The Independent Insight

Giving truth a voice

  • Email
  • Facebook
  • Flickr
  • Instagram
  • Phone
  • Twitter
  • Vimeo
  • YouTube
  • Berita
  • Politik
  • Ekonomi
  • Teknologi
  • Reviu
    • Reviu Buku
    • Reviu Filem
    • Reviu Muzik
  • Rencana
  • Podcast
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami

Kapal Van der Wijck – Benar Atau Sekadar Mitos?

August 1, 2020 By Mel Van Dyk

S.S Van der Wijck
Credit : Ships Nostalgia

Sejarah

Kapal Van der Wijck sangat sinonim dengan salah satu karya tulisan Hamka, iaitu Tenggelamnya Kapal Van der Wicjk yang di terbitkan pada 1939. Karya ini begitu popular pada waktu itu bukan hanya kerana plotnya yang sangat menyentuh perasaan malah pernah menjadi kontroversi kerana dikatakan sebuah plagiat dari karya Jean-Baptiste Alphonse yang berjudul Sous les Tilleuls.

Tenggelamnya Kapal Van der Wijck, karangan Hamka.

Namun, adakah kapal Van der Wijck ini merupakan kapal sebenar atau hanya sekadar rekaan dari Buya Hamka?


Carel Herman Aart van der Wijck.

Jawapannya ya, kapal ini memang wujud di dunia nyata. Kapal Van der Wijck ini merupakan sebuah kapal penumpang yang dimiliki oleh syarikat Belanda, Koninklijke Paketvaart Maatschappij (KPM) Amsterdam. Nama kapal ini diambil sempena nama Gabenor Jeneral Hindia-Belanda yang ke-56 iaitu Carel Herman Aart van der Wijck yang berkhidmat dari tahun 1893 hingga 1899.

Kapal ini dibina pada tahun 1921 di Maatschappij Fijenoord N.V. Rotterdam. Seperti kapal-kapal lain pada zaman itu, kapal Van der Wijck ini merupakan kapal yang menggunakan enjin wap. Kapal ini juga mempunyai panjang 97.5 meter, lebar 13.4 meter, dan tinggi 8.5 meter disamping mampu membawa 60 orang penumpang kelas pertama, 34 orang penumpang kelas kedua dan kira-kira 1000 penumpang biasa.

Rekod Llyods Register of Shipping, 1930-31

Tragedi Westgat

Pada 20 Oktober 1936, kapal ini dijadualkan untuk berlayar dari Surabaya ke Tanjung Priok. Mengikut laporan akhbar Pandji Poestaka yang bertarikh 23 Oktober 1936, kapal ini dikemudi oleh B.C Akkerman selaku kapten kapal pada waktu itu. Menurut akhbar yang lain, kapal Van der Wijck ini juga dilaporkan membawa kira-kira 250 orang penumpang berserta kargo yang terdiri dari kayu dan besi ketika mula berlayar dari Surabaya.

Setelah beroperasi selama 15 tahun, akhirnya kapal ini tenggelam kira-kira 22 batu nautika di sebelah barat laut Surabaya, di kawasan yang dikenali sebagai Westgat. 8 buah pesawat jenis Dornier Seaplane yang berupaya untuk mendarat di permukaan air telah dikerahkan untuk usaha mencari dan menyelamat disamping dibantu oleh bot-bot nelayan tempatan yang berhampiran.

Lokasi S.S Van der Wijck tenggelam pada 22 Oktober 1936.

Menurut akhbar The Queenslander yang bertarikh 22 Oktober 1936, seramai 153 penumpang telah berjaya diselamatkan manakala 70 penumpang dilaporkan hilang.

Keratan akhbar Australia, The Queenslander.

Sebuah persidangan telah diadakan di Betawi oleh lembaga perkapalan pada waktu itu untuk menyiasat punca kemalangan ini. Keupayaan Kapten B.C Akkerman menjadi salah satu faktor yang dipersoalkan pada waktu itu kerana beliau hanya sempat mengendalikan S.S Van der Wijck selama 2 minggu sahaja sebelum tragedi malang ini.

Namun hasil siasatan lanjut membuktikan bahawa tahap kompetensi kru kapal dan keadaan kapal itu sendiri berada dalam keadaan baik dan bukanlah penyebab kemalangan itu berlaku. Menurut Llyods Register of Shipping, tragedi Van der Wijck ini disebabkan oleh faktor cuaca dan angin kencang.

Tugu peringatan di Pelabuhan Brondong.

Sebuah tugu telah didirikan di Pelabuhan Brondong demi memperingati jasa para penyelamat masih boleh dilihat hingga hari ini.

Mel Van Dyk

Part time independent writer and podcaster from Sarawak, Malaysia.

Filed Under: Rencana

Bumi Manusia

July 30, 2020 By Mel Van Dyk

12 tahun yang lalu, seorang teman dari Indonesia pernah menyuruh saya untuk membaca buku ini. Secara jujur, Bumi Manusia ini merupakan karya pertama yang saya baca dari Pramoedya Ananta Toer, bahkan karya pertama yang saya baca didalam bahasa Indonesia. Karya ini merupakan satu daripada empat novel yang diletakkan dibawah satu tajuk khusus iaitu “Tetralogi Pulau Buru”, diterbitkan disekitar tahun 1980-1988.

