Sastera yang sepatutunya kita kenali pada hari ini tidak seharusnya dipandang sebagai suatu bidang picisan dan terpinggir. Jika kita lihat dalam bidang pengajian Melayu, ramai diantara mereka merupakan pengkritik sastera moden dan bukannya dalam kalangan pengkritik sastera tradisional atau klasik. Hakikatnya sebahagian pengkritik sastera klasik juga tidak memahami apa yang dikatakan sebagai sastera klasik. Mereka menganggap bahawa sastera klasik hanyalah sebagai satu pemikiran yang bersifat sosial, keakuan, keheroan dan satria sehingga sebahagian mereka memahami sastera klasik ini hanya menceritakan tentang watak hero masa lampau sehingga mereka lupa bahawa sastera klasik sebenarnya bertujuan menceritakan tentang diri manusia keseluruhannya. Selain kalimah kesusasteraan, ia juga dikenali sebagai persuratan oleh sebahagian sarjana. Fungsi persuratan adalah untuk menyingkap perkara-perkara yang tersirat terutamanya berkaitan dengan rahsia kejadian dan kewujudan alam.
Mengambil contoh dari tradisi ajaran Hindu atau Buddha kita akan dapati tujuan sastera adalah untuk memahami diri manusia dan alam sehingga diri manusia mampu untuk mencapai ke alam yang tertinggi iaitu kebebasan jiwa. Hal ini kerana persoalan yang paling besar yang selalu bermain dalam kehidupan manusia adalah persoalan tentang tujuan hidup. Ini menjadi bukti ketidakpisahan antara sastera dan agama. Dalam agama Hindu ada tiga unsur yang ditekankan iaitu sastera, sutra dan yoga. Sastera merupakan manifestasi luaran yang menceritakan tentang kejadian yang berlaku secara zahir. Sutra pula adalah jalan untuk mencapai ke alam yang tertinggi manakala yoga pula adalah dialektika dan pengalaman dalaman atau batin. Dari sini kita membuat satu kesimpulan ringkas bahawa sastera itu merupakan manifestasi daripada kata-kata yang menggambarkan segala perkara yang berlaku di dalam diri manusia.
Berbalik kepada tradisi Islam, di dalam Al-Quran ada disebutkan bahawa para nabi diutuskan kepada sesebuah bangsa menggunakan bahasa mereka sendiri. Di sini kita juga harus bersetuju bahawa mana mungkin seorang nabi atau rasul yang membawa peringatan dari Tuhan, menggunakan bahasa yang tidak difahami oleh bangsa tersebut. Walaupun bahasa yang digunakan oleh setiap bangsa itu berbeza-beza, namun mesej yang hendak disampaikan adalah sama iaitu mesej kesatuan dan pengakuan tentang keesaan Tuhan. Dalam dunia sastera Melayu klasik ramai ulama Melayu tradisional membicarakan tentang ke’satu’an dengan menggunapakai istilah ‘ada’, ‘wujud’, atau ‘ma hiya’. Kesemua ini bertujuan untuk membawa pembaca mengenal Yang Satu.
Apabila munculnya zaman revolusi perindustrian atau zaman permodenan di Barat, kita dapati hampir semua perkara di dunia ini mesti dibuktikan secara objektif menggunapakai kaedah demonstrasi atau eksperimen. Kita tidaklah menafikan penggunaan kaedah-kaedah tersebut untuk mengetahui sesuatu kebenaran. Namun kita harus sedar bahawa di sisi lain, kita mempunyai satu lagi kaedah yang dipanggil sebagai pengalaman rohani atau ilham untuk mengenali diri. Masyarakat klasik pada zaman dahulu mengenali diri mereka dengan menggunapakai kaedah ini. Hal ini penting berdasarkan sebuah ungkapan, “Barangsiapa yang tidak mengenali diri sendiri, dia tidak mengenali Tuhannya”. Ini terbukti jika kita perhati dari zaman Hamzah Fansuri sehingga ke zaman Amir Hamzah, semuanya menceritakan tentang pengalaman diri dengan Tuhan atau perkara-perkara yang berkaitan dengan tasawauf.
Tambahan lagi, sastera sepatutnya memainkan peranan sebagai pembicara tentang diri manusia, makna diri dan kehidupan diri manusia. Sastera bukanlah berperanan membicarakan tentang perkara seharian. Apa yang paling penting untuk disentuh adalah tragedi dan bukannya komedi kerana melalui tragedi kita boleh melihat apa yang menentukan nasib manusia. Tragedi bukanlah sesuatu yang baik tetapi itulah hakikat yang terpaksa ditempuhi oleh setiap insan. Ia satu kepahitan yang mesti ditelan. Setiap kesakitan yang kita rasakan dalam kehidupan adalah kerana kita tidak mengetahui secara jelas tentang apa tujuan kita dihidupkan. Kita letih mencari makna sebenar dalam hidup ini.
