The Independent Insight

Giving truth a voice

  • Email
  • Facebook
  • Flickr
  • Instagram
  • Phone
  • Twitter
  • Vimeo
  • YouTube
  • Berita
  • Politik
  • Ekonomi
  • Teknologi
  • Reviu
    • Reviu Buku
    • Reviu Filem
    • Reviu Muzik
  • Rencana
  • Podcast
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami

Koleksi Refleksi di IABF: Merayakan Seni dan Sastera

May 24, 2025 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Seni sentiasa menarik saya kepadanya. Namun jodoh saya dengannya selalu tiada. Di sekolah menengah, saya terfikir untuk mengikuti aliran sastera, namun, atas nasihat ibu, saya mengikuti aliran sains. Saya terus mengalir selepas itu hinggalah ke kursus kejuruteraan di St. Petersburg, Russia. Namun, seni tetap sering sahaja menarik saya. Walaupun saya tiada pendedahan pada seni lakonan, teater, tarian, filem dan sebagainya, namun tulisan terus berjaya mengekori saya sepanjang saya mengalir di sungai sains. Saya bermula dengan blog dan kemudian buku. Satu sungai lain mengalir dalam diri saya. Setakat itu sahaja pengalaman saya dengan seni, itu pun jika tulisan bukan fiksyen itu boleh dianggap seni. Mengalir di dalam industri buku, saya sempat menyertai Ipoh Alternative Book Fest (IABF) pada 3-4 Mei 2025. Dalam tulisan kali ini, saya ingin merakamkan sedikit koleksi refleksi sepanjang IABF.

Mengenali Projek Tubuh-Rumah dan Memahami Pengalaman Mereka

Antara pengisian yang sempat saya ikuti di IABF adalah perihal Projek Tubuh-Rumah oleh Dr. Syafiq Faliq (Sefa). Perkongsiannya perihal projek ini didasari konsep amalan sebagai kajian, yang meletakkan praxis sebagai satu perkara yang tidak memisahkan teori dan amalan. Antara konsep yang dibincangkan oleh beliau adalah corporeality, satu konsep ketubuhan.

Saya pertama kali membaca perbahasan perihal corporeality dari tulisan novel-falsafah oleh Ibnu Tufail. Sebuah novel yang mirip dengan kisah Mowgli dan juga Tarzan, cuma watak novel Ibnu Tufail itu dibesarkan oleh seekor ibu rusa. Ibnu Tufail banyak membawa idea solitude dan bagaimana eksplorasi dalaman diri boleh menghasilkan ilmu dan membawa manusia kepada jalan kebenaran.[1]

Sesi Syafiq Faliq semasa IABF diakhiri dengan persembahan teater solo. Mungkin ini kali pertama saya melihat persembahan teater secara langsung di depan mata. Teater solo Syafiq Faliq mempunyai unsur tafakkur dan doa memohon petunjuk dan kefahaman dari Tuhan. Pergerakan badannya pula mempunyai unsur silat, mantera, dan mistik menurut pandangan saya yang buta seni. Hentakkan kaki beliau juga agak kuat, takut saya bangunan kedai berlantai kayu itu akan roboh.

Habis perbentangan dan persembahan, saya sempat berbual ringkas bersama beliau di reruai Tokosue. Saya kemudian mendapatkan buku beliau yang bertajuk Tubuh-Rumah: Kajian dan Nota-Nota Proses.

Dalam nota penyunting makalah tersebut ada disebutkan tentang bagaimana penerbitan akademik mempunyai ruang yang ketat dalam hal penerbitan. Ini menyebabkan intelektual baharu sangat sukar untuk tumbuh dan mendapat tempat.[2]  Saya bersetuju dengan hal ini, apatah lagi dalam bidang seni dan sastera yang sering dianggap sebagai ekspresi dan tidak akademik. Hasilannya juga mungkin kurang tepat untuk diukur menggunakan penerbitan jurnal. Saya kira perlu ada satu medium dan platform yang lebih mesra kepada intelektual baharu dan juga bidang seni, mungkin dalam bentuk catatan yang lebih longgar tapi diterima sebagai satu hasilan seni akademik.

