Seperti yang dikatakan oleh Ranke, sejarah perlu ditulis seperti mana ia terjadi, dengan objektif dan tanpa pengadilan moral, baik untuk mengagung-agungkan atau mencela sesuatu, baik peristiwa sejarah, personanya, eranya juga polisi dan dasar yang dilaksanakan pada masa lampau.[1] Oleh itu penulisan ini cuba menganalisa sejarah dari perspektif yang objektif ini berdasarkan penulisan ahli sejarah Elizabeth Drayson. Pengenalan saya kepada subjek ini adalah dari penulisan Firas Alkhateeb yang cuba mengumpulkan keseluruhan sejarah Islam sepanjang 1400 tahun ke dalam sebuah buku setebal 274 mukasurat.[2] Usaha Firas ini sudah tentulah memerlukan simplifikasi yang serius dan tidak mampu mengambarkan sejarah dengan segala kompleksitinya yang ada. Sejarah Andalusia dimasukkan secara pendek sahaja.
Pembunuhan Keluarga Umayyah oleh Dinasti Abbasiyah
Permulaan kerajaan Islam di Semenanjung Iberia (Sepanyol) ada dinukilkan oleh Alkhateeb dalam bukunya dan ini ada saya catatkan sebagai nota bacaan sebelum ini.[3] Ia bermula dengan kejayaan Keluarga Abbasiyah menjatuhkan kepimpinan Umayyah dan mereka memburu dan membunuh saki baki pemerintah Umayyah. Namun seorang putera Umayyah berumur 20-an Abdul Rahman Al-Dakhil berjaya melarikan diri ke semenanjung Iberia dan mengasaskan pemerintahan Umayyah di Cordova. Islam telah membuka semenanjung Iberia pada tahun 711 sebelum kedatangan Abdul Rahman, apabila Komander Tariq bin Ziyad mengalahkan kerajaan Visigothic dibawah Raja Roderic. Gibraltar yang hari ini merupakan kawasan yang dikuasi British berasal dari nama Jabal Tariq dalam bahasa Arab yang membawa maksud bukit Tariq.
Namun selepas itu perebutan kuasa berlaku dalam kerajaan Umayyah Andalusia sehinggalah mereka terpecah menjadi negeri-negeri kecil yang dipanggil ‘ta’ifah’ dan berperang sesama sendiri. Perpecahan ini membuka peluang bagi Castille dibawah Alfonso VI untuk menakluk semula Al-Andalus. Apabila ancaman ini sampai ke Seville, tentera dari Afrika Utara datang membantu atas dasar persaudaraan Islam, mereka dipanggil Al-Murabitun (Almoravid) yang merupakan kerajaan Islam di Afrika Utara dari etnik Berber. Tentera Murabitun dipimpin Yusuf Tashfin menyeberangi selat Gibraltar dan berjaya menewaskan Alfonso.
Penulisan dan Sumber Sejarah
Drayson cuba membentuk semula sejarah Dinasti Nasrid dan sultannya yang terakhir, Boabdil. Penulisan Drayson cuba memulihkan imej Boabdil yang sering digambarkan sebagai raja yang lemah. Sebaliknya Drayson memberikan konteks di belakang pemerintahan Boabdil, bagaimana beliau naik takhta dan merampasnya dari ayahnya sendiri, bagaimana dia terpaksa memerintah dan bergelut kuasa dengan bapanya dan bapa saudaranya. Boabdil juga dipaparkan dengan adil sebagai pemimpin yang mempunyai pesona kalkulatif dan cuba mengimbangi kekuasaan musuhnya Castile dan Aragon melalui diplomasi walaupun cara ini mendapat tentangan kuat dari golongan ulama’, intelektual dan idealis ketika itu yang mahukan peperangan hingga ke titisan darah yang terakhir. Boabdil juga cuba untuk menyelamatkan kerajaannya hingga ke saat terakhir, dan apabila keadaan sudah tidak berpihak padanya, dia cuba mendapatkan terma menyerah kalah yang terbaik untuk rakyatnya termasuklah untuk kaum Yahudi yang berada di Granada.
