The Independent Insight

Giving truth a voice

  • Email
  • Facebook
  • Flickr
  • Instagram
  • Phone
  • Twitter
  • Vimeo
  • YouTube
  • Berita
  • Politik
  • Ekonomi
  • Teknologi
  • Reviu
    • Reviu Buku
    • Reviu Filem
    • Reviu Muzik
  • Rencana
  • Podcast
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami

Kesan Jenayah Yang Dilakukan Oleh Israel Pada Perang Oktober 2023 di Gaza Terhadap Hubungan Diplomatiknya Dengan Negara-Negara Lain

November 11, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Kekejaman ke atas bangsa Palestin bermula pada tahun 1947-1948 apabila militia-militia Zionis mula membakar kampung-kampung dan mengusir penduduk Palestin. Sebanyak 418 kampung Palestin telah dibakar dan dihancurkan oleh militia Zionis.[1] Di atas kemusnahan kampung-kampung inilah Israel ditubuhkan. Sejak dari itu, perang Israel ke atas bangsa Palestin tidak pernah berhenti. Kekejaman, pembunuhan beramai-ramai, peperangan, pengusiran, kolonialisasi, dan pelbagai jenayah lain terus dilaksanakan oleh Israel ke atas penduduk Palestin sehinggalah ke tahun 2023. Dari kekejaman Israel ini lahirlah pelbagai bentuk gerakan perjuangan pembebasan dalam kalangan rakyat Palestin. Hari ini, mungkin gerakan Islam Hamas lebih dikenali sebagai gerakan perjuangan pembebasan Palestin, namun sebenarnya terdapat gerakan-gerakan lain termasuklah dari gerakan kiri yang memperjuangkan pembebasan Palestin.[2] Pada 07 Oktober 2023, Hamas yang merupakan salah satu gerakan pembebasan Palestin telah melancarkan serangan ke atas Israel melalui laut, darat, dan udara.[3] Oleh kerana tidak mampu mengalahkan Hamas, tentera Zionis Israel telah mengebom penduduk awam di Gaza. Pengeboman Israel ke atas penduduk awam yang kebanyakannya adalah kanak-kanak ini telah mendapat kecaman dunia. Penulisan ini akan melihat bagaimana jenayah Israel ke atas Palestin terutamanya pada Perang Oktober 2023 mempengaruhi hubungan diplomatik Israel dengan negara-negara lain.

Pemutusan Hubungan Diplomatik Dan Penarikan Duta Negara

Negara pertama yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel disebabkan keganasan yang dilakukan di Gaza pada Oktober 2023 adalah Bolivia. Pada 31 Oktober 2023, Timbalan Menteri Luar Bolivia, Freddy Mamani berkata tindakan tersebut dilakukan sebagai penolakan dan kecaman terhadap tindakan agresif dan keterlaluan oleh tentera Israel di Gaza.

Tekanan diplomatik ke atas Israel ini diikuti oleh negara Chile apabila presidennya, Gabriel Boric telah memanggil semula dutanya dari Tel Aviv pada 31 Oktober 2023. Menurut Boric apa yang dilakukan oleh Israel di Gaza adalah pelanggaran kepada Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa yang tidak boleh diterima. Boric mengecam tindakan tentera Israel yang telah melakukan serangan dan hukuman kolektif terhadap penduduk Gaza.

Selepas Chile, negara lain yang memanggil semula duta mereka adalah Colombia. Presiden Gustavo Petro mengumumkan penarikan semula duta Colombia. Menurut beliau, Colombia tidak boleh terus bersama Israel jika mereka tidak menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan di Palestin.[4]

Negara Arab pertama yang memanggil semula duta mereka dari Israel adalah Jordan. Sejak tahun 1994, Jordan telah mengikat perjanjian damai dengan Israel. Pada 01 November 2023, Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi telah memanggil semula dutanya sebagai kecaman kepada pembunuhan penduduk awam di Gaza.[5] Selepas Jordan, Bahrain menjadi negara Arab kedua yang mengambil tindakan diplomatik. Pada 02 November 2023, Parlimen Bahrain dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa mereka telah memanggil pulang duta mereka dan memutuskan semua hubungan ekonomi dengan Israel. Duta Israel di Bahrain juga telah dihalau keluar. Bahrain menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel bermula pada tahun 2020 dalam siri perjanjian yang dikenali sebagai Abrahamic Accords.[6]

Negara Amerika Latin selepas Bolivia, Chile, dan Colombia yang mengenakan tindakan diplomatik ke atas Israel adalah Honduras. Pada 03 November 2023, Honduras telah memanggil semula dutanya, Roberto Martinez untuk mengadakan konsultasi dengan Presiden Xiomara Castro di Tegucigalpa perihal situasi kemanusiaan yang merungsingkan di Gaza yang berlaku pada penduduk Palestin.[7]

Pada 04 November 2023, Turki telah menarik semula dutanya dari Israel kerana keengganan Israel untuk menghentikan keganasannya di Gaza. Menurut kenyataan Menteri Luar Turki, dutanya Sakir Ozkan Torunlar telah dipanggil pulang atas tragedi kemanusiaan yang dilakukan oleh Israel di Gaza. Walaubagaimanapun, menurut Presiden Erdogan, pemutusan hubungan diplomatik sepenuhnya tidak dapat dilakukan.[8] Pada tarikh yang sama, Chad juga telah memanggil semula diplomatnya dari Israel. Dalam kenyataan Menteri Luar Chad, pegawai chargé d’affaires mereka di Israel telah dipanggil pulang. Chad dalam kenyataannya mengutuk pembunuhan orang awam yang tidak bersalah oleh Israel.[9]

Negara seterusnya yang memanggil semula duta dan misi diplomatik di Israel adalah Afrika Selatan. Kerajaan Afrika Selatan mengecam keras pengeboman Israel terhadap penduduk awam di Gaza sebagai satu jenayah “genocide”, iaitu satu usaha pembersihan etnik. Presidennya Khumbudzo Ntshavheni telah mengambil keputusan untuk memanggil semula semua diplomatnya dari Israel, beliau juga memberi amaran kepada duta Israel di Afrika Selatan atas tindak tanduknya. Sementara itu, rakyat Afrika Selatan telah berdemonstrasi di kedutaan Amerika Syarikat dan Israel di Pretoria dan Cape Town dan mendesak duta Israel diusir keluar dari Afrika Selatan.[10]

Gusar dengan keadaan ini, di mana Israel semakin hari semakin dipulau oleh negara-negara di seluruh dunia, perdana menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah mengumpulkan dan memanggil semua duta-duta negara luar di Israel pada 06 November 2023 di Tel Aviv. Netanyahu merayu agar negara-negara lain bersama-sama dengannya menyokong Israel.[11] Semasa ucapan Netanyahu mengajak dunia bersama Israel, mereka telah berjaya membunuh penduduk Palestin secara beramai-ramai. Menurut data dari Menteri Kesihatan di Gaza, pada 07 November 2023, Israel telah berjaya membunuh 10,022 orang manusia, dari angka ini 4,100 adalah kanak-kanak yang tidak berdosa.[12]

Pudarnya Sokongan Terhadap Israel di Amerika Syarikat

Perang yang dilancarkan kepada Gaza tidak boleh difahami sebagai hanya perang oleh Israel terhadap penduduk Palestin. Perang ini sebenarnya merupakan perang oleh Amerika Syarikat terhadap Palestin. Apabila perang Oktober 2023 bermula, Amerika Syarikat menghantar bom dan senjata setiap hari ke Israel. Menurut jurucakap Amerika Syarikat di Pentagon, Sabrina Singh, Amerika Syarikat tidak meletakkan apa-apa syarat ke atas senjata ini dan terpulang kepada tentera penjajahan Israel untuk menggunakannya sesuka hati mereka.[13] Sokongan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya terutamanya Eropah tidaklah menghairankan. Kerana Israel merupakan satu projek kolonial Eropah, oleh itu orang-orang Eropah merasakan Israel itu sebahagian dari mereka dan perlu dipertahankan. Namun pemikiran sempit kolonial ini sudah ketinggalan zaman, ia ditolak oleh keseluruhan dunia, bahkan rakyat di negara-negara Eropah sendiri menolaknya.

Di Amerika Syarikat sendiri, rakyat Amerika Syarikat telah berdemonstrasi secara luar biasa menolak sokongan Presiden Joe Biden kepada Israel. Pada 04 November 2023, seramai lebih 10,000 rakyat Amerika Syarikat telah berdemonstrasi di Freedom Plaza, Washington mendesak Presiden Joe Biden segera melakukan genjatan senjata dan menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan ke atas kanak-kanak Palestin di Gaza. Presiden Joe Biden telah digelar dengan nama barunya iaitu “Genocide Joe”, yang membawa maksud Joe si pembunuh beramai-ramai. Demonstran telah bersorak:

“Biden, Biden, you can’t hide! We charge you with genocide!”

“Hey hey! Ho ho! Genocide Joe has got to go!”[14]

Selain Washington, demonstrasi turut meletus di pelbagai ceruk di Amerika Syarikat. Di New York, ratusan demonstran dari gerakan Jewish Voice for Peace telah mengadakan demonstrasi di kawasan ikonik Statue of Liberty pada 06 November 2023 bagi menuntut genjatan senjata serta merta.[15] Mereka juga telah berdemonstrasi di Grand Central, New York pada 27 Oktober 2023 di mana peristiwa ini menyaksikan 350 orang aktivis mereka ditahan. Para aktivis membawa sepanduk “ceasefire now” dan “let Gaza live”.[16]

Pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel ke atas Gaza yang bermula pada Oktober 2023 juga menyaksikan pertembungan sengit antara solidariti Palestin melawan simpatisan apartheid Israel di kampus-kampus pengajian tinggi di Amerika Syarikat. Ratusan pelajar berdemonstrasi di Universiti Columbia, New York bagi menyatakan solidariti kepada Palestin dan mendesak agar penjajahan Israel ditamatkan.[17] Di Universiti Havard, 34 persatuan pelajar telah mengeluarkan kenyataan menyokong Palestin dan mengecam polisi rasisme apartheid yang diamalkan oleh Israel.[18]

Kerajaan Amerika Syarikat yang diperintah oleh Parti Demokrat yang diketuai “Genocide Joe” juga menghadapi masalah dari sudut politik. Ini kerana pakatan mereka bergantung kepada undi yang signifikan dari masyarakat Amerika berketurunan Arab. Sokongan masyarakat Arab Amerika terhadap “Genocide Joe” turun kepada hanya 29% pada tahun 2023 berbanding dari 74% pada tahun 2020 menurut Institut Arab Amerika. Penurunan ini disebabkan kekecewaan mereka terhadap polisi Joe Biden yang menyokong pembunuhan beramai-ramai Israel ke atas Gaza. Populasi Arab di Amerika Syarikat berjumlah 3.7 juta orang, dan undi mereka akan mempengaruhi kawasan-kawasan yang dipanggil “swing states” seperti Michigan, Ohio, dan Pennsylvania. Jika dikira bersama populasi Muslim di Amerika Syarikat, jumlah mereka adalah sekitar 7 juta orang. Jika situasi ini berterusan, “Genocide Joe” dijangka akan kalah teruk dalam Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat yang akan berlangsung pada 05 November 2024.[19]

Sokongan terhadap “Genocide Joe” bukan hanya menurun dikalangan bakal pengundinya. Malah terdapat pegawai-pegawai dalam pentadbirannya sendiri yang juga tidak menyokong polisi ketenteraan Amerika Syarikat kepada Israel. Pada peringkat awal perang, apabila Amerika Syarikat bersetuju menghantar senjata kepada Israel, Josh Paul yang merupakan direktor di Biro Hal Politik-Ketenteraan di Jabatan Negara Amerika Syarikat telah meletakkan jawatan sebagai protes. Menurut beliau tiada perbincangan yang menyeluruh dilakukan sebelum kerajaan memutuskan untuk menghantar senjata ke Israel. Hal ini berbeza dengan kes-kes lain di mana ada perbincangan menyeluruh sebelum senjata dibekalkan kepada negara luar.[20] Sebanyak lebih 1,000 pegawai yang bertugas di dalam Agensi Bantuan Kemanusiaan Amerika Syarikat (USAID) menandatangan gesaan agar genjatan senjata segera dilaksanakan. Mereka menuntut Israel diheret ke muka pengadilan dan penjajahan Israel ditamatkan.[21]

Dalam satu memo yang dibocorkan, diplomat Amerika Syarikat sendiri telah mengkritik pentadbiran “Genocide Joe” atas sokongan tidak berasas yang diberikan kepada Israel. Mereka mengutuk serangan kejam Israel ke atas Palestin.[22] Ini menunjukkan bahawa kepudaran sokongan terhadap Israel di Amerika Syarikat sebenarnya lebih besar dari apa yang disangkakan. Ini dapat dilihat dalam kalangan sentimen rakyat, pengundi, dan juga bibit-bibit kritikan yang mula keluar dari pegawai pentadbiran Amerika Syarikat sendiri. Suara rakyat Palestin juga kini sudah memasuki dewan-dewan kuasa di Amerika Syarikat. Walaupun suara mereka masih kecil jika dibandingkan dengan suara pro-Israel yang lebih kuat hasil dari lobi gerakan seperti AIPAC, ini merupakan satu perkembangan positif yang melihatkan sudah ada sedikit perubahan dalam dewan-dewan kuasa. Suara Palestin di US House of Representatives dibawa oleh Rashida Tlaib yang mewakili Michigan. Suara beliau sangat ditakuti sehingga dewan di Amerika Syarikat pada 07 November 2023 meluluskan usul agar beliau dikecam (censure).[23] Kecaman ini hanya membuktikan bahawa lobi pro-Israel di Amerika Syarikat mula kehilangan pengaruh, suara-suara Palestin yang tumbuh terpaksa dihalang dengan kuasa. Namun ini hanya akan menyebabkan orang mula bersimpati dengan Palestin, mereka akan melihat bagaimana kuasa digunakan untuk menutup jenayah perang. Situasi ini hanya akan menyebabkan suara Palestin semakin kuat dan berkembang. Lebih kuat kuasa yang menindasnya, maka lebih kuat reaksi penentangan akan berlangsung.

