The Independent Insight

Giving truth a voice

  • Email
  • Facebook
  • Flickr
  • Instagram
  • Phone
  • Twitter
  • Vimeo
  • YouTube
  • Home
  • News
  • Politics
  • Economy
  • Technology
  • Review
    • Book Review
    • Movie Review
  • Blog
  • Podcast
  • About Us
  • Contact Us

Inisiatif Ekonomi Rakyat 2019

November 1, 2018 By Mel Van Dyk

*Entri ini tidak menggambarkan pendirian pengarang dan laman web The Independent Insight

Mel Van Dyk

Part time independent writer and podcaster from Northern Malaysia.

Filed Under: Politics

Sang penguasa yang jatuh dari takhta

October 26, 2018 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair Leave a Comment

 Picture credit: British Journal of Photography

Sejarah adalah kumpulan cerita berkenaan dengan peristiwa dan manusia di masa lalu. Howard Zinn berkata bahawa orang yang tidak mempelajari sejarah umpama anak kecil, yang tidak mempunyai pengalaman lampau. Dia mudah diperdaya oleh orang lain. Dalam susur galur sejarah kita membaca bagaimana pemimpin-pemimpin megah jatuh dari takhta kuasa. Kuasa yang dipegang seolah-olah kebal akhirnya runtuh umpama tanah di lereng bukit yang dimajukan di Pulau Pinang. Nampak gah diluar tetapi asasnya terhakis, kuasa yang korup akhirnya akan jatuh juga.

Ferdinand Marcos di Filipina merupakan antara kisah sejarah yang wajar kita ambil pengajaran. Marcos merupakan presiden Filipina ke-10 bermula pada tahun 1965. Beliau memerintah secara diktator dan mengunakan undang-undang tentera. Beliau terkenal dengan korupsi, kemewahan dan pemerintahan yang brutal. Beliau jatuh dari takhta kuasa pada tahun 1986 melalui People Power Revolution. Beliau kemudian lari meninggalkan Filipina dan tinggal di Hawaii. Isteri beliau, Imelda Marcos meninggalkan 508 baju gowns, 888 beg tangan dan 1060 pasang kasut di Istana Malacanang. Marcos menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1989 di Honolulu, Hawaii.

Viktor Yanukovych juga merupakan kisah sejarah yang wajar kita pelajari. Yanukovych dilantik menjadi presiden Ukraine ke-4 pada tahun 2010. Yanukovych tinggal di sebuah kompleks mewah yang dinamakan Mezhyhirya yang bernilai 300 juta USD, yang kini telah diubah menjadi muzium yang memaparkan kehidupan mewah beliau. Kejatuhan beliau dari kuasa bermula dengan protes kecil yang dipanggil Euromaidan, yang menolak polisi pro-Moscow beliau, protes ini merebak ke skala nasional apabila polis mula menggunakan kekerasan. Beliau kemudian melarikan diri ke Russia pada tahun 2014.

Zine El Abidine Ben Ali merupakan presiden Tunisia ke-2 dari tahun 1987 hinggalah beliau digulingkan pada tahun 2011. Beliau dianggarkan mengumpul kekayaan sebanyak 17 billion USD di akaun-akaun luar negara termasuk Argentina, Cayman Islands, Virgin Islands, Qatar dan UAE. Protes rakyat bermula apabila Mohamed Bouazizi, seorang peniaga sayur jalanan membakar diri apabila barang jualannya dirampas pihak berkuasa. Protes ini kemudian merebak menjadi revolusi rakyat yang marah dengan kadar pengangguran tinggi, harga barang makan yang mahal, korupsi dan sekatan kebebasan politik dan bersuara. Ben Ali kemudiannya melarikan diri ke Arab Saudi dan mendapat suaka politik.

Najib Razak merupakan perdana menteri Malaysia ke-6 dari tahun 2009 hingga 2018. Beliau telah memperkenalkan GST pada era pemerintahan beliau bagi mengimbangi pendapatan kerajaan yang berkurangan apabila harga petrol dunia menurun. Langkah ini tidak disenangi kebanyakan rakyat. Semasa pemerintahan beliau juga telah berlaku skandal 1MDB yang mengumpulkan hutang yang dianggarkan sebanyak 12 billion USD. Serbuan polis ke rumah beliau mendapati 1400 tali leher, 567 beg tangan, 2200 cincin, dan 423 jam tangan dirampas. Najib tewas dalam pilihanraya ke-14 pada 9 Mei 2018. Setelah tewas Najib melarikan diri ke facebook dan mula memuat naik status troll terhadap Lim Guan Eng.

 

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran. Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read and sleep.

fathi137.wixsite.com/syedahmadfathi

Filed Under: Politics

Edisi Posmen : Surat Untuk YB Maszlee

October 18, 2018 By Mel Van Dyk Leave a Comment

 

 

Kehadapan YB yang dikasihi,

Semoga YB dalam keadaan waras dan sihat hendaknya. Pertama sekali saya nak meluahkan rasa simpati kepada YB kerana lately ni YB sering menjadi bualan orang ramai. Sejujurnya saya nampak benar keikhlasan YB dalam membentuk masyarakat Malaysia Baharu ni. Kadang-kadang bila YB cemas dan mati akal bila dihujani soalan-soalan cepumas dari wartawan-wartawan yang entah dari mana tu, saya pun jadi sedih. Alah, jangan pedulikan lah mereka-mereka tu YB. Mereka tu bukan tahu pun maksud seni sebenar. Bagi saya warna stokin hitam tu memang idea yang bernas. Bak kata Rain dalam iklan shampoo dulu: “Hitam itu kemas, Hitam itu menawan”.

