuk kepada kawasan selatan ini sebagai “Palashtu” atau “Pilistu”.[32]
Bagi mengelakkan kekeliruan, Masalha telah membawakan pendapat Niels Peter Lamche yang menyatakan bahawa terma “Israelites” dan “Canaanites” mestilah difahami sebagai terma ideologikal bagi memisahkan orang Yahudi dan bukan-Yahudi. Ia bukanlah satu terma sejarah yang merujuk kepada satu etnik tertentu. Malah orang yang disebut sebagai “Canaanites” sendiri tidak tahu bahawa mereka adalah Canaanites.[33] Pada lewat Zaman Gangsa, ketika pemerintahan Ramesses II dan Ramesses III yang cuba untuk mengawal Philistines, ketika inilah toponym Palestin pertama kalinya muncul, ia diambil dari kata asal “Peleset”. Apabila masyarakat Philistines mula berintegrasi dengan populasi lain, kita melihat bagaimana Peleset mengambil alih terma Djahi dan menjadi toponym yang dominan bagi merujuk kepada batasan geografi Palestin. Selepas Zaman Gangsa, nama-nama lain seperti Djahi, Retenu, dan Cana’an semuanya diambil alih oleh nama Palestin. Perkara ini dapat dilihat dari sumber Assyria yang dirakamkan pada tablet tanah liat dalam tulisan Cuneiform, ia ditulis dalam pelbagai variasi seperti Palashtu, Piliste, dan Philistia yang membawa maksud tanah orang-orang Peleset.[34]
Dalam rekod purba Assyria, Palestin ditulis dengan pelbagai variasi nama termasuklah pi-lis-te, pilistu, palashtu, pa-la-as-ta-a-a, pilishti, dan pilistin. Mereka merupakan bangsa sebagai mana bangsa yang lain. Namun dalam Kitab Perjanjian Lama (Old Testament), mereka digambarkan sebagai satu bangsa yang jahat. Gambaran ini berkekalan ke zaman moden dan menjadi memori kolektif buat pengganas zionis yang menyamakan bangsa Philistines kuno dengan bangsa Arab Palestin moden. Dari gambaran mitos Kitab Perjanjian Lama ini, pengganas zionis moden telah melakukan pembunuhan dan pembersihan etnik di Palestin pada tahun 1948.[35]
Walaupun direkod sebagai bangsa yang jahat dalam kitab mitos orang Yahudi, Philistia terus membangun maju pada Zaman Besi (1,200-600 SM). Mereka mula menerbitkan matawang sendiri sekitar kurun ke-6 dan ke-5 SM. Hasil eskavasi juga membuktikan bahawa masyarakan mereka sudah mempunyai tamadun yang tinggi. Aktiviti perdagangan antarabangsa telah melahirkan matawang Philistia yang dikenali sebagai “Philisto-Arabian coin” sekitar 528-332 SM.[36]
Sejarah Toponym Jerusalem
Semasa pemerintahan Emperor Hadrian (117-138 Masehi), nama kota Jerusalem telah diubah kepada Aelia Capitolina. “Aelia” diambil sempena nama Hadrian sendiri, iaitu dari nama kedua beliau di mana nama penuhnya adalah Publius Aelius Hadrianus Augustus. Manakala “Capitolinus” merujuk kepada tuhan orang Roman, Jupiter Capitolinus. Apabila orang Arab menawan kota ini sekitar tahun 638 Masehi, bahagian pertama nama ini dipelihara dan kota ini disebut sebagai “Iliya” dan toponym “Jerusalem” mula pupus. Sekitar seratus tahun selepas itu, ketika zaman pemerintahan dinasti Fatimid, kota ini disebut sebagai “al-Bayt al-Muqaddas” yang bermaksud kota suci. Ia juga disebut dengan nama yang lebih pendek iaitu “al-Quds”.[37]
Penaklukan Jerusalem oleh orang Arab pada kurun ke-7 menyaksikan mereka terus menggunakan nama Iliya yang berasal dari nama yang lebih panjang iaitu Aelia Capitolina. Malah orang-orang Arab telah menerbitkan matawang syiling menggunakan stail Byzantine tetapi menggunakan nama Iliya Filastin. Maqdisi yang menulis perihal sejarah pada kurun ke-10 juga masih menggunakan nama Ilya dalam penulisannya. Toponym “Al-Quds” hanya digunakan dengan lebih meluas selepas kurun ke-11, dan nama baru ini kemudian menggantikan nama-nama lama sebelumnya.[38]
Palestin Dalam Sejarah Dunia Klasik
Zaman klasik merupakan zaman yang kaya dengan penghasilan ilmu, kebudayaan, falsafah, dan seni. Tinggalan-tinggalan yang berharga ini tidak semuanya terpelihara hingga ke zaman moden. Sebahagiannya hancur dimamah zaman, manakala sebahagian yang lain dimusnahkan dengan sengaja.[39] Contoh pemusnahan dan penghancuran tinggalan zaman klasik ini dapat dilihat ketika muncul dan bertapaknya agama Kristian. Agama Kristian yang tidak dapat bertoleransi dengan idea-idea pagan menyaksikan banyak penulisan dan hasil seni dimusnahkan dan hilang selama-lamanya.[40]
Namun masih ada rekod perihal Palestin dari Zaman Klasik yang sampai ke zaman moden. Menurut Masalha, Zaman Klasik yang mendapat pengaruh kuat dari kebudayaan Yunani dari 500-135 SM menyaksikan rekod-rekod perihal Palestin terpelihara. Malah tokoh-tokoh besar pada zaman ini seperti Herodotus, Ptolemy dan Aristotle telah menulis perihal Palestin. Herodotus misalnya dianggap sebagai Bapa Sejarah. Beliau hidup pada kurun ke-5 SM dan sezaman dengan Socrates. Dari penulisan Herodotus kita melihat toponym Palestin ditulis dalam versi Yunani sebagai “Palaistinê” dan “Phalastin” yang merujuk kepada batasan geografi di Levant antara Phoenicia (kini Lubnan) dan Mesir. Malah Herodotus telah mengembara dan menziarahi Palestin sendiri bagi mendapatkan maklumat secara primer. Penulisan sejarah Herodotos berbeza dengan penulisan Old Testament, beliau tidak memasukkan unsur-unsur mitos, sebaliknya mengutamakan hujah logik berasaskan bukti. Beliau juga mencatatkan perihal orang Arab yang menduduki pelabuhan di selatan Palestin. Sarjana berpandangan, orang Palestin yang ditulis oleh Herodotus ini bukanlah terdiri dari satu etnik, tetapi merangkumi pelbagai etnik seperti Phoenicia, Philistines, Arab, dan orang Mesir.[41]
Herodotus dalam penulisannya tidak menyebut apa-apa berkenaan Judea, orang Yahudi, Cana’an atau orang-orang Israel dalam perjalanannya di Palestin. Jika kita meneliti tulisan Aristotle pula, beliau juga menulis perihal Palestin tanpa menyebut Can’an. Hal ini kerana mereka menulis perihal sejarah yang benar-benar berlaku ketika itu dan mereka tidak terdedah dengan naratif mitos dalam Old Testament. Dalam tulisan Aristotle bertajuk Meteorology, beliau menerangkan dengan terperinci perihal Laut Mati dan bagaimana manusia terapung apabila berada di laut ini.[42] Palestin juga digambarkan sebagai negara yang tersendiri dalam peta dunia yang terkenal di dunia Yunani ketika itu yang boleh didapati dalam karya Geography tulisan Ptolemy, beliau membezakan Palestin dengan Syria-Coele dan Phenecia sebagai 3 negara berbeza.[43]
