The Independent Insight

Giving truth a voice

  • Email
  • Facebook
  • Flickr
  • Instagram
  • Phone
  • Twitter
  • Vimeo
  • YouTube
  • Berita
  • Politik
  • Ekonomi
  • Teknologi
  • Reviu
    • Reviu Buku
    • Reviu Filem
    • Reviu Muzik
  • Rencana
  • Podcast
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami

Falsafah Bahasa Za’ba

December 11, 2022 By Editor The Independent Insight

Tulisan ini hasil laporan dari syarahan bersama Dr. Tarmizi Hasrah yang bertajuk “Falsafah Bahasa Za’ba”.

Falsafah bahasa Zaba agak kurang dibicara sama ada di dalam dunia akademik atau secara umum. Cuma yang banyak dibicarakan tentang Za’ba adalah dari sudut linguistik atau tatabahasa dan juga pemikiran beliau tentang kemunduran dan kemiskinan masyarakat Melayu.

Bertitik tolak dari itu, kita seharusnya melihat kembali ungkapan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang memuji Za’ba dalam sebuah syarahan bahawa karangannya yang diberi nama Pelita Bahasa Melayu itu sungguh benar pelita yang menerangi suasana kelam keliru dan menunjuk jalan ke arah kesedaran orang Melayu akan nilai bahasanya yang merupakan jiwa bangsa itu. Dalam hal ini, Al-Attas merupakan seorang yang mengerti tentang falsafah bahasa Za’ba. Walaupun buku Pelita Bahasa Melayu membicarakan soal bahasa, namun ia turut menyentuk aspek pemikiran.

Tulisan pada kali ini akan menyentuh tentang hubungan bahasa dengan pemikiran. Antara masalah yang terpaksa ditempuhi oleh pengkaji adalah persoalan tentang apakah Za’ba mempunyai falsafah bahasa? Hal ini kerana Za’ba tidak pernah menerbitkan sebarang karya khusus yang membicarakan tentang falsafah bahasa. Boleh jadi Za’ba tidak menulis karya yang sedemikian adalah disebabkan tradisi kepengarangan Melayu. Contohnya seperti Sheikh Daud al-Fathani yang mana idea tentang falsafah bahasa beliau yang banyak dijumpai dalam fatwa-fatwanya sedangkan beliau tidak mempunyai karya khusus yang membincangkan tentang falsafah bahasa.

Namun jika kita meneliti secara jelas dalam Pelita Bahasa Melayu, terdapat penerapan falsafah linguistik di dalamnya. Penggunaan data dalam Pelita Bahasa Melayu menjadi bukti bahawa karya tersebut mengandungi falsafah linguistik. Jika ada falsafah linguistik, sudah semestinya ada falsafah bahasa. Kebiasaannya, falsafah linguistik itu diterbitkan daripada kefahaman yang mendalam mengenai hakikat bahasa itu sendiri.

Namun begitu, dimanakah kedudukan falsafah bahasa Zaba jika Za’ba sendiri tidak pernah mengarang sebarang karya pun berkaitan dengan falsafah bahasa? Falsafah bahasa Za’ba kebanyakan tersirat dalam pelbagai karyanya. Maka sudah menjadi tanggungjawab pengkaji untuk menafsir sendiri karya-karya milik Za’ba jika ingin mengetahui falsafah bahasanya.

Falsafah bahasa Za’ba mempunyai hubungan yang rapat dengan keadaan semasa pada ketika itu yang dilanda gelombang reformisme atau proses pengislahan masyarakat muslim seluruh dunia. Idea pengislahan adalah bertujuan untuk membebaskan pemikiran masyarakat daripada kejumudan dan taqlid buta. Bagi membebaskan pemikiran, proses berfikir harus berlaku. Jadi perkara pertama yang perlu dilakukan adalah mengislahkan bahasa.

Memetik tulisan Al-Attas, apabila bahasa sudah disekularkan, pemikiran juga turut sama disekularkan. Begitu pulalah sebaliknya. Maka untuk mengislahkan pemikiran, mahu atau tidak, mesti bermula dengan pengislahan bahasa. Dari sinilah Za’ba menulis karya agung bahasanya, iaitu Pelita Bahasa Melayu yang bertujuan untuk mengislahkan bahasa.

Konsep tatabahasa yang terkandung dalam Pelita Bahasa dikategorikan sebagai nahu tradisional kerana sesuai digunakan bagi peringkat sekolah dan maktab untuk tujuan pembelajaran bahasa. Nahu yang digunapakai oleh Za’ba bersifat perskriptif berbanding konsep deskriptif yang melihat sesuatu bahasa itu digunakan oleh penuturnya secara alamiah.

Di dalam buku Pelita ini, Za’ba merangka peraturan yang mana peraturan itu dianggap benar oleh beliau berdasarkan pengalaman dan ilmu yang beliau miliki. Penutur bahasa Melayu harus mengikuti peraturan tersebut. Tujuan karya ini dikarang adalah untuk membetulkan cara dan gaya penutur bahasa Melayu agar menggunakan bahasa tersebut dengan betul supaya sesuatu perkara dapat disampaikan dengan sempurna.

Walaubagaimana pun, apakah timbangan untuk memastikan sesuatu bahasa itu betul dan siapakah yang selayaknya menentukan perkara tersebut? Yang dikatakan bahasa yang betul adalah betul dari sudut struktur ayat dan tepat dari segi makna. Orang yang layak untuk menilai kebenaran sesuatu bahasa pula mestilah yang mempunyai wibawalisme dalam sesuatu bidang atau secara umumnya ahli bahasa. Penggunaan bahasa yang betul ini adalah perlu kerana ia mencerminkan lurusnya pemikiran penutur.

Jika diteliti karya Za’ba, kita boleh mengelompokkan Za’ba dalam kumpulan pengikut Herderian yang totok. Menurut Herder, hakikat sesebuah pemikiran itu ditambat dan tergantung pada bahasa. Secara mudahnya, dengan bahasalah manusia berfikir, tanpa bahasa manusia tidak boleh berfikir. Namun fahaman seperti ini telah banyak disanggah oleh sarjana yang terkemudian.

Berbalik semula kepada pengislahan bahasa, metode yang dipakai oleh Za’ba adalah pemeringkatan. Za’ba bermula dengan perkataan kemudian baru disudahi dengan ayat-ayat. Hal ini kerana, perkataan adalah unit asas dalam bahasa sebelum berkembang menjadi ayat. Sesebuah perkataan menjadi bermakna jika ia digunakan dalam konteks ayat yang betul. Sebab itulah Raja Ali Haji menulis Kitab Pengetahuan Bahasa yang memuatkan perkataan-perkataan beserta takrifnya kerana dengan takriflah dapat memberi makna perkataan dengan tepat.

Ketepatan ayat tebit dari ketepatan perkataan yang kita gunakan untuk ayat tersebut dan daripada ayat inilah dunia dihidupkan. Perkataan adalah cerminan dunia. Dalam Pelita Bahasa ada tiga kaedah yang diutarakan oleh Za’ba untuk membina ayat yang betul iaitu tertib, penguncian dan persuaian. Selain itu, Za’ba juga memberi penekanan kepada inti perkataan iaitu nama, perbuatan dan sifat.

Kesimpulannya, walaupun Za’ba tidak memiliki karya yang khusus bagi membicarakan soal falsafah bahasa, namun nilai-nilai falsafah tersebut dapat ditelusuri dalam karya agung beliau iaitu Pelita Bahasa Melayu. Karya ini menjadi bukti bahawa Za’ba merupakan seorang yang berkemahiran tinggi dalam bidang bahasa dan menggunakan bahasa sebagai jalan bagi memajukan masyarakat Melayu pada masa itu.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Rencana

Siri Syarahan Susastera 6: Pendekatan Falsafah dan Pemikiran di dalam Teks Melayu Klasik

November 22, 2022 By Editor The Independent Insight

Tulisan ini merupakan laporan hasil syarahan bersama Dato Baharuddin Ahmad yang bertajuk Pendekatan Falsafah dan Pemikiran di dalam Teks Melayu Klasik pada 21 Ogos 2022.

Dalam bidang sastera Melayu klasik kita akan mendapati kesukaran untuk memberi takrifan yang tepat kepada falsafah dan pemikiran. Hal ini kerana, sebahagian sarjana menilai karya sastera Melayu klasik dengan menggunapakai kaca mata sastera Barat moden. Sastera Melayu klasik hanya dinilai sebagai sebuah hiburan dan tak lebih hanya untuk membesarkan sesebuah kerajaan Melayu lama semata-mata. Akibatnya kita akan terlepas untuk memberi perhatian kepada peri penting makna sastera, tujuan sastera dan juga hubungan sastera dengan masyarakat.

Sebuah persoalan yang harus ditanyakan semasa menilai sastera klasik adalah mengapa orang zaman lampau menulis tentang sesuatu perkara yang tidak realistik. A.Teeuw, Ismail Hussin dan Taib Osman antara sarjana yang cuba menilai sastera Melayu klasik, namun mereka tidak menemukan pendekatan yang lurus tentang bagaimana menilai sastera klasik, apakah falsafah pemikiran di sebalik sastera dan mengapa ciri-ciri penulisan sastera klasik tidak bersifat realistik. Pusat-pusat pengajian tinggi ketika ini banyak menggunakan pendekatan moden terhadap sastera klasik. Hasilnya, perspektif yang dikemukakan oleh sarjana tersebut tidak selari dengan perspektif yang sewajarnya yang harus diletakkan ke atas sastera klasik.

Berbanding dengan beberapa buah negara lain seperti Turki dan Iran yang menghidupkan sastera klasik dalam kalangan masyarakat. Kita perhatikan bagaimana syair-syair Rumi, Yunus Emre dan Mahmud Shabistari dicetak semula malah sebahagiannya ditayangkan secara umum di jalanan. Mereka memberikan penilaian yang tinggi terhadap sastera klasik kerana sistem spiritual dan tasawuf hidup dalam kalangan masyarakat setempat.

Dalam menilai sastera Melayu klasik, fokus banyak diberikan kepada makna kehidupan, mengapa kita dihidupkan, dari mana kita datang dan ke mana kita akan kembali. Masyarakat tradisi melihat dan mengambil perhatian terhadap semua konsep utama kehidupan yang terdapat dalam sastera seperti masa, ruang, sejarah, bahasa, musik, seni bina dan lain-lain yang mana semuanya dilihat dari perspektif yang berbeza dengan apa yang kita lihat sekarang ini. Perkara inilah yang ditampilkan dalam sastera klasik berbanding sastera moden yang dilihat kurang mengangkat makna kehidupan.

Memang benar, sastera dan juga aktiviti kesenian yang lain bertujuan untuk hiburan. Tanpa hiburan, manusia tidak akan tertarik untuk melihat dan mendengar sesuatu perkara. Hiburan adalah sebuah keindahan untuk dinikmati. Walaubagaimana pun, sastera juga berperanan dalam pembangunan sesebuah negara. Bagaimana hal ini boleh berlaku? Ramai yang menyangka bahawa tiang utama untuk membangunkan sesebuah negara adalah politik dan ekonomi dan menafikan peranan sastera.

Perkara ini kurang tepat. Seperti mana jatuh bangun sesebuah negara bergantung kepada perubahan keadaan politik dan ekonomi, begitu juga kebergantungannya kepada sastera. Sastera sesungguhnya memberi perubahan kepada diri insan yang membacanya. Maksud perubahan di sini adalah perubahan tentang diri manusia daripada kedudukan kefahaman manusia tentang dirinya yang rendah kepada yang lebih tinggi. Hanya diri insan yang mempunyai nilai budi yang tinggi sahaja yang dapat melahirkan masyarakat yang tinggi akhlaknya seterusnya memacu kepada ketamadunan sesebuah negara. Justeru, kita tidak menafikan sama sekali elemen hiburan yang terdapat dalam sastera tetapi yang lebih penting adalah elemen diri manusia dan perjuangan manusia dalam kehidupan.