Kepada yang tidak mengenali Pramoedya, beliau merupakan seorang penulis dari Blora, Jawa Tengah. Beliau telah menghasilkan lebih dari 50 karya yang dicetak di dalam pelbagai bahasa. Pada zaman pemerintahan Soeharto, beliau pernah ditahan sebagai tahanan politik selama 10 tahun di Pulau Buru dan beliau tidak dibenarkan untuk menulis. Karya Bumi Manusia ini awalnya diolah oleh beliau dalam bentuk cerita lisan sesama tahanan yang lain sehingga beliau dibebaskan pada 1979 dan akhirnya diterbitkan buat pertama kali pada tahun 1980.

Tetralogi Pulau Buru ini menonjolkan watak utama seorang pemuda yang bernama Tirto Adhi Soerjo atau dikenali sebagai “Minke”. Dalam karya Bumi Manusia ini, Minke digambarkan sebagai anak pribumi yang lahir didalam keluarga bangsawan. Pada zaman itu, anak-anak bangsawan pribumi lebih cenderung di hantar oleh keluarga mereka untuk belajar di sekolah Belanda.

Minke digambarkan sebagai seorang yang pandai menulis dan hasil tulisannya sering dimuat naik di dada akhbar milik Belanda pada ketika itu walaupun tulisannya banyak berkisar tentang ketidakadilan terhadap bangsa pribumi Jawa. Beliau juga sering mempersoalkan sebahagian bangsa pribumi yang mendapat layanan berbeza dizaman kolonial Belanda hanya kerana mereka mempunyai darah Belanda.

Minke akhirnya bertemu dan berkahwin dengan seorang gadis berdarah Belanda-Pribumi bernama Annaliese Mellema. Hubungan mereka diuji dengan pelbagai konflik dan Pramoedya jelas menggambarkan kehidupan pribumi di zaman kolonial Belanda yang sangat ditindas sehingga mencetuskan zaman Kebangkitan Nasional dikalangan rakyat pribumi.

Buku ini pernah diharamkan pada 1981 kerana dituduh menerapkan ideologi Marxisme-Leninisme. Pada pendapat peribadi saya, tuduhan itu adalah sangat tidak tepat dan hanyalah alasan untuk mengekang kesedaran nasionalisme. Pada tahun 2005, Bumi Manusia telah dicetak kembali di Indonesia, bahkan diterbitkan juga di dalam 33 bahasa. Karya ini juga telah diolah dalam bentuk filem dan boleh ditonton di Netflix (This Earth Of Mankind).


Kalau kemanusiaan tersinggung, semua orang yang berperasaan dan berfikiran waras ikut tersinggung, kecuali orang gila dan orang yang berjiwa kriminal, biarpun dia sarjana.

Pramoedya Ananta Toer, Bumi Manusia

Mel Van Dyk

Part time independent writer and podcaster from Sarawak, Malaysia.

Filed Under: Reviu Buku

Dilema Negara Islam

December 20, 2019 By Mel Van Dyk

  • Statistik Negara Islam. Sumber

Sejak kebelakangan ini, isu yang membabitkan agama Islam dan negara kita semakin hangat diperdebat oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia; baik yang beragama Islam mahupun yang bukan Islam. Ada yang berpendapat bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam atas alasan negara ini dibangunkan oleh majoriti penduduk yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Tak kurang juga ada yang mengatakan bahawa negara ini bukanlah sebuah negara Islam tetapi hanya meletakkan agama Islam ini sebagai agama rasmi negara. Persoalannya, sejauh mana boleh kita ukur definisi Islamnya sesebuah negara? Apakah dasar-dasar yang boleh kita lihat supaya boleh kita simpulkan bahawa negara ini adalah sebuah negara Islam?

Pada umumnya, majoriti ahli sosiologi berpendapat bahawa setiap tindak-tanduk dan keputusan harian yang dibuat seseorang individu adalah secara tidak langsung dipengaruhi oleh kepercayaannya sendiri. Di penghujung tahun 2001, ahli akademik seperti Bernard Lewis dan Robert Barro telah berusaha untuk mengkaji hubung kait antara agama dan keadaan ekonomi, perundangan, dan pembangunan sosial bagi sesebuah negara. Namun hasil kajian tersebut tidak boleh dikatakan sebagai satu kesimpulan yang kukuh disebabkan beberapa limitasi. Sebagai contoh, Islam dihukumi berdasarkan apa yang dibuat oleh masyarakat Muslim dan bukan merujuk kepada ajaran Islam sebenar yang berpandukan Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Untuk menjawab persoalan ini, Prof. Hossein Askari, selaku pakar ekonomi dari Universiti George Washington telah menulis satu tesis yang bertajuk “How Islamic are Islamic Countries” pada 2010 untuk mengkaji kebarangkalian sesebuah negara dalam mengamalkan ajaran Islam dan sejauh mana negara itu mengamalkannya.

