Penulisan ini merupakan nota jawapan yang saya sediakan dalam program bedah buku anjuran Exco Akademik dan Penyelidikan Persatuan Mahasiswa Undang-Undang (PMU) dari Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) pada 06 Januari 2022 melalui platform Instagram live. Selain nota jawapan, saya sertakan juga ulasan umum saya perihal buku ini juga cadangan bacaan lanjutan.
Apakah Perbincangan yang dibawa oleh buku ini dan kenapa masyarakat perlu membaca buku ini?
Assalamualaikum, terima kasih kepada penganjur kerana menjemput saya dalam ruang bicara ini. Yang saya hormati tuan moderator dan rakan panelis. Sebenarnya ini merupakan pertama kali saya membaca buku terbitan Patriot dan juga buku tulisan saudara Ayman.
Saya sebenarnya seorang yang suka membaca buku yang orang lain tidak baca, dan tidak berapa gemar membaca buku-buku popular. Ini adalah kekuatan saya, dalam masa yang sama ia juga adalah kelemahan saya. Membaca buku yang berlainan akan melahirkan pemikiran yang berlainan, ini adalah kekuatan. Tetapi dalam masa yang sama, jika kita tidak membaca buku popular tempatan, kita terpisah dari wacana tempatan, kita mungkin dicandukan dengan ideologi dan pemikiran yang tak berpijak di bumi kita sendiri, ini adalah kelemahannya (kelemahan saya).
Setelah saya membaca buku ini saya dapati ia adalah pengenalan yang baik perihal apa itu politik. Ada perkara yang saya bersetuju, dan ada juga perkara yang saya tidak setuju. Saya kira apa yang dibincangkan adalah perkara-perkara yang sangat asas dalam politik. Perihal strukturnya, fungsinya, juga pemikiran dasarnya. Walaupun ada beberapa perkara yang saya tidak bersetuju, saya masih merasakan ia adalah bahan bacaan ringan yang baik sebagai pengenalan kepada subjek politik. Tetapi ia bukanlah satu makalah yang cukup untuk kita memahami politik kerana perbincangannya sangat-sangat asas.
Kenapa masyarakat perlu faham akan politik? Pertama kerana kehidupan mereka terkesan secara langsung dari perubahan politik. Kedua kerana jika masyarakat gagal memahami politik, mereka mudah dipermainkan dan ditipu. Ketiga, untuk kita hidup dengan penuh makna, kita perlu memahami dunia kehidupan kita, pemahaman kita terhadap politik ini merupakan satu ilmu yang sangat asas dalam kita memahami kehidupan manusia yang kita adalah sebahagian darinya. Jika kita merasakan dunia ini tidak adil dan perlukan perubahan, kita tak dapat lakukan perubahan jika kita tak memahami dunia ini. Akhirnya mungkin kita hanya akan dipermainkan dan dipergunakan.
Kadang-kadang saya lihat ramai dalam kalangan ahli masyarakat mencemuh dan memaki ahli politik dan sistem politik, tetapi sebenarnya mereka mencemuh diri mereka sendiri, kerana tanpa mereka sedari mereka adalah sebahagian dari sistem yang melahirkan politik yang ada.
Ramai orang tidak memahami apakah hakikat politik yang sebenar. Mereka berpendapat hidup mereka tiada kaitan dengan politik. Apa perbezaan cara melihat politik sebelum dan selepas membaca buku ini?
Sebenarnya politik ini bukan milik sesiapa, politik bukan milik mana-mana politikus atau parti politik. Politik sifatnya neutral. Masalah kita di Malaysia adalah kita menyamakan politik dengan “politik kepartian”. Ini adalah cara fikir yang salah sehingga ramai yang merasakan bahawa politik ini satu benda yang kotor dan perlu dijauhi. Walhal kita semua perlu tahu akan hal politik, kerana tanpa pengetahuan ini besar kemungkinan kita akan tertindas atau ditindas.
Politik adalah lebih besar dari “politik kepartian”. Malah banyak bangsa minoriti, syarikat korporat, individu berkepentingan, mereka tidak menyertai parti politik, tetapi mereka pandai dan faham bagaimana politik berfungsi dan menggunakannya untuk menjayakan agenda mereka dan memelihara kepentingan mereka. Sebenarnya kita semua tak dapat lari dari politik, walaupun kita kata kita tak mahu terlibat, kita akan terkesan secara langsung. Jika kita baca buku ahli ekonomi dari Cambridge, Prof. Ha-Joon Chang beliau mengatakan bahawa dasar-dasar ekonomi tak dapat lahir dari keputusan politik. Dalam kata lain politik akan menentukan banyak perkara dalam hidup kita, harga ayam, harga nasi, pendidikan, semuanya akan keluar dari proses politik yang mustahil kita boleh lari daripadanya.