Dalam sastera moden pula banyak menekankan sifat-sifat individualistik yang hanya menumpukan kepada kebijakan sang penulis bagi melahirkan karya-karya yang memukau. Berbeza dengan sastera klasik yang tidak hanya menghidangkan keindahan bahasa kepada manusia, tetapi juga merupakan sebuah pancaran daripada Zat yang paling tinggi ke atas manusia agar mereka mengetahui tujuan akhir kehidupan iaitu mengenal Tuhan.

Seperti mana kehidupan luaran atau zahir yang sentiasa berubah, begitu juga sastera tradisional yang sentiasa membawa perubahan dalam diri manusia dari sudut makna dan hieraki kehidupan. Disebabkan perkara ini, fahaman dan definisi tentang manusia dan kehidupan, semuanya terkandung dalam karya-karya sastera dan dijelmakan dalam kehidupan manusia. Tambahan dari itu, sastera klasik juga tidak terlepas daripada menyentuh persoalan tentang kosmologi. Antara kitab yang membahas tentang kosmologi adalah seperti kitab Qisas al-Anbiya’, Hikayat Nur Muhammad, Taj al-‘Arus, Taj al-Salatin, Hikayat Kejadian Tujuh Petala Langit dan Kitab al-Akhirah.

Hakikatnya, sastera klasik harus dibaca oleh semua golongan kerana bacaan seperti ini dapat mengembalikan diri kita kepada satu pemikiran yang memberi fokus terhadap pencarian makna diri dan perjuangan spiritual. Dalam sastera klasik juga, manusia sentiasa diingatkan tentang asal-usul dirinya kerana perbincangan tentang diri sendiri adalah wacana yang paling penting sekali dalam sesebuah kehidupan.

Segalanya akan kembali kepada agama termasuklah sastera klasik. Tanpa agama, boleh jadi orang Eropah akan terus-menerus berperang. Namun melalui agama, terdapat kewaspadaan dalam diri manusia daripada terus-menerus membunuh berjuta-juta lagi nyawa yang tidak berdosa. Agama merupakan dinding dan pelindung kepada tindak-tanduk manusia. Agama mesti ada dalam sesebuah masyarakat dan untuk ada dalam masyarakat, sastera menjadi jalan yang terbaik untuk menyampaikan agama. Makanya kita harus menilai sastera klasik secara berterusan.

Berbicara tentang karya Hamzah Fansuri pula, kita akan mendapati terdapat nilai-nilai intelektual, universal, diri individu dan rasional. Namun kita tidak boleh mengatakan bahawa karya beliau tergolong dalam karya sastera moden kerana ciri-ciri sastera klasik menebal dalam karya-karya beliau. Bagaimana pula dengan Abdullah Munsyi? Apakah karya-karya beliau tergolong dalam sastera klasik atau moden? Bagi menjawab persoalan ini, jika kita melihat dari segi jurnal, ia boleh dikategorikan sebagai klasik kerana memakai judul ‘Hikayat’ dan ‘Kisah’. Begitu juga dari sudut bahasa penulisannya yang masih dalam kategori klasik. Tetapi dari segi pemikiran, beliau telah memasukkan pemikiran moden.

Kerana itulah Abdullah Munsyi dipuji oleh segolongan sarjana Barat kerana beliau telah berjaya keluar dari satu zaman dan memasuki ke satu zaman yang baharu. Satu rombakan telah berlaku dalam dunia sastera Melayu apabila memasuki zaman moden. Mana-mana ayat yang tidak memberi makna dan bersifat pengulangan akan dipadamkan dari sastera Melayu moden. Perkara ini diakui sendiri oleh Winstedt dengan mengatakan bahawa karya-karya klasik Melayu banyak membicarakan perkara-perkara yang tidak masuk akal.

Jika ditanya apakah karya Abdullah Munsyi setanding dengan karya Hamzah Fansuri? Jawabnya Tidak. Abdullah Munsyi bukan seorang teolog. Beliau seorang pengkritik sosial dan kritikan yang beliau berikan terhadap masyarakat Melayu agak berlapik. Beliau tidak bermaksud untuk menghina orang Melayu tetapi bertujuan membuka fikiran orang Melayu. Kerana itulah beliau jarang sekali menghasilkan karya-karya berunsur kesufian seperti Hamzah Fansuri. Hamzah merupakan seorang yang luas ilmu pengetahuannya dan mendalami beberapa bidang seperti fiqh, akidah dan tasawuf disamping mendalami aspek-aspek miskital dalam Islam. Walaupun Abdullah Munsyi tidak mendalami bidang tasawuf, beliau juga ada memuji dan meminati karya-karya klasik yang berunsur kesufian seperti Taj Salatin dan Kalilah wa Dimnah. Abdullah Munsyi juga tidak bercakap secara konseptual kerana jurnal yang dibawa beliau lebih kepada bentuk novel walaupun dinamakan hikayat.

Sebelum kemunculan karya-karya Hamzah, pemikiran agama telah lama memasuki ke dalam kesusasteraan Melayu terutamanya pada zaman Hindu Buddha. Kehebatan bangsa Melayu itu bukan hanya berkisar tentang DNA atau asal-usulnya sahaja. Jika kita hanya menitikberatkan fasal DNA semata-mata, ia tidak membawa apa-apa makna. Perkara yang bernilai dalam mengangkat identiti Melayu adalah dengan mengangkat budaya, pemikiran, fahaman, bahasa, dan sastera Melayu. Pemikiran orang-orang Melayu itu dapat dijelmakan dalam penulisan sastera mereka.

Kesimpulannya, karya-karya sastera Melayu klasik yang dikatakan sebahagian sarjana tidak mengandung apa-apa makna dan tidak bersifat rasional, sesungguhnya menyimpang 1001 nilai-nilai falsafah dan kebudayaan orang Melayu. Melalui sasteralah orang-orang Melayu menyampaikan ajaran agama dan nilai-nilai murni dengan susunan kata yang indah dan manis kerana hanya dengan keindahan yang mampu memikat hati pendengar dan pembaca untuk menghargai sesuatu karya.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Rencana

Tan Sri A. Samad Ismail dan Dunia Kewartawanan

October 16, 2022 By Editor The Independent Insight

Tan Sri A. Samad Ismail bukan sahaja dikenali sebagai seorang wartawan malah beliau juga merupakan seorang ahli politik yang bermain di belakang tabir dan juga perancang utama dalam gerakan-gerakan menentangan penjajah. Disamping itu, beliau merupakan pembimbing dan pencetus dalam perjuangan Bahasa Melayu sejak tahun 40-an lagi.

Kerjaya Pak samad sebagai wartawan bermula sejak berumur 16 tahun lagi. Beliau yang berkelulusan Victoria Scholl tidak tunggu lama untuk menyinar kerana mendapat didikan terus dari Bapa Kewartawanan Melayu, Abdul Rahim Kajai. Didikan yang diberikan oleh Rahim Kajai amat keras dan perangai tersebut telah diwarisi oleh Pak Samad sendiri secara langsung.

Semasa zaman penjajahan British, pihak pemerintah banyak membuat sekatan terhadap gerak-geri penulis. Maka tidak semua laporan boleh ditulis dalam bentuk fakta dan esei. Akhirnya, laporan tersebut harus diolah dan ditulis dalam bentuk penulisan kreatif. Para penulis pada ketika itu banyak menceburkan diri dalam bidang penulisan kreatif bagi meniupkan semangat api nasionalisme. Penulisan kreatif yang cuba ditampilkan oleh Pak Samad berbeza dengan gaya yang ditampil oleh penulis lain seperti A. Samad Said atau Arena Wati. Bahasanya bersifat kewartawanan dan kurang terdapat unsur-unsur berbunga.

Sepanjang penglibatannya bersama Utusan Melayu, Pak Samad tidak banyak berkonflik dengan pihak akhbar kerana Utusan Melayu pada masa itu ditubuhkan oleh dana-dana orang Melayu sendiri dan perjuangan yang dibawa dalam utusan Melayu adalah perjuangan orang Melayu. Jika diimbau kembali, wartawan pada masa dahulu bukan sahaja berperanan sebagai seorang wartawan semata-mata, malah lebih dari itu. Mereka juga diangkat sebagai pejuang kebangsaan kerana peranan mereka menyemarakkan api kemerdekaan di dalam penulisan mereka.

Mengutip pandangan Ku Semam berkaitan soal kebebasan media dan akhbar, beliau berpandangan bahawa tidak ada yang dinamakan sebagai kebebasan mutlak kerana yang ada hanyalah tanggungjawab wartawan dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Beliau menambah bahawa wartawan bukan sahaja sebagai pelapor, tetapi mereka inilah yang membentuk pemikiran rakyat. Dikeranakan kualiti wartawan yang ada pada masa sekarang, masyarakat merasakan mereka tidak memerlukan wartawan kerana maklumat-maklumat semasa boleh dicapai tanpa penglibatan wartawan.

Namun apabila menyingkap tentang kebebasan media, tangan-tangan politikus memainkan peranan penting dalam membungkam kreativiti dan keberanian wartawan terutamanya pasca kemerdekaan sehingga kini. Utusan Melayu yang pada suatu ketika dahulu lantang bersuara mengangkat suara-suara orang Melayu, kini terpaksa tunduk kepada kehendak ahli politik.

Sepanjang hayat Pak Samad, beliau kurang terlibat dengan mana-mana parti politik. Jika ada sekalipun adalah peranan beliau bersama Lee Kuan Yew ketika menubuh People Action Party (PAP). Namun akhirnya, beliau memisahkan diri dari PAP kerana kedua-duanya mempunyai tujuan mereka masing-masing. Kerana takutkan pengaruh dan kebijaksanaan dari Pak Samad, presiden Singapura telah mencari helah untuk mengasingkan Pak Samad ke Indonesia dan berkhidmat sebagai koresponden. Tidak cukup dengan itu sahaja, beliau juga pernah dipenjara sebanyak dua kali semasa zaman pemerintahan British. Selain itu, beliau pernah menjawat jawatan Ketua UMNO cawangan Singapura tetapi hanya untuk beberapa tahun sahaja.

Semasa pendudukan Jepun, Pak Samad meneruskan kerjayanya sebagai wartawan bersama Berita Malay yang menjadi lidah rasmi pemerintah Jepun pada masa itu. Namun ia tidak bermaksud yang Pak Samad bersekongkol dengan pihak Jepun melainkan hanyalah sebuah wadah atau jalan bagi menyampaikan ideologinya kepada masyarakat untuk mengangkat perjuangan orang Melayu. Dalam hal ini, beliau membuat keputusan untuk memilih mudharat yang lebih kecil berbanding bekerjasama dengan British. Disamping itu kesan buruk yang dibawa oleh British lebih besar berbanding Jepun

Sepanjang kerjaya, beliau banyak memperjuangkan hak-hak orang Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan orang Melayu. Antaranya seperti penglibatan beliau dalam penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia, PENA dan ASAS 50. Pak Samad juga berperanan besar dalam menggilap bakat-bakat penulis muda dalam bidang kewartawanan yang kelak menggantikan kedudukan beliau sebagai ketua pengarang dan editor.

Pada tahun 1961 telah terjadi suatu peristiwa hitam dalam sejarah Utusan Melayu apabila sebuah mogok telah tercetus yang dipimpin oleh Usman Awang selama 90 hari. Tujuan mogok ini adalah bagi menentang campur tangan orang politik dalam dunia editorial surat khabar. Campur tangan daripada ahli politik adalah perlu bagi menghalang berita-berita yang tidak enak berkaitan politik tanah air sampai kepada masyarakat.

Selain terlibat dengan Utusan Melayu, beliau juga pernah bergabung dengan New Straits Times Malaya dengan sebuah identiti yang terpisah daripada New Straits Times di Singapura. Pak samad ada menulis sebanyak 11 novel antaranya adalah Ingin Jadi Pujangga yang melakarkan seluruh kehidupannya, Patah Sayap Terbang Jua yang menerangkan tentang perjuangan wartawan pada zaman Inggeris serta Kail Panjang Sejengkal yang mengisahkan tentang perjuangan mengangkat bahasa Melayu.

