Selepas 6 bulan rakyat Gaza dibantai dan dibunuh, tiada negara-negara Arab atau negara Islam termasuklah yang kuat bersuara seperti Turki dan Malaysia yang menghantar bantuan ketenteraan, tentera pengaman/pelindung kepada rakyat Gaza. Bukan itu sahaja, malah menghantar tepung dan bantuan asas makanan pun mereka tidak mampu dan terpaksa meminta belas ihsan dari Israel dan sekutunya Amerika Syarikat untuk membantu membuka sempadan. Sebelum kita mula membahaskan subjek ini, saya mahu letak konteks itu terlebih dahulu.
Selepas Israel mengebom konsulat Iran di Damsyik, Syria pada 01 April 2024 dan membunuh 7 warganya termasuklah 2 orang jeneralnya. Akhirnya pada 14 April 2024, Iran melakukan serangan langsung ke Israel menggunakan dron dan peluru berpandu dalam operasi yang disebut sebagai Operation True Promise. Israel dan konco-konconya menyatakan bahawa 99 peratus dari projectile dari Iran ini berjaya dimusnahkan dengan bantuan dari UK, USA, Perancis dan juga negara Islam Jordan.[1] Ya, Jordan telah membantu untuk menghalang peluru berpandu dari sampai ke Israel.
Persoalan yang timbul, adakah serangan ini hanya wayang?
Jika kita melihat serangan ini dari lensa agamawan yang bermain isu sunni-syiah, ya, ia adalah satu wayang sahaja. Saya dahulu juga melihat konflik ini dari kaca mata sunni-syiah ini. Tapi saya telah lama meninggalkan paradigma ini, termasuk apabila Qasem Soleimani dibunuh dahulu, ramai yang bersorak kerana beliau adalah syiah.[2] Tapi apa yang tidak mereka sebut adalah antara yang hadir memberi penghormatan kepada Jeneral Soleimani adalah Ismail Haniyeh sendiri, di mana beliau menyatakan bahawa Soleimani adalah seorang “syahid”.
Perbahasan sunni-syiah, dalam pertarungan geo-politik melawan hegemoni Amerika Syarikat dan Israel sudah tidak menarik minat saya. Bagi saya secara peribadi, permusuhan sunni-syiah ini sudah lama berlalu, tiada keuntungan untuk umat bermusuh dan membunuh sesama sendiri. Jika kita boleh bersahabat dengan rakan-rakan Buddha, Hindhu, Kristian dan lain-lain, saya tidak nampak masalah untuk kita berkawan dengan Syiah. Kita boleh tidak setuju dari sudut akidah dan teologi, tetapi kita tidak perlu bermusuh.
Berbalik kepada persoalan “wayang Iran”. Saya telah mendengar dan membaca pelbagai analisis. Namun yang saya kira paling menarik adalah dari Dr. Mohammad Marandi dari Tehran.[3] Kebanyakan analisis yang cuba untuk merendahkan operasi serangan Iran ini adalah dari media Barat dan sumber Israel sendiri. Dari 6 bulan pembunuhan di Gaza, semua orang sedia maklum bahawa media ini kerap berbohong.[4] Jadi tidak mengejutkan jika angka “99%” itu juga adalah propaganda sahaja. Jika benar pengkalan tentera yang dibedil Iran itu tidak mengalami kemusnahan teruk, Israel boleh membenarkan wartawan melawat pengkalan ini untuk membuat pengesahan. Namun mereka tidak berani, mereka hanya mengeluarkan kenyataan, dan media Barat hanya mengulang cetak kenyataan mereka.
Bagi saya, serangan ini bukan wayang. Tetapi adalah peluang Iran untuk menguji keberkesanan pertahanan udara Israel. Iran dalam operasi ini mengumumkan sejak awal bahawa mereka akan bertindak balas, dan memberikan garis masa (time frame) untuk Israel bersedia. Iran tidak menggunakan peluru berpandu hipersonik mereka, sebaliknya menggunakan peluru berpandu generasi lama dan juga dron kos rendah “Shahed” sebagai decoy.
Di sini kita dapat memahami beberapa perkara.
Pertama, dari operasi ini, Iran dapat memahami bagaimana Israel bertindak balas. Ternyata Israel tidak mampu mempertahankan dirinya sendiri dan terpaksa bergantung kepada kuasa asing untuk membantunya termasuk dari USA, UK, Perancis dan Jordan.
Kedua, walaupun Israel diberi amaran awal dan mempunyai masa untuk bersedia, termasuklah melakukan jamming ke atas sistem GPS di negara mereka, ternyata sistem peluru berpandu Iran masih dapat menembusi pertahanan mereka. Israel sendiri kemudiannya mengakui bahawa peluru berpandu Iran berjaya membedil dua markas tentera mereka termasuk lapangan terbang tentera Nevatim.[5] Kebanyakan dron dan peluru berpandu yang berjaya dipintas adalah decoy. Ini menunjukkan, jika serangan dibuat secara mengejut, tidak diumumkan dan tidak diberi sebarang garis masa, kemusnahan yang lebih besar dapat dilakukan.
