12 tahun yang lalu, seorang teman dari Indonesia pernah menyuruh saya untuk membaca buku ini. Secara jujur, Bumi Manusia ini merupakan karya pertama yang saya baca dari Pramoedya Ananta Toer, bahkan karya pertama yang saya baca didalam bahasa Indonesia. Karya ini merupakan satu daripada empat novel yang diletakkan dibawah satu tajuk khusus iaitu “Tetralogi Pulau Buru”, diterbitkan disekitar tahun 1980-1988.
Kepada yang tidak mengenali Pramoedya, beliau merupakan seorang penulis dari Blora, Jawa Tengah. Beliau telah menghasilkan lebih dari 50 karya yang dicetak di dalam pelbagai bahasa. Pada zaman pemerintahan Soeharto, beliau pernah ditahan sebagai tahanan politik selama 10 tahun di Pulau Buru dan beliau tidak dibenarkan untuk menulis. Karya Bumi Manusia ini awalnya diolah oleh beliau dalam bentuk cerita lisan sesama tahanan yang lain sehingga beliau dibebaskan pada 1979 dan akhirnya diterbitkan buat pertama kali pada tahun 1980.
Tetralogi Pulau Buru ini menonjolkan watak utama seorang pemuda yang bernama Tirto Adhi Soerjo atau dikenali sebagai “Minke”. Dalam karya Bumi Manusia ini, Minke digambarkan sebagai anak pribumi yang lahir didalam keluarga bangsawan. Pada zaman itu, anak-anak bangsawan pribumi lebih cenderung di hantar oleh keluarga mereka untuk belajar di sekolah Belanda.
Minke digambarkan sebagai seorang yang pandai menulis dan hasil tulisannya sering dimuat naik di dada akhbar milik Belanda pada ketika itu walaupun tulisannya banyak berkisar tentang ketidakadilan terhadap bangsa pribumi Jawa. Beliau juga sering mempersoalkan sebahagian bangsa pribumi yang mendapat layanan berbeza dizaman kolonial Belanda hanya kerana mereka mempunyai darah Belanda.
Minke akhirnya bertemu dan berkahwin dengan seorang gadis berdarah Belanda-Pribumi bernama Annaliese Mellema. Hubungan mereka diuji dengan pelbagai konflik dan Pramoedya jelas menggambarkan kehidupan pribumi di zaman kolonial Belanda yang sangat ditindas sehingga mencetuskan zaman Kebangkitan Nasional dikalangan rakyat pribumi.
Buku ini pernah diharamkan pada 1981 kerana dituduh menerapkan ideologi Marxisme-Leninisme. Pada pendapat peribadi saya, tuduhan itu adalah sangat tidak tepat dan hanyalah alasan untuk mengekang kesedaran nasionalisme. Pada tahun 2005, Bumi Manusia telah dicetak kembali di Indonesia, bahkan diterbitkan juga di dalam 33 bahasa. Karya ini juga telah diolah dalam bentuk filem dan boleh ditonton di Netflix (This Earth Of Mankind).
Pramoedya Ananta Toer, Bumi Manusia
Kalau kemanusiaan tersinggung, semua orang yang berperasaan dan berfikiran waras ikut tersinggung, kecuali orang gila dan orang yang berjiwa kriminal, biarpun dia sarjana.
Related Posts
Part time independent writer and podcaster from Sarawak, Malaysia.