The Independent Insight

Giving truth a voice

  • Email
  • Facebook
  • Flickr
  • Instagram
  • Phone
  • Twitter
  • Vimeo
  • YouTube
  • Berita
  • Politik
  • Ekonomi
  • Teknologi
  • Reviu
    • Reviu Buku
    • Reviu Filem
    • Reviu Muzik
  • Rencana
  • Podcast
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami

Pengalaman Mendidik Anak-Anak Tagupi Laut di Sabah

January 7, 2020 By Editor The Independent Insight

Perhimpunan pelajar pada pagi Isnin di Simuning, Sabah. / Sumber: FB Khidmat Bakti Sukarelawan Pendidikan – Sabah.

Oleh: Ainul Mardhiah

Saya merupakan ahli Projek Sukarelawan Pendidikan (SukaDidik) 2019. Dihantar ke Kg. Tagupi Laut, Lahad Datu, Sabah selama 3 bulan. Saya bersama dua orang lagi rakan iaitu Nabila dan Sofwa. Saya sangat berminat untuk menjadi salah seorang sukarelawan sebelum mendaftar diri untuk mengambil STAM di Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah, Perlis (MATRI) lagi. Tambahan pula setelah mendengar pengalaman-pengalaman sukarelawan yang lepas dan menyedari tanggungjawab menyampaikan ilmu kepada masyarakat yang tidak berpeluang mempelajari ilmu seperti kita.

Walaupun saya masih dalam praktikal. Tapi saya berazam untuk menjadi guru dan murabbi yang terbaik serta menunjukkan akhlak yang baik. Di sana perhimpunan pagi bermula pada jam 7 pagi. Bagi orang semenanjung pukul 7 waktu yang sangat awal. Akan tetapi untuk menjaga nama baik guru, maka saya akan bersiap awal untuk ke sekolah. Demikianlah hasil tunjuk ajar dari Ustaz Omar Salleh Mudir MATRI.

Saya banyak bertanya soalan dari guru-guru MATRI semasa berada di lapangan. Antaranya Cikgu Azmi, Ustaz Yazid, Sir Abduh, Ustazah Khalida, Alumni SukaDidik dan pak cik- pak cik di Sabah. Guru-guru banyak mengajar saya menerima kekurangan dan saling melengkapi dengan kelebihan yang Allah kurniakan. Pengalaman ini juga mengajar saya berorganisasi dan berkomunikasi dengan baik. Cikgu Lajuliadi juga berpesan kepada saya untuk selalu mendoakan anak-anak murid di Tagupi. Maka dengan itu mereka mendidik saya untuk lebih dekat dengan Allah di setiap langkah kehidupan. Allah menghadirkan anak-anak murid di sini untuk meningkatkan lagi hubungan kita dengan Allah dan memperbaiki kekurangan yang terdapat dalam diri kita. Antara nasihat yang paling memberi kesan kepada saya ialah pesanan dari Ustaz Yazid, beliau selalu berpesan untuk bersangka baik dan mempercayai kekuasaan Allah dan meyakini pertolonganNya dalam segala tindakan kita.

Aktivis SukaDidik menjalankan jualan amal bagi mengumpul dana misi mereka. / Sumber: FB Ainul Mardhiah.

Semasa berada di sana saya air mata saya tidak dapat ditahan, seringkali ia terbit membasahi pipi. Tetapi banyak juga dorongan yang diberikan dari keluarga terutama ummi abah. Ummi menasihati bahawa jika saya yang memilih jalan ini maka sebenarnya Allah tahu kemampuan saya dan saya kena teruskan. Abah pula hantar satu video dari Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna berkaitan nasihatnya kepada pemuda. Menjadi guru memerlukan jiwa yang kuat.

2 minggu sebelum penghantaran batch kami ke Sabah, Ustaz Yazid menghantar video wajah-wajah bakal sukarelawan yang berlagu Rindu dari kumpulan Hijjaz. Saya sangat tersentuh dengan lagu ini dan membawa segunung harapan ketika berkhidmat di Sabah. Akan tetapi saya mempelajari hakikat kehidupan bahawa proses perubahan memerlukan masa. الوقت جزء من العلاج. Maka ustaz berpesan jangan berharap pada tanah tapi berharaplah pada langit. Maka pesanan ini mengingatkan saya kepada Al-Khaliq dan Allah yang Maha Membolak-balikkan hati.

Rindu itu adalah
Anugerah dari Allah
Insan yang berhati nurani
Punyai rasa rindu
Rindu pada kedamaian
Rindu pada ketenangan
Rindukan kesejahteraan
Dan juga kebahagiaan
Para pencinta kebenaran
Rindukan suasana
Masyarakat yang terjalin
Aman dan sejahtera
Merindukan tertegaknya
Kalimah Allah di muka bumi
Dan dalam merindukan
Keampunan Tuhannya

Rindu pada kedamaian
Rindu pada ketenangan
Rindukan kesejahteraan
Dan juga kebahagiaan
Dan seluruh umat itu
Merindukan cahaya
Yang menyinari kehidupan
Rindu kepada Tuhan

Hijjaz – Rindu

Perjalanan kami dari Kota Kinabalu mengambil masa seharian untuk sampai ke Tagupi. Kami bertolak dari KK seawal 7 pagi dan bermalam di Lahad Datu. Lebuh raya di sana tidak sekata kerana faktor geografinya yang berbukit dan beralun. PPMI Tagupi terletak berhampiran dengan pantai. Untuk sampai ke sana kami harus melalui laluan tanah merah lembut dan berlopak selama 1 jam dikelilingi dengan hutan sawit.

Antara sebab saya ingin menyertai aktiviti ini adalah saya ingin merasai kesusahan orang lain dalam kehidupan terutama kesusahan mereka untuk mendapatkan ilmu.