Philistia Menjadi Sebahagian Daerah Administratif Rom
Antara 135-390 Masehi, ketika pemerintahan Rom, Palestin menjadi sebahagian daerah di dalam Empayar Rom. Toponym “Palestine” pada ketika ini mula popular dalam bahasa dan penulisan Latin dan Yunani.[44] Nama Daerah “Syria Palaestina” diberikan pada tahun 139 Masehi, ini dibuktikan dengan penemuan tablet gangsa di Nazareth yang dibuat oleh tentera Rom. Daerah baharu ini berbeza dengan daerah Rom Syria, ia juga adalah daerah yang berbeza dari Syria-Coele dan Phoenicia Rom. Penguasa Rom pada ketika itu, Raja Hadrian mewujudkan daerah ini atas faktor-faktor politik dan ketenteraan dan tiada kena mengena dengan naratif mitos Bible. Hadrian juga telah menggabungkan Palestin dengan kawasan selatan Syria.
Perubahan Philistia kepada Palaestina tidaklah menghairankan kerana ia telah wujud dalam sastera Rom sejak tahun pertama Masehi. Ini dapat dilihat dari puisi tulisan Ovid yang banyak membangkitkan Palaestina dan Palaestino di dalam puisi-puisi epiknya. Selain Ovid, Palaestina juga dapat dijumpai dalam penulisan penulis Rom lain seperti Dio Chrysostom dan Publius Papinius.[45] Penggunaan nama daerah baharu ini bukan sahaja terkenal dalam kalangan penulis-penulis elit Rom sahaja, penggunaannya juga merebak kepada apologis Kristian di palestin pada ketika itu yang lebih radikal dan subversif. Contohnya adalah Justine the Martyr dan Origen.[46] Bermula dari pemerintahan Emperor Vespasian nama daerah “Syria Palaestina” mula diambil alih oleh terma yang lebih ringkas iaitu “Palaestina”. Perubahan terminologi ini dapat dilihat dalam penulisan-penulisan orang Rom seperti Strabo, Pliny (the Elder), dan Pomponius Mela. Juga dalam penulisan penulis Yahudi klasik seperti Josephus dan Philo.[47] Mela sebagai contoh menulis bahawa Judaea merupakan wilayah kecil dalam negara Palaestina, beliau juga menulis tentang orang-orang Arab Palestin pada tahun 43 Masehi.[48]
Konsep Palestin sebagai sebuah daerah dan batas geografi juga dapat ditelusuri dari penulisan orang Yahudi pada Zaman Klasik seperti Josephus dan Philo of Alexandria. Josephus dan Philo menggunakan terma Palestin bagi merujuk kepada kawasan Palestin yang lebih luas, dari kawasan Lubnan moden hinggalah ke Mesir. Hendaklah difahami bahawa Daerah Administratif Rom iaitu “Provencia Palaestina” tidak menggantikan Judea, sebaliknya Judea adalah kawasan yang termasuk dalam Provencia Palaestina. Josephus dalam penulisannya menganggap Herodotus sebagai pengasas kepada historiografi, beliau mengiktiraf penulisan Herodotus perihal Palestin pada abad ke-5 sebelum Masehi dan membezakan Palestin dan Syria. Malah Josephus menggunakan bahan-bahan sejarah dari penulisan Herodotus untuk membetulkan Bible.[49]
Palaestina Sebagai Daerah Administratif Byzantine
Kemunculan kerajaan Kristian Byzantine menyaksikan banyak perubahan berlaku di Palestin, ia dibangunkan dan menjadi kawasan urban. Perubahan ini dapat dilihat dari aspek sosial, agama, ekonomi, dan arkitektural terutamanya dari abad ke-4 hingga awal abad ke-7 Masehi.[50] Kerajaan Kristian Byzantine dalam menyusun semula daerah administratifnya telah memecahkan daerah Syria Palaestina Rom, ia dipecahkan kepada 3 bahagian iaitu Palaestina Prima, Palaestina Secunda, dan Palaestina Salutaris.[51] Ibu negeri bagi Palestin semasa pemerintahan Byzantine adalah kota metropolitan yang terletak di pesisir pantai iaitu Caesarea-Palaestina. Ia diduduki oleh pelbagai bangsa termasuklah bangsa yang bertutur dalam bahasa Yunani dan Aramaic, minoriti Samaritans, Arab Kristian, kaum Ghassanids, orang Yahudi, dan Arab Nabataean.[52]
Konsep Palestin sebagai sebuah negara pada era Byzantine misalnya dapat dilihat dalam tulisan De Martyribus Palaestina oleh Eusebius of Caesarea.[53] Selain dari tulisan ini Eusebius juga terkenal sebagai seorang penulis yang produktif di zamannya, antara sumbangan penulisan beliau yang terbesar adalah sejarah awal Kristian dalam bukunya Historia Ecclesiastica.[54]
Pada tahun 1884, Madaba Mosaic Map telah ditemui. Peta ini menunjukkan kehebatan Palestin sebagai sebuah kawasan urban dengan Aelia Capitolina sebagai pusat pemerintahan. Penemuan ini sangat signifikan dalam mengkaji sejarah Byzantine di Palestin. Di dalam peta ini juga tidak dinyatakan tempat yang dinamakan sebagai Cana’an atau tanah Israel.[55]
Palestin di Bawah Arab Kristian
Menurut Masalha, sangat jarang sejarah awal Kristian ditulis dari sudut pandang penduduk Kristian Arab tempatan yang bertutur dalam bahasa Aramaic. Atau dari sudut pandang Kristian Arab Ghassanid yang berhafaman monophysite dan anti-chalcedon yang menduduki Palestin. Sekitar kurun ke-4 hingga ke-6 Masehi, Palestin mengalami proses Arabisasi. Proses ini bermula perlahan-lahan dengan penyebaran agama Kristian di sekitarnya. Kumpulan Arab Ghassanid merupakan kumpulan Arab terbesar di Palestin pada ketika itu. Pada kurun ke-7, ramai kaum Ghassanid yang memeluk Islam, tetapi majoriti mereka kekal beragama Kristian.[56]
Semasa zaman pemerintahan Byzantine di Palestin, kaum Kristian Arab Ghassanid mengekalkan kekuasaan mereka sebagai supreme phylarchs (raja) sehinggalah kerajaan Byzantine runtuh apabila dikalahkan oleh tentera Arab Muslim pada Peperangan Yarmuk pada tahun 636 Masehi.[57]
Budaya Sastera Arab
Masyarakat Arab pagan kebanyakannya buta huruf. Namun mereka mempunyai budaya sastera yang kaya melalui tradisi oral termasuklah penceritaan, puisi dan epik. Mereka mempunyai budaya di mana pertandingan puisi akan diadakan di kawasan pasar yang bermusim. Di sini pemuisi akan memainkan peranan sebagai pensejarah oral, tukang cerita, pengkritik sosial, intelektual awam, penilik nasib, dan juga propagandis politik.
