Menurut E.H. Carr dalam bukunya yang terkenal What is History?, menjadi tugas ahli sejarah bagi memberikan sebab-sebab berkenaan dengan apa yang terjadi dalam sejarah. Terdapat pelbagai jenis sebab yang mempengaruhi peristiwa sejarah, tugas ahli sejarah bukanlah sekadar menyenaraikan semua sebab-sebab yang menyebabkan sesuatu itu berlaku, tetapi dia perlu memilih antara semua sebab-sebab ini, satu sebab yang paling dominan sebagai punca berlakunya sesuatu peristiwa atau perubahan dalam sejarah.
Sejarah, sebagai mana juga kehidupan manusia terdedah dengan pelbagai bentuk kebetulan, takdir atau apa yang disebut sebagai accident in history. Bagi Carr mereka yang menyandarkan penyebaban sejarah pada kebetulan adalah mereka yang malas berfikir. Dan sejarah yang sebabnya disandarkan pada kebetulan, tidak berguna untuk diambil iktibar kepada generasi akan datang. Tugas ahli sejarah oleh itu, adalah untuk memberikan sebab yang rasional, yang praktikal dan dapat digunakan oleh generasi akan datang bagi membantu mereka membuat keputusan. Ini adalah fungsi penyebaban dalam sejarah, dan ia menjadi tugas utama kepada ahli sejarah bagi menentukan sebab-sebab dalam sejarah di dalam penulisan mereka.
Apakah itu Penyebaban?
Tugas ahli sejarah bukan sekadar menulis peristiwa-peristiwa yang berlaku, tetapi menerangkan mengapa ia berlaku. Usaha menerangkan mengapa ia berlaku inilah yang disebut sebagai penyebaban (causation). Contohnya, kita semua tahu bahawa Empayar Rom telah runtuh, hal ini dapat dilihat dengan jelas dalam dunia hari ini kerana tiada entiti politik yang menyatakan mereka adalah Empayar Rom, jadi ia adalah fakta yang objektif. Tetapi mengapa empayar ini runtuh? Di sini lahirnya tugas ahli sejarah dalam memberi penerangan. Contohnya kita boleh membaca tulisan Edward Gibbon yang memberi hujah bahawa Empayar Rom ini runtuh apabila pengaruh agama Kristian mula masuk ke dalamnya. Hujah Gibbon ini disokong oleh penulis sejarah kontemporari seperti Catherine Nixey.
Penyebaban adalah inti utama dalam penulisan sejarah, di mana ahli sejarah memberikan satu penjelasan berdasarkan bukti, pemahaman, dan analisanya terhadap fakta-fakta yang ada. Setiap ahli sejarah mungkin akan memberikan sebab-sebab yang berbeza berdasarkan pemahaman mereka terhadap fakta-fakta yang ada. Sebab yang berbeza ini boleh melahirkan rumusan dan kesimpulan yang berbeza.
Satu peristiwa dalam sejarah mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor, oleh itu memberi satu sebab bukanlah satu tugas yang mudah. Tugas ahli sejarah adalah menerangkan apa yang berlaku pada masa lalu, untuk itu dia harus memilih sebab yang paling rasional dan utama dalam menerangkan sesuatu peristiwa. Dalam hal ini, ahli sejarah terpaksa membuat ringkasan dari peristiwa yang pada realitinya bersifat kompleks. Pemilihan ini penting untuk dilakukan dengan berhati-hati kerana ia memberi implikasi terhadap pemahaman pembaca perihal satu peristiwa sejarah. Dengan memberi sebab kepada sesuatu peristiwa sejarah, kita akan lebih memahaminya dan dapat membuat hubungan antara satu peristiwa dengan peristiwa yang lain.