Tapi hal stokin ni bukanlah maksud sebenar saya mengirimkan surat ini. Begini kisahnya YB:

Tengahari tadi dalam pukul 1 lebih, usai menghantar surat di Tasek Gelugor saya pun singgah la di kedai nasi campur bersebelahan sekolah tahfiz. Cuaca pun asyik mendung dari pagi tadi, saya fikir elok benar la saya isi perut sebelum ke Kubang Menerong. Elok je saya duduk, ada seorang ustaz tiba-tiba mengamuk sambil hentak meja. Sikit lagi nak tertumpah milo ais saya. Ini semua berpunca dari Timbalan Menteri YB yang mengatakan bahawa program MyBrain15 tidak akan disambung. Terkejut saya YB, tapi saya maintain cool and handle the surprise. Tak mungkin jabatan dibawah kelolaan YB akan membuat keputusan membabi buta macam ni. Saya bertanya la pada ustaz yang mengamuk tu untuk kepastian. Alangkah pilu hati saya melihat berita yang disiarkan di Utusan Online tu YB.

YB kata program MyBrain15 tu takkan disambung dengan alasan tak mendapat kelulusan peruntukan. Saya baru je memasang hajat nak menyambung pengajian dalam jurusan logistik tahun depan. Cita-cita saya adalah untuk memastikan Pos Malaysia terus berkembang pesat dalam industri logistik dan mampu menaja pasukan bola gergasi Inggeris yang unggul seperti Liverpool FC contohnya. Tapi apa kan daya, angan-angan saya jatuh berderai, layu di tasik madu.

YB,

Saya masih ingat pada 17 September lepas, rakan DAP YB di Sabah, Datuk Wong Tien Fatt berkata bahawa Sabah kekurangan tenaga doktor. Beliau juga mengakui bahawa bukan sahaja Sabah malah seluruh negara memerlukan lebih tenaga doktor untuk mengatasi masalah 1:600 ratio doktor dan pesakit. Selepas itu, pada 26 September pula rakan YB dari AMANAH, Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah selaku Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata bahawa negara kita memerlukan lebih ramai arborist untuk menjaga keseimbangan alam sekitar. Tiba-tiba pada bulan ini, Timbalan YB, Teo Nie Ching pulak mengumumkan tidak akan menawarkan lagi program MyBrain15 pada tahun ini untuk rakyat dan diakui oleh YB sendiri. Apa semua ini YB?!

YB,

Macam ni lah, saya terangkan dengan konsep yang mudah nak faham. Umpamanya YB ada 2 ekor anak ayam. YB nak kembangkan dari 2 ekor tu kepada 2.6 billion ekor. Jadi YB kena lah jaga ayam yang YB ada tu dengan membeli makanan terbaik, panggil veterinar datang check up, supaya ayam-ayam YB boleh beranak pinak. Ini tidak, YB buat relax, bagi alasan tiada modal. Memang sampai bila-bila lah Pakatan Har… maksud saya harapan YB hanya tinggal harapan.

YB,

Akhir kata, apa pun terjadi, saya tetap di belakang YB. Selaku seorang pemuda yang berdedikasi, saya akan teguh menyokong wadah perjuangan YB dan rakan-rakan walaupun kadang-kadang penyataan YB membuatkan saya confuse lalu hilang fokus saya ketika menunggang motosikal dalam perjalanan menghantar surat. Mungkin level pemikiran seorang Posmen biasa macam saya ni tak berupaya nak menghadam hal politik Malaysia Baharu ni. Maafkan saya YB.

Oh ya satu lagi perkara YB. Kalau plan stokin YB berjaya, saya ingat nak jadi supplier di zon utara ni. What say you? Maklumlah harga stokin di Padang Besar murah-murah. Boleh juga tambah-tambah pendapatan ye tak?

Yang Benar,
Jefryzal Talib

 

 

Mel Van Dyk

Part time independent writer and podcaster from Northern Malaysia.

Filed Under: Politics Tagged With: Jefryzal, Posmen

Masalah kalau bagi budak jadi menteri

September 28, 2018 By Editor The Independent Insight 1 Comment

Oleh: Abdul Rahim Hilmi Zakariya

Lim Teong Kim merupakan Pengarah NFDP (Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan). Dia bukan pengurus skuad B-16 negara sahaja. NFDP ini melatih akar umbi bermula dari skuad B-12 sehingga skuad B-17.

Jika hendak mengukur kejayaan LTK ini, kita perlu lihat kemajuan semua pasukan yang berada di bawah program NFDP.

Contohnya skuad B-13 yang menjadi juara Iber Costa di Portugal 3 tahun lepas. Mengalahkan skuad muda Sporting Lisbon 2-1. Sporting Lisbon ini kelab yang mengasah bakat Cristiano Ronaldo dan Luis Figo. Dan kita menang.

Terkini Jun tahun ini, skuad B-14 menang trofi Vogido di Belanda. Kejohanan ini bukan calang calang penyertaannya. Skuad B-14 China, FC Basel dan Bayer Leverkusen antara yang turut sama mencabar. Tetapi kita menang. Malahan pemain Malaysia Nabil Zainuddin dipilih pemain terbaik kejohanan dan Zulhilmi Sharani pula menerima anugerah penjaga gol terbaik.

