The Independent Insight

Giving truth a voice

  • Email
  • Facebook
  • Flickr
  • Instagram
  • Phone
  • Twitter
  • Vimeo
  • YouTube
  • Berita
  • Politik
  • Ekonomi
  • Teknologi
  • Reviu
    • Reviu Buku
    • Reviu Filem
    • Reviu Muzik
  • Rencana
  • Podcast
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami

Palestin dan Soalan Tentang Penjajahan: Apa yang Dapat Dipelajari oleh Warga Malaysia?

November 19, 2026 By Editor The Independent Insight

Oleh: Tong Veng Wye

Tiga perkara berlaku pada tahun 1948. Israel mengumumkan dirinya sebagai sebuah negara. Mandat British di Palestin berakhir. Dan Darurat (kononnya) diisytiharkan oleh Kerajaan British di Malaya (1948 – 1960). Pada tahun 1948 juga, Henry Gurney telah tamat tempoh menjadi Ketua Setiausaha pentadbiran British di Palestin dan dilantik menjadi Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya.

Pengalaman mencegah pemberontakan yang diperoleh di Palestin akan membantu pasukan taktikal British untuk menentang kuasa-kuasa anti-penjajah yang diketuai oleh komunis semasa tempoh yang dikatakan Darurat. Peserta-peserta dalam pemberontakan Arab dilabel sebagai ‘pengganas’ di Palestin sementara penentang anti-penjajah Malaya juga dilabel pengganas. Jelas sekali, ada pertalian dengan penjajahan British antara Palestin dan kita. Tiga perkara yang menonjol dari pemerhatian ini.

Palestin berhak menerima solidariti yang sepadu daripada kita, bukan perpecahan kita

Perjuangan penduduk Palestin bukan kerana identiti agama. Perjuangan mereka bukan kerana Islam berselisih dengan faham Yahudi, mahupun Islam berselisih dengan faham Kristian. Islam ialah asas yang sangat penting dalam memberikan kekuatan dan daya tahan berterusan dalam penentangan Palestin terhadap penjajahan Israel. Namun, hal ini tidak bererti penganut Islam bertelingkah dengan orang Yahudi.

Sebagaimana yang kita ketahui, orang Yahudi mempunyai sejarah dilayan dengan jauh lebih baik oleh pemerintah Islam berbanding dengan pemerintah Kristian. Apabila orang Yahudi Eropah hendak melarikan diri daripada penindasan Kristian, mereka mencari suaka di tanah-tanah Islam.

Dan Holokus Nazi berlaku di Eropah, bukan Palestin.

Penduduk Palestin ada yang Muslim, Kristian dan Yahudi. Mereka sudah ada sejak zaman purba dan mereka berbeza antara satu dengan yang lain. Mereka tidak sahaja bertutur dalam bahasa Arab tetapi juga bahasa Ibrani (Hebrew), Armenia dan Aramaic. Mereka sudah lama hidup bersama-sama. Hal itu bukan masalahnya.

Masalah besarnya ialah Zionism, yang bukannya faham agama mahupun bangsa manusia (ethnicity) tetapi suatu faham politik nasionalis yang memakai topeng pembela dan pelindung orang Yahudi. Zionism ialah faham penjajah yang menghancurkan. Zionism melanjutkan corak penjajahan Barat yang merampas tanah dan menghapus penduduk asal – dari Amerika ke Australia dan Tasmania ke Afrika ke Palestin.

Anda boleh katakan yang Zionism merangkum apa yang telah dilakukan oleh penjajah Barat terhadap berjuta-juta orang bukan kulit putih selama beratus-ratus tahun. Oleh itu, apabila orang Palestin, yang mejoritinya adalah Muslim, menentang penghapusan kaum mereka – yang ditentang ialah penaklukan penjajah Zionis, dan bukannya menentang orang Yahudi. Tidak juga menentang orang Kristian.

Peranan kita sebagai orang Malaysia, kita mesti berhati-hati agar tidak menyorot situasi yang berlaku melalui lensa masing-masing yang berkutubkan bangsa manusia dan identiti agama. Mesin propaganda Zionis akan bertepuk tangan jika orang Malaysia berpecah pada garis-garis bangsa manusia dalam tindak balas kita terhadap Palestin. Misalnya, salah melihat isu Palestin sebagai isu Melayu/Muslim sahaja, atau menonjolkannya sebegitu secara sengaja atau tidak sengaja.

British memerintah Malaya dengan cara memastikan bahawa penduduknya sentiasa dipisahkan dan diasingkan mengikut bangsa, dan kita mewarisi struktur perpecahan kaum tersebut.

