The Independent Insight

Giving truth a voice

  • Email
  • Facebook
  • Flickr
  • Instagram
  • Phone
  • Twitter
  • Vimeo
  • YouTube
  • Berita
  • Politik
  • Ekonomi
  • Teknologi
  • Reviu
    • Reviu Buku
    • Reviu Filem
    • Reviu Muzik
  • Rencana
  • Podcast
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami

Analisa Žižek Terhadap Persoalan Adakah Komunisma Masih Relevan di Abad Ke-21

July 31, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Sebenarnya sudah agak lama saya tidak membaca penulisan dan analisa pergerakan politik dan geo-politik dunia dari lensa yang ideologikal. Terutamanya selepas saya menerbitkan buku Lalang di Lautan Ideologi.[1] Kerana saya merasakan zaman ideologi mampu membakar semangat saya sudah tamat, kini saya lebih mengutamakan apa yang saya rasakan benar, apa yang praktikal, dan juga apa yang dapat memberikan kesan yang sebenar. Bukan lagi sekadar idea-idea abstrak yang sepertinya mempunyai moral yang lebih tinggi tetapi tidak mempunyai bukti praktikal di alam nyata.

Namun membaca tulisan Slavoj Žižek di dalam naskhah First As Tragedy, Then As Farce sedikit sebanyak menghidupkan semula perhatian saya yang kian pudar terhadap sudut pandang yang ideologikal seperti ini.[2] Bagi Žižek, kebenaran itu sentiasa ideologikal sifatnya, sentiasa berpihak dan tidak neutral. Dalam analisanya, Žižek memilih sudut pandang komunisma dalam menganalisa krisis yang berlaku di dunia dan juga solusi yang harus diketengahkan.[3] Beliau menolak pandangan yang mengatakan bahawa kita berada di era pasca-ideologi, baginya sebaliknya adalah apa yang berlaku, hari ini kita sebenarnya makin terikat dengan ideologi.[4] Penulisan ini merupakan analisa dan ulasan kepada buku Žižek ini di mana idea-ideanya diteroka dan dibahaskan.

Maksud Tajuk: Perihal Perkembangan & Progres Sejarah

Žižek memulakan perbahasannya dengan menerangkan maksud dari kata-kata yang menjadi tajuk bukunya. Kata-kata ini dipinjam dari Karl Marx dalam bukunya The Eighteenth Brumaire of Louis Bonaparte, di mana Marx membuat penambahan kepada idea Hegel. Bagi Hegel, sejarah sifatnya berulang, peristiwa besar dan signifikan akan berulang dua kali. Marx bersetuju dengan Hegel akan hal ini, namun beliau menambah bahawa peristiwa pertama adalah sebuah tragedi, manakala ulangannya adalah sebuah sandiwara yang tidak munasabah dan bersifat komikal (farce).[5]

Idea-idea Hegel sememangnya tidak asing bagi Marx, malah Marx sememangnya merupakan pengikut tegar idea Hegel dan semasa muda beliau merupakan sebahagian dari gerakan Young Hegelian. Idea dialektik materialisma Marx sebagai contoh, juga merupakan pengembangan daripada idea asal dialektik Hegel.[6] Sejarah seperti yang difahami oleh Marx dan Hegel adalah bersifat deterministik, menurut E.H. Carr idea sejarah seperti ini ditentang oleh sarjana seperti Karl Popper yang mengatakan bahawa ia adalah idea yang membuatkan sains sosial terkebelakang.[7] Idea Marx ini juga disebut sebagai historicism di mana sejarah berlaku dalam keadaan yang telah ditentukan oleh hukum-hukum saintifik.[8]

Apa yang dimaksudkan dengan “sejarah berulang, pertama sebagai satu tragedi, yang kedua sebagai satu sandiwara komikal”? Dalam menghuraikan frasa ini, Žižek menggunakan kritikan beliau terhadap Francis Fukuyama sebagai penerangan. Fukuyama menulis satu buku yang terkenal, yang juga mengambil idea dari falsafah sejarah Hegel perihal berakhirnya sejarah. Bagi Hegel, sejarah mempunyai tujuan, ia mempunyai arah tuju, dan Fukuyama menoktahkan arah tuju sejarah itu kepada sistem politik-ekonomi berasaskan idea demokrasi liberal dan idea ekonomi kapitalis. Bagi Fukuyama, inilah model terakhir politik dan ekonomi manusia, satu sistem yang sudah sempurna.[9]

Bagi Žižek, idea utopia Fukuyama ini telah mati sebanyak dua kali. Pertama apabila berlakunya peristiwa 11 September 2001 di mana kebebasan individu yang dijamin oleh demokrasi liberal tiba-tiba tidak lagi bersifat universal.[10] Amerika Syarikat yang kononnya memperjuangkan kebebasan dan hak individu telah menghadkan banyak kebebasan ini selepas peristiwa 11 September, peristiwa ini digunakan dalam menjustifikasikan peperangan yang dilancarkannya di luar negara untuk melawan “terrorism”. Menurut laporan dari Kesatuan Hak Sivil Amerika (ACLU) antara pelanggaran hak-hak kebebasan yang berlaku adalah penahanan demonstran, penarikan kebenaran kepada pihak media untuk membuat laporan, dan juga sekatan kepada individu yang berani menentang perang yang dilancarkan terhadap Iraq.[11]

Kematian kedua bagi utopia Fukuyama adalah apabila berlakunya krisis kewangan pada tahun 2008-2009 di mana institusi kewangan yang membuat spekulasi ke atas pinjaman perumahan akhirnya menyebabkan sistem kewangan mengalami krisis. Krisis ini ada diceritakan dengan terperinci oleh Michael Lewis dalam bukunya, diceritakan bagaimana sifat tamak bank pada ketika itu mendedahkan peminjam kepada risiko yang besar. Akhirnya beberapa bank besar gulung tikar, juga sebahagian bank mendapat bantuan (bail-out) dari kerajaan menggunakan duit cukai.[12] Di sini kita melihat satu paradoks dalam ideologi kapitalis dan pasaran bebas. Ideologi ini sangat menentang campur tangan kerajaan dalam ekonomi, jika rakyat miskin, dia tidak seharusnya dibantu dengan duit cukai oleh kerajaan kerana dikatakan sebagai campurtangan dalam hukum ekonomi. Namun apabila bank-bank menjadi miskin dan bankrap atas sifat tamak mereka, tiba-tiba kerajaan perlu campur tangan dalam hal ehwal ekonomi dan menyelamatkan mereka. Di sini kita melihat utopia Fukuyama tidak berlaku, kononnya kapitalis dan pasaran bebas adalah sistem terakhir yang terbaik, namun ia terpaksa menipu dirinya sendiri dan memerlukan campur tangan kerajaan (tidak bebas) apabila berlakunya krisis.

Saya kira, walaupun ramai yang tak bersetuju dengan Fukuyama berkenaan dengan idea “sejarah telah berakhir”, namun semua analisa perihal sejarah dan demokrasi terutamanya selepas tahun 1992 pasti akan menyentuhnya. Dalam kata lain, Fukuyama telah memahat namanya dalam perbahasan idea sejarah. Malah dalam podcast Keluar Sekejap, idea Fukuyama ini pernah disentuh oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.[13] Ini menunjukkan ideanya meresap hingga ke politik tempatan di Malaysia dan masih diperkatakan hingga ke hari ini. Menurut Žižek, walaupun ramai orang memperlekehkan idea Fukuyama, hakikatnya ramai orang pada hari ini adalah Fukuyamean, dalam kata walaupun mereka tidak mempercayai sistem liberal-demokrasi adalah sistem ekonomi-politik yang terakhir, mereka tetap melibatkan diri dalam sistem ini, dan menerimanya sebagai sistem yang paling baik setakat ini yang ada bagi menguruskan masyarakat.[14]

Idea bahawa sejarah mempunyai hala tuju, dan mempunyai titik akhir ini membawa erti sejarah mempunyai progres. Halatuju progres ini berbeza antara pemikir, bagi Marx, titik akhirnya adalah masyarakat komunis, bagi Fukuyama, titik akhirnya adalah sistem kapitalis dan demokrasi liberal. Namun Žižek mempunyai idea lain tentang progres sejarah ini dan apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Dalam progres sejarah ini, masa depan sejarah bagi Žižek adalah milik negara, negara-bangsa yang merupakan konsep Eropah menunjukkan trend yang makin menguat. Oleh itu, horizon di depan kita adalah di mana kebebasan individu akan wujud dan dikawal oleh negara.[15]

Perihal Demokrasi & Masalahnya

Demokrasi merupakan satu sistem yang perlahan, di mana pihak-pihak yang ada bernegosiasi dan berkompromi antara satu sama lain. Namun dalam proses ini, apa yang hilang adalah posisi kaum proletariat yang diwakili segmen yang terpinggir (miskin dan mempunyai taraf sosial yang rendah). Tentulah golongan bawahan ini mempunyai pengaruh yang kecil untuk bernegosiasi. Di sini Žižek membawakan kepentingan dictatorship of proletariat seperti yang dibawakan Marx untuk mengangkat suara mereka, aspek ini adalah aspek yang sering hilang dalam demokrasi borjuis Beliau memberi contoh perihal apa yang dilakukan oleh Chaves di Venezuela, berbanding memasukkan golongan terpinggir ke dalam rangka demokrasi yang ada, Chaves membangunkan orang-orang miskin dan terpinggir kemudian merombak sistem yang ada bagi memastikan mereka terlibat dan mempunyai ruang untuk terlibat dalam proses politik.[16]

Žižek juga memetik pemikiran Kant dalam persoalan pergerakan sejarah. Persoalan yang sama yang ditanyakan oleh banyak ahli-ahli sejarah sendiri, iaitu adakah sejarah mempunyai progres? Kita sudah sentuh pemikiran Marx dan Fukuyama dalam hal ini. Namun, progres ini juga merangkumi perkembangan etika dan tidak sekadar perkembangan dalam hal material. Bagi Kant persoalan ini sememangnya mengelirukan dan tidak dapat dibuktikan, abad ke-20 misalnya membawa banyak perkembangan positif dari sudut perkembangan demokrasi dan pembasmian kemiskinan, namun dalam masa yang sama menyaksikan kekejaman yang dahsyat seperti kezaliman yang berlaku semasa pemerintahan Nazi dan juga Komunis Soviet. Walaupun Kant mengaku ia tidak dapat dibuktikan, bagi beliau perkembangan itu dapat berlaku dan kita boleh melihat tanda-tandanya. Sebagai contoh Revolusi Perancis yang membuka lebih banyak ruang kebebasan, demokrasi dan kesaksamaan.[17]

Namun kita harus sedar bahawa demokrasi bukanlah penyelesaian kepada semua masalah. Perkara ini bukan sahaja disedari oleh golongan kiri, tetapi juga golongan kanan. Jika suara popular memihak kepada kanan, kiri tidak akan cenderung pada demokrasi, begitu juga sebaliknya. Žižek memetik kata-kata Noam Chomsky di mana beliau menyebut “hanya apabila ancaman partisipasi popular dapat diselesaikan baharulah persoalan demokrasi dapat difikirkan sebagai selamat”.[18] Dalam kata lain, kuasa sedia akan memberi lebih ruang pada demokrasi sekiranya ia dapat mengekalkan dominasi mereka.

Žižek juga memetik pemikiran Walter Lippmann yang mengatakan bahawa dalam demokrasi kita mempunyai lautan pandangan, oleh itu bagi menstrukturkan lautan pandangan yang chaotic ini, ia memerlukan kelas pemerintah yang mempunyai kapasiti keilmuan, kelas elit yang mempunyai ilmu ini dapat menjangkaui kelemahan utama dalam sistem demokrasi iaitu tidak wujudnya warga yang sempurna. Kita semua mengetahui akan hal ini, akan kelemahan yang ada dalam demokrasi, apa yang menjadi misteri menurut Žižek adalah kita tetap terus bermain dalam permainannya.

Dalam demokrasi, setiap warga seolah-olah menjadi raja, tetapi bukan raja berkuasa mutlak. Ia lebih mirip kepada raja dalam sistem demokrasi berpelembagaan di mana pihak eksekutif membuat keputusan, tetapi raja menandatanganinya seolah-olah ia adalah keputusan baginda. Begitu juga dalam demokrasi, selalunya ia mahu menampakkan bahawa rajanya (rakyat) seolah-olah dihormati. Setiap keputusan perlu digambarkan sebagai keputusan rakyat, disebut sebagai “suara rakyat” dan “mandat rakyat”. Walhal kita sedar bahawa bukan rakyat yang membuat keputusan. Pilihanraya sebenarnya adalah satu kepura-puraan di mana golongan berkuasa dengan penuh beradab sopan berpura-pura seolah-olah mereka tidak berkuasa, dan mereka bertanya kepada rakyat adakah rakyat mahu memberikan kuasa kepada mereka dengan sukarela.[19]

Demokrasi juga menurut Žižek boleh menjadi korup secara dalaman dalam bentuk yang sistemik, terutamanya apabila suara dan keputusan yang terhasil tidak mewakili rakyat tetapi mewakili ekonomi dan pasaran. Pemikiran pengundi juga dapat dimanipulasi dengan pelbagai cara hingga membuatkan apa yang mereka fikirkan tidak sama dengan apa yang mereka lakukan di peti undi. Terutamanya jika tiada pilihan yang mewakili suara mereka yang sebenar. Dalam situasi seperti ini sebenarnya pilihan yang ada bukanlah pilihan, keadaan ini sering disebut dengan pelbagai terma seperti “mudarat lebih kecil” atau “lesser evil”. Kita tidak perlu membenci demokrasi, tetapi kita harus sedar bahawa pilihanraya tidak dapat memberi kita kebenaran yang sebenar.[20] Sebenarnya masalah dalam sistem demokrasi ini perbahasannya telah lama dan sangat banyak, antara yang sangat menarik bagi saya adalah tulisan Fareed Zakaria.[21] Bagi beliau, bukan semua perkara dapat diselesaikan dengan demokrasi, ada situasi yang memerlukan institusi yang tidak demokratik. Contohnya mahkamah, dalam banyak negara, ia adalah institusi yang lebih dihormati berbanding parlimen walaupun secara strukturnya ia tidak demokratik.

Kebenaran Yang Berpihak dan Tidak Neutral

Seperti yang sudah di tintakan di awal penulisan ini, bagi Žižek kebenaran sentiasa berpihak dan ideologikal, tidak pernah neutral.[22] Apabila kita mengatakan sesuatu itu adalah kebenaran, ini bermaksud kita telah memilih apa yang kita rasakan benar. Pastilah ada pemikiran di sebalik pemilihan kita itu. Pemikiran ini adalah ideologi, oleh sebab itu Žižek mengatakan bahawa kebenaran itu bersifat ideologikal.

Saya tiada masalah dengan proses ini yang bagi saya merupakan mekanisma asas dalam kita berfikir dan menentukan sesuatu perkara sebagai benar. Cuma saya merasakan, apabila kita menganalisa sesuatu perkara, kita mesti membiarkan rasional kita berfikir dengan bebas dalam memilih kebenaran, tidak boleh kerana ideologi tertentu yang kita anuti menyebabkan pemilihan kita menjadi bias. Sebagai contoh, kita merupakan orang yang cenderung kepada ideologi pasaran bebas. Ketika pasaran bebas menatijahkan kebuluran dan kemiskinan, kita perlu terima hakikat ini dan cuba membaikinya, bukan mencari hujah merasionalkan kebuluran dan menyucikan ideologi kita. Tetapi tentulah pemilihan bahawa kebuluran itu adalah sesuatu yang tidak baik dan perlu dibaiki itu ada ideologi di belakangnya. Iaitu pemikiran bahawa kesengsaraan orang lain wajar dibantu, ia adalah pemikiran kemasyarakatan dan mengutamakan amalan tolong menolong. Jadi saya kira, idea Žižek bahawa “kebenaran itu sentiasa bersifat ideologikal” tidaklah bertentangan dengan tesis yang saya bentangkan dalam buku Lalang di Lautan Ideologi.

Setelah ditentukan bahawa kebenaran bersifat ideologikal, maka ideologi apakah yang dipilih Žižek dalam analisanya? Dalam hal ini beliau berterus terang dan memilih komunisma. Beliau mahu meninjau keadaan dunia hari ini dari perspektif komunisma. Menurut Žižek, komunisma adalah idea politik pertama yang membawa idea keserataan bangsa, tidak seperti Gereja Katolik yang hanya menerima demokrasi dihujung abad ke-19, itu pun penerimaannya adalah kerana terpaksa.[23] Ideologi sememangnya akan membuatkan seseorang itu memilih fakta-fakta yang menyokongnya sahaja. Perkara ini saya lihat sangat bermasalah dalam segmen gerakan kiri yang mengamalkan cancel culture, kerana ia akan membuatkan mereka sangat tidak konsisten. Mereka akan menolak seseorang andai mereka melakukan satu kesilapan, tetapi tokoh kiri yang mereka agungkan sendiri melakukan banyak kesilapan tetapi tidak pula mereka tolak dan cancel mereka. Žižek menyebut hal ini sebagai historical censorship. Beliau memberi contoh bagaimana banyak pandangan-pandangan Martin Luther King dalam hal-hal yang kontroversi tidak diperkatakan, agar beliau kelihatan bersih dan sesuai dijadikan idola bagi nilai-nilai moden pada hari ini.[24]

Namun saya kira, Žižek juga melakukan perkara yang sama apabila dia cuba mempertahankan Marx di atas tulisan-tulisan rasis beliau dalam Surveys From Exile di mana Marx menulis dua artikel yang bertajuk The British Rule in India dan The Future Results of British Rule in India.[25] Tulisan Marx ini pernah dikritik oleh Edward Said, terutamanya bahagian di mana Marx berpendapat bahawa dengan memusnahkan Asia, British dapat melaksanakan revolusi sosial yang sebenar. Ia adalah percanggahan besar dari idea-idea egalitarian, progresif dan humanis Marx. Malah kita sepatutnya mempersoalkan di mana moral Marx dalam hal ini, di mana simpati beliau terhadap manusia hilang? Bagi Said, ada dua sebab terhadap penulisan Eurocentric Marx ini, pertama kerana beliau mahu membuktikan teori sosio-ekonominya, kedua kerana Marx mempunyai korpus penulisan besar perihal masyarakat Timur hasil produksi kaum orientalis.[26] Saya berpandangan kritikan Said kepada Marx ini merupakan tulisan intelektual yang jujur dan berani, saya bersetuju dengan analisa Edward Said perihal penulisan Marx yang merendahkan orang Asia ini, ia wajar dikritik dan dipersoalkan.[27]

Žižek walaubagaimanapun seolah-olah mahu membela Marx dalam hal ini. Di sini saya tidak bersetuju dengan Žižek di mana saya merasakan ideologi kirinya menyebabkan dia mahu membersihkan Marx dari tulisan yang kotor ini. Marx menulis: “Persoalannya, bolehkah manusia menyempurnakan takdirnya tanpa revolusi yang fundamental dalam keadaan sosial di Asia? Jika tidak, apa juga jenayah yang dilakukan England, England sebenarnya merupakan ‘alat yang tidak sedar’ bagi sejarah untuk menghasilkan revolusi ini”.[28] Dalam kata lain, segala kekejaman dan kezaliman yang dilakukan England dalam memperhamba dan merompak bangsa lain adalah keperluan bagi melahirkan revolusi sosial. Bangsa Asia seolah tidak mampu mengubah diri mereka tanpa adanya “bantuan” dalam bentuk kolonial England. Žižek mengatakan bahawa kolonial England sebenarnya merupakan pembebas. Ia membebaskan India dari tradisi lamanya yang mencengkamnya dari maju. Kolonial juga membawa idea pembebasan, di mana akhirnya India dapat bebas dari kuasa kolonial. Dalam kata lain, bagi Žižek, kolonial membantu India membebaskan dirinya dari kolonial. Logik seperti ini kedengaran kelakar bagi saya, baiklah kiranya kuasa kolonial tidak datang sejak dari mula, oleh itu India tidak perlu menghabiskan tenaganya untuk membebaskan diri dan dapat memfokuskan tenaga mereka bagi memajukan diri mereka.[29] Bagi Žižek, kolonial mempunyai “kesan positif”, namun bagi saya, tanpa kolonial pun sebenarnya negara Asia dan bangsanya dapat memajukan diri mereka sendiri.[30]

Kegagalan Gerakan Politik Kiri Hari Ini

Žižek juga berterus terang perihal keadaan gerakan kiri yang ada pada hari ini, yang tidak berada di puncak kuasa dan tidak dominan. Kewujudan gerakan kiri hari ini menurut Žižek hanya sebagai pengkritik yang tidak mampu memberi solusi dan tandingan kepada sistem politik sedia ada. Mereka hanya mampu mengkritik dan berkata kepada pihak lawan bahawa “kamu mungkin menang tetapi kamu tidak dapat meyakinkan”. Maka bagi Žižek, gerakan kiri baharu perlu belajar dari kegagalan gerakan kiri abad ke-20.[31] Mereka perlu belajar dan mula bekerja untuk meyakinkan masyarakat akan solusi dan idea-idea kiri baharu yang lebih segar dan sesuai dengan zaman kini.

Žižek juga mengkritik bagaimana, golongan kiri baharu kini berundur ke dalam persoalan seksual dan spiritual dan meninggalkan organisasi politik radikal. Beliau juga mengkritik pemikiran populis yang mengamalkan cancel culture. Logik kepada pemikiran populis ini lahir dari perasaan emosional yang tidak memahami apa yang terjadi, kemudian dia tidak berusaha memahaminya, dia hanya membenci dan mahukan perkara itu dihentikan. Dalam hal ini, pemikiran simplistik ini tidak mahu memahami dan berwacana perihal hal-hal yang kompleks dalam sesuatu situasi, dari cuba memahami hal yang kompleks, mereka memilih jalan mudah untuk mencari orang untuk dipersalahkan.[32] Dengan menggunakan ugutan dan ancaman, mereka mengalihkan perhatian dari perdebatan sebenar. Dalam kata lain, mereka sebenarnya tidak mempunyai keupayaan intelektual bagi menjawab sesuatu isu.

Golongan liberal, termasuk gerakan kiri, sering mengkritik gerakan lain. Contohnya Taliban dikritik apabila berjaya menggunakan penindasan terhadap golongan petani untuk menggugat sistem feudal di Pakistan. Golongan liberal mengkritik strategi Taliban ini dengan mengejek mereka sebagai fundamentalis Islam. Tetapi apakah maksudnya ini? Bagi Žižek, ini sebenarnya bermaksud dalam masyarakat, dalam contoh ini adalah petani di Pakistan, mereka mempunyai potensi untuk melakukan perubahan dan revolusi. Tetapi ia gagal dimanfaatkan oleh golongan liberal dan kiri, apa yang mereka mampu lakukan hanyalah mengejek mereka yang berjaya memanfaatkan potensi ini, iaitu Taliban. Begitu juga dalam kebangkitan-kebangkitan rakyat di tempat lain, baik kebangkitan populisme atau nasionalisme. Ia menunjukkan bahawa potensi untuk mobilisasi itu wujud, tetapi ia tidak berjaya dimanfaatkan oleh gerakan kiri.[33] Oleh itu mereka harus bermuhasabah, dari asyik sibuk mengejek dan mengata orang lain, lebih baik mereka berfikir tentang bagaimana untuk memanfaatkan potensi revolusi dalam masyarakat.

Antara pemikiran falsafah yang selalu diperlekehkan oleh golongan kiri adalah Ayn Rand, walaupun begitu, Žižek yang mengetengahkan idea komunis pun mengambil idea dari Rand. Beliau memetik Atlas Shrugged tentang bagaimana Rand menyatakan bahawa duit adalah punca kebaikan. Kerana dengannya kita dapat menyuruh orang lain bekerja, jika tiada duit, bagi Rand, pilihan yang ada adalah paksaan. Contohnya kita memaksa orang bekerja dengan mengugutnya menggunakan pistol atau senapang. Žižek bersetuju dengan analisa Rand tentang bagaimana duit digunakan untuk menjadi alat bagi kita mengeksploitasi orang lain. Cuma Žižek tidak bersetuju bahawa kita hanya punya dua pilihan, sama ada eksploitasi menggunakan duit dan wang atau paksaan, bagi Žižek kita punya pilihan ketiga iaitu kebebasan.[34]

Gerakan kiri tradisional juga sangat mengagumi idea demokrasi langsung, di mana rakyat terlibat secara langsung tanpa pengantara representasi. Contohnya melalui perkumpulan yang dipanggil soviet. Namun bagi Žižek hal ini sering tidak berjaya apabila ia berkembang kepada fasa institusi, yang lebih penting adalah menjayakan perubahan apabila euphoria perubahan menyusut dan urusan harian kembali kepada keadaan sedia kala.[35]

Anatomi Sebuah Revolusi

Masalah terbesar bagi gerakan Marxis Eropah yang merupakan gerakan kiri hari ini adalah ketiadaan agen dan subjek revolusi.[36] Dalam kata lain, idea dan teorinya sudah banyak dan bercambah. Apa yang kurang adalah pekerja kepada idea, mereka yang bukan sahaja yakin terhadap sesuatu idea, tetapi mereka yang yakin dan bekerja untuk memenangkan idea tersebut. Saya kira perkara ini memang penting, malah saya sendiri pernah menyebutnya. Jika tiada “pekerja kepada idea”, teori, wacana, dan ideologi akan menjadi sesuatu yang sia-sia.[37] Namun sebenarnya kegagalan kaum pekerja bagi menjadi subjek kepada perubahan bukan perkara baharu, ia sudah wujud ketika Revolusi Bolshevik lagi. Di sini kita melihat kebijaksanaan Lenin, beliau berjaya menggunakan “potensi kemarahan” yang wujud dalam petani miskin yang timbul dalam jangka masa yang singkat. Potensi ini segera ditangkap oleh Lenin dengan menggunakan slogan “tanah dan kebebasan” bagi melancarkan Revolusi Oktober.[38]

Semua revolusi-revolusi yang berjaya seperti di Cuba dan Yugoslavia, adalah revolusi dimana potensi kemarahan (rage capital) berjaya digunakan. Kemarahan ini wujud pada jangka masa yang singkat, ekstrem, dan kritikal. Ia mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor seperti kemarahan yang wujud kerana mahukan kemerdekaan bagi sesebuah bangsa.[39] Jika potensi kemarahan ini gagal ditangkap oleh gerakan kiri hari ini, mereka tidak akan berjaya.

Sesuatu revolusi perlu menunggu dengan penuh sabar akan tibanya saat ini, saat-saat yang sebentar di mana sistem sedia ada gagal berfungsi dan rage capital dapat digunakan. Apabila potensi ini muncul, ia perlu segera ditangkap dan kuasa perlu dirampas. Pekerja revolusi perlu sensitif untuk menghidu di mana rage capital ini muncul, jika di jalanan, ia perlu segera digunakan dan diperkuat. Apparatus represif perlu segera dibangunkan pada saat itu bagi mematahkan serangan lawan. Dan apabila demam dan euphoria revolusi sudah surut dan masyarakat mula kembali kepada kesedaran mereka, suasana sudah terlambat dan revolusi sudah kukuh tertanam.[40] Menurut Žižek, inilah cara bagaimana revolusi perlu dikendalikan, inilah anatomi sebuah revolusi. Dari menghidu kemarahan, menggunakannya dan memperkuatkannya dengan segera, serta pantas mematahkan usaha counter revolusi bagi memastikan ia dapat bertahan.

Kritikan Pasca Krisis Kewangan 2008

Krisis kewangan merupakan tanda kegagalan sistem kapitalisma, Žižek dalam bukunya menghuraikan perkara ini. Pasaran ekonomi hari ini adalah berdasarkan kepercayaan (beliefs), malah Žižek menambah bahawa ia adalah berdasarkan kepercayaan kepada “kepercayaan orang lain”.[41] Oleh sebab itu kita melihat dalam banyak hal dan perubahan polisi, penganalisa akan bercakap perihal bagaimana “reaksi” pasaran terhadap sesuatu perubahan. Namun saya merasakan, dengan meletakkan fundamental dan asas kepada ekonomi di atas sesuatu yang berbentuk spekulatif seperti “kepercayaan” dan “reaksi”, ini sangat bahaya. Ia tidak stabil. Apabila ia tidak dapat dibendung dan dikawal, ia akan mengalami kegagalan. Asas ekonomi bagi saya perlu diletakkan pada sesuatu yang lebih berbentuk kuantitatif dan dapat disukat dengan objektif.

Apabila sistem kewangan gagal di Amerika Syarikat pada tahun 2008, solusi yang digunakan bukanlah solusi pasaran bebas seperti yang dicanangkan oleh penganut ideologi ekonomi liberal seperti Fukuyama. Tetapi dengan menggunakan duit rakyat untuk membayar kerugian spekulasi bank. Hal ini merupakan solusi sosialisma, namun bezanya, ia bukan untuk manfaat rakyat jelata, tetapi sosialisma untuk bank-bank besar. Hal ini berbeza sekali dengan ideologi ekonomi Amerika Syarikat yang menggalakkan pasaran bebas dan menghalang campurtangan kerajaan dalam ekonomi.[42]

Walaupun ia adalah penyelesaian mirip apa yang dibawa oleh sosialisma, Žižek mempersoalkan adakah langkah ini benar-benar boleh dipanggil sosialisma ataupun sosialisma bagi negara? Di mana ia dilakukan bukan untuk membantu yang miskin tetapi untuk membantu orang kaya. Memberi wang kepada pemberi pinjaman bukan kepada peminjam. Dalam hal ini kita melihat, pemegang ideologi kapitalis tiada masalah untuk mensosialkan sistem perbankan untuk menyelamatkan kapitalisma. Dalam kata lain, sosialisma hanya diterima apabila ia digunakan untuk menyelamatkan bank dan orang kaya, bukan orang miskin.[43] Di sini kita melihat apa itu ideologi ekonomi. Ideologi ekonomi adalah pertarungan perihal bagaimana kekayaan itu dibahagikan dalam masyarakat. Ia adalah asas bagi pembentukan sistem distribusi.