Reaksi Negara-Negara Lain Ke Atas Israel

Selain tindakan diplomatik yang jelas seperti pemutusan hubungan dan penarikan duta. Jenayah pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel kepada Gaza turut mendapat reaksi dari negara-negara dunia. Tindakan ketenteraan Israel ke atas penduduk Palestin di Gaza mendapat sokongan yang kuat dari Amerika Syarikat. Amerika bukan sahaja membekalkan senjata kepada Israel, tetapi memberikan perlindungan diplomatik kepada Israel dalam forum antarabangsa. Amerika Syarikat menolak sebarang usaha genjatan senjata bagi membenarkan Israel terus membunuh kanak-kanak di Gaza.[24] “Genocide Joe” malah meminta tambahan 14.3 billion Dollar dari duit cukai rakyat Amerika Syarikat untuk membantu Israel membunuh rakyat Gaza.[25] 

Namun sokongan Amerika Syarikat ini mula menampakkan tentangan dari beberapa negara Barat yang secara tradisinya menyokong dan bersekutu dengan Amerika Syarikat. Parlimen Wales sebagai contoh telah mengutuk serangan di Gaza dan mendesak agar genjatan senjata segera dibuat.[26] Desakan ini bertentangan dengan posisi Amerika Syarikat yang mahukan Israel terus membunuh rakyat Palestin.

Menteri Hak Sosial Sepanyol, Ione Belarra menggesa Israel dikenakan sekatan (sanction) atas jenayah pembunuhan beramai-ramai terancang (planned genocide) yang dilaksanakannya.[27] Gesaan Belarra ini diikuti dengan gesaan yang sama oleh Timbalan Perdana Menteri Belanda, Petra De Sutter. Beliau menggesa sekatan dikenakan ke atas Israel dan siasatan hendaklah dijalankan atas tindakan Israel mengebom hospital dan kem pelarian. Menurut De Sutter pengeboman Israel ini tidak berperikemanusiaan dan jelas Israel tidak peduli gesaan masyarakat antarabangsa yang mahukan genjatan senjata segera dilaksanakan.[28] Malah sokongan Israel semakin merosot hingga Belgium dan beberapa negara Eropah lain sedang mempertimbangkan dasar untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.[29]

Walaupun pada mulanya, sekutu-sekutu Amerika Syarikat di Barat, sama-sama berkokok bahawa “Israel has the right to defend itself”, konsensus ini semakin lama semakin goyah. Imej kematian kanak-kanak yang keluar telah memuncakkan perasaan penduduk dunia. Protes besar-besaran berlangsung di bandar-bandar besar Eropah. Konsensus ini akhirnya pecah apabila Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada 11 November 2023 berkata dalam satu temu ramah bahawa “Israel perlu berhenti membunuh bayi dan perempuan”. Macron menyatakan bahawa pembunuhan yang dilakukan Israel tidak dapat dijustifikasikan dan beliau menggesa segera dilakukan genjatan senjata. Seruan ini bertentangan dengan posisi “Genocide Joe” yang mahukan Israel meneruskan kekejaman penjajahannya. Di sini kita melihat, sekutu Amerika Syarikat sendiri sudah tidak dapat bertahan dengan tekanan domestik dan antarabangsa. Ini akan membawa kepada isolasi Israel dan Amerika Syarikat secara keseluruhan di arena antarabangsa.[30]

Israel Merasai Tekanan Antarabangsa

Semua tekanan antarabangsa ini dirasai oleh Israel, dalam satu analisis yang ditulis oleh Amos Harel dalam Haaretz pada 09 November 2023, beliau menyatakan bahawa penjajahan Israel ke atas Gaza pada Perang Oktober 2023 perlu berlumba dengan tekanan masyarakat antarabangsa. Hamas menurut beliau, melihat kepada mobilisasi Israel secara besar-besaran memilih strategi menunggu di dalam terowong mereka.[31] Strategi Hamas ini ada logiknya kerana mereka akan mempunyai kelebihan dalam perang jangka masa panjang. Selain tekanan antarabangsa yang kian memuncak semakin lama Israel meneruskan penjajahan, Israel juga mengalami tekanan ekonomi. Anggaran yang dibuat oleh Kementerian Kewangan Israel, kos peperangan dijangka berjumlah 200 billion Shekels bersamaan dengan 51 billion Dollar. Anggaran ini dibuat dengan anggapan perang tidak melebihi 1 tahun dan perang tidak merebak ke kawasan-kawasan lain.[32]

Selain dari tekanan antarabangsa dan ekonomi, Israel juga berhadapan dengan tekanan domestik. Angka kematian yang ramai akan menyebabkan perang yang dilancarkan oleh Israel semakin tidak popular dikalangan rakyatnya sendiri. Berbanding dengan peperangan pada tahun 2014, perang yang bermula pada Oktober 2023 menyaksikan korban tentera Israel naik mendadak sebanyak dua kali ganda. 67 tentera Israel mati semasa perang 2014 yang berlangsung selama 7 minggu. Manakala pada Perang Oktober 2023, Israel merekodkan kematian 26 tentera hanya dalam masa satu minggu.[33] Angka ini bagaimanapun tidak tepat sepenuhnya kerana Israel tidak mengesahkan banyak kematian, angka sebenar kemungkinan jauh lebih tinggi. Pada 10 November 2023, angka kematian tentera penjajahan Israel yang diumumkan meningkat kepada 38 orang.[34] Peningkatan angka kematian tentera setiap hari akan memberi tekanan domestik kepada Israel untuk menghentikan penjajahan di Gaza.

Rumusan

Menurut John Mearsheimer, Israel tidak mungkin akan dapat mengalahkan Hamas.[35] Perang gerila menggunakan terowong akan memberikan banyak kelebihan pada Hamas, dan menatijahkan korban yang sangat banyak kepada tentera Israel. Sekali pun Israel berjaya memusnahkan kebolehan ketenteraan Hamas, mereka tidak akan dapat menghapuskan Hamas kerana Hamas adalah idea pembebasan. Penghapusan Hamas hanya akan melahirkan Hamas 2.0 dan seterusnya. Ia tidak akan berhenti sehingga penjajahan terhenti dan hak mereka dikembalikan. Penulisan ini telah meninjau bagaimana pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Gaza memberikan implikasi buruk pada Israel di dalam arena diplomasi antarabangsa. Sokongan terhadap Israel oleh sekutu tradisi mereka iaitu Amerika Syarikat juga semakin hari semakin terhakis. Tanpa Amerika Syarikat, Israel akan jatuh dengan cepat seperti mana runtuhnya kerajaan boneka di Afghanistan dalam hanya beberapa jam selepas Amerika Syarikat meninggalkannya. Israel akan semakin terisolasi dan hilang sekutu-sekutu tradisi mereka. Dari analisa ini, dapatlah kita fahami bahawa kejatuhan Israel itu pasti. Cuma yang belum pasti adalah garis masa tentang bila ia akan berakhir.

Nota: Tulisan ini diterbitkan pada 11 November 2023. Pada ketika ini perang antara Hamas dan Israel masih berterusan dan memasuki hari yang ke-35. Setakat artikel ini ditulis, perang ini masih berlangsung dan pastilah banyak lagi perkara yang akan terjadi dan tidak dimuatkan dalam penulisan kali ini. Data-data harian seperti jumlah rakyat Palestin yang dibunuh Israel dan juga jumlah askar Israel yang terbunuh dalam pertempuran pasti akan meningkat setiap hari.


[1] Walid Khalidi. All That Remains: The Palestinian Villages Occupied and Depopulated by Israel in 1948. Berkeley: University of California Press, 1991. Senarai 418 kampung yang dimusnahkan oleh militia Zionis boleh dilihat di laman web Palestine-Israel Journal. Pautan: https://pij.org/articles/224/the-418-destroyed-villages-of-palestine

[2] Syed Ahmad Fathi. “Perjuangan Palestin Daripada Sisi Golongan Kiri.” Neo-Melayu, 2021.

[3] Muhammad Fauzi Asmuni. “Taufan Al-Aqsa: Perubahan Kedudukan Kuasa Palestin-Israel”. ISMA, 09 Oktober 2023. Pautan: https://isma.org.my/taufan-al-aqsa-perubahan-kedudukan-kuasa-palestin-israel/

[4] Antoinette Radford. “Bolivia severs diplomatic ties with Israel over Gaza war”. BBC, 01 November 2023. Pautan: https://www.bbc.com/news/world-latin-america-67281584

[5] “Jordan recalls ambassador to Israel to protest Gaza ‘catastrophe’.” Aljazeera, 01 November 2023. Pautan: https://www.aljazeera.com/news/2023/11/1/jordan-recalls-ambassador-to-israel-to-protest-gaza-catastrophe

[6] Sneha Swaminathan. “After Jordan, Bahrain recalls ambassador to Israel, cuts economic ties”. WION, 02 November 2023. Pautan: https://www.wionews.com/world/after-jordan-bahrain-recalls-ambassador-to-israel-cuts-economic-ties-654405

[7] “Honduras recalls ambassador to Israel, following Chile and Colombia’s lead” Buenos Aires Herald, 03 November 2023. Pautan: https://buenosairesherald.com/world/international-relations/honduras-recalls-ambassador-to-israel-following-chile-and-colombias-lead

[8] Brian Bushard. “Turkey Latest Pulling Ambassador From Israel — Joining These 6 Other Countries”. Forbes, 04 November 2023. Pautan: https://www.forbes.com/sites/brianbushard/2023/11/04/turkey-latest-pulling-ambassador-from-israel—joining-these-6-other-countries/?sh=69e4848411b1

[9] David McKenzie, Sarah Dean, Joseph Ataman and Maya Szaniecki. “South Africa and Chad recall diplomats from Israel”. CNN, 06 November 2023.