Sebulan sebelum itu, skuad ini juga menang Whitsun U-14 Challenge di Dortmund, Jerman. Menjadi juara kumpulan dan menumbangkan kelab Denmark FC Midtjylland 4-0 pada perlawanan akhir. Pasukan senior kelab ini adalah Juara Liga Super Denmark musim lepas. Kelab ini juga adalah kelab pertama di Denmark yang mempunyai akademi bola sepak dan paling banyak melahirkan bakat muda untuk negara tersebut. Kelab ini dah ada 14 tahun program akademi muda yang tersusun, boleh kena buli dengan skuad negara yang baru 4 tahun buat program NFDP.

Sebab itu saya berani sebut menteri sukan kita ini terlalu mentah apabila menilai prestasi LTK hanya untuk satu skuad sahaja. Dan kebodohan paling utama adalah apabila beliau mempertikaikan gaji LTK sebanyak Rm175,000 sebulan. Seolah-olah beliau tidak tahu harga pasaran.

Gaji LTK itu hanyalah kira kira €8000 seminggu. Dan mengambil kira reputasinya selaku jurulatih skuad muda Bayern Munich dan pernah melahirkan pemain bernilai tinggi seperti Thomas Mueller, gaji itu sebenarnya munasabah.

Terutama apabila kita membandingkannya dengan gaji Jupp Heynckes, pengurus Bayern Munich pada 2013 (tahun akhir perkhidmatan LTK di Bayern) adalah kira kira € 100,000 seminggu.

Sepatutnya benda-benda ini cuma perlu buat post mortem dan cadangan penambahbaikan. Bukannya diumum seolah olah macam hendak mengatakan LTK ini makan duit rakyat tanpa buat kerja.

Kan kita persoal gaji dia sebagai MP, menteri dan elaun-elaun lain yang berpuluh ribu tapi tiada hasil signifikan tu macam mana pula?

Dan kalau betul-betul hendak di tutup NFDP kerana nak jimat duit, yang pergi isytihar nak buat pasukan MotoGP tu pakai belanja air liur kah?

Ini lah masalah kalau bagi budak jadi menteri.

Artikel ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian The Independent Insight.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Politics

Xifu Naser Pensyarah Lembu UIAM

September 8, 2018 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair Leave a Comment

 

Siswazah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Huda Ramli membalas kritikan yang dilemparkan kepada aktivis yang melakukan duduk protes sebagai membantah pencabulan autonomi universiti oleh Menteri Pendidikan, Maszlee Malik.

“Kalau aku dikatanya lembu, jadi dialah bapa lembu” tulis Huda dalam kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook beliau. Hal ini kerana Xifu Naser adalah pensyarah beliau yang mengajar subjek ‘Critical Thinking’. Beliau juga mula hilang hormat dengan sikap Xifu Naser yang kini bersikap lunak dan tidak lagi kritis dengan tindak tanduk rakannya Maszlee Malik. Kononnya pelajar tidak faham akan philosophical autonomy juga kedengaran dangkal, seolah-olah merendahkan intelek mahasiswa.

Sebelum itu, pensyarah UIAM, Abdul Naser Tun Abdul Rahman atau dikenali sebagai Xifu Naser menulis tulisan bertajuk “Jangan jadi lemboo protest demo” di lama Facebooknya:

“Kerajaan dah buka platform di universiti untuk debat politik seluas-luasnya but few students pilih demo protest yang tak perlu guna otak pun. Duduk-duduk dan tunjuk poster je. Buatlah debat falsafi di universiti dan gunalah speaker’s corner. We must minimize such emo protest and demo and cultivate a critical culture.”

Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kepada sekumpulan pelajar yang duduk bantah di kementerian pendidikan menuntut Maszlee Malik meletak jawatan sebagai presiden UIAM yang merupakan satu pencabulan terhadap autonomi universiti.

Tulisan beliau ini kedengaran seperti bias dan nampak seperti ingin mengampu pemerintah elit. Dalam sejarah dunia sendiri banyak perubahan berlaku apabila ada direct action seperti demo dan protes. Malah demonstrasi seperti di Mesir dalam menjatuhkan pemerintahan kuku besi merupakan satu yang diangkat sebagai method yang demokratik dan berkesan. Mengajak pelajar membuat debat falsafah dikala autonomi universiti dicabul secara jelas membuatkan ramai orang tertanya-tanya adakah Xifu Naser lebih lembu dari pelajar yang digelarnya lembu? Bayangkan dikala rakyat Afrika Selatan dicabul dengan dasar pemerintahan Apartheid, Nelson Mandela hanya membuat debat falsafah dan beri ucapan di speaker corner.

Pencabulan autonomi universiti ini menjadi polimik apabila Menteri Pendidikan Pakatan Harapan, Maszlee Malik dilantik sebagai presiden UIAM. Perkara ini jelas bercanggah dengan aspirasi Pakatan Harapan yang kononnya ingin membebaskan universiti dari campur tangan politik. Ia mendapat tentangan dan kritikan dari semua pihak.

Ketua pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan terkejut dengan lantikan politik ini. Beliau mengingatkan bahawa Maszlee sendiri pernah membuat kenyataan pada 7 Jun 2018 berbunyi “This is a new era. I will make sure that the Pakatan Harapan (PH) government will never misuse universities for political interests… this includes me.” Perlantikan ini mencerminkan sikap hipokrit beliau.

Malah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku dari DAP, Lim Yi Wei turut menggesa Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik melepaskan jawatannya sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang baharu kerana wujudnya konflik kepentingan.