Oleh kerana banyak perkara yang dibincangkan adalah perkara asas, tak banyak perbezaan pemikiran yang saya dapat secara peribadi setelah membaca naskah ini. Namun saya ingin sebutkan beberapa perkara yang saya rasa menarik.
Jika kita baca buku yang ditulis oleh Francis Fukuyama, beliau membawakan teori bahawa sistem demokrasi liberal merupakan sistem akhir dalam sejarah falsafah politik manusia. Maksudnya sistem ini paling sempurna dan tiada lagi sistem lain yang boleh dihasilkan untuk menjadi lebih baik. Beliau mengungkapkan perkara ini sebagai “berakhirnya sejarah”. Ayman tidak ada membahas idea Fukuyama dalam buku ini, tetapi saya kira pemikiran yang beliau bawa menjawab idea Fukuyama. Dalam bab pereputan politik, demokrasi diletakkan dalam satu kitaran sistem, ia bukan sistem akhir tetapi sebahagian dari kitaran perubahan. Idea ini saya rasakan sesuatu yang menarik.
Seperti yang saya katakan tadi, “politik kepartian” adalah sebahagian kecil sahaja dari politik, ia bukan sinonim. Ini merupakan kefahaman yang bagi saya sangat penting. Saudara Ayman ada membahaskan perkara ini, yang saya kira sangat baik, terutamanya dalam beliau menerangkan bahawa perkataan “parti politik” itu tidak ada pun dalam perlembagaan kita.
Banyak fahaman-fahaman dan ideologi yang diterangkan dalam buku ini seperti liberalisme, fasisme, konservatisme, sosialisme dan sebagainya. Adakah pegangan ideologi ini sama di semua negara? Contoh kita berbicara mengenai konservatisme. Adakah konservatisme Malaysia sama seperti konservatisme US?
Ini mungkin bahagian yang saya ada sedikit perseteruan dengan saudara Ayman, perihal definisi-definisi ideologi. Saya faham, beliau cuba menerangkan definisi ini secara asas agar ia mudah difahami. Tetapi bagi saya ia tidak memberikan keadilan kepada ideologi tersebut. Ia membawa kefahaman seolah-olah ada definisi yang tetap perihal ideologi-ideologi ini.
Sebenarnya untuk kita mentakrifkan ideologi bukanlah satu perkara yang mudah, dan mungkin juga mustahil. Contohnya, ahli ekonomi Marxis, Richard Wolff pernah menyatakan bahawa sukar untuk kita memberi takrifan kepada satu ideologi kerana setiap pemikir ada definisi mereka sendiri. Definisi komunis Lenin sebagai contoh, mungkin berbeza dengan definisi komunis Rashid Maidin dan Abdullah C.D. Menurut pemikir seperti Noam Chomsky, penakrifan definisi ini menjadi lebih sukar kerana ideologi politik ini sentiasa akan didefinisikan dengan buruk oleh lawannya, dan dengan maha indah oleh pengikutnya, menjadikan ia tidak objektif. Jadi untuk memberi satu definisi yang asas, kita tak dapat lari dari memberikan satu definisi yang simplistik dan tidak menyeluruh.
Untuk menjawab persoalan perbezaan konservatisme antara Malaysia dan Amerika Syarikat, saya ingin memetik kata-kata Robert Kaplan perihal nasionalisme Malaysia dalam bukunya Asia’s Couldron:
“Malaysia is beyond nationalism without having ever experienced it”
Analisa nasionalisme di Malaysia oleh Kaplan bagi saya merupakan analisa yang tepat. Beliau mengungkapkan bagaimana Malaysia tidak mempunyai satu identiti yang boleh membentuk semangat patriotisme nasionalisme. Kepelbagaian kaum, Melayu, Cina, India, kaum dan suku Sabah dan Sarawak, masing-masing mempunyai identiti dan budaya yang berbeza. Semangat nasionalisme anti-China seperti yang ada di Vietnam tidak wujud di Malaysia menurut Kaplan. Malaysia terdiri dari komuniti berbeza yang hidup secara harmoni bersama.
