*Tulisan ini adalah dari sudut pandang penulis sahaja.
Saya ada seorang kawan. Nama panggilannya Din Kapal, kerana dia juga datang dari bidang kerja yang sama seperti saya dahulu, di syarikat perkapalan walaupun dia dan saya tidak lah bekerja di bawah satu bumbung.
Di waktu lapang, kami gemar meluangkan masa bersama di kedai mamak, menghirup kopi panas bercawan-cawan, diselang seli dengan asap tembakau import (sebelum di ban kerajaan Malaysia). Macam-macam yang kami bualkan, boleh jadi hal sukan, boleh jadi hal ekonomi semasa, malah hal politik pun boleh menjadi agenda kecil kami.
Din Kapal mempunyai pegangan politik yang cukup kuat, suatu pegangan yang corak politiknya jauh berbeza jika dibandingkan dengan saya. Saya masih ingat lagi sewaktu beberapa minggu sebelum pilihan raya umum yang lepas, Din Kapal dengan yakin memberitahu saya bahawa mereka akan menang besar dan nasib rakyat akan lebih terbela dengan adil dan saksama. Malah, isu “kleptokrasi” yang sering diperkatakan beliau itu bakal diselesaikan dengan segera dan seterusnya bakal sekadar menjadi titik hitam yang lama-kelamaan akan dilupakan oleh rakyat di negara berdaulat ini.
Apa yang Din Kapal katakan pada malam itu sedikit sebanyak menjentik perasaan ingin tahu saya. Apakah benar sudah tiba masanya negara ini memerlukan acuan dan haluan yang baru? Saya hanya tersenyum dan saya katakan pada Din Kapal, jika benar apa yang beliau katakan, jika benar bahawa kerajaan baharu boleh mengubah kehidupan rakyat menjadi lebih baik, jika benar ekonomi negara berterusan berkembang pesat berlandaskan wawasan ke arah negara maju, dan badan kepimpinan baharu akan mengurus tadbir negara berpaksikan pada teras adil tanpa mengira agama dan bangsa, apa salahnya?
10 Mei 2018, Din Kapal merupakan salah seorang dari ribuan rakyat Malaysia yang bersama-sama berkongsi kegembiraan atas kemenangan perjuangan mereka, yang sekali gus menandakan bermulanya era baru negara dengan kepimpinan yang baharu, dengan azam dan matlamat yang baharu, atas nama Malaysia Baharu. Beliau malah sempat menghantar pesanan ringkas kepada saya pada pagi itu, yang antaranya masih saya ingat berbunyi “rakyat bijak, rakyat memilih”. Saya berfikir, ada betulnya kata Din Kapal itu. Dalam sesebuah hierarki kerajaan, rakyat berada di tapaknya, di kumpulan paling bawah, yang paling besar. Hilang tapak, runtuhlah semua. Tak tertegak rumah, kalau hilang sendinya. Jadi pada hemat saya, Din Kapal berkata benar. Kuasa “rakyat memilih” ini bukanlah perkara yang kita boleh pandang kecil.
Hari demi hari dibawah kerajaan baharu, Din Kapal semakin rancak berbicara soal politik. Ada kesempatan dan waktu, kami pasti berjumpa di kedai kopi dan berdiskusi tentang isu-isu semasa walaupun kadang kala perlu berganjak 3 meter dari meja. Adakalanya, saya cuba mencelah dan memberi buah pandangan kerdil dari mata seorang rakyat. Yang peliknya, hampir semua hujah yang saya berikan tidak lagi valid dimata Din Kapal hanya kerana ia datang dari kaca mata seorang pembangkang.
Minggu berganti minggu, dan secara tiba-tiba Din Kapal menyepi. Tidak ada lagi pesanan ringkas, tidak ada lagi kopi, tidak ada lagi politik. Saya pernah mencuba beberapa kali untuk bertanyakan khabar kepada beliau dan bertanya kalau-kalau beliau dalam kesusahan dan kerunsingan yang boleh dikongsi bersama. Namun hingga kini, beliau lebih selesa untuk mendiamkan diri dan menonton drama TV tiga dari duduk semeja.
Related Posts
Part time independent writer and podcaster from Sarawak, Malaysia.