The Independent Insight

Giving truth a voice

  • Email
  • Facebook
  • Flickr
  • Instagram
  • Phone
  • Twitter
  • Vimeo
  • YouTube
  • Berita
  • Politik
  • Ekonomi
  • Teknologi
  • Reviu
    • Reviu Buku
    • Reviu Filem
    • Reviu Muzik
  • Rencana
  • Podcast
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami

Perbahasan Falsafah dan Perspektif Nusantara Dalam Anime Attack on Titan

December 11, 2022 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Attack on Titan asalnya merupakan siri manga Jepun yang ditulis dan dilukis oleh Hajime Isayama. Kisah ini berlatarkan dunia di mana manusia hidup dan berlindung disebalik dinding daripada serangan humanoid gergasi yang digelar Titan yang memakan manusia. Kisah ini berkisar tentang kehidupan Eren Yeager yang bertekad menghapuskan semua Titan setelah melihat dengan mata kepalanya sendiri bagaimana ibunya mati dimakan oleh Titan dengan begitu tragis dan sadis. Dalam perjuangan Eren untuk menghapuskan Titan ini beliau akhirnya berjaya melihat dunia dengan lensa yang lebih besar, plot anime ini bukan sahaja membahaskan perihal perjuangan survival manusia, ia juga mengetengahkan pelbagai sudut falsafah lain termasuklah falsafah politik, hubungan manusia, juga sistem sosial. Siri anime yang diadaptasi dari manga ini diterbitkan oleh Wit Studio dan MAPPA.

Terdapat penulis yang melihat latar politik yang digambarkan dalam anime Attack on Titan mirip kepada teori falsafah politik yang dibawa oleh ahli falsafah Nazi iaitu Carl Schmitt. Menurut Schmitt ketidaksamaan dalam masyarakat, konflik dan penindasan adalah perkara biasa dalam sesuatu politi. Apa yang diperlukan bukanlah untuk mengubah perkara ini yang merupakan lumrah kehidupan manusia, sebaliknya mengalihkan pandangan dalam masyarakat terhadap musuh yang sama untuk mengelakkan konflik sivil dalaman. Walaupun falsafah politik Schmitt dikatakan digunakan sebagai latar anime ini, temanya tidaklah mempromosikan Nazi atau Fasisma, sebaliknya ia cuba mempamerkan manusia dengan sifat-sifatnya, yang baik dan yang buruk.

Anime boleh dikategorikan sebagai satu seni visual yang sangat popular di Jepun. Anime (animasi Jepun) mempunyai sejarah dan perkaitan rapat dengan manga (komik Jepun). Penggunaan seni visual sebagai kaedah penceritaan boleh ditelusuri semenjak zaman pramoden Jepun iaitu sebelum tahun 1600 lagi. Perkembangan ini tidak sama dengan perkembangan di Nusantara. Komik Melayu cuma boleh dirujuk bermula seawal tahun 1950.

Antara kefahaman yang salah dalam masyarakat adalah anime merupakan satu bentuk hiburan kepada kanak-kanak. Sebaliknya kajian mengatakan bahawa ia bukan terhad kepada hiburan kanak-kanak, ia juga digunakan oleh pelajar sekolah dan universiti untuk mempelajari teori dan sejarah yang kompleks, malah terdapat banyak anime yang berbentuk serius dan spesifik merangkumi genre pembelajaran, maklumat, politik, perniagaan, dan sebagainya. Penggunaan seni visual Jepun tidak terhad kepada masyarakat umum sahaja. Ketika pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1942-1945, pelbagai jenis lukisan, imej, foto, yang digunakan Jepun sebagai propaganda kepada penduduk tempatan untuk menyokong Imperial Jepun serta membenci musuh mereka iaitu British dan Amerika Syarikat. Bagi tujuan propaganda, pihak imperial Jepun mempunyai jabatan propaganda khas yang dipanggil Senden-Bu. Selain kartunis Jepun, imej propaganda ada juga dihasilkan oleh kartunis tempatan, antaranya Abdullah Arif dari Pulau Pinang yang melukis ilustrasi perayaan “Tentyo Setsu di Syonan” ia menggambarkan sokongan orang Melayu dalam sambutan hari lahir Maharaja Hirohito. Di sini dapat kita fahami bahawa anime sebagai satu seni visual bukan sahaja berperanan sebagai hiburan, ia malah boleh digunakan sebagai bahan pendidikan hinggalah kepada alat bagi propaganda.

Perkaitan antara anime dan falsafah bukanlah satu perkara yang baru. Hitoshi Ogawa ada menulis perihal konsep anime philosophy. Menurut beliau falsafah mempunyai makna yang lebih luas, ia bukannya satu proses untuk memahami karya klasik berat. Sebaliknya falsafah menurut beliau adalah pencarian makna melalui proses berfikir. Malah menurut beliau sebahagian anime lebih banyak unsur falsafah dari sebahagian buku falsafah tradisional. Beliau memberikan contoh bagaimana anime yang dihasilkan oleh Miyazaki Hayao, yang merupakan salah seorang pengasas Studio Ghibli, membuatkan manusia berfikir dengan fikiran yang dalam perihal maksud-maksud karyanya. Bagi Ogawa, anime adalah sumber yang baik bagi falsafah.

Terdapat tiga metodologi yang kita boleh gunakan untuk mengaitkan anime dengan falsafah menurut Ogawa. Pertama, kita membahaskan kesuluruhan anime (sebagai satu bidang animasi) dari sudut falsafah. Contoh kepada cara yang pertama ini adalah pertanyaan “apakah itu anime?”. Kedua, kita memilih satu anime yang spesifik dan memperbahaskan falsafah di dalamnya. Contohnya kita bertanyakan “apakah yang dimaksudkan oleh cerita ini?”. Yang ketiga adalah berfalsafah dalam kerja-kerja penghasilan anime. Kertas kajian ini memilih metodologi yang kedua, iaitu memilih satu anime yang spesifik iaitu Attack on Titan, kemudian cuba berfikir untuk memahami maksud-maksudnya melalui pemikiran.

Falsafah dalam bahasa Yunani disebut sebagai philosophy membawa erti kecintaan kepada kebijaksanaan (love of wisdom), dalam bahasa Arab disebut sebagai falsafa. Ia merangkumi subjek dan metodologi yang luas termasuk upaya manusia untuk cuba memahami realiti, sifat-sifat manusia, sifat ketuhanan dan pelbagai bidang lagi. Metodologi falsafah termasuklah penggunaan hujah rasional dan penyiasatan, juga penggunaan kapasiti intelektual dalam pencarian kebenaran dalam ruang lingkup alam sekitar, metafizik dan etika.

Pada thesis yang ke-11 di dalam Theses on Feuerbach Karl Marx menulis “Die Philosophen haben die Welt nur verschieden interpretiert; es kommt aber darauf an, sie zu verändern” yang bermaksud bahawa ahli falsafah hanya mentafsir dunia dalam pelbagai cara, namun, apa yang perlu dilakukan adalah mengubah dunia, Oleh itu, dari kata-kata Marx ini bolehlah kita fahami bahawa falsafah merupakan tafsiran perihal apa yang ada di dalam dunia ini, apa yang berlaku, mengapa ia berlaku, serta bagaimana ia sepatutnya berlaku. Definisi Marx ini tidak banyak berbeza dengan definisi yang dibawakan oleh Hitoshi Ogawa. Oleh kerana anime wujud secara visual di dalam dunia yang material, kita boleh mengatakan bahawa anime adalah salah satu objek falsafah.

Tafsiran kepada subjek dan objek yang ada diatas muka bumi inilah yang didefinisikan sebagai falsafah. Proses ini tidak semestinya tepat, kerana setiap ahli falsafah, pentafsir, dan penulis mempunyai pemikiran mereka sendiri, mereka dibentuk oleh budaya dan perspektif lingkungan mereka yang kemudiannya mempengaruhi pemikiran mereka. Mereka juga melihat dunia dari zamannya, penulis silam tidak mempunyai kefahaman sejarah seperti yang kita ada pada hari ini. Permasalahan tafsiran yang bergantung pada persekitaran ini menjadi lebih rumit apabila ia melibatkan ketidaksamaan dari sudut kuasa. Terutamanya jika pihak yang menjadi pentafsir mempunyai kekuasaan ke atas golongan yang ditafsir. Dalam bukunya Orientalism, Edward Said menulis:

“Perhaps the most important task of all would be to undertake studies in contemporary alternatives to Orientalism, to ask how one can study other cultures and peoples from a libertarian, or a nonrepressive and nonmanipulative, perspective. But then one would have to rethink the whole complex problem of knowledge and power.”

Dalam perbahasan Orientalism, Edward Said mengkritik sarjana-sarjana Barat dalam tafsiran-tafsiran mereka terhadap budaya, masyarakat, dan peradaban orang-orang Timur. Tafsiran reduktif dan bias ini menurut beliau bermula dari prejudis agama. Prejudis ini kemudian berkekalan dalam penulisan sarjana terkemudian dengan dalil-dalil yang lebih sekular dan moden.

Oleh itu, maksud falsafah dalam konteks kajian ini adalah tafsiran-tafsiran yang dibuat ke atas tema, persoalan, dan dialog yang ada dalam anime Attack on Titan seperti definisi Marx yang menyatakan falsafah sebagai tafsiran kepada dunia. Juga falsafah menurut apa yang diutarakan oleh Hitoshi Ogawa, iaitu pencarian makna melalui proses berfikir. Tafsiran ini dibuat berdasarkan metodologi Ogawa yang kedua, apabila tafsiran dibuat, ia akan mewujudkan falsafah disekeliling anime ini. Namun dalam masa yang sama, tafsiran yang dibuat cuba untuk dilakukan dengan objektif tanpa sebarang bias dan prejudis. Antara falsafah yang dibincangkan termasuklah sifat semulajadi manusia, falsafah kelangsungan hidup, pemikiran Machiavelli, orientalisma, rasisma, falsafah ilmu, dan falsafah kebebasan.

Dalam episod ke-5 musim pertama yang bertajuk First Battle: Battle of Trost District, Part 1, kita dikejutkan dengan apa yang dilihat sebagai seolah-olah kematian watak utama, Eren Yeager apabila beliau menyelamatkan rakannya Armin Arlelt dari dimakan Titan. Kita melihat bagaimana sebelum Eren ditelan, beliau teringat akan impian-impiannya, mengapa beliau masih belum boleh mati, iaitu kerana beliau masih belum memahami dunia dan masih belum sempat meneroka dunia luar disebalik dinding-dinding yang melindungi mereka dari Titan. Bagi Eren, hidup aman tetapi terpuruk dan tersembunyi merupakan sifat lemah seperti binatang ternakan dan tidak cocok dengan sifat semulajadi manusia.

Pemikiran Eren ini dipersetujui oleh falsafah yang dikemukakan oleh Carl Sagan yang merupakan seorang astronomer terkenal. Dalam bab permulaan di dalam bukunya Pale Blue Dot, Sagan menyifatkan bahawa manusia mempunyai sifat semulajadi sebagai wanderer ataupun pengembara. Beliau menulis:

“We were wanderers from the beginning. We knew every strand of tree for a hundred miles. When the fruits or nuts were ripe, we were there. We followed the herds in their annual migrations.”

Sifat ini yang menyebabkan manusia meneroka alam ini, hampir setiap pelusuk bumi, di lautan paling dalam, kutub paling sejuk, padang pasir paling kering dan berbahaya, hutan belantara, semuanya diteroka manusia yang akhirnya hidup di seluruh benua yang ada di bumi ini. Sagan yakin bahawa manusia akan meneroka angkasa lepas di masa depan, malah beliau yakin bahawa masa depan kemanusiaan adalah di angkasa lepas, kerana bumi ini bakal menemui kehancuran. Beliau menulis bahawa “the human future lies far beyond the Earth”.

Oleh itu perasaan Eren untuk meneroka dunia, sebuah impian yang dikongsi bersama sahabatnya, Armin Arlert, merupakan naluri semulajadi manusia yang ingin meneroka dan menjadi wanderer. Mirip kepada sifat manusia seperti yang diutarakan oleh Carl Sagan.

Walaupun kita melihat karakter Eren dan tulisan Sagan yang membawakan naratif bahawa sifat ingin meneroka ini merupakan sifat semulajadi manusia. Dalam perbahasan falsafah, sifat semulajadi manusia, atau apa yang sering disebut sebagai human nature merupakan satu perbahasan yang panjang malah berterusan sehingga ke hari ini. Malah sebahagian pemikir terutamanya dalam kem evolutionary biologist menolak kewujudan apa yang dipanggil sebagai human nature. Yuval Noah Harari misalnya berhujah bahawa apa sahaja yang boleh dilakukan manusia adalah bersifat semulajadi menurut alam. Beliau menulis bahawa “whatever is possible is by definition also natural”. Pada pandangan beliau sekatan terhadap sesuatu kelakuan adalah disebabkan budaya, bukan biologi. Beliau pergi lebih jauh bahawa pemahaman apa itu “semulajadi” dan “bukan semulajadi” yang ada dalam masyarakat datang dari teologi bukan biologi. Dari sudut pemikiran rasional, hujah ini membuka ruang untuk manusia melakukan apa sahaja, sekalipun jenayah, kerana apa yang boleh dilakukan adalah bersifat semulajadi, oleh itu kita tidak mempunyai sebarang limitasi. Oleh itu, adakah kita boleh katakan bahawa apa yang dilakukan oleh Hitler dan Nazi adalah semulajadi dari sudut biologi kerana ia boleh dilakukan?

Penolakan terhadap wujudnya apa yang disebut sebagai human nature ini adalah hasil dari pemikiran yang materialist dan naturalist, yang menolak hujah-hujah metafizikal. Pemikiran ini sebenarnya telah lama dikritik oleh David Hume yang dianggap sebagai seorang ahli falsafah Inggeris yang paling penting menurut Stanford Encyclopedia of Philosophy. Dalam A treatise of human nature, beliau menulis:

“That all the sciences have a relation, greater or less, to human nature; and that however wide any of them may seem to run from it, they still return back by one passage or another. Even Mathematics, Natural Philosophy, and Natural Religion, are in some measure dependent on the science of MAN; since they lie under the cognizance of men, and are judged of by their powers and faculties.”

Menurut Hume bukan sahaja human nature itu wujud, malah sains bergantung kepadanya. Kerana untuk memahami sains, manusia perlu menggunakan fakulti-fakulti mereka. Dengan memahami dan menguasai sifat semulajadi manusia menurut Hume, kita dapat menguasai cabang-cabang sains. Pemahaman terhadap sifat manusia, atau apa yang disebut Hume sebagai science of man, merupakan asas yang kukuh untuk memahami sains, kerana akhirnya pemahaman sains bergantung kepada pengalaman dan pemerhatian manusia. Jadi berasaskan hujah Hume ini dapatlah kita katakan bahawa sifat semulajadi manusia itu wujud dan salah satu dari sifat ini adalah kesukaan pada pengembaraan dan penerokaan.

Dari perspektif Nusantara, sifat manusia yang suka pada pengembaraan, penerokaan, dan penghijrahan ini, seperti yang wujud dalam karakter Eren, juga dalam perbincangan Sagan, merupakan asas kepada pembentukan kemanusiaan dan ketamadunan Nusantara. Ahmad Jelani Halimi dalam bukunya Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu ada membincangkan apa yang dikatakan sebagai “teori penghijrahan”. Teori ini berusaha menjelaskan permulaan tamadun Nusantara adalah berasal dari penghijrahan beramai-ramai manusia dari kawasan utara ke Asia Tenggara. Ahli antropologi yang pertama kali mengetengahkan teori ini adalah F. Sarasin dan P.E. Sarasin. Terdapat dua kelompok utama manusia yang berhijrah secara berperingkat. Yang pertama adalah Melayu Proto (sekitar 3000-2500 SM) yang membawa kebudayaan neolitik, kemudian Melayu Deutro (sekitar 1500-300 SM) yang membawa kebudayaan gangsa dan besi. Walaubagaimanapun teori penghijrahan besar-besaran ini ditolak oleh kebanyakan penyelidik terkemudian, mereka berpendapat perpindahan berlaku perlahan-lahan dalam jangka masa ribuan tahun.

Sama ada kita mahu menerima teori penghijrahan besar-besaran atau penghijrahan secara perlahan, kedua-duanya mengiktiraf berlakunya perpindahan dan penerokaan. Inilah sifat wanderer yang ada dalam diri manusia seperti yang diutarakan Carl Sagan dalam bukunya, sifat inilah yang memulakan ketamadunan Nusantara. Sifat ini dapat kita amati melalui karakter Eren Yeager dalam anime Attack on Titan.

Dalam Episod 6 Musim 1 yang bertajuk The World She Saw: Battle of Trost District, Part 2 kita didedahkan akan kisah disebalik diterminasi Mikasa Ackerman yang berjuang untuk kelangsungan hidup, bagaimana ketika kecil ibu dan bapanya dibunuh di depan matanya. Dia diculik sebelum diselamatkan Eren Yeager yang pada ketika itu juga masih kanak-kanak. Dalam babak ini, Eren memberi Mikasa makna kehidupan dalam dunia yang kejam ini, bahawa hukum alam menetapkan bahawa yang yang kuat akan hidup dan menang, persis falsafah yang di bawa oleh Charles Darwin dalam teori evolusinya yang sering diungkapkan dengan terma survival of the fittest.

Oleh itu Mikasa harus membunuh pembunuh ibu bapanya jika dia mahu hidup. Falsafah ini diulang ingat oleh Mikasa semasa Battle of Trost ketika dia sudah hampir berputus asa. Untuk kelangsungan kemanusiaan, Mikasa perlu terus melawan, jika tidak hukum alam menetapkan bahawa Titan yang akan mendominasi, dan  akan duduk lebih tinggi dalam piramid survival makhluk-makhluk.

Survival sebagai falsafah asas telah dibahaskan sekian lama oleh ahli falsafah. Contohnya, di dalam magnum opus tulisan Francis Fukuyama, The End of History and the Last Man beliau membincangkan falsafah sejarah berkenaan dengan kewujudan kelas dan hiraki di antara manusia. Dalam perbahasan ini, Fukuyama membentangkan idea yang diketengahkan oleh ahli falsafah German, Georg Wilhelm Friedrich Hegel iaitu “the Battle of Pure Prestige”. Fukuyama turut membincangkan idea ini yang dibahaskan dengan lebih panjang oleh pentafsir falsafah Hegel iaitu Alexandre Kojeve, seorang ahli falsafah Perancis.

Falsafah Hegel-Kojeve dalam Battle of Pure Prestige mengisahkan dua manusia pertama dalam sejarah kemanusiaan. Manusia pertama bertarung dan mempertaruhkan nyawanya untuk menjadi penguasa, manakala manusia kedua memilih untuk tidak mempertaruhkan nyawanya dan menjadi hamba. Dari pertarungan inilah menurut falsafah Hegel-Kojeve lahirnya keadaan penguasa-hamba, pemerintah-rakyat dan seterusnya membina hiraki dalam sistem sosial manusia.

Idea manusia kedua dalam falsafah Hegel-Kojeve inilah yang sering ditentang Eren dalam anime Attack on Titan, beliau melihat pengunduran manusia disebalik dinding-dinding sebagai sifat yang merendahkan taraf manusia berbanding Titan. Pemikiran Eren ini sedikit sebanyak mempengaruhi sikap survival Mikasa, sementara dalam falsafah Battle of Pure Prestige matlamatnya adalah untuk menjadi penguasa, dalam anime ini sifat survival yang sering dipaparkan dalam diri Mikasa dan juga watak-watak lain adalah untuk manusia menguasai nasib mereka, menguasai masa depan mereka, juga menguasai sifat semulajadi mereka untuk meneroka dunia luar dan tidak dipenjara di sebalik dinding-dinding kota. 

Upaya survival dan perasaan ingin bebas merupakan tema sentral dalam animasi Attack on Titan. Hal ini bukan sahaja dapat dilihat dalam determinasi Mikasa untuk melawan dan terus hidup, ia juga merupakan tema pokok bagi watak utama, Eren yang mewarnai keseluruhan tema anime ini. Malah apabila plot anime ini berterusan, kita diperkenalkan dengan Bangsa Eldia yang ditindas di negara Marley. Malah bangsa Eldia mempunyai gerakan pembebasan mereka sendiri bagi melawan hegemoni Marley yang disebut sebagai Eldian Restorationists.

“The history of the world is none other than the progress of the consciousness of freedom.”

– Georg Wilhelm Friedrich Hegel, The Philosophy of History.

Tema survival dan kebebasan ini tidak lari dari falsafah sejarah seperti yang diketengahkan oleh Hegel dalam karyanya The Philosophy of History. Bagi Hegel, sejarah dunia adalah tidak lain dan tidak bukan merupakan satu perubahan kesedaran manusia akan kebebasan. Dalam kata lain, sejarah merekodkan aktiviti dan peristiwa manusia yang bergolak untuk meraih kebebasan. Dari perspektif Nusantara, kita tidak miskin dari sudut sejarah perjuangan pembebasan. Sebelum pembentukan negara bangsa bermodelkan nasionalisma Eropah, kepulauan Nusantara sudah mempunyai pelbagai rekod bertulis perihal perjuangan pembebasan dari penjajahan dan campur tangan asing.

Antara contoh tokoh pembebasan Nusantara adalah Laksamana Wan Ismail bin Wan Muhammad Long yang merupakan pahlawan Kedah di Kerian dalam Perang Musuh Bisik (1821-1842). [19] Beliau merupakan salah seorang dari ribuan pahlawan yang berjuang untuk membebaskan negeri Kedah dari penaklukan tentera Siam Sukhotai. Perjuangan yang dilakukan secara gerila ini mendapat sokongan dari pelbagai kerajaan Nusantara ketika itu. Daripada contoh ini, dapatlah kita fahami bahawa falsafah survival dan kebebasan bukanlah merupakan satu kefahaman yang asing, malah ia bersifat universal dan dapat kita temui dengan banyak sekali dalam penulisan dan pensejarahan Nusantara.

Dalam kesusasteraan Islam juga falsafah kebebasan sering menjadi tema penulisan. Rumi sebagai contoh merupakan antara sasterawan agung bukan sahaja dalam dunia Islam, malah penulisan beliau berjaya menerobos masuk kedalam dunia kesusasteraan Barat malah masih hidup di era moden ini. Antara puisi beliau yang mempunyai pengaruh falsafah kebebasan yang sangat kuat adalah puisi yang bertajuk A community of the spirit, beliau menulis:

“Close both eyes

To see with the other eye…

Why do you stay in prison

When the door is so wide open?”

– Rumi.

Melalui rangkap puisi ini Rumi melihat mengajak manusia melihat kehidupan dalam kaca mata non-material. Keyakinan manusia sering berakar pada perkara yang boleh dilihat, apa yang dapat dipandang, dipegang, dan dirasai. Namun hidup ini pada Rumi lebih misteri dari sekadar objek fizikal. Hidup manusia turut dicorak dengan emosi dan perasaan, sesuatu yang tidak dapat dibuktikan secara emperikal. Seperti apa yang disebut Hume perihal sifat semulajadi manusia yang menjadi foundasi kepada sains. Oleh itu Rumi menganjurkan manusia untuk mengambil kira perasaan merdeka yang ada dalam diri mereka dengan menutup mata. Bagi Rumi tiada yang dapat memenjarakan manusia secara keseluruhannya melainkan fikiran mereka sendiri. Puisi Rumi ini mengajak manusia membebaskan fikiran mereka, ia adalah puisi berfalsafahkan kebebasan.

Tema pembebasan yang merupakan tema sentral anime Attack on Titan merupakan satu tema yang sangat tepat dari sudut falsafah sejarah dalam menggambarkan konflik dan pergolakan manusia seperti yang diungkapkan oleh Hegel dalam teori falsafahnya. Oleh kerana tema falsafah ini merupakan tema universal dalam sejarah manusia, ia boleh dijumpai dengan mudah dalam penulisan-penulisan sejarah Nusantara dan Islam.

Pada penghujung Musim 1 kita menyaksikan pertarungan Eren Yeager dalam bentuk Titan-nya bertarung dengan Annie Leonhart dalam bentuk Female Titan. Pertarungan ini menyaksikan bagaimana Eren masih teragak-agak untuk bertarung mengenangkan persahabatannya dengan Annie yang merupakan salah seorang komrad semasa menjadi kadet di akademi. Disini kita melihat peranan yang dimainkan oleh teman rapat Eren, iaitu Armin Arlert dalam meyakinkan Eren akan keperluannya mengetepikan sentimental persahabatannya untuk maslahat yang lebih besar dalam menyelamatkan kemanusiaan.

“A person who cannot give up anything, can change nothing” kata-kata falsafah ini, yang sering diulang-ulang oleh Armin sangat mirip dengan falsafah yang ditulis oleh ahli falsafah Itali, Nicollo Machiavelli dalam naskah Il Principe atau lebih dikenali dengan terjemahan dalam bahasa Inggeris dengan tajuk The Prince. Ia pertama kali diterbitkan pada tahun 1532, 5 tahun selepas kematian Machiavelli. Tulisan Machiavelli sangat terkenal sebagai batu asas falsafah politik realism, yang mana untuk berjaya dalam politik menurut Machiavelli seseorang itu perlu berpijak di bumi nyata, menggunakan segala cara yang berkesan, bukan terperangkap dalam dilema moral dan etika. Kemenangan adalah strategi untuk mengalahkan musuh, medapatkan kuasa, dan mengekalkan kuasa.

Politik Realisma yang dibawa Machiavelli menegaskan bahawa pertarungan politik adalah strategi perebutan kuasa, ia bukan bidang moral, etika, jauh sekali menentukan strategi berdasarkan faktor sentimental. Dalam menguasai mana-mana kawasan, Machiavelli menggariskan bahawa penguasa harus sedar bahawa mereka memerlukan bantuan dari penduduk setempat. Sekuat mana pun tentera, tanpa bantuan populasi setempat, kuasa tidak dapat bertahan. Oleh itu, sangat penting bagi penguasa menguasai mereka dengan kekuatan mahupun tipu helah. Machiavelli membuat analisa berkenaan penaklukan Milan oleh Louis XII, dan bagaimana Louis melakukan kesilapan sehingga dia hilang semula kuasanya. Beberapa perkara perlu dilakukan penakluk untuk kekal berkuasa, terutamanya apabila menakluki satu kawasan baru, yang mempunyai perbezaan budaya. Antaranya memindahkan pusat pemerintahan ke kawasan baru, menanam koloni, menindas hanya golongan miskin yang tidak mampu membalas dendam dan melemahkan kuasa-kuasa pembesar disekeliling. Untuk kekal berkuasa, pemberontakan perlu dihapuskan pada peringkat awal, sebelum ia merebak.

Machiavelli dalam analisanya antara empayar Perancis dan Turki mengakui bahawa terdapat perbezaan dalam dua empayar ini. Perancis mudah ditakluki tetapi sukar untuk dikekalkan kekuasaan disitu. Hal ini kerana, ia mempunyai banyak golongan bangsawan yang mudah dipengaruhi dan digunakan untuk menjatuhkan pemerintah. Namun apabila sudah berjaya dan berkuasa, bangsawan ini akan menjadi ancaman pula pada pemerintah baharu. Berbeza dengan empayar Turki, ia tidak mempunyai golongan bangsawan yang berpengaruh, jadi untuk menewaskannya, penakluk perlu menghadapi rakyat yang seluruhnya bersatu dibawah kuasa sultan. Ia sukar ditewaskan, tetapi jika sudah dikuasai, ia mudah dikekalkan.

