Setiap bidang kajian memerlukan skop untuk menjadikannya sebuah bidang yang tersendiri. Oleh itu, sejarah sebagai sebuah bidang kajian perlulah mempunyai skop kajian atau ruang lingkupnya yang tersendiri. Skop kajian ini perlulah spesifik dan berfokus, kerana mustahil kita dapat membahaskan semua perkara. Dan jika kita membahaskan semua perkara, perbahasan kita akan menjadi perbahasan umum dan bukan lagi berdiri sebagai satu bidang yang tersendiri. Untuk menentukan skop dan ruang lingkup sejarah, ahli sejarah telah berusaha untuk memahami falsafah sejarah dan memberikan satu definisi kepadanya. Kerana tanpa sebuah definisi, kita tidak dapat menentukan sempadan dan ruang kajian kita.
Namun setiap ahli sejarah mempunyai kefahaman dan definisi yang berbeza berkenaan dengan apa itu sejarah dan apa yang patut disejarahkan seperti yang dibahaskan oleh Abdul Rahman Haji Abdullah. Menurut beliau, nilai kesejarahan ini bukan sahaja akan berbeza dari pandangan individu, malah akan berbeza seiring berubahnya ruang dan waktu.[1] Jadi, boleh jadi sesuatu peristiwa itu dianggap bersejarah dahulu tetapi tidak lagi pada masa kini. Juga, boleh jadi sesuatu itu dianggap termasuk dalam bidang sejarah oleh seorang sarjana, tetapi ia ditolak oleh sarjana yang lain.
Perkara sama turut diutarakan oleh E. H. Carr dalam membahaskan apa itu sejarah, beliau berpendapat bahawa sejarah itu ditentukan oleh ahli sejarah. Ahli sejarahlah yang memilih fakta-fakta dan menentukan mana yang hendak diketengahkan dan mana yang hendak disisihkan.[2] Oleh kerana sejarah tidak dapat dipisahkan dengan ahli sejarah yang menulis sejarah, lingkungannya juga pastilah bergantung kepada pendapat ahli sejarah yang menulisnya.
Idea Ruang Lingkup Sejarah F. J. Teggart
Pada peringkat awal, sejarah ditulis hanya perihal golongan tertentu yang menatijahkan peristiwa-peristiwa penting seperti perang. Bentuk sejarah seperti ini dapat dilihat dalam penulisan Bapa Sejarah iaitu Herodotus dalam karyanya Histories dan kemudian dalam tulisan Thucydides yang menulis sejarah melalui karyanya The Peloponnesian War. Golongan yang dapat mempengaruhi perubahan dan pergerakan masyarakat biasanya adalah golongan bangsawan, elit, ahli politik, paglima perang, raja dan pemerintah. Oleh itu sejarah tradisionalis banyak mensejarahkan mereka dalam penulisan-penulisan sejarah. Bentuk sejarah elit ini mencapai kemuncaknya dengan kemunculan Leopold von Ranke yang dianggap bapa sejarah moden. Sejarah versi Ranke melahirkan alirannya yang tersendiri, aliran yang mementingkan dokumen dan membataskan penulisan sejarah perihal pentadbiran, pemerintahan, dan peperangan. Bagi Ranke sejarah perlu ditulis untuk memaparkan apa yang berlaku seperti mana ia berlaku pada masa lalu, wie es eigentlich gewesen.
Idea sejarah tradisionalis seperti inilah yang melahirkan pemikiran bahawa skop sejarah perlu hanya merangkumi perbuatan manusia yang memberi kesan dan perubahan besar kepada masyarakat dan negara. Idea ini digagaskan dengan lebih tersusun oleh F. J. Teggart yang menyatakan bahawa apa yang dikira sebagai sejarah perlulah mempunyai dua kriteria. Pertama, adanya tindakan sosial manusia. Contohnya manusia-manusia yang menggerakkan dan mencetuskan revolusi. Kedua, tindakan tersebut mestilah memberi kesan kepada bangsa, masyarakat atau negara. Contohnya, revolusi yang digerakkan itu kemudiannya melahirkan bentuk pemerintahan baharu. Formulasi cakupan sejarah Teggart ini sesuai dengan penulisan sejarah tradisional seperti yang ditulis Herodotus dan Thucydides, juga aliran sejarah moden yang diasaskan Ranke.