Dalam rekonstruksi sejarah beliau, Drayson menggunakan sumber primari dari kedua-dua pihak yang berperang antara satu sama lain. Sumber kristian yang banyak digunakan adalah dari Andres Bernaldez, Fernando del Pulgar, Jeronimo Zurita dan Hernando de Baeza, Baeza mengenali Boabdil secara peribadi dan berada dalam lingkungan istana beliau. Sumber Islam pula berasal dari kitab yang tidak diketahui penulisnya yang bertajuk Nubdhat al-‘asr fi akhbar muluk Bani Nasr: taslim Gharnatah wa-nuzuh al-Andalusiyin ila al-Maghrib, sumber ini merupakan satu-satunya sumber sejarah Islam yang terselamat yang ditulis semasa kejatuhan Granada. Manakala sumber Islam kedua adalah yang ditulis oleh al-Maqqari, namun sumber ini ditulis jauh terkemudian sekitar abad ke-17. Manakala sumber moden adalah penulisan L. P. Harvey.[4]
Pandangan Kristian Terhadap Islam Pada Abad Ke-7
Menurut Elizabeth Drayson, untuk mengetahui latar zaman dimana sejarah Kerajaan Dinasti Nasrid ini berakhir, kita perlu memahami hubungan antara agama Kristian dan Islam pada ketika itu. Menurut beliau, pandangan Kristian terhadap Islam sememangnya serong sejak awal. Antara penulisan awal perihal Islam oleh penulis Kristian adalah tulisan John of Damascus yang juga dikenali sebagai Venerable Bede. Orang Islam dikatakan sebagai pewaris yang illegitimate hasil hubungan Ibrahim dan Hajar. Mereka dipandang oleh golongan awal Kristian sebagai pembunuh dan ganas. Apabila bermulanya kemasukan Islam ke Semenanjung Iberia, prejudis dan ketakutan orang Kristian terhadap Islam mencapai kemuncaknya.[5] Menurut Edward Said, pandangan yang prejudis pada orang Islam dan Arab dari kaca mata Kristian Eropah tidak pudar, malah ia bersambung hingga ke zaman moden dimana hujah-hujah prejudis agama diberikan nafas baru dengan hujah-hujah prejudis yang lebih sekular.[6]
Permulaan Kerajaan Dinasti Nasrid
Seperti yang ditulis oleh Alkhateeb, Kerajaan Umayyah Andalusia telah berpecah kepada negeri-negeri kecil yang dipanggil taifah. Taifah-taifah ini kemudiannya satu per satu jatuh ke tangan kerajaan Kristian Castile dan Aragon, pada tahun 1248 hampir kesemua negeri-negeri besar termasuklah Cordoba dan Seville telah jatuh ke tangan kuasa Kristian.
Dalam keadaan yang mana kelihatan, Islam di Semenanjung Iberia bakal lenyap, pada tahun 1232 sebuah Kerajaan Dinasti Islam baharu muncul. Pada 18 April selepas solat Jumaat, seorang pemimpin tempatan bernama Muhammad Ibn Yusuf Ibn Nasr Ibn al-Ahmar mengumumkan bahawa beliau adalah pemerintah kawasan kecil di Baeza. Lima tahun kemudian pada 1237, beliau menjadikan Granada sebagai ibu negara kerajaannya dan lahirlah Dinasti Nasrid yang mengambil nama sempena nama kabilahnya “Nasr” yang bermaksud kemenangan. Beliau menggelar dirinya emir dan menggunakan gelaran Muhammad I. Penubuhan dinasti baharu ini berjaya memanjangkan hayat pemerintahan Islam dari terpadam di Semenanjung Iberia selama 250 tahun.[7]