Dalam usaha menakluki sesuatu kawasan yang sudah mempunyai struktur budaya dan pemerintahannya sendiri. Terdapat tiga cara bagi kekal menguasai mereka. Yang pertama, memecah belahkan kesatuan mereka. Yang kedua, mengubah pusat kerajaan ke kawasan itu. Dan yang ketiga, melantik kerajaan proksi yang mempunyai hubungan baik. Jika kita lihat didalam sejarah, kesemua taktik ini digunakan oleh kuasa imperial.

Di Nusantara, British sebagai contoh, menggunakan teknik pecah dan perintah di Tanah Melayu dengan mengasingkan Melayu di kampung, Cina di bandar, dan orang India di kawasan ladang. Dasar ini merupakan hasil falsafah politik realisma bawaan Machiavelli. Semasa menguasai negeri-negeri Melayu, British membawa masuk buruh Cina untuk industri bijih timah dan imigran India bagi industri perladangan getah. Industri ini penting untuk menampung bekalan untuk penerusan Revolusi Perindustrian di Eropah. Dasar ini memberi implikasi negatif terhadap struktur politik orang Melayu, mereka tidak digalakkan menyertai ekonomi moden.

Idea politik realisma Machiavelli bukan sahaja dapat dilihat dalam pemikiran watak Armin Arlert dalam anime Attack on Titan, malah apabila tercetusnya konflik antara negara Marley dan Pulau Paradis kita melihat pelbagai bentuk muslihat yang berbentuk Machiavellian antara kedua pihak ini apabila mereka berperang. Kita dapat melihat dari aksi Eren yang mempergunakan Falco Grice, seorang kadet yang masih kanak-kanak dalam mengumpul maklumat. Kita melihat bagaimana Levi Ackerman terpaksa membunuh komrad-komradnya sendiri dalam usaha mengalahkan musuhnya Zeke Yeager. Kita juga melihat babak dimana Armin Arlert terpaksa membunuh rakyat Marley beramai-ramai termasuk kanak-kanak dalam kempen serangan Pulau Paradis terhadap Marley. Semua ini menunjukkan bagaimana moral dan prinsip dikorbankan demi menjayakan matlamat yang lebih besar, persis falsafah realisma Machiavelli.

Sifat prejudis bangsa juga boleh dilihat dalam siri Anime ini. Pertamanya perihal bangsa Oriental. Pada Musim 1 kita melihat bagaimana keluarga Mikasa Ackerman dibunuh. Dalam dialognya, pembunuh tersebut menyatakan bagaimana Mikasa merupakan seorang Oriental, sebagai tanda bahawa dia merupakan bangsa yang berbeza berbanding bangsa Eropah dan layak untuk dibunuh.

Orientalism atau kajian yang mengkaji perihal bagaimana bangsa Timur berbeza dengan bangsa Eropah merupakan satu cabang ilmu yang telah lama wujud dalam bidang keilmuan. Bidang ini dibincangkan secara terperinci berkenaan skopnya, juga sejarah perkembangannya oleh Edward Wadie Said dalam makalah monumental beliau bertajuk Orientalism: Western Conceptions of the Orient, dimana beliau memperincikan bagaimana bangsa Timur dijadikan objek kajian, diberikan definisi, juga diletakkan dalam sejarah sebagai bangsa yang lebih mundur, primitif, dan barbarik. Motif awal akan hal ini menurut Said adalah prejudis agama, namun kemudian ia disekularkan, dijadikan satu bidang yang kelihatan saintifik dan rasional bagi tujuan kolonial dan menghasilkan supremasi bangsa berbentuk Europeanism. Dalam anime Attack on Titan, bangsa Oriental dan juga keluarga Ackerman ditindas dan cuba dihapuskan kerana mereka mempunyai kebolehan untuk mengekalkan memori silam perihal sejarah manusia.

Sifat rasis juga boleh dilihat dipenghujung Musim 3 dan permulaan Musim Akhir apabila anime ini mula menceritakan konflik antara negara Marley dan bangsa Eldia. Penindasan bangsa Eldia di Marley merupakan idea yang dipinjam dari sifat anti-Semitism Nazi German. Bangsa Eldia dalam anime ini dipaksa memakai armband seperti yang dilakukan oleh pihak Nazi kepada kaum Yahudi bagi tujuan isolasi, pengenalan, juga untuk memalukan mereka. Di bawah regim Nazi, bangsa Yahudi diwajibkan untuk memakai lencana atau armband dengan simbol Star of David. Hans Frank, Gabenor Jeneral Nazi yang menduduki Poland sebagai contoh mengishtiharkan bahawa semua bangsa Yahudi perlu memakai armband Star of David di tangan kanan mereka.

Bangsa Eldia juga dipaksa untuk hidup dalam kem konsentrasi (internment camp) yang begitu mirip dengan ghetto dan kem yang dibuat oleh Nazi German untuk mengasingkan bangsa Yahudi. Bangsa Eldia juga dipaksa menjadi buruh dan tentera, nyawa mereka seolah tidak berharga. Hal ini dapat dilihat melalui pembunuhan Faye Yeager, seorang kanak-kanak perempuan kecil yang dimakan oleh anjing tentera Marley. Pembunuhan ini merubah hidup Grisha Yeager yang merupakan ayah kepada Eren.

Hange Zoë merupakan komander ke-14 Regimen Peninjau (Scout Regiment), namun beliau bukanlah seorang askar biasa. Beliau merupakan seorang saintis yang melambangkan falsafah mencintai ilmu dan sentiasa dahagakan jawapan kepada kebenaran. Erwin Smith menamakan Hange sebagai penggantinya, dan beliau dilantik menjadi Komander Regimen peninjau selepas kematian Erwin.

Dalam falsafah ini kita melihat Hange sanggup mengetepikan pegangan utamanya untuk menguji hipotesisnya. Sebagai contoh, pada awalnya semua manusia dalam anime Attack on Titan digambarkan sebagai berpandangan bahawa Titan merupakan musuh mereka. Namun Hange sanggup mengorbankan pegangan ini, dalam eksperimennya beliau memberi nama kepada Titan yang berjaya ditangkap dan cuba untuk berkomunikasi dengan mereka dengan nada yang tidak antagonistik.

Perkara ini sangat dekat dengan tradisi saintifik yang berpegang dengan falsafah agar mempercayai fakta walaupun ia berbeza dengan fahaman dan pegangan sedia ada. Seperti kata-kata saintis terkenal Neil deGrasse Tyson “follow the evidence wherever it leads, and question everything”.

Hange dalam pencarian ilmunya bukan sahaja sanggup membelakangi fahaman sedia ada. Beliau juga sanggup meletakkan nyawanya sebagai taruhan dalam proses mencari kebenaran. Banyak babak dalam eksperimennya yang meletakkan dirinya dalam bahaya. Ini mengingatkan kita perihal kisah saintis terkenal Maria Salomea Sklodowska atau lebih dikenali dengan nama Marie Curie.

Marie Curie terkenal dengan kejayaannya bersama suaminya untuk mengisolasi Radium pada tahun 1902. Mereka berjaya mensintesis 1 gram Radium yang berjaya membuatkan Curie memenangi Anugerah Nobel dalam bidang kimia pada 1911. Radium juga adalah penyebab kematian Curie pada tahun 1934 kerana kerana keracunan radioaktif yang membawa kepada anemia. Bagi Marie Curie, tiada apa yang perlu ditakutkan dalam kehidupan, ianya perlu difahami. Semakin banyak perkara yang kita faham perihal kehidupan, semakin berkurangan ketakutan kita kepadanya.

“Nothing in life is to be feared, it is only to be understood. Now is the time to understand more, so that we may fear less.”

– Marie Curie.

Dari kisah Marie Curie ini dapat kita fahami falsafah keilmuan yang menuntut kita mengorbankan bahkan diri kita sendiri. Manusia sememangnya mempunyai sifat ingin tahu, ingin meneroka, wanderer kata Sagan. Oleh itu karakter Hange Zoë yang memaparkan sikap sanggup mempertaruhkan nyawa untuk mendapat ilmu bukanlah satu depiksi yang lari dari realiti, kita dapat lihat perkara yang sama dalam kisah dan perwatakan Marie Curie dalam usahanya untuk memahami dunia.

Dalam perspektif Nusantara, falsafah ilmu dan keilmuan juga bukanlah sesuatu yang asing. Terdapat pelbagai tokoh dan cendiakawan yang mengajak masyarakat untuk mendalami ilmu, untuk meninggalkan adat dan budaya lama yang mundur kepada budaya keilmuan baru dan ketamadunan ilmu. Antaranya Syed Hussein Alatas yang mengajak masyarakat berfikir dalam bukunya yang bertajuk Kita Dengan Islam Tumbuh Tiada Berbuah. Dalam bab ke-5 yang bertajuk Rintangan Kemajuan Berfikir Dalam Masyarakat Islam beliau mengkritik kurangnya ahli fikir dalam masyarakat dan juga tersebarnya fahaman yang salah perihal kepentingan ilmu untuk memahami dunia.

Pada pandangan Syed Hussein Alatas, sikap tidak mementingkan dunia berakar dari tafsiran yang salah terhadap nas-nas Al-Qur’an. Tafsiran ini dibuat oleh “pemberi panduan agama” yang tidak menguasai ilmu semasa, tidak mengauli masyarakat serta tidak berkecimpung dalam ehwal perdagangan dan pentadbiran manusia. Beliau mengajak pada perlunya tafsiran baru yang mengambil kira perkembangan keilmuan dunia semasa. Tafsiran perlu berhubung dengan persoalan hidup serta menambah kehormatan masyarakat.

Syed Hussein Alatas juga membahaskan falsafah ilmu, “apa itu ilm (ilmu)?”. Menurut beliau ilm bukan semata-mata ilmu agama tetapi mencakupi juga keseluruhan ilmu pengetahuan termasuk sains. Beliau memberikan contoh tentang bagaimana Al-Qur’an seringkali mengalihkan pandangan manusia untuk melihat kejadian alam. Selain ilmu alam, ilmu turut mencakupi ilmu manusia, apa yang disebut Hume sebagai science of man, ilmu ini termasuklah mengenali dan memahami kepelbagaian bangsa juga ilmu masyarakat. Beliau memetik kritikan Jamaluddin al-Afghani dan Syakib Arsalan, golongan alim ulama tidak sepatutnya diberikan pada orang yang mendalami ilmu agama sahaja, tetapi ulama sepatutnya turut merangkumi ilmuan dalam bidang sains dan ilmu alam. Menurut Alatas, Imam Ghazali tidak lebih darjatnya dari Ibnu Khaldun. Pada penutup babnya, Alatas memetik kata-kata Saidina Ali.

“Wahai manusia! Dalam alam ini terdapat cukup bidang-bidang penyiasatan bagimu. Gunakanlah tenagamu di situ, dan hentikan pendugaanmu tentang wujud Allah.”

– Saidina Ali

Di sini kita dapat lihat bagaimana dalam anime Attack on Titan, persoalan pencarian ilmu ini merupakan satu tema yang diangkat melalui karakter Hange Zoë, keberanian Hange dalam meneroka ilmu pengetahuan mirip dengan apa yang dapat kita lihat dalam dunia realiti melalui kisah Maria Salomea Sklodowska. Manakala dari perspektif Nusantara, kita dapat melihat perbahasan Syed Hussein Alatas yang mengajak masyarakat kepada pembaharuan dan keberanian berfikir dan mencari ilmu. Hal ini semua adalah satu kesinambungan falsafah ilmu, dari depiksi karakter anime, ke alam realiti, hinggalah kepada perbahasan ilmu di arena Nusantara.

Kajian ini telah membahaskan beberapa tema falsafah utama yang ada dalam anime Attack on Titan. Berdasarkan perbahasan-perbahasan ini dapatlah kita fahami bahawa anime bukanlah hiduran kosong untuk kanak-kanak seperti yang difahami oleh sesetengah masyarakat. Malah pemerhatian kita secara mendalam dalam anime Attack on Titan boleh membangkitkan banyak persoalan-persoalan falsafah perihal sifat manusia, falsafah kebebasan juga falsafah ilmu. Inilah yang disebutkan oleh Hitoshi Ogawa berkenaan dengan anime philosophy, bagaimana anime boleh memberikan manusia falsafah, bahkan mungkin dengan lebih baik dan lebih mudah difahami, melalui pendekatan visual dan dialog yang lebih berkesan pada manusia berbanding buku-buku klasik yang sukar dibaca. Kajian ini juga mendapati banyak falsafah-falsafah yang dibangkitkan dalam anime Attack on Titan boleh dikaitkan dengan penulisan dan sejarah Nusantara. Hal ini kerana falsafah seperti sifat manusia, kebebasan dan keilmuan merupakan falsafah yang bersifat universal.

Perbahasan-Falsafah-dan-Perspektif-Nusantara-Dalam-Anime-Attack-on-TitanDownload
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana

Menelusuri Jalan Sutera Baharu

December 11, 2022 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Tulisan ini merupakan ulasan kepada buku bertajuk The New Silk Roads: The Present and Future of the World tulisan Peter Frankopan.[1] Berdasarkan tinjauan saya, buku ini mendapat banyak ulasan negatif terutamanya dari pembaca yang telah membaca buku Frankopan sebelum ini yang bertajuk The Silk Roads: A New History of the World.[2] Saya tidak membaca buku Frankopan yang pertama tersebut. Kebanyakan pengkritik mengkritik bahawa buku ini sepertinya banyak mengumpulkan fakta-fakta berdasarkan survey terbaharu, namun tidak dilakukan analisis yang memberikan kefahaman yang bermakna. Corak penulisan ini mirip apa yang dikritik oleh E.H. Carr yang menyanggah bahawa sejarah bukanlah satu penulisan yang sekadar mengumpulkan fakta. Jika sekadar mengumpulkan fakta, sejarah yang ditulis akan menjadi sangat membosankan, lebih berbentuk ensiklopedia berbanding satu penulisan sejarah yang mempunyai analisa yang segar.[3]

Saya merasakan kritikan sebegini ada benarnya, terutamanya dalam bab The Roads to the East dan The Roads to the Heart of the World. Dua bab awal ini sangat pekat bentuk pengumpulan surveynya dan kurang analisis. Ia agak hambar. Namun untuk berlaku adil kepada Frankopan, saya merasakan bab-bab seterusnya sedikit seimbang walaupun corak pengumpulan survey itu masih ada.

Membaca buku ini mengingatkan saya akan sebuah buku yang ditulis oleh T.R. Reid yang pertama kali diterbitkan pada tahun 2004.[4] Reid dalam bukunya memuji kesatuan Eropah yang dilihat semakin bersatu dan berpadu. Namun buku Frankopan ini seolah-olah sebuah revisi yang menyanggah analisa Reid, pergerakan geopolitik terbaharu menyaksikan Eropah tidaklah menuju kesatuan tetapi perpecahan. Hal ini dapat dilihat dengan jelas apabila Britain secara formal keluar dari Kesatuan Eropah pada tahun 2020, selepas referendum yang diadakan pada 2016. Ini merupakan petanda bahawa hilangnya kepercayaan kepada projek Kesatuan Eropah. Bagi Frankopan, ketika Eropah dan Amerika Syarikat berpecah dan bergerak menuju isolasi, negara-negara Asia di Jalan Sutera memilih untuk bersatu dan bekerjasama.

Selain Britain, semangat anti-Kesatuan Eropah juga dilihat semakin memuncak di negara-negara seperti Itali, Jerman, Poland, dan Hungary. Dalam masa yang sama terdapat juga beberapa entiti yang menuntut kemerdekaan seperti Scotland dan Catalonia. Semua ini menunjukkan keadaan Eropah yang berputar semula ke belakang. Kembali membina sempadan dengan retorik-retorik slogan seperti ‘mengambil alih semula kuasa’ kedengaran di dalam masyarakat. Semuanya mahu kembali ke arah perpisahan bukan kesatuan.[5]

Dalam tulisan ini saya akan memetik beberapa tulisan Frankopan yang saya kira menarik untuk ditinjau, diperhalusi, diperkembangkan, dan difikirkan.

Frankopan sendiri merupakan seorang ahli sejarah, oleh itu adalah adil untuk menilai dan mengkritik tulisan beliau sebagai bahan sejarah. Menurut Frankopan, sejarah adalah satu subjek yang menarik kerana ia membangkitkan perasaan keterujaan dalam diri manusia. Keterujaan ini lahir apabila manusia dapat berfikir dengan cara yang berbeza yang membolehkan dia membuat perkaitan antara manusia, kedudukan geografi, dan idea.[6] Saya kira saya bersetuju dengan pandangan beliau ini. Sejarah membantu kita melihat perkaitan-perkaitan yang ada di dunia yang jika tidak dikaji secara dekat kelihatan seperti kebetulan-kebetulan sahaja. Namun kebetulan yang dilihat dengan mata kasar ini, jika dikaji dengan teliti selalunya menampakkan bagaimana sejarah berfungsi dalam membentuk pertalian antara sesama manusia dan masyarakat.

Menurut Frankopan, antara pemain geopolitik utama yang kembali menghidupkan Jalan Sutera baharu adalah negara China. Hal ini terjadi kerana kejayaan China dalam sudut ekonomi dan perkembangan GDP. Sejak tahun 1980, polisi ekonomi China berjaya menaikkan 800 juta orang rakyatnya dari paras kemiskinan.[7] Namun kejayaan ekonomi China ini tidaklah dicapai tanpa sebarang kos. China malah berani melakukan polisi yang dilihat begitu kejam dan menjadikan manusia sebagai bahan eksperimen sosial seperti polisi jihua shengyu yang lebih dikenali sebagai Polisi Satu Anak. Polisi ini telah dikritik hebat oleh pengkaji seperti Mei Fong yang membangkitkan bagaimana polisi ini melahirkan generasi tua, kekurangan tenaga kerja, ketidaksamaan jantina (ramai yang memilih anak lelaki), juga pelbagai trauma emosi hasil pemaksaan polisi yang keras.[8] Namun jihua shengyu ini akhirnya ditamatkan pada penghujung tahun 2015.[9]

Polisi-polisi antagonistik kuasa besar seperti Amerika Syarikat menurut Frankopan telah melahirkan kesan-kesan yang tidak dijangka terutamanya pada negara-negara di Laluan Sutera seperti Iran. Kesan dari tekanan yang dihadapinya telah menyebabkan kelahiran banyak syarikat-syarikat start-up yang menggunakan teknologi-teknologi baharu.[10] Strategi untuk melawan Iran yang diketuai oleh Amerika Syarikat juga telah menyebabkan lahir persekutuan antara negara yang selama ini kelihatan bertentangan. Arab Saudi misalnya menjadi semakin dekat dengan Israel yang merupakan sekutu Amerika Syarikat. Sehingga mufti Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa Muslim tidak sepatutnya melawan Israel dan membunuh orang Yahudi, beliau juga mengatakan bahawa Hamas adalah organisasi pengganas.[11] Namun Iran bukanlah sebuah negara yang mudah ditundukkan. Salah satu kekuatannya adalah lokasinya yang strategik yang mengawal Selat Hormuz yang merupakan laluan utama import minyak dari Timur Tengah. Disini kita melihat bagaimana keadaan geografi memainkan peranan yang besar dalam percaturan geopolitik seperti yang ditulis oleh Tim Marshall.[12]

Selain Brexit yang menunjukkan ahli kesatuan Eropah sendiri hilang kepercayaan kepada Eropah, ideologi liberal Barat juga semakin tidak diterima oleh negara-negara dunia. Terutamanya melihat bagaimana negara-negara Timur dihancurkan dalam perang menggunakan persenjataan Barat seperti di Libya, Yaman, Syria, Afghanistan, dan Iraq. Ode Antarabangsa dilihat hanya menguntungkan negara-negara Barat tetapi mengekang kemajuan negara-negara Timur.[13] Projek imperial Amerika Syarikat dalam menyebarkan demokrasi melalui perang juga adalah sebab mengapa kepercayaan kepada sistem demokrasi liberal yang dipromosikan Barat dilihat semakin buruk, hodoh dan sukar diterima.[14]

Menurut Jiang Shigong, peradaban Barat dibina diatas tradisi falsafah teologi yang bersifat binari dan antagonistik.[15] Sebab itu kita melihat peradaban Barat tidak boleh melihat kuasa lain yang lebih berjaya daripadanya. Sentiasa mereka mahu menghancurkan orang lain yang lebih berjaya. Sikap ini boleh kita lihat dari penulisan Samuel P. Huntington yang menulis perihal perang antara peradaban.[16] Tulisan Huntington menjadi begitu popular kerana ia lahir ketika Amerika Syarikat sudah berjaya mengalahkan Soviet Union dan mereka mencari musuh baru. Menurut Frankopan, sikap suka bergaduh dan bermusuhan ini lahir dari kesan nostalgia yang sering memabukkan dan mempunyai kesan yang kuat. Nostalgia menyebabkan kita melihat sejarah melalui lensa yang romantik, kita memilih sejarah-sejarah yang bagus-bagus dan meninggalkan yang lain. Hasilnya timbul kepercayaan bahawa kita pernah menjadi begitu hebat bahkan ideal suatu ketika dahulu, dan usaha kita hari ini perlulah dibuat untuk kembali kepadanya. Menurut Frankopan, sikap ini sebenarnya salah dan terkeliru.[17]

Kejayaan China dalam membangun ekonomi dan ketamadunannya juga memperlihatkan bahawa teori berakhirnya sejarah seperti yang dipelopori oleh Francis Fukuyama sangat bermasalah. Bagi Fukuyama, sistem politik terakhir manusia adalah demokrasi liberal Barat.[18] Namun kejayaan China membuatkan manusia berfikir semua perihal Sosialisma, dan model kemodenan Barat bukanlah satu-satunya model yang ada, tetapi hanya satu pilihan dari pelbagai pilihan yang ada.[19] Jika China terus naik dan mendominasi, keunggulan model demokrasi liberal Barat bukan sahaja tercabar, malah mungkin berakhir.

Walaupun kita dibayangkan bahawa kita mempunyai sistem Antarabangsa, namun hakikatnya kita melihat bagaimana negara-negara yang kuat dan besar mengambil apa yang mereka mahu, dalam masa yang sama mereka bersifat hipokrit dan mengarahkan negara-negara yang lemah mematuhi peraturan Antarabangsa yang mereka sendiri tidak patuhi. Disini, satu persoalan menarik muncul. Siapakah yang ingin mewujudkan satu peraturan yang memberi kelebihan pada orang lain dan bukan diri mereka sendiri?[20] Inilah yang dilihat pada peraturan Antarabangsa dimana negara-negara kecil dipaksa mematuhinya sedangkan negara besar bebas melakukan apa sahaja, dalam kata lain might makes right. Sebab itu kita melihat Israel tidak pernah didakwa atas jenayah perang mereka, kerana ia dilindungi kuasa besar seperti Amerika Syarikat.

Walaupun buku ini diterbitkan oleh penerbit antarabangsa, Bloomsbury, buku ini terdapat banyak kesalahan ejaan. Mungkin yang paling terserlah dari kaca mata pembaca Malaysia adalah ejaan bagi seorang menteri yang bernama Darell Leiking, namun dalam naskah ini ditulis sebagai ‘Daell Leiking’.[21] Selain kesalahan ejaan bahasa, saya turut merasakan ada beberapa kesalahan prediksi yang dibuat oleh Frankopan, terutamanya dalam mengatakan bahawa teknologi seperti Blockchain dan Ethereum akan mengubah cara manusia hidup, bekerja, dan berkomunikasi. Teknologi-teknologi seperti ini bagi saya lebih banyak hype berbanding mempunyai kesan yang signifikan terhadap kehidupan harian manusia.[22]

Kesimpulan

Penulisan Frankopan terutamanya perihal kebergantungan antara negara dalam era globalisasi pada pandangan saya mirip dengan penulisan Thomas Friedman.[23] Dimana hubungan antara negara-negara bersifat berselingkaran, ia bukan hubungan satu hala yang mudah difahami. Gangguan yang dibuat kepada sebuah negara bukan hanya akan memberi kesan kepada negara yang diganggu, malah kepada semua negara-negara lain dalam hubungan ekonomi global yang berseliratan. Malah kesannya mungkin bersifat sebaliknya dan memburukkan keadaan negara yang menganggu itu sendiri. Contoh yang baik adalah sekatan-sekatan yang dibuat ke atas China untuk mengekang pembangunan ekonomi mereka, oleh kerana ekonomi China sudah terlibat dengan begitu mendalam di dalam ekonomi antarabangsa, sekatan ke atas China bukan sahaja memberi kesan buruk pada ekonomi dunia, malah ia memberi kesan buruk kepada mereka yang melakukan sekatan itu sendiri.

Saya merasakan buku Frankopan ini sememangnya dari satu aspek banyak mengumpulkan fakta, data, dan survey tanpa analisa yang cukup. Namun untuk berlaku adil, pada bab-bab seterusnya sedikit sebanyak ada dilakukan penafsiran ke atas fakta. Namun saya melihat fokus buku ini seperti terkeluar dari tajuk perbahasannya, iaitu Jalan Sutera Baharu. Sebaliknya ia banyak membahaskan kenaikan China sebagai kuasa besar dunia baharu dalam masa yang sama membahaskan bagaimana kuasa dunia lama seperti Amerika Syarikat cuba untuk memberi reaksi terhadap kenaikan China ini. Perbahasan terhadap Jalan Sutera dibuat secara tinjauan umum sahaja tanpa adanya ulasan yang betul-betul berguna dan bermanfaat. Frankopan tidak menyempitkan definisi apa yang dimaksudkan beliau sebagai ‘Jalan Sutera Baharu’, sebaliknya ia diberikan satu takrifan umum, sehingga ia dimaksudkan sebagai semua mod pengangkutan, hubungan dan komunikasi global di setiap batasan geografi, ini termasuk bahagian Eropah dan juga Carribean. Buku ini pada saya merupakaan bacaan ringan, sesuai dibaca jika kita mahu satu pembacaan yang mudah tanpa perlu banyak kontemplasi. Jika pembaca ingin mencari satu analisa yang mendalam perihal Jalan Sutera, sejarahnya, perkembangannya, juga impaknya kepada dunia, buku ini bukan merupakan buku yang sesuai untuk dibaca, kerana hal ini tiada dalam buku ini.


[1] Peter Frankopan. The New Silk Roads: The Present and Future of the World. Bloomsbury, 2019.

[2] Tinjauan ulasan-ulasan buku di Goodreads.com, lihat pautan https://www.goodreads.com/book/show/45020978-the-new-silk-roads

[3] E.H. Carr. What is History. Penguin Books, 1964. Lihat terutamanya dalam bab The Historian and His Facts, halaman 7-30.

[4] T.R. Reid. The United States of Europe: The New Superpower and the End of American Supremacy. Penguin Books, 2005.

[5] Peter Frankopan. The New Silk Roads: The Present and Future of the World. hlm. 222.

[6] Ibid. 7.

