The Independent Insight

Giving truth a voice

  • Email
  • Facebook
  • Flickr
  • Instagram
  • Phone
  • Twitter
  • Vimeo
  • YouTube
  • Berita
  • Politik
  • Ekonomi
  • Teknologi
  • Reviu
    • Reviu Buku
    • Reviu Filem
    • Reviu Muzik
  • Rencana
  • Podcast
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami

Reviu : 10 Album Muzik Metal Pilihan Bagi Tahun 2020

January 12, 2021 By Mel Van Dyk

1. Trivium – What the Dead Men Say

Baik, kita mulakan muqoddimah senarai kita dengan sebuah kumpulan yang tidak asing lagi dikalangan metalhead. Trivium adalah salah satu kumpulan heavy metal dari Florida, Amerika Syarikat. Pada tahun lalu, mereka telah berjaya menghasilkan satu album berjudul What The Dead Men Say pada sekitar bulan April. Kalau dibaca sekali imbas, aku teringat cerita Pirate of the Caribbean: Dead Men Tell No Tales. Album ini dimuatkan dengan 10 buah lagu termasuk instrumental opening yang syahdu.

Bagi aku, album ni agak padu dan boleh dikategorikan sebagai orait. Namun secara jujurnya aku rasa album ni masih tidak dapat menandingi album terbaik mereka sebelum ni seperti Ascendancy dan The Crusade. Ada yang mengadu kata Matt Heafy dah berubah dari segi vokal kerana kurangnya elemen screaming/growling yang sememangnya menjadi trademark buat Matt. Tapi aku rasa tuduhan tu tak berasas. Memang betul Matt pernah mengalami kecederaan di vocal cord 6 tahun lepas dan bagi sesiapa yang memang mengikuti Trivium akan dapat merasakan sedikit perbezaan, tetapi bukanlah suatu perbezaan yang terlampau ketara. Bagi aku Matt tetap Matt. Kalau hang tak mau dengar Matt Heafy, jangan risau sebab Mat Sabu kan ada? Mengapa perlu pening kepala?

2. Nightwish – Human Nature

Nightwish adalah sebuah kumpulan symphonic metal dari Kitee, Finland. Aku dah mengikuti kumpulan ini sejak aku di bangku sekolah yang pada masa tu vokalis dia adalah Tarja Turunen, seorang lagenda/ikon bagi genre ini. Bagi aku dia wajar digelar queen of symphonic metal, sebaris dengan Sharon den Adel. 

Namun untuk album yang baru ni, Nightwish telah mendapatkan khidmat Floor Jansen bagi menggantikan Tarja yang meinggalkan Nightwish atas urusan peribadi. 

Album Human Nature ini memuatkan 17 buah lagu (Hah ambik kau) secara keseluruhan. Lagu pertama yang berjudul “music” tu pun dah sedap padahal intrumental je pun. Tajuk lagu pun hanya sekadar “music”, jenis main pakai letak tak berfikir panjang.

Bagi aku, album ni berjaya menonjolkan lagi imej symphonic bagi Nightwish dan tidak hairanlah jika kumpulan ini dianggap salah satu pelopor di dalam genre symphonic metal.

3. Al-Namrood – Wala’at

Kumpulan ini merupakan sebuah kumpulan yang bagi aku unik. Kami dipertemukan dengan secara tidak sengaja disekitar tahun 2011-2012. Dari segi nama, aku rasa korang pun dah boleh agak kumpulan ni berasal dari mana. kumpulan Al-Namrood ini merupakan sebuah kumpulan black metal dari Arab Saudi. For your information, semua anggota kumpulan ini kekal anonymous sehingga kini kerana genre muzik sebegini merupakan satu kesalahan yang besar dan boleh dikenakan hukuman mati oleh pihak berkuasa.

Album Wala’at ni dimuatkan dengan 10 buah lagu yang sepatah haram pun aku tak faham. Mana tidaknya, diorang pakai bahasa arab daa. 

4. Carach Angren – Frankensteina Strataemontanus

Carach Angren adalah sebuah kumpulan symphonic black metal yang cukup dikenali oleh para metalhead. Namanya begitu gah di merata dunia lebih-lebih lagi di tempat asalnya, Landgraaf, Netherland. 

Album ini memuatkan 10 buah lagu. Secara keseluruhannya, aku anggap album ini hanya di level yang so-so kerana aku masih merasakan yang album Death Came Through a Phantom Ship mereka sebelum ini adalah album terbaik yang pernah dihasilkan oleh kumpulan trio metal ni. Mungkin sebab dari segi bunyi dan corak muzik yang agak berbeza. 

Tapi apa pun, satu je aku nak pesan. Kalau rasa diri tu cukup jantan, kau cuba pasang video clip Frankensteina Strataemontanus di TV, tutup lampu dan dengar sambil pakai headphone. 

5. Nocturnal Bloodlust – The Wasteland

Nocturnnal Bloodlust ini pun adalah antara kumpulan yang aku baru discover pada tahun lepas, selepas menggodek-godek Youtube semasa waktu PKP. Kumpulan ini berasal dari negara matahari terbit, Jepun atau lebih spesifik dari bandar Tokyo.

Selepas meneliti album yang mempunyai 6 lagu ini, pengaruh metalcore/deathcore yang dibawa oleh Nocturnal Bloodlust ini sememangnya tidak boleh disangkal lagi. Kesemua lagu di dalam album ini telah telah aku sematkan di dalam playlist harian aku buat masa ini. Dasyat jugak budak-budak Jepun ni ye tak?

6. Halestorm – Reimagined

Bila sebut saja nama kumpulan ini, serta merta nama Lzzy Mchale akan muncul secara automatik di kotak fikiran para peminat. Kumpulan ini berasal dari Pennsylvania, Amerika Syarikat. Bagi saya, kumpulan ini tidaklah Se’metal’ dan sekeras kumpulan-kumpulan yang ada di dalam senarai ini kerana mereka lebih kepada membawakan genre alternative metal/hard rock. Kepada yang minat pada lagu yang ala-ala Evanescene, band Halestorm ini juga sesuai untuk anda.

EP yang memuatkan 6 lagu ini bagi saya lebih lembut dan slow berbanding lagu-lagu yang pernah diterbitkan pada 10 tahun yang lepas. Secara jujurnya ini bukanlah album terbaik yang pernah di hasilkan oleh Halestorm. Oleh kerana kualiti vokal Lzzy Mchale yang masih padu, saya tempatkan juga Halestorm di dalam senarai ini.

7. Annihilator – Ballistic, Sadistic

Annihilator merupakan sebuah kumpulan heavy metal dari Ontario, Kanada. Album ini merupakan album yang ke-17 mereka. Kalau kita teliti sejarah album yang pernah dihasilkan, Annihilator telah menghasilkan album setiap 2-3 tahun sekali. Penat woi!