Alhamdullillah saya rasai sendiri antara kesusahan masyarakat Tagupi. Walaupun tak sesusah yang dirasai oleh SukaDidik yang berada di kampung Simuning dan Lok Buani. Seperti tiada air paip. Pendidik di situ mengangkut air dari perigi ke rumah massing-masing untuk kegunaan makan, minum dan membasuh.

Saya ditempatkan bersama keluarga angkat yang juga keluarga pengetua di situ. Muallim Amin dengan isteri bersama ibu ayah dan 3 orang adiknya. Keadaan rumah kami agak senang berbanding rata-rata rumah di sekitar. Walaupun tiada lampu toilet ia tetap baik kerana masih ada lagi rumah-rumah yang tiada toilet.

Penduduk di sini ada yang setiap hari membawa tong-tong besar untuk mengisi air buat makan dan minum berbeza dengan kita hanya mengisi air di water filter.

Makanan di sini agak simple berbanding makanan di semenanjung.

Saya kagum dengan penduduk Asrama Desa kerana walaupun kehidupan daif tetapi mereka akan mengutip duit dari jiran-jiran jika ada lawatan dari luar untuk membuat sedikit jamuan. Antara menu wajib ialah air kelapa dan juga ikan bakar yang merupakan menu special di sini.

Selain itu juga saya sempat mengetahui makanan-makanan tradisional di sini. Antaranya. Sianglag, tiulaitum, piutu, kuih panggik-panggik. Saya juga suka dengan karya kraftangan kaum Suluk. Antaranya sairap, tambusak dan japang. Antara yang sedap juga ialah rumpai laut.

Anak-anak di sini sangat kreatif mempunyai tangan berseni. Ada yang dikurniakan suara yang merdu. Ada juga yang pandai melukis. Walaupun begitu, mereka tidak mendapat peluang seperti saya sebagai contoh mengambil SPM dalam subjek Pendidikan Seni Dan Visual. Yang pasti masyarakat di sini kuat-kuat kerana mereka banyak berjalan dan sudah terbiasa membuat aktiviti lasak seperti menombak sawit dan membuat kerja-kerja berat.

Bangunan sekolah pula tiada dinding, kipas mahupun lampu. Ya, open air. Kadang sambil mengajar dan perhimpunan kami ditemani kambing dan ayam.

Alhamdulillah, pengalaman ini membuatkan saya rasa lebih bersyukur dengan nikmat yang diberikan terutama nikmat iman dan Islam. Juga nikmat ibu, ayah, family, kawan-kawan yang sangat baik. Nikmat kecukupan.

Antara aktiviti yang saya lakukan sepanjang di sana ialah:
1. Mengajar di kelas subjek Bahasa Arab dan Sains.
2. Mengajarkan anak-anak mengaji di surau selepas maghrib dan kelas tahfiz.
3. Melakukan aktiviti luar seperti kem pemantapan sahsiah dan ibadah.
4. Menziarahi penduduk kampung yang berdekatan.

Walaupun masa pengajaran saya mengalahkan masa mengajar seorang lecturer sekalipun. Tetapi alhamdulillah saya bersyukur kerana Allah beri peluang berharga ini untuk mendidik diri saya menjadi lebih matang dalam kehidupan. Belajar dari mereka sangat berkesan. Walaupun dalam kesusahan tetapi masyarakat lebih kreatif dalam mengurus ekonomi rumah tangga terutama yang berkeluarga ramai.

Gambar aktivis SukaDidik di Sabah pada tahun 2019. / Sumber: FB Ainul Mardhiah

Kem-kem yang dijalankan setiap minggu membuatkan para pelajar dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah, mencabar minda serta menambah pengetahuan agama seperti sirah sahabiyah. Begitu juga ketika karnival Sukan Sekolah. Walaupun saya tidak mahir bersukan tetapi hasil kata-kata semangat yang dikongsikan mampu membuatkan ahli rumah sukan khandaq cemerlang dalam sukan terutama sekali bola tampar.

Antara isu penduduk di sini ialah kesukaran mereka untuk pergi ke sekolah dan belajar seperti kanak-kanak yang lain. Hal ini menyebabkan mereka banyak ketingggalan dari sudut ilmu dan agama. Malah ramai di antara mereka mengambil keputusan untuk tidak bersekolah dan bekerja untuk menyara pendapatan keluarga.

Antara perkara yang menyentuh hati saya sepanjang 3 bulan di sana ialah kanak-kanak begitu berhajat kepada ilmu. Setiap malam datang kelas mengaji dan berlumba-lumba untuk tasmie hatta yang berumur 7 tahun pun sanggup duduk di atas riba untuk mengaji.

Ramai orang boleh jadi sukarelawan untuk mendapat populariti tetapi tidak ramai yang sanggup untuk terjun sendiri merasai kesusahan kehidupan masyarakat di sini.

Setiap hari saya menerima pelukan dari anak-anak perempuan yang ternyata mereka tahu bahawa kami hanya berkesempatan sebentar cuma di sana. Ibu-ibu juga akan mencium saya setiap kali berjumpa kerana berterima kasih atas kedatangan kami mengajar anak-anak mereka mengaji. Mereka tidak menyesal menjadi miskin dan menjadi warganegara yang tidak berdokumen kerana di Pusat Pembangunan Minda Insan ini, anak-anak mereka berpeluang mempelajari ilmu Islam berbanding di tempat-tempat lain.

Selepas kelas mengaji pagi terdapat salah seorang anak murid saya datang memegang tangan sambil mengatakan:

Muallimah (cikgu) janganlah pergi, janganlah tinggalkanku di sini..

Beserta dengan raut wajahnya yang sayu. Saya hanya mampu tersenyum. Kata-katanya seperti dia tahu bahawa aku akan pulang ke tanah air. Kemudian dia mengulangi lagi.