Ku Seman turut menambah bahawa wartawan seharusnya berada pada kedudukan yang keempat selepas kehakiman, undang-undang dan legislatif. Hal ini bermakna wartawan seharusnya memberikan laporan kepada rakyat tentang apa yang dilakukan oleh pemerintah. Wartawan mesti berpihak. Tidak ada istilah wartawan yang neutral dan yang dimaksudkan dengan berpihak itu adalah wartawan harus berpihak kepada kebenaran. Wartwan juga adalah pemikir dan pejuang. Memetik kata-kata A.Samad Said dalam karya Hujan Pagi, “wartawan yang makan gaji terpaksa makan hati”. Begitulah yang dapat diungkapkan tentang perjuangan yang harus ditempuhi oleh seorang wartawan.

*Tulisan ini adalah wawancara bersama dengan Ku Seman.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Rencana

Peri-Makna dan Kepentingan Sastera di Alam Melayu

October 16, 2022 By Editor The Independent Insight

Sastera yang sepatutunya kita kenali pada hari ini tidak seharusnya dipandang sebagai suatu bidang picisan dan terpinggir. Jika kita lihat dalam bidang pengajian Melayu, ramai diantara mereka merupakan pengkritik sastera moden dan bukannya dalam kalangan pengkritik sastera tradisional atau klasik. Hakikatnya sebahagian pengkritik sastera klasik juga tidak memahami apa yang dikatakan sebagai sastera klasik. Mereka menganggap bahawa sastera klasik hanyalah sebagai satu pemikiran yang bersifat sosial, keakuan, keheroan dan satria sehingga sebahagian mereka memahami sastera klasik ini hanya menceritakan tentang watak hero masa lampau sehingga mereka lupa bahawa sastera klasik sebenarnya bertujuan menceritakan tentang diri manusia keseluruhannya. Selain kalimah kesusasteraan, ia juga dikenali sebagai persuratan oleh sebahagian sarjana. Fungsi persuratan adalah untuk menyingkap perkara-perkara yang tersirat terutamanya berkaitan dengan rahsia kejadian dan kewujudan alam.

Mengambil contoh dari tradisi ajaran Hindu atau Buddha kita akan dapati tujuan sastera adalah untuk memahami diri manusia dan alam sehingga diri manusia mampu untuk mencapai ke alam yang tertinggi iaitu kebebasan jiwa. Hal ini kerana persoalan yang paling besar yang selalu bermain dalam kehidupan manusia adalah persoalan tentang tujuan hidup. Ini menjadi bukti ketidakpisahan antara sastera dan agama. Dalam agama Hindu ada tiga unsur yang ditekankan iaitu sastera, sutra dan yoga. Sastera merupakan manifestasi luaran yang menceritakan tentang kejadian yang berlaku secara zahir. Sutra pula adalah jalan untuk mencapai ke alam yang tertinggi manakala yoga pula adalah dialektika dan pengalaman dalaman atau batin. Dari sini kita membuat satu kesimpulan ringkas bahawa sastera itu merupakan manifestasi daripada kata-kata yang menggambarkan segala perkara yang berlaku di dalam diri manusia.

Berbalik kepada tradisi Islam, di dalam Al-Quran ada disebutkan bahawa para nabi diutuskan kepada sesebuah bangsa menggunakan bahasa mereka sendiri. Di sini kita juga harus bersetuju bahawa mana mungkin seorang nabi atau rasul yang membawa peringatan dari Tuhan, menggunakan bahasa yang tidak difahami oleh bangsa tersebut. Walaupun bahasa yang digunakan oleh setiap bangsa itu berbeza-beza, namun mesej yang hendak disampaikan adalah sama iaitu mesej kesatuan dan pengakuan tentang keesaan Tuhan. Dalam dunia sastera Melayu klasik ramai ulama Melayu tradisional membicarakan tentang ke’satu’an dengan menggunapakai istilah ‘ada’, ‘wujud’, atau ‘ma hiya’. Kesemua ini bertujuan untuk membawa pembaca mengenal Yang Satu.

Apabila munculnya zaman revolusi perindustrian atau zaman permodenan di Barat, kita dapati hampir semua perkara di dunia ini mesti dibuktikan secara objektif menggunapakai kaedah demonstrasi atau eksperimen. Kita tidaklah menafikan penggunaan kaedah-kaedah tersebut untuk mengetahui sesuatu kebenaran. Namun kita harus sedar bahawa di sisi lain, kita mempunyai satu lagi kaedah yang dipanggil sebagai pengalaman rohani atau ilham untuk mengenali diri. Masyarakat klasik pada zaman dahulu mengenali diri mereka dengan menggunapakai kaedah ini. Hal ini penting berdasarkan sebuah ungkapan, “Barangsiapa yang tidak mengenali diri sendiri, dia tidak mengenali Tuhannya”. Ini terbukti jika kita perhati dari zaman Hamzah Fansuri sehingga ke zaman Amir Hamzah, semuanya menceritakan tentang pengalaman diri dengan Tuhan atau perkara-perkara yang berkaitan dengan tasawauf.

Tambahan lagi, sastera sepatutnya memainkan peranan sebagai pembicara tentang diri manusia, makna diri dan kehidupan diri manusia. Sastera bukanlah berperanan membicarakan tentang perkara seharian. Apa yang paling penting untuk disentuh adalah tragedi dan bukannya komedi kerana melalui tragedi kita boleh melihat apa yang menentukan nasib manusia. Tragedi bukanlah sesuatu yang baik tetapi itulah hakikat yang terpaksa ditempuhi oleh setiap insan. Ia satu kepahitan yang mesti ditelan. Setiap kesakitan yang kita rasakan dalam kehidupan adalah kerana kita tidak mengetahui secara jelas tentang apa tujuan kita dihidupkan. Kita letih mencari makna sebenar dalam hidup ini.

Selain itu, mitologi, legenda dan epik adalah sesuatu yang tidak asing dalam dunia penulisan sastera. Keseriusan untuk memahami nilai kehidupan hanya boleh dicapai melalui epik, tidak melalui drama. Drama hanya mengungkap kehidupan seharian. Epik pula menceritakan tentang makna kewujudan manusia. Apabila sastera atau epik dipinggirkan, maka dunia menghadapi keruntuhan nilai kemanusiaan. Semuanya bermula pada kurun ke-18 apabila manusia mula menyibukkan diri dalam revolusi perindustrian. Manusia sudah mula lupa bahawa sastera merupakan sumber dan makanan kepada jiwa. Akhirnya manusia hanya sempat membaca cerpen yang ditulis secara ringkas dan diterbitkan secara mingguan dalam akhbar dan seterusnya meninggalkan membaca hikayat atau epik. Kesannya, kesusasteraan hanya menceritakan kejadian yang berlaku dalam masyarakat yang bersifat luaran, berbanding kejadian yang berlaku dalam diri manusia. Sebenarnya, mereka berkehendak untuk menafikan tasawuf.

Namun begitu, pada setiap kejatuhan diri manusia pasti ada perjuangan untuk bangkit semula. Tetapi yang sebenar-benar perjuangan adalah perjuangan membangunkan diri dan bukannya membangunkan masyarakat. Masyarakat dengan sendirinya akan terbangun bila diri sendiri sudah siap bangun. Berdasarkan ajaran agama dan falsafah timur masa lampau, nilai individu adalah lebih penting berbanding dengan nilai masyarakat. Contohnya seperti penyaksian diri kita terhadap Ketuhanan yang maha esa yang mana semuanya itu berbalik kepada diri sendiri atau individu bukannya masyarakat. Masyarakat tidak bersaksi kepada Allah tetapi diri sendirilah yang bersaksi kepada Allah sebagai Tuhan. Perkara ini juga terdapat dalam tradisi Hindu yang dikenali sebagai Atman Brahman iaitu ‘that the individual soul is the same as the universal soul’.

Sastera merupakan sebuah tradisi keagamaan. Hampir kesemua penulis sastera di alam melayu menceritakan tentang tasawuf, makna diri, makna kejadian dan juga roh. Mereka mencari makna hakikat kehidupan disamping sebagai kerjaya. Realiti sastera sufi itu bertingkat-tingkat. Daripada sastra kepada sutra seterusnya naik kepada yoga. Begitu juga ilmu pengetahuan yang lain wujud secara bertingkat-tingkat kerana setiap ilmu pengetahuan itu berkembang. Jika diteliti, tidak ada pemisahan antara alam Melayu dengan alam yang lain seperti alam Parsi dan Arab. Semuanya adalah dikelompokkan dalam alam Islam. Maka, apabila membicarakan tentang sastera Iran atau Parsi, ia juga menunjukkan sastera Melayu.

Menyingkap sejarah kesusasteraan di alam Melayu pada masa lampau, kitab seperti Nur Muhammad dibaca secara umum oleh masyarakat tempatan pada masa itu kerana mereka percaya kepada kewujudan para nabi yang membawa cahaya kepada manusia. Di samping itu, Al-Quran juga menukilkan tentang cahaya dalam penciptaan langit dan bumi. Sungguh menarik jika kita tinjau perkataan literature. Ia mempunyai hubungan dengan perkataan light, lighter, lit yakni yang membawa maksud pencahayaan. Jadi literature itu sendiri adalah yang membawa cahaya kepada kehidupan manusia seterusnya yang memberi kebahagiaan dalam kehidupan. Membaca sastera itu adalah jalan untuk mencapai kebahagiaan. Maka dalam mencari kebahagiaan haruslah memakai jalan yang mendekatkan diri dengan Tuhan kerana itulah yang dikatakan sebenar-benar bahagia.

Termasuklah hikayat di alam melayu, jika diteliti secara mendalam, kita akan dapati semuanya menceritakan tentang kehidupan manusia di muka bumi dan jalan untuk kembali kepada Tuhan. Tapi ramai yang salah faham dan menganggap hikayat sebagai sesuatu yang tidak bermakna dan bersalahan dengan realiti kejadian dan hanya menganggap sebagai hiburan semata-mata. Kita ambil Hikayat Bayam Budiman sebagai contoh yang menceritakan tentang maksud cinta sejati dan kesetiaan yang mesti dijaga dan bukannya tunduk kepada desakan nafsu. Begitu juga dengan hikayat yang lain seperti Hikayat Pandawa Lima dan Hang Tuah lima bersaudara yang memberi gambaran tentang lima pancaindera yang terdapat pada diri manusia. Ini menjadi bukti bahawa hikayat bukanlah semata-mata hiburan bahkan terkandung di dalamnya ajaran agama dan nilai falsafah.

Sebagai penutup, penulisan sastera klasik seharusnya dipandang sebagai sesuatu yang memberi nilai tambah dan harus diangkat ke taraf yang selayaknya berdasarkan kepada peranan dan sumbangan yang telah diberikan dalam membentuk jiwa manusia yang manusiawi. Sastera klasik tidak harus dipandang sepi tetapi perlu diperluaskan kajiannya agar generasi pada masa akan datang tidak ketandusan nilai-nilai akhlak yang baik.

*Tulisan ini merupakan catatan diskusi bersama Baharuddin Ahmad.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Rencana

R. Kalimuthu Setia Bersama Tunku Abdul Rahman

August 31, 2022 By Editor The Independent Insight

Oleh: Mohd Solmi Ahmad Sofi

Disaat kita memperkatakan berkaitan Hari Kemerdekaan Negara yang disambut setiap tahun pada 31 Ogos, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat individu mahupun kumpulan selain daripada Tunku Abdul Rahman yang turut memberikan sumbangan terhadap hari yang bersejarah ini. Walaupun nama-nama mereka tidak besar dan tidak diabadikan dalam mana-mana buku sejarah, namun mereka juga beperanan penting di belakang Tunku Abdul Rahman.

Salah seorang dari mereka ialah bekas pemandu peribadi Tunku iaitu, R. Kalimuthu. Beliau yang lebih dikenali sebagai Muthu telah berkhidmat lebih 50 tahun dengan perdana menteri pertama. Beliau mula bertugas sebagai pemandu rasmi kepada Tunku pada tahun 1957 dan memperolehi pendapatan tetap sekitar RM400 sebulan.

