The Independent Insight

Giving truth a voice

  • Email
  • Facebook
  • Flickr
  • Instagram
  • Phone
  • Twitter
  • Vimeo
  • YouTube
  • Berita
  • Politik
  • Ekonomi
  • Teknologi
  • Reviu
    • Reviu Buku
    • Reviu Filem
    • Reviu Muzik
  • Rencana
  • Podcast
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami

Peranan satira dalam mencorak arena politik

April 17, 2019 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Antara program satira yang saya minati adalah program yang dikelola oleh John Oliver di HBO dan Stephen Colbert di CBS.

Colbert lebih memfokuskan satiranya kepada daily political commentaries, jadi programnya berterusan dan hampir setiap hari. Dia hanya perlu mengolah semula sebarang peristiwa semalam dan dalam bentuk satira.

Oliver pula sirinya lebih memfokus berkenaan dengan sesuatu isu, isu yang mungkin berada diluar kotak politik, tetapi setiap isu yang diangkat mempunyai unsur-unsur penindasan yang diperjuangkan, seperti penindasan syarikat rokok terhadap negara kecil, isu MLM menindas pengguna, siri Oliver tidak terikat dengan isu politik domestik.

Satira mereka berkesan kerana mereka berjaya unpack setiap isu dalam pembawakan komedi yang mana selepas habis ketawa mesejnya akan kekal dalam minda penonton. Jadi satira sangat berkesan sebagai agen propaganda kerana ianya mudah dihadam, selesa (unsur humour), dan mudah tersebar. Berbanding dengan tulisan akademik yang dipenuhi bahasa jargon.

Walaupun satira berbentuk komedi, ia tidak semestinya kosong, ia boleh lahir dari fakta, cuma olahan dan penyampaiannya sahaja diberikan sesuai dengan kemampuan masyarakat awam.

Namun siri satira seperti Oliver dan Colbert mungkin tidak sesuai dengan konstruk sosial masyarakat kita, kita mempunyai sistem nilai yang tersendiri. Oleh itu kita mempunyai instrumen satira seperti TTKM. Walaupun dilabel sampah oleh golongan pemerintah, bahan mereka akan terus beredar dan sampai ke masyarakat kebanyakan. Ia lebih mudah, simplistik, menjadikannya sebuah propaganda yang baik.

Dengan hasrat kerajaan ingin menurunkan had mengundi kepada 18 tahun. Bahan-bahan satira ini lebih mudah disebar kepada generasi muda. Ia tidak memerlukan analisa yang membosankan, malah menjadi satu bentuk hiburan generasi muda dalam masa yang sama, sedar atau tidak, hiburan itu membentuk persepsi minda mereka.

Mudah untuk melebel satira sebagai sampah, tapi sukar untuk melawan pembinaan persepsi yang mereka bawa. Dan jika dengan satira dan jenaka pun kerajaan sudah meloncat, maka ada masalah besar pada kerajaan tersebut.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana

Membaca – berbicara dengan hantu

March 24, 2019 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

When Books Went to War cover.

Otak manusia merupakan satu ciptaan yang mengkagumkan. Kita bukan sahaja boleh mengawal pergerakan badan dari dalam, tetapi mampu menganalisa dunia luar. Otak kita berbeza dengan makhluk lain seperti haiwan yang tidak mampu mencipta konsep dan teori abstrak melangkaui batasan dunia fizikal. Contohnya konsep kenegaraan tidak dapat difahami oleh monyet, jadi monyet dari Indonesia tidak berasa takut atau bersalah merentasi sempadan hutan dan memasuki hutan negara Malaysia.

Namun otak yang kompleks ini mempunyai batasan, kita mempunyai batasan dari sudut memori sebagai contoh. Kita mungkin dapat mengingati sesuatu peristiwa sebagai contoh, tetapi kita akan melupainya beberapa tahun akan datang. Atau kita mengingati peristiwa tersebut, tetapi kita lupa akan setiap perincian peristiwa itu. Contohnya kita ingat bahawa kita pernah memasuki sekolah rendah, tetapi lupa akan warna beg sekolah kita pada masa tersebut.

Disebabkan keterbatasan otak dan memori, manusia mula mencipta sistem tulisan, agar peristiwa, maklumat, dan ilmu dapat dikumpulkan, dipelihara, dan diwariskan kepada generasi akan datang. Seorang tabib yang hidup 100,000 tahun yang lampau sebagai contoh, ilmu tabibnya akan mati dan hilang selepas matinya dia. Generasi selepasnya perlu mengumpul semula maklumat dari sifar, membuat kesilapan yang sama, mungkin hanya sedikit ilmu yang dapat diwariskan secara oral. Tetapi tabib yang hidup pada tahun 2019 boleh mewariskan ilmu dan pengalamannya dalam tulisan jurnal, buku, blog dan sebagainya. Manakala generasi seterusnya boleh mendapat ilmu dari tinggalan tulisan ini, dan pengumpulan ilmu itu boleh ditambah pada peringkat baru yang lebih tinggi, tidak perlu dimulai dari sifar semula.

