The Independent Insight

Giving truth a voice

  • Email
  • Facebook
  • Flickr
  • Instagram
  • Phone
  • Twitter
  • Vimeo
  • YouTube
  • Berita
  • Politik
  • Ekonomi
  • Teknologi
  • Reviu
    • Reviu Buku
    • Reviu Filem
    • Reviu Muzik
  • Rencana
  • Podcast
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami

Skuad Langgar Menyamun, Akhirnya Ditangkap Polis

September 13, 2026 By Editor The Independent Insight

Gambar tangkap layar dari video-video kegiatan samseng yang dijalankan oleh Fhairul Fizzy, samseng dari kumpulan haram Skuad Langgar.

Kumpulan samseng haram yang dikenali sebagai ‘Skuad Langgar’ akhirnya tumpas ditahan polis kerana menjalankan aktiviti samun. Menurut laporan Sinar Harian, ahli kumpulan haram dan samseng ini menjalankan kegiatan menahan, meminta dokumen tanpa tauliah, serta menyamun di Taman Perling, Johor. Kumpulan penjenayah ‘Skuad Langgar’ ini akhirnya ditangkap polis pada hari Jumaat, 11 September 2026.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan polis kira-kira jam 5.40 petang oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.

Menurut beliau, penahanan suspek dilakukan selepas polis menerima dua laporan daripada dua lelaki etnik Rohingya masing-masing berusia 25 dan 35 tahun pada Rabu dan Khamis.

“Dalam kejadian pertama di Taman Perling itu, mangsa yang sedang menunggang motosikal untuk mencari pelanggan memotong rumput ditahan suspek sebelum kad UNHCR dan mesin pemotong rumput milik mangsa dirampas. Suspek kemudian beredar dari lokasi kejadian,” menurut polis.

Ab Rahaman berkata, polis turut merampas beberapa barangan susulan penahanan suspek, termasuk sebuah mesin pemotong rumput, kunci motosikal, sepasang pakaian, sebilah parang dan sekeping kad UNHCR.

“Sementara bagi kejadian kedua pula berlaku di kawasan berhampiran di mana suspek bertindak menahan seorang lagi warga asing dan meminta kad UNHCR. Bagaimanapun, berlaku pertengkaran sehingga suspek bertindak menumbuk serta mengugut mangsa,” menurut Datuk Ab Rahaman Arsad dalam kenyataan pada malam Sabtu.

“Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing menunjukkan keputusan negatif dadah. Suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 18 September selepas perintah reman dibenarkan Majistret Mahkamah Johor Bahru bagi membantu siasatan,” ujar beliau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana menyamun; Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi kesalahan ugutan jenayah,” jelasnya.

Dalam pada itu, polis menegaskan bahawa sebarang tindakan menahan, menyekat pergerakan atau memeriksa dokumen pengenalan diri seseorang oleh pihak yang bukan daripada kalangan pihak berkuasa seperti yang dilakukan oleh Skuad Langgar (skuad haram yang tidak bertauliah) merupakan perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang.

Dalam satu kenyataan, ketua kumpulan samseng dan penyamun Skuad Langgar, Fhairul Fizzy mengeluarkan kenyataan:

“Seorang team squad langgar diminta ke IPD Taiping, dan 4 lagi sudah ditahan di dalam lokap kerana wraga asing buat report samun!! Budak2 tu datang siap buat live xkan nak menyamun buat live kot? Dr situ boleh pikirla, rakyat MALAYSIA TOLONG DOAKAN team squad langgar yg ditahan, KAMI ADA ALLAH”.

Tangkap layar dari kenyataan ketua samseng Skuad Langgar, Fhairul Fizzy yang mengakui ahli kumpulannya telah ditangkap kerana menyamun.

Tindakan polis menahan beberapa individu yang terlibat dalam aktiviti samseng dan samun oleh kumpulan haram ‘Skuad Langgar’ mendapat sokongan orang ramai yang mahu keselamatan serta ketenteraman awam terus dipelihara. Dalam kenyataan di media sosial, masyarakat melahirkan rasa syukur atas tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta menyifatkan penahanan berkenaan sebagai perkembangan positif dalam usaha membanteras kegiatan jenayah.

Kumpulan haram seperti ‘Skuad Langgar’ wajar dikenakan tindakan mengikut undang-undang sekiranya siasatan mendapati mereka terlibat dalam kesalahan jenayah, termasuk samun. Tindakan individu yang didakwa melakukan kegiatan jenayah secara terbuka di media sosial, termasuk menyiarkan secara langsung perbuatan mereka, seharusnya tidak menghalang pihak berkuasa daripada menjalankan siasatan dan mengambil tindakan.