Muallimah janganlah pergi, tinggallah di sini.

Saya hanya membalas.

In Sya’ Allah nanti muallimah datang lagi. Kamu doalah supaya ada lagi SukaDidik yang datang mengajar kamu tahun hadapan.

Saya harapkan kata-kata tadi sudah cukup membuatkan dia berhenti merayu dan saya seupayanya menahan sebak.

Muallimah ajaklah ibu ayah muallimah tinggal di sini. Tinggal dengan kami

Terus dia memelukku erat. Saya hanya mampu tersenyum. Air mata saya menitis akhirnya, tiada lagi daya untuk menahannya.

Di dalam kelas saya suka bersembang dengan para pelajar samada waktu pnp mahupun waktu rehat.

Apa tempat yang awak teringin nak pergi?

Ternyata ramai yang mahu pergi ke MATRI. Kerana mereka tahu erti ilmu dalam kehidupan.

Apa yang kamu rasa bila tiada IC?

Mereka fitrahnya sedih tetapi jiwa mereka telah dididik untuk redha dengan ketentuan dan ujian dari Allah.

Ndak apa Muallimah, nak masuk syurga tak perlu IC pun.

Antara perkara yang mengubah pemikiran saya ialah saya amat simpati dengan anak- anak mangsa cerai. Sebelum ini saya kurang ambil berat dengan perasaan anak-anak yatim. Tapi sejak berada di Tagupi saya tak sanggup meninggalkan mereka. Mereka tidak mendapat nikmat berayah dan beribu. Mereka bekerja untuk menyara kehidupan. Mereka lebih berdikari.

Ramai para pelajar tidak makan kerana tiada duit. Berbeza dengan kita yang setiap hari berbelanja sakan.

Saya pernah belanja seorang adik ABC. kemudian dia bersuara.

Muallimah tahu tak ini pertama kali saya makan ABC.

Saya percaya bahawa untuk membangun sesebuah masyarakat dan negara haruslah dimulai dengan pendidikan. Justeru itu, saya berharap agar aktiviti SukaDidik ini dapat diteruskan bagi membantu, menyantuni dan mendidik anak-anak yang keciciran ini. Terima kasih kepada penyumbang budiman. Semoga sumbangan dari anda menjadi saham terbesar di akhirat. Moga-moga Allah menerima segala amalan kita.

Coretan ini ditulis oleh Ainul Mardhiah sebelum masuk dewan peperiksaan di USIM pada 11:27 pagi dan diterbitkan di laman Facebook beliau pada 06 Januari 2020. Untuk lebih banyak informasi berkenaan dengan aktiviti pendidikan Sabah oleh SukaDidik boleh lawati laman Facebook mereka di Khidmat Bakti Sukarelawan Pendidikan – Sabah.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Rencana

Elaun BIPK: Kenapa Kita Semua Harus Bersolidariti?

December 27, 2019 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Sewaktu rakyat bawahan membantah deregulasi kawalan caj perubatan swasta, kita tidak mendapat banyak solidariti. Malah ada dikalangan doktor juga mempertahankan polisi pemerkasaan kesihatan swasta ini. Kita disuruh “kalau tak nak bayar pegi hospital kerajaan bayar seringgit”. Kita disogok “pilihan masih banyak”. Ini doktor dari sektor awam yang berkata, tidak ada langsung solidariti. Jadi ketika elaun doktor baru ditarik, tiba-tiba bertanya kenapa mereka diluar profesyen kesihatan tidak cakna dan bersolidariti?

Mungkin kita boleh katakan pada mereka “kalau nak elaun banyak pergi kerja di luar negara” dan “pilihan kan banyak, pergi kerja swasta”. Tetapi tidak, itu jawapan yang salah. Saya berpendapat walaupun keluh kesah kita tidak disambut dahulu, kita patut bersolidariti. Kita tidak harus terus berpecah dan diperintah. “Serangan” kepada sektor awam adalah serangan kepada rakyat biasa. Jika kita tidak mengambil bahagian, bukan mereka sahaja yang rugi, tetapi kita semua, mereka adalah kita, dan kita adalah mereka. Pemerkasaan sektor swasta dan pengecilan sektor awam adalah parcel yang sama, ia adalah wawasan neo-liberalisme yang mahu membina profit-base ecosystem dalam sektor kesihatan.

Ada sesuatu kekurangan yang saya rasa dalam isu solidariti ini. Dr. Mahathir sering mengulangi bahawa orang Malaysia bersifat “timid”. Jika di Perancis, berlaku apa yang berlaku ini, satu negara akan mogok, seluruh negara lumpuh, sama ada kerajaan u-turn atau menjadi dysfunctional. Tapi tidak kita di Malaysia. Jika doktor ada kesatuan sekerja pun, kesatuan ini tidak kuat, tiada jaringan dengan kesatuan-kesatuan lain. Malah mungkin barisan kepimpinannya adalah doktor lama yang tidak terkesan pun dengan penarikan elaun. Doktor baru pun hanya boleh buat tindakan paling berani mereka, iaitu mengomel di Facebook.

Ramai yang bertanya, kenapa ditarik elaun doktor baru, mereka yang baru nak hidup, kenapa bukan doktor yang sudah hidup mewah dengan gaji berkepuk-kepuk. Dari sudut politik, penarikan elaun doktor baru ini “make sense”. Jika kita baca buku strategik “the prince” yang merupakan magnum opus Niccolo Machiavelli, lebih strategik menindas orang bawahan, mereka yang hanya mampu tunduk dan tidak melawan. Doktor lama punya jawatan dan pengaruh, mereka boleh “organize” untuk melawan. Tapi tidak doktor-doktor muda, yang baru mengenal dunia, yang ditempatkan hospital baru, bukan kesatuan, kawan pun tidak ada, mereka tidak berkesatuan, tidak tahu cara melawan.