Corak sejarah seperti yang difahami Teggart ini boleh kita lihat melalui beberapa contoh dan peristiwa spesifik. Dalam suasana politik tempatan di Malaysia, antara peristiwa sejarah yang masih mempunyai kesan sehingga ke hari ini adalah rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969. Menurut Leon Comber peristiwa ini berlaku kerana pertikaian yang tidak dapat dielakkan disebabkan oleh penghinaan kaum yang dilakukan secara meluas dan terang-terangan oleh parti pembangkan dan Parti Perikatan ketika itu.[3]
Jika kita melihat peristiwa ini melalui ruang lingkup Teggart, tindakan penghinaan kaum ini merupakan satu tindakan sosial. Oleh itu ia memenuhi kriteria pertama Teggart. Rusuhan ini juga memberi kesan yang besar kepada masyarakat dan negara terutamanya dengan kelahiran pelbagai formulasi polisi baharu yang diperkenalkan kerajaan antaranya pengenalan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah, pengenalan Rukun Negara sebagai ideologi kebangsaan dan perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk menyusun semula ekonomi.[4] Perubahan-perubahan besar kepada masyarakat dan negara hasil pengenalan-polisi-polisi ini menepati kriteria kedua Teggart. Oleh itu dapatlah dikatakan bahawa peristiwa 13 Mei 1969 ini adalah peristiwa yang bersejarah dan termasuk dalam ruang lingkup sejarah.
Kita juga dapat melihat ruang lingkup Teggart ini melalui contoh antarabangsa. Pada 28 Jun 1914, seorang nasionalis Serbia telah membunuh Archduke Franz Ferdinand yang merupakan pewaris kepada takhta Empayar Austria-Hungary. Tindakan sosial yang melibatkan golongan elit ini mempunyai kesan yang sangat besar. Austria telah mengumumkan perang ke atas Serbia pada 28 Julai dan mula mengebom Belgrade pada 29 Julai. German yang merupakan sekutu Austria telah memberi ultimatum kepada Rusia pada 31 Julai untuk menghentikan mobilisasi tentera dalam masa 12 jam namun ia tidak diendahkan oleh Rusia. Hal ini telah menyebabkan tercetusnya Perang Dunia Pertama.[5] Dari peristiwa global ini sekali lagi kita melihat ia menepati kriteria ruang lingkup sejarah Teggart dengan adanya tindakan sosial manusia dengan berlakunya pembunuhan pewaris takhta sebuah empayar yang akhirnya menatijahkan kesan yang sangat besar kepada dunia dengan tercetusnya Perang Dunia Pertama.
Jika kita membaca tulisan Teggart secara langsung, kita akan mendapati bahawa Tegart sendiri sedar bahawa ruang lingkup sejarah tradisional ini adalah sempit. Kebanyakannya terbatas pada kajian dokumen. Beliau mengakui bahawa skop sejarah sebenarnya dapat diperluaskan dengan berkembangnya ilmu-ilmu bantu yang lain terutamanya kajian arkeologi dan kajian dalam bidang Oriental. Kemajuan yang dicapai dari ilmu-ilmu bantu ini akan membantu ahli sejarah membuat analisis yang lebih terperinci.[6]
Pandangan Yang Bertentangan Dengan Idea Teggart
Seperti yang sudah kita bahaskan, idea ruang lingkup Teggart ini ada benarnya dan dapat kita lihat dalam contoh-contoh penulisan sejarah. Walaubagaimanapun, fahaman lingkungan sejarah Teggart ini terlalu sempit dan tidak dapat dipertahankan. Jika kita hanya menerima apa yang difahami Teggart, maka banyak kajian dalam bidang sejarah dalam aliran-aliran lain akan menjadi tidak bersejarah. Walhal ia ditulis oleh ahli-ahli sejarah yang berwibawa dan kajian mereka mempunyai sumbangan yang signifikan.