[7] Ibid. 25.

[8] Mei Fong, One Child: The Story of China’s Most Radical Experiment. Mariner Books, 2016.

[9] Peter Frankopan. The New Silk Roads: The Present and Future of the World. hlm. 33.

[10] Ibid. 39.

[11] Ibid. 85.

[12] Tim Marshall. Prisoners of Geography: Ten Maps That Tell You Everything You Need to Know About Global Politics. Elliott & Thompson, 2015.

[13] Peter Frankopan. The New Silk Roads: The Present and Future of the World. hlm. 125.

[14] Edward Luce. The Retreat of Western Liberalism. Abacus, 2018.

[15] Peter Frankopan. The New Silk Roads: The Present and Future of the World. hlm. 149.

[16] Samuel P. Hungtington. The Clash of Civilizations and the Remaking of World Order. Simon Schuster, 2011. (Pertama kali diterbitkan pada tahun 1996).

[17] Peter Frankopan. The New Silk Roads: The Present and Future of the World. hlm. 151.

[18] Francis Fukuyama. The End of History and The Last Man. Free Press, 2006.

[19] Peter Frankopan. The New Silk Roads: The Present and Future of the World. hlm. 274.

[20] Ibid. 171.

[21] Ibid. 259.

[22] Ibid. 263.

[23] Thomas L. Friedman. The World Is Flat: A Brief History of the Twenty-First Century. Picador USA, 2007.

Jalan-Sutera-Baharu-FrankopanDownload
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Reviu Buku

Memahami Falsafah Kehidupan dari Allegori Hayy Ibn Yaqzan Karya Ibnu Tufail

November 27, 2022 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Buku bertajuk The History of Hayy Ibn Yaqzan merupakan karya terjemahan yang telah dimodenkan. Terjemahan asal naskah ini telah dibuat oleh Simon Ockley. Terjemahan asal Ockley bertajuk The Improvement of Human Reason, Exhibited in the Life of Hai Ebn Yokdhan diterbitkan pada tahun 1708. Tulisan ini mengisahkan bagaimana seorang manusia bernama Hayy yang hidup bersendirian sejak bayi di sebuah pulau yang tidak didiami oleh manusia. Versi yang akan dihuraikan dalam kertas penulisan ini adalah versi terbitan Islamic Book Trust (2020).[1]

Pendahuluan

Versi ini telah diberikan pendahuluan oleh Bakhtyar Husain Siddiqi dari Government College, Lahore. Menurut beliau idea utama buku ini tidaklah asli dari Ibnu Tufail, tetapi berasal dari Alexanderia dan Parsi. (xi) Namun apa yang menyebabkan karya Ibnu Tufail ini menjadi original adalah usahanya menggunakan kisah yang mudah untuk menyampaikan falsafah yang berat, ini adalah sumbangan Ibnu Tufail.

Tulisan Ibnu Tufail ini membawakan pandangan bahawa manusia, jika dibiarkan bersendirian, dengan hanya bantuan alam sekitar dan tanpa bantuan masyarakat dan manusia lain, mampu mencapai kebenaran sebenar jika dia mempunyai keinginan dan kesungguhan untuk mencapainya. (xi-xii) Bakhtyar berpendapat, dari bacaannya, pemikiran Ibnu Tufail mempunyai persamaan dengan Kant dalam persoalan logik, bahawa logik mempunyai limitasi dan hujahnya jika dibiarkan sendiri akan membawa kepada banyak percanggahan antara satu sama lain. (xiv)

Karya Ibnu Tufail ini juga membawa ke tengah perdebatan perihal konsep tabula rasa. Dalam teori ilmu atau epistemologi, tabula rasa adalah konsep yang menyatakan bahawa minda manusia pada awal kelahirannya adalah kosong, ilmu datang kemudian melalui pengalaman dan persepsi dari objek-objek luaran di dunia yang diketahui melalui deria. Menurut Bakhtyar, konsep roh dan minda manusia pertama dalam karya Ibnu Tufail tidak seperti tabula rasa, manusia sejak awal sudah ditanam dengan fitrah-fitrah yang sesuai dengan kehendak Tuhan. Untuk kita melihat fitrah-fitrah ini, kita memerlukan minda yang bersih, tanpa prejudis dan tanpa pengaruh-pengaruh sosial. (xvii)

Apa yang dianggap fitrah manusia ini merupakan objek pemerhatian ahli falsafah zaman berzaman. Hegel misalnya, ada membawakan eksperimen minda perihal konsep manusia pertama. Manusia pertama menurut Hegel adalah keadaan asal selepas ditanggalkan personaliti yang dibentuk pengaruh sosial seperti agama dan budaya. Manusia pertama bagi Hegel adalah manusia yang hidup sebelum terbentuknya masyarakat sivil, iaitu sebelum sejarah bermula.[2]

Menurut Bakhtyar, falsafah adalah usaha untuk mencapai kebenaran dalam bentuk konsep dan imej dengan menggunakan keupayaan intelektual. Oleh itu, falsafah tidak dapat dicapai melalui ekspresi yang biasa digunakan. Hatta bahasa adalah produk kepada keperluan material dan hanya boleh mengungkapkan perkara-perkara duniawi. Ia tidak dapat mengungkapkan sesuatu yang abstrak dengan tepat, kadang kala ia perlu menggunakan allegori dan simbol yang menyebabkan manusia memahami perkara yang lain, bukan perkara abstrak yang cuba diterangkan. (xx)

Falsafah jika difahami dengan betul tidak bertentangan dengan agama. Kedua-duanya mencapai kebenaran yang sama melalui metodologi dan cara yang berbeza. Namun, tidak semua orang mempunyai kemampuan mencapai kebenaran melalui falsafah. Oleh itu Ibnu Tufail bersetuju dengan kerajaan Muwahhid yang menguasai Andalusia ketika itu untuk tidak menyebarkannya kepada masyarakat umum. Agama adalah untuk masyarakat umum, namun falsafah dikhaskan kepada orang persendirian tertentu yang mempunyai kemahiran. (xxi) Falsafah adalah hal peribadi yang eksklusif yang memerlukan seseorang itu mempunyai kebolehan dan sifat tertentu untuk mencapai pencerahan. Agama pula merupakan disiplin sosial yang berusaha menaiktaraf kehidupan manusia secara saksama menerusi institusi dan bersama, ia dalam banyak hal tidak meneliti perbezaan individu terutamanya dalam soal kebolehan dan perasaan dalam diri. (xxii)

Dalam naskah ini, tesis utama Ibnu Tufail adalah jika manusia itu dibiarkan berseorangan, dia mampu sampai kepada kebenaran yang sebenar. (xxv) Inilah yang cuba beliau huraikan dengan menggunakan falsafah dalam allergori Hayy Ibnu Yaqzan.

Permulaan yang misteri

Ibnu Tufail tidak memberikan satu naratif yang jelas tentang bagaimana Hayy muncul di sebuah pulau yang tidak dihuni manusia ini. Sebaliknya dia memberikan dua hipotesis. Pertama dia adalah seorang putera yang dihanyutkan oleh ibunya demi keselamatannya dari daerah lain. Hipotesis ini mirip kepada kisah Nabi Musa yang dihanyutkan ibunya agar terselamat dari kekejaman Firaun. Hipotesis kedua adalah kelahiran dari alam semulajadi, mirip dengan proses evolusi cuma ia berlaku dalam masa yang lebih singkat, tidak mengambil masa berbilion tahun. Walaubagaimanapun, selepas kemunculan Hayy, naratifnya tidak lagi bercabang. Dia kemudian dibesarkan oleh seekor rusa betina yang ketika itu sedang mencari anaknya yang hilang.

Hayy membangunkan inteleknya dengan melihat alam. Binatang buas adalah antara tempat pertama pemerhatiannya jatuh. Dia melihat haiwan memiliki kulit dan bulu yang tebal, ini membantu mereka untuk hidup dalam habitat yang mencabar. Mereka juga mempunyai senjata semulajadi seperti tanduk, sumbu, gigi yang tajam dan juga kuku. Dari pemerhatian ini Hayy mula membangunkan idea bahawa dia juga perlukan pakaian dan juga kelengkapan persenjataan bagi melindungi dirinya, juga untuk keperluan survival. (12)

The Being – Konsep Roh

Hayy mula berfikir dengan dalam perihal falsafah kehidupan apabila ibu rusanya mati. Ibnu Tufail menggambarkan Hayy yang dilanda kesedihan cuba untuk mencari hakikat kehidupan. Apa yang dimaksudkan hidup? Apa yang menyebabkan sesuatu itu hidup? Dengan harapan jika dia dapat mengetahui perkara ini dia dapat membaiki keadaan ibu rusanya yang mati untuk hidup semula. Daripada episod ini juga, para cendiakawan dapat memahami pendirian Ibnu Tufail dalam soal perubatan. Dalam usahanya memahami roh dan kehidupan, Hayy telah melakukan pembedahan ke atas ibu rusanya bagi mencari dimana ada berlaku kecacatan atau kesakitan untuk dirawat. Dari hal ini dapat difahami bahawa Ibnu Tufail bersetuju dengan kaedah pembedahan bagi tujuan perubatan.

Namun apa yang dicari oleh Hayy iaitu the being atau roh, tidak dapat dia temui. Dia pasti bahawa ia telah pergi dari ibu rusanya. Persoalannya, apakah itu roh? Bagaimana ia wujud dan mampu bertahan? Apa yang mencantumkannya dengan badan fizikal? Ke mana ia pergi apabila sesuatu itu mati? (19) Dari persoalan-persoalan yang membingungkan Hayy ini, Hayy akhirnya memahami bahawa dari rohlah datangnya semua perbuatan-perbuatan ibu rusanya, dari menyusukannya hinggalah membesarkannya. Perbuatan-perbuatan ini tidak datang dari badan fizikal yang kini sudah tidak aktif lagi. Hayy kemudiannya menyaksikan perlawanan antara dua burung gagak, burung gagak yang menang telah menanam lawannya yang kalah. Mengikuti perbuatan burung gagak ini, Hayy telah menanam ibu rusanya yang sudah mati. Episod ini menggambarkan sekali lagi bagaimana Ibnu Tufail mengambil idea dari kisah-kisah lain, yang bukan kesemuanya original dari beliau sendiri. Apa yang original adalah penggunaan falsafah dalam menerangkan intipati ceritanya. Dalam hal pengkuburan mayat ini, Ibnu Tufail meminjam dari kisah Habil dan Qabil. (20)

Semakin lama pemikiran Hayy mengembara meneroka konsep roh, dia sampai kepada kesimpulan bahawa roh-roh yang bertebaran dalam diri makhluk-makhluk yang wujud (manusia dan haiwan) sebenarnya merupakan roh yang sama. Spirit was one in essence. (28) Kesatuan roh ini adalah kerana ia merupakan benda yang sama, cuma dibahagikan ke dalam hati-hati makhluk yang berbeza. (29) Konsep kesatuan roh ini mengingatkan saya perihal apa yang dikatakan oleh Morrie Schwartz perihal kematian. Beliau menggunakan allergori ombak kecil yang takut akan kemusnahan apabila tiba masanya untuk dia menghempas pantai. Ombak yang lebih besar memberitahunya “kamu bukan ombak, tapi sebahagian dari lautan”.[3]

Hayy kemudian berfikir, apa yang terjadi pada roh apabila manusia itu mati. Roh ini tidak sama essensinya dengan jasad. Oleh itu Hayy berfikiran bahawa roh itu mempunyai sifat keabadian, ia tidak seperti jasad yang terdedah kepada kerosakan dan kemusnahan. (56) Jadi, ia pasti akan ke tempat lain apabila ia berpisah dari jasad. Namun bagi Hayy perkara ini pastilah tidak terpakai kepada haiwan, kerana mereka tidak mempunyai kesedaran ketuhanan, mereka tiada keinginan untuk mendekati Tuhan, oleh itu roh mereka akan hilang dengan hilangnya jasad mereka. (58)

Ibnu Tufail menggambarkan roh sebagai cahaya matahari yang menyinari satu objek hingga objek itu dapat dilihat. Kelihatan seperti cahaya itu milik objek tersebut namun hakikatnya bukan, malah cahaya matahari itu tetap akan terus wujud jika objek itu telah musnah. Di sini dapat kita lihat sekali lagi pemikiran Ibnu Tufail akan keabadian roh. (78) Namun Ibnu Tufail tidak menerima bahawa roh itu sebahagian dari Tuhan, kerana walaupun ia adalah satu dari sudut essence, roh ini bersifat multiplicity, terbahagi kepada pelbagai makhluk, manakala Tuhan sifatnya esa dan satu, tidak banyak. (79)

Kesatuan Kehidupan

Dalam membangunkan konsep kehidupan, Ibnu Tufail melalui watak Hayy Ibn Yaqzan membawakan konsep kesatuan kehidupan. Dalam konsep ini, semua yang ada dalam dunia ini merupakan perkara yang sama. Cuma sesetengah benda atau perkara itu mempunyai sifat tambahan. Sebagai contoh, semua perkara yang ada mempunyai jisim seperti batu, haiwan, dan tumbuhan. Jisim ini akan sentiasa patuh pada tarikan graviti dan jatuh ke bawah. Namun, dalam kalangan objek ini, ada yang mempunyai sifat tambahan, contohnya tumbuhan dan haiwan yang mempunyai sifat vegetatif (mampu tumbuh dan berkembang hasil pengambilan nutrien). Kemudian dari dua objek ini, ada lagi sifat tambahan, iaitu haiwan mempunyai kebolehan pancaindera (sensory) dan mampu mengawal pergerakan (local motion). Jika dibuang satu persatu sifat tambahan ini, semua perkara, objek, dan makhluk itu adalah benda yang sama. (37)

Apabila dikatakan kesatuan kehidupan, apakah yang menyatukan objek-objek yang berbeza ini? Bagi Hayy, ia adalah corporeity iaitu mempunyai kualiti dalam mempunyai bentuk fizikal atau kewujudan. Semua objek-objek ini walaupun mempunyai sifat tambahan yang berbeza-beza, mereka semuanya mempunyai dimensi fizikal seperti tinggi, panjang, dan lebar. (38) Corporeity ini juga kadangkala disebut sebagai sifat objek yang mempunyai jisim (matter). (40)

Hayy juga memerhatikan hakikat kehidupannya yang mempunyai 3 komponen utama. Pertama yang bersamaan dengan haiwan, ini adalah kehendak-kehendak fizikal seperti makan, tidur, dan juga kehendak seksual. Kedua adalah persamaan dengan jisim-jisim lain seperti bintang-bintang di langit, dimana manusia juga berjisim dan sebagai contoh terikat pada tarikan graviti. Ketiga adalah sifat yang berkait dengan tuhan, manusia mempunyai komponen spiritual dan roh. (66)

Mencapai Persoalan Ketuhanan

Hayy dalam penelitiannya melihat bahawa segala benda yang baru itu pasti terbit dari sesuatu. Oleh itu, lama kelamaan, beliau berfikir akan idea adanya pencipta bagi alam dan segala sesuatu di dalamnya. (41) Pada tahap ini, bayangan pemikirannya pada sang pencipta ini adalah bayangan umum dan beliau tidak berfikir lagi akan sifat-sifatnya. Perkara-perkara baharu pasti mempunyai sebab kewujudan. Dari sinilah beliau mencapai kepada satu kesimpulan bahawa adanya pencipta yang menjadi sebab kewujudan. Hal ini membawa Hayy kepada kefahaman perihal konsep Tuhan. (41)

Perkara yang baru itu terbit dari sesuatu. Oleh itu, jika kita undur ke belakang, perkara ini pasti bersambung-sambung. Tetapi di hujung sambungan tersebut ia pasti mempunyai permulaan. Kerana Hayy memikirkan sambungan yang tiada penghujung, atau disebut sebagai infiniti itu adalah suatu yang tidak logik dan mustahil. Maka garis permulaan inilah tempat dimana Tuhan menciptakan kejadian pertama dan dari kejadian pertama inilah bermulanya penerbitan sesuatu yang baharu hinggalah ke hari ini. (44)

Tuhan sifatnya tidak dapat dicapai melalui pancaindera manusia, kerana jika ia boleh dikesan oleh pancaindera manusia, ini bermakna dia adalah sebahagian dari dunia yang diciptakan. Jika tuhan itu diciptakan, ia mesti mempunyai tuhan lain yang menciptakannya. Sekali lagi kita akan terjatuh kepada regresif yang tidak berpenghujung ad infinitum. (49) Oleh itu ia tidak masuk akal. Sebaliknya tuhan itu adalah pemutus kepada regresif yang tidak berpenghujung ini, dan jika ada yang bertanya siapa yang menciptakan tuhan? Soalan itu sendiri tidak logikal kerana ia sekali lagi akan mencetuskan regresif ad infinitum.

Mencapai Kesedaran

Apabila Hayy tiba pada satu kesedaran. Bahawa dia merupakan makhluk ciptaan, dia mula berasa bertanggungjawab pada dirinya dan alam. Dia mula memilih untuk makan ketika lapar dan perlu sahaja. Malah dia memilih tumbuhan dan haiwan yang banyak untuk dijadikan makanan agar ekosistem terjaga dan mereka tidak pupus spesisnya. (70) Kesedaran Hayy akan persamaannya dengan benda-benda berjisim juga menyebabkannya sentiasa mahu berharmoni dengan alam. Contohnya jika ada aliran air yang terhalang, dia akan memastikan halangan itu dialihkan. (72)

Kesedaran yang dicapai oleh Hayy juga menjadikan dia selalu mahu mengingati tuhan. Dia cuba memfokuskan minda, menutup mata dan telinga agar dia dapat mencapai khusyuk. (73) Membaca karya Ibnu Tufail ini, saya tertanya-tanya, bolehkah Hayy mencapai kepada satu kefahaman tentang ibadah yang khusus tanpa bantuan sebarang risalah yang dibawa oleh nabi atau rasul? Ternyata Hayy tidak berjaya mencapai apa-apa ibadah khusus, paling hampir adalah ritual seperti pertapaan dimana beliau cuba memfokuskan mindanya dan hanya mengingati Tuhan. (75)

Dalam perjalanan kesedaran Hayy, pertapaannya membawanya masuk ke dalam satu dimensi kebahagiaan hati, kenikmatan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Perasaan dan dimensi ini tidak mampu diterangkan oleh apa-apa perkataan kerana bahasa manusia yang terbatas. Sesiapa yang meminta perkara ini dijelaskan melalui perkataan, bagi ibnu Tufail, mereka meminta satu perkara yang mustahil. Apa yang mampu dilakukan untuk menggambarkan kenikmatan yang dilalui oleh Hayy hanya boleh dilakukan dengan penuh keterbatasan melalui bahasa figuratif dan parable. Namun ini semua tidak dapat memberikan gambaran yang sebenar-benarnya. (77)

Hayy Bertemu Asal

Ibnu Tufail kemudian mengisahkan bagaimana Hayy bertemu dengan Asal. Asal merupakan seorang yang mahu memisahkan diri dari masyarakat dan mencari ketenangan melalui solitude. Pencarian beliau telah membawanya ke pulau di mana Hayy tinggal bersendirian. Asal kemudian mengajarkan Hayy bahasa pertuturan dan mendapati bahawa apa yang telah dicapai oleh Hayy melalui proses pemikirannya yang tersendiri tidak banyak bezanya dengan kefahaman agamanya. Disini Asal membuat kesimpulan bahawa tradisi dan renungan akal itu membawa kepada satu destinasi kefahaman yang sama. (96)

Asal kemudian membawa Hayy bertemu dengan masyarakat, dengan harapan bahawa Hayy dapat mengajarkan apa yang telah dia kecapi melalui proses perenungan dan berfikir. Namun mereka akhirnya hampa, kerana masyarakatnya terlalu sibuk dengan perkara yang bersifat material. Mereka terlalu sibuk mengumpul harta. Mereka terlalu cinta kepada keinginan-keinginan mereka, mereka sibuk bekerja untuk keinginan mereka hinggalah kubur-kubur mereka digali. (102) Asal dan Hayy mengambil keputusan untuk pulang ke pulau mereka, bermunajat bersendirian dalam solitude hinggalah sampai ajal menemui mereka.

Solitude dan Pencarian Diri

Olahan dan penerangan Ibnu Tufail tentang bagaimana solitude dapat membantu manusia mencapai pengetahuan yang sebenar amat menyegarkan. Ia juga memberi saya perspektif baharu perihal kenapa manusia suka mencari ketenangan berseorangan. Suka ke tempat yang tiada orang seperti di dalam hutan dan belantara, di tepi sungai dan air terjun, di tepi pantai mendengar deruan ombak, tempat-tempat solitude ini berjaya melahirkan perasaan tenang dalam diri manusia yang tak dapat dihasilkan dari solusi, teknologi dan ciptaan moden manusia.

Bagi Ibnu Tufail, solitude merupakan ruang ideal manusia untuk berfikir dan mengembangkan pemikirannya. Beliau menerangkan, melalui allergori-allergori bahawa ilmu sebenar bukan sekadar ilmu yang dapat dicerap melalui deria, juga bukan sekadar logik, falsafah dan eksperimen minda. Tetapi juga merangkumi perasaan-perasaan yang kita rasai dalam solitude, perasaan yang membawa kita berjumpa dengan diri kita sendiri. Malah bagi Ibnu Tufail, solitude merupakan metodologi untuk manusia mencapai ilmu yang tertinggi. (107)

Antara allergori Ibnu Tufail yang paling jelas adalah sebuah pulau yang tidak didiami manusia. Solitude manusia di pulau ini, dengan keindahan alam ciptaan Tuhan merupakan habitat fitrah asli bagi pembangunan minda manusia jauh dari segala kekotoran dan korupsi masyarakat. Bersendiri diselubungi alam buana dapat membantu manusia jauh dari tarikan dan gangguan manusia lain, jadi dia dapat fokus dan memerhatikan dirinya. Merasai dirinya. Merasai hidup.

Bagi Ibnu Tufail, gua adalah simbol kepada tempat manusia bertafakkur dan berfikir. Bukan seperti pemahaman gua kita, gua dianggap tempat penuh kegelapan, kita masuk ke dalam gua hanya ketika pasukan bola yang kita minati tewas. Bagi Ibnu Tufail, gua adalah tempat kita meneroka diri kita, jauh dari hiruk pikuk manusia yang bising dengan urusan dunia mereka. Ia adalah tempat kita mengembara di dalam diri, dari pengembaraan ini kita berpeluang menjumpai ketenangan. (111) Gua bagi Ibnu Tufail, melindungi manusia dari segala kekotoran yang dibawakan masyarakat, seperti Rousseau yang merasakan bahawa masyarakatlah yang merosakkan fitrah manusia. (112-113) Bagi saya tafsiran dan allergori Ibnu Tufail ini lebih memuaskan dalam menafsirkan sebab manusia suka mencari masa bersendiri. Juga bercuti di tempat-tempat yang jauh dari manusia lain. Kerana meski pun masyarakat menyuruh kita berlari-lari mengejar dunia dan kerjaya, jauh dalam sudut hati kita, kita mempunyai kerinduan untuk bersendiri dalam ketenangan dan kebahagiaan.

Kesimpulan

Novel karya Ibnu Tufail ini sarat dengan perbahasan-perbahasan falsafah perihal diri manusia, fitrah manusia, kehidupan, roh, dan juga Tuhan. Walaupun idea asal kisah beliau tidaklah original, kemasukan idea-idea falsafah metafizik dalam mengembangkan kisahnya itulah yang menjadikannya original. Dapatan paling penting saya dari bacaan ini adalah kepentingan untuk kita berada dalam solitude dalam kehidupan. Saat hidup terasa sesak, serabut, terlalu laju, kita memerlukan masa-masa untuk bersendiri dan bermunajat kepada Tuhan. Pada masa itulah kita mampu make sense apa yang terjadi dalam hidup. Dan jika kita bernasib baik, kita akan bertemu dengan ketenangan.

Nota

Bagi memudahkan rujukan, setiap isi yang disentuh dan dihuraikan dalam penulisan ini disertakan dengan nombor mukasurat buku asal dalam kurungan. Versi yang dirujuk adalah versi yang diterbitkan oleh Islamic Book Trust, Kuala Lumpur pada tahun 2020.


[1] Abu Bakr Ibn Tufail. The History of Hayy Ibn Yaqzan. Translated from the Arabic by Simon Ockley. Islamic Book Trust, Kuala Lumpur, 2020.

[2] Syed Ahmad Fathi. Lalang di Lautan Ideologi. Cukong Press, 2022. Hlm. 141-143

[3] Mitch Albom. Tuesdays with Morrie. Warner, 2000.

Memahami-Falsafah-Kehidupan-dari-Allegori-Hayy-Ibn-Yaqzan-Karya-Ibnu-TufailDownload
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Reviu Buku

Lalang di Lautan Pilihanraya

November 25, 2022 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Saya kelakar setiap kali mendengar orang mengatakan pilihanraya kali ini adalah mother of all election. Seolah-olah mereka tidak pernah melihat ke belakang. Setiap kali pilihanraya ia diulang, mother of all election, sehingga ia hilang makna dan kesan. Pemilihan kali ini (PRU-15) nampak hambar. Mungkin kerana tiada isu sentral atau kontroversi besar seperti 1MDB. Yang beria hanya ahli politik, calon dan page troll, rakyat lain sepertinya tak ambil pusing. Saya melihat ini adalah perkembangan positif, sekurang-kurangnya jika angin politik bertiup hambar tak adalah bergema tanggapan-tanggapan bahawa masyarakat kita sedang menghadapi polarisasi.

Dahulu ada orang beranggapan bahawa jika kita menuju dual-party system, negara kita akan menjadi lebih stabil. Saya tidak berapa setuju dengan dual-party system, bukan kerana persoalan kestabilan, tetapi bagi saya jika kita menyempitkan ruang demokrasi kepada hanya dua pilihan ini berlawanan dengan falsafah demokrasi yang menggalakkan pemilihan. Bagi saya jika kita ada lebih banyak pilihan kita lebih demokratik. Hari ini kita melihat lanskap politik telah berubah dengan lebih drastik. Tiada lagi penguasaan satu parti yang bersifat hegemonik, tiada lagi unsur binari dan dualistik, tetapi kita punya pilihan yang meriah. Banyak muka-muka baharu. Pastinya kemeriahan ini tidak menjamin kestabilan, kerana itu bukan objek demokrasi. Objek demokrasi adalah kebebasan memilih.

Mungkin bagi sesetengah orang, sifat tidak ambil pusing rakyat akan pemilihan kali ini menggambarkan pudarnya kepercayaan rakyat pada politik. Namun ia tidak harus bersifat begitu pesimistik. Mungkin juga rakyat sudah matang dan mereka sedar politik itu bukan sekadar pilihanraya, calon, atau parti. Tapi yang lebih penting adalah polisi yang pro-rakyat. Apa juga baju yang dipakai pemimpin tidaklah begitu penting. Bagus juga kita tidak berhiruk pikuk soal pilihanraya ini. Tidak perlu berbalah. Tiba masa nanti kita pangkahlah mengikut cita rasa masing masing. Atau rosakkan sahaja undi. Undi rosak juga adalah sebahagian dari undi, kita mengundi untuk tidak memilih.