Bagi menjamin kelansungan kerajaan barunya, Muhammad I telah melakukan perjanjian damai dengan Ferdinand III dan menerima beliau sebagai tuannya. Muhammad I bersetuju menjadi vassal dan membayar ufti. Namun perjanjian ini tidaklah begitu ditepati, ia selalu terputus dan diperbaharui semula, dan Granada tidak pernah tunduk keseluruhannya kepada Castile. Namun Muhammad menunjukkan kesetiaannya kepada Ferdinand, pada 1248 beliau menghantar 500 askar bagi membantu Ferdinand mengepung Seville untuk mengalahkan saudara se-Islamnya. Juga pada 1246 beliau menyerahkan bandar Jaen sebagai tanda ketaatan feudalnya. Walau bagaimanapun, hubungan vassal-feudal ini tidak ditulis dalam rekod sejarah Islam, dalam sumber Kristian, Granada disebut sebagai wilayah dibawah pemerintahan mereka. Menurut Grayson, manuever politik ini perlu dilakukan oleh Muhammad I untuk menjamin survival kerajaannya, walaupun ia bertentangan dengan pandangan para ulama ketika itu yang cenderung untuk berperang ke titisan darah yang terakhir.[8]
Perkembangan Kerajaan Nasrid dan Latar Kelahiran Boabdil
Sultan-sultan yang mewarisi kerajaan Nasrid kemudiannya saling berebut takhta dan berbunuhan sesama keluarga mereka. Selama seratus tahun ia dipenuhi episod pengkhianatan dan keganasan sesama sendiri dan melahirkan ketidakstabilan.[9] Malah terdapat faksi-faksi di Granada yang saling bergaduhan terutamanya Bannu Sarraj (Abencerrajes) dan Banu Bannigas (Venegas). Sementara itu kerajaan Kristian bertambah kuat dan tidak lagi mahu masuk ke dalam perjanjian damai mudah seperti sebelum ini.[10] Serangan orang Kristian merupakan serangan yang kejam, menurut rekod yang ditulis oleh seorang Knight bernama Jose de Ehingen mereka akan membunuh semua populasi Muslim ketika menyerang dan menikam mati semua perempuan dan kanak-kanak.[11]
Inilah latar dimana Boabdil lahir, beliau lahir dalam keluarga yang saling berbunuhan sesama sendiri, dengan pergaduhan kaum di Granada, juga tekanan Ulama’ yang tidak mahu sebarang perjanjian dengan pihak Kristian, serta ancaman kuasa Kristian Castile yang semakin kuat dan membesar. Beliau lahir semasa zaman pemerintahan atuknya, Abu Nasr Sa’d sekitar tahun 1459-1462, tahun kelahirannya yang sebenar tidak dapat dipastikan dengan tepat.
Pemerintahan Boabdil
Pada tahun 1482, ketika ayahnya, Abul Hasan keluar dalam sebuah kempen perang di Loja, Boabdil melakukan rampasan kuasa dan naik sebagai sultan baharu. Ayahnya berundur ke Alpujarras kemudian ke Malaga bersama abangnya El Zagal (bapa saudara Boabdil).[12] Bermula disini, Boabdil memerintah dengan tentangan dari bapa dan bapa saudaranya di Malaga. Selain konflik sesama keluarga, pemerintahan Boabdil mendapat tamparan yang hebat apabila beliau berjaya ditangkap oleh tentera Castile dalam kempen perang yang gagal di Lucena pada tahun 1483.[13] Penangkapan beliau ini merupakan peristiwa dimana beliau sudah tidak lagi menjadi seorang raja yang bebas tetapi menjadi orang suruhan Castile. Boabdil dilayan dengan baik oleh pemerintah Castile yang pandai menggunakan peluang ini untuk merancakkan lagi perpecahan sesama Muslim di Granada.
Ketika Boabdil dilepaskan semula, bapa saudaranya El Zagal telah dilantik menjadi sultan ke-24. Boabdil dilepaskan dalam masa yang sama anaknya dan anak pembesar-pembesar Granada menjadi tawanan ganti untuk memastikan Boabdil mematuhi perjanjiannya bersama Castile. Perang saudara telah meletus di Granada antara Boabdil dan El Zagal namun akhirnya Boabdil berjaya menguasai Granada dengan bantuan Castile dan bapa saudaranya berundur ke Guadix.[14] Namun, tidak lama selepas itu, Ferdinand dan Isabella memulakan langkah mereka untuk menawan Granada.