Doktor adalah profesyen yang sangat mulia saya kira. Sampai ke hari ini saya mengagumi kerja-kerja doktor seperti Dr. Baharuddin Suri, Dr. Ang Swee Chai, Dr. Mads Gilbert, mereka yang begitu besar sumbangannya kepada kemanusiaan, melampaui kepentingan diri dan peribadi. Kita juga tidak lupa pada Jonas Salk, virologist yang menemui vaksin polio. Salk enggan untuk membuat patent bagi penemuannya. Ketika ditanya kenapa tidak patent, boleh dijual kepada syarikat farmasutikal untuk membuat untung, Salk menjawab, famously, “Could you patent the sun?”. Ia adalah epitome bahawa akses kesihatan adalah untuk semua. Sektor kesihatan tidak boleh di-deregulasi, dikecilkan, ditarik elaun, dalam masa yang sama memperkasakan sektor swasta.

Jadi, untuk doktor-doktor baru dan muda, kita katakan, solidariti!

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana

Ada Apa Dengan Puisi?

December 15, 2019 By Mel Van Dyk

A modern painting of Wallada by Jose Luis Munoz Luque. Source

Alhamdulillah, selepas berhasilnya buku yang dapat kami terbitkan pada awal bulan lalu, saya menunggu-nunggu kalau-kalau ada di kalangan sahabat dan pembaca untuk bertanya dan mengkritik apa sahaja yang terkandung di luar dan di dalam buku itu.

Tiada kritikan setakat ini, mungkin para pembeli masih belum habis membaca atau tidak tahu kepada siapa kritikan itu harus di kirimkan. Malah, muncul pula soalan-soalan yang secara jujurnya tidak saya duga yang diajukan kepada saya sendiri.

Ada sahabat yang bertanya, mengapa memilih puisi berbanding corak penulisan yang lain. Tiada jawapan yang ampuh yang dapat saya kembalikan yang setimpal kekuatan soalan itu. Lalu apa yang mampu saya katakan cuma mungkin belum ada rezeki untuk mencuba yang lain.

Namun dari perasaan saya yang mendalam ini, pertamanya bagi saya puisi ini begitu unik dan indah. Kadang kala ayat yang pendek dan semacam mudah itu mampu melahirkan bermacam perasaan di benak ribuan orang yang membacanya.

Saya ambil contoh petikan dari puisi Pablo Neruda :

“So I wait for you like a lonely house

till you will see me again and live in me.

Till then my windows ache.”

Pablo Neruda, Sonnet LXV

Kedua, bagi saya puisi ini mampu merapatkan jurang keterbatasan manusia sama ada dari segi jarak, waktu mahupun budaya. Pernahkah kita terfikir bagaimana tulisannya Rumi, seorang pemuisi Parsi yang hidup pada kurun ke 12, namun namanya masyhur di serata dunia hingga kini. Walaupun karyanya telah diolah bahasa ke bermacam bahasa, namun keindahan yang Rumi tinggalkan di bait-bait puisinya tetap utuh.

Puisi yang baik mampu meninggalkan kesan kepada pembacanya. Malah ia mampu melangkaui zaman dan waktu. Sebagai contoh karyawan terkenal seperti Dante, Shakespeare,, Hamka, Wallada al-Mustakfi masing-masing di ruang waktu yang berlainan namun yang pasti hari ini orang-orang memuji dan mencari tulisan-tulisan mereka.

Mel Van Dyk

Part time independent writer and podcaster from Sarawak, Malaysia.

Filed Under: Rencana

Misteri Artifak Anglo-Saxon

December 6, 2019 By Mel Van Dyk

Helmet Sutton Hoo

Pada tahun 1926, Frank dan Edith Pretty yang baru berkahwin pada ketika itu telah membeli sebidang tanah di Sutton Hoo yang terletak di selatan England. Sutton Hoo merupakan kawasan yang menggabungkan sebahagian tebing Sungai Deben, kawasan perkampungan kecil Suffolk dan sebahagian bandar kecil Woodbridge. Oleh kerana kedudukan geografinya yang strategik, kawasan ini telah dijadikan laluan masuk ke Anglia Timur di akhir zaman pemerintahan Rom pada kurun ke-5. 

Penduduk setempat percaya bahawa Sutton Hoo ini mempunyai pelbagai kisah aneh termasuklah Edith Pretty sendiri. Selepas kematian suaminya pada tahun 1937, beliau mengambil keputusan untuk memulakan proses ekskavasi bersama pihak muzium Ipswich. 

Basil Brown yang pada ketika itu merupakan pembantu ekskavasi muzium Ipswich telah bersetuju untuk bekerjasama dalam projek Edith Pretty. Pada mulanya Brown berpendapat bahawa artifak yang ada di kawasan itu mungkin sudah lama dijumpai dan dicuri oleh pemburu harta yang lain. Namun sangkaannya meleset. Pada 1939, beliau telah berjaya menemukan sebuah artifak kapal kayu sepanjang 80 kaki di sebuah kawasan ekskavasi yang dinamakan sebagai Tumulus One.

Basil Brown

Berita itu turut menarik minat seorang ahli arkeologi, Charles Phillips dari Universiti Cambridge untuk turut serta mengkaji dengan lebih mendalam di kawasan itu. Hasil kajiannya menemukan beberapa bukti yang menunjukkan bahawa tapak itu telah dicerobohi lebih awal oleh pemburu harta yang lain. Namun, sebahagian besar artifak masih kekal terpelihara.

