Sewaktu rakyat bawahan membantah deregulasi kawalan caj perubatan swasta, kita tidak mendapat banyak solidariti. Malah ada dikalangan doktor juga mempertahankan polisi pemerkasaan kesihatan swasta ini. Kita disuruh “kalau tak nak bayar pegi hospital kerajaan bayar seringgit”. Kita disogok “pilihan masih banyak”. Ini doktor dari sektor awam yang berkata, tidak ada langsung solidariti. Jadi ketika elaun doktor baru ditarik, tiba-tiba bertanya kenapa mereka diluar profesyen kesihatan tidak cakna dan bersolidariti?
Mungkin kita boleh katakan pada mereka “kalau nak elaun banyak pergi kerja di luar negara” dan “pilihan kan banyak, pergi kerja swasta”. Tetapi tidak, itu jawapan yang salah. Saya berpendapat walaupun keluh kesah kita tidak disambut dahulu, kita patut bersolidariti. Kita tidak harus terus berpecah dan diperintah. “Serangan” kepada sektor awam adalah serangan kepada rakyat biasa. Jika kita tidak mengambil bahagian, bukan mereka sahaja yang rugi, tetapi kita semua, mereka adalah kita, dan kita adalah mereka. Pemerkasaan sektor swasta dan pengecilan sektor awam adalah parcel yang sama, ia adalah wawasan neo-liberalisme yang mahu membina profit-base ecosystem dalam sektor kesihatan.
Ada sesuatu kekurangan yang saya rasa dalam isu solidariti ini. Dr. Mahathir sering mengulangi bahawa orang Malaysia bersifat “timid”. Jika di Perancis, berlaku apa yang berlaku ini, satu negara akan mogok, seluruh negara lumpuh, sama ada kerajaan u-turn atau menjadi dysfunctional. Tapi tidak kita di Malaysia. Jika doktor ada kesatuan sekerja pun, kesatuan ini tidak kuat, tiada jaringan dengan kesatuan-kesatuan lain. Malah mungkin barisan kepimpinannya adalah doktor lama yang tidak terkesan pun dengan penarikan elaun. Doktor baru pun hanya boleh buat tindakan paling berani mereka, iaitu mengomel di Facebook.
Ramai yang bertanya, kenapa ditarik elaun doktor baru, mereka yang baru nak hidup, kenapa bukan doktor yang sudah hidup mewah dengan gaji berkepuk-kepuk. Dari sudut politik, penarikan elaun doktor baru ini “make sense”. Jika kita baca buku strategik “the prince” yang merupakan magnum opus Niccolo Machiavelli, lebih strategik menindas orang bawahan, mereka yang hanya mampu tunduk dan tidak melawan. Doktor lama punya jawatan dan pengaruh, mereka boleh “organize” untuk melawan. Tapi tidak doktor-doktor muda, yang baru mengenal dunia, yang ditempatkan hospital baru, bukan kesatuan, kawan pun tidak ada, mereka tidak berkesatuan, tidak tahu cara melawan.
Doktor adalah profesyen yang sangat mulia saya kira. Sampai ke hari ini saya mengagumi kerja-kerja doktor seperti Dr. Baharuddin Suri, Dr. Ang Swee Chai, Dr. Mads Gilbert, mereka yang begitu besar sumbangannya kepada kemanusiaan, melampaui kepentingan diri dan peribadi. Kita juga tidak lupa pada Jonas Salk, virologist yang menemui vaksin polio. Salk enggan untuk membuat patent bagi penemuannya. Ketika ditanya kenapa tidak patent, boleh dijual kepada syarikat farmasutikal untuk membuat untung, Salk menjawab, famously, “Could you patent the sun?”. Ia adalah epitome bahawa akses kesihatan adalah untuk semua. Sektor kesihatan tidak boleh di-deregulasi, dikecilkan, ditarik elaun, dalam masa yang sama memperkasakan sektor swasta.
Jadi, untuk doktor-doktor baru dan muda, kita katakan, solidariti!
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.