[10] Mogomotsi Magome. “South Africa recalls ambassador and diplomatic mission to Israel and accuses it of genocide in Gaza”. AP News, 06 November 2023. Pautan: https://apnews.com/article/south-africa-israel-palestine-diplomats-withdraw-7a1a0ab8524a8d35fa05c1215766853c

[11] “WATCH: Netanyahu to foreign ambassadors: ‘There is no substitute for victory. We will defeat Hamas. We will dismantle Hamas.’” All Israel News, 06 November 2023. Pautan: https://allisrael.com/netanyahu-to-foreign-ambassadors-there-is-no-substitute-for-victory-we-will-defeat-hamas-we-will-dismantle-hamas

[12] Najib Jobain, Jack Jeffery and Lee Keath. “Israeli forces cut off north Gaza to isolate Hamas as an advance on the urban center looms”. AP News, 06 November 2023. Pautan: https://apnews.com/article/israel-hamas-war-news-11-6-2023-51286d15dddd77ae0dd7ea76ee52bc71

[13] “Pentagon says US sending almost daily weapons shipments to Israel” The Times of Israel, 30 Oktober 2023. Pautan: https://www.timesofisrael.com/liveblog_entry/pentagon-says-us-sending-almost-daily-weapons-shipments-to-israel/?fbclid=IwAR27FZwLNCj3y82nIQzgIv5iNbGzfAWZsT15wW79Ik9sN2K-tK9XOda3Sjg

[14] Jack Crosbie. “‘Genocide Joe’: Massive D.C. Cease-Fire Protest Directs Its Rage at Biden”. Rolling Stone, 05 November 2023. Pautan: https://www.rollingstone.com/politics/politics-features/palestine-protest-dc-directs-rage-joe-biden-1234870593/

[15] “JVP took over the Statue of Liberty to demand a ceasefire”. Jewish Voice for Peace, 07 November 2023. Pautan: https://www.jewishvoiceforpeace.org/2023/11/07/wire-statue-of-liberty/

[16] “Shut it down: JVP’s Grand Central action demanding ceasefire generated wall-to-wall coverage”. Jewish Voice for Peace, 30 Oktober 2023. Pautan: https://www.jewishvoiceforpeace.org/2023/10/30/shut-it-down-grand-central-coverage/

[17] Kayla Epstein. “Israel and Gaza on campus: Tumult at US colleges as two sides dig in”. BBC, 16 Oktober 2023. Pautan: https://www.bbc.com/news/world-us-canada-67114291

[18] “Harvard students blame ‘apartheid regime’ for Israel-Gaza war, alumni react”. Aljazeera, 10 Oktober 2023. Pautan: https://www.aljazeera.com/news/2023/10/10/harvard-students-blame-apartheid-regime-for-israel-gaza-war-alumni-react

[19] Darren Lyn. “Crisis for US Democrats as Arab American voters ditch Gaza ‘genocide accomplice’ Biden”. Anadolu Agency, 06 November 2023. Pautan: https://www.aa.com.tr/en/americas/crisis-for-us-democrats-as-arab-american-voters-ditch-gaza-genocide-accomplice-biden/3045299#

[20] Syed Ahmad Fathi. “Josh Paul Meletakkan Jawatan Kerana Tidak Mahu Amerika Syarikat Menghantar Senjata Ke Israel Bagi Membunuh Rakyat Gaza.” Isu Semasa, 2023.

[21] Ali Harb. More than 1,000 USAID employees sign letter backing Israel-Gaza ceasefire. Aljazeera, 08 November 2023. Pautan: https://www.aljazeera.com/news/2023/11/8/more-than-1000-usaid-employees-sign-letter-backing-gaza-ceasefire

[22] “New leaked memo sees US diplomats call for ceasefire in Gaza and public criticism of Israel”. The New Arab, 07 November 2023. Pautan: https://www.newarab.com/news/us-diplomats-call-gaza-ceasefire-criticism-israel

[23] Clare Foran, Melanie Zanona, Annie Grayer and Morgan Rimmer. “House passes resolution to censure Tlaib over Israel comments”. CNN, 08 November 2023. Pautan: https://edition.cnn.com/2023/11/07/politics/rashida-tlaib-censure-vote/index.html

[24] “Blinken rejects push by Arab states for immediate Gaza ceasefire”. Aljazeera, 05 November 2023. Pautan: https://www.aljazeera.com/program/newsfeed/2023/11/5/blinken-rejects-push-by-arab-states-for-immediate-gaza-ceasefire

[25] Farrah Hassen. “Americans Want A Ceasefire. It’s Our Politicians Who Are Out Of Touch”. Foreign Policy in Focus. 08 November 2023. Pautan: https://fpif.org/americans-want-a-ceasefire-its-our-politicians-who-are-out-of-touch/

[26] David Deans. “Gaza: Welsh Parliament calls for ceasefire”. BBC, 09 November 2023. Pautan: https://www.bbc.com/news/uk-wales-politics-67357824

[27] Graham Keeley. “Spain’s Ione Belarra: Israel must end ‘genocide’ of Palestinians in Gaza”. Aljazeera, 08 November 2023. Pautan: https://www.aljazeera.com/news/2023/11/8/deafening-silence-spanish-minister-calls-on-europe-to-sanction-israel

[28] “Belgium wants sanctions against Israel for Gaza bombings – deputy PM”. Middle East Monitor, 08 November 2023. Pautan: https://www.middleeastmonitor.com/20231108-belgium-wants-sanctions-against-israel-for-gaza-bombings-deputy-pm/

[29] Safaa Kasraoui. “Belgium Considers Recognizing State of Palestine, Vows Sanctions Against Israel”. Morocco World News, 09 November 2023. Pautan: https://www.moroccoworldnews.com/2023/11/358862/belgium-considers-recognizing-state-of-palestine-vows-sanctions-against-israel

[30] “Macron calls on Israel to stop killing Gaza’s women and babies”. BBC, 11 November 2023. Pautan: https://www.bbc.com/news/world-europe-67356581

[31] Amos Harel. “As Israeli Troops Push Into Gaza City, the International Clock Is Ticking”. Haaretz, 09 November 2023. Pautan: https://www.haaretz.com/israel-news/2023-11-09/ty-article/.premium/as-israeli-troops-push-into-gaza-city-the-international-clock-is-ticking/0000018b-b089-df42-a78f-bdcb20530000

[32] Abdel Ra’ouf Arnaot. Initial cost of Gaza war for Israel amounts to $51B: Report. Anadolu Agency. 05 November 2023. Pautan: https://www.aa.com.tr/en/middle-east/initial-cost-of-gaza-war-for-israel-amounts-to-51b-report/3044401

[33] Hamas Has Deadlier Weapons Than the Last Time Israel Invaded Gaza. The Wall Street Journal, 06 November 2023. Pautan: https://www.wsj.com/livecoverage/israel-hamas-war-gaza-strip-2023-11-04/card/hamas-has-deadlier-weapons-than-the-last-time-israel-invaded-gaza-Ee1MMVvCFa4SCEQIMOK0?fbclid=IwAR1SlWdMhAMYUehls5N_g5MoWbCjQDNl5qZneOJ-wKDqSQlJg4pxRj8qiqc

[34] Abdelraouf Arna’out. Another Israeli soldier killed in Gaza brings death toll since start of ground operation to 38. Anadolu Ajansi, 10 November 2023. Pautan: https://www.aa.com.tr/en/middle-east/another-israeli-soldier-killed-in-gaza-brings-death-toll-since-start-of-ground-operation-to-38/3049461

[35] Syed Ahmad Fathi. “Israel Tidak Mungkin Akan Berjaya Menghapuskan Hamas Melalui Perang Darat Menurut John Mearsheimer.” Isu Semasa, 2023.

Kesan-Jenayah-Perang-Yang-Dilakukan-Oleh-Isarel-di-Gaza-Terhadap-Hubungan-Diplomatiknya-Dengan-Negara-Download
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Berita Tagged With: amerikasyarikat, gaza, hamas, hubungan antarabangsa, hubungan diplomatik, idf, israel, palestin

Josh Paul Meletakkan Jawatan Kerana Tidak Mahu Amerika Syarikat Menghantar Senjata Ke Israel Bagi Membunuh Rakyat Gaza

November 1, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

“I am leaving today because I believe that in our current course with regards to the continued-indeed, expanded and expedited-provision of lethal arms to Israel – I have reached the end of that bargain..”

– Josh Paul

agi Josh Paul, beliau menceburi bidang sekuriti antarabangsa apabila berlakunya peristiwa 11-September seperti kebanyakan warga Amerika lain, terutamanya selepas penjajahan Amerika ke atas Iraq di mana pada ketika itu beliau merupakan anak muda yang bekerja di Washington. Beliau ketika itu mahu menceburi bidang yang baharu dan yang lebih menyeronokkan. Beliau akhirnya berjaya mendapat kerja di Coalition Provisional Authority di Baghdad. Beliau tidak ke sana sebagai seorang idolog tetapi ia adalah pengalaman pembelajaran yang sangat mendasar. Beliau berkhidmat bersama Tentera Sekuriti Iraq dan melihat sendiri bagaimana polisi luar Amerika Syarikat dilaksanakan di lapangan. Beliau melihat keduanya, perkara yang baik, juga perkara yang sangat buruk. Selepas pengalaman itu, beliau sangat fokus dalam mengintegrasikan hak asasi manusia ke dalam kerja-kerjanya di dalam dan di luar kerajaan Amerika Syarikat.

Beliau meletakkan jawatan atas beberapa sebab, pertamanya adalah dari sebab yang bersifat kuantitatif. Keganasan yang sedang meletus di Gaza antara Israel dan Hamas kali ini adalah dalam skala yang secara fundamentalnya tidak pernah kita lihat sebelum ini. Untuk berlaku jelas, Hamas bertanggungjawab atas serangannya kepada penduduk awam Israel menurut Josh Paul. Tetapi serangan Israel juga kita lihat skalanya sangat berbeza dari serangan sebelum ini. Terdapat juga sebab yang bersifat kualitatif. Josh berkata beliau pernah terlibat dalam banyak kes yang sangat mencabar dan kompleks secara moral yang melibatkan penghantaran senjata kepada entiti asing. Perbezaannya, sebelum ini terdapat ruang untuk berhujah, berdiskusi, perlengahan, mitigasi, dan jika didapati bahawa ia tidak akan membawa kepada natijah yang dimahukan, kita sekurang-kurangnya boleh untuk menyerahkan kes tersebut ke kongres menurut Josh Paul, kerana penjualan senjata besar-besaran perlu dilakukan dengan notifikasi kepada kongres, di mana akan berlaku hujah dan diskusi yang lebih panjang, juga usaha untuk membatalkan jualan tersebut. Pada kes kali ini, perdebatan seperti ini tidak wujud, yang ada hanyalah usaha tergopoh-gapah untuk menghantar senjata ke tempat konflik di mana orang awam dibunuh beramai-ramai. Perkara ini tidak difahami oleh Josh, dan beliau tidak dapat menghentikannya. Disebabkan tidak ada ruang untuk perdebatan dalam pentadbiran dan di kongres, Josh merasakan perkara ini perlu diketengahkan ke mata rakyat awam.

Terdapat undang-undang asas akan perkara ini iaitu Arms Export Control Act of 1976 dan juga Foreign Assistance Act of 1968, undang-undang ini memberikan asas bagaimana dan bila senjata boleh dihantar ke luar. Didalamnya terkandung peraturan di mana senjata hanya boleh dihantar untuk tujuan tertentu seperti pertahanan dan operasi bersama. Pertahanan ini hendaklah mempunyai legitimasi, dan senjata yang dibekalkan hendaklah hanya digunakan untuk tujuan yang telah dipersetujui. Menurut Josh Paul, semua orang bersetuju bahawa pencabulan hak asasi manusia dan pembunuhan orang awam beramai-ramai bukanlah sebab yang membolehkan senjata Amerika Syarikat dibekalkan.

Di samping undang-undang, setiap pentadbiran sejak dari pentadbiran Reagan telah mengeluarkan satu polisi yang dinamakan sebagai Conventional Arms Transfer Policy, polisi ini telah membentuk pemikiran dan analisis bagi setiap kes, ia dibincangkan case-by-case basis. Polisi Biden harus dipuji kerana ia mengangkat lagi polisi ini dengan memasukkan frasa “more likely than not”, ini merupakan satu standard di mana pembekalan senjata tidak akan diluluskan jika senjata yang dibekalkan kemungkinan besar akan digunakan dalam mencabul hak asasi manusia. Bagi Josh, apa yang dilakukan Israel sangat jelas, terutamanya senjata yang dibekalkan seperti precision guided munitions akan digunakan di Gaza untuk mencabul hak asasi manusia. Malah, Josh Paul yakin inilah yang sedang dilakukan oleh Israel yang menyebabkan pembunuhan ramai rakyat awam.

Setiap negara di mana Amerika Syarikat memberikan bantuan kepada sesebuah unit, unit tersebut akan dikaji sebelum diberikan bantuan ketenteraan. Dalam kes Israel, Amerika Syarikat memberi bantuan dahulu, kemudian barulah meneliti laporan pencabulan hak asasi manusia. Jika laporan itu ada, ia akan dibawa ke dalam proses polisi State Department dan konsultasi akan dilakukan dengan Israel, di mana mereka memberikan laporan versi mereka, kemudian ditentukan sama ada pencabulan hak asasi manusia telah dilakukan atau tidak. Sehingga hari ini, melalui proses yang dinamakan sebagai Israel Leahy Vetting Process, tidak ada satu keputusan pun yang dibuat bahawa Israel telah melanggar hak asasi manusia. Ini sangat bermasalah apabila kita melihat kepada, bukan sahaja Gaza, tetapi di Tebing Barat di mana terdapat begitu banyak laporan pembunuhan tanpa pengadilan, dan pelbagai jenis pencabulan yang dilakukan oleh tentera Israel.

