Buku Kedah Tua: Sejarah, Arkeologi & Naratif Baharu ini saya kira merupakan satu buku yang menarik yang memperihalkan bukti-bukti dari lapangan kajian arkeologi dalam kita memahami kerajaan kuno Kedah Tua. Kerajaan Kedah Tua merupakan satu kerajaan yang masih misteri kerana banyak sisi-sisi perihalnya tidak diketahui sehingga ke hari ini. Kedah Tua merupakan ketamadunan yang paling awal di Asia Tenggara, ia lebih tua jika dibandingkan dengan Borobudur di Indonesia atau Angkor di Kemboja.[1] Dengan menggunakan kaedah arkeologi, kita boleh membina sedikit gambaran bagi merungkai misteri ini. Arkeologi adalah salah satu kaedah yang boleh digunakan untuk mendapatkan sumber bagi penulisan dan kajian sejarah.[2] Penulisan perihal sejarah kuno ini saya kira penting, persis apa yang pernah ditulis oleh al-Mas’udi, Sang Herodotus Arab, bahawa penulisan sejarah itu adalah usaha untuk menyelamatkan masa lalu.
Dalam memahami sebuah naratif, buku ini telah memberi penerangan tentang apakah yang dimaksudkan dengan naratif. Naratif itu merupakan satu kaedah untuk memberi satu representasi tentang sesuatu fakta dan kajian.[3] Definisi naratif yang diberikan mirip dengan apa yang disebutkan sebagai penyebaban dalam kajian sejarah.[4] Di mana usaha-usaha dilakukan bagi menerangkan sesuatu peristiwa itu secara logikal. Jika sejarah menggunakan bahan-bahan berbentuk tulisan dan lisan bagi membentuk naratifnya, saya berpandangan, arkeologi menggunakan artifak-artifak yang dijumpai bagi membina sebuah kesimpulan. Oleh kerana artifak biasanya tidak memberi penerangan yang terperinci, tafsiran arkeologi condong kepada ekstrapolasi.
Naratif Baharu Perihal Demografi Dan Budaya Masyarakat
Dalam naratif baharu yang cuba dibawa oleh buku ini, Kerajaan Kedah Tua itu tidak hanya tertumpu pada negeri Kedah seperti yang kita fahami hari ini, tetapi meliputi seluruh Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu dengan Lembah Bujang sebagai pusat ekonomi dan populasinya.[5] Berbeza dengan naratif lama yang menafsirkan keseluruhan masyarakat Kedah Tua sebagai masyarakat yang mengamalkan kepercayaan Hindu-Buddha, naratif baharu memecahkan masyarakat kepada beberapa segmen.
Segmen pertama adalah segmen pedagang asing yang mengamalkan ajaran Hindu-Buddha dan juga kepercayaan-kepercayaan lain. Segmen kedua adalah golongan bangsawan dan pemerintah yang menduduki kawasan berdekatan pelabuhan, mereka ini mengamalkan amalan yang dipengaruhi oleh ajaran Hindu-Buddha. Segmen ketiga adalah kaum peribumi yang tinggal di pesisir dan kawasan pedalaman, mereka ini tidak mengamalkan ajaran Hindu-Buddha tetapi mengamalkan kepercayaan asal mereka.[6] Dalam kata lain, naratif baharu yang diketengahkan melihat masyarakat itu dengan keragaman mereka dan tidak membuat satu generalisasi yang simplistik secara keseluruhan.