Selain itu, mitologi, legenda dan epik adalah sesuatu yang tidak asing dalam dunia penulisan sastera. Keseriusan untuk memahami nilai kehidupan hanya boleh dicapai melalui epik, tidak melalui drama. Drama hanya mengungkap kehidupan seharian. Epik pula menceritakan tentang makna kewujudan manusia. Apabila sastera atau epik dipinggirkan, maka dunia menghadapi keruntuhan nilai kemanusiaan. Semuanya bermula pada kurun ke-18 apabila manusia mula menyibukkan diri dalam revolusi perindustrian. Manusia sudah mula lupa bahawa sastera merupakan sumber dan makanan kepada jiwa. Akhirnya manusia hanya sempat membaca cerpen yang ditulis secara ringkas dan diterbitkan secara mingguan dalam akhbar dan seterusnya meninggalkan membaca hikayat atau epik. Kesannya, kesusasteraan hanya menceritakan kejadian yang berlaku dalam masyarakat yang bersifat luaran, berbanding kejadian yang berlaku dalam diri manusia. Sebenarnya, mereka berkehendak untuk menafikan tasawuf.
Namun begitu, pada setiap kejatuhan diri manusia pasti ada perjuangan untuk bangkit semula. Tetapi yang sebenar-benar perjuangan adalah perjuangan membangunkan diri dan bukannya membangunkan masyarakat. Masyarakat dengan sendirinya akan terbangun bila diri sendiri sudah siap bangun. Berdasarkan ajaran agama dan falsafah timur masa lampau, nilai individu adalah lebih penting berbanding dengan nilai masyarakat. Contohnya seperti penyaksian diri kita terhadap Ketuhanan yang maha esa yang mana semuanya itu berbalik kepada diri sendiri atau individu bukannya masyarakat. Masyarakat tidak bersaksi kepada Allah tetapi diri sendirilah yang bersaksi kepada Allah sebagai Tuhan. Perkara ini juga terdapat dalam tradisi Hindu yang dikenali sebagai Atman Brahman iaitu ‘that the individual soul is the same as the universal soul’.
Sastera merupakan sebuah tradisi keagamaan. Hampir kesemua penulis sastera di alam melayu menceritakan tentang tasawuf, makna diri, makna kejadian dan juga roh. Mereka mencari makna hakikat kehidupan disamping sebagai kerjaya. Realiti sastera sufi itu bertingkat-tingkat. Daripada sastra kepada sutra seterusnya naik kepada yoga. Begitu juga ilmu pengetahuan yang lain wujud secara bertingkat-tingkat kerana setiap ilmu pengetahuan itu berkembang. Jika diteliti, tidak ada pemisahan antara alam Melayu dengan alam yang lain seperti alam Parsi dan Arab. Semuanya adalah dikelompokkan dalam alam Islam. Maka, apabila membicarakan tentang sastera Iran atau Parsi, ia juga menunjukkan sastera Melayu.
Menyingkap sejarah kesusasteraan di alam Melayu pada masa lampau, kitab seperti Nur Muhammad dibaca secara umum oleh masyarakat tempatan pada masa itu kerana mereka percaya kepada kewujudan para nabi yang membawa cahaya kepada manusia. Di samping itu, Al-Quran juga menukilkan tentang cahaya dalam penciptaan langit dan bumi. Sungguh menarik jika kita tinjau perkataan literature. Ia mempunyai hubungan dengan perkataan light, lighter, lit yakni yang membawa maksud pencahayaan. Jadi literature itu sendiri adalah yang membawa cahaya kepada kehidupan manusia seterusnya yang memberi kebahagiaan dalam kehidupan. Membaca sastera itu adalah jalan untuk mencapai kebahagiaan. Maka dalam mencari kebahagiaan haruslah memakai jalan yang mendekatkan diri dengan Tuhan kerana itulah yang dikatakan sebenar-benar bahagia.
Termasuklah hikayat di alam melayu, jika diteliti secara mendalam, kita akan dapati semuanya menceritakan tentang kehidupan manusia di muka bumi dan jalan untuk kembali kepada Tuhan. Tapi ramai yang salah faham dan menganggap hikayat sebagai sesuatu yang tidak bermakna dan bersalahan dengan realiti kejadian dan hanya menganggap sebagai hiburan semata-mata. Kita ambil Hikayat Bayam Budiman sebagai contoh yang menceritakan tentang maksud cinta sejati dan kesetiaan yang mesti dijaga dan bukannya tunduk kepada desakan nafsu. Begitu juga dengan hikayat yang lain seperti Hikayat Pandawa Lima dan Hang Tuah lima bersaudara yang memberi gambaran tentang lima pancaindera yang terdapat pada diri manusia. Ini menjadi bukti bahawa hikayat bukanlah semata-mata hiburan bahkan terkandung di dalamnya ajaran agama dan nilai falsafah.
Sebagai penutup, penulisan sastera klasik seharusnya dipandang sebagai sesuatu yang memberi nilai tambah dan harus diangkat ke taraf yang selayaknya berdasarkan kepada peranan dan sumbangan yang telah diberikan dalam membentuk jiwa manusia yang manusiawi. Sastera klasik tidak harus dipandang sepi tetapi perlu diperluaskan kajiannya agar generasi pada masa akan datang tidak ketandusan nilai-nilai akhlak yang baik.
*Tulisan ini merupakan catatan diskusi bersama Baharuddin Ahmad.
Related Posts
Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.