The Independent Insight

Giving truth a voice

  • Email
  • Facebook
  • Flickr
  • Instagram
  • Phone
  • Twitter
  • Vimeo
  • YouTube
  • Berita
  • Politik
  • Ekonomi
  • Teknologi
  • Reviu
    • Reviu Buku
    • Reviu Filem
    • Reviu Muzik
  • Rencana
  • Podcast
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami

Saya Sayang Rusia Tetapi Menolak Perang Ini

March 6, 2022 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Я люблю Россию и Я против этой войны.

Hampir setiap hari sekarang saya mengikuti perkembangan yang berlaku di Ukraine dengan hati yang sedih. Bagi saya penyelesaian kepada keganasan bukanlah dengan mencetuskan keganasan yang baharu, keganasan tidak dapat dirawat dengan perang. Catatan ini bukan catatan perbahasan geo-politik, atau analisa siapa salah siapa betul, atau propaganda untuk menghasut kita untuk menyokong mana-mana pihak yang berkonflik, saya sekadar mahu mencatat rasa hati melihat apa yang belaku.

Rusia merupakan negara yang dekat dengan hati saya. Takdir menentukan bahawa perjalanan hidup saya tersulam bersama dengan negara yang hebat ini. Rusia merupakan rumah kedua saya, 4 tahun saya berkelana di buminya. Selepas Malaysia, tiada negara lain yang saya pernah menetap lebih lama selain dari Rusia. 4 tahun mencari ilmu disana penuh dengan kenangan yang indah. Saya menetap di sebuah bandar di tepi Finski Zaliv bernama Sankt Peterburg. Sebuah bandar yang cantik, damai, penuh sejarah, dan merupakan ibukota Rusia sebelum Moskva.

Pada mulanya saya tinggal di Avtova sebelum berpindah ke Prospek Stachek. Siapa pun yang menjejakkan kaki ke bumi Rusia pasti mudah jatuh cinta padanya. Negaranya yang indah penuh dengan pemandangan yang mendamaikan. Saya rindu berjalan-jalan di tepi Sungai Neva melihat aliran airnya semasa musim panas. Pada musim sejuk pula, Neva akan membeku membolehkan saya berjalan di atasnya. Saya juga rindu melihat-lihat buku di Dom Knigi, kedai buku ikonik di tengah-tengah bandar berhadapan dengan Kazanski Sabor. Pada hari Jumaat kami akan berhenti di Metro Gorkovskaya dan solat bersama ratusan Muslim yang lain di Masjid Sabornaya.

Melihat salji-salji turun buat kali pertama memang mengasyikkan. Bumi terlihat aman dan bersih ketika musim sejuk kerana semuanya terlitup dalam salji yang tebal. Musim sejuk di Rusia, walaupun cantik, begitu menyakitkan hidung kerana kesejukannya. Musim sejuk inilah yang membantu mengalahkan tentera Napoleon dan Hitler. Ketika musim sejuk siangnya singkat dan malamnya lama. Saya lebih gemar minum kopi panas sambil melihat ribut salji di luar dari tingkap. Beberapa tahun di Rusia, musim yang saya gemari bukanlah musim sejuk, tetapi musim luruh. Pertama kerana cuacanya tidak terlalu sejuk, dan tidak terlalu panas. Berbeza dengan cuaca yang sama pada musim bunga, musim luruh tiada salji separuh cair yang membasahi kasut. Dan yang lebih menggembirakan adalah dedaunan yang berubah kepada warna emas. Ketika musim luruh, saya akan mendaki Bukit Voronya, melihat permandangan kuning keemasan, sambil dibuai angin. Hanya Tuhan yang tahu perasaan yang muncul melihat permandangan seperti itu. Ketika musim buah-buahan tempatan, saya akan memborong buah Chereshnya, dan makan dengan gembira buah yang sama setiap hari. Coklat kegemaran saya pula adalah Aleyonka, coklat sedap dan pembalut coklat juga ikonik, saya suka gambar anak kecil comel pada pembalutnya.

Orang Rusia juga bagi saya merupakan orang yang baik. Mereka kreatif, baik hati, periang, mudah berkawan, dan suka membantu. Kebanyakan guru-guru saya semuanya baik dan rapat dengan saya. Cikgu kegemaran saya adalah Chernov, syarahannya biasanya diselitkan dengan jenaka dan juga pengajaran-pengajaran hidup walaupun subjeknya adalah enjin, pam dan kompresor. Penyelia projek tahun akhir saya adalah Chistyakov, walaupun digeruni pelajar, bagi saya beliau baik sahaja dengan saya serta banyak memudahkan saya untuk lulus cemerlang. Walaupun orang luar mungkin melihat orang Rusia sebagai garang, susah tersenyum, dan ganas, namun jika kita mengenali mereka secara peribadi, segala prejudis itu senang dan cepat sahaja hilang.

Sejarah mereka merupakan sejarah yang panjang, penuh revolusi dan tribulasi. Namun orang-orangnya tetap mempunyai imaginasi yang sama seperti kita, perasaan yang dalam dan penuh kemanusiaan, rasional dan emosional. Antara kata-kata yang sangat saya minati yang ditulis oleh Svetlana Alliluyeva (anak kepada Stalin) ketika saya membaca biografinya adalah tulisan beliau tentang bagaimana kecintaan orang Rusia kepada keindahan laut. Svetlana menulis:

Pushkin berbicara dengan lautan. Pasternak mendengar lagu-lagunya. Gorky pula berkata laut juga boleh ketawa.

Svetlana Alliluyeva

Mungkin ada yang bertanya, jika benar orang Rusia itu rasional, punya perasaan yang mampu berkasih sayang, kenapa perang ini menunjukkan sisi mereka yang sebaliknya?

Kita harus membezakan rakyat biasa dengan kerajaan. Yang mengishtiharkan perang adalah kerajaan. Saya sangat tersentuh hati melihat orang-orang di bandar yang saya duduki dahulu, Sankt Peterburg, berdemonstrasi beramai-ramai menolak perang. Walaupun kemudian mereka dipukul dan ditangkap polis. Juga bagaimana media-media yang berani melaporkan apa yang terjadi sehingga kerajaan memaksa mereka ditutup. Saya percaya, rakyat Rusia merupakan orang-orang yang mencintai keamanan dan persahabatan.

Jean-Paul Sartre menulis bahawa “when the rich wage war, it’s the poor who die”. Bagi saya tentera yang dikerahkan perlu berhenti dari mengikuti arahan. Biarlah presiden, jeneral, dan orang-orang kaya yang mahukan perang itu pergi berperang sendiri. Mereka mudah mengishtiharkan perang kerana bukan mereka yang perlu mati di medan perang, tetapi orang-orang muda dan orang-orang miskin yang dikerahkan.

Perang bukanlah jalan menyelesaikan konflik. Sejarawan ulung, Howard Zinn pernah mengutarakan bahawa terdapat seribu satu cara boleh kita gunakan selain berperang untuk menyelesaikan konflik. Kegagalan memilih cara lain menggambarkan kemalasan berfikir, kekeringan idea, serta pemikiran primitif bahawa membunuh boleh menyelesaikan masalah. Menurut Robert Fisk, wartawan yang melihat sendiri perang, beliau mengatakan bahawa perang menggambarkan “the total failure of the human spirit“.

Oleh sebab itu, saya merasakan serangan Rusia ke atas Ukraine adalah salah. Saya tidak menyokongnya walaupun saya mencintai Rusia. Tidak menyokong Rusia tidak bererti kita secara automatik menyokong Barat dan Amerika Syarikat. Ini adalah pemikiran binari. Sebaliknya tidak menyokong Rusia merupakan komitmen kita yang konsisten menolak keganasan. Kita menolak keganasan yang dilakukan oleh siapa pun, termasuklah kepada Palestin, Yaman, Iraq, Afghanistan, dan kali ini Ukraine. Kita perlu konsisten, pengeboman Saudi Arabia ke atas anak-anak Yaman adalah sama kejam dengan pengeboman Israel kepada anak-anak Palestin. Kita sedar Barat dan Amerika Syarikat bersifat hipokrit, etnosentrik (eurosentrik), dan rasis, kita boleh menolak keganasan yang pernah mereka lakukan dalam masa yang sama menolak juga keganasan Rusia. Kita tidak perlu memilih, kerana ia bukanlah pilihan binari.

Terima kasih kepada semua sahabat-sahabat dan juga alumni yang menghubungi saya bertanyakan pendapat. Tulisan saya ini bukanlah berniat untuk mendahului mana-mana kenyataan rasmi persatuan yang saya anggotai. Ia hanya coretan perasaan saya atas kapasiti peribadi. Sekadar menulis semula pandangan saya secara publik akan apa yang telah saya sebutkan dalam ruang tertutup dengan pandangan yang umum. Seruan kita haruslah bagi menamatkan konflik, bukan berpihak kepada mana-mana. Tiada siapa yang untuk dalam peperangan kecuali pembekal-pembekal senjata.

Apa yang kita perlukan adalah keamanan dan persahabatan.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Berita

Banjir Besar Patut Menjadi Sejarah Bukan Acara Tahunan

February 6, 2022 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Malam gelap itu aku sibuk memotong-motong lori di atas jalan raya.

Aku bertolak jam 11.30 malam. Akhirnya aku sampai di Kuala Lumpur sekitar subuh. Sempat aku melelapkan mata selama dua jam sebelum melapor diri di Bilik Gerakan Banjir Selangor di Shah Alam. Pada mulanya aku agak khuatir, maklumlah aku ini sudah tua, biasanya kalau kurang tidur dan buat kerja sehingga penat, kepala biasanya akan diserang migrain. Hari ini alhamdulillah, badanku bekerjasama tanpa gagal. Walaupun tidur dua jam, penat, dan tak makan tengahari, aku dapat membantu mangsa banjir dan berkhidmat dengan selamat, dan selepasnya pulang tanpa sebarang bencana.

Pada mulanya aku ditugaskan ke Kampung Lombong, Shah Alam. Tapi kemudiannya aku ditakdirkan terpisah dari tim asal dari Kedah. Namun hal ini sebenarnya ada suratannya. Ajaib betul, setelah berpuluh-puluh tahun aku bergraduasi dari Rusia, aku masih boleh cam seorang teman berdasarkan jelingan mata dari jauh sahaja di kampung lombong pada ketika itu. Rezeki pagi itu berjumpa semula dengan Dr. Ariff Azfarahim Ibrahim di lapangan. Namun, sebab darurat dan keadaan huru-hara, aku hanya sempat bersalaman dengan beliau dan snap satu gambar sahaja sebelum berpisah. Tidak sempat bersembang.

Kerana sudah terpisah, dan melihat keadaan di Hulu Langat yang lebih teruk berbanding Shah Alam, aku mengambil keputusan untuk ke Hulu Langat. Ditakdirkan, aku dapat bersama tim sukarelawan dari Perlis, yang kebanyakannya muda dan bersemangat. Kami ditugaskan membantu membersihkan rumah di Taman Dusun Nanding. Taman ini betul-betul berada di tepi Sungai Langat. Menurut penduduk tempatan, taman mereka paling awal dinaiki air, dan paling lambat air surut. Air juga naik sampai ke paras bumbung.

Ada penduduk yang berkongsi bahawa mereka hampir rasa berputus asa untuk membersihkan rumah apabila melihat kemusnahan yang berlaku. Ada yang termenung sehingga 3 hari baru mendapat semangat untuk membersih rumah. Ditambah dengan bekalan elektrik dan air yang terputus dan lambat dipulihkan menyukarkan lagi kerja pembersihan. Apa yang aku kagum, ada segelintir penduduk yang sibuk membersihkan rumah jiran, padahal rumahnya sendiri belum dibersihkan. Melihat reaksi penduduk apabila rumah mereka habis dibersihkan memang menyentuh hati. Ada yang menjerit gembira. Kata mereka “sekarang baru nampak macam rumah”. Ada juga yang mengucapkan terima kasih, sebab mereka pun tak tahu macam mana nak mula membersihkan rumah, maklumlah kejadian seperti ini jarang berlaku di Hulu Langat. Cuma aku lihat, di Hulu Langat pada ketika itu, masih banyak rumah yang perlu dibantu, memang perlu banyak tenaga dan jentera untuk membersih dan mengangkut harta benda yang musnah.

Aku sendiri rasa apa yang aku mampu tolong sedikit sangat berbanding kemusnahan yang berlaku. Aku hanya sempat membantu sehari, aku harap ada lagi tim-tim lain yang akan meneruskan bantuan kepada mereka. Tahniah juga buat semua yang bantu membantu. Bak kata kata pujangga “tak hensem takpa, janji kita saling bantu-membantu”. Moga yang terkesan dengan musibah ini diberi kekuatan untuk bangkit kembali, dan semoga kita semua juga membantu dengan apa sahaja yang kita ada.

Melihat keadaan banjir dan huru-hara yang berlaku di negara tercinta ini, terdetik rasa hatiku untuk memberikan sedikit pandangan. Negara kita ini merupakan negara yang bertuah, selalu dikurniakan hujan. Air adalah sumber kehidupan dan banyak perkara yang dapat kita lakukan dengan air yang banyak. Ada negara lain yang begitu sedikit hujannya, dan mereka struggle untuk hidup dan menjana ekonomi mereka. Cuma ada kalanya, terutamanya di musim tengkujuh, negara kita akan menerima hujan yang lebih, hingga kadang jumlahnya tidak dapat ditampung oleh sungai-sungai yang ada. Ditambah pula dengan hutan-hutan yang kebanyakannya tidak mampu lagi menyerap air dengan efisien kerana kerakusan pembalakan halal dan pembalakan haram, memburukkan lagi keadaan. Longkang, parit, dan sungai yang tersumbat dipenuhi sampah sarap juga menambahkan lagi faktor berlakunya banjir yang teruk.

Fenomena banjir ini bukanlah sesuatu yang baharu. Sejak aku keluar sekolah, sudah bermacam-macam misi banjir yang aku sertai dalam negara, antara yang aku masih ingat adalah di Kuantan pada tahun 2007 dan 2013, Temerloh pada tahun 2015, Permatang Pauh pada 2017 dan yang terbaru adalah di Yan pada bulan Ogos 2021. Kini pada penghujung tahun 2021, negara kita sekali lagi menghadapi banjir di Selangor dan Pahang. Sekali lagi aku turun ke lapangan membantu apa yang termampu. Aku bukanlah hendak menulis bahawa aku ini selalu menolong orang pada musim banjir, aku cuma mahu menggambarkan bahawa banyaknya berlaku banjir seingat pengalaman hidupku.

Aku berfikir bahawa negara kita tidaklah kurang cendiakawan, pakar dan juga graduan. Masalah banjir ini aku kira merupakan masalah yang sepatutnya sudah dapat kita uruskan. Orang Melayu kata jangan jatuh lubang biawak dua kali, kita entah berapa kali terjun lubang biawak yang sama. Aku memikirkan bahawa universiti-universiti kita begitu banyak kursus kejuruteraan. Hampir semua universiti awam ada fakulti kejuruteraan. Malah kita punya pelbagai jenis graduan kejuruteraan. Kejuruteraan awam, mekanikal, elektrikal, elektronik, mekatronik, geomatik, kimia, marin, aeroangkasa, automotif, komputer hinggalah ke kejuruteraan genetik, nuklear dan kejuruteraan perniagaan. Segala macam bidang kejuruteraan yang lain, semuanya kita ada. Itu belum kira graduan kejuruteraan dari universiti swasta dan luar negara. Aku kira bakat dan sumber manusia dalam bidang ini sepatutnya telah lama kita gemblengkan untuk menyelesaikan masalah banjir.

Masalah ini mesti di selesaikan secara sistemik, maksudnya ia mesti diwajibkan dalam perancangan bandar, perancangan pembalakan, perancangan pembinaan perumahan dan juga pembinaan bangunan, bukannya kita bina dahulu kemudian baru kita fikir macam mana kita nak buat kalau berlaku banjir secara tiba-tiba.

Aku bukanlah nak menyalahkan universiti, pensyarah atau graduan. Kerana tidak adil mereka dipersalahkan, kerana tugas mereka adalah melahirkan graduan yang boleh bermanfaat untuk negara. Tugas mereka lebih kepada hal-hal eksekutif dalam mendidik dan mengeluarkan tenaga kerja negara. Sedangkan perancangan, polisi, projek, dan dasar ini terletak pada kerajaan. Mereka yang sepatutnya menyediakan projek-projek, dasar-dasar anti-banjir dan memanfaatkan tenaga kejuruteraan yang ada.

Aku kira projek kejuruteraan anti-banjir ini merupakan serampang dua mata. Dalam satu hal kita menyelesaikan masalah yang real dan praktikal. Dalam masa yang sama kita boleh memberi kerja pada graduan kejuruteraan yang asyik tiada kerja dan underpaid. Projek menyelesaikan masalah ini perlu didahulukan. Bukan hanya sibuk membuat projek pencakar langit supaya orang-orang kaya boleh hidup di atas awan, sedang rakyat biasa di bawah mati tenggelam. Harapnya dalam pengumuman Rancangan Malaysia Ke-berapa-entah (RMK) seterusnya nanti, adalah diumumkan projek mega ke, projek giga ke, yang berjumlah berbillion-billion untuk memastikan tidak berlaku banjir besar lagi di negara tercinta kita ini.

