Saya kelakar setiap kali mendengar orang mengatakan pilihanraya kali ini adalah mother of all election. Seolah-olah mereka tidak pernah melihat ke belakang. Setiap kali pilihanraya ia diulang, mother of all election, sehingga ia hilang makna dan kesan. Pemilihan kali ini (PRU-15) nampak hambar. Mungkin kerana tiada isu sentral atau kontroversi besar seperti 1MDB. Yang beria hanya ahli politik, calon dan page troll, rakyat lain sepertinya tak ambil pusing. Saya melihat ini adalah perkembangan positif, sekurang-kurangnya jika angin politik bertiup hambar tak adalah bergema tanggapan-tanggapan bahawa masyarakat kita sedang menghadapi polarisasi.
Dahulu ada orang beranggapan bahawa jika kita menuju dual-party system, negara kita akan menjadi lebih stabil. Saya tidak berapa setuju dengan dual-party system, bukan kerana persoalan kestabilan, tetapi bagi saya jika kita menyempitkan ruang demokrasi kepada hanya dua pilihan ini berlawanan dengan falsafah demokrasi yang menggalakkan pemilihan. Bagi saya jika kita ada lebih banyak pilihan kita lebih demokratik. Hari ini kita melihat lanskap politik telah berubah dengan lebih drastik. Tiada lagi penguasaan satu parti yang bersifat hegemonik, tiada lagi unsur binari dan dualistik, tetapi kita punya pilihan yang meriah. Banyak muka-muka baharu. Pastinya kemeriahan ini tidak menjamin kestabilan, kerana itu bukan objek demokrasi. Objek demokrasi adalah kebebasan memilih.
Mungkin bagi sesetengah orang, sifat tidak ambil pusing rakyat akan pemilihan kali ini menggambarkan pudarnya kepercayaan rakyat pada politik. Namun ia tidak harus bersifat begitu pesimistik. Mungkin juga rakyat sudah matang dan mereka sedar politik itu bukan sekadar pilihanraya, calon, atau parti. Tapi yang lebih penting adalah polisi yang pro-rakyat. Apa juga baju yang dipakai pemimpin tidaklah begitu penting. Bagus juga kita tidak berhiruk pikuk soal pilihanraya ini. Tidak perlu berbalah. Tiba masa nanti kita pangkahlah mengikut cita rasa masing masing. Atau rosakkan sahaja undi. Undi rosak juga adalah sebahagian dari undi, kita mengundi untuk tidak memilih.
Zaman Post-Idealisme
Kalau kita meninjau dekad-dekad yang lalu, baik di zaman 70-an, 80-an, dan 90-an, kita melihat zaman ini merupakan zaman idealisme. Zaman dimana banyak perubahan digerakkan idea-idea baharu. Jika dalam politik dunia, kita melihat adanya pergolakan yang serius yang berlaku antara kem neo-liberal melawan gerakan kiri. Zaman ini melihatkan kelahiran pelbagai jenis parti, ia adalah zaman revolusi. Dikotomi yang sering kita baca pada zaman ini adalah perlawanan antara kapitalisma menentang sosialisma dan komunisma (kanan vs kiri).
Namun hari ini kita melihat pertentangan ideologi ini hampir tidak ada. Di negara kita, pertandingan antara kiri melawan kanan ini tidak wujud dalam arena politik. Ia mungkin ada di dalam penulisan, artikel, buku dan sebagainya, namun ini tidak diterjemah dalam dunia siyasah. Mengapa? Antara sebab yang disebutkan oleh ahli sejarah Perry Anderson adalah kesilapan gerakan kiri dalam memahami gerakan kanan seperti kapitalisma. Kapitalisma boleh berubah dan adapt dengan zaman baharu. Menjadikan apa yang diserang gerakan kiri semakin tidak relevan. Oleh itu kita lihat parti-parti dan gerakan kiri ini mati perlahan-lahan secara organik tanpa tekanan.[1]
Begitu juga kita lihat dalam gerakan-gerakan Islam, ada antaranya yang gagal mengambil kira perubahan zaman ke dalam retorik perjuangan mereka. Oleh itu mereka sentiasa akan menyerang perkara yang tidak ada sehingga mereka menjadi tidak relevan.
Di Malaysia secara khusus, kita melihat dengan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihanraya Umum Ke-14 menyaksikan cairnya unsur-unsur dualistik dan binari dalam politik tempatan. Ia menampakkan kecacatan serius dalam praxis perjuangan, suatu dimensi yang berbeza dari dimensi oratori dan retorik. Begitu juga dengan bergabungnya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ke dalam kerajaan baharu selepas runtuhnya PH yang mentadbir selama 22 bulan. Segala retorik-retorik dan slogan yang dilaungkan selama ini ternyata tidak berjaya dibuktikan dengan polisi yang praktikal.
