Rancangan The Curse of Oak Island yang disiarkan di History channel Astro selalu menarik perhatian saya kerana rancangannya akan membuatkan tahap curiosity saya menebal dengan ekspedisi-ekspedisi pencarian harta karun legenda yang dikatakan tersembunyi di pulau itu.
Saya sering tertanya-tanya apakah harta karun itu benar-benar wujud atau sekadar mitos?
Pulau Oak
Pulau Oak merupakan sebuah pulau pemilikan persendirian yang berkeluasan kira-kira 57 hektar dan terletak di selatan Nova Scotia, Kanada. Pulau ini seringkali dikaitkan dengan harta karun yang masih misteri dan menarik minat ramai pencari harta karun sejak puluhan tahun yang lalu. Walaupun pulau ini adalah sebuah pulau yang kecil, namun terdapat pelbagai buku yang menceritakan pulau ini.
Tiga Budak Lelaki
Pada tahun 1799, Daniel McGinnis bersama dua orang rakannya Anthony Vaughn dan John Smith telah menemukan permukaan tanah yang pelik ketika keluar memancing. Struktur tanah yang lembut itu berbanding sekitarnya membuatkan mereka teringat tentang lanun terkenal, Kapten Kidd yang dikatakan telah menyembunyikan hartanya di pulau itu yang dianggarkan bernilai lebih 2 juta pound sterling.
Mereka bertiga telah menggali struktur tanah lembut yang dijumpai itu dan berjaya menemukan lapisan-lapisan batu, serpihan kayu oak dan kesan-kesan yang jelas membuktikan adanya aktiviti galian yang pernah dilakukan di kawasan itu. Setelah menggali lebih dari 30 kaki, mereka akhirnya membuat keputusan untuk menghentikan pencarian dan pulang ke rumah. Lubang yang ditinggalkan itu dikenali sebagai “Money Pit”
Money Pit
Beberapa tahun kemudian sebuah syarikat yang bernama Onslow Company telah meneruskan aktiviti penggalian dengan bantuan alatan yang lebih lengkap di Money Pit. Setelah menggali ke kedalaman 90 kaki, mereka menemukan lapisan-lapisan kayu yang disusun dalam jarak 10 kaki sehingga akhirnya mereka menemukan sebongkah batu yang mempunyai simbol misteri.
Batu Misteri
Batu misteri ini telah dilaporkan di dalam akhbar tempatan pada tahun 1862. Mengikut berita, batu ini digambarkan sebagai “berukuran empat segi tepat, dua kaki panjang dan satu kaki lebar, mempunyai ukiran simbol di permukaannya.”
SImbol misteri pada batu ini masih menjadi misteri dan tiada siapa yang berjaya merungkai maksudnya. Mengikut pengkaji sejarah, simbol ini merupakan kunci utama bagi merungkai mitos harta karun Pulau Oak.
Teori
Terdapat beberapa teori yang dikemukakan tentang apakah harta sebenar yang terdapat di Pulau Oak. Ada yang percaya bahawa harta yang tersembunyi itu merupakan barang perhiasan milik Marie Antoinette, ratu terakhir Perancis dan ada juga yang percaya bahawa Pulau Oak itu menyimpan manuskrip dari Francis Bacon yang dikatakan penulis sebenar bagi semua karya-karya William Shakespeare. Yang pastinya, Pulau Oak telah memberikan pelbagai bukti yang relevan sehinggakan menarik minat ramai pengkaji, ahli sejarah dan pemburu harta karun seluruh dunia.
Pengkaji sejarah berpendapat bahawa salah satu teori yang paling kuat mengapa Pulau Oak dijadikan tempat untuk menyembunyikan harta karun adalah terdapatnya beberapa perang seperti perang Perancis-India. Keadaan perang memaksa empayar-empayar ini untuk menyembunyikan barang-barang berharga di pulau-pulau terpencil seperti Pulau Oak.
Lanun
Mengikut kajian sejarah, antara tahun 1690 dan 1730, zaman ini merupakan zaman kegemilangan buat lanun-lanun. Mengikut catatan, ramai lanun-lanun yang pernah berlayar di sekitar Pulau Oak. Selain dijadikan tempat untuk mendapatkan bekalan seperti kayu dan air, tidak mustahil Pulau Oak juga dijadikan tempat untuk menyembunyikan hasil rampasan dari aktiviti lanun.
Franklin D. Roosevelt
Ya, Presiden Amerika juga mempunyai minat yang dalam terhadap misteri Pulau Oak ini. Pada tahun 1909, Roosevelt telah menyertai ekspedisi Kapten Henry Bowdoin yang diatur oleh Old Gold Salvage Group.
Walaupun ekspedisi ini dilengkapi dengan penyelam berpengalaman dan alatan menggali yang lebih baik, namun mereka gagal menemukan sebarang harta atau artifak di Money Pit.
Roosevelt tetap meneliti perkembangan Pulau Oak meskipun telah menjawat jawatan Presiden Amerika Syarikat hingga akhir hayatnya.
