Oleh: Tulip Ungu
Jujur hati ini sedikit terusik bila membaca pelbagai status sambutan hari ibu hari ini tambahan pula aku baru sahaja membelek buku keramat peninggalan ummi yakni “Mendidik dengan cinta” karya Irawati Istadi.
Jujur aku katakan ini sahaja kenangan yang aku simpan dan mungkin bakal diberikan kepada mereka yang ingin menggunakan sebab selepas pemergian ummi aku terus menerus menghapuskan sedikit demi sedikit memori-memori bersama ummi.
Entah sebab aku marah atau kecewa tapi yang pasti setiap barangan yang mengingatkan aku pada ummi akan aku cuba jauhi, bukan kerana apa, cuma aku takut andai aku tak mampu mengawal diri hingga terbaring berminggu-minggu diatas katil mengulangi episod hitam aku pada tanggal 19 Febuari 2019.
Masih aku ingat pada pagi itu, aku pulang ke rumah pada pukul 4 pagi dan terus tidur. Kemudian pada pagi tersebut,tanpa aku duga bos aku datang kerumah untuk mengejut aku yang aku jangka kerana ingin berniaga pada pagi tersebut kerana sepatutnya kami berniaga malam. Tanpa disangka dia menyampaikan berita bahawa ummi telah pergi buat selamanya dan sampai hari ini aku seakan akan kembali hidup dalam memori itu kadang kala terjaga disaat tengah malam.
Sedikit sebanyak tentang ummi, tak dinafikan cara didikan ummi pada aku dan adik amat berbeza dari pandangan aku. Ummi sentiasa menyuruh aku “push to the limit” dalam banyak perkara yang aku mahu dan tidak mudah memberikan sesuatu yang aku mahu melainkan dengan sesi debat dan perbincangan yang kadang kala akan membuatkan aku terus merajuk.
Ummi juga gemar menyuruh aku mengikuti program program walaupun pada aku, aku terpaksa mengorbankan waktu lapang aku dan juga cuti dan aku masih ingat betapa ummi meraikan sahabat dan senior aku ketika mereka tumpang sebentar di rumah sebelum bergerak untuk menghadiri program di Kedah.
Menyelak kembali setiap nota aku saat aku masih menuntut ilmu di sebuah kolej ,membuatkan aku tersenyum kerana boleh kata hampir setiap hari aku akan menelofon ummi atau berhubung di alam maya bila bila aku mendapat idea dalam mengolah modul pendidikan awal ummi kearah lebih moden dan menarik dan ummi sentiasa menyambut baik dan berulang kali menitik beratkan aspek Tauhid didalam perkembangan awal kanak kanak. Kata ummi yang masih aku ingat “Tauhid dan anak kecil itu ibarat dua aspek yang tidak dapat dipisahkan kerana anak kecil akan sentiasa bertanya asal usul segala sesuatu yang berada dihadapan mereka. Jadi untuk menjadi guru yang terbaik, perlulah tanam sifat kepercayan yang tinggi kepada Allah.”
Aku jugak menjadi saksi sepanjang proses pembesaran aku, betapa rajin dan komitednya ummi dalam kerja dakwah dan tarbiyah bahkan lewat mulut sahabat beliau, ummi sangat komited bahkan dari saat aku berada didalam perut ummi. Bahkan disaat aku membesar dan ingin bermanja dengan ummi seringkali aku disuruh untuk beredar sebentar atau tertidur disamping ummi yang tekun mengolah dan membaca buku untuk persiapan program ataupun usrah hingga kadangkala aku berasa dianak tirikan dan jemaah adalah anak pertama ummi.
Sungguh aku rindu akan kata kata dan belaian ummi, moga ummi dirahmati atas usahanya dulu dan sentiasa diredhai Tuhan.
Selamat hari ibu ummi ku sayang.
Related Posts
Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.