Lingkungan sejarah yang sempit seperti yang difahami Teggart ini ada dibahaskan oleh R. Suntharalingam dalam buku beliau Pensejarahan Barat. Bagi Suntharalingam, kelemahan besar dalam cakupan sejarah versi Teggart adalah penyempitan ruang sejarah hanya kepada golongan elit. Kerana hanya golongan elit sahaja yang tindakannya akan memberi kesan dan perubahan besar dalam masyarakat.[7]
Menurut R. Suntharalingam lagi, penulisan sejarah di luar skop yang digagaskan oleh Teggart boleh dilihat dalam penulisan sejarah sejak awal lagi. Contohnya Herodotus yang menulis tentang gambaran sejarah dan etnografi orang Mesir dari pelbagai lapisan masyarakat. Penulisannya merangkumi adat resam, pakaian, makanan, pertanian, dan agama. Begitu juga ahli sejarah Rom seperti Livy yang menulis perihal penderitaan rakyat biasa melalui wabak penyakit, pertempuran, dan krisis. Malah Tacitus, yang juga merupakan ahli sejarah Rom menulis perihal nasib orang kebanyakan, penyiksaan hamba abdi, dan juga keberanian hamba wanita.[8] Oleh itu sejak awal lagi, kita dapat melihat bahawa ahli sejarah menulis dalam skop yang lebih besar dalam usaha mereka merakamkan keadaan masyarakat melalui pensejarahan mereka. Mereka menulis perihal rakyat bawahan yang tentulah tidak dapat mempengaruhi perubahan besar atau mengubah nasib bangsa, jadi penulisan ini tidak termasuk dalam skop jika kita membataskan sejarah sekitar apa yang digagaskan Teggart. Bagi Suntharalingam, tidak dinafikan banyak sejarah awal ditulis mirip diskripsi Teggart yang berfokus pada golongan elit, namun dalam masa yang sama mereka juga menulis hal-hal di luar batas yang digariskan Teggart.
Sejarah Keseluruhan Mengikut Aliran Annales
Aliran yang telah meluaskan lagi ruang lingkup sejarah adalah aliran Annales yang muncul sejak tahun 1920-an di Perancis. Aliran ini tidak berpuas hati dengan penyempitan sejarah hanya kepada rakaman tindakan golongan elit dan menganjurkan sejarah yang lebih menyeluruh ditulis atau apa yang disebut sebagai total history. Aliran ini dipelopori oleh tokoh-tokoh seperti Lucien Febvre, Marc Bloch, Fernand Braudel, dan Emanuel Le Roy Ladurie. Mereka telah mengkaji sejarah manusia dalam konteks alam dan institusi sosial.
Fernand Braudel misalnya telah mengkaji sejarah dengan lebih meluas dan mengambil kira aspek-aspek seperti geografi, struktur sosial dan politik, perdagangan dan pengangkutan, harga barang, galian, pertanian serta kebudayaan. Braudel juga mengkaji hal seperti pemakanan, pakaian, kesihatan, penyakit, dan perancangan keluarga dalam penulisan sejarahnya.[9] Di sini kita lihat bagaimana aliran Annales ini memperluaskan skop cakupan sejarah kepada semua aspek kehidupan manusia dan tidak lagi terikat dengan fahaman tradisional juga idea skop sejarah seperti yang difahami oleh Teggart dan Ranke.
Perluasan skop sejarah ini sangat penting kerana mustahil kita dapat memahami sejarah silam hanya melalui tindakan sosial manusia. Terdapat pelbagai perkara yang mengubah situasi kehidupan manusia di luar tindakan sosial mereka. Perkara ini pastilah perlu dikaji dengan teliti agar kita dapat memahami dengan lebih tepat proses sejarah yang berlaku.
Sebagai contoh, peristiwa bencana alam seperti tsunami yang melanda Fukushima, Jepun pada tahun 2011. Peristiwa ini sangat signifikan dan memberi kesan yang besar kepada masyarakat dan negara Jepun. Selain trauma dari kehancuran harta benda dan korban nyawa, situasi politik di Jepun juga berubah selepas peristiwa ini dengan perletakan jawatan perdana menteri Jepun, Naoto Kan pada ketika itu. Peristiwa yang signifikan ini pastilah bersejarah jika kita ukur melalui skop aliran sejarah Annales namun tidak bersejarah jika diamati dari lensa skop sejarah Teggart kerana ia bukan hasil tindakan sosial manusia.