Budaya sastera oral ini kemudian berubah kepada sastera penulisan apabila ia dipengaruhi oleh pengaruh Kristian Yunani. Ia juga dipengaruhi oleh penyebaran Islam di mana Islam sangat menghargai mereka yang mempunyai buku (ahli kitab). Antara ahli sastera Arab penting yang dianggap sebagai genius adalah Al-Nabighah Adh-Dhubyani. Beliau sangat terkenal sebelum kedatangan Islam dan banyak menghabiskan masanya di dalam lingkungan raja-raja Ghassanid di Palestin.[58]
Penerusan Sejarah Palestin di Bawah Islam
Kita telah meninjau bagaimana Palestin menerima pelbagai pengaruh dan budaya. Bermula dari Zaman Gangsa hinggalah kepada kemasukan pengaruh-pengaruh seperti Yunani, Byzantine, dan juga Rom. Semua pengaruh ini mempunyai peranan dalam mencorak sejarah Palestin. Dari pengaruh-pengaruh ini, dapat kita fahami bahawa sejak dari awal, sejarah Palestin itu tidaklah bersifat mono-kultural, sebaliknya ia mempunyai pelbagai lapisan yang diwarnai oleh pelbagai pengaruh sepanjang sejarahnya. Bermula pada tahun 638, Palestin mendapat lapisan sejarah yang baharu apabila ia menjadi Filastin di bawah pemerintahan Islam.[59] Penguasaan orang Arab Islam di Palestin bermula selepas Perang Yarmuk pada tahun 636 Masehi dan kesannya berterusan selama 1,400 tahun hinggalah ke hari ini.[60]
Semasa pemerintahan Umayyah, bahasa Arab telah dijadikan bahasa rasmi. Revolusi penggunaan bahasa Arab sebagai lingua franca dari Sepanyol hingga ke Asia Tengah juga merupakan perkara yang penting dalam perluasan perdagangan global orang Islam. Peng-Arab-an Palestin menyaksikan satu lagi lapisan baru wujud dalam identiti Palestin yang sudah sedia kompleks. Ia juga dapat diterima dan disebarkan dengan mudah kerana kaum Kristian Palestin bertutur dalam bahasa Aramaic yang juga merupakan bangsa semitik yang dekat dengan bahasa Arab. Perubahan ini berlaku secara gradual, dari satu agama monotheis kepada agama monotheis yang lain, dari satu bahasa semitik ke bahasa semitik yang lain, perubahannya tidak traumatik seperti perubahan masyarakat dari budaya pagan kepada satu agama monotheis baharu.[61]
Dalam penguasaan Islam, Palestin menjadi sebuah daerah yang dipanggil “Jund Filastin”. Dari sudut geografi, daerah ini bermula dari dataran subur Marj Ibn ‘Amer di utara hinggalah ke al-‘Arish di Sinai dan bandar Aylah-Filastin di Laut Merah. Pemerintahan Umayyah telah menyambung proses urbanisasi yang sebelum ini dilakukan oleh Byzantine dan Rom, mereka menghormati budaya, warisan dan juga kepelbagaian agama. Malah tradisi pentadbiran dan arkitektural Byzantine turut dikekalkan. Di Jerusalem, pemerintahan Umayyah meneruskan pelbagai pembinaan seperti Kubah al-Sakhrah (tahun 691) dan Masjid Al-Aqsa (tahun 705) yang mana binaan ini masih wujud hingga ke hari ini. Namun terdapat juga pembaharuan yang dilakukan oleh pemerintahan Umayyah yang berbeza dengan Byzantine, contohnya penubuhan ibu negeri baharu iaitu al-Ramla. Walaubagaimanapun, al-Ramla tidak dapat menandingi Jerusalem yang mempunyai sejarah yang lebih kaya.[62]
Salah satu petanda bahawa sebuah kawasan itu telah mencapai pembangunan ekonomi dan juga mempunyai autonomi di bawah sebuah empayar adalah kebolehannya mengeluarkan matawang sendiri. Kita sudah melihat bagaimana sejak sebelum zaman klasik, kawasan di Palestin sudah menggunakan matawang Philistia atau apa yang disebut sebagai Philisto-Arabian Coins. Pada abad pertama Masehi, pemerintahan Rom hanya membenarkan bandar-bandar di Palestin mengeluarkan matawang gangsa dan tembaga. Contohnya, nama Raja Rom Antoninus dilihat pada matawang gangsa yang dikeluarkan di Gaza. Hal ini berterusan di zaman Byzantine. Pada masa pemerintahan Islam, matawang yang dikeluarkan mengalami perubahan dari segi material, perkataan, rekaan, dan juga simbol. Perubahan ini dapat dilihat dari revolusi matawang yang diperkenalkan oleh Khalifah Abdul Malik ibn Marwan.[63]
Bagi Masalha, kajian perihal sejarah Palestin perlu mengambil kira perkembangan seperti ini. Iaitu penekanan terhadap pembangunan setempat. Menelusuri pembangunan ekonomi yang berlaku seperti pengenalan bentuk matawang dan juga perkembangan sistem timbangan dan pengiraan setempat. Sejarah seperti ini lebih bermakna dari melihat semuanya dari sudut kronologi khalifah dan para sultan.[64]
Palestin Dalam Peta Dunia
Pada tahun 1154, Palestin telah dimasukkan ke dalam peta oleh kartografer Arab yang terkenal di Andalusia iaitu Muhammad al-Idrisi dalam bukunya Nuzhat al-Mushtaq fi’khtiraq al-Afaq.[65] Al-Idrisi hidup di zaman kegemilangan di Sepanyol yang disebut sebagai convivencia.[66] Zaman ini merupakan zaman di mana keilmuan berkembang hasil toleransi kaum Muslim, Kristian, dan Yahudi, ia berakhir dengan jatuhnya Dinasti Nasrid terakhir di Sepanyol di bawah Boabdil.[67] Selepas peta yang dihasilkan Al-Idrisi, Palestin juga dapat dilihat dalam peta yang dihasilkan oleh Marino Sanudo. Peta Al-Idrisi dianggap peta yang paling lengkap dan unggul di zamannya, ia hanya digantikan dengan peta yang lebih lengkap oleh Fra Mauro pada pertengahan abad ke-15. Mauro meletakkan Palestin di dalam petanya atas sebab-sebab agama dan politik, ia dihasilkan untuk Raja Alfonso V bagi keperluan Empayar Portugis.[68] Pada tahun 1480, peta Palestina Moderna et Terra Sancta diterbitkan di Florence. Peta ini diterbitkan berdasarkan peta Palestin yang dihasilkan oleh Pietro Vesconte dan Marino Sanudo.[69]