Sebelum itu, Muthu hanya bekerja sebagai pemandu kenderaan secara sambilan sewaktu Tunku bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia di Kuala Lumpur pada tahun 1948.

Dalam satu temubual bersama Muthu pada tahun 2010 (ketika itu beliau berusia awal 85 tahun) beliau memaklumkan “Saya rasa bangga kerana pada malam 30 Ogos 1957 (sehari sebelum 31 Ogos) sayalah yang memandu kenderaan untuk membawa Tunku dan keluarga ke Padang Kelab Selangor (sekarang dikenali sebagai Dataran Merdeka) untuk majlis menurunkan bendera Union Jack sebagai tanda rasmi bahawa negara ini bebas dari dijajah.”

“Saya masih dapat membayangkan dimana ribuan rakyat pelbagai lapisan masyarakat dan umur berada di sekitar Padang Kelab Selangor itu dan mereka bersorak gembira sebaik sahaja melihat ketibaan kenderaan yang membawa Tunku” ujar Kalimuthu sambil tersenyum.

Esoknya pula, pada sebelah pagi, Muthu sekali lagi memandu kenderaan rasmi untuk membawa Tunku ke Stadium Merdeka. Tunku kelihatan segak memakai baju melayu serba lengkap dan berjabat salam dengan semua tetamu kenamaan selain kerabat-kerabat diraja.

Setiap kali apabila berpeluang menonton di televisyen program ulangsiar sambutan hari kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 itu, Muthu menyatakan beliau akan menangis kerana teringat kenangan lama semasa bekerja dahulu selain dapat menyaksikan peristiwa bersejarah negara.

Muthu juga tidak melupakan kenangan dimana pernah bertugas menjadi pemandu kepada Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak jika Tunku Abdul Rahman ke luar negara atau bercuti panjang.

Berdasarkan pengalaman berkhidmat dengan Tunku selama lebih 50 tahun itu, Muthu banyak mempelajari berkaitan adat istiadat masyarakat Melayu terutama tentang adat istiadat diraja Kedah. Selepas bersara secara rasmi pada tahun 1982, Muthu masih bertugas secara sambilan sehingga Tunku Abdul Rahman mangkat pada Disember 1990. Kemudian tugas sebagai pemandu kepada keluarga Almarhum Tunku diambil alih oleh anaknya, K. Markandran.

Satu lagi peristiwa yang tidak dapat dilupakan oleh Kalimuthu adalah pada tahun 1982 semasa beliau dapat menyelamatkan Almarhum Tunku Abdul Rahman dari terjatuh terlentang di atas beberapa batu kerikil di tepi pantai berdekatan rumah rehat milik keluarga diraja itu di Pantai Batu Feringghi. Ujar Kalimuthu “Masa itu hanya saya dengan Almarhum Tunku sedang berjalan sambil menikmati suasana angin petang dan apabila Tunku secara tiba-tiba tergelincir lalu hampir jatuh tapi nasib baik saya dapat menyambar tangan Almarhum” jelasnya.

Tambah Kalimuthu, sepanjang perkkhidmatannya, beliau sangat menghormati Almarhum Tunku yang disifatkan sebagai seorang negarawan ulung dan meskipun rutin hariannya yang agak sibuk dengan pelbagai urusan rasmi negara, Almarhum Tunku tetap mencari masa untuk bersama dengan keluarga atau bermain golf.

“Almarhum Tunku juga dilihat sebagai seorang majikan yang sentiasa mengambil berat tentang kebajikan para pekerjanya. Saya antara insan bertuah kerana dapat berdamping dengan Almarhum. Semua kenangan itu akan sentiasa tersemat dalam memori saya” ujar Kalimuthu.

Menurut laporan dari sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris bertarikh 25 November 2013, R. Kalimuthu telah meninggal dunia pada 24 November 2012 pada usia 87 tahun kerana sakit tua. Semoga jasa-jasa yang dicurahkan oleh Kalimuthu dan orang-orang sepertinya tidak dilupakan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-65.

Mohd Solmi Ahmad Sofi pernah berkhidmat di stesen televisyen RTM sebagai Penyunting Berita TV, Penerbit Berita TV, Editor dan Wartawan.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Rencana Tagged With: driver, keluarga malaysia, malaya, merdeka, najib razak, R. Kalimuthu, stopa, tunku abdul rahman

Bangunan Memorial Tunku Abdul Rahman Putra Kini Berusia Lebih 100 Tahun

August 31, 2022 By Editor The Independent Insight

Oleh: Mohd Solmi Ahmad Sofi

Bangunan Memorial Tunku Abdul Rahman Putra di Kuala Lumpur yang kini berusia lebih 100 tahun bukan sahaja menceritakan pelbagai kisah bagaimana Malaysia menelusuri gelombang sebelum tercapainya kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957, malah turut menyimpan kisah-kisah menarik berkaitan Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Bangunan yang terletak diatas bukit di Jalan Dato Onn (dahulu dikenali sebagai Brockman Road) dibina diatas tanah seluas kira-kira 2.8 hektar, siap dibina pada tahun 1888 dan menjadi kediaman rasmi Pegawai Residen Selangor sehingga tahun 1955 selain menempatkan Pejabat Pentadbiran British.

Bangunan dua tingkat ini dibina dengan struktur batu serta kemasan lantai marmar selain lantai kayu di tingkat atas dengan melibatkan kos sekitar RM150,739 (AS$36,000 nilai wang pada waktu itu).

Bangunan ini yang dahulunya dikenali sebagai Residensi, pernah menjadi kediaman rasmi Tunku dari tahun 1956 hingga awal tahun 70-an. Bangunan ini kekal utuh dengan reka bentuk dan struktur asalnya dan kebanyakan perabut dan hiasan yang terdapat di dalam Residensi ini adalah milik Almarhum Tunku Abdul Rahman dan keluarga semasa beliau menjadi perdana menteri.

Rumah ini masih lagi mengekalkan ciri-ciri zaman kolonial. Pada tahun 1992, kerajaan, melalui Arkib Negara Malaysia telah melakukan beberapa penambahbaikan terhadap bangunan tersebut dan proses penambahbaikan ini siap sepenuhnya pada tahun 1994 dan dinamakan sebagai Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, bagi memperingati jasa serta sumbangan Almarhum Tunku kepada negara. Bangunan tersebut kini mempamerkan himpunan koleksi peribadi Bapa Kemerdekaan itu selain artifak dokumentasi perjalanan kemerdekaan Malaya untuk tatapan umum.

Di dalam Memorial ini, pengunjung berpeluang untuk melihat meja Mesyuarat Kabinet yang digunakan oleh Almarhum Tunku semasa mempengerusikan Mesyuarat Kabinet yang pertama pada tahun 1956 yang dahulu ditempatkan di Bangunan Parlimen.

Perasmian Memorial Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ini telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 10 November 1994. Antara barangan lain yang turut dipamerkan secara kekal di dalam memorial ini ialah foto-foto peribadi Almarhum Tunku serta keluarga, hadiah, pakaian, perabut, keratan-keratan akhbar serta kereta jenama Cardillac Fleetwood 1956.

Memorial ini merangkumi tiga bangunan iaitu bangunan Residensi sebagai bangunan utama, dan dua bangunan Blok-A dan Blok-B yang meliputi gedung simpanan, auditorium serta ruang pejabat bagi kakitangan Arkib Negara.

Dalam bangunan Residensi, selain terdapat bilik tetamu yang menempatkan perabut antik, terdapat juga beberapa bilik yang dinamakan Bilik Cairo, Bilik Makan, Bilik Rehat, Bilik Menunggu, Bilik Tidur Utama dan Bilik Tidur Keluarga.

Sudah pasti para pengunjung akan tertarik untuk melihat sendiri Bilik Makan Utama yang diguna khas bagi meraikan para tetamu kenamaan dari dalam dan luar negara serta lengkap dengan dekorasi lampu lama dan set pinggan mangkuk antik.

Secara keseluruhannya, Memorial Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menjadi simbol kegigihan perjuangan Almarhum Tunku bersama rakan-rakan untuk mendapatkan kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya melalui kerjasama dengan pelbagai parti politik serta rundingan dengan pihak British.

Mohd Solmi Ahmad Sofi pernah berkhidmat di RTM sebagai Penyunting Berita TV, Penerbit Berita TV, Wartawan dan Editor.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Rencana Tagged With: Bangunan Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, Mahathir, malaya, merdeka

Banjir Besar Patut Menjadi Sejarah Bukan Acara Tahunan

February 6, 2022 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Malam gelap itu aku sibuk memotong-motong lori di atas jalan raya.

Aku bertolak jam 11.30 malam. Akhirnya aku sampai di Kuala Lumpur sekitar subuh. Sempat aku melelapkan mata selama dua jam sebelum melapor diri di Bilik Gerakan Banjir Selangor di Shah Alam. Pada mulanya aku agak khuatir, maklumlah aku ini sudah tua, biasanya kalau kurang tidur dan buat kerja sehingga penat, kepala biasanya akan diserang migrain. Hari ini alhamdulillah, badanku bekerjasama tanpa gagal. Walaupun tidur dua jam, penat, dan tak makan tengahari, aku dapat membantu mangsa banjir dan berkhidmat dengan selamat, dan selepasnya pulang tanpa sebarang bencana.

Pada mulanya aku ditugaskan ke Kampung Lombong, Shah Alam. Tapi kemudiannya aku ditakdirkan terpisah dari tim asal dari Kedah. Namun hal ini sebenarnya ada suratannya. Ajaib betul, setelah berpuluh-puluh tahun aku bergraduasi dari Rusia, aku masih boleh cam seorang teman berdasarkan jelingan mata dari jauh sahaja di kampung lombong pada ketika itu. Rezeki pagi itu berjumpa semula dengan Dr. Ariff Azfarahim Ibrahim di lapangan. Namun, sebab darurat dan keadaan huru-hara, aku hanya sempat bersalaman dengan beliau dan snap satu gambar sahaja sebelum berpisah. Tidak sempat bersembang.

Kerana sudah terpisah, dan melihat keadaan di Hulu Langat yang lebih teruk berbanding Shah Alam, aku mengambil keputusan untuk ke Hulu Langat. Ditakdirkan, aku dapat bersama tim sukarelawan dari Perlis, yang kebanyakannya muda dan bersemangat. Kami ditugaskan membantu membersihkan rumah di Taman Dusun Nanding. Taman ini betul-betul berada di tepi Sungai Langat. Menurut penduduk tempatan, taman mereka paling awal dinaiki air, dan paling lambat air surut. Air juga naik sampai ke paras bumbung.

Ada penduduk yang berkongsi bahawa mereka hampir rasa berputus asa untuk membersihkan rumah apabila melihat kemusnahan yang berlaku. Ada yang termenung sehingga 3 hari baru mendapat semangat untuk membersih rumah. Ditambah dengan bekalan elektrik dan air yang terputus dan lambat dipulihkan menyukarkan lagi kerja pembersihan. Apa yang aku kagum, ada segelintir penduduk yang sibuk membersihkan rumah jiran, padahal rumahnya sendiri belum dibersihkan. Melihat reaksi penduduk apabila rumah mereka habis dibersihkan memang menyentuh hati. Ada yang menjerit gembira. Kata mereka “sekarang baru nampak macam rumah”. Ada juga yang mengucapkan terima kasih, sebab mereka pun tak tahu macam mana nak mula membersihkan rumah, maklumlah kejadian seperti ini jarang berlaku di Hulu Langat. Cuma aku lihat, di Hulu Langat pada ketika itu, masih banyak rumah yang perlu dibantu, memang perlu banyak tenaga dan jentera untuk membersih dan mengangkut harta benda yang musnah.