Contoh penulisan sejarah bercorak Annales pada masa kini dapat kita lihat dalam penulisan sejarah seperti yang ditulis oleh Yuval Noah Harari. Beliau cuba menulis sejarah manusia secara keseluruhan. Beliau memulakannya dari kejadian alam hasil proses fizik, kemunculan organisma hasil proses biologi, seterusnya kelahiran manusia yang menghasilkan kebudayaan dan sejarah. Harari tidak hanya menulis sejarah melalui hasil kajian dokumen dan artifak, tetapi beliau turut memuatkan hasil dari kajian lapangan lain seperti biologi dalam membentuk naratif sejarahnya. Beliau turut meneliti persoalan kelahiran pemikiran, pertanian, penulisan, agama, dan juga sains dan teknologi.[10] Pendekatan sejarah seperti ini pastinya mengayakan lagi perspektif dan bidang sejarah. Namun ia tidak dapat dilakukan jika ruang lingkup sejarah terbatas seputar fahaman Teggart. Dengan cakupan sejarah yang lebih luas seperti yang digagaskan oleh aliran Annales, perkara ini dapat dilaksanakan.
Selain dari penulisan Harari, kita juga dapat membaca pelbagai lagi bentuk penulisan yang sejajar dengan aliran Annales. Contohnya Tim Marshall yang mengkaji sejarah konflik dan peperangan yang berlaku di dalam dunia. Namun Marshall tidak melihat tindakan sosial sebagai punca pergerakan konflik dan perang ini sebaliknya kajian beliau memfokuskan pengaruh yang dimainkan geografi. Marshall mengkaji bagaimana masyarakat dahulu dipisahkan oleh geografi dalam pembentukan kerajaan. Kerajaan-kerajaan yang wujud sebelum zaman moden dipisahkan oleh struktur geografi seperti sungai, gunung-ganang, hutan, lautan dan lembah. Keadaan geografi ini mempengaruhi konflik antara mereka. Idea negara bangsa merupakan idea zaman moden yang berasal dari Eropah, dari idea ini barulah lahir sempadan negara yang berbentuk tetap. Banyak sempadan-sempadan negara bangsa baharu ini tidak lagi berdasarkan elemen alam semulajadi tetapi hasil lukisan tangan kuasa-kuasa kolonial terkemudian yang membahagikan kawasan-kawasan jajahan mereka.[11]
Selain dari aspek geografi, ada juga penulisan yang mengkaji bagaimana polisi dan undang-undang mempengaruhi sejarah kehidupan masyarakat. Contohnya Mei Fong yang menulis bagaimana polisi satu anak di negara China membentuk sejarah baharu dalam kehidupan masyarakat. Beliau menelusuri sejarah yang bermula sejak tahun 1980 di mana polisi ini dimulakan. Beliau membahaskan bagaimana polisi ini menatijahkan kesan-kesan sosial seperti kekurangan tenaga kerja, populasi tua, ketidaksamaan gender dalam populasi dan lain-lain.[12] Kajian Mei Fong ini memperlihatkan bagaimana sesuatu polisi dan keadaan demografi boleh mempengaruhi sejarah sesebuah negara. Kajian-kajian seperti ini menggunakan pendekatan Annales dalam mengkaji perubahan masyarakat dan tidak terkongkong hanya pada tindakan sosial golongan elit.
Sejarah Tabii: Kajian Alam dan Kehidupan
Penulisan sejarah yang lebih ketara berbeza dari fahaman Teggart adalah sejarah tabii ataupun natural history yang mengkaji asal usul alam dan kehidupan. Sejarah seperti ini bukan sahaja tidak mengkaji tindakan sosial manusia, malah peranan manusia hampir tidak dikaji dan tidak ditekankan. Antara penulis awal yang menulis sejarah berbentuk sejarah alam ini adalah Francis Bacon melalui karyanya The History of the Winds yang terbit pada tahun 1622. Walaupun penulisan seperti ini ada unsur-unsur sejarah, seperti kajian pada masa lampau, perubahan-perubahan yang berlaku seiring bergeraknya masa, ada pandangan yang melihat ia lebih dekat dengan bidang sains tabii dan sains semulajadi dan bukannya sejarah.[13]
Bentuk penulisan sejarah seperti ini menjadi lebih popular dalam kalangan masyarakat dengan terbitnya tulisan Charles Darwin pada tahun 1859 yang bertajuk The Origin of Species. Tulisan Darwin ini sangat berpengaruh bukan sahaja dalam bidang natural history, namun ideologi dan teorinya merebak masuk ke dalam bidang-bidang lain seperti antropologi, sosiologi, psikologi dan lain-lain. Bagi Darwin, dengan mengkaji sejarah dan asal usul hidupan, kita akan melihat kehidupan organik itu dengan lebih menarik.[14] Walaupun teori evolusi sering dikaitkan dengan Darwin, namun beliau tidaklah membangunkan teori ini bersendirian. Ia dibangunkan bersama dengan seorang pengkaji lain yang bernama Alfred Russel Wallace yang mengkaji hidupan di nusantara. Antara tulisan Wallace yang terkenal adalah The Malay Archipelago yang terbit pada tahun 1869.
