Baru-baru ini tular isu pelarian Rohingya yang lari dari Depot Tahanan Sungai Bakap. Lebih menyayatkan hati 6 orang daripada mereka mati dilanggar di lebuh raya ketika melarikan diri. Begitulah sadisnya layanan yang diterima pelarian Rohingya di negara Islam Malaysia. Ditahan, kemudian dilanggar di jalan selepas lari dari peperangan di kampung mereka.
Saya tahu, menulis dan memperjuangkan nasib bangsa Rohingya ini tidak popular. Saya telah menulis tentangnya banyak kali, sudah berdebat tentangnya. Sudah menerima maki dan caci dari pembenci-pembenci imigran. Saya pernah menulisnya di laman Borneo Komrad, juga di blog saya sendiri. Melalui penulisan-penulisan ini saya telah mendapat banyak kecaman, walaubagaimanapun ia sikit pun tidak mengesani saya. Dan saya akan terus menulis untuk membela nasib mereka. Kerana saya merasakan adalah hipokrit bagi rakyat Malaysia yang lantang memperjuangkan keadilan untuk Palestin tetapi kemudiannya melayan bangsa “Palestin” di rantaunya dengan begitu buruk sekali. Ya tidak dinafikan Malaysia banyak memberi bantuan kepada Rohingya ketika awal konflik, kita ada buka hospital lapangan, malah banyak demonstrasi menyokong mereka. Namun apabila mereka mula masuk ke negara kita untuk berlindung kempen kebencian mula ditiup ke atas mereka.
Mungkin ada yang bertanya apa solusinya?
Dianggarkan ada sekitar 200,000 pelarian Rohingya yang ada dalam negara kita. Manakala jumlah penduduk Malaysia adalah sekitar 32.7 juta. Jadi populasi mereka dalam negara kita adalah sekitar 0.6%. Apa yang kita boleh buat dengannya?
Pertama adalah solusi kurang cerdik. Kita anggap mereka sebagai penjenayah. Kita tangkap mereka beramai-ramai dan sumbat mereka bersama anak-anak mereka ke dalam penjara. Kita perlu belanja banyak kos, kos menangkap, kos bina penjara, kos mengurus penjara, kos makanan dalam penjara, dan seribu satu kos lain. Mereka pula akan hidup sebagai penjenayah, mereka tidak dibenarkan bekerja secara halal jadi peluang yang ada untuk survival adalah pekerjaan haram. Anak-anak mereka pun tidak diiktiraf dan akan menjadi penjenayah apabila besar nanti. Kitaran ini akan berulang-ulang untuk beberapa genarasi dan kita perlu keluar belanja untuk kos pengurusan jenayah setiap masa. Mereka akan hidup tersisih dan sentiasa diburu, dan kita terpaksa sentiasa memburu. Kita perlu tanggung banyak kos termasuklah kos memburu dan mereka akan kekal sebagai penjenayah untuk survival.
Kita tak boleh hantar mereka pulang. Negara asal tidak menerima mereka dan tidak mengiktiraf mereka. Mereka juga tak mahu pulang. Mereka telah bergadai nyawa untuk sampai ke sini, mereka tidak mahu untuk dihantar semula untuk disembelih. Adakah kita punya pilihan yang lain?
Kita punya satu lagi solusi, yang lebih cerdik. Berbeza jika kita anggap mereka sebagai penjenayah dan perlu belanja banyak kos, kita boleh beri mereka permit bekerja. Banyak pekerjaan dalam negara ini yang tak cukup pekerja dan tidak mahu dilakukan pekerja tempatan. Jika ada yang mengatakan “orang kita pun tak ada kerja” sebenarnya ini tidak lebih dari alasan untuk rasis sahaja. Berlambak-lambak pekerjaan dalam bidang pengilangan, perladangan, pembinaan dan penternakan yang sekian lama tak cukup pekerja dan setiap tahun mengimport tenaga buruh. Malah kebanyakan bangunan-bangunan megah yang tinggi dalam negara ini dibina buruh import. Semua bangunan tinggi yang dimegah-megahkan itu pembancuh simennya adalah dari Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Nepal dan lain-lain. Jadi jangan kita menipu diri sendiri dengan mengatakan bahawa kita tiada kerja nak diberi.
Beri mereka peluang untuk menyumbang dalam ekonomi negara. Bukan sahaja kita tidak perlu menanggung perbelanjaan menahan mereka, mereka juga boleh menyumbang dalam bidang ekonomi yang akhirnya memberi pulangan pada negara dalam bentuk cukai dan permintaan barangan domestik.
Kita tak ada masalah beri kerakyatan pada pemain bola dari Australia, England, Gambia, Brasil, dan Kosovo yang lebih jauh dari kita dari sudut budaya, agama, dan georgrafi. Saya kira adil jika kita memberi laluan kerakyatan kepada bangsa Rohingya setelah mereka menyumbang tenaga pada negara setelah 10 tahun misalnya, jika mereka tiada rekod jenayah, dan mampu berkomunikasi dalam bahasa tempatan. Kita dalam sejarah pernah memberi kerakyatan kepada banyak buruh imigran. Anak-anak mereka pula kita sekolahkan dalam sekolah kita. Saya yakin dalam 2-3 generasi, mereka sudah jadi seperti rakyat Malaysia lain dan tidak dapat dibezakan. Pada masa itu, kita sudah tak punya masalah untuk menahan mereka. Kita juga tidak akan rasa terancam kerana perbezaan budaya. Rakyat Malaysia sedia ada pun berasal dari pelbagai keturunan, ada yang moyangnya berasal dari Banjar, Jawa, Minang, Guangzhou, Fujian, Kerala, Punjab, dan bermacam-macam negeri lagi. Jadi adakah Malaysia akan menjadi hina jika ada rakyatnya berketurunan dari Arakan? Tidak sama sekali.
Bagi golongan pembenci dan rasis, saya cadangkan mereka membaca buku tulisan rakyat Malaysia bernama Teo Ann Siang bertajuk “No Way Home” agar timbul rasa belas kasihan dan peri kemaknusiaan dalam hati mereka. Bagi yang hatinya penuh kasih sayang, persaudaraan dan cinta kepada kemanusiaan, saya mengajak mereka untuk menghulurkan bantuan kepada Rohingya Community Educare Center (RCEC) Alor Setar, ia diselenggara oleh NGO tempatan yang memberi pendidikan pada anak-anak Rohingya. Mereka bukan seperti pembenci lain yang hanya pandai berkokok di media sosial tetapi mereka adalah sebahagian dari solusi kepada masalah kemanusiaan hari ini. Baru-baru ini mereka menerima kunjungan lawatan dari Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Temenggong Kedah.
Sudah tiba masanya untuk kita melihat Rohingya bukan sebagai Rohingya, tetapi sebagai manusia. Sebagai saudara kita sendiri kerana setiap orang Islam adalah bersaudara. Jika pun tidak bersaudara kerana agama, kita sentiasa boleh bersaudara kerana kemanusiaan.
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.