Syafiq di dalam buku yang merekodkan proses-proses Projek Tubuh-Rumah ini ingin mengkaji persoalan bagaimanakah aspek seperti komuniti, lokasi dan etnik boleh digambarkan melalui ekspresi pergerakan badan.[3]  Inilah yang cuba diterokai oleh beliau dalam kajiannya. Manifestasi ini cuba dipersembahkan dalam menggambarkan pengalaman para pelajarnya terhadap Malaysia sebagai sebuah rumah untuk mereka. Syafiq ingin meneroka, apakah yang dirasakan oleh pelajarnya jika dikatakan Malaysia itu sebagai sebuah rumah buat mereka.[4]  Dalam 4 orang pelajar yang dipilihnya, hanya seorang bernama Owen yang memaparkan manifestasi rumahnya dalam sudut yang positif. Owen menggambarkan rumah sebagai tempat untuk bersama keluarga, beliau menghargai momen hari-hari biasa bersama keluarga seperti pengalaman masak bersama.[5]  Catatan yang dilakukan dalam mendokumentasikan pengalaman Owen yang datang dari etnik Murut di Sabah saya kira sangat menarik. Anak-anak mula diajar memasak apabila mereka masuk ke sekolah menengah. Perkara ini saya kira boleh diaplikasikan dalam keluarga termasuk keluarga saya sendiri. Aktiviti memasak ini akan mendedahkan anak-anak dengan pelbagai pengalaman hidup yang pasti berguna dan membekas di dalam hidup mereka.[6]  Dari manifestasi yang digambarkan juga, saya dapat memahami bahawa pembangunan pesat di Malaysia sebenarnya mempunyai kesan negatif terhadap pengalaman memaknakan Malaysia sebagai rumah, ini diperlihatkan dengan Malaysia yang digambarkan sebagai hutan konkrit dengan trafik yang sesak.[7]

Dalam catatan nota proses ini, apa yang menarik perhatian saya adalah adanya penekanan yang diberikan kepada aspek saling-hubung. Iaitu walaupun setiap peserta memanifestasikan pengalaman rumah masing-masing, mereka dihubungkan dengan sebuah kain yang menunjukkan bahawa pengalaman mereka itu sebenarnya bukanlah terpisah, tetapi mempunyai hubung kait dan melambangkan naratif yang lebih besar.[8]  Ini merupakan satu penelitian yang menarik, dalam filem misalnya, kaedah ini sering digunakan, sesuatu peristiwa itu berlaku, dianggap terasing, tetapi kemudiannya didedahkan sebagai mempunyai kesan kepada peristiwa yang lain pula.

Catatan refleksi Lion dan Arissa, juga pada saya sangat menarik.[9]  Mereka melihat proses pembikinan Tubuh-Rumah itu umpama satu proses kehidupan, bagaimana kita menghadapi zaman remaja yang penuh rebel dan keengganan, cuba melepaskan diri dari segala ikatan, hingga akhirnya tersedar bahawa segala ikatan itu mempunyai makna. Akhirnya kita kembali dan menghargai, kita mahu pergi semula ke momen-momen lampau. Catatan-catatan di dalam nota proses ini ditulis tanpa suntingan, oleh itu terdapat banyak kesalahan bahasa dan ejaan, namun ada juga baiknya ia dibiarkan seperti itu, daripada format seperti ini, kita dapat melihat kebolehan sebenar para pelajar yang mencatat, kerana bahasa dan ayat yang digunakan itu asli dan menggambarkan situasi sebenar. Catatan refleksi dan proses penghasilan teater ini juga saya kira sangat baik dan bernilai bagi pelajar akan datang. Mereka akan dapat melihat masalah-masalah yang pernah berlaku dan belajar perihalnya.

Mengolah Sejarah Sebagai Sebuah Fiksyen

Di IABF, saya juga sempat menyertai diskusi buku bersama pengarang fiksyen Salina Christmas dan Zarina Holmes. Perkongsian mereka saya kira sangat menarik kerana mereka banyak berbincang tentang hal-hal sejarah yang menjadi latar novel mereka. Menurut Salina, untuk sesebuah tulisan fiksyen itu menjadi satu tulisan yang baik dan diterima, ia mestilah dibelakangi oleh sejarah yang betul. Disebabkan itu, mereka telah membuat kajian yang terperinci dalam menghasilkan novel mereka.

Mereka juga berkongsikan hakikat bahawa untuk menjadi penulis yang baik, idea sebenarnya ada di sekeliling kita, di museum, di kedai-kedai buku lama, kita hanya perlu memberi perhatian dan melihatnya dengan lebih dekat untuk mengambil inspirasi dan idea. Saya sempat bertanya tentang apakah sumbangan yang fiksyen boleh berikan kepada sejarah sebagai sebuah bidang ilmu. Hal ini saya rasakan menarik kerana sejarah yang bersifat objektif itu boleh digunakan dalam sastera fiksyen yang bersifat subjektif.