Walaupun negara-negara besar seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah mempromosikan pasaran bebas dan menolak campur tangan kerajaan dalam hal ekonomi kepada negara lain, negara mereka sendiri mengamalkan pasaran yang tidak bebas dalam ekonomi. Kesatuan Eropah misalnya, memberi subsidi 500 Euro kepada setiap ekor lembu yang diternak di Eropah.[44] Menurut Paul D’Amato, subsidi Eropah kepada setiap ekor lembu, lebih tinggi dari pendapatan per kapita di Sahara Afrika.[45] Di sini kita melihat satu ketidakseimbangan yang ketara. Bagaimana negara-negara kaya dunia sendiri “cakap tidak serupa bikin”, dan hanya mengamalkan polisi pasaran bebas apabila ia menguntungkan mereka. Oleh itu bagi Žižek, tidak ada pasaran yang bebas dan neutral, setiap struktur pasaran adalah berdasarkan keputusan politik.[46] Atau dalam kata lain, ideologikal. Perkara ini saya kira bukan diperkatakan oleh Žižek sahaja, ahli ekonomi seperti Ha-Joon Chang turut menyatakan perkara yang sama. Bagi Chang, pasaran bebas tidak wujud, setiap pasaran mempunyai sempadan dan limitasi, ia dikawal oleh peraturan, dan peraturan ini digubal dari polisi-polisi politik.[47]

Krisis Sebagai Ejen Perubahan?

Ahli ekonomi, Milton Friedman ada menulis satu ungkapan yang terkenal “Only a crisis, actual or perceived, produces real change”.[48] Dalam kata lain, untuk sesuatu masyarakat menerima sesuatu perubahan, mereka memerlukan satu krisis, sama ada krisis tersebut adalah krisis yang benar-benar berlaku, atau dipropagandakan agar ia dirasai seperti sedang berlaku. Jadi, apabila berlakunya krisis kewangan pada tahun 2008, adakah kita dapat melihat berlakunya satu perubahan terhadap sistem kapitalis yang mengawal ekonomi? Adakah masyarakat akan mula hilang kepercayaan akan sistem ekonomi pasaran bebas seperti yang dipromosikan oleh ideologi ekonomi liberal?

Jawapannya, tidak semestinya, menurut Žižek. Sebaliknya ia bergantung kepada bagaimana akhirnya krisis itu disimbolkan. Ideologi mana yang berjaya menggunakan krisis tersebut bagi memaksakan tafsiran mereka kepada masyarakat. Ideologi yang berjaya menggunakan krisis tersebut dalam penceritaan dan tafsiran mereka, dapat memastikan persepsi masyarakat berada di pihak mereka. Oleh itu golongan kiri yang merasakan krisis ekonomi pada tahun 2008 akan membuka ruang bagi mereka adalah naif menurut Žižek. Malah ia sebenarnya dapat digunakan oleh ideologi dominan sedia ada untuk mengukuhkan lagi politik yang bersifat populisma, polisi pro-peperangan, peningkatan kemiskinan di negara-negara ketiga, dan juga peningkatan jurang antara yang kaya dan miskin.[49]

Kebolehan ideologi untuk menguatkan lagi pemikirannya apabila berdepan dengan kegagalan bukanlah hanya terpakai kepada sistem kapitalis dan idea neo-liberal. Tetapi bagi Žižek, ia turut terpakai kepada kelompok sosialis. Contohnya apabila sistem sosialis gagal, yang dipersalahkan bukan idea sosialisme dan sistemnya, tetapi perlaksanaan idea sosialis tersebut yang dianggap tidak mengikut idea asal dengan sebenar-benarnya. Solusi yang diberikan kemudian, bukanlah penghapusan sistem, tetapi reformasi radikal terhadap sistem sedia ada. Jadi dalam kes krisis kewangan 2008, yang dipersalahkan bukan sistem kapitalis, tetapi sistem kapitalis yang telah diselewengkan dari ideanya yang asal.[50] Sistem kapitalis juga digambarkan sebagai satu sistem yang teknikal bukan ideologikal. Ia harus diterima kerana ia berfungsi, ia tidak memerlukan justifikasi lain. Žižek menolak pemikiran seperti ini, baginya pemikiran yang mengatakan bahawa kapitalisma sebagai satu mekanisma sosial yang neutral, pemikiran seperti itu sendiri sebenarnya adalah sebuah ideologi. Pemilihan perihal produk apa yang perlu dihasilkan, produk apa yang perlu digunakan, bentuk tenaga apa yang harus diguna pakai, semua ini adalah pilihan yang berbentuk ideologikal dan politikal bagi Žižek.[51]

Sistem kewangan sebenarnya berdiri di atas sebuah realiti yang dicipta (bersifat imaginari tetapi dipercayai ramai manusia, contohnya kepercayaan bahawa wang mempunyai nilai). Siapa yang mencipta sistem ini adalah mereka yang mengetahui kenapa dan bagaimana ia berfungsi. “Siapa” ini adalah pihak-pihak yang memegang kekuasaan. Namun pihak yang sepatutnya mengetahui bagaimana sistem kewangan ini berfungsi sebenarnya tidak mengetahui akibat yang akan berlaku hasil dari polisi mereka. Krisis kewangan 2008 memperlihatkan bagaimana kadar faedah dibiarkan rendah dalam tempoh yang begitu lama hingga menyebabkan meluasnya pinjaman yang berisiko. Polisi ini sebenarnya tidak neutral dari pandangan Žižek, ia lahir dari ideologi ekonomi yang tidak mahu pasaran dikawal, pasaran bebas yang kompetetif dipercayai adalah yang terbaik. Namun, hasil dari ideologi ini adalah krisis kewangan 2008.[52]

Dalam analisa Žižek, kita dapati bahawa beliau sering menunjukkan adanya ironi dan paradoks. Contohnya ideologi untuk menghadkan campur tangan kerajaan dalam hal ekonomi, perkara ini sendiri sebenarnya berdiri di atas sebuah paradoks. Ideologi ini mahu mengurangkan polisi kerajaan dan regulasi, namun sebenarnya untuk mencapai matlamat ini, ia sendiri memerlukan regulasi. Dalam kata lain, regulasi diperlukan untuk mengurangkan regulasi kerajaan dalam ekonomi. Di sini, kita melihat satu paradoks bagi  Žižek, di mana ideologi ini memerlukan sesuatu yang ditentang oleh dirinya.[53] Namun sebenarnya, dengan pengurangan campur tangan kerajaan, kita menyaksikan bahawa syarikat besar mendapat lebih kebebasan untuk memusnahkan bisnes-bisnes kecil, pekebun kecil, dan juga usahawan-usahawan yang tidak mempunyai modal yang besar.[54]

Dalam sistem politik juga terdapat paradoks perihal siapa yang dapat melakukan perubahan. Dalam spektrum ideologi, hanya mereka berideologi lawan dapat mengubah sesuatu yang diperjuangkan oleh lawannya. Žižek memberi contoh tentang bagaimana perubahan progresif hanya boleh dilakukan oleh pemimpin yang konservatif, sebagai contoh hanya Nixon yang dapat menyambung semula hubungan dengan negara komunis China.[55] Dalam politik Malaysia sebagai contoh, jika pemimpin PAS menziarahi gereja atau kuil, ini akan dilihat sebagai toleransi agama, jika pimpinan PKR membuat perkara yang sama, mereka mungkin akan dituduh sebagai mempromosikan pluralisme agama. Jika pimpinan DAP sebagai contoh, memberi wang rakyat kepada sekolah cina, dia akan dituduh sebagai tidak menghormati falsafah pendidikan nasional yang mengutamakan Bahasa Melayu. Namun, jika pimpinan UMNO sebagai contoh, melakukan perkara yang sama, dia dikatakan sebagai menghargai kepelbagaian budaya. Di sini kita lihat, mereka yang mempunyai ideologi lawan, lebih mudah melakukan perubahan untuk lawannya. Dalam kata lain, golongan progresif perlu bergantung kepada golongan konservatif, begitu juga vice versa.

Dalam memahami keadaan sedia ada sekarang, dan bagaimana kita dapat mengubahnya. Kita hendaklah faham bahawa keadaan sedia ada mempunyai kesan langsung terhadap persoalan adalah perubahan dapat dilakukan. Contohnya mengapa sesorang itu miskin, ia dipengaruhi oleh keputusan politik tentang bagaimana ekonomi diurus. Namun kita sering dibayangkan bahawa ia boleh diubah hanya dengan menukar perangai atau attitude kita. Sebab itu kedai-kedai buku dipenuhi buku self-help, cara berfikir positif, dan bagaimana perubahan sikap dapat menjadikan kita kaya.[56] Namun, jika peluang itu dari awal tiada, perubahan sikap sebenarnya tidak dapat melahirkan perubahan. Ini adalah asas pemikiran materialisma yang menganjurkan bahawa masalah seperti ekonomi memerlukan penyelesaian berbentuk material, bukan perkara abstrak dan psikologi. Contoh yang paling mudah dalam hal ini, bayangkan jika seseorang itu terdampar di sebuah pulau yang kosong, berfikiran positif untuk kenyang tidak akan membantunya keluar dari kelaparan. Dia memerlukan benda material seperti makanan untuk membolehkannya kenyang.

Sistem Kapitalis Baharu

Saya teringat sembang santai saya dengan Francis Wolf di tepi Sungai Gombak satu ketika dahulu. Antara topik perbualan kami adalah bagaimana sistem kapitalis berubah dengan cepat untuk menyesuaikan diri dengan peredaran zaman. Manakala blok sosialis di Malaysia masih membawakan idea-idea dan pendekatan lama, menjadikan mereka tidak lagi relevan di zaman kini.[57] Žižek dalam analisanya mengungkapkan perkara yang sama. Sistem kapitalis hari ini cuba untuk menjadi lebih peka pada tanggungjawab sosialnya. Mereka berkolaborasi dengan pekerja, berdialog dengan pengguna, menghormati alam sekitar, melakukan bisnes dengan lebih transparen, dalam hal ini kita melihat bagaimana kapitalis bukan lagi menjadi enjin untuk sekadar menjana keuntungan, tetapi ia mempunyai makna kewujudan yang lebih dalam. Walaupun begitu, bagi Žižek, mimpi bahawa kapitalis kini lebih spiritual, lebih bertanggungjawab di sudut sosial dan menjaga alam sekitar, musnah apabila berlakunya krisis kewangan pada tahun 2008.[58] Krisis ini menampakkan sisi-sisi buruk dalam kapitalisma yang bernanah di dalam, meski pun di luar segalanya kelihatan indah.

Kapitalis baru juga datang dengan semangat baharu, iaitu “kapitalis kebudayaan”, di mana kita membeli barangan dan produk bukan lagi kerana barang itu mempunyai kegunaan (utility) atau dapat menjadi simbol kepada status sosial kita dalam masyarakat, tetapi kerana ia memberi kita pengalaman (experience) yang membuatkan kita merasakan hidup kita lebih bermakna dan menyeronokkan. Perkara ini dapat dilihat melalui trend pergi bercuti dalam virtual reality, kerana yang penting adalah pengalaman, jadi virtual reality membolehkan kita mendapat pengalaman tanpa perlu melalui perkara-perkara yang menyusahkan seperti beratur membeli tiket, duduk lama dalam kenderaan, dan sebagainya.[59]

Menurut Žižek, kapitalisma bukan sahaja berjaya berubah menjadi kapitalisma baharu, kapitalisma juga berjaya mencipta semula (re-invent) sosialisma, ia dilakukan bagi menyelamatkan dirinya. Dalam keadaan ini, sosialisma bukan lagi menjadi versi bawahan kepada komunisma, tetapi menjadi pencabar dan ancaman utama buat komunisma.[60] Perubahan kapitalisma klasik kepada kapitalisma baharu yang menganjurkan bidang pekerjaan dalam bentuk kognitif, dengan struktur tanpa hiraki dan tidak berpusat menurut Žižek tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman sepenuhnya, kerana boleh jadi, ciri-ciri ini dapat membantu penyemaian benih-benih komunisma di mana struktur sistem yang ada adalah lebih terbuka dan egalitarian.[61]

Sistem kapitalis hari ini sering kali berevolusi, ia akan sentiasa memusnahkan keadaan sedia ada dan mencipta keadaan yang baharu yang lebih efisien. Proses ini sering disebut dalam industri dan dunia korporat sebagai creative destruction di mana ia adalah satu mekanisma inovasi di mana produksi baharu menggantikan produksi yang sudah lapuk. Proses ini merupakan proses yang membantu kapitalisma berkembang, sebahagian kajian menyatakan ia menyumbang sebanyak 50 peratus kepada pertumbuhan produktiviti.[62] Proses ini bukan sahaja mencipta semula kapitalisma setiap kali ia berevolusi, tetapi mengubah koordinat perjuangan komunis. Oleh itu bagi Žižek, musuh komunisma bukan lagi negara, tetapi proses revolusi berterusan kapitalisma ini.[63] Namun perkara ini membuatkan saya bingung, seolah-olah ada satu paradoks di sini, di satu sudut komunisma mahukan revolusi dan perubahan, namun jika revolusi dan perubahan ini dilakukan oleh orang lain ia wajar dimusuhi? Adakah kita perlu menjadi statik? Atau perubahan yang baik hanyalah perubahan anjuran komunis? Bagi saya, keupayaan kapitalisma berubah adalah satu perkara yang baik, ia menunjukkan bahawa ia mampu berubah menjadi lebih mesra manusia juga lebih bertanggungjawab kepada sosial dan alam sekitar. Namun tentulah kita mahukan ia sentiasa ditambah baik, oleh itu sisi kritis perlu sentiasa dibuka.

Mengenali Musuh dan Propagandanya

Terdapat kata-kata yang menyatakan bahawa “seorang musuh itu adalah seorang yang kisahnya belum kamu dengari”. Kata-kata ini berpandangan bahawa setiap orang itu pasti punyai kisah tersendiri yang menatijahkan sebuah tindakan yang kita rasakan tidak wajar. Kita melihat dalam banyak kisah-kisah filem bagaimana karakter antagonis diberikan kisah latarnya sendiri, membuatkan penonton bersimpati dengannya walaupun tindakannya kejam. Žižek menolak hal ini. Beliau bertanya, adakah sekiranya kita mengetahui kisah hidup tentera Nazi dapat menjustifikasikan tindakan kejamnya? Adakah dengan mengetahui kisah hidupnya, mereka menjadi lebih manusia dan dapat dimaafkan?[64]

Bagi Žižek kisah-kisah yang kita ceritakan pada diri sendiri adalah sebuah penipuan, yang penting bukanlah apa yang kita rasa di dalam diri, tetapi apa yang kita lakukan di luar. Apa yang kita lakukanlah yang menentukan siapa kita.[65] Contoh lain yang diberikan oleh Žižek adalah kekejaman tentera kolonial Israel (IDF). Media Israel sering menggambarkan tentera kolonial mereka sebagai manusia biasa yang tidak sempurna, tidak lari dari kesilapan, tersepit dalam sejarah dan peperangan. Mereka digambarkan sebagai manusia yang juga merasakan trauma peperangan.[66] Namun, ini semua tidak seharusnya membuatkan kita bersimpati dengan projek kolonial Israel yang kejam dan sadistik. Pembunuhan kejam yang dilakukan oleh IDF di Gaza dan Lubnan adalah jenayah perang.[67] Jenayah ini bukan satu jenayah yang tersembunyi, ia direkodkan dengan begitu teliti oleh saksi pertama yang ada di medan. Contoh yang baik adalah tulisan Ang Swee Chai yang menyaksikan kekejaman terhadap rakyat Palestin di kem Shabra dan Shatila di Lubnan.[68]

Dalam memahami siapakah sebenarnya pihak musuh, Žižek menolak aksiom “musuh kepada musuh saya adalah sahabat saya”. Bagi beliau, golongan progresif melakukan kesilapan jika mereka menyangka mereka boleh bersekutu dengan golongan di dalam kem fundamentalis Islam hanya kerana mereka berkongsi pandangan yang sama dalam persoalan anti-imperialisma.[69] Walaupun saya faham maksud yang cuba disampaikan oleh Žižek, saya juga merasakan bahawa pandangan beliau ini bersifat reduksionis. Ia melahirkan pemikiran binari yang akhirnya menyebabkan kita melihat dunia dalam kanta yang sempit dan gagal memahami kompleksiti yang wujud di dalam dunia.

Walau bagaimana pun, dalam mengkritik golongan fundamentalis Islam, Žižek tidak bersetuju dengan terma pejoratif “Islamo-Fasis” yang sering diberikan kepada golongan ini. Bagi beliau, terma “Fasis” itu sudah cukup, ia tidak memerlukan dimensi agama. Jika kita menerima terma “Islamo-Fasis”, maka kita perlu mengakui bahawa gerakan paling ganas yang telah membunuh ribuan manusia di Eropah terutamanya kaum Yahudi adalah gerakan “Kristo-Fasis” kerana golongan Nazi pada ketika itu adalah beragama Kristian.[70]

Krisis Imigran & Hipokrasi Eropah

Eropah sering mendabik dada bahawa mereka merupakan juara bagi hak individu, kebebasan, dan juga bantuan kemanusiaan. Namun krisis imigran yang berlaku di Eropah, terutamanya di Lautan Mediterranean menunjukkan hipokrasi yang nyata. Menurut Žižek, imigran yang datang ini dilihat bukan sebagai manusia, tetapi homo sacer seperti yang ditulis oleh Agamben. Homo sacer adalah golongan yang dikecualikan dari undang-undang sivil, mereka boleh dibunuh tanpa apa-apa balasan atau hukuman.[71]

Krisis imigran ini sebenarnya menampakkan sisi rasis pemikiran orang Eropah. Žižek turut memberi contoh dalam sejarah tentang bagaimana perbahasan tentang perhambaan berlangsung. Ahli falsafah Eropah mengkritik sistem perhambaan apabila ia sudah tidak wujud, namun di tempat-tempat yang masih mengamalkannya, sistem perhambaan itu tidak dikritik. Beliau membawakan kata-kata Louis Sala-Molins yang mengatakan bahawa “ahli falsafah pencerahan Eropah mengkritik dengan keras sistem perhambaan, kecuali di tempat-tempat yang wujud perhambaan secara literal”.[72] Dalam kata lain, mereka hanya mengkritiknya apabila ia telah selamat dikritik dan sesuai dengan arus pemikiran masyarakat yang ada.

Eropah dan kuasa Barat dalam sejarahnya bukan sahaja terkenal dengan kezaliman dalam bentuk perhambaan, tetapi juga dalam bentuk kolonialisma di mana mereka merampas hak-hak kebebasan peribumi. Namun dalam proses kolonialisasi ini, mereka telah berjaya menanam nilai dan konsep mereka. Žižek memberi contoh bagaimana negara-negara yang dijajah mahu menjadi negara bangsa yang merdeka, namun sebenarnya konsep negara bangsa yang ingin mereka dapatkan itu merupakan konsep Barat. Dalam kata lain, walaupun Eropah kelihatan tewas apabila berlakunya proses dekolonialisasi, mereka masih menang kerana berjaya menanam struktur sosialnya kepada masyarakat peribumi.[73]

Membedah Sebuah “Kepercayaan” & Persoalan Ruang Awam

Apakah yang dimaksudkan dengan percaya? Apabila kita mempercayai sesuatu, bagaimana sebenarnya kita mengukur kepercayaan itu? Dalam membicarakan hal berkaitan ideologi, Žižek menghuraikan bagaimana ideologi berkait rapat dengan kepercayaan. Apabila kita berpegang dengan sebuah ideologi, kita membina sebuah kepercayaan. Contohnya ideologi perihal demokrasi dan kebebasan, kita semua maklum akan limitasinya, bagaimana ia dimanipulasi oleh ahli politik yang korup dan tidak berfungsi dengan efisien. Tetapi kita masih mengambil bahagian di dalamnya, kita beranggapan bahawa ia tetap akan terus berfungsi walaupun kita tidak mempercayainya.[74]

Dalam membedah persoalan kepercayaan ini, manusia juga mempunyai kecenderungan untuk mempercayai sesuatu itu boleh berlaku, tapi dalam masa yang sama, kita tidak dapat menerima bahawa ia boleh berlaku. Dalam bahasa Perancis disebut “je sais bien, mais quand meme”. Kepercayaan seperti ini yang menjadikan manusia terkejut dengan sesuatu perubahan, walau pun dia sedar bahawa perkara itu memang akan berlaku.[75]

Selain membedah dan membahaskan persoalan kepercayaan, Žižek juga membedah bagaimana kita memahami ruang awam dan juga ruang peribadi, bagaimana interaksi kita bersama orang lain dalam dua sfera ini, apakah hak dan limitasi yang ada. Dalam hal ini beliau membawa pandangan Rorty yang berpegang dengan ideologi liberal di mana beliau berpendapat bahawa ruang peribadi adalah ruang di mana kreativiti dan imaginasi dibiarkan bebas manakala persoalan moral digantung. Manakala di ruang awam kita perlu dikawal oleh peraturan agar kita tidak mencederakan orang lain.[76] Beliau juga mengetengahkan pemikiran Kant yang membawakan konsep the poblic use of reason di mana Kant berpendapat bahawa pemikiran awam hendaklah sentiasa bebas agar ia dapat memberi pencerahan kepada manusia, manakala pemikiran peribadi boleh jadi sempit asalkan ia tidak menganggu gugat proses pencerahan. Kant menerangkan bahawa pemikiran awam yang dimaksudkan adalah pemikiran sarjana di khalayak yang terdidik, manakala pemikiran peribadi mewakili golongan yang diberikan kuasa pemerintahan. Namun Žižek mengkritik pandangan Kant ini, baginya pemikiran ini membangunkan sebuah paradoks di mana Kant menyuruh manusia berfikir bebas tetapi dalam masa yang sama perlu taat kepada pemerintahan.[77]

Kembali Kepada Komunisma

Walaupun komunisma hari ini dilihat sudah tewas, terutamanya dengan jatuhnya Kesatuan Soviet dan juga penerimaan kerajaan Komunis China terhadap sistem kapitalis (capitalism with Asean values), bagi Žižek, penyelesaian kepada masalah sistem ekonomi dan politik dunia tetap adalah komunisma. Beliau memetik sikap optimis Lenin bahawa “komunis tidak akan sekali-kali tewas jika mereka tidak berputus asa dan berani untuk bermula semula di permulaan baharu”. Hipotesis komunis bagi Žižek tetap sebuah hipotesis yang benar.[78] Namun sekadar mempercayai kepada hipotesis ini tidak mencukupi.

Kepercayaan semata-mata tidak cukup. Bagi Žižek, apa yang diperlukan untuk berlaku perubahan adalah mencari dalam realiti sedia ada, antagonisma ataupun rage capital, agar hipotesis ini boleh direalisasikan dengan segera. Pada hari ini, dalam sistem kapitalis baharu yang mendominasi dunia, terdapat empat antagonisma yang wujud.

  1. Ancaman bencana ekologi
  2. Percanggahan konsep harta peribadi bagi harta intelek
  3. Masalah etika dalam kemajuan saintifik terutamanya dalam bidang bio-genetik
  4. Aparteid baru dalam bentuk tembok dan setinggan (perbezaan kaya-miskin)[79]

Antagonisma-antagonisma baharu ini bagi Žižek menyatukan manusia dalam kelas yang sama, bukan lagi perlawanan antara kelas proletariat melawan bojuis seperti yang difahami dalam pemikiran klasik Marx. Bencana iklim sebagai contoh, yang merupakan hasil dari perubahan iklim, akan menghancurkan semua manusia tanpa mengira kelas sosial mereka.[80]

Terdapat perbezaan antara sosialis dan komunis menurut Žižek. Sosialis cuba mewujudkan sistem kolektif yang egalitarian, manakala komunis bagi Žižek ingin mewujudkan komuniti yang organik. Dalam hal ini, beliau memberi contoh Nazism, yang merupakan sosialis nasional, bukan komunis nasional. Sifat rasis bagi beliau boleh wujud dalam bentuk sosialis, tetapi bukan komunis. Dalam kata lain, komunisma berbeza dengan sosialisma di mana komunisma membawa kepada satu kesatuan yang universal, menjangkaui determinasi seperti kaum dan ras.[81] Bagi beliau, sikap rasis yang ditunjukkan Stalin tidak menggambarkan komunisma, tetapi kegagalan Stalin untuk setia dengan idea-idea komunisma. Beliau memetik penulisan sejarawan Eric Hobsbawm yang mengatakan bahawa “sosialisma telah gagal, dan kapitalisma telah bankrap, masa depan akan menjadi komunisma”. Untuk menyelesaikan antagonisma-antagonisma yang telah disebut, bagi komunisma ia perlu diselesaikan semuanya bersama, manakala sosialisma berpandangan kita boleh menyelesaikan 3 antagonisma pertama dan membiarkan antagonisma ke-4. Jika kapitalisma membawa konsep harta milik peribadi, dan sosialisma mendakwa harta milik negara, komunisma pula membawakan konsep bahawa harta itu milik semua, tiada pemilikan peribadi mahupun negara.[82]

Antagonisma ke-4, iaitu perbezaan kaya-miskin (Included vs Excluded) adalah antagonisma yang dapat menjustifikasikan penggunaan terma komunisma menurut Žižek. Dalam hal ini kita melihat bagaimana institusi negara melihat golongan yang tersisih ini sebagai ancaman, dan harus dijauhkan dari masyarakat.[83] Antagonisma ke-4 ini juga mempunyai perbezaan utama berbanding 3 antagonisma sebelumnya. Tiga antagonisma pertama merupakan hal survival manusia dari sudut ekonomi, antropologi, dan fizikal, tetapi antagonisma ke-4 bukan perihal survival manusia, ia adalah perihal keadilan.[84]

Komunis dikatakan gagal kerana gerakan-gerakan yang dahulunya menggerak dan mengubah dunia dilihat menjadi regresif, contohnya Revolusi Budaya Mao kemudian bertukar kepada Kapitalisma Deng Xiaoping. Tetapi bagi Žižek, walaupun ia gagal direalisasikan, ideanya tetap teguh dan berulang kali datang semula. Idea komunis ibarat arus yang datang berulang kali tanpa henti. Ia menyuruh manusia mencuba lagi, jika gagal, berusaha lagi agar gagal dengan lebih baik. Idea yang berulang kali datang ini, adalah idea yang eternal, ia merangkumi empat perkara yang senantiasa perlu difikir dan ditambah baik, ia adalah keadilan yang egalitarian, disiplin yang tinggi, sukarelawan politik, dan kepercayaan kepada manusia.[85] Komunisma bagi Žižek bukan idea utopia perihal masyarakat yang sempurna, tetapi adalah gerakan untuk menggugat sistem sedia ada, kerana jika sistem sedia ada tidak digugat, progres sejarah akan menuju kehancuran.[86]

Kesimpulan

Banyak perkara yang saya belajar dari buku ini. Banyak juga idea-ideanya yang tidak saya setujui. Paling banyak adalah perbahasan-perbahasan yang langsung tidak saya fahami. Ini kerana Žižek banyak mencedok idea dan terma dari hasil tulisan orang lain (terutamanya Badiou dan Negri), dan saya yang tidak membaca tulisan mereka, jadi saya tidak dapat menangkap maksud lengkap perbahasannya. Di dalam kalam penutupnya, Žižek menekankan bahawa untuk perubahan berlaku, kita sendiri perlu menjadi ejen perubahan. Beliau meminjam kata-kata orang Hopi “we are the ones we have been waiting for”, dalam kata lain, jika kita mahukan perubahan, kitalah yang perlu melakukannya.[87] Kita tidak boleh bergantung pada orang lain. Perubahan di zaman baharu akan lahir dari mereka yang kecewa dengan komunis abad ke-20 dan bersedia untuk bermula semula di titik yang baharu, bermula dari awal dan mencipta semula perjuangan. Walaupun dikutuk sebagai utopian sebenarnya merekalah yang baru bangun dan sedar dari mimpi utopia. Mereka tidak bernostalgia dengan gerakan kiri lalu. Bagi Žižek, mereka seperti inilah harapan masa depan dan mereka wujud di banyak negara.[88] Akan tiba satu masa, mereka akan berpadu dan membentuk arus perubahan.

Saya kira Žižek banyak mengkritik paradoks dalam pemikiran-pemikiran orang lain, namun jika kita membaca tulisannya dengan perlahan dan berhati-hati, kita akan dapati penulisannya juga dipenuhi dengan paradoks. Begitu juga tentang persoalan perihal materialisma yang merupakan pemikiran kuat yang mempengaruhi pemikiran Marxis, jika kita meneliti tulisan Žižek dalam banyak hal, beliau juga banyak berwacana perihal konsep yang abstrak terutamanya dalam mengatakan bahawa komunisma adalah lebih kepada idea yang akan berulang kali datang, juga komunisma sebagai satu semangat untuk tidak berputus asa dan sentiasa berani untuk bermula semula dari bawah. Semua idea-idea ini bagi saya berpijak di bumi yang abstrak bukan material.

Bahagian yang paling saya tidak persetujui adalah bahagian di mana Žižek cuba untuk membersihkan Marx dari penulisannya yang menjustifikasikan kolonialisma terhadap India. Cubaan Žižek ini bagi saya adalah cubaan yang gagal, sekurang-kurangnya ia gagal bagi saya untuk melihat bahawa ada sisi positif dalam kolonialisma. Manakala bahagian yang paling saya gemari adalah kritik-kritik beliau dalam persoalan demokrasi, bagaimana ia sebenarnya merupakan satu kepura-puraan yang kononnya memberikan kita pilihan untuk memilih siapa yang seharusnya menguasai kita. Analisa beliau dalam membedah persoalan keperluan krisis sebagai ejen perubahan juga sangat relevan bagi saya. Beliau mengembangkan lagi idea ini, bagi beliau krisis tidak semestinya melahirkan perubahan, malah ia boleh sahaja menjadi alat untuk menguatkan lagi status quo. Apa yang penting adalah naratif mana yang lebih kuat dalam mengetengahkan tafsiran mereka ke atas sesebuah krisis. Selepas membaca tulisan Žižek ini, saya kekal skeptik bahawa masa depan akan menjadi milik komunis, namun dalam masa yang sama, saya merasakan cubaan Žižek dalam membahaskannya mempunyai sumbangan kepada percambahan pemikiran.

Bibliografi

Caballero, Ricardo J. . 2010. “Creative destruction.” In Economic growth, 24-29. London: Palgrave Macmillan UK.

Chang, Ha-Joon. 2011. 23 Things They Don’t Tell You About Capitalism. Penguin.

D’Amato, Paul. 2014. The Meaning of Marxism. Haymarket Books.

2003. Freedom under fire: Dissent in post‐9/11 America. New York: American Civil Liberties Union.

Friedman, Milton. 2002. Capitalism and Freedom (40th Anniversary). University of Chicago Press.

Fukuyama, Francis. 2006. The End of History and The Last Man. Free Press.

