Kita sering ditakutkan dengan jumlah hutang negara , web National Debt Clock meletakkan hutang Malaysia sekitar 674 billion. Sekitar 66.5% dari keseluruhan GDP Malaysia. Jika hutang ini dibahagikan antara semua rakyat Malaysia yang berjumlah 32 juta, setiap individu memikul beban hutang sebanyak 21 ribu ringgit. Namun data ini tidak conclusive, data dari Bruce Gale sebagai contoh, seorang ahli ekonomi, meletakkan hutang negara Malaysia berbanding GDP pada 53.2%.
Pada sudut pandang rakyat biasa 674 billion merupakan angka yang sangat besar, kerana kita tidak biasa dengan angka sebesar ini dalam kehidupan harian kita. Jumlah yang paling besar yang kita pernah uruskan mungkin sekitar 300 ribu hingga 500 ribu bagi pinjaman perumahan. Jika ahli perniagaan memerlukan pinjaman untuk memperbesarkan perniagaan mereka, begitu juga negara memerlukan pinjaman bagi membiyai program-program pembangunan negara.
Bagaimana Malaysia berhutang?
Seperti mana negara lain, kerajaan menerbitkan bon atau islamic bon (sukuk) yang kemudiannya dipecahkan kepada unit-unit kecil dan dijual untuk langganan. Fund-fund besar di Malaysia seperti PNB, KWSP, KWAP, LTAT dan TH merupakan antara pelanggan biasa bon kerajaan. Dalam erti kata lain, hutang kerajaan kebanyakan nya merupakan hutang domestik dalam mata wang ringgit. Juga harus di ingati, apabila Kerajaan Malaysia membayar semula langganan bon ini beserta faedah, keuntungannya akan kembali kepada rakyat dalam bentuk dividen. Sebagai contoh, mengikut laporan kewangan KWSP bagi tahun 2016, pegangan KWSP dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon adalah sebanyak 181.3 billion. Ini bermaksud dari 674 billion hutang kerajaan 27% adalah dari KWSP.
Bagaimana perbandingan hutang Malaysia dengan negara lain?
Hutang negara kebiasaanya di nilai dengan perbandingan dengan GDP (Gross Domestic Product). Apa itu GDP? GDP adalah market value sesebuah negara, dalam erti kata lain, berapa nilai sesebuah negara. Ia dikira dengan mengambil kira keseluruhan produk dan servis yang dihasilkan sesebuah negara, nett export, public consumption dan government spending. Dalam bahasa yang lebih mudah, ia mengukur kekayaan sesebuah negara. Dalam skala individu mungkin analogi nya seperti pendapatan bulanan (GDP dikira tahunan), seorang yang berpendapatan seribu sebulan mungkin tidak layak untuk meminjam dari bank 500 ribu bagi pinjaman perumahan. Kerana tidak cukup kaya, dan bank tidak yakin akan keupayaan nya untuk bayaran semula pinjaman.
Begitu juga negara. Hutang negara perlu dilihat dari kemampuannya, iaitu dari GDP negara tersebut. Saya pilih beberapa negara yang saya kira signifikan, data yang sama dari National Debt Clock.
- United Kingdom berhutang 87% dari GDP negara mereka.
- Amerika Syarikat berhutang 106% dari GDP negara mereka.
- Singapura berhutang 115% dari GDP negara mereka.
- Jepun berhutang 249% dari GDP negara mereka!
Perhatikan negara-negara lain berhutang lebih dari apa yang mereka produce (kecuali UK dalam contoh ini). Jepun sehingga hampir 2.5 kali ganda! Manakala Malaysia tidak berhutang melebihi GDP, Malaysia berhutang hanya separuh dari apa yang kita hasilkan setiap tahun.
Bolehkah Malaysia membayar hutangnya?
Jika kita hendak berhutang dengan bank sebagai contoh, bank akan melihat record CCRIS kita yang dikeluarkan BNM. Jika rating kita rendah, kita tidak akan mendapat pinjaman, kerana bank tidak yakin kita mampu membayarnya.
Kebolehan membayar hutang bagi negara-negara kebiasaannya diukur melalui rating agency. Antara rating agency yang selalu diguna pakai adalah Moody’s, S&P dan Fitch. Moody’s meletakkan Malaysia dalam kategori A3 (bagi September 2017) bersamaan dengan A- bagi penilaian S&P dan Fitch. A3 atau A- merupakan upper medium grade atau investment grade, dalam erti kata lain pelabur boleh meletakkan duit mereka di Malaysia dengan yakin melalui rating ini, kerana ia memberi gambaran kebolehan Malaysia membayar pinjaman dan memberi pulangan pelaburan.
Kesimpulan
Malaysia sememangnya mempunyai hutang sebagaimana negara-negara lain. Ianya perlu bagi membiyai pembangunan negara. Jika kita menilai hutang ini secara objektif seperti peratusan dari GDP, Malaysia masih di paras yang reasonable. Agensi penarafan juga meletakkan Malaysia di dalam kategori yang selesa. Jika benar negara akan bankrap, rating kita sepatutnya jauh lebih rendah, iaitu pada Triple C (Fitch) atau C (S&P).
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.
Leave a Reply