Sejarah Sebagai Kajian Pemikiran
Jika pengkaji seperti Bacon, Darwin dan Wallace mengkaji sejarah hidupan dan alam semulajadi, menurut R. G. Collingwood perbezaan antara sejarah dan sains semulajadi ialah unsur pemikiran.[15] Hanya manusia yang berfikir, oleh itu cakupan sejarah bagi Collingwood terbatas hanya kepada manusia. Haiwan, tumbuhan, dan unsur-unsur alam tidak mempunyai pemikiran mereka sendiri, oleh itu ia tidak boleh termasuk dalam ruang lingkup sejarah menurut Collingwood.
Jika bagi Teggart yang penting adalah tindakan sosial manusia, Collingwood merasakan apa yang penting adalah pemikiran yang melahirkan sebuah tindakan. Menurut beliau tugas utama ahli sejarah adalah meninjau aspek pemikiran dari tindak tanduk manusia. Collingwood mengecilkan lagi skop sejarahnya dengan hanya menumpukan fikiran berbentuk reflektif iaitu pemikiran yang sengaja, terancang, dan bertujuan. Dalam hal ini, pemikiran-pemikiran yang lahir dari perasaan, emosi atau naluri semulajadi tidak diambil kira. Contohnya fikiran manusia yang mahu makan kerana berasa lapar atau mahu tidur kerana penat, ini semua adalah hasil naluri semulajadi dan bukanlah pemikiran reflektif. Oleh itu ia tidak bersejarah menurut Collingwood.
Melalui definisi ini, cakupan sejarah menjadi lebih luas dari idea cakupan sejarah yang digagaskan oleh Teggart, selain politik, peperangan dan ekonomi, bagi Collingwood sejarah turut mencakupi hal-hal akhlak, agama, seni, dan falsafah kerana ia semua mempunyai unsur pemikiran dibelakangnya. Dari definisi Collingwood, sesuatu itu bersejarah jika ia terhasil dari pemikiran reflektif walaupun mungkin peristiwa yang terhasil itu tidak memberi kesan besar pada masyarakat seperti yang difahami Teggart.
Walaupun idea Collingwood ini membesarkan sedikit ruang lingkup sejarah berbanding formulasi Teggart, ia tetap mempunyai masalah. Terdapat ahli sejarah yang tidak bersetuju dengan idea Collingwood kerana ahli sejarah tidak dapat menghayati dengan tepat pemikiran orang pada masa lalu kerana pengalaman yang berbeza dan faktor-faktor lain yang tidak mungkin diketahui kesemuanya oleh ahli sejarah yang hidup pada zaman yang berbeza.
Menurut Collingwood, ahli sejarah perlu membentuk semula pemikiran yang telah berlaku dalam sebuah peristiwa. Atau dalam kata lain, tugas ahli sejarah adalah re-enactment of thought.[16] Namun mampukah ahli sejarah membentuk semula pemikiran lampau dengan tepat? Bagaimana ahli sejarah mahu menentukan sama ada sesuatu tindakan itu hasil dari pemikiran reflektif dan bukan emosi? Menurut Suntharalingam, tidak wujud sempadan mutlak antara pemikiran reflektif dengan pemikiran yang lahir hasil dari emosi dan perasaan.[17] Peperangan misalnya, pasti membangkitkan emosi seperti marah, takut, dan sedih. Jadi ia tidak dapat dipisahkan dari sejarah.
