Penulisan ini merupakan kupasan, penelitian, hadaman, dan kritikan terhadap naskah buku yang bertajuk Mahasiswa & Universiti suntingan Usaid Asmadi, Ilham Nordin, Nazurah Mansor, dan Nurfathihah Hafiz Chan terbitan The Garaj Buku pada tahun 2023. Buku ini diberikan kata pengantar oleh Prof Madya Dr Zulkifli Hasan. Penulisan ini cuba memperhalusi idea dan gagasan yang dibawa dalam buku ini melalui lensa yang lebih kritikal disamping cuba mengkritik gaya penulisan yang diketengahkan di dalam setiap artikel yang dihimpunkan dalam buku ini. Pengajaran dan dapatan yang baik dari naskah ini turut dibahaskan dalam rangka untuk melihat permasalahan yang dibawa dengan lebih mendalam. Akhir sekali, penulis menggariskan pandangannya di bahagian penutup perihal idealisme mahasiswa dan apa yang diperlukan selepasnya.
Pendahuluan
Oleh kerana tajuk penulisan ini kedengaran agak pesimis atau boleh ditafsir sebagai antogonistik, maka saya ingin memulakannya dengan sebuah pendahuluan yang lebih optimistik dan positif. Mahasiswa sering dikaitkan dengan sebuah idealisme, dan sering kali mereka dikatakan sebagai naif dan melihat dunia dalam lensa utopia. Mereka merasakan bahawa mereka mempunyai idea yang besar untuk mengubah dunia sedangkan mereka langsung tidak pernah mempunyai pengalaman langsung bergelumang dalam dunia praxis. Eric Hobsbawm, seorang sarjana sejarah terkenal pernah ditanya tentang peranan golongan fanatik dalam menganjurkan perubahan dalam dunia.
Hobsbawm tidak mencela mereka yang fanatik terhadap sesebuah idea, beliau menerangkan bahawa hanya mereka yang percaya dengan jitu dengan sepenuh perasaan terhadap sesuatu idea dapat membawa perubahan, tanpa mereka ini, tiada perubahan dapat berlaku. Dan beliau kemudian memberikan contoh yang spesifik bagi mahasiswa yang mana saya mahu petik secara verbatim.
“There is enormous things you can say against students, but they are people who believe that things can be done in the world, the world can be change, if people don’t believe it when they are young, then there’s not much hope”.[1]
Dari kata-kata Hobsbawm ini dapatlah kita fahami bahawa mahasiswa itu sememangnya mempunyai kuasa perubah dalam masyarakat andai mereka benar-benar percaya dan fanatik terhadap idealisme mereka. Namun, ini tidaklah bermakna idea-idea itu seharusnya dibiar bersifat utopia dan tidak praktikal, ia mestilah dikritik, diperhalusi, dan cuba dibumikan. Mengambil semangat ini, penulisan ini cuba untuk memperhalusi makalah Mahasiswa & Universiti ini.
Kematian universiti bukanlah kematian ilmu
Dalam kata pengantarnya, Zulkifli Hasan ada memetik penulisan Peter Fleming yang mengatakan kemungkinan universiti tidak akan relevan lagi di masa hadapan.[2] Saya kira perkara ini sedang berlaku, atau dalam kata lain, kita sudah berada di masa hadapan. Kita melihat hari ini perubahan teknologi menjadikan pengajian dan pembelajaran itu didemokrasikan sehingga kemahiran-kemahiran tinggi dapat dikuasai oleh manusia tanpa perlu dia memasuki gerbang universiti. Jika seseorang itu hanya mahu mengejar kekayaan, teknologi yang ada pada hari ini, dengan bentuk-bentuk ekonomi baharu, membolehkan setiap orang masuk ke pasaran kerja dan pasaran perniagaan tanpa perlu mereka mendapatkan sehelai sijil dari universiti. Universiti juga sering dilihat sebagai tempat manusia membuat hutang pertama, di mana pelajar terikat dengan hutang untuk membayar yuran pengajian. Ini menyebabkan mereka telah dibebani hutang sebelum mereka masuk ke pasaran kerja. Namun, bagi mereka yang tidak masuk ke universiti, mereka dapat terus bekerja tanpa terikat dengan hutang.
Namun saya kira ada satu perkara yang lebih penting dari petikan Fleming oleh Zulkifli Hasan. Iaitu seolah-olah kematian universiti bermakna ia juga membawa kepada kematian ilmu, walaupun kenyataan ini tidaklah disebut secara eksplisit. Saya berpandangan, jika pun universiti itu mati dan menjadi tidak relevan, ia tidak menjejaskan ilmu. Keilmuan boleh terus tumbuh segar tanpa memerlukan universiti. Ilmu bukanlah kata sinonim bagi universiti, dan ilmu tidak memerlukan universiti, ia boleh tumbuh dengan sendiri dan merdeka. Kita lihat dalam sejarah peradaban manusia, ilmu itu telah berkembang sekian lama, universiti adalah institusi yang datang kemudian. Malah saya berpandangan, dalam sesetengah bidang ilmu, universiti menjadi institusi yang mengongkong perkembangan ilmu. Seperti yang diperkatakan oleh Rupert Sheldrake tentang bagaimana institusi formal seperti universiti membelenggu sains dengan dogma.[3] Bukan agama sahaja yang boleh menjadi dogmatik. Menurut Sheldrake yang merupakan seorang saintis yang tidak kurang hebatnya, sains juga boleh menjadi dogmatik, memberikan kita aksiom-aksiom yang diterima secara buta tanpa pertanyaan dan persoalan.[4]
Apakah yang dimaksudkan dengan ruang ketiga?
Saya pada asalnya tidak mengetahui apa itu ruang ketiga. Tidak begitu jelas ia dinisbahkan terhadap apa. Sehinggalah saya membaca tulisan Sofiya Tamizi yang menerangkan akan hal ini. Menurut Sofiya, ruang pertama adalah ruang politik dan pembuat dasar juga polisi. Ruang kedua adalah ruang perniagaan dan industri yang mengutamakan keuntungan. Ruang ketiga adalah ruang awam yang bebas dari pengaruh kekuasaan dari sudut politik atau pun ekonomi.[5] Dalam kata lain, ia adalah ruang wacana umum yang bebas.