Aku tak rasa kita kekurangan tenaga mahupun teknologi. Tetapi mungkin kita kekurangan pemimpin yang berwawasan, yang berfikir dalam jangka masa yang panjang. Bukan sekadar sibuk dengan projek yang boleh memenangkan mereka dalam pilihanraya 5 tahun sekali, tetapi projek yang benar-benar menyelesaikan masalah secara sistemik. Bukan sekadar projek jangka pendek yang berbentuk tempelan-tempelan sahaja. Tugas pemerintah bukan pergi melawat mangsa banjir, berlakon membersihkan taik unggas, atau bersiar-siar menaiki bot di kawasan banjir. Sebaliknya tugas pemerintah yang berwawasan adalah memastikan tiada banjir di tempat pertama, atau orang putih kata, tiada banjir at the first place.

Ini belum kita bahaskan koordinasi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas. Rata-rata masyarakat kecewa dengan respon pihak berwajib apabila bencana melanda. Seolah-olah tiada persediaan dan perancangan, walhal duit-duit peruntukan sudah berjuta-juta diperuntukkan. Aku merasakan, dek kerana kita sudah mempunyai terlalu banyak pengalaman dengan banjir, sepatutnya kita sudah menguasainya, sudah mampu mengurus dan mengelakkannya. Banjir ini patutnya sudah menjadi sejarah, bukan lagi acara tahunan.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana

Perbincangan: Politik Untuk Pemula Karya Ayman Rashdan Wong

February 6, 2022 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Penulisan ini merupakan nota jawapan yang saya sediakan dalam program bedah buku anjuran Exco Akademik dan Penyelidikan Persatuan Mahasiswa Undang-Undang (PMU) dari Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) pada 06 Januari 2022 melalui platform Instagram live. Selain nota jawapan, saya sertakan juga ulasan umum saya perihal buku ini juga cadangan bacaan lanjutan.

Apakah Perbincangan yang dibawa oleh buku ini dan kenapa masyarakat perlu membaca buku ini?

Assalamualaikum, terima kasih kepada penganjur kerana menjemput saya dalam ruang bicara ini. Yang saya hormati tuan moderator dan rakan panelis. Sebenarnya ini merupakan pertama kali saya membaca buku terbitan Patriot dan juga buku tulisan saudara Ayman.

Saya sebenarnya seorang yang suka membaca buku yang orang lain tidak baca, dan tidak berapa gemar membaca buku-buku popular. Ini adalah kekuatan saya, dalam masa yang sama ia juga adalah kelemahan saya. Membaca buku yang berlainan akan melahirkan pemikiran yang berlainan, ini adalah kekuatan. Tetapi dalam masa yang sama, jika kita tidak membaca buku popular tempatan, kita terpisah dari wacana tempatan, kita mungkin dicandukan dengan ideologi dan pemikiran yang tak berpijak di bumi kita sendiri, ini adalah kelemahannya (kelemahan saya).

Setelah saya membaca buku ini saya dapati ia adalah pengenalan yang baik perihal apa itu politik. Ada perkara yang saya bersetuju, dan ada juga perkara yang saya tidak setuju. Saya kira apa yang dibincangkan adalah perkara-perkara yang sangat asas dalam politik. Perihal strukturnya, fungsinya, juga pemikiran dasarnya. Walaupun ada beberapa perkara yang saya tidak bersetuju, saya masih merasakan ia adalah bahan bacaan ringan yang baik sebagai pengenalan kepada subjek politik. Tetapi ia bukanlah satu makalah yang cukup untuk kita memahami politik kerana perbincangannya sangat-sangat asas.

Kenapa masyarakat perlu faham akan politik? Pertama kerana kehidupan mereka terkesan secara langsung dari perubahan politik. Kedua kerana jika masyarakat gagal memahami politik, mereka mudah dipermainkan dan ditipu. Ketiga, untuk kita hidup dengan penuh makna, kita perlu memahami dunia kehidupan kita, pemahaman kita terhadap politik ini merupakan satu ilmu yang sangat asas dalam kita memahami kehidupan manusia yang kita adalah sebahagian darinya. Jika kita merasakan dunia ini tidak adil dan perlukan perubahan, kita tak dapat lakukan perubahan jika kita tak memahami dunia ini. Akhirnya mungkin kita hanya akan dipermainkan dan dipergunakan.

Kadang-kadang saya lihat ramai dalam kalangan ahli masyarakat mencemuh dan memaki ahli politik dan sistem politik, tetapi sebenarnya mereka mencemuh diri mereka sendiri, kerana tanpa mereka sedari mereka adalah sebahagian dari sistem yang melahirkan politik yang ada.

Ramai orang tidak memahami apakah hakikat politik yang sebenar. Mereka berpendapat hidup mereka tiada kaitan dengan politik. Apa perbezaan cara melihat politik sebelum dan selepas membaca buku ini?

Sebenarnya politik ini bukan milik sesiapa, politik bukan milik mana-mana politikus atau parti politik. Politik sifatnya neutral. Masalah kita di Malaysia adalah kita menyamakan politik dengan “politik kepartian”. Ini adalah cara fikir yang salah sehingga ramai yang merasakan bahawa politik ini satu benda yang kotor dan perlu dijauhi. Walhal kita semua perlu tahu akan hal politik, kerana tanpa pengetahuan ini besar kemungkinan kita akan tertindas atau ditindas.

Politik adalah lebih besar dari “politik kepartian”. Malah banyak bangsa minoriti, syarikat korporat, individu berkepentingan, mereka tidak menyertai parti politik, tetapi mereka pandai dan faham bagaimana politik berfungsi dan menggunakannya untuk menjayakan agenda mereka dan memelihara kepentingan mereka. Sebenarnya kita semua tak dapat lari dari politik, walaupun kita kata kita tak mahu terlibat, kita akan terkesan secara langsung. Jika kita baca buku ahli ekonomi dari Cambridge, Prof. Ha-Joon Chang beliau mengatakan bahawa dasar-dasar ekonomi tak dapat lahir dari keputusan politik. Dalam kata lain politik akan menentukan banyak perkara dalam hidup kita, harga ayam, harga nasi, pendidikan, semuanya akan keluar dari proses politik yang mustahil kita boleh lari daripadanya.

Oleh kerana banyak perkara yang dibincangkan adalah perkara asas, tak banyak perbezaan pemikiran yang saya dapat secara peribadi setelah membaca naskah ini. Namun saya ingin sebutkan beberapa perkara yang saya rasa menarik.

Jika kita baca buku yang ditulis oleh Francis Fukuyama, beliau membawakan teori bahawa sistem demokrasi liberal merupakan sistem akhir dalam sejarah falsafah politik manusia. Maksudnya sistem ini paling sempurna dan tiada lagi sistem lain yang boleh dihasilkan untuk menjadi lebih baik. Beliau mengungkapkan perkara ini sebagai “berakhirnya sejarah”. Ayman tidak ada membahas idea Fukuyama dalam buku ini, tetapi saya kira pemikiran yang beliau bawa menjawab idea Fukuyama. Dalam bab pereputan politik, demokrasi diletakkan dalam satu kitaran sistem, ia bukan sistem akhir tetapi sebahagian dari kitaran perubahan. Idea ini saya rasakan sesuatu yang menarik.

Seperti yang saya katakan tadi, “politik kepartian” adalah sebahagian kecil sahaja dari politik, ia bukan sinonim. Ini merupakan kefahaman yang bagi saya sangat penting. Saudara Ayman ada membahaskan perkara ini, yang saya kira sangat baik, terutamanya dalam beliau menerangkan bahawa perkataan “parti politik” itu tidak ada pun dalam perlembagaan kita.

Banyak fahaman-fahaman dan ideologi yang diterangkan dalam buku ini seperti liberalisme, fasisme, konservatisme, sosialisme dan sebagainya. Adakah pegangan ideologi ini sama di semua negara? Contoh kita berbicara mengenai konservatisme. Adakah konservatisme Malaysia sama seperti konservatisme US?

Ini mungkin bahagian yang saya ada sedikit perseteruan dengan saudara Ayman, perihal definisi-definisi ideologi. Saya faham, beliau cuba menerangkan definisi ini secara asas agar ia mudah difahami. Tetapi bagi saya ia tidak memberikan keadilan kepada ideologi tersebut. Ia membawa kefahaman seolah-olah ada definisi yang tetap perihal ideologi-ideologi ini.

Sebenarnya untuk kita mentakrifkan ideologi bukanlah satu perkara yang mudah, dan mungkin juga mustahil. Contohnya, ahli ekonomi Marxis, Richard Wolff pernah menyatakan bahawa sukar untuk kita memberi takrifan kepada satu ideologi kerana setiap pemikir ada definisi mereka sendiri. Definisi komunis Lenin sebagai contoh, mungkin berbeza dengan definisi komunis Rashid Maidin dan Abdullah C.D. Menurut pemikir seperti Noam Chomsky, penakrifan definisi ini menjadi lebih sukar kerana ideologi politik ini sentiasa akan didefinisikan dengan buruk oleh lawannya, dan dengan maha indah oleh pengikutnya, menjadikan ia tidak objektif. Jadi untuk memberi satu definisi yang asas, kita tak dapat lari dari memberikan satu definisi yang simplistik dan tidak menyeluruh.

Untuk menjawab persoalan perbezaan konservatisme antara Malaysia dan Amerika Syarikat, saya ingin memetik kata-kata Robert Kaplan perihal nasionalisme Malaysia dalam bukunya Asia’s Couldron:

“Malaysia is beyond nationalism without having ever experienced it”

Analisa nasionalisme di Malaysia oleh Kaplan bagi saya merupakan analisa yang tepat. Beliau mengungkapkan bagaimana Malaysia tidak mempunyai satu identiti yang boleh membentuk semangat patriotisme nasionalisme. Kepelbagaian kaum, Melayu, Cina, India, kaum dan suku Sabah dan Sarawak, masing-masing mempunyai identiti dan budaya yang berbeza. Semangat nasionalisme anti-China seperti yang ada di Vietnam tidak wujud di Malaysia menurut Kaplan. Malaysia terdiri dari komuniti berbeza yang hidup secara harmoni bersama.

Jadi sebenarnya, bila kita bercakap perihal ideologi politik tempatan, dia sememangnya tak sama dengan lokaliti lain, kerana kita mempunyai beban sejarah yang berbeza. Beban sejarah ini mengukir bentuk ideologi yang berbeza. Ia mungkin boleh disamakan dalam satu kelas asas, contohnya konservatisme, tapi bentuk dan sifat konservatisme itu berbeza, atas sebab latar sejarah yang berbeza. Bila kita sebut tentang konservatisme di Amerika Syarikat, ia lebih kepada politik yang dimainkan oleh Parti Republikan yang penyokongnya kebanyakannya merupakan kristian-evangelikal dan juga golongan petani dan buruh luar bandar. Jadi apa yang mereka cuba conserve adalah nilai-nilai dan tradisi penyokong mereka ini. Walaupun mereka ini bukanlah orang asal, orang asal adalah native American, jadi dia memelihara nilai yang bukan asal dari tanah tersebut. Ini berbeza dengan konservatisme di Malaysia yang diperjuangkan oleh orang-orang Melayu dan juga kaum peribumi yang sememangnya penduduk asal tanah ini. Jadi nilai yang dipelihara adalah nilai asal penduduk tanah. Kita boleh katakan idea “pemeliharaan” dalam konservatisme itu sama, tetapi “apa” yang dipelihara itu berbeza.

Ulasan Umum

Ada beberapa perkara yang saya tidak persetujui dari buku Ayman ini. Contohnya kenyataan beliau bahawa “orang Yunani yang mula mengkaji” perkara seperti falsafah, fizik, matematik dan sebagainya. Kenyataan ini bagi saya tidak tepat, matematik sebagai contoh telah digunakan dan ditulis dalam sistem perakaunan sejak zaman Mesopotamia seperti yang ditulis oleh Yuval Noah Harari. Tamadun Mesopotamia lebih tua dari Yunani. Jika dikatakan Yunani yang mula menulis subjek-subjek ini secara sistematik mungkin lebih tepat, walaupun masih boleh dipertikaikan. Oleh itu saya tidak cenderung untuk mengatakan buku ini sebagai buku yang akademik atau separa-akademik.

Juga penggunaan terma “negara” yang beliau gunakan untuk merujuk tamadun seperti Mesopotamia, Mesir, India, dan China, sebagai “negara paling awal”. Bagi saya ia merupakan penggunaan istilah yang salah. Konsep negara adalah konsep moden, yang lebih dekat dengan konsep “nation-state” abad ke-19. Manakala tamadun-tamadun tua ini sangat berbeza dengan konsep negara, maka penggunan istilah itu bagi saya sangat mengelirukan. Adalah lebih baik istilah “kerajaan” digunakan menggantikan negara. Saya juga tidak bersetuju dengan kenyataannya bahawa hanya selepas Muawiyah menjadi khalifah baru masyarakat Arab memasuki fasa negara, ia juga menyebabkan saya lebih keliru perihal apa penakrifan negara beliau? Ia kedengaran seperti tidak konsisten. Jika tamadun tua dikatakan sebagai negara, masyarakat Arab pernah duduk dibawah tamadun seperti Rom dan Parsi, jadi masyarakat Arab menurut takrifan Ayman sendiri sudah memasuki fasa negara sebelum Muawiyah.

Ada juga faktanya yang sudah out-of-date, hal ini bukan kesalahan Ayman, tetapi disebabkan dinamik politik dunia. Contohnya Barbados yang dikatakan menjunjung Ratu Britain sebagai ketua negara, Barbados telah menjadi republik pada 30 November 2021 dan membuang Ratu Britain sebagai ketua negara. Ada juga beberapa kesalahan ejaan yang membuatkan pembacaan sedikit terganggu, seperti “ole itu” yang sepatutnya dieja “oleh itu”. Juga ayat yang janggal seperti “tapi pada masa yang tidak meninggalkan kebaikan”. Selepas “masa yang” sepatutnya ada perkataan “sama”.

Saya bersetuju dengan saudara Ayman bahawa tiada kerajaan yang benar-benar sempurna. Pada pandangan saya, hal ini bukan terjadi kerana ideologi atau sistem yang tidak sempurna, tetapi kerana faktor manusia yang menjalankan sistem dan menghidupkan ideologi. Manusia itu secara fitrahnya tidak sempurna, jadi mana-mana sistem pun, selagi ia dijalankan oleh manusia akan terdedah dengan kesalahan, kesilapan, dan kelemahan.

Saya juga mendapati perbahasan Ayman berkenaan dengan “cyclical nature of democracy” merupakan satu perbahasan yang menarik. Walaupun Ayman tidak membahaskan idea Fukuyama yang beranggapan bahawa demokrasi liberal sebagai sistem akhir yang telah sempurna, bagi saya perbahasan Ayman ini telah secara tidak langsung menyanggah teori Fukuyama. Kitaran politik dalam perbahasan masa depan politik Malaysia bagi saya merupakan cubaan berani Ayman dalam menilik masa depan. Menilik masa depan politik ini bukan kerja mudah. Menurut Chomsky, penilik yang paling berjaya dalam sejarah adalah Bakunin, yang menjangkakan idea “dictatorship of ploretariat” Marx akan menjadi lebih kejam dari pemerintahan monarki. Tilikan Bakunin ini termanifestasi apabila naiknya Stalin.

Saya juga sangat tertarik dengan huraian Ayman perihal revolusi Perancis, yang antara lainnya melahirkan kekacauan yang dipanggil Reign of Terror. Ini perlu kita fahami, kerana revolusi bukan penawar pada semua masalah. Revolusi juga tidak menjamin keadaan akan berubah kepada yang lebih baik. Pandangan Ayman bahawa demokrasi tiada kaitan dengan kemajuan juga bagi saya tepat. Hal ini juga ada dibahaskan oleh Ha Joon-Chang di mana banyak negara-negara Asia dimodenkan di bawah pemerintahan diktator, selepas mereka maju barulah mereka memasuki fasa demokrasi. Dalam kata lain, kemajuan datang sebelum demokrasi. Ini boleh kita lihat di Jepun, Korea Selatan, dan Taiwan.

Ayman juga tepat dalam penggunaan terma “liberal moden” menurut pandangan saya. Saya melihatnya sebagai golongan “kiri bandar” yang sibuk dengan perjuangan LGBT dan sebagainya. Saya lebih gemar dengan perbahasan dan perbincangan “kiri kampung” yang lebih menekankan soal keadilan ekonomi, yang saya kira permasalahan yang lebih real dan mendesak bagi masyarakat. Terma “kiri bandar” dan “kiri kampung” ini tiada dalam buku Ayman, tetapi merupakan klasifikasi saya sendiri.

Kontradiksi Ayman yang lebih serius adalah kesimpulannya. Dalam kesimpulannya beliau menulis bahawa ahli politik perlu mencari “apakah ideologi yang hendak ditawarkan pada rakyat dan negara”. Tetapi dalam Bab-15, beliau sendiri menulis bahawa ahli politik tidak boleh menjadi ideolog kerana “tiada ideologi yang betul-betul dapat mewakili semua lapisan masyarakat”. Bagaimana ideologi yang tak dapat mewakili semua lapisan masyarakat dapat menjadi solusi kepada negara? Menurut pandangan saya, walaupun ideologi penting sebagai panduan untuk menentukan ke mana dasar negara hendak dipandu, solusi kepada permasaalahan politik bukan ideologi. Tetapi solusi yang praktikal berdasarkan data dan kajian, setiap masalah perlu dikaji secara berasingan dan solusi mesti bersesuaian dengan jenis masalah, masa, dan lokaliti. Bukan kita gunakan ideologi untuk selesaikan semua masalah.