Menurut Muhd Yusof Ibrahim, selain Collingwood, sarjana seperti B. Croce dan A. O. Lovejoy juga melihat sejarah intelektual dalam alam fikiran sahaja sedangkan konteks sosialnya tidak dibentangkan.[18] Idea-idea seperti ini menunjukkan bahawa ruang lingkup sejarah bukan terbatas pada peristiwa-peristiwa objektif seperti tindakan sosial yang kesannya dapat dilihat. Tetapi termasuk juga dalam ruang lingkup sejarah kajian yang lebih abstrak, lebih subjektif, yang menjadi asas kepada perlakuan objektif yang terjadi dalam sesebuah peristiwa. Kajian dalam lapangan subjektif ini tentulah amat penting kerana ia dapat menerangkan sebab-sebab dan motif dalam sejarah. Jika ia diabaikan, sejarah akan menjadi kaku. Ia hanya akan menjadi kompilasi peristiwa tanpa sebarang makna.
Aliran Marxis dan Sejarah Rakyat
Selain aliran sejarah Annales, sejarah alam, dan sejarah pemikiran, terdapat satu lagi aliran sejarah yang sangat berpengaruh namun tidak cocok dengan formulasi ruang lingkup Teggart. Aliran sejarah ini dikenali dengan pelbagai terma dan nama seperti sejarah alternatif, sejarah dari bawah, sejarah rakyat, sejarah inklusif, dan juga sejarah Marxis.
Aliran Marxis ini mendapat namanya dari idea-idea dan penulisan Karl Marx yang mengkaji revolusi dan perubahan masyarakat. Antara idea Marx yang terkenal perihal perubahan masyarakat adalah idea dialektik materialisme. Idea ini tidaklah asli dari Marx, ia berasal dari idea dialektik Hegel yang kemudian dikembangkan oleh Marx. Penulisan Marx banyak memberikan perhatian kepada kaum buruh dan proletariat. Bagi Marx, penghasilan produksi material yang banyak hasil dari kapitalisme bakal menatijahkan perubahan sosial. Perubahan sosial ini akan berlaku apabila golongan buruh bawahan melancarkan revolusi untuk mengambil alih peranan untuk mengagihkan hasil kekayaan yang terhasil dari produksi kapitalisme. Pengagihan kekayaan ini akan melahirkan masyarakat baharu yang lebih egalitarian dan menghapuskan perbezaan kelas dalam masyarakat. Masyarakat tanpa kelas inilah yang dikatakan sebagai susunan sosial baharu iaitu masyarakat komunis.[19]
Idea-idea Marx perihal kaitan ekonomi dalam melahirkan perubahan masyarakat, juga fokus beliau kepada golongan yang secara tradisionalnya tidak mendapat tempat dalam penulisan sejarah telah mengembangkan lagi skop dan kajian sejarah.
Muncul pelbagai kajian dan tulisan yang mengaitkan ekonomi dan sejarah. Sivert Langholm sebagai contoh menulis bagaimana Charles Beard telah mengkaji bagaimana kepentingan peribadi ekonomi Bapa-Bapa Pengasas Amerika Syarikat mempengaruhi dan menjadi asas kepada pembentukan perlembagaan negara.[20] Howard Zinn turut menulis perkara yang sama. Menurut beliau Bapa-Bapa Pengasas Amerika Syarikat merupakan golongan kaya bangsawan yang mempunyai kepentingan peribadi tersendiri. Kepentingan mereka ini tidak sama dengan kepentingan rakyat bawahan.[21] Penulisan dan tafsiran sejarah dari perspektif ini melihat perubahan dari sudut pandang kepentingan ekonomi kelas, bukan sekadar tindakan sosial seperti yang difahami Teggart.
Aliran sejarah ini menawarkan sejarah yang lebih luas dan meremehkan hal-hal politik dan penguasa elit. Aliran ini memberi fokus kepada golongan bawahan, rakyat biasa, petani, hamba, wanita dan golongan buruh. Zinn dalam penulisannya menolak penulisan sejarah yang bersifat patriotik dan kenegaraan. Bagi beliau rakyat dan penguasa mempunyai kepentingan yang berbeza, menulis sejarah seperti mereka adalah sebuah keluarga adalah melihat sejarah dari perspektif yang salah.[22] Beliau memulakan bukunya dengan menceritakan pembersihan etnik Arawak (kaum peribumi) dibawah Columbus, kemudian menceritakan bagaimana golongan miskin dipaksa berperang, penindasan orang kulit hitam, juga penipuan-penipuan yang dilakukan kerajaan Amerika Syarikat sepanjang sejarah kepada rakyatnya.