Aku sendiri rasa apa yang aku mampu tolong sedikit sangat berbanding kemusnahan yang berlaku. Aku hanya sempat membantu sehari, aku harap ada lagi tim-tim lain yang akan meneruskan bantuan kepada mereka. Tahniah juga buat semua yang bantu membantu. Bak kata kata pujangga “tak hensem takpa, janji kita saling bantu-membantu”. Moga yang terkesan dengan musibah ini diberi kekuatan untuk bangkit kembali, dan semoga kita semua juga membantu dengan apa sahaja yang kita ada.

Melihat keadaan banjir dan huru-hara yang berlaku di negara tercinta ini, terdetik rasa hatiku untuk memberikan sedikit pandangan. Negara kita ini merupakan negara yang bertuah, selalu dikurniakan hujan. Air adalah sumber kehidupan dan banyak perkara yang dapat kita lakukan dengan air yang banyak. Ada negara lain yang begitu sedikit hujannya, dan mereka struggle untuk hidup dan menjana ekonomi mereka. Cuma ada kalanya, terutamanya di musim tengkujuh, negara kita akan menerima hujan yang lebih, hingga kadang jumlahnya tidak dapat ditampung oleh sungai-sungai yang ada. Ditambah pula dengan hutan-hutan yang kebanyakannya tidak mampu lagi menyerap air dengan efisien kerana kerakusan pembalakan halal dan pembalakan haram, memburukkan lagi keadaan. Longkang, parit, dan sungai yang tersumbat dipenuhi sampah sarap juga menambahkan lagi faktor berlakunya banjir yang teruk.

Fenomena banjir ini bukanlah sesuatu yang baharu. Sejak aku keluar sekolah, sudah bermacam-macam misi banjir yang aku sertai dalam negara, antara yang aku masih ingat adalah di Kuantan pada tahun 2007 dan 2013, Temerloh pada tahun 2015, Permatang Pauh pada 2017 dan yang terbaru adalah di Yan pada bulan Ogos 2021. Kini pada penghujung tahun 2021, negara kita sekali lagi menghadapi banjir di Selangor dan Pahang. Sekali lagi aku turun ke lapangan membantu apa yang termampu. Aku bukanlah hendak menulis bahawa aku ini selalu menolong orang pada musim banjir, aku cuma mahu menggambarkan bahawa banyaknya berlaku banjir seingat pengalaman hidupku.

Aku berfikir bahawa negara kita tidaklah kurang cendiakawan, pakar dan juga graduan. Masalah banjir ini aku kira merupakan masalah yang sepatutnya sudah dapat kita uruskan. Orang Melayu kata jangan jatuh lubang biawak dua kali, kita entah berapa kali terjun lubang biawak yang sama. Aku memikirkan bahawa universiti-universiti kita begitu banyak kursus kejuruteraan. Hampir semua universiti awam ada fakulti kejuruteraan. Malah kita punya pelbagai jenis graduan kejuruteraan. Kejuruteraan awam, mekanikal, elektrikal, elektronik, mekatronik, geomatik, kimia, marin, aeroangkasa, automotif, komputer hinggalah ke kejuruteraan genetik, nuklear dan kejuruteraan perniagaan. Segala macam bidang kejuruteraan yang lain, semuanya kita ada. Itu belum kira graduan kejuruteraan dari universiti swasta dan luar negara. Aku kira bakat dan sumber manusia dalam bidang ini sepatutnya telah lama kita gemblengkan untuk menyelesaikan masalah banjir.

Masalah ini mesti di selesaikan secara sistemik, maksudnya ia mesti diwajibkan dalam perancangan bandar, perancangan pembalakan, perancangan pembinaan perumahan dan juga pembinaan bangunan, bukannya kita bina dahulu kemudian baru kita fikir macam mana kita nak buat kalau berlaku banjir secara tiba-tiba.

Aku bukanlah nak menyalahkan universiti, pensyarah atau graduan. Kerana tidak adil mereka dipersalahkan, kerana tugas mereka adalah melahirkan graduan yang boleh bermanfaat untuk negara. Tugas mereka lebih kepada hal-hal eksekutif dalam mendidik dan mengeluarkan tenaga kerja negara. Sedangkan perancangan, polisi, projek, dan dasar ini terletak pada kerajaan. Mereka yang sepatutnya menyediakan projek-projek, dasar-dasar anti-banjir dan memanfaatkan tenaga kejuruteraan yang ada.

Aku kira projek kejuruteraan anti-banjir ini merupakan serampang dua mata. Dalam satu hal kita menyelesaikan masalah yang real dan praktikal. Dalam masa yang sama kita boleh memberi kerja pada graduan kejuruteraan yang asyik tiada kerja dan underpaid. Projek menyelesaikan masalah ini perlu didahulukan. Bukan hanya sibuk membuat projek pencakar langit supaya orang-orang kaya boleh hidup di atas awan, sedang rakyat biasa di bawah mati tenggelam. Harapnya dalam pengumuman Rancangan Malaysia Ke-berapa-entah (RMK) seterusnya nanti, adalah diumumkan projek mega ke, projek giga ke, yang berjumlah berbillion-billion untuk memastikan tidak berlaku banjir besar lagi di negara tercinta kita ini.

Aku tak rasa kita kekurangan tenaga mahupun teknologi. Tetapi mungkin kita kekurangan pemimpin yang berwawasan, yang berfikir dalam jangka masa yang panjang. Bukan sekadar sibuk dengan projek yang boleh memenangkan mereka dalam pilihanraya 5 tahun sekali, tetapi projek yang benar-benar menyelesaikan masalah secara sistemik. Bukan sekadar projek jangka pendek yang berbentuk tempelan-tempelan sahaja. Tugas pemerintah bukan pergi melawat mangsa banjir, berlakon membersihkan taik unggas, atau bersiar-siar menaiki bot di kawasan banjir. Sebaliknya tugas pemerintah yang berwawasan adalah memastikan tiada banjir di tempat pertama, atau orang putih kata, tiada banjir at the first place.

Ini belum kita bahaskan koordinasi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas. Rata-rata masyarakat kecewa dengan respon pihak berwajib apabila bencana melanda. Seolah-olah tiada persediaan dan perancangan, walhal duit-duit peruntukan sudah berjuta-juta diperuntukkan. Aku merasakan, dek kerana kita sudah mempunyai terlalu banyak pengalaman dengan banjir, sepatutnya kita sudah menguasainya, sudah mampu mengurus dan mengelakkannya. Banjir ini patutnya sudah menjadi sejarah, bukan lagi acara tahunan.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di lautan Ideologi (2022) and Dua Sayap Ilmu (2023). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

fathi137.wixsite.com/syedahmadfathi

Filed Under: Rencana

Mahasiswa Holistik: Memasyarakatkan Mahasiswa

February 6, 2022 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Penulisan ini merupakan hasil dari perbincangan dalam sebuah forum yang bertajuk Revolving Youth Around Society yang memfokuskan isu memasyarakatkan mahasiswa dalam Seminar Kesejahteraan Mahasiswa (SKEMA) 2021. Pada forum ini saya berkongsi pentas dengan dua rakan panelis iaitu Dr. Siti Farhana binti Lokman dan Tn. Mohd Jamil bin Muda, dengan Saudara Muhammad Amirul Adli bin Azman sebagai moderator. Forum ini membincangkan konsep mahasiswa holistik. Mahasiswa holistik itu bukan sekadar mahasiswa yang cemerlang akademik tetapi mampu menyumbang pada masyarakat, perkara ini dibincangkan dengan teliti dalam forum ini. Dalam kertas kerja ini saya membincangkan langkah-langkah untuk menjadi mahasiswa holistik serta sedikit perkongsian pengalaman peribadi bersama komuniti semasa menjadi mahasiswa pada satu ketika dahulu.

Langkah-langkah untuk menjadi mahasiswa yang holistik?

Pertama sekali, mahasiswa tidak boleh lari dari tugas hakikinya, iaitu sebagai pencari ilmu. Mahasiswa perlu menjadi pencari ilmu yang enthusiastic, mencari ilmu ini bukan sahaja ilmu-ilmu di kelas-kelas kuliah, tetapi juga ilmu-ilmu lain, ilmu masyarakat, ilmu manusia, ilmu agama, semua ini perlu dicari mahasiswa yang holistik. Oleh itu kita bukan sahaja perlu aktif di dalam kelas dan kuliah tetapi juga kelas-kelas di luar kuliah.

Menuntut ilmu ini bukanlah satu perkara yang mudah, ia memerlukan masa, memerlukan tenaga fikir, malah kalau kita membaca sejarah, cendiakawan menyerahkan keseluruhan hidupnya untuk ilmu. Kata Imam Shafie dalam sebuah puisi yang bertajuk kabbir ‘alaihi:

“Sesiapa yang tidak pernah mengecapi pahit getir menuntut ilmu walaupun seketika, maka ia akan terjerumus ke dalam kehinaan kejahilan seumur hidupnya.”

Kemudian beliau menyambung lagi:

“Dan sesiapa yang tidak memanfaatkan masa mudanya untuk menuntut ilmu, maka bertakbirlah empat kali sebagai tanda kematiannya.”

Ada satu tulisan yang menarik oleh Usaid Asmadi, seorang mahasiswa Universiti Malaya dalam tulisan yang bertajuk Memerde(he)kakan Mahasiswa, beliau menggagaskan bahawa universiti itu lebih besar gedungnya dari putaran rutin kehidupan belajar, ia adalah masa emas yang harus digunakan untuk meneroka pelbagai perkara lain. Nasihat kepada pelajar baru ini bagi saya amat penting untuk membuka minda pelajar. Saya sendiri merasakan zaman universiti mengajar saya banyak perkara (selain akademik). Belajar berpesatuan, belajar bercakap dikhalayak, belajar menyelesaikan konflik, belajar bernegosiasi dengan universiti, dan yang paling penting belajar untuk hidup dan melihat kehidupan. Melihat kehidupan dengan lensa yang lebih besar dan luas.

Saya ada membaca buku bertajuk Kembara Darus Nawawi 1963, boleh cari buku ini dan baca sebelum memulakan pengajian. Zaman saya belajar dahulu buku ini masih belum ada. Selepas membaca buku ini, jika ditanya kepada saya, andai zaman mahasiswa boleh berulang apa yang saya nak ubah, saya nak membaca buku-buku dengan lebih rigorous dan simpan jurnal peribadi seperti Ustaz Darus. Sebab pengalaman belajar ini hanya sekali.

Akhir sekali, saya ingin memetik pemikiran Prof. Syed Hussein Alatas dalam bukunya Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah, kita sekarang berada dalam zaman yang baru dengan cabaran-cabaran yang baru. Jadi kita memerlukan “Manusia Islam Baharu”, mahasiswa yang menguasai ilmu zaman dan menghubungkannya dengan agama Islam serta menyelesaikan masalah-masalah dalam masyarakatnya. Mahasiswa tidak boleh hanya berkhayal dalam hal-hal teori dan forum-forum akademik. Tetapi dia mesti sedar dia mempunyai peranan terhadap masyarakatnya. Tidak boleh mahasiswa itu apabila dia bergraduasi dia merasa terpisah dengan masyarakat, dia merasa dia berada dalam golongan elit bijak pandai, sedangkan masyarakat adalah golongan tidak berpendidikan. Sebaliknya dia mesti merasa dia sebahagian dari masyarakat, ilmunya perlu menyelesaikan masalah masyarakat.

Jadi ini adalah bagi saya adalah langkah-langkah untuk menjadi mahasiswa yang holistik, kuat usahanya mencari ilmu, tidak memisahkan ilmunya dengan Islam, dan menjadi penyelesaian kepada masalah masyarakatnya.

Perkongsian pengalaman bersama dengan masyarakat dan komuniti

Saya mempunyai pengalaman yang lain sedikit dari mahasiswa lain kerana saya menyambung pengajian di luar negara, dan di negara yang jarang pelajar-pelajar Malaysia pilih, kebanyakannya akan memilih pergi ke United Kingdom tetapi saya dihantar belajar di Saint Petersburg, Rusia. Jadi komuniti saya adalah pelajar Malaysia, kemudian masyarakat Rusia secara umum, kemudian masyarakat Muslim Rusia secara khusus. Mungkin dalam ruang yang singkat ini saya tidak berkesempatan untuk menceritakan semua, jadi saya memilih dua aspek sahaja iaitu komuniti pelajar Malaysia dan masyarakat Muslim di Rusia.