Bagi Salina, fiksyen boleh menjadi pintu yang dapat membuka minat pembaca kepada sejarah. Selain itu, fiksyen juga memberi “what-if” kepada pembaca. Ia memberi satu imaginasi kepada pembaca bahawa sejarah itu tidak semestinya bersifat tetap, tetapi ia dapat digunakan untuk kita berimaginasi dan melakukan progres dalam dunia sebenar. Perkongsian mereka ini sangat menarik, saya sempat mendapatkan sebuah novel mereka iaitu The Keeper of My Kin, dan diberikan sebuah lagi novel sebagai hadiah oleh mereka yang bertajuk A Request for Betrayal.[10]

Belajar Menggubah Puisi Dari Jack Malik

Saya secara peribadi tidak menggemari puisi moden yang tidak mempunyai bentuk dengan makna yang terlalu abstrak. Puisi seperti ini biasanya tidak dapat difahami oleh pembaca. Saya akui, puisi itu tafsirannya harus diserahkan kepada pembaca. Namun tanpa satu bentuk yang menarik dan puitis, saya gagal melihat puisi moden itu sebagai sebuah puisi. Misalnya satu muka surat yang dipenuhi huruf “A A A A A”. Ini bagi saya sesuatu yang mengarut dan bukanlah sebuah karya puisi. Pandangan saya ini mungkin bersifat konservatif dan tidak cocok dengan sifat puisi moden yang bebas dan membebaskan. Pandangan saya ini kemudiannya menjadi kendur sedikit apabila saya menyertai sendiri kelas menulis puisi bersama Jack Malik di IABF. Di situ saya belajar bahawa puisi moden ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri.

Dalam kelas tersebut, Jack menghuraikan tentang sejarah puisi moden Melayu Malaysia, beliau memulakan perbahasannya dengan mengkritik puisi healing tahun 2020-an yang baginya terlalu shallow, menggunakan kata-kata klasik tetapi tidak mempunyai makna yang mendalam. Puisi bagi beliau tidak hanya bergantung kepada bahasa klasik seperti “puspa gemala” dan “mustika kanda” tetapi perlu jujur dan mempunyai makna. Walaupun saya memahami maksud kritikan Jack ini, saya masih merasakan bahawa ia kelihatan berlawanan dengan idea puisi bebas yang beliau sendiri bawakan. Jika puisi moden itu bebas dan tiada bentuk, mengapa perlu dikritik jika mereka mahu menggunakan bahasa klasik? Adakah kebebasan itu milik pemuisi tertentu sahaja?

Menurut Jack, sastera Indonesia telah memutuskan tradisi. Puisi moden Indonesia dimulakan oleh Chairil Anwar, puisi-puisi moden Indonesia juga dilihat lebih violent jika dibandingkan dengan puisi Malaysia yang lebih santun. Puisi moden Malaysia bermula agak lewat, lewat 10 tahun berbanding Indonesia. Pelopor puisi moden Malaysia adalah Yassin Makmur yang terkenal dengan nama penanya iaitu Pungguk. Bentuk puisi yang ditulis Pungguk telah dibuang pembayang, puisinya terus kepada pemaksud tetapi masih mengekalkan bentuk pantun. Pantun ini biasanya diolah menggunakan unsur-unsur alam. Dalam menghuraikan kategori dan perbandingan antara puisi dan sajak. Jack menerangkan bahawa puisi adalah sebuah payung besar, manakala sajak adalah puisi moden berbentuk freeform.

Suasana politik Tanah Melayu mempunyai kesan langsung kepada bentuk puisi yang dihasilkan. Pada tahun 1940-an, kedatangan Jepun sebagai penjajah telah memperlihatkan bagaimana sastera di Tanah Melayu diserapi unsur nasionalisme. Ini misalnya dapat dilihat dari karya seperti Perajurit Negara (1944) oleh Masuri S.N. dan Jiwa Hamba (1949) oleh Usman Awang. Tahun 1960-an dianggap sebagai tahun keemasan puisi tanah air di mana kita melihat sudah ada eksperimen dilakukan dalam sajak-sajak Melayu. Kemuncak kepada sastera puisi Melayu Malaysia adalah pada tahun 1970-an.

