Melihat klip video Cornel West terbaru dalam program Piers Morgan sangat menyegarkan. Nampak perubahan ketara Dr. West berbanding kemunculan beliau sebelum ini. Sebelum ini beliau tenang dan sopan sahaja menjawab soalan berat sebelah Piers. Ternyata tidak kali ini, West “goes ballistic” dan berterus terang menyebut bahawa Piers adalah seorang yang rasis. Yang mana saya bersetuju, saya telah lama berhenti dari menonton Piers, walaupun kononnya beliau memberi platform yang besar kepada suara pro-Palestin, saya dapati Piers adalah seorang rasis dan islamofobik, dan buang masa sahaja memberi beliau klik dan view.
Disini saya melihat satu perkara yang menarik. Golongan kolonial sentiasa mahu kita berdebat dengan sivil dan penuh sopan dan hormat. Kita disuruh meraikan kebebasan bersuara sementara mereka membunuh kanak-kanak, merampas tanah, dan menghancurkan kehidupan orang lain. Sebab itu bagi saya intelektual yang kononnya menyokong kebebasan suara pro-kolonial ini bodoh. Mereka ada “useful idiot” kepada ideologi kolonial. Mereka akan menyuruh orang lain duduk berdebat dengan sopan dan meraikan kebebasan bersuara, sementara golongan kolonial secara aktif membunuh dan menghancurkan manusia.
Baru-baru ini kerajaan Malaysia Madani telah mengalu-alukan kedatangan syarikat BAE System dan Lockheed Martin yang membekalkan senjata kepada Israel untuk membunuh anak-anak di Gaza dalam pameran DSA2024. Saya merasa terhina dan kecewa dengan perkara ini dan telah merakamkan rasa tidak puas hati saya di dalam Diaspora Podcast bersama Saudara Nazreen.
Namun kritikan saya terhadap kerajaan Malaysia Madani ini tidak disenangi oleh seorang penulis. Pada mulanya saya juga hairan kenapa dia beriya-iya mempertahankan tindakan yang jelas salah oleh kerajaan ini. Namun selepas mengetahui bahawa beliau mendapat jawatan sebagai ahli lembaga pengarah bagi sebuah agensi kerajaan, barulah saya faham mengapa beliau beriya-iya sangat. Begitulah habuan dan jawatan membutakan manusia. Maka disini saya ingin merakam soal jawab saya dengan beliau.
Dr. Fatimah S: Mohon semak dan imbang. (Sambil memberikan link laporan berita jawapan Anwar).
Syed Ahmad Fathi: Syarikat berdaftar atau tidak di Israel tidak relevan selagi syarikat tersebut membekalkan bom untuk membunuh anak-anak saya.
Dr. Fatimah S: Malaysia Madani mengalu-alukan? “Tak ada (syarikat) yang berdaftar… kita tak benarkan. Yang benarkan (tahun) 2002 Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) bawa (kapal) Zim. Kita dah batalkan … ingat 2002 yang benarkan kapal Israel masuk itu adalah Tun Mahathir masa jadi Perdana Menteri. Tiada bagi alasan apa pun. Kemudian diteruskan. “Saya batalkan kepada Jemaah Menteri, itu pendirian kita (untuk) tak izinkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024 – 2028 di sini, pada Selasa. Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir agar kerajaan perlu segera mengusir dua syarikat tersebut yang kini berada di Malaysia untuk menyertai pameran Pameran Defence and Service Asia (DSA) dan NATSEC Asia 2024 di ibu negara. Dakwa Dr Mahathir, Lockheed Martin dan BAE System merupakan pembekal senjata terbesar kepada rejim Zionis yang melakukan serangan dan pengeboman ke atas rakyat Palestin sejak 7 Oktober tahun lalu. Dalam perkembangan sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebagai sebuah negara perdagangan bebas, Malaysia memberi ruang kepada semua pemain industri global untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di negara ini. Sehubungan itu, Malaysia, katanya lagi, mengambil pendekatan untuk tidak campur tangan dalam urusan perniagaan mana-mana syarikat global dengan mana-mana negara tertentu.
Syed Ahmad Fathi: Ya mengalu-alukan. Bagi kebenaran buat pameran, sambut, ambil gambar bersama. Pada pandangan saya (semua tindakan ini adalah) mengalu-alukan. Petikan yang di-copy paste tak relevan. Isu dia bukan pendaftaran syarikat. Isu dia syarikat tersebut adalah pembekal senjata secara langsung yang membunuh anak-anak di Gaza. Menghancurkan kepala mereka, memburai perut mereka, membakar mereka hingga mati. Semua dari senjata Lockheed Martin dan BAE System. Dia daftar syarikat dia kat mana TIDAK RELEVAN.Kalau saya bunuh anak orang, relevan ke saya daftar IC saya kat mana?
