Sejak kebelakangan ini, isu yang membabitkan agama Islam dan negara kita semakin hangat diperdebat oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia; baik yang beragama Islam mahupun yang bukan Islam. Ada yang berpendapat bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam atas alasan negara ini dibangunkan oleh majoriti penduduk yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Tak kurang juga ada yang mengatakan bahawa negara ini bukanlah sebuah negara Islam tetapi hanya meletakkan agama Islam ini sebagai agama rasmi negara. Persoalannya, sejauh mana boleh kita ukur definisi Islamnya sesebuah negara? Apakah dasar-dasar yang boleh kita lihat supaya boleh kita simpulkan bahawa negara ini adalah sebuah negara Islam?
Pada umumnya, majoriti ahli sosiologi berpendapat bahawa setiap tindak-tanduk dan keputusan harian yang dibuat seseorang individu adalah secara tidak langsung dipengaruhi oleh kepercayaannya sendiri. Di penghujung tahun 2001, ahli akademik seperti Bernard Lewis dan Robert Barro telah berusaha untuk mengkaji hubung kait antara agama dan keadaan ekonomi, perundangan, dan pembangunan sosial bagi sesebuah negara. Namun hasil kajian tersebut tidak boleh dikatakan sebagai satu kesimpulan yang kukuh disebabkan beberapa limitasi. Sebagai contoh, Islam dihukumi berdasarkan apa yang dibuat oleh masyarakat Muslim dan bukan merujuk kepada ajaran Islam sebenar yang berpandukan Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.
Untuk menjawab persoalan ini, Prof. Hossein Askari, selaku pakar ekonomi dari Universiti George Washington telah menulis satu tesis yang bertajuk “How Islamic are Islamic Countries” pada 2010 untuk mengkaji kebarangkalian sesebuah negara dalam mengamalkan ajaran Islam dan sejauh mana negara itu mengamalkannya.
Sesetengah berpendapat bahawa jika sesebuah negara itu mengenal pasti diri mereka sebagai sebuah republik yang dibina atas ajaran agama yang khusus, maka negara tersebut boleh dikatakan beridentiti agama itu sendiri. Misalnya seperti Iran, Pakistan dan Arab Saudi yang dikatakan sebagai negara Islam kerana negara-negara ini merupakan antara negara terawal yang terbentuk berdasarkan agama Islam. Terdapat tujuh buah negara yang mengisytihar bahawa mereka adalah negara Islam (Afghanistan, Bahrain, Iran, Mauritania, Oman, Pakistan, Yaman) dan dua belas negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara (Algeria, Bangladesh, Mesir, Iraq, Kuwait,Libya, Malaysia, Maldives, Maroko, Qatar, Tunisia, Emiriah Arab Bersatu).
Untuk mengkaji sejauh mana nilai keislaman di sesebuah negara, Prof. Askari telah menetapkan garis panduan yang dikenali sebagai Indeks Islamicity. Secara dasarnya, indeks ini dirangka berdasarkan dua panduan utama dalam ajaran Islam iaitu Al-Quran dan juga sunnah Nabi Muhammad SAW lalu dikembangkan lagi dengan mengambil juga Ijma’ para mujtahid dan juga Qiyas. Kompilasi indeks ini seterusnya digunakan untuk menilai beberapa aspek sesebuah negara seperti ekonomi, sistem cukai, sistem perbankan, pemansuhan kemiskinan, pengagihan pendapatan, sistem perundangan, pengurusan sumber semula jadi, code of conduct terhadap masyarakat bukan Islam, penjagaan anak dan hak manusia dan sivil bagi lelaki dan wanita.
Dengan berpandukan indeks tersebut, beliau telah mengkaji 208 buah negara yang dipecahkan kepada beberapa kumpulan seperti negara berpendapatan tinggi, sederhana dan rendah, negara OECD dan bukan OECD, negara OIC dan bukan OIC, dan negara Teluk Parsi.
Berikut adalah senarai 10 negara teratas yang menduduki carta Indeks Islamicity:
- New Zealand
- Luxembourg
- Ireland
- Iceland
- Finland
- Denmark
- Canada
- United Kingdom
- Australia
- Netherland
Hasil kajian tersebut amat memeranjatkan kerana tidak ada sebuah negara pun yang sinonim sebagai sebuah negara Islam berada di tempat sepuluh teratas dengan Malaysia berada di tempat ke-38. Jika anda tertanya-tanya bagaimana pula dengan Arab Saudi yang terkenal itu, ia berada di kedudukan lebih bawah di tempat ke-131.
Pada pandangan peribadi saya, hasil kajian Prof. Askari ini boleh dikatakan agak legit kerana kajiannya adalah berdasarkan ajaran Islam yang sangat umum dan tidak berat sebelah, bertepatan dengan cara hidup dan fitrah manusia sejagat. Persoalannya, mengapa hal sedemikian boleh berlaku? Adakah ini menunjukkan bahawa negara yang majoritinya bukan Islam mengamalkan ajaran dan didikan Islam lebih baik dari kita?
Sumber
- Askari, Hossein (2010) “ How Islamic are Islamic Countries? ” (Global Economy Journal, Vol. 10, Issue 2)
- Askari, Hossein (2006) “ Middle East Oil Exporters: What Happened To Economic Development? ” (United Kingdom: Edward Elgar).
- Barro, Robert (2004) “ Spirit of Capitalism: Religion and Economic Development ”, Harvard Intl Review: Religion
- Iannaccone, Laurence R. (1998) “Introduction to the Economics of Religion”, (Journal of Economic Literature, Vol. 36, No.3).
Part time independent writer and podcaster from Sarawak, Malaysia.