Khairy Jamaluddin, and Shahril Hamdan. 2023. “Podcast Keluar Sekejap Episod Ke-32.” Tiong King Sing di KLIA, Kecerdasan Buatan (AI) – What’s next?, Rusuhan di Perancis. July 04. Accessed July 08, 2023. https://www.youtube.com/watch?v=5yyB-Wk5M-k.

Khan, Ali. July 29 (2006). “The War Crime Machine: Defeating the IDF.” Counterpunch 30.

Krause, Paul. 2019. “Karl Marx’s Dialectical Historicism.” Discourses on Minerva. October 28. Accessed July 19, 2023. https://minervawisdom.com/2019/10/28/karl-marxs-dialectical-historicism/.

Said, Edward W. 1991. Orientalism: Western Conceptions of the Orient. Penguin.

Swee Chai Ang. 2019. From Beirut to Jerusalem. Islamic Book Trust.

Syed Ahmad Fathi. 2022. Lalang di Lautan Ideologi. Cukong Press.

—. 2020. Life Full of Reading: A Collection of Book Reviews. Independent Insight.

—. 2022. “Meninjau Pemikiran Edward Wadie Said Dalam Orientalism: Perihal Konstruksi Barat Terhadap Timur.” Sesi Mengopi Bersama JC IIUM.

—. 2019. “Nota-nota peribadi di PBAKL 2019.” Meniti Jambatan Masa. April 08. Accessed June 26, 2023. https://bersamakepuncak.blogspot.com/2019/04/nota-nota-peribadi-di-pbakl-2019.html.

Syed Ahmad Fathi. 2023. “Pemikiran Sejarah Edward Carr.” Nota Pemikir Sejarah.

—. 2023. “Perbahasan & Wacana Yang Sia-Sia.” Independent Insight. June 12. Accessed July 08, 2023. https://theindependentinsight.com/2023/06/12/perbahasan-wacana-yang-sia-sia/.

—. 2016. “The Big Short.” Meniti Jambatan Masa. July 16. Accessed June 3, 2023. https://bersamakepuncak.blogspot.com/2016/07/the-big-short.html.

Zakaria, Fareed. 2004. The Future of Freedom: Illiberal Democracy at Home and Abroad. W. W. Norton & Company.

Žižek, Slavoj. 2009. First As Tragedy, Then As Farce. London: Verso.


[1] Syed Ahmad Fathi. Lalang di Lautan Ideologi. Cukong Press, 2022.

[2] Slavoj Žižek. First As Tragedy, Then As Farce. Verso, London, 2009.

[3] Ibid., hlm. 6.

[4] Ibid., hlm. 37.

[5] Ibid., hlm. 2.

[6] Syed Ahmad Fathi. Life Full of Reading: A Collection of Book Reviews. Independent Insight, 2020. Hlm. 4-10.

[7] Syed Ahmad Fathi. “Pemikiran Sejarah Edward H. Carr.” Nota Pemikir Sejarah (2023).

[8] Paul Krause. Karl Marx’s Dialectical Historicism. Discourses on Minerva, 28 October 2019. Pautan: https://minervawisdom.com/2019/10/28/karl-marxs-dialectical-historicism/

[9] Francis Fukuyama. The End of History and The Last Man. Free Press, 2006.

[10] First As Tragedy, Then As Farce, hlm. 5.

[11] American Civil Liberties Union. “Freedom under fire: Dissent in post‐9/11 America.” (2003).

[12] Syed Ahmad Fathi. “The Big Short”. Meniti Jambatan Masa, 16 Julai 2016. Pautan: https://bersamakepuncak.blogspot.com/2016/07/the-big-short.html

[13] Khairy Jamaluddin, Shahril Hamdan. Podcast Keluar Sekejap Episod Ke-32. “Tiong King Sing di KLIA, Kecerdasan Buatan (AI) – What’s next?, Rusuhan di Perancis”. 04 Julai 2023. Pautan: https://www.youtube.com/watch?v=5yyB-Wk5M-k

[14] First As Tragedy, Then As Farce, hlm. 88.

[15] Ibid., hlm. 145.

[16] Ibid., hlm. 102.

[17] Ibid., hlm. 106.

[18] Ibid., hlm. 133.

[19] Ibid., hlm. 135.

[20] Ibid., hlm. 136-7.

[21] Fareed Zakaria. The Future of Freedom: Illiberal Democracy at Home and Abroad. W W Norton, 2004.

[22] First As Tragedy, Then As Farce., hlm 6.

[23] Ibid., hlm. 39.

[24] Ibid., hlm. 108.

[25] Ibid., hlm. 115.

[26] Edward W. Said. Orientalism: Western Conceptions of the Orient. Penguin, 1991. Lihat halaman 153-155.

[27] Syed Ahmad Fathi. “Meninjau Pemikiran Edward Wadie Said Dalam Orientalism: Perihal Konstruksi Barat Terhadap Timur.” Sesi Mengopi Bersama JC IIUM, 2022.

[28] First As Tragedy, Then As Farce. hlm. 116.

[29] Ibid., hlm. 116.

[30] Ibid., hlm. 117.

[31] Ibid., hlm. 7.

[32] Ibid., hlm. 60-61.

[33] Ibid., hlm. 72-73.

[34] Ibid., hlm. 142-3.

[35] Ibid., hlm. 153.

[36] Ibid., hlm. 88.

[37] Syed Ahmad Fathi. Perbahasan & Wacana Yang Sia-Sia. Independent Insight, 12 Jun 2023. Pautan:

Perbahasan & Wacana Yang Sia-Sia

[38] First As Tragedy, Then As Farce, hlm. 89.

[39] Ibid., hlm. 89.

[40] Ibid., hlm. 90.

[41] Ibid., hlm. 10.

[42] Ibid., hlm. 12.

[43] Ibid., hlm. 13.

[44] Ibid., hlm. 16.

[45] Paul D’Amato. The Meaning of Marxism. Haymarket Books, 2014.

[46] First As Tragedy, Then As Farce, hlm. 16.

[47] Ha-Joon Chang. 23 things they don’t tell you about capitalism. Penguin Books, 2010.

[48] Milton Friedman. Capitalism and freedom. University of Chicago press, 2002.

[49] First As Tragedy, Then As Farce, hlm. 17.

[50] Ibid., hlm. 19.

[51] Ibid., hlm. 25.

[52] Ibid., hlm. 28-29.

[53] Ibid., hlm. 32.

[54] Ibid., hlm. 33.

[55] Ibid., hlm. 110.

[56] Ibid., hlm. 142.

[57] Syed Ahmad Fathi. “Nota-nota peribadi di PBAKL 2019”. Meniti Jambatan Masa, 8 April 2019.

[58] First As Tragedy, Then As Farce, hlm. 34-35.

[59] Ibid., hlm. 52-53.

[60] Ibid., hlm. 96.

[61] Ibid., hlm. 103.

[62] Ricardo J. Caballero “Creative destruction.” In Economic growth, pp. 24-29. London: Palgrave Macmillan UK, 2010.

[63] First As Tragedy, Then As Farce,  hlm. 130.

[64] Ibid.,  hlm. 39.

[65] Ibid., hlm. 40.

[66] Ibid., hlm. 41.

[67] Ali Khan. “The War Crime Machine: Defeating the IDF.” Counterpunch, July 29 (2006): 30.

[68] Swee Chai Ang. From Beirut to Jerusalem. Islamic Book Trust, 2019.

[69] First As Tragedy, Then As Farce, hlm. 70.

[70] Ibid., hlm. 74.

[71] Ibid., hlm. 47.

[72] Ibid., hlm. 111.

[73] Ibid., hlm. 115.

[74] Ibid., hlm. 51.

[75] Ibid., hlm. 108.

[76] Ibid., hlm. 104.

[77] Ibid., hlm. 105.

[78] Ibid., hlm. 86-87.

[79] Ibid., hlm. 91.

[80] Ibid., hlm. 92.

[81] Ibid., hlm. 104.

[82] Ibid., hlm. 95.

[83] Ibid., hlm. 97.

[84] Ibid., hlm. 99.

[85] Ibid., hlm. 125.

[86] Ibid., hlm. 149.

[87] Ibid., hlm. 154.

[88] Ibid., hlm. 156.

Analisa-Zizek-Terhadap-Persoalan-Adakah-Komunisma-Masih-Relevan-di-Abad-Ke-21Download
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Reviu Buku Tagged With: First As Tragedy, Lalang di Lautan Ideologi, Slavoj Žižek, Then As Farce

Apakah Makna Pesta Buku Buat Seorang Penulis?

June 23, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Pesta buku yang terbesar di Malaysia adalah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Dalam ingatan saya, pertama kali saya menghadirinya adalah ketika usia saya 15 tahun, sewaktu itu ia diadakan di Putra World Trade Centre (PWTC). Pada saya berusia 16 tahun, tempatnya ditukar ke MAEPS, Serdang. Ini adalah memori awal saya perihal pesta buku. Namun menurut ibu saya, sebenarnya saya pernah ke pesta buku lebih awal. Kata ibu saya pernah ke PBAKL bersamanya semasa berumur 2 tahun dan hilang dari pantauan beliau, namun selepas itu ibu berjaya menjumpai saya yang hilang apabila urusetia membuat pengumuman ada anak hilang di kaunter. Namun memori ini terlalu awal, hanya ibu saya yang mengingatinya, saya sendiri tidak dapat menemukan memori ini dalam ingatan.

Semasa saya menghadiri PBAKL pada usia belasan tahun itu, antara yang saya perhatikan dan ia kemudian menjadi titik kritikan saya adalah perkataan “antarabangsa” dalam PBAKL yang tidak diterjemahkan dalam senarai pempamer. Kerana pada ketika itu, minat membaca saya adalah pada buku-buku dari luar negara terutamanya buku berbahasa Inggeris. Pada masa ini, saya ke pesta buku sebagai pembaca, pembaca kepada buku-buku berbahasa Inggeris. Juga mungkin saya boleh tambah, pembaca yang naif.

Pandangan saya tentang pesta buku berubah pada tahun 2019. Kerana pada tahun tersebut, saya tidak lagi hadir ke pesta buku sebagai pembaca, tetapi sebagai seorang pembaca dan juga penulis. Pada tahun 2018, saya menerbitkan buku Berfikir Tentang Pemikiran secara swaterbit, dan teman saya, Izzat Ibrahim mengajak saya menjual buku bersamanya di reruai mandiri semasa PBAKL 2019. Pada ketika itu saya mula belajar perihal industri buku, bukan lagi sebagai pembaca yang naif, tetapi sebagai pembaca, penulis, dan juga penjual buku. Saya bertemu ramai orang pada ketika itu dan jaringan saya bersama “orang-orang buku” bermula. Saya tiba-tiba disedut masuk ke dalam dunia buku, di dalamnya ada penjual buku, aktivis buku, kolektor buku, penganjur wacana buku, pengkritik buku, pengossip buku, penerbit buku, editor buku, penulis buku, penganjur acara buku, pencetak buku, dan lain-lain. Baru saya sedar bahawa buku itu ada dunianya yang tersendiri, dan pesta buku merupakan sarang mereka bertemu.

Sejak dari itu saya mula melihat pesta buku ini dari kacamata tempatan, kacamata ekosistem buku, kacamata penulis, bukan lagi sebagai seorang pembaca buku-buku Inggeris. Saya masih kekal membaca buku-buku Inggeris, tetapi saya kini sedar bahawa PBAKL bukanlah tempatnya. Buku-buku Inggeris saya biasanya akan datang dari kedai buku internasional dalam talian seperti Book Depository (sudah di tutup), Abe Books dan Bookfinder. Juga kedai buku dan acara buku di luar talian seperti Kinokuniya dan Big Bad Wolf. Ada kalanya saya mencari buku terpakai di Chowrasta Market, Pulau Pinang, juga dari dalam talian di portal seperti Books n Bobs dan Bookaholics Anonymous. Saya tidak lagi mempunyai jangkaan naif bahawa banyak buku-buku Inggeris boleh didapatkan di pesta buku di Kuala Lumpur.

Selepas 2019, saya mula ke PBAKL sebagai penulis. Dari sudut penerbit dan kedai buku yang menjadi pempamer, persoalan utama pastilah tentang pemasaran dan jualan buku. Mereka masuk dengan modal yang besar, jadi untung dan rugi menjadi kriteria utama. Analisis perihal trend pembaca, trafik pengunjung, dan juga statistik perbelanjaan pengunjung, merupakan perkara-perkara yang akan diperhalusi pasca-PBAKL. Namun, saya ingin membawakan sudut yang lain, iaitu sudut penulis. Apa yang diharapkan oleh penulis dari sebuah pesta buku?

Bagi saya, yang pertama adalah penulis mahu berjumpa dengan pembacanya secara bersemuka. Dengan ini penulis dapat mengambil maklum balas secara primer dari pembaca. Tidak semua pembaca selesa menyuarakan pandangan mereka tentang sesuatu buku secara terbuka. Jadi pesta buku merupakan tempat yang sesuai bagi mereka bertemu dengan penulis dan menyuarakan pendapat mereka. Mereka tidak semestinya bersetuju dengan semua yang ditulis oleh penulis. Mereka juga boleh memberi kritikan, pandangan balas, juga cadangan tentang bagaimana untuk menambah baik lagi mutu dan juga kandungan penulisan.

Apabila penulis dapat bertemu dengan pembaca, mereka dapat memahami bagaimana selera dan juga bentuk khalayak yang membaca buku mereka. Oleh itu, mereka dapat memahami bentuk penulisan yang sesuai untuk diketengahkan dalam penulisan seterusnya. Bagi saya, penulis yang baik bukan sahaja menulis berdasarkan pengalaman, pemikiran, dan kefahamannya, tetapi dia mestilah mengenali latar pembacanya dan dapat memberikan sesuatu yang sesuai buat mereka. Tentulah dia tidak dapat memahami satu bentuk pola pembaca sahaja apabila bertemu dengan pembaca, tetapi, semakin ramai pembaca yang ditemuinya, dia akan mendapat gambaran yang lebih jelas perihal pola dan latar pembaca. Dari pembaca yang datang bertemu dengannya, dia dapat menjangka demografi pembacanya, juga menyesuaikan laras penulisannya.

Kedua, selain menemui pembaca, pesta buku merupakan laman yang mekar bagi penulis untuk bertemu dengan para penerbit. Para penerbit sedia ada, dan juga penerbit-penerbit lain yang bakal menjadi penerbitnya. Setiap penerbit mempunyai niche dan kecenderungan masing-masing. Oleh itu, penulis hendaklah mempunyai pengetahuan perihal syarikat penerbitan. Pemahaman perihal syarikat penerbitan ini bukan sahaja perihal niche penerbitan mereka, malah perihal tatakelola dan juga bagaimana mereka beroperasi. Tidak semua penerbit yang ada adalah penerbit yang baik, ada juga penerbit yang bersifat pemangsa, yang mempergunakan penulis bagi membuat keuntungan tanpa memberi mereka pampasan yang sewajarnya. Oleh itu, dengan menghadiri pesta buku, penulis bukan sahaja perlu memahami penerbit secara luaran, tetapi dia juga harus peka dengan nadi dan denyut dunia penerbitan, memasang telinga dan mendengar suara-suara yang berbisik-bisik di celah-celah reruai pempamer.

Seorang penulis bagi saya tidak perlu setia kepada hanya satu penerbit. Jika dia menulis karya dalam pelbagai genre, dia wajar mempunyai lebih dari satu penerbit. Setiap penerbit mempunyai tribe dan pengikut yang berbeza, dengan menerbitkan karya dengan penerbit yang memfokuskan penerbitan dalam genre yang bersesuaian, sesuatu karya itu akan mudah mendapat liputan yang meluas dalam kalangan pembaca. Penulis akan menikmati readership yang lebih luas, berpatutan dengan genre penulisannya.

Saya teringat perbualan saya di atas talian bersama Zahiruddin Zabidi, seorang penulis yang banyak menulis buku keagamaan. Beliau berpandangan bahawa sebagai penulis “kita mahu karya kita malar hijau. Menjadi rujukan bidang dan ada sumbangan signifikan dalam dunia intelektual”. Beliau juga berpandangan bahawa karya berbentuk himpunan rencana dan artikel pendek akan deras ditelan zaman sekali pun penulisnya mapan. Beliau mencadangkan agar saya menulis buku berbentuk monograf yang mempunyai satu tema dan berstruktur. Buku berbentuk tematik ini bagi beliau lebih berdaya tahan apabila berlalunya edaran masa. Saya bersetuju dengan pandangannya, dan ada juga menyimpan niat untuk menulis penulisan berbentuk seperti ini. Namun masalah terbesar saya adalah kekangan masa, saya bukan penulis sepenuh masa, saya punya kerja hakiki yang lain. Jadi untuk duduk dalam masa yang lama menulis perihal hanya satu tema merupakan satu cabaran yang sukar. Mungkin nanti jika saya berpeluang mengambil sabatikal, saya akan berusaha ke arah ini.

Saya juga teringat akan perbincangan saya bersama seorang penerbit di Taman Kosas, Ampang tidak lama dahulu. Beliau berpandangan bahawa penerbit yang baik bukan merupakan penerbit yang paling banyak menerbitkan judul. Tetapi penerbit yang berjaya membangunkan penulis. Karya yang dihasilkan penulis diulang cetak, dikemaskini, diperbaiki dengan susun atur dan reka sampul baharu, diberi kata aluan baharu, dalam kata lain, penerbit itu memastikan judul yang diterbitkannya sentiasa ada di pasaran, terus diperbaiki dari satu edisi ke edisi baharu. Hal ini ada kaitannya dengan isu “malar hijau” sesuatu karya. Dalam erti kata lain, penerbit yang baik akan sentiasa memperbaiki dan memastikan karya terbitannya sentiasa malar dan hijau dalam pasaran. Mengembangkannya kepada pembaca-pembaca baharu.

Hal ini menyampaikan kepada poin saya yang ketiga perihal makna pesta buku kepada seorang penulis. Iaitu memastikan karya-karyanya bersifat malar hijau dan terus berada di pasaran. Menulis buku bukan satu perkara yang mudah dan singkat. Oleh itu, penulis bukan perlu berkejar-kejar melahirkan buku baharu setiap tahun. Tetapi dia harus membantu mempromosikan buku-bukunya yang sedia ada ke pasaran yang lebih luas. Agar mencapai readership yang lebih luas. Hal ini dapat dicapai dengan menghadirkan diri ke pesta buku. Kerana pesta buku bukan sahaja dikunjungi oleh pembaca lama, ia juga dikunjungi oleh pembaca baharu. Oleh itu, dengan menghadiri pesta buku, penulis dapat memperkenalkan tulisannya kepada pembaca-pembaca baharu dalam masa yang sama mengembangkan lagi lingkungan pembacanya.

Malar hijau juga membawa erti bahawa karya seorang penulis itu terus dicetak apabila stok habis terjual. Dari sudut pandang penerbit, mungkin menghabiskan stok merupakan satu keutamaan kerana mereka memerlukan semula modal yang sudah dilabur. Namun sudut pandang penerbit dan penulis mungkin tidak sama, penulis bukan sahaja mahukan stok bukunya habis dijual, dia juga mahukan stok bukunya kekal ada selepas ianya habis. Kerana karya yang baik bukanlah karya yang meletup sekali sahaja, tetapi harus meletup berkali-kali. Inilah sebenarnya definisi malar hijau, ia tidak hanya diketahui oleh satu generasi, tetapi mengalir ke generasi yang lain. Isi sesebuah karya mungkin sama, tetapi penafsiran terhadap teks yang sama akan berubah mengikut generasi. Setiap generasi akan menafsirkan teks mengikut latar dan semangat zaman mereka.

Keempat, menghadirkan diri ke pesta buku, selain dapat bertemu pembaca dan penerbit, penulis dapat membina jaringan komuniti. Seperti yang saya sebutkan dalam pendahuluan saya, buku ini mempunyai dunianya yang tersendiri. Jika seorang penulis itu rajin ke pesta buku, rajin berbudi dan berbahasa, sedikit demi sedikit, dia akan diserap ke alam lain, iaitu “alam buku”. Alam buku bukan sahaja terdiri dari pembaca dan penerbit, tetapi lebih luas dengan keberadaan aktor lain seperti penyunting, kolektor, pengkritik, aktivis, dan lain-lain. Dengan bersama dalam sebuah jaringan, penulis akan lebih cakna akan perkembangan dunia buku dan dapat mencari posisi yang paling sesuai bagi menempatkan dirinya.

Seperti yang saya tulis berulang kali dalam buku Dua Sayap Ilmu bahawa “dengan membaca kita berbicara dengan generasi lalu, dengan menulis kita berbicara dengan generasi akan datang”, saya berpandangan bahawa seorang penulis itu tidak boleh memisahkan dirinya dengan membaca. Sarjana seperti E.H. Carr berpandangan bahawa membaca dan menulis itu satu proses yang sama dan perlu berjalan seiring. Sebab itu, pada pandangan saya, yang merupakan poin yang kelima dan terakhir, tentang makna pesta buku bagi seorang penulis adalah pesta buku itu berfungsi sebagai sebuah ladang. Ladang kepada seorang penulis itu untuk menambah bahan bacaannya sendiri. Seorang penulis tidak akan menjadi penulis yang baik sekiranya dia sendiri bukan seorang pembaca.

Dengan membaca, seorang penulis sebenarnya sedang menajamkan mata penanya. Dengan membaca, seorang penulis itu sedang melebarkan lagi lembaran kefahamannya. Dia dapat meneroka alam fikir baharu dan mampu masuk ke gelanggang permainan yang baharu. Jika penulis itu sekadar seronok dengan karya-karya lamanya, dia akan segera ditelan zaman, pemikirannya menjadi kaku, dakwatnya tidak lagi dapat merangsang fikir. Aksaranya tidak lagi akan membumi dan buah fikirnya tidak lagi terasa manis untuk dinikmati usai peredaran masa. Penulis yang membaca dapat merawat rawan pembacanya, dia mampu memahami degup nadi semasa bangsanya. Lantas penanya dapat digunakan untuk membangunkan penyelesaian, bicaranya sesuai dengan masalah semasa dalam masyarakat. Dalam kata lain, untai-untai kata-katanya dapat mengarah kepada perubahan yang baik dalam masyarakat. Kerana pada perkiraan saya, itulah fungsi penulis, dia bukan hadir untuk mengkhayalkan pembaca dengan bait-bait yang enak tetapi tidak bermakna, tetapi dia haruslah mampu menjadi ejen pembaikan sosial dengan menggerakkan pembacanya untuk bekerja dan berusaha. Maka dengan untaian kesimpulan itu, bagi saya, inilah makna-makna sebuah pesta buku buat penulis.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana

Perbahasan & Wacana Yang Sia-Sia

June 12, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Pierre-Antoine Demachy (1723-1807).

Saya kira menjadi satu fesyen golongan yang merasakan diri mereka progresif, liberal, tercerah, dan lain-lain mengkritik golongan yang berfahaman konservatif. Saya bukanlah mahu menggunakan terma seperti progresif, liberal, dan tercerah ini sebagai satu terma pejoratif, tetapi bagi menggambarkan satu bentuk gaya fikir. Untuk memudahkan tulisan ini, saya akan gabungkan kesemuanya sebagai “golongan tercerah”, walaupun saya faham, setiap aliran fikir yang disebut mempunyai nuansa masing-masing.


Fesyen ini menjadi lebih hangat, apabila medan pemikiran ini tidak wujud secara isolasi, tetapi bergabung dengan medan politik dan kuasa. Di Malaysia misalnya, kritikan ini sering dihalakan kepada parti yang menggunakan jenama Islam, mereka dicemuh sebagai konservatif, terkebelakang, fanatik, jumud, dan lain-lain. Saya lama juga memerhatikan hal ini, dan termenung berfikir tentangnya. Sekarang, gerakan Islam ini digelar pula sebagai arus baharu yang menakutkan seperti “the green wave”.


Cuma dalam pemerhatian dan renungan saya, wacana, perbahasan, dan kritikan golongan tercerah ini mempunyai satu ketempangan. Mungkin laras bahasanya hebat, lenggok bahasanya bersastera seni, jargonnya setinggi menara gading, dan intelektual dan logiknya bertaraf scopus, namun adakah ia berakar dalam masyarakat dan menghasilkan gerakan massa? Atau ia hanya menjadi acara wacana yang memberikan kenikmatan pada intelektual, namun usai bicara, masing-masing pulang tidur. Adakah jurnal berimpak tinggi itu dapat dibaca dan difahami oleh masyarakat di perkampungan orang asli di Air Banun misalnya? Dalam kata lain cukupkah wacana tanpa ada kader yang menggerakkannya?


Karl Marx pernah menulis bahawa sejarah tidak mampu berbuat apa-apa, ia tidak mempunyai harta, tidak mampu berjuang dalam perang, tetapi manusialah, manusia yang hidup yang mempunyai harta dan mampu berjuang. Saya kira begitu juga dengan wacana-wacana tercerah ini, secerah mana pun idea yang dibawa, jika tiada manusia yang menggerakkannya, idea itu tiada fungsi yang praktikal. Ia akan duduk dalam helaian manuskrip, disusun pada rak almari paling tinggi dalam perpustakaan berhawa dingin tetapi tidak disentuh oleh sesiapa.


Sebab itu sejarawan Eric Hobsbawm pernah ditanya semasa temu bualnya bersama Christopher Hitchens. Penanya soalan itu bertanya perihal apa yang ditulis oleh Bertrand Russell bahawa masalah dunia adalah apabila orang-orang bodoh dan fanatik menjadi begitu yakin dan orang-orang bijak penuh dengan keraguan. Hobsbawm menolak pemikiran Russell ini, katanya dalam hal ini Russell tidak boleh dipakai. Hobsbawm yang telah melihat, memerhati, merekod, dan menulis sejarah sejak sekian lama menyatakan bahawa orang-orang fanatik yang mempunyai keyakinan yang jitu, orang-orang yang yakin dengan idea mereka, tanpa mereka, perubahan tidak akan berlaku. Dalam kata lain, perubahan hanya akan berlaku apabila ada manusia yang benar-benar yakin dengan ideanya dan bergerak menjayakannya. Mereka yakin bahawa dunia ini mampu diubah, tidak duduk diam atau sekadar berwacana, tetapi melakukan kerja-kerja sukar dalam menjayakannya. Dalam kata lain, mereka tidak hanya beridea, tetapi mereka mengotorkan tangan mereka dengan usaha yang gigih.


Masalah pada wacana-wacana tercerah ini kebanyakannya menganjur kepada fahaman yang berbentuk individualistik. Pada mereka, apa yang betul adalah apa yang dirasakan betul oleh perasaan peribadi, manusia hidup secara atom dan terpisah, dan tiada gerakan massa. Semuanya terpecah pada kelompok tercerah masing-masing. Hal ini bagus untuk kebebasan berfikir, tetapi ia tidak mampu melahirkan perubahan massa. Perubahan bukan berlaku kerana kecerahan sesuatu idea, tetapi apabila sesuatu idea dapat menggerakkan masyarakat massa. Bak kata Lenin “Politics begin where the masses are, not where there are thousands, but where there are millions, that is where serious politics begin”.


Oleh itu wacana, simposium, konferens, atau sesi diskusi paling kritis dalam seluruh cakrawala pun, jika ia tidak mampu membentuk gerakan massa, ia hanya akan tinggal sebagai satu idea. Idea tidak mempunyai darah dan air mata yang merupakan harga kepada sebuah perjuangan. Ia memerlukan manusia-manusia yang hidup yang mampu beramal.
Ini berbeza dengan pihak yang mereka gelar sebagai konservatif, mereka bukan sahaja mempunyai idea, tetapi mereka mempunyai pekerja. Mereka mempunyai sistem pendidikan yang berakar dalam masyarakat, dari tadika hingga ke universiti. Mereka bekerja dan melibatkan keluarga mereka bersama, kerana mereka tidak memisahkan agama dengan kehidupan. Natijah dari gerakan mereka bukanlah kelahiran individu tercerah dengan idea yang kritis, tetapi keluarga-keluarga yang iltizam dan istiqamah dengan perjuangan mereka. Mereka berada dalam masyarakat, hidup bersama masyarakat dalam susah dan senang, menggerakkan masyarakat, malah masyarakat menganggap mereka sebahagian dari mereka. Mereka tidak dilihat sebagai orang luar yang hanya mampu menyindir.


Saya melihat, warga-warga yang tercerah ini, jika mereka serius dengan idea mereka. Mereka perlu keluar menjadi pekerja kepada idea mereka. Bukan melepak dan tidur selepas habis wacana. Paling mereka boleh lakukan adalah menyindir di media sosial namun tiada gerakan massa. Jika mereka benar dengan idea mereka, maka mereka perlu bekerja. Jika tidak, golongan tercerah ini saya kira akan menjadi seperti apa yang ditulis oleh Slavoj Zizek dalam kritiknya terhadap kegagalan gerakan kiri pada masa kini. Mereka hanya mampu mengejek orang lain “vencereis, pero no convencereis”, tetapi akhirnya mereka tetap akan kekal kalah.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana Tagged With: green wave, Malaysia, pemikiran, politik

Membebaskan Sains Dari Dogma

May 21, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Saya membaca buku Richard Dawkins pada tahun 2016, kira-kira sudah 7 tahun lalu. Bukunya bertajuk The God Delusion yang mana beliau menyerang pandangan hidup beragama yang baginya merupakan delusi manusia. Dawkins memang masyhur sebagai seorang ateis yang militan. Buku ini begitu terkenal dan tersebar luas, malah buku Dawkins ini turut dibaca oleh mufti Perlis, dan ada disebutkan dalam bukunya Aku Ingin Kembara Lagi.

Bagi Dawkins, agama adalah musuh pemikiran logik akal, kata beliau “the enemy of reason”. Namun buku tersebut tidaklah begitu memukul saya, walaupun ia merupakan serangan kepada pandangan hidup beragama, contoh-contoh dan serangan beliau lebih memfokuskan serangan terhadap agama Kristian. Sebagai seorang Islam, saya tidak merasa begitu terpukul, walaupun secara umumnya beliau menyerang semua agama.

Kini, setelah 7 tahun, barulah saya jumpa lawan kepada buku The God Delusion yang mengambil tajuk yang provokatif dan bersifat perlian, iaitu The Science Delusion. Buku tulisan Rupert Sheldrake ini memang rare, saya mencarinya di Kinokuniya pun tiada, di Kinokuniya yang bersepah adalah buku-buku Dawkins. Bagi saya Sheldrake adalah lawan yang lethal bagi Dawkins, Dawkins pernah menjemputnya dalam dokumentari “The Enemy of Reason” tetapi menolak untuk membincangkan data-data dari kajian Sheldrake. Dawkins hanya mahu memaparkan sisi fahaman ekstrem sainsnya sahaja, ia tidak lebih dari dogma.