Dr. Fatimah S: Kerajaan Madani amat tegas membela Palestin di pentas dunia termasuk bersuara di German dan perhimpunan International Religious Leaders. Kenyataan ‘mengalu alukan’ boleh mengapi apikan fitnah tanpa bersikap semak imbang pada saat masyarakat antarabangsa melihat Malaysia sangat berani bersuara membela Palestin.
Syed Ahmad Fathi: Ya, masa mereka tegas kita akan puji. Masa mereka buat salah kita perlu kritik. Kalau mereka buat salah kita tidak boleh kritik, itu namanya taksub buta. “Mengalu-alukan” itu adalah satu fakta, sangat jelas dari gambar, sambutan, video, dan juga kebersamaan dengan syarikat membekal senjata pada Israel. Ia hipokrit dan memalukan. Tak perlulah bermain sentimen “api fitnah”, semuanya terang dan bersuluh.
Dr. Fatimah S: Jika pembunuh Israel terlepas ke Malaysia dengan menyamar passport negara lain, adakah itu tandanya kerajaan Malaysia mengalu-alukan pembunuh Israel datang? Jika anda di tempat kerajaan, anda yakin pemerintahan anda tiada sebarang ‘khoto’? Apa beza khoto’ dan khotiah (sengaja buat salah??” Nabipun tak terlepas dari hal yang khoto’. Begitu juga para sahabat. Mereka tetap saling syura dan bertanya, bukan melabel segera.
Syed Ahmad Fathi: Hujah puan sangat bermasalah dan tidak relevan. Pada hal lain yang baik, kita puji, pada hal yang salah kita akan kritik. Basic amar ma’aruf nahi munkar. Tak perlu kaitkan dengan kes lain, yang tak relevan. Tak perlu juga samakan kerajaan dengan nabi. Kalau saya kerajaan, saya buat salah, saya akan terima kritikan, dan ubah. Itu sahaja, tidak perlu hipokrit bersuara di tempat lain, tapi alu-alukan syarikat pembekal senjata Israel masuk Malaysia. MEMALUKAN. Kalau orang yang membekal senjata untuk membunuh dan membakar anak puan, puan sudi bergambar happy ambil video dengan dia senyum-senyum bersama? Saya anggap anak-anak di Gaza anak saya. Jadi saya tak dapat terima syarikat pembunuh seperti Lockheed Martin dan BAE System. Itu sahaja. Saya ada perasaan. Lain-lain tak relevan bagi saya.
Dr. Fatimah S: Pameran tu bukan dianjurkan oleh kerajaan tapi pihak swasta. Kerajaan tidak membelanjakan duit untuk pameran itu. Ada tempat yang kerajaan tak campur tangan seperti urusan teknikal pasaran global seperti ia tak boleh campur tangan dalam urusan mahkamah. Kerajaan tegas tidak membenarkan syarikat yang berdaftar Israel untuk buat pameran. Penyertaan datang dari banyak negara kecuali Israel seperti Turki, UAE, dll. Apabila terdapat juga pameran oleh syarikat yang ‘bantu’ Israel di sebalik negara negara lain, kerajaan ada dua pilihan:
- Menghalau mereka tanda benci.
- Berstrategi mengetahui senjata terkini yang mereka pamerkan untuk persiapan jangka panjang. Dalam Bahasa Arab strategi ni disebut, معرفة الاعداء. Mengenal taktik musuh. Mereka sendiri yang datang pamerkan senjata mereka dan terpaksa keluar duit untuk Malaysia bagi tujuan itu. Bagaimana nak kalahkan musuh jika kita tak tahu senjata mereka? Strategi biasanya dirahsiakan dan tidak diwarwar kepada umum.
Justeru, mana manapun pilihan yang dibuat, ia cuma ijtihad politik. Ia ada pro dan kontranya. Usah kita dipecahkan hanya kerana ijtihad politik. Usah kita berani melabel munafik pada sesama muslim hanya kerana cara fikir dan cara urus yang berbeza.
Syed Ahmad Fathi: Saya rasa puan tak faham isu. Sejak bila saya tuduh orang munafik? Pelik benar hujah-hujah puan ni, terlalu sangat hendak mempertahankan kerajaan sampai sebut benda yang saya tak sebut pun. Kalau menghalau mereka tanda benci, baguslah, saya memang benci syarikat senjata yang membekal bom untuk membunuh anak saya di Gaza. Tak perlulah nak berlindung di sebalik syarikat swasta, banyak sahaja syarikat swasta yang tidak dibenarkan beroperasi atas pelbagai alasan. Nak tak nak sahaja. Pergi baca dekat website DSA2024, pameran tu dianjurkan oleh kerajaan, terang-terang tertulis “hosted, supported, co-organised by Ministry of Defense dan Ministry of Home Affairs”. Tak payah la nak berpusing-pusing nak mempertahankan syarikat membekal senjata untuk Israel. Ijtihad politik boleh dikritik, ia bukan ayat Al-Qur’an. Saya pun tak faham kenapa puan beriya-iya sangat nak mempertahankan syarikat bekal senjata buat Israel.