Saya sebenarnya telah lama membeli buku puisi Jack Malik, tajuknya Gampang![11] Buku puisi ini saya beli semasa Pesta Buku Kuala Lumpur pada tahun 2023. Selepas sesi kelas puisi bersama Jack di IABF baru saya mula membaca buku puisi ini. Seperti yang disebut-sebut oleh Jack Malik di IABF bahawa puisi itu memerlukan kejujuran, dalam Gampang! Perihal kejujuran ini disebut juga dalam kata mula oleh Affendi Salleh.[12] Ini saya lihat sebagai satu tema yang konsisten. Pada mulanya saya merasakan tajuk buku ini agak kasar dan mungkin tidak begitu sopan. Namun setelah menyelaknya, baru saya sedar perkataan Gampang itu mempunyai dua makna dalam bahasa Melayu.[13] Salah satunya adalah bermakna mudah, makna ini diambil sebagai tema dalam menggambarkan bandar Ipoh sebagai sebuah tempat yang dihuni oleh orang-orang yang hidupnya mudah-mudah (rileks) sahaja.

Selain sebagai apresiasi Jack kepada bandar Ipoh, koleksi puisi ini juga saya lihat sebagai satu bentuk dokumentasi yang merekodkan budaya orang Ipoh terutamanya makanan-makanan yang terkenal di bandar tersebut.[14] Namun kerana terlalu banyak kali diulang-ulang perihal cheong fun, new hollywood, dan kastard karamel, lama-lama saya merasakan puisinya agak membosankan. Mungkin sedikit sisi kritis yang ada dalam sajak Jack Malik dalam naskah Gampang! adalah kritikan beliau pada puisi Lutfi Ishak perihal penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa cinta. Jack tidak bersetuju, baginya “language is personal”.[15] Maka orang yang bercinta boleh menggunakan apa-apa bahasa pun, tidak semestinya bahasa Melayu.

IABF Sebagai Medan Bertemu Karyawan

Acara seperti IABF bagi saya merupakan acara yang sangat sesuai untuk bertemu dan berkenalan dengan para karyawan. Berbeza dengan vibe PBAKL yang sesak dan gamat, IABF suasananya tenang dan chill sahaja. Oleh itu banyak masa dan ruang yang ada yang boleh digunakan untuk duduk, bersembang, dan berkenalan.

Antara karyawan yang sempat saya temui adalah Beduk Logam.[16] Saya sebenarnya telah lama bersahabat dengan beliau di alam maya, dalam acara ini baharu saya sempat berkenalan dan bertegur sapa. Jika dilihat di gambar profil di media sosial, saya ingatkan Beduk Logam ini seorang yang garang. Namun ternyata benar pepatah “don’t judge people by its social media”. Beduk Logam merupakan seorang penulis yang mesra dan mudah sahaja bersembang. Saya sempat mendapatkan naskah kumpulan cerpen terbitannya dengan tanda tangan.[17] Kami juga sempat makan cendol di tepi jalan bersama.

Para peserta, pengkarya, penulis, penganjur, pemuisi, penerbit, pembaca, penjual buku bergambar di hujung acara IABF pada 4 Mei 2025.

Saya juga sempat duduk bersembang bersama M Farez yang mengusahakan penerbitan Kaukab, saya sudah beberapa kali bertemu Farez di acara buku, namun kali ini baru ada ruang tersedia untuk duduk bersembang dengan lebih lama. Dalam persembangan, baru saya ketahui bahawa beliau berasal dari Kedah. Saya juga sempat mendapatkan buku kumpulan puisi M Farez bertajuk Nuzentara dengan tanda tangan.[18]

Di IABF juga saya berkesempatan bersembang dan berjenaka dengan teman yang datang dari Kuala Lumpur iaitu Benz Ali dan isterinya Kia Syakira. Mereka datang membuka reruai di IABF menerusi perusahaan Toko Buku Rakyat. Banyak juga yang saya sembangkan dengan Benz termasuklah persediaan beliau ke PBAKL, perihal jual buku “yang-aku-suka-sahaja”, buku baru terbitannya, dan juga seni memahami art berat. Ada satu buku menarik yang saya jumpai di meja jualan Toko Buku Rakyat, iaitu sebuah memoir oleh Zin Mahmud, kerana tajuknya seperti ingin membahaskan buku-buku yang menarik sepanjang hidupnya, maka saya beli senaskah.[19] Saya memang meminati penulisan yang menceritakan kisah peribadi seseorang dan interaksinya dengan buku sepanjang hidup. Malah saya pernah menulis sebuah artikel di jurnal perihal hal ini, penulisan perihal buku ini saya termakan sebagai “persuratan bibliofil”.[20] Tulisan Zin Mahmud ini saya sempat belek-belek, ia mengadunkan pengalaman hidup bersama buku-buku yang dibacanya. Menarik.