Selain pendefinisian ruang ketiga, penulisan Sofiya dalam naskhah ini juga ada beberapa perkara yang menarik. Seperti nukilan beliau dari buku tulisan Jaroslav Pelikan, The Idea of the University.[6] Ia membuatkan saya teringat akan buku Pelikan yang saya baca pada satu ketika dahulu yang bertajuk Whose Bible Is It?[7] Apabila kita terjumpa penulisan yang membicarakan penulis yang sama yang pernah kita baca, walaupun buku yang berbeza, membuatkan kita mempunyai satu rasa keterikatan. Juga timbul perasaan bahawa sebenarnya dunia ini kecil dan kita punya banyak persamaan. Sofiya juga menekankan bahawa tugas universiti bukan sekadar menghasilkan ilmu. Tetapi juga yang penting adalah memastikan ilmu yang dihasilkan itu bermanfaat untuk masyarakat.[8]
Pengalaman pertama membaca tulisan Azhar Ibrahim Alwee
Sebelum membaca buku Mahasiswa & Universiti ini, saya pernah mendengar nama Azhar Ibrahim melalui wacana-wacananya dan juga pernah melihat buku-buku yang dikarangnya. Namun saya belum pernah membaca karangannya sendiri secara teliti. Artikel dalam buku ini merupakan karangan pertamanya yang saya baca. Saya merasakan tulisan beliau sangat tidak menarik dalam buku ini. Terutamanya dari segi struktur, kerana setiap gagasannya tidak diolah dengan baik dan mendalam, sebaliknya disenaraikan dalam bentuk poin-poin yang sangat membosankan dan mengecewakan. Ia umpama kumpulan isi-isi, fakta-fakta buku teks yang tidak berjiwa dan benyawa. Selain Azhar, saya mendapati, esei tulisan Ahalla Tsauro juga sangat susah dibaca disebabkan gaya penulisan bahasa beliau.[9] Namun mungkin yang lebih penting untuk kita bahas dan perhatikan adalah isi penulisannya.
Ada isi yang dibawakan oleh Azhar Ibrahim yang saya kira merupakan satu perenungan yang wajar diberi perhatian oleh pihak universiti. Seperti permasalahan perkaitan industri dan akademik, yang seolah-olah menyempitkan ruang ilmu.[10] Ilmu yang tidak dapat digunakan untuk menggandakan keuntungan industri tidak diberi keutamaan, lebih malang, ia kadang dianggap sebagai ilmu yang tidak berguna. Menurut Azhar Ibrahim, kita tidak seharusnya pasrah akan hal ini. Kita tidak wajar menerimanya tanpa soal, ia bukanlah satu ketetapan, tetapi merupakan sesuatu yang boleh kita ubah.
Azhar juga ada memetik kata-kata sarjana kegemaran saya iaitu Howard Zinn. Buku Zinn merupakan buku yang paling awal yang saya baca yang memasukkan tema perjuangan kelas bawahan dalam penulisan sejarah. Zinn mengubah pandangan saya perihal sejarah, sejarah bukan hanya patut berlegar dalam kelompok elit, tetapi membawa suara-suara golongan yang tertindas.[11] Azhar memetik kata-kata Zinn:
“A truly free university would not celebrate obedience, for obedience is what has enabled governments to send young men by millions to die in war. It would celebrate resistance and disobedience..” [12]
Ya, kata-kata Zinn ini ada benarnya. Namun saya kira Zinn memberi contoh yang spesifik, iaitu kerajaan yang bertindak kejam dan menghantar anak-anak muda untuk mati di medan perang. Oleh itu “ketaatan” yang patut ditinggalkan oleh universiti adalah pada polisi-polisi yang destruktif. Namun pada hal-hal kebaikan, ketaatan bukanlah satu masalah. Kerana bagi saya, ketaatan adalah perkara asas kepada kerjasama manusia dalam membina organisasi dan hiraki yang kompleks. Universiti sendiri sebagai contoh, tidak mampu wujud jika semua warganya tidak taat dan masing-masing bergaduh untuk memenangkan idea-idea mereka sendiri. Ia perlu kepada toleransi, persefahaman dan ketaatan dalam menggerakkan satu idea secara bersama. Dalam hal ini, menjadi taat bukanlah sinonim menjadi “tidak kritis”, tetapi adalah satu cara untuk kita menggerakkan apa yang kita rasa baik dalam masyarakat.
Saya juga meminati idea Azhar Ibrahim bahawa gerakan aktivis mahasiswa patut menjadi gerakan budaya (gerakan kultural), bukan cenderung menjadi gerakan politik yang mencari kuasa.[13] Kerana saya melihat banyak aktivis-aktivis gerakan mahasiswa yang memasuki arena politik terus membuang idealisme yang sebelum ini mereka perjuangkan. Ia dijustifikasikan dengan pelbagai istilah seperti realpolitik, seni siasah, dan lain-lain. Contohnya selepas Pilihanraya Negeri 2023, ada ahli politik bekas aktivis mahasiswa menyatakan bahawa peruntukan perlu diberikan secara selektif hanya kepada kawasan-kawasan yang memberi undi sokongan pada mereka dan mengabaikan wakil rakyat lawan yang memenangi undi.[14] Perkara ini jelas berlawanan dengan idealisme dan kita melihat bagaimana gerakan yang mempunyai motif politik akhirnya mereput menjadi apparatus kepada politik bobrok. Namun tidaklah kita beranggapan bahawa politik itu kotor, politik itu sebenarnya neutral, yang kotor adalah bekas aktivis yang membakulsampahkan idealisme mereka sendiri.
Namun ada juga seruan-seruan yang dibawakan Azhar kedengaran terlalu umum. Contohnya untuk menghasilkan budaya dan pemikiran baharu yang lebih sesuai dengan pergerakan zaman dan cabarannya. Saya merasakan seruan seperti ini terlalu umum hingga kadangkala ia dirasakan seperti tidak bermakna. Kata orang putih “the devil is in the details”, tanpa perincian perihal bentuk budaya dan pemikiran yang bagaimana yang hendak dibawa, poin-poin yang disenaraikan ini seperti sekadar mahu menambah bilangan huruf dalam karangan yang akhirnya menjadi slogan kosong.
