Oleh: Muhammad Syahmi Ibrahim
Ajaran komunis tidak wujud hasil daripada kehendak semula jadi rakyat tetapi ia dibawa dari dunia luar. Ia juga tidak diimport dari negara Soviet atau China, malah dibawakan khas dari negara Belanda antaranya ialah N.J.E Snevliet, Baars, J.E.Stokvis, Gramer, Van Bornink dan Van Genedren. Kemudian barulah lahir tokoh-tokoh tempatan seperti Semaun, Darsono, Tan Melaka, Alimin, Prawirodirjo.
Kemasukan ideologi komunis ini bertitik-tolak daripada kemerosotan kekuasaan Belanda di Indonesia untuk melawan pengaruh ajaran Islam. Walaupun Belanda mampu menggunakan kekuatan tenteranya bagi menundukkan orang-orang Islam, namun hakikatnya, mereka terpaksa menelan belanja yang tinggi.
Pada awal abad ke-20, kekuatan umat Islam mula menampakkan sinarnya dengan munculnya sebuah perkumpulan yang diberi nama Syarikat Islam. Dan pada masa ini juga, penentangan Islam melalui senjata sudah mulai berkurang dan mereka banyak menggunakan saluran berorganisasi dan berpolitik.
Ternyata jalan yang digunapakai oleh kelompok Islamis membuahkan kesan yang besar terhadap penduduk Indonesia. Setiap kongres, rapat umum, musyawarah memainkan peranan penting bagi menaikkan semangat untuk menentang penjajah melalui tekanan yang diberikan.
Melalui penelitian Snouck, beliau menyatakan bahawa cara yang paling ampuh untuk menghancurkan Islam adalah dengan membawa ajaran-ajaran yang merosakkan ke Indonesia. Mereka memutuskan untuk membawa kefahaman komunis berbanding semangat nasionalisme.
Mereka tidak menyebarkannya secara terang-terangan, tetapi melatih dan mendakyah beberapa orang tempatan sehingga jiwanya sebati dengan komunis kemudiannya dihantar masuk menyusup ke dalam Syarikat Islam. Maka setiap kali ingin memutuskan sesuatu perkara, akan berlakulah perbalahan sesama ahli dan juga pemimpinnya iaitu antara ahli syarikat yang asli dengan boneka penjajah Belanda yang berfikiran komunis.
Dampak daripada kemasukan ahli-ahli komunis ini dalam Syarikat Islam, maka tersebar luaslah ajaran komunis ini kepada ahli yang lain. Kesannya, berpecahlah Syarikat Islam kepada dua kelompok yang besar, yang satu masih berpegang kepada ajaran tauhid dan satu lagi telah diracuni oleh ajaran komunis.
Maka berhasillah usaha penjajah Belanda untuk memusnahkan kesatuan umat Islam yang kuat dibawah bumbung Syarikat Islam. Harus diingat bahawa tokoh-tokoh besar komunis di Indonesia kebanyakannya adalah orang-orang Melayu-Islam.
Sumber: Sejarah Islam di Indonesia – Dr Wan Ahmad D.S
Ingin membeli buku-buku keluaran Jejak Tarbiyah, Iman, Patriot, Gerak Budaya, DBP, ITBM dan sebagainya, boleh klik disini. Juga jika anda ingin membeli kerepek ubi pelbagai rasa, boleh klik disini.
Related Posts
Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.