Demokrasisma: Membahaskan Masalah Demokrasi

Di IABF juga saya sempat berbual santai bersama Ku Syafiq membincangkan buku Demokrasisma: Masalah-Masalah Dalam Sistem Demokrasi yang baru diterbitkan oleh Rabak-Lit. Buku ini sebenarnya telah saya mulakan penulisannya sejak tahun 2019 lagi. Saya sentiasa merasakan ia tidak cukup mantap untuk diterbitkan menyebabkan saya memeram manuskrip tersebut agak lama. Sehinggalah saya bersembang dengan Cikgu Afiq Rostam pada PBAKL 2024 di mana beliau meyakinkan saya untuk menerbitkannya. Selepas itu baru saya nilai semula dan tambah baik manuskrip tersebut. Manuskrip tersebut juga mendapat komen penambahbaikan oleh Izzat Amir yang merupakan ketua penerbitan bagi buku tersebut.

Dalam buku tersebut, saya melihat demokrasi itu bermasalah sebagai satu sistem, bukan sekadar dari segi falsafah dan perlaksanaannya. Ini kerana saya mendapati banyak kritikan yang diberikan kepada demokrasi dilakukan untuk menambah baik sistem, saya pula mengkritik dari perspektif menolak ia sebagai sebuah sistem. Dalam sesi soal jawab, Azan Safar dari Kawah Buku ada bertanya perihal apakah alternatif yang kita ada jika kita mahu menolak sistem demokrasi. Saya merasakan tidak ada satu sistem universal yang boleh dikatakan sesuai untuk semua masyarakat. Sebaliknya setiap masyarakat perlu membangunkan sistemnya secara tersendiri.[21] Diskusi ini turut mendapat liputan dari portal Story of Books di mana mereka menulis:

“Writer and historian Syed Ahmad Fathi debuted his new book about the challenges of democracy, Demokrasisme, published by Rabak Lit. Fathi hypothesised that Western-style democracy is a hegemony that’s biased towards European values, but at the same time it’s also responsible for the demise of older civilisations.”[22]

Saya melihat demokrasi liberal yang dipaksakan kepada negara-negara dunia pada hari ini adalah sambungan kepada sistem kolonial dan imperial lama. Sistem-sistem pemerintahan negara-negara Timur diperlihatkan dalam lensa yang buruk seperti bersifat feudal, asiatik, autokratik, dan menindas. Walhal sistem yang paling kejam dan membunuh manusia dalam skala industri adalah sistem demokrasi liberal Barat. Ini dapat dilihat dengan jelas dalam jenayah genosida yang berlaku di Gaza bermula Oktober 2023. Cuma mungkin deskripsi Story of Books itu agak terlebih sedikit, saya bukan historian, tetapi saya adalah student of history.

Penutup: Perayaan Sastera Dan Seni Yang Mengasyikkan

Secara keseluruhan saya merasakan penganjuran IABF 2025 ini telah berlangsung dengan jayanya. Ia telah menjadi satu ruang yang segar dan selamat untuk para pengkarya berkongsi ekspresi, eksperimen, dan kajian mereka. Ekspresi ini termasuklah dalam bentuk audio, gerakan badan (teater), penulisan fiksyen, puisi, penulisan non-fiksyen dan lain-lain. Selain itu, ia juga adalah satu ruang yang sangat kondusif bagi sekalian pengkarya untuk saling mengenal antara satu sama lain dan membincangkan kolaborasi bersama dalam suasana yang aman dan harmoni. Semoga perayaan sastera dan karya yang segar dan menyegarkan ini akan kita temui lagi di masa hadapan.

Bibliografi

Beduk Logam. 2024. Humoria. Kuala Krai: Ani Aziz.

Christmas, Salina. 2023. A Request for Betrayal. London: Story of Books.

—. 2023. The Keeper of My Kin. London: Story of Books.

Ibnu Tufail, Abu Bakar . 2020. The History of Hayy Ibn Yaqzan (Translated by Simon Ockley and with introduction by Bakhtyar Husain Siddiqi). Islamic Book Trust, 2020.

Jack Malik. 2023. Gampang! Kumpulan Pomes Jack Malik 2019-2022. Seremban: Rabak-Lit.

M Farez. 2013. Nuzentara: 45 Lorekan Sajak. Penerbit Kaukab.