Bagi Josh Paul, pendatang haram Yahudi yang menyerang orang Palestin dan menggunakan keganasan bagi kepentingan politik mereka, mereka adalah teroris menurut definisi teroris itu sendiri. Apa yang berlaku sekarang adalah keengganan mengkritik Israel, ini adalah kes yang unik dan istimewa, terdapat banyak sebab dalam hal ini, ada diantaranya yang mempunyai legitimasi. Tetapi akhirnya, jika tiada satu standard internasional, maka sebenarnya Amerika Syarikat tidak mempunyai standard.

Kebanyakan undang-undang ini memerlukan State Department untuk membuat keputusan sebelum sebarang sekatan atau penarikan bantuan dilakukan. Jika mereka tidak pernah membuat keputusan, maka secara teknikalnya, mereka tidak pernah mengingkari undang-undang. Josh Paul merasakan standard undang-undang dalam hal ini sangat lemah, sepatutnya standard yang lebih tinggi diperlukan. Dalam permasalahan ini, ia juga melibatkan tafsiran kepada undang-undang.

Polisi tentang Israel pada masa ini dibuat melalui pihak atasan, ini bukanlah sesuatu yang tipikal kerana kebanyakan senjata yang dijual biasanya bermula dari bawah, bermula dengan satu permohonan dari syarikat, tetapi dalam kes Israel, keputusan sudah dibuat dari awal, jadi tiada proses di bawah yang dapat dilakukan. Keputusan ini terletak di tangan presiden dan dia bertanggungjawab. Bagi Josh Paul, bantuan kewangan berbillion dollar kepada Ukraine, Israel, dan Taiwan memerlukan diskusi terutamanya ketika isu ini sedang mendapat perhatian. Ia perlu dibincangkan sebelum perhatian umum itu berubah.

Josh Paul merasakan bahawa setelah berlangsung beberapa minggu, ada perubahan yang telah berlaku dalam pentadbiran Amerika Syarikat, mereka mula memperkatakan perihal rakyat Palestin yang dibunuh, namun dari segi tindakan kita masih melihat berbillion diperuntukkan bagi membekalkan senjata dan hanya beberapa ratus juta untuk bantuan bagi rakyat yang menjadi magsa perang, Josh sangat skeptikal perubahan akan berlaku dalam masa terdekat. Perubahan kelihatan hanaya akan berlaku dalam jangka masa panjang.

Perang sememangnya mempunyai peraturan walaupun ia kadang kala tidak dapat dikuatkuasakan. Amerika Syarikat sejak sekian lama telah menghalang warga Palestin untuk mendapatkan keadilan dari Mahkamah Antarabangsa. Akhirnya, kita bukan membicarakan soal sama ada Israel adalah benar atau salah, apa yang hendak kita ketengahkan adalah hak manusia biasa sama ada dia adalah seorang warga Palestin atau Israel. Untuk mereka hidup dalam keadaan aman, mempunyai tempat tinggal yang selamat, mereka harus selamat dari serangan roket dan juga dari serangan jet F-16. Josh Paul berharap agar pentadbiran Amerika Syarikat akan melihat pada sejarah polisi negara, sama ada yang positif atau tidak, dan mendesak Israel dan semua pihak kepada solusi yang lebih adil agar semua orang dapat hidup dengan aman. Semua manusia mahu hidup dengan selamat bersama keluarga mereka.

Bagi Josh Paul, solusi kepada masalah ini dapat dilihat dari dua sudut. Pertama dalam soal pemberian senjata, standard yang sama perlulah dikuatkuasakan dalam proses meluluskan penghantaran, perlu ada ruang diskusi dan perdebatan. Kedua, untuk menyelesaikan masalah ini kita memerlukan pendekatan baru yang radikal tentang bagaimana untuk mencapai keamanan di Timur Tengah, hari ini kita melihat polisi sedia ada telah gagal. Solusi dua negara (two states solution) tidak lagi dapat dilakukan. Dengan peningkatan penempatan haram oleh Israel dan juga pembinaan jaringan pengangkutan untuk menyokongnya, solusi seperti Perjanjian Oslo tidak lagi dapat dilaksanakan. Untuk meruntuhkan semua penempatan ini adalah tidak praktikal melihat kepada jenis kerajaan Israel pada hari ini. Jadi, apakah solusi yang tinggal? Jika kita belajar dari sejarah beberapa dekad yang lalu, polisi yang dilaksanakan adalah “dengan sekuriti keamanan dapat dicapai”. Tetapi kita melihat, semakin Israel selesa dengan sekuriti yang mereka ada, mereka meluaskan lagi penempatan haram mereka, mereka juga terus mencabul hak sivil orang Palestin di Tebing Barat, dan meneruskan sekatan di Gaza. Oleh itu perlu ada perubahan fikir, mungkin solusinya adalah “keamanan untuk sekuriti” bukan sebaliknya.

Setiap orang mahukan keamanan, termasuk mereka yang duduk di hujung bahagian yang ekstrem di kedua-dua belah pihak. Untuk berunding kita memerlukan kepercayaan dan kepimpinan. Kedua-dua pihak tidak mempunyai perkara ini pada masa kini. Amerika sekarang sedang menghadapi cabaran untuk menguasai dunia, terdapat kuasa lain yang mencabarnya dari Amerika Latin hingga ke Timur Tengah, senjata paling kuat yang dipunyai Amerika Syarikat adalah nilainya, inilah yang membezakannya dari kuasa authoritarian lain di dunia termasuklah kuasa-kuasa yang sedang mencabarnya sekarang.

Namun Amerika Syarikat tidak mengaplikasikan nilainya dengan saksama, sebaliknya bersikap hipokrit. Amerika Syarikat menentang penjajahan di Ukraine tetapi menyokong penjajahan Israel di Palestin. Amerika kononnya mahu melindungi penduduk awam, tetapi membutakan matanya malah membantu pembunuhan rakyat awam di tempat lain. Ini sebenarnya merosakkan nilai Amerika Syarikat dan ia tidak dapat dibaiki lagi. Nilai ini sepatutnya dikongsi dengan dunia bagi membantu membina dunia yang lebih baik.

Josh Paul menceritakan pengalaman beliau hidup bersama komuniti di Iraq dan Ramallah di mana beliau mula mendengar perspektif yang berbeza. Beliau terdedah dengan budaya lain, apabila beliau melihat bagaimana kehidupan warga Palestin diperlakukan dengan begitu buruk sekali, ini membuatkan beliau faham akan perspektif lain yang berbeza. Amerika Syarikat mempunyai kuasa yang besar di dalam dunia, mereka mempunyai pengaruh dan kedudukan, ini sebenarnya datang dengan tanggungjawab. Apabila bekerja dengan kerajaan Amerika Syarikat, kita akan menyelesaikan masalah yang tidak diselesaikan oleh kerajaan lain, kerana kita terlibat dalam banyak persoalan yang kompleks ini.

Untuk melihat dunia yang lebih aman, setiap rakyat boleh melakukan sesuatu. Mereka boleh menghubungi ahli kongres dan senat, panggilan-panggilan ini akan mempengaruhi mereka, kerana ahli politik sentiasa ingin mengetahui perihal siapa pengundi mereka. Kedua, mereka boleh menghubungi media-media lokal, pastikan mereka mendapat cerita dari perspektif yang ingin kita sampaikan. Ketiga adalah keperluan untuk merancang dan bekerja dalam organisasi untuk memperjuangkan isu ini. Bagi Josh, inilah yang dia sarankan untuk rakyat Amerika Syarikat yang perihatin. Mereka yang bekerja dalam kerajaan mestilah menggunakan peluang yang ada untuk melakukan perkara yang baik.


Transliterasi ini merupakan terjemahan tidak literal kepada temu ramah bersama Josh Paul dalam program The Laura Flanders Show yang diterbitkan pada 29 Oktober 2023. Rakaman temu bual ini boleh diakses di pautan ini.

Josh Paul merupakan seorang direktor di State Department yang telah berkhidmat selama 11 tahun di Bureau of Political-Military Affairs yang merupakan entiti kerajaan Amerika Syarikat yang menghantar bantuan persenjataan kepada rakan dan sekutunya.

Josh-Paul-Meletakkan-Jawatan-Kerana-Tidak-Mahu-Amerika-Syarikat-Menghantar-Senjata-Ke-Israel-Bagi-Membunuh-Rakyat-GazaDownload
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Berita

Euforia Masyarakat Indonesia Di Malaysia Keatas Kedatangan Jokowi

June 11, 2023 By Editor The Independent Insight

Oleh: Mansurni Abadi

Kuala Lumpur – Sambutan meriah ke atas kunjungan kerja sekaligus balasan Presiden Joko Widodo atau yang lebih dikenali Jokowi dan beberapa menteri dari kabinet Indonesia bersatu jilid 2 pada tanggal 7 – 8 Jun 2023 di Malaysia tentu sahaja memunculkan euphoria yang menjadi viral di seluruh Malaysia dan Indonesia. Apatah lagi di hari kedua kunjungannya, presiden Joko Widodo melakukan blusukan atau meredah kawasan pasar basah di Chow Kit bersama perdana menteri YAB Dato Seri Anwar Ibrahim, banyak yang berkata kunjungan di hari kedua itu (8/6) boleh jadi yang pertama kali dilakukan oleh presiden dari Indonesia di Chow Kit. Kerana sebelum ini banyak yang berkata tidak pernah ada presiden yang melakukan blusukan (meredah) apatah lagi bersama perdana menteri Malaysia ke lot-lot peniaga yang majoritinya di isi oleh pekerja warga Indonesia.

Blusukan yang salah dimaknai

Tetapi Banyak yang tidak memahami makna presiden melakukan blusukan atau meredah hingga kemudian menyebutnya sebagai politik citra yang palsu. Padahal faktanya, blusukan dalam bahasa Jawa bermaksud “memasuki, melawat sesuatu kawasan untuk mengetahui tentang sesuatu.” Menurut budaya Jawa , blusukan bukan sekadar lawatan, atau perjalanan saja-saja. Dari amalan blusukan atau meredah, seorang pemimpin itu boleh menemukan masalah, membangun kedekatan antara rakyat dan penguasa, mengenali potensi , dan menyerap aspirasi. Pada asasnya dari blusukan itu terdapat keinginan untuk mencapai objektiviti dan merungkai keaslian, keunikan setiap wilayah yang dikunjungi.

Sambutan Parti Penyokong

Sambutan juga datang bukan dari masyarakat Indonesia dan tempatan namun juga dari barisan kepemimpinan dan kader dari semua cawangan luar negara parti politik penyokong pemerintahan Jokowi di Malaysia seperti Gerindra, Perindo, PKB, PDIP, Golkar, Demokrat, dan Parti solidariti Indonesia (PSI). Hal ini terlihat pada acara sambutan di Grand Hyatt Hotel, Kuala Lumpur (7/6). Salah satu calon DUN Kota Malang, Bonet Anisa dari Parti Persatuan Indonesia atau disingkat Parti Perindo yang diasaskan oleh Hary Tanoesoedibjo, seorang usahawan dan pemilik syarikat konglomerat multinasional MNC Group berkata kunjungan presiden ini amat membahagiakan bagi warga Indonesia di Malaysia apatah lagi calon-calon kandidat dari partai penyokong yang akan bertarung di pilihan raya tahun hadapan.

Antusiasme belia Malaysia dan Indonesia

Belia Indonesia dan Malaysia juga banyak yang hadir dan turut menyambut presiden Joko Widodo di hari pertama dan kedua kunjungannya. Seawal pagi di hari kedua kunjungan, Jalan Raja Bot telah penuh dengan belia yang hendak mengambil dokumentasi kedatangan kedua pemimpin. Sama seperti perdana menteri anwar yang popular di sosial media, Presiden Joko Widodo pun sangat popular di sosial media. Oleh itu, peminat dari kalangan belia sangat ramai. Bapak Joko Widodo pun dikenali dengan camera friendly, kerana tak segan untuk mengambilkan selfie bersama dirinya ketika bertemu dengan orang awam. Dia pun dikenali suka melakukan live di media sosial dan cakna dengan perkembangan dunia media sosial. Oleh itu, di Malaysia banyak belia yang akhirnya suka dengan Presiden Joko Widodo bahkan mereka mengetahui isu-isu apa yang tengah dihandle oleh Jokowi.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Berita

Mengapa Ai Bukanlah Sebuah Revolusi Seperti Yang Dimomokkan

May 10, 2023 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Sejak kebelakangan ini, kita sering dimomokkan dengan revolusi kecerdasan buatan (Ai). Baik dalam bentuk penghasilan skrip teks, ataupun imej tiruan. Ada yang menyatakan bahawa banyak kerja bakal hilang, masyarakat ditakutkan bahawa kerja model contohnya, akan pupus, yang akan wujud menggantikannya adalah imej buatan, yang lebih comel dan indah dari model di alam realiti. Saya skeptik dan tidak percaya akan semua ini. Izinkan saya huraikan kenapa.