Azhar Ibrahim turut mengkritik aktivis yang baginya “menderu semboyan Islam” sedang diagnosis tentang masalah masyarakat tidak pernah dirungkai.[15] Tulisan seperti ini juga terlalu umum dan tidak dibuktikan, sekadar pernyataan sahaja. Hakikatnya jika kita melihat masyarakat Malaysia, banyak perubahan yang telah lahir yang semuanya bermula dengan seruan untuk kembali kepada Islam. Hal ini dilihat dalam segenap segi masyarakat, perubahan digerakkan oleh gerakan Islam yang pelbagai. Ada yang melakukan islah dalam pendidikan, ekonomi, sosial, politik dan lain-lain. Semua ini mudah diketepikan jika kita mengambil penulisan yang simplistik dan umum. Kita ambil contoh paling ringkas sahaja iaitu institusi zakat, hari ini kita melihat institusi zakat banyak membantu golongan yang terkebelakang dalam bidang ekonomi melalui bantuan biasiswa pendidikan, bantuan makanan asas, juga modal bagi memulakan perniagaan.[16] Ini baru satu contoh yang kita bicarakan, belum lagi beratus-ratus sekolah yang didirikan oleh gerakan Islam bagi menaik taraf pendidikan masyarakat. Jadi apa sebenarnya diagnosis yang Azhar Ibrahim tawarkan? Apakah pula sumbangan material dan praktis yang pernah gerakannya berikan pada masyarakat? Adakah ia hanya terhenti pada wacana dan penulisan?
Selain itu, bagi Azhar Ibrahim, epistemologi Islam dan sistem Islam adalah pemikiran yang rancu dan menggagalkan kejernihan fikir.[17] Hal ini agak ironik, kerana dalam naskah yang sama, banyak penulis-penulis lain membawakan gagasan fikir epistemologi Islam. Contohnya Sofiya Tamizi yang memetik epistemologi Islam dari pemikiran Siddiq Fadzil yang mengatakan bahawa maksud ilmu adalah al-haqaiq, di mana bagi ilmuan tulen, menemui kebenaran adalah kepuasan paling berharga.[18] Tetapi untuk berlaku adil, saya merasakan setiap penulis itu perlu difahami dengan tulisannya yang tersendiri, dan tidak boleh dicampurkan dengan penulisan penulis lain walaupun penulisan mereka dikumpul dalam naskah yang sama. Persis apa yang sering dikatakan oleh Bart Ehrman perihal Kitab Perjanjian Baru yang merupakan antologi penulisan oleh banyak penulis.[19] Bagi saya, sekali lagi, kenyataan Azhar ini hanya kenyataan kosong, tidak diberikan bukti atau diterangkan bagaimana kajian perihal epistemologi Islam itu membuatkan pemikiran menjadi rancu dalam membaiki masalah masyarakat.
Mungkin antara solusi dan cadangan yang dapat saya tangkap melalui esei Azhar Ibrahim adalah dengan membangunkan masyarakat dan manusia yang demokratik, beliau menyentuh bagaimana demokrasi seharusnya dikembangkan melalui bidang pendidikan.[20] Perkaitan antara demokrasi dan pendidikan ini bukanlah sesuatu yang baharu. Dalam makalah ini misalnya, Sofiya Tamizi juga ada memetik bahawa dalam memasyarakatkan universiti, budaya pendemokrasian ilmu perlu dibudayakan.[21] Saya sendiri ada menulis perihal bagaimana intelektual itu sendiri perlu didemokrasikan, atau dalam kata lain, masyarakat dibenarkan berfikir sendiri dan bukan hanya menerima dan menyerap apa yang diperturunkan kepada mereka dari pakar-pakar dan intelektual yang ada.[22] Tetapi saya berpandangan, ada masalah-masalah dalam masyarakat yang tidak dapat diselesaikan oleh sistem demokrasi, demokrasi bukan the cure for all. Sesetengah orang, saya fikir, mereka malas berfikir, bagi setiap masalah, bagi mereka penyelesaiannya adalah lebih banyak demokrasi. Hal ini ada diperbahaskan oleh Fareed Zakaria, malah beliau menyatakan bahawa perlunya pengurangan demokrasi dalam menyelesaikan masalah demokrasi.[23] Contoh yang paling mudah adalah institusi mahkamah, ia bukan institusi yang demokratik. tetapi dalam masyarakat ia berfungsi dengan lebih baik, malah ia lebih dihormati berbanding institusi demokratik seperti parlimen. Pembukaan sesuatu masalah kepada solusi demokratik harus dilakukan dengan berhati-hati kerana tidak semua suara majoriti adalah suara yang rasional. Sistem demokratik juga terdedah dengan pelbagai masalah seperti populisma yang boleh membawa kepada pereputan sistem politik.[24]
Wajarkah masalah keilmuan dibebankan pada pensyarah sahaja?
Benar, semuanya benar. Saya kira memang benar dan wajar kita mengkritik pensyarah yang sekadar mengejar key performance indicator (KPI) tanpa mereka membangunkan keilmuan sebenar dalam pelajar dan masyarakatnya. Seperti yang ditulis oleh Hanapi Jamaludin.[25] Contohnya kegilaan mengejar penerbitan kertas untuk naik pangkat tanpa ada sumbangan yang benar. Namun, saya merasakan kritikan seperti ini sudah terlalu banyak sampai saya merasakan ia sebenarnya menjadi seolah satu escapism bagi orang lain. Adakah semua masalah keilmuan dikalangan mahasiswa dan masyarakat harus dipikul oleh pensyarah? Tidakkah orang-orang dalam industri juga harus ada tanggungjawabnya? Mereka juga saban hari bekerja mengejar KPI, kenapa hanya pensyarah yang sering menjadi punching bag?
Saya juga mempunyai pensyarah dan kadang kala saya kasihan melihat mereka. Sudahlah mereka mengajar mahasiswa-mahasiswa yang kebanyakannya sukar diajar kerana tiada sikap mandiri, kemudian mereka perlu menyelesaikan tugas hakiki, kemudian jika mahasiswanya tiada kerja dia pula perlu bekerja “memasarkan graduan”, kemudian jika masyarakat tidak berfikiran kritis mereka juga dipersalahkan kerana kononnya ilmu yang mereka ajar tidak “membebaskan” dan “berfikiran tinggi”. Namun dalam masa yang sama saya kasihan melihat mereka perlu menanda beratus-ratus kertas pelajar dalam satu semester, kadang tidak tidur dan tidak bercuti.