Sesetengah berpendapat bahawa jika sesebuah negara itu mengenal pasti diri mereka sebagai sebuah republik yang dibina atas ajaran agama yang khusus, maka negara tersebut boleh dikatakan beridentiti agama itu sendiri. Misalnya seperti Iran, Pakistan dan Arab Saudi yang dikatakan sebagai negara Islam kerana negara-negara ini merupakan antara negara terawal yang terbentuk berdasarkan agama Islam. Terdapat tujuh buah negara yang mengisytihar bahawa mereka adalah negara Islam (Afghanistan, Bahrain, Iran, Mauritania, Oman, Pakistan, Yaman) dan dua belas negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara (Algeria, Bangladesh, Mesir, Iraq, Kuwait,Libya, Malaysia, Maldives, Maroko, Qatar, Tunisia, Emiriah Arab Bersatu).

Untuk mengkaji sejauh mana nilai keislaman di sesebuah negara, Prof. Askari telah menetapkan garis panduan yang dikenali sebagai Indeks Islamicity. Secara dasarnya, indeks ini dirangka berdasarkan dua panduan utama dalam ajaran Islam iaitu Al-Quran dan juga sunnah Nabi Muhammad SAW lalu dikembangkan lagi dengan mengambil juga Ijma’ para mujtahid dan juga Qiyas. Kompilasi indeks ini seterusnya digunakan untuk menilai beberapa aspek sesebuah negara seperti ekonomi, sistem cukai, sistem perbankan, pemansuhan kemiskinan, pengagihan pendapatan, sistem perundangan, pengurusan sumber semula jadi, code of conduct terhadap masyarakat bukan Islam, penjagaan anak dan hak manusia dan sivil bagi lelaki dan wanita.

Dengan berpandukan indeks tersebut, beliau telah mengkaji 208 buah negara yang dipecahkan kepada beberapa kumpulan seperti negara berpendapatan tinggi, sederhana dan rendah, negara OECD dan bukan OECD, negara OIC dan bukan OIC, dan negara Teluk Parsi.

Berikut adalah senarai 10 negara teratas yang menduduki carta Indeks Islamicity:

  1. New Zealand
  2. Luxembourg
  3. Ireland
  4. Iceland
  5. Finland
  6. Denmark
  7. Canada
  8. United Kingdom
  9. Australia
  10. Netherland

Hasil kajian tersebut amat memeranjatkan kerana tidak ada sebuah negara pun yang sinonim sebagai sebuah negara Islam berada di tempat sepuluh teratas dengan Malaysia berada di tempat ke-38. Jika anda tertanya-tanya bagaimana pula dengan Arab Saudi yang terkenal itu, ia berada di kedudukan lebih bawah di tempat ke-131.

Pada pandangan peribadi saya, hasil kajian Prof. Askari ini boleh dikatakan agak legit kerana kajiannya adalah berdasarkan ajaran Islam yang sangat umum dan tidak berat sebelah, bertepatan dengan cara hidup dan fitrah manusia sejagat. Persoalannya, mengapa hal sedemikian boleh berlaku? Adakah ini menunjukkan bahawa negara yang majoritinya bukan Islam mengamalkan ajaran dan didikan Islam lebih baik dari kita?

Sumber

  • Askari, Hossein (2010) “ How Islamic are Islamic Countries? ” (Global Economy Journal, Vol. 10, Issue 2)
  • Askari, Hossein (2006) “ Middle East Oil Exporters: What Happened To Economic Development? ” (United Kingdom: Edward Elgar).
  • Barro, Robert (2004) “ Spirit of Capitalism: Religion and Economic Development ”, Harvard Intl Review: Religion
  • Iannaccone, Laurence R. (1998) “Introduction to the Economics of Religion”, (Journal of Economic Literature, Vol. 36, No.3).
Mel Van Dyk

Part time independent writer and podcaster from Sarawak, Malaysia.

Filed Under: Ekonomi

Ada Apa Dengan Puisi?

December 15, 2019 By Mel Van Dyk

A modern painting of Wallada by Jose Luis Munoz Luque. Source

Alhamdulillah, selepas berhasilnya buku yang dapat kami terbitkan pada awal bulan lalu, saya menunggu-nunggu kalau-kalau ada di kalangan sahabat dan pembaca untuk bertanya dan mengkritik apa sahaja yang terkandung di luar dan di dalam buku itu.

Tiada kritikan setakat ini, mungkin para pembeli masih belum habis membaca atau tidak tahu kepada siapa kritikan itu harus di kirimkan. Malah, muncul pula soalan-soalan yang secara jujurnya tidak saya duga yang diajukan kepada saya sendiri.

Ada sahabat yang bertanya, mengapa memilih puisi berbanding corak penulisan yang lain. Tiada jawapan yang ampuh yang dapat saya kembalikan yang setimpal kekuatan soalan itu. Lalu apa yang mampu saya katakan cuma mungkin belum ada rezeki untuk mencuba yang lain.