Sebenarnya jeritan bahawa teknologi bakal menghilangkan banyak kerja bukanlah jeritan yang baharu. Dahulu apabila teknologi robotik mula dibangunkan, ramai yang memomokkan pada masyarakat bahawa banyak kerja akan terhapus. Kilang akan tutup, dan yang akan flip burger di restoran adalah robot. Namun, hari ini kita melihat, walaupun teknologi robotik semakin maju, kilang masih beroperasi dan burger masih dimasak oleh manusia di restoran. Tidak dinafikan bahawa pekerjaan manusia makin mudah dan efisien, tetapi ia tetap tidak dapat memansuhkan intervensi manusia.


Yang ditekankan adalah teknologi baharu memansuhkan pekerjaan, tetapi yang tidak diceritakan adalah teknologi baharu juga mencipta pekerjaan baharu. Automated teller machine (ATM) mungkin menjadikan pekerjaan kaunter bank semakin sedikit, tapi dalam masa yang sama, ia juga mencipta pelbagai pekerjaan baharu, kilang penghasilan komponen elektronik ATM, penghasilan perisian ATM, maintenance ATM, pekerja sekuriti dan pemandu sekuriti untuk mengangkut wang keluar dan masuk ATM, dan pelbagai lagi pekerjaan dalam satu rantaian ekonomi ini sahaja. Ini baru satu contoh, produk moden semuanya mempunyai rantaian bekalan kompleks, semuanya adalah pekerjaan untuk manusia. Buku yang bagus dalam menerangkan rantaian ekonomi moden seperti ini adalah The World is Flat tulisan Thomas L. Friedman.


Saya merasakan, hingar-bingar revolusi Ai ini hanyalah buzz word, industri ekonomi perlu bercerita benda baharu agar kedengaran seperti adanya progres. Dahulu topiknya adalah blockchain, kini hampir tiada siapa lagi yang sibuk menyebut perihal blockchain. Yang ada adalah sifu-sifu Ai yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan, profiting from the trend. Bukanlah Ai tidak ada sumbangan pada progres ekonomi dan teknologi, tetapi seperti perkembangan lain, ia adalah proses gradual bukan revolusi.


Saya masih ingat perbahasan ekonomi Ha-Joon Chang dalam sebuah bukunya, kata beliau orang sering mengatakan komputer merevolusikam ekonomi. Beliau kemudian melihat pada data, dan mengatakan bahawa mesin basuh lebih merevolusikan ekonomi berbanding komputer. Apabila mesin basuh tercipta, tenaga kerja dunia bertambah dua kali ganda. Mesin basuh memansuhkan kerja manual membasuh baju yang memerlukan tenaga yang banyak, hasilnya wanita di seluruh dunia dapat masuk ke alam pekerjaan dengan lebih banyak. Hal ini menambah kreativiti dan produktiviti serta merevolusikan ekonomi.


Saya juga skeptik dengan golongan yang memomokkan bahawa model dan selebriti akan menjadi tidak relevan apabila diganti dengan imej tiruan buatan Ai. Dalam pemasaran, aspek branding sangat penting, model dan selebriti mempunyai personal branding, mereka ada pengikut dan pengaruh. Tiada siapa yang akan yakin dengan produk yang digayakan oleh imej tiruan dan manusia palsu, sebaliknya manusia yakin dengan produk yang digunakan insan yang hidup dan berpengaruh. Jadi untuk mengatakan iklan akan hanya bergantung pada imej cantik berbentuk tiruan adalah naif.


Ai mungkin boleh menulis buku, tetapi ia memerlukan “orang” untuk menyuruhnya menulis buku, ia perlukan arahan atau prompt. Ai boleh melukis, tetapi ia memerlukan “orang” untuk menyuruhnya melukis. Dalam kata lain, Ai tiada agensi sendiri, ia masih bergantung kepada manusia. Manusia mempunyai agensi, dia boleh menulis dan melukis sendiri. Dia boleh menetapkan tujuannya sendiri tanpa arahan.


Oleh itu, saya merasakan Ai bukan sebuah revolusi. Tidak dinafikan ia memudahkan urusan manusia. Sama seperti teknologi baharu lain. Memudahkan bukan revolusi, ia adalah proses progres teknologi yang gradual. Seperti proses-proses yang lain.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Berita

Propaganda Kolonial Dalam Dunia Pasca-Kolonial

May 13, 2022 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Antara buku awal yang saya tekuni perihal propaganda dan manipulasi media adalah buku tulisan Herman dan Chomsky berjudul Manufacturing Consent, naskah milik saya direka agar pembaca dapat melihat tajuk tersebut dengan dua makna, makna lain boleh dilihat sebagai “manufacturing content”. Buku tersebut adalah analisa Herman dan Chomsky perihal tingkah laku media perdana Amerika yang dianggap “bebas” dalam mempertahankan kekejaman dan kejahatan yang dilakukan kerajaan mereka terutamanya semasa perang di Indo-China. Menurut Herman dan Chomsky, media-media ini tidaklah bebas seperti yang disangka, sebaliknya mereka menjadi alat propaganda kerajaan, bukan alat untuk memberi kebenaran pada masyarakat. Antara yang dibahaskan adalah penggunaan perkataan, pemilihan ayat, dan bagaimana ia dapat digunakan dalam menyampaikan berita yang mempunyai isi yang sama dengan impresi dan naratif yang berbeza.


Hari ini kita melihat pelbagai wacana yang ingin membebaskan masyarakat secara keseluruhannya dari cengkaman kolonialisma. Walaupun negara kita sudah pun bebas dari menjadi sebuah tanah koloni British, banyak pemikir yang beranggapan banyak lagi kesan-kesan kolonial yang wujud dalam masyarakat di negara kita. Contohnya bagaimana sejarah negara sendiri ditulis, kebanyakannya memfokuskan apa yang berlaku semasa penjajahan British dan apa yang British buat semasa mereka menduduki Malaya. Walhal sejarah tanah air jauh lebih panjang sebelum kedatangan British. Dari lensa ini banyak pemikir yang merasakan sejarah kita terlalu memfokus pada sejarah kolonial, sepatutnya fokusnya adalah pada sejarah tanah air. Kolonial British bagi mereka selayaknya dilayan sebagai titik kecil sahaja dalam lautan sejarah kita yang lebih luas.


Tetapi sebenarnya, dunia hari ini masih belum bebas sepenuhnya dari kolonialisma. Walaupun sering kita bawakan wacana pasca-kolonialisma, ada negara yang masih bergelut dengan kolonialisma sehingga hari ini. Antara yang paling lama, brutal, dan komprehensif didokumentasikan adalah settler-colonialism yang berlaku di Palestin yang kini memasuki tahun ke-74. Bagaimana dunia yang moden, yang sering mengangkat nilai keadilan dan kemanusiaan di abad yang ke-21 ini masih wujud di dalamnya kolonialisma yang masih aktif? Yang sepatutnya sudah berkubur dan hanya dibaca dalam helaian-helaian kitab sejarah?


Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana wujudnya sistem propaganda yang efektif.


Seperti mana Herman dan Chomsky yang menganalisa kandungan media di Amerika semasa peperangan di Indo-China, saya kira media arus perdana Barat hari ini tidak kurang tingkah lakunya dalam menjadi ejen propaganda. Walaupun di dalam korpusnya ada wartawan-wartawan yang jujur. Contohnya Robert Fisk, sosok yang saya kagumi, yang meninggalkan The Times apabila ia dibeli oleh Rupert Murdoch. Ketokohan Robert Fisk ini ada saya coretkan dalam buku terbaharu saya Lalang di Lautan Ideologi. Tingkah laku media arus perdana Barat terutamanya dari Amerika banyak dikritik oleh Fisk sendiri. Tingkah laku mereka sebagai ejen propaganda begitu jelas ketika berlakunya pembunuhan keatas wartawan Al-Jazeera, Shireen Abu Akleh baru-baru ini. Shireen telah ditembak tepat di kepala oleh sniper tentera kolonial Israel pada 11 Mei 2022 ketika membuat liputan keganasan tentera kolonial Israel di Kem Pelarian Jenin. Shireen pada ketika itu jelas berpakaian vest wartawan yang memaparkan perkataan “PRESS” dan juga berhelmet.


Kementerian Luar Kolonial Israel pantas mengeluarkan sebuah video bagi menimbulkan keraguan dalam pembunuhan Shireen, kononnya Shireen ditembak oleh pejuang Palestin. Walhal bukti video kejadian jelas menunjukkan Shireen berada di kawasan lain yang lebih terbuka, dan wartawan lain yang ada di tempat kejadian mengesahkan tembakan tersebut datang dari tentera kolonial Israel. Malah persatuan kemanusiaan kolonial Israel, Bt’selem sendiri mengeluarkan kenyataan mustahil peluru yang membunuh Shireen datang dari pejuang Palestin seperti propaganda yang dikeluarkan oleh video Kementerian Luar Kolonial.


Walaubagaimanapun, strategi propaganda kolonial Israel ini terbukti berkesan dan ditelan bulat-bulat oleh jaringan media perdana Barat. The Associated Press misalnya menulis “Shireen was killed in gunfire in West Bank”. Dari tulisan ini kita dapati nama penjenayah tidak disebutkan. Shireen mati ditembak, tetapi tidak diberi tahu siapa yang menembaknya? Begitu juga laporan dari The New York Times yang menulis Shireen “Dies at 51” dalam tajuk mereka. Ini lebih parah. Tidak dinyatakan terus sebab kematiannya. Adakah dia mati kerana serangan jantung semasa memancing atau terkena wabak Covid-19? Tidak ditulis dalam tajuk. Nama penjenayah tidak disebut, kerana kononnya tak dapat dipastikan siapa yang membunuh beliau. Saksi di tempat kejadian tidak diambil kira kerana pejabat Menteri Kolonial Israel tidak (mahu) mengesahkan fakta ini. Walhal, logiknya, mengapa pengesahan perlu didapatkan dari penjenayah sendiri?


Ini diulang oleh pelbagai media-media gergasi. Contohnya BBC menulis dalam tajuknya “leading Palestinian journalist shot dead”, sekali lagi, siapa yang menembak dihilangkan. Jika pun dinyatakan bahawa yang menembak adalah tentera kolonial Israel, ia ditulis dengan penuh ambiguiti dan keraguan. Contohnya, The Guardian menulis dalam tajuk berita mereka “Al Jazeera accuses Israeli forces of killing journalist in West Bank”. Beritanya bukan perihal kolonial Israel membunuh wartawan, tetapi tentera kolonial Israel “dituduh” membunuh wartawan. Jadi fokusnya bukan pada pembunuhan tapi pada “tuduhan”.


Jadi disini kita dapat melihat bagaimana kolonial Israel menggunakan propaganda dalam menutup jenayah mereka. Mereka pantas bertindak dalam memasukkan kekaburan dalam laporan rasmi mereka. Ia kemudiannya akan “dimakan” oleh media-media Barat yang menjadi penyambung lidah dan ejen propaganda buat mereka. Beginilah sebenarnya teknik dalam mengekalkan kolonialisma dalam dunia pasca-kolonialisma hari ini. Fakta-fakta perlu dikaburkan, keyakinan perlu disuntik dengan keraguan, dan media perlu digunakan sebagai alat untuk menanam didalam minda masyarakat bahawa projek kolonial mereka tidaklah seburuk yang disangka. Lebih menjengkelkan adalah negara-negara Barat yang kononnya begitu “tercerah”, inklusif, egalitarian, dan pelbagai jargon bombastik lain, dapat menerima projek kolonial ini. Kolonial Israel malah dibenarkan masuk ke dalam pesta dan temasya Eropah seperti Eurovision dan UEFA Euro Cup. Jika kita gemar membaca tulisan-tulisan Nelson Mandela yang melawan apartheid, kita seharusnya mempunyai semangat yang sama dalam menolak propaganda dan kolonial Israel yang rasis ini.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Berita Tagged With: israel, palestine, shireen abu akleh

Saya Sayang Rusia Tetapi Menolak Perang Ini

March 6, 2022 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Я люблю Россию и Я против этой войны.

Hampir setiap hari sekarang saya mengikuti perkembangan yang berlaku di Ukraine dengan hati yang sedih. Bagi saya penyelesaian kepada keganasan bukanlah dengan mencetuskan keganasan yang baharu, keganasan tidak dapat dirawat dengan perang. Catatan ini bukan catatan perbahasan geo-politik, atau analisa siapa salah siapa betul, atau propaganda untuk menghasut kita untuk menyokong mana-mana pihak yang berkonflik, saya sekadar mahu mencatat rasa hati melihat apa yang belaku.