Benar, semuanya benar. Saya kira mereka wajar dikritik, namun saya kira kelompongan dalam banyak penulisan yang mengkritik masalah ini adalah penawaran solusi yang praktikal. Banyaknya kritikan yang disulami terma awang-awangan namun tidak dapat di bawa ke medan praxis. Bagi saya, pertama, jika kita mahu pensyarah-pensyarah ini membebaskan orang lain, mereka dahulu perlu dibebaskan. Jika mereka digari dengan tugas yang melebihi tenaga mereka, kita fikir mereka mampu menggalas tugas-tugas lain? Kedua, bagi saya, bukan pensyarah sahaja bertanggungjawab mengkritiskan masyarakat. Kritik harus juga dinyalakan kepada pekerja-pekerja industri, jumlah mereka jauh lebih banyak dari jumlah dua tiga kerat pensyarah. Tenaga dan keupayaan mereka masih terpendam, dan seharusnya kritik harus dihalakan untuk mereka juga menyumbang.
Hanapi juga menyarankan agar “universiti harus dipisahkan daripada dibayangi komoditi industri”. Sekali lagi saya bersetuju. Kerana universiti bukan kilang, tetapi ladang ilmu yang subur. Jadi bagaimana perkara ini dapat diterjemah kepada praktis? Adakah dengan “mengulang-fikir” atau memperbetulkan falsafah pendidikan negara? Bagi saya tidak. Bagi saya, jika kita benar-benar ikhlas mahu perkara ini berlaku, kritiklah pihak media. Apabila ada suara-suara yang mengatakan bahawa universiti tidak melahirkan pekerja industri yang kompeten, jangan dikritik universiti, kerana bukan itu tugas mereka. Tugas mereka adalah menanam ilmu, menjadikan manusia kompeten dalam industri adalah tugas industri. Jangan dipersalahkan universiti jika banyak graduan yang menganggur, kerana mahasiswa tidak harus dibayangi komoditi industri. Sebaliknya salahkanlah industri yang tidak dapat menyediakan pekerjaan yang cukup buat para pekerja baharu (mahasiswa). Sebab jika kita masih sibuk menyalahkan universiti apabila sampai pada bab-bab industri, sebenarnya kitalah yang masih dibayangi komoditi industri, bukan universiti. Hal-hal pengangguran dan pekerjaan ini patut difikirkan oleh industri, manakala universiti perlu fokus menanam ilmu dalam diri pelajar.
Penyahbaratan tetapi masih memeluk sumber kolonial?
Terdapat juga artikel dalam buku ini yang bagi saya terlalu tipikal, tiada banyak penambahan atau perkembangan dari lautan wacana sedia ada, seolah ia mengulang kaji apa yang kita pernah pelajari dari buku teks sekolah. Misalnya artikel tulisan Arif Hakimi Maludin. Walaupun tulisannya banyak menyentuh aspek sejarah Islam, ia tidak disertakan dengan apa-apa rujukan. Menambahkan lagi kesangsian saya bahawa ia adalah gubahan semula bahan dari buku teks sekolah. Contohnya apabila beliau menulis bahawa orang Eropah masuk ke Tanah Melayu kerana keadaan politik tempatan yang tidak menentu.[26] Di peringkat universiti, tulisan seperti ini akan dipersoalkan kesahihannya dan juga diminta bukti rujukannya. Kerana pengkajian sejarah di universiti kini sudah memasuki fasa pasca-kolonial di mana ahli sejarah tempatan tidak mahu lagi melihat sejarah dari sudut pandang penjajah. Naratif bahawa penjajahan masuk ke tanah air kita kerana keadaan politik yang tidak stabil ini ditentang kuat oleh ahli sejarah tempatan. Contohnya Azmi Arifin yang mengatakan bahawa alasan seperti perang saudara, perebutan kuasa, dan anarki di Perak pada tahun 1871-1875 hanyalah alasan imaginatif British untuk menjustifikasikan campur tangan mereka di Perak pada abad ke-19.[27] Oleh itu saya sedikit janggal membaca buku ini yang banyak membawa slogan penyahbaratan tapi di dalamnya terdapat artikel yang masih melihat sejarah dari perspektif penjajah Barat.
Kerancuan pemikiran Ahmad Ubaidillah terutamanya dalam hal feudalisme
Kepeningan dalam proses fikir ini diteruskan dalam artikel tulisan Ahmad Ubaidillah yang mencadangkan beberapa bacaan dari tokoh-tokoh yang dibuat secara selektif, antara tokoh yang dicadangkan beliau adalah Nurcholish Madjid, Shaharuddin Maaruf, dan Syed Hussein Alatas. Dari perspektif sejarah, tulisan ini lebih pincang, kerana ia mengajak kita untuk membebaskan fikir tetapi dalam masa yang sama masih memeluk perspektif kolonial terutamanya dalam menyambung lidah para kolonialis dalam menuduh masyarakat peribumi nusantara sebagai penganut ideologi feudalisme. Walaupun ahli sejarah tempatan telah mengkaji hal ini dan terbukti bahawa feudalisme tidak wujud di nusantara, ia tidak mempunyai asas sejarah. Yang mendakwa bangsa nusantara bersifat feudal ini adalah British, kemudian dakwaan ini diperkokokkan seperti burung kakak tua oleh ahli sosiologi yang tidak mengkaji sejarah dan menerimanya secara bulat-bulat dari penulisan kolonial. Sangat janggal jika kita disuruh bersifat kritis oleh ahli-ahli sosiologi seperti ini tetapi dalam masa yang sama mereka juga mencedok idea-idea busuk kolonial dengan tidak kritikal bagi memburukkan masyarakat peribumi.
Antara ahli sejarah yang pernah mengkaji kewujudan feudalisme di nusantara adalah Cheah Boon Kheng pada tahun 1995. Cheah cuba menelusuri teks sejarah untuk mencari adakah boleh dikatakan wujud feudalisme Melayu dalam sejarah seperti yang didakwa oleh ahli-ahli sosiologi.[28] Dan jika kita membaca tulisan Cheah ini, kita akan dapati yang mencemuh, mengejek, dan mendakwa masyarakat peribumi bersifat feudal ini semuanya datang dari sumber-sumber British seperti Clifford, T.J. Newbold, John Cameron, J.F. McNair, William Maxwell, Isabella Bird, Harry Lake, Winstedt, dan Wilkinson. Dalam kata lain feudalisme Melayu itu timbul apabila orang Eropah terutamanya Inggeris mengaitkan ciri-ciri umum yang ada dalam masyarakat nusantara dengan keadaan feudal dalam masyarakat mereka dahulu. Jika Inggeris tidak datang, dan kaitan ini tidak ditulis, maka ia sama sekali tidak akan wujud. Penyambungan lidah penjajah ini turut dilakukan oleh Fauzi Fadzil apabila beliau mengulang apa yang ditulis oleh Gullick bahawa Malaysia mengamalkan sistem feudal sebelum kedatangan demokrasi.[29] Semuanya mengulang cetak lidah penjajah dari lensa yang tidak kritis.
