The Independent Insight

Giving truth a voice

  • Email
  • Facebook
  • Flickr
  • Instagram
  • Phone
  • Twitter
  • Vimeo
  • YouTube
  • Berita
  • Politik
  • Ekonomi
  • Teknologi
  • Reviu
    • Reviu Buku
    • Reviu Filem
    • Reviu Muzik
  • Rencana
  • Podcast
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami

Kumpulan Samseng Haram ‘Skuad Langgar’ Mengganas, Dikecam Teruk Netizen

September 26, 2026 By Editor The Independent Insight

Gambar kiri: ahli kumpulan samseng haram ‘Skuad Langgar’ Fhairul Fizzy yang berpakaian Nazi. Gambar kanan: tangkap layar dari video aktiviti samseng dan keganasan yang dilakukan ‘Skuad Langgar’ menendang barangan perniagaan seorang pakcik.

Kumpulan samseng haram ‘Skuad Langgar’ hari ini mendapat kecaman teruk oleh netizen atas kegiatan keganasan dan samseng mereka. Sebelum ini Skuad Langgar terlibat dengan kegiatan jenayah samun warga asing dan telah ditangkap oleh polis. Terbaru, kumpulan samseng haram Skuad Langgar ini telah memuat naik video aktiviti keganasan yang mereka lakukan. Antara individu yang dikenal pasti di dalam video tersebut adalah seorang samseng yang menggunakan nama Fhairul Fizzy yang sebelum ini mengesahkan ahli kumpulannya ditahan polis kerana jenayah samun.

Dalam video terbaharu Skuad Langgar, mereka telah melakukan aksi keganasan dengan menyerang seorang pakcik tua yang sedang berniaga. Pakcik itu telah diherdik dan disuruh mengemas barang jualan. Namun ketika sedang mengemas, kumpulan samseng Skuad Langgar ini telah bertindak ganas dengan menendang meja peniaga tersebut dan membuang semua barang niaganya ke dalam tong sampah. Tindakan samseng dan ganas oleh kumpulan samseng haram ini telah mengundang kecaman hebat oleh warga netizen. Sebahagiannya mempersoalkan mengapa pihak polis masih tidak menangkap kumpulan samseng ini.

Di laman Threads, seorang pengguna dengan nama rabbaniah menyifatkan tindakan Skuad Langgar ini sebagai ekstremis, beliau menulis “sedihnya tengok apa yang immigrants hadap kat Malaysia dengan extremists.” Manakala seorang pengguna bernama iroh_bro7 menyatakan tindakan tersebut sebagai “tidak bertamadun”. Pengguna immachong pula bertanya, apakah beza keganasan yang dilakukan ini dengan puak zionis? Pengguna dibsuki pula menyatakan tindakan Skuad Langgar ini adalah “melampau”. Pengguna syed.danialll pula menyifatkan tindakan ganas Skuad Langgar tersebut sebagai “acah gangster”.

Akibat dari kecaman hebat yang diterima, Fhairul Fizzy yang merupakan ahli aktif skuad haram ini telah mengeluarkan kenyataan mengakui bahawa mereka memang bertindak di luar kawalan dan telah membuang seorang ahli Skuad Langgar dari kumpulan haram mereka. Fhairul menulis:

“Ada team kami yang bertindak di luar kawalan tapi kami dah buang pun dia dari pasukan kami.”

Kenyataan dari skuad samseng haram ‘Langgar’ mengakui kumpulannya bertindak di luar kawalan.

Pengguna media sosial bernama Ibn Taufik Simatupang pula menyifatkan kelakuan Skuad Langgar ini sebagai “khubuth, fusaq dan zanadiqah”. Tindakan ini juga disebut sebagai “zalim lagi fasiq”. Beliau juga mendoakan Skuad Langgar yang melakukan keganasan ini ditimpakan azab oleh Allah. Ibn Taufik menulis:

“Celaka-lah kalian wahai penganut fasist. Semoga Allah segerakan azab kepada sekalian Khubuth, fusaq dan zanadiqah yang mengganggu golongan lemah. Semoga Allah menghinakan sekalian yang menyokong perbuatan-perbuatan zalim lagi keji ini. Ya Rabb, pelihara saudara-saudara muslim kami yang sedang diganggu oleh golongan zalim lagi fasiq. Ya Rabb, gembirakan hati-hati kami dengan azab yang menimpa golongan fasist mujrimin”.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Berita Tagged With: Ekstremis, Fhairul Fizzy, Gangsterisme, Jenayah, Keganasan, Menyamun, Samseng Jalanan, Skuad Langgar, Terrorisme

Skuad Langgar Menyamun, Akhirnya Ditangkap Polis

September 13, 2026 By Editor The Independent Insight

Gambar tangkap layar dari video-video kegiatan samseng yang dijalankan oleh Fhairul Fizzy, samseng dari kumpulan haram Skuad Langgar.

