
Saya berasa sangat aneh melihat manusia yang beria-ria menjadi samseng menerjah kedai ayam. Terlolong dan terjerit dengan bahasa kesat macam orang tidak siuman kononnya itu ini tidak sembelih cara Islam, ayam ini bangkai, kononnya JAKIM tidak buat kerja, malah mereka memaki menteri agama sekali. Kononnya tidak bertindak mengikut selera nafsu mereka. Begitu tegar mereka mahukan ayam-ayam diuruskan menggunakan kaedah Islam.
Namun, apabila disebut pada mereka bahawa kita harus melayan manusia mengikut cara Islam mereka melompat seperti kepanasan punggung. Bila disebut kita harus ikut cara Islam menguruskan saudara Islam Rohingya kita mereka melatah. Terpacul dari mulut mereka kononnya “kalau guna Islam mentadbir negara kita jadi bias”. Astaghfirullahalazim. Bagi saya, kalam ini sesat dan batil.
Islam bukan agama yang diturunkan untuk menguruskan ayam. Nabi kita yang mulia, baginda Rasulullah SAW bukan berjihad di Uhud hingga cedera berdarah agar kita pandai sembelih ayam sahaja. Sultan al-Fateh bukan membuka Konstantinopel untuk pastikan bisnes ayam halal berkembang di Turki. Tidak! Islam datang sebagai agama untuk menguruskan manusia. Islam agama untuk manusia bukan ayam. Islam juga adalah “deen”, cara hidup yang syumul. Kita tak boleh terima Islam masa sembelih ayam, tapi menolak Islam apabila mahu berukhuwwah sesama Muslim. Menerima Islam masa mahu makan ayam, kemudian menolak Islam ketika mahu menguruskan pelarian. Itu fahaman yang salah. Itu namanya menunggang agama untuk menjalankan aktiviti samseng terjah.
Maka saya kira sudah tiba masanya majlis fatwa bersidang membincangkan “fiqh pelarian”. Tiba masanya pelajar master dan PhD syariah kita buat kajian pengurusan pelarian perspektif Islam. Tiba masanya JAKIM menganjurkan wacana pelarian Islam. Tiba masanya para mufti kita yang banyak itu berfungsi untuk memberikan kefahaman Islam pada masyarakat tentang kaedah Islam menguruskan pelarian. Tiba masa masjid dan surau berikan kefahaman Islam melalui khutbah dan ceramah perihal pelarian pada anak-anak kariah. Jika tidak, pemikiran masyarakat kita akan terus rosak mengikut “fatwa” aktibis ayam. Walhal Islam agama untuk manusia, bukan untuk ayam (sahaja)!
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.