Jadi sebenarnya, bila kita bercakap perihal ideologi politik tempatan, dia sememangnya tak sama dengan lokaliti lain, kerana kita mempunyai beban sejarah yang berbeza. Beban sejarah ini mengukir bentuk ideologi yang berbeza. Ia mungkin boleh disamakan dalam satu kelas asas, contohnya konservatisme, tapi bentuk dan sifat konservatisme itu berbeza, atas sebab latar sejarah yang berbeza. Bila kita sebut tentang konservatisme di Amerika Syarikat, ia lebih kepada politik yang dimainkan oleh Parti Republikan yang penyokongnya kebanyakannya merupakan kristian-evangelikal dan juga golongan petani dan buruh luar bandar. Jadi apa yang mereka cuba conserve adalah nilai-nilai dan tradisi penyokong mereka ini. Walaupun mereka ini bukanlah orang asal, orang asal adalah native American, jadi dia memelihara nilai yang bukan asal dari tanah tersebut. Ini berbeza dengan konservatisme di Malaysia yang diperjuangkan oleh orang-orang Melayu dan juga kaum peribumi yang sememangnya penduduk asal tanah ini. Jadi nilai yang dipelihara adalah nilai asal penduduk tanah. Kita boleh katakan idea “pemeliharaan” dalam konservatisme itu sama, tetapi “apa” yang dipelihara itu berbeza.
Ulasan Umum
Ada beberapa perkara yang saya tidak persetujui dari buku Ayman ini. Contohnya kenyataan beliau bahawa “orang Yunani yang mula mengkaji” perkara seperti falsafah, fizik, matematik dan sebagainya. Kenyataan ini bagi saya tidak tepat, matematik sebagai contoh telah digunakan dan ditulis dalam sistem perakaunan sejak zaman Mesopotamia seperti yang ditulis oleh Yuval Noah Harari. Tamadun Mesopotamia lebih tua dari Yunani. Jika dikatakan Yunani yang mula menulis subjek-subjek ini secara sistematik mungkin lebih tepat, walaupun masih boleh dipertikaikan. Oleh itu saya tidak cenderung untuk mengatakan buku ini sebagai buku yang akademik atau separa-akademik.
Juga penggunaan terma “negara” yang beliau gunakan untuk merujuk tamadun seperti Mesopotamia, Mesir, India, dan China, sebagai “negara paling awal”. Bagi saya ia merupakan penggunaan istilah yang salah. Konsep negara adalah konsep moden, yang lebih dekat dengan konsep “nation-state” abad ke-19. Manakala tamadun-tamadun tua ini sangat berbeza dengan konsep negara, maka penggunan istilah itu bagi saya sangat mengelirukan. Adalah lebih baik istilah “kerajaan” digunakan menggantikan negara. Saya juga tidak bersetuju dengan kenyataannya bahawa hanya selepas Muawiyah menjadi khalifah baru masyarakat Arab memasuki fasa negara, ia juga menyebabkan saya lebih keliru perihal apa penakrifan negara beliau? Ia kedengaran seperti tidak konsisten. Jika tamadun tua dikatakan sebagai negara, masyarakat Arab pernah duduk dibawah tamadun seperti Rom dan Parsi, jadi masyarakat Arab menurut takrifan Ayman sendiri sudah memasuki fasa negara sebelum Muawiyah.
Ada juga faktanya yang sudah out-of-date, hal ini bukan kesalahan Ayman, tetapi disebabkan dinamik politik dunia. Contohnya Barbados yang dikatakan menjunjung Ratu Britain sebagai ketua negara, Barbados telah menjadi republik pada 30 November 2021 dan membuang Ratu Britain sebagai ketua negara. Ada juga beberapa kesalahan ejaan yang membuatkan pembacaan sedikit terganggu, seperti “ole itu” yang sepatutnya dieja “oleh itu”. Juga ayat yang janggal seperti “tapi pada masa yang tidak meninggalkan kebaikan”. Selepas “masa yang” sepatutnya ada perkataan “sama”.
Saya bersetuju dengan saudara Ayman bahawa tiada kerajaan yang benar-benar sempurna. Pada pandangan saya, hal ini bukan terjadi kerana ideologi atau sistem yang tidak sempurna, tetapi kerana faktor manusia yang menjalankan sistem dan menghidupkan ideologi. Manusia itu secara fitrahnya tidak sempurna, jadi mana-mana sistem pun, selagi ia dijalankan oleh manusia akan terdedah dengan kesalahan, kesilapan, dan kelemahan.