Orang ramai juga digesa supaya bekerjasama dengan pihak polis dengan membuat laporan sekiranya mempunyai maklumat berkaitan aktiviti samun atau kegiatan yang mengancam keselamatan masyarakat. Kerjasama masyarakat amat penting bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan jenayah dan memastikan keamanan serta keselamatan rakyat terus terpelihara. Individu yang terlibat dalam sebarang kesalahan jenayah dapat dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan tindakan sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Berita Tagged With: Datuk Ab Rahaman Arsad, Fhairul Fizzy, Ketua Polis Johor, Rohingya, Skuad Langgar, UNHCR

Koroy Akhirnya Mengaku Terima Wang Hasil Mengemis

July 27, 2026 By Editor The Independent Insight

Awie Mbr (Koroy)

Sebelum ini, The independent Insight telah mendedahkan pengakuan dari Rief bahawa Koroy telah menerima wang hasil mengemis. Hasil siasatan dan pendedahan dari sumber-sumber sulit kami, kami telah berjaya mendapatkan sebuah rakaman audio di mana Koroy akhirnya mengakui bahawa dia sudah menerima wang hasil mengemis daripada Rief. Audio ini sekali gus telah mengesahkan bahawa apa yang disebutkan Rief itu bukanlah satu tuduhan berbentuk fitnah, sebaliknya merupakan satu fakta. Dari audio sulit ini telah sah bahawa Koroy memang menerima dana dari kutipan awam.

Koroy sebelum ini sering mengulang-ulang bahawa dia menggunakan “fund sendiri” bagi menghasilkan konten untuk mengejek dan menghina bangsa asing termasuk pelarian Rohingya. Dia juga sebelum ini berlagak kononnya mahu membanteras budaya mengemis. Namun ternyata semua ini hanya dakwaan palsu apabila dia mengakui bahawa dia juga menerima dana dari aktiviti mengemis di atas talian.

Selain mengakui menerima wang mengemis. Koroy juga di dalam audio sulit itu telah memperkecilkan kawannya sendiri. Rief yang selama ini membantunya disebut sebagai “budak” yang masih baru di dalam media sosial dan menghadapi “culture shock” apabila mula terkenal dan mendapat perhatian. Koroy juga mengkritik sikap Rief yang selalu berkongsikan hal-hal peribadi di media sosial yang menyebabkan aktiviti mereka untuk menghina bangsa asing menjadi semakin sukar.

Berikut adalah transkrip penuh pengakuan Koroy dari audio sulit yang berjaya kami perolehi:

Saya dah cakap kat dia abang awal-awal, kita buat ni, mintak dana ke apa, ada dana buat, pergi, takde dana tak payah, tapi dia degil, kitorang semua dah cakap dah dekat dia, ha pastu sekarang ni orang pertikaikan, haa, dia panas, dia balas, pastu dia balas petik nama saya pulak, saya terima ni pun sebab saya tak nak pening-pening, sebab, saya bagi QR supaya dia bagi balen duit saya tu, dia pergi masukkan duit tu sekali, tak nak pening-pening tak layan la, sekali dia pergi mention saya ambil duit pulak, ahh dah jem lah kepala, dah jem kepala, sekarang ni yang haters-haters yang kecam ni dah ada point dah, aa semua benda, yang kelemahan Rief, kelemahan Rief tu dia pergi borak, Rief ni baru lagi bang, dia budak lagi, baru 22 tahun, dia pun baru dalam media sosial ni, tu yang dia rasa macam, macam culture shock, culture shock haa, dia nampak sebagai orang pandang dia, dia tengah femes, tapi dia tak tahu orang tak pandang dia, orang pandang isu yang dia bawak, itu la silap tu, pastu hal personal dia, dia selalu share, viralkan, itu yang tak best tu, sebab benda ni kan keras, yang kita buat ni keras, so kena privacy sikit la, saya sekolahkan dia dekat group lagi satu tu, group kitorang yang campur tu, haa tapi tulah, benda dah buat kan.