Sebab itu saya merasakan kita sekarang berada di zaman post-idealisme dan pilihanraya kali ini bukan lagi pilihanraya idea kerana segalanya telah terpampang di depan mata bahawa idea-idea ini tidak berjaya diterjemahkan ke lapangan. Inilah antara sebab saya memberi nama buku saya Lalang di Lautan Ideologi, kerana kepercayaan saya pada mana-mana ideologi telah cair dan tidak lagi berakar.[2]
Saya juga merasakan ideologi seringkali menghilangkan objektiviti. Seperti yang dikatakan oleh Gabor Mate, seorang doktor dan juga penulis. Menurut Mate ideologi itu fitrahnya memasukkan dan menapis keluar. Ia menjadikan manusia itu melihat apa yang sesuai dengan ideologinya dan mengetepikan yang lain. Oleh itu seseorang itu mempunyai blindspot. Saya berpendapat, jika seseorang itu mahu menjadi orang akademik dan objektif, maka dia perlu melepaskan dirinya dari sebarang ideologi.[3]
Fitrah Manusia Untuk Berpecah
Ramai orang melihat bahawa perpecahan itu merupakan sesuatu masalah. Melayu dikatakan bermasalah kerana berpecah kepada pelbagai parti. Saya merasakan pernyataan seperti ini ada sedikit kebenaran tetapi bukanlah keseluruhan kebenaran. Hakikatnya manusia itu diciptakan secara individu. Kita diberikan oleh Allah, Tuhan sekalian alam, fikiran dan perasaan masing-masing. Walaupun masyarakat mempunyai kesan yang besar kepada individu, ini tetap tidak dapat merobohkan individualiti yang memisahkan antara satu manusia dan manusia lain.
Menurut E. H. Carr, apabila lahir sahaja seorang manusia ke muka bumi, dunia akan berkerja untuk membentuknya dan mengubahnya dari organisma biologi kepada sebuah unit sosial. Manusia dibentuk oleh masyarakat dimana dia dilahirkan, dia mewarisi bahasa dan budaya masyarakatnya.[4] Usaha membentuk mana-mana organisasi, baik politik, sosial, ekonomi, atau apa sahaja, adalah usaha untuk mencairkan sedikit individualiti untuk membentuk sebuah unit yang baharu. Bagi saya usaha ini mustahil akan berjaya seratus peratus.
Jadi sebenarnya perpecahan itu adalah satu fitrah, ia adalah satu proses yang berlaku apabila gagalnya usaha untuk mencairkan identiti individu ke dalam sebuah acuan hegemonik yang sama. Sebab itu kita melihat perpecahan ini berlaku dimana-mana dan di setiap masa dalam sejarah. Kerana manusia tidak akan berjaya memadamkan individualiti mereka. Oleh itu saya melihat perpecahan, atau anarkisme itu merupakan fitrah manusia. Penciptaan manusia secara individual itu mewujudkan perasaan penolakan terhadap hierarki dan pemerintahan.
Mencari Masalah Perjuangan
Jika kita mengatakan bahawa kita berada di zaman yang bukan lagi memperjuangkan idea, kerana idea-idea ini semuanya telah diuji dan terbukti tidak dapat berdiri sendiri. Dan jika kita mengatakan bahawa perpecahan itu satu fitrah. Adakah bermaksud kita harus bersikap individualistik dan tidak bergabung dengan mana-mana perjuangan?
Jika ditanyakan kepada saya, apa masalah yang ada di dalam negara ini yang seharusnya diangkat, bagi saya ada dua perkara. Pertama yang berbentuk material. Kedua adalah yang berbentuk abstrak. Perkara material yang harus kita perjuangkan pada pandangan saya adalah keperluan material bagi rakyat biasa untuk hidup. Perkara asas ini adalah perkara pertama yang perlu diselesaikan. Memastikan setiap rakyat di negara ini mempunyai nasi untuk disuap ke mulut, atap untuk berteduh, dan keselamatan untuk membesarkan keluarga. Termasuk dalam hal ini adalah soal pendidikan. Memastikan tiada anak-anak yang tercicir dari sekolah kerana faktor kewangan.
Kedua adalah pembentukan satu identiti nasional. Ini mungkin agak cliché namun saya merasakan ia penting kerana ia dapat mengurangkan ketegangan antara kaum dan mewujudkan masyarakat yang lebih egalitarian dan saksama. Ia tidak boleh bersifat drastik dan radikal kerana ia akan dimusuhi, ia perlu bersifat gradual dan organik. Tetapi usaha ke arahnya mesti ada. Jika tidak kita tidak akan dapat memecahkan prasangka antara kita.
