Saya mula mengenali penulis adalah pada tahun 2008, iaitu ketika kami sama-sama mengikuti program persediaan untuk ke Rusia. Setahun kemudian kami melanjutkan pelajaran ke Saint Petersburg dan menghabiskan masa selama 4 tahun disana. Di sepanjang waktu itu, saya tidak begitu mengenali beliau dan begitu juga beliau tidak begitu mengenali saya. Mungkin personaliti kami yang begitu berbeza (Penulis adalah ketua pelajar kami dan pengerusi usrah yang outgoing, manakala saya pula seorang introvert-metalhead yang penuh amarah dan tidak peduli dengan dunia sekeliling pada waktu itu). Disebalik kontra itu, ada satu persamaan antara kami yang tidak kami sedar sehinggalah berjumpa kembali di alam pekerjaan; kami masing-masing suka membaca.
Jika diingat kembali, titik dimana kami betul-betul bersemuka dan berbual adalah mungkin di suatu petang ketika saya pulang ke rumah dari kuliah. Masuk sahaja ke bilik, penulis sudah berada di dalamnya dan dia sedang membelek-belek buku yang saya letakkan di tepi tingkap.
Ketika itu banyak buku berkenaan perang; perang yang melibatkan Rusia ketika dibawah pemerintahan Joseph Stalin khususnya kerana subjek ini menjadi subjek ‘interest’ saya pada ketika itu. Selepas saya bertanyakan tujuan kenapa beliau berada di bilik saya itu, jawabnya ringkas sahaja, hendak belajar bermain gitar. Sungguh aneh dan saya mulanya ingatkan beliau sekadar melawak namun penulis ada datang ke bilik saya lagi selepas itu sebanyak dua kali untuk belajar kord gitar sebelum lenyap tanpa khabar.
Sehingga kini, sudah hampir 15 tahun saya mengenali penulis namun banyak perkara yang mungkin saya tidak tahu sehinggalah saya membaca naskah yang bertajuk Dua Sayap Ilmu ini.
Membaca dan menulis bukanlah perkara asing bagi beliau kerana sebelum ini beliau telah berjaya menerbitkan beberapa buah buku yang membuatkan pembaca untuk berfikir secara kritis terhadap falsafah dan ideologi yang diketengahkan hasil dari menyelidik dan memerhati keadaaan sekeliling yang berlaku terutamanya di negara ini. Berbeza dengan reviu yang lepas, saya tidak akan mengulas dengan terperinci tentang apa yang beliau tulis di dalam buku ini kerana saya lihat sudah banyak yang telah menulis reviu untuk buku ini dengan sangat panjang lebar. Oleh itu saya akan mengulas isi penting buku ini dari kaca mata peribadi saya.
Buku ini merangkumi dua bahagian iaitu membaca dan menulis, dua perkara yang kalau digabungkan boleh diumpamakan sepasang sayap yang memikul dan menggerakkan ilmu dikalangan manusia sejagat. Pada bahagian yang pertama, penulis telah menyentuh tentang pentingnya membaca. Kemahiran membaca ini saya kira sudah menjadi kemahiran wajib untuk kebolehmandirian seorang manusia yang hidup di zaman ini. Pentingnya membaca ini sehinggakan ia perkara pertama yang diwahyukan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW. Kenapa bukan solat atau berpuasa atau zakat? Bukankah itu perkara yang menjadi rukun Islam? Bak kata penulis, lafaz “iqra” ini mengiktiraf dan menjamin kedudukan ilmu dalam agama Islam. Tanpa kemahiran ini, proses penyampaian ilmu akan terencat dan boleh terpesong dari landasannya.
Memetik perihal kemahiran membaca dari buku Misquoting Jesus tulisan Bart D. Ehrman, beliau berkata antara sebab utama mengapa ahli akademik dan agamawan tidak dapat memelihara kandungan asal Kitab Perjanjian Baru, contohnya kandungan asal dari surat-surat yang diutuskan oleh Paul the Apostle pada abad pertama dahulu adalah kerana pengikut-pengikut agama mereka pada waktu itu kebanyakannya tidak boleh membaca dan proses penyampaian mesej atau ilmu kepada menjadi sukar, lari dari makna asalnya dan tidak bertahan lama.
Bagi saya, di zaman ini persoalan kemahiran membaca ini sudah tidak lagi relevan kerana hampir semua dari generasi ini sudah boleh membaca. Persoalan yang patut diambil kira adalah kemahiran memilih sumber bacaan yang baik. Sumber bacaan yang baik boleh dianggap seperti yang dikatakan oleh penulis; yang boleh menjentik pemikiran kita, yang membuatkan kita berhenti sejenak untuk berfikir. Pada saya, sumber bacaan yang bagus bukan berkitar tentang buku yang membawa identiti akademik sahaja. Ia boleh jadi novel ataupun manga selagi mana kandungannya tidak melawan hukum moral yang baik dan bermanfaat.