Untuk mendengar sendiri audio sulit ini, sila layari:

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Berita Tagged With: Abang Koroy, Awie Mbr, Rief, Rohingya, Zarif Syarafuddin

Rief Dedahkan Abang Koroy Terima Wang Hasil Mengemis

July 24, 2026 By Editor The Independent Insight

Kiri: Zarif Syarafuddin (Rief), Kanan: Awie Mbr (Abang Koroy)

Kuantan, 24 Julai 2026 – Ahli pasukan Abang Koroy, Zarif Syarafuddin yang memanggil dirinya sebagai Rief tampil mendedahkan bahawa Abang Koroy juga menerima hasil kutipan dana awam (mengemis) yang dilakukan melalui platform dalam talian. Rief dalam sebuah videonya menyebut:

Bila orang nak bagi duit untuk kami bergerak, kami bergerak, pergi dan gunakan duit itu sebaik mungkin dan saya pun ada bagi pada abang koroy, kita dah bahagi..

Pendedahan ini telah mengejutkan warga Malaysia yang selama ini menyangka kumpulan Abang Koroy menghasilkan konten menggunakan dana sendiri. Pasukan Abang Koroy dilihat selalu menghasilkan konten menganggu warga asing termasuk pelarian Rohingya dengan melakukan tarian parodi untuk mengejek mereka.

Tangkap layar dari video Rief yang mendedahkan Abang Koroy menerima wang hasil mengemis dari orang awam.

Semakan wartawan kami mendapati Rief telah pun membuang video pendedahan tersebut apabila rakyat Malaysia mula mempersoalkan etika dan kesahihan dakwaan bahawa mereka menggunakan dana sendiri. Rata-rata warga Malaysia mempersoalkan berapa banyak jumlah dana awam yang telah dikutip oleh Rief dan Abang Koroy? Selain itu timbul persoalan bahawa adakah dana ini akan diaudit dan diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri. Warga maya juga dilihat mempersoalkan bagaimana pasukan Abang Koroy mengatakan bahawa mereka ingin membasmi pengemis sedangkan mereka juga mengemis dana awam.

Rief sebelum ini didedahkan menggunakan helah untuk menjual mesin gunting rambut bagi mengutip wang dari orang ramai. Walau bagaimanapun kesangsian muncul apabila Rief telah mengedarkan QR Code kepada ramai orang. Hal ini menimbulkan persoalan, mengapa hendak menjual sebuah mesin potong rambut, tetapi QR Code diedarkan kepada orang ramai?

Tangkap layar yang menunjukkan Rief mengemis di media sosial dengan mengedarkan QR Code beliau.

Tidak cukup dengan itu, Rief juga dilihat meminta dari followernya untuk menaja keretanya. Apabila dipersoalkan tindakan beliau ini. Rief telah menyatakan bahawa “Melayu memang kaki dengki”. Tuduhan Rief ke atas bangsa Melayu ini sukar diterima kerana rata-rata yang memberi sumbangan sedekah ketika dia mengemis adalah dari kalangan orang Melayu.

Tangkap layar Rief memohon sumbangan dana awam bagi keretanya.
Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Berita Tagged With: Abang Koroy, Awie Mbr, Rief, Rohingya, Zarif Syarafuddin

Masyarakat Malaysia Menjadi Semakin Rasis Ekstremis Akibat Kempen Kebencian Terhadap Rohingya Terus Ditiup

June 12, 2026 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Tangkapan layar dari video yang dimuat naik oleh Ikram Mustafa yang menunjukkan seorang pembuli rasis mengasari anak Rohingya sehingga anak tersebut menjerit dan menangis.

Hasil dari kempen kebencian yang disebarkan oleh influencer, agamawan, dan netizen, sikap masyarakat Malaysia dilihat semakin menjadi rasis dalam bentuk yang ekstrem. Kempen kebencian ini dilihat menggunakan gambar-gambar palsu, video tanpa konteks, dan juga tulisan rekaan janaan AI untuk menyebarkan ideologi rasisme. Kempen kebencian yang digerakkan dilihat mula menular ke dalam masyarakat dan menatijahkan tindakan-tindakan fizikal terhadap saudara se-Islam Rohingya yang mendapatkan perlindungan di Malaysia.

Di media sosial tersebar bagaimana anak-anak Rohingya yang sedang sopan berjalan telah diganggu dengan ugutan keganasan fizikal. Mereka telah diugut untuk “ditangkap” dan “dipotong” secara terbuka oleh masyarakat yang terpengaruh dengan kempen rasisme. Di sini kita melihat bahawa kempen kebencian yang disebarkan kepada masyarakat Rohingya ini telah berjaya menjadikan masyarakat Malaysia bersifat rasis yang ekstrem. Sifat rasis yang tidak terkawal ini berpotensi berubah kepada perbuatan ganas seperti yang dilakukan oleh golongan Zionis yang membenci warga Palestin.

