Pada 4 Ogos 2020, kita digemparkan dengan berita tentang letupan besar yang berlaku di Beirut. Beberapa video yang sempat merakam letupan itu telah tular di media sosial.
Menurut laporan, dianggarkan seramai 137 orang telah terkorban dan 5,000 orang lagi mengalami kecederaan. Insiden yang berlaku di Pelabuhan Beirut itu juga telah memusnahkan 300,000 tempat tinggal orang awam dengan anggaran kerugian sebanyak 10 hingga 15 billion US dollar.
Punca Letusan
Kenyataan rasmi dari Presiden Lebanon, Michel Aoun, punca letupan itu adalah disebabkan oleh 2,750 tan ammonium nitrat yang di simpan secara berbahaya di sebuah gudang berdekatan Pelabuhan Beirut.
Ammonium nitrat adalah sebatian kimia yang sering digunakan dalam bidang pertanian sebagai baja nitrogen. Sebatian ini juga digunakan dalam penghasilan letupan dalam bidang perlombongan dan pembinaan awam.
Ammonium nitrat ini secara amnya adalah selamat jika disimpan dengan betul. Namun, jika disimpan dengan kuantiti yang terlalu banyak dalam jangka masa yang lama, sebatian kimia ini akan mengalami proses pereputan yang boleh mengakibatkan letupan.
Kronologi
Semuanya bermula pada 2013, apabila sebuah kapal kargo MV Rhosus yang sarat dengan muatan ammonium nitrat dijadualkan berlayar dari Georgia ke Mozambique. Namun kapal kargo tersebut mengalami kerosakan teknikal dan akhirnya terpaksa berlabuh di Beirut untuk proses baik pulih.
Menurut shiparrested.com, kapal kargo itu telah diperiksa oleh pihak berkuasa Lebanon dan dilarang daripada meninggalkan pelabuhan tersebut. Akhirnya MV Rhosus berserta kargo yang dibawa ditinggalkan begitu sahaja oleh pemiliknya. Ammonium nitrat yang banyak itu dipindahkan ke sebuah gudang di kawasan pelabuhan atas perintah mahkamah tanpa dikawal selia dengan baik sehingga terjadinya insiden buruk pada minggu lalu.
Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kastam Lebanon, Badri Daher, pihaknya telah mengusulkan beberapa permohonan agar pihak berkuasa dapat menangani masalah ammonium nitrat yang merbahaya ini dan mencadangkan ia dieksport keluar dari kawasan pelabuhan. Namun tiada tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa.
Beberapa dokumen rasmi pihak kastam yang tular di media sosial menunjukkan bahawa pihak kastam telah mengirim sekurang-kurangnya 6 surat permohonan dari tahun 2014 hingga 2017 kepada badan kehakiman untuk menyelesaikan isu ini.
Pada masa ini, semua pegawai yang terlibat dalam salah urus di Pelabuhan Beirut telah dikenakan perintah tahanan rumah bagi membantu siasatan yang sedang berjalan.
Related Posts
Part time independent writer and podcaster from Northern Malaysia.