Album ini mempunyai 10 lagu yang semuanya boleh dilayan. Kalau anda seorang peminat heavy metal, boleh la disarankan untuk mendengar album ni. Bab lagu semua ok, Cuma part kulit album tu je yang aku kurang berkenan. Tapi kalau dibandingkan dengan album Criteria for a Black Widow sebelum ni, ini kira orait lagi la.

8. Lamb of God – Lamb of God

Selepas menyepi hampir 5 tahun, akhirnya kumpulan heavy metal dari Virginia, Amerika Syarikat ini kembali dengan album yang berjudul Lamb of God. Dah macam takda nama lain, tak kreatif betul. Ini mesti sebab malas nak memikir la ni. 

Album ni dimuatkan dengan 10 buah lagu yang padu. Penangan riff gitar dari Mark Morton dan vokalis Randy Blythe yang padu sedikit sebanyak mengubat rindu yang menebal di hati para peminat Lamb of God. 

Masa video clip Memento Mori baru keluar, aku ada tengok di Youtube. Masa tu lebih kurang pukul 2 pagi. Memang terkejut beruk jugak la. Jantung pulak serta-merta berdegup kencang tak terkawal. Kau orang pergi tengok la sendiri, malas aku nak cerita banyak.

9. Delain – Apocalyse & Chill

Delain merupakan sebuah kumpulan symphonic metal dari Zwolle, Netherland. Corak nyanyian dari Charlotte Wessels memang menguatkan lagi imej dan elemen symphonic bagi band ini. 

Album ini didatangkan dengan 13 lagu utama dan 3 lagu tambahan dalam versi orkestra. Antara lagu yang aku suka adalah seperti One Second dan Burning Bridges. Kalaulah aku ni adalah Frodo yang tengah dalam perjalanan ke Mordor, album ni bakal aku bawak sekali sebegai peneman kerana sesuai sangat dengan mood dia.

10. Burgerkill – Killchestra

Untuk kumpulan yang terakhir, kita ada Burgerkill, sebuah kumpulan metal dari Bandung, Indonesia. Bagi aku, ini adalah album yang terbaik pernah dihasilkan oleh Burgerkill. 

Dalam album ini terdapat 6 buah lagu yang dihasilkan dengan elemen orkestra dari kerjasama bersama Czech Symphony Orchestra. Ada lagu baru dan ada juga lagu lama yang pernah dibuat oleh mendiang Ivan “Scumbag” Firmansyah, yang lalu disempurnakan oleh mereka berlima. From the bottom of my heart, aku bagi 5 bintang untuk semua track yang ada. 

Album Killchestra ini akan menjadi salah satu album pilihan sepanjang zaman dalam list aku.

*Cerita pasal album ni, aku ada contact seorang seller di Perak yang katanya ada jual album Killchestra ni. Tapi bila sampai, apa yang aku dapat hanyalah sebuah CD Verbatim yang di’burn’ sendiri. Gampang betul. Daripada dengar ciplak, baik aku dengar di Apple Music. Sejak dah takda member duduk di Indonesia ni, aku dah jadi susah nak beli album/buku dari sana.

Mel Van Dyk

Part time independent writer and podcaster from Sarawak, Malaysia.

Filed Under: Rencana Tagged With: Music

Doktor & Twitter

December 21, 2020 By Mel Van Dyk

Hari ini saya ada membaca satu lagi ciapan di Twitter, berkenaan seorang lagi pegawai perubatan di hospital kerajaan mengadu bahawa seorang ibu muda yang hadir ke hospital pada awal pagi kerana alasan yang tidak munasabah.

Memori berkenaan pegawai perubatan dan ciapan yang bagi saya keterlaluan masih segar di ingatan berkenaan kes seorang doktor yang menggunakan bahasa kesat di Twitter tempoh hari. Kali ini, kes yang hampir sama terjadi lagi.

Bagi saya, setiap profesi mempunyai peranan yang berbeza-beza dan percaya atau tidak, kita sebenarnya sama-sama bergantung antara satu sama lain. Sebuah hospital yang teguh dan selamat tidak akan wujud jika tiada arkitek dan jurubina yang membinanya. Segala alatan dan mesin yang digunakan untuk tujuan perubatan itu tidak akan berfungsi jika tiada jurutera yang menciptanya. Begitulah juga peranan seorang doktor dalam dunia perubatan; untuk merawat dan memberi khidmat nasihat perubatan kepada masyarakat tanpa prejudis.

Ciapan yang saya baca hari ini datang dari seorang doktor muda yang masih berstatus houseman (HO), yang menempelak tindakan seorang ibu mengandung yang hadir ke hospital pada jam 12 malam. Menurutnya, ibu tersebut mengadu bahawa dia risau akan kandungannya yang kurang pergerakan seperti selalu dan hadir ke hospital untuk menjalani pemeriksaan. Namun, tindakan ibu muda ini dikatan tidak wajar dan menganggapnya sebagai “cannot brain”.

Saya beranggapan bahawa ciapan ini bukan sahaja tidak menunjukkan sifat profesionalisme seorang pegawai perubatan yang seharusnya merawat dan memberi nasihat perubatan kepada apa jua pesakit yang hadir tanpa prejudis, bahkan mencalarkan imej pegawai perubatan lain yang ikhlas dan berkredibiliti. Adakah menjadi suatu kesalahan jika ada seorang ibu muda yang datang untuk mendapatkan rawatan kerana risau akan kandungannya? Adakah anda rasa ibu muda ini secara suka-suka untuk datang ke hospital pada malam hari?

Mungkin bagi anda yang mempunyai ijazah kedoktoran lebih arif dan tahu bahawa masalah ini bukanlah satu masalah yang besar, namun anda tidak boleh beranggapan bahawa semua orang mempunyai ilmu dan pengetahuan seperti anda. Seeloknya sebagai seorang pegawai perubatan, anda harus bangga kerana menjadi seorang yang berilmu dan dapat berkhidmat untuk orang ramai. Jika anda merasakan bahawa peranan ini terlalu berat dan “cannot brain”, saya sarankan anda berhenti menjadi seorang doktor.

Mel Van Dyk

Part time independent writer and podcaster from Sarawak, Malaysia.

Filed Under: Rencana

Jepun buat 2 perkara ini untuk majukan bola sepak mereka

November 24, 2020 By Fahmi Zaini

Tahukah anda, pada era 80an, Jepun langsung bukan kuasa besar bola sepak. Bola sepak mereka sangat teruk sampai nak buat friendly dengan Malaysia pun susah. Jadi apakah yang dilakukan negara Jepun sehinggakan mereka menjadi negara bola sepak terbaik Asia dan pemain mereka menjadi rebutan kelab kelab ternama eropah? Di sini biar saya kongsi kan dua perkara asas.