Kenapa saya kira Sheldrake merupakan lawan Dawkins yang sebenar? Kerana Sheldrake merupakan saintis yang solid, dia lahir dari akademi sains yang mainstream walaupun pandangannya tidak mainstream. Bagi Sheldrake, paradigma sains yang hanya berasaskan materialisme merupakan paradigma yang dogmatik yang dipaksakan pada masyarakat dan tidak dapat menerangkan keseluruhan fenomena alam. Dan Sheldrake tidak hanya membawa kata-kata, tetapi bukti dan kajian eksperimen.

Berbeza dengan hujah orang lain yang menolak dogma Dawkins yang biasanya menggunakan hujah metafizik, teleologikal, kosmologi kalam, falsafah dan sebagainya. Sheldrake yang merupakan ahli biologi yang sama seperti Dawkins, beliau membawa hujah sainsnya melawan hujah sains Dawkins. Kajian sains beliau tidak hanya ditulis dalam tulisan popular, tetapi kajian eksperimen Sheldrake diterbitkan dalam jurnal sains yang mempunyai peer review.

Eksperimen beliau melangkaui batasan sains yang digariskan saintis yang berfahaman materialis. Contohnya telepathy, gelombang minda, dan lain-lain. Bagi Sheldrake matter (jisim) mempunyai consciousness (kesedaran), ini sangat ditentang oleh saintis yang berfahaman materialis. Menurut Sheldrake, perasaan perlu diterima sebagai daerah sains kerana perasaan adalah pengalaman yang dirasai manusia. Sains adalah berdasarkan pengalaman, jadi ini tidak dapat ditolak. Pastilah beliau tidak terlepas dari gelaran “pseudo-science” dan gelaran-gelaran lain. Tetapi semua gelaran ini tidak mematahkan semangatnya. Malah dia terus melakukan eksperimen terhadap bidang-bidang kajian yang dianggap tidak dapat dikaji oleh sains materialis.

Bagi yang pernah membaca The God Delusion, saya sarankan anda menyambungnya dengan The Science Delusion.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana Tagged With: richard dawkins, rupert sheldrake, science delusion

Menikmati Cebisan Dari Lapangan Emas al-Mas’udi Sang Herodotus Arab

May 17, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Saya pertama kali mengenali tulisan al-Mas’udi dari kritikan yang dilemparkan kepadanya oleh Ibnu Khaldun. Bagi Ibnu Khaldun, walaupun hasil tulisan al-Mas’udi merupakan tulisan sejarah yang terkemuka, beliau berpendapat banyak fakta di dalamnya tidak tepat dan disalin semula dengan tidak kritikal. Bagi Ibnu Khaldun, al-Mas’udi tidak mengkritik sumbernya dan tidak menggunakan logik akal dalam menyaring penulisan sejarahnya.[1] Bermula dari kritikan Ibnu Khaldun ini saya mula berkenalan dengan penulisan-penulisan al-Mas’udi dan juga komentar sarjana perihal hasil kerja beliau.

Al-Mas’udi merupakan ahli sejarah yang memberi sumbangan besar kepada perkembangan historiografi Islam pada zaman klasik. Buku sejarahnya yang terkenal bertajuk Muruj al-Zahab wa Ma’adin al-Jauhar, terjemahan ke dalam bahasa Inggeris bertajuk Meadows of Gold and Mines of Gems dan sering dirujuk dengan tajuk yang lebih pendek iaitu Meadows of Gold. Al-Mas’udi menulis sejarah yang komprehensif, beliau juga menguasai subjek seperti geografi, geologi, dan zoologi. Oleh kerana sumbangan luas beliau dalam historiografi pada zaman klasik, beliau dikira setanding dengan Herodotus, dan digelar sebagai Herodotus bagi orang Arab.[2] Antara orang terawal yang memberi gelaran Herodotus Arab kepada al-Mas’udi adalah sarjana orientalis bernama Alfred von Kremer.[3]

Oleh kerana berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut pemikiran al-Mas’udi dan penulisan sejarah beliau, saya telah mendapatkan bukunya. Tetapi apabila buku itu sampai, rupa-rupanya ia bukanlah keseluruhan karya al-Mas’udi, tetapi adalah cebisan dari tulisan beliau yang telah dipilih, naskhah ini merupakan hasil terjemahan Paul Lunde dan Caroline Stone.[4]

Tujuan dan Metodologi Historiografi al-Mas’udi

Bagi al-Mas’udi, usaha penulisan sejarah beliau adalah sebuah usaha untuk menyelamatkan apa yang dijumpainya dalam lombong keilmuan, dari lombong keilmuan ini beliau ingin menyelamatkan cebisan-cebisan ilmu pada zamannya dari dimusnahkan masa. Bagi beliau, penulisan sejarah adalah usaha menyelamatkan masa lalu dari kemusnahan.[5] Al-Mas’udi juga menekankan bahawa tujuan penulisan beliau adalah sejarah, oleh itu beliau tidak mahu membahaskan teori-teori atau pandangan-pandangan.[6] Membahaskan pandangan mungkin menyebabkan kita cenderung untuk memilih pandangan yang bias pada kecenderungan kita. Ini akan menjadikan penulisan sejarah kurang objektif. Oleh itu al-Mas’udi hanya mahu memfokuskan penulisannya pada fakta sejarah. Walaupun al-Mas’udi menyatakan tujuan sebegini, saya kira ia tidaklah begitu berjaya, kerana ada ketikanya beliau membahaskan sesuatu diluar bidang pengetahuannya dan terpaksa bergantung kepada pandangan dan pendapat mereka yang lebih pakar.

Melalui penulisan beliau, kita dapat melihat bagaimana al-Mas’udi menggunakan pelbagai metodologi pengkajian sejarah. Antaranya adalah dengan merujuk sumber-sumber terdahulu. Beliau juga mengembara ke pelbagai negara dan negeri untuk melihat sendiri keadaan di sana sebelum merekodkannya. Sepanjang pengembaraannya, beliau akan menemuramah sarjana, pedagang, juga orang-orang awam yang ditemuinya. Metodologi temuramah ini saya kira mirip dengan metodologi Socrates yang menggunakan dialog dan argumentasi dalam usaha penghasilan ilmu dan kefahaman.[7] Beliau juga bergantung kepada pengembaraan orang lain untuk menulis perihal tempat-tempat yang tidak dilawatinya. Al-Mas’udi juga menyatakan bahawa pengembaraannya untuk mengumpulkan sejarah ini merupakan pengembaraan yang menyiksakan, dia mengutip mutiara-mutiara sepanjang perjalanannya untuk menghasilkan satu penulisan yang berharga.[8]

Al-Mas’udi juga mengakui sendiri bahawa dalam penulisannya, beliau tidak berpihak, beliau tidak menulis untuk mempertahankan mana-mana mazhab atau doktrin. Tujuan penulisan beliau hanyalah sejarah manusia dan bukan perkara lain.[9] Dari naskhah yang saya baca, saya merasakan al-Mas’udi benar dalam pengakuannya ini, penulisan beliau bersifat objektif, tidak merendahkan mana-mana kumpulan secara berlebihan dan tidak juga mengagungkan yang lain secara berlebihan. Kita boleh katakan bahawa beliau menangguhkan pengadilan, dan menulis sejarah sekadar apa yang dilihatnya berlaku tanpa bias ideologikal. Objektiviti sebenarnya bersifat futuristik, seperti yang diungkapkan Carr, dan kita hari ini dapat melihat dengan lebih objektif apa yang ditulis oleh al-Mas’udi kerana horizon sejarah kita kini yang sudah menjadi lebih luas.[10]

Walaupun Ibnu Khaldun mengkritik al-Mas’udi sebagai tidak kritikal dalam menulis sejarah dan mengambil sumber, jika dibaca penulisan al-Mas’udi, beliau ada berusaha membuat verifikasi terhadap faktanya. Sebagai contoh, Jahiz, seorang penulis terkenal di zamannya ada menulis tentang bagaimana badak sumbu mengandungkan anaknya selama 7 tahun, anak badak tersebut akan mengeluarkan kepala untuk meragut rumput dan masuk semula ke dalam perut ibunya. Al-Mas’udi telah bertanya kepada penduduk setempat yang arif perihal badak sumbu, mereka mengatakan proses mengandung dan melahirkan anak badak sumbu adalah sama seperti lembu dan kerbau. Oleh itu bagi al-Mas’udi, fakta yang dibawa Jahiz ini meragukan.[11]

Skop & Kandungan Penulisan al-Mas’udi

Jika dilihat corak historiografi al-Mas’udi, beliau tidak hanya menulis perihal sejarah pemerintahan dan politik di kawasan-kawasan yang diketahuinya. Tetapi beliau membentangkan batas-batas geografi, nama-nama laut, haiwan-haiwan yang ada di tanah yang berbeza, juga adat dan budaya setiap kaum pada lokaliti yang berbeza. Beliau membahaskan sejarah bangsa-bangsa, struktur sosial, raja, dan hiraki politik mereka. Dalam hal ini kita melihat, historiografinya lebih bercorak sejarah seperti aliran pensejarahan Annales. Namun skop batasan geografi al-Mas’udi tidaklah menyeluruh seperti batasan geografi moden, ia terbatas kepada pengetahuan yang ada di zamannya. Lautan Atlantik misalnya, pada zaman itu masih tidak diteroka, ia dianggap laut yang tidak diketahui apa yang ada di hujungnya.[12]

Al-Mas’udi juga menulis perihal sejarah agama-agama lain. Misalnya beliau ada menulis perihal bagaimana Kitab Injil diterjemahkan dari bahasa Hebrew ke dalam bahasa Yunani oleh 72 sarjana di Alexandria, Mesir. Kemudian ia diterjemahkan oleh sarjana-sarjana lain ke dalam bahasa Arab, contohnya terjemahan yang dibuat oleh Hunayn Ibn Ishaq seorang sarjana Kristian aliran Nestorian, menurut al-Mas’udi terjemahan Hunayn adalah terjemahan yang paling tepat.[13] Sarjana lain berpandangan, penterjemahan dari Hebrew ke Yunani ini berlaku pada abad ke-3 Masehi di Alexandria. Ia dilakukan kerana kaum Yahudi di Alexandria pada ketika itu sudah tidak lagi bertutur dalam bahasa Hebrew, naskah terjemahan ini kemudian diberi nama Septuagint.[14]

Seperti yang dikritik oleh Ibnu Khaldun, dalam penulisan al-Mas’udi memang terdapat fakta yang tidak tepat. Pada naskhah From The Meadows of Gold, yang merupakan terjemahan moden dan seleksi terpilih dari naskhah asal, apabila terdapat kesalahan fakta, perkara ini dinotakan oleh sarjana seterusnya. Contohnya al-Mas’udi menyatakan bahawa Raja Cyrus memerintah Parsi semasa kelahiran Nabi Isa, fakta ini tidak tepat dan ia telah dinotakan.[15]

Al-Mas’udi juga menulis tentang pemerhatiannya tentang bagaimana keilmuan Yunani mengalami keruntuhan. Ilmu-ilmu sains pada awalnya dikembangkan oleh orang-orang Yunani, kemudian ia disambut oleh bangsa Rom. Menurut al-Mas’udi, keilmuan yang dibangunkan itu umpama bangunan yang tinggi, dengan asas yang kukuh. Namun keilmuan ini musnah apabila agama Kristian muncul di Byzantine, api ilmu terpadam dan penemuan-penemuan orang Yunani pupus. Catatan al-Mas’udi berkenaan dengan kemusnahan keilmuan yang berlaku apabila Kristian mula tersebar ini turut mendapat perhatian penulis kontemporari. Sebagai contoh, Catherine Nixey yang menulis tentang bagaimana Kristian menghancurkan dunia Romawi dan Yunani mengambil catatan al-Mas’udi ini dan dimasukkan di hujung bukunya.[16] Nixey dalam bukunya sangat agresif menyerang agama Kristian yang baginya merosakkan bukan sahaja keilmuan, malah budaya, falsafah dan juga seni masyarakat Rom dan Yunani pada zaman klasik.[17]

Menulis perihal Mesir, al-Mas’udi menghuraikan penemuan-penemuan kuil pada zaman dahulu dengan inskripsi yang tidak dapat difahami. Pada zaman tersebut, sarjana masih belum berjaya menafsirkan tulisan hieroglyph yang menjadi inskripsi di kuil-kuil ini. Hari ini perkara ini sudah dapat dilakukan hasil usaha yang dilakukan oleh sarjana seperti Thomas Young dan Jean-Francois Champollion dari tahun 1814 hingga 1823.[18] Namun menurut al-Mas’udi, pada zaman tersebut, ada cubaan untuk memahami hieroglyph, contohnya oleh Dhu al-Nun al-Misri yang menulis bahawa dia dapat memahami beberapa inskripsi, satu inskripsi yang diterjemahkan beliau berbunyi:

“Nasib telah dikunci dan takdir ketawa”.[19]

Nusantara, China dan Negeri Kedah dalam Penulisan al-Mas’udi

Sebagai warganegara Malaysia, tentulah saya berminat apabila al-Mas’udi menyentuh sejarah dan kawasan di Nusantara. Al-Mas’udi tamat menulis bukunya Meadows of Gold pada tahun 947 Masehi di Fustat, Mesir.[20] Menurut kajian kontemporari, jika dibuat perbandingan garis masa, zaman ketika al-Mas’udi mengarang kitabnya, iaitu sekitar abad ke-10 Masehi, di Nusantara pada ketika itu berdirinya Kerajaan Srivijaya di mana ibu kota kerajaan ini terletak di Sungai Merbok, Kedah. Manakala di Lembah Bujang, Kedah, ada dijumpai wang syiling dirham zaman Khalifah al-Mutawalul yang bertarikh 848 Masehi menandakan wujudnya hubungan dagang antara Nusantara dengan dunia Arab.[21] Hubungan Kedah dengan Arab sebenarnya menurut sarjana, telah terjalin sebelum lahirnya Islam lagi.[22] Menurut al-Mas’udi, Kedah merupakan tempat pertemuan kapal-kapal pedagang dari Siraf dan Oman dan juga kapal-kapal pedagang dari China.[23]

Menurut al-Mas’udi, negeri Kalah (Kedah) terletak di lautan yang bernama Kalahbar. Di laut ini terdapat pelbagai pulau yang disebut sebagai surr, yang bermaksud tempat di mana dua teluk bertemu. Al-Mas’udi menyebut kerajaan Srivijaya sebagai Sribuza yang diperintah oleh seorang Maharaja. Maharaja ini menurut al-Mas’udi pernah mengalahkan raja Qimar (Cambodia). Namun Maharaja tersebut tidak memerintah Qimar, beliau hanya mahu membunuh dan mengalahkan raja Qimar yang angkuh, setelah berjaya, dia berundur dan membiarkan negeri Qimar itu dalam keadaan baik tanpa apa-apa kerosakan.[24]

Al-Mas’udi ada menyentuh perihal kepulauan di Nusantara, antaranya al-Ramni iaitu Sumatera yang dikatakan diperintah oleh raja yang kaya dengan lombong emas. Juga Fansur iaitu kota Barus di mana di situ dikatakan kawasan yang kaya dengan kapur barus yang digelar sebagai fansuri.[25] Penulisan beliau tidak hanya berhenti di Nusantara, al-Mas’udi juga ada mengisahkan bagaimana negeri China mempunyai pemerintah yang adil. Beliau mengisahkan bagaimana seorang pedagang telah dilayan dengan tidak adil oleh pegawai istana, dia telah dibawa untuk dibicarakan oleh raja China. Setelah baginda mendapati berlakunya ketidakadilan, baginda telah menghukum pegawainya dan melayan dengan baik pedagang dari Samarkand yang dizalimi itu.

Baginda bertitah “kamu telah menzalimi pedagang yang telah datang dari jauh, merentasi lautan dan pelbagai kerajaan untuk sampai kepadaku tanpa masalah kerana dia percaya akan keadilanku. Kita beruntung kerana pedagang ini tidak pulang untuk memberitahu kepada dunia akan kezaliman yang berlaku, akan kesalahan kerajaanku, juga akan kerendahan darjat negeri ini…” [26]

Di sini kita melihat bagaimana raja China pada ketika itu bukan sekadar berlaku adil, tetapi beliau sangat menjaga maruah dan juga darjat negerinya. Baginda mahu bukan sahaja keadilan tertegak, tetapi dunia mengetahui bahawa dia telah memerintah dengan adil tanpa menzalimi pedagang yang datang ke negerinya.

Kesimpulan

Dari penulisan ringkas ini dapatlah kita membuat beberapa kesimpulan. Pertamanya, memang terdapat kesalahan-kesalahan fakta dalam tulisan al-Mas’udi, kita melihat bahawa kritikan Ibnu Khaldun terhadapnya mempunyai merit. Namun tidaklah al-Mas’udi menulis semuanya secara sewenang-wenang, dalam kes Jahiz contohnya, kita melihat beliau melakukan verifikasi dan kritikal terhadap sumbernya. Kita juga dapati bahawa al-Mas’udi telah berusaha sedaya upaya untuk menulis dengan objektif dan cuba mengelak dari membahaskan sesuatu yang bersifat teori, spekulasi dan pandangan peribadi. Kita juga melihat bahawa cakupan historiografi beliau bersifat luas, tidak hanya terkongkong di Semenanjung Arab, Eropah, dan kawasan di sekitar Mediterranean. Tetapi beliau cuba memuatkan semua lokaliti yang diketahui pada zamannya termasuklah India, Kepulauan Nusantara, Rusia, Korea, dan juga China. Saya merasakan perluasan historiografi terutamanya pada zaman klasik ini sangat penting, kerana sejarawan moden dapat membuat perbandingan. Pensejarahan Melayu tradisional misalnya, banyak dipengaruhi mitos dan legenda.[27] Dengan adanya catatan dan sumber luar, perbandingan dan tapisan dapat dilakukan kepada sejarah tradisional di Tanah Melayu dan Nusantara. Historiografi beliau yang tidak berpusat hanya kepada politik, golongan elit, dan pemerintahan juga menjadikan pensejarahan beliau dekat dengan aliran pensejarahan Annales.

Bibliografi

Ahmad Jelani Halimi. 2008. Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu. Utusan Publications & Distributions Sdn Bhd.

al-Mas’udi, Paul Lunde (Translator), and Caroline Stone (Translator). 2007. From The Meadows of Gold. Penguin Books.

Bennaji, Yousef. 2020. “A critical appraisal of al-Masudi’s perception of northern India: A special study on Multan.” European Journal of Language and Literature 6, no. 1 50-58.

Greenspoon, Leonard. 2003. “Hebrew into Greek: Interpretation in, by, and of the Septuagint.” A History of Biblical Interpretation 1 80-113.

Ibn Khaldun, Franz Rosenthal (Translator), N. J. Dawood (Editor), and Bruce B. Lawrence (Introduction). 2015. The Muqaddimah: An Introduction to History, The Classic Islamic History of the World. Princeton Classics.

Lestari, Rani, Nurul Hak, and M. Nasihudin Ali. 2023. “Al-Mas’udi’s Contribution in the Development of Classic Islamic Historiography.” JUSPI (Jurnal Sejarah Peradaban Islam) 6, no. 2 91-99.

Nixey, Catherine. 2018. The Darkening Age: The Cristian Destruction of the Classical World. Pan Books.

Robinson, Andrew. 2011. “Styles of decipherment: Thomas Young, Jean-François Champollion and the decipherment of the Egyptian hieroglyphs.” SCRIPTA: International Journal of Writing Systems (The Hunminjeongeum Society) 3 123-132.

Syed Ahmad Fathi. 2023. “Falsafah Dan Metodologi Argumentasi Socrates.” Jejak Tarbiah.

Syed Ahmad Fathi. 2023. “Kehancuran Dunia Klasik Romawi & Yunani.” Academia Book Review.

Syed Ahmad Fathi. 2023. “Pemikiran Sejarah Edward Carr.” Nota Pemikir Sejarah.

Syed Ahmad Fathi. 2023. “Persejarahan Melayu Tradisional.” Nota Pengajian Sejarah.


[1] Ibn Khaldun, Franz Rosenthal (Translator), N. J. Dawood (Editor), and Bruce B. Lawrence (Introduction). The Muqaddimah: An Introduction to History, The Classic Islamic History of the World. Princeton Classics, 2015.

[2] Lestari, Rani, Nurul Hak, and M. Nasihudin Ali. “Al-Mas’ udi’s Contribution in the Development of Classic Islamic Historiography.” JUSPI (Jurnal Sejarah Peradaban Islam) 6, no. 2 (2023): 91-99.

[3] Bennaji, Yousef. “A critical appraisal of al-Masudi’s perception of northern India: A special study on Multan.” European Journal of Language and Literature 6, no. 1 (2020): 50-58.

[4] Mas’udi, Paul Lunde (Translator), and Caroline Stone (Translator).From The Meadows of Gold. Penguin Books, 2007.

[5] Ibid. Halaman 4.

[6] Ibid. Halaman 69.

[7] Syed Ahmad Fathi. “Falsafah Dan Metodologi Argumentasi Socrates.” Jejak Tarbiah, 2023.

[8] Mas’udi. From The Meadows of Gold. Halaman 120.

[9] Ibid. Halaman 4.

[10] Syed Ahmad Fathi. “Pemikiran Sejarah Edward Carr.” Nota Pemikir Sejarah, 2023.

[11] Mas’udi. From The Meadows of Gold. Halaman 75.

[12] Ibid. Halaman 6.

[13] Ibid. Halaman 33.

[14] Greenspoon, Leonard. “Hebrew into Greek: Interpretation in, by, and of the Septuagint.” A History of Biblical Interpretation 1 (2003): 80-113.

[15] Mas’udi. From The Meadows of Gold. Halaman 34.

[16] Syed Ahmad Fathi. “Kehancuran Dunia Klasik Romawi & Yunani.” Academia Book Review, 2023.

[17] Catherine Nixey. The Darkening Age: The Christian Destruction of The Classical World. Pan Books, 2018.

[18] Robinson, Andrew. “Styles of decipherment: Thomas Young, Jean-François Champollion and the decipherment of the Egyptian hieroglyphs.” SCRIPTA: International Journal of Writing Systems (The Hunminjeongeum Society) 3 (2011): 123-132.

[19] Mas’udi. From The Meadows of Gold. Halaman 51.

[20] Ibid. Halaman 118.

[21] Ahmad Jelani Halimi. Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu. Utusan Publications & Distributions Sdn Bhd, 2008. Lihat halaman 102.

[22] Ibid. Halaman 192.

[23] Mas’udi. From The Meadows of Gold. Halaman 104.

[24] Ibid. Halaman 96-103.

[25] Ibid. Halaman 92.

[26] Ibid. Halaman 106.

[27] Syed Ahmad Fathi. “Persejarahan Melayu Tradisional.” Nota Pengajian Sejarah, 2023.

Menikmati-Cebisan-Dari-Lapangan-Emas-al-Masudi-Sang-Herodotus-ArabDownload
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Reviu Buku Tagged With: Al-Mas'udi, Ibnu Khaldun, Islamic Historiography

Mengapa Ai Bukanlah Sebuah Revolusi Seperti Yang Dimomokkan

May 10, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Sejak kebelakangan ini, kita sering dimomokkan dengan revolusi kecerdasan buatan (Ai). Baik dalam bentuk penghasilan skrip teks, ataupun imej tiruan. Ada yang menyatakan bahawa banyak kerja bakal hilang, masyarakat ditakutkan bahawa kerja model contohnya, akan pupus, yang akan wujud menggantikannya adalah imej buatan, yang lebih comel dan indah dari model di alam realiti. Saya skeptik dan tidak percaya akan semua ini. Izinkan saya huraikan kenapa.


Sebenarnya jeritan bahawa teknologi bakal menghilangkan banyak kerja bukanlah jeritan yang baharu. Dahulu apabila teknologi robotik mula dibangunkan, ramai yang memomokkan pada masyarakat bahawa banyak kerja akan terhapus. Kilang akan tutup, dan yang akan flip burger di restoran adalah robot. Namun, hari ini kita melihat, walaupun teknologi robotik semakin maju, kilang masih beroperasi dan burger masih dimasak oleh manusia di restoran. Tidak dinafikan bahawa pekerjaan manusia makin mudah dan efisien, tetapi ia tetap tidak dapat memansuhkan intervensi manusia.


Yang ditekankan adalah teknologi baharu memansuhkan pekerjaan, tetapi yang tidak diceritakan adalah teknologi baharu juga mencipta pekerjaan baharu. Automated teller machine (ATM) mungkin menjadikan pekerjaan kaunter bank semakin sedikit, tapi dalam masa yang sama, ia juga mencipta pelbagai pekerjaan baharu, kilang penghasilan komponen elektronik ATM, penghasilan perisian ATM, maintenance ATM, pekerja sekuriti dan pemandu sekuriti untuk mengangkut wang keluar dan masuk ATM, dan pelbagai lagi pekerjaan dalam satu rantaian ekonomi ini sahaja. Ini baru satu contoh, produk moden semuanya mempunyai rantaian bekalan kompleks, semuanya adalah pekerjaan untuk manusia. Buku yang bagus dalam menerangkan rantaian ekonomi moden seperti ini adalah The World is Flat tulisan Thomas L. Friedman.


Saya merasakan, hingar-bingar revolusi Ai ini hanyalah buzz word, industri ekonomi perlu bercerita benda baharu agar kedengaran seperti adanya progres. Dahulu topiknya adalah blockchain, kini hampir tiada siapa lagi yang sibuk menyebut perihal blockchain. Yang ada adalah sifu-sifu Ai yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan, profiting from the trend. Bukanlah Ai tidak ada sumbangan pada progres ekonomi dan teknologi, tetapi seperti perkembangan lain, ia adalah proses gradual bukan revolusi.


Saya masih ingat perbahasan ekonomi Ha-Joon Chang dalam sebuah bukunya, kata beliau orang sering mengatakan komputer merevolusikam ekonomi. Beliau kemudian melihat pada data, dan mengatakan bahawa mesin basuh lebih merevolusikan ekonomi berbanding komputer. Apabila mesin basuh tercipta, tenaga kerja dunia bertambah dua kali ganda. Mesin basuh memansuhkan kerja manual membasuh baju yang memerlukan tenaga yang banyak, hasilnya wanita di seluruh dunia dapat masuk ke alam pekerjaan dengan lebih banyak. Hal ini menambah kreativiti dan produktiviti serta merevolusikan ekonomi.


Saya juga skeptik dengan golongan yang memomokkan bahawa model dan selebriti akan menjadi tidak relevan apabila diganti dengan imej tiruan buatan Ai. Dalam pemasaran, aspek branding sangat penting, model dan selebriti mempunyai personal branding, mereka ada pengikut dan pengaruh. Tiada siapa yang akan yakin dengan produk yang digayakan oleh imej tiruan dan manusia palsu, sebaliknya manusia yakin dengan produk yang digunakan insan yang hidup dan berpengaruh. Jadi untuk mengatakan iklan akan hanya bergantung pada imej cantik berbentuk tiruan adalah naif.


Ai mungkin boleh menulis buku, tetapi ia memerlukan “orang” untuk menyuruhnya menulis buku, ia perlukan arahan atau prompt. Ai boleh melukis, tetapi ia memerlukan “orang” untuk menyuruhnya melukis. Dalam kata lain, Ai tiada agensi sendiri, ia masih bergantung kepada manusia. Manusia mempunyai agensi, dia boleh menulis dan melukis sendiri. Dia boleh menetapkan tujuannya sendiri tanpa arahan.


Oleh itu, saya merasakan Ai bukan sebuah revolusi. Tidak dinafikan ia memudahkan urusan manusia. Sama seperti teknologi baharu lain. Memudahkan bukan revolusi, ia adalah proses progres teknologi yang gradual. Seperti proses-proses yang lain.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Berita

Menganalisa Prosa Dalam Himpunan Puisi “Satu Hari Bahagi Seribu” Karya Sue Emoqwin

May 2, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Saya pertama kali membaca tulisan-tulisan Sue melalui zine Fagiyu, pada masa tersebut saya belum mengenali beliau secara peribadi. Sekadar mengenali nama yang mencatat puisi-puisi dan juga tulisan beliau dalam membedah puisi orang lain. Saya dapati tulisan beliau bernas, jadi sebahagiannya ada saya nukilkan dalam buku saya yang saya tulis perihal menulis dan membaca.[1] Terutamanya pandangan beliau tentang bagaimana puisi menjadi medan penulis mempersembahkan dirinya, dalam masa yang sama, penulis bertarik tali, sebanyak mana dia mahu dedahkan kepada khalayak dan banyak mana yang dia mahu simpan untuk dirinya sendiri.

Naskhah Satu Hari Bahagi Seribu ini merupakan naskhah pertama Sue yang saya baca yang ditulis secara solo.[2] Saya dapati kebanyakan puisinya bernada melankolik, juga catatan-catatan kesedihan dan kekecewaan. Terdapat juga beberapa puisi yang merupakan terjemahan kepada puisi orang lain dan juga lirik lagu. Saya berpandangan bahawa menulis itu adalah hak penulis, manakala penafsiran penulisan adalah hak pembaca. Seperti yang ditulis oleh sarjana seperti Bart Ehrman yang mengatakan bahawa apabila kita membaca sesuatu teks, kita tidak dapat lari dari menafsirkannya.[3] Tafsiran pembaca tidak akan sama dengan makna asal yang ditulis oleh penulis, kerana masing-masing menulis dan membaca dalam latar yang berbeza. Maka tafsiran yang dibuat oleh saya dalam tulisan ini besar kemungkinan bukan maksud asal Sue, tetapi apa yang saya sendiri maknai setelah membaca puisi-puisi beliau. Saya kira begitulah makna bagi sesebuah puisi itu berkembang, ia mungkin mengesankan individu berbeza dengan kesan yang berbeza, pembaca yang membaca di zaman yang berbeza juga akan memaknakannya dengan berbeza. Oleh itu, dalam sungai zaman, sebuah puisi mungkin mengumpulkan makna-makna yang banyak dan berbeza-beza.

Baris-Baris Yang Memberi Kesan

Apabila membaca puisi, dalam banyak keadaan, minda kita akan terbang terawang-awang, tidak semua barisnya mengesankan jiwa dan mampu memberi kita makna. Di sini, saya ingin memtik beberapa baris yang mana berjaya menangkap minda saya yang tersesat di awangan saat saya membaca bait-bait dalam naskhah ini, dan coretkan bagaimana baris-baris ini memberi saya makna.

