Baru-baru ini saya menonton filem yang berjudul Napoleon yang disiarkan di Apple TV. Filem ini telah diterbitkan pada tahun 2023. Perkara pertama yang menarik minat saya ialah pelakon yang memainkan watak Napoleon itu adalah Joaquin Phoenix, yang sebelum ini membawa watak Commudus dengan baik di dalam filem Gladiator.
Filem ini dimulakan dengan hukuman mati secara guillotine yang dijatuhkan pada Louis XVI dan Marie Antoinette selepas revolusi Perancis. Napoleon pada ketika itu yang merupakan kapten pasukan artileri Perancis telah diberikan tanggungjawab oleh Jeneral Jean-Baptiste Certaux untuk memimpin pasukan artileri dalam Pengepungan Toulon. Siri peperangan ini amat penting bagi mengekang pemberontakan awam yang masih setia dengan monarki Perancis dan juga untuk menghentikan campur tangan kuasa luar seperti British supaya misi Revolusi Perancis mampu diteruskan. Tambahan pula pada ketika itu, Toulon merupakan pangkalan tentera laut terpenting kerana menempatkan kapal perang Perancis yang banyak. Napoleon dan tenteranya berjaya menawan semula Toulon dan sekaligus dilantik sebagai Brigadier Jeneral di usia 24 tahun.
Struktur politik Perancis pada masa itu pula masih belum stabil sepenuhnya. Maximilien Roberspierre dilihat menggunakan pengaruhnya di Tribunal Criminel secara autokratik terutamanya di fasa “Reign of Terror”. Ribuan rakyat jelata yang dituduh sebagai loyalist dan aristokrat telah dipenjara dan dijatuhkan hukuman mati. Rakyat Perancis mula tidak berpuas hati dan Roberspierre kehilangan sokongan sehinggakan beliau membuat cubaan membunuh diri dengan menembak kepalanya namun tidak berjaya ketika berlakunya kudeta parlimen. Beliau lalu dijatuhkan hukuman mati secara guillotine, menandakan berakhirnya fasa “Reign of Terror”.
Napoleon terus melebarkan sayap pengaruhnya bila dilantik sebagai Konsul Pertama selepas rampasan kuasa 18 Brumaire. Antara misi terpenting beliau ketika itu adalah untuk mendapatkan sokongan negara luar. Armand de Coulaincourt di hantar sebagai duta untuk memujuk Tsar Alexander I untuk mendapatkan sokongan Russia, manakala Charles de Talleyrand pula berjaya memeterai perjanjian damai melalui Perjanjian Luneville.
Di pertengahan filem, Napoleon digambarkan ditabal menjadi Raja Perancis berkitar hanya kerana beliau dianggap pemerintah kelas rendah, dan tidak dianggap pemerintah yang sah oleh British. Ini merupakan salah satu kelemahan plot filem ini kerana sewaktu Napoleon berperanan sebagai Konsul Pertama, beliau dianggap telah melakukan tugas itu dengan baik. Pada pandangan saya, sebab utama Napoleon ditabal menjadi raja adalah untuk menangani masalah politik dalaman Perancis yang masih berpecah. Dengan cara mengembalikan figura seorang raja dengan cara plebisit (undian), maka Perancis akan lebih bersatu kerana keputusan itu adalah keputusan majoriti.
Antara kelemahan lain yang terdapat dalam filem ini adalah Pertempuran Austerlitz – siri peperangan yang memperkenalkan Napoleon sebagai seorang taktikal perang yang hebat tidak ditonjolkan. Disamping itu, filem ini banyak memfokuskan kisah peribadi Napoleon dan isterinya, Josephine.
Di penghujung filem, Napoleon telah dibuang negara buat kali kedua di sebuah pulau kecil bernama St. Helena oleh pihak British dengan menggunakan kapal HMS Northumberland. Cuma kehidupan beliau di pulau ini hanya ditunjukkan pada beberapa minit terakhir. Ada beberapa peristiwa menarik yang boleh dimuatkan untuk membuatkan penonton lebih faham bahawa kehidupan Napoleon di St. Helena telah mendapat layanan yang tidak setimpal dengan statusnya sebagai raja Perancis.
Related Posts
Part time independent writer and podcaster from Sarawak, Malaysia.