
Oleh Imran Mohd Rasid
Saya mula perasan, sejak beberapa tahun yang lepas, apabila Profesor Jomo Kwame Sundaram memulakan syarahan, beliau akan mendahuluinya dengan ucapan “Assalamualaikum”, diikuti dengan peringatan halus dan bersahaja:
“Walaupun ucapan salam ini sudah menjadi rutin, ucapan yang mengajak pada keamanan ini menjadi penting dan harus direnungkan dalam mendepani dunia yang bergolak hari ini. Seiring dengan seruan ‘Assalamualaikum’ ini, kita harus memikirkan bagaimana untuk memastikan dunia ini terus aman dan tidak terjebak dalam peperangan yang memusnahkan.”
Peringatan ini benar-benar berbekas dalam diri saya. Pada tahun pertama Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS), hampir 10 negara sudah dibom. Perang haram yang dilancarkan AS-Israel terhadap Iran sudah berlangsung lebih daripada 7 bulan.
Dalam dunia yang disebut-sebut semakin mendekati Perang Dunia Ketiga inilah, ucapan dan agenda mengangkat prinsip keamanan ini menjadi semakin getir, terutamanya dalam memastikan kelangsungan spesies manusia itu sendiri.
Ucapan Taslim Dalam Tradisi Islam
Ucapan “Al-salāmu-‘alaykum” (maksudnya, “semoga keselamatan dan kesejahteraan buat kamu”) adalah sebutan lazim apabila masyarakat Islam berjumpa. Ianya berakar daripada perkataan “salām” dalam bahasa Arab (kata akarnya: salima/yaslamu), yang bermaksud “Keamanan”, sekaligus berlawanan dengan perkataan “Harb” (Perang).
Selain daripada digunakan untuk menyapa sesama umat Islam, ucapan Taslim ini juga dibaca setiap kali selesai ibadah solat. Ucapan “Assalamualaikum” juga adalah sunat untuk disebutkan sesama Muslim, tetapi menjadi hukum Wajib untuk dijawab bagi orang yang mendengarnya.
Secara tidak langsung, sikap ini menegaskan bahawa seruan untuk menyebarkan keamanan itu adalah tanggungjawab penting untuk dipikul oleh orang Islam.
Bahkan, kata nama “Islam” itu sendiri berasal daripada bahasa Arab, iaitu daripada kata akar tiga konsonan س-ل-م (S-L-M). Daripada akar ini, terbit kata kerja salama (سلّم) yang bermaksud selamat, aman, atau sejahtera.

Bahkan, istilah ʾīmān, merujuk kepada keyakinan agama Islam, juga berakar daripada kata akar tiga konsonan أ م ن (a-m-n). Seiring dengan kata akar ini adalah perkataan seperti “amān” (perlindungan atau keselamatan), atau amānah (boleh dipercayai).
Salah satu nama Allah juga adalah al-Salām seperti yang termaktub dalam Qu’ran dalam pelbagai surah, dan juga hadis Nabi Muhammad SAW: “Sesungguhnya As-Salām adalah salah satu nama Allah Ta’ālā yang diletakkan di bumi, maka tebarkanlah salam di antara kalian.”
Demikianlah, bahawasanya sifat Islam itu sebenarnya menuntut keamanan dan kedamaian sesama manusia tanpa mengira ras, agama, warna kulit, jantina dan budaya. Ianya adalah citra keamanan sejagat buat semua warga dunia!
Keamanan yang Bagaimana Yang Kita Citakan?
Baru-baru ini viral sebuah klip video ringkas di media sosial. Video tersebut memaparkan perbualan antara Kwame Turre, aktivis tersohor gerakan sivil berkulit hitam di Amerika, dengan beberapa orang muda berkulit putih tentang perbezaan antara “Peace” (Keamanan) dengan “Pembebasan”.
“Anda boleh hidup dalam ketidakadilan (injustice), dalam suasana yang aman (peace). Bahkan anda boleh hidup dalam keadaan aman, walaupun terikat dalam perhambaan.”
Menurut Kwame Turre lagi, “Keamanan bukanlah jawapannya. Jawapan sebenar adalah Pembebasan (Liberation).”