Zaman Post-Idealisme

Kalau kita meninjau dekad-dekad yang lalu, baik di zaman 70-an, 80-an, dan 90-an, kita melihat zaman ini merupakan zaman idealisme. Zaman dimana banyak perubahan digerakkan idea-idea baharu. Jika dalam politik dunia, kita melihat adanya pergolakan yang serius yang berlaku antara kem neo-liberal melawan gerakan kiri. Zaman ini melihatkan kelahiran pelbagai jenis parti, ia adalah zaman revolusi. Dikotomi yang sering kita baca pada zaman ini adalah perlawanan antara kapitalisma menentang sosialisma dan komunisma (kanan vs kiri).

Namun hari ini kita melihat pertentangan ideologi ini hampir tidak ada. Di negara kita, pertandingan antara kiri melawan kanan ini tidak wujud dalam arena politik. Ia mungkin ada di dalam penulisan, artikel, buku dan sebagainya, namun ini tidak diterjemah dalam dunia siyasah. Mengapa? Antara sebab yang disebutkan oleh ahli sejarah Perry Anderson adalah kesilapan gerakan kiri dalam memahami gerakan kanan seperti kapitalisma. Kapitalisma boleh berubah dan adapt dengan zaman baharu. Menjadikan apa yang diserang gerakan kiri semakin tidak relevan. Oleh itu kita lihat parti-parti dan gerakan kiri ini mati perlahan-lahan secara organik tanpa tekanan.[1]

Begitu juga kita lihat dalam gerakan-gerakan Islam, ada antaranya yang gagal mengambil kira perubahan zaman ke dalam retorik perjuangan mereka. Oleh itu mereka sentiasa akan menyerang perkara yang tidak ada sehingga mereka menjadi tidak relevan.

Di Malaysia secara khusus, kita melihat dengan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihanraya Umum Ke-14 menyaksikan cairnya unsur-unsur dualistik dan binari dalam politik tempatan. Ia menampakkan kecacatan serius dalam praxis perjuangan, suatu dimensi yang berbeza dari dimensi oratori dan retorik. Begitu juga dengan bergabungnya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ke dalam kerajaan baharu selepas runtuhnya PH yang mentadbir selama 22 bulan. Segala retorik-retorik dan slogan yang dilaungkan selama ini ternyata tidak berjaya dibuktikan dengan polisi yang praktikal.

Sebab itu saya merasakan kita sekarang berada di zaman post-idealisme dan pilihanraya kali ini bukan lagi pilihanraya idea kerana segalanya telah terpampang di depan mata bahawa idea-idea ini tidak berjaya diterjemahkan ke lapangan. Inilah antara sebab saya memberi nama buku saya Lalang di Lautan Ideologi, kerana kepercayaan saya pada mana-mana ideologi telah cair dan tidak lagi berakar.[2]

Saya juga merasakan ideologi seringkali menghilangkan objektiviti. Seperti yang dikatakan oleh Gabor Mate, seorang doktor dan juga penulis. Menurut Mate ideologi itu fitrahnya memasukkan dan menapis keluar. Ia menjadikan manusia itu melihat apa yang sesuai dengan ideologinya dan mengetepikan yang lain. Oleh itu seseorang itu mempunyai blindspot. Saya berpendapat, jika seseorang itu mahu menjadi orang akademik dan objektif, maka dia perlu melepaskan dirinya dari sebarang ideologi.[3]

Fitrah Manusia Untuk Berpecah

Ramai orang melihat bahawa perpecahan itu merupakan sesuatu masalah. Melayu dikatakan bermasalah kerana berpecah kepada pelbagai parti. Saya merasakan pernyataan seperti ini ada sedikit kebenaran tetapi bukanlah keseluruhan kebenaran. Hakikatnya manusia itu diciptakan secara individu. Kita diberikan oleh Allah, Tuhan sekalian alam, fikiran dan perasaan masing-masing. Walaupun masyarakat mempunyai kesan yang besar kepada individu, ini tetap tidak dapat merobohkan individualiti yang memisahkan antara satu manusia dan manusia lain.

Menurut E. H. Carr, apabila lahir sahaja seorang manusia ke muka bumi, dunia akan berkerja untuk membentuknya dan mengubahnya dari organisma biologi kepada sebuah unit sosial. Manusia dibentuk oleh masyarakat dimana dia dilahirkan, dia mewarisi bahasa dan budaya masyarakatnya.[4] Usaha membentuk mana-mana organisasi, baik politik, sosial, ekonomi, atau apa sahaja, adalah usaha untuk mencairkan sedikit individualiti untuk membentuk sebuah unit yang baharu. Bagi saya usaha ini mustahil akan berjaya seratus peratus.

Jadi sebenarnya perpecahan itu adalah satu fitrah, ia adalah satu proses yang berlaku apabila gagalnya usaha untuk mencairkan identiti individu ke dalam sebuah acuan hegemonik yang sama. Sebab itu kita melihat perpecahan ini berlaku dimana-mana dan di setiap masa dalam sejarah. Kerana manusia tidak akan berjaya memadamkan individualiti mereka. Oleh itu saya melihat perpecahan, atau anarkisme itu merupakan fitrah manusia. Penciptaan manusia secara individual itu mewujudkan perasaan penolakan terhadap hierarki dan pemerintahan.

Mencari Masalah Perjuangan

Jika kita mengatakan bahawa kita berada di zaman yang bukan lagi memperjuangkan idea, kerana idea-idea ini semuanya telah diuji dan terbukti tidak dapat berdiri sendiri. Dan jika kita mengatakan bahawa perpecahan itu satu fitrah. Adakah bermaksud kita harus bersikap individualistik dan tidak bergabung dengan mana-mana perjuangan?

Jika ditanyakan kepada saya, apa masalah yang ada di dalam negara ini yang seharusnya diangkat, bagi saya ada dua perkara. Pertama yang berbentuk material. Kedua adalah yang berbentuk abstrak. Perkara material yang harus kita perjuangkan pada pandangan saya adalah keperluan material bagi rakyat biasa untuk hidup. Perkara asas ini adalah perkara pertama yang perlu diselesaikan. Memastikan setiap rakyat di negara ini mempunyai nasi untuk disuap ke mulut, atap untuk berteduh, dan keselamatan untuk membesarkan keluarga. Termasuk dalam hal ini adalah soal pendidikan. Memastikan tiada anak-anak yang tercicir dari sekolah kerana faktor kewangan.

Kedua adalah pembentukan satu identiti nasional. Ini mungkin agak cliché namun saya merasakan ia penting kerana ia dapat mengurangkan ketegangan antara kaum dan mewujudkan masyarakat yang lebih egalitarian dan saksama. Ia tidak boleh bersifat drastik dan radikal kerana ia akan dimusuhi, ia perlu bersifat gradual dan organik. Tetapi usaha ke arahnya mesti ada. Jika tidak kita tidak akan dapat memecahkan prasangka antara kita.

Kesimpulan

Oleh itu bagi saya, dalam pilihanraya ini, pilihan kita mestilah orang-orang yang mempunyai dua agenda ini. Dia mestilah menyelesaikan persoalan material rakyat. Kerana tiada guna ideologi dan falsafah yang melangit andai rakyat mati kebuluran. Ideologi tidak mengenyangkan perut bayi-bayi yang dahagakan susu. Kemudian harus ada kesedaran, kesediaan, dan perancangan untuk bergerak kepada sebuah identiti nasional untuk membolehkan negara ini bergerak mengharungi cabaran seterusnya.

Sesi Soal-jawab

  • Ada pandangan yang mengatakan bahawa gerakan Islam telah sampai ke syilingnya, dan sekarang kita berada di zaman post-Islamisme yang mementingkan maqasid. Adakah perkara ini bagus atau tidak?

Saya merasakan bahawa perubahan itu akan terjadi sama ada kita suka atau tidak. Islam memang sentiasa berubah sepanjang zaman kerana itu sifatnya, sifatnya yang akan sentiasa sesuai sepanjang zaman. Sama ada perubahan itu digelar post-Islamisme atau apa sahaja bagi saya itu sekadar semantik. Contoh yang saya gemar akan hal ini adalah fatwa-fatwa Yusuf Qardhawi yang sering kali mendahului zaman. Pada mulanya disifatkan sebagai pandangan minoriti, namun banyak yang akhirnya diterima oleh majlis-majlis fatwa seluruh dunia.[5]

  • Apakah pandangan anda tentang matlamat politik gerakan haraki yang diasaskan Imam Hassan Al-Banna?

Setiap gerakan Islam mempunyai ijtihad masing-masing tentang apa yang perlu dibangunkan dalam umat. Ada yang melihat pada pembangunan jiwa, ekonomi, dan politik. Masing-masing sebenarnya saling melengkapi antara satu sama lain dan tidak boleh dianggap berlawanan. Masing-masing mempunyai hujah masing-masing. Jadi saya merasakan perjuangan untuk kuasa itu tidaklah salah, kerana ada pandangan yang melihat tanpa kuasa orang Islam akan ditindas. Dalam politik global hari ini kita melihat bagaimana might makes right, inilah yang memberi Amerika Syarikat kuasa hegemoni. Jadi tidaklah salah jika kita mahu membina semula kekuasaaan agar kita boleh mempertahankan diri.

  • Apakah bentuk identiti nasional untuk negara ini? Bagaimana ia mampu disesuaikan dengan semua termasuk Sabah dan Sarawak?

Saya berpandangan perkara yang paling mudah untuk dijadikan asas kepada identiti nasional adalah bahasa. Berbeza dengan agama, kita boleh menguasai dan mempunyai lebih dari satu bahasa.

  • Ada yang berpandangan kita perlu utamakan pendidikan berbanding kuasa. Namun tak semua orang mampu mendapat akses pada pendidikan.

Saya berpandangan pendidikan bukanlah apa yang kita dapat di sekolah dan universiti sahaja. Tidak dinafikan pendidikan formal itu penting dalam mengabsahkan ilmu kita. tetapi ini tidak bermakna orang yang tidak berijazah itu tidak berilmu. Jadi bagi saya pendidikan itu tetap yang utama, sama ada kita berkuasa atau tidak ia perlu berjalan. Kita perlu mendidik dan juga dididik. Pendidikan akan sentiasa wujud dalam kehidupan jika kita mahu belajar. Ia adalah proses sepanjang hayat. Dan hari ini teknologi telah mendemokrasikan pendidikan. Banyak syarahan-syarahan akademik yang lebih berkualiti dapat kita dengari di Youtube berbanding dewan kuliah universiti. Jadi saya kira walaupun akses pendidikan formal itu terbatas, akses kepada pendidikan sebenar tiada batasan, batasannya hanya keinginan dan usaha.


[1] Conversations with History: Perry Anderson. Video diterbitkan oleh University of California Television (UCTV) pada 01 Februari 2008. Pautan: https://www.youtube.com/watch?v=jjTKsRfVM9Q

[2] Syed Ahmad Fathi. Lalang di Lautan Ideologi. Cukong Press, 2022.

[3] A conversation with Gabor Maté and Ilan Pappé. Exeter Institute of Arab and Islamic Studies, 18 Mac 2022. (Pautan: https://www.youtube.com/watch?v=mVT4WY-IzZ4&t=3526s , lihat minit 14:50)

[4] E. H. Carr. What is History? Penguin Books, 1964. Hlm. 31

[5] The Life, Legacy, and Thought of Shaykh Dr. Youssef al Qaradawi. Kuliah oleh Dr. Yasir Qadhi. Pautan: https://www.youtube.com/watch?v=QBJaA6SAk_E

Lalang-di-Lautan-PilihanrayaDownload
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Politik

Meninjau Pemikiran Edward Wadie Said Dalam Orientalism: Perihal Konstruksi Barat Terhadap Timur

November 22, 2022 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Abstrak

Tinjauan ini cuba mengeluarkan perbahasan dan isi-isi utama dari buku Orientalism: Western Conceptions of the Orient tulisan Edward Wadie Said dan menghuraikannya. Tinjauan ini bukanlah bermaksud menjadi terjemahan literal ke atas teks yang ditulis oleh Edward Said, sebarang terjemahan dalam tinjauan ini diterjemahkan dan dipermudahkan dengan bebas mengikut kesesuaian bahasa tanpa mengubah maksud asal penulis. Tinjauan ini cuba untuk mengetengahkan isi utama dalam penulisan Edward Said termasuklah definisi dan konsep Orientalism, perkembangan dan sejarahnya sebagai cabang ilmu, serta bagaimana lapangan kajian Orientalism dijadikan alat penguasaan, kolonialisme dan imperialisme.

Kata kunci: Edward W. Said, Orientalism, Colonialism, Post-Colonialism, Imperialism, Literature Criticism, Representation, Orient, Occident, Politics, Strategic Location, Intelectual Decay, History, Liberal Culture, Textual Attitude

Pendahuluan

Antara siri syarahan-syarahan yang saya gemari adalah syarahan-syarahan oleh Edward Said, tema yang selalu beliau bawakan adalah penentangan beliau terhadap pendapat-pendapat perihal budaya yang ditulis oleh Bernard Lewis. Beliau juga sering mengkritik idea Clash of Civilisations nukilan Samuel P. Huntington yang bagi beliau merupakan intipati ideologi yang memberi nafas baru kepada polisi militer Amerika selepas habisnya Perang Dingin, idea Huntington menurut Said memberi semula pekerjaan kepada kontraktor-kontraktor perang yang kehilangan pekerjaan selepas tamatnya Perang Dingin, kini berkat idea Huntington, kuasa hegemonik dunia, Amerika Syarikat, mempunyai musuh baharu – Islam.

Naskah Orientalism ini telah lama duduk di dalam almari bacaan saya, naskah saya merupakan naskah preloved, di lembaran pertama tertulis “Sarah Graham. Jan. 1993.” – mungkin merupakan pemilik terdahulu, saya berhajat untuk membaca karya yang sangat berpengaruh ini perlahan-lahan, sambil mencoret nota sepanjang penelitian saya. Sebahagian dari nota yang saya coretkan pernah diterbitkan secara bersiri di ruangan Cerna Minda Research Academy (Cemara). Saya mula membaca naskah ini pada Oktober 2020 dan menghabiskannya pada April 2021. Manakala tinjauan ini pula hanya berjaya saya siapkan pada bulan Mac 2022. Oleh itu anda mungkin mendapat gambaran bertapa besarnya karya ini, ia mengambil masa hampir 3 tahun buat saya menekuninya.

Sebelum kita masuk ke dalam pendahuluan buku ini, elok kita kenali dahulu serba sedikit perihal pengarangnya, satu sosok yang penting dalam pengkajian sejarah budaya. Edward Wadie Said dilahirkan di Palestin pada tahun 1935, ayahnya berkhidmat sebagai tentera Amerika Syarikat lantas melayakkannya untuk mendapat status kewarganegaraan. Said mendapat pendidikan di Jerusalem kemudian di Mesir sebelum melanjutkan pengajian di Massachusetts. Beliau menamatkan sarjana muda di Princeton sebelum mendapat ijazah dan doktor falsafah dari Harvard dalam bidang sastera Inggeris. Buku Orientalism ini diterbitkan pada tahun 1978 (44 tahun lalu) dimana Prof. Edward Said menganalisa tulisan ahli akademik Barat dalam membangunkan konsep Oriental yang beliau anggap bias dan bersifat stereotaip terutamanya terhadap dunia Arab-Islam, usaha ini dilakukan bagi menyokong projek kolonial Barat di kebanyakan dunia Islam.

Professor Edward Said juga disifatkan sebagai Bapa Kajian Post-Colonial, buku beliau Orientalism ini, setelah 44 tahun diterbitkan, masih lagi relevan. Perbahasan-perbahasannya masih lagi menyengat, periwayatan tentang bagaimana ilmu perihal ketimuran mengikut neraca Barat sangat membuka minda dan memaksa minda kita berfikir, termenung, dan merenung. Merenung malah ke dalam falsafah-falsafah asas, tentang apa itu ilmu? Bagaimana ia dihasilkan? Dalam perbahasan polemikal Said, ilmu yang difokuskan adalah ilmu perihal Timur yang digelar sebagai Orient.

Penciptaan Konsep “Orient”  Oleh Eropah

Dalam pendahuluannya, Said merekodkan bahawa konsep “Orient” adalah hampir keseluruhannya merupakan ciptaan orang Eropah, ia digambarkan sejak dahulu sebagai tempat yang romantik, penuh dengan hidupan exotik, yang meninggalkan memori yang menggamit serta dihiasi oleh lanskap yang menghasilkan pengalaman yang menakjubkan. (1) Orientalism pula merupakan kaedah atau cara Barat untuk mendominasi, menyusun semula, dan menguatkuasakan pengaruh mereka di dunia Oriental. Hasilnya, melalui pengamatan Said, tulisan-tulisan yang lahir berkenaan subjek ini sering dibatasi pemikiran yang ditekankan oleh Orientalism. Pemikiran ini memberikan kebudayaan Eropah kekuatan dan identiti yang berlawanan dengan sifat-sifat Orient yang dicipta.(3)

Orient dan Occident merupakan ciptaan manusia seperti mana juga konsep Barat merupakan ciptaan manusia. Idea perihal Orient ini mempunyai sejarah dan tradisi pemikiran, imej-imej, juga perbendaharaan kata yang memberikan idea tersebut kelihatan mempunyai realiti dan kewujudan. Oleh itu, bagi Said, adalah satu kesilapan untuk mengatakan Orient hanyalah sebuah idea atau ciptaan yang tidak mempunyai realiti. Analisis perihal kewujudan idea dan realiti perihal Orient mestilah difahami dari sudut pandang perhubungan kekuasaan antara Orient dan Occident, kerana hubungan mereka merupakan hubungan kekuasaan, dominasi, dan hegemoni yang kompleks. (5)

Said memberi contoh berkenaan wanita Mesir yang bernama Kuchuk Hanem di dalam novel yang ditulis novelis Perancis, Gustave Flaubert. Diskripsi Flaubert tentang Hanem membentuk satu idea yang terkenal berkenaan dengan sifat-sifat wanita Orient. Padahal Hanem tidak pernah berbicara perihal dirinya, tidak pernah menzahirkan emosinya, menerangkan kewujudannya, juga sejarahnya. Hanya Flaubert yang bercakap untuk pihak Hanem, dia seolah-olah wakil yang tidak dilantik tetapi dapat memberikan sifat-sifat kepada Hanem. Contoh ini bukanlah contoh yang unik, terasing, atau tersendiri, tetapi ia adalah naratif yang selalu wujud dalam karya-karya Orientalis. (6)

Tetapi Said tidak bersedia untuk mengatakan bahawa struktur kefahaman Orientalis hanyalah tipu daya dan mitos, ia adalah tanda kekuasaan Eropah ke atas dunia Orient. Beliau menegaskan bahawa apa-apa sistem idea yang mampu bertahan, tidak berubah dan senantiasa diajar sebagai satu bentuk ilmu selama beratus-ratus tahun mestilah mempunyai kualiti yang lebih hebat dari sekadar koleksi penipuan. (6)

Konsep Budaya Menurut Gramsci dan Orientalism Sebagai Cabang Ilmu

Membicarakan soal budaya, Said meminjam idea Gramsci perihal perbezaan antara masyarakat sivil dan masyarakat politik, masyarakat politik memerlukan tentera, polis dan biro pengawal yang mana tugas mereka adalah untuk mengawal masyarakat. Budaya menurut Gramsci wujud dalam masyarakat sivil di mana pengaruh idea bertindak bukan melalui dominasi tetapi persefahaman. Orientalism pula terbentuk dari budaya hegemoni iaitu idea bahawa orang-orang Eropah adalah lebih superior dari orang bukan-Eropah dari sudut kemasyarakatan dan budaya. (7) Perbahasan-perbahasan ini merupakan perbahasan awal dalam pendahuluan yang ditulis oleh Edward Said dimana beliau memperlihatkan permasalahan yang ingin beliau teliti dan bincangkan.

Orientalism menurut Said bukan sahaja telah menjadi satu cara fikir untuk melihat budaya, malah ia telah menjadi satu cabang keilmuan yang besar. Dengan mengatakan ia menjadi sebuah cabang ilmu, Said tidak mengatakan bahawa ahli akademik Orientalis sebagai tidak jujur atau mengkhianati ilmu. Sebaliknya, ia terhasil kerana tiada siapa yang pernah mencipta metodologi untuk memisahkan pengkaji dengan keadaan kehidupan sekelilingnya, memisahkan pengkaji dengan penyertaannya (sama ada dalam sedar atau tidak) dalam kelas, kepercayaan, kedudukan sosial, atau ahli kepada sesuatu segmen masyarakat. Semua keadaan ini memberi kesan kepada pengkaji tadi akan kerja-kerja akademiknya walaupun dia cuba sedaya upaya untuk menjadi pengkaji yang bebas dan objektif. Oleh itu, bagi Said, kita tidak dapat untuk mengatakan bahawa Orientalism merupakan cabang ilmu yang non-politikal. (10)

Said membincangkan persoalan adakah ilmu yang “benar” adalah ilmu yang tidak berunsur politik, sementara ilmu yang berunsur politik bukanlah merupakan ilmu yang “benar”? Perkara ini sering digunakan sebagai senjata dalam perdebatan politik, untuk membuang sesuatu ilmu atau fakta, ia hanya perlu dilabel sebagai politikal atau mempunyai niat-niat politik disebalik fakta tersebut, jadi ia akan dilihat sebagai fakta yang tidak jujur. (10) Bagi Said, setiap bahagian ilmu itu mempunyai kadar politik tertentu, kajian perihal sumber tenaga bagi industri tentera Soviet yang dijalankan oleh Kementerian Pertahanan adalah ilmu yang mempunyai kadar unsur politik yang kuat. Manakala kajian berkenaan dengan tulisan kesusasteraan Tolstoy oleh sebuah yayasan mempunyai kadar unsur politik yang lebih lemah, walaupun kedua-duanya merupakan kajian bidang keilmuan dalam kategori umum – Russia. (10-11)

Era dimana ilmu-ilmu Orientalism dilahirkan mempunyai pengaruh politik imperialisme yang sangat kuat, sehingga ia mengawal keseluruhan cabang ilmu tersebut baik dari sudut kajian, imaginasi, juga institusi akademik. Ia begitu kuat dan dominan sehingga untuk menghasilkan sebarang kerja yang bersifat akademik dan sejarah tanpa sebarang pengaruh dari politik imperialisme adalah satu perkara yang mustahil. (14) Said mengkritik hero-hero budaya liberal seperti John Stuart Mill, Macaulay, Ruskin, George Eliot, malah Dicken, yang semuanya mempunyai pandangan perihal bangsa dan imperialisme. John Stuart Mill sebagai contoh, mengatakan bahawa tulisannya On Liberty dan Representative Government tidak boleh diaplikasikan di India kerana India secara tamadunnya dan juga bangsanya lebih rendah, Mill merupakan pegawai kolonial di British East India Company dan beliau mempertahankan Imperialisme British di dalam tulisannya. (14)

Walaupun naskah ini ditulis Said bagi mengkritik gambaran yang dibuat oleh Orientalis Barat terhadap masyarakat Timur, beliau berpandangan bahawa bukanlah keilmuan yang dibangunkan Orientalis Barat itu langsung tidak membawa apa-apa sumbangan terhadap khazanah ilmu manusia. Beliau mengiktiraf sumbangan yang dilakukan dalam lapangan kajian ini terutamanya pada abad ke-19 dimana ia telah menambah jumlah bahasa yang diajar di Barat, ia juga menambah pelbagai jenis manuskrip yang disunting, diterjemah, dan dihuraikan. Ia menyediakan kepada dunia Timur pelajar-pelajar dari Eropah yang jujur dalam semangat mereka menggali ilmu. Namun fahaman Orientalism ini menggantikan Timur yang sebenar, sebagai satu fahaman tentang Timur. Dalam erti kata lain, Timur bukan lagi Timur yang hidup dan original, sebaliknya ia digantikan dengan tafsiran dan gambaran yang dibuat oleh Orientalis. Sering kali idea dan ilmu yang diambil dari Timur ini dijadikan alat politik untuk digunakan untuk menguasai Timur. (96) Antara definisi Orientalism bagi Said adalah sebuah sistem ilmu Eropah atau Barat tentang Timur. Sistem ilmu ini sinonim dengan penguasaan Barat ke atas Timur. (198) Andaian asas beliau dalam mengetengahkan thesis beliau adalah bidang keilmuan mempunyai limitasi dan dipengaruhi oleh masyarakat, tradisi, keadaan dunia, juga institusi-institusi seperti sekolah, perpustakaan dan kerajaan. Sesuatu penulisan menurut beliau tidak pernah bebas, ia sentiasa terikat dengan imaginasi, andaian dan juga motif. Perkara yang sama berlaku dalam bidang Orientalism, ia merupakan bidang yang tidaklah begitu objektif seperti yang selalu kita fikirkan. (201-202)

Mengkritik produksi ilmu yang dihasilkan Orientalis, Said menyatakan bagaimana ilmu yang dihasilkan oleh barisan sarjana ini sekadar penyalinan semula, tanpa difikirkan, dan tanpa dikritik dan ditulis komentari perihalnya. Ilmu dalam perspektif ini tidak memerlukan kebolehannya untuk diaplikasikan dalam dunia sebenar, apa yang penting adalah ilmu itu ada dan ditulis. Inilah secara literalnya apa yang dikatakan sebagai idees recues – idea yang diterima tanpa soal. (116) Hanya kerana ia pernah ditulis, dan ia diterima sebelum ini, maka ia dianggap sebagai idea yang benar tanpa apa-apa soalan kritikal ditanya perihalnya. Fungsi Orientalism menurut Said adalah sebagai satu bidang yang mengumpul bahan-bahan Oriental dan menyusunnya secara sistematik kemudian mengawal penyebaran bahan-bahan ini sebagai satu bidang ilmu yang khusus. (165)

Edward Said juga berkomentar perihal pembangunan keilmuan. Menurut beliau pembangunan keilmuan terutamanya ilmu-ilmu khusus merupakan satu proses yang perlahan. Ia tidak sekadar bersifat kumulatif atau berganda melalui penambahan. Proses pembangunan ilmu-ilmu khusus ini melibatkan proses pengumpulan yang selektif, mengganti sesuatu fakta dengan fakta yang baru, pembuangan fakta yang sudah luput dan tidak lagi benar, penyusunan semula, serta pemilihan melalui consensus berdasarkan kajian. (176) Dalam bidang Orientalism, Said berpendapat para cendiakawan Barat hanya menulis semula apa yang sudah ditulis oleh Orientalis sebelum mereka, walaupun mereka mendapat informasi baharu mereka tetap akan menganalisanya dan menulisnya semula melalui perspektif, ideologi, dan thesis Orientalis sebelum mereka. Dari praxis ini, menurut beliau, ia tidak menjadi bidang ilmu yang berkembang secara organik, sebaliknya hanya menjadi satu proses penulisan semula (re-writing). (177)

Metodologi, Skop dan Sumber Teks Orientalism

Edward Said menjelaskan bahawa kajiannya memfokuskan teks-teks dari tiga kuasa imperial utama iaitu British, Perancis, dan Amerika Syarikat. (15) Kajiannya berusaha untuk menjawab persoalan seperti bagaimana subjek-subjek seperti sejarah, biologi, teori politik dan ekonomi, dan penulisan menjadi alat untuk membentuk pemikiran Orientalis yang mempunyai pandangan imperialis terhadap dunia. (15) Said sedar dengan mengecilkan skop perbincangan teks beliau, beliau tidak dapat berlaku adil terhadap karya-karya Orientalis lain seperti yang dihasilkan oleh German, Itali, Russia, Sepanyol dan Portugis. Beliau juga sedar bahawa kecenderungan untuk mengkaji Oriental pada abad ke-18 merupakan hasil revolusi dalam Biblical studies, namun ini bukan fokus beliau. Bagi beliau kuasa imperialis yang penting adalah British dan Perancis, kemudian diteruskan oleh Amerika selepas Perang Dunia Ke-2, kualiti, kuantiti, dan kedalaman pengetahuan Orientalis yang dihasilkan tiga kuasa besar ini menjadikannya sebagai sumber kajian yang lebih penting berbanding kuasa-kuasa lain menurut Said. (17)

Antara metodologi yang digunakan Said dalam analisanya terhadap teks-teks Orientalim adalah strategic location dimana penulis dinilai perihal kedudukannya di dalam teks yang ditulisnya, juga berkenaan dengan isi yang ditulisnya. Metodologi ini merupakan strategi beliau dalam menentukan masalah utama yang dihadapi oleh penulis-penulis Orientalis iaitu bagaimana untuk menguasai subjek yang mereka tulis, bagaimana hendak mempersembahkannya, dan bagaimana untuk tidak dikalahkan atau tidak ditenggelami oleh subjek yang ditulisnya yang penuh dengan keagungan, skop yang luas dan dimensi yang pelbagai. (20) Bahagian-bahagian yang diteliti beliau termasuklah stail, penggunaan bahasa, latar, dan naratif. Beliau tidak menganalisis sama ada kerja-kerja yang dilakukan Orientalis itu benar pada persembahannya ataupun sesuatu karya itu setia kepada keaslian atau tidak, kerana ini bukan merupakan skop atau fokus beliau. (21)

Edward Said dalam skop kajian beliau tidak membatasi sumber analisa beliau hanya kepada teks akademik, tetapi beliau turut menganalisa tulisan sastera, perbahasan politik, bahan-bahan berita, buku-buku travelog, kajian keagamaan dan kajian filologi. Beliau mendapati, salah satu cara Orientalism berubah untuk menjadi cabang ilmu yang authoritatif adalah dengan memetik kajian dan tulisan sesama mereka. Dalam kata lain, Orientalism adalah sebuah sistem yang memetik bahan, kajian dan tulisan penulis-penulis sebelumnya. Tulisan Edward William Lane, Manners and Customs of the Modern Egyptians sebagai contoh, dibaca dan dipetik oleh pelbagai figura-figura Orientalis lain seperti Nerval, Flaubert, dan Richard Burton  hingga ia dilihat sebagai satu sumber penulisan yang besar nilainya. (23)

Motif dan Kelemahan Kajian Edward Said

Semakin lama saya membaca buku ini, semakin perlahan kelajuan membaca saya. Permulaannya agak mendatar, namun semakin dalam ia semakin membangkitkan rasa ingin tahu dalam diri saya. Sudah lama rasanya saya tidak bertemu dengan buku yang menyebabkan saya begitu teruja, sanggup mencari cahaya-cahaya malap di malam hari agar boleh ditumpahkan ke helaian-helaian buku untuk dibaca. Mungkin buku yang pernah meremangkan perasaan ingin tahu saya seperti ini adalah bacaan saya pada buku Norman G. Finkelstein pada satu ketika dahulu, yang bertajuk The Holocaust Industry. Baik, mari kita teruskan pembedahan kita pada karya Edward Said ini.