Penciptaan tulisan dan pembukuan merupakan satu revolusi yang mengubah bagaimana manusia hidup pada hari ini. Carl Sagan ketika membicarakan berkenaan dengan buku dan pembacaan menyatakan bahawa buku merupakan sesuatu yang bersifat magikal, yang membolehkan seseorang manusia berinteraksi dengan manusia di abad lain, yang mungkin sudah ratusan tahun meninggalkan dunia. Sebagai contoh, kita boleh mengetahui apa yang difikirkan oleh Annelies Frank 74 tahun yang lalu ketika dia bersembunyi dari tentera Nazi. Kita dapat tahu apa perasaannya, bagaimana emosinya setiap hari walaupun kita mungkin belum wujud pada ketika itu, kita tidak pernah berjumpa dengannya, malah kita tidak fasih berbahasa German. Perkara ini dibolehkan dengan penulisan diari, melalui usaha penterjemahan dan pembukuan.

Namun mungkin kebanyakan dari kita merasakan bahawa menulis dan membaca merupakan sesuatu benda yang biasa. Apa yang magikal tentang pembacaan sedangkan kita sudah pandai membaca sejak dari tadika?

Kita telah terbiasa dengan menggunakan membaca dalam aktiviti harian, seperti membaca papan tanda untuk mencari arah, membaca arahan kerja untuk melakukan tugas, tiada yang unik. Seperti kita telah terbiasa mengangkat gelas berisi kopi latte, ia tidak ajaib kecuali jika tangan kita telah diishtiharkan lumpuh oleh doktor. Kita akan merasakan ia sesuatu yang ajaib, seperti yang dirasai oleh Sagan jika kita menggunakannya untuk membaca bahan ilmu yang dikumpul manusia zaman berzaman melalui penulisan dan pembukuan.

Kita tidak perlu menjadi panglima perang untuk mengetahui bahawa dalam peperangan sistem logistik merupakan antara faktor penentu menang atau kalahnya sesebuah tentera. Kita tidak perlu mengambil risiko menyertai perang yang mungkin boleh mengorbankan nyawa kita. Kita boleh belajar dari kesilapan orang lain melalui pembacaan. Kita boleh membaca kisah kegagalan Jeneral Alexander Samsonov dalam pertembungan di Tannenburg dalam buku yang ditulis oleh Barbara Tuchman dalam bukunya The Gun of August sebagai contoh.

Kita juga tidak perlu mencipta mesin masa untuk kembali melihat peradaban manusia zaman silam, kita dapat memahami kehidupan tamadun silam dengan membaca tulisan pengembaraan Ibnu Khaldun dalam bukunya Muqaddimah. Atau mungkin kita hendak membaca nasihat tentang kehidupan dari seorang tua yang sedang terlantar sakit, kita tidak perlu ke hospital, kita boleh membaca buku Tuesday with Morrie.

Jika manusia yang telah mati tetapi masih hidup digelar hantu. Kebanyakan buku sebenarnya adalah hantu, ia merupakan cebisan minda manusia yang masih mampu berkomunikasi dengan manusia lain, walaupun jasad asal penulis telah mereput lama di makam-makam perkuburan.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana

Hikayat Din Kapal : Pahlawan Yang Kehilangan Keris

March 15, 2019 By Mel Van Dyk

gambar ihsan Flickr

*Tulisan ini adalah dari sudut pandang penulis sahaja.

Saya ada seorang kawan. Nama panggilannya Din Kapal, kerana dia juga datang dari bidang kerja yang sama seperti saya dahulu, di syarikat perkapalan walaupun dia dan saya tidak lah bekerja di bawah satu bumbung.

Di waktu lapang, kami gemar meluangkan masa bersama di kedai mamak, menghirup kopi panas bercawan-cawan, diselang seli dengan asap tembakau import (sebelum di ban kerajaan Malaysia). Macam-macam yang kami bualkan, boleh jadi hal sukan, boleh jadi hal ekonomi semasa, malah hal politik pun boleh menjadi agenda kecil kami.