Saya sejak awal lagi terlibat dalam kepimpinan pelajar semasa di Saint Petersburg, Russia. Di sana kami mendirikan persatuan pelajar sendiri iaitu Malaysian Engineering Student St. Petersburg (MESSP) di mana saya sendiri diberi amanah untuk menjadi presiden pada sesi 2010/2011. Menjadi pemimpin pelajar ini sememangnya merupakan satu pengalaman yang berharga, banyak pengalaman yang menarik seperti menguruskan pelajar, berkomunikasi dengan pihak universiti, kedutaan, menyambut menteri, menguruskan acara, semuanya merupakan pengalaman yang berharga.

Namun mungkin pengalaman atau momen yang paling berharga adalah bagaimana untuk meneruskan Tarbiyah Islamiyah di sebuah negara asing yang bukan majoriti Muslim. Oleh kerana kebanyakan pelajar Malaysia tertumpu di Moscow, saya berulang alik hampir setiap bulan menaiki kereta api ke Moscow bagi mengikuti program tarbawi pada tahun pertama. Perjalanan mengambil masa lebih dari 8 jam. Pada awalnya saya tiada keberanian untuk membentuk usrah bersama kawan-kawan kerana merasakan diri tidak layak. Ketika saya di tahun kedua baru saya mula memberanikan diri untuk membentuk usrah di St. Petersburg bersama adik-adik tahun 1. Selepas itu kawan-kawan se-batch pula bertanya mengapa tidak pernah mengajak mereka? Akhirnya alhamdulillah setiap batch di sana kami mempunyai usrah mingguan. Saya masih ingat pada peringkat awal, memang susah hendak dimulakan, kadangkala datang ke asrama adik-adik dan tidak berjaya membuat usrah dengan adik-adik. Rasa begitu sedih, pernah sekali saya mengadu pada ibu saya, ibu saya kata:

“Kalau buat usrah ni senang, semua orang buat”.

Kata-kata tersebut sangat mengesani diri saya, membuatkan saya lebih cekal, ditolak, tak menjadi, itu perkara biasa, yang penting cuba lagi. Ada satu hari, saya sangat sedih saya upload video di Youtube bertajuk “Sabarlah wahai hati” untuk memujuk diri. Video ini menjadi sangat terkenal sehingga dapat lebih 400,000 view.

Pengalaman terakhir yang saya ingin kongsikan adalah pengalaman bersama komuniti Islam di Rusia. Saya ada berkawan dengan pelbagai jenis teman, ada juga yang merupakan buruh dari negara-negara bekas Kesatuan Soviet yang mana hari ini diperintah oleh diktator yang keras dan kejam. Ada yang saya temui di masjid, ada yang saya temui di jalanan, malah ada yang menjemput saya bertandang dan tidur di tempat mereka. Kebanyakan yang menjadi buruh ini sangat kurang kesedaran Islam, minum arak perkara biasa, malah ada yang namanya “Muslim” tapi tidak pandai bersolat.

Satu hari selepas solat Jumaat di Masjid Sabornaya saya bertemu dengan seorang pakcik. Masjid Sabornaya ini adalah masjid yang terkenal di St. Peterburg, siap dibina pada tahun 1920 dan terletak di bahagian tengah kota berdekatan Stesen Metro Gorkovskaya. Saya bertemu pakcik tersebut di Stesen Metro, pakcik tersebut merupakan seorang buruh dalam masa yang sama dia mengajar Al-Qur’an secara percuma di Masjid. Dia mengajak saya ke kelasnya. Saya pun pergi ke kelasnya pada suatu hari, dan mendapati banyak pelajar-pelajarnya adalah buruh dewasa yang baru mula belajar alif ba ta. Apabila melihat saya lancar membaca Al-Qur’an mereka kagum, seolah-olah ia adalah satu benda yang luar biasa. Pakcik ini menerangkan bagaimana Islam di tekan di negara mereka sendiri, dia sendiri belajar Al-Qur’an secara underground secara  percuma, dan dia merasakan tanggungjawabnya pula untuk mengajar secara percuma. Semangat pakcik ini sangat mengesankan saya, bagaimana seorang pakcik buruh biasa tidak berputus asa menjadi tali yang menyambung ajaran Islam ke generasi seterusnya, walaupun lawannya merupakan kuasa sekular yang menguasai negara. Dari beliau saya melihat sinar harapan buat agama ini.

Kesimpulan

Saya ingin menyimpulkan perkongsian saya dengan sebuah puisi.

Kita bertanya:

Kenapa maksud baik tidak selalu berguna?

Kenapa maksud baik dan maksud baik bisa berlaga?

Orang berkata “Kami ada maksud baik”

Dan kita bertanya: “Maksud baik untuk siapa?”

Sekarang matahari, semakin tinggi.

Lalu akan bertahta juga di atas puncak kepala.

Dan di dalam udara yang panas kita juga bertanya:

Kita ini dididik untuk memihak yang mana?

Ilmu-ilmu yang diajarkan di sini

akan menjadi alat pembebasan,

ataukah alat penindasan?

WS Rendra, Puisi Sajak Pertemuan Mahasiswa

Jakarta, 1 Disember 1977.

Puisi Rendra ini bagi saya merupakan satu puisi yang sangat berkuasa dan mengetarkan. Mengajak mahasiswa merenung kegunaan ilmunya, adakah ilmunya akan digunakan untuk kebaikan masyarakat, atau untuk kepentingan diri. Mempunyai tujuan baik sahaja menurut Rendra tidak cukup, harus ditanya baik itu untuk siapa. Ini adalah tugas mahasiswa, untuk menilai dalam masyarakat siapa yang menindas masyarakat di sebalik slogan-slogan “untuk rakyat” atau “untuk kebaikan”.

Allah berfirman:

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi”, mereka menjawab: ” Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan”. (Surah Al-Baqarah 2:11)

Dari ayat ini kita fahami bahawa anjuran untuk bersifat kritis ini bukanlah original dari Rendra, tetapi telah lama disebut dalam Al-Qur’an sendiri. Di mana Allah menyebut akan orang yang mengatakan mereka berbuat kebaikan, namun hakikatnya dia berbuat kerosakan. Jadi sentiasa perlu ditanya, baik itu untuk siapa?

Tugas mahasiswa bukan sahaja untuk mencari ilmu, tetapi menggunakan ilmu sebagai alat kebaikan. Ilmu ini sifatnya neutral, sebagai alat, ia boleh digunakan untuk membuat kebaikan atau kerosakan. Mahasiswa tidak boleh hanya menerima apa yang diberikan kepada mereka, sebaliknya bersifat kritis dalam menilai. Jika dikatakan sesuatu itu baik, baik untuk siapa? Siapa yang mendapat manfaatnya? Sebagai mahasiswa kita harus bertanya pada diri, siapa yang mendapat manfaat dari diri kita jika kita adalah orang yang baik?

Tanpa sifat kritis dalam diri mahasiswa, mustahil kita dapat melahirkan mahasiswa yang holistik, yang bukan sahaja peka pada permasaalahan akademik tetapi juga masalah-masalah yang ada dalam masyarakatnya.

Mahasiswa-Holistik-Memasyarakatkan-MahasiswaDownload

Download artikel ini.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di lautan Ideologi (2022) and Dua Sayap Ilmu (2023). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

fathi137.wixsite.com/syedahmadfathi

Filed Under: Rencana

Kritikan, Sumbangan dan Masa Depan Pemikiran Gerakan Islam Haraki

February 6, 2022 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Pemikiran gerakan Islam Haraki adalah pemikiran yang lahir dari kefahaman Islam yang syumul. Islam yang syumul tidak hanya mencakup persoalan akidah, fiqah dan ibadah ritual tetapi merangkumi keseluruhan kehidupan manusia termasuklah aspek sosial, ekonomi, dan politik. Pemikiran ini boleh ditelusuri dari penulisan pemikir-pemikir seperti Imam Hassan Al-Banna, Fathi Yakan, Abul A’la Al-Maududi, Syed Qutb dan pemikir seangkatan dengan mereka. Kebanyakan tokoh pemikir ini menggeluti dunia Islam sesudah jatuhnya Khilafah Uthmaniyah dan dunia Islam dijalari penjajahan kolonial Barat. Mereka membawa pemikiran bahawa perlunya memartabatkan Islam semula sebagai pemegang kuasa politik. Artikel ini akan membuat tinjauan perihal kritikan-kritikan yang dilemparkan kepada pemikiran Islam Haraki, sumbangan Islam Haraki kepada umat Islam terutamanya dalam mendepani ghazwatul fikr, serta masa depan Islam Haraki di era moden.

Kritikan Terhadap Pemikiran Islam Haraki

Walaupun pemikiran ini berakar dari konsep kesyumulan Islam yang menyentuh semua aspek hidup, aspek politik merupakan aspek yang sering ditonjolkan baik oleh sarjana Barat atau sarjana dunia Islam sendiri. Hal ini kerana sarjana Barat melihat kebangkitan politik Islam sebagai ancaman kepada sistem politik Barat sedia ada. Sebagai contoh, pemikir sains politik seperti Samuel Huntington menganggap kebangkitan semula Islam ini merupakan musuh baru bagi peradaban Barat. Begitu juga tokoh politik seperti bekas ketua setiausaha Amerika Syarikat, Henry Kissinger yang menulis perihal revolusi pemikiran yang dibawa oleh Hassan Al-Banna melalui Ikhwan Muslimin, Kissinger mengkritik tulisan Syed Qutb didalam buku Milestones, beliau menulis tulisan ini sebagai pengishtiharan perang oleh Islam ke atas fahaman lain, katanya “a declaration of war against the existing world order that became a foundational text of modern Islamism”. Penulisan Huntington dan Kissinger ini antara penyumbang kepada polisi-polisi moden Barat yang memerangi Islam.

Kritikan terhadap aliran fikir gerakan Islam Haraki ini bukan sahaja datang dari sarjana Barat. Ia turut dikritik oleh sarjana Islam dan sarjana tempatan. Kritikan sarjana Islam lebih kepada perbezaan fahaman dan tafsiran, bukan kerana ancaman politik. Contohnya Syed Hussein Alatas ada menulis kritikan panjang lebar terhadap pemikiran Maududi. Bagi Alatas, slogan kembali pada Al-Qur’an Maududi itu beliau setujui, namun penafsirannya tidak beliau persetujui. Beliau mengkritik penafsiran dan pandangan-pandangan Maududi, antaranya yang melarang wanita dilantik menjadi wakil dalam badan perundangan dan parlimen. Juga pandangan Maududi perihal larangan menghiasi rumah dengan gambar. Bagi Alatas, Maududi mewakili aliran pemikiran yang kolot dan tulisan-tulisannya bersifat propaganda. Alatas menggolongkan bersama Maududi tokoh-tokoh lain seperti Muhammad Qutb, Nadvi, dan Muhammad Asad. Pada Alatas mereka semua ini adalah propagandis.

Sumbangan Pemikiran Islam Haraki

Walaupun pemikiran Islam Haraki ini mendapat pelbagai kritikan dari sarjana Barat dan sarjana Islam sendiri, tidaklah bermakna ia tidak mempunyai sumbangan. Di sini saya ingin mengutarakan beberapa sumbangan yang saya kira merupakan perkara yang positif yang lahir dari pemikiran dan gerakan Islam Haraki.

Pertama, oleh kerana kemunculan pemikiran ini yang hadir semasa zaman kolonial, pemikiran Islam Haraki mempunyai sumbangan dalam menggerakkan umat Islam untuk menentang penjajahan kolonial ke atas dunia Islam. Walaupun dalam sejarah, yang selalu diketengahkan adalah golongan nasionalis. Di Timur Tengah sebagai contoh, semasa zaman kolonial, Ikhwanul Muslimin merupakan pasukan tentera yang sangat efektif dalam melawan penjajahan Zionis ke atas Palestin pada tahun 1948. Hal ini dirakam dan diiktiraf oleh sejarawan Israel sendiri seperti Ilan Pappe.