Feudalisme tidak boleh dikaitkan dengan perkara-perkara umum dalam masyarakat kerana ia adalah satu sistem yang tersendiri. Seperti yang telah dikaji dan ditulis panjang oleh Azmi Arifin. Ia mempunyai takrifan yang spesifik, ciri-ciri, dan garis sempadannya yang tersendiri.[30] Feudalisme itu wujud dengan 4 ciri utama iaitu militerisme, hubungan vassalage, pemberian fief, dan pembahagian kuasa antara pembesar feudal. Ciri-ciri ini tidak wujud di nusantara dalam sejarahnya. Jadi, persoalan yang perlu kita tanya kepada Ahmad Ubaidillah dan penyambung lidah kolonialis bahawa orang Melayu itu bersifat feudal adalah “bagaimana satu bangsa itu boleh dituduh sebagai berfikiran feudal padahal dalam sejarahnya feudalisme itu tidak pernah wujud?”.
Saya merasa sangat janggal apabila Ubaidillah mengatakan dalam sejarah Melayu, ideologi yang memainkan peranan penting adalah feudalisme dan kapitalisme.[31] Dimanakah bukti sejarahnya? Adakah kerana Shaharuddin Maaruf menulisnya, maka tidak perlu lagi kita cari bukti sejarahnya? Jika begitu, tidak perlulah dicanangkan keperluan untuk membentuk pemikiran kritis kerana artikel yang ditulis juga hanya mencedok tanpa sifat kritikal dan tiada usaha dilakukan untuk mengkritik sumber. Contoh yang dipetik juga dalam menjustifikasikan adanya feudalisme juga sangat pelik dan langsung tidak bersejarah. Misalnya dikatakan bahawa feudalisme itu mempengaruhi masyarakat kerana golongan elit yang memilih tokoh-tokoh untuk disanjungi.[32] Apa kena mengena hal ini dengan feudalisme yang mempunyai ciri-ciri spesifik seperti militerisme, fief, vassalage, dan pembahagian kuasa pembesar? Jika kita menyamakan apa sahaja yang kita tidak suka dengan feudalisme. Maka ia tidak lebih dari sekadar istilah pejoratif yang kosong maknanya. Umpama terma “wahabi” yang dilemparkan ke sana sini dikalangan agamawan apabila mereka bertelagah. Terma “wahabi” bagi golongan sosiologi adalah “feudalisme”.
Feudalisme imaginasi kolonial ini kemudian dikatakan telah mempengaruhi agama.[33] Apakah bukti ini berlaku dalam sejarah? Tiada dinyatakan. Yang dikatakan adalah hari ini fahaman agama hanya mengutamakan adat resam dan ritual. Benarkah ini penulisan mahasiswa yang kritis dan objektif? Tidakkah dia melihat tadika dan sekolah Islam yang dibangunkan dalam mendidik anak bangsa? Bank Islam yang diwujudkan dalam memberi alternatif bagi umat? Bantuan-bantuan zakat kepada orang miskin dan asnaf yang memerlukan. Adakah ini semua bukan elemen kemasyarakatan? Atau ini juga merupakan kesan feudalisme?
Ahmad Ubaidillah kemudian memetik ciri-ciri feudalisme yang terkeliru yang digariskan oleh Shaharuddin Maaruf. Antara cirinya adalah taat setia kepada raja. Bagi saya ini bukan feudalisme tetapi monarki. Feudalisme adalah keadaan di mana kuasa mutlak raja telah hilang dan kuasa dibahagikan kepada pembesar.[34] Ciri yang kedua disebut sebagai “masyarakat yang berhierarki”, ciri ini lebih pelik kerana semua masyarakat mempunyai hierarki sama ada formal atau tidak. Masyarakat mana yang tiada hierarki? Kalau kita menggunakan ciri ini, bermaksud semua masyarakat yang wujud adalah feudal kerana semuanya mempunyai hierarki, malah jika kelas tahun 1 di sekolah melantik seorang ketua kelas, mereka juga menjadi feudal kerana mereka mempunyai hierarki. Ketiga, dikatakan feudal apabila keutamaan kepada kisah mukjizat, magis dan khayalan. Maka kalau kita mengikut logik ini, semua masyarakat purba adalah feudal walaupun mereka tidak mempunyai raja dan pembesar, sekali lagi, ciri ini terlalu umum dan membuatkan “feudalisme” itu kosong maknanya. Ciri yang keempat dan kelima yang disebut juga terlalu umum, dan mengarut untuk dikaitkan dengan feudalisme, maka tidak perlulah saya panjangkan. Jika kita memahami feudalisme dalam konteks yang cacamerba seperti ini, maka saya kira feudalisme itu tiada makna spesifik, ia hanya cacian yang dilemparkan pada benda yang tidak kita sukai.
Walaupun Ahmad Ubaidillah mengatakan bahawa beliau menulis dengan “lensa yang kritikal”, saya mendapati bahawa tidak ada apa yang kritikal yang dibawa.[35] Beliau hanya mencedok penulisan oleh Shaharuddin Maaruf dan mengambilnya tanpa rujukan silang atau kritikan sumber. Tiada usaha dilakukan untuk membuktikan dakwaan kosong yang dibuat dengan merujuk sumber-sumber sejarah. Ia sekadar menyambung lidah kolonialis dalam mencerca kaum peribumi sebagai mundur, kolot, dan feudal.
Memperhalusi kritikan terhadap dakwah kampus
Antara artikel yang ditulis dengan kemas dan mudah difahami dalam makalah ini saya kira merupakan penulisan W.N Khuzairey. Saya kira ia satu penulisan yang baik, tersusun, dan mudah difahami. Namun ada beberapa titik kritikannya yang saya tidak persetujui dan ingin saya bahaskan. Khuzairey di bahagian permulaan mengkritik bahan bacaan kelompok dakwah kampus yang berpusatkan tokoh pembaharu Islam yang baginya menolak ilmu Barat dan menolak tulisan Islam klasik.[36] Pertamanya saya merasakan mengelaskan ilmu Barat dan Islam itu sendiri mempunyai paradoksnya. Apa yang didefinisikan sebagai Barat? Konsep Barat yang terpisah dari Timur ini sebenarnya merupakan imaginasi orang Eropah.[37] Sebagai contoh, Roy Casagranda ada menyebut bahawa jika dilihat dalam pensejarahan Barat yang memulakan kisah tamadunnya di Mesir Purba dan Mesopotamia, kedua-dua lokasi ini dari sudut geografinya adalah di Timur.[38] Jadi mungkin apa yang lebih tepat adalah penolakan itu bukanlah terhadap Barat, tetapi fahaman-fahaman yang bertentangan dengan Islam terutamanya yang datang dari Eropah.