Dr. Fatimah S: Saya tak kata tuan tuduh munafik. Itu yang diperkakan oleh masyarakat umum kerana ada pihak pihak yang terlalu menyalahkan kerajaan Madani secara tidak berada dalam kasut mereka. Ajarlah juga masyarakat tentang adabul ikhtilaf dalam situasi muslim sangat perlu bersatu padu saat ini. Setiap ijtihad ada pro kontranya. Perpecahan hanya akan merugikan kita sendiri.
Syed Ahmad Fathi: Mengkritik kerajaan perkara biasa. Kita tidak perlu pun berada dalam kasut mereka. Kalau guna alasan kasut, sampai bila-bila pun rakyat tidak boleh kritik kerajaan. Polisi salah wajar dikritik, tak ada masalah.
Dr. Fatimah S: Tiada masalah juga saya mengkritik perkataan yang digunakan dalam posting tuan ini apabila melihat perpecahan semakin bersemarak dalam masyarakat saya. Jika perkataan straight to the point, mengajak untuk menghalau pihak tertentu (ijtihad 1), mungkin lebih jelas. Namun jika perkataan mengundang sangkaan buruk terhadap pihak yang sejak awal membela Palestin hingga kini, ia juga wajar dikritik.
Syed Ahmad Fathi: Ya, tidak ada masalah nak mengkritik saya. Cuma kelakar pemikiran yang rasa perkataan lebih penting untuk dikritik dari syarikat yang membekal senjata membunuh dan memecahkan kepala anak-anak saya di Gaza. Nampak kelakar kritikannya, nampak pemikiran yang tidak faham aulawiyat.
Dr. Fatimah S: Awlawiyat saya adalah menjaga perpaduan dalam masyarakat Malaysia yang tercinta dengan menyebarkan ilmu “Adab Berbeza Pendapat”. Perpaduan adalah kekuatan untuk membela Palestin kerana kita sudah hidup berpecah dan bercakaran sekian lama kerana tiada adab memilih perkataan.
Syed Ahmad Fathi: Baru tahu mengkritik syarikat yang membunuh anak Gaza adalah tidak beradab. Kalau begitu logiknya, saya doakan warga Malaysia semakin tidak beradab dalam menolak pembunuhan anak Gaza. Moga Allah rahmati semua yang tidak beradab dalam menolak pembunuh anak Gaza dan mereka yang mengalu-alukannya. Saya akan terus bersuara dan memastikan orang Islam terus tidak beradab dalam mengkritik mereka yang mengalu-alukan pembunuh anak Gaza. Saya juga berjanji akan bekerja lebih keras lagi agar orang Malaysia terus tidak beradab dalam mengalu-alukan pembunuh anak-anak Gaza. Insha’Allah.
Dr. Fatimah S: A053 Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia (Al Israk).
Syed Ahmad Fathi: Moga Allah beri istiqomah kepada saya untuk terus tidak beradab dengan pembunuh anak-anak Gaza. Mengkritik mereka yang mengalu-alukan pembunuh, dan tidak termasuk dalam golongan yang buta kerana mereka mendapat jawatan.
Dr. Fatimah S: Boleh jadi orang yang dikritik dan dihina lebih baik pembelaannya dan strateginya dalam membela Palestin, maka jagalah adab berbeza pendapat dalam perkara ijtihad. Selalu ingat pesan Allah dalam Surah Al-Hujurat terhadap sesama manusia.
Syed Ahmad Fathi: Saya hanya mengkritik tindakan kerajaan yang mengalu-alukan syarikat pembekal senjata yang membunuh anak-anak Gaza. Orang yang dapat habuan dan jawatan tidak selesa dengan kritikan saya, saya tidak peduli. Mereka hendak mempergunakan ayat Al-Qur’an untuk menghalalkan tindakan mereka yang salah juga tidak akan membuatkan saya senyap. Saya sudah terbitkan artikel mengkritik kerajaan Madani mengalu-alukan syarikat pembekal senjata yang membunuh anak-anak Gaza. Jemput baca. Di Twitter juga orang sudah mula menyebarkan kritikan terhadap Madani yang mengalu-alukan syarikat senjata pembunuh anak-anak Gaza. Alhamdulillah, moga kritikan ini terus tersebar.
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.