 

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran. Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read and sleep.

fathi137.wixsite.com/syedahmadfathi

Filed Under: Politics

Politik Islam dan Melayu

June 8, 2018 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair 1 Comment

Buku ini merupakan kumpulan tulisan Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang membicarakan berkenaan dengan politik orang melayu dan Islam. Kebetulan saya menghabiskan pembacaan ini selepas PRU14 di mana buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, UMNO hilang kuasa pemerintahan negara. Buku ini saya kira baik bagi ahli UMNO jika mereka ingin bermuhasabah dan bangkit kembali. Saya kira ia merupakan penulisan yang baik, namun dalam banyak bab penulis sering kali mengulangi tragedi 13 Mei sebagai hujah sehingga ia seolah-olah kedengaran seperti sebuah propaganda.

Antara kritikan awal beliau adalah amalan politik wang dan rasuah yang membarah di dalam UMNO. Amalan ini menyebabkan pemimpin-pemimpin yang rosak dan penyangak dilantik mengemudi parti yang akhirnya menyimpang dari agenda perjuangan. Tidak lagi membela bangsa tetapi mengayakan diri dan kroni. Pemimpin lebih mengutamakan projek sehingga timbul kata-kata terkenal “satu undi untuk UMNO adalah satu undi untuk kontraktor”.

Beliau juga memetik kata-kata Dr. Mohd Asri Zainal Abidin (MAZA) berkenaan dengan kepentingan tajdid (pembaharuan). Dari sudut agama ia bukan bererti membawa agama baru, tetapi pemahaman baru berkenaan dengan agama agar ia segar dan bersesuaian dengan keadaan semasa. Dari perspektif parti, ia bermakna untuk kekal relevan UMNO perlu menarik lebih ramai golongan muda, agar ia terus segar bagi generasi mendatang. Kehilangan generasi muda ini adalah disebabkan perjuangan yang sudah lari dari maksud asal. Sibuk dengan urusan kebendaan sehingga bakti kepada rakyat diperkesampingkan. Malah anak-anak pemimpin UMNO sendiri menjauhkan diri mereka dari parti.

Beliau mengungkapkan bahawa “kehancuran UMNO adalah kehancuran melayu”. Saya kira kenyataan ini boleh dilihat dari dua sudut. Dari satu sudut, ya, kerana tidak ada parti lain yang memperjuangkan bangsa melayu secara eksklusif (mungkin kini sudah ada dengan penubuhan Parti Peribumi Bersatu). Dari sudut yang lain, melayu akan terus wujud namun ia tidak lagi dominan dan eksklusif. Hari ini kita melihat kerajaan baru cuba membawa agenda ‘Malaysian Malaysia’ dengan menggunakan slogan ‘Malaysia Baharu”. Sejauh mana konsep ini boleh mengekalkan keharmonian kaum di Malaysia, akan boleh dilihat dalam tahun-tahun yang akan datang.

Beliau juga memuji semangat sukarela yang ada di dalam aktivis PAS, sesuatu yang hilang di dalam UMNO. PAS dilihat aktif mengadakan ceramah menerangkan isu pada rakyat, sementara pemuda UMNO hanya mampu menghimpunkan penunggang motosikal. Tokoh-tokoh wanita juga tidak menonjol kerana hanya melakukan program bersama kakitangan tadika KEMAS sahaja. Akhirnya UMNO hilang peranan di dalam masyarakat dan tiada kekuatan akar umbi.

Dr. Asyraf Wajdi juga menyangkal hujah yang mengatakan perjuangan bangsa adalah rasis. Hal ini kerana setiap manusia di lahirkan di dalam sesuatu bangsa dan secara fitrah dia akan cenderung dan sayang terhadap bangsanya. Apa yang menjadi kesalahan adalah sekiranya perjuangan itu menafikan hak bangsa lain dengan zalim. Hakikatnya UMNO memperjuangkan nasib bangsa Melayu yang miskin satu ketika dahulu, dengan pegangan ekonomi yang tidak seimbang sehingga menimbulkan konflik kaum. Oleh itu perjuangan bangsa tidak boleh dilihat sebagai rasis selagi ia berlandaskan perlembagaan dan menjamin hak kaum minoriti.

Beliau juga menafikan persepsi yang dibawa oleh PAS bahawa UMNO menolak Islam. Beliau membandingkan kepesatan penyebaran syiar Islam di Malaysia berbanding negara lain seperti Tunisia, di mana negara mereka digenggam sekularisme walaupun 90% rakyatnya adalah Muslim. Beliau memetik kata-kata Sheikh Rachid Ghannouchi yang datang melawat Malaysia pada era pemerintahan Mahathir kali pertama (sekarang kali ke dua). Ghannouchi berkata “ternyata ruang dan peluang dakwah begitu luas sekali bahkan dibantu oleh kerajaan secara terbuka”.

Menyentuh hal ekonomi, beliau mempertahankan penyusunan semula masyarakat melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB). Pegangan ekuiti korporat bumiputra pada tahun 1970 hanya sekadar 2%, DEB mensasarkan peningkatan jumlah ekuiti kepada 30% menjelang 1990. Namun pegangan ekuiti bumiputra hanya mencapai sekitar 20.4% pada tahun 1990. Walaupun target asal tidak dicapai, namun paras kemiskinan dapat diturunkan dengan ketara, dari 49.3% pada tahun 1970 kepada hanya 5.1% pada tahun 2002.