Palestin Menuju Nasionalisme Moden
Masalha mengkritik perspektif sejarah kolonial dan imperial yang sering menekankan penguasaan penjajahan luar seperti Assyria, Parsi, Yunani, Rom, Uthmaniah, dan British. Perspektif dan penekanan ini sering mengabaikan perspektif dan pandangan masyarakat peribumi di Palestin.[70] Masalha membahaskan bagaimana nasionalisme itu mempunyai dua lapisan. Satu berbentuk qawmiyyah, iaitu nasionalisme yang berdasarkan bangsa, etnik, atau kaum. Lapisan yang kedua adalah wataniyyah, iaitu nasionalisme berdasarkan sempadan geografi sesebuah negara. Menurut beliau, dua lapisan inilah yang membentuk dawlah-qutriyyah (nation-state). Dua lapisan ini menurut Masalha sudah wujud di Palestin pada abad ke-18 dalam Kerajaan Emiriah yang diasaskan oleh Dhaher al-‘Umar.[71]
Terdapat dakwaan yang mengatakan nasionalime di Palestin merupakan ciptaan baharu, orang Arab sudah tidak lagi melihat Palestin sebagai sebuah negara. Idea negara itu hanya muncul semula selepas berlakunya pertembungan dengan Eropah moden. Masalha menolak hujah ini kerana menurutnya terma “Filastin” yang merujuk kepada sebuah negara (biladuna) dapat ditelusuri dalam pelbagai bentuk penulisan dari abad ke-15 hinggalah abad ke-17 Masehi. Contohnya melalui penulisan Khair al-Din al-Ramli, Mujir al-Din al-‘Ulaymi dan lain-lain.[72]
Revolusi percetakan di Eropah telah memastikan terma Palaestina dalam bahasa Latin dan juga Palestine dalam bahasa Inggeris tersebar ke seluruh Eropah semasa zaman pencerahan. Penyebaran ini memastikan terma ini menjadi terma yang sering digunakan sejak dari permulaan zaman moden. Contohnya, Palestine ada disebut dalam karya William Shakespeare.[73] Pembentukan awal negara bangsa oleh Dhaher al-‘Umar al-Zaydani merupakan hasil dari memori sosial perihal Kerajaan Safad yang pernah terbentuk di bawah pemerintahan Mamluk, Dhaher al-‘Umar berjaya mengumpulkan tentera moden dan mengalahkan kerajaan Uthmaniyah seterusnya membentuk satu kerajaan yang berdaulat yang merangkumi hampir keseluruhan Palestin moden.[74]
Menurut Masalha, dengan menggunakan pendekatan sejarah dari dalam, kita dapat memahami kebangkitan Dhaher al-‘Umar sebagai satu perkembangan moden. Bagi beliau, Dhaher al-‘Umar boleh dikatakan sebagai bapa pengasas (founding father) kepada permulaan Palestin moden dan juga pembaharuan sosial. Beliau juga boleh dianggap sebagai figura penting Palestin di awal zaman moden yang membawa Palestin menjadi sebuah kerajaan yang signifikan di Mediterranean.[75] Bagi Masalha, kerajaan Palestin di bawah Dhaher al-‘Umar merupakan model terdekat Palestin yang pernah wujud sebagai sebuah negara merdeka yang moden.[76]
Menuju tahun 1948, dengan penyebaran pendidikan dan juga literasi, masyarakat Palestin mula kelihatan seperti masyarakat moden yang lain. Kesedaran terhadap budaya dan juga pendidikan melahirkan satu bentuk proto-nasionalisme pada akhir pemerintahan Uthmaniyah di Palestin.[77] Dari sini kita melihat kesedaran nasionalisme bangsa Palestin tidak muncul secara tiba-tiba, tetapi ia mengalami proses yang panjang hinggalah ia membentuk kesedaran moden seperti yang dilihat pada hari ini.[78]
Nasionalisme Arab moden terbahagi kepada dua lapisan yang berkait rapat antara satu sama lain. Pertama adalah nasionalisme wataniyyah yang berbentuk nasionalisme berdasarkan batas-batas wilayah geografi. Manakala lapisan kedua adalah nasionalisme qawmiyyah yang berdasarkan kaum atau bangsa. Kedua-dua lapisan ini mengesani bentuk nasionalisme Palestin, lapisan wataniyyah membawa kepada pemikiran pembentukan negara dalam batas geografi tradisi Palestin manakala nasionalisme qawmiyyah membawa idea Pan-Arabisme.[79] Masalha bagaimana pun mengkritik konsep Surriyah al-Janubiyyah (Syria Selatan) yang lahir dari jalur nasionalisme Syria kerana ia menafikan kewujudan bangsa Palestin.[80]
Palestin Moden & Penjajahan Kolonial Zionis
Bermula pada tahun 1948, Palestin telah dijajah oleh kuasa baharu iaitu pengganas zionis yang bergerak menggunakan beberapa kumpulan militia seperti Irgun dan Haganah. Pengganas ini telah melakukan jenayah besar-besaran dengan pembunuhan, pembersihan etnik, dan juga menghalau penduduk peribumi Palestin dari bumi mereka dalam peristiwa yang digelar sebagai “Nakbah”. Di atas jenayah ini, negara Israel ditubuhkan.