Din Kapal mempunyai pegangan politik yang cukup kuat, suatu pegangan yang corak politiknya jauh berbeza jika dibandingkan dengan saya. Saya masih ingat lagi sewaktu beberapa minggu sebelum pilihan raya umum yang lepas, Din Kapal dengan yakin memberitahu saya bahawa mereka akan menang besar dan nasib rakyat akan lebih terbela dengan adil dan saksama. Malah, isu “kleptokrasi” yang sering diperkatakan beliau itu bakal diselesaikan dengan segera dan seterusnya bakal sekadar menjadi titik hitam yang lama-kelamaan akan dilupakan oleh rakyat di negara berdaulat ini.

Apa yang Din Kapal katakan pada malam itu sedikit sebanyak menjentik perasaan ingin tahu saya. Apakah benar sudah tiba masanya negara ini memerlukan acuan dan haluan yang baru? Saya hanya tersenyum dan saya katakan pada Din Kapal, jika benar apa yang beliau katakan, jika benar bahawa kerajaan baharu boleh mengubah kehidupan rakyat menjadi lebih baik, jika benar ekonomi negara berterusan berkembang pesat berlandaskan wawasan ke arah negara maju, dan badan kepimpinan baharu akan mengurus tadbir negara berpaksikan pada teras adil tanpa mengira agama dan bangsa, apa salahnya?

10 Mei 2018, Din Kapal merupakan salah seorang dari ribuan rakyat Malaysia yang bersama-sama berkongsi kegembiraan atas kemenangan perjuangan mereka, yang sekali gus menandakan bermulanya era baru negara dengan kepimpinan yang baharu, dengan azam dan matlamat yang baharu, atas nama Malaysia Baharu. Beliau malah sempat menghantar pesanan ringkas kepada saya pada pagi itu, yang antaranya masih saya ingat berbunyi “rakyat bijak, rakyat memilih”. Saya berfikir, ada betulnya kata Din Kapal itu. Dalam sesebuah hierarki kerajaan, rakyat berada di tapaknya, di kumpulan paling bawah, yang paling besar. Hilang tapak, runtuhlah semua. Tak tertegak rumah, kalau hilang sendinya. Jadi pada hemat saya, Din Kapal berkata benar. Kuasa “rakyat memilih” ini bukanlah perkara yang kita boleh pandang kecil.

Hari demi hari dibawah kerajaan baharu, Din Kapal semakin rancak berbicara soal politik. Ada kesempatan dan waktu, kami pasti berjumpa di kedai kopi dan berdiskusi tentang isu-isu semasa walaupun kadang kala perlu berganjak 3 meter dari meja. Adakalanya, saya cuba mencelah dan memberi buah pandangan kerdil dari mata seorang rakyat. Yang peliknya, hampir semua hujah yang saya berikan tidak lagi valid dimata Din Kapal hanya kerana ia datang dari kaca mata seorang pembangkang.

Minggu berganti minggu, dan secara tiba-tiba Din Kapal menyepi. Tidak ada lagi pesanan ringkas, tidak ada lagi kopi, tidak ada lagi politik. Saya pernah mencuba beberapa kali untuk bertanyakan khabar kepada beliau dan bertanya kalau-kalau beliau dalam kesusahan dan kerunsingan yang boleh dikongsi bersama. Namun hingga kini, beliau lebih selesa untuk mendiamkan diri dan menonton drama TV tiga dari duduk semeja.

Mel Van Dyk

Part time independent writer and podcaster from Sarawak, Malaysia.

Filed Under: Rencana

Mendemokrasikan intelektualisme

December 10, 2018 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

 

“Apabila berfikir menjadi suatu jenayah,
Hanya perlu mengambil tafsiran cendiakawan berjubah,
Ia suatu yang haram bagi awam,
Lalu keilmuan pun tenggelam karam.

Apabila mimpi digari,
Kemajuan apa yang boleh di cari,
Apabila idea dipenjara,
Bangsa mati penuh sengsara.”

Puisi ini boleh di dapati di kulit belakang buku saya, namun tulisan ini bukanlah untuk tujuan promosi buku. Sekiranya anda sedang mencari bahan bacaan, saya cadangkan anda mencari buku-buku tulisan Chomsky. Sekadar mahu menjelaskan tulisan yang bersembunyi disebalik ayat abstrak.

Jika kita membaca discourse berkenaan social justice kita sering akan berjumpa dengan terma “class society”, yang membawa maksud wujudnya sekumpulan elit yang berkuasa menentukan bagaimana manusia biasa lain hidup – rakyat kebanyakan. Kelas elit mempunyai kuasa ekonomi, politik, taraf sosial yang lebih tinggi, mereka menentukan polisi. Classical proletariat vs bourgeoisie.