Penyebaban Dalam Penulisan Sejarah
Usaha memberikan sebab kepada sesuatu peristiwa dalam sejarah dapat ditelusuri bermula dengan penulisan Herodotus yang menyiasat sebab berlakunya perang antara Parsi dan Yunani. Menurut beliau, raja-raja Parsi seperti Cyrus, Darius, dan Xerxes yang bercita-cita tinggi untuk meluaskan tanah jajahan adalah sebab utama berlakunya Perang Parsi-Yunani. Juga Thucydides yang menulis perihal Perang Peloponnesia, beliau berpandangan bahawa perang ini adalah disebabkan hasrat pemimpin Athens untuk menguasai negeri-negeri Yunani. Kita juga dapat melihat bagaimana historiografi Kristian menulis perihal sebab dalam penulisan sejarah mereka. Contohnya Eusebius yang memperkenalkan konsep masa, bagi Eusibius kehadiran seorang tokoh yang berpengaruh tepat pada masanya adalah sebab berjayanya sesuatu gerakan. Beliau memberi contoh kedatangan Jesus pada masa yang sesuai telah berjaya menyebabkan Kristian menjadi agama yang dominan.
Faktor Suasana Yang Telah Matang
Kita sudah bahaskan bagaimana terdapat banyak sebab yang mempengaruhi kejadian sesuatu peristiwa. Antara perbincangan yang dibahaskan dalam penulisan sejarah adalah faktor suasana dan juga faktor tokoh. Dalam hal ini, ahli sejarah berbeza pendapat tentang sesuatu peristiwa, ada yang berpandangan suasana yang merupakan sebab utama kejayaan sesuatu gerakan dan perubahan, manakala tokoh yang menggerakkannya dinisbahkan sebagai sebab sampingan.
Contohnya dalam Gerakan Reformasi di Jerman oleh Martin Luther. Ahli sejarah seperti Leopold von Ranke berpendapat suasana di Eropah pada ketika itu telah matang dengan wujudnya pemikiran humanisme di mana masyarakat mula menggunakan akal dan pemikiran rasional. Kerana suasana ini telah matang, seruan Martin Luther untuk menentang penyelewengan Gereja Katolik mendapat sambutan masyarakat. Sebelum suasana menjadi matang, terdapat gerakan lain yang digerakkan oleh John Hus dan Peter Waldo, namun gerakan ini gagal kerana suasana masih belum memihak kepada mereka.
Contoh lain adalah berakhirnya pemerintahan Islam di Sepanyol. Banyak pendapat yang mengatakan ia berakhir kerana kelemahan Sultan Dinasti Nasrid yang terakhir iaitu Boabdil. Namun menurut ahli sejarah seperti Elizabeth Drayson, suasana ketika itu sememangnya telah matang untuk berakhirnya pemerintahan Islam. Kerajaan di Andalusia telah terpecah kepada taifah-taifah kecil, perang saudara sesama orang Islam, pergelutan dan pengkhianatan dalam keluarga sultan, juga bersatunya dua kerajaan iaitu Aragon dan Castile yang menjadi musuh kepada kerajaan Islam. Menurut Drayson, keadaan ini sememangnya sudah matang, dan Boabdil lahir pada suasana yang tidak memihak kepada dirinya.
Penyebaban Dalam Sejarah Mengikut Aliran Marxist
Antara aliran pemikiran yang ada dalam sejarah adalah aliran Marxist yang mengambil nama sempena tokoh utama pemikiran aliran ini iaitu Karl Marx. Marx yang mengkaji revolusi dan perubahan masyarakat mengemukakan idea dialektikal materialisme yang dikembangkan dari idea dialektik Hegel. Menurut Marx, perubahan dalam masyarakat berlaku kerana perubahan yang berlaku dalam penghasilan barangan (material production). Bagi Marx, pengeluaran produk, barangan, dan perkara yang material merupakan asas kepada kehidupan sosial. Makanan sebagai contoh, merupakan sesuatu yang berbentuk material. Perubahan dalam pengeluaran barangan inilah yang akan mempengaruhi perubahan aturan sosial masyarakat.