Saya memahami ucapan Kwame Turre bukan sebagai penolakan terhadap keamanan, tetapi sebagai peringatan bahawa keamanan itu harus berbasis pada keadilan. Keamanan yang membungkam kezaliman dan keperitan kelompok lain, bukanlah keamanan yang hakiki.
Dalam bahasa Inggeris, istilah “peace” itu sendiri berakar daripada istilah latin, iaitu pax atau pacem. Pax Romana, Pax Britannica, dan Pax Americana adalah periode politik yang disebut-sebut sebagai periode “kestabilan, kemakmuran, dan keamanan” berpaksikan sesuatu empayar dalam sejarah.
Tetapi kestabilan ini dibayar dengan harga yang bagaimana? Dan siapa yang menikmati keamanan ini? Pax Americana yang muncul mendominasi dunia selepas 1945 hanya menjamin keamanan untuk sesetengah pihak, bukan semua.
Serangan Bom Atom di Hiroshima & Nagasaki (1945) membunuh hampir 140 ribu orang Jepun, Perang Vietnam (1955 – 1975) mengorbankan lebih 500 ribu nyawa rakyat Vietnam, Perang Iraq (2003-2011) mengorbankan hampir 210 ribu nyawa orang Iraq. Sekatan ekonomi yang rata-ratanya dibuat oleh AS, menurut kajian di jurnal Lancet, mengakibatkan 560 ribu kematian.
Sebab itu, kita harus bertanyakan juga: Adakah keamanan seperti ini yang kita cita-citakan? Keamanan sambil menjadi pak turut kepada kuasa lain?
Golongan Pro Peperangan Juga Berbicara Soal Keamanan
Sebab itu, berbicara soal keamanan harus juga dikaitkan dengan soal sistem masyarakat yang harus dibebaskan dari penindasan, baik di peringkat lokal mahupun antarabangsa.
Kalau tidak agenda “keamanan” sendiri boleh dijadikan alasan untuk mengabsah kegasakan terhadap orang lain. Perang Dunia Pertama (1914–1918), pernah dijolok sebagai “Perang yang Mengakhiri Semua Perang,” oleh ramai pihak termasuk H.G. Well.
Hakikatnya, Perang Dunia Pertama tidaklah membawa kepada kedamaian atau menamatkan segala jenis perang dalam dunia. Sebaliknya, Perang Dunia Kedua meletus, rentetan daripada Perang sebelumnya mengorbankan hampir 60 juta nyawa.

Pada hari ini bukan segelintir kelompok yang pro-perang berbicara dengan kosa kata “keamanan”. “Board of Peace” ciptaan Trump juga bukanlah platform yang mengangkat keamanan. Hadiah Nobel bagi Kategori Keamanan terbaru (2025) juga diberi kepada María Corina Machado, aktivis kanan yang pro perang dan serangan AS terhadap Venezuela.
Bahkan, Peter Thiel, bilionair, pengasas syarikat PayPal dan Palantir, dan juga antara penasihat Trump, juga berteori tentang keamanan.
Dalam sebuah siri syarahan di San Francisco, Thiel berteori tentang hari kiamat dan figura “Dajjal” (anti-christ). Siapa Dajjal yang mengancam keamanan dunia oleh bagi Peter Thiel?
Mereka adalah watak-watak seperti Greta Thunberg dan agenda alam sekitar, agensi-agensi antarabangsa di Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa, dan pengkritik teknologi. Mereka ini yang “mengancam” keamanan dunia yang didiami oleh Thiel.
Bagi Peter Thiel, dunia yang aman adalah dunia yang berpihak kepada monopoli korporat. “Monopoli adalah satu-satunya syarat untuk mewujudkan perniagaan yang berjaya,” kata Thiel. Kelompok lain dipersetankan: biarlah sengsara mencari secebis keamanan dalam hidup mereka.
Keamanan Tidak Datang Bergolek
Apabila ada pihak yang mahu membolot keamanan untuk kepentingan mereka semata-mata, dan mengancam keamanan pihak lain, maka mahu atau tidak, agenda keamanan yang benar-benar sejagat menjadi agenda perjuangan dan perlawanan.
Di penghujung Konferensi Asia-Afrika 1955 (Konferens Bandung), suatu Deklarasi berisi 10 poin diluncurkan. Deklarasi yang juga dikenali sebagai “10 Prinsip Kehidupan Bersama yang Aman” menggesa supaya kedaulatan negara, multilateralisme, dan keadilan ekonomi dilaksanakan sepenuhnya sebagai prasyarat keamanan.
Agenda ini tentunya kekal relevan sehingga hari ini, terutamanya apabila agenda ketenteraan (militarization) dan ekonomi perang semakin dominan. Apabila Presiden Trump, Marco Rubio dan Pete Hagseth menggesa Eropah dan Asia untuk meningkatkan perbelanjaan ketenteraan, kita harus mengambil sikap yang berlawanan. Sepertimana yang disebutkan oleh Prof Jomo KS:
“Keamanan tidak boleh dibentuk hanya melalui keupayaan ketenteraan. Ianya juga tidak boleh diteruskan tanpa mengambil kira keadilan ekonomi, pembangunan, dan perwakilan antarabangsa.”
Sebab itu, agenda kita sewajarnya mengarah kepada membina kondisi politik, institusi antarabangsa, dan hubungan serantau yang meyakinkan kesemua pihak bahawa keselamatan negara lebih terjamin melalui pendekatan kooperasi, dan bukannya konfrontasi.
Imran Mohd Rasid ialah pengarah eksekutif Citizens International, dan pengkaji bebas mengenai sejarah dan ekonomi-politik dunia. Beliau banyak menulis hal-hal berkaitan dengan perkembangan geopolitik, isu-isu perang dan agenda dunia selatan.
Related Posts

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.