Dalam kehidupan seharian kita juga, sama ada kita sedar atau tidak, kita mempunyai kelas elit intelektual. Yang menentukan bagaimana manusia lain berfikir. Mereka sering dipanggil expert, mempunyai autoriti untuk memberi definisi, dimana definisi berlawanan adalah salah, tidak tepat, kolot, anti-moden dan lain-lain.

Mungkin kalau dalam studi berkenaan orientalisme kita bercakap bagaimana kita memahami kebudayaan timur mengikut definisi dan analisa barat, begitu jugalah kita, sentiasa memerlukan kelas intelektual untuk memberi kita definisi berkenaan dengan aturan sosial, tatacara politik, susunan ekonomi dan lain-lain. Mereka meletakkan pagar sempadan pemikiran.

Saya teringat kata-kata ahli ekonomi di Cambridge, Ha-Joon Chang dalam syarahan beliau, beliau menyebut “95% of economics is common sense”.

Kelas intelektual yang saya maksudkan bukanlah spesifik kepada ahli akademik atau agamawan, tetapi terbuka kepada mana-mana persona yang menutup ruang fikir, termasuk saya sendiri. Persepsi minda yang saya ingin bawakan adalah bukan untuk menolak golongan intelektual, tapi berani berfikir meskipun berlawanan dengan autoriti. Kerana sering kali kita menerima kesimpulan kerana kita tidak faham hujahan, kita terima dan berkata “dia betul, aku yang terlalu bodoh untuk faham”.

Sebaliknya apa yang saya ingin bawa adalah kita mendengar hujahan baik dari orang yang bergelar intelektual atau tidak, dan berfikir sendiri kebenarannya, adakah ia masuk akal atau tidak. Bukan percaya buta orang dengan semua yang diberikan kepada kita hanya kerana dia mempunyai tag intelektual. Akal itu bukan milik eksklusif mana-mana kelas, ia adalah anugerah buat semua.

Untuk membina bangsa yang berjaya, ilmu tidak boleh bersifat eksklusif.

 

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana

Masalah pada sistem demokrasi

November 21, 2018 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

 

Hari ini saya berpeluang berdiskusi dengan seorang rakan berkenaan dengan Malaysia dan polisi yang ada. Walaupun kami berbeza pendapat, kami dapat berbincang dengan rasional. Saya mendengar pandangannya dan saya kemukakan pendapat saya. Kami akhirnya setuju untuk tidak bersetuju antara satu sama lain.

Antara yang kami bincangkan adalah masalah dalam sistem demokrasi. Ramai yang berpandangan demokrasi boleh membawa perubahan, saya pula berpandangan bahawa ia tidak boleh mendatangkan perubahan. Ia boleh mengubah kerajaan, tetapi bukan polisi.

Argumen untuk hujah ini adalah demokrasi berfungsi dengan kuasa majoriti. Ramai menyangka pemimpin politik sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat. Ini adalah salah faham utama. Ahli politik sentiasa mengutamakan kepentingan pengundi. Perbezaan ini perlu difahami. Tidak semua rakyat adalah pengundi. Orang gila sebagai contoh, tiada parti yang memperjuangkan hak orang gila. Mungkin orang gila adalah rakyat, tapi dia tidak ada voting power.

Sebab itu polisi berdasarkan ras pada pandangan saya akan terus kekal, at least for now. Kerana ia adalah concern besar buat majoriti yang mempunyai kuasa undi. Menamatkan polisi ini akan menyebabkan parti hilang undi majoriti. Sama ada polisi berdasarkan ras adalah baik atau tidak adalah beyond the scope of this writing. Mungkin boleh dikupas dalam penulisan lain kali.

Dalam konteks Malaysia, argumen kedua saya berkenaan dengan mengapa polisi ini akan terus kekal, adalah faktor demografi. Pertumbuhan kaum cina sebagai contoh, mengikut statistik, semakin menurun. Manakala orang melayu terus bertambah, orang Melayu Islam terus mempunyai keluarga besar walaupun dalam keadaan ekonomi mencabar. Mungkin kerana anak dianggap rezeki bukan liabiliti ekonomi.

Argumen ketiga saya mengapa sistem berdasarkan ras ini akan kekal adalah pendidikan. Pendidikan berdasarkan ras, sekolah vernakular akan terus mengekalkan status quo. Masyarakat tidak akan berintegrasi. Ahli politik tidak akan berani mengubah sistem ini kerana mereka akan akan hilang undi.