Pada bahagian kedua pula, penulis menyentuh tentang pentingnya menulis. Jika tiada orang yang mahu menulis, bagaimana orang hendak membaca? Jadi kedua-dua sayap ilmu ini perlu seimbang dalam kitaran memperkembangkan ilmu. Saya bersetuju dengan saranan penulis yang memupuk pembacanya untuk cuba menulis walaupun ia hanya sekadar aktiviti hariannya yang mungkin tidak ada kena mengena dengan kehidupan orang lain. Saya mengambil contoh Geoffrey of Monmouth, seorang pendeta dari Wales yang hidup di penghujung abad ke-11. Beliau suatu hari tanpa sengaja menemukan segulung skrol yang ditulis dalam bahasa latin di ruang kerjanya. Skrol itu lalu diterjemah oleh beliau dalam bahasa Inggeris kuno lalu terhasilnya buku yang bertajuk Sejarah Raja-Raja Britain yang kekal dibaca, dirujuk, dan dikaji keabsahannya sehingga hari ini. Segulung skrol yang dilupakan oleh orang ramai, menunggu mati dimamah usia itu diberikan nafas baru oleh Geoffrey atas usahanya menerjemah dan menulis semula kandungannya tanpa ada yang memaksanya untuk melakukan sedemikian, akhirnya membuatkan kita hari ini tahu tentang legenda seorang raja yang popular di Britain – Raja Arthur.
Perkara yang sama juga boleh dilihat pada Raden Adjeng Kartini, figura penting dalam masyarakat Indonesia yang memperjuangkan emansipasi wanita. Oleh kerana Kartini tidak mendapatkan peluang akademik yang selayaknya kerana keterbatasan budaya masyarakat Jawa pada waktu itu, kita hari ini tidak dapat melihat karya tulisannya di kedai-kedai buku berbeza dengan buku yang saya sedang reviu ini yang boleh didapatkan secara mudah di kedai buku The Bibliophile (bagi promo la sikit). Hanya surat-suratnya yang dikirim ke teman-teman berbangsa Belanda itu dikumpulkan, diterjemah bahasanya dan dibukukan lalu terwujudlah sebuah naskah yang diberi nama Habis Gelap Terbitlah Terang yang pada pendapat saya sangat luar biasa dan membuka minda walaupun ditulis lebih 100 tahun yang lampau. Benar kata Syed Ahmad Fathi, dengan buku kita boleh berbicara dengan orang dari masa lampau.
Ya, saya kira tidak terlalu keterlaluan jika dikatakan menulis dan membaca dapat menghubungkan kita dengan orang yang wujud dari zaman silam sebagai buku menjadi medium perantaranya. Tanpa menulis bukan sahaja individu malah sebuah ketamadunan yang besar juga akan hilang dimata dunia. Pernah dengar tentang sebuah kota purba di Mexico yang bernama Teotihuacán? Kota ini begitu kompleks dan teratur dan para saintis sering mengatakan bahawa teknologi perancangan kota ini melangkaui usianya lebih dari satu alaf. Namun hingga kini bangsa hebat yang mula-mula membina kota purba ini masih kekal misteri dan tidak diketahui kerana tiada langsung bentuk penulisan yang dijumpai oleh para saintis untuk dikaji dan dikenal pasti.
Tidak dinafikan buku Dua Sayap Ilmu ini mungkin isinya ada yang berulang-ulang kerana menurut penulis, beliau menulis sebagai peringatan untuk dirinya sendiri seperti mana yang pernah dibuat oleh Maharaja Rom Marcus Aurelius pada suatu ketika dahulu. Saya juga difahamkan yang buku ini juga buku pertama beliau yang menggunakan teknologi AI dalam menghasilkan reka bentuk kulitnya. Akhir kalam, bak kata orang Amerika “put the friendship aside”, sebagai pembaca biasa, saya merasakan buku ini sangat sesuai untuk mereka yang mempunyai minat yang sama iaitu membaca dan menulis. Saya juga sangat mengesyorkan buat mereka yang masih tercari-cari rekomendasi bahan pembacaan yang berkualiti kerana penulis juga meletakkan beberapa buku menarik di bahagian terakhir buku ini.
Tahniah atas bukunya Syed Ahmad Fathi. Semoga anda terus menulis dan menulis.
Related Posts
Part time independent writer and podcaster from Northern Malaysia.