Permulaan Kerajaan Kedah Tua & Struktur Demografinya
Kerajaan Kedah Tua dianggarkan muncul sekitar kurun ke-2 Masihi, perkara ini dapat ditentukan melalui rekod-rekod China dan India di mana pada ketika itu, kerajaan di Semenanjung Tanah Melayu mula menjalinkan hubungan diplomatik dan hubungan dagang dengan negara luar.[7] Dari kurun ke-2 Masihi sehingga kurun ke-14 Masihi merupakan zaman yang dipanggil sebagai zaman pra-moden atau proto-sejarah.[8] Pada tempoh masa inilah Kerajaan Kedah Tua dianggarkan berlangsung. Menurut Zuliskandar Ramli dalam kajiannya, pelabuhan-pelabuhan telah wujud di Kedah Tua sejak kurun ke-2 Masihi manakala kewujudan sistem raja dalam kerajaan bermula pada kurun ke-5 Masihi.[9]
Selepas berlalunya zaman ini barulah bermulanya zaman moden yang dianggarkan bermula pada penghujung kurun ke-18 Masihi. Semasa zaman moden ini muncul Kerajaan Kesultanan Kedah yang meliputi wilayah-wilayah yang luas termasuklah Phuket, Trang, Setul, Lungu, Perlis, Pulau Pinang dan Kerian.[10] Dinamik politik yang berlangsung selepas itu mengakibatkan wilayah-wilayah ini menjadi negeri tersendiri dan sebahagiannya diserap masuk ke dalam negeri lain. Pada tahun 531 Hijrah bersamaan tahun 1136 Masihi, dicatatkan dalam sumber bertulis bahawa telah datangnya Syeikh Abdullah dari Yaman yang telah mengislamkan raja Kedah pada ketika itu.[11]
Jika dilihat dalam peta yang disertakan di dalam buku Kedah Tua: Sejarah, Arkeologi & Naratif Baharu, Kedah Tua sememangnya merangkumi kawasan yang luas, dari Takuapa hingga ke Beruas.[12] Disebabkan terdapat banyak tinggalan candi, arca, dan prasasti, terdapat pelbagai teori perihal struktur politik Kedah Tua. Pengkaji seperti H.G. Quaritch Wales berpandangan Kedah Tua merupakan koloni India hasil dari kedatangan pedagang dan pelayar dari India.[13] Menurut teori ini, hasil kedatangan yang berterusan ini telah menyebabkan keseluruhan masyarakat di Kedah Tua mengamalkan amalan Hindu Buddha. Pengkaji lain seperti Alaistair Lamb dan beberapa sarjana tempatan pula beranggapan bahawa tinggalan arkeologi tersebut hanya memaparkan kewujudan hubungan budaya dan ekonomi antara masyarakat Kedah Tua dan India.[14] Sebahagian sarjana lain menafsirkan bahawa masyarakat tempatan kekal dengan budaya dan kepercayaan mereka dan tinggalan-tinggalan arkeologi yang dijumpai tersebut adalah tinggalan dari pedagang-pedagang asing yang datang ke Kedah Tua untuk berdagang.[15]
Nasha Rodziadi Khaw dalam buku ini berpandangan bahawa penduduk di Lembah Bujang yang mengamalkan agama Hindu-Buddha adalah golongan bangsawan dan pembesar, mereka juga berkemungkinan mempunyai hubungan yang rapat dengan pedagang dan pelayar yang beragama Hindu dan Buddha. Manakala masyarakat peribumi yang hidup di luar Lembah Bujang tidak terkesan dengan agama ini, mereka terus mengamalkan adat kepercayaan mereka sendiri.[16] Walaupun tafsiran-tafsiran dapat dilakukan menggunakan bukti arkeologi, tafsiran ini bersifat ekxtrapolasi dan tidak konklusif. Ini dapat dilihat dalam huraian-huraian yang dibuat di dalam buku ini yang kebanyakannya berbentuk “kemungkinan”.[17]
Sumber Bertulis Perihal Kedah Tua
Selain sumber arkeologi, sejarah Kedah Tua juga dapat ditelusuri sejarahnya dari sumber-sumber bertulis dari luar. Antaranya adalah syair Tamil kurun ke-2/3 Masihi iaitu Pattinappalai dan Sillappadikaram.[18] Walaupun wujud rekod-rekod bertulis tentang Kedah Tua, ia sangat terhad dari segi bilangan dan skop dan tidak dapat memberi gambaran yang menyeluruh. Rekod-rekod yang ada tidak setanding dengan rekod perihal Kesultanan Melayu Melaka yang lebih banyak dan komprehensif.[19]
Selain sumber dari India, maklumat perihal Kedah Tua juga boleh dijumpai dalam sumber-sumber Arab, antaranya adalah al-Mas’udi yang menulis pada kurun ke-10 Masihi.[20] Ini mengingatkan saya perihal buku beliau yang bertajuk Muruj al-Zahab wa Ma’adin al-Jauhar, terjemahannya ke dalam bahasa Inggeris bertajuk Meadows of Gold and Mines of Gems yang pernah saya baca pada satu ketika dahulu. Versi yang saya baca adalah hasil translasi Paul Lunde dan Caroline Stone.[21] Memang di dalamnya ada diperihalkan tentang Kedah dan juga Kerajaan Sriwijaya. Saya merasakan tulisan al-Mas’udi tersebut sangat penting, kerana ia dapat membantu kita membuat perbandingan sumber bagi mengesahkan fakta-fakta sejarah terutamanya perihal Nusantara dan khususnya perihal negeri Kedah.[22] Dalam sumber-sumber Arab, Kedah disebut sebagai “Kalah”, sebuah negeri yang kaya dengan bijih timah, rempah, dan hasil hutan. Kalah juga disebut sebagai sebuah jajahan takluk bagi Kerajaan Sriwijaya.[23]
Selain dari masalah sumber yang terhad dari segi jumlah dan skop, kebanyakan sumber sejarah perihal Kedah Tua juga bermasalah menurut Nasha Rodziadi Khaw, ini kerana sumber-sumber ini bercampur aduk dengan elemen mitos dan legenda yang belum dapat dibuktikan dengan rujukan silang menggunakan data-data arkeologi.[24] Masalah perihal sumber ini juga sering dibangkitkan oleh para pengkaji lain.[25] Perkara ini bukanlah sesuatu yang ganjil kerana historiografi tradisional tidak sama dengan corak historiografi moden, sumber tradisional tidak mementingkan aspek objektiviti. Kebanyakannya bersifat sastera, hiburan, legenda, dan usaha untuk memaparkan kehebatan nasab keturunan.[26]
Sumber-Sumber Arkeologi Perihal Kedah Tua
Antara sumber arkeologi yang ditemui di tapak-tapak eskavasi Kedah Tua adalah prasasti (inscriptions). Namun prasasti yang dijumpai tidak memberi maklumat yang mencukupi tentang sistem politik, ekonomi dan sosial masyarakat Kedah Tua. Sebaliknya kebanyakan prasasti ini mengandungi mantera-mantera pendek bagi agama Buddha.