Namun dari perasaan saya yang mendalam ini, pertamanya bagi saya puisi ini begitu unik dan indah. Kadang kala ayat yang pendek dan semacam mudah itu mampu melahirkan bermacam perasaan di benak ribuan orang yang membacanya.

Saya ambil contoh petikan dari puisi Pablo Neruda :

“So I wait for you like a lonely house

till you will see me again and live in me.

Till then my windows ache.”

Pablo Neruda, Sonnet LXV

Kedua, bagi saya puisi ini mampu merapatkan jurang keterbatasan manusia sama ada dari segi jarak, waktu mahupun budaya. Pernahkah kita terfikir bagaimana tulisannya Rumi, seorang pemuisi Parsi yang hidup pada kurun ke 12, namun namanya masyhur di serata dunia hingga kini. Walaupun karyanya telah diolah bahasa ke bermacam bahasa, namun keindahan yang Rumi tinggalkan di bait-bait puisinya tetap utuh.

Puisi yang baik mampu meninggalkan kesan kepada pembacanya. Malah ia mampu melangkaui zaman dan waktu. Sebagai contoh karyawan terkenal seperti Dante, Shakespeare,, Hamka, Wallada al-Mustakfi masing-masing di ruang waktu yang berlainan namun yang pasti hari ini orang-orang memuji dan mencari tulisan-tulisan mereka.

Mel Van Dyk

Part time independent writer and podcaster from Sarawak, Malaysia.

Filed Under: Rencana

Misteri Artifak Anglo-Saxon

December 6, 2019 By Mel Van Dyk

Helmet Sutton Hoo

Pada tahun 1926, Frank dan Edith Pretty yang baru berkahwin pada ketika itu telah membeli sebidang tanah di Sutton Hoo yang terletak di selatan England. Sutton Hoo merupakan kawasan yang menggabungkan sebahagian tebing Sungai Deben, kawasan perkampungan kecil Suffolk dan sebahagian bandar kecil Woodbridge. Oleh kerana kedudukan geografinya yang strategik, kawasan ini telah dijadikan laluan masuk ke Anglia Timur di akhir zaman pemerintahan Rom pada kurun ke-5. 

Penduduk setempat percaya bahawa Sutton Hoo ini mempunyai pelbagai kisah aneh termasuklah Edith Pretty sendiri. Selepas kematian suaminya pada tahun 1937, beliau mengambil keputusan untuk memulakan proses ekskavasi bersama pihak muzium Ipswich. 

Basil Brown yang pada ketika itu merupakan pembantu ekskavasi muzium Ipswich telah bersetuju untuk bekerjasama dalam projek Edith Pretty. Pada mulanya Brown berpendapat bahawa artifak yang ada di kawasan itu mungkin sudah lama dijumpai dan dicuri oleh pemburu harta yang lain. Namun sangkaannya meleset. Pada 1939, beliau telah berjaya menemukan sebuah artifak kapal kayu sepanjang 80 kaki di sebuah kawasan ekskavasi yang dinamakan sebagai Tumulus One.

Basil Brown

Berita itu turut menarik minat seorang ahli arkeologi, Charles Phillips dari Universiti Cambridge untuk turut serta mengkaji dengan lebih mendalam di kawasan itu. Hasil kajiannya menemukan beberapa bukti yang menunjukkan bahawa tapak itu telah dicerobohi lebih awal oleh pemburu harta yang lain. Namun, sebahagian besar artifak masih kekal terpelihara.

Ahli arkeologi dari Universiti Cambridge, Charles Phillips di tapak Tumulus One

Sebanyak 263 artifak yang terdiri daripada senjata perang, barangan perak dan syiling emas telah berjaya di temukan. Namun, artifak yang paling menarik perhatian pelbagai pihak ketika itu adalah sebuah helmet yang unik, yang tidak pernah ditemukan di tanah England sebelum itu. Kajian awal telah menyangkal teori yang mengatakan helmet itu adalah tinggalan orang Viking di England, tetapi ianya merupakan khazanah tinggalan kerajaan lama Anglo-Saxon, iaitu masyarakat yang berhijrah dan mendiami kawasan Britain pada kurun ke-5.  

Helmet Sutton Hoo itu menjadi lambang kemegahan rakyat Britain. Edith Pretty telah menyerahkan penemuan yang berharga itu kepada Muzium British di London. Untuk memastikan artifak itu selamat semasa perang dunia kedua, ia telah disimpan dengan rapi di dalam sistem kereta api bawah tanah di London.

Sejak dari penemuan itu, kawasan Sutton Hoo telah dikaji dengan lebih meluas oleh para pengkaji sejarah dan beberapa ekspedisi ekskavasi telah dijalankan. Pelbagai khazanah telah berjaya dijumpai. Bukan sahaja tinggalan kerajaan Anglo-Saxon, malah ada artifak yang dapat dirumuskan sebagai tinggalan Empayar Byzantine dan Timur Tengah. Ini memberikan pemahamam baru dalam merungkai hubungan perdagangan antara kerajaan Anglo-Saxon dan tanah besar Eropah.