Antara usaha yang dilakukan Israel untuk mengukuhkan penjajahannya adalah dengan melakukan proses nyah-Arab (de-Arabisation) dengan menukar nama-nama tempat di Palestin. Dalam usaha ini, mereka menggunakan penulisan yang dihasilkan oleh Palestine Exploration Fund (PEF) yang menjejaki nama tempat berdasarkan kitab Bible. PEF diasaskan pada tahun 1865 oleh cendiakawan-cendiakawan yang mengkaji Bible, golongan tentera, dan juga golongan inteligensia. Usaha-usaha untuk melakukan pemetaan pada zaman pemerintahan British juga dilakukan oleh British Royal Engineering Corp yang membantu kepada perkembangan gerakan zionis yahudi.[81]
Pada Disember 1917, British telah menduduki Jerusalem, Liga Bangsa-Bangsa Bersatu secara formal telah memberi mandat kepada British pada 1922 untuk mentadbir Palestin.[82] Penentangan masyarakat kebangsaan Palestin kepada zionisme mula berputik apabila meningkatnya aktiviti pendatang zionis di Palestin pada tahun-tahun sebelum Perang Dunia Pertama.[83] Antara tanda yang dapat dilihat adalah kemunculan akhbar Falastin yang bermula sejak 1911, akhbar ini merupakan akhbar yang sangat berpengaruh dan tersebar luas apabila British menduduki Palestin. Akhbar Falastin menjadi suara keras yang mencabar dua penjajahan asing iaitu imperialisme British dan juga kolonialisme zionis.[84]
Semasa pemerintahan Uthmaniyah, gerakan nasionalisme Palestin berjuang untuk autonomi dan juga hak sama rata sebagai warga dalam kerajaan Uthmaniyah, namun fokus nasionalisme Palestin berubah dengan kedatangan zionis, ia menjadi perjuangan kebangsaan menentang pendudukan kolonial zionis. Penjajahan zionis ini telah bermula sejak dari kedatangan British pada tahun 1917-1918, perjuangan kebangsaan Palestin pada peringkat ini juga mengalami dilema perihal bentuk negara yang ingin dicapai, sama ada membentuk Palestin di atas garisan geografi asal atau bergabung dalam gerakan Pan-Arab.[85] Dilema seperti ini sebenarnya bukan unik di Palestin, orang Melayu juga pernah menghadapi dilema yang sama, sama ada ingin merdeka sendiri sebagai Tanah Melayu, atau bersama dalam rumpun yang lebih besar yang digelar sebagai projek Melayu Raya. Antara gerakan politik Pan-Arab di Palestin pada awal 1930-an adalah Parti Istiqlal yang mahukan Palestin merdeka melalui penyatuan orang-orang Arab dalam kerangka Pan-Arabism. Gerakan ini menentang dua perkara, iaitu tuntutan zionis ke atas Palestin dan juga pentadbiran kolonial British di Palestin.[86]
Selepas Nakbah pada tahun 1948, antara gerakan kebangsaan Palestin yang muncul bagi menentang penjajahan zionis adalan Palestine Liberation Organization (PLO). Menurut Masalha, gerakan ini bersifat revolusionari, namun sifat ini perlahan-lahan terhakis terutamanya selepas pengunduran mereka dari Lubnan pada tahun 1982. PLO juga semakin dilihat tidak efektif dalam memperjuangkan kemerdekaan Palestin apabila ia menandatangani Perjanjian Oslo 1993 dan menubuhkan Palestinian National Authority pada tahun 1994. Walaupun gerakannya sudah berhenti dari menjadi gerakan revolusionari, namun legasi politik revolusionari mereka masih dipandang hebat dalam kalangan masyarakat dunia sehingga hari ini.[87]
Penjajahan Palestin oleh zionis menurut Masalha tidak dapat dipisahkan dari akarnya iaitu kolonialisme Eropah. Zionisma merupakan bentuk kolonial dengan akar yang sama, yang mengabaikan kewujudan masyarakat peribumi dan menindas mereka. Bagi golongan kolonial Eropah seperti Britain, kawasan-kawasan dunia adalah terra nullius, kawasan kosong yang tidak dimiliki oleh sesiapa. Oleh itu ia layak dijajah dan diduduki.[88] Chaim Weizmann, presiden pertama Israel menyatakan bahawa British menyatakan kepada kaum zionis terdapat beberapa ratus ribu niggers (kushim dalam bahasa Hebrew) di Palestin yang tidak mempunyai apa-apa nilai.[89] Ini bermakna, British dan zionis, kedua-duanya memandang populasi peribumi sebagai sesuatu yang tidak penting dan boleh dibuat apa sahaja kepada mereka.
Penjajahan zionis di Palestin berkait rapat dengan penjajahan British di Palestin. Ini dapat dilihat dari deklarasi Balfour yang menjanjikan Palestin kepada golongan zionis tanpa persetujuan masyarakat peribumi Palestin. Balfour memberikan Palestin kepada zionis kerana sifat judeophobia dalam dirinya, beliau tidak mahu orang Yahudi dari Eropah Timur masuk ke Britain, sebelum itu beliau telah meluluskan Alien Act 1905 yang menyekat kemasukan orang Yahudi ke Britain. Sikap Balfour yang tidak mahu orang Yahudi Eropah yang ditindas untuk masuk ke Britain, sebaliknya mengarahkan mereka ke Palestin adalah hasil dari sifat anti-semitic beliau menurut Brian Klug.[90] Balfour tidak keseorangan, F. Laurence Oliphant sebagai contoh, menulis bahawa masyarakat peribumi di Palestin perlu diasingkan dan dipindahkan ke dalam tanah reservasi seperti yang dilakukan di Utara Amerika.[91] Di sini kita melihat bagaimana sebenarnya penjajahan di Palestin adalah hasil dari polisi dan sikap rasis orang-orang Eropah.
Persekongkolan British terhadap projek zionis di Palestin juga berpunca dari gerakan kristian yang kononnya mahu mewujudkan semula negara Yahudi di Palestin berdasarkan kitab Bible. Menurut Edward Said, gerakan zionis sebelum 1948 hanya sebahagian kecil sahaja di Palestin, manakala bahagian besarnya adalah gerakan yang berpusat di kota-kota Eropah. Oleh kerana ianya tidak wujud secara keseluruhan di Palestin, maka golongan peribumi dan penduduk asal tidak dapat mempertahankan hak mereka. Kaum peribumi tidak mempunyai representasi di Eropah bagi melawan gerakan zionis di sana.[92] Ini mengakibatkan keputusan-keputusan dari ideologi rasis yang bersarang di Eropah akhirnya dipaksakan kepada mereka tanpa mereka dapat mempertahankan diri.