Pertama, mereka memfokuskan kepada kemahiran teknikal dalam program akar umbi. Pada tahun 1993, jurulatih bernama Tom Byer telah membawa sistem latihan yang memfokuskan kepada kemahiran teknikal seperti kawalan bola dan corak permainan yang mantap. Beliau mengenal pasti yang pemain di Jepun kurang dari segi kemahiran teknikal. Antara pemain antarabangsa Jepun yang berjaya beliau lahirkan menerusi sistem ini adalah bintang bola sepak Jepun Shinji Kagawa. Jepun bukan sahaja memfokuskan kepada sistem akar umbi yang yang kuat malah mereka juga mempromosikan program itu secara meluas ke suluruh Jepun sekaligus memperluaskan lagi ‘pool of players’ yang mereka ada.

Kedua adalah memfokuskan kepada pembangunan Liga Bola Sepak Profesional mereka. Sebelum awal 90an, Japan Soccer League (JSL) sendu tanpa penyokong. Bagi mengatasi masalah ini, JSL telah dijenamakan semula kepada J League yang kita kenal sehingga ke hari ini. Tidak seperti di negara negara yang lain, kelab bola sepak di Jepun ketika itu mewakili syarikat besar sebagai contoh Nissan dan Tokyo Gas. Bagi memperluaskan lagi ‘fan based’, J league telah meletakkan syarat kepada pasukan yang bertanding untuk memilih satu bandar atau kawasan untuk mereka wakili lantas lahirlah pasukan Urawa Reds Diamond yang dahulunya dikenali sebagai Mitsubishi FC dan FC Tokyo yang dahulunya Tokyo Gas FC.

Usaha ini berhasil apabila ramai penyokong bola sepak Jepun mula membanjiri stadium dan J League mula mendapat perhatian meluas media. Ini kerana penyokong mula merasakan kelab bola sepak di Jepun mula mewakili kawasan atau bandar mereka berbanding mewakili syarikat tertentu.

2 perkara asas yang dilakukan Jepun sekaligus membuahkan hasil apabila mereka berjaya layak secara merit ke Piala Dunia 1998 di Perancis. Malaysia bila lagi? atau kita sudahpun berada di landasan yang betul?

Fahmi Zaini
Fahmi Zaini

Filed Under: Rencana Tagged With: Football, Sports

Robert Fisk: Seorang Wartawan Kemanusiaan

November 6, 2020 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Buku Buku Robert Fisk perihal tragedi peperangan di Timur Tengah merupakan buku yang paling besar dan tebal di dalam rak buku saya. Buku yang bertajuk The Great War for Civilization ini mengalahkan ketebalan buku Trotsky perihal sejarah revolusi Russia. Buku beliau saya beli 2 tahun lepas, namun sehingga hari ini saya takut untuk membacanya kerana terlalu tebal, mungkin saya akan abadikan setahun pada tahun hadapan untuk membaca buku tersebut.

Syarahan-syarahan beliau merupakan antara menu makanan kegemaran saya sekiranya saya merayau-rayau di Youtube. Pengalaman beliau sememangnya tidak dapat ditandingi. Pemikiran beliau penuh dengan penghormatan kepada nyawa dan penolakan pada peperangan. Robert Fisk merupakan sosok wartawan yang tidak asing dalam penulisan perihal perang dan konflik dunia. Beliau pernah 3 kali menemu ramah Osama bin Laden. Beliau juga antara wartawan yang ada di Shabra dan Shatila semasa pembunuhan pelarian Palestin berlaku semasa pencerobohan Israel di Lubnan pada 1982. Beliau melihat sendiri darah panas yang mengalir dari tubuh wanita yang dibunuh di kem pelarian dan pembunuhnya dilihat keluar dari pintu hadapan rumah. Fisk merupakan seorang wartawan yang sangat berprinsip, padanya tugas wartawan adalah untuk melaporkan keganasan yang dilakukan oleh kerajaan dan pihak berkuasa, terutamanya jika mereka berperang.

Selepas menyaksikan kekejaman perang demi perang, Fisk berubah menjadi sosok yang begitu anti kepada perang. Baginya ahli politik mudah mengishtihar perang kerana bukan mereka yang akan berperang, para presiden tidak pernah turun ke medan perang, menyaksikan tangan atau kepala yang berkecai ditusuk peluru dan bom. Kaca televisyen juga tidak menunjukkan imej-imej ngeri perang, mayat tidak ditunjuk kerana menghormati orang yang mati, padahal tidak dihormati semasa hidup sebelum dibunuh. Ini menjadikan masyarakat public tidak melihat sendiri apa sebenarnya perang, kemusnahan dan penderitaan yang dialami manusia. Mereka hanya memahami perang melalui kacamata Hollywood.

Pada 30 Oktober 2020, dunia menangisi pemergian Robert Fisk yang berumur 74 tahun. Beliau merupakan wartawan perang yang disegani di seluruh dunia. Tulisan kecil ini adalah tribute kecil buat beliau yang menyumbang besar kepada manusia dan kemanusiaan.

Fisk mendapat pengaruh kuat dari ayahnya perihal perang, ayahnya merupakan bekas askar dan sangat obses dengan perang, di rumahnya ayahnya menggantung gambar Churchill, hanya selepas ayahnya mati gambar tersebut diturunkan. Beliau berkhidmat di The London Times sebelum berhenti kerana bagi beliau integriti The Times telah dirosakkan selepas dibeli oleh Rupert Murdoch, untuk menjadi wartawan yang baik, bagi Fisk, beliau memerlukan seorang editor yang menerbitkan apa yang wartawan inginkan, bukan apa yang dimahukan oleh pemilik syarikat.

Bagi Fisk wartawan yang baik perlu diberi peluang untuk fokus kepada satu lapangan, memahami bahasa dan budaya setempat, bukan dipindah-pindahkan. Falsafah ini mungkin berbeza dengan apa yang diajarkan kepada kita hari ini, bahawa untuk survival masa hadapan, kita perlu menjadi seorang yang tahu serba serbi, tahu akan pelbagai pengetahuan umum, menjadi seorang yang generalist, bagi Fisk hal ini hanya menjadikan seseorang itu “knows about everything and everything about nothing”.

Bagi Fisk tugas sebagai wartawan yang melaporkan kepada dunia tentang situasi perang adalah tugas yang sangat berbahaya, membuatkan seseorang berasa sepi dan terasing, juga membuatkan seseorang jatuh murung melihat segala keganasan dan kengerian perang, tidak sedikit rakan-rakan wartawan beliau yang terkorban di medan perang. Bagi mereka yang ingin menjadi wartawan Fisk menasihatkan agar mereka perlu mempunyai minat yang tinggi, mereka juga perlu banyak membaca, bacaan wajib bagi beliau untuk wartawan perang adalah War and Peace tulisan Tolstoy yang mana bagi beliau memberikan pemahaman yang baik tentang apa itu peperangan. Selain itu pelajar bidang kewartawanan harus membaca puisi-puisi dari medan perang, juga sentiasa membawa buku sejarah di dalam beg mereka. Beliau sendiri kadang kala membaca 18 jam sehari.