Sejarah yang bersifat pro-rakyat ini juga dapat kita lihat dalam penulisan sejarah-sejarah tempatan. Contohnya Syed Husin Ali yang menulis Sejarah Rakyat Malaysia. Menurut Syed Husin Ali, sejarah rakyat boleh didefinisikan sebagai:
‘Sejarah Rakyat umumnya lebih merupakan jenis yang berpendekatan menumpu atau menekan kepada golongan rakyat daripada lapisan bawahan. Selain fokusnya kepada politik serta ekonomi dan sosial, ia harus juga menekankan tentang bagaimana rakyat hidup bersama dalam keluarga, komuniti dan juga berhubung migrasi.’[23]
Dari definisi ini dapat kita lihat bahawa apa yang didefinisikan sebagai sejarah rakyat itu bukan sahaja perlu mementingkan golongan bawahan, ia juga harus bersifat inklusif. Selain itu sejarah dalam definisi ini mempunyai utiliti, ia bukan ditulis untuk memaparkan sejarah seperti mana ia berlaku seperti yang digagaskan oleh Ranke, sebaliknya menurut Syed Husin Ali fungsi sejarah seperti ini adalah untuk mengajar masyarakat untuk hidup bersama. Dari satu sudut, sejarah itu ditulis dengan niat yang baik, iaitu untuk menggalakkan masyarakat hidup bersama secara harmoni, namun di satu sudut lain, adakah ia dapat mengekalkan sejarah yang objektif? Jika ada peristiwa sejarah yang tidak harmoni pernah terjadi, adakah ia akan dikeluarkan? Sekiranya ini berlaku, maka penulisan seperti ini akan menjadi propaganda, digunakan sebagai alat, dan bukan lagi kajian objektif yang meninjau keseluruhan sejarah.
Disebabkan perkara ini, tulisan Syed Husin Ali ini mendapat kritikan dari ahli sejarah. Menurut Azmi Arifin, tulisan Syed Husin Ali ini tidak mewakili suara ahli sejarah dari sudut kewibawaan akademik, mempunyai kelemahan pada tafsiran, mengulang semula sejarah rasmi, bersifat prejudis, berat sebelah, dan bertujuan politik.[24]
Disini kita dapat lihat bahawa aliran sejarah rakyat atau aliran Marxis ini memberi alternatif kepada cakupan sejarah tradisional. Ia mengembangkan skop kajian sejarah dari hanya berpusat kepada bangsawan dan golongan elit kepada skop yang lebih luas mewakili rakyat bawahan. Ia turut memandang bagaimana ekonomi memberi kesan dan perubahan dalam sejarah, sebab berlakunya perubahan tidak hanya terbatas kepada tindakan sosial manusia. Namun penulisan sejarah seperti ini harus juga dinilai secara kritis, agar niat mengembangkan sejarah dan bersifat inklusif itu tidak menghilangkan objektiviti. Penulisan sejarah tidak boleh terlalu mementingkan utiliti hingga bersifat seperti propaganda.
Kesimpulan
Dari perbahasan ruang lingkup sejarah ini, dapatlah kita fahami bahawa sejarah itu bersifat bebas dan tidak hanya terbatas kepada tindakan sosial manusia yang memberi kesan pada masyarakat dan negara seperti yang digagaskan Teggart. Gagasan Teggart tidaklah salah sepenuhnya, namun, ia hanya menceritakan sebahagian dari sejarah. Wujud aliran sejarah lain yang cakupannya lebih luas seperti aliran Annales yang membawa gagasan sejarah keseluruhan. Wujud aliran sejarah yang mengkaji alam tanpa mengambil kira tindak tanduk manusia. Ada aliran yang menumpukan sejarah dalam bentuk pemikiran, idea dan intelek. Terdapat juga aliran yang mengkaji golongan yang tidak dikaji oleh aliran tradisionalis seperti sejarah rakyat dan aliran sejarah Marxis. Semua aliran ini mempunyai sumbangannya yang tersendiri yang dapat membantu kita memahami peristiwa lampau dengan lebih sempurna. Oleh itu dapatlah kita fahami bahawa cakupan sejarah itu sememangnya luas, tidak hanya terbatas kepada apa yang digagaskan Teggart dan terpulang pada ahli sejarah untuk memilih skop kajian mereka.