Selain prasasti, di Kompleks Sungai Batu banyak ditemui tinggalan tapak peleburan besi. Dari tinggalan ini dapat difahami bahawa Kedah Tua merupakan tempat di mana jongkong-jongkong besi dihasilkan.[27] Kewujudan industri peleburan besi ini konsisten dengan sumber-sumber Arab yang menyatakan bahawa di Kedah Tua wujudnya benkel-bengkel pembuatan pedang.[28]
Terdapat juga penemuan-penemuan artifak dari tamadun luar seperti seramik dari China. Penemuan ini dapat mengesahkan hubungan dagang antara Kedah Tua dengan Tamadun China. Antara seramik yang ditemui adalah dari era Dinasti Tang yang wujud sekitar abad ke-7 hingga abad ke-14 Masihi.[29]
Kesimpulan: Pandangan Umum Perihal Keseluruhan Buku
Walaupun buku ini cuba mengetengahkan naratif baharu, saya kira ada sedikit kekurangan dalam penyampaian naratif ini. Terutamanya kepada pembaca awam yang tidak mengikuti perkembangan arkeologi dengan dekat. Penyampaian yang lebih baik pada pandangan saya adalah menonjolkan dengan jelas terlebih dahulu apakah naratif lama itu, kemudian barulah diketengahkan naratif baharu agar perbezaan naratif ini dapat difahami dan dibandingkan oleh semua pembaca. Buku ini hanya menerangkan apa yang dimaksudkan dengan naratif lama secara seimbas lalu, oleh kerana itu, perbezaan naratif ini tidak begitu menonjol kepada pembaca awam.
Setelah mengamati dan mendalami buku ini kulit ke kulit. Apa yang saya faham perihal naratif baharu ini adalah bahawa terdapatnya perbezaan antara masyarakat yang hidup di tanah dalam dan masyarakat yang hidup di pesisir. Amalan kepercayaan Hindu-Buddha tertumpu kepada masyarakat pesisir manakala masyarakat di kawasan pedalaman terus dengan kepercayaan asli mereka.
Walaupun buku ini merupakan buku yang didasari kajian, saya mendapati ia tidaklah dipersembahkan dengan gaya penulisan akademik yang membosankan, sebaliknya ditulis dengan santai dan mudah difahami. Cuma saya merasakan kadangkala ia terlalu diskriptif dan kurang ulasan dan huraian. Melihat paparan-paparan gambar dalam buku ini juga menimbulkan semacam perasaan masuk ke dalam muzium. Di mana kita bukan membaca sebuah buku, tetapi masuk melihat-lihat barang-barang pameran. Walau apa pun, saya merasakan buku ini tetap sebuah buku yang baik untuk kita memahami misteri sebuah kerajaan kuno yang dinamakan Kedah Tua melalui kajian-kajian arkeologi.
Bibliografi
Adnan Jusoh. (2016). Zaman Pra-Islam di Kedah Berdasarkan Bukti Arkeologi. Perspektif: Jurnal Sains Sosial dan Kemanusiaan 8, no. 1, 106-117.
al-Mas’udi, Lunde (Translator), P., & Stone (Translator), C. (2007). From The Meadows of Gold. Penguin Books.
Nasha Rodziadi Khaw, Nazarudin Zainun, & Suresh Narayanen. (2024). Kedah Tua: Sejarah, Arkeologi & Naratif Baharu. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia & Think City.
Nazrin Rahman, Mokhtar Saidin, Najmiah Rosli, Nor Hidayah Ahmad, & Rosli Saad. (2020). Iron Smelting Industry of Kedah Tua: A Geophysical Mapping for Buried Furnace. Archaeologies 16, no. 2, 168-180.
Noor Syahidah Mohamad Akhir, Syaimak Ismail, Aemy Aziz, & Muhammad Saiful Islam Ismail. (2022). Kedah Tua Sebagai Pelabuhan Kuno Perdagangan Antarabangsa Antara Abad Ke-2M Sehingga 13M: Lambang Ketamadunan Bangsa Melayu. Jurnal Melayu 21, no. 2 , 115-129.