Selain itu wartawan yang baik bagi Fisk perlu diberi kebebasan untuk menulis dengan penuh rasa marah dan menulis dengan jelas pihak mana yang melakukan kejahatan, bagi beliau jika dia menyaksikan pembunuhan, dia tidak akan teragak-agak untuk menulis siapa pembunuhnya dan kenapa dia membunuh. Dalam perang, bagi Fisk semua pihak melakukan kejahatan, kata beliau “there is no good guy in war”. Dalam filem kita mungkin didoktrinkan bahawa perang adalah perihal kemenangan dan kekalahan, tetapi sebenarnya perang adalah tanda kerosakan total pada diri manusia, perang adalah tentang kematian dan pembunuhan.

Tugas wartawan perang pada Fisk bukan untuk duduk mendengar kenyataan ahli politik, atau bersembang dengan pegawai diplomatik, atau menghadiri sidang akhbar, atau mendengar pandangan pusat pemikir perihal perang, tetapi tugas mereka adalah di jalanan, di medan tempur, di hospital, menyaksikan sejarah, menemubual mangsa dan memberi suara kepada mereka, dan menulis dan merekodkan penderitaan mereka. Wartawan bagi Fisk perlu ada di lapangan, jika tidak, bagi Fisk, tiada gunanya menjadi wartawan.

Apakah misi hidup Fisk?

Beliau menceritakan bahawa beliau pernah memasuki hospital di Beirut, dan melihat anak-anak yang telah putus tangannya, permandangan yang akan menyebabkan manusia biasa akan muntah setiap pagi, dan di kaca televisyen ahli politik bercakap perihal bagaimana genjatan senjata tidak boleh dilakukan. Bagi beliau para pemimpin dunia tidak kisah akan mangsa perang, kerana pengalaman perang mereka hanya melalui kaca televisyen, mereka tidak pernah menyaksikan kengerian perang di depan mata mereka. Kita perlu jujur dalam perkataan kita kata Fisk, bukan hanya Al-Qaeda melakukan jenayah perang tetapi semua pihak termasuk tentera Barat dan Amerika. Tugas wartawan adalah melaporkan semua ini kepada dunia sehingga dunia tidak boleh berkata “nobody tells me, I didn’t know”. Misi beliau adalah untuk memantau pusat-pusat kuasa, untuk mencabar authority setiap masa terutamanya apabila mereka berperang, membunuh manusia, dan menipu perihalnya. Bagi Fisk apa yang menyedihkan adalah kebanyakan wartawan tidak melakukan tugas ini, mereka hanya melaporkan apa yang diberitahu kepada mereka oleh pihak yang memegang kuasa, mereka berpelukan dengan pihak berkuasa, bagi Fisk mereka bukan wartawan tetapi hanya jurucakap penguasa.

Bagi Fisk apa yang dilihatnya sangat dahsyat sehingga ia memberinya semangat untuk menulis dengan lebih bebas, untuk melaporkan apa yang terjadi dengan benar. Fisk mengkritik wartawan Amerika yang tidak mahu menjadi sosok kontroversi, wartawan yang patuh kepada pihak berkuasa dan mahu hanya “safe journalism”. Mereka menulis menggunakan euphemism dan terma yang yang dibenarkan oleh pihak berkuasa, dalam konflik Palestin sebagai contoh, tembok ditulis sebagai pagar, dan penjajahan ditulis sebagai pertikaian, perkara ini memberi gambaran yang salah kepada pembaca, mereka akhirnya gagal memahami situasi sebenar, mereka tidak faham kenapa anak-anak Palestin membaling batu kerana pertikaian sepatutnya boleh diselesaikan dengan mudah sambil minum secawan teh.

Apa yang ditayangkan di kaca televisyen juga memberi kefahaman yang salah perihal perang. Televisyen tidak mahu menunjukkan imej-imej ngeri dari medan perang, kepala kanak-kanak yang berkecai, wanita yang cedera penuh dengan tusukan sisa bom, ia tidak dibenarkan ditayangkan. Mayat tidak ditunjukkan sebagai menghormati mereka yang telah mati, walhal ketika mereka hidup mereka tidak dihormati, mereka dijajah, dibunuh, tetapi apabila mereka mati mereka perlu dihormati? Hal ini tidak masuk akal bagi Fisk, tanpa menunjukkan imej-imej perang ini masyarakat gagal memahami apa itu perang, mereka tidak akan menentang pemimpin mereka yang melancarkan perang. Jika mereka melihat apa yang wartawan lihat di medan perang fikir Fisk, tiada siapa yang akan menyokong peperangan. Apabila imej-imej perang Vietnam keluar kepada masyarakat awam sebagai contoh, ia menjadi kemelut politik yang akhirnya menghentikan perang.

Pembunuhan pelarian Palestin di Shabra dan Shatila oleh Militia Kristian Phalange yang dihantar oleh Israel semasa pencerobohan Israel keatas Lubnan merupakan antara peristiwa yang mengubah pandangan Fisk kepada perang. Beliau antara individu yang merupakan saksi kejadian tersebut, beliau melihat sendiri pembunuh-pembunuh yang memasuki kem, mayat busuk bergelimpangan, mayat wanita yang darahnya masih panas mengalir, bagi beliau, beliau tidak pernah menyaksikan kekejaman seperti itu, ia membuatkan beliau termenung tanpa kata-kata, malam selepas pembunuhan itu beliau berubah dan mula menulis dengan penuh amarah perihal perang. Bagi beliau wartawan perlu menulis dengan marah perihal perang.

Apabila kekejaman berlaku, Fisk menolak konsep neutraliti, bagi beliau kita sentiasa perlu berpihak kepada mangsa kekejaman dan tidak bersifat neutral. Ia cocok dengan falsafah Howard Zinn yang mengatakan bahawa “you cannot be neutral on a moving train”. Kita perlu sentiasa menunujukkan pihak yang melakukan kekejaman, siapa pun mereka. Kita perlu mengutuk Syria apabila mereka melakukan pembunuhan di Hama, mengutuk Iraq apabila mereka membunuh, mengutuk Israel apabila mereka membunuh pelarian di Lubnan, mengutuk Palestin apabila mereka mengebom kanak-kanak. Bagi Fisk siapa sahaja melakukan kekejaman perlu dikutuk, dan kita berhak untuk tidak neutral dalam menghadapi kekejaman.