Namun, Palestin berhak menerima solidariti yang sepadu daripada kita, bukan perpecahan kita.

Penentangan terhadap penguasaan penjajah merentas kaum

Hal ini membawa kita kepada isi yang kedua – Palestin dan Malaysia berkongsi sejarah penjajahan, sekalipun tidak serupa. Penjajahan Malaysia berakhir secara rasmi pada tahun 1957. Penjajahan peneroka (settler-colonisation) di Palestin masih berterusan dan semakin menjadi-jadi.

Di Palestin, Britain yang menjadi bidan menyambut kelahiran negara Zionis Israel kerana Britain mahukan “sebuah Ulster Yahudi kecil yang setia di tengah lautan Arabism yang berpotensi untuk bermusuhan” (petikan daripada Fadiah Nadwa Fikri, November 2025, White Supremacy and Anti-Communism as Counter-Insurgency: Lessons from British Imperialism in Malaya, Vox Ummah).

Satu kumpulan penduduk dari luar, disokong oleh kuasa penjajah British, membuat penempatan di Palestin, menggantikan penduduk asalnya dan mempunyai kuasa politik dan ketenteraan ke atas tanah Palestin tanpa kerelaan penduduk asalnya. Di Malaya, kita ialah jajahan British yang kekayaan buminya diperas sehingga kita menjadi satu tumang utama empayar mereka.

Lebih tepat lagi, kaedah pecah-dan-perintah British memecah-belahkan penduduk Malaya dengan membentuk peranan ekonomi yang terpisah, ruang yang terpisah, sekolah yang terpisah, ketakutan dan saluran politik yang terpisah. Maksudnya, kita dipisahkan berbangsa-bangsa melalui dasar penjajah yang dilakukan dengan sengaja.

Pengalaman bersama kita di bawah penjajahan British tidak ketara kerana pemupukan perbezaan antara kaum atau antara etnik. Kita mewarisi satu struktur yang menggunakan bangsa/etnik sebagai ‘bahasa’ utama apabila bercakap tentang hak; perwakilan; ketakutan dan tawar-menawar. Kita terus-menerus bergerak dengan warisan bersuku-suku ini – bahkan semakin giat. Di sinilah kita boleh mengambil pelajaran daripada perjuangan orang Palestin untuk kebebasan. Penentangan orang Palestin berakar pada identiti mereka sebagai orang Palestin.

Oleh sebab itu, anda akan dapati penentangan yang hebat daripada orang Palestin yang beragama Kristian sama hebatnya dengan penentangan daripada orang Palestin yang beragama Islam. Kuncinya di sini: tidak ada perpecahan. Mereka bersatu sebagai satu bangsa Palestin yang barjuang untuk kemerdekaan daripada kuasa penjajahan Zionis yang berterusan di tanah air mereka. Adakah hal ini menggamit ingatan kita? Dalam sejarah kita sendiri? Apabila kita berdiri bersama-sama merentas bangsa menentang pemerintahan penjajah?

Jawapannya adalah Ya.

Malaya mempunyai sejarah penentangan merentas bangsa, bahkan pemberontakan menentang pemerintahan British. Orang Melayu dan bukan Melayu memainkan peranan penting untuk bercakap, membuat penerbitan, berhimpun menentang pemerintahan dan berlawan menentang penjajahan British ke atas Malaya.

Satu contoh penentangan merentas bangsa ialah gabungan anti-penjajah PUTERA-AMCJA.

PUTERA ialah Pusat Tenaga Rakyat. Ia ditubuhkan pada Februari 1947 dan terdiri daripada organisasi-organisasi bangsa Melayu. AMCJA ialah All-Malaya Council of Joint Action yang diasaskan pada Disember 1946. Berbeza dengan PUTERA, AMCJA terutamanya berasaskan masyarakat bukan Melayu. Perhatikan bahawa kedua-dua pertubuhan ini tidak mengikat identiti mereka kepada mana-mana bangsa manusia. PUTERA misalnya tidak menyebut pertubuhannya sebagai Pusat Tenaga Orang Melayu tetapi Pusat Tenaga Rakyat. Samalah dengan AMCJA – mereka adalah ‘All-Malaya’.

Kedua-duanya ialah organisasi haluan kiri yang terikat bersama oleh semangat anti-penjajah dan keinginan untuk mempunyai identiti bangsa berasaskan negara.

PUTERA-AMCJA berkempen untuk pemerintahan sendiri yang demokratik dan dipilih melalui pilihan raya, yang akan dengan segera membawa kepada sebuah Malaya yang merdeka, berdaulat dan bebas daripada penjajahan. Ia memajukan Cadangan Perlembagaan Rakyat pada tahun 1947 sebagai alternatif yang bersifat demokrasi kepada Rancangan Persekutuan yang disokong oleh British. Cadangan Perlembagaan Rakyat mengakui hakikat utama sejarah dan politik Melayu, termasuk ciri kemelayuan tanah ini.