Antara yang menarik dari penemuan di Sutton Hoo ini, ia seolah-olah mempunyai persamaan dengan sebuah puisi Inggeris lama yang dikarang pada kurun ke-8 yang bertajuk Beowulf. Puisi tersebut menceritakan tentang upacara pengebumian seorang wira berketurunan diraja Denmark bernama Scyld Scefing, yang disemadikan didalam kapal bersama harta-hartanya kerana mengikut kepercayaan mereka, seseorang itu perlu disemadikan bersama alatan dan harta untuk mereka menempuhi kehidupan selepas mati. Namun, para pengkaji tidak bersetuju dengan teori itu kerana tidak ada bukti kukuh yang dapat mengaitkan artifak yang di temukan dengan puisi lama itu. 

Petikan puisi “Beowulf”

Para pengkaji gagal menemukan bukti bahawa adanya manusia yang disemadikan bersama artifak kapal tersebut ekoran keadaan struktur tanahnya yang berasid tinggi yang mungkin telah melenyapkan sebarang bukti. Namun, satu teori muncul mengatakan bahawa tinggalan khazanah tersebut mungkin kepunyaan Raja Rædwald yang merupakan pemerintah Anglia Timur berdasarkan garis masa pemerintahannya yang bertepatan dengan usia khazanah tersebut.

Para sejarahwan tidak menolak teori tersebut walaupun Raja Rædwald merupakan pemerintah Anglia yang pertama menerima ajaran Kristian, bercanggahan dengan artifak-artifak yang ditemukan yang penuh dengan ciri-ciri paganisme. Mereka bersepakat bahawa pada watu itu, tradisi pagan Eropah sedang mengalami transformasi ke arah dunia baru Kristianiti. Namun, pemilik asal helmet Sutton Hoo ini kekal menjadi misteri hingga kini.

Mel Van Dyk

Part time independent writer and podcaster from Sarawak, Malaysia.

Filed Under: Rencana

Sekularisme dan Islamisasi Malaysia

July 8, 2019 By Mel Van Dyk

Kemunculan Sekularisme Moden

Enlightenment Age, Gabriel Lemonnier

Teori sekularisme wujud apabila terjadinya cubaan pemisahan agama Kristian dari urusan harian oleh pemikir dan ahli falsafah Barat dan penolakan terhadap ajaran Taurat pada abad ke-18 (zaman pembaharuan Eropah). Sekularisme terus menular dengan pantas selepas negara Barat menyaksikan kemajuan sains dan teknologi yang dianggap lebih relevan dari ajaran dan pandangan gereja yang karut dan tidak masuk akal. 

Namun begitu, agama-agama tetap berkembang bukan sahaja di kalangan negara Barat, malah di negara Timur, walaupun berhadapan dengan penentangan idea yang kuat dari kumpulan sekularis. Ini kerana agama masih lagi memainkan peranan penting demi memenuhi tuntutan rohani manusia. 


Radikal Sekularisme 

Menurut fahaman yang lebih radikal, sebarang bentuk kepercayaan dan agama perlu ditolak dari kehidupan kerana ia bertentangan dengan akal dan logik. Nilai agama perlu dipisahkan dari sistem pentadbiran dan pengurusan atas alasan agama mempunyai banyak nilai yang karut dan tidak masuk akal. Golongan sekularis ini seringkali membandingkan keadaan Eropah semasa Zaman Gelap yang penuh penindasan terhadap rakyat oleh Gereja yang mendapat sokongan penuh oleh raja-raja Eropah yang mendakwa menjadi wakil tuhan. 

Pada sekitar tahun 1400M hingga 1800M, tiga Mahkamah Penyiasatan (Inquisition Court) telah ditubuhkan oleh tribunal Gereja Roman Katolik untuk menyiasat dan menghukum golongan yang dituduh menentang ideologi Gereja Katolik. Seramai 340,000 orang telah dihukum mati dan hampir 32,000 telah dibakar hidup-hidup, termasuklah ahli sains termasyhur seperti Jurdano Branos hanya kerana beliau memperkenalkan teori kewujudan planet-planet lain selain Bumi.

Begitu juga dengan Nicolaus Copernicus dengan idea di dalam bukunya yang bertajuk “On the Revolutions of the Celestial Spheres” (1543) yang mengatakan bahawa matahari adalah pusat bagi sistem solar dan bukannya bumi seperti mana ajaran Gereja Katolik. Idea yang sama diambil oleh Galileo Galilei lalu berkembang menjadi teori heliosentris yang mengatakan bahawa bumi bergerak mengelilingi matahari. 

Teori ini di tentang hebat oleh Gereja Katolik pada masa itu kerana bertentangan dengan ajaran Kitab Bible yang menyatakan bahawa:  “Tuhan telah menciptakan dunia ini, dan ia tidak boleh bergerak selama-lamanya” (Psalm 104:5). Akhirnya Galileo dihukum secara “Villa Arrest” hingga ke penghujung hayatnya selepas mengaku bersalah dan menarik balik teorinya. 