Edward Said sedikit merendah diri dalam mempersembahkan kajiannya, beliau memperakui bahawa antara kelemahan kajian beliau, yang beliau harap dapat dikupas oleh generasi mendatang adalah memberikan alternatif tentang bagaimana kita boleh mengkaji budaya dan masyarakat asing secara bebas tanpa perspektif yang bersifat manipulatif dan represif. Untuk menyediakan alternatif ini, kita perlu memahami interaksi kompleks antara kekuasaan politik dan penghasilan ilmu. (24) Kerana mereka yang punya kuasa (kuasa akedemik, intelektual, teknologi) yang akan menulis dan mengkaji budaya dan masyarakat lain, yang tidak mempunyai kuasa, oleh kerana itu, kajian itu akan menjadi bias atau bersifat prejudis.

Beliau berharap tulisannya dapat membangkitkan perdebatan tentang anggapan dan assumption yang selama ini diterima sebagai fakta tanpa dicabar secara intelektual. (24) Kerana fakta-fakta yang tidak dicabar ini akan menjadi asas kepada pengembangan ilmu, jika ia tidak dinilai secara kritikal, ia akan melahirkan keilmuan dan ilmuan yang mempunyai konklusi yang terkhilaf.

Antara sebab lain, mengapa beliau menulis perihal kajian Orientalism ini adalah kerana beliau ingin mengenali dirinya sendiri. Beliau memetik tulisan Gramsci dalam Prison Notebooks bahawa untuk menjadi seseorang yang mempunyai pandangan yang kritikal, seseorang itu mestilah sedar bahawa dia merupakan produk sejarah, sejarah telah meninggalkan pelbagai kesan kepada dirinya, tetapi sejarah tidak memberi kita senarai perihal peristiwa-peristiwa yang telah memberi kesan sehingga kita menjadi “kita” seperti hari ini. Oleh itu tugas kita adalah untuk mempelajari sejarah, dan memahami bagaimana ia telah membentuk kita pada hari ini. Bagi Said yang membesar di dua koloni British, Palestin dan Mesir, beliau ingin mengkaji sejarah yang membentuk dirinya. (25)

Sejarah Permulaan Orientalism di Barat

Bagi masyarakat Kristian Barat, Orientalism sebagai satu bidang ilmu bermula apabila Dewan Gereja Vienne menubuhkan bidang kajian Arab, Yunani, Hebrew dan Syriac di Paris, Oxford, Bologna, Avignon dan Salamanca pada tahun 1312. (49-50) Mana-mana subjek atau bidang keilmuan sukar diberikan satu definisi yang statik, kekal sepanjang zaman, dan menyeluruh. Hal ini kerana setiap bidang ilmu sering berkembang, malah ada yang berkembang sehingga tidak lagi sama sifatnya dari bentuk asalnya, hal yang sama adalah benar perihal ilmu Oriental. (50) Bagi Said, Orientalis boleh jadi merupakan ahli akademik, contohnya Sinologis yang mengkaji perihal China, atau seorang yang mempunyai minat yang mendalam perihal Timur seperti Hugo dan Goethe, atau kedua-duanya sekali, seorang akademik, dalam masa yang sama merupakan seorang enthusiast seperti Friedrich Schlegel. (51)

Pada separuh pertama abad ke-19, kota Paris merupakan pusat dunia kesarjanaan Orientalis. (51) Kesarjanaan dalam bidang Orientalis mengkaji pelbagai disiplin ilmu, ia merangkum bidang yang menyeluruh termasuklah bidang penyuntingan dan alih bahasa teks, antropologi, arkeologi, sosiologi, ekonomi, sejarah, kesusasteraan, budaya, dan ketamadunan Asia dan Afrika. (52) Tetapi penghasilan ilmu dari kesarjanaan ini bukan sahaja menghasilkan ilmu-ilmu yang positif, ia juga bercampur dengan “ilmu kelas kedua” yang merupakan cerita-cerita, mitos perihal sifat kemisterian Timur, yang merupakan mimpi dan imaginasi orang Eropah berkenaan Timur. (52) Mitos-mitos ini dapat dilihat dalam karya-karya tokoh seperti Hugo, Goethe, Nerval, Flaubert, Fitzgerald, dan yang seangkatan dengannya. (53) Oriental diberi sifat-sifat hasil generalisasi, ianya didapati malah dalam penulisan tokoh besar Anglo-American yang mengkaji perihal Islam seperti H. A. R. Gibb yang lebih suka dirinya digelar sebagai Orientalis berbanding Arabis. (53) Generalisasi ini dibuat kerana minda manusia memerlukan susunan untuk mengklasifikasikan informasi, susunan ini dibuat melalui proses diskriminasi, juga dengan usaha merekod yang dilakukan dengan intensif. Dengan cara ini kesemua informasi ini dapat dihadam oleh minda, mudah difahami dan ditafsir, dan dapat diberi peranan dalam ekonomi objek dan identiti yang membentuk persekitaran. (53)

Sistem klasifikasi ini mungkin mempunyai asas logikanya, namun mentafsir sesuatu perkara itu dengan memberikannya fungsi dalam sistem ekonomi objek mempunyai bahayanya yang tersendiri, iaitu asas pengklasifikasian itu bersifat rawak (arbitrary) yang menjadikannya tidak bermakna. Daun pisang sebagai contoh, mungkin diklasifikasikan dengan nilai yang baik dalam satu masyarakat, tetapi dianggap sebagai simbol sifat malang bagi masyarakat yang lain.(54) Oleh itu, bagi Said, sesuatu objek, tempat, atau masa yang diberi peranan dan tafsiran hanya mempunyai keabsahan yang objektif setelah diklasifikasikan. (54) Dalam hal ini, Said menggunakan istilah “fictional reality”, istilah yang sering digunakan oleh Yuval Noah Harari hari ini, fictional reality merupakan istilah yang digunakan untuk mendefinisikan perkara yang dicipta oleh minda manusia, ia wujud (reality) tetapi dalam bentuk konsep (fiction). Contohnya sempadan negara atau konsep negara itu sendiri. (54)

Mari kita lihat bagaimana Near East (Timur Tengah hari ini) diketahui oleh Barat. Sejak dari awal ia dianggap sebagai antonim kepada Barat, ini dapat dilihat dari penafsiran Bible, penyebaran Kristian, juga Perang Salib. Dari hal-hal ini sebuah arkib yang tersusun terbina berkenaan dengan pengembaraan, sejarah, legenda, stereotaip, juga konfrontasi yang bersifat polemikal. (58) Arkib ini menjadi asas dalam proses klasifikasi dan pembinaan fictional reality Barat berkenaan dengan Oriental. Pada peringkat ini Islam ditafsir menjadi sebuah imej, dan fungsi imej itu bukanlah untuk mewakili Islam, tetapi sebagai gambaran untuk disajikan buat populasi Kristian Medieval. (60)

Proses ini memberikan kesan buruk dalam penghasilan ilmu di Eropah berkenaan dengan Islam. Seperti yang dikomentarkan oleh R.W. Southern, sejarawan Oxford dalam kitabnya Western Views of Islam in the Middle Ages bahawa “sistem pemikiran Kristian Eropah tidak mampu memberi penerangan berkenaan dengan fenomena yang ingin mereka terangkan (iaitu Islam), malah ia tidak mampu memberi kesan pada peristiwa-peristiwa tersebut secara praktikal”. (62) Ini mejadikan kekolotan Eropah menjadi semakin terperinci dan kompleks, ia tidak lagi menjadi ilmu yang positif. (62) Proses ini kemudian dikembangkan kepada tamadun-tamadun yang lain seperti China dan India, tamadun lain diberikan gambaran menjadi sebuah imej, sebagai pseudo-inkarnasi dari ketamadunan asli yang hebat iaitu Tamadun Eropah Kristian, ia membawakan naratif bahawa tamadun lain hanya meniru Tamadun Eropah Kristian, mereka digambarkan sebagai tidak punya originaliti. (62)

Oleh itu Oriental sentiasa perlu “dibetulkan” malah dihukum kerana berada diluar lingkungan batasan Eropah, Oriental oleh itu telah diorientaliskan, atau dalam kata lain diberi makna dan definisi oleh Eropah meskipun makna dan definisi itu tidak dipersetujui dan tidak menggambarkan mereka yang ingin digambarkan. Proses ini menjadikan daerah Oriental sebagai daerah yang dimiliki Orientalis, pembaca yang tidak punya pengalaman mengenai subjek ini diarahkan untuk menerima kodifikasi definisi dan makna yang telah dikeluarkan oleh Orientalis seperti kodifikasi yang ditulis oleh Barthelemy d’Herbelot dalam Bibliotheque Orientale. Kebenaran, oleh itu, dalam keilmuan Orientalis menjadi satu keputusan yang dibuat oleh mereka yang terpelajar dalam bidang ini, bukan lagi material yang objektif itu sendiri. (67)

Membetulkan realiti dan mengubahnya kepada satu unit ilmu bukanlah suatu masalah, kerana semua budaya melakukan perkara ini, adalah natural bagi manusia untuk cuba memberi definisi atau menafsirkan sesuatu yang asing bagi dirinya. Namun inti kritikan Edward Said dalam proses didaktik ini adalah sikap sarjana Orientalis yang sentiasa membanding dan menyamakan aspek Timur dengan Barat, seolah-olah bahagian Timur tidak mempunyai originaliti. Agama Hindhu sebagai contoh dikatakan sebagai Germano-Kristian Pantheism versi Oriental. Orientalis sentiasa sahaja menukarkan Orient dari satu perkara kepada perkara yang lain. (67)

Antara motif awal keluarnya sarjana Barat untuk mengkaji dan mendefinisikan Timur, adalah keinginan mereka membandingkan budaya Timur dengan Kristian-Eropah, agama-agama Timur digambarkan sebagai tidak original dan merupakan heresy (bid’ah) yang dibuat oleh bangsa Timur. Kita dapat melihat contoh pemikiran ini dalam karya Dante yang bertajuk Inferno, Dante mengambarkan sebuah neraka dimana pada bulatan pertama kita berjumpa dengan tokoh-tokoh Islam seperti Avicenna (Ibnu Sina), Averroes (Ibnu Rusyd), dan Saladin (Salahuddin). Mereka ini dikisahkan Dante dalam neraka imaginasinya sebagai mendapat siksaan minima seiring dengan ahli bid’ah lain seperti Socrates, Plato, dan Aristotle.

Perkara ini bersifat anachronisms kerana tokoh-tokoh Yunani ini hidup sebelum munculnya agama Kristian, tetapi ia seolah-olah tidak dipertimbangkan oleh Dante. (69) Bagi Dante, ahli falsafah Muslim ini seolah-olah tidak arif tentang doktrin Kristian walhal di dalam Al-Qur’an, Jesus diangkat sebagai seorang nabi. Said mengkritik percanggahan ini dan melabelkan bahawa karya Dante bersifat “ahistorical” iaitu tidak bersejarah. Sebaris dengan karya yang tidak bersejarah lain seperti The School of Athens oleh Raphael juga Dialogues des morts karya Fenelon.(69)

Islam sememangnya dianggap sebagai sebuah provokasi. Sama ada Islam itu dalam bentuk Arab, Ottoman, Afrika Utara, atau Sepanyol, semuanya dilihat sebagai sebuah peradaban yang bersinar dan cahayanya menutup Rome, ia dianggap sebagai ugutan kepada Kristian Eropah, dan sentiasa menghantui pemikiran mereka. (74)

Oleh itu kita melihat banyak tafsiran-tafsiran berkenaan dengan Islam, Arab, Bangsa Timur dalam penulisan cendiakawan Kristian Barat Medieval merupakan pancaran imej yang salah, yang mengetengahkan bias, prejudis, dan imaginasi mereka. Dalam bab-bab seterusnya, Edward Said menerangkan bagaimana stereotaip ini tidak dibuang dengan timbulnya Orientalis moden tetapi ia distruktur kembali mengikut kaedah moden, stereotaip itu disekularkan sesuai dengan perubahan masyarakat Barat.

Permulaan Orientalism Moden

Orientalism moden menurut Said bermula dari penaklukan Napoleon ke atas Mesir pada 1798, penaklukan ini merupakan model bagaimana sebuah budaya boleh dirampas secara saintifik, ia adalah permulaan baharu hubungan antara Timur dan Barat. (42) Sehebat atau sekreatif manapun seorang penulis itu yang menulis perihal Orient (Timur), pemikiran mereka sentiasa dibatasi Orientalism, kerana Orientalism akhirnya merupakan visi politik yang membentuk realiti. Visi yang membentuk Eropah sebagai “kami” dan Timur sebagai “mereka”. (43) Pemikiran ini akhirnya melahirkan pemikiran binary.

Dalam mengkritik pemikiran binary ini, jika dahulunya adalah Balfour, hari ini kita mempunyai Henry Kissinger yang merupakan persona politik penting di Amerika Syarikat. Bagi Kissinger, dunia ini terbahagi kepada dua, Amerika dan Barat dan selebihnya adalah negara Dunia Ketiga (Third World Countries). (46) Bangsa Barat dianggap lebih emperikal, maju selepas mengalami Newtonian Revolution, manakala negara kelas ketiga tertinggal dari revolusi ini, mereka hanya menjadi pemerhati. (47)

Keilmuan Barat perihal Timur (Orient) itu mempunyai kaitan langsung dengan projek kolonial dan juga penguasaan. Ia menjadi ilmu yang mendefinisikan Timur melalui ilmu-ilmu Barat, walaupun dalam banyak hal, bangsa-bangsa Timur tidak seperti yang diungkapkan dalam buku dan penulisan Orientalis. Definisi Timur, sifat-sifatnya, pemikirannya semuanya cuba dimuatkan dalam satu definisi, walhal manusia itu kompleks. Pemikiran-pemikiran simplistik seperti inilah yang dicabar oleh Edward Said.

Orientalism moden yang bermula dengan penaklukan Napoleon terhadap Mesir pada tahun 1978 juga ekspedisinya meneroka Syria menurut Edward Said tidak lagi berselindung disebalik kajian komparatif Biblical Orient, tetapi menggunakan teknik moden, rasional dan sekular. Di sini kita melihat kajian Oriental disekularkan dengan mengekalkan bias dan stereotaip sedia ada, cuma rasionalnya sudah berbeza, jika sebelum ini dirasionalkan dengan dalil agama, kini ia dirasionalkan dengan sains yang sekular. (76)

Napoleon mempunyai cita-cita yang tinggi, beliau mahu menakluki keseluruhan Mesir. Untuk itu beliau membuat perancangan yang sangat rapi, perancangan yang sangat skematik, saintifik, metodikal dan tekstual. Tiga sebab membuatkan Napoleon mengambil keputusan untuk menawan Mesir. Pertama, kejayaan ketenteraannya menyebabkan tiada lagi kawasan untuk dikembangkan keagungannya melainkan ke arah Timur. Kedua, Napoleon sejak mudanya memang meminati Orient, beliau melihatnya sebagai satu tempat yang mampu memberinya keagungan seperti apa yang dicapai oleh Alexander. Ketiga, beliau berpendapat bahawa Mesir merupakan kawasan yang sudah difahami dan dipelajari dari sudut strategi dan sejarah – jadi ia mudah ditawan. Ekspedisi Napoleon bukan merupakan ekspedisi ketenteraan biasa, beliau membawa bersamanya sekumpulan 167 saintis. Bagi Said, ia adalah ekspedisi pertama keilmuan dalam bidang Orientalis yang digunakan bagi tujuan kolonial. (80)

Pengetahuan Napoleon perihal Mesir banyak bergantung dari tulisan pengembaraan Comte de Volney. Bagi Napoleon yang membaca Volney, ada tiga halangan utama hegemoni Perancis ke atas dunia Orient, iaitu England, Ottoman, dan yang ketiga, yang paling sukar adalah Muslim. (81) Penulis Arab awal perihal ekspedisi ini, Abd-al-Rahman al-Jabarti kagum dengan kelicikan strategi Napoleon, beliau mengagumi taktik Napoleon yang menggunakan para cendiakawan untuk menguruskan masyarakat peribumi, beliau sentiasa meletakkan dirinya dalam posisi yang kelihatan seperti berjuang untuk Islam, dan setiap ucapan beliau diterjemah ke Bahasa Arab Al-Qur’an. Beliau sentiasa memperingatkan tenteranya untuk menjaga sensitiviti umat Islam. (82)

Apabila terbukti bilangan tenteranya tidak dapat menandingi tentera Mesir, beliau menggunakan imam tempatan, qadhi, mufti, dan ulama’ untuk menafsirkan Al-Qur’an untuk kepentingannya. Seramai 60 ulama’ Al-Azhar diundang dan diberi pangkat ketenteraan, Napoleon memperlihatkan dirinya sebagai insan yang menghargai Islam dan Nabi Muhammad, juga faham selok belok Al-Qur’an. Beliau memberikan arahan yang spesifik kepada pembantunya Kleber agar sentiasa mentadbir Mesir melalui cendiakawan Orientalis dan juga pemimpin agama tempatan. Strategi ini berkesan, ia membuatkan masyarakat peribumi percaya kepada penjajah yang menjajahnya. (82)

Strategi ini dipuji oleh Hugo dalam puisinya Lui:

L’Egypte resplendit des feux de son aurore…

Sublime, il apparut aux tribus eblouies,

Comme un Mahomet d’occident.

(Egypt shines with the fire of his dawn…

Sublime, he appeared to the dazzled tribes

Like a Mahomet of the Occident.) (82-83)

Hampir serta merta selepas penaklukannya ke atas Mesir, golongan saintis yang dibawa yang merupakan sebahagian dari Institut d’Egypte yang diasaskan oleh Napoleon yang terdiri daripada ahli kimia, sejarawan, biologis, arkeologis, memulakan eksperimen dan kajian mereka. Semua yang dikaji, didengar, dan dilihat direkodkan, hasilnya adalah penerbitan Description de l’Egypte yang begitu besar dan tebal sebanyak 23 jilid. Napoleon bukan sahaja mahu menawan Mesir, termasuk dalam perancangan dominasinya adalah untuk membukanya sebagai objek kajian Eropah, Mesir menjadi sebuah jabatan untuk dipelajari oleh orang Perancis. (83-84)

Dalam bab pendahuluan Description yang ditulis oleh Jean-Baptiste-Joseph Fourier, setiausaha institut ini, Fourier memberi justifikasi akan projek penjajahan dan kolonial Perancis ini, menurutnya Mesir yang agung telah jatuh kepada barbarism, oleh itu ia memerlukan penyelamat. Penjajah dipotretkan sebagai hero penyelamat, yang akan memberikan mereka kehidupan yang lebih baik, juga menghadiahkan mereka kelebihan peradaban. (85)

Penaklukan Napoleon ini merupakan persimpangan besar dalam sejarah Orientalism. Ia menyaksikan bagaimana bidang ini disambung, walaupun rasionalnya sudah berubah dari sebab-sebab yang bersifat keagamaan kepada sebab yang lebih sekular, Edward Said menekankan bahawa asas dan fundamentalnya tidak berubah. Di perbahasan-perbahasan seterusnya beliau membentangkan bagaimana bidang antropologi dan filologi digunakan dalam mengembangkan lagi Orientalism moden.

Walaupun penaklukan Napoleon merupakan satu kegagalan dari perspektif ketenteraan, ia melahirkan pengalaman baru yang lebih moden terhadap penafsiran dunia Timur. Ia merupakan titik tolak kelahiran Orientalism yang baru, bukan lagi menjadi satu bentuk representasi tetapi menjadi bahasa yang mempunyai kesan yang real. Dalam erti kata lain, Orientalis menjadi pencipta, mereka menghidupkan budaya lama, menyusunnya semula, dan melahirkannya semula budaya lama ke dalam masyarakat baharu. (87) Kesan dari penulisan Orientalis ini tidak hanya menjadi satu objek akademik, ia ditafsir ke dalam bentuk praktik melalui administrasi kolonial, malah pasca-kolonial ia menjadi teks sejarah yang menggambarkan masyarakat peribumi.

Peranan Antropologi dan Filologi Dalam Perkembangan Orientalism Moden

Antara bidang penting yang menjadi instrumen kajian Oriental moden adalah Filologi (kajian sejarah bahasa). Pengkaji-pengkaji Barat mula menunjukkan minat yang mendalam dalam kajian bahasa. Mereka mula mengkaji bahasa-bahasa Timur dan menghidupkan semula bahasa-bahasa purba yang telah mati. Charles Wilkins menguasai bahasa Sanskrit dan menjadi penterjemah pertama Bhagavad-Gita. Orientalism moden pada permulaan falsafahnya merupakan bidang kajian komparatif untuk memberi akar yang kuat bagi bahasa Eropah. (78) Filologi digunakan untuk memerintah dan untuk belajar, kemudian untuk membandingkan Timur dan Eropah.