Kedua, apabila melihat contoh-contoh yang dibawakan Khuzairey perihal naskah-naskah yang perlu dibaca, beliau mencadangkan misalnya dibaca tulisan Shakib Arsalan, Ashgar Ali, Syed Hussein Alatas, yang kesemuanya bagi saya bukanlah merupakan penulis Islam klasik. Mereka adalah penulis yang saya kira kontemporari. Tapi saya kira poin kedua ini tidaklah terlalu kritikal untuk dibahaskan, kerana mungkin apa yang ditermakan sebagai “klasik” itu relatif.
Khuzairey dalam penulisannya cuba menyamakan dakwah kampus dengan sifat anti-intelektualisme, walaupun mungkin tidak secara eksplisit yang ketara, namun secara implisitnya ia membawa kepada persamaan tersebut. Juga secara implisitnya membawakan pemikiran seperti golongan yang berdakwah di kampus ini tidak berfikir. Beliau membawakan tulisan Hussein Alatas yang menyatakan bahawa semangat berfikir merupakan syarat utama bagi masyarakat mendepani cabaran kini dan masa depan.[39] Saya merasakan adalah menjadi masalah jika kita merasakan bahawa hanya orang-orang di kem ideologi kita sahaja yang berfikir. Bagi saya pemikiran seperti ini sempit dan simplistik. Ia merupakan generalisasi besar yang terlalu umum. Walhal, jika kita melihat kepada tokoh-tokoh yang lahir sepanjang zaman di negara kita, baik dalam bidang pendidikan, sosial, akademik, dan politik, ramai yang merupakan keluaran produk dakwah kampus pada satu ketika dahulu.
Terdapat juga beberapa falasi yang digunakan dalam tulisan Khuzairey. Contohnya ketika beliau memetik tulisan Chandra Muzaffar yang mengatakan bahawa para alim lebih menumpukan persoalan hijab wanita berbanding keperluan pemimpin untuk berlaku amanah.[40] Ini merupakan falasi red herring, menyamakan dua benda yang tidak ada kena mengena antara satu sama lain. Mungkin Chandra tidak suka kepada persoalan hijab, jadi beliau bertanya kenapa tidak bercakap perihal soal amanah? Jika kita mengikut cara ini, kita tidak dapat bercakap perihal apa-apa isu. Contohnya jika kita bercakap tentang isu pendidikan bagi sesuatu kaum yang terpinggir, seseorang boleh datang dan berkata “kenapa kamu berdiam diri tentang isu kelaparan kanak-kanak di Afrika?”. Dengan itu kita tidak dapat berkata apa-apa kerana pasti ada isu lain yang dibangkitkan, hal ini kerana tidak mungkin kita mampu memperjuangkan semua isu. Hakikatnya masa dan tenaga setiap manusia terbatas dan finite. Jika kita mahu memperjuangkan isu sifat amanah pemimpin, maka kita harus memperjuangkannya tanpa perlu menyuruh orang lain diam akan isu lain yang menjadi perhatian mereka.
Selain Khuzairey, Ahalla Tsauro juga ada menulis perihal aktivisme Islam yang saya kira tersasar dari realiti sebenar. Tsauro cuba membawakan naratif bahawa kelahiran gerakan Islam adalah kerana “kegagalan projek modenisasi neoliberal”.[41] Saya kira naratif ini bersifat reduktif dan tidak mengambil kira perkembangan zaman dan sejarah. Ia cuba menyesuaikan satu realiti yang kompleks ke dalam sebuah kotak sempit pemikiran Marxis. Hakikatnya gerakan dan aktivisme Islam adalah produk sejarah, mungkin projek modenisasi neoliberal adalah sebahagian dari faktornya, namun saya merasakan ia bukanlah faktor utama yang melahirkan gerakan ini. Faktor yang lebih besar adalah keruntuhan sistem politik Islam, penjajahan kuasa kolonial dan imperial terhadap tanah-tanah masyarakat Islam serta kemunduran yang datang dengannya.
Isu dan permasalahan kepimpinan pelajar di universiti tempatan
Jika naskah Mahasiswa & Universiti ini mempunyai sumbangan dalam penghasilan analisa tentang isu-isu yang baru dan segar, saya kira ia adalah hasil penulisan Fauzi Fadzil dan Khairunnisa’ Jamal. Bagi saya penulisan yang paling menarik dalam naskah ini adalah penulisan Khairunnisa’, ianya lebih bermutu jika dibandingkan dengan tulisan Azhar Ibrahim. Walaupun rujukan Khairunnisa’ tidak begitu meluas, namun beliau berjaya menghidupkan isu yang hendak dibawa dalam penulisannya, olahan dan hujahnya masuk akal dan diterangkan dengan bahasa yang dapat difahami. Khairunnisa’ juga tidak sibuk menyumbat penulisannya dengan jargonisme untuk kelihatan seperti intelektualisme.
Saya tertarik dengan perbincangan Fauzi Fadzil perihal punca kuasa dan peranan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Ketidakwujudan pengiktirafan terhadap MPP dan pilihanraya kampus (PRK) dalam akta yang digubal kerajaan bagi Fauzi merendahkan status MPP setaraf kelab kompang.[42] PRK juga boleh tidak diadakan jika dikehendaki oleh pentadbiran universiti kerana ia tidak dijamin di dalam akta. Fauzi juga memberikan beberapa cadangan bagi memperkasakan MPP seperti pemanjangan tempoh perkhidmatan dari setahun ke dua tahun juga perlepasan pengajian dan pengurangan jam kredit bagi mereka yang berkhidmat dalam MPP.[43]
Ada juga penulisan Fauzi yang saya kira bercanggah dengan penulisannya sendiri. Contohnya pada satu perenggan beliau mengatakan bahawa idea politik baru tidak pernah dicirikan oleh Saifuddin Abdullah.[44] Namun di perenggan seterusnya beliau menulis bagaimana Saifuddin mengupas idea politik baru.[45] Apabila Fauzi menulis bahawa suara rakyat dinafikan apabila Pakatan Rakyat gagal menubuhkan kerajaan apabila mendapat undi popular, saya merasakan beliau keliru perihal hak dan tidak memahami sistem pilihanraya di Malaysia dengan baik.[46] Sistem kita tidak menggunakan asas undi popular bagi mendirikan kerajaan, tetapi menggunakan kaedah di mana sesuatu blok yang mempunyai sokongan ahli parlimen yang paling ramaindapat membentuk kerajaan. Kesilapan pada perkara asas seperti ini membuatkan penulisannya kelihatan bercelaru.
