Jika pilihanraya negeri Sabah pada tahun 2020 boleh disimpulkan dengan satu perkataan, ia adalah tragedi. Ia merupakan satu pilihanraya yang tidak perlu, malah ia patutnya tidak dilakukan sekiranya golongan elit politik negara mempunyai sekelumit rasa prihatin kepada negara. Pilihanraya negeri Sabah dilakukan dengan penuh tidak bertanggugjawab ketika pandemik Covid-19 sedang merebak pantas di Sabah. Kesan dari pada tindakan tidak bertanggungjawab ini, pandemik Covid-19 meletup dan merebak ke seluruh Malaysia, ia tidak lagi dapat dihadkan hanya dalam satu negeri.
Tragedi ini bermula sejak awal lagi, selepas pilihanraya umum ke-14, Barisan Nasional menang tipis mengalahkan Parti Warisan. Walaupun telah menang, Shapie yang mengetuai Warisan yang kalah telah mengadakan skim di belakang untuk mengumpan “katak-katak” politik untuk masuk ke kem beliau. Umpan ini berjaya kerana di peringkan persekutuan Warisan mempunyai rakan sekutu yang menguasai Putrajaya, Pakatan Harapan. Akhirnya Shapie berjaya melakukan coup d’etat menumbangkan kerajaan sah pimpinan Musa Aman. Shapie berjaya menjadi ketua menteri.
Namun skim kerajaan katak pimpinan Shapie tidak bertahan lama, ia sama rapuh dengan sekutu mereka di persekutuan. Apabila kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya tumbang, beberapa negeri lain turut tumbang dan bertukar tangan. Termasuk Johor, Perak, Kedah dan Melaka. Ketua Menteri Melaka pada ketika itu menasihatkan agar DUN dibubarkan, tetapi Tun Khalil, TYT Melaka ketika itu menolak cadangan itu. Hasil kebijakan beliau, Melaka bertukar tangan tanpa tragedi.
Apabila angin perubahan sampai ke negeri di bawah bayu, Shapie yang mengetuai kerajaan katak akhirnya mendapat karma. Ternyata senjatanya makan tuan, ADUN dibawah kerajaannya pula menjadi katak dan melompat masuk ke kem Musa Aman yang mempunyai sekutu di persekutuan kini, kerajaan Perikatan Nasional. Shapie tidak mahu kalah, tidak rela melepaskan kuasa dengan aman seperti 4 negeri lain. Shapie memohon TYT Sabah, Tun Juhar untuk membubarkan DUN dan ia diterima.
Pada 20 September, KP Kesihatan, Dr. Noor Hisham mengumumkan bahawa Sabah sedang menjatatkan kes Covid-19 tertinggi. Namun Shapie tidak peduli akan hal ini, dia terus berkempen malah mencadangkan mereka yang positif Covid-19 dibenarkan mengundi. Gabungan PN-BN cuba untuk menghentikan pilihanraya tersebut kerana ia bakal membahayakan kesihatan awam melalui mahkamah tetapi ditolak. Maka berkempenlah semua parti, kesana kesini, dari semenanjung semua turun ke Sabah yang sedang merebak virus Covid-19. Bagi ahli politik SOP hanyalah pemanis mulut untuk rakyat biasa, kuarantin 14 hari hanya sandiwara untuk rakyat, bukan untuk mereka. Apabila mereka pulang, ahli politik membawa bersama virus Covid-19 ke semenanjung. Nasi sudah menjadi bubur, tragedi telah terjadi, Covid-19 kini merebak ke seluruh negara.
Shapie pula tewas di Sabah, sama sahaja jika dia menyerahkan kuasa tanpa pilihanraya, dia tetap tewas. Dia memohon maaf tetapi sudah terlambat, sikap tamak untuk keinginan berkuasa akhirnya menyebabkan negara diselubungi tragedi. Selepas pilihanraya, pada 2 Oktober 2020, 287 kes baharu dilaporkan, ia merupakan angka tertinggi sejak negara dilanda pandemik Covid-19. Pada hari yang sama bekas menteri undang-undang disahkan meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru. Negara kini kembali berdepan dengan kemungkinan perintah berkurung, yang mungkin akan melumpuhkan ekonomi negara buat beberapa generasi mendatang. Jika tidak berkurung, nyawa-nyawa rakyat dipertaruhkan.
Jadi hasil pilihanraya Sabah adalah Shapie tetap kalah, dan virus Covid-19 merebak keseluruh negara. Pilihanraya Sabah 2020 adalah satu tragedi yang harus dipelajari oleh generasi akan datang.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di lautan Ideologi (2022) and Dua Sayap Ilmu (2023). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.