Golongan zionis, baik dari jalur kristian mahu pun yahudi, sejak awal lagi maklum bahawa palestin sememangnya sudah mempunyai penduduk. Ia bukanlah tanah yang kosong. Malah mereka sedar bahawa populasi peribumi ini besar. Ini boleh dilihat contohnya dari ucapan pemimpin zionis seperti Israel Zangwill di Manchester. Menurut Masalha, kajian terkini juga membuktikan bahawa perkara ini disedari oleh pemimpin zionis yang menyebutnya sebagai habe’ayah ha’arvit (the Arab problem). Ahad Ha’am, yang merupakan seorang penulis yahudi menulis bahawa kewujudan populasi lain di Palestin akan menimbulkan masalah kepada projek politik ethno-sentrik zionis. Malah pendatang zionis awal seperti Yitzhak Epstein mengakui bahawa dengan merampas tanah-tanah petani Arab, konfrontasi politik akan berlaku di masa hadapan.[93] Prediksi Epstein ini tidak jauh dari realiti di mana kita melihat sehingga ke hari ini konfrontasi ini terus berlangsung.
Pembinaan Pendudukan di Atas Pemadaman Palestin
Di sebalik kehancuran yang dilakukan di Palestin adalah usaha untuk memadamkan satu bangsa dari tanah yang menjadi tempat tinggal mereka. Menurut Moshe Dayan, bekas menteri pertahanan Israel, “tiada satu pun tempat di Israel yang sebelum ini tidak mempunyai populasi Arab di atasnya”.[94] Bermaksud, populasi asal Palestin, iaitu orang-orang Arab, telah dipadam kewujudannya. Dan di atas kemusnahan merekalah dibina pendudukan-pendudukan Israel.
Untuk mengisi pendudukan baharu ini pihak zionis telah berusaha untuk mencipta identiti baharu yang digelar Masalha sebagai New Hebrew Sabra Man. Identiti ini penting kerana mereka bercita-cita untuk mencipta negara bangsa baharu. Usaha-usaha berterusan dilakukan dengan menciplak terma dari bahasa Arab dan juga dari toponym Arab Palestin bagi mencipta naratif bahawa pendatang zionis yang kebanyakannya datang dari Eropah ini adalah sebenarnya bangsa peribumi. Usaha ini menurut Masalha adalah satu proses memperibumikan golongan pendatang yang disebut sebagai self-re-indigenisation. Hasilnya lahir identiti baharu, bukan sebagai Yahudi tetapi New Hebrew. Usaha ini dapat dilihat apabila mereka menukar nama-nama Eropah mereka dari bahasa seperti Yiddish, Russia, Polish, dan Jerman kepada nama yang berbunyi Hebrew agar kedengaran lebih biblical. Contohnya David Grün dari Poland yang kemudian menukar namanya kepada David Green, dan akhirnya menukar lagi namanya menjadi David Ben-Gurion.[95] Benjamin Netanyahu juga sebenarnya berasal dari Poland, nama asal ayahnya adalah Benzion Mileikowsky sebelum beliau menukar namanya kepada Benzion Netanyahu.
Bahasa Hebrew moden menurut Masalha adalah bahasa hibrid Semito-European yang meminjam banyak perkataan dari bahasa Arab dan Aramaic. Selain itu, bahasa ini juga banyak meminjam perkataan dari Yiddish, Ladino, Latin, Greek, Polish, Russia, English dan bahasa-bahasa Eropah lain. Bahasa baharu ini dicipta oleh Lazar Perelman yang lahir di Luzhky, Lithuania. Perelman kemudian menukar namanya kepada Eliezer Ben-Yehuda. Beliau merupakan individu penting yang menghidupkan semula bahasa Hebrew untuk mencipta budaya baharu bagi projek nasionalis zionis.[96] Ben-Yehuda mendakwa bahawa kebanyakan kata dasar dalam vokabulari Arab sebenarnya berasal dari lexikon Hebrew, kata dasar Arab ini bukan milik Arab tetapi adalah milik Hebrew, bagi Ben-Yehuda ia adalah satu penemuan semula. Menurut Ben-Yehuda, bahasa Arab sangat penting dalam menghidupkan semula bahasa Hebrew yang telah mati dan membina bahasa Hebrew moden. Dengan penciptaan budaya Hebrew baharu ini, bagi Ben-Gurion, Hebrew Bible bukan lagi menjadi kitab suci keagamaan, tetapi ia dicipta semula menjadi teks suci yang bersifat nasionalis dan perkauman untuk dijadikan mitos asasi bagi ideologi zionis sekular.[97]
Untuk tujuan meng-Hebrew-kan Palestin, Israel telah menubuhkan Va’adat Hashemot Hamimshaltit, satu jawatankuasa kerajaan untuk memberikan kawasan-kawasan Palestin nama-nama dalam Hebrew, ia diasaskan oleh Ben-Gurion pada 1949. Ben-Gurion telah melawat Naqab dan Eilat dan mendapati langsung tiada nama-nama Hebrew di tempat tersebut. Beliau telah mengarahkan agar nama-nama Hebrew diberikan, jika tiada rujukan kepada nama-nama kuno, maka nama Hebrew baharu perlu diberikan. Namun nama-nama Hebrew menurut Bible didapati tidak mencukupi untuk diberikan kepada nama-nama tempat yang banyak, akhirnya proses menamakan tempat dibuat secara rambang. Proses ini juga dilakukan dengan meng-Hebrew-kan nama Arab dan juga menterjemahkan nama Arab kepada bahasa Hebrew.[98]
Kajian Lanjutan: Sudut Pandang Kristian Terhadap Penjajahan Israel Ke Atas Palestin
Penjajahan Israel dan pembersihan etnik yang dilakukannya di Palestin mendapat pelbagai reaksi dan pendapat dalam masyarakat dunia. Pendapat golongan kristian adalah satu pendapat yang wajar kita fahami, kerana mereka merupakan golongan yang signifikan dari segi populasi dan kuasa di dunia hari ini. Oleh sebab itu, kajian lanjutan yang akan saya laksanakan adalah untuk meneliti pandangan kristian perihal isu Palestin. Kita perlu jelas bahawa Kristian merupakan agama yang mempunyai banyak pecahan, memilih satu pandangan tidak akan mewakili keseluruhan pandangan agama Kristian. Seperti agama-agama lain, Kristian juga mempunyai pelbagai mazhab, tafsiran, dan juga pecahan. Setiap ragam ini melihat permasalahan ini dari pelbagai sudut yang berbeza dan mempunyai tanggapan yang tidak monolitik.