Khairunnisa’ Jamal pula membawakan persoalan pengaruh parti politik dalam gerakan mahasiswa. Perkara ini membawa kepada krisis identiti, adakah mahasiswa ini menjadi wakil parti untuk berkhidmat bagi mahasiswa atau wakil mahasiswa yang berkhidmat untuk parti? Kekeliruan ini amat bahaya menurut beliau, kerana ia boleh menggagalkan matlamat pergerakan mahasiswa.[47] Kegagalan ini dapat kita lihat apabila mahasiswa ini bergraduasi, kebanyakannya gagal menjadi ejen perubah dalam masyarakat. Khairunnisa’ mempersoalkan kemungkinan ini merupakan kesan dari pengenalan akta seperti AUKU, namun saya merasakan AUKU bukanlah faktor yang dominan dan utama.[48]
Beliau turut mempersoalkan pemilihan ideologi politik dalam kalangan aktivis yang sesetengahnya menurutnya tidak sesuai di bawa di peringkat mahasiswa.[49] Saya sangat bersetuju akan hal ini, inilah yang saya sebutkan dalam Lalang di Lautan Ideologi, bahawa kita patutnya memilih kebenaran melebihi kecenderungan ideologi.[50] Hal ini menjadi lebih penting bagi mahasiswa yang sepatutnya bersifat objektif kerana mereka adalah pencari ilmu, ilmu perlu dinilai dengan merit kebenaran, bukan merit ideologi. Saya juga bersetuju dengan pandangan Khairunnisa’ bahawa meletakkan identiti parti sebagai identiti gerakan mahasiswa adalah mengarut.[51]
Penutup
Dalam tulisan ini, saya telah mengkritik dan membahaskan dengan panjang tulisan-tulisan di dalam buku Mahasiswa & Universiti. Maka di bahagian penutup ini, saya ingin mengutarakan pandangan saya sendiri perihal persoalan mahasiswa dan universiti. Pertamanya perihal pengasingan mahasiswa sebagai kelas tersendiri seperti yang ditulis oleh Khairunnisa’ Jamal. Mahasiswa berada dalam kelas tersendiri menurut beliau kerana mereka lebih mudah mendapat akses kepada ilmu juga mempunyai bimbingan dari cendiakawan akademik.[52] Saya merasakan pengasingan mahasiswa sebagai kelas tersendiri dari masyarakat adalah perbuatan syok sendiri. Pertama, kerana akses pada ilmu dan ahli akademik di zaman teknologi ini sudah tidak dapat dipagari hanya di dalam kampus. Sesiapa sahaja boleh belajar tentang apa sahaja yang dia mahukan. Kedua, saya merasakan universiti itu sendiri adalah produk masyarakat, ia dibangunkan oleh masyarakat dan dibiyai oleh masyarakat. Berada di dalam universiti tidak bermaksud seseorang itu terpisah dari masyarakat, hakikatnya universiti itu sendiri adalah satu komponen dalam masyarakat.
Kemudian, saya ingin memberikan pandangan saya perihal idealisme mahasiswa. Saya merasakan idealisme tidak mampu mengubah apa-apa. Idealisme mirip dengan apa yang dikatakan oleh Marx perihal sejarah. Ia tidak mempunyai pemilikan, tidak boleh melawan apa-apa, tetapi manusia, manusia sebenar yang hidup, merekalah yang memiliki dan mampu melawan.[53] Dan idealisme seorang manusia sahaja tidak dapat mengubah keadaan, ia memerlukan gerakan yang tersusun. Sebab itu saya tidak merasakan bahawa solusi untuk menyelesaikan masalah masyarakat adalah hanya dengan mengadakan lebih banyak wacana kritis, tetapi jika seseorang itu serius perihal perubahan yang hendak dia laksanakan, maka dia harus berorganisasi. Sebuah organisasi tidak dapat dijayakan tanpa kesatuan. Ibnu Khaldun pernah menulis perihal apa yang menyatukan manusia. Bukan. Yang menyatukan manusia bukan idealisme. Tetapi yang menyatukan manusia adalah perkongsian pengalaman sosial, persahabatan yang bertaut sekian lama, membesar dan mendewasa bersama, juga perkongsian keadaan kehidupan dan kematian bersama.[54] Dalam kata lain, yang lebih penting dari idealisme dalam mengubah masyarakat adalah teman-teman seperjuangan yang berkongsi hidup dan pengalaman dengan kita. Organisasi yang didirikan mestilah bernafas panjang, bukan terhenti dalam suasana kampus yang singkat. Jika ini tidak dilakukan, wacana-wacana ini, yang hanya melahirkan wacana-wacana juga selepasnya, hanyalah pengumpulan idea-idea yang disalin di dalam kertas. Dan kertas-kertas yang tidak mengubah masyarakat sebenarnya adalah hasil daripada satu idealisme yang sia-sia.
Bibliografi
Ayman Rashdan Wong. 2021. Politik Untuk Pemula. Patriots Publishing.
Azmi Arifin. 2006. ” Konsep feudalisme: Takrif, Ciri-ciri dan garis sempadan.” Jebat 33, 45-72.
Azmi Arifin. 2012. “Perak Disturbances 1871-75: British Colonialism, The Chinese Secret Societies And The Malay Rulers.” Jebat 39, no. 1 51.
Cheah Boon Kheng. 1995. “Feudalisme Melayu: Ciri-Ciri Dan Pensejarahannya.” In Isu-Isu Pensejarahan (Esei Penghargaan Kepada Dr R. Suntharalingam), by Cheah Boon Kheng and Abu Talib Ahmad, 1-24. Pulau Pinang: Penerbit USM.
Ehrman, Bart D. 2007. Misquoting Jesus: The Story Behind Who Changed the Bible and Why. HarperOne.