Rusia merupakan negara yang dekat dengan hati saya. Takdir menentukan bahawa perjalanan hidup saya tersulam bersama dengan negara yang hebat ini. Rusia merupakan rumah kedua saya, 4 tahun saya berkelana di buminya. Selepas Malaysia, tiada negara lain yang saya pernah menetap lebih lama selain dari Rusia. 4 tahun mencari ilmu disana penuh dengan kenangan yang indah. Saya menetap di sebuah bandar di tepi Finski Zaliv bernama Sankt Peterburg. Sebuah bandar yang cantik, damai, penuh sejarah, dan merupakan ibukota Rusia sebelum Moskva.

Pada mulanya saya tinggal di Avtova sebelum berpindah ke Prospek Stachek. Siapa pun yang menjejakkan kaki ke bumi Rusia pasti mudah jatuh cinta padanya. Negaranya yang indah penuh dengan pemandangan yang mendamaikan. Saya rindu berjalan-jalan di tepi Sungai Neva melihat aliran airnya semasa musim panas. Pada musim sejuk pula, Neva akan membeku membolehkan saya berjalan di atasnya. Saya juga rindu melihat-lihat buku di Dom Knigi, kedai buku ikonik di tengah-tengah bandar berhadapan dengan Kazanski Sabor. Pada hari Jumaat kami akan berhenti di Metro Gorkovskaya dan solat bersama ratusan Muslim yang lain di Masjid Sabornaya.

Melihat salji-salji turun buat kali pertama memang mengasyikkan. Bumi terlihat aman dan bersih ketika musim sejuk kerana semuanya terlitup dalam salji yang tebal. Musim sejuk di Rusia, walaupun cantik, begitu menyakitkan hidung kerana kesejukannya. Musim sejuk inilah yang membantu mengalahkan tentera Napoleon dan Hitler. Ketika musim sejuk siangnya singkat dan malamnya lama. Saya lebih gemar minum kopi panas sambil melihat ribut salji di luar dari tingkap. Beberapa tahun di Rusia, musim yang saya gemari bukanlah musim sejuk, tetapi musim luruh. Pertama kerana cuacanya tidak terlalu sejuk, dan tidak terlalu panas. Berbeza dengan cuaca yang sama pada musim bunga, musim luruh tiada salji separuh cair yang membasahi kasut. Dan yang lebih menggembirakan adalah dedaunan yang berubah kepada warna emas. Ketika musim luruh, saya akan mendaki Bukit Voronya, melihat permandangan kuning keemasan, sambil dibuai angin. Hanya Tuhan yang tahu perasaan yang muncul melihat permandangan seperti itu. Ketika musim buah-buahan tempatan, saya akan memborong buah Chereshnya, dan makan dengan gembira buah yang sama setiap hari. Coklat kegemaran saya pula adalah Aleyonka, coklat sedap dan pembalut coklat juga ikonik, saya suka gambar anak kecil comel pada pembalutnya.

Orang Rusia juga bagi saya merupakan orang yang baik. Mereka kreatif, baik hati, periang, mudah berkawan, dan suka membantu. Kebanyakan guru-guru saya semuanya baik dan rapat dengan saya. Cikgu kegemaran saya adalah Chernov, syarahannya biasanya diselitkan dengan jenaka dan juga pengajaran-pengajaran hidup walaupun subjeknya adalah enjin, pam dan kompresor. Penyelia projek tahun akhir saya adalah Chistyakov, walaupun digeruni pelajar, bagi saya beliau baik sahaja dengan saya serta banyak memudahkan saya untuk lulus cemerlang. Walaupun orang luar mungkin melihat orang Rusia sebagai garang, susah tersenyum, dan ganas, namun jika kita mengenali mereka secara peribadi, segala prejudis itu senang dan cepat sahaja hilang.

Sejarah mereka merupakan sejarah yang panjang, penuh revolusi dan tribulasi. Namun orang-orangnya tetap mempunyai imaginasi yang sama seperti kita, perasaan yang dalam dan penuh kemanusiaan, rasional dan emosional. Antara kata-kata yang sangat saya minati yang ditulis oleh Svetlana Alliluyeva (anak kepada Stalin) ketika saya membaca biografinya adalah tulisan beliau tentang bagaimana kecintaan orang Rusia kepada keindahan laut. Svetlana menulis:

Pushkin berbicara dengan lautan. Pasternak mendengar lagu-lagunya. Gorky pula berkata laut juga boleh ketawa.

Svetlana Alliluyeva

Mungkin ada yang bertanya, jika benar orang Rusia itu rasional, punya perasaan yang mampu berkasih sayang, kenapa perang ini menunjukkan sisi mereka yang sebaliknya?

Kita harus membezakan rakyat biasa dengan kerajaan. Yang mengishtiharkan perang adalah kerajaan. Saya sangat tersentuh hati melihat orang-orang di bandar yang saya duduki dahulu, Sankt Peterburg, berdemonstrasi beramai-ramai menolak perang. Walaupun kemudian mereka dipukul dan ditangkap polis. Juga bagaimana media-media yang berani melaporkan apa yang terjadi sehingga kerajaan memaksa mereka ditutup. Saya percaya, rakyat Rusia merupakan orang-orang yang mencintai keamanan dan persahabatan.

Jean-Paul Sartre menulis bahawa “when the rich wage war, it’s the poor who die”. Bagi saya tentera yang dikerahkan perlu berhenti dari mengikuti arahan. Biarlah presiden, jeneral, dan orang-orang kaya yang mahukan perang itu pergi berperang sendiri. Mereka mudah mengishtiharkan perang kerana bukan mereka yang perlu mati di medan perang, tetapi orang-orang muda dan orang-orang miskin yang dikerahkan.

Perang bukanlah jalan menyelesaikan konflik. Sejarawan ulung, Howard Zinn pernah mengutarakan bahawa terdapat seribu satu cara boleh kita gunakan selain berperang untuk menyelesaikan konflik. Kegagalan memilih cara lain menggambarkan kemalasan berfikir, kekeringan idea, serta pemikiran primitif bahawa membunuh boleh menyelesaikan masalah. Menurut Robert Fisk, wartawan yang melihat sendiri perang, beliau mengatakan bahawa perang menggambarkan “the total failure of the human spirit“.

Oleh sebab itu, saya merasakan serangan Rusia ke atas Ukraine adalah salah. Saya tidak menyokongnya walaupun saya mencintai Rusia. Tidak menyokong Rusia tidak bererti kita secara automatik menyokong Barat dan Amerika Syarikat. Ini adalah pemikiran binari. Sebaliknya tidak menyokong Rusia merupakan komitmen kita yang konsisten menolak keganasan. Kita menolak keganasan yang dilakukan oleh siapa pun, termasuklah kepada Palestin, Yaman, Iraq, Afghanistan, dan kali ini Ukraine. Kita perlu konsisten, pengeboman Saudi Arabia ke atas anak-anak Yaman adalah sama kejam dengan pengeboman Israel kepada anak-anak Palestin. Kita sedar Barat dan Amerika Syarikat bersifat hipokrit, etnosentrik (eurosentrik), dan rasis, kita boleh menolak keganasan yang pernah mereka lakukan dalam masa yang sama menolak juga keganasan Rusia. Kita tidak perlu memilih, kerana ia bukanlah pilihan binari.

Terima kasih kepada semua sahabat-sahabat dan juga alumni yang menghubungi saya bertanyakan pendapat. Tulisan saya ini bukanlah berniat untuk mendahului mana-mana kenyataan rasmi persatuan yang saya anggotai. Ia hanya coretan perasaan saya atas kapasiti peribadi. Sekadar menulis semula pandangan saya secara publik akan apa yang telah saya sebutkan dalam ruang tertutup dengan pandangan yang umum. Seruan kita haruslah bagi menamatkan konflik, bukan berpihak kepada mana-mana. Tiada siapa yang untuk dalam peperangan kecuali pembekal-pembekal senjata.

Apa yang kita perlukan adalah keamanan dan persahabatan.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Berita

Pemuda HALUAN Kedah Bantu Penduduk Kampung Setar Membaiki Saluran Paip Air di Gunung Jerai

September 4, 2021 By Editor The Independent Insight

Kampung Setar, Yan, Kedah, 04 September 2021 – Anggota Pemuda HALUAN Negeri Kedah hari ini bersama-sama dengan penduduk Kampung Setar, Yan, Kedah bergotong-royong untuk memasang paip air di Gunung Jerai. Program ini merupakan program di bawah Biro Misi Kemanusiaan (BMK) HALUAN dengan bantuan tenaga dari Biro Pemuda HALUAN Negeri Kedah dan HALUANSiswa Kedah.

Gotong-royong ini adalah untuk membaiki paip yang rosak akibat fenomena kepala air dan banjir yang melanda Yan pada 18 Ogos 2021. Antara kampung yang terjejas adalah Kampung Setar Dalam dan Kampung Setar Luar. Dianggarkan 120 buah rumah terjejas bekalan air akibat musibah ini, turut terjejas adalah Masjid Al-Kautsar, Sekolah Kebangsaan Kampung Setar, Surau, Tadika, dan Klinik Desa. Pihak HALUAN Cawangan Kedah telah membiayai kos saluran paip yang rosak dengan kos sebanyak RM11,600.

Sesi penyerahan Paip telah diadakan pada jam 9 pagi oleh wakil HALUAN Kedah, Haji Abdul Kadir Mahamood selaku Timbalan YDP HALUAN dan diterima oleh Pengerusi Kampung Setar, Yusoh Yahya sambil disaksikan oleh penduduk setempat.

Operasi bermula sekitar jam 9.15 pagi dimana paip-paip air ini dibawa menggunakan lori ke kaki gunung. Dari kaki gunung anggota HALUAN bersama penduduk kampung bersama-sama memikul paip ini mengikut trek hutan selama lebih kurang satu jam untuk sampai ke punca air di sebuah air terjun di Gunung Jerai. Operasi memikul ini dijalankan beberapa kali kerana jarak yang jauh dan bilangan paip yang banyak yang diperlukan untuk memastikan saliran air sampai ke kampung. Setelah tiba di kawasan punca air, operasi menanam kepala paip bermula. Paip-paip ini turut diikat bagi memastikan ia tidak mengganggu aliran air sungai.

“Orang perempuan senang aja, bila takdak ayat call kami, ni Mat awat takdaq ayaq? kami yang kena panjat gunung, cari punca masalah dan baiki paip” terang seorang penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Mat sambil berseloroh. Beliau merupakan anggota pasukan maintenance bagi saluran paip air penduduk kampung. Beliau naik bersama alatan untuk membaiki paip. Operasi mengusung paip, menanam kepala paip, dan mengikat paip selesai kira-kira jam 2 petang.

Semua ahli gotong royong termasuk orang kampung dan anggota HALUAN kemudiannya dijamu oleh penduduk tempatan untuk makan tengahari. Antara menu yang disajikan termasuklah nasi, bihun goreng, gulai ayam, ikan masin, telur masin dan juga rebung rebus. “Selain bekalan air SADA, penduduk setempat bergantung pada bekalan air gunung, setiap rumah membayar sekitar RM60 setahun untuk bekalan air gunung, jika ada keperluan untuk membaiki dan menyelenggara kami akan mengumpul duit bersama penduduk kampung dari masa ke semasa” terang seorang penduduk kampung bernama Haji Radzi.

“Alhamdulillah, lama tak rasa suasana hutan sebegini, tengok keadaan batu besar yang berselerakan amat menginsafkan. Penduduk kampung ni tau mana batu yang dulu ada dan tak ada, serta lokasi batu di sungai. Air sungai pun masih berbau lumpur meski telah hampir sebulan kejadian banjir berlaku” komen Fauzul Hasny, seorang ahli sukarelawan HALUAN dari Kampung Bukit Kechil.

“Harap bantuan sedikit dari kami ini mampu meringankan beban orang-orang kampung” tambah Zulhilmi Romazi pula, seorang sukarelawan dari Biro Pemuda HALUAN cawangan Kampung Berapit, Tikam Batu.