Pandangan yang ingin saya kaji adalah pandangan yang ditulis oleh Gary M. Burge yang merupakan professor di Wheaton College & Graduate School, Amerika Syarikat.[99] Bagi Burge, di dunia Barat (termasuk Amerika Syarikat), hanya satu naratif yang biasanya diketengahkan, naratif ini adalah naratif tipikal yang sering diulang di gereja. Namun menurut beliau, terdapat naratif alternatif dalam melihat penjajahan Israel ke atas Palestin bagi orang Kristian. Naratif ini tidak kurang pentingnya, ia adalah perihal sekelompok manusia yang sejak sekian lama dikhianati dan dibungkam perjuangan mereka iaitu gereja-gereja Kristian yang menggunakan bahasa Arab di Palestin yang turut terkesan dari penjajahan Israel.[100]
Sokongan Kristian terhadap penjajahan Israel kepada Palestin berpunca dari komitmen mereka terhadap satu sudut pandang eskatologi (iaitu pandangan perihal hari kiamat dan bagaimana dunia berakhir). Namun Burge mempersoalkan adakah komitmen terhadap sudut pandang eskatologi ini membuatkan kita boleh menutup mata terhadap kesengsaraan hasil dari peperangan? Tentulah orang-orang yang tertindas ini juga disayangi Tuhan menurut Burge. Ini membuatkan beliau berada dalam keadaan dilema, bagaimana beliau mahu memenuhi komitmen eskatologi di dalam Bible dan dalam masa yang sama tidak mendiskriminasikan orang-orang Arab dan memandang mereka dengan pelbagai stereotaip.[101]
Burge dalam penulisannya ingin memberi kesedaran kepada golongan Kristian Zionis bahawa dengan mencampur-adukkan politik dan semangat keagamaan, mereka telah menghasilkan pandangan yang rosak. Burge ingin membawakan tafsiran bahawa sekalipun ahli teologi Kristian menolak idea bahawa negara Moden Israel bukanlah pewaris kepada tanah yang dijanjikan kepada Nabi Ibrahim, ini tidaklah bermaksud Kristian tidak menghormati pegangan Judaisma dan hak orang Yahudi untuk hidup di Palestin.[102] Pandangan Burge ini saya kira lebih sederhana dan juga menarik untuk dikaji dan diteliti dengan lebih mendalam.
Kesimpulan
Penulisan ini telah meninjau dengan teliti sejarah bumi Palestin berdasarkan kajian yang dibuat oleh Nur Masalha di dalam bukunya Palestine: A Four Thousand Year History. Isi-isi perbahasan utamanya telah diutarakan dan dibincangkan. Daripada penulisan ini, dapat kita fahami bahawa sejarah Palestin sejak dari era kunonya di Zaman Gangsa, merupakan sejarah pelbagai bangsa yang membentuk pelbagai lapisan budaya. Ia tidak bersifat mono-kultural atau mono-etnik. Ia juga tidak mempunyai unsur supremasi bangsa seperti yang didakwa oleh penjajah zionis moden. Menafikan sejarah asal ini, dengan menyadurkannya bersama mitos-mitos teologi bukan sahaja tidak saitifik, malah tidak boleh dikatakan sebagai benar atau objektif. Dengan bersikap selektif dan menafikan sejarah peribumi Palestin yang sudah berakar lebih dari 4,000 tahun, ia sebenarnya adalah satu jenayah sejarah. Hanya dengan melihat sejarah secara keseluruhan seperti ini, kita dapat mencorak masa depan yang lebih menyeluruh tanpa adanya penjajahan, penindasan, dan juga diskriminasi.
Bibliografi
Ang Swee Chai. 2011. From Beirut to Jerusalem. The Other Press.
Burge, Gary M. 2013. Whose Land? Whose Promise? What Christians Are Not Being Told About Israel And The Palestinians. Cleveland: The Pilgrim Press.
Carr, E.H. 1964. What is History. Penguin Books.
Chomsky, Noam. 2003. Power and Terror: Post-9/11 Talks and Interviews. Seven Stories Press.
Clay, Andrew William. 2012. “A Commentary on Eusebius of Caesarea Ecclesiastical History Book VIII.” Classics Graduate Theses & Dissertations. Paper 2.
Finkelstein, Norman G. 2008. Beyond Chutzpah: On the Misuse of Anti-Semitism and the Abuse of History. University of California Press.
—. 2003. The Holocaust Industry: Reflections on the Exploitation of Jewish Suffering. . Verso.
Garaudy, Roger. 1983. The Case of Israel: A Study of Political Zionism. Shorouk International.
Masalha, Nur. 2020. Palestine: A Four Thousand Year History. Zed Books.
Nixey, Catherine. 2018. The Darkening Age: The Christian Destruction of the Classical World. Pan Books.
Pappe, Ilan. 2006. The Ethnic Cleansing of Palestine. Oneworld Publications.
Said, Edward W. 1991. Orientalism: Western Conceptions of the Orient. Penguin.
Senor, Dan, and Saul Singer. 2009. Start-up Nation: The Story of Israel’s Economic Miracle. Twelve.
Shakir, Omar. 2021. A threshold crossed: Israeli authorities and the crimes of apartheid and persecution. Human Rights Watch.
Syed Ahmad Fathi. 2023. “Historiografi Astronomi: Paradoks Dalam Pensejarahan Tamadun Barat.” Academia Book Review.
Syed Ahmad Fathi. 2023. “Kehancuran Dunia Klasik Romawi & Yunani.” Academia Book Review.
—. 2022. “Meninjau Pemikiran Edward Wadie Said Dalam Orientalism: Perihal Konstruksi Barat Terhadap Timur.” Sesi Mengopi Bersama JC IIUM.
Syed Ahmad Fathi. 2023. “Pemikiran Sejarah Edward Carr.” Nota Pemikir Sejarah.
Syed Ahmad Fathi. 2022. “Perbahasan Perihal Penentuan Ruang Lingkup Sejarah.” Pengantar Sejarah.
Syed Ahmad Fathi. 2021. “Perjuangan Palestin Daripada Sisi Golongan Kiri.” Neo-Melayu.