Idea Marxist berpandangan faktor ekonomi merupakan sebab utama berlakunya perubahan dalam masyarakat. Di sini kita melihat aliran Marxist juga mengutamakan suasana dalam penyebaban sejarah, dan tidak menekankan peranan tokoh, perkara ini selari dengan penyebaban dalam pensejarahan Kristian, cuma Marxist beranggapan faktor ekonomi lebih penting dalam mematangkan suasana yang menatijahkan perubahan dalam sejarah.
Kajian Kes: Sebab Berlakunya Perjanjian Pangkor 1874
Seperti yang telah kita fahami, setiap ahli sejarah akan memberikan penyebaban yang berbeza perihal sesuatu peristiwa sesuai dengan aliran sejarah mereka juga bukti-bukti yang dirasakan lebih berwibawa. Perkara ini boleh kita lihat dalam mengkaji kes berkenaan Perjanjian Pangkor 1874, bagaimana setiap ahli sejarah melakukan penafsiran yang berbeza perihal sebab mengapa perjanjian ini terjadi.
Pegawai British, Frank Swettenham, yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu memberikan sebab kemanusiaan bagi menjelaskan perjanjian ini. Menurut beliau British ingin menamatkan keadaan kacau bilau di Perak akibat dari perebutan takhta dan juga pergaduhan antara kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San. Menurut Swettenham, Raja Perak, iaitu Raja Abdullah sendiri menjemput British untuk mengembalikan keamanan di Perak. Namun membaca sumber British sahaja tidak cukup kerana sumber kolonial terdedah dengan bias dan sikap prejudis. Sumber kolonial sering memberi sebab yang memperlihatkan British sebagai penyelamat dan menutup fakta penjajahan mereka.
Menurut ahli sejarah tempatan, Khoo Kay Kim, faktor kemanusiaan seperti yang ditulis Swettenham ini hanyalah alasan semata-mata. British sebenarnya mahu menguasai ekonomi terutamanya perdagangan dan juga perlombongan hasil bumi. Oleh itu, faktor yang menjadi sebab utama adalah ekonomi. Para pedagang mahukan keamanan bagi menjamin industri perlombongan bijih timah mereka di Perak dan British mahukan hasil ekonomi ini bagi menjana Revolusi Perindustrian mereka di Britain.
Ahli sejarah C. D. Cowan pula mengutarakan pendapat bahawa perjanjian ini berlaku kerana British tidak mahu kuasa asing lain masuk ke Tanah Melayu. Pedagang yang mahukan keamanan akan meminta bantuan Jerman sekiranya British tidak campur tangan. Dengan perlantikan Lord Kimberly sebagai Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan yang baharu, British mengubah polisinya dan mula campur tangan di Tanah Melayu dalam hal ehwal politik. Lord Kimberly tidak takut untuk memikul tanggungjawab imperial menurut Cowan. Melalui Perjanjian Pangkor 1874, J.W.W. Birch dilantik menjadi Residen British yang pertama.
Faktor Tokoh Yang Pintar
Setelah kita menjelaskan sebab dalam sejarah menurut faktor suasana, terdapat juga ahli sejarah yang berpendapat terdapat faktor individu atau tokoh yang pintar yang menjadi sebab berlakunya peristiwa dan perubahan dalam sejarah. Antara pemikir yang mengetengahkan faktor tokoh ini adalah ahli falsafah yang bernama Sidney Hook yang membawa Teori Manusia Agung (The Great Man Theory). Menurut beliau, terdapat dua jenis manusia agung iaitu eventful man dan juga event-making man.
Eventful Man adalah individu yang hadir pada masa yang tepat dan lokasi yang sesuai. Individu ini hadir pada masa yang sudah matang untuk perubahan berlaku. Kita boleh katakan dalam contoh kejatuhan Islam di Sepanyol sebelum ini, Boabdil adalah eventful man di mana beliau hadir semasa kerajaan Islam telah berpecah belah kepada kerajaan-kerajaan kecil yang lemah dan musuh mereka sudah bergabung dan membentuk satu kuasa yang dominan. Beliau tidak dapat mempengaruhi suasananya, dan hadir sebagai pelengkap kepada peristiwa tersebut.