Kawan saya bertanya bagaimana keadaan ini boleh diubah. Saya kata secara praktikalnya, kita harus berubah kepada sistem good dictatorship, dimana polisi boleh diubah tanpa pemimpin takut hilang kuasa dari pengundi. Dan perubahan boleh dilakukan dengan konsisten tanpa terganggu dengan perubahan polisi setiap kali pilihanraya. Namun masih ada risiko ia menjadi bad dictatorship.

Kita boleh duduk dimana-mana spekrum politik, kanan, kiri, atau centrist. Ia tetap tidak akan mengubah kenyataan bahawa sistem demokrasi ada masalah dan limitasi.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana

Malawan naratif apologis Maszlee

November 15, 2018 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Saya ingin mulakan penulisan ini dengan satu quote yang sehingga hari ini masih terngiang-ngiang di minda saya. Ia merupakan petikan dari novel ‘The Kite Runner’ yang ditulis oleh Khaled Hosseini, seorang doktor dari Afghanistan.

There is only one sin, only one. And that is theft. Every other sin is a variation of theft. When you kill a man, you steal a life. You steal his wife’s right to a husband, rob his children of a father. When you tell a lie, you steal someone’s right to the truth. When you cheat, you steal the right to fairness, there is no act more wretched than stealing.

Apologis Maszlee sering menggunakan ayat, “tengok banyak perubahan baik yang dibuat, kenapa asyik fokus pada kasut hitam”. Ya betul dari satu sudut seolah isu remeh yang diketengahkan, sedangkan banyak isu lain yang lebih mendesak dan penting. Tapi ini tidak menjawab punca permasalahan sebenar. Mengapa masih ramai yang tidak dapat menerima menteri ini walau “banyak” perubahan baik baru yang dibawa?

Kita sering mendengar bahawa sesuatu perkara perlulah dimulakan dengan baik. Dalam hal ini kita melihat bagaimana ahli politik menipu untuk mendapatkan undi. Walau apa pun kebaikan yang dibawa, dia akan sentiasa dihantui penipuannya. Penipuan seperti janji pemansuhan tol, penangguhan bayaran pinjaman pendidikan, perlu dibetulkan dahulu jika mahu mematahkan kritikan. Jika tidak, masih berdolak dalih, kritikan itu tetap valid, rakyat berhak membenci penipu, sehinggalah dia membetulkan penipuannya.

Bagi saya, pujian terhadap perkara yang baik tidak boleh memadamkan kritikan terhadap perkara yang tidak baik. Kerajaan dahulu pun ada juga kebaikan yang dilakukan, tetapi kenapa dahulu tidak puji sebaliknya fokus terhadap keburukan? Pendidikan membangkang seperti inilah yang membentuk pola bangkangan hari ini, cuma berubah wajah. Bila kena muka sendiri baru terasa panas?

Begitu juga dengan tulisan-tulisan satira, padahal dahulu dialah yang rajin menulis satira. Sehingga terpaksa memadam pantun “siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi..”. Semasa zaman dia menulis satira, apologis ini tidak pula membawa dalil-dalil agama melarang satira. Apabila satira terkena muka sendiri dibawa dalil agama, bukankah itu namanya menunggang agama? Menggunakan agama untuk menutup penipuan sendiri.

Saya kira, ini adalah punca kebencian kebanyakan rakyat. Ahli akademik yang diharap membawa pembaharuan terhadap panorama politik baru, sebaliknya hampa ditipu sama seperti ahli-ahli politik lain. Selagi “barang yang dicuri” (janji kepada pengundi) ini tidak dipulangkan, selagi itu kebencian dan kritikan rakyat adalah adil.

Gambar hiasan (tiada kena mengena dengan penulisan, sekadar ulangkaji sejarah), ‘Haymarket Affair’ – dimana golongan pekerja melakukan protes menuntut sistem bekerja 8 jam sehari, sistem yang kita nikmati hari ini. Peristiwa yang juga merupakan asal usul sambutan hari pekerja.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana

Ulasan: Cadangan caj tambahan untuk kenderaan dan perkhidmatan feri Pulau Pinang

November 14, 2018 By Mel Van Dyk

 

Saya terpanggil untuk memberikan komen dan buah pandangan terhadap berita yang dilaporkan oleh Utusan Online semalam yang mana sebuah laporan bertajuk “Caj kenderaan berdaftar di luar P. Pinang elak kesesakan” telah di muat naik di portal tersebut.

Jason Ong Khan Lee (PKR-Kebun Bunga) telah mencadangkan agar Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengenakan caj terhadap kenderaan yang bukan berdaftar di Pulau Pinang. Alasannya adalah kerana Pulau Pinang kini menghadapi kesesakan disebabkan kebanjiran 1 juta kenderaan yang masuk ke Pulau Pinang. Ujarnya lagi, dengan pelaksanaan caj tambahan ini, ia juga dapat menggalakkan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan awam terutamanya para pelancong.