William Chappell
Salah seorang pengkaji yang popular dikaitkan dengan Pulau Oak adalah William Chappell. Chappell merupakan seorang pengkaji yang melakukan aktiviti ekskavasi di Pulau Oak pada tahun 1920. Di dalam proses itu, beliau telah menemukan sebuah kapak, sauh kapal dan sebuah beliung. Ini menguatkan lagi teori bahawa memang wujud proses penggalian tanah suatu ketika dahulu.
Kapak Acadian
Salah satu penemuan yang paling penting dalam ekspedisi Chappell adalah sebuah kapak Acadian yang berusia 250 tahun. Penemuan kapak lama di pulau yang terasing ini menimbulkan pelbagai persoalan dan teori dikalangan para pengkaji. Mereka berpendapat bahawa Pulau Oak mungkin masih menyimpan pelbagai artifak yang belum berjaya ditemui.
Gilbert Hedden
Setelah beberapa tahun kemudian, Chappell akhirnya menemui jalan buntu dan kehabisan wang. Proses ekskavasi di Money Pit diteruskan oleh Gilbert Hedden, seorang industrialis yang mendapat dana dari syarikat Bethlehem Steel Company pada 1930-an. Gilbert yakin bahawa harta yang terdapat di Pulau Oak adalah tinggalan Kapten William Kidd. Beliau telah membeli sebahagian dari pulau tersebut dan melakukan ekskavasi dalam skala yang besar.
Adik Beradik Lagina
Pada hari ini, usaha mencari harta karun di Pulau Oak diteruskan oleh Marty dan Rick Lagina. Proses pencarian ini disiarkan dalam sebuah dokumentari di History Channel.
Semuanya bermula pada tahun 2006, Rick dan Marty mengambil keputusan untuk membeli separuh dari kawasan Pulau Oak dan Money Pit untuk dikaji dengan lebih mendalam.
Beberapa tahun kemudian, mereka telah berjaya menjumpai duit syiling sepanyol di Money Pit.
Di musim ketiga, semasa mereka dalam proses mengeringkan sebuah lubang di Pulau Oak, mereka menemui sebilah pedang yang dipercayai dari zaman Rom kuno. Ini sekaligus memberi idea baru bahawa telah ada orang Rom yang berjaya sampai di kawasan itu ribuan tahun yang lampau.
Pengikat Buku
Antara penemuan yang menarik dijumpai adalah sebuah pengikat buku lama. Ia dijumpai semasa proses penggalian namun gagal menemukan sebarang petunjuk yang terperinci. Tidak berapa lama kemudian, mereka menemukan cebisan kulit haiwan yang mempunya tanda seperti tulisan abad pertengahan. Penemuan ini mungkin ada perkaitan dengan penemuan Chappell dan Blair pada 1990-an kerana mereka juga mendakwa menemukan cebisan kulit yang sama.
Tulang Manusia
Satu lagi penemuan penting oleh adik beradik Lagina ini adalah serpihan tulang manusia. Menurut hasil kajian, tulang itu dipercayai milik seseorang yang berasal dari timur tengah. Penemuan ini membingungkan para pengkaji kerana terdapat teori baru yang mengaitkan Pulau Oak dan Kesateria Templar.
Salib Kuno
Sebuah salib kecil berjaya ditemui semasa proses penggalian. Hasil ujian makmal menganggarkan salib itu dibuat di antara tahun 1200 dan 1600, jauh lebih lama dari sebelum Christopher Columbus menjejakkan kaki di benua Amerika.
Dakwaan salib itu disangkal oleh Zena Halpern, seorang penulis buku bagi Kesateria Templar dan mendakwa salib itu adalah Tanit, dewi Phoenician yang disembah oleh segolongan Kesateria Templar.
Batu Rhodolite
Mungkin penemuan yang paling berharga setakat ini adalah sebuah batu permata Rhodolite yang berwarna merah. Batu ini dipercayai berusia lebih 500 tahun. Apa yang menarik bagi batu ini, ianya selalu dijumpai di Afrika. Mungkinkah ada kapal dari Afrika yang pernah singgah ke Pulau Oak ratusan tahun yang lalu? Atau mungkinkah batu ini milik Marie Antoinette?
Apa yang pasti, rhodolite merupakan perhiasan yang selalu dipakai oleh tamadun Rom dan Mesir di dalam upacara keagamaan.
Sir Francis Drake
Marty dan Rick percaya bahawa Francis Drake mungkin ada perkaitan dengan binaan Money Pit yang kompleks kerana beliau bukan sahaja seorang lanun yang terkenal malah beliau juga mempunyai kemahiran kejuruteraan yang tinggi dan tak mustahil untuk beliau membina struktur seperti Money Pit.
Bukan itu sahaja, Francis Drake telah mengumpul harta karun yang sangat banyak dari aktiviti lanunnya. Walaupun sebahagian daripada hartanya telah dikenakan cukai dan dipulangkan kembali kepada Britain, namun tidak mustahil untuk seorang lanun untuk menyembunyikan sebahagian harta peribadinya.
Related Posts
Part time independent writer and podcaster from Northern Malaysia.