Fisk sentiasa melihat kebaikan pada masyarakat awam yang menjadi mangsa perang, beliau menceritakan bagaimana keluarga yang sedang dibedil oleh Israel, keluar ke jalanan untuk mambawanya masuk kerumah mereka agar dia tidak dibunuh, mereka melakukannya walaupun mereka tidak perlu melakukannya, walaupun mereka berbeza agama dengannya. Bagi Fisk, di Timur Tengah beliau hidup dengan manusia yang masih beriman dengan agama sementara Barat sudah meninggalkan agama, bagi Fisk ia tidak dihargai Barat, Barat tidak membaca sejarah sedangkan mereka di Timur Tengah sangat berpegang kuat dan mengingati sejarah mereka. Bagi Fisk, selepas menyaksikan kekejaman yang dilakukan oleh Barat keatas dunia Islam, beliau sangat kagum dengan kesabaran orang-orang Islam, beliau sangat kagum mereka tidak membalas dendam dengan lebih banyak serangan seperti 11 September. Selepas hidup bersama Muslim sekian lama di Timur Tengah, Fisk merasakan dia tidak pernah merasakan dilayan berbeza, seolah-olah masyarakat disana tidak membezakan antara muslim dan non-muslim dari segi layanan dan persahabatan.

Bagi Fisk, Barat sudah kehilangan agama mereka, sedangkan orang-orang Islam masih berdiri teguh dengan agama mereka, dan Barat mempunyai kuasa untuk memaksa ketidakpercayaan mereka sedangkan orang-orang Islam tidak punya kuasa tentera dan politik untuk mempertahankan diri mereka. Fisk mendapati kebanyakan Muslim yang ditemuinya adalah moderat, kita semua adalah manusia biasa baginya. Apabila manusia ditekan, dipukul, dijajah, walaupun dia seorang liberal yang lemah lembut akan berubah menjadi harimau. Apabila kita menyerang manusia bertalu-talu kerana agamanya, bangsanya, mengapa kita hairan jika mereka tidak suka kepada kita tanya Fisk, kemudian kita bertanya mengapa mereka membenci nilai dan demokrasi kita?

Kehilangan Fisk sememangnya merupakan kehilangan besar kepada dunia. Dunia kehilangan seorang tokoh wartawan yang sangat setia kepada moral dan integriti. Wartawan yang jujur, yang berani melaporkan kebenaran dihadapan kuasa-kuasa besar. Tulisan-tulisan Fisk akan menjadi harta yang sangat berharga untuk manusia. Bagi mereka yang ingin mendalami dengan lebih dekat sosok wartawan yang disegani ini, saya mencadangkan agar anda membaca karya beliau sendiri, antara yang boleh dibaca adalah bukunya perihal tragedi perang di Timur Tengah yang bertajuk The Great War for Civilisation: The Conquest of Middle East.

Antara petikan kata-kata (quotes) Robert Fisk:

War is primarily not about victory or defeat but about death and the infliction of death. It represents the total failure of the human spirit.

It’s a journalist’s job to be a witness to history. We’re not there to worry about ourselves. We’re there to try and get as near as we can, in an imperfect world, to the truth and get the truth out.

Robert Fisk, 12 Julai 1946 – 30 Oktober 2020.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana

Kelebihan Bersedekah: Aku & Negara Matahari Terbit

October 25, 2020 By Editor The Independent Insight

Suasana malam hari di Tokyo, Jepun. Kredit: FB Mohd Hazri

Oleh: Mohd Hazri

Terlebih dahulu aku memohon maaf sekiranya post ni terlalu panjang. Ini hanyalah sebuah coretan untuk kenangan diri sendiri dan juga sebagai motivasi kepada mereka di luar sana. 15 August 2016 merupakan tarikh keramat buat aku kerana inilah kali pertama aku berpeluang menjejakkan kaki ke negara matahari terbit yakni Jepun. Post ini bukanlah untuk memberitahu kelebihan negara Jepun yang seringkali bermain di bibir rakyat Malaysia. Post ini lebih kepada bagaimana aku berpeluang untuk ke sana.

Anda semua tentu pernah dengar tentang kelebihan bersedekah. Perkara ini seringkali diulang tidak kisahlah jika anda berada di bangku sekolah mahupun sudah bekerja. Jadi apa kaitannya bersedekah dengan negara Jepun? Mari aku ceritakan. Pada tarikh 6 August 2016, seperti kebiasaan aku akan menghantar tunangku (kini sudah bergelar isteri ya tuan-tuan dan puan-puan) ke kelas menjahitnya di Giat Mara Bagan. Selepas menghantarnya, perutku terasa lapar dan aku membuat keputusan untuk bersarapan di warung mamak berhampiran.

Setelah memastikan kenderaan berkunci, aku bergegas ke warung tersebut. Aku tidak menggunakan kenderaan ke sana kerana kawasan tersebut agak sibuk pada waktu pagi dan kekurangan tempat meletak kenderaan. Dalam perjalanan ke sana, aku perasan ada seorang pemuda yang memerhatikan aku dari arah yang bertentangan. Dalam hatiku sudah dapat menduga, jika tidak menjual barang sudah pasti orang ini memerlukan bantuan.

Telahan aku benar kerana apabila dia berada berdekatan, dia mula meminta belas ihsan. Katanya dia mahu meminta sejumlah wang. Nilai tersebut tidaklah besar namun aku tergerak hati untuk memberikan sesuatu yang lebih. Aku mengajak dia mengikutiku untuk bersarapan bersama. Dia bersetuju dan kami pun bergegas ke sana.

Apabila sampai di warung mamak tersebut, aku memesan roti canai, sebungkus nasi lemak dan secawan teh tarik. Dia juga memesan sarapan yang sama. Sewaktu menjamah, aku memulakan bicara. Aku bertanya perihal dia dan cuba untuk mengetahui apa yang terjadi. Dia memberitahuku bahawa dia sedang mencari pekerjaan sebagai pengawal keselamatan. Katanya di sini semua kemasukan telah pun diisi dan dia mahu mencuba nasib di Bandar Sunway. Tambahnya lagi, wang yang dia pinta adalah untuk menampung kos pengangkutanya.

Aku terus betanya dari mana dia berasal. Dia memberitahuku yang dia berasal dari Selangor. Dia baru kehilangan ayahnya. Kerana waktu silam dia yang tidak berapa baik, jadi dia berhijrah ke Pulau Pinang untuk memulakan kehidupan baru. Aku menghormati keputusannya dan tidak menyoal lebih. Lagipun aku dapat lihat dari kaca matanya yang dia sedang berusaha menahan sebak. Aku kemudiannya menghulurkan wang untuk dia membayar kesemua sarapan kami, dan memberitahunya untuk mengambil lebihan baki. Dia mengucapkan terima kasih dan aku terus bergegas pulang ke rumah.

Suasana kedai makan di Tokyo, Jepun. Kredit: FB Mohd Hazri

Pada 8 August 2016, seperti kebiasaan aku memulakan waktu kerja pada jam 10 pagi. Dalam kesibukan, aku tiba-tiba dipanggil oleh bossku Gary. Aku kira Gary mahu memberikan aku tugas rutin seperti biasa. Namun tekaan aku meleset kerana Gary menawarkan aku untuk terbang ke Jepun untuk satu projek mega. Aku tanpa banyak bicara terus bersetuju dengan tawaran tersebut dengan hati yang berbunga-bunga.