Event-making Man adalah individu yang menetapkan matlamat dan tujuan pergerakannya. Dia kemudian menggunakan usaha dan pengaruhnya untuk mengubah suasana dan memastikan perubahan dapat berlaku. Dalam erti kata lain, jika eventful man bergantung pada suasananya, event-making man membentuk dan mempengaruhi suasananya. Contohnya Nelson Mandela yang berjuang dalam pertubuhan Kongres Nasional Afrika di Afrika Selatan. Beliau telah berkerjasama dengan ahli parti komunis, kongres India dan juga golongan white liberal dalam perjuangan menentang aparteid. Beliau berjaya memobilisasi rakyat hinggalah polisi perkauman apartheid di Afrika Selatan ditamatkan pada tahun 1991. Kita boleh katakan bahawa Mandela merupakan event-making man.
Walaupun terdapat ahli sejarah yang mengutamakan peranan tokoh sebagai sebab berlakunya peristiwa dalam sejarah, mereka tidaklah menolak faktor suasana secara keseluruhan. Mereka beranggapan suasana sahaja tidak dapat menerangkan perubahan yang berlaku, ia memerlukan peranan manusia untuk mengambil peluang bagi mewujudkan perubahan menggunakan suasana yang ada. Selain itu, jika suasana tidak matang, seseorang individu yang pintar dapat berusaha untuk mematangkan suasana untuk sesebuah perubahan berlaku. Di sini suasana dilihat sebagai syarat sahaja, bukan penentu kepada perubahan.
Kesimpulan: Sejarah Tidak Wujud Dari Kekosongan
Dari perbahasan kita perihal penyebaban dalam sejarah (causation in history), dapatlah kita fahami bahawa sesuatu peristiwa yang berlaku dalam sejarah tidak lahir dari ruang kosong. Ia juga tidak dapat diterangkan menggunakan kebetulan (accident) dan takdir seperti yang ditegaskan oleh Carr. Ada faktor yang menjadi sebab dalam sejarah seperti ekonomi, sosial, dan politik.
Terdapat ahli sejarah yang berpendapat faktor suasana merupakan penerangan yang paling penting dalam menerangkan satu peristiwa sejarah. Ini dapat kita lihat dalam historiografi Kristian seperti yang ditulis oleh Eusebius. Juga aliran sejarah Marxist yang menekankan faktor ekonomi dalam penghasilan perubahan sosial. Semua ini memberi penekanan kepada faktor suasana dalam peristiwa-peristiwa sejarah.
Kita sudah membahaskan juga pendapat ahli sejarah yang merasakan faktor suasana sahaja tidak mencukupi dalam menerangkan sesuatu peristiwa sejarah. Pada pandangan mereka, perlu ada peranan manusia untuk menggunakan suasana yang sudah matang (eventful man) untuk membuat perubahan. Jika suasana belum matang, mereka berpendapat, manusia boleh berusaha mematangkan suasana (event-making man) untuk membuat perubahan.
Pada pandangan saya, kita tidak perlu memilih antara dua faktor ini secara eksklusif. Seperti yang diterangkan oleh Carr secara panjang lebar berkenaan dengan dikotomi dalam sejarah, antara objektif dan subjektif, antara umum dan unik, antara masa lalu dan masa hadapan, antara ahli sejarah dan fakta-faktanya, bagi Carr, sejarah adalah dialog dan interaksi antara semua elemen ini. Begitu juga dalam elemen penyebaban, pada pandangan saya, ia adalah interaksi antara tokoh dan suasana, interaksi inilah yang melahirkan perubahan dan peristiwa dalam sejarah.
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di lautan Ideologi (2022) and Dua Sayap Ilmu (2023). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.