Dalam analisisnya, Said menemukan bahawa kebanyakan Orientalis memulakan kerjaya mereka melalui kajian bahasa, filologi. Dari sini, atas nama sains, bahasa dikelaskan, disusun dalam susur galur keluarga bahasa, dan dijadikan asas untuk mendiskriminasikan sesuatu kaum berdasarkan pengelasan ini. Dalam hal ini kita melihat bagaimana “sains” melahirkan rasisme. Dalam perkara ini, Said menganalisis kerjaya dan hasil kajian Friedrich Schlegel. (98)

Jika Orientalis klasik membenci manusia yang dilihat berbeza kerana kebencian agama, Orientalis moden memberikan justifikasi kebencian ini menggunakan sains. Said menerangkan bagaimana sains pada zaman awal Orientalis moden cuba mengelaskan alam dan manusia kepada jenis-jenis yang berbeza, nama besar dalam hal ini adalah Linnaeus dan Buffon. Klasifikasi manusia kepada “jenis” yang berbeza ini bukan sahaja mengambil tempat dalam sains alami, tetapi kemudian dikembangkan ke dalam antropologi dan pengeneralisasian budaya. Setiap “jenis” ini mempunyai sifat-sifat yang tersendiri, lantas membolehkan pemerhati memberikan mereka label. (119) Fenomena ini memberikan justifikasi baharu kepada bangsa Timur, terutamanya Islam, yang sebelum ini didefinisikan oleh Kristian Eropah. Orientalis moden masih mempunyai prejudis yang sama, cuma sebabnya yang berubah, kini ia mempunyai sebab sekular hasil pensekularan budaya Eropah di abad ke-18. (120)

Menurut Edward Said, pensekularan ini tidak bererti prejudis lama atas dasar agama dibuang. Itu tidak berlaku, apa yang berlaku adalah ia diubah suai, diagih semula, dan disebarkan semula menggunakan dalil-dalil sekular. Melalui proses ini, Orientalis berbangga dengan metodologi dan posisi mereka, umpama pencipta dunia baru seperti mana Tuhan mencipta dunia lama. (121) Thesis yang ingin dikemukakan oleh Edward Said adalah bidang Orientalism dari sudut teori dan praxis bukanlah satu ilmu yang objektif, tetapi ia adalah struktur pemikiran yang diwarisi dari masa lalu. Bagi menyesuaikannya dengan dunia moden, struktur pemikiran lama ini disekularkan dan direformasikan menggunakan bidang seperti filologi (kajian bahasa). Orientalism moden ini diterokai oleh Napoleon, kemudian ia diabsahkan menggunakan metod saintifik dan rasional oleh sarjana seperti Silvestre de Sacy, Ernest Renan dan Edward William Lane. (122)

Cendiakawan yang diasosiasikan dengan Orientalism moden adalah Silvestre de Sacy yang menyusun bidang Orientalis menjadi satu sistem teks yang sistematik. Sacy juga menjadikannya bahan untuk diajar secara praktikal, juga sebagai tradisi akademik, dan yang paling penting, Sacy menghubungkan bidang kajian Orientalism dengan pengubalan polisi-polisi pemerintahan. Sacy berjaya mengharmonikan pemikiran sains dan agama dalam bidang ini. (124) Sacy mengetengahkan “theory of fragments” yang menyatakan bahawa tidak semua bahan sastera Timur layak untuk diketengahkan, jadi tugas Orientalis adalah mengenal pasti, dan mengeluarkan mutiara-mutiara yang ada dalam sastera Timur ini untuk disajikan kepada orang Eropah. Inilah yang dilakukan Sacy dalam karyanya Chrestomathie arabe yang merupakan satu genre yang tersendiri iaitu chrestomathy – pemilihan rangkap-rangkap bagi membantu pengajian bahasa. Melalui kaedah ini struktur objektif sastera Timur dan penstrukturan semula yang berbentuk subjektif oleh Orientalis dicampur adukkan. Hasilnya adalah karya yang kelihatan seperti memperlihatkan bangsa Timur tapi sebenarnya telah diperspektifkan melalui lensa Barat. Bagi Orientalis, Timur perlu dibentuk semula untuk diketengahkan. (128-129)

Edward Said kemudian menghalakan kritikan beliau terhadap Orientalis Perancis, Joseph Ernest Renan yang memasuki bidang Orientalism melalui pintu filologi. Bagi Said, Renan menggunakan kuasanya sebagai Orientalis dalam bidang filologi bagi menggali rahsia-rahsia Timur dari bahasa-bahasa yang telah pupus dan hanya diketahui oleh sebilangan manusia. (138) Setiap mukasurat dari karya Renan memperlihatkan kuasa Orientalis dalam mengenalpasti kecacatan, nilai, kebobrokan, dan kelemahan di dalam bahasa, bangsa, dan ketamadunan Timur. (142)

Antara tokoh yang mempengaruhi pemikiran Renan adalah ahli naturalis Perancis bernama Etienne Geoffroy Saint-Hilaire yang mengutarakan falsafah dalam kajian perbandingan. Kajian terhadap sesuatu objek secara berasingan dan dalam isolasi tidak akan memberikan satu pengetahuan yang sempurna. Dengan membuat perbandingan kita dapat mengetahui hubungan antara objek, kita boleh melakukan klasifikasi, kita juga dapat melihat tindak balasnya terhadap persekitarannya. Falsafah perbandingan ini yang membuahkan pemikiran Renan untuk membandingkan Bahasa Semitik dengan Bahasa Indo-Eropah. Menurut Renan, Bahasa Semitik merupakan fenomena di mana bahasa itu terbantut perkembangannya jika dibandingkan dengan Bahasa Indo-Eropah. Bahasa Semitik dan Oriental menurut Renan adalah bahasa yang terbantut, tidak organik, dan bukan bahasa yang hidup, oleh itu ia menggambarkan bangsa penuturnya sebagai bangsa yang mati. Bagi Said, inilah pencapaian saintis Eropah dalam makmal sains sosial mereka, kebolehan mereka untuk membentuk melalui perbandingan ini adalah tanda kuasa imperial mereka. (144-145) Membaca karya-karya Renan dan Sacy, kita melihat bagaimana prejudis dan generalisasi budaya dijadikan senjata yang bersifat saintifik. Namun menurut Said, sama ada falsafah perbandingan ini merupakan satu keperluan dalam kajian saintifik ataupun merupakan satu semangat supremasi bangsa yang berselindung disebalik hujah saintifik merupakan sesuatu yang tidak dapat diputuskan dengan jelas. (149)

Edward Said juga mengkritik taktik yang digunakan oleh Orientalis dalam mendapatkan maklumat dari bangsa Timur. Antara yang dikritik adalah Edward William Lane yang menyamar menjadi Muslim dalam masa yang sama mengekalkan keaslian Eropah dirinya. Bagi Said, Lane merupakan seorang yang manipulatif dalam naratif dan subjeknya. (161) Penulis Eropah selepas tahun 1800 juga sering mengaitkan Oriental dengan fantasi seksual, perkara ini dapat dilihat dalam penulisan Flaubert, Nerval, Burton dan Lane. Menulis perihal Timur seperti tidak lengkap jika tidak dikaitkan dengan harem, puteri, dan penari wanita. Penulis demi penulis, mengulangi aspek ini sehinggalah wujudnya komoditi seperti “oriental sex” di dalam masyarakat umum. (190)

Penerusan Orientalism di Era Kolonial

Dalam bab “Mengenali Oriental”, Said memulakannya dengan ucapan Sir Arthur James Balfour di House of Commons. Ya, Balfour yang sama yang menulis Deklarasi Balfour yang menjanjikan Palestin kepada bangsa Yahudi pada tahun 1917. Dalam ucapannya, Balfour menekankan kelebihan British yang mempunyai ilmu dan kekuasaan. British bagi Balfour mampu mengkaji dan memahami bangsa Timur dari permulaanya, kemuncaknya, hingga kejatuhannya, British mempunyai kekuatan ilmu untuk mengkaji ini semua. Ilmu British perihal Mesir adalah “Mesir” bagi Balfour. (32) Atau dalam kata lain, apa yang ditakrifkan sebagai Mesir oleh keilmuan British, itulah Mesir. Dengan kekuasaan dan kemampuan mencipta ilmu inilah, Evelyn Baring (Lord Cromer), pentadbir kolonial di Mesir mampu menulis buku yang bertajuk Modern Egypt. (38)

Bagi Said, pengetahuan Barat perihal Oriental berkembang pesat seiring perkembangan projek kolonial Eropah, iaitu dari tahun 1815 hingga 1914 dimana penguasaan Eropah meningkat dari 35 peratus permukaan bumi kepada 85 peratus permukaan bumi dengan dua kuasa utama sebagai penguasa kolonial utama dunia iaitu British dan Perancis. Ada ketika mereka berkonflik, ada ketika mereka berdamai dan ada ketika mereka bekerjasama. Mereka bukan sahaja bekerjasama memonopoli tanah jajahan dan keuntungan, tetapi juga kuasa keilmuan yang disebut Said sebagai Orientalism. Ia juga menjadi perpustakaan dan arkib yang menyimpan informasi yang dipelajari. (41)

Sesebuah masyarakat yang membangun, jarang sekali menawarkan manusia perkara lain selain dari imperialisma, rasisma dan semangat etnik terutamanya apabila mereka menghadapi masyarakat yang berbeza budaya dengan mereka. Perkara inilah yang dilakukan oleh orang Eropah dengan bantuan Orientalisme yang dianggap saintifik. (204) Bagi Orientalis, bangsa timur perlu dijajah, dan “penjajahan” ini, di mata Orientalis adalah pembebasan. Orientalis tidak nampak bahawa pemikiran seperti ini merupakan sesuatu paradoks, bagi mereka bangsa Timur tidak memahami apa itu kebebasan. Kebebasan perlu diberikan kepada mereka oleh Eropah melalui penjajahan. (172) Pengkaji yang mengkaji Timur, menggunakan kajian saintifik mereka untuk membantu penguasa-penguasa kolonial. Edward Said memberi contoh, antara yang beliau sebut adalah Snouck Hurgronje yang mengkaji Islam kemudian menjadi penasihat kepada kerajaan Kolonial Belanda perihal bagaimana untuk mengawal populasi Muslim Indonesia sebagai koloni mereka. Begitu juga Orientalis seperti Macdonald dan Massignon, pengkaji Islam yang digunakan penguasa kolonial bagi mengawal subjek mereka di Afrika Utara dan Pakistan. Proses kajian dan kefahaman terhadap Timur ini perlahan-lahan berubah, dari kajian yang berbentuk tekstual dan pemerhatian kepada bentuk administrasi, ekonomi dan militer. (210) Oleh itu, menurut Said, Timur dikaji, kemudian berubah dari suatu objek yang asing kepada objek kolonial. (211)

Bantuan yang diberikan oleh Orientalism dalam menjayakan projek imperial dan kolonial ini memberi kesan kekal ke atas kawasan-kawasan yang ditakluk. Kesan ini bukan sahaja pada keadaan masyarakat Timur, tetapi juga kepada minda populasi yang dijajah. Ini diakui oleh tokoh kolonial seperti Lord Cromer (Evelyn Baring) apabila beliau menjelaskan kesan pendudukan British dengan nada penuh teologikal sebagai “an enduring mark, can never be the same as it before”. (213) Kuasa imperial merasakan keperluan untuk mewujudkan institusi pengajian yang mengkaji Timur, institusi ini masih wujud hari ini, dari rahim imperialisma lahir School of Oriental Studies yang kemudiannya menjadi School of Oriental and African Studies (SOAS) di Universiti London. Institusi ini menurut Lord Curzon adalah “furniture of Empire”. (214)

Furniture of Empire ini sangat penting dalam memperhalusi ilmu-ilmu perihal Timur. Keseluruhan sistem yang diasaskan British adalah untuk memastikan masyarakat dimajukan, dari masyarakat tradisional kepada masyarakat komersial tanpa menghilangkan pergantungan kepada British dari sudut kawalan dan yang lebih penting, tanpa menghilangkan keuntungan kepada penguasa kolonial. (215) Dalam diskusi Orientalism, Edward Said tidak hanya menyentuh penulisan ahli akademik, penulis, dan sejarawan. Beliau turut mengkritik agen-agen yang bekerja untuk empayar Eropah seperti Gertrude Bell, T. E. Lawrence (Lawrence of Arabia), dan St. John Philby (juga dikenali sebagai Jack Philby atau Sheikh Abdullah). Mereka ini merupakan agen yang dihantar oleh Empayar British untuk menjadi “sahabat” kepada orang Timur, dalam masa yang sama membantu empayar membuat polisi-polisi yang sesuai hasil keakraban dan pengetahuan mereka perihal bangsa Timur. (224) Lawrence sebagai contoh membuat generalisasi budaya yang sangat simplistik menurut Said, bagi Lawrence ketamadunan Arab yang panjang telah memperhalusi sifat orang Arab kepada sifat-sifat asas mereka. Pada Said, menurut pandangan seperti ini, orang Arab dikatakan mempunyai “centuries of experience and no wisdom”. (230)

Dalam bab yang ketiga, ketika menyentuh persoalan gaya penulisan, bidang kepakaran, dan juga visi Orientalism, Edward Said memulakan kritikannya terhadap konsep “White Man” yang diketengahkan oleh penulis tersohor Rudyard Kipling (penulis The Jungle Book). Dalam penulisannya, Kipling menulis perihal peranan orang kulit putih dalam “membersihkan” tanah-tanah yang mereka lalui, dan bagaimana keberanian mereka untuk membunuh dan terbunuh demi “kebebasan”. (226)

Bagaimana budaya liberal boleh menerima Orientalism?

Antara persoalan yang kelihatan seperti misteri menurut Edward Said adalah bagaimana budaya Liberal Eropah boleh menerima idea-idea Orientalis yang bersifat punitif dan reduksionis ini? Persoalan ini akan kelihatan kurang misteri apabila kita melihat bagai mana bidang Orientalisme menggunakan sentimen dan pendekatan sains seperti linguistik, antropologi dan biologi untuk menunjukkan bahawa idea mereka adalah idea emperikal bukan spekulatif atau bersifat idealistik. Kita boleh mengetepikan idea-idea ini sebagai tidak saintifik jika ia hanya merupakan teori satu atau dua orang pemikir, namun terma perdebatan dalam bidang ini termasuklah perdebatan tentangnya sendiri tersebar sangat luas di seluruh dunia. Hasilnya adalah wujudnya “race theory” yang mengklasifikasikan manusia dengan klasifikasi primitif dan asal-usul primitif. Teori ini apabila bergabung dengan nasionalisme dan imperialisme menatijahkan tragedi kepada manusia. Apabila bergabungnya sains (baca pseudo-sains) bersama politik dan budaya, maka ia menjadi justifikasi penaklukan Eropah keatas bangsa bukan Eropah. (232)

Pandangan-pandangan Orientalis keatas orang Timur dan bangsa Asia dianggap satu “kebenaran” biologikal. Akibatnya manusia tidak dapat lari dari sifat “asal” mereka, contohnya jika seorang manusia itu dilahirkan sebagai orang “Asia” dan Orientalis menulis pendapat mereka bahawa orang Asia itu sifat asalnya adalah pemalas, dia tidak dapat lari dari sifat itu. (233) Pandangan Orientalis ini melahirkan pemikiran binari antara “kita” dan “mereka”. Bagi Orientalis, “kita” adalah orang Eropah yang penuh dengan tamadun, manakala “mereka” merupakan bangsa yang penuh dengan sifat-sifat buruk. (237)

Dari “keilmuan” Barat terhadap Timur lahir dialektik baharu. Perubahan dari penulisan akademik kepada aktiviti-aktiviti fizikal yang nyata. Pemahaman perihal Timur digunakan agar potensi dan kebolehannya digunakan untuk mencapai ambisi Barat dari aspek nilai, ketamadunan, dan juga tujuan. Dalam erti kata lain, pengetahuan perihal Timur digunakan oleh Barat sebagai alat bagi mereka menggunakan Timur untuk mencapai tujuan mereka. Dari tulisan-tulisan akademik, Orientalisme digunakan untuk menempa sejarah baharu. (238) Daripada sudut pandang ini, Edward Said menunjukkan bagaimana kajian akademik Orientalis berubah dari bidang filologi kepada pentadbiran koloni, pengurusan politik, dan juga misi Orang Putih untuk “mentamadunkan” orang Timur. Semua ini berlaku dalam sfera budaya Liberal Barat yang menurut Said sebenarnya berlawanan dengan sifat Liberal yang sebenar. (254)

Persatuan Kristian dalam Misi Orientalism

Sebelum Amerika memegang tampuk pemerintahan dunia, dua kuasa dunia yang mendominasi dunia melalui kolonialisma adalah British dan Perancis. Menurut Said, projek kolonial ini disertai oleh pelbagai organisasi Kristian termasuklah Society for Promoting Christian Knowledge (1698), Society for the Propagation of Gospel in Foreign Parts (1701), Baptist Missionary Society (1792), Church Missionary Society (1799), dan banyak lagi. Namun, apabila projek kolonial ini bermula, kebanyakan bangsa Eropah menghadapi kekecewaan kerana Timur moden yang mereka temui tidaklah semistik dan seaneh seperti yang digambarkan dalam teks-teks Orientalis. (100) Ini adalah masalah yang terhasil apabila tulisan-tulisan Orientalis yang menggunakan generalisasi terhadap bangsa Timur dianggap sebagai fakta sains dan sejarah. (101).

Dalam mengkritik tulisan Orientalis yang memesongkan Islam, Edward Said mengambil contoh sarjana Orientalis Perancis terkenal, Louis Massignon yang menukilkan bahawa Islam adalah penolakan terhadap Kristian, Islam diperkenalkan sebagai bukan agama yang original. Bagi Massignon, tokoh Islam sebenar bukan Muhammad atau Ibnu Rushd, tetapi Hallaj. Hallaj diangkat kerana kehidupannya menyerupai kehidupan Christ seperti yang difahami di Barat. Dengan menentukan apa yang sebenarnya patut ada pada Islam, Orientalis mengangkat diri mereka menjadi hakim. Orientalis menganggap Islam sebagai satu sinthesis budaya yang boleh dikaji seperti ekonomi, sosiologi dan politik. Bangsa Timur bukan Bangsa timur seperti apa yang ada, tetapi bangsa yang sudah “di-Timurkan” (Orientalized) oleh Orientalis. Namun naratif Orientalis ini semakin terhakis apabila negara-negara Timur mula melepaskan diri dari cengkaman kolonial terutamanya selepas Konferens Bandung 1955. (104-105)

Bagi Said, selepas Perang Dunia Kedua, projek Orientalisme ini diambil alih oleh Amerika Syarikat yang mengisi kekosongan kuasa yang ditinggalkan British dan Perancis. Walau bagaimana pun, kepekatan Orientalisme Amerika Syarikat tidak sampai ke tahap Eropah, hal ini kerana Amerika mempunyai sejarah yang singkat dengan Orientalisme, oleh itu kajian mereka tidak begitu diperhalusi. Bagi Amerika, hubungan mereka dengan Timur lebih kepada soal pentadbiran dan polisi. (290) Namun, bidang Orientalisme di Amerika Syarikat, sejak penubuhan American Oriental Society pada tahun 1842, telah dengan jelas menggariskan ambisi mereka untuk mengikuti jejak langkah Eropah. Dalam kata lain, sejak awal lagi ia adalah bidang politikal bukan akademik. (294)

Kritikan Edward Said Terhadap H.A.R. Gibb

Antara tokoh besar lain yang menjadi sasaran kritikan tajam Edward Said adalah Orientalis dari Scottland, H.A.R. Gibb yang menyatakan bahawa psikologi dan mekanik politik Barat tidak boleh diaplikasikan kepada masyarakat Asia dan Arab. Kerana bagi Gibb Oriental tidak akan boleh menguasai logik seperti orang Barat, mereka adalah bangsa yang “berbeza”. Jika ia diaplikasikan, ia tidak akan berjaya, cubaan untuk menyamakan Barat dan Timur adalah fantasi seperti Walt Disney bagi Gibb. Said mengklasifikasikan pemikiran Gibb ini sebagai Disneyism. Oleh itu perjuangan bangsa Timur menentang kolonial, diskriminasi ras bukanlah kerana mereka mempunyai logik kebebasan yang sama seperti orang Barat. Sebab itu apabila bangsa Palestin melawan penjajahan Israel, ini tidak dianggap sebagai perjuangan pembebasan, tetapi menurut Orientalis seperti Bernard Lewis ia adalah fenomena kembalinya semula kekuasaan Islam “the return of Islam”. (107)

Kritikan Edward Said Terhadap Pemikiran Kolonial Karl Marx

Antara sebab mengapa saya begitu kagum dengan tulisan Edward Said ini adalah kejujuran dan keberanian beliau mengkritik tokoh-tokoh besar falsafah baik tokoh spektrum kiri mahupun kanan. Said tidak apologetik dalam mengkritik apa yang dilihatnya sebagai percanggahan dalam pemikiran. Antara tokoh yang dikritik oleh Said adalah Karl Marx. Jika kita melihat gerakan kiri pada hari ini, ideologi Marxis disamakan dengan idea yang progresif dan humanis. Seolah-olah beliau merupakan figura yang mempunyai nilai kemanusiaan menjangkaui zamannya.

Namun hal ini tidaklah seperti yang dicanangkan oleh ideolog kiri. Said membahaskan bagaimana dalam kajian Marx terhadap pemerintahan British di India, Marx berpendapat bahawa dengan memusnahkan Asia, British dapat melaksanakan revolusi sosial yang sebenar. (153) Bagi Said, walaupun Marx mempunyai simpati yang kuat kepada kesengsaraan manusia, namun akhirnya visi Romantik Orientalis yang akhirnya menang dan terserlah dalam pemikiran beliau. Pemikiran ini menurut Said membingungkan, beliau mempersoalkan di manakah moral dalam pemikiran Marx? Dimanakah simpatinya kepada manusia hilang? Kemana ia hilang apabila pemikiran Orientalis menyusup masuk ke dalam pemikiran Marx? (154)

Orientalis melihat manusia dalam bentuk kolektif dengan generalisasi abstrak, menghilangkan nilai individualiti manusia dan menggantikannya dengan entiti artificial. Manusia tidak dilihat sebagai manusia tetapi dipisahkan dalam kelas masing-masing. Kelas seperti orang Asia versus Eropah, juga Oriental versus Occident. Pengelasan manusia kepada entiti abstrak ini, yang melahirkan pemikiran binari “kami” melawan “mereka” dalam pemikiran Orientalis Eropah, dan Marx tidak terkecuali. (155) Segala kehebatan dalam pemikiran Marx, penghargaan beliau terhadap emosi, perasaan manusia, semua ini dibakul sampahkan apabila ia berhadapan dengan tapisan pemikiran Orientalis yang ada. Apa yang menyebabkan ini berlaku? Pertama, menurut Said, adalah keinginan Marx untuk membuktikan teori revolusi ekonomi dan sosial beliau. Kedua, adalah kerana beliau mempunyai korpus penulisan yang besar dalam kesarjanaan perihal bangsa Timur, yang mana Marx terpaksa akur dengan kenyataan-kenyataan yang telah ditulis perihal bangsa Timur. (155)

Kritikan Edward Said Terhadap Bernard Lewis

Antara sebab utama saya mahu menekuni karya Edward Said ini adalah kerana saya mahu mengetahui kritikan beliau kepada sarjana Orientalis besar seperti Bernard Lewis yang merupakan seteru utama beliau. Saya ada menonton siri debat mereka, juga membaca tulisan dan tulisan balas mereka di The New York Review dan saya mahu membacanya dalam bentuk buku bercetak. Di dalam naskah ini, kritikan Said kepada Lewis diletakkan di bahagian akhir pada bab “Orientalism Now”, bagi saya secara peribadi, saya sedikit kecewa kerana kritikannya tidak begitu extensive seperti yang saya harapkan, namun elok juga kita perhalusi di sini kerana bagi saya ia adalah satu kritikan yang penting.

Said mengkritik huraian Lewis perihal maksud perkataan “thawra” (revolusi) dalam Bahasa Arab. Bagi Said tafsiran Lewis menampakkan seolah-olah orang Arab tidak mampu menggerakkan revolusi dengan penuh idealisma seperti orang Eropah. Lewis mengaitkan perkataan thawra dengan unta dan perkataan-perkataan yang berkonotasi buruk dan seksual, bagi Said ia tidak lebih dari satu “sarcastic scholarship” yang merendahkan Revolusi Arab sebagai “babblings of yokels”. Bagi Said, Lewis kelihatan berautoriti dari latarbelakang pengajiannya, namun tulisan-tulisan beliau adalah bersifat ideologikal yang berbentuk propaganda untuk memburukkan subjek kajiannya. Ia adalah skandal akademik yang merupakan produk kesarjanaan Barat yang tidak kritikal. Said juga mengkritik tulisan-tulisan Lewis yang mengitar semua penulisannya untuk memburukkan orang Arab dan Islam yang menggambarkan kekeringan nilai kesarjanaan Lewis. Edward Said pergi lebih jauh, baginya karya-karya Lewis adalah polemik, bukan akademik. Beliau juga mengkritik prejudis Lewis terhadap orang Arab, penulisan Lewis tidak pernah menerangkan penjajahan dan projek kolonial Zionis yang berlaku kepada Palestin, sebaliknya fokus tulisan Lewis hanya untuk memaparkan sifat buruk nasionalis Arab. (314-318)

Bahaya Pemikiran Tekstual Literal

Edward Said juga memberi amaran perihal bahayanya textual attitude. Iaitu kepercayaan bahawa kehidupan manusia yang kompleks dengan pelbagai masalah yang tidak boleh diramal ini boleh difahami hanya dengan membaca buku atau teks-teks lama yang pernah ditulis. Apa yang lebih bahaya adalah mengaplikasikan apa yang dibaca secara literal terhadap dunia realiti. Textual attitude ini biasanya lahir apabila manusia berhadapan dengan sesuatu yang sebelum ini jauh dan asing bagi mereka. Ia juga boleh lahir dari apa yang dipersembahkan oleh sebuah buku yang nampak seperti suatu kejayaan, dan pembaca merasakan situasi mereka di alam realiti sama dengan apa yang dibacanya dan dia juga boleh mencapai kejayaan yang sama. (93)

Walaupun sesuatu teks itu tidak menggambarkan pengalaman dan perkara sebenar, bagi Said terdapat proses dialektik yang kompleks dimana pengalaman pembaca di dunia sebenar dipengaruhi oleh buku yang dibaca mereka. Oleh itu, sesuatu tulisan bukan sahaja boleh mencipta ilmu, ia malah boleh mencipta realiti yang cuba digambarkan. Apabila masa berlalu, realiti yang dicipta boleh menjadi tradisi. Begitulah juga apa yang kita lihat dalam dunia penulisan Orientalism, Gustave Flaubert sebagai contoh mengumpulkan informasi dalam katalog idees recues beliau, katalog ini kemudian menjadi rujukan bagi Napoleon dan de Lesseps yang mempunyai kesan langsung terhadap realiti yang berlaku hasil dari pemahaman bacaan mereka. (94)

Kesimpulan: Kesan Orientalism Kepada Timur

Walaupun Edward Said begitu tajam mengkritik Orientalis dan projek Orientalisme mereka, bagi Said kritikan ini bukanlah untuk menampakkan bahawa mereka bukan manusia. Malah menurut Said, para sarjana Orientalis ini sebenarnya merupakan manusia yang mempunyai kapasiti untuk memahami budaya lain, cuma beliau tidak bersetuju dengan pandangan mereka dan hala tuju projek mereka. Ia seolah-olah seperti beliau mengkritik tetapi dalam masa yang sama berlaku adil dan mengiktiraf sisi kemanusiaan mereka. (274)

Penulisan dan penguasaan Orientalis ini menjadikan individualiti dan sifat masyarakat seperti masyarakat Arab bukan lagi sesuatu yang bersifat realiti yang boleh dirasai dengan pengalaman, sebaliknya ia menjadi sesuatu idea, “the world is my idea”. (310) Sifat obses Orientalis terhadap masyarakat Timur seperti orang Arab membuatkan Said tertanya, mengapa mereka begitu obses dengan mereka sedang orang Timur itu menurut pandangan Orientalis sangat negatif sifatnya? Bagi Said, salah satu jawapannya adalah kebolehan mereka untuk memberi kekuasaan kepada Eropah.

Dalam bab-bab akhirnya, Edward Said melihat kejayaan Orientalism dalam bidang pendidikan. Pendidikan di Arab semuanya merupakan legasi pendidikan kolonial. Beliau mengkritik ketiadaan perpustakaan yang baik di tanah Arab, manakala pelajar-pelajar mereka yang berpotensi diserap ke universiti di Eropah dan Amerika Syarikat. Mereka tidak mampu membuat kajian-kajian advance melainkan terpaksa ke Eropah dan Amerika Syarikat. Malah jurnal kajian Arab terkemuka juga diterbitkan di luar negara-negara Arab. (323)

Edward Said menutup naskah ini dengan renungan beliau tentang bagaimana pemikiran moden menjadikan kita lebih sensitif terhadap representasi, terutamanya representasi “orang lain” dari kita. Kita juga semakin skeptikal dengan kekuasaan dan bagaimana kuasa itu digunakan. Bagi beliau, seorang intelektual moden perlu mempunyai fungsi dalam hal-hal sosial dan politik. Oleh sebab itu, sudah tiba masanya ilmu-ilmu yang bersifat prejudis seperti Orientalism dicabar. Bagi Said, Orientalism merupakan manifestasi kegagalan intelektual dalam memahami sifat dan pengalaman manusia, ia juga merupakan satu peringatan bagaimana kesarjanaan dan keilmuan boleh mereput dan rosak. (327-328)

Nota

Bagi memudahkan rujukan, setiap isi yang disentuh dan dihuraikan dalam penulisan ini disertakan dengan nombor mukasurat buku asal dalam kurungan. Versi yang dirujuk adalah versi yang diterbitkan oleh Penguin Books cetakan tahun 1991. Penulisan ini juga telah dibentangkan dalam program Sesi Mengopi Bersama JC anjuran Journalism Club, International Islamic University Malaysia (JC IIUM) pada 18 Mac 2022. Program ini diselia oleh saudara Izzuddin Khalis sebagai moderator. Rakaman pembentangan ini boleh diakses pada laman Youtube rasmi JC IIUM pada pautan: https://www.youtube.com/watch?v=dIr3Hp7GAYI

Meninjau-Pemikiran-Edward-Wadie-Said-Dalam-Orientalism-Perihal-Konstruksi-Barat-Terhadap-TimurDownload
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Reviu Buku

Mencerna Persoalan-Persoalan Pembelajaran dan Pendidikan

November 22, 2022 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Buku bertajuk Semua Orang Adalah Guru Setiap Tempat Adalah Sekolah tulisan Sadiq Salihoddin ini merupakan buku ke-4 pilihan saya untuk dibaca dari timbunan buku yang saya beli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022.1 Saya sebenarnya teruja untuk membaca buku ini kerana ia menyentuh satu topik yang begitu dekat dengan hati saya, iaitu “belajar sepanjang hayat”. Bagi saya secara peribadi, proses belajar itu merupakan satu proses yang menyeronokkan, bahkan ia merupakan objek yang menjadikan hidup saya terasa “hidup”. Malah jika diberikan rezeki umur, saya mahu menjadi pelajar sepanjang hayat.