Di dalam masa yang sama, beliau juga mencadangkan agar penumpang yang menggunakan khidmat feri dari Georgetown ke Butterworth dikenakan caj yang sama seperti dari Butterworth ke Georgetown. Buat masa ini, hanya perjalanan masuk dari Butterworth ke Georgetown sahaja dikenakan caj.

Ada 2 isu yang dibangkitkan; yang pertama caj tambahan untuk kenderaan yang bukan berdaftar di Pulau Pinang dan yang kedua ialah caj tambahan perkhidmatan feri. Kedua-dua perkara ini jelas menambahkan beban kepada orang ramai, bertentangan dengan janji kerajaan baharu untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat. Tak ubah seperti harapkan pagar, pagar makan padi.

Berkenaan isu pertama, bagaimanakah sistem caj tambahan baharu ini akan berfungsi? Apakah mekanisme yang sesuai untuk memantau kenderaan yang masuk ke Pulau Pinang ini? Adakah ini bermaksud setiap kenderaan yang bukan menggunakan nombor pendaftaran Pulau Pinang akan dikenakan caj?

Tidakkah beliau tahu bahawa kenderaan-kenderaan yang tidak menggunakan pendaftaran Pulau Pinang ini bukanlah terdiri dari pelancong secara total? Saya rasa perkara ini bukanlah perkara yang terlalu rumit untuk difahami, malah di mana-mana negeri dalam Malaysia pun begitu keadaannya. Jika begitu pelaksanaan yang di kemukakan, saya mencadangkan agar semua negeri-negeri yang lain untuk turut sama mengenakan caj bagi setiap kereta yang berdaftar di Pulau Pinang ini yang masuk ke negeri mereka. Barulah adil kan?

Selain itu, adakah beliau yakin bahawa dengan memperkenalkan caj baharu ini akan menggalakkan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan awam? Congestion Alleviation Transport (CAT) yang dilancarkan oleh kerajaan negeri merupakan satu inisiatif yang patut dipuji dalam menangani permasalahan ini, namun adakah beliau yakin bahawa 52 buah bas ini (tidak termasuk Rapid dan BEST) mampu menampung 1.6 juta penduduk yang berada di Pulau Pinang ini? Katakan hanya 50% dari jumlah penduduk ini menggunakan perkhidmatan bas CAT ini, bermakna sebuah bas perlu menampung sehingga 15,300 penumpang setiap hari secara kasar. Selain itu saya juga tertanya-tanya, adakah beliau sendiri pernah menggunakan perkhidmatan awam ini?

Berkenaan dengan caj tambahan feri, adakah beliau sedar bahawa dengan pengenalan caj tambahan ini akan menambahkan lagi kesesakan di jambatan Pulau Pinang secara tidak langsung. Jika caj tambahan ini dilaksanakan, setiap kereta yang menggunakan perkhidmatan feri ini bakal membayar RM 15.40 (RM 7.70 sehala) setiap hari berbanding menggunakan tol jambatan Pulau Pinang yang jauh lebih murah, iaitu hanya RM 5.60 sehala. Beliau perlu tahu bahawa secara purata, 15,000 kereta menggunakan jambatan pertama ini setiap hari yang tidak termasuk bilangan motosikal. Sepatutnya kerajaan negeri perlu mencari inisiatif lain dengan berbincang dengan pihak JKSB untuk menggalakkan penggunaan jambatan kedua seperti pengurangan caj tol misalnya.

Beliau juga berkata bahawa “kita mahu menggerakkan manusia dan bukannya kenderaan”. Penyataan ini saya rasa saling tak tumpah dengan kenyataan kawan beliau yang suatu ketika tak lama dulu menyuruh nelayan menanam rambutan belakang rumah.

*Hasil tulian kiriman pengirim

*Entri ini tidak menggambarkan pendirian  laman web The Independent Insight

Mel Van Dyk

Part time independent writer and podcaster from Sarawak, Malaysia.

Filed Under: Rencana

Netizenism: Feeding the Monster

October 12, 2018 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair Leave a Comment

One of the fine book to understand how propaganda and social media works best was Ryan Holiday’s work through his book ‘Trust me I’m lying’. He brilliantly explained how publicist and propagandist used readers emotion such as anger and hate, to put forward their argument, swayed public opinion for their political purpose, and market their products. But, Holiday argues that often these tactics of consuming public anger given rise to many negative implications, such as permanent hatred and in worst cases, death. He used a metaphor of “feeding the monster”. Often a seemingly harmless person working with keyboard and screen resulted in great damage in society.