Begitu juga dalam sejarah tempatan, yang selalu diketengahkan adalah golongan nasionalis kanan yang berjuang menuntut kemerdekaan. Namun menurut sejarawan tempatan seperti Azmi Arifin, yang memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu adalah kebanyakannya golongan agama kiri. Namun pengaruh dan sumbangan mereka tidak ditonjolkan dalam silibus sejarah arus perdana disebabkan faktor politik semasa.

Kedua, sumbangan pemikiran Islam Haraki adalah seruan penyatuan umat. Pemikiran ini telah mengajak umat bersatu untuk melaksanakan matlamat yang lebih besar dan berlapang dada terhadap perkara-perkara yang berbentuk khilafiyah dalam agama. Umat diberi matlamat yang lebih besar dari hanya bergaduh sesama mereka perihal perbezaan pandangan dalam fiqah dan ibadah. Ini merupakan sumbangan yang penting bagi menyelamatkan tenaga umat dari dihabiskan dalam perkara-perkara remeh temeh dan memfokuskan tenaga mereka pada misi yang lebih besar.

Ketiga adalah sumbangan Islam Haraki dalam menyemai semula identiti Islam dalam masyarakat. Antara produk kolonialisme adalah lahirnya golongan elit terpelajar yang kulit dan wajahnya berbentuk tempatan, namun pemikiran dan hatinya sudah terpaut dan terpesona dengan nilai-nilai Barat. Segala yang datang dari Barat dianggap moden manakala nilai tempatan dianggap kolot dan mundur. Gerakan Islam Haraki tidak hanya beretorik tetapi mereka masuk dan berkerja dalam masyarakat, mereka membina institusi pendidikan, perniagaan, dan persatuan untuk memperlihatkan pemikiran Islam mereka dalam bentuk praktik. Hasilnya adalah masyarakat yang cenderung pada Islam dan juga lahirnya identiti Islam dalam masyarakat. Hal ini penting kerana sebenarnya umat ini boleh menjadi moden tanpa perlu menjadi Barat.

Sumbangan Dalam Melawan Serangan Pemikiran

Selepas surutnya penjajahan-penjajahan kolonial di kebanyakan negara-negara termasuk di negara-negara Islam. Bentuk serangan tidak lagi disusun dalam bentuk fizikal, tetapi dalam bentuk pemikiran. Serangan pemikiran inilah yang cuba dijawab oleh banyak tokoh-tokoh pemikir Islam moden termasuklah pemikir dalam kalangan Islam Haraki. Serangan pemikiran ini juga sering disebut sebagai perang pemikiran (ghazwatul fikr). Walaupun ada bentuk-bentuk pemikiran yang boleh kita katakan pemikiran moden, namun banyak juga bentuk pemikiran yang sebenarnya merupakan pemikiran lama yang diberi nafas moden. Contohnya pemikiran logik, falsafah, dan rasional yang menolak wahyu sudah diperbahaskan oleh pemikir silam seperti Imam Ghazali dan Rumi.

Antara gerakan pemikiran moden yang menyerang pemikiran Islam adalah gerakan ateis baharu ataupun disebut sebagai The New Atheist. Gerakan ini dipelopori oleh cendiakawan dan pemikir seperti Richard Dawkins, Christopher Hitchens dan Sam Harris. Gerakan ini menggalakkan pemikiran ateis yang lebih militan dan agresif terhadap agama. Walaupun mereka menggunakan hujah-hujah intelektual, ada juga pemikir yang merasakan bahawa golongan ini hanya menggunakan hujah-hujah intelektual bagi mengaburi sikap Islamophobik sebenar mereka. Hal ini boleh dilihat dari sokongan mereka terhadap polisi-polisi zalim seperti penjajahan Palestin dan penjajahan ke atas Iraq.

Hakikatnya Islam tidak menolak falsafah, sains ataupun logik akal. Malah ayat-ayat Al-Qur’an penuh dengan seruan untuk manusia menggunakan akal dan berfikir. Syed Hussein Alatas menyebutkan bahawa ayat-ayat Al-Qur’an perihal alam itu lebih banyak dari ayat-ayat perihal hukum ibadah, ini menunjukkan bahawa Islam memandang berat pada keperluan untuk kita melihat, memahami, dan mengkaji alam. Kajian perihal alam inilah yang dikatakan sebagai sains. Mana mungkin Islam menolak sains sedangkan dalam Al-Qur’an penuh dengan ayat-ayat yang menyuruh manusia berfikir, mengkaji alam – dalam kata lain, boleh juga kita katakan bahawa Islam menyuruh umatnya menjadi saintis.

Namun Islam juga menegaskan bahawa akal manusia dalam memahami sains dan alam ini terbatas. Ada perkara yang tidak mampu dijawab oleh sains. Sains mungkin boleh menjawab soal bagaimana manusia itu hidup dan berfungsi, tetapi sains tidak dapat menjawab persoalan mengapa manusia itu wujud? Apakah tujuan kehidupan? Soalan-soalan ini berada diluar batasan sains, oleh itu Islam datang dengan membawakan panduan wahyu.

Hari ini kita melihat banyak pemikiran-pemikiran baharu yang lebih moden yang menjalari umat. Untuk membincangkan kesemuanya memerlukan masa yang lama dan ruang yang panjang. Oleh itu, kita akan mengambil beberapa contoh sahaja untuk dibincangkan. Dalam kita mengamati pemikiran-pemikiran moden yang ada, kita haruslah sedar bahawa bukan semuanya bersifat buruk dan bertentangan dengan Islam. Inilah kaedah yang ditunjukkan oleh Imam Hassan Al-Banna dalam pemikiran beliau, beliau menggunakan kaedah pemurnian dan mendefinisikan semula sesuatu konsep agar ia bersesuaian dengan Islam. Contohnya dalam membahaskan pemikiran nasionalisme, beliau berkata:

“Jika nasionalis yang dimaksudkan oleh mereka yang berbangga dengan semangat nasionalisme ialah generasi hari ini yang perlu menurut jejak generasi silam dalam membina hidup gemilang, cemerlang, dihormati, berkeyakinan tinggi lalu menjadikan mereka (generasi dahulu) sebagai contoh yang baik, dan jika nasionalisme yang dimaksudkan ialah kegemilangan seorang bapa menjadi kebanggaan seorang anak lalu menjadi pembakar semangat dan perangsang kepadanya (anak). Jika ini yang dimaksudkan, maka ia adalah suatu tujuan yang baik yang disokong dan digalakkan.”

Dalam masa yang sama, Imam Hasan Al-Banna menjelaskan pemikiran-pemikiran nasionalisme yang ditolaknya. Beliau menyambung:

“Namun, jika apa yang dimaksudkan dengan nasionalisme ialah menghidupkan kembali budaya jahiliyyah yang telah pupus. Mewujudkan semula sejarah yang telah lenyap dengan mengenepikan tamadun baik yang telah bertapak kukuh. Membuang semua yang ada kaitan dengan Islam semata-mata kerana semangat nasionalisme dan semangat kebangsaan sepertimana yang dilakukan oleh sesetengah negara yang fanatik, sehingga ke tahap menghancurkan semua imej Islam dan Arab (bangsa setempat), termasuklah mengubah nama, huruf dan istilah yang digunakan dan menghidupkan semula budaya jahiliyyah yang telah sekian lama pupus, jika inilah nasionalisme yang dimaksudkan, maka nasionalisme seperti ini tidak betul dan membawa kesan yang amat buruk.”

Melalui kaedah Imam Hassan Al-Banna ini, kita dapat fahami bahawa dalam setiap pemikiran, baik yang kuno atau moden, yang lama atau baharu, terdapat perkara baik yang boleh kita ambil, dan perkara buruk yang mesti kita tinggalkan. Hal yang sama ditekankan oleh Syed Hussein Alatas dalam bukunya akan keperluan umat ini mempelajari “ilmu ubat dan juga ilmu racun”.

Hari ini kita terdedah dengan pemikiran yang mengangkat kebebasan misalnya, yang sering diungkapkan sebagai liberalisme. Islam sendiri mengiktiraf nilai kebebasan sebagai satu nilai penting bagi manusia. Contohnya bagaimana Rasulullah didatangkan untuk menghapuskan perhambaan sesama makhluk dan mengubah perkara ini kepada perhambaan hanya kepada Tuhan yang satu. Islam menggalakkan pembebasan hamba semasa zaman perhambaan. Islam membenarkan umatnya memerangi kezaliman dan penjajahan. Dalam hal ini kita boleh katakan bahawa Islam juga mempunyai nilai-nilai liberal (kebebasan) dalam ajarannya.

Namun kebebasan dalam Islam bukanlah satu kebebasan yang mutlak. Manusia sentiasa dipagari moral, hukum syariat, dan ketentuan wahyu ilahi. Sebenarnya manusia itu memang tidak akan boleh hidup dalam satu suasana kebebasan yang mutlak. Pasti akan ada peraturan yang mengikat manusia untuk mereka hidup bersama. Jika tiadanya satu peraturan, manusia tidak mampu wujud dalam bentuk masyarakat dan bentuk-bentuk sosial yang lain. Perlu ada persetujuan tentang bagaimana untuk mengatur kehidupan – inilah asas untuk pembentukan mana-mana fabrik sosial. Dalam mana-mana masyarakat pun, hatta dalam negara yang paling liberal hari ini, ada perkara yang tidak boleh kita lakukan kerana bertentangan dengan peraturan dan undang-undang. Ketiadaan kebebasan mutlak ini diakui oleh ahli falsafah, contohnya Jean-Jacques Rousseau menulis bahawa:

“Man was born free, and he is everywhere in chains.”

Begitu juga hak sama rata. Islam memperkenalkan idea bahawa semua manusia haruslah dihukum secara sama menurut satu undang-undang. Pembinaan kerajaan Islam pertama di Madinah merupakan pembentukan sebuah masyarakat yang egalitarian.

Kaedah Imam Hassan Al-Banna, dengan pendefinisian semula, menilai sesuatu pemikiran dalam bentuk pecahan-pecahan ideanya, boleh diaplikasikan dalam semua bentuk pemikiran moden. Di sini datangnya keperluan para intelektual muslim untuk mengkaji pemikiran-pemikiran yang ada serta mencerakinkan mana idea yang bertentangan dengan Islam dan mana yang bersesuaian dengan Islam. Dalam ekonomi misalnya, idea pemilikan harta dalam sistem kapitalis tidak ditolak Islam, maksudnya ada cerakinan idea dalam kapitalisme itu yang boleh kita terima. Begitu juga dalam pemikiran sosialisme misalnya, idea perihal hak pekerja, keadilan sosial, itu tidak mempunyai percanggahan dengan Islam. Oleh itu tiada masalah kita untuk menerimanya.

Jadi ini adalah sumbangan pemikiran gerakan Islam Haraki dalam mengharmonikan pemikiran umat dan menangkis ghazwatul fikr. Kita tidak boleh menolak semua pemikiran moden, jika kita melakukan sedemikian, ia akan mengakibatkan umat menjadi mundur. Kita juga tidak boleh menerima kesemuanya hingga umat ini tiada jati diri, tiada identiti, dan tiada kekuatan rohani. Maka Imam Hassan Al-Banna datang dengan membawa pemikiran yang seimbang, dengan aliran fikir ini umat Islam boleh berubah menjadi umat Islam yang moden tanpa perlu menjadi western.

Masa Depan Pemikiran Islam Haraki

Masa depan mana-mana pemikiran atau gerakan bergantung kepada sambutan generasi seterusnya kepada pemikiran dan gerakan tersebut. Jika ia mampu melahirkan barisan pelapis muda baharu yang dapat menyambung kesinambungannya juga keharmoniannya dengan suasana baharu, maka ia akan terus kekal relevan. Jika tidak, ia akan menjadi satu helaian dalam mukasurat sejarah. Oleh sebab itu saya pernah menulis sebuah artikel yang membincangkan fenomena pupusnya kaum muda dalam gerakan Islam Haraki agar persoalan masa depan ini dilihat dengan serius.