Prinsip Sekularisme

George Holyoake

Menurut George Holyoake di dalam bukunya yang bertajuk “The Principle of Secularism” (1870), terdapat beberapa prisip utama yang di ketengahkan beliau yang menjadi panduan golongan sekularis hingga kini seperti : 

  1. Sains sebagai panduan hidup Manusia. Holyoake menyatakan bahawa hanya sains dan logik patut dijadikan panduan dalam kehidupan.
  2. Memperbaiki kehidupan dengan cara kebendaan dan mengukur kebajikan manusia mengikut hukum utilitarian.
  3. Apa sahaja yang baik adalah baik untuk dilakukan sama ada mempunyai kebaikan atau tidak. 
  4. Prinsip moral liberal untuk membolehkan manusia mencapai matlamat tersendiri.

George Holyoake dengan jelas berpendapat bahawa agama patut diasingkan. Beliau menegaskan bahawa kehidupan sosial dan agama merupakan dua perkara berbeza dan tidak mungkin boleh bergerak selari.

Sekularisme di Malaysia

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, 1966

Menurut kajian Haslinda Hasan (UM, 2000), di Malaysia, sekularisme telah dibawa masuk menerusi beberapa tahap sejarah tertentu. Antaranya ialah melalui penjajahan, kemerdekaan dan pemodenan. Tiga tahap sejarah ini adalah alat atau mekanisme utama sekularisme di Malaysia.

Hal yang berkaitan dengan agama merupakan isu yang besar dan sensitif di Malaysia kerana lebih dari 55 peratus rakyat di negara ini merupakan penganut agama Islam. Maka disebabkan itu, Islam dijadikan agama rasmi persekutuan atas kehendak majoriti orang Melayu yang  disuarakan melalui UMNO yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam usaha memerdekakan Malaya pada tahun 1957. Gagasan pembangkang masa itu yang dipimpin oleh Partai Rakyat Malaya (yang lebih berpengaruh daripada Parti Islam Se-Tanah Melayu PAS) juga tidak membantah. Namun, faktanya adalah Malaya tidak langsung di iktiraf sebagai sebuah kerajaan Islam. Atas faktor inilah yang menggerakkan sebahagian golongan konservatif Melayu yang mahu Malaya di jadikan sebagai sebuah kerajaan Islam.

Pengaruh Timur Tengah

Ulama Alam Melayu abad ke-20

Era kebangkitan Islam yang berlaku di negara kita pada lewat 70-an berkait rapat dengan lahirnya golongan-golongan ilmuan dari Mesir, Pakistan, Syria, Tunisia dan beberapa negara dari Timur Tengah. Pada ketika itu, pengaruh penentangan masyarakat Arab dan Parsi terhadap kerajaan mereka semasa perang dingin sangat kuat dikalangan pelajar Melayu di sana. Mereka merasakan proses modenisasi telah mengabaikan nilai-nilai Islam. Apabila mereka pulang ke tanah air, maka bermulalah era kebangkitan Islam di negara ini.

Gerakan kebangkitan Islam di negara ini juga dipacu oleh fahaman Gerakan Islah yang berlaku di Timur Tengah yang menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup. Istilah pembaharuan agama atau Islah al-Din merujuk kepada pembaharuan cara berfikir dan cara hidup umat Islam. 

Revolusi Iran 1972 juga menjadi faktor kebangkitan Islam secara global dan sedikit sebanyak mempengaruhi cara pemikiran gerakan Islam di Malaysia seperti Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh al-Hadi, dan Syeikh Abu Bakar Al-Asy’ari.

Proses Islamisasi Malaysia

Semasa proses Islamisasi pada awal 1980-an, PAS mengambil tindakan drastik dengan mengusir pemimpinnya, Datuk Asri Muda kerana dianggap sebagai pemimpin yang lemah dan tidak radikal. PAS ketika itu dilihat berubah dari parti politik yang berteraskan agama kepada parti nasionalis Melayu, lalu mengakibatkan PAS kehilangan sokongan orang ramai. Pada 1982, Dewan Ulamak PAS melantik Yusuf Rawa bagi menerajui kepimpinan PAS, sekali gus menyaksikan PAS kembali menjadi parti berteraskan agama yang lebih radikal.  

Manakala UMNO juga mempunyai dasar Islamisasi tersendiri. Antaranya seperti konsep Islam Hadhari (Islamic Civilazation) yang diperkenalkan oleh Tun Abdullah Badawi, prinsip wasatiyyah sebagai penghubung antara etnik berbilang kaum di Malaysia, Indeks Syariah Malaysia sebagai tanda ukur komitmen negara dalam mengurus tadbir berlandaskan prinsip Maqasid Syariah, dan terkini adalah hubungan kerjasama UMNO-PAS dibawah konsep penyatuan ummah.