Dalam perjalan pulang dari tempat kerja, aku terfikir kenapa dalam ramai-ramai rakan IT, aku yang terpilih untuk projek mega ini. Semasa otak aku ligat mencari jawapan, aku tiba-tiba teringat perihal pertolongan yang aku hulurkan kepada pemuda tempoh hari. Maka benarlah, kelebihan bersedekah ini sangatlah besar. Dari sini, aku amat yakin bersedekah ini dapat meluaskan dan membukakan pintu rezeki kepada kita. Jadi kepada mereka yang di luar sana, jangan berhenti untuk bersedekah dan anda mungkin akan berperoleh rezeki yang tidak di sangka-sangka. Jika bukan menggantikan hal yang sama, pasti digantikan dengan kesihatan yang baik, kebahagiaan dalam keluarga, kesenangan dalam bekerja dan sebagainya. Sesungguhnya rezeki Allah itu sangat luas dan tidak terbatas. Sekian coretan aku untuk kali ini.

Tulisan ini pertama kalinya dikongsi oleh Mohd Hazri di laman Facebook miliknya.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Rencana

Kapal Van der Wijck – Benar Atau Sekadar Mitos?

August 1, 2020 By Mel Van Dyk

S.S Van der Wijck
Credit : Ships Nostalgia

Sejarah

Kapal Van der Wijck sangat sinonim dengan salah satu karya tulisan Hamka, iaitu Tenggelamnya Kapal Van der Wicjk yang di terbitkan pada 1939. Karya ini begitu popular pada waktu itu bukan hanya kerana plotnya yang sangat menyentuh perasaan malah pernah menjadi kontroversi kerana dikatakan sebuah plagiat dari karya Jean-Baptiste Alphonse yang berjudul Sous les Tilleuls.

Tenggelamnya Kapal Van der Wijck, karangan Hamka.

Namun, adakah kapal Van der Wijck ini merupakan kapal sebenar atau hanya sekadar rekaan dari Buya Hamka?


Carel Herman Aart van der Wijck.

Jawapannya ya, kapal ini memang wujud di dunia nyata. Kapal Van der Wijck ini merupakan sebuah kapal penumpang yang dimiliki oleh syarikat Belanda, Koninklijke Paketvaart Maatschappij (KPM) Amsterdam. Nama kapal ini diambil sempena nama Gabenor Jeneral Hindia-Belanda yang ke-56 iaitu Carel Herman Aart van der Wijck yang berkhidmat dari tahun 1893 hingga 1899.

Kapal ini dibina pada tahun 1921 di Maatschappij Fijenoord N.V. Rotterdam. Seperti kapal-kapal lain pada zaman itu, kapal Van der Wijck ini merupakan kapal yang menggunakan enjin wap. Kapal ini juga mempunyai panjang 97.5 meter, lebar 13.4 meter, dan tinggi 8.5 meter disamping mampu membawa 60 orang penumpang kelas pertama, 34 orang penumpang kelas kedua dan kira-kira 1000 penumpang biasa.

Rekod Llyods Register of Shipping, 1930-31

Tragedi Westgat

Pada 20 Oktober 1936, kapal ini dijadualkan untuk berlayar dari Surabaya ke Tanjung Priok. Mengikut laporan akhbar Pandji Poestaka yang bertarikh 23 Oktober 1936, kapal ini dikemudi oleh B.C Akkerman selaku kapten kapal pada waktu itu. Menurut akhbar yang lain, kapal Van der Wijck ini juga dilaporkan membawa kira-kira 250 orang penumpang berserta kargo yang terdiri dari kayu dan besi ketika mula berlayar dari Surabaya.

Setelah beroperasi selama 15 tahun, akhirnya kapal ini tenggelam kira-kira 22 batu nautika di sebelah barat laut Surabaya, di kawasan yang dikenali sebagai Westgat. 8 buah pesawat jenis Dornier Seaplane yang berupaya untuk mendarat di permukaan air telah dikerahkan untuk usaha mencari dan menyelamat disamping dibantu oleh bot-bot nelayan tempatan yang berhampiran.

Lokasi S.S Van der Wijck tenggelam pada 22 Oktober 1936.

Menurut akhbar The Queenslander yang bertarikh 22 Oktober 1936, seramai 153 penumpang telah berjaya diselamatkan manakala 70 penumpang dilaporkan hilang.

Keratan akhbar Australia, The Queenslander.

Sebuah persidangan telah diadakan di Betawi oleh lembaga perkapalan pada waktu itu untuk menyiasat punca kemalangan ini. Keupayaan Kapten B.C Akkerman menjadi salah satu faktor yang dipersoalkan pada waktu itu kerana beliau hanya sempat mengendalikan S.S Van der Wijck selama 2 minggu sahaja sebelum tragedi malang ini.

Namun hasil siasatan lanjut membuktikan bahawa tahap kompetensi kru kapal dan keadaan kapal itu sendiri berada dalam keadaan baik dan bukanlah penyebab kemalangan itu berlaku. Menurut Llyods Register of Shipping, tragedi Van der Wijck ini disebabkan oleh faktor cuaca dan angin kencang.

Tugu peringatan di Pelabuhan Brondong.

Sebuah tugu telah didirikan di Pelabuhan Brondong demi memperingati jasa para penyelamat masih boleh dilihat hingga hari ini.

Mel Van Dyk

Part time independent writer and podcaster from Sarawak, Malaysia.

Filed Under: Rencana

PPSMI: Diskusi bersama Wern Han

July 16, 2020 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Pada 16 Julai 2020 sekitar jam 12 petang, saya berkesempatan untuk berdiskusi dengan Wern Han salah seorang ahli kumpulan GE-Global di Facebook. Beliau berkongsi pautan berita dari Malaysiakini tentang jawapan menteri pendidikan, Radzi Jidin di Parlimen yang menyatakan bahawa program PPSMI tidak akan dihidupkan semula, dan pengajaran tulisan Jawi akan diteruskan.

Saudara Wern Han mempertikaikan bahawa hampir semua ahli parlimen melengkapkan pengajian mereka di luar negara, dan mereka belajar menggunakan Bahasa Inggeris. Beliau tidak mengemukakan apa-apa data terhadap dakwaan ini, saya anggap ia adalah kepercayaan beliau. Namun, jika dilihat dengan lebih dekat, pertikaian beliau ini jika benar, membuktikan bahawa kita tidak perlukan PPSMI untuk berjaya belajar di luar negara dan menjadi menteri. Kerana tentunya ahli parlimen yang 40% adalah golongan yang berumur lebih 60 tahun menerima pendidikan sebelum PPSMI dilaksanakan pada tahun 2003.