Kesimpulan
Oleh itu bagi saya, dalam pilihanraya ini, pilihan kita mestilah orang-orang yang mempunyai dua agenda ini. Dia mestilah menyelesaikan persoalan material rakyat. Kerana tiada guna ideologi dan falsafah yang melangit andai rakyat mati kebuluran. Ideologi tidak mengenyangkan perut bayi-bayi yang dahagakan susu. Kemudian harus ada kesedaran, kesediaan, dan perancangan untuk bergerak kepada sebuah identiti nasional untuk membolehkan negara ini bergerak mengharungi cabaran seterusnya.
Sesi Soal-jawab
- Ada pandangan yang mengatakan bahawa gerakan Islam telah sampai ke syilingnya, dan sekarang kita berada di zaman post-Islamisme yang mementingkan maqasid. Adakah perkara ini bagus atau tidak?
Saya merasakan bahawa perubahan itu akan terjadi sama ada kita suka atau tidak. Islam memang sentiasa berubah sepanjang zaman kerana itu sifatnya, sifatnya yang akan sentiasa sesuai sepanjang zaman. Sama ada perubahan itu digelar post-Islamisme atau apa sahaja bagi saya itu sekadar semantik. Contoh yang saya gemar akan hal ini adalah fatwa-fatwa Yusuf Qardhawi yang sering kali mendahului zaman. Pada mulanya disifatkan sebagai pandangan minoriti, namun banyak yang akhirnya diterima oleh majlis-majlis fatwa seluruh dunia.[5]
- Apakah pandangan anda tentang matlamat politik gerakan haraki yang diasaskan Imam Hassan Al-Banna?
Setiap gerakan Islam mempunyai ijtihad masing-masing tentang apa yang perlu dibangunkan dalam umat. Ada yang melihat pada pembangunan jiwa, ekonomi, dan politik. Masing-masing sebenarnya saling melengkapi antara satu sama lain dan tidak boleh dianggap berlawanan. Masing-masing mempunyai hujah masing-masing. Jadi saya merasakan perjuangan untuk kuasa itu tidaklah salah, kerana ada pandangan yang melihat tanpa kuasa orang Islam akan ditindas. Dalam politik global hari ini kita melihat bagaimana might makes right, inilah yang memberi Amerika Syarikat kuasa hegemoni. Jadi tidaklah salah jika kita mahu membina semula kekuasaaan agar kita boleh mempertahankan diri.
- Apakah bentuk identiti nasional untuk negara ini? Bagaimana ia mampu disesuaikan dengan semua termasuk Sabah dan Sarawak?
Saya berpandangan perkara yang paling mudah untuk dijadikan asas kepada identiti nasional adalah bahasa. Berbeza dengan agama, kita boleh menguasai dan mempunyai lebih dari satu bahasa.
- Ada yang berpandangan kita perlu utamakan pendidikan berbanding kuasa. Namun tak semua orang mampu mendapat akses pada pendidikan.
Saya berpandangan pendidikan bukanlah apa yang kita dapat di sekolah dan universiti sahaja. Tidak dinafikan pendidikan formal itu penting dalam mengabsahkan ilmu kita. tetapi ini tidak bermakna orang yang tidak berijazah itu tidak berilmu. Jadi bagi saya pendidikan itu tetap yang utama, sama ada kita berkuasa atau tidak ia perlu berjalan. Kita perlu mendidik dan juga dididik. Pendidikan akan sentiasa wujud dalam kehidupan jika kita mahu belajar. Ia adalah proses sepanjang hayat. Dan hari ini teknologi telah mendemokrasikan pendidikan. Banyak syarahan-syarahan akademik yang lebih berkualiti dapat kita dengari di Youtube berbanding dewan kuliah universiti. Jadi saya kira walaupun akses pendidikan formal itu terbatas, akses kepada pendidikan sebenar tiada batasan, batasannya hanya keinginan dan usaha.
[1] Conversations with History: Perry Anderson. Video diterbitkan oleh University of California Television (UCTV) pada 01 Februari 2008. Pautan: https://www.youtube.com/watch?v=jjTKsRfVM9Q
[2] Syed Ahmad Fathi. Lalang di Lautan Ideologi. Cukong Press, 2022.
[3] A conversation with Gabor Maté and Ilan Pappé. Exeter Institute of Arab and Islamic Studies, 18 Mac 2022. (Pautan: https://www.youtube.com/watch?v=mVT4WY-IzZ4&t=3526s , lihat minit 14:50)
[4] E. H. Carr. What is History? Penguin Books, 1964. Hlm. 31
[5] The Life, Legacy, and Thought of Shaykh Dr. Youssef al Qaradawi. Kuliah oleh Dr. Yasir Qadhi. Pautan: https://www.youtube.com/watch?v=QBJaA6SAk_E
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di lautan Ideologi (2022) and Dua Sayap Ilmu (2023). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.