Tidaklah mengejutkan apabila Cadangan Perlembagaan Rakyat ditolak oleh British yang belum bersedia untuk membiarkan Malaya mempunyai kerajaan yang mandiri. British melihat usul-usul PUTERA-AMCJA yang merentas bangsa sebagai “bertentangan dengan matlamat mereka di Malaya [sebab pemerintahan sendiri] merupakan keutamaan pihak pembangkang.” (Merdeka!, Khong Kim Hoong, 1984).

Satu lagi contoh ialah pemberontakan menentang pemerintahan British oleh komunis, yang diumumkan oleh British sebagai Darurat pada tahun 1948 sehingga 1960.

Sekalipun kebanyakan yang menyertai pemberontakan ialah bangsa Cina, pernglibatan orang Melayu adalah bersungguh-sungguh dan bermakna, sama ada dalam perjuangan bersenjata, pertubuhan, jaringan sokongan atau lingkungan-lingkungan pemimpin. Terdapat solidariti Melayu-Cina di peringkat peribadi dan politik, bahkan ada perkahwinan antara Melayu dan Cina dalam kalangan sosok-sosok komunis.

Pengumuman Darurat pada Jun 1948 disusuli dengan gelombang demi gelombang penahanan mereka yang dilihat sebagai berhaluan kiri oleh penguasa-penguasa penjajah British. Apa yang menarik adalah besarnya angka bilangan orang Melayu yang ditahan sebagai berhaluan kiri, komunis atau penyokong mereka – dianggarkan lebih daripada 1,000.

Hal ini walaubagaimanapun, tidak disiarkan oleh British kerana “Mereka takut sekiranya diketahui tentang keterlibatan orang Melayu dengan komunis akan melemahkan propaganda mereka yang menyebut bahawa komunis [yang menentang kuasa penjajah] kebanyakannya adalah orang Cina.” (The Masked Comrades, Cheah Boon Kheng, 1979.)

Pokok perbincangan kita adalah bahawa perjuangan Palestin untuk keadilan adalah merentas agama dan merentas bangsa, berakarkan pada identiti bangsa sebuah negara dan hal ini mengingatkan kita kembali kepada sejarah kita sendiri, apabila kita juga bersatu merentas etnik dalam penentangan kita terhadap penguasaan penjajah. Kesedaran ini patut mendorong kita untuk memperkuat ikatan kebersamaan sebagai warga Malaysia dan bukannya tidak habis-habis menekankan tentang perbezaan dan permusuhan sesama kita, tidak kiralah sama ada benar ataupun sekadar sangka-sangkaan. Hal ini termasuklah perbandingan yang memisahkan, oleh orang Melayu dan bukan Melayu, tentang situasi di Palestin dan pandangan tentang situasi masing-masing di Malaysia. Perbandingan semacam itu adalah salah dan tidak dapat dibuktikan.

Dalam konteks Malaysia, dapat difahami sekiranya solidariti dengan Palestin kebanyakannya ialah orang Islam kerana ada unsur kepentingan solidariti sesama Islam. Kebanyakan penduduk Malaysia adalah Islam sepertimana kebanyakan penduduk Palestin adalah Islam. Namun, ketidakadilan terhadap orang Palestin adalah lebih dari itu. Orang bukan Islam di Malaysia lebih banyak berdiam diri, dan perpecahan ini perlu diatasi. Seperti yang disebut sebelum ini, Palestin berhak menerima solidariti yang tidak berbelah-bahagi daripada kia, bukannya perpecahan kita.

Sebenarnya, solidariti sejagat dengan Palestin ialah peluang untuk kita perkuatkan solidariti kita sebagai warga Malaysia yang merentas bangsa.

Maruah dan bergantung kepada diri sendiri

Sebanyak empat generasi atau lebih, orang Palestin telah menghadapi penindasan melampau oleh penjajah Zionis secara paksa dan apa sahaja yang melibatkannya.

Namun, orang Palestin terus berdiri tanpa mengalah.

Apabila mereka dapat dan perlu melawan (yang sudah menjadi hak mereka sebagai orang yang dijajah dan terancam), mereka melawan – dengan senjata yang sederhana yang mereka ada berbanding dengan senjata yang tersedia untuk pasukan-pasukan penjajah Israel.