Ada perang yang tidak perlu….

Apa yang tidak kita izinkan

Tidak akan melukakan. [4]

Rangkap ini saya kira memberi makna bahawa kita mampu memilih untuk terkesan akan sesuatu atau tidak. Hari ini, semua perkara disampaikan kepada kita, terutamanya dari media sosial, dari kisah artis bercerai hinggalah kepada agamawan yang saling bercakaran, jikalau kita tidak memilih, dan mahu terkesan dari semunya, nescaya, saya kira kita akan menjadi gila. Untuk kekal waras, kita harus memilih dan menapis limpahan informasi. Bak kata orang Kedah “choose your battles wisely”. Kita perlu memilih isu apa yang kita mahu terlibat, masa kita di dunia sangat singkat, jika kita terlibat dengan perkara yang tidak penting, kita akan terlepas perkara-perkara yang penting.

Dia bapamu tapi kau bukan anaknya

…..

Aku cuba meninggalkanmu tapi kau telah pandai

mengeja namaku [5]

Rangkap baris ini bagi saya merupakan bingkisan dari kisah yang sedih perihal kerosakan keluarga. Tidak semua manusia direzekikan lahir dalam keluarga yang selamat dan bahagia. Tidak semua pasangan mampu menjadi ibu dan ayah. Ada yang hanya mampu melahirkan anak-anak, tetapi tidak mampu menjadi ibu dan ayah buat mereka. Anak-anak ditinggalkan, dibiarkan tanpa kasih sayang dan tanpa pendidikan. Sebab itu kita kadang kala tidak boleh begitu cepat menghukum, kerana kita tidak dapat memberikan hukuman yang adil tanpa mengetahui latar seseorang. Seperti E.H. Carr yang menyarankan kepada ahli sejarah untuk menangguhkan pengadilan, dan melihat sesuatu dalam skala yang lebih besar, komprehensif, dan panjang.[6] Bukan semua orang dapat apa yang kita dapat, jadi kita sukar untuk mengadili orang lain dengan objektif kerana kita tidak mengetahui situasi mereka.

Senyum pasangan dalam ketenteraman

Lebih penting dari sepi dalam perjuangan [7]

Rangkap ini saya kira merupakan persoalan dan kritikan Sue terhadap para aktivis dari puisinya yang bertajuk Di mana anarkis pada usia 30-an? Saya kira, perkara ini bukan sahaja terjadi kepada aktivis anarkis. Ia adalah fenomena yang dapat dilihat pada semua gerakan, baik kiri, kanan, juga gerakan Islam. Kebanyakan aktivis-aktivis muda yang dahulunya bertempik penuh idealisma semasa berdarah muda akan mula kendur dan hilang apabila mereka meningkat usia, apabila sudah berkerja dan berkeluarga. Mungkin ia semangat yang hilang, atau mungkin kedewasaan mengajar mereka bahawa dunia ini memang tidak adil, dan keadilan tidak dapat ditegakkan di dunia. Atau mungkin mereka mahu fokus kepada hidup dan menjaga keluarga. Tapi frasa “sepi dalam perjuangan” itu bagi saya memang tepat, mereka yang memilih untuk terus beridealisma ketika rakan-rakan lain telah sejuk pasti akan merasai perkara ini.

Mimpi aryan

….

Tidak mahu warna sejati

Kerna asli bukan warna dewa dewi [8]

Baris ini merupakan kritik sosial kepada masyarakat yang gilakan kosmetik. Kegilaan ini diumpamakan dengan kegilaan bangsa Jerman satu ketika dahulu yang mahukan bangsa yang berkulit putih bermata biru, bangsa yang dianggap sebagai manusia yang sempurna. Kegilaan mereka hingga menzalimi bangsa lain. Namun kegilaan kepada kosmetik ini pada saya ada juga sisi zalimnya, di mana manusia merasakan diri mereka tidak sempurna jika warna kulit mereka tidak begitu cerah. Mereka perlu meracuni kulit-kulit mereka dengan sapuan dan racun-racun yang berbahaya dan merosakkan, namun racun ini diiklankan sebagai sesuatu yang harus digunakan untuk menjadi jelita seperti sang “dewi”.

Puisi Terjemahan Gibran

Puisi-puisi Gibran memang mengasyikkan. Ia mempunyai maksud yang dalam. Dalam naskhah ini Sue ada menterjemahkan puisi Gibran yang bertajuk About Children.[9] Puisi ini saya kira adalah nasihat dan renungan bahawa anak-anak tidak sama dengan kita, dan kita tidak boleh memaksa mereka untuk menjadi kita. Saya sendiri pernah terkesan dengan puisi ini pada satu ketika dahulu ketika ia dibacakan oleh seorang gadis Portugis bernama Ana Juma, seperti Sue, sebahagiannya saya terjemahkan. Saya menjadikannya nasihat kepada diri saya sendiri dan juga kepada seorang teman yang mendirikan rumahtangga.[10]

Bahasa-Bahasa Yang Puitis

Selain mempunyai makna-makna yang mengesankan. Saya kira puisi yang baik perlulah mempunyai kekuatan bahasa. Walaupun puisi moden biasanya tidak terikat lagi dengan pengakhiran ritma yang sama, pemilihan bahasa-bahasa yang indah akan menjadikan puisi moden lebih berkesan, lebih seperti “puisi”. Jika tidak, ia akan menjadi seperti hanya himpunan kata-kata. Dalam naskhah ini, saya kira puisi Sue mempunyai bahasa-bahasa yang puitis.

Misalnya adalah penggunaan frasa “sayap kersani” yang menggambarkan kekuatan minda seorang wanita yang mampu bebas dari ikatan-ikatan yang dipaksakan kepadanya.[11] Bagi saya ini merupakan bahasa yang puitis dan mengindahkan gubahan bahasa.

Seperti puisi-puisi Sofia Roses yang banyak menggunakan tema alam seperti langit.[12] Puisi Sue juga ada menggunakan tema alam. Bagi saya secara peribadi, tema-tema alam ini akan membuatkan sebuah puisi itu lebih indah. Ia merupakan gambaran bahawa jiwa penulis itu jiwa yang halus sehingga dia dapat menafsirkan alamnya dalam bait-bait puisi. Misalnya, Sue ada menulis perihal bahaimana bintang disusun sebagai penunjuk jalan, namun hubungan mereka dicemburui bulan, manakala matahari menculik insan yang ditunggu itu menjelang pagi.[13]

Sedikit Kritikan

Saya bersetuju dengan pemberdayaan wanita, tema yang banyak ditulis oleh Sue. Tiada masyarakat yang mampu maju jika wanita mereka mundur. Namun saya tidak bersetuju jika kita memaksakan apa yang kita maksudkan bebas kepada orang lain. Jika tafsiran kebebasan orang lain perlu sama dengan kita, maka saya kira di situ kebebasan telah hilang. Ada wanita yang memilih untuk hidup sesuai dengan luhur dan keadaan yang ada, bagi mereka mungkin itu adalah satu kebebasan, dapat bersama dengan arus masyarakat dan hidup dengan aman dalam kebersamaan. Pada saya, pilihan mereka untuk “hidup luhur” tidaklah wajar dikatakan sebagai “perempuan korban”.[14] Ini adalah tafsiran dan pendapat saya, ia mungkin satu penafsiran yang salah dan terpesong, mungkin Sue mempunyai makna yang lebih murni dari prasangka saya.

Kesimpulan

Di akhir naskhah ini, Sue ada menulis perihal sifat-sifat puisi.

..puisi adalah pintu kepada kesakitan lalu

…..

aksaranya basah dengan kesedihan

….

puisi hidup dengan nyawanya sendiri. [15]

Dari rangkap ini, dapat saya simpulkan bahawa dari satu sudut, puisi-puisi ini bagi Sue adalah ruang buatnya untuk mengekspresikan kesedihan. Bagi saya, penulisan dan emosi tidak dapat dipisahkan, bahkan penulisan yang baik dan bernas biasanya lahir dari emosi yang sedang berkocak, sama ada dikocak sepi, sedih, marah, atau bahagia. Saya juga bersetuju bahawa puisi itu mempunyai nyawanya sendiri, hal ini mirip dengan apa yang saya tuliskan dalam tulisan saya yang bertajuk membunuh seorang puisi.[16] Di mana saya berpendapat, apabila sebuah puisi itu diterbitkan, ia bukan lagi milik penulis, seperti Gibran yang mengatakan bahawa anak yang sudah dilahirkan bukan milik ibu dan bapanya. Sebaliknya ia hidup sendiri, merewang-rewang di minda pembaca dan ditafsirkan dengan berbeza-beza.

Syabas dan tahniah saya ucapkan pada Sue Emoqwin atas penerbitan puisi-puisi ini. Menerbitkan getus rasa kita yang paling dalam bukanlah hal yang mudah, ia perlu dilakukan dengan berani. Kerana apabila kita mendedahkannya, kita terbuka kepada kritikan dan tafsiran pembaca. Namun sebenarnya, keberanian kita ini juga akan menyentuh jiwa-jiwa, yang merasakan mereka mempunyai perasaan yang sama. Bagi saya itulah anugerah yang diberikan oleh penulis kepada pembaca, pembaca dapat berkongsi perasaan dan dapat menyedari bahawa mereka tidak bersendirian hidup dalam dunia dan perasaan yang mereka simpan mempunyai rakan-rakan dalam bait-bait getusan.


[1] Syed Ahmad Fathi. Dua Sayap Ilmu. The Biblio Press, 2023. Lihat terutamanya di halaman 147.

[2] Sue Emoqwin. Satu Hari Bahagi Seribu. Helium Books, 2023.

[3] Syed Ahmad Fathi. “Sejarah Penulisan Dan Periwayatan Kitab Perjanjian Baru.” Academia Book Review, 2021.

[4] Sue Emoqwin. Satu Hari Bahagi Seribu. Halaman 9.

[5] Ibid.,halaman 11.

[6] Syed Ahmad Fathi. “Pemikiran Sejarah Edward Carr.” Nota Pemikir Sejarah, 2023.

[7] Sue Emoqwin. Satu Hari Bahagi Seribu. Halaman 20-21.

[8] Ibid.,halaman 27.

[9] Ibid.,halaman 42.

[10] Syed Ahmad Fathi. “Catatan Baitul Muslim 48: Puisi-Puisi Khalil Gibran”. Meniti Jambatan Masa, 03 Disember 2021. Pautan: https://bersamakepuncak.blogspot.com/2021/12/catatan-baitul-muslim-48-puisi-puisi.html

[11] Sue Emoqwin. Satu Hari Bahagi Seribu. Halaman 8.

[12] Syed Ahmad Fathi. “Penafsiran Puisi Moden ‘Surat Dari Semesta’ Karangan Sofia Roses: Penekanan Pada Makna, Bahasa, Dan Ritma.” Academia Book Review, 2022.

[13] Sue Emoqwin. Satu Hari Bahagi Seribu. Halaman 62.

[14] Ibid.,halaman 13.

[15] Ibid.,halaman 68.

[16] Syed Ahmad Fathi. Dua Sayap Ilmu. The Biblio Press, 2023. Lihat terutamanya di halaman 148.

Menganalisa-Prosa-Dalam-Himpunan-Puisi-Satu-Hari-Bahagi-Seribu-Karya-Sue-EmoqwinDownload
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana Tagged With: puisi melayu moden, sue emoqwin

Pemikiran Sejarah Edward H. Carr

April 30, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Menurut Daniel Little, ahli falsafah berfikir perihal falsafah sejarah untuk mengetahui fitrahnya. Dengan memahami apa itu sejarah, kita dapat belajar sesuatu daripadanya. Kita dapat memahami apa yang menggerakkan sejarah, bagaimana pilihan-pilihan dahulu mencorakkannya, dan bagaimana keadaan dahulu berlaku hingga menyampaikan kita pada hari ini.[1] Namun perbahasan falsafah sejarah ini bercabang, mencapah dan terdiri dari pelbagai aliran. Jadi kita tidak mampu untuk memberikan satu definisi yang adil yang dapat merangkumi semua pendapat yang ada tentang sejarah. Dalam tulisan ini, saya akan meninjau satu pandangan sahaja perihal pengertian sejarah yang dapat membantu kita memahami satu cabang dari cabag-cabang falsafah sejarah. Pandangan yang akan ditinjau adalah pandangan Edward H. Carr. Tulisan ini merupakan kupasan isi-isi utama yang dibahaskan oleh E.H. Carr dalam bukunya What is History? Dalam penelitian ini akan diteliti maksud sejarah, skop kajiannya, metodologi yang digunakan dalam pengkajian sejarah, serta masa depan sejarah.

Pendahuluan

Persoalan apa itu sejarah ada diterangkan oleh cendiakawan yang lahir di London pada 1892 iaitu Edward Hallett Carr melalui bukunya What is History? [2]  Buku ini merupakan kumpulan syarahan beliau dalam siri Syarahan George Macaulay Trevelyan yang disampaikan di Universiti Cambridge dari bulan Januari hingga bulan Mac 1961. Carr memulakan bukunya dengan memetik kata-kata dari Lord Acton dalam Cambridge Modern History yang dengan yakin mengatakan bahawa satu hari nanti kita mampu menghasilkan sejarah yang lengkap kerana kita sudah mempunyai semua informasi dan mampu menyelesaikan semua persoalan. Keyakinan ini adalah berasaskan bahawa dokumen-dokumen yang merekodkan fakta, yang dihasilkan dan dikumpulkan pada zaman moden mampu memberikan kita pandangan yang lebih luas dan komprehensif perihal sejarah.

Namun selepas hanya 60 tahun, dalam edisi kedua Cambridge Modern History, George Clark mengkritik pandangan Acton perihal kemampuan manusia menghasilkan ultimate history. Baginya sejarah adalah proses tapisan dari satu sejarawan ke sejarawan seterusnya pada generasi terkemudian. Oleh itu, ia tidak akan membawa semua fakta ke masa hadapan. Sejarah di masa hadapan adalah sejarah baharu yang telah ditapis oleh penulisnya yang hidup pada zaman itu. Oleh itu bagi Carr, jawapan kepada persoalan utama tentang apa itu sejarah tidak boleh lari dari kedudukan masa orang yang menjawab soalan tersebut. Atau dalam kata lain, jawapannya berbeza mengikut zaman.[3]

Kedudukan Fakta Dalam Sejarah

Abad ke-19 menyaksikan abad di mana ahli sejarah begitu berminat dengan fakta dan hanya mahukan fakta. Inilah yang menyebabkan Ranke pada tahun 1830-an menyerang mereka yang cuba membuat pengadilan moral ke atas sejarah. Bagi Ranke tugas ahli sejarah adalah memperlihatkan sesuatu seperti mana ia pernah terjadi dahulu, wie es eigentlich gewesen. Carr bagaimanapun mengkritik pandangan ini kerana ia memperlihatkan kemalasan untuk berfikir dan menggelarnya sebagai cult of facts.[4]  Aliran positivisme dalam sejarah, menggunakan perkara ini bagi mengabsahkan posisi bahawa sejarah adalah sebuah sains. Falsafah positivisme merupakan falsafah yang diasaskan oleh Auguste Comte yang menolak spekulasi metafizik, sebaliknya menyatakan bahawa pengetahuan hanya berasal dari fakta dan pengalaman positif (boleh dibuktikan dengan pancaindera), juga penggunaan logik dan matematik di sebalik semua fakta.[5]

Bagi aliran emperikal, objek dan subjek kajian perlu dipisahkan secara total, iaitu fakta tanpa interpretasi. Dari sini menurut Carr, lahirlah pengertian sejarah common sense iaitu sejarah sebagai pengumpulan fakta dan data yang telah ditentukan dalam satu korpus.[6]  Carr kemudian menerangkan bahawa bukan semua fakta yang ada pada masa lampau akan menjadi fakta sejarah. Di sini timbul soalan, apa yang dimaksudkan dengan fakta sejarah?

Bagi Carr, ahli sejarah perlu memastikan faktanya tepat, ia adalah penting dalam tugasnya, namun itu bukan fungsi asasinya. Perkara ini boleh dicapai menggunakan ilmu bantu yang lain seperti arkeologi, epigrafi, numismatik, kronologi, dan sebagainya. Contohnya dalam penentuan tarikh sesuatu peristiwa, ini semua merupakan bahan asas sejarah tetapi bukanlah sejarah yang sebenarnya. Namun siapa yang menentukan sesuatu fakta itu perlu dimasukkan? Inilah yang dikatakan oleh Carr bahawa ia adalah keputusan a priori oleh ahli sejarah. Dalam kata lain, bagi Carr, sesuatu fakta itu tidak dapat bercakap dengan sendiri, ia hanya boleh bercakap apabila ahli sejarah memanggil mereka, ahli sejarah yang menyusun agar sesuatu fakta itu duduk di posisi tertentu dan mengambarkan konteks tertentu. Ahli sejarahlah yang menentukan sama ada sebuah peristiwa itu signifikan atau tidak.[7]

Bagi Carr, ahli sejarah secara asasnya bersifat selektif. Oleh itu, kepercayaan bahawa sesuatu fakta itu boleh berdiri sendiri, wujud sendiri secara objektif, dan tidak terikat kepada tafsiran ahli sejarah adalah satu falasi yang mengarut.[8]

Bagaimana sesuatu fakta di masa yang lampau menjadi fakta sejarah? Dalam hal ini Carr menunjukkan bahawa ia terjadi melalui proses petikan. Di mana sesuatu fakta itu dipetik oleh seorang penulis sejarah dalam penulisannya. Kemudian jika ada ahli sejarah lain yang terus memetiknya dalam tulisan mereka, ia akan menjadi lebih dominan, dan statusnya sebagai sebuah fakta sejarah akan menjadi semakin tinggi apabila semakin banyak ia dipetik oleh ahli sejarah.  Proses ini saya kira mirip dengan apa yang diterangkan oleh Edward Said dalam Orientalism tentang bagaimana karya Orientalis menjadi autoritatif. Ia akan dipetik, dan dipetik oleh sarjana Orientalis lain hinggalah apa yang ditulis itu menjadi masyhur dan autoritatif. Walaupun mungkin penulisan itu pada asalnya tidak tepat atau bias.[9] Apabila ia diulang berulang kali, ia mendapat bayangan seperti ia benar-benar objektif.

Oleh itu bagi Carr, walaupun kadang kala kita merasakan kita sudah mempunyai sejarah yang lengkap perihal sesebuah perkara (seperti Lord Acton yang dengan yakin menyatakan kita sudah mempunyai semua informasi), sebenarnya ia adalah sebuah ilusi. Mustahil kita ada semuanya, apa yang kita ada hanyalah apa yang telah dipilih oleh ahli sejarah untuk direkodkan.[10]  Fakta yang kita ada ini terbatas pada perspektif orang yang menulis atau mampu menulis pada ketika itu. Seorang hamba misalnya, yang hidup semasa zaman Mesir purba, tidak berkemampuan menulis, jadi perspektifnya tidak menjadi sejarah. Golongan istana pula yang mempunyai kemampuan menulis, merekod, dan memelihara fakta, perspektif mereka akan menjadi fakta sejarah. Oleh itu fakta yang kita ada bukanlah keseluruhan fakta.

“The dead hand of vanished generations of historians, scribes, and chroniclers has determined beyond the possibility of appeal the pattern of the past” tulis Carr.[11] Dalam kata lain, sejarah yang tidak lengkap inilah yang akhirnya menjadi sejarah. Ia tidak dapat diubah bukan kerana ia benar, tetapi bukti-bukti lain yang menggugat kebenarannya tidak ditulis dan tidak direkodkan.

Ketiadaan semua bukti ini sebenarnya memudahkan kerja-kerja pensejarahan. Kerana ahli sejarah hanya perlu memproses fakta-fakta yang ada. Jadi tugasnya menjadi lebih mudah, dia tidak perlu memproses lautan fakta, tapi sekadar rekod-rekod yang wujud. “Ignorance simplifies and clarifies, selects and omits”. Perkara ini benar pada ahli sejarah yang mengkaji zaman medieval, tetapi tidak pada ahli sejarah moden yang harus membangunkan ignorance-nya secara tersendiri. Kerana zaman moden ini penuh dengan fakta, tugas ahli sejarah menjadi lebih sukar untuk memilih dari fakta-fakta ini apa yang penting untuk diterima sebagai fakta sejarah, dan apa yang harus disisihkan.[12] Bayangkan apa yang dihasilkan setiap hari apabila semua manusia mampu menerbitkan pengalaman mereka di media sosial, memilih fakta sejarah menjadi lebih kompleks di era moden kerana fakta yang ada sudah bertambah berkali ganda.

Keghairahan kepada fakta, membawa kepada apa yang disebut oleh Carr sebagai fethishism of docements, iaitu menganggap dokumen itu sebagai satu benda yang sangat penting dan berharga buat sejarah. Tetapi bagi Carr, dokumen itu tidak lebih dari pemikiran pengarangnya. Baik diari, perjanjian, atau dokumen rasmi kerajaan, semuanya hanya perihal pemikiran penulis. Apa yang dia fikir telah berlaku, apa yang dia fikir akan berlaku, apa yang dia tahu dan apa yang dia mahu orang lain tahu bahawa dia tahu. Semua ini hanya berguna apabila seorang ahli sejarah itu telah memprosesnya, menafsirkannya, dan memilihnya sebagai sebuah fakta sejarah.[13] Oleh itu, fakta sejarah adalah fakta yang telah dipilih dan ditentukan oleh ahli sejarah sebagai fakta sejarah.

Memikirkan Falsafah Sejarah

Bagi Carr, soalan tentang apa itu sejarah amat penting kerana ia memberi jawapan kepada falsafah sejarah. Antara tokoh terawal mencabar fahaman yang terlalu mementingkan fakta dan meninggalkan falsafah sejarah adalah Wilhelm Dilthey dan kemudian disambung oleh B. Croce.[14] Bagi Croce semua sejarah adalah sejarah kontemporari, kerana semuanya melihat masa lalu dalam kaca mata hari ini dan dengan latar dan permasalahan hari ini. Menurut ahli falsafah Amerika, Carl Becker pula, fakta sejarah tidak wujud sehinggalah ahli sejarah menciptanya. Oleh itu ahli sejarah mempunyai peranan besar dalam menentukan apa itu sejarah. Idea Croce ini kemudian mempengaruhi ahli sejarah yang bernama R. G. Collingwood.

Menurut Collingwood falsafah sejarah bukanlah perihal perkara lalu, atau perihal ahli sejarah, tetapi hubungan antara keduanya. Sejarah yang dikaji oleh ahli sejarah bukanlah sejarah yang telah mati, tetapi dalam aspek tertentu ia masih hidup pada masa kini. Peristiwa yang telah berlaku menurut Collingwood, telah mati dan tidak berguna lagi untuk ahli sejarah melainkan jika dia dapat memahami pemikiran di sebalik peristiwa ini. Oleh itu Collingwood mengishtiharkan bahawa:

“All history is the history of thought, history is the re-enactment in historian’s mind of the thoughts whose history he is studying”.[15]

Pembentukan semula (re-enactment) ini perlulah menggunakan bukti-bukti emperikal, namun ia secara sendirinya bukanlah sebuah proses yang emperikal. Sebaliknya proses pembentukan semula inilah yang mengawal apa yang hendak dipilih dan bagaimana sesebuah fakta itu ditafsirkan. Dalam kata lain, sejarah adalah produk dari pengalaman ahli sejarah yang menulisnya. Di sini dapat kita fahami bahawa sejarah yang sampai kepada kita tidak pernah asli, sebaliknya ia adalah hasil dari tapisan orang yang merekodkannya (ahli sejarah). Oleh itu bagi Carr, setiap kali kita membaca sejarah, perkara pertama yang kita perlu lakukan adalah melihat siapa yang menulisnya.[16] Bagi Carr, jika ahli sejarah, seperti yang dikatakan Collingwood, perlu membentuk semula pemikiran lampau menggunakan bahan-bahan sejarah, tugas pembaca sejarah pula adalah membentuk semula pemikiran ahli sejarah yang menulisnya agar dia dapat memahaminya melalui lensa yang benar. Study the historian before you begin to study the facts. Sejarah adalah sebuah tafsiran. Oleh itu kita harus mengenali penafsirnya dahulu.[17]

Seorang ahli sejarah itu perlu mempunyai imaginasi perihal kefahaman dan pemikiran orang-orang yang ingin dikajinya. Jika tidak, ahli sejarah itu akan melihat subjek kajiannya dengan begitu prejudis, dia mungkin menyifatkan mereka sebagai kolot, mundur, kejam, dan sebagainya. Sejarah yang baik tidak dapat ditulis, jika penulisnya tidak memahami bagaimana orang yang dikajinya itu berfikir, dan apakah logik yang digunakan mereka.[18]

Walaupun ahli sejarah cuba memahami apa yang difikirkan oleh subjek kajian mereka, Carr berpendapat mereka tidak akan dapat memisahkan diri mereka dari zaman sekarang. Seperti kata Croce, semua sejarah adalah sejarah kontemporari. Ahli sejarah adalah anak kepada zamannya, bahasa yang digunakan adalah bahasa kontemporari, oleh itu ahli sejarah akan sentiasa menulis sejarah dari lensa masa kini. Ahli sejarah tidak bermukim di zaman lampau tetapi mukimnya adalah zaman kini. Setiap pilihan perkataannya akan menggambarkan pemikirannya, zamannya dan ideologinya sebagai seorang manusia.[19]

Jadi apakah tugas ahli sejarah? Bagi Carr tugas mereka adalah menguasai masa lampau, memahaminya agar kefahaman itu dapat digunakan untuk memahami masa kini. Pemikiran bahawa ahli sejarahlah yang mencipta sejarah adalah pemikiran sejarah mengikut Collingwood. Bagi Carr, pemikiran ini perlu ditelusuri dengan berhati-hati, kerana ada juga bahayanya. Terutamanya jika ia digunakan secara ekstrem, kita akan kehilangan objektiviti dalam sejarah. Ia akan melahirkan total scepticism di mana tiada satu kebenaran dalam sejarah, tetapi apa yang kita ada adalah banyak kebenaran. Siapa pun boleh berada dalam kebenaran, kebenaran itu banyak, infiniti, tiada yang lebih benar dari yang lain. Bagi Carr, kefahaman seperti ini tidak dapat diterima.[20]

Bahaya lain yang timbul dari kefahaman bahawa ahli sejarah melihat sejarah dari lensa masa kini, dan menggunakannya untuk masa kini, adalah bias dalam pemilihan fakta. Adakah sesuatu fakta itu akan dipilih, dan dirasakan benar, hanya jika ia dapat digunakan untuk masa kini? Adakah ilmu hanya akan dianggap ilmu jika ia dapat digunakan? Bagi Carr, ahli sejarah perlu membawa keluar semua fakta-fakta yang relevan perihal tema penulisannya dan juga perihal tafsiran yang diketengahkannya.[21]

Setelah diperbahaskan dikotomi ini, iaitu adakah sejarah itu kumpulan fakta yang berbentuk objektif, atau sekadar tafsiran sejarawan yang berbentuk imaginatif dan subjektif, Carr akhirnya membawa kita kepada jawapan pertama beliau berkenaan dengan soalan “Apakah itu Sejarah?”. Jawapan beliau, sejarah adalah proses interaksi antara ahli sejarah dan fakta-faktanya, sejarah merupakan dialog antara masa lalu dan masa kini. Sejarah adalah satu proses penelitian, di mana ahli sejarah mencampurkan fakta-fakta dengan tafsiran-tafsiran, adunan dua perkara inilah yang menatijahkan sejarah.[22]

Kaedah Penulisan Sejarah

Carr dalam buku ini turut menerangkan bagaimana dia menulis sejarah. Proses penulisan sejarah bukanlah satu proses yang linear seperti yang disangka oleh kebanyakan orang. Iaitu ahli sejarah membaca sumber-sumbernya, mengambil nota, kemudian selepas selesai membaca, dia mula menulis dari mula hingga tamat. Ini tidak berlaku bagi Carr. Bagi beliau, sebaik sahaja dia mula membaca sumber-sumber utama, tangannya tidak dapat ditahan lagi dari menulis. Dia akan mula menulis sama ada di bahagian awal, tengah atau akhir.

Bagi Carr, penulisan sejarah merupakan hubung kait antara pembacaan dan penulisan yang berlaku secara serentak dan bersama. Menulis akan membuatkan beliau membaca dengan lebih berfokus, lebih banyak menulis, beliau akan lebih tahu apa yang perlu dibaca. Jadi penulisan juga dicorakkan oleh pembacaan. Dalam proses ini penulisan ditolak, ditambah, dan dikembangkan. Sekali lagi, ia bukanlah sebuah proses yang linear. Dalam hal ini, kita tidak lagi melihat membaca dan menulis itu sebagai dua proses yang berbeza, sebaliknya ia adalah satu proses yang sama. Kaedah ini sangat penting, jika satu daripadanya diabaikan, ia boleh menjadi dua ekstrim. Sama ada sejarah yang ditulis berbentuk tampal-tampal dan compang-camping, atau sejarah itu ditulis tanpa panduan fakta, menggunakan imaginasi dan berbentuk propaganda.[23]

Pengaruh Masyarakat Dalam Sejarah

Dalam perbahasan penyebaban dalam sejarah, ada dibentangkan dua dikotomi. Adakah sesuatu perubahan dan peristiwa bersejarah itu berlaku disebabkan ketokohan seorang individu yang berjaya membimbing masyarakat ke arah perubahan? Atau perubahan itu berlaku disebabkan suasana masyarakat yang telah matang dan kondusif? [24] Pada bab yang kedua dalam buku What is History?, Edward Carr menyelami permasalahan ini dalam bab yang diberi tajuk Society and the Individual.

Carr mengkritik konsep manusia abstrak yang berdiri sendiri dan terpisah dari masyarakatnya. Bagi Carr, manusia yang dikaji oleh ahli sejarah tidak hidup dalam isolasi, segala tindak tanduknya mempunyai konteks sosial. Begitu juga ahli sejarah yang menulis sejarah, ahli sejarah tersebut adalah produk dari fenomena sosial, segala ilmu yang dikumpulkannya bukanlah hasil buah fikirnya seorang diri, sebaliknya merupakan projek kolektif manusia zaman berzaman.[25]

Apabila kita mengatakan bahawa sesuatu penulisan sejarah itu dipengaruhi oleh semangat zaman ketika penulis itu menulis sejarah, ini tidaklah bermakna bahawa ia menjadi satu produk penulisan sejarah yang lemah. Bagi Carr, penulisan sejarah yang hebat semestinya melihat masalah-masalah pada masa silam dengan menggunakan pengetahuan-pengetahuan baharu pada zaman semasa. Dalam kata lain, ia melihat bagaimana masalah-masalah pada masa lalu yang dapat disamakan dengan permasalahan hari ini untuk diberikan satu penyelesaian yang terpimpin.[26] Di sini kita melihat bahawa pemahaman Carr perihal dikotomi ini, bukan sahaja objek kajian tidak dapat dipisahkan dari konteks masyarakat, penulis sejarah juga tidak dapat dipisahkan dari semangat zamannya.