Saya juga mendapati perbahasan Ayman berkenaan dengan “cyclical nature of democracy” merupakan satu perbahasan yang menarik. Walaupun Ayman tidak membahaskan idea Fukuyama yang beranggapan bahawa demokrasi liberal sebagai sistem akhir yang telah sempurna, bagi saya perbahasan Ayman ini telah secara tidak langsung menyanggah teori Fukuyama. Kitaran politik dalam perbahasan masa depan politik Malaysia bagi saya merupakan cubaan berani Ayman dalam menilik masa depan. Menilik masa depan politik ini bukan kerja mudah. Menurut Chomsky, penilik yang paling berjaya dalam sejarah adalah Bakunin, yang menjangkakan idea “dictatorship of ploretariat” Marx akan menjadi lebih kejam dari pemerintahan monarki. Tilikan Bakunin ini termanifestasi apabila naiknya Stalin.
Saya juga sangat tertarik dengan huraian Ayman perihal revolusi Perancis, yang antara lainnya melahirkan kekacauan yang dipanggil Reign of Terror. Ini perlu kita fahami, kerana revolusi bukan penawar pada semua masalah. Revolusi juga tidak menjamin keadaan akan berubah kepada yang lebih baik. Pandangan Ayman bahawa demokrasi tiada kaitan dengan kemajuan juga bagi saya tepat. Hal ini juga ada dibahaskan oleh Ha Joon-Chang di mana banyak negara-negara Asia dimodenkan di bawah pemerintahan diktator, selepas mereka maju barulah mereka memasuki fasa demokrasi. Dalam kata lain, kemajuan datang sebelum demokrasi. Ini boleh kita lihat di Jepun, Korea Selatan, dan Taiwan.
Ayman juga tepat dalam penggunaan terma “liberal moden” menurut pandangan saya. Saya melihatnya sebagai golongan “kiri bandar” yang sibuk dengan perjuangan LGBT dan sebagainya. Saya lebih gemar dengan perbahasan dan perbincangan “kiri kampung” yang lebih menekankan soal keadilan ekonomi, yang saya kira permasalahan yang lebih real dan mendesak bagi masyarakat. Terma “kiri bandar” dan “kiri kampung” ini tiada dalam buku Ayman, tetapi merupakan klasifikasi saya sendiri.
Kontradiksi Ayman yang lebih serius adalah kesimpulannya. Dalam kesimpulannya beliau menulis bahawa ahli politik perlu mencari “apakah ideologi yang hendak ditawarkan pada rakyat dan negara”. Tetapi dalam Bab-15, beliau sendiri menulis bahawa ahli politik tidak boleh menjadi ideolog kerana “tiada ideologi yang betul-betul dapat mewakili semua lapisan masyarakat”. Bagaimana ideologi yang tak dapat mewakili semua lapisan masyarakat dapat menjadi solusi kepada negara? Menurut pandangan saya, walaupun ideologi penting sebagai panduan untuk menentukan ke mana dasar negara hendak dipandu, solusi kepada permasaalahan politik bukan ideologi. Tetapi solusi yang praktikal berdasarkan data dan kajian, setiap masalah perlu dikaji secara berasingan dan solusi mesti bersesuaian dengan jenis masalah, masa, dan lokaliti. Bukan kita gunakan ideologi untuk selesaikan semua masalah.
Cadangan Bacaan Seterusnya
Seperti yang saya telah sebutkan, buku ini memberi pemahaman yang sangat-sangat asas perihal politik. Oleh itu, saya kira, ia perlu kepada pembacaan seterusnya untuk memahami dengan lebih dalam lagi perihal persoalan politik. Selain buku-buku yang saya senaraikan di bahagian rujukan, saya ingin mencadangkan beberapa buku lain yang saya kira baik untuk meningkatkan fahaman perihal politik, falsafah politik, juga ehwal pentadbiran. Antara buku cadangan saya:
- Bruce Bueno de Mesquita and Alastair Smith. The Dictator’s Handbook: Why Bad Behavior is Almost Always Good Politics. PublicAffairs, 2011.
- Daron Acemoğlu and James A. Robinson. Why Nations Fail: The Origins of Power, Prosperity, and Poverty. Crown Business, 2012.
- Paul D’Amato. The Meaning of Marxism. Haymarket Books, 2006.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di lautan Ideologi (2022) and Dua Sayap Ilmu (2023). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.