Cadangan Bacaan Seterusnya

Seperti yang saya telah sebutkan, buku ini memberi pemahaman yang sangat-sangat asas perihal politik. Oleh itu, saya kira, ia perlu kepada pembacaan seterusnya untuk memahami dengan lebih dalam lagi perihal persoalan politik. Selain buku-buku yang saya senaraikan di bahagian rujukan, saya ingin mencadangkan beberapa buku lain yang saya kira baik untuk meningkatkan fahaman perihal politik, falsafah politik, juga ehwal pentadbiran. Antara buku cadangan saya:

  1. Bruce Bueno de Mesquita and Alastair Smith. The Dictator’s Handbook: Why Bad Behavior is Almost Always Good Politics. PublicAffairs, 2011.
  2. Daron Acemoğlu and James A. Robinson. Why Nations Fail: The Origins of Power, Prosperity, and Poverty. Crown Business, 2012.
  3. Paul D’Amato. The Meaning of Marxism. Haymarket Books, 2006.
Bedah-Buku-PMUDownload

Download artikel ini.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Reviu Buku

Mahasiswa Holistik: Memasyarakatkan Mahasiswa

February 6, 2022 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Penulisan ini merupakan hasil dari perbincangan dalam sebuah forum yang bertajuk Revolving Youth Around Society yang memfokuskan isu memasyarakatkan mahasiswa dalam Seminar Kesejahteraan Mahasiswa (SKEMA) 2021. Pada forum ini saya berkongsi pentas dengan dua rakan panelis iaitu Dr. Siti Farhana binti Lokman dan Tn. Mohd Jamil bin Muda, dengan Saudara Muhammad Amirul Adli bin Azman sebagai moderator. Forum ini membincangkan konsep mahasiswa holistik. Mahasiswa holistik itu bukan sekadar mahasiswa yang cemerlang akademik tetapi mampu menyumbang pada masyarakat, perkara ini dibincangkan dengan teliti dalam forum ini. Dalam kertas kerja ini saya membincangkan langkah-langkah untuk menjadi mahasiswa holistik serta sedikit perkongsian pengalaman peribadi bersama komuniti semasa menjadi mahasiswa pada satu ketika dahulu.

Langkah-langkah untuk menjadi mahasiswa yang holistik?

Pertama sekali, mahasiswa tidak boleh lari dari tugas hakikinya, iaitu sebagai pencari ilmu. Mahasiswa perlu menjadi pencari ilmu yang enthusiastic, mencari ilmu ini bukan sahaja ilmu-ilmu di kelas-kelas kuliah, tetapi juga ilmu-ilmu lain, ilmu masyarakat, ilmu manusia, ilmu agama, semua ini perlu dicari mahasiswa yang holistik. Oleh itu kita bukan sahaja perlu aktif di dalam kelas dan kuliah tetapi juga kelas-kelas di luar kuliah.

Menuntut ilmu ini bukanlah satu perkara yang mudah, ia memerlukan masa, memerlukan tenaga fikir, malah kalau kita membaca sejarah, cendiakawan menyerahkan keseluruhan hidupnya untuk ilmu. Kata Imam Shafie dalam sebuah puisi yang bertajuk kabbir ‘alaihi:

“Sesiapa yang tidak pernah mengecapi pahit getir menuntut ilmu walaupun seketika, maka ia akan terjerumus ke dalam kehinaan kejahilan seumur hidupnya.”

Kemudian beliau menyambung lagi:

“Dan sesiapa yang tidak memanfaatkan masa mudanya untuk menuntut ilmu, maka bertakbirlah empat kali sebagai tanda kematiannya.”

Ada satu tulisan yang menarik oleh Usaid Asmadi, seorang mahasiswa Universiti Malaya dalam tulisan yang bertajuk Memerde(he)kakan Mahasiswa, beliau menggagaskan bahawa universiti itu lebih besar gedungnya dari putaran rutin kehidupan belajar, ia adalah masa emas yang harus digunakan untuk meneroka pelbagai perkara lain. Nasihat kepada pelajar baru ini bagi saya amat penting untuk membuka minda pelajar. Saya sendiri merasakan zaman universiti mengajar saya banyak perkara (selain akademik). Belajar berpesatuan, belajar bercakap dikhalayak, belajar menyelesaikan konflik, belajar bernegosiasi dengan universiti, dan yang paling penting belajar untuk hidup dan melihat kehidupan. Melihat kehidupan dengan lensa yang lebih besar dan luas.

Saya ada membaca buku bertajuk Kembara Darus Nawawi 1963, boleh cari buku ini dan baca sebelum memulakan pengajian. Zaman saya belajar dahulu buku ini masih belum ada. Selepas membaca buku ini, jika ditanya kepada saya, andai zaman mahasiswa boleh berulang apa yang saya nak ubah, saya nak membaca buku-buku dengan lebih rigorous dan simpan jurnal peribadi seperti Ustaz Darus. Sebab pengalaman belajar ini hanya sekali.

Akhir sekali, saya ingin memetik pemikiran Prof. Syed Hussein Alatas dalam bukunya Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah, kita sekarang berada dalam zaman yang baru dengan cabaran-cabaran yang baru. Jadi kita memerlukan “Manusia Islam Baharu”, mahasiswa yang menguasai ilmu zaman dan menghubungkannya dengan agama Islam serta menyelesaikan masalah-masalah dalam masyarakatnya. Mahasiswa tidak boleh hanya berkhayal dalam hal-hal teori dan forum-forum akademik. Tetapi dia mesti sedar dia mempunyai peranan terhadap masyarakatnya. Tidak boleh mahasiswa itu apabila dia bergraduasi dia merasa terpisah dengan masyarakat, dia merasa dia berada dalam golongan elit bijak pandai, sedangkan masyarakat adalah golongan tidak berpendidikan. Sebaliknya dia mesti merasa dia sebahagian dari masyarakat, ilmunya perlu menyelesaikan masalah masyarakat.

Jadi ini adalah bagi saya adalah langkah-langkah untuk menjadi mahasiswa yang holistik, kuat usahanya mencari ilmu, tidak memisahkan ilmunya dengan Islam, dan menjadi penyelesaian kepada masalah masyarakatnya.

Perkongsian pengalaman bersama dengan masyarakat dan komuniti

Saya mempunyai pengalaman yang lain sedikit dari mahasiswa lain kerana saya menyambung pengajian di luar negara, dan di negara yang jarang pelajar-pelajar Malaysia pilih, kebanyakannya akan memilih pergi ke United Kingdom tetapi saya dihantar belajar di Saint Petersburg, Rusia. Jadi komuniti saya adalah pelajar Malaysia, kemudian masyarakat Rusia secara umum, kemudian masyarakat Muslim Rusia secara khusus. Mungkin dalam ruang yang singkat ini saya tidak berkesempatan untuk menceritakan semua, jadi saya memilih dua aspek sahaja iaitu komuniti pelajar Malaysia dan masyarakat Muslim di Rusia.

Saya sejak awal lagi terlibat dalam kepimpinan pelajar semasa di Saint Petersburg, Russia. Di sana kami mendirikan persatuan pelajar sendiri iaitu Malaysian Engineering Student St. Petersburg (MESSP) di mana saya sendiri diberi amanah untuk menjadi presiden pada sesi 2010/2011. Menjadi pemimpin pelajar ini sememangnya merupakan satu pengalaman yang berharga, banyak pengalaman yang menarik seperti menguruskan pelajar, berkomunikasi dengan pihak universiti, kedutaan, menyambut menteri, menguruskan acara, semuanya merupakan pengalaman yang berharga.

Namun mungkin pengalaman atau momen yang paling berharga adalah bagaimana untuk meneruskan Tarbiyah Islamiyah di sebuah negara asing yang bukan majoriti Muslim. Oleh kerana kebanyakan pelajar Malaysia tertumpu di Moscow, saya berulang alik hampir setiap bulan menaiki kereta api ke Moscow bagi mengikuti program tarbawi pada tahun pertama. Perjalanan mengambil masa lebih dari 8 jam. Pada awalnya saya tiada keberanian untuk membentuk usrah bersama kawan-kawan kerana merasakan diri tidak layak. Ketika saya di tahun kedua baru saya mula memberanikan diri untuk membentuk usrah di St. Petersburg bersama adik-adik tahun 1. Selepas itu kawan-kawan se-batch pula bertanya mengapa tidak pernah mengajak mereka? Akhirnya alhamdulillah setiap batch di sana kami mempunyai usrah mingguan. Saya masih ingat pada peringkat awal, memang susah hendak dimulakan, kadangkala datang ke asrama adik-adik dan tidak berjaya membuat usrah dengan adik-adik. Rasa begitu sedih, pernah sekali saya mengadu pada ibu saya, ibu saya kata:

“Kalau buat usrah ni senang, semua orang buat”.

Kata-kata tersebut sangat mengesani diri saya, membuatkan saya lebih cekal, ditolak, tak menjadi, itu perkara biasa, yang penting cuba lagi. Ada satu hari, saya sangat sedih saya upload video di Youtube bertajuk “Sabarlah wahai hati” untuk memujuk diri. Video ini menjadi sangat terkenal sehingga dapat lebih 400,000 view.

Pengalaman terakhir yang saya ingin kongsikan adalah pengalaman bersama komuniti Islam di Rusia. Saya ada berkawan dengan pelbagai jenis teman, ada juga yang merupakan buruh dari negara-negara bekas Kesatuan Soviet yang mana hari ini diperintah oleh diktator yang keras dan kejam. Ada yang saya temui di masjid, ada yang saya temui di jalanan, malah ada yang menjemput saya bertandang dan tidur di tempat mereka. Kebanyakan yang menjadi buruh ini sangat kurang kesedaran Islam, minum arak perkara biasa, malah ada yang namanya “Muslim” tapi tidak pandai bersolat.

Satu hari selepas solat Jumaat di Masjid Sabornaya saya bertemu dengan seorang pakcik. Masjid Sabornaya ini adalah masjid yang terkenal di St. Peterburg, siap dibina pada tahun 1920 dan terletak di bahagian tengah kota berdekatan Stesen Metro Gorkovskaya. Saya bertemu pakcik tersebut di Stesen Metro, pakcik tersebut merupakan seorang buruh dalam masa yang sama dia mengajar Al-Qur’an secara percuma di Masjid. Dia mengajak saya ke kelasnya. Saya pun pergi ke kelasnya pada suatu hari, dan mendapati banyak pelajar-pelajarnya adalah buruh dewasa yang baru mula belajar alif ba ta. Apabila melihat saya lancar membaca Al-Qur’an mereka kagum, seolah-olah ia adalah satu benda yang luar biasa. Pakcik ini menerangkan bagaimana Islam di tekan di negara mereka sendiri, dia sendiri belajar Al-Qur’an secara underground secara  percuma, dan dia merasakan tanggungjawabnya pula untuk mengajar secara percuma. Semangat pakcik ini sangat mengesankan saya, bagaimana seorang pakcik buruh biasa tidak berputus asa menjadi tali yang menyambung ajaran Islam ke generasi seterusnya, walaupun lawannya merupakan kuasa sekular yang menguasai negara. Dari beliau saya melihat sinar harapan buat agama ini.

Kesimpulan

Saya ingin menyimpulkan perkongsian saya dengan sebuah puisi.

Kita bertanya:

Kenapa maksud baik tidak selalu berguna?

Kenapa maksud baik dan maksud baik bisa berlaga?

Orang berkata “Kami ada maksud baik”

Dan kita bertanya: “Maksud baik untuk siapa?”

Sekarang matahari, semakin tinggi.

Lalu akan bertahta juga di atas puncak kepala.

Dan di dalam udara yang panas kita juga bertanya:

Kita ini dididik untuk memihak yang mana?

Ilmu-ilmu yang diajarkan di sini

akan menjadi alat pembebasan,

ataukah alat penindasan?

WS Rendra, Puisi Sajak Pertemuan Mahasiswa

Jakarta, 1 Disember 1977.

Puisi Rendra ini bagi saya merupakan satu puisi yang sangat berkuasa dan mengetarkan. Mengajak mahasiswa merenung kegunaan ilmunya, adakah ilmunya akan digunakan untuk kebaikan masyarakat, atau untuk kepentingan diri. Mempunyai tujuan baik sahaja menurut Rendra tidak cukup, harus ditanya baik itu untuk siapa. Ini adalah tugas mahasiswa, untuk menilai dalam masyarakat siapa yang menindas masyarakat di sebalik slogan-slogan “untuk rakyat” atau “untuk kebaikan”.

Allah berfirman:

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi”, mereka menjawab: ” Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan”. (Surah Al-Baqarah 2:11)

Dari ayat ini kita fahami bahawa anjuran untuk bersifat kritis ini bukanlah original dari Rendra, tetapi telah lama disebut dalam Al-Qur’an sendiri. Di mana Allah menyebut akan orang yang mengatakan mereka berbuat kebaikan, namun hakikatnya dia berbuat kerosakan. Jadi sentiasa perlu ditanya, baik itu untuk siapa?

Tugas mahasiswa bukan sahaja untuk mencari ilmu, tetapi menggunakan ilmu sebagai alat kebaikan. Ilmu ini sifatnya neutral, sebagai alat, ia boleh digunakan untuk membuat kebaikan atau kerosakan. Mahasiswa tidak boleh hanya menerima apa yang diberikan kepada mereka, sebaliknya bersifat kritis dalam menilai. Jika dikatakan sesuatu itu baik, baik untuk siapa? Siapa yang mendapat manfaatnya? Sebagai mahasiswa kita harus bertanya pada diri, siapa yang mendapat manfaat dari diri kita jika kita adalah orang yang baik?

Tanpa sifat kritis dalam diri mahasiswa, mustahil kita dapat melahirkan mahasiswa yang holistik, yang bukan sahaja peka pada permasaalahan akademik tetapi juga masalah-masalah yang ada dalam masyarakatnya.

Mahasiswa-Holistik-Memasyarakatkan-MahasiswaDownload

Download artikel ini.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana

Gaji Graduan: Antara Realiti & Skil

February 6, 2022 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Pada pandangan saya, kerjaya bukan sahaja merupakan sarana manusia untuk mencari kehidupan. Pekerjaan juga memberi makna kepada kehidupan seseorang. Dengan pekerjaan, seseorang dapat merasakan bahawa dia bermakna untuk masyarakat, ada sumbangannya untuk manusia lain, dan dirinya mempunyai sesebuah kepakaran. Inilah yang diberikan oleh sesebuah pekerjaaan disebalik apa yang sering dibincangkan dalam media dan masyarakat iaitu gaji yang tidak mencukupi.

Ya benar, sejak kecil kita diasuh, dalam masyarakat Asia ini, akan sebuah kerjaya yang terpuji, ketika kecil kita didedahkan dengan profesion seperti angkasawan, polis, askar, doktor dan sebagainya. Kita diajar mereka yang mendapat profesion ini duduk di tangga yang terhormat dalam masyarakat. Ibu bapa juga menekankan kepentingan akademik, takut-takut anaknya tidak dapat memanjat status sosial masyarakat dengan profesyen yang baik.

Kepentingan Ijazah Dalam Alam Pekerjaan

Thomas Friedman dalam bukunya The World is Flat berkata seorang pekerja yang mampu belajar perkara baru akan kekal relevan. Oleh itu, perkara penting yang perlu ada dalam diri graduan adalah kebolehan dan kemampuan untuk beradaptasi, mampu belajar walaupun sudah tamat belajar (bergraduasi). Ini kerana jenis pekerjaan sentiasa berubah. Banyak pekerjaan 10 tahun dahulu telah pupus, dan jenis pekerjaan 10 tahun lagi belum wujud sekarang.

Kebanyakan apa yang kita pelajari di universiti, akan out-of-date apabila kita telah bergraduasi. Jika tidak percaya, cuba tanyakan pada mereka-mereka yang sudah bekerja, berapa persen subjek-subjek yang dia pelajari di universiti dia gunakan dalam pekerjaan hariannya? Ijazah merupakan tiket yang membuktikan bahawa seseorang itu mempunyai asas ilmu dan mampu berfikir.

Saya berkerja di sebuah syarikat korporat, dan pernah dalam satu sesi townhall, CEO saya bersembang perihal ijazah. Beliau sendiri berkelulusan ijazah dari London School of Economics. Tetapi katanya, dia tidak akan melihat pun pada universiti tempat belajar seseorang bagi mengambil pekerja. Sekiranya dia mempunyai ijazah, baginya itu sudah menjadi bukti dia mampu berfikir.

Saya bukanlah bermaksud meremehkan kepentingan ijazah. Bagi saya ijazah itu satu perkara yang sangat baik dan penting bagi manusia bagi mengiktiraf tahap keilmuannya. Tapi saya tidak bersetuju bahawa ijazah itu berkait rapat dengan pekerjaan. Dalam masyarakat kita, kita sering menekankan bahawa universiti perlu melahirkan graduan dengan nilai “kebolehpasaran”, graduan ini dibentuk untuk pasar-pasar, dikilangkan di universiti untuk dipasarkan. Ini saya tidak setuju. Tugas universiti bagi saya untuk memberi ilmu kepada manusia, melahirkan manusia berilmu, bukan pekerja sahaja. Pekerjaan itu salah satu aspek dari kehidupan manusia, kita tidak bekerja 24 jam, kita ada keperluan-keperluan lain. Jadi tugas universiti bukan untuk menjadi kilang ekonomi, tetapi untuk mendidik manusia untuk membangun seluruh potensinya, salah satu dari potensi itu adalah potensi bekerja.