Oleh itu bagi Carr, kita tidak akan dapat meghargai satu penulisan sejarah jika kita tidak memahami konteks pada masa sejarah itu ditulis. Perspektif penulis sejarah akan sentiasa menampakkan latar sejarah dan sosial zamannya.[27] Jika kita memahami perkara ini, kita akan dapati bahawa bukan peristiwa-peristiwa sejarah sahaja yang berubah, penulis sejarah itu sendiri berubah sesuai dengan zamannya. Oleh itu, bagi memahami sesuatu penulisan sejarah, tidak cukup untuk kita mengetahui siapa yang menulisnya, kita juga perlu melihat tarikhnya, agar kita memahami konteks zaman di mana ia ditulis, dengan itu kita dapat memahami perspektif penulisan sesuatu bahan sejarah.[28]

Perkara ini akan lebih jelas jika kita meninjau penulisan sejarah sezaman, dan bukan sekadar satu penulisan sejarah sahaja. Kita akan mendapati ia ditulis dengan satu pola yang sama. Carr memberi contoh bagaimana sejarawan British menulis sejarah dengan pemahaman bahawa adanya perkembangan positif di dalamnya ketika British berada pada zaman kegemilangan. Namun apabila ia merosot, kefahaman bahawa sejarah mempunyai makna dan membawa kepada perkembangan yang baik menjadi satu kefahaman yang dianggap terpesong.[29] Oleh itu, bagi pelajar sejarah yang mahu memahami sejarah, dia perlu mengenali penulis sejarah. Tetapi sebelum dia dapat memahami penulis sejarah, dia haruslah meneliti latar belakang zaman penulis tersebut, terutamanya keadaan sosial ketika dia menulis.[30]

“History does nothing, it possesses no immense wealth, fights no battles. It is rather man, real living man who does everything, who possesses and fights” kata Karl Marx dalam Marx-Engels: Gesamtausgabe.[31] Carr bersetuju dengan kenyataan Marx ini, bagi beliau, manusialah yang akhirnya mencipta dan mencorakkan sejarah, Carr menolak faktor-faktor luar seperti takdir. Namun beliau juga menolak kefahaman bahawa sejarah digerakkan manusia dalam skala individu, sebaliknya sejarah berlaku apabila manusia mula bergerak secara beramai-ramai. Sejarah adalah “a matter of numbers”. Persis seperti apa yang diungkapkan Lenin bahawa “politics begin where the masses are; not where there are thousands, but where there are millions, that is where serious politics begin”.[32]

Carr tidak bersetuju dengan pendapat Collingwood yang menyatakan tugas ahli sejarah adalah mengkaji pemikiran disebalik tindakan yang menghasilkan peristiwa sejarah. Bagi Collingwood, pemikiran rasional individu yang menatijahkan peristiwa sejarah itulah yang penting untuk dikaji. Namun bagi Carr sudut ini tidak relevan, apa yang penting adalah faktor suasana yang mempengaruhi pemikiran dan tindakan tersebut.[33] Pemikiran dan tindakan tidak lahir secara sepontan dalam isolasi, ada pengaruh zaman dan suasana sosial yang membentuknya.

Oleh itu, dalam hal penyebaban dalam sejarah ini, juga dalam penulisan sejarah, kita melihat Carr menolak teori manusia abstrak yang hidup dalam isolasi dan terpisah dari masyarakat, itu tidak wujud dalam sejarah. Beliau juga menolak pembatasan sejarah seputar kajian motif tindakan individu seperti yang difahami Collingwood. Sebaliknya bagi Carr, sejarah adalah interaksi antara masyarakat dahulu dan masyarakat kini. Kita hanya akan memahami masyarakat lalu dengan pemahaman masyarakat hari ini, dan memahami masyarakat hari ini dengan memahami masyarakat yang ada pada masa lalu.[34]

Penyebaban Dan Kaedah Menentukan Sebab Dalam Sejarah

Sejarah adalah bidang kajian yang mengkaji sebab musabab.[35] Oleh kerana sesetengah falsafah sejarah menolak determinism, perkataan “sebab” kadangkala dielakkan.[36] Ia diganti dengan terma-terma yang bersifat functional dan bukan causal, terma ini termasuklah penerangan, penafsiran, atau logik disebalik situasi dan peristiwa. Melalui perspektif funtional, ia bukan hendak menjawab soalan “kenapa” tetapi “bagaimana”. Namun menurut Carr, walaupun ia cuba mengelak soalan “kenapa”, dalam menjawab soalan “bagaimana” menggunakan penerangan, penafsiran dan logik, akhirnya ia tetap akan menjawab soalan kenapa sesuatu itu berlaku.[37] Oleh itu, memberi penyebaban tidak dapat dielakkan dalam sejarah.

Sesuatu peristiwa yang bersejarah itu mempunyai pelbagai sebab yang dapat dikaitkan dengannya. Ahli sejarah tidak boleh hanya memilih satu sebab secara eksklusif dan mengabaikan sebab-sebab yang lain yang turut mempengaruhi sesuatu kejadian sejarah. Namun ahli sejarah juga tidak boleh hanya mengumpul semua sebab-sebab ini, ahli sejarah perlu menyusun sebab-sebab ini dan memberikan prioriti yang berbeza kepada setiap sebab, dia perlu menyusun dalam bentuk hiraki bagi sebab-sebab yang dikumpulkannya.[38] Penyusunan hiraki sebab ini penting, kerana sebab yang dipilih sebagai sebab utama akan menjadi dasar kepada sebuah hujah sejarah.[39]

Jadi, inilah tugas ahli sejarah, iaitu mengumpulkan semua sebab-sebab yang relevan, kemudian melakukan ringkasan dengan memilih sebab yang utama. Dalam hal ini, kita melihat sejarah menggunakan dua proses yang saling bertentangan, iaitu dengan mencari kepelbagaian dan juga membuat generalisasi dan ringkasan.[40] Ahli sejarah menurut Carr adalah sama dengan manusia biasa, mereka mempercayai bahawa perilaku manusia mempunyai sebab, dan sebab ini dapat ditentukan, sejarah adalah seperti kehidupan harian, jika anggapan ini tidak dilakukan, mustahil sejarah atau kehidupan normal dapat berfungsi.[41] Cuba kita fikirkan sejenak, adakah semua yang berlaku di sekeliling kita merupakan fenomena rawak dan tidak bersebab? Jika pernyataan ini benar, maka kehidupan harian tidak dapat berfungsi dan semuanya akan menjadi tunggang langgang. Contohnya jika seorang manusia membunuh manusia lain, kita tidak boleh menghukum pembunuh itu kerana dia tidak membunuh dengan sebab, sebaliknya ia adalah kejadian yang terjadi secara rawak. Pastinya ini tidak logik dan tidak dapat diterima akal.

Carr juga menolak hujah bahawa peristiwa-peristiwa sejarah berlaku dengan sebab-sebab yang tidak sengaja, kebetulan, atau disandarkan atas sebab-sebab yang remeh-temeh. Bagi Carr, pemikiran seperti ini adalah serangan kepada sejarah.[42] Contoh utama kepada pemikiran seperti ini adalah kes ‘hidung Cleopatra’. Blaise Pascal sebagai contoh, mengatakan bahawa jika hidung Cleopatra lebih pendek, seluruh aspek kehidupan di dalam dunia ini akan berubah. Pemikiran seperti ini mempercayai bahawa perkara-perkara yang remeh dan kecil dapat memberi kesan yang besar pada perjalanan sejarah yang kompleks. Ia juga sering disebut sebagai the science of chaos.[43] Kefahaman yang menyandarkan penyebaban sejarah pada perkara yang remeh-temeh ini menjadikan sejarah seolah-olah tidak signifikan dan bermakna.

Oleh itu, Carr bertanyakan soalan bagaimana kita dapat menentukan dalam sejarah sebab musabab yang logikal dan seimbang? Yang tidak remeh-temeh di mana sebab yang kecil diangkat sebagai sebab yang mengubah perjalanan sejarah. Dalam kata lain, bagaimana kita mahu mencari penyebaban yang membuatkan sejarah itu bermakna?[44]

Seperti yang telah kita bahaskan, Carr percaya bahawa perspektif ahli sejarah bergantung kuat pada masyarakatnya, ahli sejarah adalah produk masyarakat. Oleh itu perspektif bahawa sejarah itu tidak bermakna, dan penyebaban disandarkan pada sebab yang remeh temeh lahir dari ahli sejarah yang mana keadaan masyarakat, bangsa, dan negaranya dalam keadaan keruntuhan. Falsafah mereka adalah berdasarkan bahawa kehidupan itu sendiri tidak punya makna, seperti yang ditulis Sarte bahawa “kewujudan itu tidak mempunyai sebarang makna dan keperluan”.[45] Falsafah bahawa kewujudan itu tidak bermakna membawa kepada perspektif bahawa sejarah juga tidak bermakna.

Menurut Trotsky, walaupun sejarah berkembang melalui sebab-sebab yang bersifat remeh dan kebetulan, tetapi ia sebenarnya terhasil dari satu hukum sejarah, beliau menggunakan analogi biologi dengan mengatakan bahawa hukum sejarah itu terhasil dari pemilihan rawak (natural selection) terhadap sebab-sebab yang bersifat kebetulan.[46] Walau apa pun justifikasi dan analogi yang digunakan, Carr tetap menolak penyebaban yang disandarkan kepada kebetulan, orang sebegini menurut Carr merupakan orang yang malas berfikir dan tidak mempunyai kekuatan intelektual untuk membuat penyelidikan.[47] Ahli sejarah yang baik menurut Carr adalah ahli sejarah yang mampu melihat bahawa sesuatu kebetulan itu sebenarnya dapat diberi penerangan yang rasional. Namun ini bukan jawapan yang memuaskan. Bagi Carr, masalah penentuan sebab yang logikal, seimbang, dan bermakna ini sama dengan situasi hubungan antara ahli sejarah dan fakta sejarah. Dalam masalah penyebaban, ahli sejarah dan sebab sejarah mempunyai hubungan yang sama, masing-masing saling mempengaruhi.[48] Dalam kata lain, ahli sejarahlah yang perlu memilih sebab yang paling rasional dan menjadikan sejarah itu sesuatu yang bermakna dan boleh diambil pelajaran daripadanya.

Sejarah adalah proses pemilihan sebab-sebab yang signifikan, ia adalah sistem yang selektif. Ahli sejarah perlu memilih sebab-sebab yang dirasakan signifikan dan paling tepat yang mewakili realiti. Piawaian atau pun standard yang digunakan dalam menentukan apa yang signifikan adalah kemampuan ahli sejarah itu sendiri dalam usahanya untuk menjadikan sebab itu dapat menerangkan dengan rasional tafsiran sejarah yang dibuatnya terhadap fakta-fakta yang ada. Ahli sejarah juga perlu membuang sebab-sebab yang tidak relevan, bukan kerana ia tidak memberi kesan langsung kepada perjalanan sejarah, ia dikira sebagai tidak relevan kerana ia tidak dapat memberi satu penerangan yang rasional dan bermakna, ia tidak mampu digunakan untuk masa kini.[49] Apa yang dianggap relevan dalam sejarah adalah sesuatu yang rasional yang dapat digunakan dalam situasi sejarah yang lain.[50] Sebab yang rasional ini dapat dilakukan generalisasi yang bermakna ke atasnya, kita dapat mengambil pengajaran darinya dan ia membuatkan pemahaman kita menjadi lebih dalam.[51]

Historicism dan Determinism

Menurut Carr, Karl Popper telah menulis dengan nada yang begitu kritikal terhadap falsafah sejarah yang bersifat deterministik yang dipelopori oleh Hegel dan Marx, falsafah yang bersifat deterministik ini telah dikumpulkan bersama dan dinamakan historicism.[52] Menurut Popper dalam tulisannya yang bertajuk The Poverty of Historicism, historicism menekankan bahawa sifat dan tujuan sejarah adalah untuk membuat jangkaan perihal apa yang akan berlaku di masa hadapan.[53] Bagi Popper, historicism membuatkan bidang sains sosial terkebelakang dari pengajian sains lain.

Carr mendefinisikan determinism sebagai pandangan yang mengatakan bahawa setiap yang berlaku itu mempunyai sebab, ia tidak boleh terjadi dengan berbeza melainkan sebab yang menyebabkannya itu berbeza. Masalah determinism ini bukanlah unik kepada sejarah, ia adalah masalah yang merangkumi semua tindak tanduk manusia. Bagi Carr, kepercayaan bahawa setiap yang berlaku mempunyai sebab adalah sesuatu yang fundamental, satu aksiom kepada kebolehan kita untuk memahami apa yang berlaku disekeliling kita.[54]

Adakah Sejarah Sebuah Sains?

Perbahasan perihal falsafah sejarah, iaitu persoalan bahawa adakah ia merupakan sebuah sains bukanlah satu perbahasan yang baharu. Ia bukanlah perbahasan yang lahir di Eropah. Al-Farabi dan Ibnu Sina misalnya, yang menggunakan klasifikasi sistem ilmu dari Aristotle mengatakan bahawa sejarah bukanlah sebuah sains. Ia adalah kejadian yang berbentuk individu pada sesebuah masa dan tidak bersifat universal. Walaubagaimanapun, perkara ini tidak dipersetujui oleh pemikir terkemudian, contohnya Muhammad Ibn Ibrahim Iji dari Shiraz yang menulis pada abad ke-15. Baginya sejarah adalah sains, ia adalah ilmu perihal perkara yang telah berlaku dengan tetap pada masa lalu, yang mana dibawa ke masa hadapan melalui pengkajian sejarah. Perkara ini turut dipersetujui oleh pemikir seterusnya, misalnya Al-Kafiyaji di Kaherah yang menyatakan bahawa sejarah merupakan sains seperti mana sains lain.[55]

Dalam buku What is Hostory? E. H. Carr memperdalamkan lagi perbahasan perihal isu ini. Bagi Carr, beliau tidak begitu mempedulikan hal yang berkaitan klasifikasi ilmu kerana ianya berubah mengikut zaman. Pada zaman Newton misalnya, alam ini dikatakan bersifat mekanikal. Ini dapat kita lihat melalui pemikiran Rene Decartes.[56] Dengan terbitnya teori evolusi Darwin, masyarakat mula dinisbahkan sebagai satu organisma biologi.[57] Di sini kita melihat bagaimana paradigma manusia melihat masyarakat itu berubah, begitu juga pandangan kepada sejarah, ia berubah seiring dengan perubahan paradigma yang melihatnya.

Dalam menulis sejarah, ahli sejarah akan memecahkan subjeknya kepada beberapa era, diberi gelaran kepada setiap period zaman. Misalnya zaman pra-sejarah, zaman klasik, zaman pertengahan, zaman gelap, zaman moden, dan lain-lain. Bagi Carr, klasifikasi zaman ini bukanlah sebuah fakta, tetapi merupakan alat bantu bagi memudahkan kita berfikir tentang sejarah.[58] Oleh itu, klasifikasi sejarah sebagai sains juga merupakan cara untuk membantu kita berfikir bagaimana hendak dilakukan pengkajian. Carr menyenaraikan hujah-hujah yang digunakan dalam menolak klasifikasi ilmu sejarah sebagai sebuah sains. Antaranya:

  1. Sejarah membincangkan hal unik, manakala sains membincangkan hal umum.
  2. Sejarah tidak mengajar apa-apa.
  3. Sejarah tidak dapat membuat tilikan (prediction).
  4. Sejarah bersifat subjektif kerana manusia memerhatikan dirinya.
  5. Sejarah merupakan persoalan agama dan moraliti.[59]

Bagi Carr, kita tidak dapat menafikan bahawa sejarah memang melakukan generalisasi, iaitu mengambil satu perkara yang unik dan menafsirkannya bagi kegunaan umum. Bagi Carr, ini adalah sebahagian dari dikotomi dalam sejarah, seperti mana kita tidak dapat memisahkan fakta dan intepretasi, begitu jugalah halnya perihal sesuatu yang unik dan umum, sejarah adalah interaksi antara keduanya.[60] Bagi Carr, fungsi generalisasi adalah berkait rapat dengan iktibar yang boleh didapati dari sejarah. Dalam kata lain, bagi Carr, sejarah mampu mengajar manusia sesuatu, dan pengajaran itu dapat dikecapi dengan membuat generalisasi. Dengan mengambil pelajaran dari satu peristiwa, dan menggunakannya untuk peristiwa yang lain, kita sebenarnya melakukan generalisasi, sama ada kita sedar atau tidak.[61]

Salah satu hujah mereka yang mengatakan bahawa sejarah tidak dapat mengajar manusia pengajaran adalah kerana sejarah tidak dapat melakukan tilikan perihal apa yang akan berlaku pada masa depan. Bagi Carr, walaupun sejarah tidak mampu membuat tilikan yang tepat pada masa depan, ia tetap mampu mengajar manusia melalui generalisasi. Sejarah tidak dapat menilik peristiwa akan datang kerana setiap peristiwa itu unik dan spesifik, juga ada unsur-unsur kebetulan dalam setiap peristiwa. Menurut Carr, mengkaji manusia merupakan sesuatu yang kompleks, oleh itu, kajian ini tentunya berbeza dengan kajian yang dibuat oleh saintis yang mengkaji objek-objek fizik.[62]

Saya secara peribadi merasakan bahawa soalan “adakah sejarah mampu memberi sebarang pengajaran?” ini tidaklah begitu relevan. Ia mungkin dapat diperdebatkan secara falsafah, tapi dari sudut praktis dan praxis, manusia akan sentiasa mengambil pengajaran dari sejarah, biar pun ada pemikir dan ahli falsafah yang berhujah bahawa ia tidak dapat memberi sebarang pengajaran. Pengajaran dari sejarah ini adalah lumrah dan fitrah, ia tidak dapat dielakkan. Yang mengambil pengajaran darinya bukan sekadar ahli sejarah, malah sesiapa sahaja yang mahu belajar darinya.

Dalam bidang kajian sains lain, subjek dan objek dapat dipisahkan, ini menjadikan kajian itu lebih objektif dan ruang untuk bersikap bias dapat dikurangkan dengan signifikan. Tetapi sejarah adalah bidang di mana manusia mengkaji manusia, belum ada kajian tentang manusia yang dilakukan oleh spesis lain. Menurut Carr, bukan sahaja manusia mengkaji manusia, tetapi subjek yang dikaji itu adalah sifat manusia yang masih aktif. Oleh kerana itu, jikalau pun dibuat satu tilikan perihal sesuatu yang akan berlaku di masa hadapan, manusia yang ditilik itu akan mendapat amaran awal dan mengubah sifat dan tingkah lakunya, ini akan menjadikan tilikan tadi menjadi salah. Dalam kata lain, kebolehan manusia mengubah tingkahlakunya akan menyebabkan apa-apa tilikan dalam sejarah menjadi sesuatu yang mustahil dapat dilakukan dengan tepat, terutamanya dalam menilik peristiwa yang spesifik. Contoh yang diberikan Carr dalam hal ini adalah tilikan yang dibuat oleh seorang calon pilihanraya berkenaan dengan kemenangannya, ia akan berusaha mengubah keadaan-keadaan yang ada agar tilikannya tadi menjadi kenyataan. Dalam kata lain, penilik itu mampu mempengaruhi tilikannya.[63]

Bagi merapatkan jurang antara dua dikotomi ini, di mana satu kem merasakan sejarah bukan cabang sains, manakala kem berlawanan mengatakan sejarah adalah sebuah sains, Carr berpendapat bahawa ahli sains, saintis sosial, dan juga ahli sejarah sebenarnya semua mengkaji bidang kajian yang sama, iaitu bidang kajian yang mengkaji manusia dan juga alam sekitarnya. Bagaimana manusia mempengaruhi alam, dan bagaimana alam mempengaruhi manusia. Tujuan kajian ini menurut Carr adalah bagi meningkatkan kefahaman dan penguasaan manusia terhadap alam. Setiap bidang kajian mungkin mempunyai metodologi yang berbeza, namun tujuannya sama, iaitu untuk menerangkan sesuatu dengan melontarkan soalan dan juga memberi sebuah jawapan.[64] Metodologi soal jawab bagi saya merupakan metodologi fundamental dalam bidang kajian dan pemikiran, metodologi ini dapat ditelusuri semula hingga kepada ahli falsafah seperti Socrates yang menjadikan metod dialog sebagai metodologi utama dalam mencari makna dan hakikat sesuatu perkara.[65]

Carr memetik kata-kata Henri Poincare yang mengatakan bahawa sains bergerak ke arah kepelbagaian dan menjadi semakin kompleks, dalam masa yang sama, sains juga menuju ke arah kesatuan dan juga menjadi semakin ringkas. Proses yang bersifat berlawanan ini merupakan kandungan asas kepada ilmu. Bagi Carr situasi ini bukan sahaja berlaku kepada sains, tetapi juga sejarah. Sebagaimana yang telah dibahaskan, sejarah cuba menjawab soalan “mengapa?”. Kajian terkini perihal ekonomi, sosial, budaya, undang-undang, psikologi, statistik, semuanya meluaskan lagi jawapan kepada soalan pokok yang perlu dijawab oleh ahli sejarah ini.[66]

Pengadilan Moral Dalam Sejarah

Carr membahaskan pemikiran Benedetto Croce dalam persoalan pengadilan moral dalam sejarah. Bagi Croce sejarah bukanlah tempat untuk mengadili manusia-manusia yang telah mati dan tugas ahli sejarah bukanlah sebagai seorang hakim. Orang-orang yang telah mati ini tidak dapat mempertahankan dirinya, oleh itu, tidak adil untuk mereka diadili.[67] Pengadilan moral mungkin dilakukan atas sebab agama, tetapi Carr menolak sebarang makna yang cuba diberikan kepada sejarah dari kuasa-kuasa luar, sama ada kuasa luar tersebut adalah tuhan, atau ruh seperti yang difahami Hegel, sebaliknya bagi Carr sejarah perlu menyelesaikan masalahnya sendiri, tiada kuasa luar yang akan menyelamatkannya, tidak ada deus ex machina. Bagi Carr, moral atau perwatakan peribadi karakter dalam sejarah tidaklah begitu penting untuk dilihat dan dikaji melainkan ianya memberi kesan yang signifikan dalam perubahan sejarah.[68]

Menurut Carr, tidak ada gunanya bagi ahli sejarah untuk memberi pengadilan moral kepada aktor sejarah yang telah lama mati dan tidak memberi kesan kepada dunia hari ini. Penulisan ahli sejarah cenderung melakukan pengadilan moral kepada aktor-aktor yang perlakuan mereka tidak jauh dari masa ketika sejarah itu ditulis. Hal ini kerana, perlakuan mereka masih memberi kesan kepada generasi ketika sejarah itu ditulis. Bagi Carr, pengadilan moral yang sepatutnya dilakukan untuk kita mengambil pengajaran dari sejarah adalah bukan kepada individu, sebaliknya kepada peristiwa, institusi dan polisi. Masyarakat Jerman misalnya, mengalu-alukan kritikan peribadi terhadap Hitler, walhal apa yang diperlukan adalah kritikan terhadap masyarakat yang menghasilkan individu seperti Hitler.[69]

Seperti fakta sejarah yang tidak boleh bercakap sendiri dan memerlukan ahli sejarah untuk menafsirkannya, bagi Carr, setiap tafsiran sejarah itu sentiasa akan melibatkan pengadilan moral atau pengadilan nilai. Sejarah adalah sebuah pergelutan, pasti ada yang menang dan kalah, dan ahli sejarah akan mendapati adanya kesukaran dalam menilai kebaikan sesebuah kemenangan, kerana tentunya ia baik bagi golongan yang menang, manakala golongan yang kalah akan merasakan ia adalah sesuatu yang buruk, atau sebagai musibah yang menimpa mereka. Bagi Carr, dalam hal ini ahli sejarah perlu berhati-hati dan memberikan analisis yang seimbang. Sering kali dalam penulisan sejarah, bagi menjustifikasikan sesuatu yang buruk, ia ditulis sebagai “harga yang perlu dibayar”. Contohnya, harga bagi sebuah revolusi mungkin adalah pembunuhan beramai-ramai golongan pemerintah, istana, dan golongan raja. Atau orang peribumi asal yang disisihkan dianggap sebagai “harga yang perlu dibayar” bagi kemajuan dan industri.[70] Disebabkan oleh perkara inilah, dalam sejarah, apabila dikatakan sesuatu itu baik, kata ahli sejarah yang bernama Howard Zinn, kita perlu bertanya, baik itu untuk siapa?[71]

Sejarah adakalanya bersifat kejam, dan ahli sejarah menurut Carr tidak mempunyai jawapan yang konklusif bagi menjawab soalan berkenaan kesengsaraan manusia. Ahli sejarah, seperti juga ahli teologi, akan kembali kepada hujah mudarat yang lebih kecil (lesser of two evils). Carr memetik kata-kata Friedrich Engels:

“History is about the most cruel of all goddesses, and she leads her triumphal car over heaps of corpses, not only in war, but also in ‘peaceful’ economic development..”[72]

Oleh kerana Carr tidak mempercayai adanya kuasa diluar sejarah yang akan menyelamatkan sejarah, dari mana datangnya nilai baik dan jahat? Bagi Carr, ia adalah sesuatu yang abstrak namun merupakan pemikiran yang sangat berguna. Ia sama dengan formula matematik bagi bidang fizik, ia tidak wujud secara realiti namun merupakan alat fikir yang berguna dalam membuat analisa. Formula ini memerlukan data-data untuknya berfungsi, ia tidak berguna jika berdiri sendirian. Begitu juga halnya dengan nilai menurut Carr, nilai baik dan buruk tidak mempunyai sebarang makna sehinggalah ia diberikan data, dalam kata lain, ia diisi dengan konteks. Manusialah menurut Carr yang memberi makna kepada konsep abstak seperti nilai baik dan buruk, ia hanya bermakna selepas diisi dengan konteks sejarah. Dalam proses sejarah ini, konsep nilai itu sendiri dicipta oleh sejarah. [73]

Oleh itu, adalah mustahil untuk mencipta satu piawaian abstrak di luar sejarah bagi mengadili sejarah, nilai sentiasa memerlukan konteks sejarah untuk berfungsi. Cubaan untuk mencipta satu piawaian abstrak di luar sejarah akan melahirkan kontradiksi dengan fitrah sejarah itu sendiri, ia akan memberi jawapan yang dogmatik terhadap persoalan sejarah. Ahli sejarah tidak boleh menerima jawapan sebelum menjalankan kajiannya. Disebabkan tidak ada satu piawaian yang mutlak, kita akan selalu melihat ahli sejarah menulis sejarah dalam terma-terma yang bersifat komparatif seperti ‘reaksionari’ dan ‘progresif’, berbanding terma-terma mutlak seperti baik dan buruk.[74] Ahli sejarah tidak dapat menentukan bahawa sesuatu itu baik atau jahat, dia hanya mampu membuat perbandingan antara satu keadaan dengan keadaan di zaman yang lain.

