Antara program satira yang saya minati adalah program yang dikelola oleh John Oliver di HBO dan Stephen Colbert di CBS.
Colbert lebih memfokuskan satiranya kepada daily political commentaries, jadi programnya berterusan dan hampir setiap hari. Dia hanya perlu mengolah semula sebarang peristiwa semalam dan dalam bentuk satira.
Oliver pula sirinya lebih memfokus berkenaan dengan sesuatu isu, isu yang mungkin berada diluar kotak politik, tetapi setiap isu yang diangkat mempunyai unsur-unsur penindasan yang diperjuangkan, seperti penindasan syarikat rokok terhadap negara kecil, isu MLM menindas pengguna, siri Oliver tidak terikat dengan isu politik domestik.
Satira mereka berkesan kerana mereka berjaya unpack setiap isu dalam pembawakan komedi yang mana selepas habis ketawa mesejnya akan kekal dalam minda penonton. Jadi satira sangat berkesan sebagai agen propaganda kerana ianya mudah dihadam, selesa (unsur humour), dan mudah tersebar. Berbanding dengan tulisan akademik yang dipenuhi bahasa jargon.
Walaupun satira berbentuk komedi, ia tidak semestinya kosong, ia boleh lahir dari fakta, cuma olahan dan penyampaiannya sahaja diberikan sesuai dengan kemampuan masyarakat awam.
Namun siri satira seperti Oliver dan Colbert mungkin tidak sesuai dengan konstruk sosial masyarakat kita, kita mempunyai sistem nilai yang tersendiri. Oleh itu kita mempunyai instrumen satira seperti TTKM. Walaupun dilabel sampah oleh golongan pemerintah, bahan mereka akan terus beredar dan sampai ke masyarakat kebanyakan. Ia lebih mudah, simplistik, menjadikannya sebuah propaganda yang baik.
Dengan hasrat kerajaan ingin menurunkan had mengundi kepada 18 tahun. Bahan-bahan satira ini lebih mudah disebar kepada generasi muda. Ia tidak memerlukan analisa yang membosankan, malah menjadi satu bentuk hiburan generasi muda dalam masa yang sama, sedar atau tidak, hiburan itu membentuk persepsi minda mereka.
Mudah untuk melebel satira sebagai sampah, tapi sukar untuk melawan pembinaan persepsi yang mereka bawa. Dan jika dengan satira dan jenaka pun kerajaan sudah meloncat, maka ada masalah besar pada kerajaan tersebut.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.