Jika yang dikejar adalah wang dan gaji besar, sebenarnya perkara ini tidak memerlukan ijazah. Ijazah adalah pengiktirafan tahap ilmu seseorang, bukan pengiktirafan bahawa seseorang itu akan mendapat gaji besar. Mindset ini perlu diubah. Ramai rakan-rakan saya, bahkan di bidang korporat, tidak mempunyai ijazah universiti, tetapi mempunyai pendapatan yang lumayan. Saya beri contoh, seorang sahabat saya, dia merupakan videografer, dia mungkin ada diploma tetapi dia bermula dengan freelance, dan dia belajar dan travel ke seluruh dunia. Dan akhirnya dia masuk ke dalam bidang korporat atas kepakarannya, dia tak mempunyai ijazah tetapi gajinya lebih besar dari saya yang mempunyai ijazah.

Jadi expectation kita pada ijazah itu perlu dibetulkan, ijazah ini bukan pengiktirafan kepada nilai gaji yang anda akan dapat, tetapi ia mengiktiraf anda mempunyai asas kepada sesuatu ilmu dan anda mampu berfikir. Manakala gaji dan pendapatan ini bergantung kepada benda lain, kretiviti, usaha keras, kepakaran dalam bidang, kemampuan mengurus, kemampuan bekerja dan lain-lain.

Pasaran Kerja: Lambakan Ijazah, Gaji Rendah, Susah Mencari Kerja

Sebagaimana pasaran lain dalam ekonomi, pasaran kerja (labour market) bergantung pada permintaan dan penawaran (supply and demand). Jika banyak peluang, sedikit graduan, gaji akan meningkat. Jika sedikit peluang, dan lambakan graduan, persaingan meningkat dan mengurangkan gaji. Secara teorinya begitu. Kita ambil contoh, zaman ayah saya, mereka yang mengambil jurusan kejuruteraan, sebelum mereka bergraduasi lagi mereka sudah menerima tawaran kerja. Arwah ayah saya terus bekerja sebagai pembantu juruteknik di Jabatan Kerja Raya selepas tamat pengajian. Berbeza dengan zaman saya, saya bukan sahaja lepasan kejuruteraan, malah lepasan universiti luar negara lagi. Tiada siapa pun yang heran, saya perlu menghantar resume, mengisi borang online, untuk mencari kerja. Zaman saya, bilangan graduan kejuruteraan sudah melebihi tawaran yang ada dalam pasaran, jadi saingannya sengit dan gajinya lebih rendah.

Saya berkelulusan kejuruteraan marin, tetapi saya berfikiran seperti Friedman bahawa kita perlu sentiasa beradaptasi mengikut zaman. Saya bermula dengan bekerja dalam syarikat logistik yang menguruskan kontena di Setia Alam dengan gaji yang sangat rendah. Sebelum berpindah kerja ke syarikat pengurusan data maritim dengan gaji yang lebih munasabah. Walaupun pekerjaan saya tidaklah seratus peratus sama iaitu dalam bidang kejuruteraan maritim, tetapi apa yang saya pelajari memberikan saya asas yang baik untuk bekerja. Setiap pekerjaan anda perlu belajar dari mula, belajar melalui bekerja (on job training).

Menurut kajian yang di buat oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), seorang bujang yang tidak memiliki kereta memerlukan sekurang-kurangnya RM1,900 sebulan untuk hidup di Lembah Klang, dan RM2,500 jika memiliki kereta. Menurut Bank Negara, gaji untuk hidup di Kuala Lumpur adalah RM2,700 untuk bujang, RM4,500 untuk yang berkahwin, dan RM6,500 untuk yang berkahwin dengan dua orang anak.

Gaji permulaan sememangnya rendah. Oleh itu jadikan ia sebagai stepping stones bukan pekerjaan akhir. Jangan takut untuk melompat kerja apabila ada peluang lain muncul. Apabila ada peluang-peluang baharu, jangan takut mencuba, tiada siapa yang tahu semuanya. Jika kita disuruh buat sesuatu yang kita tidak tahu, terima peluang itu dan belajar buat sampai kita tahu. Alam pekerjaan tidak bermakna proses pembelajaran kita sudah berakhir.

Memang betul di negara kita ini adanya mismatching, iaitu universiti melahirkan graduan untuk high-skill job tetapi industri kita masih lagi menawarkan low-skill job. Ini sememangnya peranan kerajaan untuk membawa pekerjaan-pekerjaan yang berkualiti tinggi untuk para graduan kita. Kita perlu marah kerajaan akan hal ini, protes, demonstrasi dan sebagainya. Tetapi kita juga perlu berbuat sesuatu untuk diri kita, kita tidak boleh terus berdemonstrasi sampai bila-bila. Apa yang kita boleh lakukan?

  1. Jika kita masih di fasa pemilihan kursus pengajian. Kita bolehlah membuat kajian tentang trend pekerjaan masa hadapan. Pemilihan kursus bukan sahaja dinilai kerana minat, atau kursus apa yang senang, atau kursus apa yang ditawarkan. Tetapi mengambil kira kursus yang dapat menawarkan peluang pekerjaan pada masa hadapan.
  2. Jika sudah terlanjur bergraduasi. Perlu ubah mindset, berani beradaptasi dan cuba peluang-peluang baru yang ada. Belajar buat kerja di luar bidang. Up-skill diri sendiri dengan menghadiri kursus-kursus industri, certificate, license, professional qualification dan lain-lain. Berani untuk bertukar-tukar kerja.

Kerja Sendiri & Menjadi Usahawan

Saya sebenarnya tidak berapa bersetuju dengan pemikiran bahawa kita semua perlu menjadi usahawan. Kadang kala adanya “sifu-sifu” yang mengajar masyarakat bahawa “sampai bila nak makan gaji?” seolah-olah orang yang makan gaji ini tak berjaya hidupnya. Saya tiada masalah dengan orang yang boleh dan mampu jadi usahawan, tetapi jika kita semua jadi bos siapa yang nak jadi pekerja? Ekosistem pekerjaan itu saling memerlukan. Bos memerlukan pekerja untuk majukan pekerjaan. Jadi, makan gaji tidaklah rendah tarafnya bagi saya. Falsafah hidup saya, saya nak bekerja sampai mati, selagi boleh bekerja saya akan bekerja, saya tidak berhasrat untuk pencen dan goyang kaki. Cuma mungkin jenis pekerjaan saya akan berubah, apa pun saya tetap akan berusaha untuk bekerja selagi sihat dan mempunyai kudrat.

Sebenarnya, pandangan peribadi saya, untuk menjadi usahawan tidak semestinya perlu berhenti bekerja jika anda mempunyai pekerjaan tetap. Teknologi hari ini membolehkan kita menjadi usahawan dengan mudah. Jika ingin jadi usahawan buatlah pekerjaan yang kita sukai dan minati. Kerja tetap anda boleh digunakan untuk membiayai minat anda. Sebagai contoh, jika anda punyai minat mengambil gambar, anda boleh menjadi wedding fotografer di hujung minggu, dan kerja tetap di hari-hari biasa. Jadi tak semestinya jika anda makan gaji, atau bekerja sebagai pekerja professional, anda tidak boleh menjadi usahawan. Sebagai contoh, T.S. Eliot seorang sasterawan yang memenangi hadiah Nobel sastera dia bekerja sebagai pegawai bank sambil menulis.

Realiti Pekerjaan: Skop Kerja, Added Value, Kerja di Luar Negara

Dari segi skop pekerjaan, seperti yang telah kita bincangkan sebelum ini, hampir semua pekerjaan, kita akan lakukan perkara yang kita tidak belajar di universiti. Industri adalah universitinya yang tersendiri. Jadi jangan takut jika anda mendapat skop kerja yang anda tidak tahu atau tidak mahir, belajar untuk buat sehingga tahu dan mahir. Pada peringkat awal memang anda akan rasa tidak selesa, tidak yakin, tetapi dengan masa dan usaha ia akan menjadi satu yang anda kuasai, malah anda boleh menjadi subject-matter-specialist apabila anda fokus pada sesuatu kerja selama beberapa tahun.

Sebagai graduan universiti, added value dia adalah kemampuan untuk berfikir, belajar benda baharu, dan sentiasa beradaptasi. Jangan berhenti mencari ilmu walaupun anda sudah bekerja. Masuk kursus-kursus industri, sesetengah syarikat ada kursus percuma yang ditawarkan dibawah HRDF, ambil peluang untuk belajar. Jika ada peluang untuk belajar secara formal di peringkat lebih tinggi seperti sarjana atau doktor falsafah, ia harus diterokai.

Kita ada berbincang tadi bahawa kita sentiasa perlu beradaptasi dan menyesuaikan diri dengan trend pekerjaan semasa. Namun jika memang ada satu profesyen yang menjadi impian kita sejak kecil. Namun pasaran kerja tidak menawarkannya, kita sentiasa boleh mencari kerja di luar negara. Kita boleh buat penyelidikan, negara mana yang kekurangan dan memerlukan profesyen yang kita cari tersebut, sesetengah negara ada menawarkan visa khas untuk pekerja mahir, malah ada yang memberi kerakyatan atau status penduduk tetap. Tetapi mungkin pilihan ini kurang menarik bagi mereka yang dah berkeluarga dan settle-down di Malaysia.

Penutup

Pada pengamatan dan pembacaan saya, secara umum, peluang pekerjaan di Malaysia ini masih baik. Kita mempunyai masalah-masalah itu tidak dinafikan. Tetapi kebanyakannya bersifat cyclical, sebagai contoh, gaji permulaan yang rendah, ini kebanyakannya merupakan pekerjaan transisi, apabila pekerja tua berhenti, pekerja baharu dan muda akan naik ke atas, dengan tangga gaji yang lebih besar. Jadi kitaran ini, lambat atau perlahan bergantung kepada banyak faktor, termasuk penuaan, jangka hayat manusia, kesihatan, perkembangan industri, dan lain-lain.

Harapan kita pada kerajaan adalah kerajaan dapat membawa masuk pekerjaan berkualiti tinggi yang setanding dengan kelayakan graduan tempatan. Pelaburan dari industri-industri profesional perlulah ditingkatkan berbanding industri-industri yang menggajikan pekerja yang tidak mahir. Kerajaan juga perlu merombak kursus dan saiz bidang di universiti-universiti tempatan untuk mengurangkan lambakan dan keluaran graduan bersesuaian dengan saiz industri.

Sembang-Anak-Muda-Antara-Realiti-SkilDownload

Download artikel ini.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Ekonomi

Kritikan, Sumbangan dan Masa Depan Pemikiran Gerakan Islam Haraki

February 6, 2022 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Pemikiran gerakan Islam Haraki adalah pemikiran yang lahir dari kefahaman Islam yang syumul. Islam yang syumul tidak hanya mencakup persoalan akidah, fiqah dan ibadah ritual tetapi merangkumi keseluruhan kehidupan manusia termasuklah aspek sosial, ekonomi, dan politik. Pemikiran ini boleh ditelusuri dari penulisan pemikir-pemikir seperti Imam Hassan Al-Banna, Fathi Yakan, Abul A’la Al-Maududi, Syed Qutb dan pemikir seangkatan dengan mereka. Kebanyakan tokoh pemikir ini menggeluti dunia Islam sesudah jatuhnya Khilafah Uthmaniyah dan dunia Islam dijalari penjajahan kolonial Barat. Mereka membawa pemikiran bahawa perlunya memartabatkan Islam semula sebagai pemegang kuasa politik. Artikel ini akan membuat tinjauan perihal kritikan-kritikan yang dilemparkan kepada pemikiran Islam Haraki, sumbangan Islam Haraki kepada umat Islam terutamanya dalam mendepani ghazwatul fikr, serta masa depan Islam Haraki di era moden.

Kritikan Terhadap Pemikiran Islam Haraki

Walaupun pemikiran ini berakar dari konsep kesyumulan Islam yang menyentuh semua aspek hidup, aspek politik merupakan aspek yang sering ditonjolkan baik oleh sarjana Barat atau sarjana dunia Islam sendiri. Hal ini kerana sarjana Barat melihat kebangkitan politik Islam sebagai ancaman kepada sistem politik Barat sedia ada. Sebagai contoh, pemikir sains politik seperti Samuel Huntington menganggap kebangkitan semula Islam ini merupakan musuh baru bagi peradaban Barat. Begitu juga tokoh politik seperti bekas ketua setiausaha Amerika Syarikat, Henry Kissinger yang menulis perihal revolusi pemikiran yang dibawa oleh Hassan Al-Banna melalui Ikhwan Muslimin, Kissinger mengkritik tulisan Syed Qutb didalam buku Milestones, beliau menulis tulisan ini sebagai pengishtiharan perang oleh Islam ke atas fahaman lain, katanya “a declaration of war against the existing world order that became a foundational text of modern Islamism”. Penulisan Huntington dan Kissinger ini antara penyumbang kepada polisi-polisi moden Barat yang memerangi Islam.

Kritikan terhadap aliran fikir gerakan Islam Haraki ini bukan sahaja datang dari sarjana Barat. Ia turut dikritik oleh sarjana Islam dan sarjana tempatan. Kritikan sarjana Islam lebih kepada perbezaan fahaman dan tafsiran, bukan kerana ancaman politik. Contohnya Syed Hussein Alatas ada menulis kritikan panjang lebar terhadap pemikiran Maududi. Bagi Alatas, slogan kembali pada Al-Qur’an Maududi itu beliau setujui, namun penafsirannya tidak beliau persetujui. Beliau mengkritik penafsiran dan pandangan-pandangan Maududi, antaranya yang melarang wanita dilantik menjadi wakil dalam badan perundangan dan parlimen. Juga pandangan Maududi perihal larangan menghiasi rumah dengan gambar. Bagi Alatas, Maududi mewakili aliran pemikiran yang kolot dan tulisan-tulisannya bersifat propaganda. Alatas menggolongkan bersama Maududi tokoh-tokoh lain seperti Muhammad Qutb, Nadvi, dan Muhammad Asad. Pada Alatas mereka semua ini adalah propagandis.

Sumbangan Pemikiran Islam Haraki

Walaupun pemikiran Islam Haraki ini mendapat pelbagai kritikan dari sarjana Barat dan sarjana Islam sendiri, tidaklah bermakna ia tidak mempunyai sumbangan. Di sini saya ingin mengutarakan beberapa sumbangan yang saya kira merupakan perkara yang positif yang lahir dari pemikiran dan gerakan Islam Haraki.

Pertama, oleh kerana kemunculan pemikiran ini yang hadir semasa zaman kolonial, pemikiran Islam Haraki mempunyai sumbangan dalam menggerakkan umat Islam untuk menentang penjajahan kolonial ke atas dunia Islam. Walaupun dalam sejarah, yang selalu diketengahkan adalah golongan nasionalis. Di Timur Tengah sebagai contoh, semasa zaman kolonial, Ikhwanul Muslimin merupakan pasukan tentera yang sangat efektif dalam melawan penjajahan Zionis ke atas Palestin pada tahun 1948. Hal ini dirakam dan diiktiraf oleh sejarawan Israel sendiri seperti Ilan Pappe.

Begitu juga dalam sejarah tempatan, yang selalu diketengahkan adalah golongan nasionalis kanan yang berjuang menuntut kemerdekaan. Namun menurut sejarawan tempatan seperti Azmi Arifin, yang memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu adalah kebanyakannya golongan agama kiri. Namun pengaruh dan sumbangan mereka tidak ditonjolkan dalam silibus sejarah arus perdana disebabkan faktor politik semasa.

Kedua, sumbangan pemikiran Islam Haraki adalah seruan penyatuan umat. Pemikiran ini telah mengajak umat bersatu untuk melaksanakan matlamat yang lebih besar dan berlapang dada terhadap perkara-perkara yang berbentuk khilafiyah dalam agama. Umat diberi matlamat yang lebih besar dari hanya bergaduh sesama mereka perihal perbezaan pandangan dalam fiqah dan ibadah. Ini merupakan sumbangan yang penting bagi menyelamatkan tenaga umat dari dihabiskan dalam perkara-perkara remeh temeh dan memfokuskan tenaga mereka pada misi yang lebih besar.

Ketiga adalah sumbangan Islam Haraki dalam menyemai semula identiti Islam dalam masyarakat. Antara produk kolonialisme adalah lahirnya golongan elit terpelajar yang kulit dan wajahnya berbentuk tempatan, namun pemikiran dan hatinya sudah terpaut dan terpesona dengan nilai-nilai Barat. Segala yang datang dari Barat dianggap moden manakala nilai tempatan dianggap kolot dan mundur. Gerakan Islam Haraki tidak hanya beretorik tetapi mereka masuk dan berkerja dalam masyarakat, mereka membina institusi pendidikan, perniagaan, dan persatuan untuk memperlihatkan pemikiran Islam mereka dalam bentuk praktik. Hasilnya adalah masyarakat yang cenderung pada Islam dan juga lahirnya identiti Islam dalam masyarakat. Hal ini penting kerana sebenarnya umat ini boleh menjadi moden tanpa perlu menjadi Barat.