Biarpun usaha penyatuan ummah antara UMNO dan PAS masih dalam fasa terlalu muda, namun tidak dinafikan bahawa kerjasama ini merupakan satu sejarah baru dalam dunia politik Malaysia khususnya buat orang Melayu. Mahupun begitu, penyatuan ummah ini juga tidak akan mengabaikan kuasa politik bukan Melayu seperti MCA dan MIC dari komponen Barisan Nasional dan juga Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang terdiri dari ahli bukan Melayu. 

Jalan Terbaik

Sistem demokrasi Malaysia tidak perlu diselarikan dengan sekularisme dengan apa jua alasan sekali pun. Prinsip sekularisme ini bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian kepada masalah penindasan dan perpecahan rakyat yang sering diperkatakan, malah ideologinya tidak akan pernah sesuai untuk kebanyakkan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Kita tidak mahu nasib anak bangsa dicaturkan oleh sesetengah pihak demi kepentingan peribadi. Apa yang kita perlukan adalah dasar penyatuan pada skala yang lebih besar yang bukan sahaja melibatkan orang Melayu, malah seluruh etnik dan bangsa yang lain dengan  berpandukan pada Perlembagaan Persekutuan demi kestabilan sosio-politik Malaysia. 

Mel Van Dyk

Part time independent writer and podcaster from Sarawak, Malaysia.

Filed Under: Politik

Durian Mas Hajah Hasmah

June 28, 2019 By Mel Van Dyk

Credit – Butterkicap

Awal pagi tadi aku menerima satu notifikasi link Facebook dari Ajo The Stroller. Aku ingat update pasal kebun dia tapi ini lagi true punya informatif ; sejarah durian.

Masa aku berbual dengan Ajo di telefon tempoh hari, beliau ada memberitahu aku berkenaan hal durian IOI. Katanya durian ni pahit-pahit manis dan sedap. Jadi, secara kebetulan semalam aku ke pasar malam Kelang Lama. Ada seorang pakcik dengan anak lelakinya yang menjual durian pelbagai gred yang bagi aku selalunya susah nak jumpa di kawasan sekitar Kulim ni. Jadi aku pun cuba sebiji durian IOI yang Ajo sarankan tu. Ternyata rasanya sama seperti apa yang Ajo bagitahu. Tahulah aku yang Ajo ini merupakan pemuda yang jujur dan benci berkata dusta.

Apakah sebenarnya durian IOI ini?

Dari mana pula asal usul dan susur galurnya?

Mengikut link yang aku terima dari Ajo, hasil posting dari Khairul Azri ni, ianya ringkas menunjukkan siapa dan bagaimana terhasilnya baka durian IOI yang terkenal ini.

Hajah Hasmah Haji Hashim

Pendaftaran baka D168 (Durian Mas) oleh Hajah Hasmah

Baka durian D168 ataupun lebih mesra dikenali dengan nama durian IOI ini telah didaftarkan pada tahun 1989 oleh Hajah Hasmah Haji Hashim dari Muar, Johor. Aku yakin yang Hajah Hasmah ini bukanlah pengusaha durian yang calang-calang, malah beliau merupakan inventor dalam penghasilan baka durian.

Apa yang menariknya dengan durian D168 ini, ia mempunyai isi yang tebal berwarna kuning ke-orenan. Bagi aku, apa yang membuatkan durian jenis ini begitu unik adalah rasa pahit di hujungnya yang kalau kita tahu, ada sesetengah penggemar durian diluar sana mahukan rasa manis dan pahit pada isi durian. Bak kata pakcik yang jual semalam :

Ada manisnya dan ada pahitnya ; sedang-sedang belaka.

Pakcik Durian, Kelang Lama
Foto lama durian mas (D168)

Kepada yang membaca dan curious, bolehlah pergi cari dan cuba sendiri sementara musim durian masih ada.

Mel Van Dyk

Part time independent writer and podcaster from Sarawak, Malaysia.

Filed Under: Rencana

Mematah Monopoli Musang King

June 26, 2019 By Mel Van Dyk

-Bernama

Semalam aku berbual panjang di telefon dengan Ajo The Stroller, sahabat lama dari Klang. Aku kenal Ajo ni pada tahun 2013, bila aku mula bekerja di sebuah syarikat perkapalan di Pulau Indah, Klang. 

Seingat aku, beberapa bulan lepas kami ada berbual mengenai hal cucuk tanam. Ceritanya, aku cuba untuk offer Ajo ni kerja di company aku tapi ditolak mentah sebab katanya dia ada wawasan baru – nak jadi petani moden. Jadi, semalam agak lama  juga kami berbual tentang hal industri pertanian ni. 

Ajo ada bagitau aku yang dia dalam proses untuk menyewa tanah seluas 10 ekar di Jerantut untuk dijadikan dusun durian. Katanya nak tanam Musang King. Katanya dalam satu ekar tanah boleh memuatkan hampir 40-50 pokok dan setiap pokok mengeluarkan hasil purata dalam  50 biji. Jika dikira secara mudah, tanah berkeluasan 10 ekar mampu menampung hampir 500 pokok durian dengan anggaran hasil sebanyak 250,000 biji durian setiap kali musim durian. 