Malaysia juga adalah antara pelopor sistem keewangan Islam yang berjaya. Ia diiktiraf oleh negara-negara Arab, Iran, Sudan malah UK. Iran walaupun antara negara awal yang memperkenalkan perbankan Islam tidak dapat menyaingi Malaysia kerana pendekatan yang diambil terlalu drastik, terburu-buru melalui revolusi. Manakala Malaysia mengambil jalan yang lebih perlahan namun berterusan, melalui proses evolusi, agar sistem baru dapat diterima masyarakat dalam masa yang sama, tenaga pakar dan infrastuktur dibangunkan secara bertahap.

Menyentul hal bahasa, beliau berdiri teguh mempertahankan penggunaan bahasa Melayu didalam pendidikan. Beliau membawa hujah sejarah dimana selepas tragedi 13 Mei, Majlis Perundingan Negara dibentuk. Antara resolusi yang dibentangkan adalah Dasar Pendidikan Kebangsaan yang diasaskan dari Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960. Keperluan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah penting bagi membentuk identiti kenegaraan. Ia merupakan salah satu asas yang mengikat pelbagai bangsa bagi mewujudkan kefahaman, toleransi dan keharmonian.

Antara perkara lain yang disentuh adalah perbezaan pemikiran. Ia merupakan perkara semulajadi yang harus diiktiraf dan tidak diperbalahkan. Malah Islam tidak menghalang perbezaan pandangan dan mengiktiraf fungsi akal. Keghairahan me niru model negara lain seperti Turki juga di bincangkan. Hakikatnya ahli akademik dari Turki sendiri mengakui suasana politik sekular di Turki mengekang Islam, dan Malaysia mempunyai tapak yang lebih subur dan harus bergerak dengan model kita sendiri. Beliau juga menolak perubahan sistem secara total. Beliau berhujah bahawa setiap perkara yang baik biarpun dari tamadun lain boleh kita guna dan sesuaikan dengan situasi kita di Malaysia. Mengambil contoh sejarah, cendiakawan Islam sendiri menterjemah karya Yunani dan Parsi bagi dikaji dan digunakan. Seharusnya kita membuat perubahan secara bertahap, memperbaiki sistem sedia ada sesuai dengan perkembangan masyarakat.

Akhir sekali, beliau membicarakan berkenaan dengan muzakarah (perbincangan) antara UMNO-PAS. Beliau menekankan bahawa matlamatnya bukanlah untuk membubarkan parti dan bernaung di bawah satu parti sahaja, tetapi mencari ruang dan peluang bekerjasama dalam perkara yang disepakati untuk kebaikan bersama.

Artikel ini adalah ulasan buku ‘Politik Islam dan Melayu’ tulisan Asyraf Wajdi Dusuki yang diterbitkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) pada tahun 2014.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran. Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read and sleep.

fathi137.wixsite.com/syedahmadfathi

Filed Under: Politics

Kenapa asyik cakap tentang kelemahan pembangkang? Takut berubah ke?

April 14, 2018 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair 1 Comment

 
Post ini tidak bertujuan untuk meraih undi untuk mana-mana parti. Terpulanglah kepada setiap individu menggunakan akal dengan sihat bagi menilai dan membuat keputusan bagi menentukan hala tuju politik 5 tahun akan datang. Sekiranya mahu kerajaan baru boleh undi pembangkang, sekiranya selesa dengan kerajaan sedia ada boleh beri undi pada kerajaan (sekarang kerajaan sementara kerana parlimen sudah di bubarkan).
 
Apa pun pilihan anda kita kena berlaku adil. Yang salah tetap salah dan tidak boleh di sorok, agar kita faham siapa yang kita pilih. Agar kita boleh letakkan harapan yang realistik. Sekarang, di kehangatan pilihan raya yang bakal tiba, ternampak semula ulang tayang kononnya warga Bangladesh di import bagi mengundi kerajaan.
 
Ini bukanlah tuduhan baru. Ia dimulakan oleh Anwar Ibrahim selepas kekalahan pembangkang dalam PRU13. Dalam siri jelajah ceramah ‘Blackout 505’, Anwar mempopularkan terma “Banglasia” – iaitu warga Bangladesh dan Indonesia yang kononnya di bawa masuk bagi mengundi kerajaan.
 
Satu laporan tribunal rakyat bertarikh 25 Mac 2014 telah menyimpulkan bahawa perkara ini hanya spekulasi dan tiada bukti yang jelas.
 
“Some of the evidence about “foreigners” voting was somewhat speculative (people who “appeared” to be foreign), which would not satisfy burdens of proof required in a court, and it is hard to draw any firm conclusion about this.”
(Findings, Point 7, page. 58) Boleh download dan baca.
 
Laporan tribunal ini bukan diterbitkan kerajaan, tetapi oleh NGO Bersih. Perkataan ‘Bangladesh’ hanya disebut 1 kali sahaja pada laporan tersebut pada mukasurat 72.
 
Seperti biasa selepas itu pembangkang menafikan mereka pernah menuduh dan melakukan u-turn. Tetapi dari Mei 2013 hinggalah perkara ini di sahkan tidak benar menurut laporan pada Mac 2014, hampir 1 tahun persepsi dibina bahawa pilihan raya ini kotor. Dan walaupun fakta itu sudah terbukti salah, persepsi dan sentimen itu kekal. Kemarahan yang dibina itu berterusan menjadi modal.
 