Shukri Janudin, & Zaimilah Yusoff. (2022). Pengkisahan Raja-Raja Kedah Tua Berdasarkan Bukti Dokumentasi dan Arkeologi (630 hingga 1136 masihi). Jurnal Dunia Pengurusan 4, no. 2, 16-32.
Syed Ahmad Fathi. (2023). Menikmati Cebisan Dari Lapangan Emas Al-Mas’Udi Sang Herodotus Arab. Ulasan Buku.
Syed Ahmad Fathi. (2023). Perihal Penyebaban Dalam Sejarah. Nota Pengajian Sejarah.
Syed Ahmad Fathi. (2023). Persejarahan Melayu Tradisional. Nota Pengajian Sejarah.
Zuliskandar Ramli. (2020). Sejarah, Perkembangan Ekonomi Dan Hubungan Antarabangsa Kedah Tua Dari Kurun Ke-2 Hingga Ke-14 Masihi. International Journal of Interdisciplinary and Strategic Studies 1 (1), 58-87.
[1] Nazrin Rahman, Mokhtar Saidin, Najmiah Rosli, Nor Hidayah Ahmad, dan Rosli Saad. “Iron Smelting Industry of Kedah Tua: A Geophysical Mapping for Buried Furnace.” Archaeologies 16, no. 2 (2020): 168-180.
[2] Adnan Jusoh. “Zaman Pra-Islam di Kedah Berdasarkan Bukti Arkeologi” Perspektif: Jurnal Sains Sosial dan Kemanusiaan 8, no. 1 (2016): 106-117.
[3] Nasha Rodziadi Khaw, Nazarudin Zainun, dan Suresh Narayanen. Kedah Tua: Sejarah, Arkeologi & Naratif Baharu. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia & Think City, 2024., hlm. xiii.
[4] Syed Ahmad Fathi. “Perihal Penyebaban Dalam Sejarah.” Nota Pengajian Sejarah, 2023.
[5] Nasha Rodziadi Khaw. Kedah Tua., hlm. xvii.
[6] Ibid., hlm. xx-xxi.
[7] Ibid., hlm. 7.
[8] Ibid., hlm. 13.
[9] Zuliskandar Ramli. 2020. “Sejarah, Perkembangan Ekonomi Dan Hubungan Antarabangsa Kedah Tua Dari Kurun Ke-2 Hingga Ke-14 Masihi”. International Journal of Interdisciplinary and Strategic Studies 1 (1):58-87.
[10] Nasha Rodziadi Khaw. Kedah Tua., hlm. 17.
[11] Ibid., hlm. 98-99.
[12] Ibid., hlm. 38.
[13] Nasha Rodziadi Khaw. Kedah Tua., hlm. 25.
[14] Ibid., hlm. 27.
[15] Ibid., hlm. 29.
[16] Ibid., hlm. 62-63.
[17] Lihat misalnya huraian tentang sistem politik Kedah Tua. Rujuk Nasha Rodziadi Khaw. Kedah Tua., hlm. 66.
[18] Nasha Rodziadi Khaw. Kedah Tua., hlm. 77.
[19] Ibid., hlm. 88.
[20] Ibid., hlm. 107.
[21] al-Mas’udi, Paul Lunde, dan Caroline Stone. From The Meadows of Gold. Penguin Books, 2007.
[22] Syed Ahmad Fathi. “Menikmati Cebisan Dari Lapangan Emas Al-Mas’Udi Sang Herodotus Arab.” Ulasan Buku, 2023.
[23] Nasha Rodziadi Khaw. Kedah Tua., hlm. 109.
[24] Ibid., hlm. 116.
[25] Lihat misalnya tulisan Shukri Janudin dan Zaimilah Yusoff. “Pengkisahan Raja-Raja Kedah Tua Berdasarkan Bukti Dokumentasi dan Arkeologi (630 hingga 1136 masihi).” Jurnal Dunia Pengurusan 4, no. 2 (2022): 16-32.
[26] Syed Ahmad Fathi. “Persejarahan Melayu Tradisional.” Nota Pengajian Sejarah, 2023.
[27] Nasha Rodziadi Khaw. Kedah Tua., hlm. 206.
[28] Ibid., hlm. 109.
[29] Noor Syahidah Mohamad Akhir, Syaimak Ismail, Aemy Aziz, dan Muhammad Saiful Islam Ismail. “Kedah Tua Sebagai Pelabuhan Kuno Perdagangan Antarabangsa Antara Abad Ke-2M Sehingga 13M: Lambang Ketamadunan Bangsa Melayu.” Jurnal Melayu 21, no. 2 (2022): 115-129.
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.