Returning to local politics here in Malaysia, today we saw Malaysians netizens bashing the new government almost every day. Every government move, whether good or bad, was smacked with insult, sarcasm, criticism, and all sort of condemnations.

The newly formed government seems to have lost their game in the social media arena. Minister of the religious affair for example, after waves of criticisms about his conduct, has back-off saying that “netizen is not at the same level as him” for him to argue with. More embarrassingly was the education minister, who cheated voters with his promise to abolish toll and put an end to political appointment in local universities. He used to troll the previous government with his witty criticism, now embarrassed with his own words, he had to backtrack and delete his past postings as a swarm of netizens used his very words against him. The more recent case was a punk-hair YB in Melaka who threaten to sue villagers who made his rude video gone viral. A nationwide netizen joint forces mocking his hairstyle and rude behavior, he finally brought down and apologize for his misconduct.

The apologist and defender of the current government always lamented this fact. They argued that the netizen only knows how to bash and criticize their government without having real picture and facts in hand. They spew hate to discredit the government, always irrational and out of their mind. The netizen has become a monster, and they are on the loose. But who actually created them?

No one can tell for sure, but what is clear is that the current government during their time in opposition is the one feeding the monster in the past before they came back to bite them. They used to feed on people’s anger for their campaign, always without giving them any room to think rationally. They objected to all what the government did, whether good or bad. Cash payment for lower income group branded as bribery and ‘dedak’, infrastructure projects are attacked, foreign investments are mocked as selling off national sovereignty, even criminal cases are politicized squeezing the judicial branch to exercise their independence. Today, the same monster they have been feeding in the past, came haunting them back.

That is why when I heard the apologist argument to salvage people’s trust, I find it very laughable. If they are searching for somebody to blame they just need to look at the mirror. They only have themselves to blame.

 

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana

Kepentingan negara: Perspektif dekonstruk

August 18, 2018 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair Leave a Comment

Antara pemikiran Howard Zinn yang sangat mengesani pemikiran saya sehingga ke hari ini adalah dekonstruk terhadap konsep kepentingan negara (national interest). Dalam melihat dan menilai sesuatu keputusan, soalan yang pertama yang perlu ditanya adalah ianya baik untuk siapa?

Dalam dekonstruksi pemikiran ini, Zinn menerangkan bahawa konsep kepentingan negara adalah satu konsep yang digunakan oleh golongan elit pemerintah untuk mendapat sokongan dari rakyat majoriti. Walaupun pada hakikatnya setiap lapis dan golongan masyarakat mempunyai kepentingan tersendiri. Bagi golongan miskin apa yang penting adalah menaiktaraf keadaan hidup. Bagi golongan peniaga apa yang penting adalah keuntungan berterusan dan kelangsungan perniagaan. Bagi ahli politik kepentingan mereka adalah kuasa pemerintahan. Bagi golongan pengemis kepentingan mereka adalah makanan esok hari.

Jadi setiap lapis dan golongan masyarakat mempunyai kepentingan yang berbeza, apa yang mereka anggap sebagai prioriti dan keperluan mendesak. Menggunakan terma ‘kepentingan negara’ bermakna mencampurkan semua lapis ini dalam satu bekas, seolah-olah mereka semua mempunyai kepentingan yang sama. Ia adalah salah, Zinn menulis “we are not one happy family”.

Kenapa dekonstruksi pemikiran ini penting? Kerana ia akan membantu kita menilai setiap polisi yang diketengahkan. Bila ahli politik memberitahu kita bahawa sesuatu itu baik untuk negara, kita perlu bertanya “baik untuk siapa?” 

Dalam landskap politik negara hari ini, kita melihat status quo telah berubah. Kita mempunyai golongan elit baru (walaupun bukan semuanya baru) menggantikan golongan elit lama. Namun masih ada sebahagian besar masih belum boleh keluar dari realiti lama, mereka masih sibuk memuji dan memuja kerajaan, walaupun kerajaan lama telah ditumbangkan.

Sekiranya mereka faham, misi untuk menjatuhkan kerajaan lama telah tercapai. Apa yang kita perlukan sekarang bukan lagi kata-kata ampu untuk menyedapkan hati elit pemerintah, tetapi proses semakan. Rakyat perlu sentiasa menyemak kerajaan, setiap keputusan salah perlu diberi kritikan keras, bukan lagi dibelai dengan ampuan yang akhirnya akan menjadikan kerajaan baru ini berperangai seperti kerajaan lama dalam sekelip mata. Apa guna mengampu parti politik andai kepentingan rakyat tergadai.