Ahli arkeologi dari Universiti Cambridge, Charles Phillips di tapak Tumulus One

Sebanyak 263 artifak yang terdiri daripada senjata perang, barangan perak dan syiling emas telah berjaya di temukan. Namun, artifak yang paling menarik perhatian pelbagai pihak ketika itu adalah sebuah helmet yang unik, yang tidak pernah ditemukan di tanah England sebelum itu. Kajian awal telah menyangkal teori yang mengatakan helmet itu adalah tinggalan orang Viking di England, tetapi ianya merupakan khazanah tinggalan kerajaan lama Anglo-Saxon, iaitu masyarakat yang berhijrah dan mendiami kawasan Britain pada kurun ke-5.  

Helmet Sutton Hoo itu menjadi lambang kemegahan rakyat Britain. Edith Pretty telah menyerahkan penemuan yang berharga itu kepada Muzium British di London. Untuk memastikan artifak itu selamat semasa perang dunia kedua, ia telah disimpan dengan rapi di dalam sistem kereta api bawah tanah di London.

Sejak dari penemuan itu, kawasan Sutton Hoo telah dikaji dengan lebih meluas oleh para pengkaji sejarah dan beberapa ekspedisi ekskavasi telah dijalankan. Pelbagai khazanah telah berjaya dijumpai. Bukan sahaja tinggalan kerajaan Anglo-Saxon, malah ada artifak yang dapat dirumuskan sebagai tinggalan Empayar Byzantine dan Timur Tengah. Ini memberikan pemahamam baru dalam merungkai hubungan perdagangan antara kerajaan Anglo-Saxon dan tanah besar Eropah.

Antara yang menarik dari penemuan di Sutton Hoo ini, ia seolah-olah mempunyai persamaan dengan sebuah puisi Inggeris lama yang dikarang pada kurun ke-8 yang bertajuk Beowulf. Puisi tersebut menceritakan tentang upacara pengebumian seorang wira berketurunan diraja Denmark bernama Scyld Scefing, yang disemadikan didalam kapal bersama harta-hartanya kerana mengikut kepercayaan mereka, seseorang itu perlu disemadikan bersama alatan dan harta untuk mereka menempuhi kehidupan selepas mati. Namun, para pengkaji tidak bersetuju dengan teori itu kerana tidak ada bukti kukuh yang dapat mengaitkan artifak yang di temukan dengan puisi lama itu. 

Petikan puisi “Beowulf”

Para pengkaji gagal menemukan bukti bahawa adanya manusia yang disemadikan bersama artifak kapal tersebut ekoran keadaan struktur tanahnya yang berasid tinggi yang mungkin telah melenyapkan sebarang bukti. Namun, satu teori muncul mengatakan bahawa tinggalan khazanah tersebut mungkin kepunyaan Raja Rædwald yang merupakan pemerintah Anglia Timur berdasarkan garis masa pemerintahannya yang bertepatan dengan usia khazanah tersebut.

Para sejarahwan tidak menolak teori tersebut walaupun Raja Rædwald merupakan pemerintah Anglia yang pertama menerima ajaran Kristian, bercanggahan dengan artifak-artifak yang ditemukan yang penuh dengan ciri-ciri paganisme. Mereka bersepakat bahawa pada watu itu, tradisi pagan Eropah sedang mengalami transformasi ke arah dunia baru Kristianiti. Namun, pemilik asal helmet Sutton Hoo ini kekal menjadi misteri hingga kini.

Mel Van Dyk

Part time independent writer and podcaster from Sarawak, Malaysia.

Filed Under: Rencana

Elbakyan dan gerakan pembebasan progres sains

August 3, 2019 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Walaupun kita sekarang hidup di zaman sains moden, ada masalah kepada penerusan dan progres sains hari ini. Sebuah artikel yang ditulis oleh Benjamin Kaube dalam portal The Guardian menyatakan masalah ini dengan menulis “para saintis sepatutnya menyelesaikan masalah bukan bersusah payah untuk mengakses jurnal”. Ya, masalah kepada sains moden hari ini adalah akses. Masalah ini berpunca dari sistem penerbitan jurnal saintifik yang berpaksikan keuntungan, sedangkan ilmu mempunyai konsep keuntungan yang lain, tidak seperti harta, ilmu bertambah apabila dikongsi.

Bagaimana sistem keuntungan ini berfungsi? Penyelidik sentiasa perlu menerbitkan artikel untuk relevan di peringkat universiti – penyelidikan yang kebiasaannya menggunakan wang awam. Mereka akan menandatangani perjanjian untuk memberi hak cipta dan kerja mereka kepada penerbit secara percuma. Penerbit menghantar artikel untuk direview secara percuma oleh penyelidik lain. Hasil terbitan dijual semula kepada penyelidik dan universiti untuk akses.

Dengan sistem keuntungan penerbitan saintifik, setiap penulisan perlu dibayar untuk akses, ini mencipta barrier kepada penyelidik dari negara-negara kurang membangun untuk memajukan progres penyelidikan mereka.  Ia bukan sahaja melambatkan proses pengembangan sains, ia juga menghalang penyelidik dari mendapatkan bahan-bahan ilmu berkualiti bagi mengembangkan keilmuan.

Pada tahun 2011, seorang wanita muda berusia 23 tahun bangun untuk melawan sistem ini. Beliau adalah Alexandra Asanovna Elbakyan.

Beliau lahir di Kesatuan Soviet, yang kemudiannya menjadi sebuah negara bebas bernama Kazakhstan. Beliau merupakan lepasan dari Universiti Teknikal Nasional Kazakh dalam bidang sains komputer dan mahir dalam skil computer hacking. Beliau kemudian berkhidmat disebuah syarikat sekuriti komputer di Moscow sebelum ke Freiburg untuk mengikuti projek brain-computer interface, dan pernah menjadi intern di Institut Teknologi Georgia di Amerika Syarikat.