Ketiga, dari operasi ini, Iran memberi signal bahawa percaturan defensif mereka telah tamat, kini adalah fasa baharu di mana Iran boleh melakukan serangan ofensif. Amerika Syarikat juga tidak berani melakukan serangan balas terhadap Iran, malah mendesak Israel untuk tidak bertindak balas. Amerika Syarikat menyatakan jika Israel bertindak balas, mereka tidak akan bersama membantu Israel.[6] Ini kerana Amerika Syarikat sedar bahawa banyak pengkalan tentera mereka di Timur Tengah dengan mudah dapat dimusnahkan oleh Iran. Semua ini ini menunjukkan kepada saya bahawa serangan Iran bukanlah satu wayang. Tetapi mereka menggunakan peluang yang ada untuk menguji sistem pertahanan Israel. Dari operasi ini mereka dapat memahami dinamik jika serangan sebenar perlu dilakukan. Seperti yang saya tulis dalam buku saya Resistance Sudah Berbunga, perjuangan melawan Israel kini sudah memasuki fasa baharu.[7] Ia akan mengambil masa untuk memastikan Israel semakin lama semakin lemah. Di sini kita melihat bagaimana Iran melakukan long-game dan tidak tergopoh gapah. Iran sedar, Israel akan kalah juga akhirnya. Oleh itu, lebih baik ia dikalahkan dengan lebih strategik tanpa perlu perang yang lebih besar.
Bibliografi
“Breaking news and analysis on day 191 of Gaza’s Al-Aqsa Flood.” The Electronic Intifada Podcast. April 15, 2024. Accessed April 16, 2024. https://www.youtube.com/watch?v=PSEIoHJmSok&t=1s.
Fabian, Emanuel. 2024. “Visiting targeted air base, IDF chief promises response to Iranian attack.” The Times of Israel, April 15.
Hamza Ali Shah. 2024. “‘Beheaded Babies’ – How Uk Media Reported Israel’s Fake News As Fact.” Declassified UK, January 04.
Marandi, Mohammad, interview by Ali Abunimah. 2024. Why Iran supports Palestine (April 8).
Syed Ahmad Fathi. 2020. “Qasem Soleimani: Dimana letaknya pendirian kita?” Meniti Jambatan Masa, January 08.
—. 2024. Resistance Sudah Berbunga. Tochka Press.
Vasilyeva, Nataliya. 2024. “Israel admits Iranian ballistic missiles struck two military bases.” The Telegraph, April 15.
[1] Emanuel Fabian. “Visiting targeted air base, IDF chief promises response to Iranian attack”. The Times of Israel, 15 April 2024. Pautan: https://www.timesofisrael.com/idf-chief-visits-airbase-hit-in-iranian-attack-says-it-will-be-met-with-a-response/
[2] Qasem Soleimani telah dibunuh oleh Amerika Syarikat pada tahun 2020. Pada Ketika itu, saya juga telah mengkritik pendekatan yang melihat kejadian itu dalam konteks sunni-syiah. Seharusnya semua umat Islam bersatu melawan hegemoni Amerika Syarikat dan juga penjajahan Israel. Rujuk Syed Ahmad Fathi. “Qasem Soleimani: Dimana letaknya pendirian kita?”. Meniti Jambatan Masa, 08 Januari 2020. Pautan: https://bersamakepuncak.blogspot.com/2020/01/qasem-soleimani-dimana-letaknya.html
[3] Terdapat beberapa analisis dari Dr. Marandi yang saya tekuni. Pertama adalah sesi podcast beliau bersama Ali Abunimah di Electronic Intifada di mana beliau menerangkan sejarah hubungan luar Iran dengan dunia sebelum serangan Iran ke atas Israel. Siaran ini bertajuk “Why Iran supports Palestine, with Ali Abunimah and Mohammad Marandi” dan boleh dilihat di pautan: https://www.youtube.com/watch?v=n2WNlRwoyUg&t=1202s . Analisis kedua beliau selepas serangan Iran ke atas Israel boleh dilihat melalui pautan: https://www.youtube.com/watch?v=PSEIoHJmSok
[4] Contoh paling jelas adalah propaganda bahawa 40 bayi telah dipenggal oleh Hamas semasa Operasi Taufan Al-Aqsa. Rujuk artikel oleh Hamza Ali Shah. “‘Beheaded Babies’ – How Uk Media Reported Israel’s Fake News As Fact”. Declassified UK, 04 Januari 2024. Pautan: https://www.declassifieduk.org/beheaded-babies-how-uk-media-reported-israels-fake-news-as-fact/ Ini hanyalah satu sahaja contoh dari pelbagai contoh lain di mana media Barat menjadi mulut propaganda bagi jenayah genocide Israel.
[5] Nataliya Vasilyeva. “Israel admits Iranian ballistic missiles struck two military bases”. The Telegraph, 15 April 2024.
[6] “U.S. will not join any retaliatory action by Israel on Iran: White House”. Nikkei Asia, 15 April 2024. Pautan: https://asia.nikkei.com/Spotlight/Iran-tensions/U.S.-will-not-join-any-retaliatory-action-by-Israel-on-Iran-White-House
[7] Syed Ahmad Fathi. Resistance Sudah Berbunga. Tochka Press, 2024.
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.