Kejatuhan Granada dan Berakhirnya Pemerintahan Islam di Andalusia
Boabdil mula menghantar utusan kepada Ferdinand dan Isabella (Raja Katolik) pada 1490 untuk berunding perihal status Granada. Pada masa ini, dia mula sedar bahawa Raja Katolik tidak mahu lagi meneruskan perjanjian damai. Bagi memastikan tiada bantuan sampai ke Granada, Raja Katolik telah mengikat perjanjian damai dengan Qa’it Bey yang merupakan sultan Kerajaan Mamluk di Mesir. Qait memerlukan kerjasama dengan Raja Katolik bagi membantunya dalam peperangan melawan Turki Uthmaniyah. Disini kita melihat kelicikan Ferdinand, kepada rakyatnya dia mengapikan peperangan terhadap orang Islam, namun kepada Mamluk dia memberi tahu bahawa dia hanya mahu mengambil semula Granada yang merupakan tanah jajahannya (vassal).[15]
Ferdinand tidak melakukan serangan besar-besaran, sebaliknya mula dengan memusnahkan kawasan tanaman di sekitar Granada yang menjadi sumber makanan mereka. Kemudian, apabila sumber makanan telah terhenti, dan memastikan tiada bantuan dari Afrika Utara sampai. Ferdinand telah membina bandar baharu di luar Granada untuk mengepungnya secara tetap pada 1941, bandar ini dinamakan Santa Fe dan masih wujud hingga ke hari ini. Hal ini bagi memastikan tenteranya dapat mengharungi musim sejuk, kerana kepungan tidak akan bertahan lama jika mereka hanya mendirikan khemah sementara.[16]
Boabdil pada mulanya tidak mahu menyerah kalah dan terus bertahan di Granada. Namun semakin lama situasi semakin meruncing apabila rakyatnya mula ditimpa kelaparan. Beliau telah memanggil kesemua pembesar dan mereka bersetuju untuk menyerahkan Granada pada Raja Katolik. Dalam perjanjian Boabdil dengan Raja Katolik, beliau bukan sahaja mahu jaminan keselamatan diberikan kepada kaum Muslim, tetapi memasukkan sekali jaminan keselamatan kepada kaum Yahudi, jaminan ini, walaubagaimanapun, dikhianati oleh Raja Katolik selepas itu.[17] Pada 2 Januari 1492, Granada menyerah kalah pada kepungan Raja Katolik menandakan berakhirnya pemerintahan Islam di Andalusia.
Bagi Drayson apa yang dilakukan oleh Boabdil ini merupakan perkara yang terhormat, tidak kurang kehormatannya dari apa yang dilakukan oleh tentera Yunani di Thermopylae dan juga tentera Custer di Little Bighorn. Boabdil sedar, peluang bagi rakyatnya terus hidup lebih besar dengan menyerah kalah dari berperang sehingga segala-galanya musnah. Bagi Drayson, jika kita berfikir dari sudut ini, kita akan melihat Boabdil sebagai satu figura yang bijak dan berani yang tidak mahu rakyatnya dimusnahkan.[18]
Pasca Kekalahan Granada
Kehancuran kerajaan Islam di Semenanjung Iberia yang berakhir dengan kejatuhan Granada bukan sekadar menandakan kemenangan tentera Kristian dan kekalahan Islam, ia juga merupakan satu titik tolak kepada permulaan sejarah baharu. Antara yang menyaksikan naiknya bendera Kristian di Granada pada 2 Januari 1492 adalah Christopher Columbus yang kemudiannya mendapat tajaan dari Isabella untuk ekspedisi pelayarannya.[19]
Boabdil pada mulanya dibuang negeri ke Andarax bersama keluarganya. Namun hal ini tidak bertahan lama kerana Raja Katolik mahukannya keluar dari Sepanyol untuk mengelakkan sebarang kebangkitan baharu. Beliau kemudian dibuang negeri ke Afrika Utara, namun sehingga hari ini, makam terakhirnya tidak dapat dipastikan, sama ada di Fez atau Tlemcen.[20]
Jaminan keselamatan yang dipersetujui dengan Boabdil tidak ditunaikan oleh Raja Katolik. Dalam sebuah puisi yang terselamat, ditulis oleh Aboul Baqa Calih ben Cherif ketika melihat bandarnya Ronda jatuh ke tangan Raja Katolik, beliau merekodkan bagaimana wanita-wanita dicabut tudungnya dan dijadikan tawanan, tanpa mengendahkan kehormatan mereka. Juga anak-anak dirampas dari tangan ibu mereka untuk dibaptiskan secara paksa dan diserahkan kepada paderi gereja. Beliau menulis “Benarkah cahaya sebenar-benarnya telah terpadam di langit Ronda?”.[21] Bermula dari tahun 1492-1609, Raja Katolik telah menghalau keluar semua kaum Yahudi dan juga Moriscos (orang-orang yang asalnya Muslim tetapi dipaksa menjadi Kristian oleh Raja Katolik) dari Sepanyol.[22]
Kekalahan Granada bukan sahaja menyaksinya terpadam pemerintahan yang mempunyai toleransi yang tinggi, yang disebut sebagai convivencia oleh para sarjana dan ahli akademik.[23] Tetapi juga menyaksikan kemusnahan keilmuan dan kelahiran gerakan anti-intelektual di Sepanyol. Hal ini dapat dilihat dengan aksi membakar buku secara besar-besaran. Antaranya oleh seorang inquisitor general kejam yang bernama Cardinal Cisneros yang telah membakar buku-buku yang ditulis dalam bahasa Arab di Plaza Bib-Rambla, Granada pada 1499.[24] Pembakaran ini merupakan tragedi yang sangat besar kepada keilmuan, bukan sekadar keilmuan Islam, tetapi kepada keilmuan dunia. Manuskrip Yunani Kuno misalnya, sampai kepada kita pada zaman moden ini kerana ia dipelihara dengan diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Jadi kita mungkin tidak akan tahu dengan sebenarnya permata berharga apa yang kita telah hilang dengan terbakarnya kitab-kitab ilmu yang dilakukan oleh Cisneros ini.