Elbakyan sendiri merupakan penyelidik, beliau sendiri menghadapi masalah untuk mengakses penulisan saintifik dan mendapati penyelidik sering meminta satu sama lain dalam forum yang tidak efisien. Pada 5 September 2011 beliau melancarkan portal Sci-Hub dimana penyelidik dapat mengakses 50 juta penulisan akademik tanpa sekatan paywall secara percuma. Sci-Hub menjadi popular dengan cepat dikalangan penyelidik dan menyebabkan kerugian dianggarkan sebanyak 10 billion USD setiap tahun.

Sci-Hub mendapatkan jurnal dari maklumat yang dibocorkan dan memberikan akses percuma hampir dari semua penyelidikan akademik. Pada tahun 2015, penerbit penyelidikan terbesar dunia, Elsevier menyaman Sci-Hub atas alasan hak cipta. Sci-Hub disaman sekali lagi oleh Persatuan Kimia Amerika pada tahun 2017. Tindakan undang-undang ini menyebabkan domain Sci-Hub di tutup, namun Sci-Hub berpindah kepada satu domain ke satu domain yang lain dan terus kekal boleh diakses hingga ke hari ini.

Sesetengah orang membandingkan usaha beliau dengan karakter Robin Hood, beliau berkata “Saya fikir ia bukanlah perumpamaan yang bagus, kerana apa yang dilakukan adalah salah. Dan berkongsi buku dan jurnal penyelidikan bukanlah satu kesalahan”. Sementara itu, beliau dianggap sebagai heroin oleh golongan yang mengadvokasi akses percuma buat ilmu, Heather Joseph adalah salah seorang daripadanya, dia berkata “Saya hargai usaha beliau, beliau menyinarkan cahaya kepada masalah pada sistem kini yang tempang, universiti dan penyelidik memerlukan akses yang mudah bagi membangunkan sains”.

Sehingga sekarang, Elbakyan masih mengumpulkan artikel ke dalam database Sci-Hub bagi kegunaan umat manusia secara percuma. Bagi pendokong progres sains beliau adalah heroin manakala bagi penerbit yang ingin mengumpul keuntungan beliau adalah penjenayah hak cipta. Kerana bimbang akan di ekstradisi, beliau kini bersembunyi di lokasi rahsia.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana

Durian Mas Hajah Hasmah

June 28, 2019 By Mel Van Dyk

Credit – Butterkicap

Awal pagi tadi aku menerima satu notifikasi link Facebook dari Ajo The Stroller. Aku ingat update pasal kebun dia tapi ini lagi true punya informatif ; sejarah durian.

Masa aku berbual dengan Ajo di telefon tempoh hari, beliau ada memberitahu aku berkenaan hal durian IOI. Katanya durian ni pahit-pahit manis dan sedap. Jadi, secara kebetulan semalam aku ke pasar malam Kelang Lama. Ada seorang pakcik dengan anak lelakinya yang menjual durian pelbagai gred yang bagi aku selalunya susah nak jumpa di kawasan sekitar Kulim ni. Jadi aku pun cuba sebiji durian IOI yang Ajo sarankan tu. Ternyata rasanya sama seperti apa yang Ajo bagitahu. Tahulah aku yang Ajo ini merupakan pemuda yang jujur dan benci berkata dusta.

Apakah sebenarnya durian IOI ini?

Dari mana pula asal usul dan susur galurnya?

Mengikut link yang aku terima dari Ajo, hasil posting dari Khairul Azri ni, ianya ringkas menunjukkan siapa dan bagaimana terhasilnya baka durian IOI yang terkenal ini.

Hajah Hasmah Haji Hashim

Pendaftaran baka D168 (Durian Mas) oleh Hajah Hasmah

Baka durian D168 ataupun lebih mesra dikenali dengan nama durian IOI ini telah didaftarkan pada tahun 1989 oleh Hajah Hasmah Haji Hashim dari Muar, Johor. Aku yakin yang Hajah Hasmah ini bukanlah pengusaha durian yang calang-calang, malah beliau merupakan inventor dalam penghasilan baka durian.

Apa yang menariknya dengan durian D168 ini, ia mempunyai isi yang tebal berwarna kuning ke-orenan. Bagi aku, apa yang membuatkan durian jenis ini begitu unik adalah rasa pahit di hujungnya yang kalau kita tahu, ada sesetengah penggemar durian diluar sana mahukan rasa manis dan pahit pada isi durian. Bak kata pakcik yang jual semalam :

Ada manisnya dan ada pahitnya ; sedang-sedang belaka.

Pakcik Durian, Kelang Lama
Foto lama durian mas (D168)

Kepada yang membaca dan curious, bolehlah pergi cari dan cuba sendiri sementara musim durian masih ada.

Mel Van Dyk

Part time independent writer and podcaster from Sarawak, Malaysia.

Filed Under: Rencana

Mematah Monopoli Musang King

June 26, 2019 By Mel Van Dyk

-Bernama

Semalam aku berbual panjang di telefon dengan Ajo The Stroller, sahabat lama dari Klang. Aku kenal Ajo ni pada tahun 2013, bila aku mula bekerja di sebuah syarikat perkapalan di Pulau Indah, Klang. 

Seingat aku, beberapa bulan lepas kami ada berbual mengenai hal cucuk tanam. Ceritanya, aku cuba untuk offer Ajo ni kerja di company aku tapi ditolak mentah sebab katanya dia ada wawasan baru – nak jadi petani moden. Jadi, semalam agak lama  juga kami berbual tentang hal industri pertanian ni. 