Sejarah Sebagai Mekanisma Progres

Menurut Carr, pemikir-pemikir rasional semasa zaman pencerahan merupakan bapa historiografi moden, mereka mengekalkan sudut teleologikal (pandangan bahawa sesuatu fenomena itu mempunyai tujuan) dari tradisi Yahudi-Kristian tetapi mensekularkan tujuan pensejarahan. Dengan itu, sejarah menjadi satu proses yang rasional.[75]

Progres dapat diukur dengan membuat perbandingan antara generasi. Manusia sebagai makhluk yang rasional dapat mengumpulkan ilmu dan pengalaman dari generasi sebelumnya. Sejarah adalah progres dimana skil dan pengetahuan dibawa ke generasi seterusnya. Bagi Carr, progres dalam sejarah tidak boleh difahami sebagai sesuatu yang bersifat terbatas, iaitu memiliki permulaan dan pengakhiran. Carr menolak teori bahawa tamadun itu lahir di Sungai Nile, tamadun tidak dicipta, tetapi ia terbentuk melalui proses pembentukan yang perlahan.[76] Pemikiran seperti ini membawa kepada pemikiran yang salah menurut Carr, terutamanya pemikiran yang dibawakan Hegel bahawa sejarah punya pengakhiran. Pemikiran ini dikembangkan lagi oleh Marx yang membawa idea bahawa pengakhiran sejarah adalah di mana wujudnya masyarakat tanpa kelas. Pemikiran sejarah seperti ini bagi Carr mempunyai unsur eschatologi yang kuat, oleh itu ia lebih sesuai dibahaskan dalam daerah spekulasi teologi, bukan sejarah.[77] Saya kira, jika Carr sempat membaca buku Fukuyama yang pertama kalinya diterbitkan pada tahun 1992, beliau akan mengembangkan lagi kritikannya ini terhadap teori bahawa sejarah mempunyai titik akhir.[78]

Antara aspek progres sejarah adalah kebebasan. Lord Acton sebagai contoh, menyatakan bahawa peristiwa-peristiwa sejarah membawa progres ke arah kebebasan dan juga pemahaman terhadap kebebasan.[79] Progres dalam sejarah bukanlah sebuah garisan linear yang tidak terputus. Sebaliknya, seperti juga kehidupan biasa, progres dalam sejarah mempunyai naik dan surutnya, ada kalanya ia terhenti, terputus, dan terpesong. Malah jika ia terhenti, ia mungkin tidak akan bermula semula di titik yang sama di mana ia terhenti. Carr menolak teori bahawa tamadun itu bersifat kitaran, di mana sesebuah tamadun itu mempunyai kitaran hidup, dari fasa peningkatan, kejatuhan, hinggalah fasa keruntuhan, seperti yang difahami Marx, Hegel, dan Toynbee. Kejatuhan sesebuah tamadun mungkin merupakan permulaan kepada tamadun yang lain. Esensi progres dalam sejarah bukanlah penerusan tamadun dalam pertalian yang tidak pernah putus, sebaliknya ia adalah kebolehan manusia untuk mengambil pengajaran dari generasi sebelumnya.[80]

Bagi Carr, beliau tidak percaya bahawa manusia boleh mencapai kesempurnaan, beliau juga tidak percaya bahawa syurga di dunia seperti yang diidamkan oleh mereka yang mempercayai bahawa sejarah mempunyai pengakhiran dapat direalisasikan. Dalam hal ini, Carr bersetuju dengan golongan teologi dan mistik bahawa sejarah tidak akan boleh menghasilkan kesempurnaan. Bagi Carr, apa yang boleh dicapai oleh sejarah hanyalah progres yang berterusan.[81]

Apakah yang boleh digunakan untuk mengukur kejayaan dalam sejarah? Bagi Carr, untuk kita menentukan apa yang berjaya, ia mestilah diukur dengan ukuran yang praktikal. Sesuatu yang boleh dilaksanakan dalam realiti, bukan hal-hal abstrak sistematik yang kononnya bersifat universal. Apa yang dapat digunakan dan dijayakan dengan praktikal, itulah yang dikira sebagai kejayaan dalam sejarah.[82] Dalam hal ini, ia mirip kepada teori politik realisma yang dipelopori oleh Machiavelli, yang meyakini bahawa apa yang penting adalah apa yang berkesan, bukan apa yang kita rasakan “sepatutnya” berkesan.[83] Kesilapan paling radikal bagi Carr adalah mencipta satu piawaian abstrak tentang nilai yang sepatutnya dan dikira baik, kemudian mencela manusia terdahulu menggunakannya.[84]

Namun apa yang berjaya ini, kadang kala tidak begitu jelas dalam sejarah. Ada kalanya sesuatu kegagalan itu merupakan sumbangan utama kepada kejayaan yang lebih besar di masa hadapan. Bagi Carr, sejarah tidak miskin dengan misal-misal bagi situasi di mana “prophets born before their time” atau apa yang disebut sebagai “pregnant failure” dan “delayed achievement”.[85] Dalam leksikonografi politik Malaysia, situasi ini sering disebut sebagai “kemenangan yang tertangguh”. Oleh itu, kita perlu menangguhkan penilaian kita dan melihat sejarah dalam skala yang lebih besar dan panjang dalam melakukan pengadilan. Disebabkan kemungkinan ini, objektiviti dalam sejarah bukan berada di masa lalu atau masa kini, tetapi di masa hadapan. Kerana ahli sejarah di masa hadapan dapat melihat sejarah dalam skala yang lebih panjang. Ahli sejarah pada tahun 2050 sebagai contoh, dapat memberikan pengadilan yang lebih objektif berbanding ahli sejarah pada tahun 1880, bukan kerana dia lebih pandai atau lebih baik intelektualnya, tetapi disebabkan kedudukan zaman di mana dia hidup yang membolehkannya melihat skala sejarah yang lebih besar.[86]

Masa Depan Sejarah

E.H. Carr menutup perbahasan perihal apa itu sejarah dengan bab yang bertajuk The Widening Horizon, bab ini membahaskan bagaimana manusia moden berinteraksi dengan sejarah dan bagaimana sejarah akan kelihatan di masa hadapan. Bagi Carr, sejarah bermula apabila manusia memikirkan bahawa peredaran masa bukan lagi sekadar kitaran semula jadi seperti perubahan musim dan juga jangka hayat manusia, tetapi sebagai siri peristiwa yang spesifik di mana manusia terlibat di dalamnya dan dapat mempengaruhi peristiwa tersebut. Dalam kata lain, sejarah bermula apabila manusia mempunyai kesedaran sejarah.[87] Setelah sejarah bermula, ia berkembang. Sejarah berkembang dengan berkembangnya kefahaman manusia tentang kebebasan. Hegel sebagai contoh, menulis perihal perubahan ke arah pembebasan, namun tidak diberikan sebarang konteks. Konteksnya kemudian diisi oleh Marx.[88] Dengan konsep dan konteks, manusia mula mencatur sejarah, bukan lagi terlibat di dalamnya tanpa sedar.

Selain Hegel dan Marx, tokoh lain yang membuka ruang baharu untuk perkembangan sejarah adalah Sigmund Freud. Bagi Carr, Freud membuka sebab-sebab perilaku manusia yang dilakukan tanpa sedar untuk dikaji dan diterangkan dengan rasional. Hal ini meluaskan lagi pemahaman manusia tentang dirinya dan juga persekitarannya, sumbangan Freud ini bagi Carr sesuatu yang revolusionari dan progresif buat sejarah. Sumbangan Freud menguatkan lagi apa yang dibawa oleh Marx, ahli sejarah kini bukan sekadar sedar akan kajian sejarah, tetapi turut sedar akan kedudukannya sebagai ahli sejarah, yang membantunya memahami keputusan yang dibuatnya dalam pemilihan tema kajian dan juga tafsirannya terhadap sejarah. Kesannya, ahli sejarah kini sedar bahawa dia tidak dapat memisahkan dirinya dari sejarah yang ditulisnya. Zaman ini adalah zaman kesedaran, ahli sejarah sepatutnya tahu dan sedar apa yang sedang dilakukannya.[89]

Dengan kesedaran baharu ini, manusia bukan sahaja mula mencorak persekitarannya, malah kini, manusia mula mencorakkan dirinya sendiri.[90] Bagi Carr, penyebaran teknologi dan kesedaran ini akan mengubah sejarah dunia, terutamanya apabila ia tersebar ke benua Asia dan Afrika di mana mereka akan terlibat dengan lebih banyak dalam menentukan dan membentuk sejarah dunia.[91] Penyebaran kesedaran ini juga akan menyebabkan sejarah akan menjadi lebih spesifik, bukan lagi tertakluk kepada negara, tetapi kepada kumpulan-kumpulan kecil dan kelas manusia. Dalam kata lain, penyebaran kesedaran mengubah sejarah dari tertumpu kepada golongan elit kepada kumpulan manusia yang lebih kecil.[92] Carr juga berpendapat sejarah Inggeris (negara-negara berbahasa Inggeris) sudah menjadi terlalu tepu, malah sejarah sepatutnya berkembang dan tidak lagi bersifat Euro-sentrik.[93]

Masa depan sejarah menurut Carr adalah perubahan. Ini merupakan asas kepada progres manusia, baik dalam bidang sains mahu pun sejarah. Perubahan perlu dilakukan bukan berbentuk tempelan, tetapi mempersoalkan fundamental-fundamental yang belum pernah dicabar sebelum ini. Logik akal perlu digunakan untuk mencabar sangkaan-sangkaan yang dibuat selama ini. Idea-idea baharu sepatutnya tidak dipandang sebagai radikal dan dicurigai, sebaliknya diraikan dan dikembangkan. Bagi Carr, sekali pun ahli sejarah takut untuk berubah, sejarah akan tetap terus berubah, kerana fitrah bagi sejarah adalah perubahan.[94]

Kesimpulan

Tulisan ini bertujuan untuk mempermudahkan pemahaman pembaca perihal pemikiran sejarah seperti yang dipelopori oleh E.H. Carr dalam makalah tulisannya yang bertajuk What is History?. Terutamanya kepada para pelajar sejarah. Hal ini kerana, saya merasakan bahawa penulisan ringkas Carr ini sangat penting untuk difahami oleh pelajar sejarah, namun akses kepadanya tidak begitu luas. Kebanyakan naskhah yang ada adalah dalam bahasa Inggeris, terdapat naskhah terjemahan, namun ia tidak dicetak semula dan hanya berlegar di tangan kolektor buku. Oleh itu tulisan ini cuba mengeluarkan perbahasan-perbahasan penting yang diutarakan oleh Carr perihal sejarah dan falsafah sejarah dalam bahasa Malayu yang ringkas dan mudah difahami. Ia diharapkan dapat menjadi kertas pemula, namun bagi pengkaji yang serius, pada hemat saya, wajar membaca naskhah Carr secara primer. Perbahasan Carr perihal tugas ahli sejarah, metodologi yang perlu digunakan, dikotomi-dikotomi dalam sejarah, isu pengadilan moral dan penyebaban dalam sejarah, sifat sejarah, dan juga masa depan sejarah, semuanya ini merupakan perkara-perkara asas yang perlu dikuasai oleh seorang pelajar sejarah.

Bibliografi

Carr, E.H. 1964. What is History. Penguin Books.

Fukuyama, Francis. 2006. The End of History and The Last Man. Free Press.

Little, Daniel, and Edward N. Zalta (ed.). 2020. “Philosophy of History (Winter 2020 Edition).” The Stanford Encyclopedia of Philosophy. November 24. Accessed January 2, 2023. https://plato.stanford.edu/archives/win2020/entries/history/.

Liveley, Genevieve. 2002. “Cleopatra’s Nose, Naso and the Science of Chaos.” Greece & Rome 49 no. 1 27-43.

Machiavelli, Niccolò. 2008. The Prince (Introduction by Regina Barreca). Signet.

Markiewicz, Christopher. 2017. “History as science: the fifteenth-century debate in Arabic and Persian.” Journal of early modern history 21, no. 3 216-240.

Muhamad Naim Hassan. n.d. “Auguste Comte dan Falsafah Positivisme: Tinjauan dan Kritikan.” Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Popper, Karl. 1944. “The Poverty of Historicism, I.” Economica 11, no. 42 86–103.

Said, Edward W. 1991. Orientalism: Western Conceptions of the Orient. Penguin Books.

Syed Ahmad Fathi. 2023. “Falsafah Dan Metodologi Argumentasi Socrates.” Jejak Tarbiah.

—. 2023. “Historiografi Astronomi: Paradoks Dalam Pensejarahan Tamadun Barat.” . Academia Book Review.

—. 2023. “Perihal Penyebaban Dalam Sejarah.” Nota Pengajian Sejarah.

Zinn, Howard. 2015. A People’s History of the United States. Harper Perennial Modern Classics.


[1] Little, Daniel, “Philosophy of History”, The Stanford Encyclopedia of Philosophy (Winter 2020 Edition).

[2] E.H. Carr. What is History. Penguin Books, 1964.

[3] Ibid. Halaman 7-8

[4] Ibid., hlm. 9

[5] Muhamad Naim Hassan. Auguste Comte dan Falsafah Positivisme: Tinjauan dan Kritikan. Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia.

[6] E.H. Carr. What is History?, hlm. 9

[7] Ibid., hlm. 11.

[8] Ibid., hlm. 12.

[9] Edward W. Said. Orientalism: Western Conceptions of the Orient. Penguin Books, 1991. Lihat halaman 116-177.

[10] E.H. Carr. What is History?, hlm. 13

[11] E.H. Carr. What is History?, hlm. 14.

[12] Ibid., hlm. 14.

[13] Ibid., hlm. 16.

[14] Ibid., hlm. 20.

[15] Ibid., hlm. 21-22.

[16] Ibid., hlm. 22.

[17] Ibid., hlm. 23.

[18] Ibid., hlm. 24.

[19] Ibid., hlm. 25.

[20] Ibid., hlm. 26.

[21] Ibid., hlm. 27-28.

[22] Ibid. 29-30

[23] Ibid. 28-29.

[24] Syed Ahmad Fathi. “Perihal Penyebaban Dalam Sejarah.” Nota Pengajian Sejarah, 2023.

[25] E.H. Carr. What is History?, hlm. 35.

[26] Ibid. 37.

[27] Ibid. 39-40.

[28] Ibid. 42.

[29] Ibid. 43.

[30] Ibid. 44.

[31] Ibid. 49.

[32] Ibid. 49-50.

[33] Ibid. 52.

[34] Ibid. 55.

[35] Ibid. 87.

[36] Determinism adalah fahaman bahawa semua perkara telah ditentukan oleh sebab di luar kebebasan manusia untuk memilih.

[37] E.H. Carr. What is History?, hlm. 88.

[38] Ibid. 89-90.

[39] Ibid. 90.

[40] Ibid. 91.

[41] Ibid. 95.

[42] Ibid. 98.

[43] Liveley, Genevieve. “Cleopatra’s Nose, Naso and the Science of Chaos.” Greece & Rome 49, no. 1 (2002): 27-43.

[44] E.H. Carr. What is History?, hlm99.

[45] Ibid. 100.

[46] “historical law is realized through the natural selection of accidents” ujar Trotsky.

[47] E.H. Carr. What is History?, hlm102.

[48] Ibid. 103.

[49] Ibid. 105.

[50] Ibid. 106.

[51] Ibid. 107

[52] Ibid. 91.

[53] Popper, Karl. “The Poverty of Historicism, I.” Economica 11, no. 42 (1944): 86–103.

[54] E.H. Carr. What is History?, hlm. 93-94.

[55] Christopher Markiewicz. “History as science: the fifteenth-century debate in Arabic and Persian.” Journal of early modern history 21, no. 3 (2017): 216-240.

[56] Syed Ahmad Fathi. “Historiografi Astronomi: Paradoks Dalam Pensejarahan Tamadun Barat.” Academia Book Review, 2023.

[57] E.H. Carr. What is History?, hlm. 56.

[58] Ibid. 60.

[59] Ibid. 62.

[60] Ibid. 64-65.

[61] Ibid. 66.

[62] Ibid. 68-69.

[63] Ibid. 70-71.

[64] Ibid. 86.

[65] Syed Ahmad Fathi. “Falsafah Dan Metodologi Argumentasi Socrates.” Jejak Tarbiah, 2023.

[66] E.H. Carr. What is History?, hlm. 90.

[67]Ibid., hlm. 77.

[68] Ibid. 75.

[69] Ibid. 78.

[70] Ibid. 79.

[71] Howard Zinn. A People’s History of the United States. Harper Perennial Modern Classics, 2015.

[72] E.H. Carr. What is History?, hlm. 81.

[73] Ibid. 82.

[74] Ibid. 83.

[75] Ibid. 110.

[76] Ibid. 114.

[77] Ibid. 115.

[78] Francis Fukuyama. The End of History and The Last Man. Free Press, 2006. (Terbitan pertama tahun 1992).

[79] E.H. Carr. What is History?, hlm. 115.

[80] Ibid. 116-117.

[81] Ibid. 119.

[82] Ibid. 127.

[83] Niccolò Machiavelli. The Prince (Introduction by Regina Barreca). Signet, 2008.

[84] E.H. Carr. What is History?, hlm. 128.

[85] Ibid. 129.

[86] Ibid. 130.

[87] Ibid. 134.

[88] Ibid. 136.

[89] Ibid. 139.

[90] Ibid. 142.

[91] Ibid. 148.

[92] Ibid. 148-149.

[93] Ibid. 150-151.

[94] Ibid. 155-156.

Pemikiran-Sejarah-Edward-CarrDownload
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Reviu Buku Tagged With: History, Philosophy of History

Falsafah dan Metodologi Argumentasi Socrates

April 6, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Walaupun tidak pernah menulis apa-apa, Socrates dianggap sebagai ahli falsafah yang penting, malah sebahagian penulis menganggap pemikiran beliau telah buat selamanya mengubah pandangan manusia tentang apa yang dimaksudkan dengan falsafah.[1] Socrates bukanlah pengasas falsafah, beliau juga bukan pengasas kepada falsafah Yunani. Sebelum kelahiran Socrates sendiri, bidang falsafah telah berkembang di Yunani selama ratusan tahun, namun falsafah pra-Socrates ini tidak ditulis, jika ditulis, bahan tersebut tidak terselamat dari ditelan masa. Pemikiran falsafah pra-Socrates tidak terpelihara ke zaman moden dengan lengkap, ia hanya wujud dalam bentuk cebisan-cebisan sehingga sarjana merasakan mustahil kita dapat mengetahui dengan tepat pemikiran ahli falsafah sebelum Socrates baik bentuk pemikiran mereka secara sempurna, atau ketepatan maklumat perihal kehidupan mereka dari sudut sejarah.[2]

Rekonstruksi Pemikiran Socrates

Jika falsafah pra-Socrates mempunyai masalah sumber, membentuk semula kehidupan dan pemikiran Socrates juga menghadapi masalah yang sama. Walaubagaimanapun, Socrates lebih bernasib baik berbanding pemikir sebelumnya kerana terdapat sumber yang mencukupi untuk melakukan rekonstruksi terhadap pemikirannya. Dan sumber-sumber ini sampai ke zaman moden. Terdapat 4 sumber utama yang boleh digunakan untuk memahami dan membentuk semula pemikiran Socrates. 4 sumber ini merupakan mereka yang dekat dengan Socrates dan sebahagiannya mengenali beliau secara peribadi. 4 sumber ini adalah Plato, Xenophon, Aristophanes, dan Aristotle. Sebagai sumber sejarah, masing-masing mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri. Plato adalah sumber yang paling banyak menulis perihal Socrates, namun ia tidak dapat dijadikan sebagai sumber yang benar-benar objektif kerana Plato bersifat bias dan terlalu mengagung-agungkan Socrates. Xenophon yang merupakan anak murid Socrates pula tidak menjadi ahli falsafah, sebaliknya memilih untuk menjadi petani. Aristophanes pula menggambarkan Socrates sebagai orang yang bodoh, manakala Aristotle merupakan sumber yang terkemudian dan agak lewat, beliau lahir 15 tahun selepas Socrates.[3]

Walaupun 4 sumber utama ini berbeza antara satu sama lain, ia sebenarnya memberi kelebihan kepada ahli sejarah dalam usaha untuk melakukan rekonstruksi terhadap sosok Socrates yang sebenar. Persamaan yang ada pada sumber-sumber ini dapat dinilai sebagai sahih manakala dengan membuat perbandingan, kita dapat melihat elemen-elemen bias dalam penulisan perihal peribadi Socrates.[4] Dengan membuat pengasingan antara persamaan dan juga elemen bias dalam periwayatan, kita dapat membentuk semula pemikiran Socrates yang seimbang.

Perbicaraan dan Hukuman Bunuh

Perkara yang paling terkenal perihal Socrates adalah perihal perbicaraan yang dikenakan ke atasnya kemudian diikuti hukuman mati susulan dari perbicaraan tersebut. Dalam buku yang ditulis oleh Fareed Zakaria yang membahaskan persoalan kebebasan, beliau mengatakan proses perbicaraan yang dihadapi oleh Socrates ini adalah proses yang demokratik tetapi tidak liberal.[5] Socrates sering mengatakan bahawa dia tidak mengetahui apa-apa, oleh itu dia tidak dapat mengajar apa-apa seperti tuduhan yang dibuat ke atasnya. Namun aktiviti yang sering dilakukannya mirip dengan aktiviti mengajar, Socrates dituduh mengajar perkara yang merosakkan golongan muda di Athens. Perbicaraan ini berlangsung ketika umurnya menghampiri 70 tahun sekitar tahun 399 sebelum masehi.[6] Ketika dibicarakan pun, Socrates dilihat meneruskan aktiviti kegemarannya iaitu berhujah dan beragumentasi, maka boleh dikatakan bahawa beliau beragumentasi sehingga mati.[7]

Perbicaraan ini mempunyai latar politik, iaitu selepas Athens kalah dalam peperangan melawan Sparta. Athens kemudian diperintah oleh tirani yang diletakkan oleh Sparta dan anak-anak murid Socrates terlibat dalam pemerintahan tirani ini. Orang-orang Athens juga merasakan golongan intelektual melemahkan masyarakat mereka.[8] Terdapat 3 tuduhan utama yang dilemparkan kepada Socrates dalam perbicaraan ini, iaitu beliau tidak mengiktiraf tuhan rasmi masyarakat Athens, cuba memperkenalkan tuhan baharu, dan merosakkan golongan muda.

Menurut Gottlieb yang menulis perihal Socrates, tuduhan bahawa Socrates memperkenalkan tuhan baharu mempunyai merit, ini kerana beliau sering bercakap tentang daimonion iaitu penjaga spiritual, yang menjadi petunjuk suci yang membantunya sejak beliau kecil, bagi Gottlieb, daimonion ini boleh dikatakan sebagai suara hati Socrates yang sentiasa berhati-hati dalam membuat keputusan.[9] Perkara ini dianggap serius oleh demokrasi Athens yang mempunyai prosedur tersendiri untuk mengiktiraf tuhan baharu. Kekuasaan negara sahaja pada ketika itu mempunyai hak untuk menentukan apa yang wajar disembah dan dijadikan objek suci.[10] Hal ini bertentangan dengan pandangan penulisan perihal zaman klasik lain. Contohnya Catherine Nixey yang cuba menunjukkan bahawa masyarakat klasik lebih toleran dalam menerima tuhan baharu.[11] Menurut Nixey, kepercayaan pagan pada zaman klasik tidak mempunyai masalah dengan tuhan yang berbeza.[12] Ini dilihat tidak berlaku dalam kes Socrates.

Walaupun dijatuhkan hukuman mati, Socrates tidak gentar. Bagi Socrates, orang yang takut mati adalah orang yang berfikir bahawa dia bijak, namun sebenarnya dia tidak bijak. Bagi Socrates tiada siapa yang tahu apa yang terjadi selepas mati, kemungkinan ia merupakan satu nikmat yang paling besar bagi manusia. Tetapi manusia takut mati, kerana mereka berfikir bahawa mereka tahu apa itu kematian, kematian bagi mereka adalah sesuatu yang buruk dan jahat. Bagi Socrates, orang yang merasakan kematian itu buruk sebenarnya jahil, kerana dia merasakan dia tahu akan sesuatu hakikat yang sebenarnya tidak diketahuinya. Orang yang mengakui bahawa dia tidak tahu apa yang berlaku selepas mati bagi Socrates adalah orang yang bijak, kerana dia sedar bahawa dia tidak mempunyai ilmu.[13] Socrates juga yakin bahawa tiada siapa yang mampu melukakan orang yang baik, baik semasa hidup atau selepas mati, oleh itu beliau tidak takut akan mahkamah yang menghukumnya. Dia percaya dia sedang melakukan kebaikan, oleh itu dia tidak sekali-kali akan mengubah pendiriannya hanya untuk melepaskan diri dari hukuman.[14]

Pemikiran Falsafah Socrates

Falsafah menurut Socrates adalah aktiviti yang intim dan kolaboratif. Ia dilakukan melalui perbincangan dalam kumpulan kecil. Dalam kumpulan ini mereka berdebat dan berbahas. Hasilnya, setiap peserta dalam kumpulan ini akan mencapai kepada sebuah kefahaman tentang apa yang dia rasakan benar perihal sesuatu subjek dengan sendirinya. Falsafah dalam bentuk aktiviti di masa lapang ini tidak dapat dicapai melalui syarahan atau penulisan. Ia adalah kefahaman yang lahir dari perbincangan. Oleh sebab itu Plato dan Xenophon mempersembahkan pemikiran Socrates dalam bentuk dialog.[15]

Ciri sentral kepada cara Socrates berfikir adalah bermula dengan tidak tahu, malah pemikir itu hendaklah mengakui bahawa dia tidak tahu akan sesuatu. Ini mungkin berbeza dengan pandangan kita perihal pemikir hari ini, bahawa mereka mengetahui sesuatu. Socrates sentiasa mengatakan bahawa dia tidak mengetahui apa-apa perihal apa yang dibincangkan, dan dengan itu bertanyakan banyak soalan.[16] Dengan menggunakan metodologi dialog ini, secara sedikit demi sedikit kita akan mengetahui maksud perihal sesuatu yang dibincangkan. Menurut Gottlieb, inilah kehebatan Socrates, bahawa dia penuh dengan kesedaran bahawa dia hanya mempunyai sedikit sahaja ilmu dan pengetahuan.[17] Saya bersetuju dengan pandangan Gottlieb ini, bahawa kita menjadi lebih berpengetahuan dengan menganggap bahawa kita tidak tahu, kerana dengan itu kita akan terbuka menerima pandangan dan ilmu baharu. Bukan seperti mereka yang mengaku intelektual yang kononnya sudah mengetahui semuanya perihal sesuatu subjek, ke-egoan mereka kadangkala menjengkelkan saya. Menurut Gottlieb, pengakuan tidak tahu ini bukan bermaksud Socrates tidak tahu perkara-perkara umum dan fakta-fakta kehidupan harian, tetapi beliau menzahirkan sikap tidak tahu di mana foundasi yang melahirkan moral.[18]

Bagi Socrates, kebaikan bukan hanya sesuatu yang dilihat dari perwatakan dan juga perlakuan, tetapi merupakan satu projek intelektual. Bagi Socrates seseorang itu hendaklah pertamanya memahami apa itu kebaikan, barulah dia dapat menjadi orang yang baik. Seseorang tidak dapat menjadi sesuatu yang dia sendiri tidak fahami.[19] Namun apa yang dikatakan Socrates ini tidak terbukti dalam perlakuan manusia sebenar. Ilmu tidak akan menjamin seseorang itu menjadi baik, manusia sering kali tahu bahawa perlakuannya tidak baik, tetapi tetap juga melakukannya. Aristotle mengkritik pandangan Socrates ini, menurut beliau, teori ini tidak mencakupi sekeluruhan psikologi manusia dan tidak mengambil kira bahagian yang tidak rasional yang wujud dalam diri manusia.[20]

Metodologi Argumentasi

Socrates mempunyai metodologi yang tersendiri dalam berdialog dengan seseorang dan melontarkan hujah. Beliau sentiasa merasakan bahawa dia tidak mengetahui apa-apa, tetapi untuk berbahas berkenaan dengan sesuatu subjek, kita mesti mempunyai sebuah definisi. Jika tidak diberikan definisi perihal objek yang hendak dibahaskan, perbahasan akan saling menembak antara satu sama lain pada target yang berbeza-beza dan tidak mampu mencapai sebarang hasil.

Oleh kerana Socrates tidak mengetahui apa-apa, beliau akan membiarkan lawannya memberikan definisi dan membina sebuah tesis. Ini adalah permulaan kepada metodologi argumentasi Socrates, iaitu membiarkan pihak lawan memberikan definisi. Setelah itu Socrates akan memulakan langkahnya. Dengan menggunakan definisi pihak lawan, Socrates akan melontarkan soalan-soalan yang menimbulkan kontradiksi dan keraguan dalam pemikiran definisi tersebut. Socrates akan bertanyakan soalan sehingga lawannya akan meragui definisinya sendiri dan membuat revisi kepada kenyataan asalnya.[21] Metodologi argumentasi seperti ini digunakan oleh pendebat-pendebat sehingga ke hari ini, dalam perdebatan, untuk menjatuhkan pihak lawan, cara yang paling berkesan adalah menggunakan kata-kata pihak lawan sendiri untuk melawan hujah mereka. Teknik seperti ini sering digunakan oleh pendebat moden seperti Mehdi Hasan.[22]

Metodologi seperti ini, iaitu dengan membiarkan pihak lawan memberi definisi sebelum menyiasatnya dengan pelbagai jenis soalan, lahir dari sifat Socrates yang skeptik dengan apa-apa kenyataan selagi ia tidak diteliti menggunakan akal fikiran. Menurut Gottlieb, Socrates memang tidak akan menerima apa-apa nasihat, hatta dari kawannya sendiri, kecuali sesudah membuat refleksi dan berfikir menggunakan akal fikiran bahawa perkara itu benar-benar sesuatu yang terbaik untuk dilakukan.[23] Melalui metodologi dialog, kefahaman itu akan datang dari orang yang ditanya itu sendiri apabila dia cuba menjawab soalan-soalan yang dilontarkan Socrates kepadanya, di sini kita melihat bahawa ilmu itu sudah ada dalam diri seseorang, Socrates hanya membantunya untuk mengeluarkan ilmu tersebut. Ilmu dalam hal ini, terbit melalui proses menyoal, bukan proses mengajar.[24] Socrates dalam metodologinya tidak mahu mengajar, kerana dia mengaku bahawa dia sendiri tidak tahu akan hakikat sesuatu, metodologinya adalah untuk menguji sesuatu hakikat yang dibentangkan kepadanya oleh orang lain dalam bentuk sebuah definisi.[25]

Metodologi Socrates ini mungkin kelihatan seperti provokasi, tetapi sebenarnya, apa yang hendak dilakukan oleh beliau adalah mengajar hakikat perihal sesuatu perkara walaupun dia sendiri menafikan bahawa dia sedang mengajar. Menurut Gottlieb, Socrates mengajar melalui usikan dan provokasi.[26] Apa yang hendak diajarkan? Matlamat akhir Socrates dari dialog, soalan, dan argumentasinya adalah untuk mencapai ilmu yang sebenar, bukan perihal hal-hal pekerjaan harian, tetapi ilmu sebenar perihal bagaimana untuk hidup dengan baik dan bermakna.[27]

Kesimpulan

Melalui tulisan ringkas ini, kita dapat merungkai sedikit pemikiran Socrates perihal falsafah. Falsafah boleh dikatakan sebagai sebuah metodologi untuk menyiasat makna dan hakikat sesuatu. Metodologi yang digunakan adalah melalui dialog, perbahasan, dan perdebatan dalam kumpulan kecil. Bagi Socrates, untuk seseorang itu mempelajari sesuatu, dia mestilah bermula dengan minda yang kosong, iaitu menyedari bahawa dia tidak mengetahui apa-apa. Bermula dari situ, dia akan menerbitkan soalan-soalan, dan dalam proses menjawab soalan-soalan ini, sedikit demi sedikit seseorang itu akan mendekati makna dan hakikat sesuatu yang dibahaskan. Walaubagaimanapun, metodologi dialog bukanlah satu-satunya metodologi untuk mencapai ilmu, ahli falsafah seperti Ibnu Tufail misalnya, berpendapat bahawa ilmu sebenar boleh diperolehi melalui renungan dan solitude, baginya ilmu bukan sekadar logik tetapi renungan yang dalam untuk memahami makna kehidupan.[28] Metodologi renungan mungkin merupakan metodologi yang lebih berkesan dalam pencarian makna, terutamanya bagi manusia moden yang hidup dalam dunia yang sesak dan laju, begitu laju sehingga manusia sendiri tidak faham mengapa mereka bergerak laju.[29] Saya berpandangan, walau apa pun metodologi yang kita gunakan, baik dialog, argumentasi, renungan, atau solitude, semua metodologi ini mempunyai satu elemen yang sama, iaitu elemen berfikir dan penggunaan akal. Masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan, oleh itu ia tidak boleh dipilih salah satu dan menyisihkan yang lain, sebaliknya kita harus memanfaatkan semuanya bagi mendalami ilmu. Seperti yang difahami Socrates, dengan mempunyai ilmu yang dalam, barulah kita dapat hidup dengan baik dan benar.

Bibliografi

Gottlieb, Anthony. 2002. Socrates. Phoenix.

Hasan, Mehdi. 2023. “Win Every Argument with Jen Psaki.” Politics and Prose. March 02. https://www.youtube.com/watch?v=9zBAXKYdcus.