Bagi aku yang tidak tahu menahu dalam hal durian ni memang nampak mudah. Tapi aku yakin yang proses untuk menunggu pokok matang, dan kos untuk membangunkan dusun berkeluasan 10 ekar begitu sudah pasti penuh dugaan dan cabaran. 

Lepas tu aku bertanya soal marketing dan jangkaan pendapatan. Jawapan yang diberikan Ajo sangat memeranjatkan aku. Katanya dia bercadang untuk mengurangkan RM 10 dari harga pasaran. Contohnya kalau harga Musang King jatuh pada harga RM 30 sekilo, Ajo akan jual RM 20 sekilo. Bila ditanya apakah rasionalnya strategi marketing macam tu, dengan yakin Ajo menjawab 


Aku nak patahkan monopoli harga durian yang dah berzaman ni supaya orang kampung boleh beli Musang King tanpa beban”

Ajo, 2019


Memang padu. Kalau makwe-makwe Klang dengar, nescaya Ajo akan merajai hati mereka dengan begitu mudah. Syabas Ajo The Stroller dan semoga terus  maju jaya!

Mel Van Dyk

Part time independent writer and podcaster from Sarawak, Malaysia.

Filed Under: Rencana

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

May 2, 2019 By Mel Van Dyk

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT di atas nikmatnya yang melimpah ruah buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Penantian kita kepada Saiyidus Syuhur hanya berbaki 3 hari lagi. Sebagai umat Islam, kita seharusnya berasa gembira dengan kedatangan satu bulan yang penuh dengan barakah sebagai tanda kasih dan cinta dari Allah SWT kepada hamba-hambanya.

Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Seandainya manusia mengetahui keistimewaan Ramadhan, nescaya mereka ingin supaya sepanjang tahun itu adalah Ramadhan.”

Sabda Nabi Muhammad SAW di atas jelas menunjukkan bahawa bulan Ramadhan ini adalah bulan yang mulia dan istimewa bagi seluruh umat Islam. Sedangkan ada diantara kita yang merasa terbeban dengan tuntutan ibadah puasa yang bakal menjelma. Apakah kita mahu tergolong dikalangan orang yang zalim dan kufur pada nikmat Allah SWT?

Sebagai seorang hamba yang tiada daya, kita sering kali lalai dan tidak pernah terlepas dari melakukan kesilapan. Di dalam kita berusaha untuk menjadi seorang hamba Allah yang taat dan patuh pada suruhannya, ada kalanya jasad dan rohani ini tetap terikat dengan dosa. Maka perlulah kita sedar bahawa bulan Ramadhan ini merupakan satu nikmat dan peluang yang dikurniakan Allah untuk kita memohon ampun kepadanya disamping mengubah diri untuk menjadi seorang mukmin yang soleh.

 Daripada Abu Hurairah RA lagi bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Apabila sampai bulan Ramadhan, pintu-pintu syurga semua dibuka, pintu-pintu neraka pula ditutup dan diikat serta dibelenggu syaitan dan iblis.” HR Bukhari & Muslim.

Sama-sama kita perbanyakkan amal di sepanjang bulan Ramadhan ini. Semoga kita semua dilindungi dan diredhai Allah sentiasa.

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan.

Mel Van Dyk

Part time independent writer and podcaster from Sarawak, Malaysia.

Filed Under: Rencana

Surat Dari Praha

April 23, 2019 By Mel Van Dyk

IMDG Rating : 7.3/10
Author Rating : 8.5/10

Sebuah filem oleh Angga Dwimas Sasongko dan diterajui oleh Julie Estelle dan Tio Pakusadewo yang saya rasa antara filem bergenre historical & love terbaik dari Indonesia. Pembawaan watak yang begitu menyerlah dari Tio, selaku seorang sarjana nuklear yang puluhan tahun bekerja hanya sebagai janitor, membuatkan filem ini penuh dengan emosi yang berjaya disampaikan ke jiwa penonton.

Plotnya berkisar tentang hubungan kekeluargaan yang pudar, penolakan Orde Baru Suharto dan survivability sekelompok nasionalis di bumi Prague.

Mel Van Dyk

Part time independent writer and podcaster from Sarawak, Malaysia.

Filed Under: Reviu Filem

  • « Previous Page
  • 1
  • 2
  • 3
  • 4
  • 5
  • 6
  • Next Page »

Recent Posts

  • Ulasan Buku: Feudalisme: Sejarah dan Persejarahan
  • Dar al-Suhyuni: Apabila Ulama Islam Menjadi Neo-Orientalis
  • Alip Moose: “Beginilah Bila Bercakap Tak Tahu Apa-Apa”
  • Pendekatan Dalam Memahami Falsafah Barat Menurut Pandangan Pemikir Islam
  • Naquib al-Attas: Kritikan, Pengalaman dan Syarahan

Archives

Copyright © 2025 The Independent Insight