Syed Ahmad Fathi. 2023. “Persejarahan Melayu Tradisional.” Nota Pengajian Sejarah.
[1] Norman G. Finkelstein. The Holocaust Industry: Reflections on the Exploitation of Jewish Suffering. Verso, 2003.
[2] Norman G. Finkelstein. Beyond Chutzpah: On the Misuse of Anti-Semitism and the Abuse of History. University of California Press, 2008.
[3] Ang Swee Chai. From Beirut to Jerusalem. The Other Press, 2011.
[4] Ilan Pappe. The Ethnic Cleansing of Palestine. Oneworld Publications, 2007.
[5] Noam Chomsky. Power and Terror: Post-9/11 Talks and Interviews. Seven Stories Press, 2003.
[6] Dan Senor, Saul Singer. Start-up Nation: The Story of Israel’s Economic Miracle. Twelve, 2009.
[7] Roger Garaudy. The Case Of Israel: A Study Of Political Zionism. Shorouk International, 1983.
[8] Syed Ahmad. “Perjuangan Palestin Daripada Sisi Golongan Kiri.” Neo-Melayu, 2021.
[9] Syed Ahmad Fathi. “Perbahasan Perihal Penentuan Ruang Lingkup Sejarah.” Pengantar Sejarah, 2022.
[10] E.H. Carr. What is History. Penguin Books, 1964.
[11] Masalha. Palestine: A Four Thousand Year History, hlm. 14.
[12] Ibid, 15.
[13] Ibid, 19.
[14] Ibid, 16-17.
[15] Edward Said. Orientalism: Western Conceptions of the Orient. Penguin, 1991.
[16] Syed Ahmad Fathi. “Meninjau Pemikiran Edward Wadie Said Dalam Orientalism: Perihal Konstruksi Barat Terhadap Timur.” Sesi Mengopi Bersama JC IIUM, 2022.
[17] Masalha. Palestine: A Four Thousand Year History, hlm. 318.
[18] Ibid., hlm. 21.
[19] Syed Ahmad Fathi. “Persejarahan Melayu Tradisional.” Nota Pengajian Sejarah, 2023.
[20] Masalha. Palestine: A Four Thousand Year History, hlm. 27.
[21] Ibid, 29.
[22] Ibid, 355.
[23] Ibid, 370-371.
[24] Ibid, 373, 384.
[25] Ibid, 34.
[26] Terma toponym berasal dari perkataan Yunani topos yang bermaksud tempat, dan onoma yang bermaksud nama, oleh itu toponym bermaksud nama tempat.
[27] Palestine: A Four Thousand Year History, 42-45.
[28] Syed Ahmad Fathi. “Historiografi Astronomi: Paradoks Dalam Pensejarahan Tamadun Barat.” Academia Book Review, 2023.
[29] Palestine: A Four Thousand Year History, 50.
[30] Ibid, 52-54.
[31] Ibid, 55.
[32] Ibid, 56.
[33] Ibid, 57.
[34] Ibid, 59-60.
[35] Ibid, 62-64.
[36] Ibid, 64-67.
[37] Ibid, 86.
[38] Ibid, 112.
[39] Syed Ahmad Fathi. “Kehancuran Dunia Klasik Romawi & Yunani.” Academia Book Review, 2023.
[40] Catherine Nixey. The Darkening Age: The Christian Destruction of The Classical World. Pan Books, 2018.
[41] Palestine: A Four Thousand Year History, 72-75.
[42] Ibid, 76-77.
[43] Ibid, 78-79.
[44] Ibid, 81.
[45] Ibid, 82-83.
[46] Ibid, 84-85.
[47] Ibid, 87.
[48] Ibid, 89.
[49] Ibid, 90-91.
[50] Ibid, 95.
[51] Ibid, 96.
[52] Ibid, 99.
[53] Ibid, 103.
[54] Andrew William Clay, “A Commentary on Eusebius of Caesarea Ecclesiastical History Book VIII” (2012). Classics Graduate Theses & Dissertations. Paper 2.
[55] Palestine: A Four Thousand Year History, 118-119.
[56] Ibid, 136-137.
[57] Ibid, 141.
[58] Ibid, 144-145.
[59] Ibid, 151.
[60] Ibid, 157.
[61] Ibid, 156-157.
[62] Ibid, 160-165.
[63] Ibid, 178-179.
[64] Ibid, 182.
[65] Ibid, 189.
[66] Ibid, 190.
[67] Sejarah berakhirnya Dinasti Nasrid terakhir boleh dirujuk dari buku tulisan Elizabeth Drayson. The Moor’s Last Stand: How Seven Centuries of Muslim Rule in Spain Came to an End. Profile Books, 2018. Untuk bacaan yang lebih ringkas, lihat Syed Ahmad Fathi. “Boabdil & Kerajaan Islam Dinasti Nasrid Terakhir Di Sepanyol.” Academia Book Review, 2023.
[68] Palestine: A Four Thousand Year History, hlm. 190-191.
[69] Ibid, 192.
[70] Ibid, 211.
[71] Ibid, 212-213.
[72] Ibid, 215.
[73] Ibid, 217.
[74] Ibid, 220.
[75] Ibid, 221.
[76] Ibid, 225.
[77] Ibid, 269.
[78] Ibid, 290.
[79] Ibid, 294.
[80] Ibid, 295.
[81] Ibid, 256.
[82] Ibid, 287.
[83] Ibid, 279.
[84] Ibid, 282.
[85] Ibid, 291.
[86] Ibid, 297.
[87] Ibid, 303.
[88] Ibid, 307.
[89] Ibid, 308.
[90] Ibid, 310.
[91] Ibid, 312.
[92] Ibid, 315.
[93] Ibid, 316-317.
[94] Ibid, 329.
[95] Ibid, 338-339.
[96] Ibid, 340-341.
[97] Ibid, 342-343.
[98] Ibid, 356-357
[99] Gary M. Burge. Whose Land? Whose Promise? What Christians Are Not Being Told About Israel And The Palestinians. The Pilgrim Press, 2013.
[100] Ibid, vii.
[101] Ibid, xii.
[102] Ibid, xix.
[1] Syed Ahmad Fathi. “Pemikiran Sejarah Edward Carr.” Nota Pemikir Sejarah, 2023.
[2] Omar Shakir. A threshold crossed: Israeli authorities and the crimes of apartheid and persecution. Human Rights Watch, 2021.
[3] Nur Masalha. Palestine: A Four Thousand Year History. Zed Books, 2020.
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di lautan Ideologi (2022) and Dua Sayap Ilmu (2023). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.