Saya masih ingat, pada tahun 2003 itu saya berada di tingkatan 1, terdapat banyak kekeliruan, bukan sahaja pelajar, malah guru-guru. Pada peringkat awal itu, saya masih ingat, semasa peperiksaan masih diberikan pilihan, ketika PMR dan SPM kertas-kertas subjek seperti Sains, Matematik, Fizik, Kimia, dan Biologi semuanya dwi-bahasa. Pelajar boleh memilih hendak menjawab dalam Bahasa Inggeris atau Melayu. Kertas soalan dan jawapan juga dwi-bahasa. Kami pelajar ketika itu, benar-benar merasakan bahawa kami adalah tikus makmal untuk menguji polisi pendidikan negara.

Saudara Wern Han kemudian bertanya, adakah kita perlu berhenti menggunakan Bahasa Inggeris untuk mengajar? Saya merasakan beliau keliru. Di Malaysia kita tentulah belajar dalam bahasa nasional, itu tidak bermakna kita tidak belajar bahasa Inggeris sebagai satu subjek berasingan. Wern Han kemudian menambah bahawa beliau faham kepentingan bahasa kebangsaan (bagi saya, baguslah jika faham), tapi beliau berkata kita juga perlu tahu bahasa Inggeris yang diiktiraf sebagai bahasa antarabangsa. Beliau memberi contoh ketika pelancong datang ke Malaysia, kita perlu gunakan bahasa Inggeris, jika kita tidak fasih, bukankah ini akan meninggalkan persepsi buruk terhadap Malaysia?

Disini kelihatan beliau masih keliru. Malaysia menurut EF English Proficiency Index (EF EPI) pada tahun 2019 berada di tangga ke 26, dikategorikan sebagai high proficiency bersama negara maju seperti Switzerland (Switzerland adalah negara ke-2 termaju dalam dunia selepas Norway menurut World Population Review pada tahun 2020). Malah Malaysia dalam indeks EF EPI lebih baik dari Perancis (31), Hong Kong (33), Korea Selatan (37) yang dikategorikan sebagai moderate proficiency. Jika kita ukur sekadar di Asia, Malaysia di tempat ke-3 selepas Singapura ditempat pertama dan Filipina di tempat kedua.

Baik, berbalik kepada hujah pelancong asing Wern Han, pelancong biasanya mahukan informasi-informasi tempatan yang mudah seperti arah dan lokasi, ini semestinya mudah dijawab bagi warga Malaysia yang merupakan negara ke-3 di Asia yang mempunyai tahap kebolehan bahasa Inggeris yang tinggi. Pelancong bukan mahu menilai tatabahasa bahasa Inggeris kita, dan kita mencapai semua ini tanpa pun kita bergantung kepada polisi PPSMI. Wern Han kemudian berkongsi pengalamannya melancong ke Thailand, dan terpaksa menggunakan aplikasi Google Translate sepanjang masa. Bagi saya ini bukan hujah, jika Thailand bermasalah suruhlah Thailand yang melaksanakan PPSMI bukan Malaysia. Mengapa kita perlu makan ubat kepada penyakit yang kita tidak hidapi?

Akhirnya Wern Han berkata bahawa dia hanya menyatakan jika kita tidak boleh bertutur bahasa Inggeris kita akan ada masalah komunikasi dengan orang asing, dan dia tidak menyalahkan Malaysia dalam hal ini. Belajar bahasa Inggeris tidak akan menyelesaikan persoalan bahasa ni negara kita tambahnya lagi. Dan pada ketika itu saya pun bersetuju.

Artikel ini pertama kali diterbitkan di blog Meniti Jambatan Masa.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana

Minta Maaf, Saya Tak Mampu Melihat Aya Sofya

July 11, 2020 By Editor The Independent Insight

Oleh: Nabihah Insyirah

Baru-baru ini, saya ada membaca satu posting panjang, ia seolah-olah analisa politik seorang rakyat Malaysia terhadap keputusan Museum Aya Sofya ditukar semula kepada Masjid.

Katanya keputusan berikut dibuat oleh Presiden Turki Racep Tayyep Erdogan demi kesejahteraan politik beliau. Kebetulan, posting tersebut dibaca oleh sebahagian pelajar-pelajar berbangsa Turki dan mereka bertanya kenapa orang Malaysia begitu yakin bercakap soal mempolitikkan Aya Sofya?

Apa bukti beliau mengatakan pertukaran Aya Sofya kepada Masjid semula adalah sesuatu yang menguntungkan Erdogan?

Beliau tahu atau tidak yang sudah sekian lama masyarakat di Turki menuntut Aya Sofya menjadi Masjid semula? Ia bukan isu baru. Ia adalah tuntutan daripada masyarakat Turki berzaman-zaman.

Ia bukan idea Erdogan, tapi tuntutan dan desakan daripada rakyatnya. Meskipun golongan sekularis menentang idea tersebut, namun majoriti masyarakat di Turki menuntut pertukaran tersebut.

Saya teringat seorang kawan saya di Istanbul pada tahun lepas. Saya berhajat untuk menziarahi Aya Sofya dan mengajaknya bersama kawan kawan lain. Dia meminta maaf dan menyampaikan rasa hatinya:

“Saya minta maaf. Saya tak mampu untuk melihat Aya Sofya. Setiap kali saya ternampak Aya Sofya, ada satu perasaan yang menggigit jiwa saya. Saya berasa sedih teramat sehingga terasa sakitnya di hati. Saya terasa tak aman jiwa selagi mana dia menjadi museum. Aya Sofya adalah hadiah daripada Allah untuk Fatih Mehmet Sultan sekaligus hadiah untuk kita semua bersujud di dalamnya.”

Untuk pengetahuan pembaca, dia merupakan rakan sekelas, lelaki berbangsa Turki.

Semalam saya ada video call bersama kawan-kawan Turki, saya memetik sebahagian daripada perbualan mereka.

“Malaysia jauh daripada Turki. Rakyat Malaysia mungkin tak tahu betapa ada sentimental value Aya Sofya di hati kami. Janganlah tertipu dengan pandangan dan idea yang membenci Erdogan walaupun kami sendiri bukan pendokong parti beliau. Tapi isu Aya Sofya bukan isu Erdogan. Itu isu kita semua, semua kaum dan bangsa muslim. Pertukaran Aya Sofya kepada masjid semula tak menguntungkan Erdogan apa apa pun kerana pilihan raya lambat lagi, lagi 3 tahun. Dan parti sekular takkan memandang kebaikan apa apa pun dalam hal ini. Malah mungkin akan merugikan beliau.”

Kata mereka lagi.

“Kalau Erdogan bukan pemimpin kami dan ditukar dengan presiden yang lain dari parti yang lain, kami akan tetap mendesak dan menuntut kepada beliau untuk menukar Aya Sofya kepada Masjid kembali. Dan sekiranya beliau melakukan hal yang sama, kami tetap akan bergembira dan bersyukur dengan tindakannya.”

Saya ajak kawan-kawan pembaca untuk kita melihat dari sudut masyarakat di Turki sendiri. Bila kita nak melontarkan komen mengenai pertukaran semula Aya Sofya, saya mengharapkan kita lebih berhati-hati kerana masyarakat sana boleh membaca komen-komen kita.