Namun, orang Palestin amat menekankan pendidikan. Sekalipun sudah berdekad dipaksa berpindah, dijajah dan dibuang negara, kadar celik huruf orang Palestin adalah antara yang tertinggi di dunia dan dikatakan sebagai antara golongan yang paling berpendidikan tinggi dalam dunia Arab.

Tidak kira apapun yang berlaku, mereka meneruskan pendidikan. Pendidikan adalah satu cara untuk tidak mengalah, satu bentuk tentangan yang bermaruah dengan membina keupayaan sendiri dan bergantung kepada diri sendiri untuk masa depan yang merdeka yang mereka yakin akan tiba. Tidak keterlaluan jika anda mengatakan yang walaubagaimanapun, orang Palestin telah membawa diri mereka dengan penuh bermaruah yang patut kita kagumi.Hal ini adalah satu peringatan kepada kita. Maruah dan rasa hormat diri adalah penting.

Ketika kita menuding jari ke arah Israel menuduh mereka melakukan penghapusan kaum (genocide) tanpa sebarang tanggungjawab, kita harus ingat bahawa adalah sangat penting untuk kita tidak melakukan sesuatu di sini yang menyebabkan kepercayaan dan rasa bertanggungjawab rakyat terhakis; yang meragut kepercayaan rakyat terhadap pimpinan; dan meruntuhkan pegangan moral masyarakat Malaysia.

Menunjukkan solidariti dengan Palestin bererti mengambil satu pendirian moral. Namun, kita tidak dapat melakukannya dengan meyakinkan jika pada masa yang sama kita merobek jiwa kita dengan melakukan hal-hal yang salah dan memalukan dalam negara.

Pada masa yang sama, membina keupayaan dan bergantung kepada diri sendiri adalah penting. Malaysia mungkin tidak lagi berada di bawah pemerintahan penjajah secara rasmi. Namun, kita tetap terdedah pada satu sistem global yang masih lagi dibentuk oleh kuasa neo-imperial Barat. Kita mesti membina keupayaan bergantung kepada diri sendiri dan menambahbaik pelbagai bidang lain – termasuk keselamatan makanan, pendidikan, tadbir urus, ketaksamaan sosial dan ekonomi, beban hutang, kajian saintifik, teknologi dan tenaga.

Kesimpulan

Negara Israel Zionis ditubuhkan melalui penjajahan dan perampasan hak orang asal Palestin. Tindakan Israel Zionis terus-terusan diupayakan oleh Amerika dan negara-negara lain. Hubungan empayar (imperial nexus) Israel-Amerika, dengan sebelah lutut menekan leher orang Palestin, membolehkan Israel mencetuskan peperangan berterusan dan mengakibatkan kekacauan yang tidak berkesudahan bukan sahaja di rantau itu tetapi sejagat. Oleh sebab itu membebaskan cengkaman Israel ke atas Palestin dan memutuskan hubungan tersebut akan membantu membebaskan dunia.

Tetapi Zionism sedang merosot; ia sedang mereput. Oleh sebab itu semakin banyak orang seantero dunia menutup hidung apabila mereka melewati badan Zionism yang sedang mereput dan dagingnya membusuk. Secara keseluruhan, semangat penentangan rakyat Palestin walaubagaimana sekalipun, adalah satu sumber inspirasi. Ia menunjukkan jalan luhur yang harus ditempuh oleh rakyat Malaysia, baik dalam tindakan dan solidariti kita terhadap perjuangan Palestin, mahupun dalam tindakan kita di dalam negara sendiri.

Tong Veng Wye ialah ahli ALIRAN. Beliau menulis, bercakap dan membantu dalam menganjurkan dan menyokong acara-acara solidariti dengan Palestin dan perjuangan mereka untuk kemerdekaan. Veng Wye juga sebahagian daripada Palestine Solidarity, Penang (PSP), satu kumpulan tidak rasmi di Pulau Pinang. Beliau ialah jurutera yang telah bersara. Makalah ini berdasarkan sebuah forum dengan tajuk yang sama yang diadakan pada 10 Oktober 2026 di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur.

Editor The Independent Insight

Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.

Filed Under: Rencana Tagged With: Aliran, gaza, israel, Malaysia, palestin, Tong Veng Wye

Recent Posts

  • Palestin dan Soalan Tentang Penjajahan: Apa yang Dapat Dipelajari oleh Warga Malaysia?
  • Dasar Kerajaan Malaysia Terhadap Pelarian Rohingya
  • Agama Islam Diturunkan Buat Manusia, Bukan Untuk Ayam
  • Impak Pelarian Kepada Ekonomi Malaysia
  • Muallaf Suman Sivam Sindir Mahasiswa Melayu Sebagai Geng Long Tiger

Archives

Copyright © 2026 The Independent Insight