Pada hari ini, gerakan Islam Haraki telah memasuki fasa generasi kedua dan ketiga. Fasa di mana generasinya kini berada dalam suasana yang berbeza, di kebanyakan negara, termasuk negara kita Malaysia, kita kini bukan lagi berada dalam era kolonial tetapi fasa pasca-kolonial. Oleh itu, banyak pemikiran-pemikiran dan slogan-slogan perlu difikir semula dan dibuat pembaharuan. Jika tidak, generasi baharu tidak dapat merasakan bahawa pemikiran ini merupakan pemikiran yang ingin menyelesaikan masalah yang ada pada zamannya. Ia akan kelihatan lebih kepada retorik berbanding solusi yang praktikal.

Kesimpulan

Hasil dari tinjauan kita, dapatlah kita fahami bahawa pemikiran Islam Haraki ini mendapat kritikan dan tentangan dari Barat kerana ia mempunyai unsur politik hasil dari kefahaman konsep kesyumulan Islam. Para pendokong Barat tentunya tidak mahu dominasi dan hegemoni kuasa politik mereka dicabar oleh orang lain. Sementara itu, ia juga dikritik oleh sebahagian sarjana Islam sendiri yang mempunyai fahaman dan tafsiran yang berbeza terhadap konsep-konsep agama. Namun, pemikiran Islam Haraki tetap mempunyai sumbangan dalam melawan kuasa kolonial yang menjajah dunia Islam, menyatukan umat dengan solidariti Ukhuwah Islamiyah, dan penyegaran semula identiti Islam dalam pemikiran dan jiwa umat. Masa depan pemikiran Islam Haraki ini bergantung kepada kebolehannya dalam melahirkan pendokong-pendokong baharu dari generasi muda. Untuk itu berlaku, pemikiran Islam Haraki perlulah terbuka dengan proses penyegaran dan pemurnian.

Kritikan-Sumbangan-dan-Masa-Depan-Pemikiran-Gerakan-Islam-HarakiDownload

Download artikel ini.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di lautan Ideologi (2022) and Dua Sayap Ilmu (2023). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

fathi137.wixsite.com/syedahmadfathi

Filed Under: Rencana

Menjawab Kekeliruan & Konflasi Alip Moose Perihal Cancel Culture

January 10, 2022 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Pertamanya saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Alip kerana sudi meluangkan masa, membaca dan mengkritik pandangan saya. Hal ini adalah perkara yang baik, saya menerima kritikan dengan hati yang terbuka. Saya kira itulah asam garam dalam memberikan pendapat, jika takut kritikan, usah diberi pendapat. Menulis dan memberi pendapat memerlukan keberanian, kita mesti berani mengkritik dan dikritik.

Pada mulanya saya tidak mahu menulis tulisan balas, kerana bagi saya Alip telah berubah posisi. Pada posting awal saya perihal polimik ini, beliau menulis komen “tak setuju, terlalu simplistik dan tiada stance”. Namun pada tulisan seterusnya beliau sudah sedikit longgar dan menyatakan bahawa beliau bersetuju dengan saya bahawa “cancel culture adalah toksik”. Kemudian beliau menambah sedikit caveat “tetapi dalam masa yang sama ianya kompleks”. Perubahan Alip dari total rejection kepada persetujuan bersama caveat ini bagi saya sudah menyampaikan matlamat penulisan saya, kerana itu adalah inti asas pada kritik saya.

Namun saya kira masih ada beberapa hal yang Alip terkeliru. Saya tidak salahkan beliau, mungkin tulisan saya tidak begitu mendalam dan mencakup keseluruhan subjek perbincangan. Kerana tulisan asal di Facebook saya itu hanyalah coretan saya sambil menunggu pesanan roti canai sarapan pagi di Selaseh Cafe, Taman Selaseh, Gombak. Juga artikel perihal Voltaire itu juga tidak menerangkan apa yang saya maksudkan dengan cancel culture. Jika tidak diletakkan satu definisi, saya kira kita akan saling menembak perkara-perkara yang tiada kaitan.

Definisi cancel culture saya adalah satu budaya moden baharu, yang muncul pada zaman media sosial (Facebook dan Twitter) mula mengambil alih peranan media massa sebagai media perdana sebagai pusat penyampaian informasi. Budaya ini akan menyerang individu yang tidak sehaluan dengan pendapat dan ideologi mereka. Serangan ini bukan berbentuk fizikal tetapi intimidasi virtual dengan berkempen untuk block orang tersebut, unfollow, de-platform, memecatnya dari sebarang posisi atau dalam kata lain “menyenyapkan” orang tersebut atas satu atau sebahagian kenyataan mereka.

Jadi cancel culture yang saya maksudkan adalah satu budaya moden dan tiada kena mengena dengan konflasi (conflation) yang dibuat oleh Alip dengan mengaitkannya dengan insiden pembunuhan Trotsky oleh assasin upahan Stalin, atau hukuman bunuh yang dijatuhkan oleh sultan dalam sejarah Islam. Bagi saya apa yang disebutkan oleh Alip itu adalah kekejaman penguasa (state violence) yang telah wujud zaman berzaman sebelum adanya Facebook dan Twitter. Itu bukan inti kritikan saya.

Saya juga mengkritik cancel culture sama ada ia dilakukan oleh penyokong kiri dan kanan. Saya sebenarnya tidak mahu memberi contoh-contoh ideologikal, kerana akhirnya ia akan menjadi satu yang binari. “Oh dia ni kiri mesti bangang” atau “Oh dia ni kanan mesti bigot”. Saya hendak keluar dari kerangka binari ideologi seperti ini, kerana ia tidak bermanfaat. Namun saya ada mendapat kritikan dari golongan yang mengaku kiri (bukan Alip dalam kes ini) yang mengaku mengikut Marx tetapi mempertahankan cancel culture. Sebab itu saya memberi contoh kritikan Edward Said terhadap Marx. Saya melihat ini satu percanggahan, di mana pengikut Marx yang mengamalkan cancel culture yang menyenyapkan seseorang atas sebahagian kenyataan mereka yang bermasaalah dalam masa yang sama menerima Marx secara keseluruhan walaupun banyak tulisan Marx yang bermasalah. Saya ingin mengetengahkan percanggahan (contradiction) itu. Adakah Edward Said menjadi kanan kerana mengkritik Marx?

Saya kira Benz Ali yang lebih keras kirinya pun boleh menerima kritikan terhadap Marx tanpa perlu melompat dimana beliau menyatakan bahawa “sesiapa sahaja yang salah harus dikritik walaupun ianya bernama Marx”. Mengkritik Marx tidak menjadikan seseorang itu “cenderung mengkritik kaum kiri” seperti yang ditulis oleh Alip. Apa yang Alip tinggalkan dalam usahanya untuk menunjukkan bahawa saya “cenderung mengkritik kaum kiri” adalah dalam tulisan yang sama saya turut mengkritik John Stuart Mill. Adakah Alip ingin mengatakan Mill yang terlibat secara langsung sebagai pegawai kolonial yang menjajah India sebagai kaum kiri?

Alip mengatakan bahawa saya tujukan kritik saya kepada kiri dan tidak menyentuh kanan yang menggunakan status quo. Bukankah kolonial British yang menjajah India selama hampir 200 tahun itu adalah status quo yang menindas bangsa lain pada zaman Mill? Ini yang tidak disebut oleh Alip kerana dia hanya melihat sesuatu dari lensa ideologi. Walhal saya mengkritik budaya moden yang saya lihat anti-intelektual. Ia tetap anti-intelektual sama ada ia digunakan oleh golongan kiri atau kanan. Perbahasan saya bukan perihal ideologi, tetapi kritik terhadap budaya moden, dan contoh kiri itu adalah untuk menjawab kritikan balas dari penyokong kiri lain yang mengamalkan cancel culture, bukan terhadap kiri secara keseluruhan.

Saya tak ada masalah dengan accountability, malah saya bersetuju dengan Alip dalam hal ini. Tetapi bagi saya accountability itu harus bersifat berkadaran (proportional) dengan kenyataan yang dibuat. Adakah wajar jika satu tweet yang kita rasakan tidak bertepatan dengan idea kita, seluruh idea, pemikiran, dan kehidupan orang tersebut perlu kita tolak? Alip menulis perihal free speech dan hate speech. Saya ingin bertanya, dalam ruang perbahasan awam, siapa yang wajar menjadi arbiter untuk menentukan apa yang ditakrifkan sebagai free speech dan hate speech? Jika penghujah yang boleh menjadi arbiter, tidakkah ia akan mempunyai tendensi untuk bersifat tidak adil dan abuse kedudukannya untuk menang hujah? Atau internet troll dengan fake profile boleh menjadi arbiter?

Alip menulis “kebebasan jangan ditunggang”, saya bersetuju, kemudian saya mahu bertanya kepada Alip apa yang membuatkan cancel culture tidak akan ditunggang oleh ideolog untuk mengetengahkan ideologi mereka meskipun sesuatu itu bertentangan dengan sains dan biologi? Steven Pinker yang pernah menjadi mangsa cancel culture ada membahaskan hal ini. Bagaimana pengkaji tidak dapat menerbitkan kajian mereka, bukan kerana kajian mereka tidak betul, tetapi kerana penerbit takut ia akan menyalakan api kemarahan emosi golongan yang mengamalkan cancel culture. Akhirnya sains tewas pada emosi. Sebab itu ia bermasalah, apabila internet troll boleh menjadi arbiter, ia menjadi satu senjata untuk mengawal kebebasan bersuara dan beridea. Orang takut memberikan pendapat, bukan kerana idea mereka tidak benar, tetapi kerana takut menjadi mangsa cancel culture. Bagi Pinker, cancel culture ini mempunyai mangsa, antara mangsanya adalah golongan pemikir, intelektual, dan pengkaji.

Bagi saya, jika kita tidak bersetuju dengan sesuatu pendapat atau idea. Cara yang lebih baik adalah menuliskan kritikan, seperti yang dilakukan Alip kepada saya, bukan dengan kita cancel seseorang. Manusia itu memang tak sempurna, hatta pemikir yang disanjung seperti Karl Marx. Kita tidak dapat lari dari mengambil manfaat dari kebaikan yang datang darinya, dan menolak dan mengkritik kesalahannya. Bukan jalannya dengan cancel dan menolak secara keseluruhan.

Walaupun bagi Alip artikel saya “terlalu simplistik, cenderung memomokkan kaum kiri tanpa alasan dan hujah yang memadai, dan terlalu idealis dan bersifat status quo”, saya ingin mengucapkan terima kasih kepadanya kerana bersetuju tentang satu perkara, iaitu “cancel culture adalah toksik”. Itu sahaja sebenarnya tujuan penulisan saya, jika saya sudah dapat persetujuan itu saya telah damai, lain-lain hanyalah ranting-ranting yang bukan inti penulisan asal saya. Satu persetujuan ini sudah cukup untuk menyempurnakan tujuan penulisan saya.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di lautan Ideologi (2022) and Dua Sayap Ilmu (2023). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

fathi137.wixsite.com/syedahmadfathi

Filed Under: Rencana

  • « Previous Page
  • 1
  • 2
  • 3
  • 4
  • …
  • 9
  • Next Page »

Recent Posts

  • Mahasiswa & Universiti: Mengkritik Idealisme Mahasiswa
  • Catatan Pra & Pasca Pilihanraya Negeri 2023
  • Analisa Žižek Terhadap Persoalan Adakah Komunisma Masih Relevan di Abad Ke-21
  • Apakah Makna Pesta Buku Buat Seorang Penulis?
  • Kultura Podcast EP#42 : Menziarahi masyarakat orang asli RPS Air Banun

Archives

Copyright © 2023 The Independent Insight