Ajo ada bagitau aku yang dia dalam proses untuk menyewa tanah seluas 10 ekar di Jerantut untuk dijadikan dusun durian. Katanya nak tanam Musang King. Katanya dalam satu ekar tanah boleh memuatkan hampir 40-50 pokok dan setiap pokok mengeluarkan hasil purata dalam  50 biji. Jika dikira secara mudah, tanah berkeluasan 10 ekar mampu menampung hampir 500 pokok durian dengan anggaran hasil sebanyak 250,000 biji durian setiap kali musim durian. 

Bagi aku yang tidak tahu menahu dalam hal durian ni memang nampak mudah. Tapi aku yakin yang proses untuk menunggu pokok matang, dan kos untuk membangunkan dusun berkeluasan 10 ekar begitu sudah pasti penuh dugaan dan cabaran. 

Lepas tu aku bertanya soal marketing dan jangkaan pendapatan. Jawapan yang diberikan Ajo sangat memeranjatkan aku. Katanya dia bercadang untuk mengurangkan RM 10 dari harga pasaran. Contohnya kalau harga Musang King jatuh pada harga RM 30 sekilo, Ajo akan jual RM 20 sekilo. Bila ditanya apakah rasionalnya strategi marketing macam tu, dengan yakin Ajo menjawab 


Aku nak patahkan monopoli harga durian yang dah berzaman ni supaya orang kampung boleh beli Musang King tanpa beban”

Ajo, 2019


Memang padu. Kalau makwe-makwe Klang dengar, nescaya Ajo akan merajai hati mereka dengan begitu mudah. Syabas Ajo The Stroller dan semoga terus  maju jaya!

Mel Van Dyk

Part time independent writer and podcaster from Sarawak, Malaysia.

Filed Under: Rencana

Samakan fi perubatan dengan gunting rambut – manifestasi kebodohan

June 18, 2019 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan desakan doktor-doktor klinik swasta yang mahu menaikkan cas konsultasi. Walaupun terdapat seribu satu alasan yang mungkin diterima akal, seorang netizen telah memberikan ulasan yang terlalu bodoh bagi menghalalkan kenaikan harga ini dengan menyamakan fi perubatan dengan fi gunting rambut. Mari kita hayati ulasan komen tersebut bersama.

Pertama, khidmat gunting rambut merupakan satu khidmat yang optional, rambut kalau tak gunting tak mati. Paling kuat kena potong dengan warden bila balik asrama, bagi yang bekerja mungkin kena amaran dengan makcik HR di pejabat, kalau balik kampung paling kuat kena tegur dengan opah, semua kemungkinan ini tak membawa pada kematian.

Kedua, kalau pun wujud kartel persatuan gunting rambut sedunia dan mereka menetapkan harga potongan biasa RM10, rakyat ada option lain. Contohnya mintak tolong makcik jiran sebelah potongkan rambut.

Ketiga, kalau makcik jiran sebelah tak nak, sebab dia benci kau yang suka dengar Spotify tak pakai headphone setiap malam, boleh mintak tolong ahli keluarga, rakan, adik angkat, kawan pejabat, atau siak masjid tolong potongkan.

Keempat, kalau semua orang tak nak tolong, masih ada option untuk pergi Giant, beli mesin gunting rambut dan potong sendiri. Kalau tak cantik macam rambut player Turki, Hasan Sas pun takpe. Tak mati. Seminggu dua rambut boleh tumbuh balik dan cuba lagi.

Kelima, kalau Giant tutup. Boleh pergi beli dekat Tesco Extra, Billion, atau Mydin.

Tapi perkhidmatan kesihatan adalah khidmat asas. Dalam bahasa Inggeris basic atau fundamental needs. Dalam bahasa Arab Al-Assasiyyah. Sebab itu dalam konflik kemanusiaan bantuan yang dihantar adalah makanan dan perubatan, takda lagi orang gila yang hantar bantuan khidmat gunting rambut dalam krisis kemanusiaan.

Khidmat perubatan ini tak boleh dilakukan sendiri. Makcik sebelah rumah kita tak pandai nak diagnose penyakit. Siak masjid tak pandai tolong x-ray tulang yang patah. Semua ini perlu dilakukan oleh doktor professional.

Perkhidmatan kesihatan ini majoritinya ditanggung kerajaan. Doktor ditaja dengan biasiswa kerajaan. Universiti awam yang latih doktor diberi subsidi dan bantuan kerajaan. Hatta yang di swasta pun banyak yang dapat pinjaman pembelajaran kerajaan. Latihan lepas belajar disediakan kerajaan. Semua ini duit rakyat, untuk masyarakat, perlu dikembalikan pada masyarakat.

Kita boleh terima hujah kenaikan fi jika disebabkan faktor kenaikan kos mengurus klinik walaupun masih boleh dipertikaikan betul ke kebanyakan klinik rugi? Kalau naik terlalu tinggi boleh dipersoal dari sudut etika dan moral.

Orang cetek akal sahaja samakan fi perubatan dengan gunting rambut.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana

Ali, Saiful Nang, dan Prof. Ilan Pappe

May 27, 2019 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Gambar sekadar hiasan semata-mata.

Ali merupakan peminat Saiful Nang, setiap hari beliau akan like gambar-gambar instagram SN juga status-status SN di facebook. Ali sangat teruja untuk melancong ke Tel Aviv dan bergambar dengan tembok pemisah yang merupakan simbol penindasan warga Palestin.

Beliau bertanyakan pendapat saya, dan meminta bahan bacaan untuk lebih memahami konflik Israel-Palestin. Kecintaan Ali terhadap ilmu dan kebenaran membuatkannya sanggup menaiki motor kapchai dari Merbok ke Sungai Petani hanya demi sebuah buku.