Kempen rasisme dan kebencian yang disebarkan terhadap pelarian Islam Rohingya juga memperlihatkan masyarakat sudah mula membuat gangguan fizikal terhadap anak-anak mereka yang tidak berdosa. Video yang dimuatnaik oleh Ikram Mustafa pada 11 Jun 2026 misalnya menyaksikan seorang pemuda telah bertindak mengasari seorang anak pelarian Rohingya Muslim. Anak yang ketakutan itu dilihat menjerit-jerit ketakutan sedangkan pemuda pembuli rasis itu dilihat tersengih-sengih dengan perbuatan jengkelnya.

Sifat rasisme dan kebencian yang sedang disebarkan ini sebenarnya bukanlah dari ajaran Islam. Malah ia adalah satu kebodohan akal yang dicela dalam Islam. Ajaran Islam sebaliknya mengajar umatnya saling berkasih sayang merentasi sempadan bangsa. Islam juga mengajar umatnya melindungi saudaranya yang lemah dan ditindas. Islam tidak melihat perbezaan pada warna kulit dan bangsa, sebaliknya martabat manusia di sisi Allah Adalah dinilai berdasarkan ketaqwaannya.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Berita Tagged With: buli, kempen kebencian, Malaysia, Rasisme, Rohingya

Adakah Rohingya terlalu busuk untuk Malaysia?

September 5, 2017 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair 10 Comments

 

Malaysia merupakan negara yang terkenal dengan sikap toleransi merentasi bangsa. Pasca era kolonial, ketika negara serantau lain memperkenalkan satu identiti negara dengan satu bahasa, satu sistem pendidikan dan satu budaya, Malaysia mengambil jalan tengah dengan mengiktiraf kepelbagaian bangsa, menerima bangsa lain sebagai warga Malaysia, malah memelihara bahasa dan melindungi sistem pendidikan masing-masing. Walaupun ia bukanlah sistem yang sempurna, rakyat Malaysia mampu menerima perbezaan dan hidup bersama.

Di arena antarabangsa Malaysia juga memainkan peranannya dalam mempertahankan hak asasi manusia. Ketika konflik Balkan pada tahun 1992, Malaysia adalah antara negara yang aktif membantu di bawah naungan UN. Malah Malaysia dengan berani mengumumkan akan menghantar bantuan ketenteraan apabila krisis memuncak dimana bangsa Bosnia dibunuh dengan kejam oleh bangsa Serbia. Bahkan sehingga hari ini jasa Malaysia diperingati di Bosnia dengan penubuhan Masjid Malaysia di Nova Breka, Sarajevo.

Dalam hubungan serantau juga, Malaysia memainkan peranan aktif, antaranya dengan menjadi broker keamanan bagi menyelesaikan konflik bersenjata di Mindanao, Filipina dengan menggalakkan perjanjian keamanan ‘Bangsamoro’. Begitu juga komitmen Malaysia membantu krisis kemanusiaan di Palestin, Syria dan lain-lain negara.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan gelombang keganasan terbaru di Arakan, Myanmar. Video dan gamba-gambar kekejaman tentera Myanmar membanjiri ruangan media sosial. Semestinya Malaysia yang terkenal dengan toleransi kaum tidak dapat menahan diri dari bersimpati dengan keadaan disana. Walaupun, dalam sejarah, Malaysia telah lama membantu bangsa Rohingya melalui NGO seperti HALUAN Malaysia dan MAPIM. Namun, kemuncak krisis terbaru menyaksikan segolongan warga Malaysia yang mempersoalkan bantuan kepada kaum Rohingya.

Antara tulisan yang tersebar adalah tulisan oleh Saudara Mohd Faizal Zulkifly. , beliau juga menulis berkenaan dengan Rohingya sebagai “bangsa tak sedar diri”. Antara lain beliau menulis bahawa “konflik ini berlaku kerana keegoan kedua-dua pihak”. Beliau juga menyalahkan bangsa Rohingya yang gagal berasimilasi dengan konsep ‘Burmanization’ dan “keengganan mereka untuk keluar dari kelompok mereka sendiri”. Beliau juga memetik rasa patriotik dengan menulis bahawa isu Rohingya menyebabkan kita “tersepit dan serba salah antara kemanusiaan dan kedaulatan negara”. Persoalannya benarkah dakwaan ini?