Sumbangan Dalam Melawan Serangan Pemikiran

Selepas surutnya penjajahan-penjajahan kolonial di kebanyakan negara-negara termasuk di negara-negara Islam. Bentuk serangan tidak lagi disusun dalam bentuk fizikal, tetapi dalam bentuk pemikiran. Serangan pemikiran inilah yang cuba dijawab oleh banyak tokoh-tokoh pemikir Islam moden termasuklah pemikir dalam kalangan Islam Haraki. Serangan pemikiran ini juga sering disebut sebagai perang pemikiran (ghazwatul fikr). Walaupun ada bentuk-bentuk pemikiran yang boleh kita katakan pemikiran moden, namun banyak juga bentuk pemikiran yang sebenarnya merupakan pemikiran lama yang diberi nafas moden. Contohnya pemikiran logik, falsafah, dan rasional yang menolak wahyu sudah diperbahaskan oleh pemikir silam seperti Imam Ghazali dan Rumi.

Antara gerakan pemikiran moden yang menyerang pemikiran Islam adalah gerakan ateis baharu ataupun disebut sebagai The New Atheist. Gerakan ini dipelopori oleh cendiakawan dan pemikir seperti Richard Dawkins, Christopher Hitchens dan Sam Harris. Gerakan ini menggalakkan pemikiran ateis yang lebih militan dan agresif terhadap agama. Walaupun mereka menggunakan hujah-hujah intelektual, ada juga pemikir yang merasakan bahawa golongan ini hanya menggunakan hujah-hujah intelektual bagi mengaburi sikap Islamophobik sebenar mereka. Hal ini boleh dilihat dari sokongan mereka terhadap polisi-polisi zalim seperti penjajahan Palestin dan penjajahan ke atas Iraq.

Hakikatnya Islam tidak menolak falsafah, sains ataupun logik akal. Malah ayat-ayat Al-Qur’an penuh dengan seruan untuk manusia menggunakan akal dan berfikir. Syed Hussein Alatas menyebutkan bahawa ayat-ayat Al-Qur’an perihal alam itu lebih banyak dari ayat-ayat perihal hukum ibadah, ini menunjukkan bahawa Islam memandang berat pada keperluan untuk kita melihat, memahami, dan mengkaji alam. Kajian perihal alam inilah yang dikatakan sebagai sains. Mana mungkin Islam menolak sains sedangkan dalam Al-Qur’an penuh dengan ayat-ayat yang menyuruh manusia berfikir, mengkaji alam – dalam kata lain, boleh juga kita katakan bahawa Islam menyuruh umatnya menjadi saintis.

Namun Islam juga menegaskan bahawa akal manusia dalam memahami sains dan alam ini terbatas. Ada perkara yang tidak mampu dijawab oleh sains. Sains mungkin boleh menjawab soal bagaimana manusia itu hidup dan berfungsi, tetapi sains tidak dapat menjawab persoalan mengapa manusia itu wujud? Apakah tujuan kehidupan? Soalan-soalan ini berada diluar batasan sains, oleh itu Islam datang dengan membawakan panduan wahyu.

Hari ini kita melihat banyak pemikiran-pemikiran baharu yang lebih moden yang menjalari umat. Untuk membincangkan kesemuanya memerlukan masa yang lama dan ruang yang panjang. Oleh itu, kita akan mengambil beberapa contoh sahaja untuk dibincangkan. Dalam kita mengamati pemikiran-pemikiran moden yang ada, kita haruslah sedar bahawa bukan semuanya bersifat buruk dan bertentangan dengan Islam. Inilah kaedah yang ditunjukkan oleh Imam Hassan Al-Banna dalam pemikiran beliau, beliau menggunakan kaedah pemurnian dan mendefinisikan semula sesuatu konsep agar ia bersesuaian dengan Islam. Contohnya dalam membahaskan pemikiran nasionalisme, beliau berkata:

“Jika nasionalis yang dimaksudkan oleh mereka yang berbangga dengan semangat nasionalisme ialah generasi hari ini yang perlu menurut jejak generasi silam dalam membina hidup gemilang, cemerlang, dihormati, berkeyakinan tinggi lalu menjadikan mereka (generasi dahulu) sebagai contoh yang baik, dan jika nasionalisme yang dimaksudkan ialah kegemilangan seorang bapa menjadi kebanggaan seorang anak lalu menjadi pembakar semangat dan perangsang kepadanya (anak). Jika ini yang dimaksudkan, maka ia adalah suatu tujuan yang baik yang disokong dan digalakkan.”

Dalam masa yang sama, Imam Hasan Al-Banna menjelaskan pemikiran-pemikiran nasionalisme yang ditolaknya. Beliau menyambung:

“Namun, jika apa yang dimaksudkan dengan nasionalisme ialah menghidupkan kembali budaya jahiliyyah yang telah pupus. Mewujudkan semula sejarah yang telah lenyap dengan mengenepikan tamadun baik yang telah bertapak kukuh. Membuang semua yang ada kaitan dengan Islam semata-mata kerana semangat nasionalisme dan semangat kebangsaan sepertimana yang dilakukan oleh sesetengah negara yang fanatik, sehingga ke tahap menghancurkan semua imej Islam dan Arab (bangsa setempat), termasuklah mengubah nama, huruf dan istilah yang digunakan dan menghidupkan semula budaya jahiliyyah yang telah sekian lama pupus, jika inilah nasionalisme yang dimaksudkan, maka nasionalisme seperti ini tidak betul dan membawa kesan yang amat buruk.”

Melalui kaedah Imam Hassan Al-Banna ini, kita dapat fahami bahawa dalam setiap pemikiran, baik yang kuno atau moden, yang lama atau baharu, terdapat perkara baik yang boleh kita ambil, dan perkara buruk yang mesti kita tinggalkan. Hal yang sama ditekankan oleh Syed Hussein Alatas dalam bukunya akan keperluan umat ini mempelajari “ilmu ubat dan juga ilmu racun”.

Hari ini kita terdedah dengan pemikiran yang mengangkat kebebasan misalnya, yang sering diungkapkan sebagai liberalisme. Islam sendiri mengiktiraf nilai kebebasan sebagai satu nilai penting bagi manusia. Contohnya bagaimana Rasulullah didatangkan untuk menghapuskan perhambaan sesama makhluk dan mengubah perkara ini kepada perhambaan hanya kepada Tuhan yang satu. Islam menggalakkan pembebasan hamba semasa zaman perhambaan. Islam membenarkan umatnya memerangi kezaliman dan penjajahan. Dalam hal ini kita boleh katakan bahawa Islam juga mempunyai nilai-nilai liberal (kebebasan) dalam ajarannya.

Namun kebebasan dalam Islam bukanlah satu kebebasan yang mutlak. Manusia sentiasa dipagari moral, hukum syariat, dan ketentuan wahyu ilahi. Sebenarnya manusia itu memang tidak akan boleh hidup dalam satu suasana kebebasan yang mutlak. Pasti akan ada peraturan yang mengikat manusia untuk mereka hidup bersama. Jika tiadanya satu peraturan, manusia tidak mampu wujud dalam bentuk masyarakat dan bentuk-bentuk sosial yang lain. Perlu ada persetujuan tentang bagaimana untuk mengatur kehidupan – inilah asas untuk pembentukan mana-mana fabrik sosial. Dalam mana-mana masyarakat pun, hatta dalam negara yang paling liberal hari ini, ada perkara yang tidak boleh kita lakukan kerana bertentangan dengan peraturan dan undang-undang. Ketiadaan kebebasan mutlak ini diakui oleh ahli falsafah, contohnya Jean-Jacques Rousseau menulis bahawa:

“Man was born free, and he is everywhere in chains.”

Begitu juga hak sama rata. Islam memperkenalkan idea bahawa semua manusia haruslah dihukum secara sama menurut satu undang-undang. Pembinaan kerajaan Islam pertama di Madinah merupakan pembentukan sebuah masyarakat yang egalitarian.

Kaedah Imam Hassan Al-Banna, dengan pendefinisian semula, menilai sesuatu pemikiran dalam bentuk pecahan-pecahan ideanya, boleh diaplikasikan dalam semua bentuk pemikiran moden. Di sini datangnya keperluan para intelektual muslim untuk mengkaji pemikiran-pemikiran yang ada serta mencerakinkan mana idea yang bertentangan dengan Islam dan mana yang bersesuaian dengan Islam. Dalam ekonomi misalnya, idea pemilikan harta dalam sistem kapitalis tidak ditolak Islam, maksudnya ada cerakinan idea dalam kapitalisme itu yang boleh kita terima. Begitu juga dalam pemikiran sosialisme misalnya, idea perihal hak pekerja, keadilan sosial, itu tidak mempunyai percanggahan dengan Islam. Oleh itu tiada masalah kita untuk menerimanya.

Jadi ini adalah sumbangan pemikiran gerakan Islam Haraki dalam mengharmonikan pemikiran umat dan menangkis ghazwatul fikr. Kita tidak boleh menolak semua pemikiran moden, jika kita melakukan sedemikian, ia akan mengakibatkan umat menjadi mundur. Kita juga tidak boleh menerima kesemuanya hingga umat ini tiada jati diri, tiada identiti, dan tiada kekuatan rohani. Maka Imam Hassan Al-Banna datang dengan membawa pemikiran yang seimbang, dengan aliran fikir ini umat Islam boleh berubah menjadi umat Islam yang moden tanpa perlu menjadi western.

Masa Depan Pemikiran Islam Haraki

Masa depan mana-mana pemikiran atau gerakan bergantung kepada sambutan generasi seterusnya kepada pemikiran dan gerakan tersebut. Jika ia mampu melahirkan barisan pelapis muda baharu yang dapat menyambung kesinambungannya juga keharmoniannya dengan suasana baharu, maka ia akan terus kekal relevan. Jika tidak, ia akan menjadi satu helaian dalam mukasurat sejarah. Oleh sebab itu saya pernah menulis sebuah artikel yang membincangkan fenomena pupusnya kaum muda dalam gerakan Islam Haraki agar persoalan masa depan ini dilihat dengan serius.

Pada hari ini, gerakan Islam Haraki telah memasuki fasa generasi kedua dan ketiga. Fasa di mana generasinya kini berada dalam suasana yang berbeza, di kebanyakan negara, termasuk negara kita Malaysia, kita kini bukan lagi berada dalam era kolonial tetapi fasa pasca-kolonial. Oleh itu, banyak pemikiran-pemikiran dan slogan-slogan perlu difikir semula dan dibuat pembaharuan. Jika tidak, generasi baharu tidak dapat merasakan bahawa pemikiran ini merupakan pemikiran yang ingin menyelesaikan masalah yang ada pada zamannya. Ia akan kelihatan lebih kepada retorik berbanding solusi yang praktikal.

Kesimpulan

Hasil dari tinjauan kita, dapatlah kita fahami bahawa pemikiran Islam Haraki ini mendapat kritikan dan tentangan dari Barat kerana ia mempunyai unsur politik hasil dari kefahaman konsep kesyumulan Islam. Para pendokong Barat tentunya tidak mahu dominasi dan hegemoni kuasa politik mereka dicabar oleh orang lain. Sementara itu, ia juga dikritik oleh sebahagian sarjana Islam sendiri yang mempunyai fahaman dan tafsiran yang berbeza terhadap konsep-konsep agama. Namun, pemikiran Islam Haraki tetap mempunyai sumbangan dalam melawan kuasa kolonial yang menjajah dunia Islam, menyatukan umat dengan solidariti Ukhuwah Islamiyah, dan penyegaran semula identiti Islam dalam pemikiran dan jiwa umat. Masa depan pemikiran Islam Haraki ini bergantung kepada kebolehannya dalam melahirkan pendokong-pendokong baharu dari generasi muda. Untuk itu berlaku, pemikiran Islam Haraki perlulah terbuka dengan proses penyegaran dan pemurnian.

Kritikan-Sumbangan-dan-Masa-Depan-Pemikiran-Gerakan-Islam-HarakiDownload

Download artikel ini.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana

Menjawab Kekeliruan & Konflasi Alip Moose Perihal Cancel Culture

January 10, 2022 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Pertamanya saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Alip kerana sudi meluangkan masa, membaca dan mengkritik pandangan saya. Hal ini adalah perkara yang baik, saya menerima kritikan dengan hati yang terbuka. Saya kira itulah asam garam dalam memberikan pendapat, jika takut kritikan, usah diberi pendapat. Menulis dan memberi pendapat memerlukan keberanian, kita mesti berani mengkritik dan dikritik.

Pada mulanya saya tidak mahu menulis tulisan balas, kerana bagi saya Alip telah berubah posisi. Pada posting awal saya perihal polimik ini, beliau menulis komen “tak setuju, terlalu simplistik dan tiada stance”. Namun pada tulisan seterusnya beliau sudah sedikit longgar dan menyatakan bahawa beliau bersetuju dengan saya bahawa “cancel culture adalah toksik”. Kemudian beliau menambah sedikit caveat “tetapi dalam masa yang sama ianya kompleks”. Perubahan Alip dari total rejection kepada persetujuan bersama caveat ini bagi saya sudah menyampaikan matlamat penulisan saya, kerana itu adalah inti asas pada kritik saya.

Namun saya kira masih ada beberapa hal yang Alip terkeliru. Saya tidak salahkan beliau, mungkin tulisan saya tidak begitu mendalam dan mencakup keseluruhan subjek perbincangan. Kerana tulisan asal di Facebook saya itu hanyalah coretan saya sambil menunggu pesanan roti canai sarapan pagi di Selaseh Cafe, Taman Selaseh, Gombak. Juga artikel perihal Voltaire itu juga tidak menerangkan apa yang saya maksudkan dengan cancel culture. Jika tidak diletakkan satu definisi, saya kira kita akan saling menembak perkara-perkara yang tiada kaitan.

Definisi cancel culture saya adalah satu budaya moden baharu, yang muncul pada zaman media sosial (Facebook dan Twitter) mula mengambil alih peranan media massa sebagai media perdana sebagai pusat penyampaian informasi. Budaya ini akan menyerang individu yang tidak sehaluan dengan pendapat dan ideologi mereka. Serangan ini bukan berbentuk fizikal tetapi intimidasi virtual dengan berkempen untuk block orang tersebut, unfollow, de-platform, memecatnya dari sebarang posisi atau dalam kata lain “menyenyapkan” orang tersebut atas satu atau sebahagian kenyataan mereka.

Jadi cancel culture yang saya maksudkan adalah satu budaya moden dan tiada kena mengena dengan konflasi (conflation) yang dibuat oleh Alip dengan mengaitkannya dengan insiden pembunuhan Trotsky oleh assasin upahan Stalin, atau hukuman bunuh yang dijatuhkan oleh sultan dalam sejarah Islam. Bagi saya apa yang disebutkan oleh Alip itu adalah kekejaman penguasa (state violence) yang telah wujud zaman berzaman sebelum adanya Facebook dan Twitter. Itu bukan inti kritikan saya.

Saya juga mengkritik cancel culture sama ada ia dilakukan oleh penyokong kiri dan kanan. Saya sebenarnya tidak mahu memberi contoh-contoh ideologikal, kerana akhirnya ia akan menjadi satu yang binari. “Oh dia ni kiri mesti bangang” atau “Oh dia ni kanan mesti bigot”. Saya hendak keluar dari kerangka binari ideologi seperti ini, kerana ia tidak bermanfaat. Namun saya ada mendapat kritikan dari golongan yang mengaku kiri (bukan Alip dalam kes ini) yang mengaku mengikut Marx tetapi mempertahankan cancel culture. Sebab itu saya memberi contoh kritikan Edward Said terhadap Marx. Saya melihat ini satu percanggahan, di mana pengikut Marx yang mengamalkan cancel culture yang menyenyapkan seseorang atas sebahagian kenyataan mereka yang bermasaalah dalam masa yang sama menerima Marx secara keseluruhan walaupun banyak tulisan Marx yang bermasalah. Saya ingin mengetengahkan percanggahan (contradiction) itu. Adakah Edward Said menjadi kanan kerana mengkritik Marx?

Saya kira Benz Ali yang lebih keras kirinya pun boleh menerima kritikan terhadap Marx tanpa perlu melompat dimana beliau menyatakan bahawa “sesiapa sahaja yang salah harus dikritik walaupun ianya bernama Marx”. Mengkritik Marx tidak menjadikan seseorang itu “cenderung mengkritik kaum kiri” seperti yang ditulis oleh Alip. Apa yang Alip tinggalkan dalam usahanya untuk menunjukkan bahawa saya “cenderung mengkritik kaum kiri” adalah dalam tulisan yang sama saya turut mengkritik John Stuart Mill. Adakah Alip ingin mengatakan Mill yang terlibat secara langsung sebagai pegawai kolonial yang menjajah India sebagai kaum kiri?

Alip mengatakan bahawa saya tujukan kritik saya kepada kiri dan tidak menyentuh kanan yang menggunakan status quo. Bukankah kolonial British yang menjajah India selama hampir 200 tahun itu adalah status quo yang menindas bangsa lain pada zaman Mill? Ini yang tidak disebut oleh Alip kerana dia hanya melihat sesuatu dari lensa ideologi. Walhal saya mengkritik budaya moden yang saya lihat anti-intelektual. Ia tetap anti-intelektual sama ada ia digunakan oleh golongan kiri atau kanan. Perbahasan saya bukan perihal ideologi, tetapi kritik terhadap budaya moden, dan contoh kiri itu adalah untuk menjawab kritikan balas dari penyokong kiri lain yang mengamalkan cancel culture, bukan terhadap kiri secara keseluruhan.