Taktik yang sama digunakan dalam membuang TS Khalid Ibrahim dari jawatan MB selangor. Setelah pelbagai tuduhan dibuat, damage done. Kemudian buat kenyataan memohon maaf secara terbuka.
 
PAS pada ketika itu, dikritik hebat kerana enggan menari dengan komplot fitnah ini. Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan Abdul Khalid untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor atas alasan beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.
 
Mungkin bagi sesetengah orang akan berkata “apa ini ungkit-ungkit kisah lama, please move on”. Kelakar apabila calon perdana menteri pun di kitar semula. Move on? Jika benar nak berubah, berilah perubahan yang sebenar kepada rakyat. Jujur dalam berpolitik, bukan guna taktik fitnah dahulu, kalah saman kemudian.
 
Taktik fitnah dahulu minta maaf kemudian ini mungkin sebab DAP mengkritik PAS yang menyokong akta anti berita palsu. Lim Guan Eng sebut “Adakah PAS parti pembangkang atau pemerintah, ini berikan gambaran macam PAS sebahagian daripada BN.”
Kenapa nak takut kalau tak sebar berita palsu? Ini negara demokrasi, PAS boleh beri sokongan jika akta itu di rasakan baik, PAS dipilih oleh rakyat dan mewakili rakyat. PAS bukan mewakili DAP.
 
Apa pun keputusan pilihanraya nanti, di harap kita dapat menerima nya dengan waras. Selamat berkempen sehingga 9 Mei. Semoga selepas itu kita kembali bersama bermuafakat membangunkan negara tercinta ini, siapa pun yang memerintah.
 
Ini kali lah!
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran. Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read and sleep.

fathi137.wixsite.com/syedahmadfathi

Filed Under: Politics

Senarai hujah-hujah politik yang kelakar

April 13, 2018 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair Leave a Comment

 

1. Jangan di ulang-ulang sejarah lama. Kita perlu pandang ke hadapan.

2. Kalau Anwar pun boleh maafkan, kenapa kita tak boleh.

3. Kita perlu pilih syaitan kecil berbanding syaitan besar.

4. Apa-apa pun kita kena jatuhkan rejim sedia ada, ini saja cara nak suburkan demokrasi.

5. Dia dah bertaubat, biarlah dia betulkan kesilapannya yang lalu.

6. Kita letak dia di situ supaya kita boleh dapat undi Melayu luar bandar. Tapi kami tak amalkan politik perkauman.

7. Kita nak lawan kezaliman sedia ada, bukan kezaliman lampau.

8. Saya intelektual dan tak setuju politik perkauman. Tapi bila terjun dalam bidang politik kita kena realistik. Jadi saya sertai parti berasaskan kaum.

9. SPR ini kotor dan tidak adil. Maka saya akan letak jawatan dalam NGO dan bertanding dalam PRU anjuran SPR.

10. Kita nak cadangkan jawatan tertinggi di hadkan hanya 2 penggal, tapi MB negeri kami dikecualikan.

11. Walaupun eksport dan GDP kita meningkat, negara kita akan bangkrap.

12. Pelaburan dan pinjaman dari China tanda pelabur asing percaya pada kebolehan ekonomi negeri kita. Kita akan batalkan projek pelaburan China jika berjaya jadi kerajaan.

13. Kita nak galakkan rakyat keluar mengundi, jadi kita akan buat undian di hari Rabu, ditengah minggu bekerja.

14. Kita percaya dalam sistem demokrasi semua orang ada hak untuk menyuarakan pendapat dan bertanding. Tapi parti-parti lain ni pengacau dan memecahkan undi.

15. Tengok Singapura, maju. Walaupun bayar pelbagai cukai dan bayar GST tetapi gaji mereka tinggi. Kita akan tingkatkan gaji dan mansuhkan GST.

16. Presiden parti Islam ni selalu ponteng persidangan berdasarkan laporan media online, tapi saya pun tak pasti sama ada presiden parti lain hadir dengan kehadiran 100% atau tidak.

17. Lihat pemimpin mereka disiasat SPRM, ini tandanya parti mereka korup. Siasatan SPRM terhadap pemimpin kami bermotifkan politik, akta SPRM bertentangan dengan perlembagaan.

18. Hanya parti kita yang bawa Islam sebenar, sokong parti lain berdosa.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran. Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read and sleep.

fathi137.wixsite.com/syedahmadfathi

Filed Under: Politics

#UndiRosak Tidak Haram Bahkan Rahmat

February 25, 2018 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair Leave a Comment

 

 

Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin ada menyebut:

“Agama tidak berpihak pada ustaz tidak berpihak pada mufti tidak berpihak pada parti tidak berpihak pada mazhab. Agama berasaskan Al-Qur’an dan Sunnah. Kalau orang bawah bangkit berdiri dia bagi hujah betul, sekali pun mufti, salah tetap salah” (1)

Di atas asas ini saya ingin berbeza pendapat dengan Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan dalam Bayan Linnas Siri Ke-126 (2) berkenaan dengan hukum undi rosak. Saya hormati institusi mufti, dan merasakan dalam banyak perkara Mufti Wilayah banyak terkedepan membantu membina pendapat yang adil bagi ummat Islam di Malaysia. Namun, untuk isu ini, saya mohon berbeza pendapat.

Pertamanya berkenaan dengan undi bukan merupakan satu hak ia adalah tanggungjawab untuk melaksanakan perlembagaan dan undang-undang. Hujah ini agak pelik kerana ia bercanggah dengan kenyataan peguam yang kepakarannya adalah dalam perlembagaan. Peguam perlembagaan, Syahredzan Johan dalam kenyataannya kepada The Star (3) berkata undi rosak adalah sebahagian daripada proses demokrasi. Malah beliau menambah tiada undang-undang yang menghalangnya.