Saya pinjamkan kepada Ali buku The Ethnic Cleansing of Palestine tulisan Prof. Ilan Pappe, yang merupakan sejarawan dari University of Exeter. Pappe merupakan ‘The New Historian’ sebaris dengan sejarawan seperti Benny Morris dan Avi Shlaim. Mereka merupakan revisionist yang menulis semula sejarah Israel secara objektif tanpa naratif propaganda Zionis.

Ya, Pappe sendiri berbangsa yahudi, tetapi beliau menentang keganasan dan pembunuhan yang dilakukan oleh Israel ke atas bangsa Palestin. Pappe dalam bukunya menggunakan sumber-sumber dari arkib Israel seperti jurnal David Ben-Gurion dan dokumen tentera.

SN mengatakan bahawa Israel mahukan keamanan dan mereka mengambil tanah berdasarkan undang-undang, rule-of-absence. Tapi ada soalan besar yang SN tinggalkan dalam posting beliau, iaitu bagaimana tanah-tanah yang dirampas itu boleh menjadi absence? Tanpa penduduk?

Disinilah kelompongan yang perlu di isi. Tanah itu ditinggalkan selepas ia diserang oleh para-militeri yahudi seperti Haganah, Irgun, dan Stern Gang, para-militeri ini kemudian menjadi IDF hari ini. Malah ahli fizik terkenal, Albert Einstein pernah mengutus surat mengecam keganasan teroris yahudi. Ilan Pappe dalam bukunya menceritakan dengan terperinci kampung demi kampung, bandar demi bandar, yang dibakar, diroboh, diletupkan, dan penduduk yang dibunuh dan dihalau. Antara pembunuhan beramai-ramai yang mendapat liputan dan terkenal adalah pembunuhan di perkampungan Deir Yassin. Penduduk yang di halau ini tidak dibenarkan pulang hingga hari ini, walaupun mereka masih menyimpan kunci rumah mereka. Dihalau dan dihalang pulang, tentulah menjadi absence. Cintakan keamanan?

Kemudian SN membawakan video seorang lelaki arab entah siapa yang mengatakan sumbangan kepada Gaza sebagai sia-sia dan berterima kasih Israel membina sekolah. Sebenarnya ini tidaklah aneh. Dalam buku beliau, Pappe menceritakan berkenaan dengan talibarut di setiap kampung, yang memberi maklumat kepada pengumpulan data inteligensia yahudi. Data ini dinamakan ‘village files’ yang sangat terperinci bagi setiap kampung, dari jenis tanah, jenis pokok, aerial survey, jumlah penduduk, semuanya dikumpulkan bagi koordinasi pembersihan etnik 1948. Pengumpulan data ini dilakukan secara rahsia tanpa pengetahuan British yang menguasai Palestin pada ketika itu.

Untuk kepentingan bisnes, dia kemudian menunggang fatwa mufti berkenaan ziarah masjidil Aqsa. Tetapi adakah fatwa itu termasuk lawatan ke Tel Aviv, kibbutz, tembok pemisah? Bagaimana kita boleh posing gembira bersama tembok apartheid sedangkan seluruh dunia mengecam polisi rasis dan apartheid ini?

Buku Ilan Pappe ini lebih kepada sejarah pembersihan etnik 1948, yang masih berterusan hingga hari ini. Antara buku lain yang saya minati adalah tulisan Dr. Norman Finkelstein bertajuk Beyond Chutzpah yang mendokumentasi aktiviti kezaliman Israel. Finkelstein merupakan seorang yahudi, ibubapanya merupakan survivor Holocaust, tetapi beliau tidak rela Israel menunggang Holocaust untuk menghalalkan penindasan terhadap bangsa Palestin. Tetapi mungkin buku itu kita akan bincangkan di lain hari, selepas Ali habis membaca buku yang dipinjamnya hari ini.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana

Malaysian Education System Does Not Nurture Talents

May 24, 2019 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

For almost a week now Malaysiakini joined liberal media outlets attacking our education minister. Malaysiakini trying so hard, publishing Op-Ed on daily basis attacking Maszlee. Its funny in some way looking at their behaviour.

I’m not a fan of Maszlee, I really not. So I will not use the pathetic tagline such as “A rakyat just like you”, like the one did by the PPBM member working in the ministry trying to disguise himself as an ordinary people.

As usual the commentators joined in spewing hatred in the comment section, a hatred that has been sown by the liberal media all along. I don’t need to mention the race of this hate spewing commentators, its obvious, you can look at it yourself.

I’m intrigued by one of the comment by Michael Yeoh, that our education system does not nurture talents, is it?

We have Dr. Wan Wardatul Amani the first Malaysian to launch a NASA satellite. Our astrophysics PhD student Nur Adlyka Ainul is a member of a team that discovers hidden supermassive black hole, an achievement which broke the internet. We also have sent our own astronaut to space!

If we look at their school background, they came from national school system. Adlyka went to Sekolah Rendah Kebangsaan Sultan Abu Bakar (2) Muar and Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Sultan Abu Bakar. Our astronaut went to MRSM Muar. They are the product of national school system.

Of course our school system has flaws, no education system in the world is perfect, not even the Finnish system. But that does not mean that we did not nurture talent. We should always improve and enhance them.

But when you did not like apple and went to say that apple is not a fruit. You are nowhere near to any talent.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana

  • « Previous Page
  • 1
  • …
  • 6
  • 7
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • Next Page »

Recent Posts

  • Caste: The Origin of Our Discontents
  • Pelajaran Utama Dari Perang Amerika/Israel-Iran
  • Persediaan Menghadapi Krisis Tenaga Kesan Perang Amerika/Israel-Iran
  • Amerika Mulakan Penjajahan Ke Atas Venezuela
  • Tidur Siang Singkat: Kepingan yang Hilang dalam Pendidikan Karakter Kita di Indonesia

Archives

Copyright © 2026 The Independent Insight