Story of Books. 2025. “IABF 2025: A charm offensive of authors and poets.” 17 May.

Syafiq Faliq bin Alfan. 2024. Tubuh-Rumah: Kajian dan Nota-Nota Proses. Terbitan Langit.

Syed Ahmad Fathi. 2025. Demokrasisma: Masalah-Masalah Dalam Sistem Demokrasi. Seremban: Rabak-Lit.

Syed Ahmad Fathi. 2024. “Meneliti Karya-Karya Persuratan Bibliofil di Malaysia.” Jawhar: Jurnal Kajian Ketamadunan 20 83-97.

Zin Mahmud. 2025. Memoir: Hidup Kerana Buku Vol. 2. Kuala Lumpur: Fajar Kiri.


[1] Abu Bakr Ibn Tufail. The History of Hayy Ibn Yaqzan. Translated from the Arabic by Simon Ockley. Islamic Book Trust, Kuala Lumpur, 2020.

[2] Syafiq Faliq bin Alfan. Tubuh-Rumah: Kajian dan Nota-Nota Proses. Terbitan Langit, 2024.

[3] Ibid., hlm. 7.

[4] Ibid., hlm. 8-9.

[5] Ibid., hlm. 11.

[6] Ibid., hlm. 42-46.

[7] Ibid., hlm. 13.

[8] Ibid., hlm. 18.

[9] Ibid., hlm. 21-22.

[10] Dua novel ini ditulis oleh Salina Christmas dan diterbitkan oleh Story of Books pada tahun 2023 dengan Zarina Holmes sebagai editor.

[11] Jack Malik, Gampang! Kumpulan Pomes Jack Malik 2019-2022. Seremban: Rabak-Lit, 2023.

[12] Ibid., hlm. 9.

[13] Ibid., hlm. 16.

[14] Ibid., hlm. 20, 48.

[15] Ibid., hlm. 31-32.

[16] Beduk Logam adalah nama pena bagi Ani Aziz, graduan UiTM dalam bidang penulisan kreatif dan berasal dari Kelantan.

[17] Kumpulan cerpen Beduk Logam bertajuk Humoria diterbitkan secara mandiri pada tahun 2024.

[18] M Farez, Nuzentara: 45 Lorekan Sajak. Penerbit Kaukab, 2013.

[19] Zin Mahmud, Memoir: Hidup Kerana Buku Vol. 2, Kuala Lumpur: Fajar Kiri, 2025.

[20] Syed Ahmad Fathi. “Meneliti Karya-Karya Persuratan Bibliofil di Malaysia”. JAWHAR: Jurnal Kajian Ketamadunan 20: 83-97, 2024.

[21] Jawapan penuh bagi sesi soal jawab, dan rakaman keseluruhan sesi boleh diakses dalam video Diskusi di Ipoh Alternative Book Fest (IABF) 2025 perihal buku DemokRasisma: Masalah-Masalah Dalam Sistem Demokrasi bersama Syed Ahmad Fathi dengan Ku Syafiq sebagai moderator bertempat di Moody Kafe, Ipoh pada hari Ahad, 4 Mei 2025. Pautan rakaman diskusi: https://www.youtube.com/watch?v=LjvCb0S78jI

[22] “IABF 2025: A charm offensive of authors and poets”. Story of Books, 17 May 2025. Pautan: https://storyofbooks.co.uk/2025/05/17/iabf-2025-a-charm-offensive-of-authors-and-poets/

Koleksi-Refleksi-di-IABF-Merayakan-Seni-dan-SasteraDownload
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Berita Tagged With: Azan Safar dari Kawah Buku, Beduk Logam, Benz Ali, Demokrasisma: Masalah-Masalah Dalam Sistem Demokrasi, Dr. Syafiq Faliq (Sefa), Ipoh Alternative Book Fest (IABF), Jack Malik, Kaukab, M Farez, Projek Tubuh-Rumah, Salina Christmas, Story of Books, Toko Buku Rakyat, Zarina Holmes

Recent Posts

  • Koleksi Refleksi di IABF: Merayakan Seni dan Sastera
  • Book Review: The Devided State: Factional Structures and the Crisis of Democracy (2025) by Joonhong Park
  • Ulasan Buku: Feudalisme: Sejarah dan Persejarahan
  • Dar al-Suhyuni: Apabila Ulama Islam Menjadi Neo-Orientalis
  • Alip Moose: “Beginilah Bila Bercakap Tak Tahu Apa-Apa”

Archives

Copyright © 2025 The Independent Insight