Kemudian fatwa tersebut berbincang berkenaan dengan kewajipan memilih pemerintah. Namun pendapat-pendapat yang dipilih dalam penghujahan hanya menyentuh hukum memilih pemerintah secara umum. Kita menerima pandangan ini, bahawa ia wajib. Namun, ia tidak membincangkan adakah hukum yang sama terpakai jika pemimpin yang hendak dipilih itu korup, kleptokrat, anti-Islam, atau bekas diktator. Adakah hukum yang sama terpakai? Beliau memetik fatwa Dr Yusuf al-Qaradhawi. Namun apa yang tidak disebut adalah Dr Yusuf al-Qaradhawi pernah mengharamkan pilihanraya ketika rakyat tidak diberi pilihan pemimpin yang baik. Beliau pernah mengeluarkan pendapat agar rakyat Mesir tidak keluar mengundi jika pilihannya hanyalah pemimpin yang menindas rakyat. (4)

Dr Rajab Abu Malih pensyarah di Universiti Insaniah pernah menyebut “Dalam isu politik syariah, tidak ada satu kaedah yang terbina atas ke’tsabit’an (hukum yang tiada perbezaan pendapat), tetapi berdasarkan maqasid atau maslahat”. Jadi dalam isu pengharaman undi rosak ini, ia tidaklah haram secara qat’ei tapi haram mengikut ijtihad mufti wilayah sahaja. Perbezaan pendapat adalah dibenarkan.

Dalam Al-Qur’an sendiri ada kisah-kisah seperti kisah Ashabul Kahfi (5), yang mana segolongan pemuda mengasingkan diri apabila mereka tidak mampu mengubah pemimpin yang zalim. Maka ketika rakyat tidak mempunyai pilihan yang baik, ruang untuk berkecuali perlulah dibuka, tidak wajar di haramkan. Dalam sejarah Islam juga, ketika berlaku fitnah dan kekeliruan di kalangan pemimpin semasa Perang Jamal dan Perang Siffin, ada dalam kalangan para sahabat yang berkecuali, tidak mahu menyokong mana-mana pihak seperti Abdullah ibn Umar dan Abdullah bin Abbas (6). Maka apakah mereka berdosa dan telah melakukan perkara yang haram kerana tidak menyokong mana-mana pemimpin? Semestinya tidak. Berkecuali adalah ruang yang diperuntukkan oleh Islam. Dalam beberapa situasi ia lebih sejahtera.

Apa yang menarik ialah apabila sistem yang melantik pemimpin-pemimpin yang bermasalah ini terancam. Semua organ propaganda di gembleng untuk memaksa rakyat menerima pilihan yang diberikan. Seolah-olah rakyat mempunyai pilihan. Kesemua parti, kecuali mungkin PSM, keluar membuat sidang media, mengeluarkan kenyataan untuk menyelamatkan sistem ini. Semua instrumen propaganda digunakan, baik media, NGO, pihak agama, agar rakyat terus memelihara sistem ini dan mengekalkan kuasa mereka. Dalam situasi rakyat tidak punyai pilihan, dipaksa memilih antara pilihan-pilihan yang intinya sama hanya bendera yang berbeza, maka untuk berkecuali, tidak mengundi atau membuat undi rosak bukanlah sesuatu yang haram bahkan ia rahmat.

 

Rujukan:

(1)  Mohd Asri Zainul Abidin. Bahaya guna Islam sebagai alat parti politik. 25 Julai 2017. Link

(2) Zulkifli bin Mohamad al-Bakri. Bayan Linnas Siri Ke-126 : Hukum merosakkan undi. 12 Febuari 2018. Link

(3) Spoiling votes part and parcel of democratic process, say lawyer. The Star, 24 Januari 2018. Link

(4) Influential cleric Qaradawi urges Egyptians to boycott elections. Reuters, 25 Mei 2014. Link

(5) Al-Qur’an. Surah Al-Kahfi: Ayat 10-29. Link

(6) Ustaz Fathul Bari Mat Jahya. Meluruskan sejarah pertelingkahan para sahabat: Perang Jamal & Perang Siffin (Bahagian 3). 2 April 2013 Link

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran. Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read and sleep.

fathi137.wixsite.com/syedahmadfathi

Filed Under: Politics

Sabda Politik dan Apparatus Propaganda

February 11, 2018 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair Leave a Comment

 

Milton Friedman adalah ahli ekonomi yang membantu membuka negara lain untuk menerima teori ekonomi open market, yang membolehkan syarikat Amerika masuk ke negara-negara lain. Antara aksiom Friedman dalam teori perubahan adalah keperluan kepada krisis atau ‘shock’. Hanya krisis, sama ada benar-benar terjadi ataupun hanya persepsi akan membawa perubahan dalam masyarakat.

Malaysia hampir mencapai tahap krisis yang boleh mengubah kerajaan dengan skandal korup 1MDB. Tetapi perubahan berjaya di elakkan, dan ramai yang kecewa. Antara sebab ia gagal adalah kepantasan kerajaan untuk mengawal persepsi, merombak kabinet dan mencantas sesiapa yang berupaya mencipta perubahan. Ia adalah antara applikasi teori asas klasik dalam mengekalkan kuasa seperti mana yang ditulis oleh Machiavelli dimana ‘rebellion’ perlu dikawal pada permulaan dan tidak boleh dibiarkan merebak.