Bibliografi
Abdul Rahman Haji Abdullah. 1994. Pengantar Ilmu Sejarah. Pulau Pinang: Pusat Pendidikan Jarak Jauh USM.
Azmi Arifin. 2019. “Sejarah Rakyat Malaysia (khususnya perkembangan nasionalisme) (Book review).” Kajian Malaysia 149–156 .
Carr, E. H. 1964. What is history? Penguin Books.
Comber, Leon. 2013. Peristiwa 13 Mei: Sejarah Perhubungan Melayu-Cina. IBS Buku Sdn. Bhd.
D’Amato, Paul. 2014. The Meaning of Marxism. Haymarket Books.
Darwin, Charles. 2003. The Origin of Species. Singlet Classics.
Fong, Mei. 2016. One Child: The Story of China’s Most Radical Experiment. Mariner Book.
Harari, Yuval Noah. 2014. Sapiens: A Brief History of Humankind. London: Vintage Books.
Langholm, Sivert. 1976. “On the scope of micro‐history.” Scandinavian Journal of History 3-24.
Marshall, Tim. 2015. Prisoners of Geography: Ten Maps That Tell You Everything You Need to Know About Global Politics. Elliott & Thompson.
Muhd Yusof Ibrahim. 2010. Sejarah Intelektual: Konsep dan Skop. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Suntharalingam, R. n.d. Persejarahan Barat. 1987: Fajar Bakti.
Syed Husin Ali. 2017. Sejarah Rakyat Malaysia: Khususnya Perkembangan Nasionalisme. SIRD.
Teggart, Frederick John. 1962. Theory and Processes of History. University of California Press.
Tuchman, Barbara W. 2004. The Guns of August. Presidio Press.
Zinn, Howard. 2010. A People’s History of the United States. Harper Collins.
[1] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah (Pulau Pinang: Pusat Pendidikan Jarak Jauh USM, 1994), hlm. 33.
[2] E. H. Carr, What is history? (Penguin Books, 1964), hlm. 7-30.
[3] Leon Comber, Peristiwa 13 Mei: Sejarah Perhubungan Melayu-Cina (IBS Buku Sdn. Bhd, 2013), hlm. 123.
[4] Ibid., hlm. 146-158.
[5] Barbara W. Tuchman, The Guns of August (Presidio Press, 2004), hlm. 85-87.
[6] Frederick John Teggart, Theory and Processes of History (University of California Press, 1962), hlm. 244.
[7] R. Suntharalingam, Persejarahan Barat (Fajar Bakti, 1987)
[8] Ibid., hlm. 11-12.
[9] Ibid., hlm. 12-13.
[10] Yuval Noah Harari, Sapiens: A Brief History of Humankind (London: Vintage Books, 2014)
[11] Tim Marshall, Prisoners of Geography: Ten Maps That Tell You Everything You Need to Know About Global Politics (Elliott & Thompson, 2015)
[12] Mei Fong, One Child: The Story of China’s Most Radical Experiment (Mariner Books, 2016)
[13] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah, hlm. 33.
[14] Charles Darwin, The Origin of Species (Singlet Classics, 2003), hlm. 504.
[15] R. Suntharalingam, Persejarahan Barat, hlm. 15.
[16] E. H. Carr, What is history?, hlm. 22.
[17] R. Suntharalingam, Persejarahan Barat, hlm. 19.
[18] Muhd Yusof Ibrahim, Sejarah Intelektual: Konsep dan Skop (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2010) hlm. 23.
[19] Paul D’Amato, The Meaning of Marxism (Haymarket Books, 2014)
[20] Sivert Langholm, ‘On the scope of micro‐history’, Scandinavian Journal of History, 1:4 (1976), 3-24
[21] Howard Zinn, A People’s History of the United States (HarperCollins, 2010)
[22] Ibid., hlm. 10.
[23] Syed Husin Ali, Sejarah Rakyat Malaysia: Khususnya Perkembangan Nasionalisme (SIRD, 2017), hlm. 15.
[24] Azmi Arifin, ‘Sejarah Rakyat Malaysia (khususnya perkembangan nasionalisme) (Book review)’, Kajian Malaysia, 37:1 (2019), 149–156
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.