Malaysia Madani telah mengalu-alukan kedatangan syarikat-syarikat senjata ke Defence Services Asia and National Security Asia 2024 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 6-9 Mei 2024. Pameran senjata ini dilakukan ketika Perang Taufan Al-Aqsa masih berlangsung di Gaza, Palestin dan tentera Israel sedang memulakan serangan mereka untuk membunuh wanita dan kanak-kanak di Rafah. Antara syarikat yang diundang oleh kerajaan Malaysia Madani adalah Lockheed Martin dan BAE System yang membekalkan senjata kepada Israel untuk membunuh anak-anak Gaza.
Apabila dipersoalkan perihal sikap hipokrasi ini, Menteri Pertahanan telah mengeluarkan kenyataan untuk mempertahankan syarikat yang membekalkan senjata pada Israel ini. Khaled Norden mengatakan bahawa “Malaysia adalah sebuah negara perdagangan bebas yang memberi ruang kepada semua pemain industri global untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di Malaysia”. Ini secara terang-terangan telah menunjukkan sifat hipokrit kerajaan Malaysia Madani dalam solidaritinya kepada Palestin. Sementara negara lain seperti Turki telah memutuskan aktiviti perdagangan ekonomi dengan Israel, Malaysia hanya bersolidariti dengan “cakap-cakap” sahaja tanpa ada usaha yang konkrit dan berkesan.
Insiden ini juga memperlihatkan bahawa kerajaan Malaysia Madani menyokong syarikat pembekal senjata pada Israel. Kerajaan Malaysia Madani juga melalui kenyataannya kelihatan istiqamah dalam mempertahankan syarikat yang membekalkan senjata kepada Israel seperti Lockheed Martin dan BAE System.
Sepatutnya melihat gambar kanak-kanak Gaza yang pecah kepalanya, terburai perutnya, terbakar badannya, hasil pengeboman Israel menggunakan senjata Lockheed Martin dan BAE System akan membuatkan kita menitikkan air mata. Seolah begitu murah harga nyawa anak-anak kita di Rafah. Namun, disebalik semua kekejaman ini, kerajaan kita masih menyambut syarikat pembekal senjata yang membunuh kanak-kanak ini atas nama “kebebasan perdagangan”. Perkara ini sangat memalukan.
Ini juga menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia Madani masih dibelenggu pemikiran kolonial. Sebelum ini, ketika seorang professor pro-kolonial datang, ada intelektual yang membosankan memberi alasan mempertahankannya atas nama kebebasan bersuara. Apabila syarikat yang membekalkan senjata kepada pembunuhan anak-anak di Rafah datang, kerajaan Malaysia Madani memberi alasan Malaysia mengamalkan kebebasan perdagangan. Begitulah “kebebasan” ditunggang untuk menghalalkan kolonialisme dan pembunuhan. Memalukan negara kita masih mengagungkan syarikat yang membunuh anak-anak kita.
Insiden ini pada pandangan saya sangat memalukan Malaysia. Solidariti Malaysia Madani kepada Palestin kelihatan sebagai slogan dan sembang kosong kerana masih menjemput datang syarikat yang membunuh anak-anak kita di Gaza. Solidariti seperti ini adalah solidariti palsu, sepatutnya syarikat senjata ini diludah dan dihalau keluar, bukan dijemput masuk membuat pameran. Nampaknya intelektual dan kerajaan kita masih tertawan, dengan kolonialisma dan pembunuhan pun masih belum dapat membebaskan diri dan pemikiran. Sangat memalukan. Untuk menyatakan protes saya kepada polisi Kerajaan Madani yang pro syarikat pembekal senjata kepada Israel ini, saya telah berdemo dalam Diaspora Podcast bersama Saudara Nazreen. Dengarkan di Spotify.
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.