Namun tulisan ini bukanlah omelan saya perihal “saya suka belajar”, tetapi pencernaan saya terhadap makalah tulisan Sadiq, jadi elok saya pulang ke dalam topik ini. Dalam ulasan ini saya akan sentuh beberapa perbahasan Sadiq yang saya kira menarik untuk dikongsi dan dihuraikan, kemudian saya akan utarakan beberapa kritikan sebelum membuat kesimpulan dan beransur pulang.

Diskusi Falsafah Belajar

Buku ini dimulakan dengan pembentangan perihal falsafah belajar. (12) Belajar merupakan suatu kebolehan asasi manusia, malah ia adalah satu kebolehan yang kritikal untuk survival seorang manusia. Dengan upaya belajar, seorang bayi dapat menguasai skil-skil asas kehidupan seperti mengunyah makanan dan berjalan. Kemudian dia terus belajar, dia belajar untuk berinteraksi dengan alam sekelilingnya. Belajar memegang, merasa, dan berkomunikasi. Semua ini dilakukan tanpa perlunya bayi tersebut ke sekolah. Oleh itu dapat kita fahami bahawa upaya belajar itu telah tertanam dalam diri kita sejak lahir, tanpa perlu apa-apa bantuan formal. Manusia itu memang secara fitrahnya dilahirkan sebagai makhluk yang belajar.

Oleh kerana manusia memang merupakan seorang pelajar secara fitrahnya, kita melihat bagaimana anak-anak kecil begitu cepat belajar. Mereka meresapkan apa yang ada di sekeliling mereka tanpa perlu diberitahu. Dia belajar dari persekitarannya, belajar dengan cara meniru. Mereka akan belajar dengan apa yang mereka lihat dan dengar jauh lebih banyak dari apa yang “diajarkan” kepada mereka. Selepas itu bermulalah pembelajaran secara formal, apabila anak-anak kecil ini memasuki tadika dan sekolah.

Mengkritik Institusi Pendidikan

Saya kira banyak kritikan Sadiq dihalakan kepada institusi pendidikan formal, bukan kepada proses pembelajaran. Antaranya adalah sikap institusi pendidikan dalam membenarkan pelajar melakukan kesilapan. Sama ada kesilapan itu dianggap sebagai satu metod untuk manusia belajar, atau menganggap kesilapan itu sebagai satu kegagalan. (17) Saya kira kesilapan ini juga merupakan fitrah insani. Tiada manusia yang dapat lari darinya. Oleh itu, penting bagi guru atau pendidik untuk memberi ruang kepada pelajarnya melakukan kesilapan dan belajar darinya. Namun saya kira “membenarkan” disini bukanlah maksudnya menggalakkan atau membiarkan sahaja pelajar melakukan kesilapan, tetapi melihatnya sebagai proses pembelajaran dan tidak berputus asa pada pelajar-pelajar yang melakukan kesilapan. Ini bagi saya sangat penting. Membenarkan pelajar melakukan kesilapan juga bukanlah bererti melepaskan mereka tanpa hukuman, namun hukuman yang diberikan perlulah mengambil kira bahawa ia adalah untuk mengajar, bukan untuk memalukan atau melepaskan amarah. Dalam masa yang sama, ada juga kesilapan yang sepatutnya tidak dikenakan sebarang hukuman. Apa yang penting, ada hukuman atau tidak, pelajar perlulah belajar dari kesilapannya.

Ilmu Sebagai Manfaat Sosial

Dalam membahaskan ilmu-ilmu yang perlu dipelajari oleh pelajar, Sadiq memetik tulisan John Dewey yang menyatakan bahawa ilmu yang diajarkan perlulah mempunyai manfaat sosial. (22) Dalam kata lain, ilmu tersebut boleh digunakan oleh pelajar tersebut dalam kehidupan dan interaksinya bersama masyarakat. Sadiq memberi contoh ilmu sastera dan bahasa, ia seharusnya menjadi satu ilmu yang praktikal. Digunakan dalam memberi ceramah dan khutbah misalnya. Jika ia digunakan dan dipraktikkan, ini akan menjadikan ceramah dan khutbah lebih menarik dan sampai mesejnya kepada pendengar. Jika tidak, ia hanya menjadi ilmu untuk lulus periksa, manakala orang yang mendengar khutbah dan ceramah akan tidur.

Walaupun apa yang diutarakan Sadiq ini saya kira ada benarnya. Namun saya kira belajar bahasa dan sastera sahaja tidak cukup untuk melahirkan penceramah dan pengkhutbah yang baik. Kerana pengucapan awam ini adalah skil yang memerlukan latihan, ia tidak boleh dipelajari dengan hanya mempelajari sastera dan bahasa sahaja. Ceramah dan khutbah yang menarik bukan sahaja menggunakan kekuatan bahasa, ia juga perlu menggunakan variasi tona suara, bahasa badan, dan juga kemahiran mengenali audiens.

Apakah matlamat pendidikan?

Dalam membentangkan matlamat bagi pendidikan, Sadiq memetik buah fikir Jean Piaget dan menulis bahawa “matlamat utama pendidikan itu adalah untuk buat benda baharu”. (27) Saya tidak berapa bersetuju dengan hal ini. Ya, kita memerlukan perkara-perkara baharu dalam hidup. Tapi saya kira itu bukan matlamat pendidikan, tidak semua perkara yang lama itu tidak bagus, malah kebenaran itu tidak bergantung kepada masa, sama ada lama atau baharu. Kita tidak boleh samakan perkara baharu dengan kebaikan atau kebenaran. Jika satu kebenaran itu telah lama dijumpai dan dibuktikan, tidaklah bermakna tugas kita hari ini untuk mencari kebenaran yang lebih baharu.

Bagi saya matlamat pendidikan adalah untuk manusia mengenal dirinya, seterusnya mengenali alam sekelilingnya. Pendidikan haruslah bermatlamatkan kebenaran, seorang yang terdidik perlu bersedia mengikuti kebenaran berdasarkan bukti-bukti yang dipelajarinya. Pendidikan juga harus melahirkan pelajar yang jujur, yang bersedia mengikuti bukti-bukti yang ada untuk sampai kepada kebenaran. Bukan memanipulasi bukti untuk memilih kebenaran. Bukan juga memilih bukti-bukti yang dia mahu sahaja untuk disesuaikan dengan pemikirannya. Sebaliknya jika bukti itu mencabar pemikirannya yang sedia ada, dia harus bersedia menukar posisinya. Bagi saya inilah pendidikan, iaitu kesediaan kita mengubah pandangan seiring dengan bukti-bukti yang baharu.

Wacana Kritis Dalam Pendidikan

Antara elemen yang penting yang perlu ada dalam diri pelajar adalah sifat kritis. Sadiq menulis bahawa pemikiran yang kritis akan menghasilkan lebih banyak pembaharuan. (31) Saya bersetuju dengan pernyataan ini. Bagi saya, kritikan-kritikan yang lahir dalam perdebatan ilmiah itu sangat banyak melahirkan keilmuan yang baharu. Kritikan Edward Said terhadap penulisan cendiakawan Barat yang menulis perihal Timur misalnya, ia melahirkan cabang ilmu baharu yang mengkaji sifat-sifat penulisan Barat terhadap subjek Timur.2 Bidang kajian yang disebut sebagai post-colonialism ini mengkaji hubungan kuasa dengan subjek kajian mereka, bagaimana penguasaan itu mempengaruhi penulisan perihal sesuatu subjek.

Dalam hal ini saya bersetuju dengan Sadiq bahawa kita perlu berani membuka ruang wacana kritis kerana dengan pembukaan ruang ini kita dapat meninjau idea yang lebih bermacam dan rencam. Kerencaman ini akan melahirkan sudut pandang yang pelbagai, memberi kita pandangan yang lebih menyeluruh terhadap sesuatu subjek. Ini penting agar kita dapat melihat sesuatu secara keseluruhan. Jika kita menyempitkan ruang penglihatan kita, kita hanya akan melihat sesuatu dari hanya satu sudut, pandangan kita tentulah tidak kaya dan kita tidak dapat memahami sesuatu masalah dengan terperinci.

Metodologi Pembelajaran

Saya berpandangan, dalam memberi solusi kepada masalah pendidikan, kita harus berhati-hati dari membuat generalisasi. Contohnya Sadiq ada membawakan pemikiran Paulo Freire dan mencadangkan bahawa metodologi dialog digunakan di dalam kelas, dengan guru menjadi fasilitator, bukan sebagai “tuan yang tidak boleh dicabar dan dibangkang”. (33) Saya kira hal ini praktikal dilakukan jika pelajar mempunyai sedikit pengetahuan dalam sesuatu subjek. Atau sesuatu subjek itu bersifat topikal yang memungkinkan ia dibincangkan.

Namun jika subjek itu bersifat pengenalan, yang para pelajar langsung tidak mengetahuinya, maka dalam hal ini tugas guru adalah menyampaikannya, dan pelajar perlu menerimanya. Contohnya jika pelajar itu baharu hendak mengenali ABC, bagaimana guru mahu berdialog dengan pelajar yang masih tidak mengenali huruf ini? Bagaimana jika pelajar itu sendiri masih belum mampu berdialog? Jadi saya kira ada keperluan pembelajaran itu bersifat didaktik dan hafalan selagi ia sesuai dengan keperluannya. Jika pelajar itu sudah sampai ke tahap mampu berdialog dan berbincang, maka pada ketika itu metod dialog sesuai digunakan. Tugas guru saya kira adalah menggunakan kaedah yang paling sesuai, yang menepati tahap dan kemampuan pelajarnya. Sebab itu tugas guru yang pertama adalah untuk mengenali muridnya, selepas itu barulah dia dapat menggunakan metod yang sesuai.

Hal ini ada juga disentuh oleh Sadiq, iaitu akan keperluan seorang pendidik memahami level pelajar. (52) Seorang guru harus sedar kemampuan pelajar, agar pendekatan yang digunakan sesuai dengan tahap penyerapan pelajar. Saya kira ini adalah sebab mengapa sesetengah sekolah mengasingkan pelajar mengikut kemampuan, ada pelajar kelas depan dan belakang. Walaupun mungkin kadangkala ia menjadi satu stigma, bahawa pelajar kelas belakang dianggap tidak pandai. Saya kira ia lahir dari keperluan yang praktikal, agar guru dapat menggunakan kaedah pengajaran yang berbeza untuk murid di tahap yang berbeza. Jika kita campurkan semua pelajar dan guna satu pendekatan, kita akan dikatakan menzalimi kemampuan pelajar yang lambat penyerapannya. Jika kita asingkan ikut kemampuan, kita dikatakan mencipta kasta dalam pendidikan. Oleh itu saya kira kita perlu berhati-hati juga dalam memberi kritikan dan membuat timbang tara dari sudut praktikaliti. Kita perlu sedar apa yang kita mahu capai.

Perasaan Ingin Tahu Sebagai Enjin Pembelajaran

Antara perkara menarik yang disentuh oleh Sadiq dalam membahaskan persoalan-persoalan pembelajaran dan pendidikan bagi saya adalah perasaan ingin tahu dalam diri manusia atau curiousity. Menurut beliau hal ini merupakan motivasi bagi manusia untuk mengingati satu perkara dalam usahanya memproses informasi. (68) Dalam kata lain, jika kita curious akan sesuatu perkara, kita akan cuba mencarinya dan kemungkinan besar kita akan lebih mampu mengingatinya berbanding satu informasi yang tidak menimbulkan rasa ingin tahu dalam diri kita. Bagi saya, perasaan ingin tahu ini sememangnya merupakan motivasi besar dalam diri manusia. Kata Carl Sagan, manusia itu memang dilahirkan sebagai wanderer, fitrah kita memang ingin tahu dan ingin memahami, sebab itu manusia meneroka alam, cuba memahami rahsia-rahsianya.3

Juga perbahasan yang menarik yang diketengahkan oleh Sadiq adalah perihal gred. Dimana beliau menulis:

“Orang boleh bersaing gred, tetapi orang tidak boleh bersaing belajar. Tidak ada persaingan dalam pembelajaran. Pendidikan itu bukan suatu perlumbaan.” (90)

Saya kira quote ini sangat menarik dan benar. Pembelajaran adalah satu perjalanan untuk kita nikmati, ia bukan satu perlumbaan. Jika kita belajar untuk menikmati ilmu, kita akan menjumpai kebahagiaan dalam perjalanan kita. Menikmati ilmu pengetahuan dan juga menajamkan akal fikiran kita. Sebaliknya jika ia dijadikan perlawanan dan perlumbaan, kenikmatan itu akan hilang, ia akan menjadi satu aktiviti yang kering dari nilai-nilai yang membahagiakan. Pencarian ilmu adalah upaya manusia mengenali diri dan alam, semakin dalam pencariannya, semakin dia sedar bahawa saujana ilmu itu semakin luas terbuka untuknya dan semakin menarik untuk diterokai. 

Pembangunan Karakter, Etika, dan Moral

Perkara akhir yang saya ingin sentuh, yang saya rasakan menarik adalah apa yang dibahaskan Sadiq sebagai “pembangunan karakter”. Menurut beliau pencapaian-pencapaian akademik boleh dicapai dengan cara yang tidak jujur, tetapi pembentukan karakter seseorang tidak dapat dicapai dengan cara yang tidak jujur. (111) Dalam kata lain, seseorang itu tidak dapat menipu akan perihal karakternya. Oleh itu bagi Sadiq, pendidikan juga harus mengambil kira persoalan pembangunan moral, etika, dan akhlak manusia.

Saya masih ingat perbahasan yang ditulis oleh Francis Fukuyama ketika membahaskan kemajuan material dan budaya German. Beliau menulis bagaimana German merupakan satu negara bangsa yang begitu maju dalam bidang perindustrian, sangat tinggi kedudukannya dalam bidang falsafah dan kebudayaan. Namun kemajuan material dan budaya ini melahirkan satu kuasa Fasis yang kejam dan rasis. Oleh itu menurut Fukuyama, pembangunan material dan budaya perlu diiringi dengan pembangunan moral dan etika.4

Disebabkan itu dalam pendidikan Islam ditekankan soal adab dan akhlak, dan perkara ini tidak boleh dipisahkan dengan keimanan. Dengan berimannya manusia terhadap dosa, pahala dan hari pembalasan, manusia akan berlaku jujur dalam kehidupan walaupun tidak dilihat manusia. Ini merupakan karakter yang penting dalam pendidikan manusia. Seperti yang dibahaskan Sadiq dalam persoalan karakternya, jika ia tidak dibangunkan, kita akan melahirkan manusia yang cerdik menipu.

Kritikan Terhadap Buku

Saya sudah membahaskan beberapa perkara yang saya dapati menarik dari buku yang ditulis oleh Sadiq Salihoddin ini. Ada beberapa bahagian yang saya sertakan kritikan ringan, agar isinya boleh diperbaiki. Saya ingin menjurus fokus saya seterusnya pada kritikan terhadap buku ini.

Bagi saya, walaupun buku ini mengangkat tema yang begitu dekat dengan hati saya, saya dapati banyak perbahasannya tidak dihuraikan dengan begitu lumat. Sepertinya, Sadiq menyentuh beberapa persoalan, kemudian meninggalkannya dengan soalan-soalan retorik. Saya sedar, bukan semua kritikan itu dapat diberi solusi, kerana mungkin objek yang ingin diketengahkan adalah perbincangan terhadap suatu masalah. Tetapi saya kira, paling kurang, diberikan alternatif-alternatif yang mungkin boleh menjadi solusi, walaupun penulis tidak mengambil mana-mana posisi dalam alternatif yang dicadangkan. Bagi saya ini lebih memuaskan berbanding meninggalkan pembaca dengan soalan-soalan retorika.

Tetapi mungkin juga ini merupakan stail Sadiq dalam menulis. Mungkin ia dapat diterima oleh sebahagian pembaca, namun saya secara peribadi agak terganggu dengan gaya penulisan sebegini. Seolah-olah penulis pun tidak dapat mengenggam subjeknya dengan kejap dan hanya melontar-lontar soalan. Walaubagaimanapun, keberanian Sadiq untuk mengetengahkan isu-isu yang penting ini sudah melayakkan beliau untuk dipuji, cuma kritik saya adalah perihal cara perbahasannya, yang saya kira tidak begitu holistik dalam membincangkan sesuatu tajuk.

Kritik saya yang terakhir adalah buku ini tidak mempunyai ISBN. Sayang sekali buku yang bagus seperti ini tidak didaftarkan dan dikatalogkan. Harapan saya penerbit dapat mendaftarkannya agar ia tersimpan sebagai khazanah literasi untuk membentuk akal bangsa bagi generasi seterusnya.

Kesimpulan

Buku ini saya kira mengangkat satu topik yang malar segar. Isu-isu pendidikan dan pembelajaran bagi saya merupakan isu yang akan senantiasa sahaja relevan. Dan setiap zaman ia wajar disemak dan diulang fikir, agar pendidikan itu bersesuaian dengan keadaan zamannya dan mampu melahirkan generasi yang dapat menyelesaikan masalah yang mendesak di zamannya, bukan menyelak-nyelak persoalan retorik yang sudah ketinggalan zaman. Wajar juga menurut kira saya, timbul wacana-wacana yang agresif, kerana jika kritikan yang diberi longlai sahaja mungkin ia tidak mendapat perhatian sewajarnya. Bagi saya buku ini sedikit sebanyak mengisi wacana yang lompong dalam masyarakat kita hari ini perihal pembelajaran dan pendidikan, untuk itu saya ucapkan tahniah pada Sadiq Salihoddin.

Mencerna-Persoalan-Persoalan-Pembelajaran-dan-PendidikanDownload

Rujukan:

  1. Sadiq Salihoddin. Semua Orang Adalah Guru Setiap Tempat Adalah Sekolah. Republik Buku, 2022.
  2. Edward W. Said. Orientalism: Western Conceptions of the Orient. Penguin Books, 1991.
  3. Carl Sagan, Ann druyan. Pale Blue Dot: A Vision of the Human Future in Space. Ballantine Books, 1997.
  4. Francis Fukuyama. The End of History and the Last Man. Free Press, 2006.

Nota:

Bagi memudahkan rujukan, setiap isi yang disentuh dan dihuraikan dalam penulisan ini disertakan dengan nombor mukasurat dalam kurungan dari naskah buku asal. Versi yang dirujuk adalah buku yang bertajuk Semua Orang Adalah Guru Setiap Tempat Adalah Sekolah. Karangan Sadiq Salihoddin. Terbitan Republik Buku, Mei 2022.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Reviu Buku

Menganalisa Makna-Makna Prosa Dalam Puisi ‘Merenung Matahari Mac’ Karya Petak Daud

November 22, 2022 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Apabila helaian yang ke enam itu,

tergantung kukuh di dahan ragu,

apakah kau masih mengingatkan,

ia akan terus selamanya begitu? (49)

Saya merasakan saya membaca dan menghabiskan buku ini pada matahari yang salah. Mungkin terlalu awal atau lambat, kerana yang ada kini hanya matahari November ketika Malaysia dilanda Pilihanraya Ke-15. Tetapi pada matahari ini juga signifikan, seperti madah sajak Petak Daud perihal keguguran kuasa. Apa pun kuasa itu, sekukuh mana pun ia, apabila sejarah bertiup, ia akan gugur juga dari dahan ragunya. Dahulu mungkin saya minat bersorak, namun usia semakin lama membuatkan saya semakin agnostik perihal politik. Mungkin begitu lebih mengamankan, bak kata orang Kedah, I don’t have a dog in this fight. Wallahualam, saya ingin menulis perihal buku puisi bukan politik.

Sebelum itu, saya pun tidak tahu sebenarnya sama ada puisi itu boleh diulas atau tidak. Kerana ia bersifat bebas, tambahan lagi puisi moden, bukan sahaja tidak terikat pada undang-undang dari segi bentuk dan gaya bahasa, maknanya juga bebas. Tapi bagi saya, kebebasan itu harus juga dipanjangkan, bukan pada pemuisi yang menulis, tetapi juga kepada pembaca yang membaca. Seperti yang dikatakan Ehrman, akhirnya pembacalah yang akan memberikan makna kepada teks.[1]

Naskah ini bagi saya melankolik, banyak bait-baitnya menggambarkan perasaan terbuang dalam percintaan. Namun ada juga tema-tema lain, menyentuh hal ketuhanan, alam, keluarga, kuasa, dan sejarah. Sebenarnya ketika membaca naskah ini, minda saya terlalu cergas, berlari ke sana ke mari, jadi sukar untuk memaksanya duduk dan berfikir, sering sahaja apabila ditangkap, ia lari semula. Perlu bermain kejar-kejar untuk fokus. Namun akhirnya ada juga beberapa bait yang maknanya sangkut di kepala saya. Maka saya mahu memetik beberapa.

baju mu mahal sekali.

Berbanding tubuh badan ku;

disarung-sarungkan apa pun,

yang jelas dan nyata,

hanyalah dosa. (22)

Entah kenapa bait ini sangat saya minati. Mungkin kerana ada elemen muhasabah dan introspeksi diri. Tentang bagaimana dosa-dosa yang kita kumpul sebagai manusia, tidak dapat kita tanggalkan dengan jubah-jubah yang mahal. Mungkin juga pada nadanya, yang menyanggah faktor-faktor harta, dalam memberikan ketenangan dan kejernihan hati, dalam usaha memadam segala kegelisahan dosa.

Duri di kaki ibu,

tercucuk di kaki saya.

Jika ibu lebih sakit,

saya tak kisah sakit sedikit. (23)

Melihat orang yang kita sayang sakit, kadang membuatkan kita tertanya, oh Tuhan, berikanlah kesakitan itu padaku sedikit. Mungkin itu lebih dekat dengan makna cinta, bahawa kita mahu berkongsi bukan sekadar suka, tetapi juga kesakitan. Jika boleh, dengan segala upaya, kita mahu mereka tidak merasa sakit, tidak merasa sedih. Walaupun mustahil, tetapi kitakan boleh berharap? Harapan itu percuma. Kita pasti berusaha menghilangkan kesakitan orang yang kita sayang, apatah lagi jika orang itu kita sebut sebagai ibu. Ada juga sebuah puisi dimana penulis memohon agar Tuhan memanjangkan masa, agar dia dapat terus menatap, wajah seorang ibu. (41)

Saya juga mendapati banyak sekali sajak yang ditulis Petak perihal hujan. Sebagai seorang yang pluviophile, saya merasakan tema-tema alam ini sememangnya menyamankan jiwa. Ada sesuatu yang ada pada hujan yang bisa membuatkan jiwa manusia terasa aman, terasa rindu dan ingin bernostalgia. Saya kira, penyajak, penyair, pemuisi, begitu banyak sekali yang menyukai hujan, kerana itu ia sering menjadi tema-tema penulisan mereka.

Aku seperti pernah merasa,

perasaan yang serupa.

Lagu ini,

lirik ini;

yang mengembalikan kau,

di dalam rangkulan gurau. (48)

Rangkap ini berbekas dihati saya kerana saya juga sering menghadapi perasaan yang sama. Saya juga pernah menulis puisi yang bertajuk Muzika tatkala ada lagu yang masuk ke dalam telinga meresapkan perasaan ingin bernostalgia.[2] Membuahkan perasaan-perasaan silam yang saya sendiri sudah terlupa. Kadang-kadang ia berjaya memutikkan bahagia dan gembira dalam hati secara semulajadi. Walaupun mungkin kesannya hanya sebentar, namun sebentar sebenarnya sudah cukup untuk bahagia.

Mungkin sejarah yang banyak,

lunak ataupun tidak,

akan memberikan perancangan,

sebuah rapian yang kemas,

dan cerdas,

kepada ilham,

yang karam. (80)

Sebagai pelajar sejarah, ini mungkin bait puisi kegemaran saya. Pertama ia memberikan gambaran sifat sejarah yang tepat. Kadang ada orang yang mahukan sejarah itu bersifat inklusif, tetapi ini bertentangan dengan kebebasan dan keobjektifan sejarah. Sejarah itu untuk dipelajari, baik atau buruknya, seadanya berdasarkan bukti-bukti yang ada. Ia bukan ditulis untuk menyedapkan telinga atau membahagiakan jiwa. Kadangkala membaca sejarah membuatkan kita sedih, kecewa, marah, ada juga tikanya ia membangun rasa bersemangat. Ia perlu kita terima keseluruhannya.

Kedua rangkap “memberikan perancangan…kepada ilham”, rangkap ini mungkin agak argumentatif dalam sejarah. Pemaknaan bahawa sejarah mampu mengajar kita sesuatu untuk digunakan di masa hadapan. Seolah sejarah boleh berulang. Namun ada juga pendapat yang merasakan setiap peristiwa sejarah itu unik, tidak ada pattern dalam sejarah, masing-masing punya hujah yang tersendiri. Manapun yang benar, ulasan saya bukan perihal argumen sejarah, tetapi kekuatan puisi ini yang berjaya invoke perbahasan ini.

Kesimpulan

Kesimpulannya, saya merasakan naskah ini sangat menyegarkan. Sesuai diselitkan ditengah-tengah pembacaan yang berat untuk meregangkan kembali urat-urat otak. Membaca puisi juga bagi saya merupakan latihan untuk kita cuba memberikan satu fokus, pada aksara-aksara di depan mata. Kerana tanpa fokus, perenungan tidak akan dapat kita lakukan. Dan tanpa renungan tiada makna yang bisa kita tafsirkan. Puisi yang baik bagi saya adalah yang mampu mengusik hati, bahasanya mudah tetapi maknanya dalam, meresap jauh ke dalam jiwa kita walaupun naskahnya telah kita lama hadam.

