
Kumpulan samseng haram yang dikenali sebagai ‘Skuad Langgar’ akhirnya tumpas ditahan polis kerana menjalankan aktiviti samun. Menurut laporan Sinar Harian, ahli kumpulan haram dan samseng ini menjalankan kegiatan menahan, meminta dokumen tanpa tauliah, serta menyamun di Taman Perling, Johor. Kumpulan penjenayah ‘Skuad Langgar’ ini akhirnya ditangkap polis pada hari Jumaat, 11 September 2026.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan polis kira-kira jam 5.40 petang oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.
Menurut beliau, penahanan suspek dilakukan selepas polis menerima dua laporan daripada dua lelaki etnik Rohingya masing-masing berusia 25 dan 35 tahun pada Rabu dan Khamis.
“Dalam kejadian pertama di Taman Perling itu, mangsa yang sedang menunggang motosikal untuk mencari pelanggan memotong rumput ditahan suspek sebelum kad UNHCR dan mesin pemotong rumput milik mangsa dirampas. Suspek kemudian beredar dari lokasi kejadian,” menurut polis.
Ab Rahaman berkata, polis turut merampas beberapa barangan susulan penahanan suspek, termasuk sebuah mesin pemotong rumput, kunci motosikal, sepasang pakaian, sebilah parang dan sekeping kad UNHCR.
“Sementara bagi kejadian kedua pula berlaku di kawasan berhampiran di mana suspek bertindak menahan seorang lagi warga asing dan meminta kad UNHCR. Bagaimanapun, berlaku pertengkaran sehingga suspek bertindak menumbuk serta mengugut mangsa,” menurut Datuk Ab Rahaman Arsad dalam kenyataan pada malam Sabtu.
“Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing menunjukkan keputusan negatif dadah. Suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 18 September selepas perintah reman dibenarkan Majistret Mahkamah Johor Bahru bagi membantu siasatan,” ujar beliau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana menyamun; Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi kesalahan ugutan jenayah,” jelasnya.
Dalam pada itu, polis menegaskan bahawa sebarang tindakan menahan, menyekat pergerakan atau memeriksa dokumen pengenalan diri seseorang oleh pihak yang bukan daripada kalangan pihak berkuasa seperti yang dilakukan oleh Skuad Langgar (skuad haram yang tidak bertauliah) merupakan perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang.
Dalam satu kenyataan, ketua kumpulan samseng dan penyamun Skuad Langgar, Fhairul Fizzy mengeluarkan kenyataan:
“Seorang team squad langgar diminta ke IPD Taiping, dan 4 lagi sudah ditahan di dalam lokap kerana wraga asing buat report samun!! Budak2 tu datang siap buat live xkan nak menyamun buat live kot? Dr situ boleh pikirla, rakyat MALAYSIA TOLONG DOAKAN team squad langgar yg ditahan, KAMI ADA ALLAH”.

Tindakan polis menahan beberapa individu yang terlibat dalam aktiviti samseng dan samun oleh kumpulan haram ‘Skuad Langgar’ mendapat sokongan orang ramai yang mahu keselamatan serta ketenteraman awam terus dipelihara. Dalam kenyataan di media sosial, masyarakat melahirkan rasa syukur atas tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta menyifatkan penahanan berkenaan sebagai perkembangan positif dalam usaha membanteras kegiatan jenayah.
Kumpulan haram seperti ‘Skuad Langgar’ wajar dikenakan tindakan mengikut undang-undang sekiranya siasatan mendapati mereka terlibat dalam kesalahan jenayah, termasuk samun. Tindakan individu yang didakwa melakukan kegiatan jenayah secara terbuka di media sosial, termasuk menyiarkan secara langsung perbuatan mereka, seharusnya tidak menghalang pihak berkuasa daripada menjalankan siasatan dan mengambil tindakan.
Orang ramai juga digesa supaya bekerjasama dengan pihak polis dengan membuat laporan sekiranya mempunyai maklumat berkaitan aktiviti samun atau kegiatan yang mengancam keselamatan masyarakat. Kerjasama masyarakat amat penting bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan jenayah dan memastikan keamanan serta keselamatan rakyat terus terpelihara. Individu yang terlibat dalam sebarang kesalahan jenayah dapat dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan tindakan sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang.
Related Posts

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.