Kebetulan semalam seorang rakan sekelas saya di Istanbul pada tahun yang lalu menghantar mesej mengenai betapa gembiranya dia Aya Sofya bertukar menjadi Masjid semula dan meminta saya mendoakan moga ia kekal begitu selamanya. 

Tulisan ini diterbitkan petama kalinya di laman Facebook Nabihah Insyirah.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Rencana

There is no health without mental health

July 1, 2020 By Editor The Independent Insight

Oleh: Tulip Ungu

Tujuan aku menulis kali ini adalah kerana aku rasa aku perlu berkongsi pengalaman aku dan menyebarkan kesederan kepada semua tentang kepentingan kesihatan mental.

Sebagai permulaan, aku ingin bercerita tentang pengalaman aku dimasukkan ke dalam wad psikatri pada 28 Jun 2020 setelah melakukan aktiviti mencederakan diri dan cubaan membunuh diri.

Jujur, ini adalah kali pertama aku kantoi dan terpaksa dihantar ke hospital kerana tidak mampu mengawal perasaan diatas beberapa tekanan yang sedang aku alami.

Suasana didalam wad itu tidaklah seperti wad wad lain yang biasanya kita masuk ataupun melawat. Ia juga tidak sama seperti yang dipamerkan di media massa.

Keadaannya amat tertutup dan dikawal ketat, manakala kami sebagai pesakit tidak dibenarkan untuk memegang apa-apa alat perhubungan serta barang peribadi.

Ada ketika, aku berfikir seperti dipenjara, kerana jadual pemakanan serta waktu tidur dikawal ketat disamping sesi terapi dan pemerhatian oleh doktor yang bertugas.

Layanan disana juga agak berlainan dari wad biasa. Di dalam wad itu, kami perlu mendengar cakap dan tidak menimbulkan apa-apa kekecohan yang boleh membuat kami dikawal dengan lebih ketat.

Sungguh, aku berasa sedikit terganggu dengan suasana baru itu namun demi kesihatan mental aku sendiri aku harungi juga rasa tidak selesa itu.

Setelah dua hari “bercuti” didalam wad tersebut, aku kembali waras dan boleh keluar dan meneruskan rawatan secara berkala. Aku bersyukur kerana tidak di hantar ke Hospital Bahagia dan dapat menjalani hidup seperti manusia lain.

Nasihat aku, bersama la kita cakna akan keadaan orang sekeliling kita dan tidak terlalu memghukum kepada mereka yang menghidap penyakit mental. Kita tidak tahu andai kata perbuatan mahupun kata kita memberi impak negatif kepada seseorang hingga menjadi asbab kepada sesuatu yang tidak baik.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Rencana

Ideologi Komunis di import Belanda ke Indonesia

June 25, 2020 By Editor The Independent Insight

Oleh: Muhammad Syahmi Ibrahim

Ajaran komunis tidak wujud hasil daripada kehendak semula jadi rakyat tetapi ia dibawa dari dunia luar. Ia juga tidak diimport dari negara Soviet atau China, malah dibawakan khas dari negara Belanda antaranya ialah N.J.E Snevliet, Baars, J.E.Stokvis, Gramer, Van Bornink dan Van Genedren. Kemudian barulah lahir tokoh-tokoh tempatan seperti Semaun, Darsono, Tan Melaka, Alimin, Prawirodirjo.

Kemasukan ideologi komunis ini bertitik-tolak daripada kemerosotan kekuasaan Belanda di Indonesia untuk melawan pengaruh ajaran Islam. Walaupun Belanda mampu menggunakan kekuatan tenteranya bagi menundukkan orang-orang Islam, namun hakikatnya, mereka terpaksa menelan belanja yang tinggi.

Pada awal abad ke-20, kekuatan umat Islam mula menampakkan sinarnya dengan munculnya sebuah perkumpulan yang diberi nama Syarikat Islam. Dan pada masa ini juga, penentangan Islam melalui senjata sudah mulai berkurang dan mereka banyak menggunakan saluran berorganisasi dan berpolitik.

Ternyata jalan yang digunapakai oleh kelompok Islamis membuahkan kesan yang besar terhadap penduduk Indonesia. Setiap kongres, rapat umum, musyawarah memainkan peranan penting bagi menaikkan semangat untuk menentang penjajah melalui tekanan yang diberikan.

Melalui penelitian Snouck, beliau menyatakan bahawa cara yang paling ampuh untuk menghancurkan Islam adalah dengan membawa ajaran-ajaran yang merosakkan ke Indonesia. Mereka memutuskan untuk membawa kefahaman komunis berbanding semangat nasionalisme.

Mereka tidak menyebarkannya secara terang-terangan, tetapi melatih dan mendakyah beberapa orang tempatan sehingga jiwanya sebati dengan komunis kemudiannya dihantar masuk menyusup ke dalam Syarikat Islam. Maka setiap kali ingin memutuskan sesuatu perkara, akan berlakulah perbalahan sesama ahli dan juga pemimpinnya iaitu antara ahli syarikat yang asli dengan boneka penjajah Belanda yang berfikiran komunis.

Dampak daripada kemasukan ahli-ahli komunis ini dalam Syarikat Islam, maka tersebar luaslah ajaran komunis ini kepada ahli yang lain. Kesannya, berpecahlah Syarikat Islam kepada dua kelompok yang besar, yang satu masih berpegang kepada ajaran tauhid dan satu lagi telah diracuni oleh ajaran komunis.

Maka berhasillah usaha penjajah Belanda untuk memusnahkan kesatuan umat Islam yang kuat dibawah bumbung Syarikat Islam. Harus diingat bahawa tokoh-tokoh besar komunis di Indonesia kebanyakannya adalah orang-orang Melayu-Islam.

Sumber: Sejarah Islam di Indonesia – Dr Wan Ahmad D.S

Ingin membeli buku-buku keluaran Jejak Tarbiyah, Iman, Patriot, Gerak Budaya, DBP, ITBM dan sebagainya, boleh klik disini. Juga jika anda ingin membeli kerepek ubi pelbagai rasa, boleh klik disini.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Rencana

  • « Previous Page
  • 1
  • …
  • 4
  • 5
  • 6
  • 7
  • 8
  • …
  • 10
  • Next Page »

Recent Posts

  • Amerika Mulakan Penjajahan Ke Atas Venezuela
  • Tidur Siang Singkat: Kepingan yang Hilang dalam Pendidikan Karakter Kita di Indonesia
  • Aspek Yang Menghubungkan Orang Cina Di Tanah Melayu Dengan Negara China, 1850-2000
  • Kisah Pelombong Melayu Perak Yang Hilang Dari Historiografi
  • Memanusiakan Semula Pendidikan Yang Dikurung

Archives

Copyright © 2026 The Independent Insight