Nota

Bagi memudahkan rujukan, setiap bait puisi yang disentuh dan dihuraikan dalam penulisan ini disertakan dengan nombor mukasurat dalam kurungan dari naskah buku asal. Versi yang dirujuk adalah buku yang bertajuk Merenung Matahari Mac. Puisi oleh Petak Daud. Terbitan Selut Press, 2017

Menganalisa-Makna-Makna-Prosa-Dalam-Puisi-Merenung-Matahari-Mac-Karya-Petak-DaudDownload

[1] Bart D. Ehrman. Misquoting Jesus: The Story Behind Who Changed the Bible and Why. HarperOne, 2005. Lihat halaman 216-218.

[2] Syed Ahmad Fathi. Muzika. Meniti Jambatan Masa, 22 September 2022. Pautan: https://bersamakepuncak.blogspot.com/2022/09/muzika.html

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Reviu Buku

Propaganda Kolonial Dalam Dunia Pasca-Kolonial

May 13, 2022 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Antara buku awal yang saya tekuni perihal propaganda dan manipulasi media adalah buku tulisan Herman dan Chomsky berjudul Manufacturing Consent, naskah milik saya direka agar pembaca dapat melihat tajuk tersebut dengan dua makna, makna lain boleh dilihat sebagai “manufacturing content”. Buku tersebut adalah analisa Herman dan Chomsky perihal tingkah laku media perdana Amerika yang dianggap “bebas” dalam mempertahankan kekejaman dan kejahatan yang dilakukan kerajaan mereka terutamanya semasa perang di Indo-China. Menurut Herman dan Chomsky, media-media ini tidaklah bebas seperti yang disangka, sebaliknya mereka menjadi alat propaganda kerajaan, bukan alat untuk memberi kebenaran pada masyarakat. Antara yang dibahaskan adalah penggunaan perkataan, pemilihan ayat, dan bagaimana ia dapat digunakan dalam menyampaikan berita yang mempunyai isi yang sama dengan impresi dan naratif yang berbeza.


Hari ini kita melihat pelbagai wacana yang ingin membebaskan masyarakat secara keseluruhannya dari cengkaman kolonialisma. Walaupun negara kita sudah pun bebas dari menjadi sebuah tanah koloni British, banyak pemikir yang beranggapan banyak lagi kesan-kesan kolonial yang wujud dalam masyarakat di negara kita. Contohnya bagaimana sejarah negara sendiri ditulis, kebanyakannya memfokuskan apa yang berlaku semasa penjajahan British dan apa yang British buat semasa mereka menduduki Malaya. Walhal sejarah tanah air jauh lebih panjang sebelum kedatangan British. Dari lensa ini banyak pemikir yang merasakan sejarah kita terlalu memfokus pada sejarah kolonial, sepatutnya fokusnya adalah pada sejarah tanah air. Kolonial British bagi mereka selayaknya dilayan sebagai titik kecil sahaja dalam lautan sejarah kita yang lebih luas.


Tetapi sebenarnya, dunia hari ini masih belum bebas sepenuhnya dari kolonialisma. Walaupun sering kita bawakan wacana pasca-kolonialisma, ada negara yang masih bergelut dengan kolonialisma sehingga hari ini. Antara yang paling lama, brutal, dan komprehensif didokumentasikan adalah settler-colonialism yang berlaku di Palestin yang kini memasuki tahun ke-74. Bagaimana dunia yang moden, yang sering mengangkat nilai keadilan dan kemanusiaan di abad yang ke-21 ini masih wujud di dalamnya kolonialisma yang masih aktif? Yang sepatutnya sudah berkubur dan hanya dibaca dalam helaian-helaian kitab sejarah?


Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana wujudnya sistem propaganda yang efektif.


Seperti mana Herman dan Chomsky yang menganalisa kandungan media di Amerika semasa peperangan di Indo-China, saya kira media arus perdana Barat hari ini tidak kurang tingkah lakunya dalam menjadi ejen propaganda. Walaupun di dalam korpusnya ada wartawan-wartawan yang jujur. Contohnya Robert Fisk, sosok yang saya kagumi, yang meninggalkan The Times apabila ia dibeli oleh Rupert Murdoch. Ketokohan Robert Fisk ini ada saya coretkan dalam buku terbaharu saya Lalang di Lautan Ideologi. Tingkah laku media arus perdana Barat terutamanya dari Amerika banyak dikritik oleh Fisk sendiri. Tingkah laku mereka sebagai ejen propaganda begitu jelas ketika berlakunya pembunuhan keatas wartawan Al-Jazeera, Shireen Abu Akleh baru-baru ini. Shireen telah ditembak tepat di kepala oleh sniper tentera kolonial Israel pada 11 Mei 2022 ketika membuat liputan keganasan tentera kolonial Israel di Kem Pelarian Jenin. Shireen pada ketika itu jelas berpakaian vest wartawan yang memaparkan perkataan “PRESS” dan juga berhelmet.


Kementerian Luar Kolonial Israel pantas mengeluarkan sebuah video bagi menimbulkan keraguan dalam pembunuhan Shireen, kononnya Shireen ditembak oleh pejuang Palestin. Walhal bukti video kejadian jelas menunjukkan Shireen berada di kawasan lain yang lebih terbuka, dan wartawan lain yang ada di tempat kejadian mengesahkan tembakan tersebut datang dari tentera kolonial Israel. Malah persatuan kemanusiaan kolonial Israel, Bt’selem sendiri mengeluarkan kenyataan mustahil peluru yang membunuh Shireen datang dari pejuang Palestin seperti propaganda yang dikeluarkan oleh video Kementerian Luar Kolonial.


Walaubagaimanapun, strategi propaganda kolonial Israel ini terbukti berkesan dan ditelan bulat-bulat oleh jaringan media perdana Barat. The Associated Press misalnya menulis “Shireen was killed in gunfire in West Bank”. Dari tulisan ini kita dapati nama penjenayah tidak disebutkan. Shireen mati ditembak, tetapi tidak diberi tahu siapa yang menembaknya? Begitu juga laporan dari The New York Times yang menulis Shireen “Dies at 51” dalam tajuk mereka. Ini lebih parah. Tidak dinyatakan terus sebab kematiannya. Adakah dia mati kerana serangan jantung semasa memancing atau terkena wabak Covid-19? Tidak ditulis dalam tajuk. Nama penjenayah tidak disebut, kerana kononnya tak dapat dipastikan siapa yang membunuh beliau. Saksi di tempat kejadian tidak diambil kira kerana pejabat Menteri Kolonial Israel tidak (mahu) mengesahkan fakta ini. Walhal, logiknya, mengapa pengesahan perlu didapatkan dari penjenayah sendiri?


Ini diulang oleh pelbagai media-media gergasi. Contohnya BBC menulis dalam tajuknya “leading Palestinian journalist shot dead”, sekali lagi, siapa yang menembak dihilangkan. Jika pun dinyatakan bahawa yang menembak adalah tentera kolonial Israel, ia ditulis dengan penuh ambiguiti dan keraguan. Contohnya, The Guardian menulis dalam tajuk berita mereka “Al Jazeera accuses Israeli forces of killing journalist in West Bank”. Beritanya bukan perihal kolonial Israel membunuh wartawan, tetapi tentera kolonial Israel “dituduh” membunuh wartawan. Jadi fokusnya bukan pada pembunuhan tapi pada “tuduhan”.


Jadi disini kita dapat melihat bagaimana kolonial Israel menggunakan propaganda dalam menutup jenayah mereka. Mereka pantas bertindak dalam memasukkan kekaburan dalam laporan rasmi mereka. Ia kemudiannya akan “dimakan” oleh media-media Barat yang menjadi penyambung lidah dan ejen propaganda buat mereka. Beginilah sebenarnya teknik dalam mengekalkan kolonialisma dalam dunia pasca-kolonialisma hari ini. Fakta-fakta perlu dikaburkan, keyakinan perlu disuntik dengan keraguan, dan media perlu digunakan sebagai alat untuk menanam didalam minda masyarakat bahawa projek kolonial mereka tidaklah seburuk yang disangka. Lebih menjengkelkan adalah negara-negara Barat yang kononnya begitu “tercerah”, inklusif, egalitarian, dan pelbagai jargon bombastik lain, dapat menerima projek kolonial ini. Kolonial Israel malah dibenarkan masuk ke dalam pesta dan temasya Eropah seperti Eurovision dan UEFA Euro Cup. Jika kita gemar membaca tulisan-tulisan Nelson Mandela yang melawan apartheid, kita seharusnya mempunyai semangat yang sama dalam menolak propaganda dan kolonial Israel yang rasis ini.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Berita Tagged With: israel, palestine, shireen abu akleh

Rohingya: Penyelesaian Lebih Cerdik Bagi Isu Pelarian di Malaysia

May 1, 2022 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Baru-baru ini tular isu pelarian Rohingya yang lari dari Depot Tahanan Sungai Bakap. Lebih menyayatkan hati 6 orang daripada mereka mati dilanggar di lebuh raya ketika melarikan diri. Begitulah sadisnya layanan yang diterima pelarian Rohingya di negara Islam Malaysia. Ditahan, kemudian dilanggar di jalan selepas lari dari peperangan di kampung mereka.


Saya tahu, menulis dan memperjuangkan nasib bangsa Rohingya ini tidak popular. Saya telah menulis tentangnya banyak kali, sudah berdebat tentangnya. Sudah menerima maki dan caci dari pembenci-pembenci imigran. Saya pernah menulisnya di laman Borneo Komrad, juga di blog saya sendiri. Melalui penulisan-penulisan ini saya telah mendapat banyak kecaman, walaubagaimanapun ia sikit pun tidak mengesani saya. Dan saya akan terus menulis untuk membela nasib mereka. Kerana saya merasakan adalah hipokrit bagi rakyat Malaysia yang lantang memperjuangkan keadilan untuk Palestin tetapi kemudiannya melayan bangsa “Palestin” di rantaunya dengan begitu buruk sekali. Ya tidak dinafikan Malaysia banyak memberi bantuan kepada Rohingya ketika awal konflik, kita ada buka hospital lapangan, malah banyak demonstrasi menyokong mereka. Namun apabila mereka mula masuk ke negara kita untuk berlindung kempen kebencian mula ditiup ke atas mereka.


Mungkin ada yang bertanya apa solusinya?


Dianggarkan ada sekitar 200,000 pelarian Rohingya yang ada dalam negara kita. Manakala jumlah penduduk Malaysia adalah sekitar 32.7 juta. Jadi populasi mereka dalam negara kita adalah sekitar 0.6%. Apa yang kita boleh buat dengannya?


Pertama adalah solusi kurang cerdik. Kita anggap mereka sebagai penjenayah. Kita tangkap mereka beramai-ramai dan sumbat mereka bersama anak-anak mereka ke dalam penjara. Kita perlu belanja banyak kos, kos menangkap, kos bina penjara, kos mengurus penjara, kos makanan dalam penjara, dan seribu satu kos lain. Mereka pula akan hidup sebagai penjenayah, mereka tidak dibenarkan bekerja secara halal jadi peluang yang ada untuk survival adalah pekerjaan haram. Anak-anak mereka pun tidak diiktiraf dan akan menjadi penjenayah apabila besar nanti. Kitaran ini akan berulang-ulang untuk beberapa genarasi dan kita perlu keluar belanja untuk kos pengurusan jenayah setiap masa. Mereka akan hidup tersisih dan sentiasa diburu, dan kita terpaksa sentiasa memburu. Kita perlu tanggung banyak kos termasuklah kos memburu dan mereka akan kekal sebagai penjenayah untuk survival.


Kita tak boleh hantar mereka pulang. Negara asal tidak menerima mereka dan tidak mengiktiraf mereka. Mereka juga tak mahu pulang. Mereka telah bergadai nyawa untuk sampai ke sini, mereka tidak mahu untuk dihantar semula untuk disembelih. Adakah kita punya pilihan yang lain?


Kita punya satu lagi solusi, yang lebih cerdik. Berbeza jika kita anggap mereka sebagai penjenayah dan perlu belanja banyak kos, kita boleh beri mereka permit bekerja. Banyak pekerjaan dalam negara ini yang tak cukup pekerja dan tidak mahu dilakukan pekerja tempatan. Jika ada yang mengatakan “orang kita pun tak ada kerja” sebenarnya ini tidak lebih dari alasan untuk rasis sahaja. Berlambak-lambak pekerjaan dalam bidang pengilangan, perladangan, pembinaan dan penternakan yang sekian lama tak cukup pekerja dan setiap tahun mengimport tenaga buruh. Malah kebanyakan bangunan-bangunan megah yang tinggi dalam negara ini dibina buruh import. Semua bangunan tinggi yang dimegah-megahkan itu pembancuh simennya adalah dari Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Nepal dan lain-lain. Jadi jangan kita menipu diri sendiri dengan mengatakan bahawa kita tiada kerja nak diberi.


Beri mereka peluang untuk menyumbang dalam ekonomi negara. Bukan sahaja kita tidak perlu menanggung perbelanjaan menahan mereka, mereka juga boleh menyumbang dalam bidang ekonomi yang akhirnya memberi pulangan pada negara dalam bentuk cukai dan permintaan barangan domestik.


Kita tak ada masalah beri kerakyatan pada pemain bola dari Australia, England, Gambia, Brasil, dan Kosovo yang lebih jauh dari kita dari sudut budaya, agama, dan georgrafi. Saya kira adil jika kita memberi laluan kerakyatan kepada bangsa Rohingya setelah mereka menyumbang tenaga pada negara setelah 10 tahun misalnya, jika mereka tiada rekod jenayah, dan mampu berkomunikasi dalam bahasa tempatan. Kita dalam sejarah pernah memberi kerakyatan kepada banyak buruh imigran. Anak-anak mereka pula kita sekolahkan dalam sekolah kita. Saya yakin dalam 2-3 generasi, mereka sudah jadi seperti rakyat Malaysia lain dan tidak dapat dibezakan. Pada masa itu, kita sudah tak punya masalah untuk menahan mereka. Kita juga tidak akan rasa terancam kerana perbezaan budaya. Rakyat Malaysia sedia ada pun berasal dari pelbagai keturunan, ada yang moyangnya berasal dari Banjar, Jawa, Minang, Guangzhou, Fujian, Kerala, Punjab, dan bermacam-macam negeri lagi. Jadi adakah Malaysia akan menjadi hina jika ada rakyatnya berketurunan dari Arakan? Tidak sama sekali.


Bagi golongan pembenci dan rasis, saya cadangkan mereka membaca buku tulisan rakyat Malaysia bernama Teo Ann Siang bertajuk “No Way Home” agar timbul rasa belas kasihan dan peri kemaknusiaan dalam hati mereka. Bagi yang hatinya penuh kasih sayang, persaudaraan dan cinta kepada kemanusiaan, saya mengajak mereka untuk menghulurkan bantuan kepada Rohingya Community Educare Center (RCEC) Alor Setar, ia diselenggara oleh NGO tempatan yang memberi pendidikan pada anak-anak Rohingya. Mereka bukan seperti pembenci lain yang hanya pandai berkokok di media sosial tetapi mereka adalah sebahagian dari solusi kepada masalah kemanusiaan hari ini. Baru-baru ini mereka menerima kunjungan lawatan dari Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Temenggong Kedah.

Sudah tiba masanya untuk kita melihat Rohingya bukan sebagai Rohingya, tetapi sebagai manusia. Sebagai saudara kita sendiri kerana setiap orang Islam adalah bersaudara. Jika pun tidak bersaudara kerana agama, kita sentiasa boleh bersaudara kerana kemanusiaan.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Politik

Kritikan Azmi Arifin Terhadap Buku “Sejarah Rakyat” Tulisan Syed Husin Ali

March 30, 2022 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Wacana yang bertajuk “Sejarah Rakyat: Sejarah atau Dakyah?” oleh Dr. Azmi Arifin dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang diadakan baru-baru ini bagi saya merupakan satu wacana yang sangat segar. Ia merupakan wacana balas terhadap wacana Prof. Syed Husin Ali sendiri sebelumnya di Pusat Sejarah Rakyat yang bertajuk “Peri-Penting Sejarah Dari Bawah”.

Sebelum mengkritik isi kandungan, Azmi mengkritik posisi Syed Husin sebagai ahli politik yang menulis perihal sejarah. Ia menjadikan naratif sejarahnya senget kepada ideologi politik yang ingin dibawanya. Saya kira ada dua soalan besar di sini. Yang pertama, adakah ahli politik tidak boleh menulis sejarah? Yang kedua, adakah sesuatu ilmu yang bersifat politikal itu boleh dikatakan kebenaran?

Saya kira dua soalan ini telah dibangkitkan oleh Edward Said dalam tulisannya, Orientalism, walaupun objek kajian Said adalah representasi bukan sejarah, saya kira metodologinya seiras dan boleh digunapakai. Dalam menjawab persoalan pertama, Said menggunakan metodologi “strategic location”. Iaitu mengkaji kedudukan penulis yang menulis terhadap sesuatu subjek. Ini akan membantu kita memahami naratif, sudut pandang, dan kecenderungan penulisan.

Contohnya, jika seorang penulis itu merupakan seorang sultan, dan dia menulis perihal rakyat di bawah kuasanya, kita dapat memahami kecenderungan penulisannya. Besar kemungkinan dia menulis untuk membesarkan dirinya agar taraf kekuasaannya dihormati. Berbeza jika rakyat yang sama ditulis perihalnya oleh seorang pengembara dari sebuah negeri kecil, miskin yang jauh. Besar kemungkinan dia menulis seiring dengan apa yang dia temui dan rasai. Oleh itu penting kita menilai strategic location penulis, apa hubungan subjek dan objek tulisannya.

Ini membawa kita kepada soalan kedua, jika kita sudah tahu lokasi penulis dalam hubungan subjek dan objek, apakah kita boleh katakan tulisan yang politikal itu tidak benar? Dalam hal ini kita perlu melihat tulisannya sendiri, penggunaan sumber dalam dia menulis, dan sikapnya dalam berhadapan dengan fakta-fakta yang berlawanan dengan naratif dan ideologi penulis sendiri. Jika sudah jelas sesuatu penulisan itu bersifat politikal, tidak bermaksud ia tidak benar atau perlu dibuang. Sebaliknya ia perlu diiktiraf sebagai satu penulisan yang politikal, bukan sebagai satu sejarah yang objektif.

Berbalik kepada buku Sejarah Rakyat, Azmi menekankan bahawa posisi Syed Husin dalam parti politik tempatan tidak boleh dipisahkan dari naratif pensejarahan tulisan beliau. Penulisan beliau juga tidak dapat dikatakan sebagai akademik atau ilmiah kerana ia tidak mempunyai nota kaki, bagi Azmi ini adalah asas dalam penulisan akademik dan perlu sebagai pertanggungjawaban. Juga, bukan semua petikan dan pandangan yang dikemukakan itu asli darinya, jadi perlu kepada chain of literature untuk dikaji, diabsahkan dan dipertanggungjawabkan. Tidak boleh menyamar dengan alasan “ia buku santai” dalam masa yang sama dikatakan sebagai satu buku sejarah.

Baik, mungkin sekarang kita pergi kepada kritikan isi. Setelah kita jelas strategic location penulis serta naratif pensejarahan yang ditulis, kita boleh beralih kepada substance, iaitu objek kajian kita sekarang, iaitu sejarah Malaysia pada masa lalu.

Sejarah mestilah difahami sebagai perkara yang telah berlaku, dan diceritakan seperti mana ia telah berlaku. Dalam kata lain, kita perlulah mengikuti sejarah untuk memahami sejarah, bukan sejarah yang harus mengikuti pandangan kita. Ini adalah masalah Syed Husin menurut Azmi. Oleh kerana mungkin keperluan politik sekarang adalah untuk melahirkan masyarakat yang inklusif, jadi sejarah pun ditulis dengan inklusif walaupun apa yang terjadi adalah eksklusif. Bagi Azmi, ini bukan sejarah. Walaupun niat itu baik, tetapi kita tidak boleh lari dari menjadi objektif dalam sejarah, apa yang terjadi perlu ditulis sebagai mana ia terjadi dan seperti yang dibuktikan dalam bukti-bukti sejarah. Kita perlu mengikuti sejarah bukan sebaliknya.

Kecenderungan Syed Husin dalam menaikkan perjuangan kaum kiri juga pada Azmi menimbulkan banyak masalah. United Malays National Organisation (UMNO) yang memperjuangkan kemerdekaan dianggap parti kanan walhal pada zaman sebelum merdeka, UMNO penuh dengan golongan kiri yang melawan British untuk mendesak kemerdekaan. Sementara elit-elit kanan dalam UMNO yang banyak diangkat sebagai tokoh kemerdekaan kini sebenarnya tidak pun berjuang menuntut kemerdekaan seperti aliran kiri dalam UMNO. Menurut Azmi, UMNO dahulu tidak boleh disamakan dengan UMNO sekarang, dan pada ketika itu rakyat yang menggerakkan UMNO, bukan UMNO yang menggerakkan rakyat.

Pokok kritikan utama Azmi kepada Syed Husin adalah takrifan “rakyat”, siapa yang dikatakan rakyat yang sejarahnya ditulis? Syed Husin menjawab bahawa rakyat ini adalah golongan bawahan termasuk juga buruh imigran pada ketika itu dan juga pembesar-pembesar yang dekat dengan rakyat (pro-rakyat). Bagi Azmi definisi ini bermasalah. Buruh imigran pada asalnya bukan rakyat, jika berbicara tentang sejarah rakyat, mereka harus dikira setelah mendapat kerakyatan. Memasukkan buruh imigran sebagai rakyat juga merupakan satu yang mengelirukan, adakah hari ini kita juga harus mengatakan bahawa buruh-buruh imigran yang ada di negara kita termasuk dari Bangladesh, Indonesia, Vietnam, Myanmar, sebagai rakyat kita? Jika ya, adakah mereka dilayan dan diberikan hak sebagaimana rakyat lain? Bagi Azmi, Syed Husin ingin memasukkan mereka dalam sejarah rakyat agar wujudnya sejarah inklusif yang boleh digunakan untuk tujuan politik hari ini. Namun seperti yang telah ditulis, kita patut mengikuti sejarah, bukan sejarah yang perlu diubah bagi kepentingan kita hari ini.

Konsep Sejarah Rakyat atau Sejarah Dari Bawah ini bukanlah perkara baharu. Di Malaysia sendiri, menurut Azmi, telah banyak penulis yang menulis perihalnya, malah lebih baik dari Syed Husin Ali, cuma ia tidak sampai dan tidak meluas kepada masyarakat dan hanya diketahui oleh golongan akademik dan pengkaji. Sementara di luar negara, antara sarjana tersohor yang menulis sejarah dari bawah ini adalah Howard Zinn, yang menulis A People’s History of the United States. Jika kita membaca karya Zinn ini, ia dimulakan dengan kisah kaum Arawak yang menyambut kedatangan pelayar Eropah yang kemudian membunuh mereka. Kajian Zinn mengetengahkan golongan peribumi asal di Amerika (native American). Namun Sejarah Rakyat yang ditulis oleh Syed Husin Ali sebaliknya mengetengahkan golongan bukan peribumi.

Bagi Azmi, sejarah yang ditulis oleh Syed Husin Ali masih mempunyai kerangka kolonial, cuma bezanya dengan sejarah rasmi (propaganda kerajaan), naratifnya memihak kepada golongan kiri dan bukan pemerintah. Beliau mengkritik juga pandangan-pandangan sarjana tempatan yang banyak bergantung kepada sumber British. Walhal negara lain kebanyakannya sudah menukar posisi sejarah mereka, bukan lagi Euro-centric atau British-centric, tetapi sejarah penduduk asal, manakala kedatangan British hanya sejarah kecil dan sampingan.

Contoh kritikan beliau dalam hal ini adalah mengaitkan pemerintahan Melayu sebelum kedatangan British dengan sistem feudal atau feudalisme. Bagi Azmi, ini adalah ejekan British kepada peribumi yang diulang-ulang oleh sarjana-sarjana tempatan yang bergantung kepada sumber pensejarahan British. Menurut Azmi, sarjana-sarjana tempatan ini tidak mengkaji pun konsep feudalisme dengan mendalam, malah tidak dibuktikan bahawa masyarakat Melayu mengamalkan sistem feudalisme. Azmi pergi lebih jauh dengan mengatakan sistem yang diamalkan orang Melayu dahulu (sebelum merdeka) adalah Raja Berpelembagaan. Ini boleh didapati dalam sumber-sumber sejarah, raja tidak berkuasa mutlak. Banyak raja yang dibunuh, diturunkan, malah ada yang dipecat oleh pembesar kerana mencagar tanah tanpa persetujuan pembesar-pembesar. Ini semua tidak diketengahkan oleh sarjana-sarjana yang mulutnya sibuk mengumat-kamit “feudalisme” dalam kritik politik mereka, yang mana dalam tidak sedar mereka hanya mengulangi ejekan British terhadap masyarakat peribumi.

Akhir sekali, mungkin point terakhir yang saya rasa menarik untuk diketengahkan adalah perbezaan antara gambaran dalam tulisan dengan keadaan realiti. Kadang kala penulisan itu tidak menggambarkan realiti sebenar dari segi kesan dan impak. Oleh itu Edward Said ada memberi amaran dalam bukunya Orientalism perihal apa yang dipanggil beliau sebagai textual attitude, yang mana kita mengambil sesuatu penulisan sebagai satu kebenaran yang mutlak. Dalam kritikan Azmi terhadap Syed Husin, beliau ada menyebut tentang pengaruh Chin Peng dan Parti Komunis Malaya (PKM) yang sering dibesarkan dalam penulisan terutamanya dalam penulisan kiri dan juga British. Walhal realiti sejarah sebenar, PKM sendiri tidak mendapat sokongan majoriti rakyat hatta tidak mendapat sokongan dari majoriti kaum Cina ketika itu.

Sebagai kesimpulan, kritikan Azmi Arifin terhadap Syed Husin Ali merupakan kritikan dari aspek sejarah, Azmi sebagai ahli akademik cenderung kepada pensejarahan objektif yang berasaskan sumber-sumber primer. Manakala Syed Husin Ali menulis dalam usaha untuk menonjolkan sisi-sisi yang lebih inklusif dalam sejarah sesuai dengan komposisi masyarakat yang ada pada hari ini. Walaupun begitu, tidaklah semua pandangan Azmi terhadap Syed Husin bersifat negatif, ada juga beberapa titik persetujuan dan beliau masih menganggap ia sebagai satu buku dan usaha yang baik namun tidak boleh dikatakan sebagai satu buku sejarah yang objektif atas hal-hal yang telah kita bentangkan. Bagi memahami keseluruhan kritik-kritik ini, wajarlah sidang pembaca menyemak sendiri wacana tokoh-tokoh ini.

Kritikan-Azmi-Arifin-Terhadap-Buku-Syed-Husin-AliDownload
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Politik

  • « Previous Page
  • 1
  • …
  • 4
  • 5
  • 6
  • 7
  • 8
  • …
  • 18
  • Next Page »

Recent Posts

  • Pasca Membaca Buku Pascabaca
  • Analisis Permulaan Perang Amerika Syarikat-Israel Ke Atas Iran Pada Bulan Jun 2025
  • Retelling the Story of the Great Majapahit Empire
  • Nota PBAKL: Prosa Klise Yang Benar, Kehidupan Adalah Satu Perjalanan
  • Koleksi Refleksi di IABF: Merayakan Seni dan Sastera

Archives

Copyright © 2025 The Independent Insight