Sebab kedua pada kira saya adalah kerana kegagalan pembangkang mencipta ‘persepsi’ dalam masyarakat bahawa ia adalah krisis. Skandal 1MDB sememangnya contoh salah urus yang memalukan, tetapi ia tidak mencapai tahap dimana ia menjadi krisis atau negara boleh bankrap. Ini adalah pendapat kebanyakan ahli ekonomi terhadap keadaan makro-ekonomi negara. Namun ekonomi Malaysia tidaklah sempurna, dari segi mikro-ekonomi, kita masih bermasalah. Sebab itu kita masih ada orang miskin, tak cukup makan, walaupun statistik GDP meningkat. Jadi retorik dan propaganda negara mahu bankrap sukar dipertahankan ketika keadaan makro-ekonomi sedang pesat dan berkembang. Yang patut diketengahkan dan di-propagandakan adalah mikro-ekonomi seperti pembahagian kekayaan.

Agenda propaganda pembangkang juga bermasalah dengan penamaan calon perdana menteri. Dari sudut pandang keberkesanan propaganda, ia adalah strategi yang tidak strategik. Pembangkang terpaksa berubah dari offensive kepada defensive, tenaga kerja yang sedikit terpaksa digunakan untuk mempertahankan diri daripada menerangkan pelan pemerintahan alternatif. Apparatus propaganda kerajaan yang lebih besar mudah menggunakan peluang ini.

Dalam usaha mempertahankan diri, pembangkang kini mempunyai lompong besar dalam usaha berhujah dengan logik intelektual dan rasional. Rata-rata diskusi dan ceramah cuba menafikan nilai sejarah. Dipujuk rakyat supaya tidak dikenang sejarah tetapi perlu pandang ke depan. Argumen ini sangat lemah kerana sejarah merupakan pengalaman kolektif masyarakat yang penting untuk membuat keputusan di masa hadapan. Howard Zinn dalam tulisannya mengibaratkan masyarakat yang tidak belajar dari sejarah ibarat bayi yang baru lahir, tidak mempunyai memori dan mudah ditipu.

Jika dahulu kita dengar hanya pihak kerajaan yang menggunakan penjawat agama sebagai alat untuk memberi cop halal kepada tindak tanduk mereka. Namun hari ini kita melihat kem pembangkang menggunakan sabda-sabda yang sama. Seorang ustaz dari pantai timur dilantik menjadi pegawai penerangan agama di sebuah negeri mula mengeluarkan sabda-sabda nya mengkritik parti Islam yang tidak secocok dengan kem mereka. Dahulu dituduh sebelah pihak menggunakan agama, kini mereka juga tiada bezanya. Menggunakan agama sebagai alat politik dan percaturan kuasa bukan lah perkara baru, ia adalah praktis dalam sejarah yang panjang. Kita membaca buku Graham E. Fuller bekas agent CIA yang menulis buku ‘A World Without Islam’, dimana beliau menganalisis bagaimana perang dan pergelutan politik tetap akan berlaku sekiranya agama dikeluarkan dari equation perebutan kuasa. Sebab itu tidak pelik jika sabda politik mengharamkan sesuatu hari ini dan menghalalkan nya semula esok.

Dikala kita berenang merentasi sabda politik dan propaganda ini, kita akhirnya sampai ke satu titik dimana kita dipaksa membuat pilihan. Ramai dikalangan rakyat yang termakan dengan apa yang disuap kepada mereka tidak kira dari kem mana sekalipun. Mereka akhirnya keliru dan berputus asa, mereka akhirnya menerima bahawa politik tetap politik dan kita perlu memilih mudharat yang lebih kecil. Kita tidak ada pilihan kecuali menjatuhkan rejim dan menaikkan rejim baru yang berwajah berbeza dengan isi yang sama.

Namun masih ada segelintir rakyat yang masih waras. Mereka faham bahawa politik bukanlah hanya tentang parti apa yang dipilih, politik bukan hanya bermakna pilihan raya, dan tanggungjawab rakyat bukan sekadar mengundi. Di kala minda mereka disuap dengan pelbagai propaganda dan sabda-sabda politik, mereka sedar bahawa tugas mereka di kala tiada pilihan yang benar-benar mampu membawa perubahan, bukan dengan menyerah kalah dan akur mengikut sistem. Tetapi meneruskan perjuangan panjang mendidik masyarakat, bahawa politik lebih dari sekadar individu-individu yang perlu kita berikan undi. Mereka percaya bahawa nafas baru masih ada, dan mereka enggan tunduk dan memberi undi. Biar apa pun kata-kata yang dihambur pada mereka, mereka terus kekal dalam keazaman meninggalkan propaganda politik lama.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran. Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read and sleep.

fathi137.wixsite.com/syedahmadfathi

Filed Under: Politics

  • « Previous Page
  • 1
  • 2
  • 3
  • 4
  • Next Page »

Recent Posts

  • Historiografi Astronomi: Paradoks Dalam Pensejarahan Tamadun Barat
  • Menganalisa Teori Graham Hancock: Benarkah Wujud Tamadun Maju Semasa Ice Age?
  • Boabdil & Kerajaan Islam Dinasti Nasrid Terakhir di Sepanyol
  • Perbahasan Falsafah dan Perspektif Nusantara Dalam Anime Attack on Titan
  • Falsafah Bahasa Za’ba

Archives

Copyright © 2023 The Independent Insight