Dakwaan ini dijawab secara panjang lebar oleh Setiausaha Serantau Muslim, Hakim Mohd Nor. Antaranya beliau menyebut bahawa “Hakikatnya, mereka sudah pernah berjaya integrasi dan menjadi sebahagian ahli parlimen kerajaan pun. Tapi mengapa tiba-tiba tarik balik kerakyatan mereka dan menafikan hak-hak asasi hidup, pendidikan, bergerak, memilik harta dan pelbagai lagi nikmat warganegara. Sangat tidak adil mengatakan Rohingya tidak boleh integrasi menyebabkan mereka tidak mendapat warganegara.” Oleh kerana dakwaan ini telah dijawab, saya lebih berminat untuk meneliti komen-komen oleh penyokong Saudara Mohd Faizal Zulkifly, dibawah ada beberapa komen untuk dibincangkan.

Komen Muhammad Hilmi, nama sedap tapi sayang, bahasa yang digunakan penuh kekesatan dan kebencian. Benarkah tiada bangsa yang pernah menolong bangsa kita? Mungkin beliau tidak pernah membaca berkenaan dengan bantuan tentera Ottoman semasa Melaka dikepung pada tahun 1568. Juga bantuan tentera Commonwealth dari Australia, Newzealand, Fiji dan lain-lain dalam perang guerilla melawan komunis dari tahun 1948 hingga 1960. Bahkan veteran ini dijemput oleh Malaysia semasa sambutan kemerdekaan baru-baru ini.

Ismail Idi Rtiga menulis 99% Rohingya di Pasar Borong Selayang kurang ajar. Sebelum menggunakan statistik ini, elok beliau ungkapkan kajian ini dari mana, berapa responden Rohingya yang telah di survey. Pengotor? Mungkin beliau tidak tahu bahawa mereka diberi perlindungan sebagai ‘refugee’ oleh UNHCR dan tidak boleh bekerja. Agak-agak kalau gaji mereka RM3000 sebulan hendak ke mereka tinggal di Pasar Borong? Jika benar pun ada segelintir yang bersikap tidak baik, wajarkah kita menghukum semuanya dan membiarkan mereka ditindas? Jika ada tiga orang warga Malaysia buang najis dalam shower di Osaka, bolehkah warga Jepun membuat kesimpulan bahawa 99% rakyat Malaysia suka buang najis merata-rata? Kita perlu lebih berhati-hati.

Nor Liya mengatakan mereka pengecut. Pernahkah Nor Liya melihat ibunya sendiri di bunuh di depan mata? Rumah dibakar? Xtvts Myheart mengatakan mereka mogok berdemonstrasi nak kerakyatan, mungkin beliau masih belum benar-benar pandai membaca. Sebenarnya mereka berdemonstrasi untuk menyampaikan nota bantahan kepada kedutaan Myanmar. Mahadzir Hashim pula menyamakan mereka sebagai anjing. Saya tertanya, jika pun tiada nilai kemanusiaan di dalam hatinya, tidakkah beliau pernah bersekolah dan belajar perbezaan antara manusia dan anjing?

Saya percaya, golongan-golongan simple minded dan rasis ini wujud di kalangan rakyat Malaysia, namun kita seharusnya tidak mencontohi mereka dan cuba sedaya upaya menasihati mereka. Seharusnya rakyat Malaysia bersama-sama menyokong persatuan yang membantu perjuangan Rohingya seperti HALUAN Malaysia dan MAPIM. Tekanan dari masyarakat international sememangnya mempunyai kesan dan mampu mengubah keadaan. Seperti mana Aparteid dapat ditumpaskan pada tahun 1990-1993 oleh tekanan masyarakat antarabangsa, tidak mustahil kita mampu memberi tekanan bagi mengakhiri kekejaman terhadap bangsa Rohingya.

Sumber foto: The Star

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana Tagged With: Arakan, Burma, HALUAN Malaysia, Malaysia, MAPIM, Myanmar, Rohingya

Recent Posts

  • Skuad Langgar Menyamun, Akhirnya Ditangkap Polis
  • Team Surplus Langkawi Didakwa Ugut Mahu Belasah Penduduk
  • Team Surplus Langkawi Menyebarkan Fitnah, Dua Laporan Polis Dibuat
  • Koroy Akhirnya Mengaku Terima Wang Hasil Mengemis
  • Rief Dedahkan Abang Koroy Terima Wang Hasil Mengemis

Archives

Copyright © 2026 The Independent Insight