Baru-baru ini saya ada bersembang dengan Mel Van Dyk di Kultura Podcast Episod Ke-7 perihal penulisan novel. Saya sebelum ini ada memberikan draf novel yang sedang saya karang bertajuk ‘Ahansen Fabrea Budak Gombak‘. Penulisan novel itu masih diperingkat awal, tiada rancangan plot yang tetap lagi. Setelah membaca draf novel tersebut, Mel mencadangkan saya membaca novel-novel yang punya tema yang hampir serupa dengan bentuk novel olahan saya. Antaranya Merantau Ke Deli tulisan Hamka dan juga Bumi Manusia tulisan Pramoedya Ananta Toer.
Saya akui, saya memang kurang membaca novel, kebanyakan diet pembacaan saya adalah buku-buku non-fiksyen. Manakala Mel memang merupakan seorang yang banyak membaca novel (berbanding saya) dan beliau memang arif dan meminati karya-karya dari seberang yang sememangnya tangguh. Beliau membaca roman-roman Indonesia, menghayati musika mereka, mendalami filem dan sutradara seberang, juga menghadam bait-bait puisi saudara serumpun kita. Beliau adalah pintu bagi saya mengenali karya-karya hebat dari Indonesia. Kerana sudah banyak kali beliau mencadang, dan saya masih tidak baca-baca buku saranan beliau, beliau mencadangkan saya menonton sahaja filem Bumi Manusia yang merupakan adaptasi dari roman Pramoedya.
3 jam. Waduh lama sungguh, rungut saya. Namun perlahan-lahan akhirnya saya bisa menghabisi juga tontonan saya. Sememangnya karya-karya dari rumpun seberang berada di level yang lain, tema patriotis, dramatis, dan tragis begitu dalam meresapi jiwa.
Filem ini merupakan lakonan gandingan mantap Iqbaal Ramadhan dan Mawar Eva de Jongh sebagai watak utama. Latarnya merupakan zaman kolonial Belanda di Surabaya, Jawa Timur, Indonesia. Ia mengisahkan bagaimana anak peribumi dibezakan dari kaum Eropah, dilema kemodenan versus jati diri ketimuran, juga perihal ketidak-adilan hukum Eropah dalam memberikan hak kepada peribumi. Pengajaran dari filem ini, banyak dapat digeluti dari dialog-dialognya yang meresapi.
Seseorang yang terpelajar perlu berlaku adil sejak di pemikirannya, apatah lagi pada perbuatannya.
Jean Marais
Dialog ini dirakamkan melalui perbualan Minke dengan sahabatnya, Jean Marais yang meyakinkan beliau untuk memberi kepercayaan kepada idea dan pemikiran sendiri. Dengan memberi peluang kepada pemikiran sendiri kita tidak memandang enteng kemampuan diri. Ia adalah manifestasi kebebasan dan keberanian.
Hidup bisa memberi segala kepada semua yang mau mencari tahu dan yang pandai menerima.
Ontosoroh/Sanikem
Ontosoroh yang dipanggil Nyai merupakan ibu mertua Minke. Ketika muda beliau dijual oleh bapanya untuk dijadikan isteri kepada seorang pemuda Belanda, Herman Mellema. Namun Herman tidak pernah menjadikan Ontosoroh sebagai isterinya yang sah, dan tidak bercerai secara rasmi dengan isteri pertamanya di Belanda. Nyai merupakan watak yang sangat patriotis, berkeyakinan, dan tidak pantas berputus asa. Meskipun tidak bersekolah, dan dijual dan dijadikan isteri tidak sah, beliau mempelajari Bahasa Belanda sehingga fasih, belajar mengurus perusahaan sehingga berjaya. Namun akhirnya semua hartanya dirampas kerana tarafnya yang tidak sah selepas kematian suaminya.
Meski pikiranmu telah maju, tetaplah menjadi Jawa yang fasih!
Ayu Laksmi
Ayu Laksmi merupakan ibu kepada watak utama, Minke. Meski pun bapanya tidak mempersetujui keputusan-keputusan Minke, Ayu Laksmi sentiasa memberi nasihat kepada anaknya, beliau sedar akan pergelutan pemikiran dalam diri anaknya. Nasihat beliau ini merupakan antara intipati terbesar karya ini, bahawa untuk menjadi moden tidak semestinya kita perlu menjadi Eropah.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.