Saya tak ada masalah dengan accountability, malah saya bersetuju dengan Alip dalam hal ini. Tetapi bagi saya accountability itu harus bersifat berkadaran (proportional) dengan kenyataan yang dibuat. Adakah wajar jika satu tweet yang kita rasakan tidak bertepatan dengan idea kita, seluruh idea, pemikiran, dan kehidupan orang tersebut perlu kita tolak? Alip menulis perihal free speech dan hate speech. Saya ingin bertanya, dalam ruang perbahasan awam, siapa yang wajar menjadi arbiter untuk menentukan apa yang ditakrifkan sebagai free speech dan hate speech? Jika penghujah yang boleh menjadi arbiter, tidakkah ia akan mempunyai tendensi untuk bersifat tidak adil dan abuse kedudukannya untuk menang hujah? Atau internet troll dengan fake profile boleh menjadi arbiter?

Alip menulis “kebebasan jangan ditunggang”, saya bersetuju, kemudian saya mahu bertanya kepada Alip apa yang membuatkan cancel culture tidak akan ditunggang oleh ideolog untuk mengetengahkan ideologi mereka meskipun sesuatu itu bertentangan dengan sains dan biologi? Steven Pinker yang pernah menjadi mangsa cancel culture ada membahaskan hal ini. Bagaimana pengkaji tidak dapat menerbitkan kajian mereka, bukan kerana kajian mereka tidak betul, tetapi kerana penerbit takut ia akan menyalakan api kemarahan emosi golongan yang mengamalkan cancel culture. Akhirnya sains tewas pada emosi. Sebab itu ia bermasalah, apabila internet troll boleh menjadi arbiter, ia menjadi satu senjata untuk mengawal kebebasan bersuara dan beridea. Orang takut memberikan pendapat, bukan kerana idea mereka tidak benar, tetapi kerana takut menjadi mangsa cancel culture. Bagi Pinker, cancel culture ini mempunyai mangsa, antara mangsanya adalah golongan pemikir, intelektual, dan pengkaji.

Bagi saya, jika kita tidak bersetuju dengan sesuatu pendapat atau idea. Cara yang lebih baik adalah menuliskan kritikan, seperti yang dilakukan Alip kepada saya, bukan dengan kita cancel seseorang. Manusia itu memang tak sempurna, hatta pemikir yang disanjung seperti Karl Marx. Kita tidak dapat lari dari mengambil manfaat dari kebaikan yang datang darinya, dan menolak dan mengkritik kesalahannya. Bukan jalannya dengan cancel dan menolak secara keseluruhan.

Walaupun bagi Alip artikel saya “terlalu simplistik, cenderung memomokkan kaum kiri tanpa alasan dan hujah yang memadai, dan terlalu idealis dan bersifat status quo”, saya ingin mengucapkan terima kasih kepadanya kerana bersetuju tentang satu perkara, iaitu “cancel culture adalah toksik”. Itu sahaja sebenarnya tujuan penulisan saya, jika saya sudah dapat persetujuan itu saya telah damai, lain-lain hanyalah ranting-ranting yang bukan inti penulisan asal saya. Satu persetujuan ini sudah cukup untuk menyempurnakan tujuan penulisan saya.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana

Jika Voltaire Merupakan Pengikut Cancel Culture

January 9, 2022 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Evelyn Beatrice Hall merupakan seorang penulis yang menulis biografi Voltaire. Voltaire atau nama sebenar beliau, François-Marie Arouet merupakan seorang penulis dan ahli falsafah pada zaman pencerahan (enlightenment). Beliau merupakan seorang yang kuat memperjuangkan hak-hak sivil, dan berani mengkritik Gereja Roman Katolik semasa zamannya. Kritikan beliau membuatkan banyak karya-karya beliau disekat dan diharamkan pada zamannya.

Bagi Hall, Voltaire merupakan seorang yang kuat mempercayai bahawa setiap orang berhak memberikan pendapat, walaupun pendapat tersebut berlawanan dengan pendapat beliau sendiri. Hall menggambarkan sikap Voltaire ini dengan sebuah quote:

“I disapprove of what you say, but I will defend to the death your right to say it”.

Quote ini bukanlah berasal dari Voltaire, ia tidak akan dijumpai dalam mana-mana tulisan Voltaire walaupun orang sering mengaitkan quote ini dengan Voltaire. Sebaliknya ia adalah quote yang menggambarkan sikap Voltaire, yang ditulis oleh biografer beliau Evelyn Beatrice Hall dalam bukunya The Friends of Voltaire (1906). Bagi Hall begitulah Voltaire, sang pencerah yang sanggup mendengar hujah-hujah lawannya, memberikan mereka hak bersuara.

Anehnya, mereka yang kononnya merupakan golongan tercerah hari ini, yang mendabik dada sebagai pejuang kebebasan bersuara, tidak dapat mendengar hujah-hujah yang berlawanan dengan mereka. Malah muncul sebuah budaya untuk membatalkan suara-suara yang bercanggah dengan pendapat “golongan tercerah ini”. Saya secara peribadi dari dahulu lagi tidak gemar akan budaya membatalkan (cancel culture). Setiap kali orang tak bersetuju dengan kita, kita merasakan bahawa kefahaman dia itu offensive, atau jika seseorang itu tidak follow certain line of ideology yang kira harap dia follow, kita perlu cancel dia, unfriend, block, de-platform, pulau dan sebagainya.

Dari satu sudut, “golongan tercerah” ini kononnya memperjuangkan idea dan fahaman marginal, suara minoriti katanya, tetapi apabila ada orang yang marginal dari kefahaman mereka, tiba-tiba mereka tidak boleh terima. Kalau setiap orang yang berbeza pendapat dengan kita, kita kena cancel, akhirnya kita akan hidup dalam bubble kita sendiri. Dengar apa yang kita hendak dengar sahaja. Jadilah kita kambing ideolog, mengikut punggung pemikiran orang lain tanpa boleh berfikir dan menganalisa sendiri.

Perbezaan pendapat adalah benda biasa, jika kita rasa pendapat orang lain ofensif, pendapat kita juga mungkin ofensif untuk orang lain. Jadi macam mana? Adakah kita semua harus saling cancel-mengencel dan duduk dalam tempurung sendiri?

Bagi saya cancel culture ini budaya yang lemah, bila seseorang tidak dapat berhujah dengan kemas, mereka akan melemparkan label. “Ah, dia ni bigot”. Lalu mereka block dan retreat ke dalam bubble mereka. Seolah-olah dengan block pandangan tersebut, pandangan tersebut tiba-tiba sudah tidak wujud lagi di dalam dunia. Tidak! Ia tetap wujud, pandangan berbeza tetap akan wujud, dan orang yang hidup di dalam bubble akan hidup dalam ignorance akan kewujudannya.

Saya teringat ketika saya membaca buku tulisan Edward Said, Orientalism. Said dalam bukunya menulis dengan begitu detail sejarah prejudis Eropah terhadap bangsa Timur. Ia bukan sekadar label, tetapi analisa yang lengkap dari sudut pensejarahan, motif, literatura, lengkap dengan literal quotation dalam bahasa asal seperti bahasa Perancis dan English. Membaca naskah tersebut kita akan merasai bertapa telitinya Edward Said mengkaji pemikiran lawannya. Naskah yang beliau kaji dan selidiki bukan sahaja naskah moden, malah naskah-naskah klasik yang mungkin sudah tidak dibaca orang kini. Antara tokoh-tokoh besar yang tersenarai dalam kritikan Said adalah ahli falsafah seperti Karl Marx dan John Stuart Mill.

Said membahaskan bagaimana dalam kajian Marx terhadap pemerintahan British di India, Marx berpendapat bahawa dengan memusnahkan Asia, British dapat melaksanakan revolusi sosial yang sebenar. Bagi Said, walaupun Marx mempunyai simpati yang kuat kepada kesengsaraan manusia, namun dalam persoalan kolonial India, Marx merestui apa yang dilakukan British. Pemikiran ini menurut Said membingungkan, beliau mempersoalkan dimanakah moral dalam pemikiran Marx? Dimanakah simpati beliau kepada manusia hilang? Kemana ia hilang apabila pemikiran Orientalis menyusup masuk ke dalam pemikiran Marx? Edward Said juga mengkritik John Stuart Mill, yang terkenal dengan On Liberty dan idea Utilitarianism. Mill sendiri bekerja dengan syarikat kolonial East India Company dan mengatakan idea kebebasannya tidak terpakai kepada orang India.

Jadi adakah kita harus cancel Marx dan Mill kerana mereka pro-kolonial? Lebih kelakar adalah golongan kiri yang mengamalkan cancel culture, kenapa mereka tidak cancel Marx? Haramkan semua buku-buku Marx, de-platform dan padam semua nama beliau. Bolehkah kiri wujud tanpa Marx? Atau dalam hal ini mereka bersifat selektif dan cancel culture pujaan mereka tidak terpakai? Begitu juga dengan Mill, adakah kita harus cancel beliau dan memadamkan idea falsafah beliau yang sudah mencorak dunia kita? Jika tidak, kenapa? Jika cancel culture ini merupakan budaya intelektual, Edward Said tidak perlu menulis kritikan panjang terhadap mereka, beliau hanya perlu menulis di Twitter “I have cancelled Marx and Mill”, buat apa susah-susah tulis buku.

Bukanlah maksudnya tidak ada orang yang annoying dalam dunia ini. Berlambak. Saya sendiri kalau rasa annoying akan unfollow seseorang walaupun tidaklah sampai unfriend. Tapi saya tidak pernah membuat sebarang hebahan, pengumuman, bahawa saya telah unfollow somebody. Sebab bagi saya tindakan seperti itu langsung tidak matang. Biasanya bila saya sudah cool down saya akan follow balik orang tersebut. Saya kira ramai pemikir-pemikir besar, dunia tidak bersetuju dengan idea mereka pada zaman mereka. Tindakan mereka? Mereka tidak cancel the world, mereka ambil jalan susah untuk menerangkan idea mereka, menulis buku dan berwacana. Mereka tak ambil jalan orang-orang lemah dengan cancel the world. Sesempurna manapun ideologi kita, ketahuilah, dunia ini tak sempurna.

Voltaire penulis zaman pencerahan juga boleh menerima idea yang berbeza, namun “golongan yang mengaku tercerah” pada hari ini masih sibuk mendiamkan lawan mereka dengan cara yang langsung tidak ilmiah dan tidak intelektual. Jika Voltaire merupakan pengikut cancel culture, saya kira Evelyn Beatrice Hall akan menulis quote baru perihal perangai Voltaire, beliau akan menulis:

“I disapprove of what you say, instead of defending to the death your right to say it, I will cancel you on Twitter and block you on Facebook”.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana

Bagaimana Cara Untuk Menggunakan Facebook?

December 19, 2021 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Facebook semakin lama semakin sebati dalam kehidupan kita. Hingga kita kadangkala terfikir bagaimana kita mampu hidup tanpanya, dan bagaimana orang pada masa dahulu hidup tanpa Facebook. Facebook boleh digunakan untuk pelbagai cara dan tujuan, boleh digunakan untuk bersosial, mengikuti perkembangan kawan dan saudara mara, bergaduh, aktivisme, scam orang, berniaga, mencari maklumat, dan pelbagai lagi. Mungkin tujuan dan bentuk kegunaannya seluas imaginasi manusia.

Pada saya, Facebook muncul menggantikan laman berhubung dengan rakan-rakan selepas berakhirnya era Frienster, MySpace, dan Yahoo Messenger. Generasi baharu mungkin tidak pernah mendengar pun laman-laman sosial yang lama ini. Tetapi itulah laman untuk berhubung bagi saya semasa zaman sekolah dan selepas keluar sekolah sebelum munculnya Facebook. Selepas tamat sekolah laman tersebut menjadi medium perhubungan dengan kawan-kawan. Selain chatting, dulu juga ada ruangan forum, yang mungkin sekarang sudah pupus. Juga antara medium lain adalah dalam bentuk blog, hampir ke semua kawan-kawan saya dahulu mempunyai blog. Di blog mereka saya dapat membaca kisah terkini mereka.

Apabila masuk ke universiti, Facebook menjadi tempat yang lebih dari sekadar berhubung dengan kawan-kawan. Facebook group memudahkan pelajar bertukar bahan-bahan kuliah, memaklumkan jadual kelas, dan sebagainya. Ia juga sebagai platform untuk berbincang menyelesaikan masalah dan menganjurkan apa-apa aktiviti. Facebook group merupakan platform sentral dalam mengatur kehidupan kampus semasa saya di luar negara, bukan sekadar hal-hal kuliah dirancang disana, malah aktiviti persatuan pelajar juga banyak dibincangkan menggunakan medium ini.

Kehadiran Facebook juga menukar bagaimana informasi dihantar dan tersebar. Sehingga ada pemikir yang menyatakan bahawa “social media is the new mass media”. Banyak bahan-bahan yang sebelum ini taboo, subversif, ditekan, dan diharamkan oleh kerajaan untuk diterbitkan di media arus perdana dengan mudah disebarkan di media sosial. Kerajaan-kerajaan dunia juga ketika itu bingung bagaimana untuk mengawal media baharu ini. Ada sebahagiannya tidak dapat lagi mengekalkan legitimasi dengan kewujudan media baharu. Ada kerajaan yang jatuh, ada negara yang terjatuh dalam kancah perang saudara, malah ada juga negara yang akhirnya berhenti berfungsi sebagai negara dek kerana tiada kerajaan yang mampu mengawal sempadan negara lama. Mungkin media sosial bukan faktor utama kepada perubahan politik dunia, namun tiada siapa yang dapat menolaknya sebagai salah satu faktor perubahan ini.

Politik nasional kita sendiri banyak berubah. Perang pilihanraya bukan lagi perang siapa lagi banyak memacak bendera, tetapi siapa yang berjaya mengawal dan mengetengahkan isu di media sosial. Mereka yang berjaya menjuarai isu di media sosial akan kedepan. Maka munculah pelbagai page dan akaun politik untuk mengetengahkan isu mengikut naratif mereka. Kempen-kempen dalam talian ini begitu penting hingga parti-parti politik menyalurkan dana beribu-ribu ringgit untuk memastikan imej mereka di dalam media sosial dapat dipertahankan.

Menggunakan Facebook sebagai pentas perbahasan politik bagi individu sememangnya menarik. Namun tidak semua orang selesa dengan idea dan pandangan politik kita. Tidak sedikit ketidakselesaan itu berubah menjadi bermasam muka di alam nyata, juga menjadikan hubungan persahabatan menjadi dingin. Walhal ia hanya pandangan politik. Tidak semua orang dapat menerima perdebatan politik dilakukan dengan terbuka, mereka mungkin sudah selesa isu-isu sensitif ini dibincangkan dengan orang-orang yang sekepala dan dipercayai di kedai-kedai kopi. Generasi-generasi lama juga kadangkala kelihatan berbalah dengan generasi baharu apabila isu-isu politik ini dibincangkan dengan terbuka di media sosial. Mereka dapat melihat pandangan mereka yang selama ini dirasakan dominan menjadi lekeh apabila ia dibuka di pentas umum.

Bagi saya, selain kegunaan-kegunaan ini semua, Facebook juga boleh dimanfaatkan oleh penulis sebagai satu alat yang berguna. Facebook dapat digunakan sebagai tempat melempar dan menyimpan draf penulisan. Kerana sifatnya yang mobile, kita boleh sahaja mencatat idea dan fikiran kita bila-bila ia muncul. Penulisan di Facebook tidak perlu lengkap, ia boleh sahaja menjadi sebahagian idea yang belum dikembangkan. Idea-idea yang tergantung atau separa matang. Pembaca lain juga boleh membincangkannya, dan ini akan menambahkan lagi pemahaman terhadap idea yang dilontarkan. Kita dapat melihat idea itu diulas dari sudut-sudut orang lain. Pengalaman interaktif ini dapat mempercepatkan ketajaman dan kematangan sesuatu idea.

Penulisan-penulisan ini kemudian boleh dikumpulkan, digilap, disunting, dan dikembangkan kepada penulisan yang lebih serius. Bukan setiap masa kita boleh duduk dan menulis, jadi Facebook boleh dijadikan medium untuk menangkap idea-idea awal kita. Apabila kita punya masa untuk duduk dan fikir dengan lebih dalam, kita boleh kembali semula pada draf kita dan menggilapnya semula. Saya secara peribadi sering juga melemparkan idea-idea ke Facebook. Selepas beberapa lama, saya akan salin semula dan tambah baik untuk dimasukkan pula ke dalam blog. Jadi Facebook merupakan tempat meletakkan draf pertama, ia kemudian dikumpulkan ke dalam bank draf penulisan saya iaitu blog. Setelah itu saya akan salin semula untuk penulisan yang lebih serius seperti dicetak ke dalam bentuk buku atau artikel majalah atau zine.