Pihak Haluan cawangan Negeri Kedah turut bercadang membuat satu lagi projek paip dan telah berbincang untuk membantu  membaiki saluran Paip Masyarakat di Kampung Setoi ,Yan,Kedah. Anggaran jauh punca air dan kawasan kampung adalah sepanjang 4-5 kilometer. Rumah yang mengguna paip ini sebanyak 200 buah rumah. Projek ini melibatkan anggaran pembelian seperti berikut:

1. Paip 2″(Sirim) – 30 gulung =900×30 = RM27,000

2. Paip 3″(Sirim) – 10 gulung = 900×10=RM9,000

3. Penyambung paip pelbagai saiz =RM500

4. Sangkar utama di pusat tadahan= RM250

Jumlah anggaran kos adalah sebanyak RM36,750. Menurut Tuan Haji Abdul Kadir Mahamood, selain Kampung Setar dan Kampung Setoi, pihak HALUAN Kedah turut membantu kampung-kampung lain termasuklah Kampung Acheh (2 gulung paip 2 inci sumbangan Pertubuhan Brigade Prihatin) dan Kampung Singkir.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Berita

Perkhidmatan ISBN Perpustakaan Negara Ditutup Semasa PKP

January 26, 2021 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Oleh kerana saya mempunyai beberapa manuskrip yang saya rancang untuk diterbitkan tahun ini, saya ada menghubungi Perpustakaan Negara Malaysia perihal permohonan International Standard Book Numbering (ISBN). Berikut merupakan makluman yang saya terima.

“Salam tuan, untuk makluman, Perkhidmatan Kepada Penerbit (ISBN/ISSN/PDP) DITUTUP SEMENTARA bermula 13-26 Januari 2021. Perkara ini juga adalah tertakluk kepada arahan semasa Jabatan dan turut mengambil kira perkembangan keadaan kesihatan semasa. Semua permohonan yang diterima akan diproses secara berperingkat setelah perkhidmatan dibuka semula kepada penerbit. Maaf atas sebarang kesulitan.”

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Berita

Ahmed Deedat Dari Dalam Kubur Menewaskan Fitnah Ravi Zacharias

January 6, 2021 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Teman saya Syafiq dari Dubai tiba-tiba menghantar pesanan di bahagian mesej di sebuah platform media sosial. Beliau berkerja sebagai pereka grafik dan web. Sudah sekitar 7 purnama berlalu sejak kami bertukar-tukar perkataan. 

“Assalamualaikum saudaraku, bagaimanakah keadaan anda? Aku punya berita penting buat kamu” tulis Syafiq kepadaku.

Beliau kemudian menghantar beberapa pautan perihal berita bahawa tuduhan salah laku seks yang dilakukan oleh Ravi Zacharias kini terbukti benar. Ini adalah pengkhabaran yang sangat besar gumam hati saya.

“Jadi sesungguhnya beliau bukan sahaja penipu tetapi merupakan pemangsa seks” balas saya kepada Syafiq.

“Ya, dia pernah memfitnah Ahmed Deedat selepas kematiannya, dan sekarang nampaknya dia pula telah dipukul hebat selepas kematiannya. Allah tahu apa yang terbaik” tulis Syafiq kepada saya.

“Alhamdulillah, Deedat nampaknya masih menang walaupun dia berada di dalam kubur” tulis saya.

“Siasatan masih berterusan keatas Ravi, tetapi laporan interim telah dikeluarkan, aku hargai organisasi Ravi iaitu RZIM, mereka menerbitkan laporan ini di laman web mereka, kebanyakan kumpulan lain seperti mereka tidak akan mengakui isu-isu seperti ini” tulis Syafiq menghargai kejujuran RZIM.

“Ya, itu patut dipuji” balasku.

Kami mengakhiri perbualan kami disitu. Manakala saya seperti mendapat semangat baru hari itu. Saya masih ingat perbincangan-perdebatan saya dengan seorang rakan kristian saya Theo. Pada satu hari beliau berkongsi kepada saya video ucapan Ravi Zacharias yang memfitnah Ahmed Deedat kononnya ketika Deedat memberi ucapan di sebuah Universiti Islam di Malaysia, seorang Professor bernama Lee bertanya soalan. Deedat memanggil Lee ke hadapan dan menampar mukanya, menyuruhnya membuka seluar dan baju dan memalukan Lee di depan khalayak. Lee pulang ke pejabatnya hanya berseluar dalam. Video ucapan ini di muat naik oleh Naga Seminarian pada bulan Ogos 2020. Deedat yang telah meninggal pada tahun 2005 pastinya tidak dapat mempertahankan dirinya atas fitnah ini.

Deedat merupakan pendebat dan orator professional. Dalam debat, jika anda hilang kawalan dan marah, anda telah kalah. Deedat yang professional sangat arif dengan keadaan ini. Sebab itu jika anda melihat siri-siri debat Deedat, beliau akan sentiasa tersenyum meskipun lawannya menjerit-jerit emosional, atau pendengarnya menjerit-jerit memarahinya. Contohnya deebat Deedat melawan Pastor Stanley Sjoberg, anda boleh lihat sendiri bertama emosionalnya Stanley, sementara Deedat kekal cool sambil tersenyum menjawab soalan. Sebab itu fitnah ini sukar dipercayai. Siri debat Deedat juga pasti direkodkan, manakala tuduhan ini tidak punya apa-apa rekod.

Tidak ada satu pun video atau berita media yang melaporkan perkara ini. Cerita karut dan fitnah Ravi Zacharias ini disebar luaskan oleh media-media kristian. Sirikwa Pentecostal Fellowship contohnya menerbitkan tulisan kisah karut ini di laman Facebooknya pada 11 Disember 2013. Fitnah Ravi ini tiada langsung bukti, Prof. Lee yang disebutkan juga tidak pernah muncul untuk mengesahkan cerita karut Ravi. Bukti cerita ini hanyalah air liur Ravi, Ravi sedar pengaruhnya besar, dan pengikutnya akan percaya perkataannya tanpa perlu akan pembuktian. Theo adalah salah seorang dari pengikut buta Ravi yang naif.

Ravi Zacharias bukan merupakan figura kecil di dalam dunia kristian. Timbalan Presiden Amerika Syarikat, Mike Pence menghadiri upacara peringatan kematiannya, Pence dalam ucapannya pada majlis itu mengirim kata-kata dari Presiden Amerika sendiri, Donald Trump yang mengatakan bahawa “making the intellectual case for Christianity, Ravi Zacharias was instrumental in helping millions of people around the world come to know the love and mercy of Jesus Christ”. Ravi Zacharias mengasaskan Ravi Zacharias International Ministries (RZIM), sebuah organisasi global yang mempunyai pejabat di USA, UK, Canada, Jerman dan banyak lagi.

Kini, kurang setahun dari kematian Ravi Zacharias, RZIM mengakui salah laku seks dan penipuan Ravi Zacharias adalah benar dari penyiasatan dalaman mereka melalui Miller & Martin PLLC. Dalam sekelip mata, Tuhan membuktikan bahawa Ravi merupakan seorang penipu sekaligus membersihkan nama Deedat dari fitnah kotor Ravi. Dalam sebuah artikel CTV News, Carson Weitnauer dari RZIM menulis bahawa Ravi adalah “penipu besar”, beliau menulis bahawa:

“The realization that Ravi Zacharias was not the greatest apologist of his generation — but rather one of its greatest frauds — has felt like a catastrophic betrayal, I have felt a sickening combination of revulsion and grief.”

Saya menyampaikan khabar yang indah ini kepada Theo. Theo tergamam, kemudian dia menulis:

“Interesting. It’s exactly why we need to look to God and not men. Even King David committed adultery with Bath-sheba and subsequently murdered her husband by proxy when he found out that she was pregnant with his child. Fortunately for him, God sent a prophet who exposed and rebuked him. Well, we would only know if Prof. Lee himself comes forward with the truth. But to you who are listening I say: Love your enemies, do good to those who hate you, bless those who curse you, pray for those who mistreat you. – Luke 6:27-28”.

Saya rasa sangat kelakar, kerana Lee tidak berani untuk keluar bagi membenarkan kisah fitnah karut Ravi. Saya pun membalas “So far Lee still didn’t dare to come forward. We will have to wait for forever. Until he came forward, its just an unsubstantiated lie by a known sexual abuser”.

Membaca tulisan saya, Theo bertukar defensif, dia perlu mencari alasan kenapa Lee tidak keluar untuk membuktikan tuduhan fitnah ini. Dia pun memetik Jakim yang tiada kena mengena langsung dengan kes ini. Theo menulis “Say he does comes forward, what is  JAKIM going to do? Apprehend Deedat? Compensate Prof. Lee? I highly doubt do, it better to remain silent”.

Menjawab falasi Theo yang cuba menyorok dibelakang Jakim kerana tidak berjaya membuktikan fitnah dari Ravi si pemangsa seks, saya menulis “Jakim has nothing to do with it. For me simple, if its true give evidence, if false, then keep giving excuses to not give them. But the words of this sex abuser will not hold water anymore. As such Deedat is in the clear. Even in his grave, Deedat is still winning. Thank God”.

Pasrah kerana kehabisan hujah, Theo hanya mampu memetik petikan Bible, dia menulis “For God will bring every deed into judgment, including every hidden thing, whether it is good or evil. Ecc 12:14”

Setelah bertahun-tahun Ravi Zacharias memfitnah Ahmed Deedat yang kemudian disebarkan oleh media-media kristian. Tanpa sebarang bukti, hanya dengan mempercayai perkataan Ravi, akhirnya Tuhan membantu Deedat dengan mendedahkan bahawa Ravi Zacharias tidak mempunyai kredibiliti, beliau bukan sahaja penipu besar tetapi juga pemangsa seks. Nampaknya Ahmed Deedat masih lagi memenangi perlawanan dengan kristian, dari kuburnya Ahmed Deedat tersenyum. Tuhan sendiri membersihkan namanya.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Berita

Pergaduhan Prof Ahmat Adam Dengan The Patriots

September 13, 2020 By Editor The Independent Insight

Gambar Sumber Facebook Prof Ahmat Adam.

Pada 13 September 2020, satu video dari Naratif Malaysia telah tersebar di dalam video tersebut Prof Ahmat Adam mengkritik The Patriots. Kata beliau “mereka berpijak di bumi yang ignorance, bumi kejahilan, mereka tidak tahu sejarah mahu cakap pasal sejarah, mereka tidak tahu pasal budaya mahu cakap pasal budaya, semata-mata untuk menunjukkan semuanya berperanan, atau berpangkal atau berpijak dari Melayu”.

Beliau menambah lagi “mereka mempropagandakan Melayu, its more like ego, jadi kalau kebangsaan biasanya kita memilih sifat-sifat atau ciri-ciri bangsa itu yang baik, kita tidak bangga dengan bangsa yang mencuri, yang menipu, bangsa yang takut menderhaka, dan tidak membaca, jahil, dan mereka ini asalkan Melayu sahaja hebat, tanpa mempersoalkan, tanpa memberikan fakta, jadi The Patriots ini gerombolan yang menghanyutkan orang, yang menipu orang dari segi pembohongan sejarah, membohongi sejarah”.

Kritikan panas ini menyebabkan ramai penulis-penulis dan ahli The Patriot menulis tulisan balas mempertahankan The Patriots, antaranya Mohamad Jamalee yang menulis di laman Facebook beliau:

“Ada orang tanya saya, apa pandangan atau jawapan saya kepada video Prof Ahmat Adam ni. Sejujurnya saya pun tak tau nak jawab apa. Cuba dengar apa Prof Ahmat kata pasal The Patriots (TP).

TP ni segerombolan penipu, yang tak tau sejarah, tak tau budaya, nak cakap pasal semua itu. Dah berbuih cakap, tapi saya ulang juga. Semua artikel sejarah kami bersumber. Sumber pula datang dari kajian-kajian ahli akademik sejarah yang saing-saing Prof Ahmat juga. Bukannya kami petik dari langit atau hasil dari berdialog dengan Jin. Banyak kali saya dan admin-admin lain cakap, kalau ada artikel sejarah kami yang anda rasa salah fakta, bidas sajalah dengan fakta yang betul. Datangkan hasil dan sumber kajian sendiri. Mudah. Ini tak. Taunya komen “Ini merepek. Ini menipu.” Samalah macam dalam video ni. Tak ada pembetulan fakta atau apa, relaks je label orang penipu dan sebagainya. Yang hos pun bangang ia kan saja. Kualiti ke laut.

2. Prof sambung lagi dengan kata kami cuba nak propagandakan semuanya asal dari Melayu. Siapa yang ikuti TP dan benar-benar baca artikel-artikel sejarah ketamadunan Melayu kami akan tahu benda ni tuduhan bodoh dan tak berasas, berakar dari orang yang tidak membaca. Bawakan artikel kami yang katakan SEMUANYA BERASAL DARI BANGSA MELAYU.