Hobsbawm, Eric, interview by Christopher Hitchens. 2003. Eric Hobsbawm talks to Christopher Hitchens at Hay Festival 2003 (May 25).
Ibn Khaldun, Franz Rosenthal (Translator), N. J. Dawood (Editor), and Bruce B. Lawrence (Introduction). 2015. The Muqaddimah: An Introduction to History, The Classic Islamic History of the World. Princeton Classics.
Lembaga Zakat Selangor (MAIS). 2020. “Laporan Pengurusan Zakat Selangor .”
Pelikan, Jaroslav. 2006. Whose Bible Is It? A Short History of the Scriptures. Penguin Books.
Sheldrake, Rupert. 1993. “The Most Heretical Scientist of Our Time.” BBC. https://www.youtube.com/watch?v=KonRvVqLdfs.
—. 2013. The Science Delusion. London: Coronet.
Syed Ahmad Fathi. 2018. “A review on Howard Zinn’s People’s History of The United States.” The Independent Insight.
—. 2023. “Catatan Pra & Pasca Pilihanraya Negeri 2023.” Independent Insight. August 19. Accessed September 3, 2023. https://theindependentinsight.com/2023/08/19/catatan-pra-pasca-pilihanraya-negeri-2023/.
—. 2023. “Historiografi Astronomi: Paradoks Dalam Pensejarahan Tamadun Barat.” Academia Book Review.
—. 2022. Lalang di Lautan Ideologi. Cukong Press.
Syed Ahmad Fathi. 2023. “Pemikiran Sejarah Edward Carr.” Nota Pemikir Sejarah.
Usaid Asmadi, Ilham Nordin, Nazurah Mansor, and Nurfathihah Hafiz Chan. 2023. Mahasiswa & Universiti. Nilai, Negeri Sembilan: Garaj Buku.
Zakaria, Fareed. 2004. The Future of Freedom: Illiberal Democracy at Home and Abroad. W. W. Norton & Company.
[1] Eric Hobsbawm talks to Christopher Hitchens. Hay Festival, 2003. Pautan rakaman temuramah: https://www.youtube.com/watch?v=PFTq9pz_hFM&t=1s
[2] Usaid Asmadi, Ilham Nordin, Nazurah Mansor, and Nurfathihah Hafiz Chan. Mahasiswa & Universiti. The Garaj Buku, 2023. Hlm. 17.
[3] “A new era, in which science could be liberated from the restrictions imposed by institutional conformity” Rupert Sheldrake in the documentary titled Rupert Sheldrake: The Most Heretical Scientist of Our Time. BBC, 1993.
[4] Rupert Sheldrake. The Science Delusion. Coronet, 2013.
[5] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 54.
[6] Ibid., Hlm. 57.
[7] Jaroslav Pelikan. Whose Bible Is It? A Short History of the Scriptures. Penguin Books, 2006.
[8] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 61.
[9] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 181.
[10] Ibid., Hlm. 25.
[11] Syed Ahmad Fathi. “A Review on Howard Zinn’s People’s History of The United States.” The Independent Insight, 2018.
[12] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 34.
[13] Ibid., Hlm. 38.
[14] Syed Ahmad Fathi. Catatan Pra & Pasca Pilihanraya Negeri 2023. Independent Insight, 19 Ogos 2023. Pautan: https://theindependentinsight.com/2023/08/19/catatan-pra-pasca-pilihanraya-negeri-2023/
[15] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 32.
[16] Laporan Pengurusan Zakat Selangor 2020. Pautan: https://www.zakatselangor.com.my/wp-content/uploads/2022/07/LZS-Report-2020-FINAL.pdf
[17] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 37.
[18] Ibid., Hlm. 64.
[19] Bart D. Ehrman. Misquoting Jesus: TheStory Behind Who Changed the Bible and Why. Harper One, 2007.
[20] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 42.
[21] Ibid., Hlm. 66.
[22] Syed Ahmad Fathi. Lalang di Lautan Ideologi. Cukong Press, 2022.
[23] Fareed Zakaria. The Future of Freedom: Illiberal Democracy at Home and Abroad. W. W. Norton & Company, 2004.
[24] Ayman Rashdan Wong. Politik Untuk Pemula. Patriots Publishing, 2021.
[25] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 83.
[26] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 98.
[27] Arifin, Azmi. “Perak Disturbances 1871-75: British Colonialism, The Chinese Secret Societies And The Malay Rulers.” Jebat 39, no. 1 (2012): 51.
[28] Cheah Boon Kheng. (1995). Feudalisme Melayu: Ciri-Ciri Dan Pensejarahannya. In Cheah Boon Kheng, & Abu Talib Ahmad, Isu-Isu Pensejarahan (Esei Penghargaan Kepada Dr R. Suntharalingam) (pp. 1-24). Pulau Pinang: Penerbit USM.
[29] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 202.
[30] Azmi Arifin. “Konsep feudalisme: Takrif, Ciri-ciri dan garis sempadan.” Jebat 33 (2006): 45-72.
[31] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 118.
[32] Ibid., Hlm. 119.
[33] Ibid., Hlm. 123.
[34] Azmi Arifin. “Konsep feudalisme: Takrif, Ciri-ciri dan garis sempadan.”
[35] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 126.
[36] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 158.
[37] Syed Ahmad Fathi. “Historiografi Astronomi: Paradoks Dalam Pensejarahan Tamadun Barat.” Academia Book Review, 2023.
[38] Ibid.
[39] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 162.
[40] Ibid., Hlm. 168.
[41] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 181.
[42] Ibid., Hlm. 204.
[43] Ibid., Hlm. 211.
[44] Ibid., Hlm. 244.
[45] Ibid., Hlm. 246.
[46] Ibid., Hlm. 247.
[47] Ibid., Hlm. 234.
[48] Ibid., Hlm. 222.
[49] Ibid., Hlm. 224.
[50] Syed Ahmad Fathi. Lalang di Lautan Ideologi. Cukong Press, 2022.
[51] Mahasiswa & Universiti. Hlm. 225.
[52] Ibid., Hlm. 236.
[53] Syed Ahmad Fathi. “Pemikiran Sejarah Edward Carr.” Nota Pemikir Sejarah, 2023.
[54] Ibnu Khaldun. The Muqaddimah: An Induction to History. Princeton, 2015. Hlm. 148.
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di lautan Ideologi (2022) and Dua Sayap Ilmu (2023). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.