Penulisan yang baik adalah penulisan yang tidak tergesa-gesa tulis Syed Hussein Alatas dalam bukunya Kita Dengan Islam Tumbuh Tiada Berbuah. Saya bersetuju akan hal ini. Ada kalanya penulisan perlu diperam sedikit, seperti jeruk, lama diperam barulah sedap. Kita mungkin ada satu idea, kita tulis dan peram, di satu masa nanti apabila pengalaman dan idea kita bertambah kita boleh kembali padanya dan nilai semula idea itu. Jadi masa merupakan kandungan yang penting dalam penulisan, lebih banyak masa yang dilabur, lebih ranum buah penulisan. Seperti sebuah puisi yang ditulis oleh Ta-Nehisi Coates yang dikongsikan oleh Angela Duckworth di bahagian kesimpulan bukunya, GRIT. Bagi Coates penulisan kita pada awalnya sememangnya buruk, kemudian kita tidur, kita bangun dan memperindahkannya, kemudian kembali tidur, kemudian bangun dan memperindahkannya lagi. Begitulah kita ulang-ulang sehingga ia menjadi satu penulisan yang indah dan ranum.

Bagi Coates, proses penulisan merupakan proses kegagalan yang berulang-ulang kali. Kita harus kembali kepada kegagalan itu, melihatnya semula, membaikinya semula, hinggalah kita berjaya mengubahnya menjadi kejayaan. Jadi dalam proses draf ini, Facebook dapat membantu kita menjadi medium merekod draf awal. Yang kemudian boleh kita kembali padanya berkali-kali hinggalah ia menjadi satu penulisan yang enak dan ranum. Selain itu ia juga boleh menjadi medan yang interaktif dalam kita menimbang sesuatu idea sebelum kita menerbitkannya dalam penulisan yang berbentuk lebih serius.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Rencana

Hubungan Orang Melayu Dengan Agama Islam Menurut Syed Hussein Alatas

November 15, 2021 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Penulisan ini membincangkan naskah bertajuk Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah tulisan Syed Hussein Alatas. Selain dari naskah yang kita bincangkan ini, Syed Hussein Alatas juga merupakan penulis karya terkenal yang bertajuk The Myth of the Lazy Native (Mitos Peribumi Malas), karya yang dirujuk oleh sarjana seperti Edward Said sebagai satu contoh revisionary history dalam kalangan sarjana Asia. Dalam pendahuluannya, Alatas memperingatkan kepada sidang pengarang dan penulis perihal pentingnya sikap tidak terburu-buru dalam menerbitkan penulisan kerana masa merupakan salah satu bahan yang penting dalam penghasilan satu penulisan yang matang.

Tujuan buku ini ditulis adalah untuk melahirkan manusia Islam yang baharu, kerana menurut beliau manusia Islam lama yang masih ada pada hari ini tidak dapat membawa umat kearah kemajuan. Apakah definisi manusia Islam yang baharu ini? Menurut beliau manusia Islam yang baharu ini adalah manusia yang sanggup menerima kemajuan dan pemikiran zaman moden, bagi mereka pintu ijtihad perlu dibuka, mereka dapat berdiskusi dan berwacana dengan tenang dan aman serta mempunyai keberanian untuk melepaskan diri dari kongkongan pemikiran kuno. Manusia Islam yang baharu bukan sekadar berteriak akan perlunya kembali kepada Al-Qur’an – kerana hal itu sudah tiada keraguan dan menjadi kewajipan bagi setiap muslim, tetapi mereka dapat menghuraikan bagaimana ia dapat dilakukan sesuai dengan peredaran zaman dan tidak terperangkap pada pendapat-pendapat lampau yang sudah tidak sesuai dengan zaman ini.

Antara manusia Islam lama yang dikritik oleh Syed Hussein Alatas adalah Maulana Abul Ala Al-Maududi dari Pakistan. Slogan kembali pada Al-Qur’an Maududi itu beliau setujui, namun penafsirannya tidak beliau persetujui. Beliau mengkritik penafsiran dan pandangan-pandangan Maududi, antaranya yang melarang wanita dilantik menjadi wakil dalam badan perundangan dan parlimen. Juga pandangan Maududi perihal larangan menghiasi rumah dengan gambar. Bagi Alatas, Maududi mewakili aliran pemikiran yang kolot dan tulisan-tulisannya bersifat propaganda.

Dari aspek ini, ada bahagian yang saya tidak berapa setuju dengan pandangan keras Alatas. Dari satu sudut, saya bersetuju bahawa pandangan yang lapuk perlu ditinggalkan. Tetapi saya kira ada tulisan mereka yang baik untuk diambil pelajaran. Alatas tidak menolak penuh tulisan Maududi, namun menurutnya ia hanya sesuai untuk mereka yang sederhana pengetahuan tentang Islam kerana karangannya tidak memperdalam ilmu pengetahuan.

Yang kedua, Alatas menggolongkan bersama Maududi tokoh-tokoh lain seperti Muhammad Qutb, Nadvi, dan Muhammad Asad. Pada Alatas mereka semua ini adalah propagandis. Ini juga tidak saya persetujui. Jika Nadvi yang dimaksudkan adalah Abul Hassan Ali Nadwi, maka pandangan Alatas ini tidak dapat saya terima. Buku Nadwi, Saviours of Islamic Spirit sangat baik dibaca oleh umat Islam, baik tua atau muda, dimana beliau menulis dengan teliti sejarah mujaddid umat, juga kritikan terhadap mereka pada zamannya. Jika Nadwi merupakan propagandis, beliau tidak akan memasukkan kritikan terhadap mujaddid umat dalam bukunya.

Bagi Syed Hussein Alatas apa yang diperlukan oleh masyarakat Islam sekarang adalah menyaring pengaruh-pengaruh Barat dengan teliti dan saksama, bukan menolaknya seratus peratus. Terutamanya dalam bidang ilmu, teknologi, dan pendapat yang berguna untuk masyarakat Islam. Proses saringan ini juga perlu membuang pemikiran-pemikiran Barat yang songsang, antara yang beliau perincikan termasuklah fahaman relativisme, nihilisme dan fahaman material Marxisme. Untuk melakukan proses saringan ini, menurut beliau cendiakawan Islam harus membaca buku-buku pemikiran Barat dan membangun kapasiti untuk menjawab penyelewengan mereka. Sikap mengambil jalan pintas dengan mengharamkan buku tanpa menjawab persoalan-persoalannya tidak akan menguatkan umat. Beliau memetik bagaimana Tan Malaka yang lahir dari keluarga Islam yang kuat agama boleh menjadi pendiri komunis di Indonesia. Bagi beliau, jika cendiakawan Islam tidak mampu menjawab persoalan Barat, Tan Malaka bukanlah orang Islam terakhir yang akan memeluk Komunisme.

Kritikan Terhadap Fahaman Relativisme

Dalam bab yang pertama, Alatas mengkritik fahaman relativisme, fahaman relativisme yang dikritik beliau adalah dalam lapangan etika dan sifat asasi manusia. Bukan lapangan relativisme lain seperti dalam bidang Fizik yang dipelopori Einstein. Antara contoh yang beliau petik adalah kebuasan dan kekejaman Nazi dan Stalin, yang mana menurut beliau adalah hasil dari pengaruh relativisme dalam ehwal politik. Menurut fahaman relativisme, tidak ada apa yang dikatakan sebagai kebenaran yang benar seluruhnya (absolute truth), yang ada adalah kebenaran menurut pandangan masing-masing. Beliau juga meninjau fahaman ini dari sudut pandang fahaman kelas seperti yang difikirkan oleh Marx (class society) – sehingga demokrasi juga didefinisikan dengan terma kelas. Dari pemikiran ini, demokrasi didefinisikan sebagai “golongan kelas penguasa yang membuka pintu kelasnya agar orang dari bawah dapat masuk menjadi sebahagian anggotanya”.

Bagi Alatas, fahaman relativisme bercanggah dengan logika, mereka melihat ayam sebagai ayam pada satu zaman, dan melihatnya sebagai kucing pada zaman yang lain. Perbahasan fahaman ini menurut beliau adalah penting untuk mengetahui apa yang perlu diubah dan apa yang perlu dikekalkan. Perubahan atau revolusi dalam masyarakat perlu mempunyai garisan yang jelas perihal hal ini, jika segalanya relatif dan hendak diubah, maka sesuatu perubahan atau revolusi boleh bertukar kepada kesengsaraan sebagaimana terjadinya pada Revolusi Perancis pada 1789. Garis jelas perlu ada supaya adanya tujuan, bukannya revolusi berterusan tak berkesudahan. Perlu ada matlamat dalam melakukan perubahan, bukan meletakkan perubahan sebagai matlamat. Contohnya jika revolusi untuk menolak kezaliman dan penindasan, jika telah tercapai kemerdekaan dan keadilan, perubahan perlu berhenti, sebaliknya usaha perlu tertumpu tentang bagaimana untuk memelihara kemerdekaan dan keadilan itu.

Perbahasan Perihal Persoalan Kemajuan Masyarakat

Pada bab yang kedua, Alatas meninjau persoalan kemajuan masyarakat. Kemajuan masyarakat mempunyai definisi yang pelbagai bergantung kepada falsafah dan kepercayaan yang mendasarinya. Pada pandangan beliau, masyarakat yang maju itu pertamanya mestilah setiap ahlinya cukup keperluan hidup harian mereka.

Antara unsur-unsur penting yang perlu ada dalam sebuah masyarakat yang maju menurut Alatas adalah adanya kesenangan dan jaminan keselamatan kepada anggotanya. Jaminan ini merangkumi nyawa, harta, dan kehormatan individu yang tidak diganggu. Perlu ada keadilan antara golongan yang hidup dalam masyarakat, saling menghormati, dan saling mengambil berat antara satu sama lain. Juga perlu adanya semangat dan usaha untuk menimbulkan nilai-nilai berharga dalam kehidupan manusia. Masyarakat yang maju juga perlu mempunyai penulis, ahli seni, ahli fikir, ahli agama, ahli siasah dan sebagainya yang tinggi mutunya. Bagi Alatas, akhlak juga merupakan komponen bagi masyarakat maju, masyarakat maju perlu tinggi akhlaknya, boleh dipercayai dan berpengetahuan.

Perjuangan untuk mencapai kemajuan masyarakat menurut Alatas tidak dapat dipisahkan dengan ideologi. Kerana setiap ideologi memahami “kemajuan” dengan erti yang berbeda-beda. Jadi kita harus duduk dan bersepakat, apa yang terangkum dalam definisi “kemajuan” menurut ideologi kita. Apabila perkara ini jelas, barulah masing-masing ahli masyarakat dapat berkerja untuk menegakkannya.

Hubungan Islam dan Kebudayaan Melayu

Menurut Syed Hussein Alatas, hubungan Kebudayaan Melayu dan agama Islam terdapat 3 jenis:

  1. Perpaduan antara Kebudayaan Melayu dan agama Islam
  2. Hubungan yang neutral dan tidak bertentangan
  3. Pertentangan antara Kebudayaan Melayu dan agama Islam

Dalam fasal ini, Alatas memilih untuk memfokuskan perbahasan beliau pada hubungan yang ketiga iaitu pertentangan. Islam merupakan sistem hidup yang luas, syumul dan menyeluruh mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia. Disebabkan sifat syumuliyah Islam ini, agama Islam akan bercampur dengan kebudayaan tempatan ke mana sahaja ia tersebar. Campuran ini mensintesiskan campuran yang bulat dan tidak dapat dipecahkan.

Objek kritikan Alatas dalam fasal ini adalah kisah dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Sikap taat kepada raja yang zalim, tidak adil, membunuh rakyat sesuka hati, tidak menghormati agama dan gila perempuan yang ditonjolkan dalam kisah-kisah orang Melayu ini menurut Alatas adalah satu penderhakaan pada Tuhan, bertentangan dengan Islam, serta tidak sesuai dengan demokrasi zaman sekarang. Ia patut dikecam sekeras-kerasnya.

Anjuran Untuk Berfikir Demi Kemajuan

Tanpa mengurangkan kepentingan faktor objektif yang menghalang kemajuan, menurut Alatas, faktor objektif ini boleh kita atasi jika kita maju dalam hal subjektif. Contohnya, jika negeri kita kurang modal untuk pembangunan (objektif), ini dapat diatasi jika pemimpinnya bijak dan rajin mencari modal (bijak dan rajin itu subjektif).

Syed Hussein Alatas berpandangan bahawa umat Islam perlu belajar dari Barat untuk maju, hubungan kita dengan ilmu dari Barat bukan perlu seratus bersifat penentangan dan penolakan. Sebaliknya ilmuan kita perlu berperanan untuk memilih dan menyaring ilmu ini untuk manfaat bangsa. Antara tokoh pemikir Islam yang selalu beliau ulang-ulang yang mengetengahkan idea perlunya sinergi antara Islam dan ilmu pengetahuan Barat adalah Syed Jamaluddin al-Afghani dan Amir Syakib Arsalan.

Rintangan Kemajuan Berfikir Dalam Masyarakat Islam

Menurut Alatas, antara kekurangan yang ada dalam “pemberi panduan agama” masa kini (ustaz, ulamak dan orang agama) adalah mereka hanya mendalami ilmu-ilmu agama dan membaca kitab-kitab lama. Mereka tidak menjadi ahli dalam ilmu zaman sekarang, tidak berkecimpung dalam urusan masyarakat atau bergiat dalam perdagangan, pentadbiran, atau lapangan perofessional. Oleh itu pandangan-pandangan mereka sempit dan berdasarkan zaman lampau yang telah berlalu.

Beliau juga mengkritik falsafah ilmu yang berlegar dalam kalangan umat Islam, terutamanya pandangan yang mendefinisikan ilmu sebagai ilmu agama sahaja. Walhal, bersenjatakan dalil-dalil Al-Qur’an, beliau menjelaskan bahawa Islam amat menitik beratkan pengetahuan tentang alam dan ilmu-ilmu kemanusiaan. Jadi tidak mungkin definisi ilmu dalam Islam hanya ilmu-ilmu agama, kerana Al-Qur’an banyak sekali menyuruh manusia melihat dan mengkaji alam. Malah menurut Alatas, ayat-ayat tentang kejadian alam ini lebih banyak di dalam Al-Qur’an berbanding ayat perihal urusan ibadah amaliyah seperti solat dan puasa. Oleh itu pandangan yang mengatakan ilmu agama lebih tinggi dari ilmu sains itu tidak tepat, kerana semua ilmu itu adalah ilmu Allah, semuanya sama tinggi dan sama penting. Dari sudut pandang ini, bagi Alatas, kitab Ihya ‘Ulumuddin tulisan Imam Ghazali tidak lebih darjatnya dari al-Muqaddimah tulisan Ibn Khaldun. Begitu juga dalam kalangan ilmuan, Profesor Abdus Salam yang menguasai fizik tidak kurang darjatnya dari Iqbal yang menguasai syair-syair tasawuf.

Kejahilan tentang ilmu pengetahuan dan teknologi juga digemari oleh pemimpin-pemimpin Islam yang rosak yang hanya mementingkan kepentingan kelas elit mereka sahaja. Apabila masyarakat menganggap bahawa dunia ini kecil nilainya dan fikiran masyarakat hanya menumpu pada akhirat, mereka akan melupakan kezaliman yang dilakukan pemimpin Islam yang rosak ini. Mereka dapat terus memerintah dengan tidak adil tanpa gugatan masyarakat yang sudah dilarikan fokus mereka untuk hanya beribadat dan memikirkan alam akhirat.

Tumbuh Tiada Berbuah: Penutupan Pintu Ijtihad

Selepas empat imam mazhab ahli Sunnah meninggal dunia, iaitu Imam Malik ibn Anas, Imam Ahmad ibn Hanbal, Imam Abu Hanifah, dan Imam Shafie, mereka mewariskan pemikiran mereka, timbul sikap dalam golongan orang alim untuk menutup pintu ijtihad. Kesannya, segala persoalan baru dirumuskan berdasarkan tetapan imam-imam yang terdahulu ini, sedang ijtihad yang bebas dari mazhab terdahulu ini tidak digalakkan. Akibatnya, ilmu hukum masyarakat Sunni tetap stagnant tidak berubah sejak 1100 tahun yang lalu. Terdapat juga faktor dan sebab lain pintu ijtihad ini ditutup, antaranya adalah sifat protektif cendiakawan Islam dalam menjaga umat dari khalifah-khalifah rosak yang mencampuri dan merosakkan keilmuan Islam. Namun bagi Alatas, walaupun ia sesuatu yang wajar dilakukan pada situasi itu dahulu, kini ia tidak lagi wajar diteruskan, ia perlu dibuka bagi menjana kemajuan umat.

Alatas kemudian membahaskan konsep tingkatan kewibawaan (hierarchy of authority). Dalam fikah contohnya, yang paling utama adalah Nabi Muhammad, kemudian sahabat yang empat, sahabat-sahabat lain, seterusnya imam-imam besar pengumpul hadis dan pendiri mazhab. Dalam konsep ini, yang terdahulu lebih besar wibawanya. Dari pemikiran ini, umat Islam kurang menghargai ilmuan yang dekat dengan zamannya. Tetapi menurut Alatas, seiring perkembangan Islam merentasi zaman dan geografi, perlu ada pemikiran baharu dalam tingkatan wibawa ini. Contohnya jika kita ingin mendalami Tauhid dan memahami kelemahan falsafah Yunani Purba dengan alasan yang logik, yang paling berwibawa dalam hal ini adalah Imam Ghazali bukan sahabat nabi Abu Hurairah. Ini tidak bermakna kita tidak menghargai Abu Hurairah. Pencapaian seseorang perlu diukur dengan bidang ilmunya, bukan jumlah tahun Hijrah semasa cendiakawan itu hidup. Di hujung bab ke-6 ini Syed Hussein Alatas akhirnya memberi makna kepada frasa “tumbuh tiada berbuah” itu. Bahawa pintu ijtihad perlu dibuka, dan umat Islam boleh memberi sumbangan kepada zamannya (buah), bukan sekadar menukil pandangan-pandangan lama.