3. Prof sambung dengan kata kita kalau nak membentuk identiti kebangsaan, kena ambil sifat-sifat yang baik. Bukannya bangsa menipu, bangsa mencuri, bangsa tak berani menderhaka. Hos tambah pula, bangsa tak membaca. Prof Ahmat, kami di TP sentiasalah mengetengahkan ciri-ciri yang baik bangsa Melayu. Supaya ia menjadi contoh dan panduan untuk anak bangsa. Kalau ikutkan kefahaman saya, Prof Ahmat dan hos ni nak kata bangsa Melayu ni jangan diikut. Kerjanya menipu, mencuri, tak membaca dan kecut telur sebab tak menderhaka. Ni nak cerita pasal kesalahan fakta sejarah yang TP tulis ke nak ‘Malay-bashing’? Academician level taik apa yang diwawancara ni? “

Pergaduhan ini kemudian berlanjut diruangan komen.

Mohamad Jamalee: Apa yang Prof marah sangat dengan kami The Patriots ni? Banyak kali dah kata, siap kami pm Prof sendiri, ada artikel kami yang Prof rasa fakta tak betul, betulkan. Ini kerjanya komen “Merepek. Mengarut.”Prof, ramai yang bagi pendapat yang kami patut berwacana dengan Prof. Saya kata buat apa? Prof Ahmat Adam ni bukan jenis berlapang dada. Kerjanya nak ‘Malay-bashing’ saja. Baca artikel kami pun tidak tapi nak komen macam dia baca semua artikel-artikel kami. Sejelik-jelik ahli akademik. Saya ada masa perbincangan polemik nama Hang Tuah beberapa tahun lepas. Perbincangan yang sepatutnya semua bersetuju untuk bersetuju dengan hasil perbincangan tersebut. Ahli-ahli akademik dalam mesyuarat tu sebulat suara untuk kekalkan nama Tuah dan bukan Tuha. Nama Tuah ni nama yang negara Asia Tenggara acknowledge. Tapi Prof masih berdegil nak tegar dengan teori Tuha tu. Ada kami bantai kata Prof Ahmat ni ahli akademik syok sendiri walaupun semua ahli akademik lain berpendapat berlainan? Tak ada kan? Sebab masih ada rasa hormat. Dan lepas tengok video bantai Melayu ni macam orang Melayu ni saja mencuri, menipu, tak membaca, sekelumit hormat yang saya ada pada anda pudar. You’re just a grudgeful old man.

Prof Ahmat Adam: Pendapat berhubung degan sejarah yang tidak berasaskan penyelidikan rapi/objektif mesti ditentang kerana ia menyelewengkan sejarah satu-satu masyarakat/bangsa. Tidak ada kompromi dalam menegakkan kebenaran dalam sejarah; kecualilah jika ada pendapat yang tidak setuju itu diungkapkan dengan data yang bersifat sahih. Berhadapan atau bersemuka secara berbahas di hadapan khalayak adalah cara terbaik dalam merungkai apa-apa persoalan ilmiah.

Mohamad Jamalee: Dah kata banyak kali artikel-artikel kami semuanya bersumber dan daripada kajian-kajian Prof sejarah dan ahli akademik lain. Apa masalahnya? Apa pandangan hang saja betui ka? Walaupun 50 ahli akademik lain bersetuju nama laksamana itu Tuah bukan Tuha, tapi sebab hang rasa nama dia Tuha, ahli akademik lain tak betul. Macam tu ka?Sudah-sudahlah rasa diri sendiri paling betul dalam bidang sejarah ni. Bukan hang sorang saja pengkaji sejarah dalam dunia ni. Again, I repeat, kalau ada artikel kami yang fakta tak tepat, kemukakan yang tepat. Bagi sekali sumber dan kajian. Simple. As for your slanderous defamation in the video, we’ll take legal actions.

Prof Ahmat Adam: Dalam bidang akademik bukan berapa orang yang mengeluarkan pendapat yang penting. Yang utama ialah hasil research yang munasabah dan sukar ditolak. Pengalaman saya, bukan prof-prof bangsa saya saja yang tidak mampu memberikan bukti tetapi profesor-proferor Barat yang menjadi idola atau guru mereka pun lebih tidak boleh dipercayai. Bacalah tulisantulisan saya mengenai Orientalism dalam kajian sejarah & sastera orang Melayu. Sudahkah anda baca buku-buku saya sebelum membuat ulasan? Buku saya yang bakal terbit sebulan dua lagi nanti akan mendedahkan lebih banyak hujah mengapa istilah “tuha” lebih tepat/sahih untuk gelar (nickname) laksamana Melaka – bukan “tuah”. Bacalah jika mahu bersikap adil.

Mohamad Jamalee: Kami ada lah buku-buku Prof. Malahan ada juga artikel kami yang gunakan buku Prof. Ada sekali tu Prof sendiri hentam pandangan dalam buku Prof sendiri. Betulah tu dalam bidang akademik bukan berapa orang yang kata benda tu betul atau tidak. Yang penting kajian .Tapi kalau dah 50 orang buat kajian kata satu-satu benda tu betul, hanya 1 orang buat kajian kata benda tu salah pun tak guna juga.

Prof Ahmat Adam: Cuba ketepikan sentimen. Tidakkah ada kemungkinannya 50 orang yang mengatakan nama Laksamana itu Hang Tuah itu salah? Saya berpendirian gelar (nickname) nya ialahTuha. Tentang mengapa saya berkata demikian, bacalah Hikayat Hang Tuha (2018). Tidak ada ruginya.

Mohamad Jamalee: Sembang ketepikan sentimen? Apa kata you walk the talk Prof. Dalam video ni you panggil Melayu menipu, mencuri, tak membaca, tu bukan sentimen ke? Apa bangsa lain tak ada ciri-ciri ni ke?You start walking the talk, then we’ll talk. Kalau you sendiri kuat main sentimen, kuat dendam entah apa pasal, takyah sembang. Saya yakin, artikel-artikel kami you tak baca pun. Sebab tu bila minta tulis bidasan you tak boleh buat. Lepas tu ada hati kata Melayu tak membaca. Lepas tu ada hati kata jangan main sentimen. Padahal you label orang suka-suka hati you je. Prof jenis apa you ni? Ni jangan ada kata saya kurang ajar dengan Prof pulak ya. Prof yang kata Melayu tak beranj menderhaka. I’m just trying to prove him wrong. Apa ingat level Prof tak ada orang berani “menderhaka” ke?

Prof Ahmat Adam: Apa yang anda tulis sudah anda tunjukkan dalam hujah-hujah anda. Lantaran faktanya jelas salah? Kalau saya baca makalah anda saya membuang masa saja. Tetapi jika anda ada menghasilkan buku ilmiah saya akan baca. Saya tak pernah buat video yang mengatakan orang Melayu menipu. Tetapi saya ada menulis orang seperti anda dalam The Patriots membohongi sejarah.

Mohamad Jamalee: Celah mana yang kata salah? Ada masalah membaca ke? In fact, Prof sendiri yang mengaku tak membaca artikel-artikel kami. So sembang apa penipu apa bagai ni? Tak baca. Tapi kata merepek dan menipu. Bila ditanya apa yang merepek dan menipu senyap seribu bahasa. Taunya main sentimen saja. You’re the worst kind of academician.

Prof Ahmat Adam: Saya tak baca buku-buku picisan terbitan the Patriots yang tidak ada kena mengena dengan teori atau kajian saya.

Mohamad Jamalee: There you go. Thanks for the info. Tak baca buku dan artikel kami, tapi dalam video label kami penipu, tak bercakap berasaskan fakta, menulis ikut suka. The best reply ever from someone who blatantly condemns Malays “Tak Nak Membaca”.

Prof Ahmat Adam: Untuk erti derhaka dalam budaya Melayu sudah saya telah jelaskan dalam Hikayat Hang Tuha.

Mohamad Jamalee: Apa benda kata tak kata Melayu menipu pulak ni, berpusing-pusing. Dalam video ni terang-terang kata kalau nak bina kebangsaan, kena ambil yang baik-baik. Bukannya ambil yang menipu, mencuri, tak membaca. Eh kami tulis yang baik-baiklah tentang Melayu selama ni. Tak ada pun suruh Melayu menipu dan mencuri.

Prof Ahmat Adam: Jangan salah faham. Memang saya tak baca tulisan anda yang bukan ilmiah. Saya hanya baca tulisan-tulisan yang berdasarkam hujah ilmiah yang berasaskan research. Apa research yang anda telah lakukan? Sila beritahu saya.

Mohamad Jamalee: Tak usah pusing Prof. Bottom line dia mudah je. You kritik, up to a point calling us as liars, tapi tak baca artikel dan buku kami. You tak nak baca sebab you rasa tak sesuai dengan tatacara penulisan akademik, no problem. Kami pun dah banyak kali kata kami bukan buat tesis. Kami menulis untuk memudahkan rakyat kebanyakan baca. But calling us liars and our articles “merepek dan menipu” without even reading them shows a lot about what kind of person and academician you are. Noktah. By the way, your video towards us is very slanderous and misleading. And you yourself admit that you don’t even read our articles and books. So thanks.

Prof Ahmat Adam: Saya tak tahupun saya ada masuk video. Memang dalam ucapan saya kepada khalayak yang membincangkan soal ilmiah saya ada berhujah bahawa Melayu perlu mengejar kemajuan degan menyisih atau membuang nilai-nilai & budaya yang lapuk dan mundur.

Mohamad Jamalee: Kita bincang lawyer to lawyer saja. Saya ada banyak kerja lain nak buat. Tak ada masa nak berdebat dengan orang yang tak baca artikel dan buku kami, tapi masuk video sampai panggil kami penipu.

Prof Ahmat Adam: Saya tak tahu pun saya dirakam dalam video baru-baru ini. Dalam ceramah-ceramah yang saya berikan kepada khalayak di London (sudah lebih 10 tahun dulu) saya ada menyatakan bahawa orang Melayu hanya boleh maju jika sistem nilai yang usang, bobrok dan anti-kemajuan disisihkan. Dan ini saya ulangi dalam tulisan-tulisan di wall Facebook. Memang saya sering mengkritik amalan penipuan, eksploitasi dan korupsi pemimpin Melayu dalam sejarah. Apakah menyinggung perasaan anda?

Mohamad Jamalee: Kami pun selalu saja nasihatkan orang macam tu. Tapi saya ada satu nasihat untuk you juga. Apa kata you amalkan dulu kritikan you pada orang Melayu. Cuba baca dulu artikel dan buku The Patriots dulu sebelum nak panggil orang penipu, merepek dan sebagainya. Learn to practice what you preach. Have a good day.

Prof Ahmat Adam: Saya.sudah beritahu banyak kali bahawa saya tiada masa untuk baca karya-karya yang bukan ilmah. Anda sendiri mendiamkan diri apa buku anda yang ilmiah – tidak pakai emosi , sentimen – but based on research. Mereka yang bukan bona fide historians tak tahu apa yang mereka tulis. Ini saya kritik. Sejarah memerlukan bukti. Orang India yang menulis tentang asal usul Melayu itu pun mengarut saja. Tak perlu tanya “kat mana”. Sarjana tulen hanya membaca buku-buku yang bermanfaat saja. Fikirkanlah. “lawyer to lawyer”? Maksudnya bukan mahu bercakap benar dan tentang perkara-perkara yang benar? Pengalaman mengajar orang yang dah tua seperti saya mana yang karut dan mana yg betul/sahih. Yang karut jagan dibaca. Buang masa saja. Saya dah lìhat video yang dirakam di rumah saya. Terima kasih banyak kpd saudara yang memasukkan video itu. I stand by every word that I uttered in my criticism of The Patriots and also on the negative attitude of the Malays with their archaic feudalistic system of values. Saya akan ulangi kata-kata dalam video itu di mana saja saya diminta bercakap tentang hal yang sama. Saya sudah dan sedang mengkaji tentang sistem nilai orang Melayu berdasarkan manuskrip lama dan jika diberikan usia lanjut oleh Allah SWT mungkin saya akan terbitkan sebagai sebuah buku.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Berita

  • « Previous Page
  • 1
  • 2
  • 3
  • 4
  • 5
  • 6
  • Next Page »

Recent Posts

  • Kumpulan Samseng Haram ‘Skuad Langgar’ Mengganas, Dikecam Teruk Netizen
  • Ucapan “Assalamulaikum” Dalam Dunia Yang Kian Bergolak
  • Skuad Langgar Menyamun, Akhirnya Ditangkap Polis
  • Team Surplus Langkawi Didakwa Ugut Mahu Belasah Penduduk
  • Team Surplus Langkawi Menyebarkan Fitnah, Dua Laporan Polis Dibuat

Archives

Copyright © 2026 The Independent Insight