Kumpulan samseng haram yang dikenali sebagai ‘Skuad Langgar’ akhirnya tumpas ditahan polis kerana menjalankan aktiviti samun. Menurut laporan Sinar Harian, ahli kumpulan haram dan samseng ini menjalankan kegiatan menahan, meminta dokumen tanpa tauliah, serta menyamun di Taman Perling, Johor. Kumpulan penjenayah ‘Skuad Langgar’ ini akhirnya ditangkap polis pada hari Jumaat, 11 September 2026.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan polis kira-kira jam 5.40 petang oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.

Menurut beliau, penahanan suspek dilakukan selepas polis menerima dua laporan daripada dua lelaki etnik Rohingya masing-masing berusia 25 dan 35 tahun pada Rabu dan Khamis.

“Dalam kejadian pertama di Taman Perling itu, mangsa yang sedang menunggang motosikal untuk mencari pelanggan memotong rumput ditahan suspek sebelum kad UNHCR dan mesin pemotong rumput milik mangsa dirampas. Suspek kemudian beredar dari lokasi kejadian,” menurut polis.

Ab Rahaman berkata, polis turut merampas beberapa barangan susulan penahanan suspek, termasuk sebuah mesin pemotong rumput, kunci motosikal, sepasang pakaian, sebilah parang dan sekeping kad UNHCR.

“Sementara bagi kejadian kedua pula berlaku di kawasan berhampiran di mana suspek bertindak menahan seorang lagi warga asing dan meminta kad UNHCR. Bagaimanapun, berlaku pertengkaran sehingga suspek bertindak menumbuk serta mengugut mangsa,” menurut Datuk Ab Rahaman Arsad dalam kenyataan pada malam Sabtu.

“Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing menunjukkan keputusan negatif dadah. Suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 18 September selepas perintah reman dibenarkan Majistret Mahkamah Johor Bahru bagi membantu siasatan,” ujar beliau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana menyamun; Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi kesalahan ugutan jenayah,” jelasnya.

Dalam pada itu, polis menegaskan bahawa sebarang tindakan menahan, menyekat pergerakan atau memeriksa dokumen pengenalan diri seseorang oleh pihak yang bukan daripada kalangan pihak berkuasa seperti yang dilakukan oleh Skuad Langgar (skuad haram yang tidak bertauliah) merupakan perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang.

Dalam satu kenyataan, ketua kumpulan samseng dan penyamun Skuad Langgar, Fhairul Fizzy mengeluarkan kenyataan:

“Seorang team squad langgar diminta ke IPD Taiping, dan 4 lagi sudah ditahan di dalam lokap kerana wraga asing buat report samun!! Budak2 tu datang siap buat live xkan nak menyamun buat live kot? Dr situ boleh pikirla, rakyat MALAYSIA TOLONG DOAKAN team squad langgar yg ditahan, KAMI ADA ALLAH”.

Tangkap layar dari kenyataan ketua samseng Skuad Langgar, Fhairul Fizzy yang mengakui ahli kumpulannya telah ditangkap kerana menyamun.

Tindakan polis menahan beberapa individu yang terlibat dalam aktiviti samseng dan samun oleh kumpulan haram ‘Skuad Langgar’ mendapat sokongan orang ramai yang mahu keselamatan serta ketenteraman awam terus dipelihara. Dalam kenyataan di media sosial, masyarakat melahirkan rasa syukur atas tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta menyifatkan penahanan berkenaan sebagai perkembangan positif dalam usaha membanteras kegiatan jenayah.

Kumpulan haram seperti ‘Skuad Langgar’ wajar dikenakan tindakan mengikut undang-undang sekiranya siasatan mendapati mereka terlibat dalam kesalahan jenayah, termasuk samun. Tindakan individu yang didakwa melakukan kegiatan jenayah secara terbuka di media sosial, termasuk menyiarkan secara langsung perbuatan mereka, seharusnya tidak menghalang pihak berkuasa daripada menjalankan siasatan dan mengambil tindakan.

Orang ramai juga digesa supaya bekerjasama dengan pihak polis dengan membuat laporan sekiranya mempunyai maklumat berkaitan aktiviti samun atau kegiatan yang mengancam keselamatan masyarakat. Kerjasama masyarakat amat penting bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan jenayah dan memastikan keamanan serta keselamatan rakyat terus terpelihara. Individu yang terlibat dalam sebarang kesalahan jenayah dapat dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan tindakan sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Berita Tagged With: Datuk Ab Rahaman Arsad, Fhairul Fizzy, Ketua Polis Johor, Rohingya, Skuad Langgar, UNHCR

Recent Posts

  • Kumpulan Samseng Haram ‘Skuad Langgar’ Mengganas, Dikecam Teruk Netizen
  • Ucapan “Assalamulaikum” Dalam Dunia Yang Kian Bergolak
  • Skuad Langgar Menyamun, Akhirnya Ditangkap Polis
  • Team Surplus Langkawi Didakwa Ugut Mahu Belasah Penduduk
  • Team Surplus Langkawi Menyebarkan Fitnah, Dua Laporan Polis Dibuat

Archives

Copyright © 2026 The Independent Insight