Pesanan Alatas Buat Penulis-Penulis Islam

Dalam naskah ini, Alatas tidak mensia-siakan peluang untuk memberi nasihat buat para penulis Islam. Menurut beliau, penulis Islam perlu mengetahui dasar agama Islam dalam masa yang sama mengetahui ilmu zaman. Pandai memilih tema-tema yang penting, juga tema yang belum diberi perhatian. Mereka juga perlu ada kebolehan untuk mengolah unsur-unsur Islam dengan ilmu pengetahuan, tema, jalan cerita dan keadaan masyarakat zaman sekarang. Hal ini penting supaya kehidupan beragama itu mempunyai erti kepada manusia yang sedang hidup. Tugas penulis Islam adalah untuk menyuburkan pokok Islam dalam jiwa umat. Jika ini tidak dilakukan, generasi Islam akan menjadi pokok yang tumbuh dengan daun yang lebat tetapi buahnya tidak ada.

Hubungan Antara Islam dengan Seni dan Sastera

Dalam bab ini, Alatas memulakan perbahasan dengan persoalan falsafah atau tujuan bagi seni dan sastera. Bagi beliau tujuan sastera bukanlah sastera itu sendiri, beliau tidak bersetuju dengan falsafah “seni untuk seni”. Beliau menulis:

“Pandangan ini sebenarnya karut kerana dari segi hakikat wujud sesuatu, tujuan sesuatu itu luar dari wujudnya sendiri.”

Beliau memberikan contoh dari perkara lain. Memasak misalnya, tujuan kita memasak bukan untuk memasak, tetapi untuk menyediakan makanan. Jika pun seseorang itu ingin memaknakan apa yang dikatakan “seni untuk seni” itu sebagai tidak mempunyai apa-apa tujuan, sekadar untuk kepuasan diri. Sebenarnya “kepuasan diri” itulah yang menjadi tujuan seninya dan memandu seninya. Jadi menurut Syed Hussein Alatas, seni untuk seni itu adalah mustahil.

Bab ini mengandungi perbahasan yang sangat menarik minat saya, iaitu bagaimana untuk kita mengkategorikan sesuatu hasil kerja itu sebagai Sastera Islam? Untuk menjawab persoalan ini, Alatas mencerakinkan dua pemikiran. Beliau membahagikan dua kategori:

  1. Agama Islam – agama yang hanya diikuti oleh orang Islam
  2. Nilai-nilai Islam – bersifat universal, orang bukan Islam boleh menghidupkan nilai-nilai Islam, contohnya menjaga kebersihan dan mentaati ibubapa.

Definisi sastera Islam Alatas adalah sastera yang menguatkan ajaran Islam khusus buat umat Islam dan umum buat umat manusia. Terangkum dalam sastera Islam adalah peristiwa alam dan kejadiannya yang dihubungkan dengan Tuhan. Sastera yang menyeleweng dan melanggar ajaran Islam seperti Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu tidak boleh dianggap sebagai sastera Islam. Jika sesuatu karya dikarang oleh orang bukan Islam tetapi didalamnya membesarkan nilai-nilai Islam, maka karya itu dianggap sebagai sastera Islam. Contohnya karya yang menguatkan pendapat akan keperluan berbuat baik pada ibubapa, ini adalah nilai Islam meskipun jika ia ditulis oleh orang bukan Islam.

Tujuan sastera menurut Alatas adalah untuk memperjuangkan taraf kesedaran yang tinggi tentang persoalan hidup manusia. Bagi Alatas, sastera mempunyai musuh, musuhnya adalah yang menghalang tujuan ini tercapai. Ini termasuklah pemikiran feudalisme, pemikiran perkauman, pemikiran yang memadamkan semangat usaha orang Melayu, serta pemikiran agama yang sempit.

Manusia Baharu Dalam Masyarakat Islam

Perubahan zaman masa kini melahirkan empat jenis Muslim yang berfikiran baharu yang digelar Alatas sebagai “Manusia Islam Baharu”, dari awal beliau telah mengeluarkan orang-orang yang berfikiran seperti Maulana Abul Ala Maududi sebagai orang yang kolot dan tidak termasuk dalam manusia baharu Islam. Beliau menggunakan tokoh-tokoh politik Indonesia dalam menerangkan empat jenis manusia ini.

  1. Presiden Ahmad Sukarno (1901-1970)

Menurut Alatas, Sukarno bersungguh-sungguh mempelajari Islam semasa dalam buangan di Endeh, Flores. Beliau berusaha mendapatkan buku tulisan Syed Ameer Ali, The Spirit of Islam. Beliau adalah Manusia Baharu Islam yang sedar tentang Islam, sangat menghargainya namun tidak bergabung dengan gerakan Islam, dan tidak memusatkan usaha pemikirannya dalam lingkungan keislaman. Sukarno memilih aliran nasionalisme namun dalam soal agama berpegang teguh dengan ajaran Islam.

  • Sutan Syahrir (1909-1966)

Syahrir adalah Perdana Menteri Indonesia yang pertama. Bagi Alatas, Syahrir adalah “pokok yang terlepas dari akarnya”. Beliau boleh dikatakan Islam pada nama namun jiwanya sudah ditawan humanisme Barat dan tidak lagi memerhatikan soal-soal keislaman seperti Sukarno. Walaupun mengkritik pemikiran Syahrir, Alatas tetap bersimpati pada perjuangan beliau, dan memuji sebahagian dasar-dasar beliau yang sesuai dengan dasar Islam.

  • Ibrahim Datuk Tan Malaka (1897-1949)

Jenis manusia baharu Islam ketiga ini mendapat kritikan yang keras dan panjang oleh Syed Hussein Alatas, beliau bukan sahaja menulis kritikan beliau pada Tan Malaka, malah Hamka yang menulis pujian pada Tan Malaka dalam naskah Madilog turut dikritik dengan begitu panjang dan penuh sarkastik oleh Syed Hussein Alatas.

Hamka menulis kata pengantar bagi Madilog pada cetakan ke-5 pada tahun 1951. Di dalam kata pengantar itu Hamka memuji pemikiran Tan Malaka yang menurutnya berijtihad. Bagi Alatas ini sangat membingungkan. Bagaimana seorang komunis boleh dikatakan berijtihad? Ijtihad perlu didasari Al-Qur’an sedangkan Tan Malaka menganut fahaman dialektik materialisme Marx yang menolak Tuhan. Alatas menduga sama ada Hamka tidak membaca Madilog, kalau pun dibaca mungkin beliau tidak faham apa yang dikatakan Tan Malaka.

Tan Malaka memuji buku Karl Kautsky yang ingin mengguling kepercayaan agama, ini lebih memeningkan Alatas bila Hamka menyatakan Tan Malaka mencintai Islam. Bagi Alatas, Hamka telah mencium bunga beracun dari taman Tan Malaka.

Di manakah kedudukan Tan Malaka menurut Alatas?

Beliau menganalisa dan memetik tulisan dan ucapan Tan Malaka, dan membuat kesimpulan bahawa Tan Malaka telah meninggalkan Islam namun dia tidak membenci Islam dan masih memberikan perhatian pada Islam. Tan Malaka menganut fahaman Komunis yang berasaskan falsafah dialektik materialisme. Perhatian yang diberikan Tan Malaka terhadap Islam menurut Alatas adalah atas dasar politikal, bagi mendapatkan sokongan masyarakat kerana fahaman Komunis yang belum kukuh di nusantara. Bagi Alatas, pendapat baik Tan Malaka terhadap Islam dan Nabi Muhammad adalah muslihat halus, matlamat akhir Tan Malaka adalah menggulingkan Islam.

Tan Malaka juga melihat manusia sebagai sumber nilai baik dan buruk, bukan Tuhan, kefahaman ini berakar dari humanisme, juga faham relativisme yang dikritik Alatas pada babnya yang pertama. Strategi Tan Malaka dalam merobohkan Islam menurut Alatas bersumberkan tulisan Plekhanov, di mana strategi ini mengambil kira keadaan setempat. Namun Tan Malaka tidak boleh mengistiharkannya secara terbuka seperti Plekhanov kerana beliau menulis untuk masyarakatnya yang belum Komunis.

Walaupun mengkritik hebat fahaman dialektik materialisme Marx perihal ketuhanan, Alatas masih adil dan rasional dalam menimbang Marxisme. Bagi beliau seorang Muslim tidak boleh menjadi Marxis sejati kerana ada fahaman penolakan Tuhan dan fahaman relativisme. Namun ini tidak bererti kita tidak boleh mengambil perkara-perkara baik yang lain yang dimajukan oleh Marxisme seperti kritiknya terhadap kapitalisme dan idea-idea ekonomi. Contohnya idea membanteras kemiskinan ekonomi, ini selari dengan Islam dimana kemiskinan itu dianggap mendekatkan seseorang kepada kekafiran.

  • Syafruddin Prawiranegara (1911-1989)

Manusia Islam Baharu terakhir yang diketengahkan oleh Alatas adalah insan seperti Syafruddin – seorang yang menjadi ahli dalam satu bidang ilmu masyarakat serta berusaha mengaitkannya dengan dasar-dasar Islam. Syafruddin adalah ahli ekonomi, dan beliau membawa pemikiran Islam masuk ke dalam bidang ilmunya. Walaupun ekonomi boleh dijalankan oleh manusia, namun ekonomi tidak memberi tujuan bagi manusia berekonomi, di sini hadir peranan agama dalam memberi panduan perihal tujuan kita berekonomi. Begitu juga cara kita berekonomi, tanpa agama, ekonomi menjadi alat yang menindas, dengan agama manusia diajar takut pada Tuhan dan menghindari sikap tamak. Bagi Alatas, jenis manusia Islam baharu yang ke-4 inilah yang diperlukan masyarakat Islam untuk maju. Manusia yang mahir dengan ilmu zaman sekarang, tetapi tidak melepaskan panduan agama, ilmu dan agama itu dihubungkan.

Pencerahan Dari Cahaya Rasionalisme

Rasionalisme yang menggunakan kekuatan akal sangat diperlukan untuk membina sistem hidup agama menurut Alatas. Ia adalah alat, yang jika digunakan dengan betul dapat membawa kebaikan. Tujuan tertinggi Islam bagi manusia adalah untuk melahirkan manusia yang mempunyai karakter al-Insan al-Kamil.

Menurut Alatas, sains tidak dapat berdiri sendiri. Sebagai contoh, sains tidak dapat memberi manusia tujuan hidup, sedangkan tujuan hidup sangat penting untuk manusia. Kemajuan sains juga bagi Alatas, tidak bermakna manusia telah berjaya dari sudut moral. Saya kira apa yang diutarakan oleh Alatas ini mirip apa yang diutarakan Francis Fukuyama dalam bukunya The End of History and the Last Man. Fukuyama menyatakan bagaimana masyarakat Jerman yang begitu hebat di sudut teknologi, budaya dan falsafah pada era Nazi, merosot menjadi bangsa pembunuh yang sangat dahsyat. Bagi Fukuyama, kemajuan moral sangat penting seiring kemajuan teknologi.

Walaupun akal itu penting, akal juga mempunyai beberapa kelemahan menurut Alatas. Antaranya:

  1. Akal adalah sebahagian dari fakulti manusia. Ada fakulti lain yang kuat pengaruhnya pada manusia yang tidak dapat dipuaskan hanya dengan akal.
  2. Akal manusia mempunyai daerah yang terbatas, ia hanya boleh digunakan dalam daerah zahir.
  3. Seluruh jiwa manusia tidak bergerak hanya dengan akal. Agama bukan hanya merangkumi intelek, ia lebih dari itu, ia dapat menguatkan perasaan hidup manusia melebihi falsafah dan ilmu pengetahuan. Malah menurut Arnold Toynbee, ilmu dan falsafah itu lahir dari agama.

Pesanan Syed Hussein Alatas Buat Pemuda

Pemuda Islam tidak boleh hanya membaca buku karangan orang Islam. Sikap membaca buku dalam sudut pandang satu agama dan aliran sahaja sangat merugikan umat Islam dan tidak mengembangkan ilmu. Dalam sejarah, umat Islam tidak mempunyai ilmu falsafah pada mulanya, namun apabila Islam tersebar, mereka mempelajarinya dari sumber-sumber luar dan berjaya mengembangkannya sehingga maju. Bagi Alatas, ada golongan berfikiran kolot tidak mahu pemuda menuntut keilmuan Barat, kerana mereka takut kehilangan pengaruh dan tidak lagi dapat mengawal orang-orang muda. Bagi Alatas, untuk selamat, kita perlu belajar kedua-dua jenis ilmu, ilmu ubat-ubatan dan ilmu racun, supaya nanti dapat kita bezakan dan mengelak diri dari terkena racun.

Antara anjuran lain Alatas adalah perlunya kerjasama antara orang Islam dan Nasrani, kerana mereka mempunyai common ground dengan umat Islam terutamanya dalam soal pengiktirafan tentang wujudnya Tuhan. Anjuran beliau ini saya kira ada juga diutarakan oleh cendiakawan moden seperti Dr. Ali Ataie. Kerjasama ini bukanlah perkara baharu, ia terkandung dalam sirah. Contohnya bagaimana Nabi Muhammad SAW menyertai perjanjian Hilf al-Fudhul, dan tetap menghargainya selepas lahirnya Islam. Begitu juga peristiwa 14 rombongan bangsawan Nasrani dari Najran yang dibenarkan oleh Nabi untuk bersembahyang di Masjid Nabi walaupun berlainan agama.

Kritikan Terhadap Manifesto Pilihanraya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) 1978

Kritikan ini adalah bahagian akhir dalam naskah ini. Secara kasarnya, Alatas mengkritik manifesto PAS yang baginya terlalu umum dan tidak mendalam penerangannya perihal solusi bagi masalah yang diketengahkan. PAS cuba membawa penyelesaian masalah pengemis, namun ini menurut Alatas satu prioriti yang silap, yang harus diselesaikan adalah punca manusia mengemis iaitu pengangguran. Beliau juga mengkritik cadangan PAS untuk menghapuskan bunga dalam pinjaman. Pada pandangan beliau ini akan menjejaskan pulangan bagi Kumpulan Wang Simpanan. Namun menurut saya cadangan PAS ini merupakan cadangan yang viable, cuma mungkin tiada perincian. Contohnya hari ini, pencarum KWSP boleh memilih akaun patuh syariah.

Ada juga pernyataan Alatas yang saya kira ganjil jika ditinjau secara umum. Beliau menulis:

“Memang Islam melarang riba. Riba yang dilarang adalah riba dalam hubungan yang menindas, yang melampaui batas, yang menghisap darah perseorangan.”

Persoalan yang bermain di fikiran saya, adakah wujud jenis riba yang tidak menindas?

Kesimpulan

Pada pandangan saya, banyak pendapat-pendapat Alatas dalam buku ini bersifat serdehana. Antara perbahasan yang saya kira sangat bernas adalah perihal falsafah sains – tentang bagaimana sains dapat menerangkan bagaimana alam berfungsi namun tidak dapat menjelaskan tujuannya. Klasifikasi yang dibuat oleh Alatas perihal agama Islam dan nilai-nilai Islam dalam memberikan definisi pada Sastera Islam juga menurut saya sangat mencerahkan, ia adalah satu konsep yang dicerakinkan dengan baik dan mudah difahami. Alatas merupakan pemikir yang menyambung aliran fikir Syed Jamaluddin al-Afghani dan Amir Syakib Arsalan, perihal perlunya umat Islam mengharmonikan ilmu pengetahuan Barat dengan asas-asas agama Islam untuk maju ke hadapan. Pandangan ini mengetengahkan idea bahawa umat Islam perlu menjadi moden tapi tidak perlu menjadi Barat. Kritikan yang dibuat ke atas Tan Malaka dan Hamka bagi saya adalah yang paling mencuit hati terutamanya pilihan bahasa sarkastik yang digunakan. Namun kritikan beliau bukanlah kritikan kosong, beliau dengan teliti membedah pemikiran Tan Malaka juga sumber-sumber yang digunakannya. Satu persatu dipersembahkan dan diterangkan di mana masalahnya. Secara dasarnya saya bersetuju akan anjuran Alatas bahawa perlunya kita melahirkan “manusia Islam baharu” yang berani berfikir, menguasai ilmu zaman dan menghubungkannya dengan agama Islam.

Buku ini ada dibincangkan bersama Kelab Jurnalisma Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, boleh ditonton disini. Untuk mendownload artikel ini, klik disini.

Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Reviu Buku

  • « Previous Page
  • 1
  • …
  • 5
  • 6
  • 7
  • 8
  • 9
  • …
  • 18
  • Next Page »

Recent Posts

  • Pasca Membaca Buku Pascabaca
  • Analisis Permulaan Perang Amerika Syarikat-Israel Ke Atas Iran Pada Bulan Jun 2025
  • Retelling the Story of the Great Majapahit Empire
  • Nota PBAKL: Prosa Klise Yang Benar, Kehidupan Adalah Satu Perjalanan
  • Koleksi Refleksi di IABF: Merayakan Seni dan Sastera

Archives

Copyright © 2025 The Independent Insight