Penutup
Bagi Drayson, kisah Boabdil ini mampu memberi kita pengajaran jika kita melihatnya dalam latar yang lebih besar, iaitu latar perubahan yang berlaku pada zaman medieval di Sepanyol dan Eropah. Beliau turut menukilkan idea David Day, seorang ahli sejarah, yang mengatakan bahawa sesebuah masyarakat perlu sentiasa berwaspada akan dua ancaman. Pertama, kelemahan masyarakatnya. Kedua, ambisi penaklukan jirannya. Dua perkara inilah yang menjatuhkan Granada. Walaubagaimanapun, menurut Drayson, tidak ada satu kawasan yang tidak pernah diambil alih oleh masyarakat lain, walau sekuat mana orang yang mendiaminya mengatakan bahawa mereka mempunyai akar yang panjang di bumi kelahiran mereka.[25]
Bagi saya, pensejarahan yang ditulis oleh Elizabeth Drayson ini bersifat adil. Beliau cuba memberikan pandangan sejarah yang lebih positif dan neutral kepada Abu Abdallah Muhammad bin Ali (Boabdil ) yang merupakan Sultan Dinasti Nasrid ke-23 dan terakhir. Walaupun kisah ini membuat kita berasa sedih dan kehilangan, ia juga satu pelajaran yang baik dari sejarah. Di bab-bab akhir, Drayson menelusuri penulisan tentang Boabdil dalam wacana masyarakat dan juga seni kebudayaan seperti novel, teater, dan juga filem. Beliau melihat bagaimana watak Boabdil dilihat sebagai raja yang lemah dan kalah pada mulanya, namun lama kelamaan mendapat pandangan yang lebih positif dan adil dalam masyarakat.
[1] Abdul Rahman Haji Abdullah. Pengantar Ilmu Sejarah. Pusat Pendidikan Jarak Jauh USM, 1994.
[2] Firas Alkhateeb. Lost Islamic History: Reclaiming Muslim Civilisation from the Past. Hurst & Co, 2014.
[3] Syed Ahmad Fathi. Sejarah Islam Yang Hilang. Meniti Jambatan Masa, 22 Oktober 2019. Pautan: https://bersamakepuncak.blogspot.com/2019/10/sejarah-islam-yang-hilang.html
[4] Elizabeth Drayson. The Moor’s Last Stand: How Seven Centuries of Muslim Rule in Spain Came to an End. Profile Books, 2018. Halaman 189-190.
[5] Ibid. Halaman 4.
[6] Edward W. Said. Orientalism: Western Conceptions of the Orient. Penguin Books, 1991.
[7] Elizabeth Drayson. The Moor’s Last Stand. Halaman 9.
[8] Ibid. Halaman 12-13.
[9] Ibid. Halaman 16.
[10] Ibid. Halaman 19.
[11] Ibid. Halaman 21.
[12] Ibid. Halaman 38.
[13] Ibid. Halaman 53.
[14] Ibid. Halaman 75-82.
[15] Ibid. Halaman 92-95.
[16] Ibid. Halaman 98-99.
[17] Ibid. Halaman 107.
[18] Ibid. Halaman 162.
[19] Ibid. Halaman 119.
[20] Ibid. Halaman 121-131.
[21] Ibid. Halaman 137.
[22] Ibid. Halaman 172.
[23] Vaughan, Lindsey Marie. “Convivencia: Christians, Jews, and Muslims in Medieval Spain.” (2003).
[24] Elizabeth Drayson. The Moor’s Last Stand. Halaman 133.
[25] Ibid. Halaman 174.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di lautan Ideologi (2022) and Dua Sayap Ilmu (2023). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.