Kerajaan tidak mempunyai kepentingan yang sama dengan rakyat, mungkin kenyataan ini kedengaran ekstrem dan sukar dihadam, namun ia adalah realiti yang konsisten sepanjang sejarah peradaban manusia.

“The game is not a fair one. It is rigged. What you call profit, I call exploitation” – The Young Karl Marx, 2017.

 

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana

Titik biru malap

July 20, 2018 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair Leave a Comment

 

Voyager-1 dilancarkan pada 5 September 1977 dari Cape Canaveral Air Force Station, Florida, Amerika Syarikat. Antara misinya adalah untuk mengkaji planet-planet dengan lebih dekat. Pada 14 Febuari 1990, Voyager-1 telah mengembara jauh, sekitar 6 billion kilometer dari bumi, tempat asal ia berlepas. Namun berkat hasil tangan manusia dengan akal kurniaan tuhan, Voyager-1 masih dapat menerima signal arahan dari NASA Deep Space Network di bumi.

Dari jarak 6 billion kilometer ini, Carl Sagan, seorang ahli astronomi yang merupakan salah seorang penyelidik dalam NASA memohon agar kamera Voyager-1 di halakan ke bumi bagi mengambil gambar ‘Family potrait’ bumi bersama adik-beradik planetnya yang lain. Permintaan beliau diluluskan. Gambar tersebut menyaksikan ruang kosmos yang luas, dan ada satu titik pixel kecil berwarna biru pudar terapung ditengah sinaran matahari. Dari 640,000 pixel di dalam gambar tersebut titik bumi hanya sebesar 0.12 pixel. Dalam syarahan beliau di Universiti Cornell pada tahun 1994, Sagan berkata “That’s here. That’s home. That’s us”.

Sagan kemudian menulis buku bertajuk ‘Pale blue dot’ sempena gambar istimewa ini. Dalam bukunya Sagan menulis bertapa pengkajian astronomi merupakan satu perjalanan yang sangat merendahkan diri (humbling). Bertapa bumi ini sangat kecil apabila dibandingkan dengan kosmos yang terbentang luas, ibarat sebutir habuk. Bertapa manusia sangat angkuh dan bongkak, manusia yang kagum dengan ideologi masing-masing, sanggup membunuh dan dibunuh untuk merebut sebahagian dari habuk kecil ini. Gambar titik biru pudar ini sepatutnya mengingatkan mereka, bertapa kerdilnya mereka, dan belajar untuk hidup bersama.

Kita tidak pernah mendengar sekumpulan kucing di Arab Saudi berkomplot untuk membunuh spesis kucing lain di Yaman. Tetapi manusia, manusia yang mengaku mempunyai tuhan, mengaku mulia dengan agama, manusia yang dikurniakan akal, membunuh spesis mereka sendiri dengan cara yang kreatif. Mereka mencipta pelbagai jenis persenjataan moden dan canggih untuk membunuh spesis mereka sendiri beramai-ramai. Menggunakan guided missile, hydrogen bomb, kalashnikov, gas kimia, senjata biologi, dan seribu satu cara lain. Malah seronok dan berbangga dengan perbuatan mereka. George Carlin, seorang pelawak berkata, dalam banyak-banyak spesis kehidupan, hanya manusia yang membunuh spesis sendiri untuk keseronokan.

Jika kita melihat situasi negara kita hari ini, kita akan nampak bibik-bibik kebencian antara satu sama lain. Kita gagal menerima perbezaan, melihat orang lain yang berbeza dengan kita dengan penuh kebencian. Kita bersifat prejudis terhadap orang yang berbeza agama, bangsa, bahasa dan fahaman politik. Walaupun pilihanraya sudah berakhir kita terus saling membenci, memburukkan orang lain, memfitnah, menyebar kebencian, saling perli memerli di media sosial. Kita lupa raison d’être negara kita adalah perpaduan. Perbezaan adalah fitrah, kita perlu belajar hidup berbeza bersama.

 

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana

  • « Previous Page
  • 1
  • …
  • 7
  • 8
  • 9
  • 10
  • Next Page »

Recent Posts

  • Amerika Mulakan Penjajahan Ke Atas Venezuela
  • Tidur Siang Singkat: Kepingan yang Hilang dalam Pendidikan Karakter Kita di Indonesia
  • Aspek Yang Menghubungkan Orang Cina Di Tanah Melayu Dengan Negara China, 1850-2000
  • Kisah Pelombong Melayu Perak Yang Hilang Dari Historiografi
  • Memanusiakan Semula Pendidikan Yang Dikurung

Archives

Copyright © 2026 The Independent Insight