McKirahan, Richard D. 2011. Philosophy before Socrates: An introduction with texts and commentary. Hackett Publishing.

Nails, Debra , S. Sara Monoson, and Edward (ed.) N. Zalta. 2022. “Socrates.” The Stanford Encyclopedia of Philosophy (Summer 2022 Edition).

Nixey, Catherine. 2018. The Darkening Age: The Christian Destruction of the Classical World. Pan Books.

Syed Ahmad Fathi. 2023. “Kehancuran Dunia Klasik Romawi & Yunani.” Academia Book Review.

Syed Ahmad Fathi. 2022. “Memahami Falsafah Kehidupan Dari Allegori Hayy Ibn Yaqzan Karya Ibnu Tufail.” Academia Book Review.

Syed Ahmad Fathi. 2023. “Renung: Metodologi Fikir Dalam Pencarian Makna.” The Independent Insight.

Zakaria, Fareed. 2004. The Future of Freedom: Illiberal Democracy at Home and Abroad. W. W. Norton & Company.


[1] Debra Nails and S. Sara Monoson, “Socrates”, The Stanford Encyclopedia of Philosophy (Summer 2022 Edition), Edward N. Zalta (ed.), URL https://plato.stanford.edu/archives/sum2022/entries/socrates/

[2] Richard D. McKirahan Philosophy before Socrates: An introduction with texts and commentary. Hackett Publishing, 2011.

[3] Anthony Gottlieb. Socrates. Phoenix, 2002, hlm 20-21.

[4] Ibid., hlm 22.

[5] Fareed Zakaria. The Future of Freedom: Illiberal Democracy at Home and Abroad. W. W. Norton & Company, 2004.

[6] Anthony Gottlieb. Socrates. Phoenix, 2002, hlm 10.

[7] Ibid., hlm 22.

[8] Ibid., hlm 11.

[9] Ibid., hlm 17.

[10] Ibid., hlm 12.

[11] Catherine Nixey. The Darkening Age: The Christian Destruction of The Classical World. Pan Books, 2018.

[12] Syed Ahmad Fathi. “Kehancuran Dunia Klasik Romawi & Yunani.” Academia Book Review, 2023.

[13] Gottlieb. Socrates., hlm 19.

[14] Ibid., hlm 37.

[15] Ibid., hlm 20.

[16] Ibid., hlm 9.

[17] Ibid., hlm 15.

[18] Ibid., hlm 15.

[19] Ibid., hlm 24.

[20] Ibid., hlm 34.

[21] Ibid., hlm 9.

[22] Mehdi Hasan. Diskusi perihal buku Win Every Argument bersama Jen Psaki. Politics and Prose, 02 Mac 2023. Pautan: https://www.youtube.com/watch?v=9zBAXKYdcus

[23] Gottlieb. Socrates., hlm 16.

[24] Ibid., hlm 28.

[25] Ibid., hlm 29.

[26] Ibid., hlm 36.

[27] Ibid., hlm 42.

[28] Syed Ahmad Fathi. “Memahami Falsafah Kehidupan Dari Allegori Hayy Ibn Yaqzan Karya Ibnu Tufail.” Academia Book Review, 2022.

[29] Syed Ahmad Fathi. “Renung: Metodologi Fikir Dalam Pencarian Makna.” The Independent Insight, 2023.

Falsafah-dan-Metodologi-Argumentasi-SocratesDownload
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana Tagged With: Falsafah, Metodologi Dialog, Socrates

Penghancuran Dunia Klasik Romawi & Yunani Oleh Agama Kristian

March 15, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Dalam Historiografi Astronomi, di bahagian akhir, saya ada menulis perihal minat pemerhatian saya untuk melihat dengan lebih teliti akan apa yang disebut sebagai zaman gelap.[1] Zaman gelap ini mempunyai pelbagai nama, ada sebahagian ahli sejarah moden yang menolak penggunaan terma “zaman gelap” kerana ia mempunyai konotasi negatif dan memberi satu bentuk pengadilan moral kepada sebuah period masa. Terma ini dilihat melambangkan perspektif pensejarahan zaman pencerahan yang telah lapuk dan tidak tepat.[2] Mereka menyarankan penggunaan terma yang kurang judgemental seperti zaman “pertengahan” atau “medieval”.

Namun buku yang saya berikan perhatian kali ini tidak bersetuju dengan perkara ini. Sebaliknya, penulisnya, iaitu Catherine Nixey memilih tajuk yang lebih sensasi iaitu The Darkening Age.[3] Bukan lagi zaman gelap, tetapi zaman penggelapan yang menggambarkan ia sebagai satu zaman yang memulakan satu proses pemadaman keilmuan, pemadaman ketamadunan, dan juga pemadaman pemikiran dan kebebasan hidup. Nixey tidak bersifat apologetik dalam polemik yang dibawakannya dalam buku ini, beliau tidak berselindung disebalik sebarang euphemism, beliau menulis dengan jelas dan keras tentang siapa yang menghancurkan dunia klasik orang-orang Romawi dan Yunani, bagi Nixey ia dihancurkan oleh agama Kristian.

Dalam satu aspek, saya turut merasakan bahawa penulisan Nixey tidak seimbang, ia hanya memaparkan sisi buruk Kristian dalam menghancurkan ketamadunan klasik dan mengetepikan sebarang kebaikan yang dibawa oleh agama Kristian. Saya kira pendekatan ini mirip dengan apa yang dikatakan oleh Robert Fisk, di mana dalam melaporkan sejarah, kita seharusnya memihak dan menulis tanpa apologetik tentang siapa sebenarnya yang bersalah. Kita tidak perlu menjadi seimbang dengan memaparkan pandangan kedua-dua belah pihak, sebaliknya kita harus sentiasa berpihak kepada golongan yang tertindas dan menjadi mangsa.[4]

Walaupun saya memahami pegangan pemikiran seperti ini, bahawa kita perlu berpihak, saya juga merasakan ia mempunyai kekurangan. Kekurangan utama dalam penulisan Nixey pada pandangan saya adalah generalisasi. Dengan menyalahkan kehancuran dunia klasik semuanya kepada Kristian, Nixey membuat generalisasi bahawa hanya terdapat satu jenis Kristian sahaja. Hanya ada satu sebab, dan sebab-sebab lain diketepikan. Namun jika kita mengikuti pandangan sarjana-sarjana yang mengkaji gerakan awal Kristian seperti Bart D. Ehrman, kita akan dapati bahawa sejak awal lagi, gerakan Kristian itu bukanlah satu tetapi mempunyai pelbagai aliran, pelbagai kefahaman dan bentuk. Kristian pada peringkat awal sangat rencam sehingga sarjana mengungkapkan mereka dengan menggunakan terma pluralistik. Ada Kristian yang percaya hanya ada 1 tuhan, ada yang percaya kepada 2 tuhan, ada yang percaya bahawa adanya 12 tuhan, malah ada yang berpegang bahawa adanya 365 tuhan. Namun, kebanyakan aliran ini akhirnya pupus. Aliran Kristian yang menang ini kemudian menulis semula sejarah, dan memadamkan sejarah aliran-aliran Kristian yang lain.[5]

Namun dari sudut lain, saya juga faham, bahawa ada ketikanya generalisasi diperlukan dalam meninjau sesuatu dalam sejarah. Sarjana seperti E.H. Carr sebagai contoh, mengatakan bahawa untuk sejarah berfungsi sebagai satu subjek yang dapat memberi manusia pengajaran, kita perlu melakukan generalisasi.[6] Jika sesuatu itu bersifat unik, maka ia tidak boleh memberi pelajaran, pastinya sesuatu yang unik itu hanya terjadi sekali sahaja dan ia tidak akan berulang lagi di masa hadapan. Dengan membuat generalisasi, kita akan mempermudahkan sesuatu keadaan menjadi sesuatu yang umum dan boleh terjadi lagi pada masa hadapan apabila keadaan-keadaan tertentu dikecapi. Ini akan membuka peluang kepada pelajaran dalam sejarah.

Pandangan Nixey Terhadap Sejarah

Nixey mengakui bahawa menulis sejarah adalah satu proses yang sukar, beliau memetik kata-kata Hilary Mantel bahawa sejarah bukanlah masa lalu, tetapi apa yang berbaki dalam penapis setelah ratusan tahun berlalu.[7] Masa adalah satu kuasa penghancur yang hebat, maka sejarah adalah cebisan-cebisan yang tertinggal setelah banjir masa berlalu. Maka cubaan untuk mencipta masa lalu adalah mustahil, kita hanya mampu memahami sebahagiannya sahaja berdasarkan sedikit kesan yang tertinggal.

Sejarah juga bukan perihal tarikh dan jangka masa yang tersusun seperti yang sering ditulis oleh ahli sejarah. Ahli sejarah selalu membahagikan jangka masa dengan terma-terma tertentu seperti zaman klasik, zaman gelap, zaman pencerahan, namun pembahagian ini sebenarnya lebih kepada alat bantu dan juga teknik minda untuk mempermudahkan peristiwa disusun, diingati, dan difahami. Apa yang berlaku sebenar tidak mengikuti pembahagian seperti yang ditulis oleh ahli sejarah dalam keadaan kemas dan tersusun. Sejarah adalah perihal manusia, oleh itu Nixey menulis pensejarahannya dengan cuba untuk mereka semula elemen-elemen kehidupan walaupun ini sememangnya tidak mungkin dapat diketahui dengan tepat seperti elemen-elemen emosi dan perasaan.

Tesis Utama Nixey

Buku tulisan Nixey ini hanya ingin memaparkan satu pandangan sahaja iaitu kehancuran dunia klasik Yunani dan Romawi adalah disebabkan oleh kemunculan agama Kristian. Bagaimana Kristian yang pada asalnya merupakan pecahan kepada agama Yahudi dapat menjadi agama yang begitu dominan pada ketika itu serta menghancurkan dunia klasik? Soalan ini adalah soalan yang penting kerana ia adalah inti utama pengkajian sejarah. Pengkajian sejarah adalah sebuah kejadian yang ingin mengkaji sebab musabab berlakunya sesebuah peristiwa.[8] Oleh itu, penentuan sebab kehancuran dunia klasik ini, adalah satu subjek pengkajian yang penting di sudut sejarah.

Pandangan tradisional mengatakan bahawa perkembangan agama Kristian dengan meluas adalah disebabkan agama Kristian membawakan doktrin bahawa adanya hidup selepas mati, ini memberikan sedikit ketenangan kepada manusia terutamanya bagi mereka yang kehilangan insan tersayang. Kedua, pandangan tradisional menyatakan bahawa ia merebak selepas Raja Konstantin memeluk Kristian, ini menjadikan golongan agamawan sebagai golongan yang tinggi status sosialnya, juga mereka mendapat laba yang banyak hasil dukungan politik dari Empayar Rom pada ketika itu. Walaupun Nixey memperakui kebenaran penyebaban tradisional ini, beliau menolaknya sebagai kebenaran yang menyeluruh. Bagi Nixey apa yang berlaku adalah peperangan. Dunia klasik dengan fahaman pagan dianggap sebagai sebuah kegelapan oleh agama Kristian, kegelapan yang diketuai oleh syaitan, dan ia perlu diperangi.[9] Walaupun ahli sejarah moden sering mengabaikan faktor syaitan kerana ia dianggap sebagai sebab yang memalukan, bagi Nixey, ia perlu diberikan perhatian yang serius kerana gerakan awal Kristian tidak memahami syaitan secara metaforikal, tetapi syaitan dianggap sesuatu yang benar dan wujud secara literal.[10]

Menurut Nixey, kepercayaan pagan pada zaman klasik tidak mempunyai masalah dengan tuhan yang berbeza. Jika sesuatu kaum mempunyai tuhan mereka sendiri, semasa zaman pemerintahan Rom, tuhan baharu ini akan ditambah ke dalam senarai tuhan-tuhan sedia ada. Namun menurut pandangan Nixey, Kristian tidak mempunyai sikap ini. Penyembahan tuhan lain dianggap satu perlakuan bersekongkol dengan syaitan, ia sama sekali tidak dapat diterima.[11] Pada mulanya, sikap tidak bertoleransi ini hanya diungkapkan oleh penceramah-penceramah Kristian, namun, lama-kelamaan ia mula didengari dan diikuti oleh orang kebanyakan, maka proses Kristianisasi bermula.[12]

Penolakan Dunia Klasik Terhadap Kristian

Apabila Kristian mendominasi Empayar Rom, penolakan terhadap mereka bukan sahaja berjaya dikalahkan, malah ia dipadamkan oleh penulisan pensejarahan Kristian. Ini menatijahkan banyak kesimpulan yang salah di masa hadapan bahawa penyebarannya diterima dengan meluas pada peringkat awal tanpa sebarang tentangan. Antara penulis awal yang mengkritik Kristian adalah Celsus, walaupun kesuluruhan tulisan Celsus dipadamkan dan bukunya diharamkan. Penulisannya terpelihara dari tulisan kritikan balas yang dibuat Origen terhadapnya iaitu Contra Celsum. Di dalamnya, Origen menulis semula tulisan Celsus dan mengkritiknya perenggan demi perenggan, buku Origen ini akhirnya menyelamatkan sebahagian tulisan Celsus dari hilang ditelan zaman.

Celsus mengkaji Kristian dengan mendalam sebelum mengkritiknya. Apabila membaca Kitab Perjanjian Lama, Celsus menyimpulkan bahawa ianya adalah “utter trash”.[13] Bagi Celsus, Kristian bukan sahaja tidak masuk akal, tetapi beliau bimbang bahawa agama yang dianggapnya tidak cerdik ini akan tersebar dan merosakkan Rom. 1,500 tahun selepas Celsus, kerisauannya ini diperakui oleh Edward Gibbon yang menyimpulkan bahawa keruntuhan Empayar Rom adalah disebabkan oleh agama Kristian.[14] Walaupun penulisan sejarah Rom pada peringkat awal menunjukkan kebencian mereka kepada agama Kristian, bagi ahli sejarah moden, penulisan mereka sangat penting. Hal ini kerana, dalam metodologi sejarah moden, kepelbagaian sumber diperlukan sebagai verifikasi kebenaran sesuatu peristiwa. Jika peristiwa yang sama ditulis oleh dua pihak yang berlawanan, maka ahli sejarah dapat menentukan dengan keyakinan yang tinggi bahawa peristiwa itu memang berlaku.

Ahli sejarah Rom, Tacitus, sebagai contoh, menulis bahawa “seorang bernama Christus telah dihukum bunuh oleh gabenor Pontius Pilatus di zaman Tiberius berkuasa”. Penulisan Tacitus ini sangat penting, walaupun Tacitus sendiri tidak menyukai Kristian. Tulisan Tacitus ini merupakan satu-satunya tulisan dari sumber sejarah bukan Kristian pada zaman tersebut yang menulis tentang peristiwa ini, iaitu peristiwa pembunuhan Jesus yang menjadi permulaan kepada gerakan Kristian.[15] Walaupun orang-orang Rom pada peringkat permulaan tidak menyukai Kristian, seperti Tacitus, menurut Nixey, penguasa Rom tidak berhasrat untuk menindas mereka. Sebaliknya mereka menentang Kristian kerana tidak mahu keadaan aman terganggu. Sebagai contoh, pertembungan awal antara orang Rom dan Kristian seperti yang difahami dari penulisan Pliny, bukan merupakan pertembungan agama. Sebaliknya merupakan usaha Pliny sebagai gabenor untuk menjaga undang-undang dan keamanan.[16]

Perang Ke Atas Buku dan Perpustakaan

Selain memusnahkan kuil dan juga patung-patung tuhan dunia klasik, bahagian yang paling menyayat hati dan memberikan luka yang paling dalam pada saya secara peribadi adalah penghancuran buku, ilmu, perpustakaan, dan khazanah tamadun manusia. Menurut Nixey, puluhan ribu buku hilang apabila Kristian mendominasi dunia klasik. Buku-buku yang sebelum ini menjadi kebanggaan perpustakaan kuno tidak muncul kembali selepas kehilangannya. Namun Nixey tidak begitu yakin bahawa semuanya dimusnahkan oleh Kristian, beliau menulis bahawa “mungkin” ia telah dibakar. Beliau memetik pandangan sarjana seperti Luciano Canfora yang menyatakan bahawa pembakaran buku merupakan sebahagian dari penguasaan Kristian, kerana buku-buku biasanya disimpan di kuil. Dalam kata lain, peperangan yang dilancarkan Kristian terhadap kebudayaan dunia klasik adalah peperangan ke atas perpustakaan. Penghapusan buku-buku ini dikesali oleh sejarawan seperti Edward Gibbon yang mengatakan bahawa ia adalah kehilangan yang sangat besar terutamanya bagi golongan yang tidak menyimpan sebarang prejudis terhadap agama.[17]

Kehilangan karya-karya dari dunia klasik mungkin ditangisi oleh Gibbon dan banyak sarjana moden, tetapi bagi Nixey, ia tidak ditangisi oleh kuasa Kristian yang menghancurkannya. Malah mereka bergembira dengan penghancuran keilmuan ini, Nixey memetik tulisan John Chrysostom yang menyatakan bahawa tulisan orang Yunani semuanya telah pupus dan berjaya dihancurkan. Di mana tulisan Plato? tanya Chrysostom secara retorik. Tiada, walhal kata-kata Paul berada dalam mulut setiap manusia ujar Chrysostom.[18] Dalam merayakan kehancuran dunia klasik, Chrysostom juga menghiasi tulisannya dan pandai menggunakan perkataan untuk memberi makna yang berlainan. Contohnya orang-orang pagan yang suka bergembira dan berfestival, apabila kebudayaan mereka berjaya dipadamkan, Chrysostom menulis bahawa tyranny of joy telah berjaya dihancurkan. Di sini kita melihat bagaimana untuk memperlihatkan sesuatu yang buruk sebagai baik, Chrysostom memutar belit makna perkataan, kegembiraan dikaitkan dengan tirani dan penindasan.[19]

Walaupun tidak semua buku dibakar semasa zaman Kristian, Nixey membawakan beberapa contoh di mana buku dibakar atas sebab-sebab agama. Zachariah of Mytilene sebagai contoh ada mengarahkan seorang lelaki yang dijumpainya untuk membakar buku dan sebahagian dari perpustakaannya untuk membersihkan dirinya dari syaitan. Hal ini bukan terhenti setakat apa yang berlaku antara orang awam. Kuasa negara turut digunakan, contohnya Raja Konstantin telah mengarahkan buku-buku yang ditulis oleh Arius dibakar kerana dianggap sesat dan heretik. Malah sesiapa yang didapati menyorokkan buku heretik akan dijatuhkan hukuman bunuh.[20]

Bahan-bahan bacaan dan tulisan orang-orang pagan bukan sahaja dibakar, malah menurut Nixey, ia telah disekat. Censorship merupakan alat yang digunakan oleh Kristian untuk memastikan tulisan mereka terutamanya perihal hal-hal agama Kristian mencapai supremasi. Nixey memberi contoh seperti apa yang ditulis oleh Basil of Caesarea yang mempertahankan censorship, bagi Basil ia bukan dilakukan untuk menyekat kebebasan berfikir, tetapi dilakukan untuk menjaga kesucian jiwa manusia. Dalam kata lain, ia dilakukan atas dasar kasih sayang. Namun bagi Nixey, alasan Basil ini adalah mengarut.[21] Menurut Nixey, Kristian meraikan kejahilan. Golongan intelektual dianggap heretik, beliau memberi contoh gerakan Gnosticism yang mengambil nama mereka dari perkataan Yunani “gnostic” yang bermaksud ilmu, gerakan ini telah diisytiharkan sebagai menyeleweng (heretik).[22]

Kemenangan Kristian dan Kelahiran Historiografi Baru

Walaupun Nixey banyak memetik Gibbon di dalam bukunya, namun beliau mempunyai pandangan yang berbeza dari Gibbon tentang orang-orang pagan. Bagi Gibbon, orang-orang pagan tidak begitu mempercayai agama dan tuhan mereka, oleh itu mereka menerima agama Kristian.[23] Namun bagi Nixey, hal ini tidak benar, orang-orang pagan menurut beliau mengambil serius akan hal-hal agama dan kepercayaan mereka. Namun pandangan Nixey ini tidak mendominasi penulisan sejarah. Hal ini kerana sejarah ditulis oleh orang yang menang, dan bagi Nixey, kemenangan Kristian adalah mutlak (absolute). Historiografi kristian kemudian menjadi dominan dan mendominasi penulisan sejarah lebih dari satu millennium. Sejarah dan kesengsaraan orang-orang pagan sering diperkecilkan dan disisihkan. Sejarah permulaan Kristian hampir kesemuanya hanya bersumberkan sumber-sumber Kristian. Walaubagaimanapun, sekiranya seseorang itu cuba melihat period masa ini dari perspektif sumber bukan Kristian, menurut Nixey, perspektif lain akan muncul. Bukan lagi gambaran mudah yang penuh kegembiraan, sebaliknya apa yang berlaku adalah paksaan untuk menukar agama dan juga penindasan kerajaan.[24]

Bagi Nixey, keganasan yang dilakukan dengan pemusnahan kuil dan patung-patung tuhan yang dibuat secara terang-terangan menyebabkan masyarakat menjadi takut untuk kekal bersama agama asal mereka. Nixey memetik penulisan-penulisan orang-orang Rom seperti Libanius dan Themistius yang mengkritik keganasan yang dilakukan orang-orang Kristian. Bagi mereka, memaksa orang menukar agama menggunakan ketakutan tidak bermakna kerana hati mereka yang dipaksa tidak berubah, apa yang diperlukan adalah toleransi.[25]

Kemusnahan Falsafah Yunani

Meskipun penulis Kristian seperti Chrysostom mengisytiharkan bahawa tulisan orang Yunani berjaya dihancurkan, hal ini bukanlah sebuah fakta yang berpijak di bumi realiti yang nyata. Sebaliknya, ia lebih berbentuk retorika. Sebahagian penulisan orang Yunani berjaya sampai ke zaman moden, termasuklah Plato. Falsafah orang Yunani bersifat rencam dan pelbagai, antaranya adalah falsafah stoik. Walaupun Nixey tidak menulis secara langsung perihal falsafah stoik, atau tokoh-tokohnya seperti Zeno dan Seneca, saya kira falsafah ini ada disentuh melalui puisi Horace.

“Quam minimum credula postero, carpe diem”.

Jangan dipercayai hari esok melainkan hanya sedikit tulis Horace, sebaliknya hiduplah untuk hari ini. Saya bersetuju dengan Nixey dalam hal ini, bahawa puisi Horace ini sangat elegan.[26] Bagi saya puisi ini bukan sahaja elegan, malah ia membawakan nilai falsafah stoik yang sangat tinggi. Tentang bagaimana untuk hidup dengan bahagia, kita perlu menikmati masa sekarang bukan asyik merisaui apa yang bakal berlaku, atau mengenang peristiwa yang telah berlalu. Pemikiran seperti ini versi moden mungkin boleh kita samakan dengan apa yang ditulis oleh Eckhart Tolle perihal “kuasa sekarang”, manusia yang bahagia adalah manusia yang sedar dia hidup sekarang, bukan semalam atau esok hari.[27]

Nixey menutup bukunya dengan kisah penutupan sekolah falsafah Yunani iaitu Akademi Athen pada zaman pemerintahan Raja Justinian. Beliau telah membuat undang-undang mengharamkan pengajaran sebarang doktrin pagan. Undang-undang ini sangat signifikan kerana ia memadamkan tradisi falsafah Yunani. Akademi Athen terpaksa ditutup, dan ahli falsafahnya yang terakhir iaitu Damascius terpaksa meninggalkan Athen yang menjadi pusat falsafah dunia pada ketika itu. Bagi Edward Gibbon, kerosakan yang dibawa oleh Kristian terhadap falsafah ini jauh lebih teruk dari serangan orang-orang Barbarian ke atas Empayar Rom.[28]

Damascius merupakan seorang ahli falsafah yang cekal dan tidak mudah berputus asa. Akibat dari sikap Raja Justinian yang telah menutup pintu kepada falsafahnya, dia akhirnya keluar dan mencari rumah baharu bagi falsafahnya. Beliau mengambil keputusan untuk berlindung dalam Empayar Parsi di bawah Raja Khosrow. Walaupun perjalanan ke Parsi sukar dan jauh, Damascius tidak berputus asa, baginya apa yang paling penting adalah kebenaran, ketakutan atau kesusahan tidak boleh diberi keutamaan melebihi kebenaran, dan Damascius berazam untuk menyelamatkan falsafahnya yang dianggap benar.[29]

Di akhir bukunya, Nixey memetik kata-kata dan pemerhatian oleh seorang pengembara Arab dan pencatat sejarah berkenaan dengan apa yang menimpa Empayar Rum. Pengembara tersebut adalah al-Mas’udi. Beliau menulis:

“Pada peringkat awal Empayar Rom, sains dan keilmuan dihargai dan mendapat penghormatan yang tinggi. Dari asas yang kukuh dan hebat, ia dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi setiap hari. Hinggalah Kristian muncul, ia membawa kemusnahan yang dahsyat kepada bangunan ilmu, tinggalan ilmu hilang dan jalan-jalan keilmuan dimusnahkan”.

Pemerhatian Mas’udi ini sangat menarik sekali. Beliau sendiri bukanlah insan sebarangan, kitabnya, The Meadows of Gold menjadi sumbangan yang besar pada sejarah. Tulisan dan historiografi al-Mas’udi ada dipuji dan dikritik oleh sejarawan lain, contohnya dalam Muqaddimah, Ibnu Khaldun mengkritik dengan panjang lebar dalam bab-bab pengenalan perihal penulisan sejarah yang sekadar mengulang apa yang mereka dapati dari sumber mereka tanpa sebarang saringan, antara tulisan yang dikritiknya termasuklah tulisan al-Mas’udi.[30]

Kesimpulan

Bagi Nixey, memori orang-orang yang merasa takut dengan penyebaran agama Kristian yang tidak toleran akhirnya tidak diingati oleh sejarah. Begitu juga dengan para ahli falsafah yang bertarung untuk menyelamatkan pemikiran mereka. Nixey ingin membawakan semula pandangan orang-orang yang merasa jijik dengan sikap tidak toleran Kristian yang menghancurkan kuil mereka dan membakar buku-buku mereka. Nixey mahu melawan naratif bahawa semua orang pada zaman klasik menerima dan bergembira dengan kemenangan Kristian.[31] Sebaliknya ada mangsa yang sejarahnya dipadamkan dan kisah mereka tidak diketengahkan. Nixey ingin mengangkat semula suara mereka.

Bagi saya, tulisan Catherine Nixey ini boleh dikatakan sebagai tulisan sejarah aliran revisionist. Ia ingin mencabar naratif pensejarahan tradisional yang banyak mengutamakan pandangan dan sumber-sumber Kristian. Nixey ingin mengetengahkan suara golongan yang kalah. Walaubagaimana pun, saya merasakan tulisan Nixey ini tidaklah berbentuk sejarah yang objektif secara keseluruhan kerana beliau memilih untuk memihak dan bersifat bias. Nixey pada saya tidak berselindung dan menyatakan posisinya sejak awal lagi. Berpihak atau tidak, objektif atau tidak, saya tetap merasakan bahawa ia adalah satu penulisan yang baik, teliti, dan disertakan dengan bukti dan sumber-sumbernya. Ia berjaya menimbulkan perasaan sedih, marah, dan kecewa dalam diri pembaca. Dalam masa yang sama ia menyumbang kepada pengayaan sudut pandang sejarah perihal apa yang menyebabkan dunia klasik musnah.


[1] Syed Ahmad Fathi. “Historiografi Astronomi: Paradoks Dalam Pensejarahan Tamadun Barat.” Academia Book Review, 2023.

[2] Bridgette Byrd O’Connor. The “Dark Ages” Debate. World History Project.

[3] Catherine Nixey. The Darkening Age: The Christian Destruction of The Classical World. Pan Books, 2018.

[4] Robert Fisk interview by Harry Kreisler. Conversations with History: Foreign Correspondent in the Middle East. 8 Februari 2008.

[6] E. H. Carr. What is History? Penguin Books, 1964.

[7] Catherine Nixey. The Darkening Age, hlm. xxxvi.

[8] Syed Ahmad Fathi. Perihal Penyebaban Dalam Sejarah. Nota Pengajian Sejarah, 2023.

[9] Catherine Nixey. The Darkening Age, hlm. 8-9.

[10] Ibid., hlm. 14.

[11] Ibid., hlm. 21.

[12] Ibid., hlm. 23.

[13] Ibid., hlm. 25.

[14] Ibid., hlm. 31.

[15] Ibid., hlm. 55.

[16] Ibid., hlm. 70.

[17] Ibid., hlm. 88.

[18] Ibid., hlm. 165-166.

[19] Ibid., hlm. 208.

[20] Ibid., hlm. 157.

[21] Ibid., hlm. 144.

[22] Ibid., hlm. 148.

[23] Ibid., hlm. 98.

[24] Ibid., hlm. 100.

[25] Ibid., hlm. 116.

[26] Ibid., hlm. 178.

[27] Eckhart Tolle. The Power of Now: A Guide to Spiritual Enlightenment. Hodder & Stoughton, 2001.

[28] Catherine Nixey. The Darkening Age, hlm. 236.

[29] Ibid., hlm. 243.

[30] Ibn Khaldun, Franz Rosenthal (Translator), N. J. Dawood (Editor), Bruce B. Lawrence (Introduction). The Muqaddimah: An Introduction to History, The Classic Islamic History of the World. Princeton Classics, 2015.

[31] Catherine Nixey. The Darkening Age, hlm. 246.

Kehancuran-Dunia-Klasik-Romawi-dan-YunaniDownload
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Reviu Buku Tagged With: Dunia Klasik, Kristian, Rom, Yunani Kuno

  • « Previous Page
  • 1
  • …
  • 4
  • 5
  • 6
  • 7
  • 8
  • …
  • 20
  • Next Page »

Recent Posts

  • Rief Dedahkan Abang Koroy Terima Wang Hasil Mengemis
  • Masyarakat Malaysia Menjadi Semakin Rasis Ekstremis Akibat Kempen Kebencian Terhadap Rohingya Terus Ditiup
  • Strategi Perang Iran Dan Keberkesanan Serangan Peluru Berpandunya Ke Atas Pengkalan Tentera Amerika Syarikat Di Negara-Negara Teluk
  • Caste: The Origin of Our Discontents
  • Pelajaran Utama Dari Perang Amerika/Israel-Iran

Archives

Copyright © 2026 The Independent Insight